Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Showing posts with label teater. Show all posts
Showing posts with label teater. Show all posts

Terima Kasih CINTA

Entri oleh sultanmuzaffar 18 August 2010 View Comments


PENGUMUMAN KERJASAMA DI ANTARA ‘THE CREATIVE PARTNERSHIP SDN BHD’ DAN ‘PRIMEWORKS STUDIO SDN BHD’ BAGI TEATER MUZIKAL – TERIMA KASIH CINTA


Kuala Lumpur, 17 Ogos 2010: The Creative Partnership Sdn. Bhd. dan Primeworks Studios Sdn. Bhd. (anak syarikat Media Prima Berhad) akan menggabungkan cinta mereka melalui kerjasama untuk merealisasikan fenomena muzikal – Terima Kasih CINTA. Terima Kasih CINTA akan bermula pada 17hb Februari 2011 hingga 6 Mac 2011, dan bakal mementaskan 19 persembahan selama dua minggu di Istana Budaya.

Terima Kasih CINTA yang diadaptasikan daripada filem CINTA, adalah sebuah produksi ‘Primeworks Studios’ berkisarkan lima kisah cinta pada masa kini yang menunjukkan kepelbagaian karakter. Penonton akan mendapat kesan bunyi dan visual yang memukau daripada produksi ini. Produksi ini juga akan mempersembahkan lagu-lagu nostalgia yang disuntik daripada era awal 90-an.

Penerbit bagi produksi ini Boudeng Edruce berkata, “Dengan mengambil pendekatan kontemporari, Terima Kasih CINTA telah diolah dengan babak-babak yang dramatik dan dialog yang penuh emosi serta diselang-selikan dengan lagu-lagu retro. Ianya juga akan disuntik dengan gerakan tarian yang menyentuh perasaan dan akan menambahkan lagi keterujaan pada persembahan ini.”

Boudeng Edruce menambah, “Kami ingin melahirkan lebih ramai penggerak teater di dalam industri ini melalui penerbitan Terima Kasih CINTA. Bakat yang berpotensi dan berkredibiliti akan terhasil dan saya percaya mereka akan dapat berkerjasama dan sekaligus produksi ini akan berjaya nanti. Ujibakat untuk pelakon utama, “ensemble”, dan artis akan berlangsung pada bulan Oktober. Siri latihan pula akan bermula pada minggu pertama bulan November dan akan berlanjutan selama 3 bulan."

Pengurus Besar bagi Bisnes Studio & Hal-Ehwal Korporat, Primeworks Studio , Tengku Iesta Tengku Alaudin pula berkata: “Filem CINTA telah menyentuh kehidupan ramai serta karakter di dalam filem tersebut adalah amat tersendiri. Filem tersebut bukan sahaja berjaya menambat hati penonton malah industri filem tempatan sendiri. Filem ini telah menggondol beberapa anugerah pada Festival Filem Malaysia yang ke-20 iaitu anugerah Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Datuk Rahim Razali, Lakon Layar Terbaik dan juga Suntingan Terbaik. Filem CINTA juga telah meraih beberapa anugerah di Anugerah Skrin ke-9 dan Anugerah Oskar 6. Oleh itu, kami amat teruja untuk menantikan muzikal yang hebat dan produksi yang berjaya nanti."

Muzikal ini dijangka dapat menyebarkan CINTA kepada semua tanpa mengambil kira bangsa, jantina mahupun agama.

Nota : Menjejak kejayaan Puteri Gunung Ledang dan Cuci, kini giliran Cinta pula mencipta kejayaan. Selain menambah-taraf sebuah filem kepada satu medium iaitu teater, filem Cinta selayaknya diterjemah ke pentas teater. Bakal digarap pengarah berpengalaman dengan nukilan rasa penulis skrip, penonton akan dibawa menyelam lima kisah cinta pelbagai generasi yang mampu membuat kita mengucapkan terima kasih kepada CINTA.

Live! Singapore Experience

Entri oleh sultanmuzaffar 14 June 2010 View Comments

Khamis minggu lalu saya telah terbang ke Singapura untuk menghadiri Persidangan Live! Singapore yang berlangsung di Resort World Convention, Sentosa Island. Satu pengalaman yang menarik apabila ia merupakan sebuah persidangan yang menjadi platform perkongsian penggiat seni kreatif profesional seluruh dunia. Sidang empat hari itu dibahagikan kepada "muzik klasikal", "teater muzikal", "big picture session", "jazz dan world music".

Antara nama besar yang dapat saya wawancara ialah Brad Little, pelakon utama teater muzikal "Phantom of The Opera" dan "Jekyll and Hyde", Tim McFarlane, Pengarah Urusan Really Useful Company, Stephen Rahman Hughes, pelakon teater muzikal Bombay Dreams dan Puteri Gunung Ledang The Musical, Dick Lee yang dianggap sebagai Andrew Lloyd Webber of Asia dan Datin Seri Tiara Jacquelina, Pengarah Urusan Enfiniti Vision Media Malaysia.


Pertama kali juga saya berpeluang untuk menyaksikan teater muzikal Puteri Gunung Ledang in English atau Princess of Mount Ledang di sana. Pementasan selama 15 minit itu bertujuan untuk menarik perhatian delegasi antarabangsa tentang kewujudan teater muzikal terbitan tempatan itu yang pernah dilimpahi penonton sepanjang 4 musim pementasannya di Kuala Lumpur dan Singapura.

Ada beberapa pakej audiovisual yang telah saya siapkan. Antaranya "PGL Pukau Live! Singapore", "PGL Gagah Melangkaui Sempadan", "Bahasa Bukan Penghalang", Golongan Muda Peminat Teater Di Asia dan Kerajaan Perlu Bantu.


Ikuti laporan lengkap Live! Singapore dalam Gala TV bermula hari Ahad lalu hingga Selasa ini.



Pakej 1: PGL Pukau Live! Singapore



Pakej 2 : PGL Gagah Melangkaui Sempadan



Pakej 3 : Himpun Penggiat Seni Global
Pakej 4 : Bahasa Bukan Penghalang

Selepas Ini :

Pakej 5 : Golongan Muda Asia Minati Teater
Pakej 6 : Kerajaan Perlu Bantu



Teater muzikal "West Side Story" mula dipentaskan di Istana Budaya mulai malam semalam. Sempena Ulangtahun ke 50 usia teater muzikal itu, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya destinasi di Asia Tenggara yang dijelajahi produksi teater tersebut.

Lima puluh tahun lalu, muncul sebuah muzikal yang merubah wajah teater muzikal secara keseluruhannya. Teater muzikal Broadway "West Side Story", sebuah adaptasi moden "Romeo & Juliet" dari pengkarya Shakespeare dianggap sebagai penanda aras dalam teater muzikal yang merevolusikan penggunaan tarian sebagai asas penceritaan.

Empat tahun kemudian, ia diadaptasi ke layar perak dan merangkul sepuluh trofi Oskar termasuk diiktiraf sebagai Filem Terbaik di Anugerah Akademi pada tahun 1961. Pertama kali singgah ke Kuala Lumpur, penonton disajikan dengan koreografi hebat, jalan cerita yang mencengkam perasaan dan disulami lagu terbaik antaranya "Something's Coming", "Maria", "Somewhere", "Tonight", "Jet Song", "One Heart" dan banyak lagi.

Berlatarkan bandaraya New York era 50an, kisah bermula dengan ketegangan hubungan dua kumpulan berbeza kasta iaitu "jets", kumpulan pemuda Amerika berdarah Poland dengan "Sharks", kaum imigran dari Puerto Rico.

Namun, cinta pandang pertama antara Tony dan Maria semakin mengusutkan hubungan dua kumpulan tersebut. Mampukah cinta antara dua kasta itu merubah segalanya? Atau hanya kematian yang dapat merubah setiap insan?

Menerbangkan lebih 70 pelakon, ensembel, pemuzik orkestra dan pasukan kerja khas dari New York, pementasan "West Side Story - The Original Broadway Musical" berlangsung dari 12 hingga 24 Mei depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Minggu Teater - Minggu Yang Agak Sibuk

Entri oleh sultanmuzaffar 12 May 2010 View Comments

Minggu ini merupakan minggu yang agak sibuk buat saya.


Hari ini saya akan menonton West Side Story, sebuah teater broadway klasik yang diterbangkan dari New York ke Istana Budaya. Sempena Ulangtahun ke 50 pementasan tersebut, rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikannya di pentas paling berprestij di sini. Pementasan bermula 12 hingga 24 Mei depan. Harga tiket menyaksikannya memang agak mahal kerana untuk duduk di Stall ianya berharga RM590! Sementara ada "kuasa" sebagai orang media ini, baiklah saya pergunakan sebaik-baiknya. Esok lusa, bila tiada lagi, hanya masa yang akan menentukan.

50th Anniversary World Tour: Music theatre history was made at the Broadway premiere of West Side Story on 26th September 1957 in theWinter Garden Theatre in New York. A unique stage work, which set new standards as far as artistic, rhythmic and lyrical expression was concerned with its superb musicality and dramatization, redefining an entire genre, was born.

West Side Story – an emotional panorama of evocative images and unforgettable rhythmic compositions, erupts in the mind’s eye like a lava-spewing volcano: the sadness of endlessly fenced in backyards in a degenerate New York neighbourhood, a dimly-lit, almost spectral nocturnal urban canyon or the interior of old Doc’s shabbily modest corner shop. Our ears are filled with the rhythmic finger-clicking of the restless “Jets”, their speech peppered with crude jargon, the wail of the police sirens and the throaty laugh of the Puerto Rican women during an auspicious flirt with much-admired America. Here, adolescent energy is rife – whether roaming through the neighbourhood like a wild cat, careering through the houses like a bolt of lightning, or brilliantly robbing us of breath during yet another intoxicating dance sequence. Mambo meets rock ‘n’ roll. And rips right into the heart of things, where love invariably blinds us to reality: hope, tenderness and happiness, while the “Sharks’” threatening stares bore deep under our skin. The future is Somewhere.


