Majlis Berbuka Puasa Adam dan Rumah Anak Yatim Kg. Medan
oleh http://sultanmuzaffar.blogspot.com
foto oleh : http://sultanmuzaffar.fotopages.com
Saya harus mengakui yang imej dan penampilan seseorang artis turut dibentuk oleh pengurusan kelab peminatnya. Dalam hal yang demikian, bagaimana sesebuah pengurusan kelab peminat dalam merancang segala aktiviti-aktiviti yang dapat memberikan publisiti kepada artis berkenaan. Aktiviti-aktiviti memberikan faedah bukan sahaja kepada para peminatnya tetapi juga kepada masyarakat setempat dan orang sekeliling. Ini terlahir dari inisiatif sebilangan peminat Adam, bintang Akademi Fantasia yang telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Adam dan Rumah Anak Yatim Kg. Medan sebagai tuntutan sosial yang bersifat positif.
Ini merupakan pertemuan yang penting buat saya kerana saya dapat melihat secara jelas perjalanan profesional sebuah kelab peminat. Saya banyak dihujani dengan masalah kelab peminat bintang Akademi Fantasia dan ia merimaskan. Dibebani masalah peribadi dan kemudiannya disesakkan lagi dengan masalah-masalah kelab peminat benar-benar menguji kesabaran. Secara jujur, hampir semua kelab peminat bintang Akademi Fantasia mempunyai masalah yang agak kronik. Sama ada mereka sedar atau pun tidak, ia merupakan masalah besar kepada pengurusan bintang Akademi Fantasia. Menjadi sultanmuzaffar telah memberikan saya peluang untuk mendekati masalah-masalah itu. Banyak pihak yang menjadikan saya sebagai tempat membuat aduan.
Perjalanan Majlis
Majlis berlangsung di Dewan Chempaka, Kelab Darul Ehsan, Ampang. Majlis turut diserikan dengan kehadiran dua puluh orang pelajar dari Rumah Anak Yatim Kg Medan. Turut hadir ialah keluarga Datuk Mat dari Pulau Pinang dan keluarga Kapten Missman. Tetamu-tetamu lain adalah dari saudara mara Adam, Komputema Sdn. Bhd, Maestro Talent Management dan pihak media yang turut menyerikan lagi majlis tersebut.
Pengerusi Majlis pada malam itu sangat selesa dengan tuga yang telah diamanahkan kepadanya. Beliau kelihatan amat yakin di pentas. Kepetahannya berbicara dan mengawal majlis memadai dengan formaliti majlis tersebut. Jenaka-jenaka spontannya amat melucukan dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada hadirin yang hadir pada malam itu. Beliau seorang yang selamba dan bijak menyelia majlis dengan jayanya. Walaupun berlakunya gangguan bekalan elektrik pada permulaan majlis ia tidak sedikit pun mengganggu tumpuannya untuk menyelesaikan tugasnya.
Majlis bermula apabila saat untuk berbuka semakin hampir dengan ketibaan Adam yang berpakaian baju melayu ungu muda segak bersampin songket. Beliau yang tersekat dalam kesesakan jalanraya tetap tiba tepat pada masanya. Salah seorang daripada pelajar Rumah Anak Yatim membacakan doa berbuka puasa dan hadirin pun menjamu selera.
Selesai menjamu selera, majlis diteruskan lagi dengan ucapan Presiden Adam Fan Club dan ucapan daripada Adam sememangnya dinanti-nantikan oleh para peminatnya dan pelajar-pelajar Rumah Anak Yatim Kg. Medan.
Acara lelongan t-shirt yang mempunyai cap tangan Adam serta tandatangannya bermula. Harga permulaan RM30 telah meningkat sehingga RM200 dan 4 helai t-shirt tersebut bertukar tangan. Kesemua wang hasil lelongan telah diserahkan kepada Rumah Anak Yatim Kg. Medan.
Persembahan nasyid oleh pelajar Rumah Anak Yatim Taman Medan sebenarnya telah memberikan kesan yang bukan sedikit kepada majlis tersebut. Dua lagu yang disampaikan telah benar-benar menyentuh perasaan hadirin pada malam tersebut. Pemberian wang raya sumbangan Adam Fan Club telah disampaikan oleh Adam kepada setiap pelajar.
Persembahan miming Suasana Hari Raya dari AJK Adam Fan Club turut memeriahkan majlis tersebut. Adam turut sama-sama menyertai gabungan tersebut dan memberikan komen seperti pengkritik Akademi Fantasia. Seterusnya, Adam turut dihadiahkan dengan sehelai kad raya gergasi yang cantik apabila digantung.
Sesi bergambar dan mendapatkan tandatangan Adam boleh menjadi lebih teratur dan lebih manis sekiranya pelajar Rumah Anak Yatim diberikan keutamaan mendapatkannya dahulu berbanding peminat-peminatnya. Bukan bermakna peminat tidak penting, tetapi sewajarnya kita meraikan tetamu kita dahulu. Melihatkan mereka ternanti-nanti giliran mereka pada penghujung majlis setelah selesai para peminat mendapatkan peluang tersebut agak sedikit mengecewakan.
Malam itu pasti meninggalkan kenangan yang lebih manis lagi sekiranya Adam dapat membawakan beberapa buah lagu, bukan untuk peminat-peminatnya tetapi untuk anak-anak yatim yang hadir pada malam itu. Peluang bertemu Adam bukan datang selalu seumur hidup mereka dan kenangan mereka sewajarnya diindahkan lagi dengan mendengar Adam menyanyi secara langsung untuk mereka. Sedikit sumbangan nyanyian daripada Adam mungkin dapat menceriakan mereka.
Secara keseluruhan, majlis berbuka puasa ini lebih terkawal dan terancang dengan baik. Ia memberikan kesan yang positif kepada Adam dan membuatkan beliau tersenyum riang sehingga majlis selesai. Adam meluangkan masa untuk bertemu para AJK setelah majlis selesai.
Adam Role Model
Satu ketika dahulu, saya melihat apa yang diperkatakan oleh salah seorang pengkritik Konsert Akademi Fantasia iaitu Mamat Khalid tentang Adam sebagai role model hanyalah angan-angan sahaja. Tetapi setelah melihat aktiviti-aktiviti yang telah dirancang oleh Adam Fan Club yang telah memberikan kesan positif kepada imej Adam telah membuktikan yang beliau boleh dilihat sebagai role model kepada anak-anak muda.
Saya melihat pentingnya mempunyai kelab peminat yang mempunyai visi yang jujur untuk mempertingkatkan imej artis yang mereka sokong. Walaupun penglibatan kelab peminat tidak besar tetapi ia turut memberikan kesan positif kepadanya. Kelab peminat dibentuk dan diuruskan dengan profesional oleh mereka yang melakukannya secara sukarela. Aktiviti Adam diseliakan dengan baik oleh Maestro Talent Management. Mempunyai seorang pengurus yang komited juga memainkan peranan yang penting.
Sekali lagi saya mengingatkan para peminat, agar tidak terlalu memberikan pujian melulu kepada bintang yang kita sokong. Ia tidak hanya merugikan Adam tetapi turut merugikan industri muzik tempatan. Mempunyai kelab peminat yang terlalu mengongkong pergerakan bintang juga akan memberikan kesan yang negatif. Saya melihat kelab peminat sewajarnya tidak mencampuri pengurusan artis tetapi sekadar memberikan sokongan dari luar sebagai peminat dan tidak melibatkan diri dengan pengurusan artis. Memberikan kepercayaan yang keterlaluan kepada kelab peminat oleh bintang hanya akan merosakkan sahaja perkembangan kerjaya mereka kerana kepercayaan itu diberikan kepada mereka yang bukan ahli dalam bidang tersebut.
Untuk Adam, sekiranya minat KRU, teruskan minat Adam. Tetapi bukan sekadar meminati muzik KRU tetapi juga mencontohi semangat perjuangan KRU dalam bidang muzik. Ikuti wawasan KRU dalam muzik dan visi mereka dalam meneruskan survival dalam dunia muzik yang semakin mencabar dengan kemunculan artis-artis generasi baru. KRU tetap berada di situ. Pelajari bukan sekadar muzik KRU tetapi juga sifat-sifat positif KRU yang membawa mereka ke tahap yang mereka kecapi sekarang.
Majlis ini telah memberikan kesan positif kepada Adam, jika tidak pun ia telah berjaya menukar sedikit persepsi negatif saya tentang Adam satu ketika dahulu. Keep up the good work dan kekalkan apa yang ada sekarang !
Tahniah http://www.adamfanclub.com
Tahniah http://www.maestrotalent.com.my
Tahniah http://www.sulamanweb.com
0 komen