Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 29 October 2005

Hijrah Remaja : Sebuah Program Yang Dekat Dengan Remaja

Ini kali kedua saya menonton rancangan baru yang disiarkan di ASTRO Ria. Saya tertarik dengan konsep rancangan tersebut. Rancangan tersebut telah dikendalikan oleh Farihin Abdul Fatah dan Wardina Safiyah. Masih ingat sebelum Akademi Fantasia 3 dikeudarakan, saya ada menyarankan agar Farihin dilantik sebagai Pengetua Akademi Fantasia ? Nampaknya beliau lebih sesuai untuk mengacarakan rancangan bercorak agama seperti Hijrah Remaja ini. Wardina Safiyah merupakan satu nama yang cukup sinonim dengan kecantikan dan kesopanannya. Satu ketika dahulu beliau membawakan imej seorang remaja urban, kini setelah berumah tangga, beliau membawakan imej seorang wanita muslim yang amat ideal pada pandangan mata saya.

Konsep rancangan ini amat segar walaupun membawakan persoalan yang berkaitan dengan agama. Kita lihat sahaja rancangan agama yang pernah saya tonton sejak kecil-kecil lagi seperti Hal Ehwal Islam, Al-Kuliyyah, Forum Perdana dan juga Pedoman. Rata-rata membawakan konsep syarahan yang sukar untuk mendekati remaja. Berbeza dengan rancangan ini yang boleh saya katakan dekat dengan remaja.

Lihat sahaja pada rekaan setnya yang agak menyerlah dengan warna-warna terang. Sekali pandang kita boleh tersilap ingatkan ia sebuah program hiburan. Menampilkan panel-panel yang terdiri dari ilmuan Islam dari pelbagai latar-belakang dan peringkat umur. Antara lain ia turut menampilkan panel dari kalangan remaja lelaki dan perempuan. Mereka berbincang tentang sesuatu isu yang diperdebatkan dengan lenggok bahasa mereka sendiri. Sekiranya mereka ingin berbicara dalam bahasa Inggeris, mereka akan berbicara dalam bahasa tersebut tanpa canggung. Hijrah Remaja turut menjemput seorang panel remaja perempuan yang tidak menutup aurat. Ini sekaligus menepis pandangan masyarakat bahawa untuk membincangkan persoalan agama, seseorang itu harus menutup aurat. Pandangan yang diberikan oleh mereka juga bernas dan perlu diambil kira secara kolektif.

Lihat sahaja pada apa yang terpapar pada skrin televisyen anda. Saya terpesona dengan design-design yang muncul pada skrin tv saya. Nampak ada kelainan dan tidak sekadar statik sambil mendengar panel berceramah tentang agama. Program Hijrah Remaja menampilkan satu kelainan yang sukar digambarkan. Saya akui saya bukanlah seorang yang gemar menonton rancangan bercorak agama persis Al-Kuliyyah, Forum Perdana atau Hal Ehwal Islam, tetapi saya tertarik dengan rancangan Hijrah Remaja ini. Ada semacam satu tarikan yang menarik saya untuk menonton rancangan ini. Farihin selaku hos rancangan mengemudi rancangan ini dengan imej santai tetapi masih berlandaskan nilai-nilai agama yang kuat. Wardina Safiyyah pula pada saya membawa rancangan ini untuk mendekati golongan remaja urban. Dua hos rancangan ini sudah cukup kuat untuk menarik saya mendekati rancangan sebegini.

Beberapa minggu lalu, rancangan ini berbicara tentang Hukum Merokok. Ada yang kata haram, ada yang kata makruh dan ada yang kata halal. Siapa kata rancangan sebegini tidak boleh mengundang airmata seperti rancangan Akademi Fantasia ? Di akhir rancangan Farihin berbicara di hadapan kamera sambil meminta agar anaknya menasihatkan beliau agar berhenti merokok. Dalam sebak dan linangan airmata Farihin begitu jujur sekali menyampaikan hasrat beliau kepada anaknya. Airmata Hijrah Remaja menurut pandangan saya lebih jelas keikhlasannya berbanding airmata Akademi Fantasia.

Kita tinggalkan isu minggu sudah. Minggu ini mereka berbicara tentang umur yang sesuai untuk menunaikan haji. Tentunya berdasarkan kemampuan, ramai di kalangan kita yang mampu untuk menunaikan haji pada peringkat umur yang masih muda. Ada juga yang belum cukup kemampuan, akan melaksanakan Rukun Islam kelima itu pada peringkat yang sudah tua. Ia semuanya bergantung kepada kemampuan wang ringgit dan kemampuan kesihatan.

Menurut salah seorang panel iaitu Syed Adam Alhabshi, sekiranya kita mempunyai kekuatan, adalah lebih sesuai menunaikan haji sewaktu usia masih muda. Kekuatan fizikal pada waktu tersebut berada di tahap maksima dan memudahkan kita untuk mengerjakan amalan-amalan yang diwajidkan sewaktu di sana. Saya sendiri pernah melihat, ada di kalangan jemaah yang terpaksa diusung dan ini tentunya menyulitkan mereka dan yang rapat dengan mereka. Pada waktu mudalah kita perlu all-out kerana fizikal kita kuat pada waktu tersebut. Sekiranya mempunyai kemampuan, perkara yang baik harus dipercepatkan.

Jika punya kelapangan saya akan mengikuti episod-episod yang seterusnya. Saya percaya rancangan ini mampu menarik golongan remaja untuk mendekati program-program bercorak agama dengan menggunakan konsep yang lebih santai serta persembahan yang nampak ceria. Kekuatan utama rancangan ini bergantung kepada chemistry hos rancangan ini yang boleh saya sifatkan dekat dengan para remaja. Sebuah produksi yang bagus untuk para remaja.

Rancangan ini ke udara pada hari Khamis jam 8.00 malam dan siaran ulangannya adalah pada hari Jumaat jam 6.00 petang.