Sesi latihan pelajar yang dibuat dalam tempoh yang agak singkat iaitu selama 5 hari sememangnya suatu yang mustahil untuk sesebuah produksi teater muzikal dipersembahkan. Namun stigma itu dilupakan untuk minggu ini. Berkat latihan intensif yang dilakukan, semuanya tidak mustahil. Itulah semangat enam pelajar yang masih menanam impian untuk terus berjaya di Akademi Fantasia.
Saya tahu latihan untuk produksi seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical akan berlaku sepanjang tempoh 3 hingga 6 bulan. Tetapi pelajar Akademi Fantasia hanya melakukannya dalam tempoh 5 hari. Saya sendiri ternanti-nantikan hasilnya kerana usaha membawa kerabat teater PGLtM dan PRtM telah pun dilakukan oleh produksi.
Mari kita sama-sama saksikan dan nikmati satu cabang seni, teater muzikal menguasai Akademi Fantasia pukul 9 malam ini di Astro RIA.
Ulasan Keseluruhan
Saya kagum dengan semangat pelajar yang telah menampilkan persembahan terbaik mereka di Konsert 8 yang bertemakan Teater Muzikal. Bukan sesuatu yang mudah untuk menghasilkan sebuah pementasan muzikal dalam jangkamasa kurang dari satu minggu. Pelajar menerima lagu hari Ahad dan minus one pada hari Isnin. Mula belajar lakonan dan koreografi hari Selasa hingga hari Khamis untuk berhadapan dengan tenaga pengajar. Hari Jumaat sudah berada di Dewan untuk sesi latihan dan sound-check. Menang ia tempoh yang amat pendek. PGLtM dan PRtM berlatih lebih 3-6 bulan. Pelakon seperti Tiara dan Adlin telah pun melakonkan watak yang sama sejak dari versi filem. Watak-watak itu sudah seakan sebati dalam diri mereka berbanding pelajar yang baru mengenali apa itu naskhah. Jadi apa yang telah dipersembahkan oleh setiap pelajar pada minggu ini saya sifatkan amat cemerlang.
Perubahan tema yang mendadak minggu ini mungkin mudah diterima oleh peminat setia Akademi Fantasia. Namun terimalah dengan hati yang terbuka kerana itulah format yang boleh dilakukan oleh Akademi Fantasia untuk menerima sebarang perubahan. Jika ada yang merasakan nyanyian masih elemen penting dalam Akademi Fantasia, terimalah pelbagai cabang seni juga boleh menjadi elemen penting dalam program realiti ini. Jika mahu menonton pertandingan nyanyian sahaja, ada banyak saluran yang menawarkan untuk anda tonton. Drama, kejutan sudah begitu sinonim dengan Akademi Fantasia. Elemen teater muzikal saya terima dengan bangga, elemen AFMASUK ? Saya mengharapkan taktik yang berbeza digunakan.
Persembahan Pelajar
Persembahan Pembukaan : Dewa Perang (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Persembahan Penutup : What Time Is It (High School Musical)



Jujurnya saya tidak menyukai persembahan pembukaan ini kerana kehebatan pelajar tidak diberikan limelight sebaliknya AC Mizal yang menyanyi. Pelajar hanya menjadi sebahagian daripada ensemble atau dalam istilah teater muzikal bermakna pelakon tambahan dan penyanyi latar. Pelajar sepatutnya diberikan tumpuan baik dari aspek vokal mahu pun koreografi. AC Mizal sepatutnya duduk di tepi dan bukannya menjadi penyanyi utama.
Sementara itu, lagu persembahan penutup diberikan nyawa oleh setiap pelajar. Koreografi yang ditampilkan juga bersesuaian dan cukup untuk lagu tersebut. Semangat muzikal begitu kental pada persembahan setiap pelajar dan itu yang saya mahukan minggu ini.
Segmen Puteri Gunung Ledang The Musical









Akim - Titah Sultan (Puteri Gunung Ledang The Musical)Satu persembahan yang baik daripada Akim. Lagu yang asing di telinganya menjadi lebih baik dengan intepretasinya yang tersendiri. Memang sukar membawakan lagu tersebut kerana rentaknya yang bercirikan pop Broadway. Saya akui apa yang diperkatakan oleh Adlin tentang ruang kosong yang tidak diisi dengan koreografi menjadikan persembahan Akim nampak kosong. Saya tidak menyalahkan Akim seratus peratus kerana Akim telah pun diberikan koreografi yang secukupnya berdasarkan tempoh latihan selama seminggu atau pun kurang. Jadi adalah tidak adil untuk membandingkan persembahan Akim yang berlatih dalam jangkamasa 4 hari dengan persembahan Adlin yang telah pun menyerap watak itu ke dalam dirinya selama lebih 4 tahun. Di musim pertama pementasan PGLtM pun Adlin tidak diberikan koreografi yang cukup berbanding musim ketiga. Mutu lakonan Akim juga cukup untuk sebuah persembahan tersebut.
Claudia - Katakan (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Saya kagum dengan usaha yang telah dicurahkan oleh Claudia dalam persembahannya. Saya dapat merasakan penghayatannya terhadap watak Gusti Puteri. Sama seperti Akim, adalah tidak adil untuk membandingkan watak Claudia dengan lakonan Tiara Jacquelina. Alasannya sama seperti yang saya senaraikan untuk Akim dan Adlin. Sekurang-kurangnya saya dapat mendengar nyanyian yang diberikan intepretasi berbeza oleh Claudia. Beza antara gandingan Akim dan Claudia dengan gandingan pelajar lain apabila Akim dan Claudia tidak digandingkan dalam adegan yang sama. Oleh itu keserasian antara dua watak dan hubungan antara dua watak itu tidak bertemu titik pertemuan. Itu kekurangan utama pada gandingan ini. Sayang sekali.
Segmen Impak Maksima The Musical





Yazid - Ratu Novella (Impak Maksima The Musical)
Saya boleh katakan segmen Impak Maksima The Musical dipersembahkan dengan baik oleh Yazid dan Aishah. Yazid memberikan satu persembahan yang mantap apabila keluar dari kebiasaannya. Saya percaya kekuatan itu datang dari tenaga Aishah. Nyanyian Yazid baik dan berjaya memberikan warna pada lagu tersebut. Saya tertarik dengan karektor yang ditampilkan oleh Yazid dalam lagu tersebut. Agak mudah membawakan watak-watak dari genre realisme yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian dan hasilnya amat membanggakan saya.
Aishah - Slot Akasia (Impak Maksima The Musical)
Saya terkejut apabila Aishah berjaya menampilkan mutu lakonan dan nyanyian yang cemerlang. Jika Aishah tidak tersingkir, dia saya anggap pelajar cemerlang minggu ini. Elemen penting dalam teater muzikal iaitu lakonan berjaya dibawakan oleh Aishah dengan cemerlang. Elemen nyanyiannya juga mantap. Saya percaya gandingan Aishah dan Yazid berjaya meyakinkan saya ada sisi lain pada kedua-duanya yang boleh diteroka lagi. Seboleh-bolehnya saya mahu melihat persembahan beliau lagi di masa akan datang.
Segmen P.Ramlee The Musical




Isma - Mulanya Cinta (P.Ramlee The Musical)
Saya tidak mendengar Siti Nurhaliza di dalam persembahan Isma minggu ini. Ia merupakan elemen paling penting yang selalunya ada pada Isma tetapi berjaya ditinggalkan minggu ini. Nyanyiannya dekat dengan saya dan penghayatannya menjadi. Gandingan Isma dan Hafiz amat kena dan saling lengkap-melengkapi minggu ini.
Hafiz - Di Manakan Ku Cari Ganti (P.Ramlee The Musical)
Lagu Di Manakan Ku Cari Ganti versi Hafiz adalah yang terbaik darinya minggu ini. Saya kagum dengan persembahan yang ditampilkan oleh Hafiz, baik dari elemen lakonannya dan nyanyiannya. Dua elemen itu lengkap menjadikan persembahan Hafiz adalah persembahan paling cemerlang.
Menuju Puncak
Penyingkiran Claudia & Aishah

AFMASUK
Pengumuman AFMASUK tidak begitu mengejutkan kerana isu tersebut digembar-gemburkan minggu ini. Namun saya agak terkilan apabila mekanisme AFMASUK tidak diumumkan dengan teliti sebaliknya menimbulkan keraguan. Saya harus menyokong atas satu sebab tertentu yang tidak perlu saya nyatakan di sini, namun saya juga tidak menyokong pelaksanaannya.
Saya hanya menyokong AFMASUK sekiranya kemasukan semula pelajar yang tersingkir tidak terlibat dalam pertandingan ini lagi. Pelajar AFMASUk hanya dibenarkan membuat persembahan untuk memberikan nilai tambah kepada persembahan pelajar di Konsert Kemuncak. Cukup, itu saja. Pelajar AFMASUK diberikan peluang untuk belajar lagi selama satu minggu, diberikan lagu tugasan, lagu lama dan lagu baru dan mendapat keistimewaan yang sama diterima oleh Finalis sebenar.
Saingan akan wujud di kalangan mereka sekiranya Finalis akan merasa tercabar sekiranya pelajar AFMASUK memberikan persembahan yang lebih baik daripada Finalis sebenar di Konsert Kemuncak kelak. Namun mungkin ada yang melihatnya adalah tidak adil kepada pengundi AFMASUK yang bertungkus-lumus mengundi untuk memasukkan pelajar kesayangan mereka. Undian SMS juga akan kurang untuk satu Finalis yang tidak menerima undian hanya kerana membuat penampilan istimewa dan tidak turut bertanding.
Berbalik kepada mekanisme AFMASUK, bilakah ianya akan bermula. Hari Isnin ? Hingga hari apa ? Hari Sabtu ? Jadi bagaimana dengan persembahan pelajar di Konsert 9 ? Apakah ada penyingkiran Sabtu ini ? Sekiranya ada penyingkiran, bagaimana dengan peluang pelajar tersebut untuk diAFMASUKkan ? Tentu sekali tiada dan ini AMAT TIDAK adil untuk pelajar tersebut kerana tidak berpeluang dimasukkan semula.
Cadangan saya cuma satu. Tiada penyingkiran di Konsert 9 Sabtu ini. Empat pelajar yang tinggal sudah pun menjadi Finalis di Konsert Kemuncak AF7. Undian masih masuk dan tidak ditutup Sabtu ini. Keputusan AFMASUK diumumkan Sabtu ini dan undian untuk Finalis ini baru saja bermula. Jika peminat pelajar AFMASUK mempunyai semangat kental untuk mengejar, silakan.
Ia merupakan gabungan antara idea AFMASUK di AF2 dan AF4. Tetapi kalau mahu lebih ADIL, pelajar AFMASUK hanya muncul buat persembahan dan diberikan keistimewaan yang sama dengan Finalis. Itu ADIL bagi saya.
Jika minggu ini merupakan minggu teater muzikal, maka lakonan juga diberikan tumpuan pada Tenaga Pengajar dan Produksi sendiri. Nampaknya pelajar lebih baik berlakon dari tenaga Produksi.
Pilihan Transformasi sultanmuzaffar
Hafiz - Di Manakan Ku Cari Ganti (P.Ramlee The Musical)
Aishah - Slot Akasia (Impak Maksima The Musical)
Isma - Mulanya Cinta (P.Ramlee The Musical)
Akim - Titah Sultan (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Yazid - Ratu Novella (Impak Maksima The Musical)
What Time Is It (High School Musical)
Claudia - Katakan (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Dewa Perang (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Kedudukan pelajar sebelum undian ditutup:
PELAJAR dan PERATUSAN (%)
YAZID – 29
ISMA - 27
HAFIZ – 15
AKIM – 10
AISHAH – 9
CLAUDIA – 9
Kedudukan pelajar selepas undian ditutup:
PELAJAR dan PERATUSAN (%)
YAZID – 22
HAFIZ – 21
ISMA - 20
AKIM – 14
AISHAH – 13
CLAUDIA – 11
Jom Ke Gala TV



Blog Lain :
BadrulAfterSix





































