Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 November 2005 0 komen

Rock : Mengembalikan Zaman 80an
Rating : A (Mesti Tonton)

Rock mesti ditonton oleh sesiapa sahaja yang meminati komedi gaya Mamat Khalid dan peminat muzik rock ! Saya suka Rock kerana ia merupakan sebuah komedi yang ringan dan menghiburkan. Saya terhibur menonton Rock. Sebab saya menonton filem, pertama untuk menghiburkan diri sendiri dan kedua melihat apakah idea kreatif yang ingin dipersembahkan oleh pengarah filem tersebut. Saya bangga melihat hasil filem ini. Ceritanya ringkas. Arahannya mantap. Suntingannya tepat. Imbas Kembalinya cemerlang. Seperti telefilem arahan Mamat Khalid sebelum ini seperti Pinang Durian, Pukul Dua Petang, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel, Hari Raya Abdullah Rafee dan Mat Nor Khusairi & The Velvet Boy, itulah pembawaan gaya Mamat Khalid dan di bawa ke filem ini. Jika anda menyukai telefilem-telefilem beliau, saya pasti anda menyukai Rock.

Rock mengisahkan tentang sekumpulan anak-anak muda dalam sebuah band rock yang pernah memasang impian untuk jadi terkenal pada dekad 80an ! Zack yang pada masa ini bekerja di pejabat pos tiba-tiba terjumpa sepucuk surat yang ditujukan kepada kumpulannya dulu - RIMBABARA - di bahagian surat tidak beralamat. Zack terus mengingati kembali bagaimana dia, JIJO (bass), BLACK (drum) dan AMY (vokal & kadang-kadang tambourine) berlatih bermati-matian untuk menyertai “Battle Of The Band” pada tahun 80an. Impian mereka cuma satu - menjadi juara dan merakamkan album. Zack berhadapan dengan pelbagai masalah dan dilemma - keluarga, kawan-kawan teman wanita seteru, duit dan banyak lagi…

Cerita ini menggambarkan latar mood dan feel 80an yang menarik, nostalgia dan penuh ‘kapak’. Inilah kisah tentang sebuah band yang hampir terkenal !

Visual Rock Yang Meletup !

Zack yang selamba dan lucu

Filem ini mengembalikan bukan sahaja muzik rock zaman 80an tetapi juga dibikin dengan berlatarkan kemudahan teknologi ketika itu. Mood yang dibawa oleh filem ini bukan sekadar pada intipati cerita tersebut tetapi juga pada visual yang dipaparkan.

Pada beberapa adegan berlakunya pergerakan bibir pelakon yang tidak selari dengan dialog. Teringat filem-filem zaman tersebut yang mana proses dubbingnya dibuat dengan tidak teliti atau mungkin juga kekangan kewangan atau teknologi pada masa tersebut. Ia semacam drama alih suara, bibir cakap Jepun, suara cakap Melayu. Menurut Mamat Khalid, ia memang disengajakan agar mood teknologi pada zaman dapat dirasai oleh penonton. Memang sesuatu yang sukar untuk membawa visual 80an ke layar perak. Seseorang pengarah itu harus menyelam zaman tersebut untuk mengingati kembali visual zaman tersebut dan ditayangkan di layar perak.

Kaedah rakaman gambar juga adakalanya sengaja di”out-focus”kan. Pelakon berdialog dalam keadaan samara (blur) bila mana imej yang statik menjadi focus pada layar. Itu style atau identiti zaman tersebut. Kesan sinematografi pada filem ini juga nampak kelam sama seperti menonton filem Fantasia setelah 4 tahun pembikinannya dari diluluskan untuk tayangan setelah diharamkan. Kesannya sama seperti bila kita menonton filem Abang pada masa kini. Ia nampak kelam.

Zaman 80an dibawa kembali ke layar perak dengan cemerlang oleh Mamat Khalid. Gaya berpakaian (walaupun ada beberapa kesilapan yang boleh dimaafkan), gaya pertuturan juga kekangan teknologi dipersembahkan dengan bersahaja tetapi kena dalam filem ini.

Rock Kangkang

Bayangkan anda dapat melihat kasut Aliph (kalau yang berduit sikit, mereka guna kasut LA Gear. Ella model utama untuk kasut LA Gear satu ketika dulu) yang terkenal di zaman tersebut dalam filem ini. Fesyen seluar fit yang maha ketat (terpaksa gunakan plastik sayur untuk menyarung seluar ketat tersebut) menjadi simbolik wajib kepada identiti rock selain tie tali kasut berlokedkan tengkorak atau gading dan baju T lusuh tertulis perkataan DIO. Zaman tersebut belum cukup lengkap tanpa tali kasut fluorescent. Saya tidak pasti mat rock pakai atau tidak tali kasut berwarna terang atau mungkin juga mat diskang saja yang pakai jenis itu.

Ingat zaman Battle of The Band ketika seluruh Malaysia dilanda demam rock ? Penuh funfair dengan mat-mat rock yang berjiwa kental serta minah karan rambut gerbang datang menonton konsert mereka. Zaman Ali Bakar yang satu ketika popular kerana menjadi promoter muzik rock dan band rock, sama popular dengan Freddie Fernandez ketika zaman Akademi Fantasia sejak akhir-akhir ini.

Zaman tersebut semua orang minat nak tubuh band. Semua orang minat nak jadi terkenal macam Amy serta kumpulan Search atau pun Ramli Sarip dari kumpulan Sweet Charity. Macam zaman sekarang semua orang mahu menjadi pelajar Akademi Fantasia. Saya pun tidak ketinggalan. Di sekolah dulu, saya ada juga band rock kangkang macam apa yang dipersembahkan dalam Rock. Apa nama band saya dulu pun saya sudah tidak ingat. Yang saya ingat saya main keyboard. Zaman-zaman lewat 80an kalau sebut pemain keyboard mesti yang berangan nak jadi macam Acis dari kumpulan Gersang. Dia seorang sahaja yang boleh pakai pun. Yang lain semua rambut panjang. Ada yang sanggup panjat pagar asrama semata-mata mahu menonton konsert rock di funfair. Bukan minat pun, sekadar ikut kawan.

Percaya atau tidak jika saya katakan lagu-lagu zaman tersebut belum mampu menyaingi mana-mana lagu zaman sekarang. Saya masih boleh mendengar lagu Rozana dari kumpulan Search berkali-kali, lebih-lebih lagi lagu dari album Fenomena. Lagu-lagu kenangan zaman 80an dibawa juga ke dalam filem ini. Antara lagu yang menjadi penyeri filem ini ialah Sejuta Wajah (Sweet Charity), Wajah Kesayangan Hamba (Hail Amir), Belaian Jiwa (Carefree) - maklumat untuk generasi wawasan 2020, lagu ini bukan lagu Innuendo, ia lagu Carefree, Panah Beracun (Ramli Sarip), Dari Sinar Mata (BPR), Debunga Wangi )Lefthanded), Batu & Penunggu (Sweet Charity, Tiada Lagi Kidungmu (Lefthanded) dan Taman Rashidah Utama (Wings)

Mendengar lagu Taman Rashidah Utama terutama pada bahagian bridge lagu tersebut sahaja sudah cukup untuk meremangkan bulu roma. Bunyi derapan tapak kasut, hujan dan petir benar-benar memberikan impak yang cukup gah untuk lagu tersebut. Sehingga sekarang lagu tersebut cukup sinonim dengan irama rock selain dari lagu-lagu nyanyian kumpulan Search.

Sebut tentang Search, satu kekurangan yang cukup besar pada filem ini apabila tiada lagu dari kumpulan Search digunakan dalam filem ini. Sekadar kemunculan istimewa dari Amy selaku pengadil pada penghujung filem.

Gabungan dua generasi dalam filem ini memberikan satu kelainan. Aura zaman 80an begitu kuat dalam filem ini, sebab itulah Julie Dahlan perlu ada dalam filem ini. Connie (Norlida Ahmad) yang dikenali sebagai mangsa rogol dalam Tujuh Biang Keladi juga muncul dalam filem ini. Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak-anak Man Kidal, Amy Search, Julie Dahlan dan Datuk A.Rahman Hassan turut menyerikan filem ini.

Barisan pelakon Rock di Tayangan Media

Saya menyukai lakonan selamba dan lucu dari Hasnul Rahmat sebagai Zack, sesuatuhnya watak Khir Rahman sebagai Jijo dan Que Haidar (sesekali nampak macam AC Mizal) sebagai Amy. Sinis sekali apabila Nasir Jani diperkenalkan sebagai Bapa Perfileman Melayu Moden dalam filem ini. Saya masih ingat lagi aksi hentak meja dalam Dimensi (kalau tidak silap tajuknya : Teleskop, maklumat dari zarea106) sebuah talk show terbitan TV3 satu ketika dahulu.

Beberapa adegan yang boleh saya sifatkan sebagai permata dalam filem ini adalah sewaktu Zack (Hasnul Rahmat) pergi ke satu temuduga atas desakan bapanya yang ingin melihat anaknya bekerja dengan kerajaan. Berlatarbelakangkan slogan Bersih Cekap Amanah yang cukup kuat laungan mesejnya, saya dapat melihat berlakunya penyalahgunaan kuasa atau kronisme dalam jabatan kerajaan. Tentunya lebih menarik sekiranya adegan tersebut ditamatkan di situ sahaja dan dipaparkan adegan Zack keluar dari bilik temuduga tersebut.

Kemunculan burung belatuk secara penuh absurd dalam filem ini seakan-akan pemberi ilham kepada Zack sewaktu menggoreng gitar. Walaupun dibuat dengan menggunakan teknologi 3D, animasi burung belatuk nampak benar cacatnya. Saya mengambil jalan tengah dan membayangkan sekiranya animasi 3D dalam filem tersebut dibuat pada tahun 80an, tentulah hasilnya agak cacat. Walaupun nampak cacat tetapi saya menganggap itulah hasil terbaik animasi 3D sekiranya ia dilaksanakan pada zaman 80an. Bayangkan filem dekad 80an menggunakan animasi 3D, tentulah sesuatu yang membanggakan bukan ?

Adegan Zul Kapan and The Malaikat Maut memang superb !! Rock mereka rock kangkang dan saya rasa anda boleh menyukai mereka kerana Zul Kapan dan kawan-kawannya melengkapkan filem ini. Penampilan mereka menjadikan imej rock dalam filem ini benar-benar rock. Walaupun Zul Kapan itu seorang rockers (rokes), walaupun gagal dia tidak dengki. Sebaliknya yang berlaku. Itulah yang best dan unik dalam filem ini yang tiada dalam filem pengarah filem tersohor bertaraf Profesor atau Datuk.

Penamat filem ini saya kurang menyukainya. Titik tolak filem ini berpegang kepada sepucuk surat tersebut. Isi surat tersebut semacam tidak begitu memberikan impak lebih dramatik kepada filem ini kerana Zack telah memilih jalannya sendiri.

Pengarah Filem Rock, Mamat Khalid bersama para wartawan

Filem ini wajar ditonton oleh para generasi muda agar mereka dapat melihat zaman yang tidak pernah mereka lalui lebih-lebih lagi sewaktu rock berada di zaman kegemilangannya dan juga generasi ibu-ibu dan bapa-bapa mereka agar mereka dapat mengimbas kembali zaman-zaman kenangan mereka.

Apakah yang terjadi kepada Zack ? Apakah beliau berjaya dalam wawasannya untuk menang dalam Battle of The Band ? Atau berjayakah Zack memenangi hati Khaty, kekasihnya ?

Filem ini akan menemui penonton mulai 8 Disember 2005 di pawagam-pawagam berhampiran anda. Anda minat rock ? Tontonlah filem ini. Anda pasti puas hati. Saya berikan A untuk filem ini !!!

Ulasan Lain :
Tontonfilem : Janji 'Rock' Mengorak
GBSB : Rock !
Filem Kita : Rock
Harian Metro : Rock papar dilema anak seni
Utusan Malaysia : Rock - Cetusan pengalaman Mamat Khalid
Utusan Malaysia : Rock - Filem semi autobiografi komedi

Entri oleh sultanmuzaffar 29 November 2005 1 komen

Tari : LALAK
Panggung Bandaraya Kuala Lumpur
2 hingga 4 Disember 2005
Jam 8.30 malam
LALAK adalah sebuah kolaborasi seni persembahan Teater Tari Kontemporari Malaysia yang tercetus antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan Svarnabhumi Studio. Kolaborasi ini akan menampilkan sepuluh buah rekaan tari hasil ciptaan lima perekatari terkenal : Syed Mustapha - pemenang anugerah Cameronian Award untuk Best Choreography 2003 yang banyak menggali semangat Melayu dalam karyanya, Jasni Ahmad - calon anugerah Cameronian Award yang mengadopsi konsep tari kontemporari Jepun dalam tarian etnik Orang Asli, Hamid Chan – antara graduan awal program tari dari Akademi Seni Kebangsaan yang menjadikan etnik Sabah sebagai jatidiri dan identitinya, Junainah Long – antara Koreografer Muda Asia Pasifik, Taipei 2003 yang mengenegahkan bahasa tubuh seorang wanita sebagai dialognya dan Zulkifli Mohamad – antara 10 koreografer terpilih Istana Budaya-Emas Sepuluh 2004 yang mengambil konsep Main Peteri untuk menganalisa penyakit bangsanya. Lima koreografer ini akan menarikan sendiri lima karya solo mereka dan menampilkan lima koreografi yang mengenegahkan para penari dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. LALAK adalah Arus Tradisi Tari Kontemporari Malaysia.

LALAK adalah sebuah nama yang diberikan untuk mewakili gabungan perasaan yang tersirat dalam diri kelima-lima seniman tari ini. LALAK memberi makna “Melaung Sekuat-kuat Hati”. LALAK adalah pantulan reaksi manusia terhadap dunia sekelilingnya, dunia yang mementingkan wang ringgit, harta dan pangkat, dunia hiburan di Malaysia yang hanya mementingkan hiburan semata-mata tanpa mengambilkira nilai-nilai seni, estetika, jati diri dan maruah bangsa, dan dunia yang mengagungkan nilai kebaratan. LALAK adalah sebuah gerakan melawan arus hiburan yang begitu deras dan bersifat sementara belaka. LALAK adalah sebuah pernyataan tentang pengaliran seni tradisi Malaysia baru yang bersifat kontemporari yang penuh makna serta pengajarannya. Seni tari kontemporari tak ubah seperti seni sastera yang bersifat visual dalam tiga dimensi. LALAK adalah suatu dialog yang menyoal jati diri Melayu dalam arus global serta mencabar seni tari teater serta seni visual, teks, bunyi dan gerak

Syed Mustapha Syed Yasin
Karya Solo: Keliru
Biar apa yang kau katakana
Terhadap diriku ini
Di sini ku masih berdiri
Menahan pahitnya
Sebelum kau kenal
Hati nuraniku
Awaslah katamu………..!!!

Karya Kumpulan: OM BAK
Ia datang dan pergi
Pergi tak kembali
Menjadi satu misteri
Tragedi menyayat hati
Peristiwa silam berlaku kini
Pun sampai berulang lagi
Ku panjatkan doa dari Illahi

Jasni A.Hamid
Karya Solo: Argo-Gede
Dalam perjalanan dari Jakarta ke Bandung,
Dari dalam ruang keretapi Argo-Gede
Mataku terpaku ke lereng-lereng bukit yang subur mengemas
Terkesan dengan keindahan,
Terkesan dengan pribumi Jawa berhuma

Karya Kumpulan: Episod Hanuman
Tubuh bagai kelonsong ditiup roh,
Di isi hati dengan dua rasa,
Yang kudus dan yang hodoh,
Keduanya saling mendominasi tiada toleransi,
Ada yang membunuh dan ada yang menumbuh,
Akal harus jadi tuan, biar hidup bersempadan

Hamid Chan
Karya Solo: BORNEO
Sebuah karya yang berlandaskan dasar-dasar kehidupan dan keakraban penghuninya dengan alam semulajadi. Ianya dijadikan suatu sumber kepada garapan tari dalam persembahan solo ini. Gaya tari dan elemen-elemen etnik masyarakat kepulauan Borneo ia dijadikan pengisian tari satu koreografi yang mencerminkan kehidupan masyarakat itu sendiri, dalam erti kehidupan yang sebenar. Seni menjadi imitasi kehidupan dan kehidupan menjadi imitasi seni, tiada yang betul dan tiada yang salah dalam penciptaan, semuanya membentuk suatu kehidupan kita. Apa yang terlahir dari diri kita akan menjadi jatidiri kita, ianya mungkin lahir dari apa yang kita kutip hasil tatapan, bacaan, renungan dan pengalamanang kita lalui.

Karya Kumpulan: KUKUDA
"Kukuda" adalah satu gabungan gerak tari dari kuda kepang dan tari jawa (Gagahan) namun hampir keseluruhan pengisian dalam koreografi ini, telah diolah mengikut corak tari masakini, walaubagaimanapun warna-warna tari Kuda Kepang dan tari Jawanya adalah menjadi landasan utama, begitu juga dengan iringan muzik ia adalah satu garapan baru dalam aliran yang berlainan. Tiada siapa menghalang tiada siapa merancang di sudut lalui penuh ruang, dilalui langkaan 8 Kukuda, bernafas di atas rentak muzik, berhenti di atas satu ruang.

Junainah M.Lojong
Karya Solo : Untitled I – Suara Tubuh
Karya ini merupakan penggalian didalam proses eksperimentasi gerak dan tari yang berpaksikan “space” (ruang) dan “time”(waktu). Maka dari pertembungan-pertembungan tersebutlah emosi-emosi yang menciptakan isu-isunya tersendiri. Dipasakkan kepada satu punca, eksplorasi gerak dan tari yang terhasil daripada kepelbagaian ruang yang dicipta dalam waktu yang berbeza-beza. Tanpa teks, isu yang diangkat melalui ruang yang dibina akan mengubah tubuh badan yang memberikan tenaga berbeza. Secara semulajadi anggota badan akan memberi tindak balas terhadap ruang yang akan menghasilkan emosi diri. Ruang, waktu dan isu menjadi idea dan konsep utama dalam kerja seni ini.

Karya Kumpulan: Untitled II - Wanita
Karya tari ini merupakan suatu kelangsungan dari permainan gerak dan gerak permainan atau “playing” berpandukan tema didalam isu feminisma dan wanita. Bertemakan wanita, tubuh badan akan mengekspresi dan menyampaikan mesej kepada khalayak. Eksplorasi kepada tema ini dikembangkan dan menghasilkan isu tentang wanita. Proses latihan akan mewujudkan satu focus kepada tema secara satu arah, mengambil seksualiti sebagai elemen penting di dalam pergerakkan. Walaupun tema wanita itu terlalu besar, proses penggalian terhadap tema itu akan menghasilkan satu persoalan utama di dalam konsep wanita.

Zulkifli Mohamad
Karya Solo: 1914/2004
Kedua-dua tarikh keramat ini adalah umpama menatap halaman ‘Hari Ini Dalam Sejarah’ – mengenang kembali tahun 1914 dimana Tok Janggut menentang penjajah British bermati-matian sehingga tubuhnya dikelar empat belas dan dibawa mengelilingi Kota Bharu untuk ditayangkan kepada seluruh rakyat jelata. 2004 pula menyaksikan bagaimana beratus-ratus orang Melayu Muslim sebangsa seugama dengan kita dikorbankan di seberang sungai di sempadan. Persembahan ini menggunakan gabungan pancaran video dan gerak geri dramatis yang bersifat moden sambil berinspirasikan silat, asyik, mak yong dan manora.

Karya Kumpulan: Jadi Jawa Jawi
Penceritaan yang berinspirasikan asal usul dan pengaruh kerajaan-kerajaan lama nusantara di Semenanjung Tanah Melayu serta pengaliran imigran tanah seberang yang menjadi isu masakini. Persembahan ini menggunakan konsep minimalis dengan cahaya lampu pelita serta suara dari penari sendiri dan di jakstaposisikan dengan lagu dangdut dari radio transistor.

Entri oleh sultanmuzaffar 27 November 2005 0 komen

Album Terbaik dari Bintang Realiti TV

Nikki : Maharani
Rating : 4/5

"Pinta (Vintage Remix) mengembalikan saya ke zaman mainan muzik piring hitam
dengan menggunakan gramaphone. Satu cubaan yang menarik !"

Setelah berakhirnya Malaysian Idol, ramai yang tertunggu-tunggu buah tangan dari Nikki kerana penyingkiran mengejutnya dari Malaysian Idol. Berbekalkan kehebatan vokal yang mantap, Nikki hadir menemui peminatnya dengan sebuah album bertajuk Maharani. Saya kurang mengikuti program Malaysian Idol kecuali menontonnya sekali-sekala jika ada kesempatan. Waktu bila Nikki tersingkir pun sudah saya lupa. Boleh saya katakan, album ini lebih hebat dari album Jaclyn Victor, juara Malaysian Idol. Saya belum berkesempatan untuk mendengar lagu-lagu dari album Saiful dan Dina.

Album yang baik pada saya apabila mempunyai susunan muzik yang mantap. Lagu-lagu yang tercipta mempunyai bunyi-bunyian hasil instrument yang pelbagai dan memberikan variasi pada lagu-lagu tersebut. Album yang baik bukan sekadar kehebatan vokal atau aura penyanyi tetapi juga produksi album yang mantap.

Satu keberanian yang saya lihat pada album ini apabila Nikki cuba untuk menghindarkan imej Mariah Carey pada persembahan vokalnya. Ada beberapa lagu masih menggunakan whistling tetapi tidak pada kesemua lagu. Walaupun dikenali dengan imej tersebut, produksi ini dengan berani mengenepikan imej tersebut dan meneroka percubaan-percubaan lain pada persembahan vokal Nikki. Beliau mempunyai kebolehan tersebut tetapi tidak terlalu menunjuk-nunjukkan kebolehannya. Jika dibenarkan untuk saya bandingkan dengan Idayu yang terlalu berusaha keras untuk menonjolkan kebolehannya.

Saya menyukai sebutan nyanyian Nikki yang tidak pekat dialek Sabahnya. Beberapa kali mendengar lagu ini, jelas kedengaran seperti dinyanyikan oleh seorang penyanyi berbangsa Melayu. Namun demikian sebuah lagu berbahasa Dusun turut dimuatkan dalam album tersebut untuk menghargai sokongan dari para peminat di negeri kelahirannya. Lagu tersebut juga dinyanyikan dengan baik oleh Nikki serta dalam sebutan bahasa yang betul.

Saya kurang berpuas hati dengan kulit album yang terhasil. Gambar di kulit hadapan tidak cukup untuk menarik pendengar untuk membeli album ini. Tidak dinafikan kualiti fotografi yang digunakan amat baik tetapi imej yang terhasil masih belum mampu menarik minat saya untuk membelinya sekiranya saya berpandukan kulit album hadapan.

Memandangkan Nikki seorang yang agak sukar untuk tersenyum, maka apa perlunya imej dengan wajah yang serius dipaparkan di kulit hadapan album tersebut. Saya lebih tertarik dengan imej-imej yang terhasil di bahagian dalam kulit album ini. Imej-imej tersebut lebih menyerlahkan keremajaan Nikki.

Imej-imej pada kulit album amat penting untuk menarik pendengar membeli album tersebut. Tajuk album ini iaitu Maharani sudah seakan menjarakkan sedikit hubungannya dengan pendengar. Maka, imej tersebut perlu dieksploitasi untuk merapatkan jurang tersebut agar Maharani yang dipersembahkan adalah Maharani yang dekat dengan pendengar.

Satu keunikan album ini apabila ia menampilkan 12 track remix serta 1 hidden track iaitu duet Nikki dan Ning Baizura untuk lagu Pinta. Saya tertarik dengan Pinta (Vintage Mix) yang seakan-akan mengembalikan mood muzik piring hitam yang dimainkan dengan peti gramophone. Saya ada beberapa koleksi lagu-lagu klasik Melayu yang sedemikian seperti Terang Bulan dan Fatwa Pujangga. Dalam dunia muzik menuju arus kemodenan, muzik klasik tetap menjadi pilihan.

Antara lagu yang menarik pada pendengaran saya ialah lagu Pinta. Lagu Pinta merupakan sebuah lagu balada yang mempunyai susunan muzik yang menarik. Pada saya lagu ini masih belum mampu menyaingi lagu Awan Yang Terpilu. Susunan muziknya cukup memadai tetapi masih belum begitu solid. Banyak ruang-ruang kosong untuk dipenuhi dengan bunyi-bunyi yang lebih mantap. Satu perkara yang saya perasan permulaan lagu ini ada iras-iras lagu Bertakhta Di Hati.

Permulaan lagu Janji mengingatkan saya kepada bunyi-bunyi etnik fusion dalam Senang Tari oleh Ning Baizura. Sebuah balada yang yang padat dengan mainan strings yang menusuk pendengaran. Kebanyakan lagu dalam album ini amat tebal bunyian stringsnya.

Penampilan Zahid dalam lagu Caramu melengkapkan lagu tersebut. Lebih menarik, lagu tersebut dirakamkan sewaktu saya dan beberapa sahabat lain berada di studio rakaman. Zahid turut meminta pandangan dari beberapa pihak untuk lirik rap lagu tersebut.

Sebuah lagu dalam hidden track menggandingkan Nikki dan Ning dalam lagu yang bertajuk Imaginasi secara unplugged. Gandingan vokal mereka kedengaran ada persamaan walaupun range Nikki lebih besar. Secara jujur saya lebih menyukai kemerduan vokal Ning dan kelantangan vokal Nikki. Vokal mereka saling melengkapi dalam lagu Imaginasi tersebut.

Banyak lagu-lagu yang berentak agak rancak dalam album ini bersesuaian dengan konsepnya yang agak keremajaan. Lagu Perang Atau Cinta, Cinta Baru, Aku Maharani dan Hey ! Hey ! merupakan antara lagu-lagu yang agak rancak temponya. Saya jarang menyukai lagu-lagu sedemikian. Penggemar lagu rancak yang mempunyai elemen hip-hop, rap dan bubble-gum pop tentunya meminati lagu-lagu tersebut. Jiwa saya lebih kepada lagu irama etnik fusion dan balada. Muzik orang tua seperti lagu Janji dan Pinta !

Sebuah album yang boleh saya sifatkan sebagai hasil yang terbaik dari bintang realiti TV kerana barisan sokongan tenaga produksi yang mantap. Kehebatan vokal Nikki disokong dengan sebuah produksi album yang saling melengkapi untuk sebuah hasil yang boleh dibanggakan.

Track :-
Imaginasi
Caramu (featuring Zahid)
Perang Atau Cinta
Cinta Baru
Julangan Permata
Bahagia Selamanya
Janji
Aku Maharani
Hey ! Hey !
Pinta
Sunudai Oku
Caramu

Pilihan sultanmuzaffar
Pinta 4.5/5
Janji 4.5/5
Imaginasi 4.5/5
Caramu 4/5
Cinta Baru 4/5
Julangan Permata 4/5
Aku Maharani 4/5
Sunudai Oku 3.5/5
Bahagia Selamanya 3.5/5
Hey ! Hey ! 3/5
Perang Atau Cinta 3/5

Laman Web Rasmi Nikki : www.nikkimusic.com.my
Beli Album Nikki Online : BadrulAfterSix
Metro Ahad : Maharani Cukup Selesa
Fiebie : PROMOSI TIME : PROJEK MAHARANI
SashiWeb : Nikki’s debut album ‘Maharani’

"kalau ingin menghalau langau, kita buang bangkainya dahulu..."

Entri oleh sultanmuzaffar 21 November 2005 0 komen

Apa Yang Best Tentang Jiwang United

Rumah Terbuka Akma di kediamannya

Pagi tersebut saya sempat menyelak akhbar Mingguan Malaysia, ruangan Cubit Manja oleh Siti Jarum. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tiada kata yang mampu saya luahkan kesan dari isu tersebut. Benar, isu tersebut telah menjadi semakin besar dan sedikit sebanyak ada pihak lain yang terkena tempiasnya. Sebagai seorang blogger sepenuh masa (ya, sepenuh masa) saya merasa agak tertekan membacanya. Saya sebolehnya tidak mahu masyarakat memandang serong tentang tugas dan fungsi seorang blogger.

Saya tertarik dengan satu kenyataan dari Siti Jarum yang berbunyi, “Bukan semua yang boleh menulis dan ada byline tu wartawan. Dan bukan orang yang tak ada byline itu pula bukan wartawan.” Renungkan dalam-dalam dua baris ayat tersebut dan tanamkan dalam-dalam ke dalam minda masing-masing.

Tengahari itu, saya tidak melepaskan peluang untuk menghadiri majlis rumah terbuka Jiwang United di Kenari Townhouse, Templer Park. Memandangkan ada yang sanggup terbang dari Brunei untuk ke majlis tersebut, amatlah tidak wajar sekiranya saya tidak mampu untuk menghadirinya. Kebanyakan para tetamu adalah mereka yang telah saya temui sewaktu Rumah Terbuka Akma di kediamannya di Jalan Klang Lama pada hari Sabtu. Tidak jemu-jemu kita bertemu. Ada juga kenalan baru yang saya kenal di majlis tersebut. Makin bertambah kenalan saya di sebalik kemelut kawan yang pergi. Boleh baca blog Houdini untuk ulasan lanjut.

Saya datang untuk makan dan berseronok-seronok. Tidaklah seronok sangat tapi cukup sekadar menyeronokkan hati insan lain. Dalam sibuk-sibuk ramai yang bertanyakan sama ada Badrul datang atau tidak. Saya jawab tidak sahaja. Ada hal mungkin. Walaupun saya sebenarnya menyimpan rahsia kehadirannya.

Banyak betul makanan yang terhidang di atas meja. Juga kerusi sehinggalah ke belakang dapur. Penuh dengan makanan. Di dinding tertampal menu-menu untuk tengahari itu. Ada macam-macam nama yang terpampang.

Menu Rumah Terbuka Jiwang United

Kuih Benderam Berjuta Batu, Sambal Bilis Cinta Seorang Teman, Rendang Camar Yang Pulang, Meehoon Goreng Nazam Berkasih, Keropok Lekor LOVE, Satay Susah Susah Aje, Laici Jelly Raikan Cinta, Mint Chocolate I Will Always Love You, Kuah Satay Hukum Karma, Sandwich Teratai, Nasi Himpit Adik Panjang, Mihun Goreng Memori Bahagia, Kek Coklat Konnichiwa, Nasi Dagang Whatever, Kuah Kacang Abang Panjang, Buah-Buahan Dusun, Kek Benjis Fantasia Bulan Madu, Spaghetti Semut Merah, Air berperisa Muhibbah dan macam-macam jenis lagi. Saya hanya bawa perut.

Bila tengok senarai menu dengan pelbagai nama teringat pula sewaktu nostalgia Akademi Fantasia 1 bila mana saya dan PFS menganjurkan Rumah Terbuka sultanmuzaffar. Kenangan-kenangan tersebut datang kembali ke dalam memori. Semua orang gembira melaksanakan satu majlis yang tidak begitu besar tetapi berlangsung dalam suasana yang meriah. Ia tetap sebuah majlis gathering, bezanya semua orang gembira dan tidak ada sidang media di pertengahan atau di penghujung majlis. Ia berlangsung dalam suasana yang amat meriah.

Felix dan Akma menonton video klip Jiwangs hasil ahli JU

Kemeriahan yang dirasai tidak terhenti setakat itu sahaja. Ketibaan Badrul yang telah saya ketahui sejak awal saya sambut di bawah tempat berlangsungnya majlis tersebut. Saya tergamam ! Baru sebentar tadi Lina menelefon Felix untuk memberi peluang kepada para tetamu mengucapkan sesuatu kepada Felix. Tapi kini Felix berada di depan mata mengekori Badrul. Bukan sahaja Felix, Akma juga turut serta. Tertipu rupanya saya dengan panggilan telefon sebentar tadi.

Kecoh satu rumah apabila melihat Felix dan Akma turut serta dalam majlis tersebut. Walaupun masa mereka tidak lama hanya dalam sejam sahaja tetapi ia merupakan satu kenangan paling bermakna bagi semua tetamu yang hadir.

Tetamu yang hadir tidak tahu menahu tentang kehadiran Felix dan Akma, tetapi masih sanggup melaksanakan majlis tersebut dengan gigih. Yang terbang dari Brunei tidak pernah mengharap yang Felix dan Akma akan hadir, cukuplah sekadar dapat bertemu dengan kawan-kawan Jiwang United. Melihatkan kehadiran Felix dan Akma, ia merupakan satu bonus buat mereka.

Upacara Membodek Jejaka Terhangat Di Pasaran oleh JU

Itu yang saya lihat ada dalam Jiwang United. Mereka tidak terlalu memberikan harapan yang tinggi tetapi sekdar melakukan apa yang mereka termampu. Sokongan yang diberikan kepada Felix dan Akma tidak pernah dibatasi dengan habuan-habuan yang tidak masuk akal. Apa yang mereka lakukan adalah untuk meraikan cinta sesama Jiwang United. Mereka tidak pernah meletakkan syarat kepada Felix agar jangan bergambar dengan artis wanita, begitu juga sebaliknya kepada Akma. Mereka sekadar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka berdua.

Foto Kenangan Jiwang United

Memandangkan kebesaran kuasa yang ditunjukkan oleh Badrul dengan membawa Felix dan Akma ke majlis tersebut, maka sahamnya naik melonjak sehingga tidak dapat ditahan-tahan lagi. Saham wink sebagai Jejaka Terhangat di Pasaran juga nampaknya semakin merudum menghadapi zaman kemelesetan. Saham saya ? Tidak perlu risau. Masih kukuh di pasaran. Setakat hari ini, baru dua orang yang mengaku. Ada lagi yang masih belum tampil untuk membuat pengakuan mereka. Mereka disarankan agar membuat pengakuan dengan kadar yang segera sebelum terlambat. Sila buat sidang media secepat yang mungkin. Tetapi ingat, tunggu sehingga majlis selesai.

Felix juga mewar-warkan agar jangan lupa dengan gatheringnya yang akan diadakan hujung minggu ini. Maklumat lanjut adalah seperti di bawah :

Gathering Bersama Felix Agus

Tarikh : 26 November 2005 (Sabtu)
Masa : 8.00 malam
Tempat : The Pool Side Suitestay Executive Residence, 161-D Jalan Ampang, Kuala Lumpur(dekat stesen LRT Ampang Park atau belakang Wisma MCA & Menara TR)
Harga tiket adalah : Dewasa - RM50, Kanak-kanak bawah 12 tahun - RM35(terhad kepada 15 orang kanak-kanak sahaja)

Saya menerima SMS ini dari seorang sahabat yang menonton wawancara bersama Bon Jovi di Oprah Winfrey Show;

"I never make any decision based on my fan base. If I were 2 do that, I wud be living a lie n not be true 2 myself. Music is what I do, not who I am; who I am is much more, not just what u c on stage." ni penyanyi yg dah berjaya selama 20 tahun n jual 100 juta album. Hehehe."

Fikir-fikirkanlah...

Entri oleh sultanmuzaffar 17 November 2005 0 komen

Apa Persamaan MawiFC dan AdamFC

Ucapan oleh Adam

Baru-baru ini saya berkesempatan untuk hadir ke Majlis Hari Raya yang dianjurkan oleh Adam Fan Club. Kemesraan yang ditunjukkan serta hubungan kekeluargaan sesama ahli boleh dilihat agak kukuh dalam kumpulan tersebut.

Mereka telah pun menjadi sebahagian daripada apa yang sering saya lalui selama hari ini. Dalam banyak-banyak kelab peminat, jemputan dari AdamFC memang agak sukar untuk saya ketepikan kerana faktor-faktor tersebut. Namun demikian, saya tetap mengehadkan hubungan tersebut tidak lebih sebagai seorang peminat Akademi Fantasia dengan Adam. Saya bukan Presiden, bukan Penasihat dan bukan Bendahari, saya hanya peminat.

Menganyam ketupat : terror sungguh !!

Saya senang berinteraksi dengan mereka dan bertukar-tukar pandangan. Mereka juga nampaknya sudah tahu apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan pelbagai masalah yang timbul. Sedikit demi sedikit mereka belajar dan mendapatkan nasihat dari mereka yang berkelayakan.

Saya mengikuti perkembangan kedua-dua buah kelab peminat ini yang lahir dari program realiti Akademi Fantasia. Baik Adam mahu pun Mawi mempunyai pengikut yang besar. Saya akui pengikut Mawi lebih besar dan amat besar.

Juara Lelong Frame Foto Adam

Populariti Adam setelah tamat pengajian dari Akademi Fantasia mengundang para oportunis untuk rapat dengannya. Ini sekaligus menjadikan hidup Adam seakan-akan terkongkong dibelenggu masalah yang dicipta oleh pengurusan kelab peminatnya. Seorang demi seorang datang oportunis bersilih ganti dan sanggup mengorbankan wang ringgit mereka demi Adam pada waktu tersebut. Para peminat yang ikhlas menyokong Adam nampaknya turut tersepit dalam kancah masalah tersebut.

Adam memberi duit raya kepada anak yatim

Masalah demi masalah yang diwarisi dari mereka sebenarnya tidaklah begitu merumitkan keadaan. Ahli Jawatankuasa Lama telah bertindak sewenang-wenangnya dan menutup laman web rasmi Adam ketika itu iaitu AdamFC.com. Tindakan tersebut menyebabkan para peminat hilang arah. Mujur yahoogroups Adam masih dikekalkan untuk para peminat terus berkomunikasi antara mereka.

Ahli Jawatankuasa Baru sebenarnya tidak perlu memulakannya dari bawah. Borang Pendaftaran Pertubuhan juga telah dihantar oleh AJK terdahulu. Namun demikian, AJK Baru hanya perlu menukar nama baru kepada pihak Pendaftaran Pertubuhan. Kelab Peminat Adam dan Mawi sebenarnya merupakan lubuk emas kepada para oportunis yang menantikan peluang untuk rapat dengan bintang ciptaan mereka. Kekosongan jawatan Presiden, Penasihat dan beberapa jawatan tidak akan dibiarkan lama kerana sudah ramai yang menantikan agar peluang itu datang.

Sidang Media Tergempar MawiFC

Dalam perkembangan lain, satu sidang media tergempar telah diadakan semalam untuk mengumumkan perletakan jawatan sebahagian besar daripada Ahli Jawatankuasa Penaja MawiFC. Sidang media tersebut telah diadakan sewaktu Mawi sedang membuat persembahan dalam satu majlis Pelancaran Album yang pertama beliau.

Pandangan saya jelas tentang isu ini. Ianya boleh diselesaikan dengan baik lebih-lebih lagi ia adalah masalah dalaman kelab. Tindakan tersebut dilakukan secara terburu-buru.

Dulu kita kutuk Melodi, sekarang kita join Melodi pulak :)

Mereka memberikan harapan yang terlalu tinggi kepada Mawi dan memikirkan mereka harus dihormati. Sikap meletakkan syarat kepada artis adalah satu sikap yang menyokong dan mengharapkan balasan.

Perletakan jawatan dua pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Penaja MawiFC sebenarnya tidak mencalarkan populariti Mawi. Anggap sahaja ianya sebagai satu publisiti kepada Mawi, selain daripada pengajaran kepada semua pihak untuk menilai orang-orang di sekeliling kita.

Dugaan kecil sahaja...ada rotan lagi besar menunggu

Cadangan saya kepada Ahli Jawatankuasa Baru MawiFC agar anda tidak terlalu mengongkong diri anda dalam kelompok anda sahaja. Buka pemikiran anda untuk bergaul dengan mereka yang telah terlebih dahulu mengharungi masalah-masalah tersebut. Pandangan-pandangan mereka contohnya dari AdamFC dan FarahFC sebenarnya boleh digunakan untuk memantapkan lagi perjuangan anda. Jangan terlalu merasa besar kepala apabila berpeluang memimpin sebuah kelab peminat yang besar seperti MawiFC. Sikap besar kepala itu lah yang sebenarnya telah merugikan banyak pihak.

Tabah dan kuatkan semangat...

Sempat saya bisikkan perkataan “tabah dan kuatkan semangat” kepada Mawi sebelum beredar dari majlis tersebut. Pandangan saya mungkin agak berbeza dengan rakan-rakan saya tetapi kami tetap berkawan.

Lain kali waktu PC jangan melukis atau sign autograf. Dengar setiap apa yang diperkatakan !

Mujur saya sekadar menjadi peminat fanatik Akademi Fantasia yang memerhatikan secara jauh dan tidak begitu terlibat dengan mereka. Bila sudah terlibat emosi, maka lain jadinya kelak.

Perspektif Berbeza :
Sekadar Media Picisan (bunga-bunga bakal lawyer)
Leen Ash Burn's Second Lair (kelakar tahap dewi-dewi)
Me, Myself and I (kelakar tahap dewa-dewa)
MawiFC.com (macam-macam ada)

Entri oleh sultanmuzaffar 14 November 2005 0 komen

Nostradamus Separuh Akhir Juara Lagu 2005

Esok bakal bermula episod terbaru dari tradisi Juara Lagu yang diteruskan pada tahun ini untuk kali ke 20. Umur Juara Lagu sudah begitu matang dan merupakan antara pertandingan penciptaan lagu paling berprestij di Malaysia selain Anugerah Industri Muzik.

Kejutan tambahan dua lagu di saat-saat akhir benar-benar mengejutkan. Apakah motif di sebalik penambahan tersebut masih menjadi misteri. Menurut pihak penerbitan, bilangan lagu ditambah adalah untuk memeriahkan lagi pertandingan Juara Lagu musim ini. Selain daripada memberikan peluang tambahan kepada pencipta lagu di Malaysia untuk mempertandingkan lagu-lagu mereka di peringkat Separuh Akhir.

Enam lagu yang ditambah ialah Joget Manis Musim Bercinta oleh Nas Adila, Taat oleh Rohana Jalil, Wajah oleh Jaclyn Victor, Cinta Seorang Teman oleh Bob AF2, Wo oleh Zahid AF2 dan Tak Tahu oleh Adam AF2.

Saya tertarik dengan ulasan oleh Javard yang memberikan pandangan yang bernas tentang kemungkinan penggunaan SMS digunakan untuk menarik penonton bersaling tindak dengan Juara Lagu 20 ini. Ini adalah satu yang tidak mustahil. DiGi telah mempergunakan aura Mawi untuk memenangkan beliau dalam Anugerah Artis Pilihan DiGi di Anugerah ERA 2005 dan tidak mustahil TV3 akan cuba menumpang populariti Mawi untuk mengaut sedikit keuntungan daripadanya.

Penggunaan SMS dalam menentukan pemenang semakin menjadi trend pada masa kini. Populariti SMS sukar untuk dinafikan. Hak pengguna menjadi semakin penting dalam menentukan kemenangan sesuatu pihak. Satu ketika dahulu, pertandingan ratu cantik hanya menggunakan juri profesional, tetapi kini pertandingan Miss World telah pun menggunakan kuasa SMS untuk menentukan pemenangnya. Mungkinkah Mawi juga yang akan menang pertandingan Miss World Malaysia sekiranya kuasa SMS menentukan pemenangnya ? Itulah kuasa SMS !

Dalam kes Juara Lagu edisi 20, mereka boleh menambah kategori Juara SMS untuk setiap kategori dan juga Juara SMS Persembahan Popular. Walaupun kategori-kategori ini bakal menjatuhkan sedikit kredibiliti yang sebelum ini menggunakan kuasa juri profesional sepenuhnya, ia merupakan tarikan populariti yang tidak boleh dinafikan kewujudannya. Mungkin juga di pihak TV3 mempunyai ego yang tidak mahu menaikkan populariti bintang ciptaan ASTRO. Mujur lagu Mimpi dendangan Daniel tidak sempat untuk pertandingan kali ini. Jelas sekali pertandingan dua penjuru antara Mawi dan Daniel untuk dinilai populariti mereka berdasarkan kuasa SMS.

Cadangan Kategori Juara Lagu 20
1. Juara Lagu
2. Juara Balada
3. Juara Pop Rock
4. Juara Etnik Kreatif
5. Juara Persembahan Terbaik
6. Juara Persembahan Vokal Terbaik
7. Juara SMS Balada
9. Juara SMS Pop Rock
9. Juara SMS Etnik Kreatif
10. Juara SMS Persembahan Popular

Sekadar cadangan, selain memberikan motivasi kepada para peserta untuk mempersembahkan lagu mereka dengan lebih cemerlang. Selain daripada itu, penonton juga dapat memilih lagu-lagu yang mereka rasakan popular untuk kategori tersebut. Susunan hiraki untuk keutamaan anugerah juga adalah seperti yang telah saya susunkan. Ini memberikan sedikit perspektif bahawa anugerah berkaitan SMS adalah kurang keutamaan berbanding keputusan yang dibuat oleh para juri. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan calar pada kredibiliti pertandingan Juara Lagu. Pertandingan SMS adalah sekadar memenuhi tuntutan populariti yang tidak boleh dinafikan.

Pilihan saya agak terhad kerana ada di antara lagu-lagu yang dipertandingkan tidak pernah saya dengar atau pun mungkin pernah dengar tetapi tidak tahu tajuk. Saya cuba meletakkan pilihan saya sebanyak lima lagu kerana mana tahu ada kejutan lain dari TV3 untuk Juara Lagu kali ini.

Irama Etnik
Binafsha – Waheeda / Trabye / Waheeda
Dendang Sahutan – To’Ki & Andy / To’ki
Benang Emas – Achik & Siti Nordiana / Eddie Hamid/Ku Seman
Gurindam Sang Puteri – Syazliana/ Pak Ngah / Siso
Semalakama – Zehra Zambri / Pak Ngah/ Ce Kem
Taat – Rohana Jalil / Rosli Md Kasa/ Tok Wan
Joget Manis Musim Bercinta – Nas Adila / S Atan/ Siso
Ayuh Juragan – Noraniza Idris / Fedtri Yahya
Nurul Ain – Rayna Hairina / Adnan Abu Hassan/ Faris
Senang Tari – Ning Baizura/ Farihin Abd Fatah/ Ain & Alia Elkine
Aduh Saliha – Mawi / M Nasir/ Loloq
Goyang Habibi – Ruffedge/ Cat

Pilihan sultanmuzaffar
Senang Tari – Ning Baizura/ Farihin Abd Fatah/ Ain & Alia Elkine
Aduh Saliha – Mawi / M Nasir/ Loloq
Ayuh Juragan – Noraniza Idris / Fedtri Yahya
Binafsha – Waheeda / Trabye / Waheeda
Goyang Habibi – Ruffedge/ Cat

Agak sukar juga untuk memilih lagu yang bakal terpilih untuk kategori ini kerana pilihan yang agak terhad. Dua lagu yang boleh saya katakan dengan yakin bakal meneruskan cabaran mereka ke Juara Lagu ialah lagu Senang Tari (Ning Baizura) dan Aduh Saliha (Mawi). Goyang Habibi (Ruffedge) saya sukakan keunikan lagu tersebut. Lagu-lagu lain peluangnya terbuka sama rata.

Balada
Gemilang – Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Asmin Mudin
Awan Yang Terpilu – Lin Li Zen / Loloq
Dedebu Cinta – Misha/ Azlan Abu Hasan/Ucu
Elegi Sepi – Azharina / Azlan Abu Hassan/ Julfekar
Tiada Lagi Tangisan – Aishah/ Adnan Abu Hassan
Tangisan Dalam Kerinduan – Farah/Adnan Abu Hassan
Tangisan Marhaenis – Hattan & Dia Fadila / M Nasir / Loloq
Cinta Seorang Teman – Bob / Adnan Abu Hassan / Fareez
Memori Bahagia – Sahri/Adnan Abu Hassan / Faris
Langit Ke Tujuh – Sharifah Zarina/ Master G/ Marsha
Wajah – Jaclyn Victor / Othman Mohamed/ Habsah Hassan
Bila Rindu – Ruffedge/Azan

Pilihan sultanmuzaffar
Awan Yang Terpilu – Lin Li Zen / Loloq
Elegi Sepi – Azharina / Azlan Abu Hassan/ Julfekar
Langit Ke Tujuh – Sharifah Zarina/ Master G/ Marsha
Gemilang – Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Asmin Mudin
Cinta Seorang Teman – Bob / Adnan Abu Hassan / Fareez

Terus terang saya katakan sukar untuk membuat pilihan dalam kategori ini kerana banyak lagu yang sedap-sedap. Lagu-lagu yang boleh saya sifatkan sebagai wajib ke Juara Lagu ialah Awan Yang Terpilu (Ning Baizura) dan Gemilang (Jaclyn Victor). Elegi Sepi (Azharina) dan Langit Ke Tujuh (Sharifah Zarina) merupakan dua lagu yang hebat dari segi penciptaannya. Lagu Cinta Seorang Teman saya pilih berdasarkan keindahan lagu tersebut serta keupayaan vokal Bob AF2 yang mampu membawakan lagu tersebut dengan baik.

Pop Rock
Cinta Dewa Dewi – Spider / M.Nasir/Loloq
Senyuman Ragamu – Gerhana Ska Cinta / Eddie J. Herwan/ Edy and Radhi OAG
Kata – Hazami / Hazami, Tris & Arab
Kasihnya Laila – Jinbara / Mala/Pak One
Message Girl – VE / Damien VE
Tak Tahu – Adam / Edry
Wo – Zahid /Audi Mok / Shazee
Gaia – Zainal / Pacai & Zainal
Rahsia – Flop Poppy / Fathul
Milikku – Zahid / Cat
Pop Ye Ye – VE/ VE/ Zaf & Cham
Dayang Sayang Kamu – Dayang/ Cat / Edry

Pilihan sultanmuzaffar
Pop Ye Ye – VE/ VE/ Zaf & Cham
Gaia – Zainal / Pacai & Zainal
Senyuman Ragamu – Gerhana Ska Cinta / Eddie J. Herwan/ Edy and Radhi OAG
Milikku – Zahid / Cat
Cinta Dewa Dewi – Spider / M.Nasir/Loloq

Peluang terbuka luas sama rata kepada semua lagu dalam kategori ini. Setiap lagu mempunyai kekuatan masing-masing yang tersendiri. Saya cuba juga ingin meletakkan lagu Message Girl (VE) kerana sememangnya saya tertarik dengan lagu tersebut tetapi populariti lagu Cinta Dewa Dewi (Spider) agak kukuh. Saya mahu melihat Pop Ye Ye (VE), Gaia (Zainal Abidin) dan Milikku (Zahid) untuk meneruskan cabaran mereka ke Juara Lagu kali ini.

Siapa sahaja pilihan juri profesional, kita harus terima dengan terbuka. Apa pula pilihan anda ?

Undian Web : Muzik Muzik
Ulasan Lain : Javardkent

Finalis Juara Lagu 20
Semalakama – Zehra Zambri / Pak Ngah/ Ce Kem
Taat – Rohana Jalil / Rosli Md Kasa/ Tok Wan
Ayuh Juragan – Noraniza Idris / Fedtri Yahya
Aduh Saliha – Mawi / M Nasir/ Loloq
Gemilang – Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Asmin Mudin
Awan Yang Terpilu – Lin Li Zen / Loloq
Elegi Sepi – Azharina / Azlan Abu Hassan/ Julfekar
Wajah – Jaclyn Victor / Othman Mohamed/ Habsah Hassan
Kata – Hazami / Hazami, Tris & Arab
Tak Tahu – Adam / Edry
Gaia – Zainal / Pacai & Zainal
Pop Ye Ye – VE/ VE/ Zaf & Cham

Entri oleh sultanmuzaffar 11 November 2005 0 komen

Ulasan Filem : Pontianak Harum Sundal Malam 2
Rating : 3/5 bintang

Saya berkesempatan untuk menonton tayangan filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 yang ditayangkan untuk para media di TGV KLCC baru-baru ini. Pertemuan kembali dengan Encik Hishamuddin Mohamed setelah hampir 15 tahun tidak bertemu sejak meninggalkan MRSM Perlis merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Tidak banyak perubahan pada beliau dan sekali pandang saya sudah mengenalinya.

Kos pembikinan filem ini ditaja oleh DiGi sekali penaja utama selain FINAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Jugra Publication. Para penonton juga boleh menyertai peraduan DiGi Memburu Pontianak dan memuat-turun ringtone, wallpaper dan lain-lain keperluan telefon bimbit.

Apa yang ada dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 ini yang memenangi dua anugerah iaitu Pelakon Terbaik dan Sinematografi Terbaik di Estepona Horror & Fantasy Film Festival Spain 2005 ?

Sinopsis
Pontianak Harum Sundal Malam 2 membawa penonton untuk melihat apa yang terjadi setahun kemudian di Pekan Paku Laris.

Wasiat Marsani supaya dipulangkan harta Meriam kepada warisnya tidak kesampaian apabila Maria menghilangkan diri. Pontianak terus menghantui kehidupan waris keluarga Marsani, Asmadi, Norman, Ana dan Zai.

Norman yang sangat tertekan dan masih tidak dapat menerima kematian datuknya, Marsani telah menghilangkan diri. Pontianak bersumpah untuk membalas dendam sehingga anaknya dipulangkan dan telah merampas anak Asmadi dari tangan Ana, isteri Norman.

Penonton sempat diimbas kembali tentang apa yang berlaku sewaktu kematian Meriam. Bila mana Laila sempat melarikan anak Merian keluar dari Pekan Paku Laris. Bagi menyelamatkan Maria dan menyembunyikan rahsia keturunan mereka, Laila membuka sebuah penempatan terpencil dan selamat iaitu di Kampung Tepian Tersorok untuk membesarkan Maria. Laila yang uzur telah menyerahkan tanggungjawab menjaga Maria kepada Bayang.
Suatu hari, Bayang dan Joyo, guru kuda kepang kampung itu telah ternampak Maria menjelma menjadi Meriam melalui semangat Pontianak. Kejadian itu menyedarkan mereka bahawa telah tiba masanya untuk Maria menunaikan takdirnya dan menuntut semula haknya. Bayang telah menghantar Maria ke Paku Laris di bawah jagaan Joyo. Bayang percaya Maria lebih selamat dilindungi Joyo kerana Joyo memiliki kuasa yang digunakan oleh guru kuda kepang untuk mengawal semangat dalam tarian kuda kepang.

Tanpa diketahui Bayang, Joyo bukanlah seperti yang disangkakan. Joyo telah terpukau dengan rasukan Meriam, wajah jelita yang seperti pernah dilihatnya. Obsesinya terhadap Meriam semakin mendalam. Di fikirannya dia harus mengawal Maria. Selepas kematian Marsani, Joyo dan Maria menghilangkan diri dari Paku Laris.

Asmadi dengan bantuan Ana cuba mencari anaknya. Menyedari bahawa Maria dibayangi Pontianak, mereka menjejaki Maria sehingga membawa mereka hampir ke Kampung Tepian Tersorok. Keazaman untuk mencari anaknya tanpa menghiraukan bahaya yang menanti membawanya kepada satu konfrontasi dengan Pontianak, Joyo dan Bayang.

Pertembungan antara mereka telah membangkitkan semangat ‘kuda kepang’ lalu membawa mereka ke suatu alam lain. Bayang yang sedar Pontianak tidak boleh dihapuskan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Maria. Dalam kekecohan itu, tiba-tiba rumah Joyo terbolos apabila tanah di kawasan rumahnya merekah dan menenggelamkan Pontianak dan Joyo yang cuba menyelamatkannya. Di manakah Maria…?

Pendapat Peribadi
Membaca sinopsisnya sahaja sudah cukup untuk mengelirukan penonton, lebih-lebih lagi sekiranya mereka tidak menonton Pontianak Harum Sundal Malam. Lanjutan dari persoalan-persoalan yang masih belum terjawab dalam edisi pertama Pontianak tersebut, semuanya boleh didapati di dalam sekuel kali ini.
Pertembungan budaya pada kedua-dua lokasi sukar dibezakan dan boleh mengelirukan. Ia tidak diperincikan dengan jelas. Set yang melibatkan lokasi Kampung Tepian Tersorok berlaku di Kampung Wonosobo, Jogjakarta, Indonesia. Setelah membaca nota dari Pengarah Seni dalam laman web rasmi mereka barulah saya faham mengapa ianya dibuat tanpa banyak perbezaan untuk menggambarkan perbezaan dua lokasi tersebut.

Keindahan sinematografi yang menjadi kekuatan pada aspek visual filem ini agak jelas. Pengambilan shot-shot yang indah dan kena dengan jalan ceritanya amat bersesuaian dengan filem tersebut. Ini harus saya akui kerana jejak kecemerlangan yang tercipta hasil sinematografi filem-filem arahan Shuhaimi Baba sememangnya bagus. Contohnya adalah seperti filem Selubung, Ringgit Kasorrga, Mimpi Moon dan Layar Lara. Nampak kualiti pada hasil yang tercipta kesan dari penggunaan teknologi terkini yang ada di pasaran. Saya kagum dengan hasil kerja Mohd Filus Ghazali kali ini. Saya beri A untuk sinematografi.
Dari aspek penceritaan dan subjek, saya memang sejak dulu kagum dengan cara Shuhaimi Baba mengolah ceritanya. Ceritanya lain daripada yang lain dan diolah dengan cara yang tersendiri. Saya mengikuti perkembangan beliau secara serius dalam filem-filem beliau yang terdahulu. Ringgit Kasorrga dan Mimpi Moon merupakan antara filem beliau yang boleh saya sifatkan agak kompleks. Isunya terlalu besar untuk dimuatkan dalam jangkamasa dua jam tayangan. Maka kekeliruan jelas berlaku apabila menonton filem ini. Berbanding Pontianak Harum Sundal Malam banyak persoalan-persoalan yang tergantung dan diperjelaskan dalam edisi kedua ini. Siapa Maria, mengapa Maria tidak tua dan terlalu muda untuk menjadi anak Meriam dijawab dalam edisi ini.

Menurut Nizam Zakaria, filem ini agak bercelaru. Bercelaru itu tidak mengapa, jika ia dibuat dengan sengaja. Tetapi kecelaruan yang ada di dalam filem ini berlaku kerana pembikin filem itu sendiri keliru dengan naratif filemnya.

Sebagai contoh, terdapat satu adegan di mana Pontianak muncul pada waktu siang, tiba-tiba sahaja syot berubah kepada waktu malam. Di sini kita tidak nampak kesinambungan cerita sama sekali.

Menurut Nizam Zakaria lagi, rasa seram kepada Pontianak terus hilang kerana pontianak tidak lagi menjadi satu perkara yang ditakuti penonton. Pontianak selalu sahaja muncul. Ini agak berbeza pada Pontianak versi pertama yang muncul jarang-jarang dan kemunculannya memberikan sedikit elemen yang mendebarkan.

Satu kelainan yang dibawa dalam filem ini apabila Pontianak juga muncul pada waktu siang lalu cuba menukar persepsi masyarakat yang Pontianak hanya muncul pada waktu malam.

Lambakan adegan begitu meresahkan dalam filem ini. Memasukkan terlalu banyak adegan yang dirasakan perlu oleh Pengarah menyebabkan terlalu banyak plot yang boleh mengelirukan penonton. Saya merasakan Penyunting dan Pengarah harus benar-benar serius mengambil shot-shot yang difikirkan penting sahaja untuk mendapatkan rentak filem ini agar tidak terlalu meleret-leret.
Maya Karin telah memberikan mutu lakonan yang agak baik berbanding edisi pertama. Jelas kelihatan perbezaan emosi, perwatakannya dalam watak-watak yang beliau lakonkan. Maka tidak hairanlah sekiranya beliau berjaya memenangi Anugerah Pelakon Terbaik dalam Estepona Horror & Fantasy Film Festival di Sepanyol. Persembahan lakonan Maya Karin berada pada kelasnya yang tersendiri. Cara beliau bermain dengan emosinya yang penuh dengan dendam menimbulkan elemen seram dan mampu membangkitkan perasaan hiba pada penonton. Keinginannya untuk mendapatkan kembali haknya dan dalam perjalanannya mendapatkannya Maya telah berjaya menarik penonton untuk sama-sama terheret dalam melodrama yang telah beliau cipta. Saya beri A untuk lakonan Maya Karin kali ini.

Namun demikian saya sedikit kecewa dengan lakonan Rosyam Noor yang boleh saya katakan tidak meneruskan mannerism dari wataknya dalam edisi pertama. Watak sebagai Asmadi yang bodoh-bodoh alang tidak diteruskan dalam sekuel ini lalu sedikit mengelirukan saya. Apakah dengan berkahwin, seseorang yang berperwatakan seperti Asmadi mampu berubah. Mungkin ada cerita di sebalik perubahan pada wataknya yang tidak saya ketahui ataupun tidak ambil endah.
Sebaliknya saya menyukai lakonan Zahim Al Bakri sebagai Tok Guru. Beliau yang sering dikenali sebagai pemegang watak berbangsa Inggeris, telah dilarikan dari imej sedemikian dan begitu cemerlang membawakan wataknya. Nyata pengalamannya dalam bidang teater banyak membantu beliau merealisasikan watak tersebut dengan begitu terkawal.

Begitu juga dengan lakonan Rusdi Ramli sebagai Joyo dan Zali yang tidak begitu menonjol tetapi memainkan peranan yang kuat untuk menjadi tunjang konflik dalam filem ini. Sekiranya diberikan watak yang lebih berat dengan bimbingan dari mereka di kalangan yang pakar, saya merasakan Rusdi Ramli mampu menjadi barisan pelapis kepada muka-muka lama seperti Yusry dan Farid Kamil.

Pontianak Harum Sundal Malam 2 telah lulus tanpa sebarang potongan dan diklasifikasikan sebagai U. Filem ini sebenarnya membawa penonton untuk terus tidak tertipu dengan adegan seram mimpi yang dibawakan dalam versi pertama. Filem ini merupakan satu penanda aras kepada filem-filem seram di masa akan datang bahawa pembikin filem boleh menghasilkan filem-filem seram yang tidak dibayangi dengan hantu versi LPF.
Perubahan peraturan yang termaktub dalam LPF nampaknya sudah berubah. Adegan-adgean hantu yang menyeramkan, adegan darah yang mengerikan sudah boleh ditayangkan kepada umum. Khabarnya, kisah-kisah hantu dari cerita rakyat sahaja yang dibenarkan untuk dijadikan filem. Jika kena gayanya filem-filem seram sebegini boleh mendapat pasaran yang meluas kerana ia menjadi kesukaan penonton yang sememangnya meminati corak filem sebegini.

Sebagai pelayar internet yang tegar, kemudahan mencapai internet melalui laman web rasmi yang dibangunkan untuk filem ini merupakan sebagai pelengkap kepada filem ini. Maklumat-maklumat yang terdapat dalam laman web rasmi filem ini begitu berguna kepada penggemar filem Melayu untuk lebih mendalami selok-belok pembikinan filem teersebut. Maklumat berkenaan rekaan set, tatarias busana serta maklumat-maklumat teknikal berkenaan filem tersebut terkandung untuk para pelayar internet.

Filem ini akan mula ditayangkan pada 24 November 2005 di pawagam-pawagam yang berdekatan dengan tempat anda. Saya akan pasti menontonnya sekali lagi kerana tidak begitu puas menontonnya pada tayangan media yang baru lepas. Bagaimana sekiranya Gathering Wayang PHSM2 diadakan kali ini. Ada yang berani ? Boleh jerit ramai-ramai dalam panggung wayang.

Laman Web Rasmi : www.pontianakhsm2.com
DiGi Memburu Pontianak
PHSM2 di Filem Kita
Ulasan Blog : Tontonfilem

Entri oleh sultanmuzaffar 09 November 2005 1 komen

DUREX Global Sex Survey 2005

Pertamanya, jangan betulkan monitor anda kerana apa yang anda baca memang datang dari isi hati, pandangan mata dan rakaman lensa seorang sultanmuzaffar. Siapa kata seseorang hanya boleh terus kekal dalam arena blog dengan isu berkisar kepada kisah hidup Mawi sahaja. Walaupun tanpa isu tentang Mawi, saya berharap yang blog ini akan terus dibaca dan dilawati. Tidak pernah saya gusar atau gentar dengan amaran yang mengatakan saya takut tidak laku apabila memberikan komen tentang tepi kain Mawi. Oleh itu, saya lebih selesa bercerita tentang tepi kain penduduk dunia yang telah disingkap oleh DUREX Global Sex Survey 2005 dalam satu laporan yang cukup lengkap untuk dijadikan bahan blog.

Sebanyak 5,409 orang rakyat Malaysa telah terlibat dalam soalselidik tersebut yang rata-rata mereka berumur di antara 16 hingga 55 tahun. Dari seramai 5,409 responden tersebut, 70% adalah lelaki dan selebihnya wanita. Secara purata sebanyak 46% adalah mereka yang berumur 25-34 tahun, 26% adalah mereka yang berumur 21-24 dan 15% adalah mereka yang berumur bawah 20 tahun.

Menurut kajian lokasi yang paling digemari oleh para responden melakukan hubungan seks adalah di tandas pusat hiburan selain bilik tidur ibu bapa. Sebanyak 44% memilih tandas berbanding bilik tidur ibu bapa dan dalam kereta. Tetapi sayangnya rumah tunang tiada dalam pilihan soal selidik tersebut. Jika dilihat pada senarai-senarai pilihan responden melihatkan kemampuan rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri hebat untuk menonjolkan diri mereka di peringkat antarabangsa. Ada di antara mereka pernah melakukan hubungan seks di pejabat. Bayangkan tempat anda bekerja seharian pernah merupakan tempat rakan sekerja melakukan hubungan seks. Bagaimana penerimaan anda ? Tidak cukup dengan itu, ada di antaranya yang melakukannya di taman-taman, dalam konteks ini tentunya Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik KLCC, Taman Tasik Perdana, Taman Tasik Permaisuri, Taman Tasik Kelana Jaya dan sebagainya. Sebanyak 10% daripada responden memilih di hadapan kamera, maka tidak hairanlah wujudnya VCD Pramugara Terlampau dan Bohsia Bangsar. Dengan kecanggihan telefon bimbit yang ada, semuanya boleh menjadi kenyataan dan dipromosikan dengan kadar segera.

Secara purata penduduk dunia mengadakan hubungan seks sebanyak 103 kali setahun. Manakala responden rakyat Malaysia pula sebanyak 83 kali setahun. Secara purata orang Malaysia melakukan hubungan seks sebanyak 1.5 kali seminggu. Ini bermakna dalam seminggu ada satu hubungan seks yang separuh jalan sahaja dan “Abang penat !” merupakan alasan yang paling kerap digunakan untuk mengelak hubungan tersebut. Penduduk yang paling kerap melakukan hubungan seks setahun ialah rakyat negara Greece dan diikuti oleh Croatia dan Serbia and Montenegro. Serbia ? Memang sudah dijangkakan mereka dari kalangan yang bernafsu besar. Lihat apa yang telah mereka lakukan ke atas rakyat Bosnia satu ketika dulu.

Tidaklah begitu memeranjatkan apabila umur rakyat Malaysia melakukan hubungan seks untuk kali pertama telah turun dari 21 tahun pada tahun 2003 kepada 19 tahun pada tahun 2005. Semakin maju para remaja Malaysia. Purata untuk keseluruhan penduduk dunia juga menurun ke umur 17.3 tahun. Walaupun berada pada kedudukan keempat setelah India, Vietnam dan Indonesia, ia bukanlah satu yang boleh dibanggakan. Maka boleh diandaikan secara keseluruhan kali pertama seorang rakyat Malaysia melakukan hubungan seks adalah pada usia 19 tahun. Kalau saya menjawab soalan tersebut, mungkin angkanya menjadi lebih kecil.

Melihatkan angka 39% pada bilangan responden yang tidak mengambil tahu tentang sejarah seksual pasangan masing-masing, ia adalah satu angka yang menggerunkan. Pendidikan tentang mengetahui dan mengambil berat tentang seks amat perlu ditekankan oleh pihak berwajib melalui kempen-kempen atau menekankan kepada pendidikan agama. Berdasarkan jawapan yang telah diberikan responden, mereka inginkan kesedaran diberikan kepada beberapa topik seperti HIV/AIDS dan rata-rata mengharapkan agar kerajaan menyediakan peruntukan untuk pendidikan seks.

Dalam perkembangan lain, Amber Chia telah terpilih sebagai Selebriti Paling Seksi di Malaysia. Antara selebriti pilihan lain yang tersenarai ialah Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan Fasha Sandha.

Apa agaknya pilihan saya ? Saya cuba meluaskan skopnya kepada seluruh dunia. Paling tidak pun sekitar Malaysia dan Indonesia. Saya akan memilih Siti Nurhaliza, Camelia, Dian Sastrowidoyo, Ladya Cheryl (pemegang watak Alya dalam AADC), Tamara Bleszinsky (pemegang watak Ana dalam sinetron Hikmah) dan Jolyn (ada lah…). Jika ada di antara anda yang perasan, mereka ini seperti berada dalam satu set yang sama. Tidak banyak perbezaan antara mereka satu sama lain. Rambut panjang, berkulit cerah dan raut wajah juga agak sama antara satu sama lain. Manakala untuk selebriti lelaki saya akan memilih Zulhuzaimy (pelakon teater yang disegani ramai).

Ulasan : TV Smith's Dua Sen

Malaysia Boleh !
Support World AIDS Day

BlogsMalaysia : Sharp Bytes From Bolehland
Saya jumpa satu portal yang bertujuan meng'orgy'kan entri atau posting pada blog yang ada di Internet yang dirasakan wajar untuk disarankan kepada pembaca-pembaca yang lain. Di sana anda berpeluang untuk membaca komen dari mereka yang memberikan komen terhadap entri blog anda (sekiranya entri anda disarankanlah oleh mereka). Banyak sisipan perkataan atau pandangan yang anda adakalanya terleka atau terlepas pandang ada di situ. Semalam, salah satu entri blog ini disebut di sana dalam artikel bertajuk "A vicious circle of misery"

Entri oleh sultanmuzaffar 07 November 2005 0 komen

Bersamamu TV3 - Rumah Seri Kenangan Cheng Melaka
Dalam Malaysia menuju kemajuan, tidak dapat tidak beberapa aspek dalam kehidupan terpaksa diabaikan. Lebih menyedihkan apabila terdapat segolongan manusia yang terus mengabaikan ibu-bapa mereka. Semacam sudah menjadi kebiasaan, berita-berita di akhbar memaparkan juga kisah penderaan kanak-kanak. Ia semacam satu putaran roda kehidupan. Kanak-kanak didera sekarang dan ibu-bapa diabaikan sewaktu umur tuanya. Apakah itu satu kebetulan atau semacam satu pembalasan ?

Menyaksikan kehidupan sekumpulan warga emas yang menetap di Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka benar-benar membuka minda tentang bagaimana pentingnya ibu-bapa dalam kehidupan kita. Benar kata pepatah, ibu mampu untuk menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum mampu untuk menjaga seorang ibu.

Kisah yang dipaparkan minggu ini tidaklah begitu menyedihkan berbanding kisah sebuah rumah anak yatim pada minggu lepas. Mungkin kerana saya sudah terbiasa membaca kes-kes pengabaian ibu-bapa sebelum ini dan tidaklah begitu menghairankan saya. Sebelum ini, program ini pernah menyiarkan kisah sebuah keluarga yang makan nasi dengan siput babi.

"Di mana sistem kenegaraan, JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), penghulu, komuniti bestari, persatuan penduduk, jabatan kebajikan, Baitulmal dan badan zakat kita?.” pernah diutarakan oleh Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) dalam sidang parlimen. Saya tersenyum. Apakah benar penyaluran wang zakat dibuat dengan penuh sistematik ? Apakah benar tiadanya penyelewengan terhadap wang zakat tersebut ? Tidak salah sekiranya berasa sangsi dengan sistem yang ada.

Rata-rata apabila ditanya kepada penghuni rumah tersebut, mereka menyatakan tidak mahu menyusahkan anak-anak mereka dan pilihan mereka untuk tinggal di rumah tersebut. Kesibukan anak-anak mencari rezeki tentunya menambahkan lagi beban terhadap anak-anak mereka sekiranya mereka menumpang di rumah anak-anak mereka. Mempunyai adik-beradik yang ramai juga belum tentu menjamin kebahagiaan berkeluarga.

Melihat program ini saya berpendapat Rumah Seri Kenangan Cheng lebih memerlukan bantuan kasih sayang dan bukannya bantuan wang ringgit. Kehidupan mereka di sana boleh saya sifatkan agak mewah cuma bezanya dalam usia yang meniti penghujung mereka kurang kasih sayang yang amat mereka perlukan.

Ada banyak cara untuk membantu, sekiranya anda ingin membantu. Boleh melalui SMS tetapi saya nasihatkan tidak perlulah menderma dengan SMS. Lebih mudah sekiranya dimasukkan ke dalam akaun bank Maybank 564324129973 atau pun secara terus kepada mereka di alamat :

Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka
KM12, Jln Cheng, 75250 Melaka
Tel : 06-3121179
Fax : 06-3121402
Email:jkm077[delete]@tm.net.my

Kredit Foto : Department of Social Welfare, Melaka

Dalam perkembangan lain, saya dalam proses menyiapkan ulasan berkenaan filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 yang telah saya tonton baru-baru ini. Saya perlu menyiapkannya secepat mungkin sebelum filem tersebut ditayangkan kepada umum pada 24 November ini. Pengalaman beraya di bandar, jika ada kelapangan boleh juga saya kongsi bersama dengan anda semua. Malam Raya Pertama saya melepak di Planet Hollywood bersama beberapa sahabat. Selain Tengok ASTRO, Online, Tengok ASTRO, Online, Tidur, Makan Ketupat, Online, Tengok ASTRO, Tidur. Hahahaha !

Entri oleh sultanmuzaffar 03 November 2005 0 komen

Reunion Buka Puasa
Sebelum pulang ke kampung, sempat saya bertemu rakan-rakan satu sekolah menengah sewaktu di Tingkatan Satu – Tiga. Bukan selalu dapat jumpa mereka, tetapi sejak initiatif yang dilakukan oleh Nizam, saya sering dapat bertemu mereka sejak akhir-akhir ini. Kali terakhir saya bertemu mereka adalah sewaktu Majlis Perkahwinan Mohd Sirajuddean iaitu dua bulan yang lalu. Ada di antara mereka yang tidak dapat hadir.

Dalam ramai-ramai, kebanyakan dari kami tinggal di asrama sekolah. Tentunya banyak cerita untuk diimbas kembali. Dalam ramai-ramai, tiga orang daripada kami telah mengenali antara satu sama lain sejak berada di sekolah rendah lagi. Berada di dalam kelas yang sama sejak sekolah rendah. Saya, Dean dan Aminurrashid merupakan rakan satu sekolah rendah sehinggalah ke Tingkatan Tiga.

Manakala Hakim, Ardi, Nasir, Saiful, Sam dan Nizam merupakan rakan sejak Tingkatan Satu. Saiful, Aminurrashid dan Shamsul tidak pernah saya temui sejak meninggalkan sekolah itu pada tahun 1989. Nasir pula saya berkesempatan untuk hadir ke majlis perkahwinannya pada tahun 1998.

Semuanya telah berjaya dalam hidup masing-masing. Kalau dulu sewaktu bersekolah, kita semacam tiada arah tujuan. Masing-masing tidak tahu apa yang akan dihadapi di masa hadapan. Masing-masing blur.

Kalau sudah bertemu, macam-macam cerita yang keluar. Dari kes terjun bangunan kerana dapat 4A1B sehinggalah kepada kes main mercun. Zaman sekolah memang satu zaman yang paling menyeronokan. Zaman untuk mencuba segala macam jenis cabaran. Zaman itu boleh saya sifatkan sebagai zaman untuk bereksperimen tentang kehidupan.

Pendek kata, apa yang ingin dirasai sewaktu zaman persekolahan sudah dirasai. Ada yang kekal sehingga sekarang.

Sepet – Best Asian Film Award di Tokyo International Film Festival
Kejayaan Sepet merangkul Anugerah Filem Terbaik Asia di Tokyo International Film Festival benar-benar suatu kejayaan yang sepatutnya dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.

Tanpa promosi yang berdegar-degar, filem tersebut telah dihantar untuk menyertai festival filem tersebut.

Kejayaan yang dicipta oleh Yasmin Ahmad adalah kejayaan yang dilaksanakan mengikut caranya yang tersendiri. Kejayaan demi kejayaan yang dicipta tidaklah perlu digembar-gemburkan, cukup dengan sekadar hebahan kecil sahaja.

Saya yang baru mendapat tahu bahawa pada malam penganugerahan tersebut, Yasmin Ahmad tidak dapat hadir untuk menerima anugerah tersebut kerana sedang bercuti di Bali. Sebaliknya beliau telah diwakilkan oleh Eldeen Husaini salah seorang pegawai di Kedutaan Malaysia di Tokyo. Lebih manis, beliau merupakan kenalan saya sejak 1998 yang saya kenal melalui ICQ. Menurutnya lagi, Datuk Bandar Shibuya turut memuji filem tersebut yang disifatkan oleh beliau amat teliti hasilnya. Para juri festival tersebut juga begitu kagum dengan hasil filem tersebut.

Bersamamu TV3
Program Bersamamu TV3 ini jarang benar dapat saya tonton. Sama ada mengambil sikap sambil lewa atau pun tidak mengendahkan kewujudannya. Musim yang pertama saya tonton sekali sekala. Episod pada hari Isnin lepas saya tonton secara keseluruhannya.

Paparan tentang sebuah rumah anak yatim benar-benar menyentuh hati. Setiap dari mereka ada cerita mereka yang tersendiri mengapa mereka terpaksa tinggal di rumah tersebut. Jika kita menyangkakan hidup kita sudah cukup susah, kita harus menyedari bahawa ada insan lain yang lebih sukar hidupnya dalam menghadapi kenyataan hidup.
Lantas saya terfikir, apakah pula sumbangan saya untuk program sedemikian. Saya boleh menyediakan kad top-up RM30 setiap minggu untuk Akademi Fantasia, mengapa pula saya tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk Bersamamu TV3.

Saya sempat melayari laman web mereka, nampaknya tidak dikemaskinikan. Pihak TV3 seakan-akan mengabaikan golongan penonton dari kelas pertengahan yang berkemampuan untuk melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang bagaimana untuk menyumbang kepada rancangan tersebut.

Saya sempat berbincang dengan salah seorang sahabat saya tentang bagaimana untuk mendapatkan maklumat tentang rancangan tersebut. Seboleh-bolehnya saya hanya mahukan sinopsis mingguan serta foto-foto mingguan yang berkaitan dengan episod minggu tersebut untuk saya letakkan di dalam blog saya.

Maklumat-maklumat serta bahan-bahan tersebut akan saya gabungkan dengan penulisan saya sendiri yang merangkumi ulasan-ulasan peribadi tentang episod tersebut untuk menyedarkan masyarakat dalam konteks ini pembaca blog saya sendiri tentang rancangan tersebut. Saya berharap agar pihak Jabatan Komunikasi Korporat TV3 sedia membantu usaha yang tidak seberapa ini untuk mempromosikan rancangan tersebut.

Kepincangan masyarakat yang terpapar dalam rancangan tersebut bukanlah untuk dibangga-banggakan tetapi untuk golongan yang lebih bernasib baik untuk lebih mengerti tentang kehidupan secara keseluruhannya.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger