Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 17 July 2006

MoNSTerblog Muncul !

Saya dan beberapa orang rakan-rakan baru saya terpampang di muka 16 NST Sabtu lepas. Projek usahasama antara NST dan Jaring ini sudah mula beroperasi dengan nama moNSTerblog dan boleh diakses di http://www.monsterblog.com.my !

NST merupakan akhbar berbahasa Inggeris yang utama di Malaysia dan bergabung dengan bantuan Jaring, perintis penyedia servis internet telah menghasilkan MONSTERBLOG yang mempunyai matlamat untuk melangkaui kaedah tradisional yang digunapakai sekarang kepada satu kaedah holistik kepada para pengguna internet.

Penggunaan akhbar kini boleh dilihat sebagai agak jauh ke belakang dan internet menjadi pelengkap untuk kedua-duanya. Maklumbalas terhadap satu-satu artikel agak lambat dan ini berbeza dengan penggunaan internet, lebih-lebih lagi penggunaan blog.

Projek ini disertai oleh kalangan penulis blog yang dikenali di kalangan kelompok pembaca mereka yang tersendiri. Sekiranya anda berminat untuk membaca tentang kereta, Paul Tan adalah blog yang perlu anda serang. Shaolin Tiger banyak berbicara tentang pelancongan, fotografi dan sebagainya. Namun demikian saya agak terkilan apabila perintis projek ini iaitu Mack Zulkifli tidak turut serta kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Tamatlah Segala Spekulasi

Berbicara tentang bagaimana internet mampu melangkaui kuasa akhbar. Hari ini merupakan hari yang penting buat industri hiburan Malaysia. Pada hari ini pada jam 12.00 tengahari akan berlangsung Sidang Media Khas Siti Nurhaliza. Ya ! Terimalah hakikat tersebut. Maka tamatlah sebarang gosip atau cakap-cakap yang melibatkan nama-nama yang berlegar dalam minda saya mahu pun para wartawan. Siapa lelaki pilihan Siti Nurhaliza akan terjawab tengahari ini. Orangnya tidak lain dan tidak bukan Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.

Majlis Pernikahan akan berlangsung pada 21 Ogos 2006 bersempena dengan Hari Isra'Mikraj di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Manakala Majlis Persandingan akan diadakan pada 28 Ogos berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre. Pada jam 5 hingga 6 petang hari yang sama merupakan sesi Siti Nurhaliza dan pasangan bersama peminat.

Majlis Resepsi di Kuala Lipis akan berlangsung pada 3 September 2006. Dato' Shah Reza merupakan Perancang Majlis tersebut yang berkonsepkan perkahwinan dalam taman. Konsep hantaran pula menampilkan elemen-elemen tradisional dan sulaman tekad.

Pereka busana pengantin ialah Michael Ong, Radzuan Radzwil, Khoon Hooi dan Embun dari Malaysia. Manakala seorang pereka dari Indonesia turut terpilih. Namanya biarlah saya rahsiakan dahulu kerana berdasarkan laporan akhbar semua laporan adalah silap. Saya harus menunggu sehingga pengumuman rasmi dibuat pada jam 12 tengahari. Macam AF juga, kena tunggu kejutan dan disiarkan, baru boleh ditulis. Ok lah, namanya Anna Avanti.

Jurusolek yang akan ditugaskan untuk menata wajah Siti Nurhaliza ialah Nurul Shukur yang sememangnya amat sinonim dengan Siti Nurhaliza dan seorang jurusolek dari Indonesia yang sering menata ajah Kris Dayanti iaitu Mia.

Wang hantaran diberikan dalam bentuk barang kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000. Rasionalnya harga barang kemas tidak ditetapkan kerana harganya boleh berubah-ubah dan tidak diletakkan nilai sebenar pada barangan tersebut. Secara zahirnya, umum sebenarnya tidak mengetahui berapakah nilai hantaran yang sebenarnya, hanya anggaran berdasarkan nilai sebenar barang kemas.

Tamatlah segala spekulasi. Kini tiada rahsia lagi. Bagaimana saya boleh tahu tentang berita ini lebih cepat ? Biarlah Rahsia...

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger