Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 14 October 2005

Salam Raya Akademi Fantasia 3
Untuk melengkapkan perayaan tahun ini rasanya tidak lengkap sekiranya tidak mendapatkan album ini. Sebagai peminat Akademi Fantasia tentunya anda ingin mendengar bacaan Takbir Raya yang diketuai oleh Mawi. Ia merupakan tarikan terkuat untuk memiliki album ini selain daripada nyanyian lagu Ku Pohon Restu Ayah Bonda oleh Mawi.

Antara lagu-lagu yang menarik perhatian saya ialah Kepulangan Yang Di Nanti oleh Kefli, gandingan duet Akma dan Felix untuk lagu Hari Raya Hari Bahagia, keunikan Balik Kampung dalam nafas baru yang telah dipersembahkan dengan cemerlang oleh Aidil, keharmonian vokal Fuad dan Elliza yang meneruskan tradisi kakak beliau untuk lagu Suasana Hari Raya dan Lagukan Hari Raya oleh bintang lelaki AF3.

Keceriaan hari lebaran dapat dirasai pada kulit album ini yang menampilkan setiap bintang Akademi Fantasia berpakaian kebangsaan dalam suasana Hari Raya. Kekurangan paling utama pada kulit album Salam Raya Akademi Fantasia 3 ialah hanya dipaparkan pencipta dan penulis lirik lagu tersebut. Senarai mereka yang terlibat dalam menyusun lagu tersebut ke nafas baru tidak dipaparkan. Ini menyulitkan saya untuk memberikan kredit kepada susunan lagu terbabit.

Ada di antara lagu-lagu yang termuat dalam album ini yang tidak saya ulas secara terperinci kerana tidak tahu untuk tulis apa berkenaan lagu tersebut. Ia bukan kerana saya tidak sukakan penyanyi tersebut atau pencipta lagu tersebut atau apa-apa sebab peribadi. Sekadar terlalu buntu untuk menulis tentang nyanyian mereka. Terlalu tepu dengan vokal mereka mungkin.

02 Ku Pohon Restu Ayah Bonda - Mawi
Sebuah nyanyian yang dipersembahkan dengan penuh penghayatan. Dengan diiringi oleh lafaz takbir, lagu ini menjadi begitu menusuk kalbu. Ia seakan-akan luahan emosi Mawi yang telah disampaikan dengan begitu baik kepada para pendengar. Amanah membawakan lagu nyanyian asal Al-Jawaher dan Mamat dari kumpulan Exists telah dilaksanakan oleh Mawi dengan baik.

04 Kepulangan Yang Di Nanti - Kefli
Lagu ini merupakan nyanyian asal Aman Shah dan pernah didendangkan oleh Fauziah Latiff. Saya menyukai penyampaian Kefli untuk lagu ini. Lagu ini agak sedap apabila dibawakan oleh Kefli. Saya rasa mungkin nyanyian yang mendayu-dayu sesuai dengan vokal Kefli.

05 Hari Raya Hari Bahagia - Akma & Felix
Lagu ini merupakan lagu asal oleh Ideal Sisters. Apa yang saya suka tentang lagu ini apabila gandingan vokal Akma dan Felix menepati kehendak lagu ini. Gandingan mereka saling melengkapi. Sketsa dari Felix juga begitu menghiburkan terutama di penghujung lagu yang mengingatkan agar tidak bermain mercun. Lagu ini diberi nafas moden sama seperti lagu Selamat Hari Raya oleh Liza & Nana pada Akademi Fantasia 1.

06 Anugerah Tuhan - Bintang Wanita AF3
Rata-rata lagu baru tidak begitu memikat pendengaran saya. Agak sukar untuk lagu baru bertemakan hari raya untuk menembusi pengaruh lagu-lagu raya yang malar segar. Lagu Anugerah Tuhan berusaha untuk menonjolkan keharmonian vokal setiap pelajar wanita AF3. Saya akui usaha itu berjaya dilakukan dan hasilnya baik. Vokal bintang wanita kedengaran tidak cuba untuk menonjolkan diri antara satu sama lain.

07 Balik Kampung - Aidil
Terjemahan Aidil untuk lagu Balik Kampung benar-benar mengejutkan. Sebuah lagu yang telah diberi nafas baru dan telah disampaikan dengan baik oleh Aidil. Saya boleh terbuai dalam melodi lagu ini yang agak blues. Nyanyian Aidil juga kena dengan melodi lagu ini. Sebuah susunan muzik yang bagus dan disampaikan dengan cemerlang.

10 Suasana Di Hari Raya - Elliza & Fuad
Apa yang saya ingat tentang lagu ini hanyalah sketsanya. Akma dan Ekin saling bergurau tentang pasangan masing-masing iaitu Felix dan Yazer. Lagu ini mengimbau kenangan Elliza lebih-lebih lagi lagu ini merupakan lagu nyanyian asal kakaknya iaitu Ellina dan Anuar Zain. EKSKLUSIF ! Dalam perkembangan lain, Fuad AF3 telah pun terbang ke Dublin untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Accountancy di sana. Beliau telah berlepas dari KLIA pada jam 11 malam semalam. Beliau menjadi bintang Akademi Fantasia yang pertama melanjutkan pelajaran ke luar negeri setelah menamatkan pengajiannya di Akademi Fantasia selama beberapa minggu. Semoga beliau terus sukses dalam pengajian akademiknya.

