Ulasan EVO ‘05 Akademi Fantasia 3
Album trilogi EVO ’05 Akademi Fantasia 3 terdapat kombinasi pelbagai genre dari world music, etnik fusion, pop, rock, balada, lagu evergreen yang diberi nafas baru. Kebanyakan lagu di dalam album ini telah dicipta oleh Adnan Abu Hassan dan Ajai.
Album terbaik ialah album EVO ’05 01, 02 dan 03 mengikut turutan secara kebetulan. Saya menyukai EVO ’05 01 adalah kerana lagu Kau Inspirasiku oleh Fuad dan Berdebar-Debar oleh Amy. Manakala untuk EVO ’05 02 adalah kerana Percaya Pada Cinta oleh Akma dan Warkah Berlagu Pilu oleh Felix. Sementara album EVO ’05 03 adalah kerana lagu Jangan Berjanji oleh Ekin dan Merah Warna Cinta oleh Yazer.
Penghasilan kulit album perlu dibuat lebih teliti di masa akan datang. Masih terdapat kesilapan-kesilapan kecil yang sedikit telah mencacatkan kualiti kulit album tersebut. Sekiranya dalam EVO ’04 ada konsep yang ditampilkan iaitu putih dan oren serta rakaman fotografi studio dilakukan khas untuk kulit album tersebut. Tetapi tidak pada album EVO ’05. Foto-foto yang diambil adalah sewaktu persembahan mereka di Konsert Akademi Fantasia.
Setelah tiga musim Akademi Fantasia berlangsung, inilah trilogi EVO yang terbaik dihasilkan dari segi produksi lagunya. Kulit albumnya masih boleh dibaiki di masa akan datang.
EVO ’05 [01]
01 Aduh Saliha - Mawi
Saya tidak pasti dengan pendengar lain tetapi saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada permulaan lagu ini. Semacam nyanyian Mawi begitu perlahan dan tidak mengikuti tempo muzik lagu ini. Pada pertengahan lagu tersebut, Mawi dapat menghayati lagu tersebut dengan baik. Saya lebih menyukai versi Rakaman Dari Studio Satu Akademi Fantasia 3 yang disampaikan dengan baik. Sesetengah lagu lebih senang didengar dalam bentuk secara langsung. Lagu ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Loloq iaitu Aduh Saliha adalah salah satu daripada lagu tersebut.
02 Mari Berpesta - Elliza featuring Yogi B
Lagu ini adalah ciptaan Adnan Abu Hassan dan Firhad sementara liriknya ditulis oleh Mable Lew dan Yogi B. Maka tidak hairanlah lagu ini menjadi sebegini kerana Firhad memang suka kepada lagu yang berkonsepkan fast-music seperti ini. Sebuah lagu ceria dari Elliza. Memang sedap lagu ini. Kali pertama saya mendengar lagu ini adalah sewaktu wawancara dengan Rizal XFresh di Studio XFreshFM. Waktu itu saya tidak mengendahkan lagu tersebut kerana sedang bergelak ketawa angkara fitnah Rizal XFresh. Saya akui konsep sebegini sesuai dengan keceriaan Elliza. Sedangkan Klubbkidd juga menumpukan pendengarannya kepada pembesar suara untuk mendengar melodi lagu tersebut dengan teliti untuk menilai produksinya. Saya merasakan lagu ini sebuah lagu yang baik dari Elliza cuma gelak di penghujung lagu tersebut sekiranya ditiadakan tentunya lebih menarik rasa saya.
03 Kau Inspirasiku - Fuad
Pertama kali mendengar lagu ini saya sudah terpikat dengan melodinya. Melodinya agak kuat pengaruh etniknya dengan irama-irama muzik Cina(saya suka mendengar alat muzik Cina walaupun saya Melayu). Mendengar vokal Fuad lebih mengasyikkan. Lagu ini lebih kepada konsep Zainal Abidin bercampur dengan Hasnul yang satu ketika dahulu terkenal dengan lagu-lagu berkonsepkan etnik dan world music. Dengan rentak yang lebih perlahan, lagu ini menjadi lebih menarik apabila dapat membuai pendengaran saya. Satu ciptaan yang unik oleh Adnan Abu Hassan dan Faris. Saya mengenepikan prejudis saya terhadap attitude beliau dan tetap merasakan lagu ini adalah lagu terbaik dalam koleksi trilogi Akademi Fantasia 3 kali ini.
04 Berdebar-Debar - Amy
Konsep yang lebih kurang dengan lagu Kau Inspirasiku dan Mari Berpesta. Lagu ini telah dicipta oleh Adnan Abu Hassan dan Firhad serta liriknya ditulis oleh Faris. Saya suka juga muzik sebegini yang agak keras temponya pada bahagian korus. Lagu berentak pop-rock ini agak unik kerana ada gabungan etnik. Persembahan vokal Amy lebih baik dalam lagu sebegini. Keupayaan vokalnya tidak dikerah seteruk lagu Idayu yang terlalu dibuat-buat. Vokal Amy lebih sederhana dalam lagu ini. Lagu-lagu begini lebih segar dan lebih kena dengan konsep penampilan Amy sendiri.
05 Takkan Ku Lali - Reza
Muzik Takkan Ku Lali agak advanced dan mempunyai sedikit suntikan muzik Indonesia. Lagu ciptaan Any Flop Poppy dan lirik oleh Ad Samad juga agak sesuai dengan konsep funky yang dibawakan oleh Reza. Mungkin lagu ini perlu didengar beberapa kali untuk membuatkan saya terpikat dengan lagu ini. Lagu ini agak terkebawah bukan kerana melodinya yang tidak sedap tetapi kerana lagu ini tidak dapat menangkap pendengaran saya pada kali pertama saya mendengarnya.
EVO ’05 [02]
01 Warkah Berlagu Pilu - Felix
Pertama kali saya mendengar lagu ini sewaktu didendangkan oleh Felix di Final Akademi Fantasia 3. Kita dapat lihat bagaimana sukarnya Felix membawakan lagu ciptaan Adnan Abu Hassan dan Faris itu. Lagu ini saya akui begitu indah untuk didengar. Sayang sekali nyanyian Felix seakan-akan tidak mampu sampai pada bahagian yang tinggi. Nyanyian Felix kedengaran agak tersiksa dalam lagu ini. Kita pernah terhibur dan terpesona dengan nyanyiannya untuk lagu Cinta Seorang Teman dan sentiasa mengharapkan lagu-lagu sedemikian dibawakan oleh Felix.
02 Untuk Terakhir Kali - Marsha
Sebuah lagu yang kena dengan jiwa Marsha. Lagu ini adalah ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Mohariz Yaakup. Satu kelebihan Marsha yang telah dibawa ke dalam lagu ini ialah penjiwaan beliau. Penyampaiannya dilakukan dengan begitu baik sekali. Lontaran vokalnya serta penyampaian makna lirik dilakukan dengan tepat. Saya pernah mendengar Marsha membawakan lagu ini dengan begitu cemerlang sekali di Rakaman Dari Studio Satu Akademi Fantasia 3. Sememangnya lagu tersebut kena dengan jiwanya dan body language Marsha sewaktu membawakan lagu tersebut juga bagus.
03 Percaya Pada Cinta - Akma
Selalunya agak sukar untuk saya menyukai lagu ciptaan Ajai dan Nurul. Tetapi berbeza dengan lagu ini. Ia adalah sebuah lagu yang bersesuaian dengan vokal Akma. Keupayaan Akma membawakan lagu ini dengan baik mungkin disebabkan liriknya yang agak berkait-rapat dengan apa yang berlaku di dalam Akademi Fantasia beberapa bulan yang lalu. Maka penyampaian Akma lebih jujur dalam nyanyiannya itu. Saya telah mendengar Akma membawakan lagu tersebut secara langsung di Gathering A Moment With Akma beberapa minggu yang lalu dan telah disampaikan dengan baik dan mendapat tepukan gemuruh dari para peminatnya.
04 Bersama Mu - Aidil
Aidil menyerlahkan bakatnya dalam mencipta lagu apabila membawakan lagu ciptaannya sendiri sambil dibantu oleh Iman Wan untuk mencantikkan lagi lagu tersebut. Liriknya juga ditulis oleh Aidil. Selera saya pada muzik lebih kepada lagu-lagu sebegini. Lagu Bersama Mu amat minima penggunaan instrument pada permulaannya dan mampu membuai perasaan untuk saya lebih menghayati liriknya. Saya juga pernah mendengar Aidil membawakan lagu ini secara langsung di Brunch With Aidilistic beliau dan telah disampaikan dengan penuh perasaan. Lagu-lagu sebegini sesuai dengan vokal Aidil kerana beliau mempunyai vokal seakan-akan dalam kelompok Rem dan Sudirman Hj Arshad.
05 Kasih Yang Terpisah - Idayu
Lagu ini pula mengeksploitasi kelebihan vokal Idayu secara maksima. Bersandarkan lagu-lagu bernada tinggi sebegini tidak begitu memikat pendengaran saya, maka agak sukar untuk saya menyukai lagu ini. Idayu perlu diserlahkan dalam situasi yang tidak terlalu dibuat-buat. Lagu sebegini sukar untuk menarik perhatian pendengar untuk menyukai Idayu. Sekiranya lagu yang lebih ballad diberikan kepada Idayu dan tidak begitu cuba untuk menyerlahkan kehebatan vokalnya, tentunya pendengar akan lebih menghargai bakat Idayu. Lagu ini adalah ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Mohariz Yaakup.
EVO ’05 [03]
01 Ku Berserah - Amylea
Persembahan Amylea untuk lagu ini juga agak baik. Nyanyiannya bertenaga. Melodi lagu ini juga berkeupayaan untuk menyerlahkan kredibiliti vokal beliau ke tahap paling maksima. Amylea perlu memperbaiki intonasinya agar nyanyiannya lebih jelas di masa akan datang. Teknik vokal Amylea menyerlah dalam lagu ini. Lagu ini telah dipersembahkan dengan cemerlang oleh Amylea. Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Adnan Abu Hassan.
02 Merah Warna Cinta - Yazer
Pertama kali saya mendengar lagu ini adalah sewaktu Malam Apresiasi Bersama Yazer yang didendangkan secara unplugged. Mungkin kerana sudah biasa mendengar Yazer jamming secara solo di Akademi maka apabila lagu ini dibawakan dalam iringan pemuzik kedengaran agak janggal. Sebuah lagu yang agak keras pengaruh slow-rocknya untuk menyesuaikannya dengan konsep Yazer sendiri. Penyampaian Yazer untuk lagu ini juga telah menyerlahkan lagi persembahan vokal beliau. Saya dapat mendengar dengan jelas vokal yazer berbanding sewaktu beliau di dalam Akademi Fantasia. Lagu ini adalah ciptaan Ajai dan lirik oleh Nurul.
03 Jangan Berjanji - Ekin
Bermulanya lagu ini sudah cukup mengasyikkan. Iringan piano sudah cukup indah. Persembahan vokal Ekin juga cukup meyakinkan. Lagu ini seakan-akan membawa saya ke satu dunia lain yang penuh dengan rasa gothic. Entah kenapa tetapi ada sesuatu dalam lagu ini yang mengingatkan saya kepada unsur-unsur itu. Mungkin kerana bunyi piano yang meremangkan bulu roma. Nyanyian solo Ekin dalam iringan piano benar-benar menggerunkan. Lagu ini adalah ciptaan Ajai dan Nurul.
04 Kembali Padamu - Kefli
Sebuah lagu yang biasa yang telah dicipta oleh Ajai dan lirik oleh Nurul. Persembahan nyanyian dari Kefli masih boleh dibaiki. Saya merasakan intonasi Kefli boleh dibaiki di masa hadapan. Sebutan seperti “ada” dan bukannya “yada” agak merimaskan. Sebuah lagu yang berentak agak ballad dan berjaya disampaikan oleh Kefli dengan bersahaja. Ciptaan lagu ini tidak cukup kuat untuk menyerlahkan kehebatan penyampaian Kefli dalam lagu-lagu sebegini.
05 Medley Bertahkta Di Hati…Antara Matamu Dan Mataku - Felix & Akma
Mengapa saya letak lagu ini dalam kedudukan terakhir adalah kerana penyampaian Akma dan Felix tidak menepati kehendak saya. Jiwa yang diberikan pada saya masih kurang berbanding sewaktu persembahan Konsert Akademi Fantasia. Macam kurang penghayatan. Saya sedar wujudnya chemistry pada kedua-dua penyanyi ini. Mereka bagaikan serasi apabila membawakan lagu ini. Saling melengkapi antara satu sama lain. Pada saya nyanyian mereka secara langsung lebih berharga untuk ditonton. Sementara lagu Antara Matamu Dan Mataku juga agak klise. Bukankah lebih baik sekiranya sebuah ciptaan baru dapat dihasilkan untuk pasangan ini. Tentunya lebih memukau dan merangsang jiwa.
Ranking Pilihan sultanmuzaffar
01 Kau Inspirasiku - Fuad
02 Percaya Pada Cinta - Akma
03 Jangan Berjanji - Ekin
04 Warkah Berlagu Pilu - Felix
05 Aduh Saliha - Mawi
06 Berdebar-Debar - Amy
07 Untuk Terakhir Kali - Marsha
08 Mari Berpesta - Elliza featuring Yogi B
09 Merah Warna Cinta - Yazer
10 Bersama Mu - Aidil
11 Ku Berserah - Amylea
12 Kasih Yang Terpisah - Idayu
13 Takkan Ku Lali - Reza
14 Kembali Padamu - Kefli
15 Medley Bertahkta Di Hati…Antara Matamu Dan Mataku - Felix & Akma
Ulasan lain berkenaan EVO '05 boleh dibaca di Javardkent. Ulasan Salam Raya Akademi Fantasia 3 akan dibuat pada utusan yang akan datang.
0 komen