Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 31 May 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 03
Sewaktu Kelas Nada Suara ada berlaku pertukaran dalam tenaga pengajar. Shahrul namanya. Cara beliau mengajar agak membosankan. Dengan lenggok bahasa yang sekejap English, sekejap Melayu. Kedengaran agak palsu. Cuba berlaku serius tetapi tidak mendapat perhatian pelajar. Ekin nampaknya bakal menjadi Nurul di Akademi. Beliau nampak lesu sangat.

Promosi sarang burung oleh Adnan Abu Hassan. Apabila sebuah program tersebut telah popular, maka tidak dapat tidak mereka akan menggunakan program tersebut sebagai medium mempromosikan produk mereka. Tahun ini bakal menyaksikan bermacam-macam produk akan dipromosikan oleh mereka. Terimalah kenyataan yang kita berhadapan dengan sebuah produk popular. Surat khabar pun ada iklan. Tetapi saya boleh bertolak ansur dengan situasi tersebut.

Kelas Adnan Abu Hassan agak menarik kerana masing-masing cuba melontarkan vokal mereka sehebat yang boleh. Idayu menggunakan vibratonya. Felix nampak lega bila selesai. Memang nampak sangat nervous bila disuruh oleh Cikgu Adnan.

Sewaktu subjek atlenate volume diajar dengan menggunakan lagu Aku Cinta Padamu, penyanyi yang terbayang di fikiran saya ialah Mas dan bukan Sheila Majid. Hebat penangan Mas untuk lagu ini. Lagu terakhir yang Mas nyanyikan sebelum tersingkir.

Kelas Seni Persembahan kelolaan Marlia Musa menekan konsep fokus. Latihan yang dibuat pernah dibuat sewaktu Bengkel Teater Wilayah Persekutuan. Rutin yang sama sahaja tanpa menggunakan binatang tetapi barang-barang yang ada pada diri masing-masing dan dikumpulkan. Sememangnya payah juga terutama bagi yang benak menghafal nama orang.

Mereka mendapat satu tugasan baru untuk menyiapkan pengenalan diri mereka. Apakah ini yang akan mereka gunakan untuk Konsert hujung minggu ini ? Harapnya tidak ! Ada yang berangan hip-hop, ada yang berangan Alicia Keys, bermesra dengan kucing pink, playboy ?

Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 04
Apa nak tulis ? Pun tak tahu nak tulis apa. Awal-awal ditayangkan budak-budak melepak di lounge bermain alat muzik. Tahun ini ada banyak gitar dalam Akademi. Masing-masing bawa gitar. Baik gitar kapuk hinggalah ke gitar elektrik, semuanya ada. Electronic drum set pun ada juga. Boleh buat band dalam Akademi !

Sewaktu Kelas Tarian dan Koreografi merupakan kelas yang agak best. Lebih-lebih lagi bila Felix sering menjadi tumpuan kamera. Memang nampak kaku Felix menari. Kadang-kadang dia lupa step. Beberapa kali Fathee beri dia pengajian extra. Koreografi Menuju Puncak nampak macam senang berbanding Menuju Puncak tahun lepas. Mungkin kerana masih ramai pelajar. Elliza selamba sahaja menari. Nampak menarik gerak tari dia. Pantas dan tangkas. Elliza menari dengan penuh berkeyakinan.

Seperti tahun-tahun yang lepas, Kelas Nada Suara tidak banyak perubahan. Perkataan-perkataan biasa yang kita dengar seperti hissing, phrasing, bubbling, pronunciation kita dengar lagi tahun ini. Cuma tahun ini, Siti Hajar ada pembantu iaitu Shahrul. Best pula apabila melihat cara Shahrul mengajar Reza dan Aidil menyanyi dengan penuh perasaan terutamanya lagu Aidil. Tidak payah nak control macho.

Kelas Seni Persembahan kelolaan Marlia Musa mengajar mereka memperkenalkan diri. Penting juga aktiviti ini. Memperkenalkan diri merupakan elemen penting agar penonton dapat mengenali kita. Antara yang menjadi ingatan saya ialah Amy dengan gaya misterinya, Felix dengan imej beruk. Kota Belud dengan Sepilok dekat agaknya. Reza menggunakan frasa yang sering digunakan oleh Siti Nurhaliza. Fuad tidak habis dengan hip-hopnya begitu juga Yazer dengan imej rocknya. Lemas !

Frasa “red lorry, yellow lorry” merupakan frasa basi yang sering diajar dalam kelas seni persembahan. Dari kecil dah dengar frasa tersebut. Prosedur biasa untuk melengkapkan diri dalam menghasilkan sebutan yang jelas untuk persembahan.

Astro.TV
Pada tahun ini pengalaman menonton Akademi Fantasia menjadi lebih berbeza dari tahun-tahun sebelum ini kerana ia boleh ditonton di internet melalui Astro.TV. Penonton berpeluang untuk menonton arkib video streaming dari Akademi Fantasia 1 dan Akademi Fantasia 2.

Diari Xtended boleh ditonton melalui kamera penginapan yang ada di dalam Akademi dan ini secara tidak langsung penonton berpeluang untuk menonton Diari Akademi lebih masa dari masa yang sepatutnya iaitu 1 jam siaran.

Siaran langsung konsert mingguan pada hari Sabtu akan dipancarkan secara langsung di internet secara percuma. Pengguna tidak perlu melanggan dengan Astro.TV untuk menontonnya dan siaran konsert tersebut akan termasuk dalam senarai arkib beberapa jam selepas siaran langsung tersebut.

Semua senarai arkib dan video-video eksklusif hanya boleh diperolehi oleh pelanggan Astro.TV. Yuran langganan adalah sebanyak RM9 sebulan (30 hari akses tanpa had ke AF Xtra)

Akademi Fantasia bukan sekadar di TV. Akademi Fantasia kini secara eksklusif boleh ditonton di internet. Saksikan kamera penginapan Akademi di www.astro.tv !

Entri oleh sultanmuzaffar 30 May 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 01
Montaj Diari Akademi Fantasia kali ini menggunakan konsep pinball. Secara simbolik menceritakan turun naiknya menjadi seorang penghibur. Hidup dan nasib mereka di Akademi Fantasia kini menjadi taruhan peminat. Seperti pinball, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

Selamat Datang ke Akademi Fantasia !
Mereka telah disambut oleh Pengetua M.Nasir dan Tenaga Pengajar untuk masuk ke sebuah banglo mewah yang telah terpasang 14 kamera tersembunyi yang beroperasi selama 18 jam sehari.

Tempat yang pertama dilawati oleh mereka ialah Bilik Aktifkan. Pengetua M.Nasir turut menyerahkan rutin harian mereka sebagai pelajar Akademi. Antara rutin harian mereka ialah sarapan pagi, kelas nada suara, makan tengahari, kelas vokal, minum petang, kelas tarian, makan malam dan kelas seni persembahan.

Mereka telah dibawa melawat Dewan Tarian dan Ruang Makan. Manakala di tingkat atas terletaknya Bilik Kelas Vokal. Turut diperkenalkan ialah Cik Sheena selaku Pengurus Residen mereka yang baru.

Sewaktu makan tengahari, Fuad telah membaca doa makan. Pada hari pertama di Akademi Fantasia, saya boleh menyifatkan Fuad sebagai seorang yang tahu bermain permainan Akademi Fantasia. Beliau bijak mengumpan perhatian penonton. Ucapannya juga mampu bermain dengan emosi. Secara keseluruhan, Fuad telah bersiap-sedia untuk bermain permainan ini.

Fuad juga bijak berbicara dan kata-katanya terlampau filosofikal menurut M.Nasir. Saya juga harus memberikan perhatian ke atas setiap perkataan yang diluahkan oleh M.Nasir kerana kata-katanya punya makna yang dalam. Perhatian saya harus tidak terganggu sewaktu M.Nasir berbicara.

Sewaktu M.Nasir menyerahkan beg pakaian tajaan Samsonite kepada pelajar, nampak seperti banglo Akademi itu terlalu sempit. Bercerita tentang banglo, setiap imej-imej yang terpancar pada episod Diari hari ini seakan-akan mengimbas kembali nostalgia di Akademi Fantasia I. Di ruang hadapan berdekatan pintu masuk itulah terletaknya mesin permainan bola. Di dewan tari, terbayang barisan pelajar dimarahi Encik Baha. Di tangga tersebut, Vince mengalirkan air mata kerana ucapan Hari Bapanya.

Ucapan Pelajar
Pelajar telah diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan mereka melalui kamera pengakuan. Antara yang menarik apabila Idayu berbicara loghat Kelantan kepada ibunya. Felix berbahasa ibandanya. Amylea berbicara dengan loghat Kedah. Seperti yang telah saya perkatakan, Fuad menggunakan ucapannya untuk bermain dengan emosi penonton. Bijak. Aidil turut menyampaikan ucapannya untuk seseorang yang misteri yang amat beliau cintai.

Kelas Motivasi bersama Dr Azahari memperlihatkan pelajar melakukan aksi tarian dalam pelbagai gaya.

Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 02
Hari merupakan hari pemberian lagu baru. Menurut Pengetua M. Nasir, lagu yang terpilih merupakan lagu yang tidak terlalu jauh dengan forte pelajar. Lagu-lagu tersebut merupakan antara pilihan pelajar sendiri. Memandangkan ini minggu pertama, maka lagu-lagu yang diberikan adalah tidak terlalu sukar untuk pelajar.

Lagu Baru
Reza - Roman Picisan (Dewa)
Ekin - Erti Cinta (Maya Karin)
Yazer - Ready For Love (Bad Company)
Elliza - Elegi Sepi (Azharina)
Felix - Tiada Lagi Kidungmu (Lefthanded)
Amy - Falling (Alicia Keys)
Aidil - Semua Orang Tahu (Rem)
Idayu - Percayalah (Siti Nurhaliza)
Kefli - Nur Kasih (Slam)
Amylea - Inikah Cinta (Sheila Majid)
Fuad - Pop Ye Ye (VE)
Akma - Nazam Berkasih (Syura)

Mereka telah beramai-ramai mendengar lagu masing-masing. Kedengaran lagu Ready For Love, Semua Orang Tahu dan Nazam Berkasih.

Komen Tenaga Pengajar
Komen dari Pengetua M.Nasir kepada pelajar agar setiap pelajar mengkaji dahulu lagu dan lirik lagu mereka. Kemudian barulah mendapatkan konsep dan style persembahan mereka. Beliau menutup komennya dengan ucapan “Selamat Berjuang”.

Adnan Abu Hassan meminta mereka mendapatkan bantuan rakan-rakan mereka untuk penyanyi latar dan juga penari latar. Beliau menegaskan akan konsep kerjasama yang telah diterapkan sejak Akademi Fantasia musim pertama.

Fatimah Abu Bakar menasihatkan pelajar agar tidak terikut-ikut dengan penyanyi asal. Lebih-lebih lagi untuk lagu Inggeris. Setiap pelajar harus faham lirik lagu dan barulah mendapatkan style untuk lagu tersebut.

Nasihat paling berguna dari Marlia Musa adalah tentang tahap keyakinan pelajar yang merasa terlalu selesa. Beliau mengharapkan agar tiada pelajar yang merasa terlalu selesa. Mereka harus sedar diri dan kemampuan diri mereka.

Turut diserahkan sebuah discman seorang kepada setiap pelajar.

Komen Pelajar
Menurut Amylea beliau pernah mendengar lagu tersebut cuma tidak begitu familiar dengan lagu tersebut. Lagu Inikah Cinta berentak R&B dan beliau nyata menyukainya. Felix sudah pun menghafal lirik lagu tersebut. Harap beliau tidak terlalu selesa dengan keadaan tersebut. Cabarannya kini adalah untuk mengingati semula melodi lagu tersebut. Diharapkan agar beliau dapat mencorakkan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri tanpa terikut-ikut dengan gaya Nash. Idayu akan berusaha mencari kelainan untuk lagu tersebut. Sememangnya sukar untuk menghindarkan imej Siti Nurhaliza dengan lagu tersebut kerana lagu tersebut amat sinonim dengannya. Idayu harus mencuba untuk mencorakkan lagu tersebut.

Menurut Yazer lagunya adalah lagu lama. Beliau biasa mendengarnya tetapi tidak biasa menyanyikannya. Liriknya masih belum dihafal. Kefli gembira dengan lagunya dan menyukai lagunya. Akma satu-satunya pelajar yang mendapat lagu irama Malaysia. Beliau akan buat yang termampu dan melakukan yang terbaik untuk lagunya. Amy memang meminati lagunya kerana Alicia Keys merupakan idolanya. Fuad menyatakan yang lagu Pop Ye Ye merupakan lagu kegemarannya. Beliau berjanji akan memberikan persembahan yang lain daripada yang lain mengikut flow dan stylenya sendiri.

Elliza tidak menyangka beliau akan mendapat lagu tersebut. Aidil merasakan lagu tersebut sesuai dengan vokalnya. Ekin menganggap lagunya senang dan mengharapkan dapat menghafal lagu tersebut. Reza walaupun tidak pernah mendengar lagu tersebut tetapi merasakan beliau mampu membawakan lagu tersebut. Setelah mendengar lagu tersebut, beliau merasakan lagu tersebut agak sedap didengar.

Latihan nyanyian secara persendirian telah pun dibuat. Kelihatan Yazer dan Ekin berlatih bersama-sama. Manakala Kefli dan Elliza turut berduaan melatih lagu mereka.

Akademi Fantasia bukan sekadar di TV. Akademi Fantasia kini secara eksklusif boleh ditonton di internet. Saksikan kamera penginapan Akademi di www.astro.tv !

Entri oleh sultanmuzaffar 29 May 2005 0 komen

Tirai Akademi Fantasia 3

Tirai Akademi Fantasia 3 Bhg 1
Setelah melalui proses ujibakat di beberapa bandar utama di Malaysia, maka 20 peserta akhir Akademi Fantasia telah pun dipilih. Mereka akan melalui satu lagi proses ujibakat dalam sebuah persembahan yang dinamakan Konsert Prelude Akademi Fantasia.

Kejutan Keputusan
Mereka yang telah terpilih telah diberitahu dengan menampilkan beberapa kejutan. Ekin telah diserbu di rumahnya di Labuan. Shiha pula telah diserbu di tempat letak kereta. Rinda telah diberitahu sewaktu sedang makan malam bersama keluarganya serta suaminya.

Fuad pula telah diserbu di tempat letak kereta dalam perjalanan beliau ke gelanggang futsal. Haider telah diberitahu bila mana krew penerbitan berkunjung ke rumahnya. Felix telah diekori oleh krew penerbitan dan telah diberitahu berkenaan kemasukan ke Akademi Fantasia. Terompah oren merupakan elemen kejutan untuknya. Kejutan untuk Elliza agak berbeza. Seorang lelaki telah diarahkan untuk mengacau beliau setelah bapanya beredar. Lelaki tersebut mengeluarkan fail keputusan dan menyerahkan kepadanya.

Akma pula telah diserbu di rumah kakaknya. Manakala Diana yang masih samar-samar dan tidak mengetahui keputusan tersebut walaupun setelah krew penerbitan berada di hadapannya. Kejutan untuk Reza telah dibuat di rumahnya sebelum mereka keluar makan. Aidil dikejutkan walaupun tidak menjadi dengan kehadiran anak saudara kecilnya membawakan fail keputusan. Yazer telah dikejutkan di tempat beliau bekerja. Mawi telah diserbu di rumahnya dalam keadaan tidak berbaju.

Kejutan untuk Idayu telah dibuat di tempat beliau bekerja. Krew penerbitan telah berangkat ke Langkawi di tempat Amylea bekerja. Mereka menyerahkan keputusan tersebut kepadanya. Kawan lama Marsha kononnya bertemu dengan beliau dan kemudian menyerahkan album gambar yang merupakan fail keputusan. Kefli telah diserbu oleh krew penerbitan di rumahnya dalam keadaan beliau baru bangun dari tidur dan berseluar pendek.

Azlif telah diserbu di tempat jamming beliau. Nyata beliau sukar mempercayai keputusan tersebut. Isa telah diserbu di rumahnya. Isa yang masih bertuala telah diekori sehingga ke bilik tidurnya. Kejutan yang kurang sesuai untuk sebuah rancangan yang ditonton oleh ramai penonton. Amy telah dikejutkan dengan keputusan yang diletakkan di dalam lipatan kain di kedai menjual kain.

Mereka semuanya telah dikumpulkan dan telah menjalani pelbagai proses. Mereka turut dipisahkan daripada keluarga mereka.

Satu majlis perkenalan kepada pihak media telah dijalankan di sebuah hotel terkemuka. Mereka telah diberikan peluang untuk menyanyikan beberapa rangkap lagu. Nyata pihak media dan Tenaga Pengajar berpuas hati dengan persembahan tersebut. Ini secara tidak langsung mereka telah diberikan harapan yang tinggi untuk Konsert Prelude.

Post Konsert Prelude
Segmen terakhir menayangkan persiapan mereka sebelum Konsert Prelude dan sewaktu keputusan diumumkan. Akademi Fantasia mengucapkan selamat tinggal kepada Mawi, Isa, Azlif, Haider, Diana, Shiha, Rina dan Marsha.

Tirai Akademi Fantasia 3 Bhg 2
Tirai Akademi Fantasia Bhg 2 agak berbeza dengan yang Tirai pada musim lepas. Penonton kali ini didedahkan dengan proses di belakang tabir serta mereka yang terlibat secara langsung untuk proses-proses tersebut.

Segmen pertama menayangkan pelajar memberikan pendapat mereka tentang pelajar lain. Nyata beberapa komen positif telah diperolehi.

Selesai berlangsungnya Konsert Prelude, Pengetua Akademi Fantasia iaitu M. Nasir, Guru Nada Suara, Puan Siti Hajar Ismail dan salah seorang penonton konsert (hahaha) telah ditemuramah untuk mendapatkan komen mereka tentang Konsert Prelude dan keputusannya.

Sesi Fotografi
Proses photoshoot telah dijalankan untuk siaran media, iklan, akhbar dan media tv. Reza, Elliza, Amylea dan Idayu telah memberikan pandangan mereka pengalaman tersebut. Agak memenatkan tetapi menyeronokkan.

Turut ditemuramah ialah jurufoto rasmi Astro. Menurutnya Ekin, Elliza, Reza dan Aidil adalah pelajar yang boleh dikatakan agak fotogenik.

Tulang belakang proses rakaman media ini ialah Marlina iaitu Eksekutif Pemasaran dan Promosi. Menurutnya tujuan gambar-gambar tersebut dirakamkan adalah untuk promosi yang akan digunakan di akhbar dan media tv. Walaupun ada di antara mereka yang agak kekok kerana belum biasa dengan situasi tersebut. Proses tersebut telah berjalan dengan lancar.

Turut ditemuramah ialah Yazer, Akma, Felix, Kefli, Aidil dan Reza. Masing-masing menceritakan pengalaman lucu masing-masing.

Orientasi Pelajar
Satu majlis makan malam bersama Pengurusan Astro telah dilakukan. Ia adalah merupakan majlis suaikenal antara pihak pengurusan dan pelajar Akademi Fantasia. Ia merupakan tradisi Akademi Fantasia sejak musim pertama.

Pengarah Muzik iaitu Sham Kamikaze telah melakukan vocal check untuk semua pelajar untuk melihat kelebihan dan kekurangan vokal pelajar. Proses ini dilakukan untuk mendapatkan range untuk setiap pelajar. Menurutnya lagi, Amylea merupakan antara pelajar yang mempunyai kelebihan.

Penasihat Penampilan iaitu Zaihani Mohd Zain telah diamanahkan untuk memberikan pengetahuan pelajar tentang cara berpakaian dan kepentingan imej dalam menonjolkan diri sebagai seorang artis.

Guru Bahasa Inggeris iaitu Puan Fatimah Abu Bakar telah melakukan satu proses untuk memberikan keyakinan kepada pelajar untuk berbahasa Inggeris. Menurutnya, Ekin, Felix, Yazer dan Idayu merupakan antara pelajar yang mengaku tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Namun demikian, mereka tidak malu untuk turut belajar dan memperbaiki diri mereka dalam Bahasa Inggeris.

Sementara Adnan Abu Hassan telah diamanahkan untuk mendapat vocal range setiap pelajar. Ia dilakukan untuk menilai setinggi mana dan serendah mana kemampuan vokal setiap pelajar. Selain daripada itu untuk memberikan pengetahuan kepada pelajar sebagai endurance test kepada pelajar selama 9 minggu di dalam Akademi.

Proses latihan dalam kelas tarian juga telah dilakukan oleh Fathee dan Linda Jasmine untuk melihat kemampuan pelajar. Apa yang boleh dilakukan oleh pelajar dan apa yang tidak mampu dilakukan oleh pelajar. Proses ini secara tidak langsung dapat menyeimbangkan persembahan pelajar.

Pada tahun ini Akademi Fantasia menerima banyak pelawaan untuk menjadi penaja kepada rancangan tersebut. Antaranya Camel Active, Bread Talk, Bata, San Francisco Steak House, Loreal, Memory Lane, Fame, Converse dan Restoran Sedap. Dengan menggunakan konsep hos segmen, pelajar telah diberikan peluang untuk menampilkan diri serta membina keyakinan diri di hadapan kamera. Saya paling menyukai segmen hos antara Fuad dan Idayu. Nampak ceria dan natural. Felix dan Akma masih belum nampak serasi. Felix pula seorang yang malu-malu. Kefli dan Elliza nampak comel dan sesuai digandingkan bersama. Personaliti Reza semakin menyerlah. Beliau nampak selesa di hadapan kamera. Beliau tidak nampak berlakon.

Setelah selesai semua proses tersebut, kedua belas orang pelajar baru Akademi Fantasia telah dibawa masuk ke dalam Akademi Fantasia. Mereka kini telah pun terpisah dari dunia luar tanpa apa-apa perhubungan telefon, internet, surat dan sebagainya.

Selamat menjalani pengajian di Akademi Fantasia !

Entri oleh sultanmuzaffar 23 May 2005 0 komen

Konsert Prelude Akademi Fantasia 3
20 calon-calon pelajar Akademi Fantasia dipertandingkan untuk merebut 12 tempat di Akademi Fantasia. Pemilihan adalah untuk 6 pelajar lelaki dan 6 pelajar perempuan. Keputusan terletak 100% di tangan Panel Juri yang akan membuat penilaian berdasarkan bakat, penampilan, personaliti dan persembahan konsert.

Kali pertama diperkenalkan oleh Astro sejak penerbitan Akademi Fantasia pada tahun 2003.

Panel Juri terdiri daripada M.Nasir (Pengetua Akademi Fantasia), Rozina Aziz, Ketua Program Melayu, Astro, Freddie Fernandez, Ketua Pegawai Operasi Maestro Sdn. Bhd., Siti Hajar Ismail, Guru Nada Suara, Akademi Fantasia dan Kudsia Kahar, Pengurus Besar Airtime Radio and Management Sdn. Bhd.

Penilaian Persembahan
Isa - Aku Cinta Padamu (Hazami) 6.8/10
Apa yang saya lihat, tone vokal beliau bagus dan agak unik. Vokal beliau besar pengaruh Indonesia. Kebanyakan penyanyi dari Malaysia Timur amat besar pengaruh dari Indonesia iaitu tone yang jarang-jarang kita dengar. Saya melihat vokal beliau mempunyai range yang lebih besar dari Kaer. Sebutan beliau jelas. Yang masih boleh diperbaiki ialah tahap keyakinan beliau sewaktu membawakan lagu tersebut. Jelas terpancar keresahan di wajahnya. Ekspresi wajahnya jelas risau dan menyebabkan pergerakan pentasnya kaku. Kurangnya keyakinan itu, lebih-lebih lagi muncul sebagai peserta pertama menyebabkan beliau hilang tumpuan dan berlaku sedikit sumbang pada bahagian korus. Beliau mempunyai pakej yang cukup untuk digilap sebagai penghibur tetapi agak pemalu orangnya.

Ekin - Dialah Di Hati (Siti Nurhaliza) 5/10
Sememangnya sebuah lagu yang sukar untuk Ekin. Bukan calang-calang penyanyi mampu membawakan lagu tersebut. Kris Dayanti sendiri mengakuinya. Nampak agak tergesa-gesa Ekin menghabiskan lagu ini kerana tempo lagu ini agak pantas. Dalam nafas yang pendek beberapa rangkap kedengaran kelam-kabut. Saya merasakan lagu Dialah Di Hati kurang sesuai untuknya. Persembahannya tidak berjaya memikat pendengaran saya. Tidak dapat tidak saya akan membandingkan persembahannya dengan penyanyi asalnya. Ekin saya kira telah berjaya meyakinkan penonton dengan keberanian beliau membawakan lagu sesukar ini. Kelebihan pada Ekin juga adalah kerana mempunyai pakej yang lengkap sebagai penyanyi. Beliau harus berani mencipta identitinya yang tersendiri kerana industri muzik Malaysia telah dibanjiri dengan lambakan penyanyi wanita.

Aidil - Kau Lupa Janji (Jamal Abdillah) 3/10
Dalam banyak-banyak lagu, lagu ini juga merupakan pilihan beliau. Saya menganggap lagu ini tidak sesuai dengannya. Menampilkan sedikit elemen nostalgia pada lagu tersebut. Beliau agak selamba membawakan lagu ini dalam penghayatan yang jelas tidak seiiring dengan mesej lagu. Lontaran vokalnya agak jelas sumbang di banyak bahagian. Tone vokal beliau kedengaran mirip-mirip Sudirman Hj Arshad. Selain dari wajahnya yang juga iras-iras penyanyi tersebut. Tariannya juga tidak sesuai dengan lagu tersebut. Ia agak melucukan. Saya nampak keyakinan pada wajah beliau. Selain daripada itu, beliau juga mempunyai pakej yang lengkap untuk menjadi penyanyi. Ketahanan beliau di dalam industri juga mampu bertahan lama kerana memiliki wajah yang boleh menarik perhatian pasaran.

Amylea - If I Ain’t Got You (Alicia Keys) 7.5/10
Beliau antara peserta pilihan penonton kerana keunikan identitinya serta penampilannya. Lantaran itu, penonton mudah untuk mengingatinya. Persembahannya bagus. Kawalan vokal beliau antara yang cemerlang pada malam itu. Saya melihat saingan yang cukup kuat antara ppeserta wanita dan yang membezakan mereka hanyalah tahap keyakinan mereka di pentas. Namun demikian, sebutannya agak kurang jelas. Penghayatan beliau untuk lagu tersebut juga bagus. Beliau telah berjaya menguasai pentas dengan baik sekali. Gayanya mirip-mirip penyanyi kulit hitam Amerika. Bersandarkan mutu vokal, belum menjanjikan tiket yang percuma untuk terus kekal di dalam industri. Beliau harus mencipta identiti sendiri kerana pasaran Malaysia sudah ada Dayang Nurfaizah dan Siti Sarah.

Yazer - Relaku Pujuk (Spider) 6.5/10
Seperti American Idol, Akademi Fantasia juga turut dilanda fenomena rock yang semakin berjaya menguasai pertandingan bakat oleh tv realiti sebegini. Saya melihat vokal Yazer amat bersesuaian dengan irama rock dan agak menyerlah. Walaupun beberapa bahagian pada lagu tersebut tidak sampai, beliau berjaya menutup kelemahan tersebut. Tidak banyak yang mampu dipersembahkan oleh Yazer kerana masih dibayangi oleh Tam Spider. Gerak beliau dan gaya persembahan beliau jelas kurang meyakinkan. Dinilai dari aspek pakej, saya tidak nampak yang beliau mampu menguasai pasaran dan bertahan lama di dalam industri.

Shiha - Gonna Get You Good (Shania Twain) 4/10
Kekuatan lagu tersebut tidak berjaya disempurnakan dengan baik oleh Shiha. Shiha masih dibayangi rasa resah dan kurang berkeyakinan apabila membuat persembahan. Sebutannya juga kurang jelas terutama pada note-note yang rendah. Sebuah lagu yang kurang sesuai untuk pertandingan dan persembahannya tidak berjaya mengumpan perhatian penonton.

Azlif - Isabella (Search) 5/10
Sebuah percubaan yang berani kerana membawakan lagu tersebut. Saya menyukai vokalnya. Ada variasi tone yang menarik untuk diterokai. Persembahan beliau menjadi bahan jenaka kerana renungan matanya yang agak melucukan. Aksi spontan itu datang secara tiba-tiba menurutnya. Persembahan beliau agak kaku menurut pandangan saya.

Amy - Saving My Love For You (Whitney Houston) 8/10
Beliau antara peserta yang mempunyai vokal yang bagus. Sebutannya jelas. Kesilapan masuk pada awal lagu tidak sedikit pun menggugat tumpuannya. Kawalan vokalnya juga bagus serta pakej yang lengkap untuk menjadi seorang penyanyi. Seperti peserta wanita lain, tanpa identiti yang tersendiri, agak sukar untuk menembusi pasaran muzik tempatan. Hasilnya nanti pasti sekadar menjadi seperti Nur Fatima, tidak mampu menembusi perhatian pasaran.

Reza - Ku Harap Cinta (Nowseeheart) 7.5/10
Reza merupakan antara peserta lelaki yang mencabar pada malam tersebut. Beliau mampu mencabar dari aspek range vokalnya yang agak besar dan sedap didengar. Tone vokalnya juga bagus dan disertakan dengan kawalan yang mantap. Penampilan beliau jelas menampakkan keyakinan dan mempunyai gaya sebagai seorang penghibur. Saya menyukai persembahannya yang agak bersahaja tetapi berjaya memuaskan hati. Pakej beliau sebagai seorang penghibur perlu dibaiki agar tidak terlalu dibayangi oleh imej Anuar Zain dan gaya-gaya santai perlu lebih dikekalkan untuk beliau.

Diana - Aku Sayang Padamu (Atiek CB) 6/10
Persembahan Diana agak biasa tetapi berjaya menarik perhatian saya. Saya menyukai tone vokalnya yang jelas pengaruh Indonesia. Saya nampak beliau agak berkeyakinan di pentas. Pergerakannya juga agak minima dan bersesuaian. Kawalan vokalnya juga baik tetapi kedengaran sedikit sengau di beberapa bahagian.

Fuad - She’s A Lady (Tom Jones) 7/10
Tampil di pentas sahaja beliau cuba mengumpan perhatian penonton dan ternyata berjaya. Sayangnya beliau terlalu mengharapkan sokongan penonton dan berkali-kali cuba untuk meyakinkan penonton dengan persembahannya. Agak sedikit keterlaluan dan juga kesan terlalu berkeyakinan mungkin. Vokalnya bagus dan improvisasi rap yang telah dilakukan amat mencabar dan kreatif. Penguasaan pentas beliau lagak seorang penyanyi profesional. Seperti Bob, beliau harus berani untuk mempertaruhkan fizikalnya selain mutu vokal beliau untuk dijual kepad penonton.

Marsha - Colours of the Wind (Vanessa Williams)
Masha menghadapi masalah kesihatan dan tidak dapat membuat persembahan. Beliau telah menarik diri satu jam sebelum pertandingan tersebut. Kejutan berlaku di Akademi Fantasia. Penonton dan panel juri ingin juga mendengar nyanyian Masha walaupun sedikit. Turut ditayangkan kepada penonton ialah klip video nyanyian beliau dengan lagu Ingin Bersamamu oleh Syafinaz. Rata-rata penonton terpaku dengan persembahannya tetapi nasib tidak menyebelahinya.

Mawi - Intifada (Rabbani) 9/10
Berbekalkan lagu Intifada, Mawi telah berjaya meyakinkan penonton dengan persembahan mantapnya. Kelunakan vokal beliau n yata aset utama beliau. Beliau merupakan antara peserta yang mampu menyaingi peserta perempuan. Banyak yang boleh diterokai dalam vokalnya untuk disesuaikan dengan pelbagai genre lagu. Pakej beliau serta imej alim beliau merupakan tarikan utama kepada golongan remaja untuk dijadikan ikutan. Saya melihat beliau berbakat besar bukan sahaja dalam irama nasyid tetapi juga dalam irama “world-music”.

Elliza - Mengapa (Nicky Astria) 8.5/10
Jelas terpancar imej Farah dalam persembahannya. Dengan menggunakan minus-one penyanyi asalnya maka range vokal Elliza agak terhad tetapi dengan lagu tersebut beliau telah memaksimakan segala kekuatan vokalnya. Vokalnya nyata bertenaga. Kawalan vokalnya serta penggunakan teknikal pada vokalnya telah dibuat dengan baik dan meyakinkan.

Kefli - Dir (Rahim Maarof) 7/10
Kelebihan Kefli ialah vokalnya yang agak baik. Range vokal beliau agak besar. Sayangnya keyakinan dirinya agak rendah dan menyebabkan penguasaan pentasnya terganggu. Beliau tidak banyak bergerak dan pergerakan tangannya agak stereotype. Berlaku juga sumbang pada bahagian korus lagu tersebut. Dinilai dari aspek pakej, Kefli mampu pergi jauh dengan sokongan peminat-peminat perempuannya. Beliau telah mengembalikan imej-imej Zamani, Razis Ismail yang menjadi kegilaan remaja perempuan.

Akma - I Will Always Love You (Whitney Houston) 7.7/10
Pemenang Who Will Win ini berkeyakinan tinggi di pentas. Vokalnya juga berjaya meyakinkan. Sebutannya jelas. Namun demikian, penguasaan pentasnya serta persembahannya masih boleh dibaiki kerana masih terlalu ketinggalan zaman.

Haider - It’s My Life (Bon Jovi) 6/10
Beliau boleh memberikan persembahan yang lebih baik daripada lagu It’s My Life ini. Ada sesuatu pada vokalnya yang boleh menyerlah jika beliau membawakan lagu selain lagu tersebut. Lagu tersebut gagal menyerlahkan vokalnya serta karisma beliau di atas pentas. Persembahannya nampak biasa sahaja.

Rina - Mama Ku Ingin Pulang (Nike Ardilla) 6/10
Beliau mempunyai vokal yang merdu. Penguasaannya untuk nada rendah juga bagus. Nyata beliau berkebolehan untuk membawakan note yang lebih tinggi dengan penuh bertenaga. Dinilai dari aspek pakej, agak sukar untuk penyanyi yang sudah berumahtangga untuk meneruskan penguasaan mereka kecuali dengan daya usaha yang bersungguh-sungguh.

Felix - Cinta Seorang Teman (Bob AF2) 7.2/10
Pada bahagian awal lagu tersebut, jelas kurang kedengaran vokal beliau. Beliau nampak kurang berkeyakinan pada awal lagu tersebut. Setelah di pertengahan lagu Cinta Seorang Teman, keyakinannya mula menyerlah dan melontarkan vokalnya dengan selamba. Bukan calang-calang penyanyi mampu membawakan lagu tersebut dengan baik. Felix telah melaksanakan tugasnya dengan baik. Berbekalkan imej yang selamba, Felix nyata mampu untuk pergi lebih jauh dan mampu untuk bertahan lebih lama.

Idayu - I Have Nothing (Whitney Houston) 8/10
Beliau antara peserta perempuan yang mempunyai vokal yang hebat. Tone vokalnya juga bagus. Sebutannya juga jelas. Memilih sebuah lagu yang sukar menjadikannya antara peserta pilihan untuk mara ke pusingan yang seterusnya. Dengan persembahan yang mantap, beliau telah berjaya membawakan lagu I Have Nothing dengan sempurna.

Ranking sultanmuzaffar
Mawi - Intifada (Rabbani) 9/10
Elliza - Mengapa (Nicky Astria) 8.5/10
Idayu - I Have Nothing (Whitney Houston) 8/10
Amy - Saving My Love For You (Whitney Houston) 8/10
Akma - I Will Always Love You (Whitney Houston) 7.7/10
Reza - Ku Harap Cinta (Nowseeheart) 7.5/10
Amylea - If I Ain’t Got You (Alicia Keys) 7.5/10
Felix - Cinta Seorang Teman (Bob AF2) 7.2/10
Fuad - She’s A Lady (Tom Jones) 7/10
Kefli - Dir (Rahim Maarof) 7/10
Isa - Aku Cinta Padamu (Hazami) 6.8/10
Yazer - Relaku Pujuk (Spider) 6.5/10
Diana - Aku Sayang Padamu (Atiek CB) 6/10
Rina - Mama Ku Ingin Pulang (Nike Ardilla) 6/10
Haider - It’s My Life (Bon Jovi) 6/10
Ekin - Dialah Di Hati (Siti Nurhaliza) 5/10
Azlif - Isabella (Search) 5/10
Shiha - Gonna Get You Good (Shania Twain) 4/10
Aidil - Kau Lupa Janji (Jamal Abdillah) 3/10
Marsha - Colours of the Wind (Vanessa Williams)

Keputusan Juri
Lelaki
Aidil
Yazer
Reza
Fuad
Kefli
Felix

Perempuan
Ekin
Amylea
Amy
Elliza
Akma
Idayu

Entri oleh sultanmuzaffar 21 May 2005 0 komen

Makan Tak Lalu, Tidur Tak Lena, Mandi Tak Basah, Dah Terkena ?

Umum telah pun mengetahui 20 nama yang telah terpilih untuk menyertai Akademi Fantasia. Umum juga telah lebih awal mengetahui barisan Tenaga Pengajar yang terpilih untuk mengemudi Akademi Fantasia pada musim ini. Umum juga telah mengetahui siapakah Pengkritik Tetap yang akan menduduki kerusi panas tersebut setiap minggu. Jadi apakah kejutannya dalam Akademi Fantasia musim ini ?

Menurut dari sumber yang boleh dipercayai, pada musim ini Akademi Fantasia akan meletakkan sebuah lagi batu tanda kepada dunia teknologi penyiaran Malaysia. Jika pada musim yang lalu Akademi Fantasia memperkenalkan Butang Interaktif Merah, pada musim ini khabarnya penggunaan teknologi moden lagi terkini tersebut bakal menggegarkan lagi Akademi Fantasia dan peminat-peminatnya. Bersiap sedialah untuk satu fenomena baru kepada dunia penyiaran Malaysia kerana anda bakal menghadapi saat-saat makan tak lalu, tidur tak lena dan mandi tak basah. Dah terkena ?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Konsert Prelude Akademi Fantasia pada malam ini jam 8.30 malam di Astro RIA. Siapakah 12 pelajar yang bakal meneruskan perjalanan mereka di Akademi Fantasia dan siapakah pula yang terkena ?

Entri oleh sultanmuzaffar 01 May 2005 0 komen

Anugerah Industri Muzik 12
Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur

Mengejutkan ? Memang mengejutkan tetapi panel juri professional tentu mempunyai alasan mereka untuk menobatkan album Nazraku sebagai Album Terbaik untuk tahun ini. Setiap telinga punya deria yang berbeza, setiap lidah punya rasa yang berbeza, setiap mata punya pandangan yang berbeza dan tentunya setiap pengalaman punya taraf kematangan yang berbeza. Maka saya tidak hairan jika album Nazraku dinobatkan sebagai Album Terbaik kerana setiap masing-masing yang terlibat di dalam industri ini bebas untuk menentukan pilihan masing-masing. Jika saya suka album Erti Pertemuan tidak semestinya juri professional menyukai apa yang saya suka.

Rekaan Pentas
Cas positif dan negatif dari bateri menjadi asas kepada rekaan pentas AIM kali ini. Rekaan lampunya menarik dengan latar yang bertukar corak tatacahaya. Tangga yang ada di kiri kanan pentas hanya sekadar untuk kegunaan Puteri Gunung Ledang dan tidak dimaksimakan penggunaannya untuk yang lain. Tangga tersebut tidak perlu dan menyempitkan ruang sehingga kedudukan pemuzik orkestra tambahan pada beberapa persembahan perlu dibuat sewaktu siaran iklan. Jika benar-benar difikirkan sejak awal, maka tangga tersebut boleh ditiadakan dan digantikan dengan tempat pemuzik atau orkestra.

AIM 12
Gandingan mereka menjadi pada AIM kali ini.

Hos – Afdlin Shauki dan Bob Lokman
Secara keseluruhan, gandingan mereka pada tahun ini adalah lebih baik dari tahun lepas. Sesuatu yang ketara pada tahun ini apabila gandingan tersebut banyak dibiarkan keseorangan mengendalikan acara kecuali pada beberapa bahagian sahaja. Itu puncanya. Afdlin dan Bob seharusnya dipisahkan selalu kerana mereka nampak lebih baik sekiranya keseorangan. Apabila dipasangkan berdua maka akan timbul lawak-lawak yang boleh dirasakan tidak perlu. Untuk AIM kali ini, gandingan ini boleh saya katakan agak bersesuaian dan tidak keterlaluan.

AIM 12
Puteri Gunung Ledang melayang terbang di PWTC kerana AIM.

Persembahan Pembukaan Asmaradana oleh Tiara Jacquelina
Mengkagumkan walaupun miming. Saya kagum dengan persembahan Tiara. Dengan susunan muzik moden yang segar serta adunan elemen Jawa membuatkan lagu Asmaradana menjadi begitu indah. Keindahan lagu tersebut dicantikkan lagi dengan gerak tari Tiara yang cukup sempurna. Keberanian beliau melakukan aksi terbang juga benar-benar mengkagumkan saya. Setiap saat persembahan beliau begitu indah untuk dilepaskan. Lirikan mata, lengtok gerak kepala, gelekan punggung, kuisan kaki beliau menghidupkan persembahannya. Penari latarnya juga telah memberikan gerakan yang cukup sempurna. Sayang sekali, apabila beliau sekadar miming.

AIM 12
PERSEMBAHAN VOKAL BERKUMPULAN TERBAIK DI DALAM ALBUM
Ramalan SM: Gerhana Ska Cinta - The New Authentic
Pemenang : Raihan - Allahu
Puas hati walaupun ramalan tidak mengena !

AIM 12
Sepasang sayap tak terlihat

Persembahan Awan Yang Terpilu oleh Ning Baizura
Persembahan Ning Baizura untuk lagu Awan Yang Terpilu semacam tidak berjaya dari aspek vokal. Tiada elemen kekaguman yang berjaya di penghujung lagu tersebut. Kekuatan utama lagu tersebut ialah kelunakan vokal beliau lebih-lebih lagi jika berjaya disampaikan secara langsung dengan baik. Sayangnya, kehebatan vokal itu yang kurang kerana saya pernah mendengar Ning membawakan lagu Awan Yang Terpilu lebih baik dari persembahan semalam. Saya terbaca komen di dalam forum Ningclix yang turut merasakan perkara yang sama. Tiupan angin tiruan penting agar bersesuaian dengan tajuk lagu tetapi ia mungkin akan mengganggu sistem pembesar suara.

AIM 12
PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM ALBUM (WANITA)
Ramalan SM: Ning Baizura - Erti Pertemuan
Pemenang : Siti Nurhaliza - Prasasti Seni
Sememangnya Siti Nurhaliza sukar digugat. Saya merasakan vokal Ning Baizura dalam album Erti Pertemuan merupakan taruhan terbaik beliau untuk menewaskan Siti Nurhaliza. Tetapi ternyata andaian itu meleset sama sekali. Siti Nurhaliza meneruskan penguasaannya buat kali ketujuh berturut-turut. Mujur Siti Nurhaliza memenanginya menerusi album Prasasti Seni, maka saya tidak merasa begitu terkilan. Saya akan menjadi begitu terkilan sekiranya beliau memenanginya melalui album Siti Nurhaliza Fantasia Tour Live in Concert. 2004.

AIM 12
ALBUM POP ETNIK TERBAIK
Ramalan SM: Sawo’ Matang – Noraniza Idris
Pemenang : Sawo’ Matang – Noraniza Idris
Tiada saingan yang sengit untuk album Sawo’ Matang untuk memenangi kategori ini. Album tersebut kental jiwa tradional Melayunya atau boleh saya katakana jiwa Malaysianya. Kemenangannya menepati ramalan banyak pihak.

AIM 12
Persembahan Medley Calon Artis Baru Terbaik
The Times, Farahdhiya, Vince, Waheeda, D-Va
Kuasa-kuasa baru ini telah menunjukkan kualiti yang bagus dalam persembahan mereka. Rata-rata didominasi oleh mereka yang masih muda dan punya jalan yang lebih besar di masa hadapan. Antara persembahan yang menarik ialah persembahan Vince dengan lagu Tak Ingin Kehilanganmu dan Waheeda.

AIM 12
ARTIS BARU TERBAIK
Ramalan SM: Vince
Pemenang : Vince
Kemenangan Vince menepati ramalan banyak pihak. Satu kemenangan yang mudah untuk dijangkakan. Dinilai daripada pencapaian beliau sejak setahun setelah lulus dari Akademi Fantasia, tidak mungkin kemenangan tidak memihak kepadanya. Bukan sekadar anugerah dari dalam negara bahkan anugerah dari luar negara juga telah berjaya diraih oleh beliau.

AIM 12
Ada yang kata persembahan mereka sumbang, saya dengar ok je. Satu pembaharuan pada irama nasyid.

Persembahan Hikmah Kembara oleh Mirwana
Ia merupakan sebuah persembahan yang biasa dari Mirwana. Nasyid alternatif yang dipersembahkan telah membuka satu ruang kepada irama nasyid untuk divariasikan. Satu percubaan yang baik dari Mirwana.

AIM 12
ALBUM NASYID TERBAIK
Ramalan SM: Raihan - Allahu
Pemenang : Raihan – Allahu
Puas hati !

AIM 12
PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM ALBUM (LELAKI)
Ramalan SM: Zainal Abidin - Puteri
Pemenang : Zainal Abidin – Puteri
Sejak kategori ini diperkenalkan pada tahun 1994, Zainal belum pernah memenanginya. Ini merupakan kali pertama beliau memenangi anugerah tersebut. Satu penghargaan yang sewajarnya diberikan kepada beliau kerana mutu vokal beliau dalam album Puteri ternyata cemerlang.

AIM 12
ANUGERAH KEMBARA
Ramalan SM : Raihan
Pemenang : Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza sememangnya layak untuk Anugerah Kembara pada tahun ini. Melihatkan pencapaiannya di negara orang sudah cukup mengkagumkan. Namun demikian, ia masih bersandarkan undian penonton. Kemenangan di MTV Asia Awards adalah berdasarkan undian penonton, begitu juga kemenangan di Anugerah Planet Music di Singapura. Melihat senarai anugerah dan pencapaiannya pada tahun lepas, maka tidak hairan sekiranya pada tahun hadapan beliau akan memenangi anugerah yang sama sekali lagi.

AIM 12
Cutelah penyanyi Gerhana Ska Cinta ni !

Persembahan My Boy Lollipop oleh Gerhana Ska Cinta
Saya meletakkan harapan kumpulan ini memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan, sayangnya mereka gagal. Saya menyukai persembahan muzikal mereka. Kepelbagaian muzik dalam persembahan mereka sememangnya menghiburkan. Mereka berbakat besar untuk meneruskan karier muzik mereka.

AIM 12
ARTIS INGGERIS TEMPATAN BARU TERBAIK
Ramalan SM: Juwita Suwito
Pemenang : Disagree
Saya meletakkan Juwita Suwito sebagai pemenang kerana saya mendengar album tersebut, tetapi tidak pula mendengar album Disagree. Tentunya ada kelainan pada album Disagree.

AIM 12
VIDEO MUZIK TERBAIK
Ramalan SM: Virginia Kennedy - Awan Yang Terpilu (Ning Baizura)
Pemenang : Virginia Kennedy - Awan Yang Terpilu (Ning Baizura)
Video Muzik Awan Yang Terpilu kaya dengan elemen-elemen seninya yang tersendiri. Berdasarkan skrip yang dijalin dengan keindahan fotografi yang menarik, maka sebuah video muzik seperti Awan Yang Terpilu telah menjadi alat promosi sesebuah album yang berjaya. Kerja-kerja seni yang ditampilkan oleh Pengarahnya ternyata merupakan satu kerja yang teliti.

AIM 12
Persembahan bintang tv realiti menghiburkan. Pilihan lagu tidak memberikan impak yang besar.

Persembahan Medley Akademi Malaysian Fantasia Idol
Dina, Farah, Zahid & Jac – Menyemai Cinta Bersamamu, Selagi Ada & Keabadian Cinta
Dina, Farah, Zahid & Jac – Menyemai Cinta Bersamamu, Selagi Ada & Keabadian Cinta
Kenapa lagu Menyemai Cinta Bersamamu, Selagi Ada dan Keabadian Cinta ? Pemenang Lagu Terbaik tahun 2001, 2003 dan 2004 itu terlalu baru untuk dikenang semula dan diberikan penghargaan untuk dinyanyikan semula. Lebih menarik persembahan tersebut mengiktiraf lagu-lagu terbaik pada tahun-tahun awal AIM seperti lagu Satu, Jentayu dan Ku Mohon. Lagu-lagu yang terbaik tetapi jarang didengari. Persembahan graduan program realiti tv pencarian bakat agak tidak seimbang. Menyemai Cinta Bersamamu sesuai dengan vokal Dina. Dina nampak cemerlang mengawal baik lagu tersebut. Farah nampak tersiksa dengan lagu Selagi Ada. Zahid nampak tidak bermaya dengan lagu Keabadian Cinta dan penamatnya dibuat oleh Jac. Jac cemerlang tetapi terlupa lirik di penghujung lagu tersebut. Susunan muzik orkestra lagu-lagu tersebut dibuat dengan baik sekali oleh Ramli MS.

AIM 12
Muzik orkestra di bawah pimpinan Ramli MS sememangnya memukau pendengaran.

AIM 12
ARTIS HARAPAN
Ramalan SM: Farah
Pemenang : Farah
Saingan sengit yang dihadapi oleh Farah ialah daripada Bob. Mereka merupakan taruhan terbaik untuk memenangi kategori ini. Pengundiannya pun telah dilakukan oleh juri professional yang terdiri daripada mereka di dalam industri. Sesiapa yang pernah buat fasal dengan mereka di dalam industri tentunya mempunyai harapan yang agak tipis untuk memenanginya. Anugerah ini ditiadakan pada tahun lepas kerana kemelesetan industri muzik tempatan dan fenomena program realiti pencarian bakat telah menghidupkan kembali kategori ini. Satu perkembangan sihat untuk masa industri muzik tempatan.

AIM 12
ALBUM INDONESIA TERBAIK
Ramalan SM: Cahaya – Kris Dayanti
Pemenang : 30 Hari Mencari Cinta - Sheila On 7

AIM 12
Tumpuan penonton lebih banyak terganggu dengan penari latar.

Persembahan Orkes Nirwana - Syurga Idaman dan Alangkah Sedihnya
Sambutan penonton terhadap persembahan Orkes Nirwana sememangnya baik. Ada interaksi dengan penonton. Lupakan soal vokal kerana mereka orang lama. Ini merupakan satu penghargaan buat mereka.