Of course, the whole show started somewhere as well, and the road from Jerome Robbins’ original idea, namely to transform Shakespeare’s Romeo and Juliet into a contemporary piece, was a long one. And a unique one at that. The genius does not merely lie in replacing a balcony with a fire escape, but in the work’s complex overall composition, which captivates the audience with its dramatically successful conflation of musical, linguistic and choreographic vocabulary, accompanied by a complementary stage set.


With its succinct dialogue, the libretto is one of the shortest scripts ever to be written in its genre. The spectator falls straight into the microcosm of New York’s Upper West Side immigrant neighbourhood from the very first bars, which set the scene dramatically, the additional emergence of the two hostile street gangs catapulting them straight into the plot without further ado. The fast-paced events are strung together in an almost filmic manner, as the spectators are credibly plunged directly into the plot, which takes place over the few short hours of two successive days. The show is romance, psycho thriller, action murder mystery and documentary social study in one. An emotional roller coaster. And Hollywood gratefully jumped at the chance.


Masih dalam minggu ini juga, saya berpeluang untuk menyaksikan ADAM The Musical di The Actors Studio, Lot 10 bersama Raja Permaisuri Agong! ADAM The Musical diklasifikasikan sebagai muzikal pertama yang akan dipentaskan sebanyak 35 pementasan yang mengenengahkan isu HIV/AIDS di Malaysia dan menjadi muzikal pertama terbitan tempatan untuk tahun ini.

Diarahkan oleh Joe Hasham OAM dan dibintangi Malik Taufik, Mark Sobels, Tria Aziz, Sandra Mannas Wolf, Mo Dee, Fairuz Tauhid, Maria Yasmin dan Faridah Merican, harga tiket bagi menyaksikan teater ADAM The Musical hanya berharga RM60, RM40 dan RM30 sahaja.

Seterusnya saya akan bergelak ketawa untuk Malaysia dengan sebuah pementasan provokatif yang bertajuk Sex Money Scandal - The Pandemic. Jika dua pementasan pertama dipentaskan di Istana Budaya dan The Actors Studio, Lot 10, pementasan Sex Money Scandal - The Pandemic akan dipentaskan di PJ Live Arts, Jaya One Petaling Jaya. Hanya dua pementasan iaitu pada 15 dan 16 Mei ini.

Diarahkan oleh Zalfian Fuzi dan dibintangi pelakon serba boleh Jo Kukathas, pementasan bersifat monolog ini akan ditunjangi Jo dengan membawakan pelbagai watak antaranya YB Deputy Minister, Ribena Berry, Puan Cannot dan Judge Mental Singh. Saya pernah menyaksikan lakonan monolog Jo dalam The Elections, dan pastinya Sex Money Scandal - The Pandemic tidak akan saya lepaskan.


Caught In The Middle Part IV juga satu pementasan yang tidak akan saya lepaskan. Berlangsung di lokasi yang sama, teater ini menampilkan Mano Maniam, Zaibo, Sandra Sodhy dan Chew Kin Wah.

Saya mahu bergelak ketawa sepuas-puasnya. Jika ada kelapangan, saya akan cuba singgah di waktu latihan mereka. Saya tahu masa saya agak terhad.

Jom saksikan pementasan teater yang berlangsung di sekitar Lembah Klang!

Demi watak "Dara", pelakon Misha Omar sanggup berkorban menanggalkan pendakap giginya yang dipakai sejak tahun 2006. Penyanyi itu yang terpilih memegang watak utama dalam teater "Muzikal Uda Dan Dara", turut tidak sabar untuk memulakan sesi latihan selain mengetahui siapakah "Uda" sebagai kekasihnya.

Karya agung Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang "Uda dan Dara" kembali ke pentas selepas 38 tahun karya muzikal Melayu itu dientaskan kali pertama. Sebuah kisah tragis antara seorang anak tani bernama Uda yang dilamun cinta dengan gadis berada "Dara" bakal diarahkan pengarah teater tersohor Datuk Rahim Razali.

Pengorbanan Misha yang terpilih sebagai "Dara" cukup besar apabila pelakon itu sanggup menanggalkan pendakap giginya yang dipakai sejak tahun 2006. Itulah antara soalan pertama yang ditanya pengarah Rahim Razali adakah dia sanggup untuk menanggalkan pendakap gigi tersebut sekiranya terpilih kerana keayuan penyanyi itu akan lebih terserlah sekiranya tidak mengenakannya.

Senarai barisan pelakon diumumkan hari ini namun nama pelakon utama lelaki bagi menggalas watak Uda masih tidak diumumkan. Masih mencari pelakon lelaki yang bersifat keMelayuan serta berkemampuan untuk menyanyi, menari dan berlakon, Rahim yakin negara tidak ketandusan bakat untuk diketengahkan sebagai Uda.

Namun bagi Misha pula dia tidak kisah jika digandingkan dengan mana-mana pelakon lelaki yang terpilih kelak kerana naskhah teater itu cukup besar dan lebih bermakna sekiranya dia dapat memberikan persembahan terbaiknya di pentas teater selaku pelakon utama.

Memilih konsep "timeless", Rahim yang bukan asing di pentas berprestij itu cukup bersedia untuk berdepan dengan cabaran mementaskan muzikal itu pula. Baginya cabaran untuk mementaskan teater cukup berbeza antara satu teater dengan teater yang lain. Lebih-lebih lagi naskhah tersebut cukup besar dan perlu diberikan nafas baru agar sumbangannya untuk memartabatkan karya sastera dapat dilakukan.

Hadir sama ke majlis itu ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani. Turut membintangi teater muzikal itu ialah Aishah sebagai Ibu Uda, Betty Banafe sebagai Ibu Dara, Mazlan Tahir sebagai Alang Bakhil, Khir Rahman selaku Utih dan Radhi Khalid selaku Pak Long.

Muzikal Uda dan Dara bakal menemui khalayak pada 10 hingga 20 Julai depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Sementara itu, karya agung Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang akan terus segar walaupun jika ia dipentaskan sepuluh atau dua puluh tahun yang akan datang. Keindahan bahasa dan jalan ceritanya akan terus relevan dan dikenang generasi akan datang.

Bermula dengan puisi "Gadis Di Kuburan" yang ditulis Usman pada tahun 1954, ceritanya berkembang menjadi cerpen, drama televisyen dan drama pentas. Karya sastera wajar disuntik elemen hiburan agar ianya terus dihormati dan diingati sampai bila-bila.

Walaupun jalan ceritanya masih berkisar tentang darjat, kuasa, adat dan kasta, elemen spektakular dalam sinografi bakal disesuaikan untuk pementasan di Istana Budaya. Turut diberikan nafas baru ialah skor muzik dan lagu-lagu dalam teater muzikal itu yang dicipta oleh Hafiz Askiak, pemenang kategori Muzik Terbaik di Anugerah Kesenian Boh Cameronian baru-baru ini.

Sebagai waris penulis, Haslina merasakan kewajarannya karya itu diangkat ke satu peringkat lagi agar jasa bapanya akan terus dikenang. Lebih manis katanya, apabila tarikh pementasan muzikal Uda dan Dara jatuh pada hari ulangtahun kelahiran penulis yang ke 81 iaitu pada 12 Julai.


Walaupun teater "Cuci The Muzikal" diramal untuk menang besar di Anugerah Kesenian BOH Cameronian ke 8 yang berlangsung malam tadi di Kuala Lumpur, namun teater muzikal terbitan Tall Order Productions Sdn. Bhd. itu tidak pulang tangan kosong. Pelakon yang memegang peranan sebagai Jojo iaitu Awie memenangi anugerah Pelakon Utama Terbaik dalam kategori Teater Muzikal.

Pelakon itu yang juga merupakan penyanyi rock kumpulan "Wings" dan pelakon filem terkenal menerusi filem "Sembilu" pertama kali berlakon di pentas teater dan menerima pengiktirafan terbaik dalam lakonan. Awie hanya pernah memenangi Anugerah Khas Juri "Penampilan Karismatik Dalam Filem" menerusi filem Merah pada tahun 1997.

Selain Awie, penyanyi dan pelakon filem "Sepet" Adibah Noor turut memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Teater Muzikal  menerusi teater yang sama. Kemenangan Awie membuktikan keupayaan sebenar penyanyi itu yang pertama kali beraksi di pentas teater. Gementar pada mulanya untuk menerima tawaran Hans, akhirnya membuahkan hasil yang bukan sedikit. Yang paling utama adalah pengiktirafan panel juri profesional yang rata-ratanya bukan di kalangan penggiat seni filem yang sering mengadili festival filem.

Teater Cuci The Musical turut memenangi Anugerah Pilihan Penonton dalam kategori Teater Muzikal. Undian yang dilakukan secara online membuktikan yang teater muzikal itu diminati ramai. Teater Cuci The Musical bakal dipentaskan semula pada 27 Julai hingga 9 Ogos depan di Istana Budaya Kuala Lumpur.

Tanpa AC Mizal dan Adibah Noor, teater Cuci The Musical menjanjikan hampir 70 peratus perubahan yang kini melibatkan pelakon baru yang diambil-alih oleh Nabil Raja Lawak dan Jaclyn Victor.

Melihat kepada keputusan penuh dalam kategori Teater Muzikal menyaksikan dominasi teater Prince Siddhartha The Musical yang membolot 10 anugerah. Kekuatan teknikal teater muzikal bertaraf antarabangsa itu benar-benar menjadi pesaing sengit untuk Cuci The Musical. Kekurangan itu sepatutnya diperbaiki oleh Cuci The Musical untuk mencapai taraf yang dipersembahkan oleh teater Prince Siddhartha The Musical.

Saya menyaksikan kedua-dua pementasan dan tidak terkejut dengan penguasaan teater Prince Siddhartha The Musical. Aspek teknikal, rekaan set dan tatacahaya teater muzikal itu sungguh mengagumkan. Tidak hairanlah sekiranya ia dipentaskan oleh produksi Musical On Stage Productions yang sememangnya antara pelopor produksi teater muzikal di Malaysia.

Saya amat berharap agar produksi teater Cuci The Musical memperkemaskan lagi aspek teknikal teater tersebut sebelum pementasan musim kedua kelak.

Apa pun, saya ingin juga mengucapkan SYABAS buat Kakiseni yang telah berjaya menganjurkan majlis anugerah berprestij itu selama lapan tahun buat penggiat seni pentas tanah air. Apa yang dimulakan oleh Jenny dan Kathy sewajarnya diteruskan oleh mana-mana badan berkecuali agar seni pentas tempatan dapat ditingkatkan dan dikenali di masa depan.

Syabas!

Kredit Foto : Facebook Samantha Shubert

Tun Mahathir The Musical di Istana Budaya

Entri oleh sultanmuzaffar 15 April 2010 View Comments

Riwayat hidup bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal dipentaskan di Istana Budaya. "Tun Mahathir The Musical" bakal menyusur pengisahan hidup bekas Perdana Menteri sewaktu zaman kanak-kanak sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat.

Pasukan produksi bersama Istana Budaya sedang mengenal-pasti pelakon terbaik untuk membawakan watak utama sebagai "Mahathir".

"Tun Mahathir The Musical" bakal diarahkan Rosminah Mohd Tahir, Dekan Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ASWARA.

Bakal dipecahkan kepada empat fasa, skrip teater itu ditulis oleh Ismail Kassan yang juga Presiden Majlis Teater Kebangsaan Malaysia (TEMA) bersama Rosminah sendiri.

Antara yang bakal dipaparkan adalah kehidupan Mahathir sewaktu zaman kanak-kanak, zaman remaja sewaktu persekolahan hingga Senior Cambridge, zaman universiti di Singapura dan era politik sehingga dilantik menjadi Perdana Menteri.

Mengulas kriteria pelakon bagi menggalas watak sebagai negarawan ulung itu, seseorang pelakon itu harus memiliki karisma sebagai seorang pemimpin, rekod kerja yang bersih dan pelakon yang komited serta sanggup menyerahkan jiwa dan raganya bagi merealisasikan watak tersebut selain kecintaan terhadap tokoh itu sendiri.

Namun demikian, era politik Mahathir yang penuh dengan onak dan duri akan turut dipaparkan menerusi lirik lagu, gerak dan muzik.

Secara tidak langsung, sejarah tidak dinafikan terutamanya dalam melibatkan kontroversi politik. Semuanya dilakukan semata-mata untuk menjaga nama baik semua pihak.

Sebagai pemimpin ulung negara, Mahathir pastinya memiliki kelebihan dan kekurangannya, namun ia akan dizahirkan dalam pelbagai bentuk.

Sidang media pengumuman tenaga produksi utama "Tun Mahathir The Musical" berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Turut diumumkan ialah penglibatan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah yang akan bertindak selaku pengarah muzik.

Diterbitkan oleh CTRA Production, "Tun Mahathir The Musical" bakal dipentaskan di Istana Budaya Kuala Lumpur pada 24 September hingga 4 Oktober depan.

Pastinya nama pelakon yang bakal menggalas watak sebagai Mahathir menjadi tajuk utama di mana-mana. Di Malaysia kita punya ramai pelakon yang mampu berlakon dengan baik tetapi belum tentu memuaskan hati pihak penaja untuk berasa yakin pelaburan yang mereka buat dapat membuahkan hasil.

Kematangan Istana Budaya Setelah Berusia 10 Tahun

Entri oleh sultanmuzaffar 09 December 2009 View Comments


Sejak sepuluh tahun yang lalu, Istana Budaya menjadi titik temu bagi setiap penggiat dan khalayak seni pentas di Malaysia. Pelbagai produksi tempatan mahu pun antarabangsa dipentaskan di situ. Sempena Ulang Tahun ke 10 Istana Budaya, saya ingin menyorot perkembangan positif yang telah dijana oleh Istana Budaya selain melihat keperluannya kepada industri seni pentas tempatan mahu pun di peringkat antarabangsa.

Istana Budaya, gedung kesenian pentas di Malaysia meraikan ulangtahun ke 10 penubuhannya 15 September lalu. Saya masih ingat lagi teater besar yang pertama dipentaskan di pentas berprestij itu. Teater arahan Datuk Rahim Razali yang bertajuk Keris Sang Puteri menjadi teater buka panggung pentas tersebut. Beberapa hari selepas itu, majlis perasmiannya telah berlangsung dengan penuh adat istiadat Kesultanan Melayu dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed (sekarang Tun).

Bermula dari pengalaman pertama menonton di Istana Budaya, saya dapat merasakan yang panggung itu suatu yang luar biasa. Pentas hidrauliknya suatu yang tidak pernah saya lihat. Set boleh dibawa masuk dari belakang mahu pun tepi pentas tanpa perlu menggunakan tenaga manusia lagi. Untuk seni pentas di Malaysia, ia sesuatu yang luar biasa.

Sejak hari itu, saya berpeluang untuk menyaksikan pelbagai jenis produksi yang dipentaskan di pentas yang terdapat di Istana Budaya. Sehingga kini, IB memiliki dua pentas iaitu Panggung Sari dan Lambang Sari.


Antara pementasan yang paling saya ingati adalah teater Ronggeng Rokiah arahan Dr. Anuar Nor Arai lakonan Safura dan Shahronizam. Teater bergenre noir itu juga dilimpahi penonton yang rata-ratanya mahu mengimbas kembali zaman remaja mereka di New World Cabaret. Juga yang terbaru, Mana Setangginya karya Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan. Naskhah yang terperap dalam almari Istana Budaya hampir 10 tahun akhirnya berjaya dipentaskan. Naskhah tersebut sepatutnya menjadi naskhah buka panggung IB, malangnya kerana beberapa sebab naskhah itu dipinggirkan.

Tetapi, bukan sahaja teater dewasa yang mendapat tempat, teater kanak-kanak juga sering menjadi tumpuan setiap kali tibanya musim cuti sekolah. Saya melihat keperluan menyediakan pementasan teater kanak-kanak amat penting untuk mendidik generasi muda menghayati teater sekaligus menghargai seni budaya kita sendiri. Teater Siti Di Alam Fantasi, Gamat, Sinbad berjaya menarik ribuan kanak-kanak menyaksikan pementasan tersebut.

Foto oleh MStar

Persembahan muzik di Istana Budaya tidak kurang hebatnya. Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tidak asing di pentas Istana Budaya. Beliau pernah beberapa kali mengadakan persembahan di situ. Antara yang paling diingati pastinya Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza yang dipentaskan Jun lalu. Masih kekal nombor satu, walaupun kini Siti Nurhaliza telah pun berdua, biduanita muda negara itu masih mengekalkan kualiti persembahan kelas pertama, sesuai dengan kelas satu pentas berprestij itu.

Paling menguja imaginasi saya adalah pementasan muzik Kembara Jiwa Mohram. Alunan seruling dan rebana dua maestro muzik instrumental muzik berjaya melembutkan hati yang keras, mencairkan jiwa yang kematu.

Jika sebelum ini aktiviti pentas di Malaysia lebih berskala kecil dan hanya tertumpu di Panggung Bandaraya, Auditorium MTC dan Auditorium DBKL, kini produksi pementasan lebih berskala besar.

Foto oleh Jeff Ooi

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Encik Mohamed Juhairi Shaarani, "Dengan adanya Panggung Sari yang merupakan salah satu panggung yang tercanggih di dunia, segala itu menjadi kenyataan dan kita dapat lihat dengan hasil-hasil yang memberangsangkan bermula dengan teater Keris Sang Puteri, Tun Perak dan mencetuskan fenomena kepada produksi terbitan Enfiniti Productions dengan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Dan kita juga dapat lihat dengan produksi-produksi Istana Budaya yang sangat mendapat sambutan persembahan teater kanak-kanak seperti Sinbad dan Aladdin yang diadakan setiap kali musim cuti sekolah."

Menjurus kepada seni teater, tari dan muzik, pada peringkat awal khalayak penggemar seni tempatan agak terkejut dengan budaya kepenontonan di Istana Budaya.

Namun, jumlah penonton bertambah setiap tahun.

"Dalam masa dua tahun yang pertama kita memberi kemudahan dengan menjemput seramai mungkin dan juga pada waktu itu ada sedikit kejutan pada masyarakat yang selama ini lebih terdedah dengan persembahan-persembahan secara percuma tetapi Istana Budaya pada peringkat awalnya cuma mengenakan harga tiket yang sangat minima iaitu RM20, RM30 dan RM50 dan berlakunya perubahan setelah 10 tahun kita dapat melihat apabila Enfiniti boleh menjual tiket berharga RM350, suatu yang tidak pernah dipercayai pada 10 tahun yang lalu apabila sebuah produksi tempatan boleh menyamai harga tiket sebuah produksi luar atau pun persembahan antarabangsa."

Pada 1999, hanya sekitar 20,000 penonton menyaksikan persembahan di Istana Budaya, kini lebih 140,000 penonton berkemampuan untuk menyaksikan pementasan di panggung berprestij itu yang mencatatkan jumlah tertinggi pada tahun 2008.

Sering ke luar negara, Juhairi akan meluangkan masanya menonton pementasan West End mahu pun Broadway. Istana Budaya turut diiktiraf sebagai pentas terbaik di dunia dan diakui sendiri oleh produksi antarabangsa yang bertandang ke Istana Budaya.

"Pada peringkat pembinaan awal kita didatangi dengan produksi yang pada masa itu Tun Dr. Mahathir menjemput produksi Beauty And The Beast. Mereka memang terasa amat kagum dengan kecanggihan Panggung Sari Istana Budaya dan ini terbukti apabila kenyataan kita yang Istana Budaya sebuah panggung yang canggih itu sememangnya betul.


"Istana Budaya ini menggunakan teknologi campur tidak menjurus kepada dunia Barat tetapi bercampur dengan teknologi Jepun, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Tenaga yang dipilih pada peringkat awal juga berjaya direalisasikan dengan menggabungkan teknologi pelbagai negara untuk pembinaan sebuah panggung di Malaysia."

Perkara yang sama turut diakui Datin Seri Tiara Jacquelina, selaku Pengarah Urusan Enfitniti Productions, produksi yang menerbitkan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical.

"Saya sendiri bangga bahawa kita mempunyai sebuah pentas bertaraf dunia dan harus dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia. Pentas itu merupakan antara pentas yang terbaik di dunia. Setiap kali mengadakan persembahan di pentas itu ada satu rasa yang lain yang tidak boleh dimiliki di tempat lain. Ini termasuk kerjasama yang diberikan oleh kakitangan Istana Budaya sendiri. Terlalu banyak sejarah berlaku untuk kami di Istana Budaya dan ia menjadi seperti tempat jatuh lagi dikenang."

Jelas Juhairi lagi, sebagai sebuah institusi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Istana Budaya turut berperanan sebagai salah satu pusat tumpuan pelancong.

"Kita akan membawa dan ingin menjadikan Istana Budaya sebagai salah satu lokasi pementasan yang membolehkan negara-negara jiran yang selama ini dimonopoli sepenuhnya oleh Esplanade. Ini kita dapat lihat sewaktu pementasan produksi Mamma Mia apabila ramai penonton yang datang bukan sahaja dari Singapura tetapi juga dari Brunei, Indonesia dan Thailand. Persembahan itu merupakan pementasan yang paling berjaya dalam sejarah Istana Budaya terutama sekali dalam jumlah kedatangan penonton dan kutipan tiket."

Khalayak penggemar teater kini tidak perlu ke luar negara bagi menyaksikan pementasan berskala besar. Produksi tempatan seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan Cuci The Musical juga mampu menawarkan peluang tersebut di dalam negara.

"Di samping itu juga, Istana Budaya juga dalam usaha menggalakkan produksi-produksi besar yang mampu melaburkan seperti Enfiniti dan yang akan datang Tall Order yang berbelanja besar ini membolehkan karya-karya mereka ditonton kerana pementasan mereka sama tara dengan karya-karya yang dipentaskan di Broadway dan West End New York."

Pelbagai perancangan untuk Kalendar 2010 masih diteliti oleh pihak Istana Budaya. Antara yang menarik ialah produksi bersama Jabatan Perdana Menteri, sebuah lagi teater muzikal terbitan Enfiniti Productions dan berkemungkinan besar Cuci The Musical musim kedua.

"InsyaAllah pada tahun hadapan kita juga menyahut gagasan 1Malaysia yang mana banyak program yang menjurus kepada gagasan tersebut apabila melibatkan pelbagai kaum dipentaskan di Istana Budaya. Beberapa kertas cadangan yang dihantar menepati ciri-ciri gagasan 1Malaysia dan salah satu perkara baru apabila melibatkan kerjasama dengan produksi luar termasuk kerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri dalam usaha mengangkat gagasan yang diwar-warkan Perdana Menteti iaitu Gagasan 1Malaysia."

Pementasan yang kembali untuk musim kedua bukan suatu yang asing sekarang di Istana Budaya. Sejak teater muzikal menjadi satu fenomena, pementasan yang diulang sudah menjadi satu trend. Antara pementasan yang diulang tayang adalah Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Lebih menarik apabila ada di antaranya yang dibawa ke seberang Tambak Johor iaitu The Esplanade, Singapura. Pasti itu sesuatu yang membanggakan untuk seni pentas tempatan.

Paling terkini apabila buat julung kalinya, sebuah Orkestra Tradisional Malaysia ditubuhkan di Istana Budaya yang merupakan pasukan orkestra gabungan pelbagai instrumen tradisional Malaysia.

OTM kini dikemudi oleh Mohd Yazid Zakaria yang dilantik Konduktor pertama Orkestra itu.

"Merupakan satu-satunya kumpulan orkestra yang tidak ada di dunia. Di negara-negara lain, kumpulan orkestra hanya memiliki pemuzik pribumi tetapi di Malaysia kita memiliki Orkestra Tradisional Malaysia yang menggabung pemuzik pelbagai bangsa termasuk penggunaan alat muzik ektik yang sama sifatnya dengan simfoni di negara Barat."


Selain itu, Kompleks Istana Budaya bakal berkembang. Kompleks pengurusan akan siap sepenuhnya yang berlatarbelakangkan Tasik Titiwangsa pada tahun hadapan.

"Dan bila berlakunya perpindahan itu, ruang di Istana Budaya akan lebih banyak untuk dilengkapkan dengan fasiliti latihan dan memberikan peluang kepada aktivis seni di Malaysia untuk mengadakan latihan. Selain itu kita akan turut melengkapkan bangunan itu dengan sebuah Galeri yang menceritakan sejarah penubuhan Istana Budaya hinggalah menjadi Istana Budaya hari ini."

Saya melihat perkembangan positif Istana Budaya menjadi elemen penting untuk menjayakan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab seni pentas Asia. Seluruh dunia mengenali budaya India mahu pun Jepun atau pun China. Oleh itu menjadi tugas Istana Budaya juga untuk memperkenalkan budaya Melayu ke peringkat antarabangsa. Namun yang lebih penting adalah budaya kerja kakitangan Istana Budaya perlu mencapai standard antarabangsa untuk berjaya di mata dunia.

Hasrat itu hanya akan tercapai sekiranya Istana Budaya menjadi sebuah syarikat korporat. IB harus berfungsi bukan sekadar untuk menyemarakkan budaya seni pentas tempatan malah menjadi satu badan bukan kerajaan yang turut berfungsi mendapatkan keuntungan. Ia harus bergerak seperti sebuah syarikat korporat yang mana setiap kaki dan tangannya bergandingan untuk mencipta keuntungan lebih luar biasa. Saya tidak melihat ia sebagai satu cadangan yang harus ditolak mentah-mentah sebaliknya perlu difikirkan untuk mengangkat seni pentas Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Zahirnya, pentas Istana Budaya akan terus disemarakkan dengan pelbagai produksi terbaik dan kembali dipenuhi penonton apabila teater Gamat dan Cuci The Musical dipentaskan Oktober lalu. Lebih mengejutkan apabila teater Natrah yang diarahkan oleh Eirma Fatima menerima sambutan yang sangat hebat. Pementasan yang sepatutnya berakhir pada 9 Disember dilanjutkan sehingga 13 Disember atas permintaan ramai.

Saya kagum dengan keterbukaan IB yang berjaya membuka sejarah rusuhan Natrah di Singapura ke depan mata khalayak teater tanahair. Keterbukaan yang dimaksudkan apabila memberikan keadilan dalam naskhah tersebut yang menyeimbangkan pengaruh setiap watak seperti Natrah, Cik Aminah dan Adeline Hertogh dalam teater tersebut. Sekaligus membuka intepretasi baru kepada pengkaji sejarah mahu pun penonton tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Sehingga kini, Istana Budaya dipayungi lima Ketua Pengarah bermula Tuan Hj Sufiat Mukri, Norliza Rofli, Dr. Hatta Azad Khan, Datuk Azhar Abu Bakar dan yang terkini, Mohamed Juhairi Shaarani. Melalui gaya kepimpinan yang berbeza oleh setiap seorang dari mereka telah berjaya membuka membuka lembaran baru untuk Istana Budaya.

Saya menepis andaian masyarakat yang Istana Budaya hanya merupakan "gajah putih", sebaliknya Istana Budaya telah berjaya merancakkan lagi aktiviti seni pentas di Malaysia sepanjang 10 tahun yang lalu. Syabas, Istana Budaya.

Natrah Masih Wujud Di Sekeliling Kita

Entri oleh sultanmuzaffar 06 December 2009 View Comments


Natrah atau nama sebenarnya Huberdina Maria Hertogh pergi meninggalkan kita pada 8 Julai 2009, namun perawan kecil yang mencetuskan rusuhan di Singapura dan Karachi, Pakistan itu masih lagi wujud di sekeliling kita. Airmata dan pengorbanannya masih segar dalam minda kita semua.


Saya mula mengenali Natrah sewaktu terbaca Dewan Masyarakat keluaran Februari 1989 ketika saya berusia 15 tahun. Saya ikuti setiap keluaran majalah tersebut untuk mengenali lebih dekat kenapa dia begitu penting dalam sejarah kita.

Buku Natrah nukilan Fatini Yaacob, penulis yang sama mengkaji Natrah untuk Dewan Masyarakat 20 tahun lalu masih belum habis saya baca. Melalui buku tersebut, saya mendapat tahu yang sewaktu Fatini pertama kali mewawancara Natrah berlangsung di Lake Tahoe sekitar Mac 1989. Waktu itu Natrah bekerja dengan mencuci bilik motel dan chalet yang terdapat di pusat peranginan di Nevada. Pada waktu yang hanya berselang beberapa bulan, saya dan keluarga singgah di Lake Tahoe pada Oktober/November 1989. Mungkin juga motel yang kami menginap dicuci oleh Natrah cuma tidak mengenalinya sahaja. Ia sekadar kemungkinan sahaja.

Natrah di Pentas

Bukan mudah untuk membawa satu kisah sejarah menjadi satu naskhah pentas. Dalam ruangan Siti Jarum, penulis itu memberikan komen yang cerita sejarah itu diangkat ke pentas teater menggunakan teknik kronologi. Yang mana setiap peristiwa sejarah dimasukkan dalam teater tersebut. Ada benarnya komen tersebut kerana Natrah menceritakan segala-galanya iaitu dari A hingga Z.

Sekiranya Natrah hanya mengambil intipati sejarah itu pada elemen rusuhan atau pun mengaitkan dengan apa yang berlaku sekarang, tentunya lebih menarik.

Tatkala saya menulis ulasan ini saya telah menonton teater Natrah sebanyak empat kali. Setiap malam pementasan selama lebih dua jam itu ditokok dengan penambahan set dan beberapa perubahan pada aspek visualnya. Sekaligus ia menguatkan lagi naskhah tersebut jika tidak mengubah sedikit fakta sejarah. Namun saya faham situasi pengarah yang tersepit dalam desakan penonton yang masih tidak mahu menerima hakikatnya.

Keberanian Erma Fatima selaku pengarah teater itu wajar saya puji. Keberanian yang saya maksudkan adalah menyeimbangkan kemelut antara tiga watak, Natrah, Cik Aminah (ibu angkat) dan Adeline (ibu kandung Natrah). Semuanya dipaparkan dalam monolog yang mana masing-masing cuba untuk menegakkan apa yang ingin mereka pertahankan. Sayangnya, kita tidak pernah memikirkan kemelut yang melanda Natrah ketika itu.

Simpati saya berbagi-bagi sama ada untuk Natrah, Cik Aminah atau pun Adeline. Jika sebelum ini saya sering dimomokkan dalam propaganda berteras akidah agama yang dipertahankan Cik Aminah, kita saya cuba untuk memahami hak Adeline sebagai ibu kandung Natrah. Dalam waktu yang sama, saya turut bersimpati terhadap Natrah yang ketika itu dibiarkan tidak diberikan haknya sebagai anak untuk memilih.

Saya anggap itu satu keberanian yang cukup besar untuk memecahkan propaganda yang selama ini ditanam dalam diri saya setelah mendapat pengetahuan tentang sejarah ini hanya melalui pembacaan Dewan Masyarakat.

Pada dua malam pertama pementasan ini, saya dapat melihat di penghujung pementasan tersebut watak Natrah 70 tahun berjalan menuju ke gereja. Terdapat perubahan kecil tetapi memberi makna besar dalam sejarah apabila kita masih tidak dapat menerima hakikat itu. Watak Natrah 70 tahun tidak lagi berjalan menuju ke gereja sebaliknya belok ke kanan menjauhi gereja. Lalu meninggalkan persoalan sama ada apakah masih ada Islam di hatinya kepada kita semua. Persoalan itu tidak mungkin akan terjawab.

Kita telah kehilangan satu Natrah, tetapi apakah kita mahu terus kehilangan banyak lagi “Natrah” yang wujud di sekitar kita sekarang ? Yang berjalan menuju ke gereja itu bukan Natrah sebaliknya “Natrah” yang wujud sekarang. Sayang sekali adegan itu diubah kerana kita takut untuk menerima hakikat itu.

Berbicara dari aspek lakonan, saya kagum melihat percubaan kali pertama Maya Karin di pentas teater Melayu. Lakonannya sebagai Natrah amat berkesan dan berjaya menimbulkan kepercayaan kepada penonton seperti saya untuk merasai penderitaan yang ditanggungnya.

Maya terpilih sebagai Natrah setelah seorang pelakon majalah menolak tawaran tersebut kerana bimbang bayaran untuk teater tersebut tidak mampu menampung keperluan hariannya. Ada juga hikmah penarikan diri pelakon remaja itu dan menjadi keuntungan luar biasa untuk Maya menonjolkan bakatnya. Selama hari ini saya jarang tertarik dengan lakonan Maya termasuk di layar perak kerana saya masih melihat kekakuannya sebagai pelakon. Menerusi teater itu, Maya berjaya dilenturkan untuk menjadi seorang pelakon yang benar-benar berbakat dan layak menerima anugerah yang pernah dimilikinya.

Untuk memiliki kereta mewah, teater bukan tempatnya. Hanya di filem, seorang pelakon mampu memiliki kereta mewah. Tetapi teater adalah tempat untuk mengilatkan kereta mewah itu. Kalau sekadar memiliki kereta mewah tetapi kotor, apalah gunanya untuk industri hiburan kita yang semakin karat dengan pelakon majalah. Gunakan teater sebagai tempat untuk mengilatkan lagi bakat milik seorang pelakon dan pasti perjalanan karier mereka akan menjadi lebih bersinar.

Pandangan yang sama juga untuk Remy Ishak yang saya lihat memiliki kredibiliti untuk menjadi seorang pelakon teater. Harus diingat, pelakon sehebat Rosyam Nor pun belum ada keberanian atau mungkin masa untuk mencuba pentas teater. Pelakon lain seperti Umie Aida, Samantha Shubert dan Sofea Jane tidak perlu dipertikaikan kerana pentas teater bukan asing bagi mereka.

Namun, saya tidak menganggap Natrah sebagai sebuah pementasan yang sempurna. Kecacatan pada aspek muzik sedikit mengganggu saya. Muzik memainkan peranan yang penting untuk menggerakkan kefahaman penonton tentang sejarah tersebut. Saya akui muzik yang digunakan dalam teater itu agak melankolik dan berbunyi Hindustan. Erma sebagai pengarah ada sebab yang tersendiri. Malah menurutnya, dia mahu penonton tidak dibeban dengan tekanan sewaktu menonton teater itu. Bagi saya, muzik yang lebih menjurus kepada tragedi perlu diberikan penekanan dalam teater ini kerana sedikit sebanyak merosakkan mood menonton teater itu.

Paling utama adalah babak selepas perkahwinan Natrah dan Mansor Adabi kerana babak selepas itu merupakan babak tragedi yang membawa kepada bencana. Muzik dan lagu yang bersesuaian perlu digunakan untuk babak tersebut.

Saya merasakan teater Natrah antara teater yang layak untuk dipentaskan di The Esplanade, Singapura selain diterjemah ke skrin televisyen mahu pun layar perak. Hanya sekadar cadangan.

Natrah Kini

Kita harus menerima kepahitan sejarah yang telah berlaku. Namun sampai bila kita tidak mahu menjadikan kepahitan itu satu ubat untuk menyembuhkan luka lama yang masih berdarah lebih 50 tahun yang lalu.

Saya terpanggil untuk menyorot monolog Natrah 70 tahun yang dilakonkan oleh Sofea Jane. Dalam monolognya dia ada menyebut apakah keagungan yang kalian pertahankan masih bersinar sekarang. Jika sejarah telah membuktikan yang kita boleh bersatu menentang hak kita menjaga akidah Natrah, apakah kini kita melakukan yang sama ? Itu persoalan besar yang harus kita fikirkan. Pahit sejarah tidak pernah mengubah kita.

Teater Natrah, lakonan Maya Karin, Umie Aida, Sofea Jane, Samantha Shubert dan Remy Ishak dilanjutkan sehingga 13 Disember ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Nota : Entri blog akan datang untuk Blog4FT.

Bilik Ahmad Berdaki di KLPAC hingga 8 November ini

Entri oleh sultanmuzaffar 05 November 2009 View Comments



Naskhah trilogi Bilik Ahmad Berdaki sangat gelap menggabungkan satu dunia yang bersifat gila, ganas dan gelap. Berdaki bermain dengan pemikiran penonton sehabis mungkin selain menguji kecerdikan penonton untuk merungkai setiap misteri yang berlaku dalam tiga buah rumah di sebuah kampung. Misteri watak yang pelik saling menyanggah kebiasaan di luar batas pemikiran manusia. Namun ada sebab mengapa mereka menjadi begitu. Saksikan Bilik Ahmad Berdaki di Pentas 2, KLPAC hingga 8 November ini.

Pentingnya Meletakkan Harapan Yang Tinggi

Entri oleh sultanmuzaffar 01 November 2009 View Comments

Dalam minggu ini saya berpeluang untuk menonton dua karya penting dalam industri hiburan tempatan dan dunia iaitu teater muzikal “Cuci The Musical” dan filem dokumentari “This Is It”. Saya akan bercerita lebih lanjut pandangan saya setelah menonton dua karya tersebut. Paling menarik apabila saya pergi menonton kedua-dua karya tersebut dengan meletakkan harapan yang tinggi pada kedua-duanya. Mengapa penting meletakkan harapan yang tinggi apabila melakukan sesuatu atau pun menonton sesuatu. Dan itulah yang saya lakukan.


Teater "Cuci The Musical"

Saya berkesempatan menonton teater muzikal terbaru arahan Datuk Zahim Albakri iaitu Cuci The Musical. Saya pergi dengan expectation yang tinggi dan itulah yang saya perolehi. Saya tertarik dengan jenaka yang dipersembahkan dalam teater muzikal itu. Lakonan Afdlin Shauki, Hans Issac, Awie, AC Mizal, Vanida Imran dan Adibah Nor sangat melucukan. Mereka telah memberikan lakonan terbaik mereka. Menggabungkan stand-up comedy dan muzikal bukan satu kerja yang mudah dan ianya berjaya dilakukan oleh Zahim dan pasukannya.

Dalam tempoh tiga jam lebih duduk di kerusi empuk Istana Budaya, saya tidak terasa langsung kerana masa berlalu begitu pantas disulami gelak ketawa kesan terhibur dengan jenaka yang dipersembahkan. Lakonan Awie paling menghiburkan. Keletah Awie bersama Adibah Nor sungguh comel. Kagum saya melihat bakat yang dimilikinya.

Kelebihan utama empat tunggak utama teater itu ialah kebolehan mereka menyanyi dengan baik. Paling baik saya letakkan pada Afdlin Shauki. Sudah lama saya tidak mendengar dia menyanyi secara langsung dan itulah yang membuatkan saya lebih terpegun. Hans Issac dan Vanida Imran juga telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang dan boleh dibanggakan.

Saya melihat bidang teater muzikal menjadi semacam medan persaingan untuk penggiat mempamerkan kehebatan mereka sendiri, jika tidak untuk produksi mereka. Bermula dengan terbinanya Gunung Ledang dan Istana Melaka di pentas Istana Budaya, persaingan itu diteruskan demi memajukan cabang seni itu. Kepala keretapi pula diangkut ke panggung berprestij itu dan kemudiannya kereta lumba dalam Impak Maksima The Musical. Cuci The Musical tidak mahu kalah dan mereka membawa set yang lebih gah seperti bangunan tinggi, gondola dengan aksi yang lebih mendebarkan.

Alunan muzik dalam Cuci The Musical juga boleh dibanggakan kerana beberapa melodi yang boleh melekat dalam kepala. Diperkuatkan lagi dengan nyanyian pelakonnya yang sedap. Saya terhibur dalam jenaka dan nyanyian yang dipersembahkan. Saya mahu melihat lebih lagi dan jika diperkemaskan susun letak set dan prosedur keluar masuknya, pasti persembahan ini lebih sempurna.

Saya berharap untuk mendapat peluang untuk menontonnya lagi sekali sebelum pementasan tamat 8 November ini. Dan jika anda berfikir, Cuci The Musical boleh dilepaskan, anda tersilap. Anda perlu menontonnya.

Saya bagi 4 bintang untuk teater muzikal ini. Saksikan Cuci The Musical di Istana Budaya sekarang hingga 8 November ini. Anda pasti puas hati bergelak sakan di Panggung Sari, Istana Budaya.





Filem Dokumentasi "This Is It"


Jika anda tertunggu-tunggu filem dokumentari ini, saya juga begitu. Saya berpeluang untuk menonton filem This Is It sewaktu tayangan medianya yang berlangsung hujung minggu lalu. Sebanyak 10 panggung ditutup semata-mata untuk tayangan tersebut. Saya pilih kerusi terbaik untuk saya nikmati persembahan Michael Jackson yang terakhir.

Filem This Is It ada keunikannya. Tatkala saya menonton, saya melihat latarnya dengan teliti. Bukan untuk mencari kesilapan tetapi melihat dunia di sekeliling Seniman Agung Dunia itu. Sewaktu latihan saya kagum melihat bagaimana telitinya Michael melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penghibur. Saya agak kecewa kerana tidak berpeluang lagi untuk menonton produk akhir Konsert This Is It yang sepatutnya dipersembahkan oleh Michael. Lebih-lebih lagi setelah melihat rekaan produksi gergasi itu. Setnya amat WOW ! Teknik pyronya juga amat WOW ! Klip video Thriller yang dihasilkan juga mengagumkan. Puas.

Filem ini membuka satu interpretasi baru tentang Michael sendiri apabila dalam tempoh 111 minit kita dihidangkan dengan perkara yang enak-enak tentang Michael. Kekuatan tenaganya hebat sewaktu latihan dan tidak nampak unsur-unsur berada dalam pengaruh ubat pelali atau pun apa saja dadah yang merosakkan. Semuanya yang baik-baik saja

Saya menonton dengan harapan yang tinggi dan antara aspek kekurangan yang berlaku dalam filem ini apabila saya tidak dapat berkongsi kesedihan dengan crew yang terlibat dalam pembikinan filem ini. Saya hanya dapat tonton sedikit sahaja elemen sedih dalam filem ini iaitu pada awalnya. Sebagai peminat saya ingin berkongsi kesedihan dengan tenaga yang terlibat dengan filem ini. Saya hanya dihidangkan dengan sesi latihan sahaja. Saya sebolehnya mahu menonton reaksi crew sewaktu pertama kali diberitahu tentang berita kematian mereka. Jika itu dapat dikongsi bersama saya, saya akan puas menonton filem ini dan harapan saya tertunai.

Paling menarik saya menyarankan filem ini ditonton semua artis Malaysia agar mereka faham apa makna profesionalisme yang sebenarnya. Dalam filem ini saya melihat Michael amat professional dalam tugasnya. Sebagai penghibur dia tahu setiap note lagu-lagu yang akan dipersembahkannya. Dia tahu setiap langkah tarian dan tahu setiap pergerakannya di atas pentas. Dia choreograph setiap pergerakannya bermula dari sesi latihan dan sedar ruang untuk setiap cue yang perlu dilakukan. Itu uniknya Michael Jackson. Bagaimana merendah dirinya insan bernama Michael Jackson dan perkataan “God Bless You” tidak pernah lekang dari bibirnya mengucapkan terima kasih kepada tenaga produksi yang gigih membantunya merealisasikan persembahannya. Insan bernama Michael Jackson jika dia seorang diva sekali pun dia memang layak kerana dia Michael Jackson. Tetapi dia tidak begitu. Ia perlu ditonton oleh setiap artis dan belajar sifat itu daripadanya.

Saya terbuai dalam alunan lagu-lagu Michael Jackson walaupun ianya sekadar latihan tetapi kesungguhannya untuk merealisasikan konsert itu terserlah di wajahnya. Ketelitiannya semata-mata untuk peminatnya. Melodi lagu dan muzik lagu yang berubah pun ditegurnya hanya kerana dia mahu peminat yang datang ke konsertnya mendengar versi asal lagu-lagunya. Demi peminat katanya. Michael Jackson juga menyeru slogan Peminat Didahulukan, Kualiti Diutamakan. Wah ! Macam 1Malaysia juga.

Saya bagi 3.5 bintang untuk filem This Is It.

The Actors Studio at Rooftop Lot 10, Nadi Baru Kuala Lumpur

Entri oleh sultanmuzaffar 13 October 2009 1 komen


Sebuah bandar tidak wajar kehilangan nyawanya. Jati diri budaya merupakan udara untuknya terus bernafas. Dengan terbinanya The Actors Studio at Rooftop Lot 10, segitiga emas Kuala Lumpur akan terus bernyawa. Itulah antara kata-kata yang diluahkan oleh Tan Sri Francis Yeoh, pemilik gergasi korporat YTL Corporations. “Bandaraya akan hilang jatidirinya jika budaya tidak disuburkan. Budayalah yang menjadi nafas untuk sesebuah bandaraya terus bernyawa.”

Selepas penutupan mengejut operasi di Bangsar Shopping Centre, The Actors Studio bernyawa kembali. Pada hari Sabtu lalu berlangsung Malam Gala Pembukaan “The Actors Studio at Rooftop Lot 10”.

Saya boleh meletakkannya sebagai sebuah lokasi yang paling strategik untuk sebuah teater. Memang telah lama saya impikan agar Kuala Lumpur memiliki pentas teaternya bukan di pinggir bandar tetapi sebaliknya di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

The Actors Studio diasaskan pada April 1989 oleh pasangan suami isteri, Joe Hafsham dan Datuk Faridah Merican. Lokasi pertama syarikat teater paling berpengerah itu dibuka di Dataran Merdeka pada 1995.

Pasangan itu terus gigih membudayakan masyarakat setempat sehinggalah terbukanya lokasi mereka yang kedua iaitu di Bangsar pada 2001. Tidak henti di situ, mereka melebarkan sayap mereka ke utara dan cawangan The Actors Studio di buka di Pulau Pinang setahun kemudian.
Malangnya pada 10 Jun 2003, banjir besar memusnahkan cawangan Plaza Putra. Namun itu tidak mematahkan semangat Faridah dan Joe walaupun pelbagai dugaan yang mereka terima.

The Actors Studio tidak akan mati. Itulah janji Datuk Faridah Merican demi cintanya pada seni persembahan. Bermula semalam, The Actors Studio at Rooftop Lot 10 membuka pintu menerima pengunjung.


Lokasi asal The Actors Studio di Plaza Putra musnah apabila banjir melanda Dataran Merdeka pada 10 Jun 2003. Sementara cawangannya di Bangsar Shopping Centre pula ditutup pada 28 Februari lalu.

Walaupun diduga pelbagai musibah, namun selaku pengasas, Faridah dan suaminya Joe Hafsham percaya jenama The Actors Studio akan terus memperkasakan budaya kepada rakyat tempatan.

Segitiga emas Kuala Lumpur kini memiliki sebuah panggung teater yang pastinya akan menarik tumpuan pelancong untuk melihat sendiri budaya tempatan di depan mata mereka. Pelbagai hotel yang terdapat di situ pastinya dipenuhi pelancong yang bakal menjadi fokus utama untuk menjadi penonton di pentas itu.

Dicop sebagai “West End of Kuala Lumpur”, The Actors Studio at Rooftop Lot 10 dibuka secara percuma mulai 11 hingga 18 Oktober ini sebelum memulakan operasinya seperti biasa.

Nota : Foto akan dikemaskini lewat malam. Kabel Blackberry tertinggal di rumah.

Pautan :
The Actors Studio at Rooftop Lot 10
KLPAC
The Actors Studio



Laporan Khas : Istana Budaya Terus Rancak

Entri oleh sultanmuzaffar 18 September 2009 0 komen

(ANCHOR)

Sejak sepuluh tahun yang lalu, Istana Budaya menjadi titik temu bagi setiap penggiat dan khalayak seni pentas di Malaysia.

Pelbagai produksi tempatan mahu pun antarabangsa dipentaskan di situ. Sempena Ulang Tahun ke 10 Istana Budaya, ikuti laporan khas yang disediakan wartawan Astro AWANI...Muzaffar Mustapa.

(VT)

Istana Budaya, gedung kesenian pentas di Malaysia meraikan ulangtahun ke 10 penubuhannya 15 September lalu.

Sehingga kini, Istana Budaya dipayungi lima Ketua Pengarah bermula Tuan Hj Sufiat Mukri, Norliza Rofli, Dr. Hatta Azad Khan, Datuk Azhar Abu Bakar dan yang terkini, Mohamed Juhairi Shaarani.

Jika sebelum ini aktiviti pentas di Malaysia lebih berskala kecil dan hanya tertumpu di Panggung Bandaraya, Auditorium MTC dan Auditorium DBKL, kita produksi pementasan lebih berskala besar.

"Dengan adanya Panggung Sari yang merupakan salah satu panggung yang tercanggih di dunia, segala itu menjadi kenyataan dan kita dapat lihat dengan hasil-hasil yang memberangsangkan bermula dengan teater Keris Sang Puteri, Tun Perak dan mencetuskan fenomena kepada produksi terbitan Enfiniti Productions dengan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Dan kita juga dapat lihat dengan produksi-produksi Istana Budaya yang sangat mendapat sambutan persembahan teater kanak-kanak seperti Sinbad dan Aladdin yang diadakan setiap kali musim cuti sekolah."

Menjurus kepada seni teater, tari dan muzik, pada peringkat awal khalayak penggemar seni tempatan agak terkejut dengan budaya kepenontonan di Istana Budaya.

Namun, jumlah penonton bertambah setiap tahun.

"Dalam masa dua tahun yang pertama kita memberi kemudahan dengan menjemput seramai mungkin dan juga pada waktu itu ada sedikit kejutan pada masyarakat yang selama ini lebih terdedah dengan persembahan-persembahan secara percuma tetapi Istana Budaya pada peringkat awalnya cuma mengenakan harga tiket yang sangat minima iaitu RM20, RM30 dan RM50 dan berlakunya perubahan setelah 10 tahun kita dapat melihat apabila Enfiniti boleh menjual tiket berharga RM350, suatu yang tidak pernah dipercayai pada 10 tahun yang lalu apabila sebuah produksi tempatan boleh menyamai harga tiket sebuah produksi luar atau pun persembahan antarabangsa."

Pada 1999, hanya sekitar 20,000 penonton menyaksikan persembahan di Istana Budaya, kini lebih 140,000 penonton berkemampuan untuk menyaksikan pementasan di panggung berprestij itu yang mencatatkan jumlah tertinggi pada tahun 2008.

Sering ke luar negara, Juhairi akan meluangkan masanya menonton pementasan West End mahu pun Broadway.

Istana Budaya turut diiktiraf sebagai pentas terbaik di dunia dan diakui sendiri oleh produksi antarabangsa yang bertandang ke Istana Budaya.

"Pada peringkat pembinaan awal kita didatangi dengan produksi yang pada masa itu Tun Dr. Mahathir menjemput produksi Beauty And The Beast. Mereka memang terasa amat kagum dengan kecanggihan Panggung Sari Istana Budaya dan ini terbukti apabila kenyataan kita yang Istana Budaya sebuah panggung yang canggih itu sememangnya betul.

"Istana Budaya ini menggunakan teknologi campur tidak menjurus kepada dunia Barat tetapi bercampur dengan teknologi Jepun, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Tenaga yang dipilih pada peringkat awal juga berjaya direalisasikan dengan menggabungkan teknologi pelbagai negara untuk pembinaan sebuah panggung di Malaysia."

Perkara yang sama turut diakui Datin Seri Tiara Jacquelina, selaku Pengarah Urusan Enfitniti Productions, produksi yang menerbitkan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical.

"Saya sendiri bangga bahawa kita mempunyai sebuah pentas bertaraf dunia dan harus dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia. Pentas itu merupakan antara pentas yang terbaik di dunia. Setiap kali mengadakan persembahan di pentas itu ada satu rasa yang lain yang tidak boleh dimiliki di tempat lain. Ini termasuk kerjasama yang diberikan oleh kakitangan Istana Budaya sendiri. Terlalu banyak sejarah berlaku untuk kami di Istana Budaya dan ia menjadi seperti tempat jatuh lagi dikenang."

Jelas Juhairi lagi, sebagai sebuah institusi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Istana Budaya turut berperanan sebagai salah satu pusat tumpuan pelancong.

"Kita akan membawa dan ingin menjadikan Istana Budaya sebagai salah satu lokasi pementasan yang membolehkan negara-negara jiran yang selama ini dimonopoli sepenuhnya oleh Esplanade. Ini kita dapat lihat sewaktu pementasan produksi Mamma Mia apabila ramai penonton yang datang bukan sahaja dari Singapura tetapi juga dari Brunei, Indonesia dan Thailand. Persembahan itu merupakan pementasan yang paling berjaya dalam sejarah Istana Budaya terutama sekali dalam jumlah kedatangan penonton dan kutipan tiket.

Khalayak penggemar teater kini tidak perlu ke luar negara bagi menyaksikan pementasan berskala besar. Produksi tempatan seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan Cuci The Musical juga mampu menawarkan peluang tersebut di dalam negara.

"Di samping itu juga, Istana Budaya juga dalam usaha menggalakkan produksi-produksi besar yang mampu melaburkan seperti Enfiniti dan yang akan datang Tall Order yang berbelanja besar ini membolehkan karya-karya mereka ditonton kerana pementasan mereka sama tara dengan karya-karya yang dipentaskan di Broadway dan West End New York."

Pelbagai perancangan untuk Kalendar 2010 masih diteliti oleh pihak Istana Budaya. Antara yang menarik ialah produksi bersama Jabatan Perdana Menteri selain sebuah lagi teater muzikal terbitan Enfiniti Productions.

"InsyaAllah pada tahun hadapan kita juga menyahut gagasan 1Malaysia yang mana banyak program yang menjurus kepada gagasan tersebut apabila melibatkan pelbagai kaum dipentaskan di Istana Budaya. Beberapa kertas cadangan yang dihantar menepati ciri-ciri gagasan 1Malaysia dan salah satu perkara baru apabila melibatkan kerjasama dengan produksi luar termasuk kerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri dalam usaha mengangkat gagasan yang diwar-warkan Perdana Menteti iaitu Gagasan 1Malaysia."

Buat julung kalinya, sebuah Orkestra Tradisional Malaysia ditubuhkan di Istana Budaya yang merupakan pasukan orkestra gabungan pelbagai instrumen tradisional Malaysia.

OTM kini dikemudi oleh Mohd Yazid Zakaria yang dilantin Konduktor pertama Orkestra itu.

"Merupakan satu-satunya kumpulan orkestra yang tidak ada di dunia. Di negara-negara lain, kumpulan orkestra hanya memiliki pemuzik pribumi tetapi di Malaysia kita memiliki Orkestra Tradisional Malaysia yang menggabung pemuzik pelbagai bangsa termasuk penggunaan alat muzik ektik yang sama sifatnya dengan simfoni di negara Barat."

Selain itu, Kompleks Istana Budaya bakal berkembang. Kompleks pengurusan akan siap sepenuhnya yang berlatarbelakangkan Tasik Titiwangsa pada tahun hadapan.

"Dan bila berlakunya perpindahan itu, ruang di Istana Budaya akan lebih banyak untuk dilengkapkan dengan fasiliti latihan dan memberikan peluang kepada aktivis seni di Malaysia untuk mengadakan latihan. Selain itu kita akan turut melengkapkan bangunan itu dengan sebuah Galeri yang menceritakan sejarah penubuhan Istana Budaya hinggalah menjadi Istana Budaya hari ini."

Pentas Istana Budaya akan kembali dipenuhi penonton apabila teater Gamat dan Cuci The Musical dipentaskan Oktober ini. Manakala teater Natrah bakal mengisi ruang Istana Budaya November depan.

Menepis andaian masyarakat yang Istana Budaya hanya merupakan "gajah putih", sebaliknya Istana Budaya telah merancakkan lagi aktiviti seni pentas di Malaysia sepanjang 10 tahun yang lalu.

END

ISTANA BUDAYA 10 TAHUN

Entri oleh sultanmuzaffar 15 September 2009 0 komen

ANCHOR

Menerajui seni pementasan di Malaysia, hari ini Istana Budaya menyambut ulang tahunnya yang ke sepuluh.

Berkat harapan warga seni Malaysia sejak tahun 1971, maka tersergam indah kompleks Istana Budaya yang mula dibangunkan pada tahun 1995.

VT

Dengan kos pembiayaan sebanyak RM210 juta, Istana Budaya yang mempunyai keluasan 5.44 hektar serta keluasan lantai 21 ribu meter persegi, dibanggakan sebagai panggung pertama di Asia yang memiliki mekanisme pentas tercanggih untuk pementasan teater.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke empat, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 15 September 1999 dalam satu majlis penuh gilang gemilang istiadat Kesultanan Melayu.

Selesai majlis perasmian, Perdana Menteri bersama tetamu kehormat turut menyaksikan pementasan teater Keris Sang Puteri.

Teater arahan Datuk Rahim Razali dipilih sebagai teater "Buka Panggung" pentas berprestij itu.

Setakat ini, pelbagai produksi telah dipentaskan seperti Puteri Gunung Ledang The Musical, Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza, Konsert Alam M.Nasir, Teater Ronggeng Rokiah dan banyak lagi.

Ini tidak termasuk produksi antarabbangsa seperti Mamma Mia, Chang & Eng, Fame dan Cats.

Terletak berhampiran Tasik Titiwangsa di Jalan Tun Razak, kini bangunan bercirikan budaya Melayu itu menjadi tarikan utama penggiat seni pentas tempatan dan antarabangsa.

END

Nota : Pelbagai jenis pementasan dan persembahan telah saya saksikan bermula dengan Keris Sang Puteri di hari pertama pembukaannya kepada penonton, beberapa hari sebelum ia dirasmikan.

Antara teater yang paling saya ingati dan telah tonton beberapa kali ialah Ronggeng Rokiah, Siti Zubaidah, Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Produksi tersebut merupakan antara produksi yang mampu menggerakkan saya untuk bertandang ke Istana Budaya lebih daripada sekali. PGL The Musical dan P.Ramlee The Musical antara yang banyak sekali saya tonton. Selain menjadi penonton, saya terlibat dalam produksi tersebut sebagai Webmaster. Itu cerita dulu.

Banyak juga pementasan yang saya ingati seperti Cats, Fame, Saturday Night Fever dan Mamma Mia yang bersifat antarabangsa produksinya. Selain kagum dengan mutu produksi banyak yang boleh dipelajari daripada cara kerja produksi tersebut selain menggunapakai teknik yang mereka guna.

Saya tidak ketinggalan menyaksikan The Merchant Of Bollywood, Opera Turandot, Siti Di Alam Fantasi, Tun Perak, Cindai, Member Of The Club, Mohram, Gema Zafana, Roshomon, Alang Rentak Seribu, Konsert Geeta Gangsa, Lantai T.Pinkie dan banyak lagi.

Akan menyusul Oktober ini ialah pementasan Teater Gamat dan Cuci The Musical.
Syabas Istana Budaya.

Teater Kompilasi Volume 2 dan Single Terbaru Diddy

Entri oleh sultanmuzaffar 20 August 2009 5 komen



Lelaki Di Atas Awan - Diddy Hirdy



Teater Kompilasi Volume 2

Shidi Ke Pentas Teater

Entri oleh sultanmuzaffar 11 July 2009 0 komen

ASWARA bakal mementaskan Teater Muzikal Tun Abdul Razak di Istana Budaya. Mengangkat perjuangan Bapa Pembangunan ke pentas teater bakal digalas oleh pengarah tersohor Dato' Rahim Razali.

Pementasan itu bakal dibintangi oleh Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff selaku pelakon utama. Ia bakal berlangsung pada 16 hingga 20 Ogos di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Pementasan yang besar di panggung bertaraf antarabangsa memerlukan elemen muzikal disuntik dalam pementasan. Paling menarik apabila inilah kali pertama Rashidi Ishak berlakon teater selain Fauziah Latif yang sebelum ini pernah berlakon dalam produksi Rubiah beberapa tahun lalu.

Kali terakhir Dato' Rahim mengarah teater ialah dengan produksi Keris Sang Puteri sewaktu majlis buka panggung Istana Budaya pada tahun 1999.

UPDATES

Jika dahulu Rashidi Ishak hanyalah pemain gitar untuk kumpulan Dead Mushroom, kemudian dia beralih ke layar perak dengan filem Mimpi Moon. Kini tiba masanya untuk beraksi di pentas teater pula.

Bukan senang untuk menerima peluang kedua, Rashidi antara pelakon yang mendapat peluang tersebut. Pernah menerima tawaran berlakon teater Keris Sang Puteri sepuluh tahun lalu, namun selepas dua minggu berlatih dia terpaksa menarik diri. Kini peluang itu diterima lagi...dari pengarah yang sama.

Selain berlakon, Shidi akan turut menyanyi secara solo dan menari dalam pementasan tersebut. Bekas juara Sehati Berdansa musim pertama itu akui teater muzikal ini merupakan satu cabaran yang besar buatnya.

Katanya lagi, isterinya Vanida Imran banyak membantunya merealisasikan tugas tersebut. Rashidi Ishak ditemui sewaktu Majlis Pengumuman Tenaga Produksi Muzikal Tun Abdul Razak di Aswara Kuala Lumpur.

Noordin Hassan – Nostradamus Teater Melayu

Entri oleh sultanmuzaffar 17 June 2009 2 komen


Sepuluh tahun lalu, dunia teater Melayu digemparkan dengan cerita penarikan naskhah teater Mana Setangginya dari menjadi teater “buka panggung” untuk Istana Budaya, panggung teater paling breprestij negara. Naskhah teater itu tersimpan rapi di Istana Budaya hinggalah ia dipentaskan di pentas berprestij itu mulai 13 Jun lalu.

Wanginya setanggi masih terasa walaupun sepuluh tahun ia terperap di Istana Budaya. Seni budaya di Malaysia jarang-jarang sekali mencetuskan impak yang besar kepada saya. Sebagai penggemar teater, muzik dan filem, tiga cabang seni budaya itu boleh dibilang dengan jari bagi seni yang mampu membuatkan saya tergerak untuk cepat-cepat menulis tentangnya.

Filem contohnya, hanya filem seperti Gubra dan Talentime yang mampu menggerakkan saya. Muzik contohnya, hanya program realiti Akademi Fantasia musim pertama, kedua dan Konsert Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London yang mampu menggerakkan saya. Manakala teater pula contohnya, hanya Ronggeng Rokiah dan Puteri Gunung Ledang The Musical yang mampu membuatkan tangan saya menggeletar tidak sabar menulis.

Kini giliran Mana Setangginya yang mampu membuatkan minda saya terngiang-ngiang dan tergambar-gambar apa yang berlaku di atas pentas tersebut. Naskhah tulisan Datuk Noordin Hassan sekiranya diangkat ke pentas teater belum tentu mewah elemen komersialnya. Namun teater itu terus mewah dengan subteks serta perlambangan yang penuh artistik.

Bayangkan naskhah ini ditulis lebih 10 tahun lalu namun setelah dipentaskan minggu ini ia masih relevan. Isu yang diangkat menerusi teater ini terus berputar-putar walaupun di zaman sebelum kitab Al-Quran diturunkan sehinggalah sekarang. Isu manusia tamak, fitnah yang berleluasa, kezaliman, pembobrokan oleh pihak berkuasa, penindasan, lupa diri dan gila kuasa yang berleluasa.

Mana Setangginya berlatarbelakangkan sebuah perkampungan nelayan dan petani yang bermastautin di tepi pantai di pelbagai latar zaman. Penduduknya menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual hasil pohon setanggi. Nelayan ini dilarang untuk menangkap ikan pada hari Sabtu, iaitu hari beribadat.

Kumpulan nelayan yang menderhaka di bawah pimpinan Hawar telah berpindah ke atas bukit, lalu menubuhkan sebuah provinsi yang digelar Gemilang. Walaupun hidup dalam kemewahan, mereka telah melanggar perintah. Kedatangan Uzza selaku orang asing telah membawa falsafah baru dalam kehidupan dan peradaban mereka.

Konflik masyarakat tersebut meningkat apabila Juda, anak kepada Hawar mengahwini Iriam, anak kepada Ibra. Namun, Silbi dan Subat telah menabur fitnah akan asal-usul Iriam. Juda yang bermuka-muka akan kebaikannya cuba untuk mengaburi penduduk kampong. Dia dan ayahnya, Hawar mahu penduduk kampong nelayan yang bertaburan mengiktiraf kedudukan mereka sebagai raja. Mereka yang menentang akan diserang. Mereka menguasai kampong-kampung ini dan mahu segala hasil tangkapan dijual kepada mereka.

Sikap mereka ditentang oleh Uzza dan Paderi yang menasihatkan Hawar dan Juda telah ditangkap oleh Uzza. Ibra dan Iriam yang datang untuk membebaskan paderi telah dikenakan syarat 10 bakul ikan sebagai tebusan. Iriam juga perlu diserahkan kepada Uzza dengan persetujuan Juda.

Maka turunlah rebut yang maha dahsyat serta halilintar membelah suasana. Belut gergasi yang dibela Uzza akhirnya memakan tuannya sendiri serta membunuh Hawar. Akhirnya, Juda telah pun menemui sodom wa gamurahnya.

Setiap kali menyaksikan teater tulisan Datuk Noordin Hassan, setiap kali itulah saya akan cuba mencari kepada apa atau kepada siapa watak-watak itu boleh dikaitkan. Paling menarik dalam teater ini ada pelbagai watak yang mampu untuk menjentik minda saya untuk terus mengaitkan dengan apa yang pernah saya lalui atau pun melihat sendiri. Watak Juda, Iriam, Hawar, Mira, Uzza, Ibra, Paderi, Sami, Megda, Menteri Pembiakan Zuriat, Pemuda Seberang Laut, Esau dan banyak lagi.

Saya menonton teater bukan kerana aksi terbangnya, saya menonton teater kerana isi yang ingin disampaikan. Kepuasan menonton teater apabila terpegun dengan aksinya hanya kepuasan sementara. Manakala kepuasan menonton teater yang sebenar apabila isinya dapat saya hadam sehingga kenyang. Itu lebih puas pada saya.

Cikgu Noordin sendiri pernah menyatakan kepada semua wartawan yang hadir pada majlis pelancarannya. Ada yang nampak semua, ada yang nampak suku, ada yang akan nampak separuh dan ada yang tidak nampak langsung. Pemikiran manusia berbeza-beza dan jangan salahkan mereka.

Selepas menonton teater ini saya menyifatkan Datuk Noordin Hassan sebagai Nostradamus Teater Melayu. Beliau boleh melihat ke hadapan apa yang sedang dan akan berlaku dengan hanya permainan dialog dan naratif teater ini yang disampaikan penuh simbolik dengan subteks yang berlapis-lapis. Penerima anugerah Sasterawan Negara itu cukup unggul menaikkan martabat teater Melayu ke peringkat yang lebih berilmu agar khalayaknya tidak terus dibuai mimpi dengan lambakan teater muzikal yang tiada kesudahan. Mana Setangginya adalah wajah teater Melayu yang tebal dan sarat dengan detik yang membuatkan minda kita dicuit.

Siapakah Juda yang bermuka-muka dan sanggup mengahwini Iriam semata-mata ? Siapakah Iriam yang sering bermimpi dan mendapat alamat dari mimpinya ? Apa pula Pari-Pari yang berterbangan yang hanya boleh dilihat oleh Iriam, tetapi tidak Juda pada mulanya ? Hubungan intim Juda dan Iriam mengingatkan saya bagaimana intimnya sepasang pemimpin satu sepuluh tahun lalu.

Siapa pula Hawar dan siapa pula Ibra ? Lihat lebih teliti, pada nama wataknya sahaja sudah boleh kita telah siapakah dia. Belut gergasi pada saya dilambangkan kepada kekacauan peradaban yang telah berlaku di bawah kekuasaan Uzza, kuasa asing yang mahu menjadi raja. Jelas sekali ditujukan kepada kuasa barat. Megda ? Perempuan yang ditangkap ketika sedang berniaga hanya kerana mengenakan solekan. Kita mungkin pernah terbaca satu ketika dahulu kerajaan Kelantan tidak membenarkan perempuan bersolek. Nama wataknya juga Megda atau mungkinkah Mek Da ? Watak yang mana pula menggambarkan ISA ? Esau atau belut gergasi ? Pilih yang mana anda suka.

Saya tertarik membaca tulisan Zieman dalam akhbar online MStar yang berbunyi,
Bagi mereka yang tidak mempunyai fahaman politik yang jumud DIGALAKKAN menyaksikan pementasan ini. Tapi bagi mereka yang tidak mampu mengawal golak perasaan yang dibatasi emosi kacau tentang politik dan agama yang 'konservatif' atau mereka yang pernah menghampiri sifat 'MUNAFIK' mungkin akan mudah terasa dan tidak mampu menghayati naskah hebat dan teragung Cikgu Noordin ini.
Itu juga yang akan saya sarankan kepada mereka yang ingin menonton teater ini. Buang jauh-jauh fahaman politik anda dan pergi menonton tanpa rasa prejudis terhadap sesuatu bangsa, agama dan fahaman politik. Anda boleh mencari setanggi dan menemui bau setanggi dalam teater ini. Seterusnya mendapat apa pula makna setanggi tersebut.

Teater Mana Setangginya kini sedang dipentaskan di Istana Budaya mulai 13 Jun hingga 21 Jun depan. Tiket berharga RM30 hingga RM100 boleh dibeli di kaunter tiket Istana Budaya atau pun secara online di www.ticket2u.biz.

Kredit Foto : mStar