Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 03 August 2003

Konsert Akademi
Konsert VIII Akademi Fantasia: Tiada Saingan Namun Keputusan Tetap Sukar Dijangka !

Konsert VIII merupakan konsert keramat sebelum Konsert Akhir Akademi Fantasia. Saya kira Konsert paling menarik pernah diadakan. Saya menonton bersama beberapa rakan rapat saya dan rakan-rakan yang baru saya kenali semalam. Tidak banyak bercakap hanya menumpukan perhatian kepada skrin TV. Penaja pakaian benar-benar telah melihat Akademi Fantasia sebagai prospek untuk mereka menjual jenama pakaian mereka. Liza kelihatan amat menarik dengan solekan dan pakaiannya. Keputusannya juga telah anda ketahui. Kita sendiri melihat bagaimana Aznil kelihatan terkejut apabila kali pertama melihat kad keputusan. Memang agak sukar untuk mengumumkan keputusan yang paling sukar pada minggu ini. Tambah-tambah yang tersingkir adalah yang paling berbakat besar dan tidak sewajarnya beliau tersungkur di tangga kini.

Sahri
Kedudukan Sebelum Konsert VIII
Khai 17%
Vince 17%
Nija 17%
Sahri 16%
Azizi 16%
Liza 16%
Kali pertama Khai berjaya menduduki tangga pertama sekaligus menidakkan peluang Vince untuk terus bertahta pada minggu kelapan. Berdasarkan populariti, inilah peratusan yang pengundi Malaysia telah pilih. Khai nyata gagal memikat pada Diari Akademi minggu kelapan apabila ternyata gagal membawakan lagu Vida dengan baik tetapi masih mendapat undian simpati.

Pengkritik pada minggu ini agak istimewa dengan kemunculan Tan Sri SM Salim dan diva antarabangsa Anita Sarawak. Selain itu Kudsia Kahar yang masih tidak keluar carta. Namun demikian mereka mengambil langkah selamat untuk memberikan komen-komen yang baik sahaja. Pada saya, rancangan sebegini memerlukan pengkritik yang benar-benar dapat membuka mata pelajar dan juga penonton. Sewajarnya yang dibenci oleh penonton Akademi Fantasia adalah pengkritik yang telah mengutuk habis-habisan persembahan pelajar yang mereka sukai dan bukannya penonton yang mengutuk persembahan pelajar. Pengkritik mengutuk berbeza dengan matlamat penonton mengutuk. Niat dan matlamat mereka berbeza. Penonton mengutuk dengan emosi, manakalah pengkritik mengutuk demi masa depan industri. Sepanjang perjalanan Konsert dari minggu pertama hingga kelapan, kebanyakan pengkritik mengambil langkah selamat kecuali beberapa nama seperti Editor Berita Harian, Hanizam Abdullah dan Hattan.

Persembahan
Azizi (4.5/5 bintang)
Persembahan Azizi berjaya menghidupkan emosi lagu tersebut. Inilah yang dikatakan soul oleh Hattan pada minggu lepas. Beliau mampu membuatkan penonton menangis bersama-samanya. Pada saya suara beliau memang sesuai untuk lagu tersebut. Showmanship beliau ternyata dapat memikat penonton dengan lakonan yang berjaya oleh Liza dan beliau sendiri. Beliau mendendangkan lagu tersebut dengan penuh perasaannya. Walaupun ada sedikit kesilapan tetapi masih cemerlang. Giliran yang pertama membuat persembahan memberi banyak kelebihan kepada beliau. Sebelum memulakan persembahan, beliau telah diduga dengan mainan emosi oleh Aznil. Azizi menerima kad undangan perkahwinan ahli keluarganya dan beliau menceritakan kenangan lama kisah lagu tersebut. Beliau berjaya mengawal emosi sewaktu mendendangkan lagu Gerimis Mengundang. Tahniah !

Nija (3.5/5 bintang)
Persembahan Nija tidak sehebat sewaktu latihan. Kegugupan beliau banyak membawa masalah beliau dalam menyebut perkataan Bahasa Inggeris dengan betul. Ada ketika di awal lagu pitching tidak sampai. Suara tingginya memang mantap tetapi apabila perubahan dari note rendah ke note tinggi beliau ada sedikit masalah. Selepas kesilapannya tersebut, keyakinan mula jatuh tetapi masih dapat meyakinkan penonton. Dari segi sebutan banyak perubahan sejak awal minggu hingga ke hari persembahan. Saya suka dengan showmanship beliau yang hanya berdiri tegak kerana mengikut penghayatan lagu tersebut. Interaksi beliau dengan penonton agak terhad pada minggu ini kerana kegugupan beliau. Sebelum memulakan persembahan penonton terhibur dengan gelagatnya yang suka berjenaka dengan Aznil.

Sahri (4/5 bintang)
Suara beliau amat mantap dan bertenaga. Beliau mampu menyanyikan lagu Anugerah Dari Kegagalan dengan meyakinkan dan cemerlang. Oleh kerana lagu ini memerlukan showmanchip untuk bergerak cergas di pentas, adakala beliau kelihatan agak letih dan pembesar suara lari dari mulutnya menyebabkan suaranya tidak berapa jelas. Keyakinan beliau amat tinggi dan beliau tidak takut jika melakukan kesilapan. Mungkin juga over-confident !. Showmanship manja beliau bersama rakan-rakan yang lain amat menarik. Dari segi energy beliau saya kira berjaya mempersembahkan satu persembahan yang bertenaga. Mungkin juga lagu yang dinyanyikan oleh beliau tidak popular sekaligus mengurangkan jumlah undi beliau. Tahniah !

Liza (3.5/5 bintang)
Persembahan Liza saya kira berjaya dari segi koreografinya. Jika dinilai dari segi suara, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Liza saya kira masih takut-takut walaupun telah cuba untuk mengeluarkan dirinya dari kepompong perasaan malunya itu. Beliau tidak meniru aksi Juliana Banos penyanyi asal lagu tersebut dan ada stail tersendiri untuk menyampaikan lagu tersebut. Dari aspek tarian, diva tarian antarabangsa Anita Sarawak menegur yang pelaksanaan tariannya yang tidak kemas dan tidak tajam. Untuk menyanyikan lagu mudah ini kata Anita Sarawak perlu diperkemaskan aspek lain. Walaupun lagu ini nampak mudah, tetapi melihat stamina Liza beliau kelihatan termengah-mengah menghabiskan lirik lagu tersebut. Stamina beliau saya rasakan gagal di atas pentas.

Khai (3/5 bintang)
Minggu ini beliau diberikan lagu Vida. Satu lagu balada yang amat tidak sesuai dengan vokal Khai. Namun demikian, Khai telah memberikan persembahan terbaiknya. Suara rendah beliau agak menarik dan begitu juga dengan suara tinggi beliau. Sesekali kedengaran suara rock beliau keluar untuk lagu tersebut. Ad-lib untuk lagu tersebut juga kedengaran tunggang-langgang. Kebanyakan bahagian ad-lib lagu tersebut telah dilakukan oleh Vince dan Sahri yang sekaligus menafikan keupayaan Khai menyanyikan lagu tersebut. Beliau menghadapi masalah dari segi pitching terutama apabila beliau tidak gemar membawakan lagu tersebut dan tidak meneliti melodi lagu tersebut.

Vince (4.5/5 bintang)
Beliau amat meyakinkan apabila membawakan lagu tersebut. Suara beliau amat mantap. Lagu tersebut berjaya didendangkan oleh beliau dengan gayanya tersendiri dengan masih menjaga originaliti lagu tersebut. Saya puji arrangement lagu tersebut yang pada pendapat saya amat baik. Sebutan Bahasa Melayunya masih bermasalah. Semalam nyata beliau kelihatan agak gugup dan ini amat baik kerana beliau tidak terlalu over confident. Ucapan dari Jay Jay sedikit sebanyak menaikkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik. Lagu ini menjadi terlalu istimewa di tangan Vince. Beliau telah mencantikkan lagu tersebut dan mengikut melodi arrangement baru lagu tersebut yang telah di"R&B"kan oleh Aubrey Suwito. Tahniah !

Keliru (4/5 bintang)
lagu yang pernah menggondol Anugerah Juara Lagu ini dibuat dengan terbaik oleh para pelajar. Showmanship para pelajar amat kena dengan lagu tersebut. Koreograf tarian untuk lagu tersebut juga telah dibuat dengan cemerlang oleh Linda Jasmine.

Khayalan (5/5 bintang)
Rap permulaan oleh Khai amat meyakinkan. Apabila Vince masuk untuk mendendangkan lagu tersebut ternyata amat cemerlang. Showmanship pelajar amat baik. Lakonan yang ditampilkan, mesejnya sampai kepada penonton. Mereka membawa Saturday Night Fever atau pun The West Wide Story ke pentas malam itu. Ada lagu dalam tarian, ada makna dalam lakonan. Ekspresi mata Vince, Liza, Nija dan Khai ternyata cemerlang. Koreografi lagu tersebut telah juga dibuat dengan berjaya oleh Linda Jasmine. Tidak keterlaluan jika saya katakan inilah lagu Bonus terbaik mereka setakat ini. Mereka mendapat standing ovation daripada para wartawan dan bekas pelajar Akademi Fantasia. Tahniah !

Akhirnya Kini Pasti
Persembahan impromtu dari Anita Sarawak amat menarik pada malam itu. Tanpa minus one dan hanya diiringi oleh tepukan berirama dari penonton beliau mendendangkan lagu Akhirnya Kini Pasti. Nyata diva ini berjaya menambat hati penonton dengan gerak tari yang sharp dari beliau. Suara beliau juga berada di kelas yang tersendiri.

Keputusan
Kemunculan Anita Sarawak tidak menjadi kejutan. Kemunculan Tan Sri SM Salim sebagai pengkritik juga tidak menjadi kejutan. Kemunculan Jay Jay yang dianggap bakal muncul bersama-sama Vince mendendangkan lagu Rindu Bayangan juga tidak menjadi kejutan. Yang membuat kejutan ialah PENGUNDI MALAYSIA ! Sekali lagi penonton membuat kejutan dengan satu keputusan yang tidak wajar mereka lakukan. Mereka telah menghukum Sahri atas kesalahan yang tidak pernah Sahri lakukan. Memang sukar dinilai kebijaksaan pengundi Malaysia. Bijakkah ? Bebalkah ? Butakah ? Tulikah ? Saya tidak tahu untuk melabelkan pengundi Malaysia. Ada pengundi yang buta kerana telah mengundi Sahri tanpa menilai paras rupa dan bentuk fizikalnya. Ada pengundi yang pekak kerana tidak mengundi Sahri setelah menilai mutu vokalnya. Ada pengundi yang bijak kerana mengundi Sahri yang datang dari negeri yang sama dengan beliau iaitu Melaka. Ada pengundi yang bebal kerana masih tidak faham bagaimana server SMS berfungsi dan masih tidak faham apa itu “reality TV”.

Penonton di Dewan menjerit tidak puas hati dengan pilihan pengundi Malaysia. Jeritan yang sama diterima oleh Rosma. Mereka bangun memberi standing ovation untuk Sahri yang telah memberikan persembahan hebat untuk lagu Selingkar Kasih (Rem), When You Say Nothing At All (Ronan Keating), Salsabila (Yassin), Tekad (Hazami), Keabadian Cinta (Anuar Zain), Raikan Cinta (M.Nasir), Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats) dan Anugerah Dari Kegagalan (Dato' Shake ).

Konsert Akhir menjadi hambar tanpa Sahri dan Rosma. Tiada saingan tetapi keputusan masih sukar untuk dijangka. Mungkin Liza yang mana pengundi yang berasal dari Perak akan mengundi beliau, atau Vince yang mengerah seluruh Dewan Perhimpunan Perniagaan Cina mengundi beliau, atau Azizi yang mendapat undi underdog atau undi simpati dan juga mungkin pengundi Sahri akan beralih kepada beliau, atau Nija yang mana pengundi rock, mat motor, minah karan, mat punk, minah punk akan mengundi beliau atau Khai, heart-throb pujaan anak gadis Malaysia kini setelah Yusri KRU mendirikan rumahtangga. Demografi pengundi Malaysia masih menebal semangat kenegeriannya, tidak salah jika saya merasakan semangat bangsa juga bakal wujud untuk Akademi Fantasia ini. Sesiapa sahaja mampu membawa pulang Suzuki Vitara tersebut.

Yang pasti, lima anak muda berlainan latar-belakang ini akan meneruskan penguasaan mereka di Konsert Akhir Akademi Fantasia minggu hadapan. Tahniah Vince, Khai, Nija, Liza dan Azizi!


Imbasan Akademi Fantasia

Kedudukan Selepas Konsert VIII
Azizi 19%
Nija 17%
Liza 16%
Khai 16%
Vince 16%
Sahri 16%

Perbezaan undi antara Vince dan Sahri memang terlalu kecil. Jika bukan Sahri, Vince yang akan tersingkir. Yang pasti dua nama tersebut tidak layak untuk berada di tangga paling bawah jika tidak dek kerana sistem SMS yang tidak mantap dan ada kekurangan. Penonton Malaysia masih mahu menilai mutu persembahan mereka di Konsert sebagai bonus kepada mereka. Penonton Malaysia masih tidak bersedia untuk semua ini tetapi mereka boleh dididik.

Artikel akan datang : Menilai Peningkatan Pelajar Akademi Fantasia dan Ulasan Sesi Bertemu Peminat di Tower Records, KL Plaza.