Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 12 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 10-07-08

Etika Makan
A Serviette (napkin)
B Service plate
C Soup bowl on plate
D Bread and butter plate with butter knife
E Water glass
F White wine
G Red wine
H Fish fork
I Dinner Fork
J Salad fork
K Service knife
L Fish knife
M Soup spoon
N Dessert spoon and cake fork
Akademi Fantasia II

Koreograf Farah
Melihatkan latihannya, ia bakal memberikan satu kesukaran kepada Farah. Memang menarik dapat melihat Farah melakukan aksi yang bersesuaian dengan lirik lagu tersebut. Setiap pergerakan kena dengan lirik lagu tersebut tetapi pergerakan-pergerakan tersebut seperti tidak diberikan nadi kepada persembahan Farah. Hanya sekadar buat tetapi ia tidak datang secara jujur. Pergerakan-pergerakan itu seakan dipaksa.

Koreograf Kaer
Berkonsepkan moden dan ada stail koreograf Linda Jasmine kali ini. Kaer perlu memberikan jiwa pada lakonannya dan tidak terlalu berlebihan. Biar berpada asalkan tidak keterlaluan. Sebuah lagu yang baik dan diberikan persembahan yang menarik sudah cukup untuk memberikan kekuatan kepada satu-satu nyanyian. Kesederhanaan itu penting untuk menarik perhatian penonton. Saya lebih sukakan satu yang sederhana tetapi berjaya mengumpan selera penonton.

Eksploitasi Johnny dan Jenny
Melihat aksi Johnny dan Jenny menari saya teringat untuk cuba mengeksploitasi peminat-peminat mereka berdua. Sedar atau tidak, Johnny dan Jenny punya peminat mereka sendiri. Jika tidak pun, peminat Farah tentunya meminati gelagat Farah bersama mereka berdua. Apakah watak Johnny dan Jenny akan turut berkubur setelah berakhirnya Diari Akademi ? Apakah Johnny dan Jenny tidak berpeluang untuk menyaksikan teman-temannya beraksi di Konsert Finale Sabtu ini ?

Johhny dan Jenny boleh diletakkan di atas pentas bersama-sama pelajar yang akan membuat persembahan. Jadikan mereka Pengkritik Profesional 4. Jika persembahan pelajar lelaki, biarlah Jenny yang kritik dan Johhny mengkritik persembahan pelajar perempuan. Di belakang Johhny dan Jenny, padankan dengan suara mana-mana artis atau selebriti dan mereka hanya diperkenalkan kepada umum pada penghujung konsert sebagai kejutan. Mungkin sudah terlewat untuk memberikan cadangan ini kerana konsert akan berlangsung pada hari Sabtu. Sekurang-kurangnya saya masih mengingati peranan Johnny dan Jenny di Akademi Fantasia.

Bersama Cikgu Fauziah Nawi
Tekanan semakin berat buat setiap pelajar Akademi Fantasia. Linda kelihatan begitu tertekan dan nampak tidak ceria berada di Akademi. Masa berlalu terlalu cepat. Waktu tidur terasa begitu pendek. Farah melahirkan rasa terganggunya dengan koreograf persembahannya. Beliau perlu melompat dan melakukan pelbagai aksi. Farah sewajarnya mengikut nasihat Cikgu Fauziah agar menggunakan kasut tumit tinggi sewaktu latihan untuk menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

Menuju Puncak
Berbeza dengan Akademi Fantasia I, lagu Menuju Puncak punya pelbagai versi. Sebaliknya berlaku dalam Akademi Fantasia II. Lagu Menuju Puncak hanya ada satu versi. Satu ketika dahulu, kita pernah mendengar lagu Menuju Puncak versi Broadway dan versi Unplugged. Seakan ada kekurangan pada susunan lagu pada kali ini. Tiada kreativiti yang mampu menyerlahkan lagi keunikan Akademi Fantasia. Memang sukar untuk terus menerbitkan rancangan berbentuk realiti sebegini sekiranya kekeringan idea dan ianya tidak berkembang secara sihat.

Tangisan Dalam Kerinduan
Farah perlu menghayati setiap patah perkataan dalam lagu tersebut yang bercerita tentang kerinduan. Farah hanya mengharapkan angin untuk menyampaikan kerinduannya. Sebuah lagu yang penuh bermakna. Membaca lirik tersebut satu-satu dapat membuatkan kita menghayati perjalanan kisah yang ingin disampaikan menerusi lagu tersebut. Cikgu Adnan Abu Hassan mengharapkan Farah dapat membawakan lagu ini dengan penuh emosi lalu membuatkan penonton turut sama merasai kesedihan tersebut.

Cinta Seorang Teman
Lagu ini dicipta oleh Adnan Abu Hassan dan liriknya ditulis oleh Fariz. Telah berlaku sedikit kesilapan sewaktu Bob mengumumkan berkenaan lagu tersebut.

Kelas Cikgu Siti Hajar
Kaer Kau Kembali
Setiap hari kita dapat melihat perubahan pada lagu tersebut. Lagu tersebut telah diberikan jiwanya oleh Kaer. Kaer menyampaikannya dengan penuh emosi. Saya suka dengan usaha Kaer mengawal lontaran vokalnya yang agak cemerlang. Mesej lagu tersebut dapat dihayati oleh pendengar dan ada kesinambungan dari satu baris ke satu baris.

Adam Haruskah
Adam harus menggunakan segala teknik yang telah diajar. Nyanyian Adam tidak mantap. Jika dibandingkan dengan pelajar lain, Adam agak jauh ketinggalan.Nyanyiannya biasa sahaja. Beliau mempunyai vokal tetapi tidak mahu menggunakan kelebihan tersebut untuk menvariasikan kaedah nyanyiannya. Beliau agak terkongkong dalam dunianya yang tidak mahu berubah. Perubahan itu harus datang dari dalam jiwanya. Jiwa nyanyiannya sering tidak konsisten dan tidak berkekalan.

Bob Gadis Sarawak
Berbeza dengan Bob, beliau punya vokal yang bagus tetapi sayangnya lagu ini tidak cukup kuat untuk menjadi sandaran kepada Bob di Konsert Finale. Lagu ini amat mudah buat Bob lalu beliau mengambil mudah untuk lagu tersebut. Hasilnya, nyanyiannya untuk lagu tersebut menjadi begitu hambar. Bob perlu mencari kreativiti sendiri untuk mencorakkan lagu tersebut kepada sebuah warna baru. Ia harus datang dari penghayatan dan penjiwaannya terhadap lagu tersebut.

Zahid Milikku
Begitu juga dengan Zahid, beliau masih berusaha mendapatkan jiwa lagu tersebut. Apa yang disampaikan oleh beliau tidak lahir dengan jujur. Persembahan nyanyiannya masih tidak mantap walaupun beliau mempunyai mutu vokal yang baik. Zahid perlu mendalami makna lagu tersebut sebelum menyanyikannya.

Farah Sk8er Boi
Sebuah lagu yang mudah. Range vokalnya biasa sahaja. Tiada nada yang amat tinggi lalu menyebabkan Farah kehilangan identitinya. Tanpa nada yang tinggi, Farah harus mencari kelainan untuk lagu ini dan salah satu caranya ialah dengan mempelbagaikan lagi tona vokal beliau. Corakkan setiap baris lirik lagu tersebut dengan warna yang berbeza-beza agar persembahannya tidak membosankan.

Koreograf Milikku dan Menuju Puncak
Saya suka dengan pergerakan-pergerakan yang direka oleh Cikgu Corrie untuk Zahid. Agak bersesuaian dengan lagu tersebut. Saya tidak nampak Zahid menghadapi masalah yang besar untuk menari dengan lagu tersebut. Zahid hanya perlu meningkatkan keunikan vokalnya dalam lagu tersebut. Biarlah lagu tersebut diwarnai dengan teknik vokal dan disertai sebuah koreograf yang kena dengan lagu tersebut.

Bersama Penasihat
Tekanan semakin memuncak. Setiap seorang daripada mereka merasaikannya. Farah merasa tertekan sejak pada Konsert III. Beliau semakin tertekan apabila sering berada di bawah pada kedudukan carta tetapi perasaan tersebut semakin lali dengannya. Beliau berasa tidak gusar apabila sentiasa berada di bawah. Zahid dan Bob merasa tertekan apabila berada di Konsert VII. Saat itu peluang untuk tersingkir semakin besar kerana bilangan pelajar semakin berkurangan. Ia amat dirasai. Kaer tentunya amat tertekan sewaktu Konsert V, VI dan VII. Tiga konsert tersebut beliau memberikan persembahan yang tidak bagus. Adam hanya tertekan pada Konsert IX kerana ia merupakan konsert terakhir sebelum penyingkiran terakhir dibuat. Kini Adam telah terselamat dari cubaan penyingkiran tersebut, lalu perasaannya kembali normal. Matlamat utamanya berada di Akademi Fantasia iaitu untuk berada di Top V telah pun tercapai.

Kaer dan Johhny
Minggu ini merupakan minggu terakhir dan tentunya Kaer akan merasa kehilangan setelah berakhirnya Akademi Fantasia. Kaer bijak mencari tumpuan kamera pada hujung-hujung minggu ini. Seperti Vince yang bijak mencuri tumpuan kamera, begitulah juga halnya dengan Kaer. Sejak akhir-akhir ini seringkali kita melihat Kaer berbual-bual dengan Johnny. Satu percubaan yang baik untuk mengumpan undian penonton.

Entri oleh sultanmuzaffar 11 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 10-05-06

Seasons In The Sun
Lagu nyanyian Westlife terpilih sebagai lagu bonus untuk dinyanyikan oleh mereka. Besar kemungkinan, enam lagi pelajar yang tersingkir akan mengiringi mereka dalam lagu tersebut.

Aku Cinta Kamu
Linda menerima sebuah lagu baru ciptaan Ajai yang bertajuk Aku Cinta Kamu. Perlu mendengar Linda menyanyikan lagu ini. Sebuah lagu yang agak perlahan dan tumpuan kepada vokal boleh diberikan oleh Linda.

Kelas Vokal Cikgu Siti Hajar
Vokal yang dikurniakan Tuhan memang berbeza-beza. Telinga yang mendengar juga berbeza-beza. Adakah terlalu sukar untuk menerima pandangan manusia yang berbeza-beza ? Kelebihan mempunyai mutu vokal yang tersendiri memang tidak diperolehi oleh semua orang. Sesetengah penyanyi telah menyanyi sebaik mungkin dengan gayanya yang tersendiri tetapi tetap dikatakan meniru gaya artis lain. Di dalam Akademi Fantasia II, vokal Linda mempunyai identitinya yang tersendiri, begitu juga dengan Zahid, Bob dan Kaer. Adam tidak perlu dipertikaikan lagi beliau mempunyai identiti mirip KRU. Farah jika diamati betul-betul masih belum dapat sentuhan identiti yang sebenarnya.

Linda Only You (Versi Spanish)
Linda sudah biasa dengan lagu ini. Lagu ini merupakan antara lagu dalam senarai pilihannya. Saya tidak nampak ada sebab mengapa Linda tidak mampu membawakan lagu ini dengan baik.

Farah Tangisan Dalam Kerinduan
Sebuah lagu yang agak sedap berbanding lagu lain. Tidak ada masalah besar untuk Farah membawakan lagu ini dengan baik. Penghayatan beliau perlu dipertingkatkan lagi agar rasa lagu itu datang dengan sendirinya lalu mesej lagu tersebut sampai kepada penonton. Saya suka dengan susunan vokal pada lagu ini yang secara tidak langsung memaksimakan kekuatan vokal Farah. Ada bahagian yang rendah, juga ada bahagian tinggi. Ini memberikan kelebihan kepada Farah untuk mempersembahkan vokalnya kepada penonton.

Zahid Biarkan Bulan Bicara
Seperti ada yang tidak kena, nyanyian Zahid tidak seperti yang diharapkan. Zahid terlalu memikirkan tentang teknik yang diajar oleh Cikgu Adnan sehingga nyanyiannya tampak palsu dan dibuat-buat.

Adam Ooo La La
Adam telah menyanyikan lagu Ooo La La dengan baik sekali. Nyanyiannya setaraf dengan penyanyi profesional. Tidak banyak perbezaan. Cikgu Siti Hajar berkali-kali menyarankan kepadanya untuk mencari identitinya yang tersendiri. Beliau mahukan Adam bukannya orang lain.

Pertemuan Dengan Komposer Lagu
Kaer dan Johan Farid Khairuddin
Kau Kembali sebuah lagu yang menarik dan penuh emosi jika lirik asalnya dikekalkan. Mungkin atas sebab yang tidak dapat dielakkan, perubahan pada lirik lagu tersebut terpaksa dibuat. Ramai di antara kita berpeluang untuk mendengar demo lagu tersebut dan berpuashati dengan hasilnya tetapi kita mungkin tidak dapat mendengar Kaer menyanyikannya. Kaer perlu melakukan yang terbaik dari segi vokal untuk membawa lagu ini dengan penuh emosi.

Linda, Adam dan Ajai
Lagu Aku Cinta Kamu dan Haruskah dicipta berdasarkan personaliti dan pakej seseorang pelajar tersebut. Lagu Aku Cinta Kamu pula banyak bercerita tentang Akademi Fantasia jika diamati liriknya betul-betul. Dengan iringan piano, Adam membawakan lagu tersebut. Ada bahagian yang agak tinggi yang sememangnya kurang sesuai dengan Adam.

Farah, Bob dan Adnan Abu Hassan
Dua lagu ciptaan Adnan Abu Hassan merupakan antara lagu yang paling saya suka. Saya sukakan melodinya serta nyanyian kedua-duanya iaitu Bob dan Farah. Lagu Farah Tangisan Dalam Kerinduan agak sesuai dengan vokal Farah.

Zahid dan Cat
Satu Malaysia, Brunei dapat melihat Zahid tidur sambil berdengkur. Keletihan. Sebuah lagu yang agak rancak ini dan ada rap tentunya menarik buat Zahid. Berdasarkan personaliti, memang lagu ini sesuai untuk Zahid.

Semakin sampai ke penghujung, semakin membosankan. Mungkin kerana bilangan pelajar yang tiba-tiba bertambah lalu meragut keseronokan menonton Akademi Fantasia. Keseronokan dan kejujuran itu tidak datang dari dalam diri kerana dipaksa menonton sesuatu yang tidak kita persetujui.

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Akademi Fantasia II
Menilai Peningkatan Prestasi Enam Finalis Akademi Fantasia II

Zahid
Percayakan Siti 6/10
Istana Menanti 8/10
Bila Resah 7.8/10
Teratai 9.2/10
Warna Kehidupan – 9.3/10
Where Is The Love 9.5/10
Cinta Sakti 8/10
Semusim 8/10
Cek Mek Molek 8.8/10

Purata 8.28

Persembahan yang membanggakan dari Zahid ialah Istana Menanti, Bila Resah, Teratai, Warna Kehidupan, Where Is The Love dan Cinta Sakti. Zahid antara pelajar yang paling konsisten perubahannya sewaktu di dalam Akademi Fantasia. Perubahannya agak besar dan tahap keyakinan beliau semakin meningkat dari setiap minggu ke setiap minggu. Berilah apa sahaja jenis lagu, beliau akan memberikan rasa baru pada lagu tersebut. Ianya berlaku pada Konsert ketiga sehingga seterusnya. Pelajar contoh ciptaan Ramli MS ini telah menggunakan segala peluang yang ada secara maksimum.Kenakalan beliau menyebabkan beliau seringkali dilihat sebagai seorang yang sombong. Adakalanya ya, mungkin juga tidak.

Saya juga melihat beliau seorang yang bijak dalam melaksanakan strategi dalam permainan ini. Beliau tidak menunjukkan segala kelebihan yang beliau ada sewaktu latihan dan telah memberikan persembahan yang hebat pada malam sebenar. Sifatnya agak kurang ceria pada minggu akhir di Akademi Fantasia mungkin merasa tergugat dengan kembalinya Linda ke dalam Akademi. Beliau tidak sepatutnya gusar dengan perkara tersebut.

Kemantapan vokal beliau serta kepelbagaian beliau dalam persembahan nyata merupakan kelebihan utama Zahid. Beliau selesa di pentas dan pandai mengambil hati penonton. Pengalaman beliau sebagai penyanyi kelab memberikan sedikit kelebihan kepada beliau. Saya melihat pengundi beliau kebanyakannya datang daripada golongan yang matang dan tidak terlalu dipengaruhi dengan imej seseorang penyanyi. Berbeza dengan pengundi Kaer dan Adam yang mana pengundinya terdiri daripada remaja perempuan yang lebih mementingkan rupa dari menilai bakat sedia ada. Golongan pengundi Zahid adalah mereka yang akan terus menyokong kerjaya Zahid selepas Akademi Fantasia dan bersifat jangka panjang. Mereka ini tidak begitu gemar mengundi tetapi tahu menilai mana yang baik, mana yang buruk.

Kaer
Januari 7.5/10
Ikhlas Tapi Jauh 7.5/10
Kenanganku 9/10
If You’re Not The One 9/10
Habis Sudah Umpanku – 6.5/10
Epilog Cinta Dari Bromley 8/10
Bunga Pujaan 5/10
Mentera Semerah Padi 9.9/10
Fantasia 8.5/10

Purata 7.87

Persembahan yang membanggakan dari Kaer ialah Januari, Ikhlas Tapi Jauh, Kenanganku dan Mentera Semerah Padi. Kemuncak prestasi Kaer tentunya lagu Mentera Semerah Padi yang pada mulanya tidak saya sukai. Kaer mempunyai sikap suka mengubah lagu mengikut gayanya yang tersendiri. Beliau pernah mengalami zaman kejatuhan apabila gagal menyempurnakan tugasnya dengan baik. Kegagalannya menyebabkan peminatnya lari kepada Zahid. Walaupun telah bangkit semula, ia masih belum dapat meyakinkan peminat-peminatnya untuk terus menyokong beliau kerana persembahan Zahid yang lebih konsisten. Didorong sentimen simpati penonton akan masalah yang melanda keluarganya, Kaer pasti dapat mengumpan undian simpati penonton dengan persembahannya. Di Akademi, kita dapat melihat perhubungannya yang agak rapat bersama Mas, seorang ibu tunggal juga tempat Kaer meluahkan perasaannya. Di saat inilah terserlah sifatnya yang agak matang dan tidak terlalu memilih kawan. Keceriaan serta sifat blurnya juga mungkin dapat mengumpan undian penonton.

Keunikan beliau apabila dapat menyampaikan lagu-lagunya mengikut stailnya yang tersendiri. Keyakinan beliau untuk memberi satu jiwa baru pada lagu-lagu yang beliau terima agak meyakinkan. Beliau tidak terlalu terikat dengan identiti asal penyanyi lagu tersebut.

Beliau antara pelajar yang menerima banyak kejutan untuk meningkatkan keyakinan beliau serta mengekalkan tumpuan beliau semasa sesi kelas di Akademi Fantasia. Pelbagai cara digunakan untuk menyuntik semangat kepada beliau.

Tidak salah saya katakan sekiranya pengundi Kaer sebenarnya telah beralih arah kepada Adam sewaktu Kaer keliru mencari identitinya tatkala prestasinya yang menurun pada minggu-minggu pertengahan di Akademi Fantasia. Agak sukar untuk beliau memenangi pertandingan ini kerana bilangan pengundi untuk Adam semakin bertambah serta kemasukan semula Linda sedikit sebanyak mempengaruhi pola pengundian.

Farah
Seandainya Masih Ada Cinta 7/10
Tua Mengejar Kita 7/10
Janji Manismu 7.5/10
Farah Dancing Queen 7.5/10
Tenda Biru – 7.5/10
Ya Maulai 7.5/10
Jangan Kau Mimpi 7/10
Bebas Berlari 8.5/10
Mengapa 9/10

Purata 7.61

Persembahan yang boleh dibanggakan dari Farah ialah Janji Manismu, Ya Maulai, Jangan Kau Mimpi, Bebas Berlari dan Mengapa. Beliau antara pelajar perempuan yang agak konsisten. Mempunyai kelantangan vokal yang paling tinggi merupakan aset utama beliau. Selain daripada itu, sebutan beliau jelas dan menjadikan mesej sesebuah lagu itu sampai kepada penonton.

Beliau bermula sebagai seorang yang bukan pilihan utama. Sentiasa berada pada kedudukan dibawah tidak melemahkan semangatnya. Beza beliau dengan Liza ialah beliau mempunyai mutu vokal yang jauh lebih hebat daripada Liza. Berdirinya beliau di Kemuncak Konsert adalah satu yang amat membanggakan dan tidak dipertikaikan kerana sememangnya beliau layak berada di situ.

Beliau berperwatakan agak ceria dan seringkali menjadi bahan usikan Kaer, Zahid dan Linda. Kemesraan mereka secara tidak langsung tidak memberi sedikit ruang untuk telenovela Farah dan Adam diteruskan. Kematangan Farah mengendalikan Adam yang sedang kerisauan amat mengkagumkan. Beliau bersifat agak matang dari usianya.

Kelemahan utama beliau apabila berada di pentas. Masih kelihatan kaku tetapi boleh dibaiki. Jika diberi peluang, beliau perlu lebih diberikan lagu-lagu yang rancak untuk meningkatkan keyakinan beliau di pentas. Saya melihat beliau begitu selesa dengan lagu jenis balada yang tidak memerlukan beliau banyak bergerak di pentas.

Bob
Wajah Kesayangan Hamba 7/10
Jangan Bersedih Lagi 7.5/10
Tanya Sama Itu Hud Hud 7.3/10
Pantun Budi 8.4/10
Akar Dan Bumi – 8.5/10
I Can See Clearly Now 8.3/10
Salam Terakhir 6.5/10
Alhamdulillah 6.7/10
Laguku Untukmu 7.2/10

Purata 7.48

Persembahan yang membanggakan dari Bob ialah Wajah Kesayangan Hamba, Akar Dan Bumi dan I Can See Clearly Now. Saya melihat persembahan beliau sebagai biasa sahaja, mungkin juga saya telah meletakkan namanya sebariss dengan amatur dan sewajarnya persembahan dari Bob bertaraf tersebut dan keluar dari Akademi Fantasia sebagai seorang yang profesional. Walaupun persembahannya agak konsisten, tetapi beliau sering melakukan kesilapan-kesilapan yang serupa. Beliau sememangnya versatile kerana telah diuji dengan lagu pelbagai rentak tanpa perlu menangis beliau melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang. Beliau saya lihat seorang yang berkeyakinan tinggi dan mampu memberikan saingan yang sengit kepada rakan-rakannya. Beliau mungkin kalah dari segi penampilan diri serta imej tetapi lebih jauh ke hadapan dari segi vokal. Kemantapan vokal beliau nyata merupakan aset utama beliau.

Pada peringkat awal di Akademi Fantasia, kita dapat melihat beliau banyak memonopoli kelas vokal, kelas tarian dan kelas seni persembahan. Beliau bijak mendapatkan tumpuan kamera. Tapi lama-kelamaan sifat tersebut hilang daripadanya. Tentu kita masih ingat bagaimana beliau mengarahkan perubahan pada koreograf yang telah ditetapkan oleh Cikgu Corrie.

Saya dapat merasakan tekanan yang hebat diberikan kepadanya oleh Ramli MS yang ingin melihat beliau keluar sebagai seorang profesional dan ini secara tidak langsung telah mengganggu tumpuannya dan seringkali melakukan kesilapan yang serupa.

Adam
Jangan Lafazkan 5/10
Kerna Dia 7/10
Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta 7.3/10
Gerhana 8.2/10
Tipah Tertipu – 8.7/10
Keroncong Untuk Ana 7.3/10
Smooth Criminal 3/10
Kasih 7/10
Bila Larut Malam 8.3/10

Purata 6.87

Adam lebih menyerlah untuk lagu yang agak rancak. Beliau dikirakan berjaya membawakan lagu rancaknya dengan baik kecuali lagu Smooth Criminal yang tiada originaliti dari beliau. Persembahan yang membanggakan dari Adam ialah Kerna Dia, Gerhana, Tipah Tertipu dan Kasih. Adam mempunyai pakej yang baik untuk menjadi seorang idola. Peningkatan persembahan Adam nampak lebih ketara pada minggu-minggu akhir di Akademi Fantasia. Kelemahan Adam yang paling ketara ialah beliau seringkali terikat dengan gaya KRU iaitu idolanya. Beliau secara terang-terangan mengakui perkara tersebut. Adam boleh berjaya sekiranya membentuk imejnya yang tersendiri. Jika tidak berjaya sebagai penyanyi sekalipun, peluang untuk Adam lebih terbuka luas dalam bidang lakonan dan modeling. Telenovelanya dengan Farah tidak mendapat sambutan penonton dan tidak dapat berkembang dengan baik sehingga penghujung kerana sifat Adam yang tidak mahu dikaitkan dengan sesiapa kecuali KRU dan Kaer. Walaupun Zahid cuba untuk mengaitkan dirinya dengan Adam, beliau mengambil jalan tengah dan meneruskan persahabatannya dengan Kaer. Saya melihat hubungan beliau dengan Cikgu Fauziah Nawi juga semacam ada kekuatan yang begitu kuat.

Adegan beliau menangis kerana mendapat lagu Bila Larut Malam dan adegan perbualan beliau bersama Farah agak merimaskan. Seakan-akan terserlah sifatnya yang terlalu mementingkan dirinya sendiri tanpa menghiraukan perasaan pelajar lain. Beliau tidak mahu menerima pembaharuan yang cuba dibawakan oleh Tenaga Pengajar kepadanya. Beliau hanya mahu terus berada di dalam dunia rap yang telah beliau ceburi sejak empat tahun yang lampau. Jikalau KRU mahu dijadikan contoh, beliau seharusnya berpandangan lebih jauh. Pada masing-masing berumur masuk 30an, KRU sudah pun tidak terkinja-kinja di atas pentas dengan rap sebaliknya membuka banyak perniagaan berasakan seni muzik. Ambil yang positif dari KRU, dan buka minda Adam untuk lebih melihat ke hadapan. Impiannya untuk masuk Final telah pun tercapai, jika itulah visinya di dalam Akademi Fantasia.

Linda
Tak Tahan Lagi 7.5/10
Semoga Abadi 7/10
Leaving On The Jet Plane 9/10
Madah Berhelah 8.6/10
Bunga Melor – 7/10
Panti Asuhan 9.3/10
Akan Ku Tunggu 6/10
Syurga Idaman 6.8/10

Purata 6.8

Persembahan yang boleh dibanggakan dari Linda ialah Semoga Abadi, Leaving On The Jet Plane dan Panti Asuhan. Kemasukan semula beliau ke dalam Akademi Fantasia memang mencetuskan kemarahan peminat lima pilihan terbaik pada mulanya. Ya benar beliau sememangnya berbakat tetapi dimasukkan semula sememangnya tidak adil kepada satu pertandingan yang berasaskan undian SMS. Kesilapan awal tidak mengundi tidak sepatutnya diulang semula dengan memberi peluang kedua kepada pengundinya untuk mengundinya.

