Ulasan Album Akademi Fantasia Konsert 3
Memang agak ketepatan juga kemunculan album Akademi Fantasia Konsert 3 apabila seluruh Malaysia sedang dilanda demam Akademi Fantasia (AF). Album ini merupakan persembahan kesemua pelajar-pelajar AF. Saya yakin album ini akan meletup di pasaran, memandangkan terdapat ramai peminat-peminat AF.
Untuk mengulas album ini, saya rasa saya perlu mengulas lagu-lagu yang dibawa oleh pelajar AF satu persatu, kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
Lagu 'Biru' (lagu asal oleh Jai) merupakan lagu pertama dalam koleksi album AF Konsert 3 ini. Lagu nyanyian Adi ini memang mampu dibawanya dengan baik, dan kedengarannya begitu segar dan rancak. Agak sayang juga Adi telah dikeluarkan terlalu awal dalam AF, jika tidak, pasti kita akan dapat melihat sesuatu yang lebih baik dari anak muda ini.
Lagu 'Dendam Dalam Diam' (lagu asal oleh Nora) yang dinyanyikan oleh Nija agak baik, tetapi suaranya tidak unik. Kedengarannya macam klon Shima (ataupun mungkin Ziana Zain). Pembaharuan amat-amat diperlukan dalam dunia seni suara Melayu, bukan satu lagi salinan Shima, Ziana ataupun Ella; baik dari segi suara mahupun penampilan. Lagu ini tatkala dinyanyikan Nora, memang menampakkan kelainannya, tetapi apabila dinyanyikan Nija, terus menerus lagu ini menjadi stereotaip lagu-lagu meleleh Melayu.
Vokal Sahri memang tidak boleh diragui. Malah saya anggap antara yang terbaik di antara ramai-ramai peserta AF. Nyanyiannya untuk lagu 'Salsabila' (lagu asal oleh Yassin) memang bagus, walaupun tidak banyak berbeza dengan cara nyanyian yang dibawa oleh Yassin. Lagu ini memerlukan beliau menyanyi dengan sepenuh tenaga, dan beliau dapat membawanya dengan cemerlang. Suara Sahri agak unik, mungkin ada baiknya kita menunggu sehingga saat beliau membuat lagunya sendiri untuk mendengar persembahan yang terbaik darinya.
Apabila kita mendengar lagu 'Kesetiaan' (lagu asal oleh Siti Sarah) dibawa oleh Liza, kita seolah dapat merasakan bahawa anak gadis ini berbakat, tetapi perlu dilatih lagi. Pada hemat saya, Liza adalah peserta yang paling banyak menunjukkan perubahan dari segi persembahan mahupun vokal di antara pelajar-pelajar AF. Persembahannya untuk lagu 'Kesetiaan' memang sederhana jika dibandingkan dengan lagu-lagu yang dibawanya untuk konsert-konsert terakhir. Suaranya juga semacam suara klon penyanyi-penyanyi wanita Melayu. Mungkin faktor ini akan membuatkan beliau sukar untuk terserlah.
Lagu 'Permata' nyanyian Burn (lagu asal oleh Anuar Zain) memang dapat dibawanya dengan baik. Lagu ini bukan senang dibawa, kerana iramanya agak rancak dan kepelbagaian rentak vokal amat-amat diperlukan. Walau bagaimanapun, Burn tetap dapat membawakan lagu ini tanpa masalah. Malah, saya yakin suara Burn cukup sesuai membawa lagu-lagu berentak R&B.
*Sambungan kepada ulasan album ini boleh anda baca di laman Limau Nipis oleh Nizam Zakaria
0 komen