Pedas sekali teguran aktivis teater tersohor Malaysia ini dalam ruangannya di Berita Harian pagi ini.
Bual Teater: Kenapa nilai karya kreatif jadi berkecamuk ?
Oleh Khalid Salleh
FESTIVAL Teater Malaysia masuk musim kedua tahun ini. Di beberapa negeri sudah diketahui kumpulan yang menjadi wakil ke peringkat kebangsaan pada awal Ogos ini. Kumpulan yang menjadi juara negeri mungkin boleh berbangga, setidak-tidaknya merangsang keinginan memperlihat keupayaannya di peringkat kebangsaan kelak. Namun keperibadian sebagai pasukan kerja yang menterjemah karya penulis (pengkarya) di mana tulisan adalah jiwa dan pemikiran yang ingin disampaikan penulisnya, tidak harus berlaku ‘ketidak sopanan’ dengan menterjemah mengikut ‘sesedap rasa’ saja. Asal ada potensi untuk buat khalayak ketawa ia adalah tips memancing ketawa seterusnya.
Itulah yang terkesan pada Fesitval Teater Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 26 April-3 Mei lalu. Nilai karya sebenarnya sudah ditelanjangi keinginan memancing tawa penonton. Definisi karya kreatif yang membangun sahsiah ummah berasaskan nilai kemuliaan (Islamiah) berkecamuk menjadi longgokan sampah sarap pemikiran pengarah yang tidak kenal erti keperibadian sesebuah karya. Lebih kecewa apabila pemain (pelakon) secara ‘percuma’ memberi khidmat membumbui hilai tawa khalayak melalui aksi yang tidak bersangkutan watak dibawanya.
Perlu ditegaskan metodologi keberkesanan sesebuah pementasan berkait rapat dengan permainan. Pelakon tidak boleh membuat aksi tersendiri yang tidak digaris dalam kemungkinan perwatakannya. Belajar kenali watak dan perwatakan dalam karya teater tidak semudah melontar batu ke dalam sungai. Bermula pada tulisan, kemudian suara penyebutan (dialog). Bagaimana gaya penyebutan? Bagaimana tindak-tanduk menanggapi (interaksi) kata bual lawan? Bagaimana sikap terhadap persoalan sekeliling? Bagaimana gerak percakapan tubuh? Bagaimana sentuhan mekanisme kejiwaan yang dilontarkan bersama dialog? Bagaimana mudah atau sukarnya dialog perlu diucapkan?
Bibit yang dinyatakan itu adalah persoalan asas yang amat penting dalam kerja pementasan khususnya lakonan. Kemeriahan Festival Teater Malaysia tidak bermakna sesebuah naskhah boleh dibumbui mengikut sesedap mata pengarah yang menggunakan naskhah orang lain sebagai landasan kemasukan kumpulannya. Ia harus dimengerti bahawa idealisme pementasan adalah pembentangan pemikiran dan penganalisaan seseorang penulis (pengkarya) terhadap persoalan lingkungan hidup manusia. Sifat hormat dan fahami pemikiran penulis karya harus ada jika memilih karyanya untuk dipentaskan. Jika tidak ada etika, apakah makna mengangkat (memilih) karya orang lain untuk dipentaskan?
Berorientasikan kepada memartabatkan teater, Festival Teater Malaysia tidak harus membiarkan keadaan itu berlaku untuk masa akan datang. Asosiasi kedewasaan dan keterbukaan mengangkat karya harus berlandaskan nilai kesenimanan, di mana arus kemunasabahan boleh digunapakai untuk membezakan antara ratib (zikir) atau suara Bollywood ketika penduduk sebuah kampung cuba mengesan kehadiran makhluk halus (bunian) kerana kehilangan Tulus, salah seorang penduduk di situ. Jika persoalan munasabah pun tidak mampu diambil kira, apakah erti kemunasabahan menggerakkan kumpulan teater yang kononnya mengingkatkan daya kreatif dan meluaskan pemikiran terhadap persoalan kehidupan.
0 komen