Ulasan Gubra : Hati Terdetik, Minda Terlihat, Mata Bersuara dan Telinga Berfikir
Saya menerima pelawaan Nizam Zakaria pada jam 7 petang sebelum waktu berbuka untuk sama-sama hadir ke tayangan Gubra rough cut di Leo Burnett jam 8 malam. Saya lupa tentang berbuka dan saya terus menyiapkan diri untuk bergegas ke sana. Oleh itu saya mohon maaf sekiranya ada yang terasa saya tidak mengajak mereka bersama saya untuk tontonan tersebut. Saya pun hanya sekadar menerima pelawaan orang. Pada saya, menonton filem itu menjadi prioriti saya ketika itu. InsyaAllah sekiranya ada tayangan yang lain saya akan bawa beberapa sahabat saya untuk sama-sama merasai apa yang saya rasa semalam. Saya tiba di Leo Burnett dan menjamah jamuan yang disediakan. Hidangan Gubra lebih mengenyangkan dari berbuka puasa.
Saya baru pulang menonton Gubra versi rough cut di Leo Burnett. Seperti Fadz, setiap adegan masih terbayang-bayang di dalam kotak fikiran saya dan menghantui diri saya. Deria saya menjadi kacau. Hati saya terdetik, minda saya tiba-tiba terlihat, mata saya bersuara dan telinga saya berfikir. Semuanya bercampur-aduk kerana Gubra. "Jangan banyak fikir, rasa sahaja." kata Yasmin Ahmad. Saya duduk dua jam dan merasainya. Dalam ketawa pada jenaka yang dilontarkan, hati saya terfikir, minda saya terdetik. Setiap deria saya merasainya. Tersentuh pada setiap adegan yang terpapar di layar putih itu tadi. Mengenangkan nasib yang bakal menimpa pada sesetengah adegan yang baru saya tonton. Menghubungkaitkan kegubraan keluarga Orked dengan keluarga saya. Menyatukan perasaan tenang dan sayu pada keluarga Bilal dan persekitarannya yang kotor. Menyelami perasaan Orked dan persekitarannya yang berkecamuk. Serta kembali ke dunia Sepet setelah beberapa bulan saya tinggalkan. Imej-imej itu kekal dalam minda saya sekarang.
Gubra membawa penonton untuk melihat secara dasar tentang apa yang berlaku di sekitar dua buah keluarga iaitu keluarga Bilal dan keluarga Orked. Dua cerita ini berlaku secara berasingan tetapi dalam masa yang sama. Keluarga Bilal berhadapan dengan pemasalahannya yang tersendiri dalam menangani isu hubungan mereka dengan persekitaran dua orang pelacur. Manakala keluarga Orked perlu berhadapan dengan pemasalahan keluarga Orked itu sendiri, keluarga Jason dan hubungan dengan suaminya.
Saya pernah berkata, saya mahu menonton sebuah filem yang simple tidak perlu cerita-cerita yang berbelit-belit. Masalah utama filem Melayu adalah ceritanya. Walaupun Gubra mempunyai banyak sub-plot untuk dihuraikan satu-persatu, tetapi setiap adegan diarahkan dengan begitu cemerlang sekali oleh Yasmin Ahmad dan kerja-kerja suntingan dilaksanakan dengan baik oleh Afandi Jamaluddin.
Lebih-lebih lagi kebanyakan watak dan perwatakan telah diterangkan di dalam Rabun dan Sepet sebelum ini dan memungkinkan penonton mendapat pemahaman yang lebih jelas di dalam Gubra.
Diteliti dari aspek lakonan, keseluruhan pelakon Gubra telah memberikan sepenuh jiwa mereka dalam lakonan mereka. Namron cemerlang sebagai seorang Bilal dan ketua keluarga yang mempunyai hati yang mulia. Nur Khairiah yang memegang watak sebagai Mas iaitu isteri Bilal sebenarnya merupakan kekuatan utama filem ini. Lakonan beliau begitu hebat. Beliau pernah kita tonton sebagai Orked dalam Rabun. Sementara Rozie Rashid dan Juliana Ibrahim berperan sebagai pelacur dan menjadi simbol gelap dalam filem ini.
Sementara Sharifah Amani mengekalkan standard elit beliau dalam Sepet ke dalam Gubra dan telah memberikan lakonan yang outstanding ! Adegan terbaik beliau adalah sewaktu perselisihan faham dengan suaminya. Begitu terkawal sekali lakonan beliau dan amat konsisten emosinya. Harith Iskander dan Ida Nerina telah memberikan lakonan yang memuaskan dan seakan pelengkap kepada filem ini. Malangnya saya kurang menggemari lakonan Adlin Aman Ramlie. Mungkin kerana gaya berdirinya dan kedudukan tangannya agak stereotype. Sama sahaja dalam teater atau filem beliau sebelum ini. Mungkin posturenya sahaja stereotype tetapi emosinya jelas berbeza dalam filem ini. Setiap pelakon saling melengkapi antara satu sama lain dalam permainan watak masing-masing.
Adegan paling menarik bagi saya adalah sewaktu pertindihan adegan antara laungan azan, sepasang keluarga Cina sedang bersembahyang di depan tokong cina, seorang bapa dan anaknya bersembahyang di gereja, dua orang perempuan (siapa mereka ? tonton filem ini kelak)bersembahyang di masjid. Hanya rakyat Malaysia yang berakal waras sahaja yang mampu menghasilkan filem sebegini kerana kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia dan juga hanya rakyat Malaysia yang berakal matang sahaja yang mampu menerima adegan sebegini ditontonkan kepada mereka tanpa rasa prejudis.
Adegan ini sangat indah lebih-lebih lagi dalam bacaan azan, bacaan Quran dan bacaan Bible dalam maksud yang sama saling bertukaran dalam adegan tersebut. Hanya di Malaysia sahaja kita boleh tengok adegan ini.
Setiap adegan menjentik minda saya untuk berfikir sejenak apa kesannya kepada penonton filem ini. Seawal 5 minit pertama filem ini ditayangkan, adegan seorang Bilal (Namron) menyentuh seekor anjing berkaki tempang di tepi jalan dalam perjalanan menuju ke Surau pada waktu Subuh sudah membuatkan perbincangan selepas menonton filem itu berlarutan sehingga jam 11.30 malam.
Tentunya persoalan halal haram akan menjadi permainan di kotak fikiran sesetengah penonton, paling tidak pun kepada panel yang menduduki kerusi panas Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Gubra membawakan persoalan yang lebih besar terutamanya tentang agama, bangsa dan negara. Jawapannya ada pada kita. Minda kita harus bekerja apabila menonton filem sebegini. Gubra bercakap tentang banyak perkara. Gubra turut menyelitkan tentang persoalan bangsa. Bagaimana sifat prejudis sentiasa menyelubungi manusia. Perbezaan bangsa atau kaum sering menjadi masalah utama yang tidak pernah selesai. Agama adalah sesuatu yang suci dan kepercayaan masing-masing adalah merupakan tunjang kekuatan iman seseorang dan tidak wajar untuk dipersoalkan. Kepercayaan masing-masing sebenarnya membawa kepada aspek positif dalam kehidupan mereka sendiri.
Penamat filem ini bakal sekali lagi menjadi perbualan hangat sapa seperti yang berlaku dalam filem Sepet. Mungkin ada yang tersenyum dan mengimpikan kehidupan sempurna sedemikian. Tidak wajar saya ulas lanjut tentang penamat filem ini dan anda harus tonton sendiri filem kelak. Saya merasakan ini adalah hasil Yasmin Ahmad yang terbaik dan wajar ditonton oleh setiap lapisan masyarakat yang ingin belajar mengenali agama dan budaya di Malaysia. Filem ini mendidik erti perpaduan antara kaum tanpa ada rasa prejudis.
Tentu sahaja pembikin filem arus perdana bakal wajib merasa gubra dengan kemunculan filem Gubra. Filem ini sebuah filem yang besar buat Malaysia, ia adalah satu cenderamata yang paling berharga dari Yasmin Ahmad untuk agama, bangsa dan negaranya.
Penilaian Awal sultanmuzaffar (versi rough cut)
Rating : A-
Arahan : A+
Lakonan : A
Suntingan : A-
Skrip : A-
Sinematografi : A-
Arahan Seni : A-
Muzik Latar : B
0 komen