Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 01 October 2005

Malam Apresiasi bersama Yazer
Tropicana Golf & Country Club
dianjurkan oleh Yazer Fan Club

Saya berkesempatan untuk meluangkan masa untuk bersama-sama meraikan Yazer di majlis yang diberi nama Malam Apresiasi bersama Yazer. Saya hadir bersama Badrul dan Klubbkidd. Turut hadir pada malam tersebut ialah Rozina Aziz mewakili ASTRO, Zainal Alam Kadir mewakili Malay Mail, M.Nasir dan Marlia Musa mewakili Tenaga Pengajar di Akademi Fantasia.

Di majlis tersebut saya berkenal-kenal dengan beberapa orang peminat Yazer yang terus menyokong Yazer dari mula sehingga kini. Antaranya ialah Atavader (rakan blog sejak AF1), Darsani (Penasihat Fan Club) serta Feena (rakan satu universiti dahulu). Terima kasih Puan Jumilah yang sudi menjemput saya serta beberapa kawan saya untuk hadir di majlis tersebut.

Yazer turut menyampaikan beberapa buah lagu antaranya Relaku Pujuk, Ready For Love dan Merah Warna Cinta. Haider turut sama memeriahkan majlis dengan menyampaikan dua buah lagu iaitu Mungkin Nanti dan Thank You For Loving Me. Turut ditampilkan suara Zainal Alam Kadir dengan lagu tema Astana Idaman iaitu Bukan Itu Bukan Ini. Antara lain yang turut memberikan persembahan ialah beberapa orang peminat Yazer yang datang dari Tawau dan Presiden Yazer Fan Club sendiri.

Apa yang saya mampu perkatakan ialah Yazer seorang yang bertuah kerana keahlian kelab peminatnya terdiri daripada pelbagai latarbelakang. Lebih menarik apabila ada seorang Pereka Grafik yang sama-sama membantu mencantikkan pakej Yazer. Malam tersebut turut dilelong satu poster berukuran hampir sama besar dengan Yazer yang agak seksi serta eksklusif. Poster tersebut tidak disiarkan di mana-mana majalah dan pembida turut memperoleh salinan CD source file poster tersebut. Poster tersebut telah dilelong dengan harga RM500 kalau tidak silap saya. Atau mungkin kurang daripada itu.

Komen Kenyataan President Yazer Fan Club
Saya tertarik dengan kenyataan President Yazer Fan Club yang mana Yazer Fan Club sebagai sebuah pertubuhan yang baru ditubuhkan amat memerlukan sukarelawan untuk sama-sama membantu melancarkan lagi aktiviti kelab peminat tersebut. Tujuan sesebuah kelab peminat ditubuhkan adalah sebagai satu platform untuk sama-sama menaikkan lagi nama bintang yang mereka sokong. Dengan mempunyai sebuah ahli jawatankuasa yang kukuh, maka segala aktiviti dapat dirancangkan dan dilaksanakan dengan baik dan lebih teratur.

Segala urusan promosi dan usaha menangkis kritikan boleh dilakukan sekiranya seseorang bintang mempunyai satu komite yang kukuh. Ketahanan dan lama mana seseorang bintang itu boleh bertahan di dalam industri juga terletak kepada peminat. Kekuatan bilangan peminat yang ada secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama mereka lalu terbina sebuah komuniti yang lebih efektif. Semakin berkembangnya nama bintang yang disokong, maka bilangan ahli akan bertambah dan lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan.

Bakat Haider
Seperkara lain yang menarik adalah nyanyian Haider yang boleh saya sifatkan lebih cemerlang dari sesetengah bintang Akademi Fantasia yang ada. Beliau membawakan lagu Mungkin Nanti dan Thank You For Loving Me dengan baik sekali. Saya merasakan adalah sesuatu yang merugikan sekiranya bakat Haider tidak dipandang oleh mana-mana pihak. Peluang harus dibuka kepada beliau untuk lebih berjaya di masa akan datang.

Saya mengharapkan agar Yazer Fan Club akan lebih berjaya di masa akan datang dan terus mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi dari para peminatnya. Kesepakatan mereka untuk sama-sama menaikkan nama Yazer amat diperlukan agar kelancaran aktiviti dapat dilaksanakan dengan baik.

Peminat Dangkal
Dalam perjalanan pulang, saya dihantar oleh Klubbkidd ke Uptown kerana meletakkan kereta di sana. Kami sempat berbual banyak topik meliputi karenah segolongan peminat yang semakin melampau yang boleh saya klasifikasi sebagai peminat terlampau. Mereka kononnya mampu bertindak sebagai Tuhan untuk menentukan rezeki seseorang artis. Ada yang sanggup untuk mematikan karier artis yang memberikan pandangan mereka tentang Mawi. Sekiranya pandangan mereka bersifat tidak menyokong Mawi, maka karier seni mereka perlu dimatikan dan jika pandangan mereka bersifat menyokong Mawi, maka mereka perlu disokong. Sebagai seorang peminat Akademi Fantasia, lahirnya segolongan peminat dangkal sebegini amat memalukan.

Saya menunggu reaksi mereka setelah artikel "Kecoh si komposer" tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini. Apakah pula nasib yang bakal menimpa Iman Wan selepas ini ? Saya hanya mampu menunggu dan melihat sahaja kerana mereka adalah golongan yang bijak pandai.

Nota: Gambar lain akan diuploadkan ke Fotopages SM.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger