Konsert 07 Akademi Fantasia : Apa Lagi Agaknya ?
Ramai orang kata hari ini Siti Nurhaliza akan mengadakan sidang akhbar penting untuk mengumumkan tarikh perkahwinannya. Apa jua keputusannya haruslah kita terima walaupun pahit. Ramai juga orang kata hak eksklusif penyiaran majlis perkahwinan tersebut diperoleh Astro. Apa jua keputusannya ia tidak akan mengubah apa-apa kerja saya. Harap-harap lah. Tapi kalau ubah pun tidak mengapa, saya rela ! :)
Apa pula yang akan berlaku malam ini di Konsert 07 Akademi Fantasia ? Banyak juga kejutan kecil dan juga kejutan besar yang telah dirancang. Semuanya tertakluk kepada sebarang perubahan.
Kejutan besar pada saya sekiranya Velvet tersingkir. Kejutan besar yang lain mungkin yang akan melibatkan Leez atau pelajar Prelude yang lain. Mungkin juga agak besar kesannya sekiranya Farhan gagal melaksanakan tugasnya dengan baik malam ini. Mana tahu kalau penyakit Tora berjangkit kepadanya.
Kejutan kecil pada saya sekiranya Haziq atau Amirul tersingkir. Melihat suasana rehearsal, saya kurang berpuas hati dengan semua persembahan kecuali lagu bonus Lemas dan Leez dengan lagu Ku Gembira Disampingmu. Mungkin ada perubahan malam ini. Harap-harapnya begitulah.
Saya sedikit teruja dengan seorang Pengkritik Jemputan malam ini. Kalau ikutkan perancangan awal kedua-duanya saya teruja, tapi tak tahu lah kalau ada apa-apa perubahan lagi malam ini.
Siapa pula yang akan tersingkir malam ini ? Semakin mendebarkan kerana siapa saja boleh tersingkir dalam saat-saat genting seperti minggu ini. Semakin dekat ke minggu akhir, perbezaan undian semakin jauh dan agak sukar dikejar. Tetapi jika ada usaha dan strategi dari pihak peminat sendiri, pastinya keputusan boleh berubah sekelip mata.
Kedudukan peratus undian terkini pada jam 11 pagi ialah Amirul mendahului dengan 22% dan diikuti rapat Faizal dengan 21%. Farhan mengekori dengan 17%, manakala Lotter dan Velvet berkongsi 15%. Haziq di tempat paling akhir dengan 10%. Minggu ini agak berbeza kerana masa undian agak panjang kerana ada 3 lagu bonus beserta 1 persembahan tanpa undian. Walaupun menjadi pelajar terakhir membuat persembahan, masa untuk undian masuk masih agak panjang. Tapi jangan lupa mengambil sikap sambil-lewa, pasti anda akan terjerat. Kalau pun pelajar tersebut yang pertama membuat persembahan, teruskan lah mengundi sehingga konsert tamat. Ia semacam satu kelebihan apabila masa undian amat panjang.
Sekali lagi saya meletakkan Haziq sebagai pilihan untuk tersingkir minggu ini. Kalau bukan Haziq, Lotter mempunyai peluang yang hampir sama untuk tersingkir. Apa pun keputusan, ia hanyalah tambahan kerja saya untuk minggu hadapan. Hanya kalau tiada penyingkiran, maka kurang kerja untuk minggu hadapan.
Minggu ini merupakan minggu pertama yang saya tonton konsert secara keseluruhan. Saya tidak perlu duduk dalam bilik sejuk tu lagi pasal tak perlu monitor undian untuk sesiapa pun. Saya pun melepak bersama beberapa orang sahabat. Saya rasa konsert 07 merupakan antara konsert yang paling menghiburkan. Pertamanyanya kerana ada Leez yang sedap mata memandang. Keduanya ada Siti Nurhaliza yang sudah tercium bau-bau nasi minyak. Ketiganya kerana ada seseorang yang memang sengaja didudukkan di bahagian hadapan supaya masuk tv dan akan kelihatan seluruh Malaysia.
Kedudukan Sebelum Persembahan
Amirul 22%
Faizal 19%
Velvet 16%
Lotter 16%
Farhan 16%
Haziq 12%
Pelajar AF4 - Hips Don't Lie
Persembahan vokal pelajar lelaki ke laut terutamanya untuk lagu Inggeris seperti ini. Apa yang mereka nyanyikan pun saya tidak faham. Berbeza dengan pelajar perempuan. Leez pun mampu menyerlah dalam lagu ini dan adakalanya menenggelamkan Farhan dan Velvet. Orang mesti mahu melihat sesuatu yang indah. Memang pergerakan tubuh amat penting untuk lagu seperti ini dan Leez ada kelebihannya yang tersendiri.
Abang-abang KRU dah pesan jangan kejam sangat dan tidak hairanlah yang mendapat pujian ialah Amirul dan Lotter. Sesuai untuk dijadikan "gang" KRU yang terbaru.
Amirul - Oh No Kamu
Amirul terlalu kebudak-budakan untuk dinobatkan menjadi juara. Tapi kalau dah ada orang undi, juaralah dia. Maka kereta VIOS tersebut akan menjadi miliknya. Mula saja Amirul menyanyi mahu saja saya lari ke bilik sejuk. Berdasarkan rekod, kita boleh nilai sendiri artis-artis bawah naungan KRU. Showmanship hebat, tetapi vokal sekadar vokal studio yang dijana dengan mesin teknologi tinggi. Amirul memang sesuai. Sekurang-kurangnya kita kena lakukan sesuatu untuk sebutan R nya. Amirul macam tidak berani bertentang mata dengan penonton di hadapan dan lebih banyak memandang penyanyi latar.
Farhan - Meniti Titian Usang
Persembahan vokal yang biasa dari Farhan yang semalam tidak berapa sihat. Nampak beliau begitu bersungguh-sungguh cuba membawakan gaya rock dalam nyanyiannya. Attitude dalam lagu tersebut tidak dizahirkan dengan baik. Bermula dengan sekadar berdiri tetapi tiada aura seperti Amylea ketika membawakan lagu Dua Insan Bercinta. Pada bahagian tinggi, beliau mengambil langkah selamat dan tidak berani menarik tinggi. Apabila tanpa mic-stand baru saya nampak persembahannya hidup. Tapi orang Malaysia ni memang suka penyanyi yang menjerit. Jerit bahagian tinggi sikit terus bagi tepukan. Itulah orang Malaysia. Best juga bila dapat tengok muka Cikgu Fauziah bengang kerana komen Adlin. Lebih-lebih lagi bila bahagian yang disentuh adalah bahagian penghayatan dan terjemahan lirik. Relax Umi. Umi dalam Mentari Jingga lagi lah saya angin tengok. Rasa nak baling selipar.
Faizal - Dealova
Bila mula saja persembahan, dia bersandar tepi dinding. Dah slack sikit. Saya suka dengan persembahan vokal Faizal. Cara beliau kawal vokalnya itulah yang nampak kelainan dalam persembahannya. Satu lagi kelainan yang ditampilkan ialah gerak-gerak lucu yang berhayun ke kiri dan ke kanan tanpa tujuan. Faizal jenis orang yang suka buang kakinya. Mungkin juga kerana melodi ini jenis yang membuai maka pergerakan-pergerakan seperti itu dibenarkan. Lagi satu, dia suka berjalan merata-rata. Macam saya yang hanya mahu mendengar vokalnya jadi terganggu dengan pergerakan-pergerakan tidak perlu itu. Kalau minggu lepas ada crying sensation pada wajahnya, tidak minggu ini. Minggu ini Faizal nampak lebih selesa dan relax. Ia membuatkan penghayatannya tidaklah sehebat mana. Kata Adlin, persembahan Faizal ada jiwa yang dapat beliau rasakan.Saya suka bila Siti yang kena usik kiri dan kanan buat aksi tumbuk. So cute ! Nak pula ada tv shot Dr.Fazley ! Sabar jer lah. Esok terlerailah segalanya.
Velvet - Caramu
Saya tergamam juga bila tengok Faizal tiba-tiba lupa lirik dan tidak boleh meneruskan persembahan. Walaupun saya sebenarnya memang tahu yang Zahid akan muncul tetapi sebagai permulaan sepatutnya Faizal meneruskan persembahannya. Rupanya ia gimik yang memang telah dirancang oleh Aznil dan Faizal sendiri. Mengejutkan juga lah. Persembahan diteruskan dengan Zahid mengiringi Velvet. Persembahan vokal tidaklah sehebat mana. Lagu ini memang sukar untuk dinyanyikan secara langsung. Bukan sekadar Velvet, Nikki juga menghadapi masalah yang sama. Mana nak ingat lirik, tempo nak kena betul dan segala-galanya. Rap dari Zahid pun tenggelam timbul. Tidaklah sehebat mana. Kalau Fuad yang rap agak-agak tenggelam timbul jugak tak ? Tapi saya harus akui pergerakan-pergerakan Zahid dan Velvet di atas pentas memang menghiburkan. Kata Edry, kalau lagu macam tu, banyak lagi penyanyi lain boleh buat macam tu. Banyaklah kau ! Cuba suruh Juliana Banos, Elite atau Ezlynn bawak lagu tu sikit ! Secara live ya !
Lotter - Chow Kit Road
Saya suka dengan persembahan Lotter yang agak menghiburkan. Kalau beri lagu yang kena menari pada Lotter memanglah lagu yang Lotter suka. Pergerakan-pergerakan Lotter di atas pentas memang menarik dan tajam. Dia buat dengan bersungguh-sungguh dan tidak main-main. Bila Lotter terlalu memberikan tumpuan pada koreografi menyebabkan fokus pada nyanyiannya agak terganggu. Lirik pun berterabur. Kalau kena bentuk lagu, saya pasti nyanyiannya bersesuaian. Aksi-aksi di atas pentas yang ada pada Lotter merupakan keunikan yang ada pada Lotter. Kata Siti Nurhaliza, Lotter ada aura profesional dalam diri beliau yang nampak penuh berkeyakinan.
Haziq - Tak Seindah Wajah
Yang paling best dalam persembahan Haziq ialah klip video "Aiman Tak Kisah!" Pembetulan Tan Sri SM Salim hanya dapat Sarjana Kehormat dan bukannya Doktor Kehormat. Tinggalkan lah panggilan Dr. tu. Orang yang dapat Doktor Kehormat selalunya tak pakai gelaran tu. Ini lagu makanan Haziq dan dia terlalu berjaga-jaga dan tidak berani menampilkan apa-apa kelainan agar nyanyiannya lebih menyerlah. Sebuah persembahan yang membosankan dengan lagu yang mendayu-dayu. Pergerakan-pergerakan ala Karam Singh Walia memang membosankan dan berulang-ulang tanpa ada perubahan. Dulu-dulu Khai pun ada masalah tersebut, tetapi semakin penghujung konsert ia berubah. Walaupun lagu tersebut antara lagu Tan Sri SM Salim yang saya gemari. Terlanjur teringat pada koleksi lagu-lagu SM Salim, kita di Akademi Fantasia tidak pernah mendengar pelajar berduet lagu Pandang Pandang Jeling Jeling. Kekalkan identiti untuk khazanah bangsa tetapi bukan taruhan untuk bergelar juara yang versatil.
Leez - Ku Gembira Disampingmu
Terima kasih Leez kerana telah memberikan sedikit keceriaan di dalam Akademi Fantasia. AF ni bukan sekadar berlatih vokal. Kalau nak menang pertandingan vokal, sila lah masuk One In A Million. Kalau nak sangat boleh lah cover One In A Million tu. Kalau boleh cover lah. Diberi masa seminggu berada dalam Akademi Fantasia, banyak aspek yang perlu digalas oleh Leez dan saya boleh sifatkan ianya sebagai berjaya. Peluang yang diperolehi tidak disia-siakan. Saya lihat ada originaliti dalam persembahannya. Tanpa penari latar, Leez berjaya memasung mata saya untuk menonton persembahannya. Itu satu kelebihan tarikan wajah yang ada pada Leez. Terus terang saya katakan, komen dari Edry agak keterlaluan. Tidak membina langsung. Kenapa tidak terpilih adalah sejarah lampau. Sepatutnya beliau memberikan komen-komen yang mengambil kira jangka masa seminggu berada di Akademi.
Pelajar AF4 - Lemas
Persembahan vokal antara pelajar wujud harmoni antara mereka. Nampak ada kerjasama antara mereka. Saya cuma ada masalah dari aspek koreografi yang agak tidak menarik. Saya masih terbayang-bayang koreografi dan persembahan lagu Khayalan di AF1. Kerjasama yang tiada tandingannya sehingga sekarang.
Pelajar AF4 - Saya Anak Malaysia
Sekadar melengkapkan masa panjang yang perlu dihabiskan agar tidak under-run.
Menuju Puncak
Mengikut perjanjian yang telah dibuat minggu lepas, Leez kembali semula ke dunia realiti. Leez mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pelajar persinggahan yang diberikan peluang untuk bersama dengan enam pelajar Akademi Fantasia menimba ilmu yang sama, berlatih lagu tema yang sama dan berdepan dengan pengkritik yang sama. Lengkaplah perjalanannya sebagai pelajar Akademi Fantasia. Sayang sekali. Kalau saya, saya akan buat pemergian Leez selepas penyingkiran pelajar sebenar. Sekurang-kurangnya Leez turut bersama-sama merasai debaran pengumuman penyingkiran. Bersalam dengan pelajar yang tersingkir dan melihat sendiri depan mata penyingkiran berlaku. Barulah lengkap sebagai pelajar Akademi Fantasia.
Lotter Edwin tersingkir di Konsert 07 dengan peratus undian 15% sahaja. Saya sedikit terkilan kerana beliau telah memberikan persembahan yang baik. Sama kesnya dengan Diddy minggu lepas. Tetapi inilah Akademi Fantasia. Lagi cepat semua tersingkir, lagi cepat habis. Lagi cepat boleh rehat !
Kalau empat pelajar di Final, saya memilih Faizal, Farhan, Velvet dan Amirul. Kenapa Amirul ? Beliau boleh jual. Ramai perempuan-perempuan berpinafore biru akan mengumpul duit-duit mereka untuk membeli album Amirul. Bayangkan, Terengganu, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak seakan-akan berperang SMS untuk memastikan kejuaraan peserta kelahirkan masing-masing. Baru best sikit. Kalau benar ada empat orang, minggu depan akan ada penyingkiran atau tiada. Kalau Haziq di bawah, sila lah buat penyingkiran, kalau bukan Haziq lebih baik tangguhkan dulu. Itu saja pandangan peribadi saya.
Saya sendiri masih tidak faham mengapa ada yang mengatakan berlakunya manipulasi undian. Undian untuk Farhan sengaja dinaikkan. Ia merupakan satu kenyataan yang bodoh yang hanya saya perlu delete sms/sms tersebut. Saya tidak perlu bidas kenyataan-kenyataan tidak berasas lagi dangkal itu. Itu saja pandangan peribadi saya lagi.
Pilihan sultanmuzaffar
Faizal - Dealova
Lotter - Chow Kit Road
Farhan - Meniti Titian Usang
Pelajar AF4 - Lemas
Leez - Ku Gembira Disampingmu
Velvet - Caramu
Pelajar AF4 - Hips Don't Lie
Haziq - Tak Seindah Wajah
Pelajar AF4 - Saya Anak Malaysia
Amirul - Oh No Kamu
SeniKami
Aiman Tak Kisah
Nota : Esok, Isnin jam 12.00 tengahari satu sidang akhbar untuk mengumumkan "Wedding Of The Year" yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat hiburan Malaysia akan diadakan.
0 komen