Adibah Noor - Terlalu Istimewa 3.4/5 bintang
Sememangnya Adibah Noor terlalu istimewa. Beliau mempunyai bakat nyanyian yang hebat walaupun kurang menyerlah di sebalik nama-nama bintang Akademi Fantasia yang tumbuh cendawan selepas hujan. (Maksud sebenarnya ialah tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Tetapi kalau tumbuh cendawan selepas hujan pun boleh juga. Perkataan yang sama, maksud yang berbeza sama sekali. Tetapi cukup sinis. Kredit : Ted) Namun demikian, beliau tidak patah semangat. Berbekal pendapatan yang diperolehi olehnya melalui persembahan makan malam, konsert dan lain-lain sepanjang bergelar artis, beliau melaburkan wang tersebut untuk pembikinan album Terlalu Istimewa ini.
Adibah Noor selaku Penerbit Eksekutif album ini mempunyai pasukan yang terdiri daripada nama besar persada muzik tempatan. Nama seperti Azlan Abu Hassan (beliau pernah menghantar email kepada saya kerana komen saya yang agak pedas terhadap kerja beliau dalam album Jaclyn Victor), Jock Chew, Mohariz Yaakup (penulis lirik lagu Untuk Terakhir Kali) dan Badrul “The Muffin” selaku Penerbit untuk album ini.
Unik kulit album ini kerana menampilkan Adibah di sebuah funfair telah direkabentuk oleh Nizam Rahmat dari Ad.Verse dan Din juga dari Ad.Verse. Mereka pernah memenangi pelbagai anugerah di Anugerah Industri Muzik dalam kategori Kulit Album Terbaik. Funfair sering digambarkan sebagai sebuah taman permainan. Penuh dengan lampu-lampu berkelipan dari merry go round yang berpusing. Giant Wheel pula melengkapkan sebuah funfair. Dalam sebuah funfair, objek utama yang perlu ada tentulah Giant Wheel atau ferris wheel. Pancaran neonnya bergemerlapan. Saya boleh mengibaratkan funfair itu seperti industri hiburan dan Giant Wheel itu ialah Adibah Noor. Industri hiburan menjadi tidak lengkap tanpa Adibah Noor, begitulah funfair menjadi tidak lengkap tanpa Giant Wheel. Tetapi mengapa funfair itu kosong ? Keseronokan di funfair itu tidak berpanjangan. Apakah sesuatu yang indah itu tidak mampu menarik pengunjung untuk sama-sama merasai keseronokannya ? Begitu juga digambarkan untuk Adibah Noor. Beliau ibarat pelengkap dalam dunia hiburan tempatan. Beliau mempunyai vokal yang hebat dan mula mencipta nama sejak memenangi sebuah pertandingan nyanyian Suara 90an Nescafe pada tahun 1994 tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Bakatnya seakan dipinggirkan. Itulah yang saya terjemahkan pada kulit album beliau ini.
Antara lagu-lagu yang menarik perhatian saya ialah lagu Fantasia Sebuah Cinta, Joget Hati Senang, Terlalu Istimewa dan Pengorbanan. Terlalu Istimewa lebih indah apabila ditujukan buat adik Nurul Huda (10 tahun) yang menjadi mangsa rogol yang kemudiannya telah dibunuh dan mati kerana kekejaman sesama manusia. Penyampaian Adibah Noor lebih jujur dalam lagu ini. Ia telah disampaikan dengan penuh perasaan. Saya ingin sekali mendengar versi live pula selepas ini. Tentunya lebih bersemangat dan penuh penghayatan.
Mengapa saya suka Putih ? Putih sebuah lagu yang easy listening. Melodinya agak catchy. Saya sememangnya jenis yang suka sesuatu yang simple. Macam lagu ini lebih simple dan senang bila mendengar lagu tersebut. Rentaknya agak moderate tidak terlalu perlahan dan tidak begitu rancak.
Pengorbanan merupakan sebuah lagu nyanyian semula oleh Adibah Noor yang turut dimuatkan dalam album ini. Lagu Pengorbanan merupakan nyanyian asal Azlina Aziz dan Liza Aziz yang telah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Asia Song Festival pada tahun 1999 di Kuala Lumpur.
Entah di mana silapnya, sudah jarang benar pertandingan nyanyian yang melibatkan Asia atau ASEAN seperti ABU Golden Kite Song Festival, Asia Song Festival, ASEAN Song Festival, ASEAN Pop Song Festival dilangsungkan di sini atau pun di mana-mana negara sekitarnya. Saya masih ingat lagi sewaktu Wah Idris (sekarang Datuk) memenangi ABU Golden Kite Song Festival dengan lagu OK pada tahun 1985. Bayangkan pada umur 11 tahun minat saya terhadap muzik semakin bercambah.
Masih ingat dengan lagu Ikan Di Laut Asam Di Darat yang tersiar di dalam sebuah iklan Petronas sewaktu perayaan Aidilfitri & Deepavali tahun lepas ? Lagu tersebut dimuatkan juga di dalam album ini dan dinyanyikan oleh Adibah dalam nafas baru. Sebuah remake yang segar dan kena pada masanya. Bapa saya suka lagu ini. Ya, tentunya versi asal. Saya tidak pasti sama ada beliau akan menyukai versi nafas baru lagu ini. Pernah beliau mencemuh Anuar Zain merosakkan lagu Jeritan Batinku dalam sebuah rancangan hiburan yang ditayangkan sempena Tribute kepada P.Ramlee.
Entah kenapa saya teringat kepada lagu-lagu dari Amy Mastura apabila mendengar lagu Begitulah Asmara. Melodinya kuat pengaruh pop Amy Mastura yang popular satu ketika dahulu. Lebih menjurus kepada lagu-lagu zaman drama bersiri Cinta Korporat. Berbeza dengan lagu Fantasia Sebuah Cinta yang lebih minima penggunaan instrumen dan menyegarkan pendengaran apabila mendengar lagu sebegini. Saya lebih suka lagu-lagu sebegini dimuatkan dalam albumnya yang akan datang. Lebih fokus kepada vokal dan muzik iringan yang bersesuaian.
Lagu berentak balada pula bertajuk Fantasia Sebuah Cinta, Terlalu Istimewa, Pengorbanan dan Hanya Restu. Manakala lagu Ikan Di Laut Asam Di Darat lebih kepada sebuah lagu remake yang segar daripada Adibah Noor. Antara lagu yang agak rancak termuat dalam album ini ialah Detik Itu, Putih, Joget Hati Senang (etnik kreatif), Kelabu, Begitulah Asmara dan Terlalu Hina (rock).
Apa yang boleh saya katakan ialah album ini terkandung lagu dari pelbagai jenis genre. Album ini album rojak. Ada lagu balada, lagu rock, jazz, lagu etnik kreatif, lagu lama yang dirakam semula dalam gaya yang lebih segar dan lagu pop. Persembahan vokal Adibah Noor sudah cukup baik untuk album sulung ini tetapi saya belum puas mendengarnya kerana keupayaan vokal Adibah Noor boleh pergi lebih jauh daripada apa yang telah dihasilkan ini. Saya mengharapkan album keduanya nanti akan memerah seluruh kehebatan vokal beliau secara maksima macam bagaimana Yasmin Ahmad memerah seluruh jiwa Adibah Noor sebagai Yam dalam Sepet. Saya tetap pasti vokal Adibah Noor boleh pergi lebih jauh daripada apa yang telah saya dengar sekarang.
Track Lagu
1. Detik Itu
2. Putih
3. Fantasia Sebuah Cinta
4. Joget Hati Senang
5. Terlalu Istimewa
6. Kelabu
7. Ikan Di Laut Asam Di Darat
8. Pengorbanan
9. Begitulah Asmara
10. Hanya Restu
11. Terlalu Hina
Lagu-lagu secara minus one juga boleh didapati di dalam album ini. Ia terdiri daripada lagu Joget Senang Hati, Terlalu Istimewa, Kelabu, Ikan Di Laut Asam Di Darat, Pengorbanan dan Begitulah Asmara. Siapa yang teringin menjadi Adibah Noor atau bersiap sedia untuk Akademi Fantasia 4, bolehlah berlatih menggunakan minus one yang ada di dalam album ini.
Khabarnya lagu ini sedang mendahului carta jualan di Tower Records Kuala Lumpur. Semoga apa yang dilaburkan oleh Adibah Noor berjaya mendapat pulangan yang sewajarnya. Jika anda ingin mendapatkan album ini bolehlah mendapatkannya di Tower Records KLCC atau mana-mana cawangan The Store dan Ms Read atau email sahaja kepada Adibah Noor Entertainment di alamat adibah_noor(at)yahoo(dot)com.
Ranking Pilihan sultanmuzaffar
1. Terlalu Istimewa
2. Fantasia Sebuah Cinta
3. Putih
4. Pengorbanan
5. Joget Hati Senang
6. Hanya Restu
7. Ikan Di Laut Asam Di Darat
8. Detik Itu
9. Begitulah Asmara
10. Kelabu
11. Terlalu Hina
Artikel 10 Things You Didn't Know About : Adibah Noor oleh Yeang Soo ChingSenarai Pengedar Album Adibah Noor : Klik & Skrol ke Bahagian Paling Bawah (Maaf, senarai ini rupanya pengedar Suara Keadilan.)
Ada satu topik menarik. Saya sempat chat dengan salah seorang sahabat merangkap pembaca merangkap mak ayam saya sendiri iaitu Cikanos. Kata beliau, kenapa saya tidak tulis blog menggunakan bahasa yang sering digunakan oleh Mat Jan atau Tok Rimau. Saya memang akan sekali-sekala menulis dalam gaya bahasa yang agak lucu seperti artikel berkenaan Blogger di XFresh !. Tetapi saya tidak akan menulis menggunakan gaya lucu itu sampai bila-bila. Hanya sekali-sekala sahaja. Gaya tersebut lebih sinonim dengan Mat Jan atau Tok Rimau dan saya sendiri merupakan salah seorang peminat Mat Jan. I mean tulisan Mat Jan. Kadang-kadang selepas membaca apa sahaja yang Mat Jan tulis, saya pasti akan menghentak meja sambil berkata “Damn, kenapa aku tak pernah terpikir apa yang dia tulis tu dulu !!” dengan perasaan yang amat cemburu sekali. Kadang-kadang letak komen pujian pun dengan niat yang tidak ikhlas. Tapi itulah kelebihan Mat Jan atau pun Tok Rimau. Menulis dalam gaya bahasa lucu ini memerlukan daya ketahanan yang tinggi. Sesetengah pembaca tentu akan menganggap ia sebagai satu tulisan yang riak walaupun sebenarnya itu bukan niat penulis. Itulah yang saya anggap pada Mat Jan seawal waktu saya mengenali blognya. "Riak gila budak ni, exam dapat A berderet pun nak bagitahu semua orang." Bayangkan sekiranya saya menulis "Well, Ada juga ya peminat Felix yang nak jadi popular. Kalau macam tu kenalah tunggu tiga tahun macam sultanmuzaffar. Usaha kena gigih, populariti tidak datang sekelip mata, dik !" Maka akan berduyun-duyunlah anti-sultanmuzaffar melawat blog ini dan mencaci ayat entri tersebut. Berbalik kepada blog Mat Jan, lama kelamaan saya sudah boleh menerima jenis penulisan sebegitu lebih-lebih lagi setelah mengenali penulisnya secara dekat. Lagipun saya mahu diberi peluang untuk menjadi diri saya sendiri. Saya selesa dengan bahasa kamus Dewan Bahasa dan Pustaka dan akan terus kekal sebegitu. Sekali-sekala riak atau berkelakuan lucu, harap dimaafkan.
0 komen