Rumah mewah AF
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
BERSEDIA...Ketua Program Astro, Zainir Aminullah dan Sufian yakin AF musim kedua lebih menarik
MELIHAT kediaman baru para pelajar Akademi Fantasia musim kedua yang akan mula dihuni pada hari ini (5 Jun), ramai wartawan melahirkan rasa kekaguman mereka.
Banglo yang terletak di Kajang Country Heights, Sungai Ramal, Selangor itu diubah suai dengan belanja berjumlah RM200,000. Bangunan tersebut asalnya milik Australian International School, sudah ditinggalkan lebih setahun lalu.
Pada rancangan musim pertama, para pelajar AF ditempatkan di dua banglo mewah terletak di Mines Resort, Seri Kembangan. Sebuah banglo untuk pelajar lelaki dan satu lagi untuk pelajar perempuan.
Walaupun cantik dan selesa namun ia tidak sehebat penempatan baru yang lebih besar dan dilengkapi kemudahan lain seperti surau, bilik perjumpaan guru, bilik pengetua, ruang kelas tarian dan seni persembahan yang besarnya separuh padang bola sepak juga gimnasium mini.
Tidak cukup dengan itu, AF musim kedua juga bertuah kerana banyak penajaan yang diterima daripada perabot, hiasan rumah sehinggalah kepada sabun mandian.
Terdengar juga ada antara rakan wartawan berbisik, jika peserta kali ini tidak berterima kasih kepada pihak Astro atau bersikap meminta-minta, mereka tidak pandai bersyukur dan menghargai pengorbanan yang cuba dibuat oleh penerbit rancangan itu.
Malah ada yang melahirkan pendapat kepada Penerbit Eksekutif Akademi Fantasia, Sofian Abd Rahman dan Shahila Harun Shah bahawa produksi rancangan itu terlalu memanjakan para peserta sedangkan mereka belum lagi bergelar artis.
CANTIK...banglo mewah AF yang siap diubah suai
Selain tajaan yang disenaraikan di atas, peserta terpilih hanya dibenarkan membawa sebuah beg kecil ke rumah baru mereka kerana kelengkapan seperti kasut, baju dan keperluan lain turut disediakan memandangkan banyak pihak sudah memberikan persetujuan untuk menaja.
“Saya percaya apabila mereka tersingkir daripada rancangan ini, peserta akan membawa pulang tiga hingga empat beg. Kami juga membayar elaun kepada peserta jika mereka mahu membeli keperluan lain,” jelas Sofian kepada wartawan yang dibawa khas untuk melihat sekeliling kediaman.
Bercerita mengenai penempatan baru itu, jelas Sofian sewaktu mereka menemui rumah itu, keadaannya begitu buruk kerana dibiarkan begitu lama. Perbelanjaan besar dikeluarkan untuk membaik pulih dan membina ruang yang diperlukan.
“Bukan kami memanjakan para peserta sebaliknya ia keperluan kepada mereka. Para pelajar perlu berada di dalam keadaan selesa. Dan kelebihan yang diperoleh ini adalah rezeki mereka juga.
“Pengubahsuaian kediaman ini mengambil masa tiga minggu, bermula daripada tawaran tender, kerja pembersihan sehinggalah kepada pemasangan dinding, cat dan hiasan dalaman,” jelasnya ringkas.
LENGKAP...sebahagian perabot di ruang tamu ditaja
Gambar ZAHARIN HAYON.
Namun kali ini pelajar lelaki dan perempuan akan ditempatkan dalam satu rumah dan tingkat yang sama, bagaimanapun ia dipisahkan oleh dinding dan pintu siap dikunci rapi.
Kedua-dua asrama itu menggunakan pintu dan tangga keluar masuk berasingan, manakala tingkap telah dipasang jeriji dan dilapisi skrin filem lut sinar. Astro juga melantik syarikat pengawal keselamatan khas untuk menjaga keselamatan peserta.
Menyentuh tentang proses kerja-kerja rakaman, jelas Sofian segalanya akan bermula sebaik saja pelajar masuk ke dalam kediaman baru. Seramai 25 orang krew akan bertugas seawal jam 7 pagi sehingga 10 malam. Dan dalam satu-satu masa seramai 50 hingga 70 tenaga pekerja akan diperlukan.
“Bagi memantapkan lagi rancangan ini pihak Astro telah menambah 12 lagi buah kamera yang dibeli dari Australia untuk diletakkan di setiap ruang bagi merakamkan gelagat para pelajar.
“Kami beroperasi di dalam empat bilik utama di ruang ‘basement’ iaitu bilik kawalan, bilik audio, hos links di mana penggambaran segmen hos dijalankan dan bilik solek juga pakaian,” ujarnya.
KEMAS...suasana dalam bilik tidur peserta perempuan
Akademi Fantasia musim kedua yang diterbitkan oleh stesen televisyen berbayar Astro akan mula disiarkan menerusi saluran Astro Ria sehari selepas para pelajar mendaftarkan diri ke kediaman baru mereka (6 April).
Jika pada musim pertama rancangan Diari Akadami hanya disiarkan sekali iaitu jam 8.00 malam dan ulangannya jam 11.30 malam, tetapi kali ini ia disiarkan sebanyak dua kali bermula jam 12.00 tengah hari dan 8.00 malam. Ulangan kedua-dua Diari itu boleh ditonton pada jam 11.30 hingga 12.30 malam.
Harian Metro
0 komen