Peluang kedua ini memberikan sedikit kelebihan kepada beliau bila mana pengundi-pengundinya telah berpeluang untuk menebus kesilapan lalu dengan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau.

Kemuncak Konsert sudah cukup resepinya dengan lima pelajar yang terpilih tetapi kemunculan beliau sedikit sebanyak memberikan saingan yang bukan kecil kepada mereka.

Beliau memiliki kelebihan dari segi rupa yang diwar-warkan mempunyai pesona bintang, fizikal yang menarik, boleh bermain alat muzik dan vokal yang baik. Peluang kali kedua ini seharusnya dimanafaatkan oleh Linda untuk meyakinkan penonton yang beliau sebenar-benarnya layak berada di situ.

Linda digantung satu konsert kerana kesalahan membawa toyol.

Entri oleh sultanmuzaffar 10 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 10-03-04

Teknik Pernafasan
Tanpa ada kesengsaraan di wajah Cikgu Siti Hajar, beliau mengendalikan kelas beliau dengan tenang. Tidak perlu mengulang beberapa kali, tidak perlu menterjemah beberapa perkataan bahasa Inggeris. Nampak mudah sahaja kerja beliau. Setiap pelajar diperingatkan tentang teknik-teknik pernafasan yang betul. Cara mengambil nafas, kedengaran begitu mudah tetapi tidak semudah yang disangka. Seringkali artis sedia ada juga berlaku kesilapan dalam teknik mengambil nafas terutama sewaktu menyanyi secara langsung. Sesetengahnya, boleh kedengaran bunyi nafas diambil melalui pembesar suara. Teknik pernafasan boleh menjadi baik akan dapat disokong dengan baik melalui proses kerja yang dilakukan oleh tubuh badan manusia. Ia hanya akan terhasil apabila diafragma bekerja dengan betul. Dalam teater juga punya teknik pernafasan yang betul untuk melontarkan vokal dengan lantang serta kawalan stamina seseorang pelakon di atas pentas. Begitu juga dengan nyanyian.

Mencari Sesuatu Yang Hilang
Saya kehilangan. Mencari-cari sesuatu yang hilang. Bukan dalam gelap, tetapi dalam terang. Ia tetap hilang. Belum mampu untuk menarik nafas kelegaan kerana yang hilang akan terus hilang. Berbeza dengan kelas seni persembahan Cikgu Fauziah Nawi, mereka diminta untuk melakukan improvisasi perubahan watak dari satu watak ke satu situasi yang berbeza. Bermula dengan keadaan gelap di dalam sebuah bilik, mencari jalan keluar, apabila lampu dibuka, menarik nafas lega. Bayangkan keadaan tersebut. Tidak sukar untuk saya bayangkan kerana saya kini juga sedang kehilangan. Tetapi walaupun lampu dipasang, ia tetap hilang. Bob dan Kaer memberikan lakonan yang biasa sahaja. Saya suka dengan gaya Adam membawakan wataknya. Begitu juga Zahid. Linda masih mengamalkan gaya dahulu, iaitu tidak serius apabila berlakon keseorangan.

Apabila dipasangkan, saya lebih menyukai lakonan Bob dan Adam. Adam masih sepserti dahulu. Memang benar, apabila skrip berada di hadapan kita, tidak dapat tidak pasti hati kita akan tergerak untuk melihatnya. Sebagai pelakon, wataknya tidak mampu berkembang dengan baik kerana terlalu terikat dengan skrip yang berada di hadapannya. Adam hanya perlu fahamkan situasi, fahamkan keadaan, pasti beliau boleh melakukannya.

Menepati Waktu
Saya ada seorang sahabat. Seorang yang amat menepati waktu. Kalau ada temujanji dengan beliau, sudah pasti saya akan berusaha untuk datang tepat pada waktunya. Jika terlewat, saya akan memberitahunya yang saya terlewat. Kini tiada lagi. Banyak ilmu baru yang dipelajari oleh pelajar sewaktu kelas kendalian Puan Mahani. Lebih-lebih lagi bekalan mereka sebagai seorang yang bergelar artis kelak. Disiplin merupakan perkara paling penting. Bagaimana seriusnya mereka untuk menjadi bintang dinilai pada minggu ini apabila baju yang dibuat ukurannya satu inci lebih kurang dari saiz sekarang. Oleh yang demikian, disiplin diet permakanan perlu mereka ikuti. Benar, Zahid dan Bob perlu melakukan sesuatu untuk itu.

Bill Keith Datang Lagi
Kunjungan Bill Keith sekali lagi ke Akademi Fantasia adalah untuk mengambil ukuran badan Linda untuk pakaian beliau di Konsert hujung minggu ini. Linda inginkan sesuatu yang agak elegan dan seksi berasaskan warna merah atau biru. Bill Keith merasakan untuk lebih mudah bergerak, Linda sesuai menggunakan fesyen jenis two-piece.

Kelas Cikgu Adnan Abu Hassan
Ooo La La dendangan Adam (baca: Yusry) memang banyak sumbangnya. Tetapi itulah yang disukai oleh Adam. Nyanyiannya mirip benar dengan KRU. Lenggoknya tidak cuba diubah mengikut kesesuaian sekadar ditiru bulat-bulat. Cikgu Adnan turut memuji pitching yang cemerlang oleh KRU dan menegaskan itu rakaman di studio. Secara langsung tentu lain pula ceritanya. Adam buat sahajalah apa yang beliau suka, lagipun ini minggu terakhir.

Kaer dengan Sway agak baik. Selesa dengan lagu tersebut, menambahkan keyakinan beliau. Sebuah dendangan yang menarik dari Kaer. Benar saya terpegun mendengarnya. Begitu juga dengan Zahid yang dapat mempelajari teknik terbaru nyanyian asal Broery Marantika. Cikgu Adnan nampak selesa untuk mengajar teknik baru yang boleh diguna-pakai untuk lagu tersebut kepada Zahid dan Kaer. Bukan masanya di minggu kesepuluh untuk Cikgu Adnan memberi komen tentang pitching dan sumbang. Untuk Zahid dan Kaer, Cikgu Adnan memberi idea tentang teknik. Untuk sesetengah pelajar, Cikgu Adnan memberi komen tentang pitching. Jadi, kita sudah boleh agak di mana taraf mereka sebagai pelajar. Baik buruk, pengundi yang tentukan.

Bob dan Zahid saya merasakan mereka agak kurang bernasib baik kerana menerima lagu yang kurang popular. Berbeza dengan Farah yang membawakan sebuah lagi lagu Inggeris bertajuk Sk8er Boi dan Linda yang membawakan lagu Only You versi Spanish. Farah membawakan sebuah lagu yang agak rancak maka stamina beliau perlu ditingkatkan. Linda rasanya tidak mempunyai masalah besar untuk lagu tersebut.

Kau Kembali
Lagu: Johan Farid Khairuddin
Lirik: Omar Khan
dari http://cybersonique.org/

Mengapa langit nan biru
Mengapa daun 'kan gugur
Oh mengapa dunia kelam tanpa mentari
Mengapa bertahun lama kau pergi
Haruskah diri membenci
Namun hati terus rela menerima
Kedatanganmu

(Chorus)
Kau kembali
Membawa sinar cahya
Ayahanda
Kau pulangkan sinar mata di Bonda
Ayahanda
Kau terangi sudut hati yang kelam
Usahlah dikenang kisah yang lama lagi
Ayah, kau kembali

Ku ingin mendakapimu
Tapi langkah masih kaku
Namun aku
Teguh mengorakkan senyuman
Oh Ayah
Mengapa bukan dahulu
Kau hadir dalam hidupku
Ku keliru
Namun ingin sekali ku
Mengenalimu

Repeat chorus

(Bridge)
Tiada kata yang dapat ku gambarkan suasana
Pahit getir namun aku telah sedia
Untuk rela memaafkan seribu dosa lama
Dari hidup sesaat lagi tanpa mu
Oh Ayah

(Repeat chorus)

Kaer menghadapi sedikit masalah kerana tidak mendapat lirik yang betul untuk lagu tersebut. Mungkin juga sememangnya dirancang agar satu pertemuan bersama pencipta lagu tersebut dapat diadakan di Akademi. Menurut pencipta lagu tersebut di blognya, beliau akan dibawa bertemu dengan Kaer ke dalam Akademi. Jika Kaer mendapat lirik seperti yang di atas tentunya lagu Kau Kembali akan menjadi popular terutamanya apabila Kaer berjaya menyampaikan lagu tersebut dengan cemerlang.

Jika di Akademi Fantasia I, Menuju Puncak Broadway dibawakan sewaktu Kemuncak Konsert, untuk Akademi Fantasaia II melodinya masih lagi menjadi rahsia. Kita hanya dapat melihat sebuah koreograf baru yang dipadankan untuk enam orang pelajar. Apakah kejutan yang bakal dibawakan melalui melodi lagu Menuju Puncak ?

Imbas
Mengimbas masa silam memang merupakan saat paling menyeronokan lebih-lebih lagi apabila bercerita tentang yang manis. Mereka mengimbas kembali detik pertemuan pertama mereka dan persepsi mereka terhadap setiap pelajar. Ada yang positif, ada yang negatif, tetapi itu sekadar pandangan pertama mereka. Pandangan masing-masing tentunya berbeza sekarang, mungkin berubah, mungkin tidak. Ada yang kata saya kayu, ada yang kata saya tidak boleh bercakap, tetapi ia tidak akan mengubah pendirian saya tentang diri saya sendiri.

Quote of The Day: “Kaer jenis lambat nak rapat dengan orang.”

Koreograf Farah dan Adam
Kedua-duanya perlu memberikan kelainan pada aspek persembahan agar penonton dapat melupakan kekurangan faktor vokal pada lagu berkenaan. Berikan satu showmanship yang amat cemerlang untuk mengaburi mata penonton. Cikgu Linda diharapkan dapat mencipta sedikit kelainan kepada koreograf lagu Ooo La La. Farah bakal menghadapi cabaran yang besar untuk lagu Sk8ter Boi kerana sebuah lagu yang agak rancak dan dalam bahasa Inggeris.

Entri oleh sultanmuzaffar 09 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 10-01-02

Wasiat Mas
Akademi Fantasia telah mengubah hidup seorang ibu tunggal beranak dua yang berasal dari Tawau menjadi seorang bintang. Walau sebagaimana buruk sekalipun persembahan beliau, kini telah lahir sebutir lagi bintang ciptaan Akademi Fantasia. Tugas utama untuk terus menggilap gemerlapan bintang tersebut terletak kepada keinginan dan usaha Mas untuk memperbaikinya. Kegigihan Mas menjadi nadi utama agar bintang yang telah terlahir terus menyinar. Untuk menjadi bintang tidak sesukar yang disangka. Sesaat diterima menjadi pelajar Akademi Fantasia, terus jadi bintang. Tetapi untuk mengekalkan status bintang itu bukan mudah. Untuk terus berada di tangga pertama memang sukar.

Dari seorang pengipas sate kini Mas mendaki puncak untuk terus mencipta nama di persada seni. Kini saingannya bukan sekadar Zahid, Linda, Kaer mahu pun Fitri. Saingannya lebih besar dan cabarannya semakin sukar. Mahu tidak mahu, Mas telah pun merelakannya. Keinginannya untuk mengubah kehidupan anak-anaknya pasti menjadi kenyataan sekiranya disorong dengan kemahuan yang besar darinya.

Seorang blur yang kita kenali melalui Diari Akademi akan tetap menjadi blur di dunia luar. Itu pastinya tidak akan berubah. Beliau telah berpeluang untuk melihat satu dunia baru yang mungkin beliau sendiri tidak pernah mimpikan. Sifat beliau menjadi pujaan pada awal-awal Akademi Fantasia disiarkan dan lama-kelamaan menjadi kebencian penonton.

Mas mempunyai asas peminat yang betul-betul kukuh. Itulah yang telah dibuktikan oleh mereka melalui undian SMS dan kekecohan chat di Saluran 15. Semoga sokongan ini berterusan sampai bila-bila dan pastinya Mas memerlukan sokongan ini berpanjangan sampai bila-bila bukan sekadar sokongan pasang siap. Buktikan, saya ingin lihat sejauh mana.

Quote Of The Day: “Jangan benci ayah”, bisik Mas kepada Kaer.

Encik Julian Menghilang atau Dihilangkan atau Kehilangan ?
Timbangan berat dilakukan oleh setiap pelajar. Sesuatu yang unik kali ini ialah timbangan berat yang selama ini tugasnya diamanahkan kepada Encik Julian, tiba-tiba diambil alih oleh Bob. Di mana Encik Julian ?

Lagu Baru
Kaer
Sway oleh Michael Buble
Kau Kembali ciptaan Johan Farid Khairuddin

Zahid
Biar Bulan Bicara oleh Broery Marantika
Sebuah lagu ciptaan Cat Ruffedge

Adam
Ooo La La oleh KRU
Sebuah lagu ciptaan Ajai

Bob
Gadis Sarawak oleh Hasnol
Cinta Seorang Teman ciptaan Adnan Abu Hassan

Farah
Sk8er Boy oleh Avril Lavigne
Tangisan Dalam Kerinduan ciptaan Adnan Abu Hassan

Linda
Masih belum disiapkan. Selamba sahaja walaupun Linda diarahkan untuk meningkatkan usahanya dua kali ganda daripada pelajar lain. Tidak mendapat lagu pada masanya tidak memberi apa-apa kelebihan kepada Linda. Sememangnya mereka sudah menjangka yang Linda mampu melakukannya.

Adam memohon untuk dibawakan DanceKRU untuk mengiringi tarian beliau sewaktu Kemuncak Konsert hujung minggu ini. Di penghujung Diari Akademi, kita dapat mendengar Adam membawakan lagu Memories dengan “gaya”nya yang tersendiri. Sebuah persembahan yang pernah mendapat pujian melangit dari saya tiba-tiba dirosakkan dengan nyanyian Adam. Saya terbayangkan KRU membawakan lagu ini. Saling tidak tumpah. Cubaan Adam untuk mengumpan hati kecil pengundi-pengundi wanita dan budak sekolah perempuannya dengan lagu romantis Unchained Melody ternyata tidak langsung menarik minat saya.

Entri oleh sultanmuzaffar 08 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIImbasan Akademi Fantasia IX

Bersama Zainir Aminullah dan Ramli MS
Apakah rasional AFMASUK ?
Encik Zainir Aminullah berpendapat ini adalah salah satu kejutan yang ada di dalam Akademi Fantasia. Berdasarkan format yang diambil dari La Academia Mexico, penggunaan wildcard ada dipraktikkan untuk pertandingan seperti ini.

Saya berpendapat sekiranya sesuatu peraturan boleh diubah sewenang-wenangnya dan dianggap satu kejutan maka format pertandingan serta system penjurian juga boleh ditukar mengikut kesesuaian. Oleh yang demikian, adalah tidak salah sekiranya pihak penerbitan juga menukar system penjurian penghakiman dalam pertandingan ini dan memansuhkan system SMS. Benar AFMASUK boleh mendatangkan kebaikan kepada penonton apabila mereka diberi pilihan untuk mendapat peluang kedua. Begitu juga dengan system penghakiman bila mana system penghakiman mampu memberikan keputusan yang lebih telus serta bersifat lebih professional.

Menurut Ramli MS, sesiapa sahaja boleh masuk semula ke Akademi Fantasia. Bukan kehendak Pengetua tetapi kehendak penonton. Penerimaan semula pelajar hendaklah disertai dengan kesungguhan untuk mengejar tahap ilmu yang telah ada pada pelajar lain. Setiap pelajar perlu melakukan penyesuaian untuk terus bergandingan dengan pelajar lain yang telah terpilih ke peringkat akhir. Kerjasama yang ditunjukkan oleh setiap pelajar amat jelas tetapi harus diingat yang Puan Fatimah Abu Bakar pernah sekali menyatakan yang pelajar Akademi Fantasia kali ini lebih bijak menyembunyikan apa yang mereka rasakan. Walaupun ada persaingan tetapi mereka tidak tunjukkan secara jujur. Mereka bijak menutup persaingan tersebut.

Saya meragui system AFMASUK yang dilaksanakan. Dalam waktu yang sama system AFUNDI berjalan. Kedudukan terkini AFUNDI pada 6 petang ialah :

ADAM 23%
ZAHID 23%
FARAH 21%
KAER 19%
BOB 13%

Sekiranya pelajar yang terpilih untuk menyertai semula Akademi Fantasia, apakah undiannya bermula dengan kosong. Tentu agak sukar untuk beliau mengejar. Mungkin juga sejumlah undi yang pernah tidak dapat masuk kepada pelajar tersebut pada malam beliau disingkirkan akan digunakan semula untuk tujuan tersebut.

Kredibiliti Akademi Fantasia yang sepatutnya bersih setelah penyingkiran Mas pada Konsert IX semalam telah sedikit tercalar dengan kejutan AFMASUK yang menerima semula pelajar yang telah tersingkir untuk meneruskan pengajian di Akademi Fantasia. Ia akan dianggap sebagai tempat bahan buangan atau recycle barang terbuang. Menang atau pun tidak ia tetap bergantung kepada undian penonton. Sekiranya tercalar, yang mencalarkan kredibiliti Akademi Fantasia kesalahannya diletakkan di bahu pengundi. Itu yang disebut oleh Pengetua Ramli MS. Pengundi hanya alat untuk membuat kejutan dan mencapai impian sesetengah pihak.

Sekali lagi saya mencadangkan agar Bintang AFMASUK, ada sebab saya panggil Bintang AFMASUK kerana pelajar tersebut telah pun bergelar bintang dan didedahkan dengan dunia luar yang begitu menyeronokkan. Ada di antara mereka yang telah ditawarkan untuk berlakon filem arahan Datuk Yusof Haslam, ada juga yang telah membuat persembahan di Istana Budaya, ada juga di antaranya yang telah disenarai pendek untuk menjadi model iklan produk teknologi maklumat tempatan, ada yang telah berpeluang untuk mengadakan persembahan bersama Siti Nurhaliza dan macam-macam lagi. Bintang AFMASUK ini hanya diberikan peluang untuk membuat persembahan khas bersama-sama Lima Pilihan Terbaik di Kemuncak Konsert minggu hadapan. Beliau tetap meneruskan pengajian di Akademi, diberikan dua buah lagu, satu lagu baru dan satu lagu lama, menari bersama-sama untuk lagu Menuju Puncak dan sebuah lagu bonus, diberi kejutan seperti pelajar lain tetapi tidak dimasukkan dalam senarai undian untuk memilih Juara. Ini lebih adil.

Bersama Mas
Seorang yang nampak keliru dan adakalanya beliau tidak menjawap persoalan yang diberikan oleh Aznil. Berkali-kali beliau menyatakan tujuan utama beliau datang ke Akademi Fantasia adalah untuk belajar tetapi belajar yang bagaimana tidak dinyatakan. Semangat itu tidak dapat kita lihat di dalam Akademi. Perubahan kecil itu hanya dapat kita lihat dan tidak besar.

Satu yang unik tentang Akademi Fantasia, sifat dorongan, kasih saying, kerjasama, saling mengambil-berat dan persahabatan di antara pelajar sememangnya wujud sesame mereka. Memang sukar untuk meninggalkan dua orang anak yang masih kecil tetapi mereka tetap di hati Mas.

Jawapan gurauannya tentang lagu yang paling disukainya itulah yang akan kita rindui di dalam Akademi Fantasia. Beliau banyak menjawap setiap soalan dengan gurauan dan tidak begitu serius. Seakan cuba untuk menyembunyikan kesedihannya.

Suka untuk saya mengingati semula jawapan yang diberikan oleh sepupu Mas tentang bagaimana tindakan Ramli MS terhadap Mas yang disiarkan kepada umum. Beliau tetap menganggap perlunya ada penapisan dan adegan sedemikian tidak sewajarnya tidak disiarkan kepada umum.

Kedudukan Setelah Konsert
Adam 20%
Farah 18%
Zahid 18%
Kaer 15%
Bob 15%

Kemaskini jam 8.34 malam
Diari Khas Akademi Fantasia
Linda terpilih untuk diserapkan semula ke Akademi Fantasia untuk menyertai Adam, Kaer, Bob, Farah dan Zahid di Kemuncak Konsert Akademi Fantasia II pada minggu hadapan.

Entri oleh sultanmuzaffar 07 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIKonsert IX Akademi Fantasia: Semoga Dimurahkan Rezeki

Main Shaayar To Nahin 7/10
Sebuah lagu yang biasa tetapi kurang menghiburkan. Elemen kekaguman tidak berjaya ditonjolkan melalui lagu ini. Saya lebih menyukai terjemahan ke bahasa Melayu lagu ini berbanding bahasa Urdu. Kekurangan lagu ini bermula dengan elemen lakonan yang kurang menjadi dan tidak menyengat tidak seperti pembacaan puisi Mata Ayah untuk lagu Jangan Pisahkan.

Kedudukan Sebelum Konsert
Adam 19%
Zahid 17%
Bob 16%
Mas 16%
Kaer 16%
Farah 16%

Pengkritik Profesional
Eksploitasi Pak Abas Macam-Macam Ada merupakan satu yang agak memalukan. Bukan itu caranya untuk mengundang tawa penonton. Tempat Pak Abas bukannya di situ jika sekadar untuk mengurangkan ketegangan malam tersebut. Cukuplah Pak Abas sekadar menjadi penonton sudah memadai. Tidak cukup dengan penampilannya sebagai pengganti Misha Omar, sekali lagi Pak Abas diundang untuk hanya sekadar meluahkan perkataan Macam-Macam Ada. Membuat rakaman juga sudah memadai. Apa gunakan skrin yang besar jika sekadar memaparkan animasi. Keadaan fizikal dan kesihatan Pak Abas juga perlu diambil kira. Misha Omar yang menggantikan Pak Abas mengambil tempat dalam keadaan yang agak kelam-kabut. Pak Abas tiada pembantu yang membantu beliau. Komen-komen dari Misha Omar agak menjaga hati dan tidak begitu telus. Begitu juga dengan Jalaluddin Hassan yang ternyata lemah dengan perempuan.

Persembahan Pelajar
Akademi Fantasia IIZahid – Cek Mek Molek 8.8/10
Mengapa saya kurang memberi markah kepada lagu ini ? Sebabnya kerana beliau tidak membawakan lagu ini dengan identity yang tersendiri. Segala-galanya ditiru, dari cara berpakaian hinggalah kepada gigi emasnya. Kalau sekadar parodi ia adalah satu yang sukar untuk diterima.

Kejutan yang diterima oleh Zahid juga amat melampau dan bertubi-tubi. Mewujudkan ketidakadilan kepada pelajar lain. Lepas satu satu kejutan yang beliau terima walaupun ada di antara pelajar lain yang jarang mendapat kejutan.

Showmanship yang dipersembahkan oleh Zahid juga bagus begitu juga dengan keyakinannya yang semakin menyerlah setiap minggu. Beliau mampu membawakan pelbagai rentak dengan jayanya. Berilah apa sahaja lagu, beliau membawa lagu tersebut dengan acuannya yang tersendiri. Sayangnya, persembahan pada minggu ini agak kurang sedikit berbanding minggu-minggu yang sebelumnya. Zahid tidak berpeluang untuk menggunakan ideanya untuk membawa lagu ini mengikut gayanya kerana terikat dengan nasihat Pengetua Ramli MS. Kemunculan Dato’ M. Daud Kilau mengganggu sedikit tumpuan Zahid yang terkejut dengan kemunculan tersebut. Sebuah persembahan yang hebat tetapi bukan untuk Kemuncak Konsert. Zahid mampu melakukan lebih daripada apa yang dipersembahkan malam itu pada minggu hadapan.

Akademi Fantasia IIFarah – Mengapa 9/10
Kejutan yang dipaparkan di skrin besar mempamerkan kematangan diri Farah. Cara beliau menerangkan kepada Adam jelas matang dan berfikiran lebih jauh lebih daripada Adam yang nampak sangat sempit dan singkat. Farah bijak menangkis kata-kata harapan tinggi (baca:sombong) dari Adam sehingga Adam sendiri terdiam. Kematangan inilah yang jarang ada pada seorang yang usianya lebih muda berbanding pelajar lain.

Segalanya cukup dalam persembahan Farah. Beliau membawakan lagu ini bermula dengan nada rendah sehinggalah yang paling tinggi dengan berkeyakinan tinggi serta selesa. Selesa dengan lagu tersebut telah melonjakkan keyakinan beliau dalam melontarkan vokalnya dengan bersahaja. Penonton terpukau dengan persembahan Farah. Saya suka cara Farah membawa lagu tersebut secara yang amat dinamik menuju puncaknya. Momentum persembahannya terkawal dengan baik oleh Farah. Lebih menarik apabila showmanshipnya kena sangat dengan melodi lagu tersebut. Ia amat memadai iaitu tidak berlebihan dan tidak kurang. Ekspresi wajah beliau juga difokuskan untuk menyampaikan mesej lagu tersebut dengan berjaya.

Tunjang utama kekuatan persembahan Farah ialah apabila beliau berjaya membawa nada rendah lagu tersebut dengan cemerlang. Segala masalah dan kelemahan beliau pada minggu-minggu sebelum ini telah diatasi oleh beliau dengan jayanya. Beliau mampu pergi lebih jauh dengan kemantapan vocal yang beliau ada sekarang.

Akademi Fantasia IIKaer – Fantasia 8.5/10
Saya cuba membuang imej Hazami dalam lagu ini. Ternyata saya berjaya. Saya buang jauh-jauh imej Hazami dan cuba membayangkan Kaer menyanyikan lagu tersebut. Jika digandingkan Hazami dan Kaer menyanyikan lagu ini, sudah pasti saya akan lebih menumpukan perhatian untuk Kaer. Kaer membawakan lagu ini dalam keadaan yang lebih selesa. Beliau tidak tertekan cuma sedikit tercungap-cungap pada penghujung lagu tersebut. Saya suka dengan koreograf tarian yang ditarikan oleh Kaer. Nampak lebih professional dan pergerakannya indah serta selari dengan penari latar tanpa banyak kesilapan. Beliau membawakan lagu ini dengan gayanya yang tersendiri serta penggunaan teknik yang memadai untuk mencantikkan lagi lagu tersebut.

Tumpuan saya banyak terfokus kepada tarian Kaer yang agak menarik pada minggu ini. Vokal beliau masih boleh dibaiki dan tidak banyak yang boleh diubah kerana sela vocal yang tidak besar. Kaer perlu mendalami teknik-teknik nyanyian dan teknik vocal untuk menvariasikan lagi nyanyiannya. Tanpa teknik, nyanyiannya akan menjadi hambar. Kaer perlu meningkatkan prestasi beliau pada showmanship dan gerak pentas untuk mengumpan perhatian penonton. Penguasaan pentasnya untuk lagu ini sememangnya hebat. Beliau nampak selesa dengan lagu pilihannya itu.

Akademi Fantasia IIBob – Laguku Untukmu 7.2/10
Sebuah persembahan yang hambar dari Bob. Bob cuba untuk menghayati lagu tersebut dengan baik tetapi sayangnya mesej tersebut tidak berjaya sampai ke penonton dengan baik. Beliau telah membawakan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri tetapi kesilapan terlupa lirik bukan sekali, bukan dua kali telah merosakkan sedikit persembahannya. Saya tidak faham apa masalah Bob bila mana seringkali terlupa lirik apabila membuat persembahan. Mungkin juga di penghujung-penghujung minggu keyakinannya sedikit terganggu kerana menghadapi saat-saat penyingkiran pelajar lalu emosinya tidak begitu konsisten.

Beliau mempunyai vocal yang mantap. Kelunakan dan kemerduan suaranya memang tiada tandingan. Sayangnya keyakinan diri seringkali menggugat beliau untuk memberikan sebuah persembahan yang penuh emosi. Beberapa kali beliau gagal mendapatkan emosi tersebut. Nyanyiannya tidak datang dari hati yang jujur dan nampak begitu dibuat-buat. Sebuah lagu yang menarik tidak berjaya disampaikan dengan penuh emosi oleh Bob. Namun demikian, ekspresi wajah beliau walaupun tidak begitu asli datang dari hati, beliau telah berjaya memberikan satu gambaran ekspresi melalui mesej lagu tersebut dengan berjaya.

Akademi Fantasia IIAdam – Bila Larut Malam 8.3/10
Tangisan Adam pada awal minggu menerima lagu Bila Larut Malam sememangnya meresahkan sebilangan pengundi-pengundinya. Beliau berjaya mengumpan tangisan tersebut dan menggantikannya dengan SMS dan ternyata berjaya menduduki takhta Carta Kedudukan Sebelum Konsert. Adam yang ternyata tidak selesa dengan lagu tersebut telah mendapat semangat dari Cikgu Fauziah Nawi serta kumpulan KRU pada minggu tersebut. Semangat beliau semakin melonjak dengan kehadiran Seniman Aziz Satar yang muncul sebagai kejutan untuk mengumumkan persembahannya.

Kekuatan utama persembahan Adam ialah penguasaan pentas Adam yang semakin bertambah baik. Beliau mempunyai karisma yang tinggi sebagai seorang penghibur tetapi bukan sebagai Juara Akademi Fantasia. Tumpuan penonton terpaku melihat persembahannya dari awal sehingga akhir tanpa jemu. Satu perkara yang harus dipuji ialah kemantapan vocal beliau pada minggu ini yang begitu jauh berbeza dari minggu-minggu yang sebelum ini. Beliau berjaya mengawal vocal beliau dengan baik. Saya melihat kesungguhan Adam untuk memuaskan hati penonton dan telah memberikan sebuah persembahan yang baik. Memberikan satu jiwa baru pada susunan muzik lagu ini untuk terus menjadi ikutan oleh para generasi baru. Kelebihan itulah yang telah dipergunakan oleh Adam untuk membawa lagu ini dengan baik.

Akademi Fantasia IIMas – Aku Cinta Padamu 7/10
Ini persembahan terbaik Mas. Saya cuba memberikan tumpuan kepada setiap saat persembahannya. Benar dan sememangnya benar beliau mempunyai vocal yang unik tetapi sayangnya beliau tidak menggunakannya dengan baik. Kelemahan utama Mas ialah kesungguhan beliau mengawal pengeluaran vokalnya dengan bijak serta terancang. Saya lebih menyukai apa yang dipersembahkan oleh Mas sewaktu sesi latihan dengan Cikgu Adnan Abu Hassan. Interaksi beliau dengan kamera amat baik dan beliau berjaya membawa penonton untuk menikmati persembahannya. Menyanyi sambil berdiri sememangnya agak sukar apabila sebuah lagu tersebut mempunyai bridge yang agak panjang. Mas hilang fokus sewaktu bridge lagu tersebut. Ekspresinya hilang seketika dan penghayatannya pergi. Mas harus serius menyiapkan kerjanya sehingga selesai untuk menghasilkan sesuatu yang cemerlang. Sayang, bakat yang ada tidak dipergunakan dengan betul.

Sebagai seorang pelajar Akademi Fantasia, Mas ialah antara pelajar yang paling kurang mendapat kejutan berbanding Zahid dan Kaer. Tidak seperti mereka yang bertubi-tubi menerima kejutan untuk menaikkan semangat mereka serta cubaan untuk mempopularkan pelajar tersebut. Kejutan untuk Mas hanya kemunculan keluarga Mas yang diterbangkan dari Tawau untuk bertemu Mas di Konsert II. Klip video untuk Mas sebelum persembahan juga tiada sejak dua minggu kebelakangan ini. Ia merupakan satu perkara yang amat mengecewakan. Sekurang-kurangnya disuntik semangat baru untuk Mas dengan ucapan dari Sheila Majid ataupun Datuk Sharifah Aini pada minggu lepas.

Akademi Fantasia II
Greatest Love Of All 8/10
Tunjang utama persembahan ini tentu sekali milik Farah. Walaupun persembahan ini tidak sehebat Memories ia tetap sebuah persembahan yang menghiburkan. Rata-rata penonton hanya memberikan focus kepada Farah melontarkan vocal beliau di bahagian tinggi serta dibantu Zahid dan Kaer sekali-sekala.

Akademi Fantasia IIMenuju Puncak
Debaran semakin kencang. Semangat Menuju Puncak semakin dirasai apabila terpancar di skrin besar keduabelas orang pelajar Akademi Fantasia menari bersama-sama dalam satu koreograf yang sama untuk lagu Menuju Puncak. Pancaran skrin jelas membayangkan yang salah seorang dari pelajar tersebut walaupun telah bergelar bintang dan berada di bawah mampu untuk turut sama memeriahkan Kemuncak Konsert minggu hadapan. Persembahan terakhir mereka berenam dengan lagu Menuju Puncak seakan tidak dipedulikan kerana keputusan penyingkiran lebih penting untuk diketahui. Menggunakan konsep American Idol, Aznil Hj Nawawi memberikan satu senario baru kepada Akademi Fantasia. Dipanggilnya seorang demi seorang untuk berdiri saling bergandingan sambil keputusan dibacakan. Debaran semakin kencang apabila nama Adam dan Bob diumumkan untuk tampil ke hadapan. Jeritan nama Adam seakan-akan menidakkan peluang Bob. Bob hanya tersenyum pahit. Dalam debaran, nama Adam diumumkan untuk mara ke peringkat akhir pada minggu hadapan. Kaer kemudiannya dipanggil untuk menyertai Bob. Sekali lagi jeritan nama Kaer meresahkan Bob. Emosi Bob sememangnya terganggu. Mujur nama Bob diumumkan untuk terus mara ke peringkat akhir. Kerisauan Kaer sedikit reda apabila nama Farah diumumkan untuk menyertainya di sebelah Kaer sebelum pengumuman dibuat. Memang meresahkan. Debaran semakin kencang. Kedua-duanya saya mahu mereka berada di Kemuncak Konsert minggu hadapan tanpa ada alasan yang menidakkan peluang mereka. Mereka kemudiannya diumumkan untuk mara ke peringkat seterusnya bersama-sama. Jelas terbayang wajah lega pada kedua-dua wajah tersebut. Kegembiraan mereka hanya dapat diekspresikan melalui pegangan erat tangan-tangan mereka. Memang saya merasai kekurangan pada Akademi Fantasia kali ini dimana tiada pelukan-pelukan kegembiraan dilakukan pada musim ini. Tinggal satu sahaja tempat untuk terus mara ke minggu hadapan.

Antara Mas dan Zahid.

Zahid, persembahannya konsisten dan bakatnya terserlah dari setiap minggu. Perubahannya besar. Keyakinannya bertambah. Cuma asas pengundinya kurang dan tidak begitu kukuh kerana itu kedudukannya tidak begitu sentiasa selesa walaupun persembahannya hebat.

Mas, punya vokal yang unik tetapi tidak memaksimakan kelebihan itu untuk berada di puncak. Simpati penonton yang menilai tinggi bakatnya sememangnya sukar digugat. Katalah apa sahaja. Mas tetap diva di mata mereka.

Penonton sudah seakan tidak sabar untuk mendengar nama Zahid diumumkan sebagai peserta terakhir layak ke Kemuncak Konsert minggu hadapan. Jantung hampir luruh apabila Aznil mengucapkan Tahniah kepada Mas yang hanya mampu bertahan sehingga Konsert IX.

Akademi Fantasia II
Quote of The Day : Semoga Dimurahkan Rezeki !

Satu kenyataan yang datang dari hatinya yang jujur dan bersih. Buat Mas, jujur sahaja tidak cukup untuk menjadi seorang penghibur yang berjaya. Anda harus melengkapkan diri anda dengan ilmu untuk terus dihormati sebagai seorang penghibur serba-boleh. Menyingkap kata-kata Misha Omar, sekiranya Mas diberikan sedikit lagi masa tentunya beliau mampu membuktikan kepada seluruh penonton yang ingin beliau membuktikan kata-kata itu.

Kejutan AFMASUK
Satu yang mengejutkan. Saya sememangnya tidak bersetuju dengan AFMASUK walaupun mengharapkan Linda atau Zarina beraksi semua di Kemuncak Konsert Akademi Fantasia II.

AFMASUK sekiranya diteruskan, diharapkan hanya sekadar untuk memilih seorang bintang untuk beraksi bersama-sama Lima Pilihan Terbaik di Kemuncak Konsert. Kemunculan Bintang AFMASUK Akademi Fantasia hanya sebagai faktor hiburan untuk menceriakan lagi malam tersebut. Bintang AFMASUK tidak turut bertanding bersama-sama Lima Pilihan Terbaik sedia ada.

Bintang AFMASUK hanya membuat persembahan bersama-sama mereka. Mendapat sebuah lagu baru, menyanyi sebuah lagu lama, menari lagu Menuju Puncak dan bersama-sama bintang Akademi Fantasia yang lain untuk sebuah lagu bonus. Itu lebih sesuai.

Saya memikirkan perasaan pelajar yang terpilih ke peringkat akhir. Tentunya merasa tercabar dengan keputusan tersebut. Keadilan kepada pengundi-pengundi mereka juga seakan tercalar.

Sekiranya peraturan boleh diubah, maka tidak mustahil perubahan kepada sistem penjurian juga boleh diubah. Tuntutan dari penonton setelah melihat berlakunya perubahan drastik kepada peraturan pertandingan bakal menyebabkan tuntutan yang lebih hebat lagi.

Saya memilih untuk AFMASUK ZARINA dan AFMASUK LINDA. Persaingan hebat tentunya antara mereka berdua. Hanya itu pilihan saya. Jikalau boleh AFKELUAR, saya mahu AFKELUAR ADAM.

Persembahan Terbaik SM
Farah – Mengapa 9/10
Zahid – Cek Mek Molek 8.8/10
Kaer – Fantasia 8.5/10
Adam – Bila Larut Malam 8.3/10
Greatest Love Of All 8/10
Bob – Laguku Untukmu 7.2/10
Main Shaayar To Nahin 7/10
Mas – Aku Cinta Padamu 7/10

Nota: Nantikan Menilai Peningkatan Enam Pelajar ke Kemuncak Konsert Akademi Fantasia dan Anugerah Akademi Fantasia.

Entri oleh sultanmuzaffar 06 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 09-09-10

Keserasian Berkawan
Keserasian berkawan itu diperoleh setelah kita mengenali seseorang kawan itu dengan lebih lama dan lebih mendalam. Minat yang sama turut memainkan peranan yang penting dalam mengutuhkan lagi perhubungan tersebut. Itulah perkara yang ditekankan oleh Zahid apabila Cikgu Fauziah bertanyakan kepadanya tentang hobi beliau yang suka memancing. Zahid mengharapkan temannya juga suka memancing. Dari situ keserasian itu timbul. Keserasian tidak datang dengan pantas ia harus dipupuk. Keserasian yang terjalin juga amat sukar untuk dibuang.

Main Shaayar To Nahin
Saya mula menyukai lagu ini. Semangat pelajar semakin bertambah apabila menyanyi dalam bahasa Melayu. Keyakinan mereka lebih terserlah pada bahagian Melayu. Melebihkan latihan untuk bahagian bahasa Urdu tentunya akan mengindahkan lagi lagu ini. Penonton dewasa yang agak veteran tentunya dapat menghargai persembahan mereka.

Kelas Vokal Cikgu Adnan Abu Hassan
Sememangnya Farah nampak agak menyeksakan dengan lagu ini walaupun lagu ini adalah lagu pilihan dan kegemarannya. Menilai vokal beliau sememangnya sampai dan menepati nada yang dikehendaki. Beliau tidak menghadapi banyak masalah.

Pandangan saya berbeza dengan nyanyian Mas untuk lagu Aku Cinta Padamu. Bukan kerana saya fanatik Sheila Majid tetapi kerana persembahan vokal beliau yang agak berbeza untuk lagu ini. Lagu tersebut telah diberikan satu nafas baru dengan gaya yang agak berbeza.

Saya tertarik dengan emosi yang dibawakan oleh Bob untuk lagu ini. Vokal beliau memang sedap didengar. Ada keunikan pada vokalnya. Nyanyian Kaer bertambah baik cuma masih belum cukup punching untuk sebuah lagu yang agak rancak. Masih tidak cukup penghayatan untuk membuatkan penonton turut sama menghayati lagu tersebut. Berbeza dengan persembahan Mentera Semerah Padi beliau yang dapat membawa penonton menyanyi bersama-sama.

Adam membawakan lagu ini dengan gayanya yang tersendiri. Membawa melodi lagu ini berdasarkan citarasanya. Walaupun terdapat beberapa bahagian yang agak terbabas dan tidak kena dengan melodinya. Vokal sememangnya tiada masalah untuk Zahid. Beliau menyanyikan lagu tersebut dengan baik. Nyanyian lagu Greatest Love Of All juga tidak seperti yang saya harapkan. Saya kurang menggemari lagu ini. Tidak harmoni di kalangan pelajar.

Wasiat
Mereka diminta untuk menulis wasiat mereka yang terakhir pada hari tersebut. Mereka harus mengimbas kembali segala kenangan sewaktu di Akademi Fantasia. Mereka juga perlu menulis tentang sambutan peminat-peminat mereka terhadap persembahan mereka sewaktu Konsert. Saya dapat merasakan motif kandungan wasiat kali ini lebih menjurus untuk mengetahui isi hati Mas. Kita hanya dapat membaca apa yang ditulis oleh Mas sekiranya beliau tersingkir.

Panggilan Telefon
Sudah agak lama mereka tidak berpeluang untuk berbual-bual dengan keluarga mereka dan mereka diberi peluang itu. Bagaimana agaknya perasaan mereka setelah lama tidak dapat bercakap dengan keluarga mereka. Tentu sekali keinginan itu ada. Saya juga punya keinginan tetapi perlu akur dengan kehendaknya. Ulasan ini juga terganggu kerana panggilan telefon dari ERA. Saya berjaya mendapatkan tiket untuk menonton Konsert Akademi Fantasia IX malam esok.

Unplugged
Adegan nyanyian lagu Bunga Bunga Cinta dendangan Farah dan Zahid adalah usaha terakhir telenovela yang tiada pada Akademi Fantasia musim ini. Mungkin disebabkan ketiadaan telenovela yang menyebabkan minggu-minggu terakhir di Akademi Fantasia agak hambar.

Penasihat Motivasi Yang Hilang Arah
Setiap kali hari Jumaat saya akan diganggu dengan adegan kelas Motivasi yang boleh saya sifatkan hilang arah dan tersasar tujuan. Saya harus melalui hari-hari itu untuk satu minggu lagi. Saya perlu mencadangkan agar pihak penerbitan mendapatkan Pakar Motivasi yang lebih berkaliber untuk menjadi motivator kepada pelajar yang tinggal di Akademi. Beliau turut mengharapkan pelajar mendapatkan idea untuk aktiviti pagi tersebut. Beliau sewajarnya menyiapkan perancangan untuk menghadapi kelas-kelas tersebut.

Bersama Pengetua
Bob
Pada pandangan saya nyanyian Bob sudah memadai. Segalanya cukup. Penghayatan beliau juga bagus. Saya sudah boleh terbuai dengan vokal beliau. Mahu mendengar lagu tersebut dari mula sehingga habis.

Farah
Menilai dari persiapan Farah dan komen dari Pengetua, nampaknya Farah telah bersedia benar untuk lagu ini. Komen Pengetua juga positif. Farah cuma perlu menambahkan rasa senang dengan lagu tersebut. Saya perlu melihat persembahan Farah pada malam Konsert kerana sedikit kesilapan pada malam konsert tentunya akan mencacatkan persiapan tersebut.

Kaer
Kaer masih belum dapat feel untuk mengawal penonton serta membawa mereka bersama-sama ke dalam lagu tersebut. Mungkin juga kerana lagu ini bukan sebuah lagu yang popular seperti lagu Mentera Semerah Padi. Kaer boleh menari dengan baik dan harus menggunakan kelebihan tersebut untuk menarik perhatian penonton dengan pergerakan-pergerakan profesional dan mantap dari beliau.

Adam
Kesedihan menerima lagu ini pada awal minggu perlu ditukar dengan keyakinan pada penghujung minggu. Adam harus menyuntik keyakinan diri untuk sebuah lagu yang tidak disukai olehnya. Saya sudah boleh menyukai pembawaan cara Adam yang agak berbeza dengan versi lagu tersebut sebelum-sebelum ini.

Mas
Saya mendengar nyanyian Mas agak baik untuk lagu ini. Emosinya cukup untuk lagu ini dan penghayatannya bagus. Jika beliau menyanyikan lagu ini dengan hanya berdiri esok tentu lebih baik. Tanpa perlu bergerak, beliau boleh menyanyikan lagu ini dengan baik.

Zahid
Saya tidak faham kenapa berkali-kali Ramli MS menekankan agar Zahid menjadikan Dato’ M.Daud Kilau sebagai model untuk lagu ini sedangkan setiap pelajar harus mencari identiti sendiri.

Greatest Love Of All
Tanpa kerjasama yang dibina di dalam Akademi Fantasia, persembahan lagu Greatest Love Of All akan menjadi hambar dan kacau-bilau. Saya melihat persembahan ini tidak harmoni. Saya mengimpikan sebuah persembahan seperti lagu Khayalan yang disampaikan pada penghujung Konsert 8 iaitu penyingkiran terakhir sebelum Kemuncak Konsert.

Main Shaayar To Nahin
Saya lebih menyukai lagu ini berbanding Greatest Love Of All. Rasanya lagu ini akan didendangkan sebagai pembukaan. Boleh jadi juga sebagai penutup. Kesannya kepada penonton agak lebih berbanding lagu Greatest Love Of All.

Ramalan
Saya mahukan Mas disingkirkan dari Akademi Fantasia. Bukan kerana beliau tidak cantik, bukan kerana beliau tidak berpelajaran tinggi, bukan kerana beliau berasal dari Sabah dan juga bukan kerana beliau anak seorang penjual sate. Saya mahu Mas disingkirkan kerana peningkatan yang beliau tunjukkan di Akademi Fantasia amat rendah berbanding rakan-rakannya yang lain. Sememangnya sukar jika dinilai dari sokongan para peminatnya serata Malaysia. Kejujuran Mas tetap sebuah kejujuran. Yang membuatkan kita membenci Mas adalah kerana penyokongnya. Pilihan saya cuma Mas atau pun Adam. Saya sukar untuk membayangkan keadaannya sekiranya Aznil menyebut nama selain dari dua nama tersebut. Kejutan malam ini mungkin memberikan peluang kepada Nija untuk menyanyikan lagu Bila Larut Malam bersama Adam. Nija telah menunjukkan persembahan yang cemerlang sewaktu membawakan lagu Jelingan Manja.

Entri oleh sultanmuzaffar 05 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 09-07-08

Tayangan Filem Pendek Malaikat Di Jendela, Bukak Api dan Classroom
Date: Saturday, August 7, 2004
Time: 3pm – 5.00pm
Venue: Auditorium, Level 1,
Balai Seni Lukis Negara,
2, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak
53200 Kuala Lumpur, Malaysia
FREE/PERCUMA/BY DONATION (ketidakpastian)

Saya ingin menjemput anda semua beramai-ramai memeriahkan majlis ilmu ini. Saya akan berada di sana. Jumpa di sana !

Satu fakta yang menarik untuk kita sama-sama fikirkan. Saya pernah terbayang perkara yang sama berkenaan cubaan stesen tv saingan ASTRO untuk menjatuhkan kredibiliti Akademi Fantasia.

Assalamualaikum

dengan izin , SM...

Adakah benar pernyataan yang mengatakan Mas FC dan semangat 'parochial' yang mengekalkan Mas di AF2 ? Kalau parochial, mengapa Linda terkeluar ? kalau bukan parochial , apa penyebabnya ? adakah kemantapan Mas FC ? mungkin tidak kerana peratusan lepas konser sekadar cukup makan ?

Adakah benar suara suara halus yang menyatakan 'rival televison station(s)' yang menyelamatkan Mas untuk menjatuhkan kredibiliti AF sebagai rancangan hiburan ala Reality Show yang nombor satu dengan mengekalkan pelajar yang dipandang sebagai kurang berkemampuan dan seterusnya boleh menurunkan kualiti keseluruhan konsert/nyanyian AF.

Ada suara suara halus yang ketawa besar bila Mas di boo kerana dipercayai perbuatan tersebut telah menjatuhkan kredibiliti AF2.

Ada suara suara halus yang menjerit 'Yessss' bila zarina dan linda keluar dengan harapan penonton yang 'sensible'segera tukar channel TV untuk memuaskan keinginan intellectual mereka.

Adakah Mas diperalatkan untuk menjatuhkan AF ?

Sudah baca? kalau belum cuba rujuk Duel Of the divas di NST July 28, 2004 dalam halaman Life & Times!! coincident, i doubt so...

Apa tujuan Raja Azura di 'hantar' or perhaps di 'jemput' datang menonton AF konsert sejurus selepas final sebuah lagi rancangan nyanyian berbentuk Reality Tv Show oleh another rival TV show ?

BTW, mengapakah undian sms terlalu mahal ? FOMCA patut lawan perkara ini dan mestilah ada Regulators menentukan harga yang sepatutnya bagi kos sms untuk Reality TV Show.

ps: Please don't get me wrong, I voted for Mas for the the 1st 3 concerts to qualify myself as a non-anti-mas fan.
Cahaya Rumahku | Email | Homepage | 08.06.04 - 10:16 am | #


Fakta Menarik
Ukuran pinggang Zahid = 37
Ukuran pinggang Kaer = 28

Komen Foto
Sekali lagi perkara yang sama diulang-ulang walaupun menonton gambar-gambar lama. Jika pada minggu-minggu awal di Akademi Fantasia, sewaktu sesi ini adakalanya timbul rasa sedih seperti sewaktu menonton gambar setelah Fitri tersingkir. Tetapi pada minggu terakhir ini mereka lebih bergembira melihat gambar-gambar lama itu.

Bersama Pengetua
Kaer menyanyi dengan baik tetapi masih belum cukup bertenaga. Kalau Kaer bijak beliau mesti mampu melakukan seperti persembahannya untuk Mentera Semerah Padi. Beri jiwa yang kental pada lagu Fantasia. Impak lagu tersebut tidak berjaya dijanakan untuk memberikan sebuah persembahan yang bertenaga. Kedengaran agak biasa dan tiada unsur spektakular. Mungkin juga Kaer bijak menyembunyikan senjatanya untuk malam konsert itu kelak.

Benar tekaan saya, Bob mudah melaksanakan tugasnya untuk lagu ini. Beliau menyanyikan lagu ini dengan selamba. Saya suka dengan kawalan vokal beliau. Benar-benar kena dengan melodi lagu tersebut. Beri apa sahaja lagu, Bob dengan mudah dapat melaksanakan kerja dengan berjaya.

Kekuatan tenaga merupakan kunci utama untuk lagu Mengapa. Sukar saya bayangkan apabila melihat kesengsaraan Farah mendendangkan lagu tersebut. Saya lebih gemarkan lagu yang melodinya lebih releks dan sedap telingat mendengar. Lagu ini terlalu tinggi dan hanya jeritan yang dapat saya dengar. Farah harus mempelbagaikan teknik dan stail nyanyiannya untuk memberikan kelainan pada lagu tersebut.

Memang melodi lagu Bila Larut Malam nyanyian Adam agak berbeza dengan yang biasa kita dengar. Saya kurang gemar dengan nyanyian Adam yang mendatar dan tiada keunikannya. Pada pendengaran saya, tarikan vokal Adam ialah terletak pada penghujung setiap baris lirik terutamanya penghujungnya kerana saya suka dengar Adam menghabiskan setiap patah liriknya. Adakalanya nadanya jatuh adakalanya tinggi. Tidak kena dengan melodi lagu.

Kerisauan Mas jelas terserlah tatkala menantikan gilirannya. Benar, Mas mempunyai vokal yang unik. Tetapi benar juga yang Mas tidak mempergunakan kelebihan itu untuknya. Mas membiarkan kelebihan itu pergi tanpa dipupuk untuk terus bergemerlapan. Akademi Fantasia hampir menemui penghujungnya, dan Mas masih tidak tahu mengawal vokalnya dengan betul.

Zahid mempunyai perwatakan yang sesuai untuk lagu ini. Dari segi vokal, makin bertambah baik. Gelek Zahid serta penampilannya kena dengan lagu tersebut. Cuma Zahid harus berhati-hati agar tidak terlalu melakukan peniruan terhadap penyanyi asal lagu tersebut iaitu Dato’ M.Daud Kilau.

Sakat-Menyakat
Semakin sedikit bilangan pelajar, lebih banyak tumpuan yang mereka perolehi. Adegan sakat-menyakat ini terlalu lama dan panjang ditayangkan tetapi kesannya tidak mendalam. Saya masih lagi ingat keceriaan Nija, Vince dan Khai pada minggu-minggu terakhir di Akademi. Adegannya singkat tetapi kesannya mendalam. Kemanjaan Farah, kenakalan Kaer dan Zahid belum cukup kuat. Mereka antara yang ditonjolkan oleh kamera dalam mood ceria.

Kerisauan Mas
Beberapa kali kita dapat melihat kerisauan yang terpancar pada wajah Mas. Tentu ada sebabnya. Terlalu memikirkan lagunya pada minggu ini. Terlalu memikirkan sokongan untuknya di luar sana. Terlalu memikirkan tentang anak-anaknya. Dari wajahnya minggu lepas, saya dapat merasakan yang beliau sedar yang penonton di dewan mahukan beliau keluar.

Koreograf Fantasia
Sebuah lagu R&B dan punya sebuah koreograf yang menarik. Walaupun langkahnya memang langkah disko dan Kaer tidak sedikit pun punya masalah untuk mendapatkannya. Kaer begitu senang dengan lagu tersebut. Seperti nyanyian, dalam tarian juga Kaer perlu beri punch pada tariannya agak nampak cantik dan kena dengan melodi lagu yang agak rancak.

Koreograf Bila Larut Malam
Lagu Bila Larut Malam ialah sebuah lagu yang enak dan rancak. Persembahan Adam akan lebih menarik dengan diiringi oleh rakan-rakannya. Biar persembahan yang sederhana tetapi tidak terlalu berlebihan seperti persembahan Syurga Idaman.

Entri oleh sultanmuzaffar 04 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 09-05-06

Pendirian aku masih sama. Ruangan ini ialah ruangan aku. Mengapa masih ada Belanda yang cuba menunjuk kuasa di tanah orang ? Lantas aku teringat kepada Chef Wan yang tidak boleh melihat orang di sekelilingnya senang. Lepas satu-satu dikacau olehnya. Untuk berada di mana aku berada sekarang, pasti tidak akan berhasil tanpanya. Kosong. Mujur aku punya kekuatan yang aku perolehi di sini.

Kelas Seni Persembahan
Saya melihat perubahan Kaer yang telah pun berjaya melarikan diri dari imej kanak-kanak terencat akalnya. Walaupun lakonannya sebagai abang kepada Farah adalah biasa tetapi sekurang-kurang telah menghindarkannya dari terus dicemuh angkara lakonan stereotypenya. Adam hanya lebih sesuai sebagai penari dan bukannya pelakon. Beliau tidak serius dan malu-malu. Farah berkemampuan untuk memberikan lakonan yang lebih baik tetapi kerana sifat rakan-rakannya beliau tidak mampu. Jika penghayatan diperolehi nescaya Farah mampu untuk melakukannya. Mas juga mampu menghayati watak seorang ibu yang miskin yang telah dicemuh oleh keluarga Farah. Memang nampak hina sekali lakonannya. Mereka nampak tidak selesa dengan lagu hindustan tetapi nampak begitu selesa apabila lagu tersebut dialih-bahasa. Keyakinan mereka terserlah apabila lirik bertukar menjadi bahasa Melayu.

Sakit Gigi dan Kebosanan
Lakonan yang membosankan kerana tidak berjaya untuk mendapatkan tumpuan saya. Bukan sesuatu yang ingin ditonton oleh para penonton. Kekeringan idea. Adakalanya aktiviti yang dipilih harus memberikan sedikit kesegaran kepada penonton. Dalam waktu 11.30 malam tentunya waktu yang amat tidak sesuai untuk terus berfikir. Saya mahukan keceriaan.

Cakap Laju, Cakap Perlahan
Latihan cakap laju dan cakap perlahan amat penting bagi mereka untuk memberikan sebutan paling jelas dan dapat didengari oleh penonton. Memang sukar terutamanya apabila cakap laju. Tumpuan kena fokus dan diberikan sepenuh perhatian. Tanpa fokus, fikiran akan lebih menerawang. Saya menyukai cara Farah melafazkan ayat-ayatnya. Jelas dan lancar.

Koreograf Lagu
Sekali imbas, ia sebuah koreograf yang menarik dan biasa sahaja. Tidak ada keunikan kecuali langkah-langkah yang sama. Kaer diberikan sebuah koreograf yang agak muda pada minggu ini. Zahid bergelek dengan lagu Cek Mek Molek lengkap dengan tangannya yang patah. Langkahnya mirip-mirip Dato’ M. Daud Kilau.

Denda
Kerana hilang fokus dan tidak memberikan tumpuan, Zahid telah didenda berkali-kali kerana mengulangi kesilapan yang serupa. Bukan satu yang enak ditonton pada waktu-waktu begini.

Roda Denda
Adam didenda kerana memakai kasut di dalam Akademi. Pada pendapat saya pusingan roda tersebut tidak seimbang menyebabkan denda yang dikenakan adalah sama. Roda tersebut bukan seperti Roda Impian yang seimbang dan lebih adil. Kebarangkalian untuk roda tersebut singgah pada denda yang sama amat besar. Ini kali kedua penunjuk roda singgah di “Sebut “I Love U” kepada ikan dalam akuarium sebanyak 3 kali”. Untuk menukar roda memang sukar tetapi boleh menukar tampalan kertas denda secara rawak.

Farah
Memang sengsara saya melihat ekspresi wajah beliau. Ekspresinya nampak agak tertekan dan meneran. Nyanyian yang sepatutnya menghiburkan jadi meresahkan. Itu lagu yang dipilih. Tentu ada keistimewaan pada lagu ini yang amat disukai oleh Farah. Secara peribadi saya masih belum menyukai nyanyian Farah untuk lagu Mengapa. Ini tidak bermakna saya memadam segala kejayaan Farah di masa-masa lalu.

Mas
Macam apa yang selalu saya sebutkan. Beliau punya vokal tetapi tidak dipergunakan sepenuhnya. Beliau punya vokal tetapi tidak punya tenaga untuk melontarkannya. Lebih baik senyap sahaja sekiranya vokal yang dibunyikan tidak sedap di telinga. Itulah pentingnya latihan yang masih tidak disedari oleh Mas. Cikgu Siti Hajar suruh belajar menarik nafas ada sebab bukan sekadar main-main. Terus-terang saya katakan, lagu Aku Cinta Padamu di tangan Mas akan menjadi begitu menyiksakan dan hambar pada bahagian awal lagu tersebut yang agak rendah dan agak beralun. Tetapi pada bahagian korus, vokal Mas akan lebih menyerlah kerana vokal jenis husky yang ada pada Mas.

Bob
Sebuah nyanyian yang menarik dan Bob bakal tidak menghadapi masalah besar untuk lagu ini. Bermula dengan baik dan terus kena dengan vokalnya sehingga penamat lagu tersebut.

Zahid
Tidak banyak yang dapat dinilai. Pada peringkat awal nyanyiannya agak banyak vibrato. Zahid perlu bijak menggunakan kelebihan vibrato untuk menyedapkan nyanyiannya. Saya sudah nampak ciri-ciri versatile yang ada dalam vokal beliau yang mampu menyanyikan lagu tersebut dengan baik.

Kaer
Kaer tentunya puas kerana berjaya mendapat lagu R&B. Persembahan nyanyian Kaer agak baik tetapi keasliannya masih boleh dipertikaikan. Kaer perlu mencari citarasa sendiri pada lagu tersebut dan disampaikan dengan gayanya yang tersendiri.

Adam
Siapa kata lagu Bila Larut Malam susah. Naikkan key dan Adam sudah boleh menyanyikan lagu ini dengan baik. Kekurangannya cuma Adam tidak bijak mengawal vokal beliau terutamanya pada hujung-hujung lirik lagu. Banyak yang mendatar dan dihabiskan tidak kena gaya. Masalah pitching merupakan masalah utama Adam. Adam membawa lagu ini dengan rasanya yang tersendiri.

Lima Minit Bersama KRU
Sewaktu Adam keseorang di bawah, beliau berpeluang untuk bertemu dengan anggota kumpulan KRU. Terbayang kegembiraan Adam apabila dapat bertemu dengan “abang-abang”nya. Segala perkembangan terbaru mengenai KRU semuanya diketahui oleh Adam. Sedang seronok berbual-bual dengan KRU, Cikgu Adnan mengarahkan anggota KRU untuk beredar meninggalkan tempat tersebut. Kesempatan yang sekejap untuk Adam seakan tidak puas dinikmati oleh Adam. Ekspresi wajahnya terkejut kerana hanya diberi masa yang begitu singkat untuknya bertemu dengan idolanya.

Memang terbayang kesedihan di wajah Adam kerana tidak menyangka masanya begitu singkat. Pelajar-pelajar lain turun dan Adam dengan bangga memberitahu rakan-rakannya. Tidak ada seorang pun yang percaya tentang kemunculan KRU di dalam Akademi. Namun demikian, Adam tetap yakin pada dirinya. Adam agak menyesal kerana tidak sempat untuk memberitahu KRU agar mencipta lagu untuknya. Begitu tinggi sekali cita-cita Adam.

KRU muncul semula untuk mengubat kekecewaan Adam pada pertemuan yang singkat itu. Mereka menghadiahkan Adam sepasang jersey KRU. Pertemuan KRU bersama pelajar-pelajar lain banyak menerima maklumbalas tentang bagaimana taksubnya Adam terhadap KRU. Adam boleh menarikan lagu Awas dengan koreograf yang sama seperti yang pernah dibawa oleh KRU. Sama seperti KRU, bila showmanship memang menarik dan superb, tetapi bila buka mulut saja sumbang. Begitu juga Adam.

Sebelum meninggalkan Akademi Fantasia, setiap seorang anggota KRU iaitu Norman, Yusry dan Edry menerima bandangan yang menjadi identiti Adam. Kehadiran KRU boleh dilihat sebagai sesi ujibakat untuk Adam. Adam besar kemungkinan akan terpilih menjadi artis rakaman KRU. Kehebatan beliau menari memang tidak boleh dinafikan lagi. Tetapi Adam harus punya misi jangka panjang dalam bidang seni untuk menyertai KRU, anak muda yang punya visi dalam bidang seni.

Entri oleh sultanmuzaffar 03 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 09-03-04

Updated: Atas nama ego manusia, aku perlu meneruskan perjalanan hidup ini seperti dahulu. Bukan kehendak aku. Tapi di atas nama persahabatan, aku akur. Aku amat berterima kasih kepada seorang sahabat yang telah menyebabkan aku berada di mana aku berada sekarang. Terima Kasih. Ulasan ini mungkin tidak seperti yang diharapkan kerana gangguan-gangguan emosi ini yang semakin bercelaru. Maaf.

Latihan
Tidak sukar untuk Zahid membawakan lagu tersebut. Dari segi vokal, saya merasakan ia sudah sesuai dengan Zahid. Perlu tambah sedikit attitude untuk memberikan keceriaan kepada persembahannya. Bob tidak menghadapi masalah besar untuk lagu ini. Kesyahduan lagu tersebut kena dengan vokal Bob. Bob tidak perlu berusaha gigih untuk lagu tersebut. Lagu tersebut sememangnya sesuai untuk beliau. Kaer nampak happy dan selamba membawakan lagu tersebut. Beliau harus mencari kelainan untuk style lagu tersebut. Masih nampak plain dan tidak cantik.

Adam masih belum mampu untuk membawakan lagu tersebut. Fikirannya masih terganggu kerana tidak gemar dengan lagu tersebut. Nyanyiannya mendatar. Vokalnya biasa sahaja. Masih sekadar membacakan lirik tanpa menggunakan teknik nyanyian vokal yang diajar. Minggu ini kita bakal menyaksikan sifat sebenar Adam. Seorang yang agak pentingkan diri sendiri. Sifat sombong itu mula menyerlah dari dalam diri beliau. Teknik pernafasan Farah perlu dibaiki. Jika tidak diselamatkan beliau akan kedengaran menjerit dan kepenatan. Sebagai seorang guru, sudah tentu tatkala Farah membuka mulut sahaja, beliau sudah tahu kelemahan Farah. Nyanyian Aku Cinta Padamu agak kasar. Mas masih banyak yang perlu dibaiki. Tidak sedap langsung. Lontaran vokal Mas tidak jelas dan tidak sharp. Tenaga ada tetapi keyakinan tiada.

Untuk minggu ini saya meletakkan keyakinan saya hanya untuk Kaer, Zahid dan Bob. Pelajar lain perlu meyakinkan saya dengan membuktikannya melalui persembahan yang hebat.

Melayan Peminat
Mereka diajar tentang cara-cara melayan peminat. Kelas menjadi aktif. Adam begitu tekun mendengar. Tentunya beliau telah terbayang-bayang peminat bakal mengerumuninya kelak. Banyak soalan yang mereka tanya terutama tentang cara mengendalikan peminat. Peminat ada bermacam jenis. Ada yang pemalu, ada yang berani. Sebagai seorang artis, mereka harus bijak mengenadalikannya.

Main Shaayar To Nahin
Memang sukar menyanyikan lagu bukan bahasa ibunda sendiri. Mujur ada terjemahan bahasa Melayu lagu tersebut. Sekurang-kurangnya pelajar dapat mengetahui mesej lagu tersebut.

Greatest Love Of All
Secara jujur, kasihan melihat Mas terkumat-kumit cuba mendapatkan lirik lagu tersebut sambil melihat Farah dengan selamba tanpa takut-takut untuk melontarkan vokalnya yang lantang. Farah telah pun terbang, Mas masih teraba-raba.

Lagu nyanyian Whitney Houston ini agak janggal apabila dinyanyikan oleh pelajar lelaki. Seakan-akan tidak masuk dengan nyanyian Farah. Saya lebih suka sekiranya hanya Farah yang menyanyikan lagu ini. Memandangkan ini hari pertama latihan, masih banyak yang boleh dibaiki.

Mengapa Farah ?
Bingit telinga dengan jeritan Farah. Tanpa teknik yang betul, beliau pernah membawakan lagu tersebut dan menang dalam satu pertandingan. Kini, beliau telah diasah kekuatan vokalnya oleh Cikgu Siti Hajar selama hampir sembilan minggu. Beliau juga telah dilatih akan teknik pernafasan yang betul untuk menyanyikan lagu-lagu sebegitu. Nampak beliau bersungguh-sungguh mendapatkan teknik yang betul itu. Berkali-kali beliau mencuba untuk mendapatkannya. Tanpa takut untuk melakukan kesilapan beliau terus mencuba. Setelah mendengar lagu ini ia semacam mengiakan apa yang Farah katakan kepada Adam semalam. Lagu Mengapa memang beliau suka tetapi tidak semestinya penonton akan menyukainya. Lagu Bila Larut Malam Adam tidak suka tetapi tidak semestinya penonton akan tidak menyukainya. Saya kurang menggemari lagu yang banyak menjerit ini. Yakinkan saya untuk lima hari ini.

Kaer Puas
Jelas puas di wajah Kaer apabila mendapat lagu yang beliau idam-idamkan sejak minggu pertama. Keselesaan beliau dapat kita lihat. Beliau turut memberikan idea untuk mencantikkan lagi persembahannya. Idea beliau dan idea Cikgu Siti Hajar dapat memberikan sedikit ilmu kepada Kaer. Saya melihat Kaer seperti air menyanyikan lagu tersebut. Beliau seronok. Beliau cuba untuk mencorakkan lagu tersebut walaupun tidak banyak perubahan yang berlaku kerana lagu Fantasia sudah sememangnya lagu R&B. Kaer perlu memberikan teknik tersendiri untuk lagu tersebut tetapi tidak sampai terbabas. Beberapa kali terdengar nyanyian agak terbabas dan kedengaran tidak enak.

Versi Menuju Puncak
Berlaku perubahan pada koreograf Menuju Puncak. Gabungan idea para pelajar dan Cikgu Corrie memberikan satu koreograf yang menarik. Cuma pelajar harus berhati-hati dari aspek keselamatan kerana jika tidak terkawal, aksi-aksi akrobatik akan menyebabkan kemalangan. Jangan sampai terlajak kerana selalunya di bahagian hujung lagu tersebut akan ada percikan bunga api.

Menonton filem Bobby untuk mendapatkan sedikit penghayatan untuk menyanyikan lagu tersebut. Sebuah filem hindustan yang lama dapat mereka tonton.

Entri oleh sultanmuzaffar 02 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 09-01-02

Seperti kebiasaan, sehari selepas penyingkiran merupakan hari yang agak membosankan. Hari-hari yang terlalu banyak melibatkan emosi dan melibatkan aktiviti luar.

Memilih seorang Pakar Motivasi untuk membacakan surat wasiat adalah langkah yang tidak bijak. Cara pembacaan Dr. Sher Kawi amat tidak kena dengan emosi pelajar. Semacam tiada human touch pada pembacaan tersebut. Ini berbeza sekiranya di kalangan pelajar yang membacakannya.

Happy Birthday Bob
Ini kali ketiga beliau menyambut hari lahirnya. Agak keterlaluan saya merasakan kerana terlalu banyak kejutan untuk beliau dan juga sesetengah pelajar. Seperti berlaku ketidakadilan dalam pembahagian kejutan. Sesetengah pelajar mendapat terlalu banyak kejutan dan sesetengah pelajar tidak mendapat langsung.

Di Dapur Bersama Kaer, Adam, Bob dan Zahid. Pelajar Perempuan ?
Pelajar lelaki pula yang sibuk di dapur menyiapkan jus buah-buahan untuk pelajar dan tenaga pengajar. Kenakalan Adam dan Zahid memang terserlah di dapur. Mereka yang pada mulanya menyiapkan jus tembikai mencuba ramuan lain dengan menambahkan sedikit limau ke dalam jus tembikai itu. Tidak cukup dengan itu, Adam mendapat idea untuk menambahkan epal tanpa dikopek terlebih dahulu.

Mumia
Aktiviti sebegini hanya sekadar untuk menceriakan pelajar yang masih kesedihan kerana penyingkiran Linda. Keceriaan masing-masing semakin terserlah apabila bilangan pelajar semakin sedikit. Tumpuan kamera lebih terfokus ke arah setiap pelajar dan dapat memberi peluang kepada pengundi untuk menilai mereka. Adam dan Zahid semakin nakal.

Bersama Pengetua
Hari ini tiada komen daripada Pengetua tentang persembahan mereka pada minggu lepas. Mungkin juga kerana ada pujian untuk Mas, itulah sebabnya ianya tidak ditayangkan. Untuk lebih adil, kesemua pelajar tidak ditunjukkan.

Lagu Bonus
Greatest Love Of All
Main Shaayar To Nahin
lirik lagu

Adam – Bila Larut Malam oleh Saloma
Adam tidak seharusnya sedih dengan lagu ini. Beliau ada kelebihan kerana boleh menari dengan baik. Liriknya juga banyak pause yang membolehkan Adam mengambil nafas yang panjang.

Zahid – Cek Mek Molek oleh Dato’ M Daud Kilau
Oleh kerana suka untuk meniru gaya nyanyian, beliau menerima cabaran paling hebat untuk lagu ini. Inilah lagu yang sering disebut-sebut untuk diberikan kepada Zahid. Khabarnya jika Zahid berjaya mendendangkan apa sahaja lagu Dato’ M.Daud Kilai ini dengan baik, barulah beliau boleh dianggap versatile.

Farah – Mengapa oleh Nicky Astria
Farah menggemari lagu ini dan ada dalam pilihannya dan tentunya tiada masalah untuk Farah memberikan persembahan yang terbaik untuk lagu tersebut.

Kaer – Fantasia oleh Hazami
Lagu ini merupakan lagu pilihan Kaer dan akhirnya beliau berjaya menerima lagu ini. Tiga minggu beliau dicabar dengan lagu bukan pilihannya tetapi beliau meneruskan cabaran tersebut. Akhirnya beliau menerima sebuah lagu R&B.

Bob – Laguku Untukmu oleh Hasnol
Kekuatan vokal dan penghayatan merupakan kunci lagu ini. Sebuah lagu cinta yang perlu Bob sampaikan dengan penuh jiwa.

Mas – Aku Cinta Padamu oleh Sheila Majid
Sheila Majid ! Diva saya. Sheila Majid ialah diva yang sebenar-benarnya. Sebuah lagu berjiwa yang perlu penuh penghayatan. Dari segi penghayatan Mas sememangnya tiada masalah. Beliau berkemampuan untuk melakukannya.

Adam Merajuk: Be Positive
Adam tidak sewajarnya menangis kerana mendapat lagu yang bukan kesukaannya.
Adam yang agak kecewa melihat kedudukannya sewaktu sebelum Konsert VIII merasa terganggu dengan situasi tersebut. Air mata memang senjata seorang wanita sehingga mampu membuatkan para pengundi mengundi. Kejujuran juga mampu memperdayakan. Kecerdikan juga mampu diperbodohkan. Alasan juga mampu meranapkan.
Adam seharusnya menerima cabaran ini dan melakukannya dengan terbaik bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Adam seharusnya memulakan detik pertama menerima lagu tersebut dengan positif. Terus berusaha memahami melodi lagu tersebut dengan gigih. Bukan sekadar ambil sikap acuh tidak acuh dengan lagu tersebut. Seorang penghibur yang cemerlang, tahu apa yang mereka mahu. Bukannya buat-buat tidak tahu.

Adam seharusnya cuba untuk menjadi lebih baik dari setiap minggu ke setiap minggu. Perubahan itu yang kita mahu lihat pada diri Adam. Cabaran sebagaimana hebat pun perlu Adam tempuh untuk meneruskan kemaraannya ke minggu kesepuluh. Menurut nasihat Cikgu Fauziah Nawi, Adam perlu melakukan yang terbaik. Sekiranya gagal, beliau telah keluar dengan bermaruah. Pukaukan penonton dengan tarian yang mampu Adam berikan. Jangan takut untuk melakukan kesilapan tetapi biarlah kita sedar kesilapan kita.

Entri oleh sultanmuzaffar 01 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIImbasan Akademi Fantasia VIII

Bersama Penasihat Pelajar Puan Fatimah Abu Bakar
Sebagai seorang Penasihat Pelajar beliau merasa amat sedih dan terkejut dengan keputusan yang telah dibuat oleh pengundi SMS. Menurutnya, Linda mempunyai kelebihan dan nampak kualiti seorang bintang. Seperti penonton lain, saya juga tertanya-tanya apakah kriteria yang penonton mahu dan pilih. Apakah mereka mahu yang cantik ? Linda dan Zarina telah pun tersingkir.

Saya akui, di pihak pelajar Akademi Fantasia sendiri merasa keliru tentang apakah yang pengundi cari. Di antara mereka tentunya mereka sedar dan tahu kelebihan dan kekurangan mereka sesama sendiri. Ini secara tidak langsung akan melahirkan kebimbangan di pihak Tenaga Pengajar tentang motivasi setiap pelajar yang tinggal.

Saya yang berada di dewan dapat merasakan aura negatif yang terpercik kepada Mas. Kemarahan penonton jelas ditujukan kepada beliau. Memang bukan salah beliau. Beradanya beliau di Akademi Fantasia bukan kehendak beliau tetapi kehendak pengundinya. Cikgu Fauziah bangun untuk menenangkan penonton tetapi nyata tidak berhasil. Farah juga kelihatan memeluk Mas untuk menenangkan perasaan beliau ketika itu. Saya dapat merasakan yang Mas sendiri sudah seakan putus asa untuk terus berada di Akademi Fantasia kerana tidak banyak perubahan dari segi vokal dan bakat yang telah ditunjukkan oleh beliau. Kejujuran Mas yang pada mulanya kita boleh terima pada minggu-minggu awal di Akademi Fantasia akhirnya telah meracun kehidupan Mas. Mas akhirnya dibenci kerana keegoan pengundi-pengundinya. Bukan salah Mas. Percayalah, Mas akan terus dibenci sehinggalah beliau tersingkir.

Bersama Linda: Ada Hikmahnya !
Pelbagai dugaan yang melanda Linda sehingga beliau tersingkir pada Konsert VIII. Bermula dengan penyingkiran Fitri dan beberapa minggu kemudian Zarina menyusul memberikan sedikit tekanan kepada beliau.

Setelah Linda menyerahkan rantai miliknya buat Zarina, kini giliran Zahid pula menyerahkan rantai miliknya untuk Linda. Zahid khabarnya amat tertekan dengan keputusan tersebut. Perasaannya bercampur-campur. Keliru, marah, geram.

Walaupun diajukan persoalan yang agak kontroversi kepada Linda, beliau menjawab dengan penuh hati-hati agar tidak mengguris hati mana-mana pihak. Jawapan PR. Sewajarnya kita harus tahu kedudukan Linda di dalam Akademi Fantasia. Mana mungkin Mas dikatakan pelajar yang berbakat dan bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik sedangkan pen marker pernah dibaling kerana dia, pernah dihayun keliling kelas vokal untuk beliau melontarkan vokalnya dan beliau mengulangi setiap kesilapannya pada setiap minggu tanpa segan silu dan punya perasaan malu untuk memperbaiki kesilapannya. Mas harus dipuji kerana tidak punya perasaan malu untuk terus mengulangi kesilapan-kesilapan lampau tanpa mahu sedar diri untuk memperbaiki dirinya yang lemah. Berilah 30 bulan pun berada di Akademi Fantasia, Mas akan keluar seperti sehelai kain yang putih bersih tanpa sebutir ilmu pun untuk dibawa keluar.

Adil ? Emosi penonton lahir dari reaksi spontan yang tidak boleh dihalang tetapi perlu diekspresikan.

Aznil turut bertanya kepada Norlina “Siapakah yang layak tersingkir daripada Akademi Fantasia sekiranya bukan Linda ?” Beliau beberapa kali mengelak dan mengatakan keputusan sukar diduga. Jika Aznil berpeluang untuk bertanyakan kepada saya soalan tersebut nescaya saya tanpa ragu-ragu menjawab “MAS”. Seperti yang pernah Aznil tanya “Adakah anda boleh menerima penyingkiran Fitri dan bukan Zahid ?” Saya menjawab saya boleh menerima penyingkiran Fitri tetapi tidak Zahid.

Namun demikian ada hikmah di sebalik penyingkiran beliau kerana kita bakal menyaksikan kejelekan industri muzik yang telah diperkotak-katikkan oleh tangan-tangan pengundi. Itu juga satu hikmah.

Kedudukan Selepas Konsert
Farah 17%
Adam 16%
Kaer 15%
Zahid 14%
Bob 13%
Mas 13%
Linda 12%

Pengundi terlupa mengundi Linda kerana memberikan tumpuan kepada Farah. Giliran persembahan Farah yang agak awal menyebabkan banyak undiannya yang dapat masuk. Tetapi nasib tidak menyebelahi Linda apabila gilirannya agak penghujung. Walaupun perbezaan bilangan undi antara Mas dan Linda tidaklah besar tetapi ia tetap merupakan satu kerugian yang besar kepada industri muzik negara. Linda pastinya menyerlah di persada seni tanahair. Jika bintang Akademi Fantasia terpilih untuk menyertai Konsert Gemilang Cahaya di Jakarta sudah pasti Linda, Farah, Zarina, Kaer dan Zahid akan terpilih menyertainya walaupun Juara Akademi Fantasia II ialah Mas. Bukan setakat itu sahaja, penghasilan album juga sudah tentu memihak kepada lima pelajar yang saya sebutkan tadi.