1. Berkemampuan Untuk Menyanyi Dengan Baik- Syarat ini menjadi asas utama dalam musim ini seperti musim-musim terdahulu. Tugas kami (baca dengan teliti perkataan kami) adalah untuk mempersiapkan setiap pelajar dengan teknik dan turut mendedahkan pelajar dengan pelbagai genre muzik selain menggalakkan pelajar untuk mencari dan membina keunikan dalam diri masing-masing.
Pandangan SM : Saya harus akui nyanyian merupakan elemen utama dalam program Akademi Fantasia. Jika pada musim-musim lalu Pengetua memiliki kata putus akan lagu yang dibawakan oleh peserta, apakah musim ini Tiara memiliki kata putus tersebut ? Pengarah Muzik iaitu Acis harus banyak membantu Pengetua dalam melaksanakan tugas ini kerana pada pandangan saya pengetahuan Acis dalam bidang muzik lebih luas.
Selepas AF7 Tamat : Dari lima finalis yang terpilih nampaknya kesemua finalis ada keunikan masing-masing dalam nyanyian. Paling ketara ialah Hafiz yang menjadikan vokal kekuatan utamanya.
2. Penghibur Serba-Boleh
- Pelajar kami akan dilatih tidak hanya sebagai penyanyi tetapi juga sebagai penghibur serba boleh yang boleh berlakon dan menari dengan baik.
Pandangan SM : Ini merupakan kekuatan utama Tiara dan beliau bijak untuk mempelbagaikan selain menyelongkar bakat terpendam yang ada dalam setiap peserta. Tiara boleh dibantu oleh Ida Nerina, A.Aris Kadir dan juga Fatimah Abu Bakar yang memiliki pengalaman yang tidak kurang hebatnya. Ketiga-tiga elemen ini jika digabungkan dalam Akademi Fantasia ia pasti mewujudkan satu kelainan dalam AF musim ini.
Selepas AF7 Tamat : Hanya Aril dan Akim berjaya dicungkil bakat terpendam mereka dalam syarat ini. Serba-boleh saya rungkaikan sebagai seorang penghibur yang mampu untuk memberikan sentuhan visual yang cemerlang dalam persembahan mereka. Selain memberikan nilai-tambah kepada sebuah persembahan mereka, ia juga menjadi elemen utama untuk menarik perhatian penonton.
3. Keyakinan- Para pelajar akan dilatih untuk meletakkan sasaran yang tinggi dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa saja aktiviti yang mereka lakukan. Mereka juga harus melihat jauh ke hadapan untuk masa depan industry seni tempatan.
- Selain itu mereka juga akan disiapkan untuk menjadi peneraju dalam industri yang mempunyai kualiti untuk berjaya bukan sahaja dalam industri tempatan bahkan di peringkat antarabangsa.
- Ini termasuklah dalam pengucapan umum dan berkemampuan untuk berkomunikasi dengan baik kepada peminat, pihak media atau pun di majlis-majlis rasmi tanpa rasa kekok.
- Pelajar juga dikehendaki belajar menggunakan Bahasa Inggeris dan digalakkan untuk berbahasa Inggeris sebagai langkah untuk menyiapkan mereka di persada antarabangsa.
Pandangan SM : Seharusnya keinginan itu datang dari peserta sendiri kerana kemahuan itu harus timbul dari dalam diri setiap peserta. Mereka harus menjadikannya sebagai satu tabiat dan menjadi rutin seharian mereka.
Selepas AF7 Tamat : Yazid berjaya ditransformasikan dari seorang yang gementar, gugup dan gagap apabila berdepan dengan khalayak kepada seorang yang mula menyerlahkan keyakinannya.
4. Peneraju Professional yang Berdisiplin, Berkerja Keras dan Mahu Mencipta Kejayaan- Di dalam industri ini hanya mereka yang tabah dan kental sahaja yang akan terus bernyawa dan ianya perlu diserapkan dalam diri setiap pelajar. Populariti dan gemerlapan lampu tidak akan berkekalan tanpa bakat sejati, disiplin, kerja keras dan daya usaha untuk berjaya walaupun sesuatu kejayaan itu dianggap mustahil. Perjalanan menuju puncak bukan sesuatu yang mudah dan untuk terus kekal berada di puncak memerlukan ketahanan mental. Dalam dunia serba mengejar kebendaan ini, hanya yang terbaik sahaja yang akan dapat bertahan.
