Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Showing posts with label muzik. Show all posts
Showing posts with label muzik. Show all posts

GENKRU: Lagu-Lagu Yang Menyimpan Kita Dalam-Dalam

Entri oleh sultanmuzaffar 11 May 2025 0 komen


  

Saya menunggu sejak 2002—menunggu malam di mana muzik yang pernah menjaga hati remaja saya, akan kembali menyala hidup-hidup di depan mata. Dulu, saya dengar “Awas!” dalam gelap bilik asrama, telinga rapat ke speaker Walkman, takut warden dengar. Sekarang, saya tunggu ia dilaungkan dalam gempita arena raksasa.

Dan malam itu, saya bukan sekadar hadir untuk konsert GenKRU. Saya datang untuk bertemu semula dengan versi lama diri saya yang tertinggal di antara pita kaset dan kenangan yang tidak selesai.

DIRI YANG DIBUKA SEMULA


Saya tiba di Axiata Arena dengan sekeping tiket yang akhirnya bertukar ganti dengan peluang untuk menyaksikan Norman, Yusry dan Edry, trio tiga beradik itu beraksi. Tiket itu seperti jaminan bahawa apa yang pernah saya simpan dalam ingatan...mungkin, hanya mungkin akan dihidupkan semula malam itu.


Arena sudah bergetar dengan sorakan yang lebih gemuruh daripada bunyi subwoofer. Barisan hadapan dipenuhi Gen X, sebahagian besar di kalangan mereka masih memakai baju grafik lama “AWAS!” yang hurufnya sudah pudar, ada juga yang sudah berkacamata baca tetapi tetap melompat-lompat seolah-olah esok tiada mesyuarat jabatan. 


Di celah-celah ribuan manusia, saya ternampak remaja Gen Z, membayangkan dalam minda mereka tertanya-tanya kenapa ibu dan ayah mereka tiba-tiba menjadi terlalu hiperaktif. Aneh; suasana sebesar ini terasa sangat peribadi seperti di ruang rehat Kolej 2 dua puluh lima tahun lalu, di mana kaset Canggih berputar tanpa henti.


Penonton berpusu-pusu. Semua itu, entah kenapa, terasa seperti sebahagian daripada ritual. Sebahagian daripada upacara pulang ke zaman yang kita tinggalkan dengan tergesa-gesa dahulu, zaman di mana baju jersey baggy adalah uniform tidak rasmi remaja yang hanya mahu menari, mahu memberontak, dan mahu difahami.

Lagu-lagu seperti “Fanatik”, “Negatif”, “Awas!”—bukan hanya muzik. Ia semacam bau bilik tidur lama, semacam sentuhan cadar lama yang mengingatkan kita pada sekelumit kenangan di kala remaja kita sebelum kita tahu apa itu dewasa.

Dan saya sedar yang malam itu bukan sekadar ‘reunion’. Ia pengakuan. Bahawa di sebalik segala pencapaian dan kegagalan hidup remaja, ada sebahagian jiwa yang kita tinggalkan di sana, bersama KRU. Dan malam ini, sebahagian jiwa itu akhirnya pulang. Atau mungkin lebih tepat, sesuatu yang saya perlukan tetapi tidak tahu saya perlukan.



KRU: SEBELUM MEREKA JADI KRU


Kita perlu jujur. Sebelum KRU menjadi legenda, mereka adalah percubaan. Tiga beradik dari Kuala Lumpur yang pada satu ketika, dianggap terlalu “Barat”, terlalu “futuristik”, terlalu “asing” untuk industri yang masih selesa dengan gerak balada dan nada rock & blues malam Sabtu.


Kemunculan KRU seperti panahan elektrik. Bunyi synth mereka tajam, seolah-olah diangkut terus dari orbit masa depan. Gaya rambut, jaket kulit, lirik rap Melayu—semuanya janggal.


Tapi mereka masuk juga. 


Dengan synth yang mendahului zaman. Dengan visual yang kelihatan seperti keluar dari skrin MTV ketika kita masih terperangkap dalam era karaoke. Dan dengan lirik, yang kadang sederhana, kadang-kadang mendalam, tetapi selalunya tepat pada waktunya.


Bila mereka menyanyikan “Awas!” untuk pertama kali, bukan sahaja industri terkejut. Kita pun sebenarnya ternganga. Ini bunyi apa? Ini fesyen apa? Tapi tak sempat pun nak menilai panjang, sebab kaki dah bergerak mengikut beat. Lirik dah lekat di lidah. Dan sebelum kita sedar, KRU bukan sahaja diterima. Mereka ditunggu.

KRU bukan hanya muzik. Mereka perkenalkan cara baru untuk mendengar, melihat, dan merasa. Mereka ubah pentas jadi panggung sci-fi, dan konsert jadi pertunjukan masa depan. Bagi remaja zaman itu, termasuk saya sendiri, mereka bukan sekadar penyanyi. Mereka adalah pintu keluar dari dunia yang bosan.

Dan dari situlah legenda bermula.

Gen X: YANG DULU BERSUARA, KINI MENDENGAR SEMULA


Malam GenKRU terasa seperti perjumpaan semula dengan bahagian diri yang kita telah simpan diam-diam. Penonton malam itu kebanyakannya Gen X—ya, yang kini sudah ada uban atau separuh botak. Tapi malam itu, tidak ada siapa yang tua. Tidak ada siapa yang malu. Tak ada siapa yang peduli siapa CEO, siapa cikgu, siapa dah pencen. Yang penting, siapa yang masih hafal rap “Fanatik” tanpa tercungap.


Yang ada hanya getaran suara menyanyi bersama, tangan yang terangkat secara refleks dan mata yang sedikit berair bila “Mengerti” dimainkan. Lagu itu, entah kenapa lebih menyakitkan sekarang berbanding dulu. 


Saya tak sangka lagu itu akan menyentuh sekuat itu. Dulu saya dengar tanpa memahami. Kini saya dengar dan terasa luka. Mungkin sebab saya akhirnya tahu maksud kehilangan. Maksud sebenar ‘mengerti’. Bahawa tidak semua yang kita cintai akan kekal bersama kita. Dan tak semua maaf akan sempat diucapkan.


Ketika “Awas” menyusul, ramai yang bertepuk dua kali pada tepat rentak 2-dan-4 bergabung gerakan refleks otot yang tidak pernah hilang. Ada momen saya terhenti, berfikir; adakah kita benar-benar patut menikmati semula masa lampau ini? Mungkin ya, atau mungkin kita sekadar mahu lari dari dunia TikTok yang hiper-pantas. Tetapi apabila korus “Awas! Awas! Awas! Gerak langkahmu” memecah udara, rasa bersalah itu lenyap. Saya akhirnya faham—nostalgia bukan pelarian. Ia bukan barang murahan. Ia cermin. Ia jambatan. Ia cara kita berdamai dengan siapa kita dulu dan siapa kita hari ini. 


LAGU KITA KINI MILIK MEREKA

Saya ternampak seorang remaja—mungkin belasan tahun—mengangkat telefon, merakam video. Di sebelahnya, ayahnya menjerit baris rap yang sudah dihafal tiga dekad lalu. Anak itu ikut menyanyi. Perlahan, tapi tepat.

Lagu itu dulunya milik saya. Milik kami. Milik mereka yang mengikat kepala dengan bandana, menconteng nama kumpulan pada beg sekolah, menyembunyikan kaset dari cikgu disiplin. Tapi malam ini, saya sedar… lagu itu bukan lagi milik kami sepenuhnya. Ia sudah mula bergerak. Meninggalkan kami dengan perlahan. Mencari rumah baru.

Dan saya tak cemburu.

Saya tersenyum. Sebab apa yang dulu janggal kini diterima. Apa yang dulu diketawakan kini dirakam, diulang, dipaut oleh generasi yang tak pernah kenal era pita kaset dan Walkman. Mereka tak perlu faham semua. Cukup mereka rasa. Cukup mereka percaya. Lagu-lagu itu akan jaga mereka, seperti lagu itu pernah jaga kami.

EMPAYAR KRU - DI BALIK LAGU

Di belakang setiap lagu, ada mesin. KRU bina mesin itu.

Mereka tak berhenti di pentas. Mereka buka studio. Tubuhkan label. Bina empayar kandungan sebelum orang tahu apa itu ‘IP’. Dari sudut Jalan Keramat, mereka rakam suara. Dari CGI studio kecil, mereka cipta Cicakman. Dari peluh produksi, lahirlah Hikayat Merong Mahawangsa. Mereka bukan sekadar buat lagu—mereka cipta dunia.

Waktu orang lain masih bincang soal irama dan nada, KRU sudah bertanya soalan lebih besar: bagaimana untuk mengendalikan seluruh rantaian muzik? Siapa kawal pengedaran? Siapa kuasai visual? Siapa urus suara, imej, dan kesan khas?

Mereka lihat lebih jauh. Dan kerana itu, mereka sering dilabel ‘terlalu moden’, ‘terlalu ke depan’, ‘terlalu Barat’. Kemudian mereka mengolah pop futuristik, memasarkan boy-band realiti maya sebelum istilah boy-band VR popular di sini. Tetapi hari ini, semua itu jadi pujian. 

Ada sedikit ironi; lagu-lagu mereka kini diraikan sebagai ‘klasik’ sedangkan suatu masa dulu ia dianggap terlalu mencabar norma. Begitulah sejarah—yang pelik hari ini, jadi legenda esok. Apa yang “terlalu moden” semalam menjadi “kenangan emas” hari ini.

Dan saya percaya, inovasi adalah nostalgia yang menunggu masa.



ELITE, ADAM AF DAN RUANG YANG TAK PERNAH TERTUTUP

Lampu malap. Lima siluet muncul perlahan dari kabus pentas.

Azza. Linda. Abby. Watie. Sasha.

Mereka tak perlu sebut nama. Penonton sudah tahu. Jeritan meletus. 

Kemunculan Elite malam itu seperti skrip yang kita tidak tahu kita rindukan. “Tamparan Wanita” dan “Di Pintu Syurga” bukan sekadar lagu, ia kapsul masa. Ada gegaran yang bukan datang dari speaker. Ia datang dari dada. Dari kenangan. 

Suara mereka bukan sahaja masih ada. Ia kini lebih kuat. Lebih yakin. Tiada lagi rasa bersalah kerana menjadi siapa mereka. Malam itu, mereka tidak minta keampunan atas siapa mereka dahulu.. Mereka tampil sebagai bintang yang tidak pernah padam.

Elite dulu hanya dilihat sebagai ‘aksesori’ kepada KRU. Tapi malam itu, mereka buktikan yang mereka berdiri atas kaki sendiri. Saya duduk, terpaku, kagum. Sambil hati berbisik—"patut kita beri mereka peluang lebih awal."

Kemunculan Adam AF menjadi babak “eh?” paling manis. Arena bergema serentak; walau dari fenomena Akademi Fantasia, program TV realiti yang membadai industri pada awal 2000-an muncul dalam kronologi muzik tempatan, ia tetap terasa sebahagian dari DNA KRU. 


Adam muncul dengan senyum kekok yang sama cuma kali ini tanpa bandangan, bersama menyanyikan lagu “Terhangat Di Pasaran” dengan riff gitar sedikit dikemas kini namun penangan adrenalinnya masih serupa. 


Dan pada saat itu, saya sedar konsert ini telah berubah. Ia bukan lagi tentang tiga beradik itu. Ia tentang seluruh ekosistem yang mereka cipta—artis, peluang, sistem, dan warisan. Dari boyband ke ballad, dari studio ke layar perak—KRU buka jalan, dan ramai yang singgah selepas itu. Tentang bagaimana satu empayar kecil ini pernah melahirkan bukan sahaja produk, tetapi peluang. Warisan.





MENGERTI, NEGATIF DAN LAGU YANG TAK PERNAH SELESAI


Ada lagu yang tamat bila jejak di nota terakhir.

Tetapi ada lagu yang terus hidup—diam-diam, dalam hati.


“Mengerti” malam itu bukan hanya persembahan. Ia seperti doa. Bukan kepada Tuhan, tapi kepada masa. Doa agar yang lalu difahami. Agar yang terluka dimaafkan. Agar yang hilang dikembalikan, walau hanya sekejap dalam bentuk nota dan melodi.


“Negatif”, “Fanatik”, “Ooh! La La” semua itu dimainkan dengan tenaga yang tidak pernah surut. Tapi saya perasan, bukan semua orang menari. Ramai yang hanya tersenyum perlahan. Mungkin kerana kita menari dalam hati. Atau mungkin kerana kita sedang cuba mengingati siapa kita dulu.

Dan saya fikir—lagu ini tak pernah selesai kerana kita pun belum selesai.

Masa bergerak, tapi lagu-lagu ini kekal. Ia bukan sekadar bunyi. Ia penanda. Penanda siapa kita pernah jadi. Siapa kita cuba lupakan. Dan siapa yang masih tinggal.

SIAPA KRU SEBENARNYA?

Saya lahir di era Walkman. Bila kaset bermain hingga hujung, kita pusing dengan pensel. Bila pita kaset putus, kita sambung dengan selotep.

Hari ini, lagu keluar dari awan. Disarankan oleh algoritma. Dipotong jadi 15 saat untuk Reels. Dan saya tanya diri sendiri—masih adakah tempat untuk KRU?

Konsert ini bukan sekadar pesta memori. Ia kelas sejarah yang tidak diminta. Gen Z menonton apa yang pernah kami anggap revolusi sama seperti kita dahulu belajar mengenai Sudirman atau P. Ramlee melalui cerita ibu bapa kita. Mereka kini melihat KRU sebagai legenda. Tapi saya tahu—mereka ke depan terlalu cepat, dan industri lambat mengejar.

Kini ironi itu jadi jelas. KRU yang pernah dilabel ‘asing’, hari ini disusun dalam playlist ‘Klasik’. Mereka pernah bawa CGI sebelum filem tempatan kenal green screen. Mereka guna synthesizer waktu orang lain baru beli keyboard Casio.

Tapi malam itu, mereka bukan pencipta masa depan. Mereka jadi cermin masa lalu.

Dan saya mula faham yang teknologi akan sentiasa bergerak maju. Tapi keberanian untuk berubah, untuk jadi pelik, untuk tidak ikut arus—itu lebih jarang daripada 1,000 stream sehari. Itulah KRU.

NOSTALGIA SEBAGAI RASUAH EMOSI?


Ada orang kata konsert nostalgia hanyalah ‘rasuah emosi’. Cara lama untuk menagih simpati komersial. Tapi saya fikir, kalau itu benar, mengapa hati saya terasa sangat penuh malam itu?


Mungkin ya, ada unsur komersial. Tiket dijual. Merchandise berderet. Tapi ada yang lebih besar berlaku. 


Kita menyaksikan satu bentuk pemulihan kolektif. Bukan semua luka kita sedar kita bawa. Ada yang terperam. Ada yang senyap. Dan malam itu, dalam ruang gelap yang bergema dengan lagu lama, saya rasa semua itu diberi izin untuk keluar mengadap zaman yang kita tidak sempat ucapkan selamat tinggal. Terlalu banyak yang berlaku. Terlalu cepat kita membesar.


Malam GenKRU seperti ruang menekan butang ‘pause’ pada hidup yang terlalu pantas. Ruang untuk berhenti. Menoleh. Menangis jika perlu. Dan bersyukur. 

Bukan kerana semuanya sempurna. Tapi kerana kita masih di sini, masih hidup, masih mendengar. Dan masih menyanyi walau suara serak.

Kalau itu ‘rasuah’, maka biarlah saya dibeli. Sebab bukan semua yang dibeli itu palsu. Kadang-kadang, yang kita bayar, adalah untuk merasa semula sesuatu yang kita sangka telah hilang.

KEPADA GENERASI BAHARU: INI BUKAN SEKADAR SEJARAH


Buat kamu yang baru lahir selepas tahun 2000, KRU mungkin cuma nama dalam senarai Spotify. Lagu mereka datang dari algoritma, bukan dari radio. Wajah mereka dikenali kerana TikTok ibu kamu, bukan kerana MTV.


Tapi mereka lebih daripada itu. Mereka adalah perintis. Bukan sahaja dari segi muzik, tetapi dari segi membina sistem. Label. Artis. Kesan khas. Filem. Empayar kandungan.


Dalam dunia digital hari ini, ramai artis lahir dari algoritma. Tapi KRU lahir dari studio rakaman kecil di Jalan Keramat, peluh di belakang pentas, dan visi yang tidak mudah dijual.


Kalau hari ini anda mendengar lagu “Janji Tinggal Janji” atau “Perpisahan Terasing”, dan anda rasa ada sesuatu yang ‘mengena’, itu bukan kebetulan. Itu kerana emosi tidak lapuk. Cuma kita yang kadang-kadang lupa di mana kita simpan.


Saya sedar KRU tidak mahu hanya dirayakan; mereka mahu dialog terbuka tentang relevensi. Mereka seakan berkata, “Ingat lagu lama, tapi jangan lupa menulis lagu baru, atau paling kurang, tafsirkan semula.” Pada saat itu, terlintas juga: industri muzik kita masih tergelincir mencari model ekonomi digital. KRU pernah menggegarkan pasaran CD, kemudian ringtone, kemudian streaming; kini entah apa lagi—NFT? AI-generated vocals? Dan saya tertanya, adakah generasi seterusnya berani menjadi “terlalu moden” seperti mereka suatu ketika dulu?


EPILOG: KONSERT YANG MENJADI CERMIN


Ketika orang ramai mula keluar dari arena, saya masih berdiri. Mungkin kerana saya tidak mahu malam itu tamat. Mungkin juga kerana saya tahu jarang benar kita diberi peluang untuk berdamai dengan versi lama diri kita.


GenKRU buat saya sedar, saya bukan lagi remaja. Tapi malam itu saya menjerit seperti remaja. Dan saya fikir, mungkin itu bukan escapisme. Mungkin itu cara saya menguji: adakah jiwa saya masih hidup?


Saya tidak pasti bila atau jika KRU akan kembali lagi. Tapi terus terang, malam itu... mereka tidak pernah pun pergi.


Dan itu, saya kira, lebih indah daripada mana-mana persembahan sempurna.

Saya fikir, esok saat menaip ulasan ini, saya mahu mengekalkan rasa ‘tak sempurna’ itu—tanda pengalaman nyata. Hidup jarang simetris; sesetengah nota sumbang perlu dibiarkan untuk memelihara kejujuran.



LAGU UNTUK MEREKA YANG MASIH PERCAYA

Jadi, adakah GenKRU sekadar mesin masa? Mungkin.
Adakah ia peringatan bahawa keberanian mendahului zaman akan akhirnya diraikan? Sangat mungkin.
Atau mungkin… ia cuma satu malam untuk bersorak, menari dan lupakan seketika hutang kad kredit.

Apa pun sebabnya, KRU adalah tentang satu perkara: Percaya.
Percaya walau diketawakan.
Percaya walau tak dijangka.
Percaya walau lewat dihargai.

Dan malam itu, saya percaya sesuatu yang lama saya lupakan—
Bahawa kadangkala, untuk terus mara ke hadapan… kita perlu benarkan kenangan berjalan sebentar di sisi kita.

Kerana ada lagu yang menyimpan kita.
Dan kadang-kadang, satu malam sudah cukup untuk membukanya semula.

---


Jika artikel ini menyentuh anda walau sedikit, mungkin anda juga sedang mencari bahagian diri yang pernah anda tinggalkan jauh di belakang. Jangan risau. GenKRU telah buktikan yang ia masih ada, menunggu anda untuk menyanyi bersama.


Kumenunggu getar hatiku
Anganku hanya untukmu
'Tuk bersama selamanya
Kita berdua

Kau slalu mengisi hariku
Dengan canda dan tawamu
Kurasakan bahagiaku
Untukmu selalu

reff:
Kuberjanji karna cinta
Kuberharap karna kasihmu
Selamanya dan tak akan pernah berpisah
Sampaikan nanti

Kau selalu mengisi hariku
Dengan canda dan tawamu
Kurasakan bahagiaku
Untukmu selalu

Kuberjanji karna cinta
Kuberharap karna kasihmu
Selamanya dan tak akan pernah berpisah
Sampaikan nanti

bridge:
Meraihmu...menggapaimu

(Kuberjanji karna cintaku)
Karna cinta
(Kuberharap karna kasihmu)
Karna kasih
Kuberjanji karna cintaku
Kuberharap karna kasihmu
Selamanya dan tak akan pernah berpisah
Sampaikan nanti

Pernah berpisah

Lagu/Lirik : Nico Ajie Bandy
Vokal : Anuar Zain

Caraku Diterjemah Dari Lirik My Way, Frank Sinatra

Entri oleh sultanmuzaffar 21 August 2010 View Comments


Kini, penghujung semakin hampir
Aku melabuh tirai akhir
Temanku, aku akan mengatakan secara jelas
Aku akan meyakinkan kebenaran

Aku sudah menjalani kehidupan yang lengkap
Aku telah meniti perjalanan di setiap laluan
Dan lebih, lebih daripada itu
Aku melakukannya dengan caraku

Menyesal, ada beberapa
Tetapi terlalu sedikit untuk disebutkan
Aku melakukan apa yang harus aku lakukan
Dan aku melihatnya tanpa sebarang pengecualian

Aku merancang setiap perjalanan
Setiap langkah berhati meniti setiap langkah
Dan lebih, lebih daripada itu
Aku melakukannya dengan caraku

Ya ada saat-saatnya, aku yakin anda tahu
Ketika aku diguris lebih dari yang termampu aku tanggung
Namun aku melalui semua itu tanpa sebarang keraguan
Aku tabah menempuhinya, aku gagahi semua
Dan aku berdiri gagah dan terus melakukannya dengan caraku

Aku pernah mencintai, aku ketawa dan menangis
Aku sudah puas untuk berkongsi kehilangan itu
Dan sekarang sementara air mata belum reda
Aku sedar itu semua hanyalah kelucuan

Demi diri ini, aku melakukan semua itu
Dan aku mengatakan tidak, bukan dengan gaya seorang pemalu
Oh tidak! Oh tidak! Itu bukan aku
Aku melakukannya dengan caraku

Untuk apa menjadi orang yang tidak berani
Jika tidak menjadi dirinya, maka hidupnya hanyalah sia-sia
Untuk mengatakan kebenaran yang aku rasa
Dan bukan kata-kata dari orang yang melutut
Aku sudah membuktikan yang aku sedia menggegar
Dan melakukannya mengikut caraku

Ya itulah caraku

Diterjemah dari lirik lagu My Way nyanyian Frank Sinatra

Hapuslah Air Matamu & Tanpa Dendam Di Hati

Entri oleh sultanmuzaffar 19 August 2010 View Comments


Sekitar tahun 2004 industri hiburan tempatan yang tidak besar mana digemparkan dengan emel layang yang memburukkan nama baik penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza (kini Datuk). Di tengah-tengah fenomena program realiti memuncak meraikan kemunculan Juara Akademi Fantasia 2, Zahid, pelayar internet seluruh Malaysia gempar membaca pendedahan yang telah dibuat. Pelbagai cerita di sebalik tabir pembikinan Konsert Fantasia Tour dibongkar oleh tangan tidak bertuan.

Namun, setelah enam tahun berlalu segalanya terlerai dalam satu pertemuan eksklusif penuh makna yang berlangsung di bulan Ramadan. Dirancang baik oleh beberapa teman wartawan dari URTV, Utusan Malaysia dan Berita Harian, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza dipertemukan dalam satu sesi fotografi untuk Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Mereka bukan calang-calang orangnya. Dua selebriti paling popular di zaman kegemilangan masing-masing. Tiada siapa dapat menafikannya. Sebagai pemerhati dunia hiburan tempatan, ia merupakan bahan terbaik dekad ini. Pertemuan itu membuktikan manusia tidak pernah terlepas daripada membuat kesilapan dan setinggi mana pun tahap pencapaian masing-masing, tanpa kemaafan dan melupakan apa yang telah berlaku ia tidak akan memberikan apa-apa makna. Kerendahan hati kedua-duanya untuk membuang titik hitam dalam perjalanan hidup dan kerjaya masing-masing, sewajarnya harus dipuji.

Sebagai manusia, kita harus meraikan kemenangan tersebut. Syabas teman-teman yang mengusahakannya. Hari ini, saya akan usahakan untuk mendapatkan reaksi kedua-dua pihak untuk paparan di Gala TV, Astro AWANI.

Tanpa Dendam Di Hati


Lautan Yang Berapi
Daratan Yang Berduri
Bagiku Bukan Musibah
Malahan Hikmah Berharga

Katalah Apa Saja
Yang Jelik Penuh Dusta
Kau Bebas Warnai Diriku
Di Minda Yang Kelabu

Chorus
Siapa Diri Ini
Tuhan Yang Memahami
Amarah Dan Kecewa
Hanyalah Bara Membakar Jiwa

Sungguh Pun Ku Terkilan
Terguris Perasaan
Ku Pilih Berdiam Diri
Tanpa Dendam Dihati

Ulang Chorus 2 X

Hapuslah Air Matamu

Dengarlah bisikan hati
Untukmu yang tersayang
Walaupun apa terjadi
Tiada perpisahan

Itulah janji-janjinya
Yang tak mungkin berubah
Tiada penyesalan
Yang akan terjadi

(Korus)
Tiada rintangan baginya
Yang dapat memutuskan
Begitu setia janjinya
Pasangan yang bercinta
Walaupun apa terjadi
Kan cuba di atasi
Begitulah…
Janganlah bersedih

Hapuslah air matamu
Usahlah kau bersedih
Tiada penyesalan
Yang insaf bagimu…

Kredit Foto : ManggaOnline





Keputusan Anugerah Industri Muzik 17

Entri oleh sultanmuzaffar 02 May 2010 View Comments

Artis Baru Terbaik : Yuna

Azlan & The Typewriter
Bunkface
Prema Yin
Tomok
Yuna

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) : Hazami (Survivor)

Faizal Tahir (Bercinta)
Hazami (Survivor)
Jamal Abdillah (Tak Hilang Cinta Di Dunia)
Riz (Kehilangan Kamu)
Vince Chong (Buah Hati)

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) : Dato Siti Nurhaliza

Dato Siti Nurhaliza (Ku Percaya Ada Cinta)
Dayang Nurfaizah (Hilang)
Jaclyn Victor (Bertamu Di Kalbu)
Juwita Suwito (Sejak Hadirmu)
Yuna (Dan Sebenarnya)

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu : Dato Siti Nurhaliza & Kris Dayanti

Dato Siti Nurhaliza & Kris Dayanti (Amarah)
DJ Fuzz & Malique feat Salam (Cerita Kedai Kopi)
InTeam (Allahu Rabbi)
Rabbani (Kejora Sinar Zaman)
Ruffedge (Pemuja Dari Jauh)

Kulit Album Terbaik : Sarah Joan Mokhtar (To Prevent The Earth From Moving With You – Disagree)

Sarah Joan Mokhtar (To Prevent The Earth From Moving With You – Disagree)
Aida/Nizam Rahmat (Liyana Jasmay – Liyana Jasmay)
Ong Chen Han (All About Rynn – Rynn Lim)
Rewan Ishak (The Great Battle – Sevencollar T-Shirt)
Anthony Ho (Kronologi Cinta – Vince Chong)

Rakaman Album Terbaik : Akasha (Into...Akasha)

Akasha (Into...Akasha)
Ayu (Inspirasi)
Dayang Nurfaizah (Dayang Live)
Hattan (Inderawala)
Prema Yin (Eyo Eyo)

Video Muzik Terbaik : Oh! Sizuka (Pop Shuvit)

Fiqir-Fiqir (Ahli Fiqir)
Haley (Disagree)
Osaka (Disagree)
Oh! Sizuka (Pop Shuvit)
Eyo Eyo (Prema Yin)

Lagu Pop Etnik Terbaik : Enjut (Noraniza Idris)

Dusta Berkalang (Aiman)
Penangan Rindu (Ghazal)
Barangkali (Mawi)
Enjut (Noraniza Idris)
Inang Anak Perantau (Saujana)

Album Nasyid Terbaik : Inteam

Syukran (Hafiz Hamidun)
Allahu Rabbi (InTeam)
Suatu Perjalanan (Marjan)
Mahabbah ( Rabbani)
Nota Cinta (Saujana)

Lagu Nasyid Terbaik : Dia Muhammad (InTeam)

Allahu Rabbi (InTeam)
Dia Muhammad (InTeam)
Kejora Sinar Zaman (Rabbani)
Mahabbah (Rabbani)
Syahadah (Rabbani)

Album Rock Terbaik : Adrenalin (Faizal Tahir)

Adrenalin (Faizal Tahir)
Rasa (Flop Poppy)
Mencari Konklusi (Hujan)
Prolog 2009 (Maximus)
Rasopariso (XPDC)

Lagu Rock Terbaik : Situasi (Bunkface)

Kelibat Si Penyair (Azlan & The Typewriter)
Situasi (Bunkface)
Bencinta (Faizal Tahir)
Mencari Konklusi (Hujan)
Drama King (Meet Uncle Hussain feat Black)

Album Pop Terbaik : Dayang Live (Dayang Nurfaizah)

Tahajjud Cinta (Dato Siti Nurhaliza
CTKD (Dato Siti Nurhaliza & Kris Dayanti)
Dayang Live (Dayang Nurfaizah)
Aku Stacy (Stacy)
Kronologi Cinta (Vince Chong)

Lagu Pop Terbaik : Dan Sebenarnya (Yuna)

Pergi (Aizat)
Masih Jelas (Hafiz)
Permaisuriku (Jay Jay)
Cinta Ada (Karen Kong/Dato Sheila Majid/Jaclyn Victor)
Dan Sebenarnya (Yuna)

Album Hip Hop Terbaik : K.O. The Mixtape

Irama Berirama (Ahli Fiqir)
Jian (Altimet)
1212 (Colabr8)
K.O. The Mixtape (DJ Fuzz & Malique)
The Turning Point (Point Blanc)

Lagu Hip Hop Terbaik : Cerita Kedai Kopi (DJ Fuzz & Malique)

Chantek (Altimet)
Syukur (Altimet)
Sayang-sayang (Altimet, DJ Fuzz)
Masih Hip Hop (DJ Fuzz & Malique feat Daly & Altimet)
Cerita Kedai Kopi (DJ Fuzz & Malique)

Album Inggeris Tempatan Terbaik : Disagree

Yeah (Amanda Imani)
To Prevent The Earth From Moving With You (Disagree)
Running (Hazami)
The Turning Point (Point Blanc)
The Great Battle (Sevencollar T-Shirt)

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik : Deeper Conversation (Yuna)

Prom Queen (Bunkface)
Haley (Disagree)
Osaka (Disagree)
Survivor (Hazami)
Deeper Conversation (Yuna)

Album Cina Tempatan Terbaik : Karen Kong

Stardom (Andrew Tan)
One & Only-Jeanie (Jeanie Lee)
I'm Karen (Karen Kong)
All About Rynn (Rynn Lim)
Thomasjack (Thomasjack)

Lagu Cina Tempatan Terbaik : Na Han (JK Chen Jia Kai)

Stardom (Andrew Tan)
Na Han (JK Chen Jia Kai)
Insane (Jovi Theng)
Tian Shan (Karen Kong)
Sunrise (Vinx Lim Yi Xin)

Album India Tempatan Terbaik : Shruthi

Paarthu (Diwan)
SMS (Emergency)
Neethikku Poraatnam (Masta Clan)
Life Is A Mystery (Shruthi)
Saran Z Ennavaley (Saran Z)

Lagu India Tempatan Terbaik : Uyartinthidu Thozha (Jey Raggaveindra, Ashokan, Dr Ombala, Sidhartan, Jegathisan)

Uyartinthidu Thozha (Jey Raggaveindra, Ashokan, Dr Ombala, Sidhartan, Jegathisan)
Thuli Thuli Mazhai Thuli (Preeta Prasad)
Uyirile Ondrage Kalantida (Sidharthan)
Talattu Paade (Sitharthan)
Megathul (Sivakumar A/L Jayabalan)

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara : Aku Wanita Biasa (Kris Dayanti)

Teruskanlah (Agnes Monica)
Aku Wanita Biasa (Kris Dayanti)
Madu Tiga (Muhammad Dani)
Terlanjur Cinta (Rossa feat pasha Ungu)
Nuansa Bening (Vidi Aldiano)

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu : Jenny Chin (Karen Kong/Dato Sheila Majid/Jaclyn Victor)

Aubrey Suwito (Dato Siti Nurhaliza & Kris Dayanti)
Acis (Hafiz)
Aubrey Suwito (Juwita Suwito)
Jenny Chin (Karen Kong/Dato Sheila Majid/Jaclyn Victor)
Greg Henderson (Prema Yin)

Lagu Terbaik : : Dan Sebenarnya (Yuna)

Enjut (Noraniza Idris)
Dia Muhammad (InTeam)
Situasi (Bunkface)
Dan Sebenarnya (Yuna)
Cerita Kedai Kopi (DJ Fuzz & Malique)
Deeper Conversation (Yuna)


Album Terbaik : : Adrenalin (Faizal Tahir)


Calon Akhir Anugerah Industri Muzik 17 (AIM17)

Entri oleh sultanmuzaffar 18 March 2010 View Comments

Nampaknya umum sudah mengetahui calon akhir Anugerah Industri Muzik 17 (AIM17) yang diumumkan semalam di PWTC.

Berikut merupakan pecahan pencalonan yang diterima oleh setiap album dari artis yang tersenarai :

Disagree - 6
Dato’ Siti Nurhaliza – 5 (2 pencalonan dari album Tahajjud Cinta/3 pencalonan dari album CTKD)
Rabbani – 5
Altimet - 4
DJ Fuzz & Malique – 4
InTeam - 4
Prema Yin – 4
Yuna – 4
Bunkface – 3
Dayang Nurfaizah - 3
Faizal Tahir – 3
Hazami – 3
Vince Chong – 3
Karen Kong – 3

Saya lebih tertarik dengan enam kategori yang saya senaraikan di bawah ini.

1. Artis Baru Terbaik – Artis
Best New Artiste - Artiste
Artis/Artiste
1.AZLAN & THE TYPEWRITER
2.BUNKFACE
3.PREMA YIN
4.TOMOK
5.YUNA

2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) - Artis
Best Vocal Performance In A Song (Male) - Artiste
Artis / Artiste            Lagu / Song
1.FAIZAL TAHIR/ BENCINTA
2.HAZAMI/ SURVIVOR
3.JAMAL ABDILLAH/TAK HILANG CINTA DI DUNIA
4.RIZ/KEHILANGAN KAMU
5.VINCE CHONG/BUAH HATI

3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) - Artis
BestVocal Performance In A Song (Female) – Artiste
Artis / Artiste          Lagu / Song
1.DATO' SITI NURHALIZA/KU PERCAYA ADA CINTA
2.DAYANG NURFAIZAH/HILANG (LIVE VERSION)
3.JACLYN VICTOR/BERTAMU DI KALBU
4.JUWITA SUWITO/SEJAK HADIRMU
5.YUNA /DAN SEBENARNYA

4. Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu -Artis
Best Group Vocal Performance In A Song - Artiste
Artis / Artiste            Lagu / Song
1.DATO' SITI NURHALIZA & KRIS DAYANTI/AMARAH
2.DJ FUZZ & MALIQUE FEAT SALAM/CERITA KEDAI KOPI
3.INTEAM/ALLAHU RABBI
4.RABBANI/KEJORA SINAR ZAMAN
5.RUFFEDGE/PEMUJA DARI JAUH

23. Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara - Artis
Best Malay Song Performed By A Foreign Artiste - Artiste
Lagu / Song           Artis / Artiste
1.TERUSKANLAH/AGNES MONICA
2.KU WANITA BIASA/KRISDAYANTI
3.MADU TIGA/MUHAMMAD DHANI
4.TERLANJUR CINTA/ROSSA FEAT PASHA UNGU
5.NUANSA BENING/VIDI ALDIANO

24. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu – Penggubah
Best Musical Arrangement In A Song - Arranger
Penggubah / Arranger            Lagu / Song                   Artiste / Artis
1.AUBREY SUWITO/SEBAGAI TEMAN/DATO' SITI NURHALIZA & KRIS DAYANTI
2.ACIS/ MASIH JELAS/HAFIZ
3.AUBREY SUWITO/SEJAK HADIRMU/JUWITA SUWITO
4.JENNY CHIN/CINTA ADA/ KAREN KONG, DATO' SHEILA MAJID & JACLYN VICTOR
5.GREG HENDERSON/EYO EYO/PREMA YIN

Saya lebih berminat untuk bercerita tentang persembahan untuk Anugerah Industri Muzik 17. Setiap tahun kita akan dihidangkan dengan persembahan-persembahan biasa setiap tahun. Cukup sukar untuk mengingati persembahan yang mampu diingati sampai bila-bila. Bukannya tiada, ada. Cuma tidak banyak. Jika ada dari kita yang menonton Grammy Awards baru-baru ini, pastinya mengingati persembahan Pink. Persembahan penyanyi itu sangat santai tetapi terus diingati. Setiap kali kita menonton persembahan Grammy pasti ada persembahan yang diingati. Tidak seperti menonton AIM yang mana setiap tahun akan disogokkan dengan tema-tema biasa. Persembahan wajib dari calon Artis Baru Terbaik sudah mendapat cop mohor setiap kali AIM. Tiadakah idea lain ? Persembahan AIM juga selalunya akan ditutup dengan persembahan dari kumpulan rock. Itu saja yang akan dihidangkan setiap tahun. Saya mengharapkan kelainan pada tahun ini.|

Melihat dari senarai calon, nampaknya nama-nama seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Yuna, Bunkface, Faizal Tahir dan segmen muzik Hip Hop akan disenaraikan untuk tahun ini. Ia cuma telahan saya. Mungkin betul, mungkin salah. Apa bezanya persembahan AIM dengan AJL atau pun majlis-majlis anugerah yang lain. Saya cuma mengharapkan percambahan idea yang lebih mengejutkan tahun ini untuk Anugerah Industri Muzik.

Nota : Saya juga telah bina satu Fan Page untuk melihat sejauh mana keterujaan peminat muzik di Malaysia terhadap Dato' Sheila Majid di We Want A Sheila Majid 25th Year Anniversary Concert In MalaysiaJika anda adalah peminat Sheila Majid, sila sebarkan kepada rakan-rakan anda. Jom ramai-ramai buktikan pada pihak penaja, kita mahukan produk tempatan yang berkualiti dan produk itulah yang kita sokong daripada terus menaikkan nama artis Seberang.



Nampaknya musim membeli-belah masih belum dan baru bermula untuk Pengguna Xpax! Xpax big freekin’ sale is back! Antara produk yang ditawarkan adalah :

1. Diskaun 50% untuk setiap muat turun di Channel X sepanjang hari. Antara item dalam muat turun Channel X adalah Music(muzik), CMT, Games(permainan) kecuali aplikasi seperti IMX, Defender 1.0 dan lain-lain. Setiap daripadanya mendapat potongan 50% dengan kandungan yang berharga RM3, bakal bernilai RM1.50 sahaja!

2. Juga terdapat 3 tempoh Happy Hour iaitu pada pukul 10 pagi hingga 12 tengahari, 1 hingga 4 petang dan 7 hingga 9 malam. Sewaktu Happy Hour, pengguna yang memuat-turun salah satu kandungan yang ditawarkan dalam tempoh Happy Hour bakal mendapat satu lagi kandungan secara PERCUMA.

3. Rebut peluang tersebut di www.channelx.com.my atau pun mendail *118#. Belanja RM5 atau lebih setiap hari untuk berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan setiap hari. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk MacBook Air, PSP Go, iPod Touch, Blackberry Curve 8520, Celcom USB Modem dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut sila ke : http://channelx.com.my/mdp/got_big_freekin_sale.jsp

25 Tahun Berlalu, Sheila Majid Masih Gagah

Entri oleh sultanmuzaffar 15 March 2010 View Comments

We Want A Sheila Majid 25th Year Anniversary Concert In Malaysia


Tahun ini, Dato’ Sheila Majid bakal menyambut ulangtahunnya yang ke 25 dalam bidang seni. Penyanyi genit yang ditemui secara tidak sengaja ketika membuat persembahan di Raintree Club, hingga kini terus mengukuhkan namanya di pesada seni.

Pelbagai konsert, kecil mahu pun besar dirancang bagi meraikan tahun istimewa itu. Yang paling saya tunggu-tunggu pastinya konsert besar-besaran yang dijadualkan berlangsung pada 27 November depan, mengimbas kembali tarikh yang sama ketika Sheila mengadakan Konsert Legenda, konsert pertamanya di Stadium Negara.

Semalam, Sheila sibuk berada di dua lokasi menyiapkan MTV “Dengarkanlah”, lagu terbarunya yang akan diperdengarkan kepada peminatnya mulai 31 Mac ini. Lagu itu dicipta oleh Acis dan liriknya ditulis oleh Sheila sendiri.

Peluang berada di lokasi terakhir rakaman MTV itu menyebabkan saya “terpaksa” mendengar lagu itu diulang-ulang beberapa kali. Namun, kerana ia lagu Sheila Majid, saya relakan. Lagipun tidak ramai yang telah mendengar lagu tersebut kecuali peminat yang berada di Jakarta sempena Java Jazz Festival baru-baru ini.

Berbual santai bersama Sheila seketika sewaktu Sidang Media “Red Carpet “Glitz & Glam”, persembahan sempena Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park yang bakal berlangsung 7 April depan, saya dapat merasai kepayahannya mendapatkan penajaan untuk konsert-konsertnya.

Lebih mengejutkan saya apabila untuk konsert di Jakarta, berebut-rebut penaja yang datang untuk menaja konsertnya berbanding di tanahairnya sendiri. Saya bersama beberapa orang rakan rapat cuba untuk membantu seboleh yang mungkin kerana nama yang dipertaruhkan cukup besar. SHEILA MAJID. Tidak besarkah nama itu dalam industri muzik tempatan? Amat besar pengaruhnya. Apa saja anugerah telah beliau perolehi antaranya Anugerah Industri Muzik menerusi album-album berkualitinya.

Apabila nama sebesar Sheila sukar untuk mendapat penajaan, apakah indikasi yang cuba disampaikan oleh syarikat korporat kepada peminat muzik tempatan sedangkan mereka berlumba-lumba mahu menaja konsert artis luar ? Itu yang saya masih cuba fahamkan.

Berdasarkan pengalaman yang sedikit dalam industri muzik tempatan, saya dan beberapa orang rakan cuba untuk menawarkan bantuan menerusi pertalian yang ada. Saya menawarkan “orang penting” yang perlu dihubungi untuk mendapatkan penajaan dari PROTON. Secara kebetulan, PROTON juga menyambut ulangtahun ke 25 mereka tahun ini. Banyak aspek yang boleh dicuba agar kedua-dua belah pihak mendapat manafaat dari penajaan tersebut, sekiranya berlaku.

Apa yang boleh saya bantu, akan saya bantu kerana nama yang saya bantu ialah SHEILA MAJID! Saya mahu menyaksikan konsert besarnya November ini di Kuala Lumpur. Saya tidak mahu terbang ke Jakarta dan Perth hanya semata-mata untuk menonton persembahan hebatnya kerana ia hanya melonjakkan lagi industri pelancongan mereka. Duit Ringgit Malaysia mengalir ke sana, apa gunanya ? Lebih baik, di sini saja.

31 Mac ini juga, Sheila akan melancarkan Box-Setnya yang mengandungi 7 album solonya dalam satu pakej. Saya ada beberapa album dan sebagai Sheilatology, masih tidak lengkap dan koleksi itu perlu dilengkapkan.

Sekiranya ada di antara pembaca blog saya yang bertugas di syarikat korporat yang mampu untuk menaja Konsert Sheila Majid, saya amat berbesar hati untuk melanjutkan hubungan tersebut. Kalaulah saya kaya, sudah tentu saya saja yang taja!















Nampaknya musim membeli-belah masih belum dan baru bermula untuk Pengguna Xpax! Xpax big freekin’ sale is back! Antara produk yang ditawarkan adalah :

1. Diskaun 50% untuk setiap muat turun di Channel X sepanjang hari. Antara item dalam muat turun Channel X adalah Music(muzik), CMT, Games(permainan) kecuali aplikasi seperti IMX, Defender 1.0 dan lain-lain. Setiap daripadanya mendapat potongan 50% dengan kandungan yang berharga RM3, bakal bernilai RM1.50 sahaja!

2. Juga terdapat 3 tempoh Happy Hour iaitu pada pukul 10 pagi hingga 12 tengahari, 1 hingga 4 petang dan 7 hingga 9 malam. Sewaktu Happy Hour, pengguna yang memuat-turun salah satu kandungan yang ditawarkan dalam tempoh Happy Hour bakal mendapat satu lagi kandungan secara PERCUMA.

3. Rebut peluang tersebut di www.channelx.com.my atau pun mendail *118#. Belanja RM5 atau lebih setiap hari untuk berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan setiap hari. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk MacBook Air, PSP Go, iPod Touch, Blackberry Curve 8520, Celcom USB Modem dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut sila ke : http://channelx.com.my/mdp/got_big_freekin_sale.jsp