Anugerah Wirama – Frankie Cheah
Padat sekali ucapan beliau. Dengan perkataan “bastard” berkumandang secara langsung di televisyen dan radio, harapnya mesej tersebut sampai kepada yang sepatutnya. Si penagih dadah harus sedar yang mereka ialah role model kepada masyarakat. Si lanun cetak rompak harus sedar yang kerja haram mereka telah menyebabkan artis tidak makan. Bila artis tidak dapat cari makan, mereka cari dadah.

ALBUM HARD ROCK TERBAIK
Ramalan SM: Dendam – Amuk
Pemenang : Otai Jamm - May
Tiada komen, kerana bukan genre saya.

KULIT ALBUM TERBAIK
Ramalan SM: Urba Ad - Sawo Matang (Noraniza Idris)
Pemenang : Nizam Rahmat - Erti Pertemuan (Ning Baizura)
Terkejut saya album Erti Pertemuan terpilih sebagai pemenang Kulit Album Terbaik. Saya lebih mengharapkan album Sawo’ Matang memenangi kategori ini. Paling tidak pun album Prasasti Seni. Kulit album Erti Pertemuan terlalu simple dan tidak jelas mesej yang ingin disampaikan. Dengan lagu-lagu terbaik yang ada dalam album tersebut, sayangnya kulit albumnya tidak menjelaskan lagi maksud lagu-lagu tersebut.

RAKAMAN ALBUM TERBAIK
Ramalan SM: Mac Chew - Puteri (Zainal Abidin)
Pemenang : Mac Chew - Puteri (Zainal Abidin)
Puas hati !

SUSUNAN MUZIK TERBAIK DALAM LAGU
Ramalan SM: Seindah Biasa – Aubrey Suwito
Pemenang : Seindah Biasa – Aubrey Suwito
Saya berpuas hati lagu Seindah Biasa memenangi kategori ini. Saya sememangnya menyukai lagu tersebut. Ia mampu membuatkan saya menghayati lagu tersebut. Jika lagu ini bukan diciptakan oleh pencipta Indonesia sudah pasti ia akan masuk di dalam kategori Lagu Terbaik.

ALBUM INGGERIS TEMPATAN TERBAIK
Ramalan SM: Brand New Day – Juwita Suwito
Pemenang : Brand New Day – Juwita Suwito

AIM 12
Sebentar sangat persembahan mereka.

Persembahan oleh Peter Pan
Mereka membawakan lagu yang tidak biasa saya dengar. Saya lebih akan menghargai kemunculan mereka di AIM 12 apabila membawakan lagu Mungkin Nanti. Tentu itu lagu yang penonton nantikan.

AIM 12
ALBUM POP ROCK TERBAIK
Ramalan SM: Puteri – Zainal Abidin
Pemenang : Nazraku - Spider
Tentu ada sesuatu yang menarik tentang album Nazraku. Saya harus memilikinya dan menikmati lagu-lagu dari album ini. Kemenangannya mengalahkan Puteri oleh Zainal Abidin mungkin didorong oleh faktor populariti bilamana album Nazraku lebih hebat popularitinya dari album Puteri.

AIM 12
ALBUM POP TERBAIK
Ramalan SM: Ning Baizura – Erti Pertemuan
Pemenang : Ning Baizura – Erti Pertemuan
Saya amat berpuas hati album ini memenangi kategori Album Pop Terbaik. Kekuatan album ini adalah kerana jiwa lagunya yang benar-benar mencengkam pendengar. Setiap lagu yang didengari oleh dirasai oleh pendengar isi hati yang ingin disampaikan oleh lagu tersebut. Mesej-mesej yang disampaikan melalui hampir kesemua lagu benar-benar sampai kepada pendengar. Kepelbagaian juga merupakan elemen penting dalam album tersebut. Eksperimentasi muzik yang telah dibuat ternyata berjaya. Saya meletakkan album Erti Pertemuan taruhan terbaik untuk kategori Album Terbaik.

AIM 12
LAGU TERBAIK
Ramalan SM: Dialah Di Hati – Aidit Alfian, Habsah Hassan & Siti Nurhaliza
Pemenang : Awan Yang Terpilu - Li Li Zhen, Loloq & Ning Baizura
Lagu Awan Yang Terpilu menang kategori ini. Bukan kerana lagu ini tidak bagus atau apa, cuma saya lebih menyukai lagu Dialah Di Hati. Namun demikian, kemenangan tetap berpihak kepada Awan Yang Terpilu. Mungkin kerana lirik lagu Dialah Di Hati terlalu berbunga-bunga sehingga juri profesional tidak memahaminya.

ALBUM TERBAIK
Ramalan SM : Ning Baizura – Erti Pertemuan
Pemenang : Nazraku – Spider
Terkedu ? Memang mengejutkan jika dinilaikan daripada pencapaian album Nazraku berbanding album Erti Pertemuan pada malam itu. Tentu ada yang menarik pada album ini. Album Erti Pertemuan tidak berjaya di kategori kemuncak pada malam tersebut untuk melengkapkan penguasaannya. Peminat Siti Nurhaliza di kanan dewan terdiam lebih awal, dan peminat Ning di kiri dewan terdiam terkejut. Keseronokan mereka tidak berpanjangan tetapi masih berbaloi dengan empat anugerah yang berjaya dirangkul oleh album Erti Pertemuan. Penerbit album Nazraku punya sebab untuk bergembira dan meraikan kemenangan mereka di AIM.

AIM 12
Persembahan yang daring dari Siti. Jarang sekali kita melihat Siti macam apa yang kita lihat semalam.

Persembahan Medley Jalinan Cinta Pendirianku oleh Siti Nurhaliza
Rasanya ada tiga lagu dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza secara medley pada malam kemuncak itu. Berbekalkan pengalaman dari Kota London, Siti Nurhaliza telah memberikan satu persembahan yang memukau. Saya pasti satu dewan terpukau dengan gerak tarinya yang boleh saya sifatkan agak daring. Membawakan tiga lagu rancak secara medley dan masih mengekalkan stamina seperti biasa tentu sesuatu yang ajaib. Dengan selamba beliau menghabiskan lagu-lagu tersebut. Gerak tarinya sempurna dan merupakan antara gerak-gerak tari yang jarang-jarang kita dapat lihat. Beliau mula membuka dirinya untuk menjadi lebih maju lagi. Maka satu perubahan perlu dibuat. Sekurang-kurangnya inilah perubahan yang ditunjukkan oleh AIM. Perubahan Siti Nurhaliza untuk kita semua. Perubahan dalam industri muzik, bila lagi ?

Post Party AIM12
Nothing much ! Pack gila. Saya memang benci crowd. Rasa macam tidak cukup nafas. Namun demikian, dalam kesesakan itu, saya pulang sekitar jam 2.30 pagi juga. Sekadar menonton gelagat manusia. Seronok juga mendengar perbincangan dan debat perdana antara seorang kawan dan kawan juga tentang AIM. Sekadar menjadi penonton.

Ada ulasan lebih best untuk dibaca : Catatan Nakal Tentang Anugerah Industri Muzik (AIM) 12

Album Foto : Album Anugerah Industri Muzik 12 - Kepada peminat Zahid, gambar Zahid ada banyak !!!!

Nota : Pada 3 Mei 2005, tepat jam 1.30 tengahari, blog ini menerima hits yang ke 1,000,000. Terima kasih di atas sokongan anda ! Tahniah kepada hangbuah kerana berjaya mendapatkan printscreen tersebut. Beliau berjaya memenangi 2 tiket untuk menonton teater Rubiah hujung bulan Mei ini.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger