Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 04 December 2005

Ulasan Teater : Julius Caesar
Dari kiri : sultanmuzaffar, Patrick Teoh, Jeff Ooi, Jess dan TV Smith

Peluang menonton teater Julius Caesar tentunya tidak saya lepaskan kerana inilah kali pertama saya menjejakkan kaki saya ke Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac). Seperti sebuah bandar asing di tengah-tengah hutan di celah-celah hutan batu Kuala Lumpur, KLPac berdiri megah setelah dibangunkan dari sebuah stesen perhentian kereta api.

Menonton Julius Caesar agak asing pada saya. Pernah saya menonton beberapa versi karya Williams Shakespeare seperti Gedebe (arahan Namron) serta beberapa versi pementasan oleh pelajar Akademi Seni Kebangsaaan. Semuanya membawakan interpretasi yang berbeza-beza terhadap karya agung dari Barat itu.

Saya terpaut pada lakonan mantap barisan pelakon Julius Caesar. Lakonan mantap adalah sesuatu yang biasa apabila menonton teater, walaupun adakalanya pementasan disajikan dengan persembahan lakonan yang maha menghancurkan.

Saya terpikat pada satu dialog yang dilafazkan oleh Brutus yang berbunyi,

“Not that I loved Caesar less, but that I loved Rome more.”
“Not that I loved AF stars less, but that I loved the friendship more.”
Dialog ini seakan mengingatkan saya tentang melihat persahabatan lebih dari segala-galanya. Dalam situasi tikam belakang yang berleluasa kini, saya perlu meyakinkan diri saya bahawa terdapat segolongan sahabat yang meletakkan persahabatan lebih dari segala-galanya. Memang sukar untuk mempercayainya, tetapi percayalah, ia tetap ada. Di dalam konteks blog ini, saya cuba untuk meletakkan persahabatan yang terjalin lebih dari segala-galanya termasuklah bintang Akademi Fantasia juga. Saya menganggap persahabatan perlu dijaga dengan rapi melebihi fanatik kita terhadap bintang Akademi Fantasia. Persahabatan sukar untuk ditukar ganti, bintang Akademi Fantasia bersilih ganti setiap musim. Apa perlunya mengagungkan bintang yang hanya panas setiap enam bulan daripada mengabaikan persahabatan yang sudah sedia terjalin. Mungkin bukan prinsip anda, tetapi itu prinsip saya. Sekiranya ada di antara mereka yang lebih mengagungkan bintang Akademi Fantasia, mereka dirasakan tidak sesuai untuk saya dampingi.

Sebenarnya saya diajak untuk menonton teater ini berdasarkan kenyataan bahawa rekaan bunyinya yang hebat, kata salah seorang tenaga pembikin teater ini. Tentunya saya ingin melihat di mana hebatnya sistem bunyi yang dipersembahkan ? Apakah yang terlalu hebat itu ? Apakah sistem teknologi yang ada di KLPac mampu untuk menghasilkan persembahan bunyi yang mantap ?

Jarang sekali teater menyajikan sebuah persembahan bunyi yang hebat seperti ulius Caesar. Saya duduk di bahagian tepi pentas, tidak betul-betul tengah tetapi cukup terpesona dengan hasil tatabunyi yang diberikan. Ia memberikan impak yang cukup besar untuk menjagakan mata yang hampir terlena juga membuatkan penonton seperti berada di tengah-tengah set dan terlibat dalam lakonan. Penonton di sebelah saya agaknya sudah tertidur kerana ini merupakan kali pertama beliau menonton teater. Shakespeare pulak tu !

Rekaan pentasnya juga agak minimal. Banyak ruang kosong untuk pelakon bermain di atas pentas putih yang menjadi asas kepada teknik tatacahaya untuk teater ini. Seperti rekaan pentas, tatacahaya juga agak minimal tetapi bersesuaian. Lampu sorot merah yang terpancar pecah di atas Julius Caesar sudah cukup untuk menggambarkan darah yang bergenang di keliling badannya.

Saya cuba sedaya upaya untuk mencelikkan mata saya hampir satu jam setengah untuk mengikuti cerita yang dipersembahkan. Sememangnya agak berat. Berkisar kepada kisah yang berlaku ke atas Julius Caesar serta kepada tragedi pembunuhannya, ia semacam memberi peringatan jelas kepada saya agar berhati-hati dengan mereka yang berada di sekeliling kita. Lebih-lebih lagi dalam dunia sekarang yang penuh dengan tipu muslihat, dendam, benci, tikam belakang dan macam-macam lagi.

Memang sukar untuk memahami teks dalam karya Shakespeare ini. Seperti sudah biasa membaca sarikata apabila menonton CSI atau The Apprentice, saya turut tercari-cari sarikata dalam pementasan teater ini. Tetapi tidak berjumpa.

Teater ini masih dipentaskan di Pentas 1, KLPac, Sentul Kuala Lumpur. Jika anda punyai kesabaran dan kelapangan, bolehlah menonton persembahan tersebut. Persembahan tersebut diarahkan oleh Joe Hasham dengan dibarisi pelakon seperti Ari Ratos, Patrick Teoh, Gavin Yap, Kennie Dowle, Kurt Crocker, Samantha Schubert dan lain-lain lagi. Rekaan Bunyi telah diselenggarakan oleh Two AM. Bersedialah untuk satu sistem bunyi yang lain daripada yang lain.

Senario Teater Melayu

Ke mana pergi karya-karya teater Malaysia seperti Lantai T.Pinkie, Sungai Mengalir Lesu, Malam Haram, Ronggeng Rokiah, Kelas 2020, Mencari Juita sekadar menyebut beberapa nama. Saya ingin sekali melihat karya-karya hebat Malaysia ini dipentaskan di Istana Budaya atau paling tidak di Pentas 1, KLPac. Seperti saya tertunggu-tunggu hasil filem Puteri Gunung Ledang, kini Tiara Jacquelina dan pasukannya membuatkan saya tertunggu-tunggu pula hasil teater Puteri Gunung Ledang The Musical.

Puteri Gunung Ledang The Musical ? Satu tajuk yang cukup mengajak untuk saya menontonnya. Walaupun begitu saya masih terkilan kerana ia masih segar lagi di layar perak dan kini dipindahkan ke versi teater. Masih terlalu awal. Apa kurangnya dengan karya-karya teater Melayu yang lain yang ada di Malaysia ?

Lantai T.Pinkie ? Apa kurangnya teater tersebut ? Teater tersebut amat sesuai untuk dijadikan muzikal yang tentunya lebih menarik. Dengan skrip yang mantap serta barisan pelakon teater yang hebat tentunya teater terhebat dari karya Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said boleh dipasarkan di serata dunia.

Terbayang tonggeknya punggung Tiara Jacquelina sebagai T.Pinkie dan keberanian Nyai Sunarti membuka satu persatu bajunya oleh Erma Fatima beberapa tahun yang lalu tetapi masih mampu menggegarkan dunia teater Melayu kini.

Sejak akhir-akhir ini, teater Melayu seakan semakin tenggelam walaupun pelbagai kemudahan sudah disediakan oleh kerajaan mahu pun pihak swasta. Apakah yang mengehadkan pergerakan teater Melayu ? Konflik ? Pertelingkahan ? Cemburu ? Malas ?

Ulasan Lain :
Nick Xandar : Theater Review : Julius Caesar at KLPAC
Jeff Ooi Screenshots : I cometh to bury Caesar, not to praise him...

Wedding Jinggo

Akhirnya, Jinggo dan Ina pun berkahwin. Mereka merupakan antara Multimedia Developer yang saya temuduga sewaktu di UNITAR dahulu. Kini, masing-masing telah membawa haluan masing-masing ke tempat yang lebih menjanjikan masa depan yang lebih cerah. Kami agak rapat kerana Ina tinggal dekat juga dengan kawasan perumahan saya. Apabila PMS (Perasaan Marah Sangat) melanda, Jinggo terpaksalah menggunakan rumah saya sebagai penempatan sementara. Mengenali mereka selama hampir lima tahun merupakan satu pengalaman yang paling happening dalam hidup saya. Semua Multimedia Developer sudah pun selamat mendirikan rumahtangga, tinggal Senior Multimedia Developer sahaja yang masih tercari-cari.

Projek : Maharani
PROJEK : MAHARANI adalah usaha bukan berasaskan keuntungan. Untuk membantu industri muzik kami yang tenat, serta untuk memastikan para pembeli berpeluang mendapatkan album berkualiti seperti album Nikki iaitu Maharani, kami menyediakan khidmat membeli CD Maharani secara online. CD tetap berharga RM29.90 seperti harga pasaran. Keistimewaannya, anda juga dapat CD yang bertandatangan dari Nikki untuk koleksi mereka.

Untuk memesan CD berkembar Maharani berserta tandatangan Nikki, anda hanya perlu email badrul_hashim(at)yahoo(dot)com nama anda serta nombor dimana anda boleh dihubungi untuk pengesahan pesanan anda serta pemberitahuan cara pembayaran. Sebegitu senang sahaja.

Untuk membaca ulasan-ulasan berkenaan album Nikki Maharani, sila lawati :
SM : Album Terbaik dari Bintang Realiti TV
Laman Web Rasmi
BadrulAfterSix
Metro Ahad : Maharani Cukup Selesa
Fiebie : PROMOSI TIME : PROJEK MAHARANI
SashiWeb : Nikki’s debut album ‘Maharani’
Forum Cari
Forum Artis Melayu

Gubra

Filem terbaru arahan Yasmin Ahmad iaitu Gubra akan ditayangkan kepada umum di Singapura pada 23 Februari 2006. Filem tersebut diluluskan tanpa sebarang potongan dan hanya akan memasuki pasaran Malaysia pada bulan Mac tahun hadapan.

Jika anda berhasrat untuk menonton filem Gubra tanpa sebarang potongan, silalah menyeberang Tambak Johor untuk tujuan tersebut. Di dalam kepala saya sudah merancang untuk menyeberang Tambak Johor untuk menonton filem ini sekali lagi di layar perak pula.

Ulasan Gubra boleh dilayari di : (Spoiler Alert !)
SM : Hati Terdetik, Minda Terlihat, Mata Bersuara dan Telinga Berfikir
Fadz : Mata Malam Yasmin Ahmad, Masterpiece Yang Menghantui