- Dalam Akademi Fantasia musim ini hanya ada 13 peserta yang tersingkir dan SAYA sebagai JUARA !
Selepas AF7 Tamat : Saya masih belum nampak syarat ini wujud dalam diri finalis lebih-lebih lagi dengan kekangan yang diberikan oleh fakulti mahu pun produksi. Syarat ini hanya akan menjadi apabila mereka berani untuk berdikari tanpa bantuan sesiapa. Mereka harus berani mengorak langkah dan memilih jalan sendiri yang mereka fikirkan terbaik buat mereka. Selagi masih di bawah kekangan atau mungkin kongkongan seseorang atau pun sesebuah organisasi, agak sukar untuk menilai kesan dari syarat ini.
5. Menjaga Penampilan Diri dan Stail- Selain bakat, setiap pelajar perlu menjaga penampilan diri untuk itu perhatian khusus akan diberikan. Pelajar akan didedahkan kepada pilihan dalam memilih gaya yang sesuai selain tip pemakaian, solekan, dandanan rambut dan juga asas etika sosial.
- Di penghujung musim Akademi Fantasia, kita akan dapat melihat transformasi pada setiap pelajar yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
- Di pertengahan tempoh pengajian, setiap pelajar diberikan peluang untuk memilih gaya mereka yang tersendiri di bawah pengawasan penata gaya untuk memilih gaya yang mereka inginkan.
Selepas AF7 Tamat : Saya dapat melihat transformasi pada fizikal Akim. Gaya rambutnya dan perubahan pada wajahnya dapat kelihatan. Begitu juga dengan Isma yang nampak lebih bergaya berbanding di peringkat awal dahulu. Syarat ini juga perlu dinilai semula selepas beberapa bulan finalis keluar dari Akademi kerana masih terlalu awal untuk menilainya. Sesetengahnya akan kembali kepada asal tetapi finalis harus menjadikan Aizat sebagai role-model yang sanggup melakukan apa saja untuk kelihatan menarik dengan penampilan yang lebih kurus.
6. Karisma dan Menjadi Inspirasi Kepada Semua- Pelajar diharapkan dapat menonjolkan personaliti yang menyerlah selain memiliki karisma. Mereka digalakkan untuk mendalami sesuatu isu dan juga mampu untuk berkomunikasi dengan baik.
- Mereka juga akan dilatih untuk menjawab soalan media dengan bijak dan lancar selain untuk menjadikan diri mereka sebagai satu jenama yang cemerlang untuk dijual kelak.
- Kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada penonton.
Selepas AF7 Tamat : Saya dapat melihat Isma menjadi inspirasi kepada golongan wanita yang sudah berkeluarga. Wanita beranak lima itu pastinya mencetuskan inspirasi besar buat mereka yang sebelum ini hanya melihat kejayaan mereka hanya berlaku di sekitar rumah mahu pun ruang dapur sahaja. Melihatkan kejayaan Isma, pastinya ia bukan suatu yang mustahil untuk mereka capai. Akim dan Hafiz boleh menjadi role-model buat golongan remaja yang masih muda tetapi berani mencari pengalaman baru dan tahu apa yang mereka inginkan.
7. Menjadi Contoh Penjagaan Kecergasan dan Kesihatan- Setiap pelajar digalakkan untuk menjaga kecergasan dan kesihatan mereka, baik dari tabiat permakanan dan waktu rehat yang secukupnya juga kebersihan diri selain senaman.
- Mereka perlu tahu akan kepentingan menjaga kesihatan dan mengapa ianya amat penting kepada seorang penghibur. Mereka juga akan diajar untuk mengenalpasti makanan sihat yang sesuai untuk diri masing-masing.
- Tubuh yang sihat dapat mencetuskan minda yang sihat dan pelajar perlu memilih gaya hidup yang sihat dalam merealisasikan idea untuk menjadikan mereka IKON kepada industri hiburan.
Selepas AF7 Tamat : Syarat ini juga perlu dinilai semula beberapa bulan lagi sama ada mereka mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari sewaktu di dalam Akademi. Tumpuan saya berikan kepada Isma.