Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Bermula Dengan Satu Persoalan Yang Mustahil

Apa yang akan jadi bila boss bergabung dalam satu misi digital dengan satu watak animasi untuk meraikan Hari Guru? 

Soalan itu berlegar-legar di fikiran saya pada suatu petang, seolah-olah ia satu idea gila yang mustahil menjadi kenyataan. Ketika persoalan tadi dilontarkan, kami di Pejabat Perdana Menteri saling berpandangan antara satu sama lain. Mustahil? Mungkin. Tetapi entah kenapa, hati saya kuat mengatakan: Kenapa tidak?

Persoalan itu menjadi titik mula kepada sebuah kolaborasi komunikasi paling unik dalam sejarah apabila menyatukan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dengan Ejen Ali dan rakan-rakannya dalam sebuah video ucapan sempena Hari Guru tahun ini. Bukan sekadar penghargaan biasa, malah ia menjadi contoh berani untuk satu rangka strategi komunikasi hibrid di era digital Malaysia MADANI. 

Projek ini adalah sinergi luar biasa di antara Pejabat Perdana Menteri (PMO), WAU Animation dan Primeworks Studios. Dan saya sendiri selaku Tok Dalang Digital & Media Sosial di Rangkaian Televisyen Media Prima yang saling berbahagi masa, berkongsi tugas di antara dua pejabat ini berada di tengah-tengah usaha mustahil ini, menyaksikan setiap detik transformasinya menjadi realiti.

November 2024, Detik Tercetusnya Misi

Segalanya bermula dalam satu perbincangan santai di Sri Pentas sekitar November 2024 bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Nini Yusof. Perbincangan kami berlegar mengenai strategi pemasaran digital untuk Ejen Ali The Movie 2 yang bakal ditayangkan pada bulan Mei tahun 2025. Fikiran kami masih hangat mengocak idea apabila soalan utama yang mencetuskan ilham gila tadi terbit secara spontan: 

“Bagaimana kita boleh menjadikan Ejen Ali lebih segar dan bermakna dalam dunia digital hari ini, selain mengangkat watak itu dekat dengan penonton pasaran massa?”

Terdiam seketika mendengar soalan itu namun dalam kepala, seakan ada mentol menyala. Lalu saya lontarkan idea itu kepada pasukan kecil kami. 

“Apa kata kalau kita gabungkan Perdana Menteri dengan animasi 3D Ejen Ali, dalam satu video ucapan Hari Guru.”

Sudah menjadi kebiasaan yang mana Hari Guru akan disambut pada 16 Mei setiap tahun manakala filem Ejen Ali pula bakal ditayangkan pada 22 Mei, jarak antara kedua-duanya tidak jauh. Terkaku seketika bilik mesyuarat. Bukan gurauan semata dan sejujurnya, saya sendiri pun rasa idea tersebut agak gerila dengan elemen hijack..

Ia bukan strategi promosi untuk sebuah filem animasi semata-mata, tetapi ia boleh menjadi satu public service announcement (PSA) yang berimpak tinggi apabila disiarkan secara meluas di semua platform media massa. Kami bayangkan sebuah ucapan rasmi dengan pendekatan transmedia di mana dunia sebenar dan dunia animasi bertemu dalam satu skrin. Watak Ejen Ali sudah lama dikenali sebagai simbol kepintaran generasi muda, menjunjung nilai kekeluargaan dengan mengekalkan semangat nasionalismenya. 

Menggabungkan Ejen Ali dengan pemimpin nombor satu negara dalam satu misi bersama meraikan guru-guru Malaysia dilihat sebagai satu peluang komunikasi strategik yang luar biasa. Idea penyatuan mula digarap dalam satu naratif patriotik, tidak lagi sebagai bahan promosi filem biasa, tetapi sebagai sebuah pesanan rasmi yang menggabungkan nilai MADANI berteraskan ihsan, modal insan, hormat, dan kehebatan berdaya cipta.

Disember 2024, Misi Mendapatkan Kata Putus Kepimpinan

Keterujaan kami terpancar di meja mesyuarat itu, apabila idea “misi mustahil” kami mula bertunas menjadi satu perancangan sulit yang akan diusahakan sampai jadi. Namun, membawa satu idea kreatif ke meja kepimpinan kerajaan bukan satu kerja mudah. Dalam dunia komunikasi strategik kerajaan, setiap cadangan perlu melalui penilaian berlapis pihak atasan: dari segi impak, sensitiviti, serta kesesuaiannya dengan agenda nasional.

“Apakah mereka akan menerima idea menggabungkan seorang figura rasmi negara dengan watak kartun?” Rasa gementar itu nyata.

Kami mula menyediakan deck pembentangan komprehensif kepada Setiausaha Akhbar Kanan YAB Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah. Setiap perincian strategi naratif, objektif komunikasi, dan analisis impak terhadap nilai-nilai MADANI kami teliti. Kami turut menjelaskan bagaimana kolaborasi bersama Ejen Ali ini dapat menyokong agenda memperkasa pendidikan, menjadikan mesej Perdana Menteri lebih mesra dan berkesan untuk generasi muda. Slide demi slide, hari-hari kami diwarnai data dan visual – mencuba sehabis baik untuk meyakinkan bahawa idea ini bukan suka-suka, tetapi berasas kukuh.

Pembentangan pertama diadakan di hadapan pasukan Media dan Komunikasi Strategik PMO pada Disember 2024. Satu persatu soalan diajukan; tentang risiko projek, tentang penerimaan rakyat, tentang nada dan imej Perdana Menteri nanti. Saya menjawab sehabis baik, bersandarkan kajian dan insight media yang kami ada. 

Beberapa sesi penilaian dan perbincangan berlangsung sepanjang Disember hingga awal Januari. Sedikit demi sedikit, tembok keraguan mula roboh. Dalam satu pertemuan di Putrajaya awal Januari 2025, YAB Perdana Menteri mendengar dengan teliti cadangan kami. Beliau meneliti setiap helaian kertas konsep di tangannya. Adakah beliau akan tersenyum sinis? Marah? Atau...?

“Jika ini boleh menyemai inspirasi dan kasih pada guru, kita teruskan.” 

Ayat ringkas beliau itu ibarat bahan bakar yang menghidupkan semangat kami terhadap potensi projek ini sebagai aset komunikasi nasional. Saya tidak sabar untuk mengkhabarkan kepada pasukan di WAU Animation dan Primeworks Studios.

Misi mustahil kita baru sahaja mendapat lampu hijau!”

Februari 2025, Mencari Titik Tengah Suara PM Dengan Ejen Ali

Cabaran terbesar menanti; iaitu menghasilkan skrip yang terbaik. Tugasan penulisan skrip dan pemetaan naratif diserahkan kepada pasukan kami sekitar bulan Februari 2025. Kalau diikutkan, inilah fasa paling kreatif tetapi paling mencabar. Di fasa inilah segala idea perlu disusun menjadi jalan cerita yang padu.

Cabaran utamanya adalah mencipta keseimbangan antara tone of voice seorang Perdana Menteri dengan karakter animasi Ejen Ali. Bagaimana memastikan kata-kata seorang Perdana Menteri kekal berwibawa dan penuh makna, namun tetap mesra di telinga kanak-kanak dan remaja? Skrip ini perlu menyampaikan amanat yang mendalam tentang jasa guru, tetapi dengan gaya bersahaja dan menghiburkan.

Bagi saya, skrip bukan sekadar deretan kata di atas kertas – ia adalah jantung kepada naratif video ini. Kami ingin menampilkan sisi PMX dalam dimensi yang segar, bukan hanya sebagai pemimpin negara, tetapi juga sebagai insan yang pernah diasuh oleh guru dan menyanjung tinggi peranan pendidik. Pendekatan naratif dwi-tone kami garapkan: suara PMX yang tegas, penuh iltizam dan hikmah, diselang-seli dengan suara Ejen Ali yang ceria, bersemangat, dan kadang-kadang nakal mengusik. Gabungan dua nada ini diharap dapat menyampaikan mesej yang mendalam sambil menyentuh emosi khalayak pelbagai usia – dari murid sekolah hinggalah datuk nenek mereka.

Proses penulisan skrip menjadi sesi brainstorming yang interaktif. Di meja bulat pejabat, kami bertukar cadangan dialog dan jalan cerita. Matlamatnya, rentak dialog PMX dan Ejen Ali mesti selari dan transisi naratifnya lancar. Setiap patah perkataan perlu kekal relevan dan berjiwa, tanpa kehilangan roh asal penghargaan kepada guru dan cinta akan negara.

“Kalau ada idea luar biasa, jangan takut suarakan.” Kenangan itu mengukuhkan lagi tekad saya untuk memastikan skrip ini berjaya menyampaikan sesuatu yang luar biasa. Malah, saya menyelitkan sedikit kenakalan dalam skrip – adegan Ejen Ali mengusik Puan Munah dengan jenaka ringan sebagai selingan humor, seolah-olah menggambarkan hubungan mesra guru dan murid. Apabila draf akhir skrip siap, ia bagaikan satu helaan nafas lega yang panjang. Kami yakin, kami sudah bersedia membawa kisah ini ke set penggambaran.

Mac 2025, Pra-Produksi & Penyelarasan Teknikal

Masuk bulan Mac 2025, tibalah fasa pra-produksi dan penyelarasan teknikal. Fasa ini barangkali kurang glamor di mata umum, tetapi di sinilah tulang belakang projek dibina. Bayangkan, segala persiapan perlu disempurnakan sebelum penggambaran dimulakan.

Senarai tugas pra-produksi kami amat terperinci. Dari pembangunan storyboard teknikal melukiskan adegan demi adegan, mendapatkan jadual penggambaran yang mengikut slot masa terhad YAB PM, perancangan wardrobe (baju apa yang sesuai untuk PMX pakai agar tampak santai tetapi tetap berwibawa), hinggalah perincian teknikal, dan protokol keselamatan di Pejabat Perdana Menteri semuanya perlu disusun rapi. Saya sedar, komunikasi adalah kunci utama agar semua pihak berada pada frekuensi yang sama.

Tiga pasukan utama — PMO, Primeworks Studios dan WAU Animation — bergabung tenaga bak satu keluarga besar. Mesyuarat penyelarasan antara ketiga-tiga pihak ini diadakan dan saya masih ingat satu mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri: saya bersama Sadiq Asyraf pengurus visual PMO duduk berhadapan dengan tim kreatif WAU, dan pasukan dari Rangkaian Televisyen Media Prima menjadi orang tengah yang menjembatani kedua-dua pihak. Suasana mesyuarat sangat konstruktif dan terbuka. Pelbagai idea dan persoalan dilontarkan, dan semuanya dilayan dengan serius oleh PMO. Mereka sendiri banyak bertanya, tanda benar-benar mahu memahami visi kreatif kami. Inilah kolaborasi sebenar – saling mempercayai dan menghargai kepakaran masing-masing.

Kami tahu, untuk meyakinkan semua (termasuk PMX sendiri), lebih baik kami tunjukkan secara visual bagaimana konsep ini bakal terhasil. Pasukan WAU menyediakan pre-visualization visual kasar gabungan gambar PM dan karakter Ejen Ali untuk memberi gambaran awal. Video mock-up ini kemudiannya ditunjukkan kepada YAB PM supaya beliau boleh membayangkan proses dan hasil akhir rakamannya nanti.

Menjelang hujung Mac, segala persiapan fizikal untuk hari penggambaran dimuktamadkan. Sehari sebelum tarikh rakaman, pasukan teknikal kami sudah pun berada di Pejabat Perdana Menteri. Bayangkan ruang rasmi di Aras 6 bertukar rupa menjadi set studio mini: green screen besar dipasang di sudut bilik, lampu-lampu berdiri tegak memancarkan cahaya, kamera dan kabel disusun kemas supaya tidak mengganggu laluan kakitangan PMO. Pasukan rakaman dari pasukan Digital dan Media Sosial Rangkaian Televisyen Media Prima mengetuai persiapan peralatan, dibantu kru WAU Animation yang memastikan aspek berkaitan teknikal animasi (seperti penanda atau rujukan posisi karakter animasi) disediakan secukupnya. Malam itu kami pulang lewat, penat tetapi semakin teruja; esok adalah hari penentuan.

28 Mac 2025, 15 Minit Untuk Mengubah Segalanya

Hari yang dinanti akhirnya tiba. 28 Mac 2025, pagi Jumaat yang tenang di Putrajaya. Namun bagi kami, debaran terasa kencang. Inilah hari penggambaran, fasa paling kritikal dalam keseluruhan misi ini. Kami cuma ada satu peluang untuk melakukannya dengan betul – tiada ruang untuk melakukan kesilapan.

Mengikut perancangan awal, kami sepatutnya diberi masa satu jam bersama YAB PM untuk sesi rakaman ini. Namun takdir menguji: pada saat-saat akhir, atas kekangan jadual Perdana Menteri yang sangat padat, slot rakaman kami dipendekkan menjadi hanya 15 minit. Ya, 15 minit sahaja! Kami tergamam seketika mendengar berita itu. 

Ini barulah benar-benar misi mustahil,” bisik hati kecil saya.

Namun tiada pilihan, kami perlu beraksi. Pasukan teknikal dari Media Prima dan WAU Animation harus menelan hakikat tersebut, namun kekal bersemangat untuk melaksanakannya dalam satu take sahaja. Dalam waktu-waktu yang sebegini, hanya kerjasama erat antara pasukan komunikasi PMO, juruvideo Media Prima dan pasukan produksi WAU yang akan memastikan rakaman berjalan lancar, tepat waktu dan mematuhi semua protokol.

Seawal 8 pagi, kami sudah bersiap sedia di lokasi. Set green screen telah siap dipasang, dengan pencahayaan diposisikan sempurna. Beberapa kru terakhir mundar-mandir memastikan sudut pencahayaan tepat, kamera fokus, dan mikrofon berfungsi sempurna. Saya sendiri memeriksa teleprompter berulang kali, memastikan teks ucapan yang tertera tidak terlalu padat dan mudah diikuti oleh PMX dalam sekali baca. Kami menyusun skrip di teleprompter dengan jeda yang sesuai supaya intonasi beliau nanti kedengaran tulus dan bersahaja, tidak kaku seperti membaca. Di sisi kamera, sebuah monitor menayangkan wajah Ejen Ali dan Ejen Alicia sebagai panduan arah pandangan mata untuk YAB PM.

Tepat pada jam yang dijanjikan, YAB PM tiba di ruang penggambaran yang kami atur di pejabat beliau. Beliau melangkah masuk dengan tenang, mengenakan baju Melayu lengkap bersamping bersesuaian dengan hari Jumaat. Turut hadir menyambut beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Nini Yusof serta Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia Dato’ Effendi Omar.

“Siapa punya idea ni?” ujar PMX dalam nada jenaka santai.

Mereka bersalaman mesra dan memperkenalkan diri. Walaupun suasana masih sedikit formal, terselit keterujaan pada raut wajah pihak pengurusan kami dan bahagian media — maklumlah, bukan selalu pemimpin nombor satu negara perlu beraksi dalam lakon untuk sebuah projek video kreatif yang sebegini.

Sebelum penggambaran bermula, kami memberikan taklimat ringkas kepada PMX tentang apa yang bakal berlangsung. Pengarah penggambaran dari WAU Animation melangkah ke hadapan, menjelaskan secara ringkas apa yang perlu beliau lakukan: 

“Dato’ Seri, nanti sampaikan ucapan seperti biasa, sesekali perlu pandang skrin di sebelah kiri dan kanan sebagai rujukan posisi Ejen Ali (mengikut ketinggian asal). Bab animasi, kami akan gabungkan kemudian dalam video.” Beliau mendengar sambil mengangguk faham. Suasana penerangan berlaku sangat santai sambil beliau dipertontonkan dengan trailer rasmi Ejen Ali The Movie 2 di monitor sebagai selingan. Menonton adegan animasi aksi Ejen Ali, beliau tersenyum kagum melihat kemajuan animasi tempatan.

Masa terus berdetik. 15 minit yang diperuntukkan itu amat berharga, jadi kami harus mula segera. “Roll camera… action!” Pengarah memberi isyarat mula. PMX pun memulakan ucapan beliau dengan lantang; suaranya jelas dan berkarisma seperti biasa. Kata-kata beliau tersusun indah, mengucapkan terima kasih kepada para guru, mengiktiraf jasa mereka dalam membentuk masa depan negara.

Kemudian beliau berhenti sejenak, berpura-pura seakan mendengar respon daripada Ejen Ali yang sebenarnya “berdiri” di sebelahnya. (Sudah tentu, watak animasi itu belum wujud secara fizikal di situ, namun kami semua seolah dapat membayangkan kehadirannya di ruang kosong itu.) PMX mengangguk kecil sambil tersenyum, seolah-olah mengiyakan celoteh Ejen Ali yang hanya beliau sendiri “dengar”, sebelum meneruskan ucapannya kembali.

Adegan itu terasa agak magis. Melihat seorang Perdana Menteri beraksi seolah-olah berbual dengan sahabat animasi halimunan di sisinya – sungguh di luar kebiasaan. Saya menahan rasa cemas bercampur teruja. Kru di belakang kamera pula berdiri tegak tidak berganjak, menahan nafas agar tidak mengganggu rakaman.

Dalam sekelip mata, ucapan selesai disampaikan. “Cut! Good take,” ujar pengarah rakaman. Saya melihat jam — lebih kurang 5 minit sahaja diambil. PMX telah melakukannya dalam satu take yang boleh dikatakan agak sempurna! Walaupun ada cubaan berani produksi yang inginkan satu lagi take, namun cepat dipintas PMX, “Cukuplah satu!”. Akhirnya jurukamera di belakang mengangkat ibu jari tanda kerja kami selesai. Saya sendiri mengukir senyum tidak percaya. Selama ini saya tahu Dato’ Seri Anwar memang orator ulung, tetapi melihat beliau cuba menyesuaikan diri berlakon dengan “rakan” halimunan di set tadi benar-benar mengejutkan. Beliau memberikan komitmen luar biasa meskipun bukan mudah untuk berbicara tanpa dapat melihat individu di sebelah beliau.


Sebaik selesai, sebelum beredar PMX sempat menepuk bahu beberapa orang daripada pasukan kami sambil mengucapkan terima kasih. Kata beliau ringkas, 

Kerja yang bagus. Nanti saya nak tengok hasilnya.” 

Kami mengangguk hormat mendengar penghargaan itu. Usai PMX berlalu keluar, suasana di set bertukar ceria. Dalam hati saya panjatkan syukur – fasa paling mendebarkan telah berjaya dilalui dengan cemerlang.

April 2025, Pos-Produksi Video & Integrasi Animasi

Kini tibalah giliran pasukan WAU Animation pula melakukan sihir mereka. Sepanjang April 2025, fasa pos-produksi video dan integrasi animasi mungkin merupakan ujian terbesar bagi pasukan tersebut. Menggabungkan dunia realiti dari rakaman PMX dengan dunia animasi Ejen Ali ke dalam sebuah video komunikasi rasmi kerajaan – setahu kami belum pernah dibuat sebelum ini di Malaysia. Beban untuk memastikan hasil akhirnya kelihatan meyakinkan terpikul di bahu pasukan WAU, manakala kami di Media Prima dan PMO terus memantau dan memberikan sokongan dari belakang.

Sejurus menerima rakaman mentah video PMX, pasukan WAU terus memulakan kerja-kerja integrasi. Di studio animasi WAU di Cyberjaya, para animator tekun di hadapan skrin komputer, menjalankan perisian canggih seperti Autodesk Maya dan Adobe After Effects. Komputer GPU GeForce RTX 40-50-series kedengaran berdesing, proses rendering dijalankan berulang-ulang kali. Pada skrin, kelihatan figura PMX berdiri di latar key-out, menanti untuk 'dimasyhurkan' ke dalam dunia Ejen Ali.

Kerja-kerja ini menuntut ketelitian tertinggi. Setiap perincian visual perlu digabungkan dengan sempurna – daripada gerak mata PMX yang mesti kelihatan benar-benar menatap Ejen Ali, kepada bayang-bayang dan pencahayaan pada tubuh PMX yang perlu diselaraskan dengan persekitaran animasi, hinggalah gestur tangan dan mimik wajah yang mesti selari dengan interaksi maya yang bakal terhasil. Pendek kata, setiap detik babak ini dianalisa frame by frame. Dari sudut teknikal, bayangan dan pencahayaan adalah aspek paling rumit; semuanya mesti nampak semula jadi dan seimbang. Dari segi sinematik pula, peralihan adegan dan timing dialog di antara PMX dan watak animasi perlu mengikut ritma emosi skrip. Dari aspek audio, rentak keseluruhan video mesti diselaraskan momentumnya agar video tidak kedengaan monotonous sekaligus mampu membangkitkan semangat.

Kami menonton draf video berulang kali. Pasukan WAU amat terbuka menerima input, malah mereka sebagai pakar turut menerangkan kepada saya mengapa sesuatu elemen digarap sedemikian rupa. Jujurnya, saya sendiri banyak belajar tentang seni animasi sepanjang proses ini – satu ilmu di luar bidang kebiasaan saya.

Pasukan Media & Komunikasi Strategik PMO turut teliti memeriksa kandungan dan memberi maklum balas. Mereka memastikan nada ucapan PMX tidak lari makna apabila dicantum dengan elemen animasi, dan mesej nasional yang ingin disampaikan kekal jelas. Fokus kami bukan sekadar menghasilkan video yang cantik, tetapi juga memastikan impaknya kuat dari segi emosi. Interaksi PM bersama Ejen Ali perlu mampu membuat penonton tersenyum, terharu, dan bersemangat patriotik – merasai penghargaan kepada guru dan cinta kepada negara serentak.

Terus terang, fasa ini memang memenatkan. Namun, fasa inilah yang paling memberikan kepuasan. Sedikit demi sedikit, melihat dua dunia itu bersatu di skrin ibarat menyaksikan impian menjadi nyata. Saya masih ingat kali pertama kami menayangkan versi hampir siap kepada beberapa rakan sekerja di Media Prima: mereka kagum melihat PMX seolah-olah berbicara santai dengan watak Ejen Ali yang berdiri tegak di sebelahnya. “Nampak real!” ujar mereka.

16 Mei Hari Guru, Misi Pelancaran



Akhirnya, selepas berbulan-bulan menanggung rahsia projek istimewa ini, tibalah tarikh 16 Mei 2025 hari pelancaran video yang dinanti-nantikan. Pagi itu, kami di Pejabat Perdana Menteri dan di Media Prima, masing-masing terasa berdebar menunggu detik tayangan. Video ucapan Hari Guru kolaborasi Ejen Anwar dan Ejen Ali ini dilancarkan serentak di platform rasmi media sosial YAB Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Media Prima Berhad dan TV3, platform penstriman tonton, serta akaun rasmi Ejen Ali. Boleh dikatakan, kolaborasi rentas platform yang menyeluruh – tepat dengan semangat transmedia yang kami perjuangkan sejak awal.

Untuk kempen “Jualan Awal Tiket Ejen Ali”, kami selitkan CTA interaktif bagi menggandakan keterujaan khalayak. Dalam kapsyen pelancaran kami titipkan mesej:

“Misi Jualan Awal Tiket Ejen Ali The Movie 2 kini bermula! Tugas anda: serbu pawagam terdekat dan jadi perisik terawal yang menonton. Kongsikan video ucapan ini dengan tanda pagar #EATM2 dan #SetiapPendidikSeorangSatria – siapa tahu, anda antara yang terawal menonton filem aksi animasi terhebat pada 20 Mei depan!”

Kutipan tayangan awal ini bakal menjadi penanda aras gelombang sambutan yang akan memuncak menjelang tayangan rasmi pada 22 Mei. Strategi “serbu awal” bukan sahaja mencetus rasa FOMO dan mendesak penonton ke pawagam secepat mungkin, malah memacu momentum promosi mulut ke mulut yang berterusan.

Petang 16 Mei itu, saya melangkah keluar dari pejabat Putrajaya dengan perasaan lega, bangga, terharu – semuanya bercampur aduk di dada. Yang penting, “misi mustahil” kami telah berjaya dilaksanakan. Esok lusa mungkin banyak lagi berita tentang reaksi para guru dan masyarakat akan menyusul. Paparan terkini di Meltwater sebentar tadi menunjukkan video ucapan Hari Guru melonjak ke hampir 200 juta capaian digital, sentimen positif mendominasi, dan kadar perkongsian turut mencatat peningkatan. Reaksi guru-guru serta warganet sudah mula bergema di semua platform; esok pasti lebih meriah. Malam ini, cukuplah saya pulang dengan hati tenang—angka-angka itu sudah membuktikan segalanya.

Refleksi Peribadi & Visi Masa Depan

Menguruskan projek ini adalah satu pengalaman berlapis bagi saya — di antara harapan, cabaran dan semangat kolektif. Dari detik idea tercetus kepada proses meyakinkan pucuk pimpinan di Putrajaya, hinggalah saat mendebarkan menunggu reaksi khalayak di seluruh negara, ia benar-benar sebuah perjalanan roller-coaster. Projek ini ternyata bukan hanya tentang menghasilkan satu video ucapan Hari Guru. Ia adalah pelajaran besar tentang kuasa kolaborasi dan keberanian mencuba pendekatan baharu, serta betapa pentingnya komunikasi yang menyentuh hati dalam dunia kepimpinan hari ini.

Saya sedar, apa yang kami hasilkan ini mungkin tampak kecil dalam skala nasional yang luas. Namun bagi kami yang mengharunginya, projek ini bukan sekadar produk komunikasi, tetapi manifestasi keberanian dan kepercayaan. Berani merobohkan zon selesa komunikasi kerajaan yang sering dilihat formal dan kaku. Percaya bahawa di sebalik protokol rasmi, para pemimpin juga mampu berkomunikasi secara kreatif dan lebih manusiawi tanpa menjejaskan rasa hormat atau integriti.

Saya percaya inilah bentuk komunikasi masa depan yang patut kita terokai – komunikasi transmedia yang melibatkan pelbagai medium dan dimensi, menggabungkan animasi, pemimpin dan rakyat dalam satu ruang naratif yang saling memperkasa. Teknologi sentiasa berubah, generasi muda mahukan sesuatu yang asli dan dekat di hati mereka. Maka, kita yang bertanggungjawab menyampaikan mesej juga perlu berani mengubah cara.

Sebagai penutup, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di Malaysia. Projek video ini terbit daripada rasa penghargaan yang tidak terhingga atas jasa anda semua. Benarlah kata orang, “Setiap pendidik adalah seorang satria” – wira yang tidak didendang. Dalam dunia digital masa kini sekalipun, guru adalah ejen perubahan paling berkuasa kerana merekalah yang membentuk generasi pencorak masa depan. Terima kasih, cikgu!

—----------------------------------------------------

Muzaffar Mustapa ialah Ketua Pemasaran Digital dan Media Sosial di Rangkaian Televisyen Media Prima sejak 2021 dan sesekali akan bertandang ke Putrajaya bagi melaksanakan tanggungjawab sampingannya membantu di belakang tabir merangka naratif digital dan media sosial pemimpin negara, bersama Pejabat Perdana Menteri dan Malaysia MADANI.


GENKRU: Lagu-Lagu Yang Menyimpan Kita Dalam-Dalam

Entri oleh sultanmuzaffar 11 May 2025 0 komen


  

Saya menunggu sejak 2002—menunggu malam di mana muzik yang pernah menjaga hati remaja saya, akan kembali menyala hidup-hidup di depan mata. Dulu, saya dengar “Awas!” dalam gelap bilik asrama, telinga rapat ke speaker Walkman, takut warden dengar. Sekarang, saya tunggu ia dilaungkan dalam gempita arena raksasa.

Dan malam itu, saya bukan sekadar hadir untuk konsert GenKRU. Saya datang untuk bertemu semula dengan versi lama diri saya yang tertinggal di antara pita kaset dan kenangan yang tidak selesai.

DIRI YANG DIBUKA SEMULA


Saya tiba di Axiata Arena dengan sekeping tiket yang akhirnya bertukar ganti dengan peluang untuk menyaksikan Norman, Yusry dan Edry, trio tiga beradik itu beraksi. Tiket itu seperti jaminan bahawa apa yang pernah saya simpan dalam ingatan...mungkin, hanya mungkin akan dihidupkan semula malam itu.


Arena sudah bergetar dengan sorakan yang lebih gemuruh daripada bunyi subwoofer. Barisan hadapan dipenuhi Gen X, sebahagian besar di kalangan mereka masih memakai baju grafik lama “AWAS!” yang hurufnya sudah pudar, ada juga yang sudah berkacamata baca tetapi tetap melompat-lompat seolah-olah esok tiada mesyuarat jabatan. 


Di celah-celah ribuan manusia, saya ternampak remaja Gen Z, membayangkan dalam minda mereka tertanya-tanya kenapa ibu dan ayah mereka tiba-tiba menjadi terlalu hiperaktif. Aneh; suasana sebesar ini terasa sangat peribadi seperti di ruang rehat Kolej 2 dua puluh lima tahun lalu, di mana kaset Canggih berputar tanpa henti.


Penonton berpusu-pusu. Semua itu, entah kenapa, terasa seperti sebahagian daripada ritual. Sebahagian daripada upacara pulang ke zaman yang kita tinggalkan dengan tergesa-gesa dahulu, zaman di mana baju jersey baggy adalah uniform tidak rasmi remaja yang hanya mahu menari, mahu memberontak, dan mahu difahami.

Lagu-lagu seperti “Fanatik”, “Negatif”, “Awas!”—bukan hanya muzik. Ia semacam bau bilik tidur lama, semacam sentuhan cadar lama yang mengingatkan kita pada sekelumit kenangan di kala remaja kita sebelum kita tahu apa itu dewasa.

Dan saya sedar yang malam itu bukan sekadar ‘reunion’. Ia pengakuan. Bahawa di sebalik segala pencapaian dan kegagalan hidup remaja, ada sebahagian jiwa yang kita tinggalkan di sana, bersama KRU. Dan malam ini, sebahagian jiwa itu akhirnya pulang. Atau mungkin lebih tepat, sesuatu yang saya perlukan tetapi tidak tahu saya perlukan.



KRU: SEBELUM MEREKA JADI KRU


Kita perlu jujur. Sebelum KRU menjadi legenda, mereka adalah percubaan. Tiga beradik dari Kuala Lumpur yang pada satu ketika, dianggap terlalu “Barat”, terlalu “futuristik”, terlalu “asing” untuk industri yang masih selesa dengan gerak balada dan nada rock & blues malam Sabtu.


Kemunculan KRU seperti panahan elektrik. Bunyi synth mereka tajam, seolah-olah diangkut terus dari orbit masa depan. Gaya rambut, jaket kulit, lirik rap Melayu—semuanya janggal.


Tapi mereka masuk juga. 


Dengan synth yang mendahului zaman. Dengan visual yang kelihatan seperti keluar dari skrin MTV ketika kita masih terperangkap dalam era karaoke. Dan dengan lirik, yang kadang sederhana, kadang-kadang mendalam, tetapi selalunya tepat pada waktunya.


Bila mereka menyanyikan “Awas!” untuk pertama kali, bukan sahaja industri terkejut. Kita pun sebenarnya ternganga. Ini bunyi apa? Ini fesyen apa? Tapi tak sempat pun nak menilai panjang, sebab kaki dah bergerak mengikut beat. Lirik dah lekat di lidah. Dan sebelum kita sedar, KRU bukan sahaja diterima. Mereka ditunggu.

KRU bukan hanya muzik. Mereka perkenalkan cara baru untuk mendengar, melihat, dan merasa. Mereka ubah pentas jadi panggung sci-fi, dan konsert jadi pertunjukan masa depan. Bagi remaja zaman itu, termasuk saya sendiri, mereka bukan sekadar penyanyi. Mereka adalah pintu keluar dari dunia yang bosan.

Dan dari situlah legenda bermula.

Gen X: YANG DULU BERSUARA, KINI MENDENGAR SEMULA


Malam GenKRU terasa seperti perjumpaan semula dengan bahagian diri yang kita telah simpan diam-diam. Penonton malam itu kebanyakannya Gen X—ya, yang kini sudah ada uban atau separuh botak. Tapi malam itu, tidak ada siapa yang tua. Tidak ada siapa yang malu. Tak ada siapa yang peduli siapa CEO, siapa cikgu, siapa dah pencen. Yang penting, siapa yang masih hafal rap “Fanatik” tanpa tercungap.


Yang ada hanya getaran suara menyanyi bersama, tangan yang terangkat secara refleks dan mata yang sedikit berair bila “Mengerti” dimainkan. Lagu itu, entah kenapa lebih menyakitkan sekarang berbanding dulu. 


Saya tak sangka lagu itu akan menyentuh sekuat itu. Dulu saya dengar tanpa memahami. Kini saya dengar dan terasa luka. Mungkin sebab saya akhirnya tahu maksud kehilangan. Maksud sebenar ‘mengerti’. Bahawa tidak semua yang kita cintai akan kekal bersama kita. Dan tak semua maaf akan sempat diucapkan.


Ketika “Awas” menyusul, ramai yang bertepuk dua kali pada tepat rentak 2-dan-4 bergabung gerakan refleks otot yang tidak pernah hilang. Ada momen saya terhenti, berfikir; adakah kita benar-benar patut menikmati semula masa lampau ini? Mungkin ya, atau mungkin kita sekadar mahu lari dari dunia TikTok yang hiper-pantas. Tetapi apabila korus “Awas! Awas! Awas! Gerak langkahmu” memecah udara, rasa bersalah itu lenyap. Saya akhirnya faham—nostalgia bukan pelarian. Ia bukan barang murahan. Ia cermin. Ia jambatan. Ia cara kita berdamai dengan siapa kita dulu dan siapa kita hari ini. 


LAGU KITA KINI MILIK MEREKA

Saya ternampak seorang remaja—mungkin belasan tahun—mengangkat telefon, merakam video. Di sebelahnya, ayahnya menjerit baris rap yang sudah dihafal tiga dekad lalu. Anak itu ikut menyanyi. Perlahan, tapi tepat.

Lagu itu dulunya milik saya. Milik kami. Milik mereka yang mengikat kepala dengan bandana, menconteng nama kumpulan pada beg sekolah, menyembunyikan kaset dari cikgu disiplin. Tapi malam ini, saya sedar… lagu itu bukan lagi milik kami sepenuhnya. Ia sudah mula bergerak. Meninggalkan kami dengan perlahan. Mencari rumah baru.

Dan saya tak cemburu.

Saya tersenyum. Sebab apa yang dulu janggal kini diterima. Apa yang dulu diketawakan kini dirakam, diulang, dipaut oleh generasi yang tak pernah kenal era pita kaset dan Walkman. Mereka tak perlu faham semua. Cukup mereka rasa. Cukup mereka percaya. Lagu-lagu itu akan jaga mereka, seperti lagu itu pernah jaga kami.

EMPAYAR KRU - DI BALIK LAGU

Di belakang setiap lagu, ada mesin. KRU bina mesin itu.

Mereka tak berhenti di pentas. Mereka buka studio. Tubuhkan label. Bina empayar kandungan sebelum orang tahu apa itu ‘IP’. Dari sudut Jalan Keramat, mereka rakam suara. Dari CGI studio kecil, mereka cipta Cicakman. Dari peluh produksi, lahirlah Hikayat Merong Mahawangsa. Mereka bukan sekadar buat lagu—mereka cipta dunia.

Waktu orang lain masih bincang soal irama dan nada, KRU sudah bertanya soalan lebih besar: bagaimana untuk mengendalikan seluruh rantaian muzik? Siapa kawal pengedaran? Siapa kuasai visual? Siapa urus suara, imej, dan kesan khas?

Mereka lihat lebih jauh. Dan kerana itu, mereka sering dilabel ‘terlalu moden’, ‘terlalu ke depan’, ‘terlalu Barat’. Kemudian mereka mengolah pop futuristik, memasarkan boy-band realiti maya sebelum istilah boy-band VR popular di sini. Tetapi hari ini, semua itu jadi pujian. 

Ada sedikit ironi; lagu-lagu mereka kini diraikan sebagai ‘klasik’ sedangkan suatu masa dulu ia dianggap terlalu mencabar norma. Begitulah sejarah—yang pelik hari ini, jadi legenda esok. Apa yang “terlalu moden” semalam menjadi “kenangan emas” hari ini.

Dan saya percaya, inovasi adalah nostalgia yang menunggu masa.



ELITE, ADAM AF DAN RUANG YANG TAK PERNAH TERTUTUP

Lampu malap. Lima siluet muncul perlahan dari kabus pentas.

Azza. Linda. Abby. Watie. Sasha.

Mereka tak perlu sebut nama. Penonton sudah tahu. Jeritan meletus. 

Kemunculan Elite malam itu seperti skrip yang kita tidak tahu kita rindukan. “Tamparan Wanita” dan “Di Pintu Syurga” bukan sekadar lagu, ia kapsul masa. Ada gegaran yang bukan datang dari speaker. Ia datang dari dada. Dari kenangan. 

Suara mereka bukan sahaja masih ada. Ia kini lebih kuat. Lebih yakin. Tiada lagi rasa bersalah kerana menjadi siapa mereka. Malam itu, mereka tidak minta keampunan atas siapa mereka dahulu.. Mereka tampil sebagai bintang yang tidak pernah padam.

Elite dulu hanya dilihat sebagai ‘aksesori’ kepada KRU. Tapi malam itu, mereka buktikan yang mereka berdiri atas kaki sendiri. Saya duduk, terpaku, kagum. Sambil hati berbisik—"patut kita beri mereka peluang lebih awal."

Kemunculan Adam AF menjadi babak “eh?” paling manis. Arena bergema serentak; walau dari fenomena Akademi Fantasia, program TV realiti yang membadai industri pada awal 2000-an muncul dalam kronologi muzik tempatan, ia tetap terasa sebahagian dari DNA KRU. 


Adam muncul dengan senyum kekok yang sama cuma kali ini tanpa bandangan, bersama menyanyikan lagu “Terhangat Di Pasaran” dengan riff gitar sedikit dikemas kini namun penangan adrenalinnya masih serupa. 


Dan pada saat itu, saya sedar konsert ini telah berubah. Ia bukan lagi tentang tiga beradik itu. Ia tentang seluruh ekosistem yang mereka cipta—artis, peluang, sistem, dan warisan. Dari boyband ke ballad, dari studio ke layar perak—KRU buka jalan, dan ramai yang singgah selepas itu. Tentang bagaimana satu empayar kecil ini pernah melahirkan bukan sahaja produk, tetapi peluang. Warisan.





MENGERTI, NEGATIF DAN LAGU YANG TAK PERNAH SELESAI


Ada lagu yang tamat bila jejak di nota terakhir.

Tetapi ada lagu yang terus hidup—diam-diam, dalam hati.


“Mengerti” malam itu bukan hanya persembahan. Ia seperti doa. Bukan kepada Tuhan, tapi kepada masa. Doa agar yang lalu difahami. Agar yang terluka dimaafkan. Agar yang hilang dikembalikan, walau hanya sekejap dalam bentuk nota dan melodi.


“Negatif”, “Fanatik”, “Ooh! La La” semua itu dimainkan dengan tenaga yang tidak pernah surut. Tapi saya perasan, bukan semua orang menari. Ramai yang hanya tersenyum perlahan. Mungkin kerana kita menari dalam hati. Atau mungkin kerana kita sedang cuba mengingati siapa kita dulu.

Dan saya fikir—lagu ini tak pernah selesai kerana kita pun belum selesai.

Masa bergerak, tapi lagu-lagu ini kekal. Ia bukan sekadar bunyi. Ia penanda. Penanda siapa kita pernah jadi. Siapa kita cuba lupakan. Dan siapa yang masih tinggal.

SIAPA KRU SEBENARNYA?

Saya lahir di era Walkman. Bila kaset bermain hingga hujung, kita pusing dengan pensel. Bila pita kaset putus, kita sambung dengan selotep.

Hari ini, lagu keluar dari awan. Disarankan oleh algoritma. Dipotong jadi 15 saat untuk Reels. Dan saya tanya diri sendiri—masih adakah tempat untuk KRU?

Konsert ini bukan sekadar pesta memori. Ia kelas sejarah yang tidak diminta. Gen Z menonton apa yang pernah kami anggap revolusi sama seperti kita dahulu belajar mengenai Sudirman atau P. Ramlee melalui cerita ibu bapa kita. Mereka kini melihat KRU sebagai legenda. Tapi saya tahu—mereka ke depan terlalu cepat, dan industri lambat mengejar.

Kini ironi itu jadi jelas. KRU yang pernah dilabel ‘asing’, hari ini disusun dalam playlist ‘Klasik’. Mereka pernah bawa CGI sebelum filem tempatan kenal green screen. Mereka guna synthesizer waktu orang lain baru beli keyboard Casio.

Tapi malam itu, mereka bukan pencipta masa depan. Mereka jadi cermin masa lalu.

Dan saya mula faham yang teknologi akan sentiasa bergerak maju. Tapi keberanian untuk berubah, untuk jadi pelik, untuk tidak ikut arus—itu lebih jarang daripada 1,000 stream sehari. Itulah KRU.

NOSTALGIA SEBAGAI RASUAH EMOSI?


Ada orang kata konsert nostalgia hanyalah ‘rasuah emosi’. Cara lama untuk menagih simpati komersial. Tapi saya fikir, kalau itu benar, mengapa hati saya terasa sangat penuh malam itu?


Mungkin ya, ada unsur komersial. Tiket dijual. Merchandise berderet. Tapi ada yang lebih besar berlaku. 


Kita menyaksikan satu bentuk pemulihan kolektif. Bukan semua luka kita sedar kita bawa. Ada yang terperam. Ada yang senyap. Dan malam itu, dalam ruang gelap yang bergema dengan lagu lama, saya rasa semua itu diberi izin untuk keluar mengadap zaman yang kita tidak sempat ucapkan selamat tinggal. Terlalu banyak yang berlaku. Terlalu cepat kita membesar.


Malam GenKRU seperti ruang menekan butang ‘pause’ pada hidup yang terlalu pantas. Ruang untuk berhenti. Menoleh. Menangis jika perlu. Dan bersyukur. 

Bukan kerana semuanya sempurna. Tapi kerana kita masih di sini, masih hidup, masih mendengar. Dan masih menyanyi walau suara serak.

Kalau itu ‘rasuah’, maka biarlah saya dibeli. Sebab bukan semua yang dibeli itu palsu. Kadang-kadang, yang kita bayar, adalah untuk merasa semula sesuatu yang kita sangka telah hilang.

KEPADA GENERASI BAHARU: INI BUKAN SEKADAR SEJARAH


Buat kamu yang baru lahir selepas tahun 2000, KRU mungkin cuma nama dalam senarai Spotify. Lagu mereka datang dari algoritma, bukan dari radio. Wajah mereka dikenali kerana TikTok ibu kamu, bukan kerana MTV.


Tapi mereka lebih daripada itu. Mereka adalah perintis. Bukan sahaja dari segi muzik, tetapi dari segi membina sistem. Label. Artis. Kesan khas. Filem. Empayar kandungan.


Dalam dunia digital hari ini, ramai artis lahir dari algoritma. Tapi KRU lahir dari studio rakaman kecil di Jalan Keramat, peluh di belakang pentas, dan visi yang tidak mudah dijual.


Kalau hari ini anda mendengar lagu “Janji Tinggal Janji” atau “Perpisahan Terasing”, dan anda rasa ada sesuatu yang ‘mengena’, itu bukan kebetulan. Itu kerana emosi tidak lapuk. Cuma kita yang kadang-kadang lupa di mana kita simpan.


Saya sedar KRU tidak mahu hanya dirayakan; mereka mahu dialog terbuka tentang relevensi. Mereka seakan berkata, “Ingat lagu lama, tapi jangan lupa menulis lagu baru, atau paling kurang, tafsirkan semula.” Pada saat itu, terlintas juga: industri muzik kita masih tergelincir mencari model ekonomi digital. KRU pernah menggegarkan pasaran CD, kemudian ringtone, kemudian streaming; kini entah apa lagi—NFT? AI-generated vocals? Dan saya tertanya, adakah generasi seterusnya berani menjadi “terlalu moden” seperti mereka suatu ketika dulu?


EPILOG: KONSERT YANG MENJADI CERMIN


Ketika orang ramai mula keluar dari arena, saya masih berdiri. Mungkin kerana saya tidak mahu malam itu tamat. Mungkin juga kerana saya tahu jarang benar kita diberi peluang untuk berdamai dengan versi lama diri kita.


GenKRU buat saya sedar, saya bukan lagi remaja. Tapi malam itu saya menjerit seperti remaja. Dan saya fikir, mungkin itu bukan escapisme. Mungkin itu cara saya menguji: adakah jiwa saya masih hidup?


Saya tidak pasti bila atau jika KRU akan kembali lagi. Tapi terus terang, malam itu... mereka tidak pernah pun pergi.


Dan itu, saya kira, lebih indah daripada mana-mana persembahan sempurna.

Saya fikir, esok saat menaip ulasan ini, saya mahu mengekalkan rasa ‘tak sempurna’ itu—tanda pengalaman nyata. Hidup jarang simetris; sesetengah nota sumbang perlu dibiarkan untuk memelihara kejujuran.



LAGU UNTUK MEREKA YANG MASIH PERCAYA

Jadi, adakah GenKRU sekadar mesin masa? Mungkin.
Adakah ia peringatan bahawa keberanian mendahului zaman akan akhirnya diraikan? Sangat mungkin.
Atau mungkin… ia cuma satu malam untuk bersorak, menari dan lupakan seketika hutang kad kredit.

Apa pun sebabnya, KRU adalah tentang satu perkara: Percaya.
Percaya walau diketawakan.
Percaya walau tak dijangka.
Percaya walau lewat dihargai.

Dan malam itu, saya percaya sesuatu yang lama saya lupakan—
Bahawa kadangkala, untuk terus mara ke hadapan… kita perlu benarkan kenangan berjalan sebentar di sisi kita.

Kerana ada lagu yang menyimpan kita.
Dan kadang-kadang, satu malam sudah cukup untuk membukanya semula.

---


Jika artikel ini menyentuh anda walau sedikit, mungkin anda juga sedang mencari bahagian diri yang pernah anda tinggalkan jauh di belakang. Jangan risau. GenKRU telah buktikan yang ia masih ada, menunggu anda untuk menyanyi bersama.


 


“Filem aksi yang berjaya bukan sekadar peragaan otot dan ledakan; ia memperlihatkan hati manusia yang berdegup dalam setiap hentaman,” Roger Ebert pernah menulis. ”Blood Brothers: Bara Naga” menjalinkan falsafah itu ke dalam segenap gentian seluloidnya. Arahan berganda Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra ini menolak acuan tipikal karya genre tempatan: ia merupakan orkestra gerak tubuh, krisis moral, dan puisi mengenai hutang darah yang tidak pernah benar‑benar lunas.

Dalam dunia yang kerap menyembunyikan pengkhianatan di balik senyuman, filem ini menyelam lebih dalam daripada sekadar filem aksi, ia adalah sebuah liturgi tentang luka persaudaraan, dosa-dosa lama yang kembali menuntut haknya, dan pertarungan batin antara darah dan kesetiaan. Inilah pertama kali filem ini “membuka nadi”, menunjukkan bahawa pengkhianatan paling tajam datang daripada tangan yang pernah bersalaman.


Bara Yang Lama Terpendam


Kita diperkenalkan kepada Ariff (Syafiq Kyle) — seorang pengawal peribadi muda yang begitu setia, terlalu setia barangkali, hingga sanggup menyimpan peluru untuk orang yang dianggapnya bapa, Dato Zul (Wan Hanafi Su). Namun seperti bara yang disangka padam, sebuah konflik yang mencarik maruah menjadikan Ariff manusia buruan.


Tatkala dunia memalingkan wajah, dia menoleh ke belakang, mencari Jaki (Syazwan Zulkifly) — abang kandungnya yang pernah terasing kerana judi dan dosa lama, kini menjelma semula sebagai penyiasat persendirian yang menyimpan luka sendiri. Di sinilah filem ini mengingatkan kita: darah mungkin mengikat, tetapi ia juga boleh mencengkam seperti belenggu.

Dalam bayang‑bayang, berdirinya Ghaz (Sharnaaz Ahmad). Dia bukan sekadar antagonis; Ghaz ialah gema rasa bersalah, manifestasi kerapuhan maskulin yang tertutup di sebalik vest kalis peluru. Sharnaaz menzahirkan lagak serigala alfa yang memerangkap dirinya sendiri, seakan berkata, “Aku menjaga keselamatan semua, kecuali hatiku.”

Pentas Emosi


Syafiq Kyle bermain sebagai Ariff dengan mata yang sentiasa mencari kebenaran dan suara yang cuba menenangkan badai dalam dirinya. Sharnaaz Ahmad — seperti biasa membawa wataknya dengan kedegilan jantan yang magnetik, namun kali ini ditambah dengan keretakan dalaman yang menyayat.


Syazwan Zulkifly mencuri perhatian, wataknya Jaki, yang kelihatan seperti sisa masa silam, ternyata menjadi tunjang emosi filem ini. Satu babak senyap di mana dia memandang gambar lama mereka berdua ketika kecil adalah momen yang mencengkam, lebih lantang daripada seribu dialog.


Wan Hanafi Su sebagai Dato Zul — oh, seni beliau tetap seperti wain tua. Tidak perlu banyak bicara untuk menguasai layar. Setiap lirikan mata, setiap gerak perlahan — bagai singa tua yang menanti ajal, tetapi enggan menyerah pada karma. Satu lirikan mata sahaja cukup menulis novel. Sebaris dialognya meluncur bagai mata keris berlapis racun.


Pertarungan Jiwa


Seteru sebenar Ariff bukan sahaja musuh di luar, tetapi Ghaz (Sharnaaz Ahmad) — ketua keselamatan yang dahulunya sahabat, kini pemangsa. Sharnaaz memegang watak ini bukan sebagai penjahat tipikal, tetapi sebagai manusia yang berkecamuk — teman kepada Sheila (Amelia Henderson), anak perempuan Dato Zul, dan pewaris takhta Naga yang dibina atas dendam dan kepercayaan.


Shukri Yahaya sebagai Fadlan juga wajar dipuji — bukan sahaja sebagai anak Dato Zul yang berkonflik dengan warisan ayahnya, tetapi juga sebagai suara generasi yang mempersoalkan nilai lama yang memelihara kuasa dengan darah dan peluru.


Sinematografi – Kanvas Luka & Letupan


Pengarah sinematografi Nicholas Chin meminjam bahasa malam Kuala Lumpur: neon biru dingin, lampu natrium jingga, renyai hujan di lensa – kesemuanya menatang makna bahawa dosa sering lahir pada waktu orang lain lena. Adegan pembukaan di lorong basah, di mana Ariff menghantar VVIP sebelum disergah unit taktikal misteri, ditangkap dalam satu tangkapan long‑take 90 saat. Kamera menari antara dinding sempit, seolah‑olah turut sesak bernafas bersama watak. Roger Ebert gemar menyebut “empathy machine” – di sinilah empati dijana, melalui gerakan kamera yang tidak mewah tetapi intim; kita tidak sekadar menonton, kita berdiri di sebelah Ariff.


Setiap pertarungan antara dua sosok utama bukan sekadar koreografi seni bela diri; ia adalah pertembungan prinsip. Lihat bagaimana lensa kamera hasil kerja sinematografi yang tajam dan bernyawa menyorot mata mereka sebelum tumbukan dilepaskan. Di situ letaknya keindahan sinematik “Bara Naga” — aksi bukan sekadar fizikal, tetapi emosional.


Koreografi Sebagai Bahasa Emosi


Adegan-adegan aksi dalam “Bara Naga” diarah dengan kepekaan seni yang tinggi — pukulan disusun seperti puisi, letupan diselitkan seperti noktah dalam sajak yang dramatik. Adegan kejar-mengejar di jalanan Kuala Lumpur tidak hanya mendebarkan, tetapi juga melukiskan keterhumbanan watak-watak dalam sistem yang tidak memaafkan.


Namun antara semua, adegan pertarungan antara Ghaz dan seterunya di ruang bawah tanah organisasi Naga adalah mahakarya — bukan kerana efek atau gerakan, tetapi kerana bisikan hati yang berbunyi di antara serangan. Ia seolah-olah dialog yang tidak pernah terucap, hanya dizahirkan dengan peluh, darah dan air mata.


Kesetiaan: Rantai Emas atau Belenggu Besi?


Blood Brothers menggelar dirinya filem aksi, namun jantungnya berdegup sebagai tragedi Shakespeare kontemporari. Ia bertanya – apakah makna persaudaraan apabila kuasa dan wang menjadi mata wang baharu? Ariff mewakili naivete; Ghaz melambangkan pragmatisme toksik; Jaki – peluang kedua yang jarang diizinkan masyarakat patriarki. Setiap watak ialah serpihan cermin yang memantulkan dilema sama: kesetiaan pada siapa, dan sehingga bila?

Roger Ebert sering memuji filem yang “mengedarkan duotone moral tanpa merendahkan kebijaksanaan penonton.” Di sini, Syafiq Yusof & Abhilash Chandra menolak dikotomi hero‑penjahat. Mereka memilih kelabu – warna abu bara selepas api marak. Bahkan polis DSP Adlin (Zamarul Hisham) pun dirajah sebagai manusia yang terperangkap di antara keadilan prosedur dan realpolitik pejabat.

Wacana Sosial – Naga Itu Institusi

Di balik letupan dan genggaman pistol, filem ini mengkritik gejala ‘private security‑industrial complex’ yang semakin normal di kota‑kota Asia Tenggara. Dato’ Zul, laksana oligark dunia ketiga, mempelihara kekuasaan melalui pasukan upahan, bukan institusi negara. Persaudaraan watak utama menjadi metafora kepada rakyat yang diperangkap antara naungan dan eksploitasi. Bara Naga tidak menuding; ia memegang cermin di depan kita.

Siapa Yang Bertahan?


Tanpa memberikan spoiler, cukup dikatakan bahawa filem ini tidak memberi jawapan mudah. Ia menolak klise hitam dan putih, memilih kelabu sebagai palet utama. Dalam dunia “Blood Brothers: Bara Naga”, semua orang berdosa. Semua orang korban. Dan mungkin, itulah harga sebenar persaudaraan — bukan darah yang ditumpahkan, tetapi hati yang remuk, yang tetap memilih untuk tidak membenci.


Filem Ini Adalah Naga Yang Sedang Tidur

Roger Ebert pernah berkata, “Kita pergi ke pawagam untuk melihat diri kita, sekalipun dalam tubuh orang lain.” Dalam Blood Brothers: Bara Naga, kita melihat bayang diri waktu terpaksa memilih antara sahabat atau prinsip, antara memeluk bara atau membiarkannya membakar dunia. Filem ini bukan sempurna – ada sela pacing pada babak pertengahan, subplot Pablo‑Malik‑Amir yang terasa tempelan – namun ketika kredit bergulir, dada penonton masih berasap.

Sebuah balada adrenalin dan air mata yang menegakkan martabat sinema aksi Malaysia, membuktikan bahawa di balik asap mesiu, terdapat puisi tentang harga sebuah kesetiaan.

“Blood Brothers: Bara Naga” adalah simfoni kelelakian yang luka, puisi tentang pengkhianatan, dan peringatan bahawa sesetia mana kita, akan tiba juga saat kita diuji dengan kesetiaan itu sendiri.


Dalam tradisi filem aksi Malaysia, ini adalah salah satu karya yang layak diletakkan setaraf dengan naskhah antarabangsa — bukan kerana bajet atau letupan, tetapi kerana keberanian untuk menyentuh luka yang tidak kelihatan.


Bintang: ★★★★3/4 / 5

Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra telah mengarahkan bukan sekadar filem — tetapi sebuah bara yang membakar perlahan-lahan dalam dada kita semua.


Jika Roger Ebert masih hidup, barangkali dia akan menulis:

"This is not just a film about men with guns, but about the guns that memory loads and the triggers our pasts pull."


#BloodBrothers setakat 16 April 2025 telah berjaya mengumpul kutipan RM29.9 juta dan masih rancak ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Singapura.


Unabashedly "Limited Edition"

Entri oleh sultanmuzaffar 01 April 2024 0 komen


Unabashedly "Limited Edition"

Muzaffar Mustapa @sultanmuzaffar





Prologue


Dial-Up Dreams and Digital Destiny

Before we kickstart this time-travelling escapade through the tapestry of my life, let me set the scene: a world where the internet screeched like a banshee every time it connected and being "online" meant nobody could call your house. Yes, dear reader, I hail from the era of dial-up dreams, where my digital destiny was forged not in the fire of today's gigabit connections but in the slow, painstaking sizzle of a 56k modem.


From the get-go, my life seemed to follow the pattern of a poorly coded website—full of unexpected bugs and moments that made you hit the refresh button. But as with any good tech, it's the quirks that make the system unique, and boy, was my system unique.


So, buckle up (or should I say login?) for a ride through the digital age, seen through the eyes of a man who still remembers his first email password but can't recall what he had for breakfast. This is not just a story; it's an operating system update for the soul.


"The journey of a thousand websites begins with a single click." - A Techie's Twist on Lao Tzu.