Ulasan Ronggeng Rokiah
Menonton teater period macam satu nostalgia bagi saya kerana baru saja mementaskan Rumah Kedai Jalan Seladang. Karya period terasa terlalu dekat dengan saya. Kesengsaraan manusia zaman itu masih ada dalam fikiran saya. Selesai pementasan saya terfikirkan bahawa karya-karya sebegini masih releven walaupun dalam alaf baru ini. Sifat Melayu masih sama seperti dahulu walaupun keadaan sekeliling Melayu pada ketika ini telah banyak berubah. Dunia masih dilanda peperangan. Sifat manusia tidak banyak berubah.
Pelakon dalam Ronggeng Rokiah perlu menonjolkan imej noirnya. Saya ingin memetik kata-kata Hassan Mutalib tentang teknik arahan dan lakonan dalam teater noir.
Menggunakan pendekatan 'method acting:' Bersahaja, eksotik, menangkap, tapi berbeza dari yang sehari-hari. Cerita 'noir' semacam sebuah mimpi buruk dan gaya lakon 'noir' adalah berbau mimpi (somnambulistic). Muka seperti bertopeng. Raut wajah beku BUKAN di tengah-tengah lakon tetapi sebelum diekspresikan. Lakon terlalu emotif meruntuhkan gaya 'noir' yang ketat. Pelakon 'noir' membendung 'a type,' jelas dan 'sketchy.' Intensiti yang langsung secara sungguh-sungguh dan dinamik TIDAK digalakkan. Pelakon 'noir' lebih ketat dan kedekut emosi. TIDAK dikehendakki tukar-tukar 'pitch' dan temperamen. Muka sukar bergerak. Membimbangkan, menakuntukan (eeriness). Tegak lemah, menengelam, lumpuh, cepat lemah, mengalah, rasa runtuh (Sag, droop, limp, depress, sink). Lafaz dialognya mengantuk dan lalok (Somnolent delivery of dialogue). Kaedah tatacahaya 'noir' menyebabkan watak 'noir' kelihatan sakit dan jahat (ill-looking dan wicked). Menyendiri dan berbahaya (a dangerous loner). Enggan, segan, berat, anti-hero yang songsang (a reluctant, inverted anti-hero). Misteri melingkungi dirinya.
Yang terserlah gaya lakonan noir hanyalah Jalaluddin Hassan, Sahronizam, Safura dan Rashidah Jaafar. Gaya lakonan pelakon lain masih seperti gaya lakonan biasa. Saya suka dengan lakonan Sahronizam yang memberangsangkan. Gerak tari beliau menjadi dan ada makna dalam setiap gerakan tersebut. Babak beliau mengekspresikan kekecewaannya dapat dirasakan bagaimana kecewanya beliau. Sudah pasti adegan bermain di motosikal menjadi antara yang terbaik dari segi artistiknya.
Dialog dalam Ronggeng Rokiah kaya makna. Jika dikaji subteksnya, pasti macam-macam telahan yang boleh dibuat. Saya paling suka dialog ini:-
cina tipu melayu, kau dah tengok
melayu tipu cina, kita tak takut
cina tipu cina itu kau takut
melayu tipu melayu itu sudah teruk
Banyak yang boleh dipelajari dari dialog tersebut. Seperti yang telah diperingat oleh Dr Anuar Nor Arai semasa sidang Apresiasi Ronggeng Rokiah beberapa hari sebelum hari pementasan sebenar, "dalami teksnya, ada maksud tersirat dalam setiap dialog yang dilontarkan oleh para pelakon. Dalami subteksnya."
Penataan cahaya yang mengkagumkan bagi saya untuk pementasan ini dan rekaan set yang menarik dan kena pada zamannya. Untuk lebih melicinkan persembahan teater 3 jam ini adalah lebih baik jika rekaan set dapat menggunakan sepenuhnya pentas hidraulik Istana Budaya agar keadaan pentas tidak sesak dengan 3 set utama di atas pentas iaitu bilik hotel Rokiah, Happy World Cabaret dan gerai tepi North Bridge Road. Jika dipergunakan sepenuhnya pentas hidraulik pasti pentas tidak sesak dan masa pertukaran babak dapat diselamatkan dengan muzik iringan dan tidak kelam-kabut sehingga menampakkan pekerja pentas.
Jika diberi kesempatan dan peluang saya ingin sekali menonton naskhah A.Samad Said "Lantai T. Pinkie", A. Samad Ismail "Rumah Kedai Jalan Seladang" atau Siti Rohayah Atan "Mencari Juita" dimartabatkan di Istana Budaya. Karya-karya period ini masih releven pada masa kini walaupun cerita yang ingin disampaikan adalah sama sahaja iaitu kesengsaraan wanita dan malapetaka di zaman perang.
Sila kunjungi Nizam Zakaria untuk mengetahui ulasan lain berkenaan Ronggeng Rokiah serta interview bersama Hassan Abd Mutalib.
0 komen