11 Menjelang Hari Raya - Yazer
Tidak lengkap sekiranya tidak menggubah satu lagu raya ke rentak rock untuk diberikan kepada Yazer. Lagu nyanyian asal DJ Dave telah disampaikan dengan bertenaga oleh Yazer. Menurut Yazer beliau sukakan lagu tersebut kerana ada iringan gitar. Sentuhan muzik rock menjadikan lagu tersebut lebih digemari olehnya. "Bayangkan DJ Dave yang nyanyi lagu itu versi rock." sambung beliau. Saya sempat chat di YM bersama Yazer awal pagi tadi. EKSKLUSIF ! Berkenaan dengan perkembangan album Yazer bersama Luncai Emas, beliau akan masuk studio untuk merakamkan lagu-lagu barunya pada 18 Oktober ini. Album tersebut akan diterbitkan oleh M.Nasir. Sempat juga saya bertanya kepada Yazer apakah beliau berpuasa penuh. Manalah tahu kalau ada di kalangan peminat Akademi Fantasia yang hanya menyangkakan bahawa Mawi sahajalah yang berpuasa penuh. Maka jawab Yazer, beliau tidak pernah tinggal puasa. Kalau Yazer tidak bagitahu tentu orang ingat Mawi sahaja yang puasa penuh. Hahahaha.

13 Lagukan Irama Raya - Bintang Lelaki AF3
Melodi lagu ini agak catchy tetapi nyanyian bintang lelaki AF3 tidak begitu bertenaga. Saya terpikat dengan lirik lagu ini yang agak simple tetapi menarik. Sebuah lagu raya sememangnya tidak boleh lari dalam irama-irama sebegini dan hasilnya biasa sahaja. Berbanding lagu bintang perempuan, lagu ini lebih menarik.

14 Syawal Telah Menjelma - Bintang AF3
Lagu ini belum cukup meriah seperti Lagu Di Pagi Raya. Lagu ini lebih serius dan tidak begitu ceria untuk disampaikan. Lagu Di Pagi Raya oleh Bintang Akademi Fantasia 1 lebih catchy dan senang untuk didengar. Anda boleh mendengar lagu tersebut di blog Klubbkidd. Ia mengimbau kenangan bersama bintang Akademi Fantasia 1.

Turut dimuatkan dalam album ini ialah Takbir Raya oleh Bintang Lelaki AF3, lagu Pulang Di Hari Raya oleh Amylea, Suasana Riang Di Hari Raya oleh Ekin & Amy, Bersama Di Hari Raya oleh Idayu & Marsha dan Selamat Hari Raya oleh Reza.

Dapatkan album ini dengan segera untuk hari raya yang lebih bermakna bersama Bintang Akademi Fantasia 3 dengan harga RM21.00 di stor-stor muzik berdekatan. Saya mendapatkannya di Tower Records sebagai koleksi.

Ranking Pilihan sultanmuzaffar
01 Balik Kampung - Aidil
02 Ku Pohon Restu Ayah Bonda - Mawi
03 Hari Raya Hari Bahagia - Akma & Felix
04 Suasana Di Hari Raya - Elliza & Fuad
05 Lagukan Irama Raya - Bintang Lelaki AF3
06 Anugerah Tuhan - Bintang Wanita AF3
07 Kepulangan Yang Di Nanti - Kefli
08 Menjelang Hari Raya - Yazer
09 Pulang Di Hari Raya - Amylea
10 Selamat Hari Raya - Reza
11 Syawal Telah Menjelma - Bintang AF3
12 Bersama Di Hari Raya - Idayu & Marsha
13 Suasana Riang Di Hari Raya - Ekin & Amy

* Takbir Raya - Bintang Lelaki AF3

Nota : Saya tidak meletakkan Takbir Raya di dalam ranking pilihan saya kerana sekiranya saya meletakkan Takbir Raya itu pada kedudukan nombor yang bawah kelak saya dikatakan tidak meletakkan bacaan Quran di tempat yang paling atas (sama seperti kes Gubra dan berbuka puasa). Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga, saya mengenepikan Takbir Raya dalam ranking pilihan saya. Ia tidak ada kena mengena dengan Mawi atau yang sewaktu dengannya. Harap maklum.

EKSKLUSIF ! Dalam perkembangan lain, Fuad AF3 telah pun terbang ke Dublin untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Accountancy di sana. Beliau telah berlepas dari KLIA pada jam 11 malam semalam. Beliau menjadi bintang Akademi Fantasia yang pertama melanjutkan pelajaran ke luar negeri setelah menamatkan pengajiannya di Akademi Fantasia selama beberapa minggu. Semoga beliau terus sukses dalam pengajian akademiknya.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger