Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 26 February 2005 0 komen

SepetSepet lahir atas lafaz kejujuran

Sudah agak lama saya tidak memberikan ulasan filem sehingga mendapat teguran dari seorang guru filem mengenainya. Mungkin kerana dibuai fantasi Akademi Fantasia lalu saya melupakannya.

Saya berpeluang sekali lagi untuk menonton sebuah filem Malaysia bertajuk Sepet. Ini kali keempat saya menontonnya dan reaksi spontan saya masih sama sewaktu kali pertama saya menontonnya dalam versi rough-cut. Cuma tontonan kali ini lebih berbeza kerana skrin yang lebih besar dan tidak dilupakan potongan lapan adegan oleh Lembaga Penapisan Filem. Sekurang-kurangnya saya “acknowledge” kerja mereka. Sepatutnya saya mengeji tindakan mereka yang melepaskan Constantine untuk tayangan umum.

Walaupun berpeluang menonton versi tanpa suntingan, saya masih seperti sekarang. Tiada perubahan besar yang berlaku kesan dari adegan-adegan tersebut. Masih rajin memberi ulasan tentang Akademi Fantasia walaupun dalam salah satu dialog digambarkan Melayu itu sememangnya malas.

Sepet berkisar tentang Jason (Ah Loong) seorang penjual vcd haram yang lahir dalam sebuah keluarga Cina, meminati puisi dan telah jatuh cinta pandang pertama dengan Orked gadis dari keluarga kelas pertengahan yang terdidik dengan sempurna, fasih berbahasa Inggeris, gemar pelakon Takeshi Kaneshiro dan meminati filem Wong Kar-Wai dan John Woo. Secara tidak langung meraikan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia tanpa rasa prejudis terhadap bangsa lain.

Kisah cinta, hubungan mesra dan kasih saying yang dipaparkan dalam filem ini jauh melangkaui dari hubungan sepasang kekasih. Ia turut memaparkan kemesraan sebuah keluarga, layanan seorang majikan terhadap pembantu rumahnya yang tidak dilayan seperti seorang pembantu rumah, hubungan suami isteri dan hubungan persahabatan. Perhatikan sahaja, opening title filem ini yang mana berakhir dengan separuh dari nama Yasmin Ahmad iaitu Ahmad. Jelas sekali filem ini didedikasikan untuk keluarga beliau.

Sepet menggunakan empat bahasa (Melayu, Inggeris, Hokkien dan Kantonis yang dicampur adukkan menjelaskan realiti cara rakyat Malaysia berbicara) dan mampu memikat minat orang Melayu untuk menonton malah kaum Cina dan India juga sudah pasti terpikat untuk mengikuti kisah filem ini.

Uniknya Sepet apabila saya seakan-akan melihat sebuah realiti hidup di hadapan mata saya sendiri. Tanpa dialog yang meleret-leret, Sepet terus mencipta momentum sehingga ke penamat filem tersebut.

Anda tidak akan menemui dialog seperti;

Orked : Jason, u can call me at home, tapi…(long pause)

Jason : (sambil merapatkan tubuhnya ke arah Orked) Tapi apa Orked ?


Lupakan, anda tidak akan menjumpai dialog atau adegan sedemikian di dalam Sepet. Dialognya padat dan informatif. Setiap patah dialog yang dilafazkan ada kaitannya dengan cerita keseluruhan.

Dialog-dialog bijaksana banyak dalam filem ini, bercerita tentang sejarah Perancis dan Algeria, bagaimana filem Melayu yang hebat satu ketika dahulu, sifat Cina yang penipu dan Melayu yang pemalas (dipotong sedikit), Melayu yang celup Mat Salleh, kepentingan keluarga pada seseorang dan senarai akan berterusan tanpa henti…

SepetLakonan
Tanpa perlu mengurangkan umur Rosyam Noor, Yusry atau Erra Fazira, pelakon yang membawakan watak Jason dan Orked merupakan taruhan terbaik pengarah.

Pelakon remaja yang pertama kali tampil di layar perak merupakan seorang yang masih segar, masih suci dan senang untuk dibentuk selain seorang Pengarah Seni yang takutkan bossnya. Ng Choo Seong mampu membawakan watak seorang jejaka yang pemalu, masih tercari-cari identitinya, keliru, resah dan sengsara jelas terpapar pada wajahnya.

Sharifah Amani umpamanya lahir dari darah seni seorang pelakon ternama dan pelukis telah memberikan lakonan yang cukup sifatnya. Penampilan bersahaja beliau serta ekspresi wajahnya yang mampu menimbulkan elemen ceria, sedih, gembira, resah, menangis bertukar satu-persatu dalam setiap adegan.

Keluarga Pak Atan dan Yam, orang gajinya lengkap sebagai sebuah keluarga Melayu yang penuh dengan nilai keMelayuannya serta digabung-jalin dengan rasa kasih sayang dan kemesraan. Keluarga Jason yang bising tatkala sedang menjamu selera serta kebengkengan bapanya menceritakan yang bukan sahaja Melayu punya masalah, kaum Cina juga punya masalah yang sama.

SepetKebijaksaan Yasmin
Yasmin Ahmad, Pengarah filem ini tahu bercerita secara tersurat dan tersirat melalui medium seluloid. Walaupun menurutnya, beliau tidak belajar apa itu bahasa filem tetapi saya dapat melihat ia ditampilkan secara penuh bijaksana oleh beliau.

Filem ini disingkap pembukaannya dengan hubungan ibu dan anak dan diakhiri juga dengan hubungan ibu dan anak. Sudah cukup jelas yang filem ini keseluruhannya bercerita tentang itu.

Penonjolan watak salah seorang kawan kepada Jason dan Keong yang handphonenya sering berbunyi sudah cukup merimaskan saya. Tanpa satu dialog pun, saya sudah membencinya. Kehebatan beliau mencipta watak yang mampu mempengaruhi emosi penonton sudah cukup kuat. Begitulah juga sekiranya dalam kita sibuk menghayati filem yang sedang kita tonton, berbunyi handphone atau pun penonton di sebelah sibuk mengulas filem tersebut seperti krew ERA yang membuat bising di dalam panggung.

Begitu juga adegan yang membabitkan isu-isu sensitif seperti biasiswa. Kerana kebijaksanaan pengarah, adegan tersebut terlepas pandang oleh Lembaga Penapisan Filem. Isunya jelas, Jason yang memperoleh 7A hanya menjadi penjual vcd haram manakala Orked yang mendapat 5A berjaya mendapatkan biasiswa. Kita harus menilai kemampuan penonton Melayu untuk sedar dan nampak perkara tersebut. Perkara seremeh budi bahasa pun harus diingatkan saban hari melalui lagu budi bahasa oleh Siti Nurhaliza.

SepetAdegan yang ditampilkan dari babak ke babak merupakan satu untaian jiwa jujur yang bercerita dan semakin mendekatkan kita dengan realiti. Kekuatan setiap babak dan skrip yang ringkas menjadi tunjang utama kehebatan filem ini. Babak seperti anak patung dalam keadaan statik dan kemudian menari, shot pil tongkat ali, orang buta bermain keyboard di tepi jalan merupakan babak-babak ringkas yang memberikan kesan yang besar kepada filem ini. Adakalanya tanpa dialog dan hanya kesan visual telah memberikan seribu makna untuk ditelah oleh penonton.

Penggunaan shot kamera oleh Keong Low yang cantik serta penggunaan muzik latar yang bersesuaian memberikan mood yang indah pada filem ini. Ketenangan air di latar pertemuan Jason dan Orked di tepi tasik begitu indah. Penggunaan shot perspektif mengundang bencana di penghujung filem ini (menurut perujuk filem saya, Pak Hassan Mutalib).

Lagu temanya saya kira merupakan sebuah lagu Cina dan saya menyukai lagu tersebut. Yam yang gemarkan lagu Siam menjadi lagu tema sewaktu adegan mesra Pak Atan dan Mak Inom.

SepetHarapan
Penamat filem ini meluahkan harapan bukan sahaja harapan Orked tetapi juga harapan pengarahnya. Orked mengharapkan agar dapat mendengar suara Jason. Sesiapa sahaja yang berharap, tentu berharap harapan itu berpihak kepada kita.

Sebagai manusia, kita hanya ingin mendengar apa yang ingin kita dengar. Itu harapan kita. Harapan Orked, mahu mendengar ungkapan cinta yang lahir dari rasa Jason. Harapan saya mahu melihat perubahan yang besar pada dunia perfileman Melayu, dan Malaysia amnya.

Penamat filem ini kini menjadi milik anda. Itulah bukti filem ini merupakan sebuah filem yang baik.

Sepet lahir atas nama kejujuran. Rasailah Sepet sebagaimana anda merasai cinta. Sepet sebuah filem yang berlapis-lapis. Tonton lapisan pertama untuk merasai cinta, hayati lapisan kedua untuk menjelajah pemasalahan bangsa Malaysia dan selam ke lapisan ketiga untuk menzahirkan harapan dan rasa cinta dunia perfileman Malaysia.


Filem ini boleh berbangga dengan ceritanya yang bersesuaian dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang gemilang, dialog yang unik yang lahir dari kejujuran dan pemaparan realiti yang berkesan, lakonan yang mantap dan meyakinkan terutama watak utama dan reka sinematografi yang mengkagumkan serta cantik.

Rating : A
Arahan : A
Lakonan : A
Skrip : A
Sinematografi : A
Arahan Seni : A
Muzik Latar : A

Lulus dengan CEMERLANG !!


Foto ihsan Pang Kee Teik and Sepet Official Site
Poster ihsan Sepet

Ulasan Sepet
Blog
Yasmin Ahmad : http://yasminthestoryteller.blogspot.com/
Yasmin : Love on Trial
TVSmith Dua Sen : SEPET (A Review)
Ted : 'Sepet' by Yasmin Ahmad – Jujur sejujur-jujurnya
Pick Yin : "You are My Poetry"
Najah : An Afternoon with Sepet (and Yasmin Ahmad)
Judd : Sepet vs. Constantine
Pete Teo : Dementia & Chatterboxes
Tontonfilem : Yasmin & Aku serta Bundarnya Sepet
Leen : Go Watch Sepet. Twice. Thrice Even.
Mat Jan : Sepet: Semua orang boleh suka
Badrul : the one about badrul and ten things that he hates about sepet...
Jimi : SEPET: FILEM TERBAIK MALAYSIA SETAKAT INI
Awan Putih : Tidak Sepet
teekay : I Hate Sepet

Akhbar
Sinema Baru : SEPET sarat makna tersembunyi
Kakiseni Paparazzi : A Night in the Life of Sepet
Utusan : Sepet buat anda ketawa dan menangis
The Star : Making The Grade by Rizal Johan
Utusan : Jom, tengok Sepet
The Sun : On behalf of the Rakyat
Malay Mail : At last, a true Malaysian gem

Entri oleh sultanmuzaffar 19 February 2005 0 komen

KEBUN BOWLING TOURNEY

Saya membatalkan niat saya untuk menyaksikan Anugerah Planet Muzik kerana mahu sama-sama merasakan keseronokan bersama sahabat-sahabat saya yang kesemuanya saya kenali melalui blog ini. Lagipun Anugerah Planet Muzik akan ada ulangan. Begitu juga Blast Off. Tetapi tidak keseronokan bersama kawan-kawan anda sendiri. Dalam keadaan yang tidak berapa sihat, saya gagahkan juga meredah jalan ke Mines Shopping Centre. Bukan selalu main bowling. Baling sahaja bukan susah. Kemenangan akhirnya berpihak kepada pasukan EASTWEST yang seragam berpakaian warna hitam. Naib Johan berpihak kepada team merah dari REDBULLS. Manakala tempat ketiga dibolot oleh team kuning dari KINGPINS. Tanpa perlu dipersoalkan, pasukan STRIKE yang menggunakan warna pink sebagai warna tema merupakan pasukan yang tercorot. Seperti malam penyingkiran Nurul yang membawakan lagu Lucky, malam itu tidak memberikan apa-apa tuah untuk beliau. Begitu juga pasukan STRIKE yang hanya sekadar namanya STRIKE.

STRIKE
1. wink
2. meesua
3. iz
4. cikanos
5. lin banana
6. SM (Import Game 3) *Punca kekalahan

Kemasukan SM menggantikan meesua, iz, cikanos & linbanana yang pancit sekaligus memberikan gambaran mereka hanya mampu dua round dengan Datuk wink.

EASTWEST
1. Bad
2. Batrisya 88
3. Nart
4. Leen
5. SM (Import Game 2) *Punca kemenangan

Kemasukan SM setelah melihatkan persembahan hambar dari Leen sekaligus menyebabkan SM menyarungkan kasut bowling untuk mengambil-alih tugas tersebut.

KINGPINS
1. sumbing
2. org kampung
3. NHK
4. scov
5. rose

Scov datang dari Pulau Pinang semata-mata kerana keseronokan ini. Mana mungkin saya melepaskan peluang tersebut.

REDBULLS
1. Iskandar
2. aidid5
3. waiem
4. LV
5. yasz

Pasukan yang kekwat apabila tidak berkongsi hadiah dengan pasukan lain. Over sangat !

Johan EASTWEST
Naib Johan REDBULLS
Tempat Ketiga KINGPINS
Tempat Tercorot STRIKE
Individu Terbaik Keseluruhan BADRUL
Individu Terbaik Permainan BADRUL

Untuk mengikuti secara langsung sessi melaser tentang prestasi masing-masing sila ke blogpisang dan badrulaftersix. Khabarnya Badrul akan membuat posting tiga hari berturut-turut untuk meraikan kemenangannya.

Album Foto Kebun Bowling Tourney
Next Outing : Jom Menonton Sepet !
SPOILER ALERT ! Ulasan Sepet oleh Fadz

PEMENANG ANUGERAH PLANET MUZIK 2005

ARTIS BARU LELAKI TERBAIK
AC-Tassamaqu
Ressa Herlambang-Diary of Life
Iskandar Ismail-Destinasiku
Paundra-Sebuah Awal
Vince-Vince
Pemenang VINCE

ARTIS BARU WANITA TERBAIK
Ajeng-Pertama
Dia Fadila-Dia
Norazia-Cinnamon Cassia
Saidatul Erma-Saidatul Erma
Shahira-Shahira
Pemenang DIA FADILA

DUO / KUMPULAN BARU TERBAIK
Bamboo-Adaptasi
Bhumiband-Suara Dunia
Rocket Rockers-Ras Bebas
Seurieus-Rocker Juga Manusia
Ten 2 Five-I Will Fly
Pemenang BHUMIBAND

ARTIS LELAKI TERBAIK
Ari Lasso-KuLihat KuDengar KuRasa
Chrisye-Senyawa
Iwan Fals-Manusia 1/2 Dewa
Rem-Satu Suara
Zainal Abidin-Puteri
Pemenang ARI LASSO

ARTIS WANITA TERBAIK
Audy-2002
Dayang Nurfaizah-Dayang Sayang Kamu
Dewi Sandra-Ku Akui
Kris Dayanti-Cahaya
Misha Omar-Aksara
Siti Nurhaliza-Prasasti Seni
Pemenang KRIS DAYANTI

DUO / KUMPULAN TERBAIK
Bhumiband-Suara Dunia
Flop Poppy-Say La V
Peter Pan-Bintang Di Syurga
Sheila On 7-OST 30 Hari Mencari Cinta
Spider-Nazraku
Pemenang SHEILA ON 7

LAGU TERBAIK
Arti Cinta-KuLihat KuDengar KuRasa
Berhenti Berharap-OST 30 Hari Mencari Cinta
Cobalah Untuk Setia-Cahaya
Dialah Dihati-Prasasti Seni
Pulangkan-Aksara
Pemenang BERHENTI BERHARAP

ALBUM TERBAIK
Cahaya-Kris Dayanti (Erwin Gutawa)
KuLihat KuDengar KuRasa-Ari Lasso (Ari Lasso)
Nazraku-Spider (Spider)
OST 30 Hari Mencari Cinta-Sheila On 7 (Jan Djuhana & Sheila On 7)
Sawo Matang-Noraniza Idris (Noraniza Idris)
Pemenang KULIHAT KUDENGAR KURASA (ARI LASSO)

ARTIS TERBAIK (SINGAPURA)
Bhumiband-Suara Dunia
Dinodi-Cinta Tragika
Iskandar Ismail-Destinasiku
Norazia-Cinnamon Cassia
Project R4S-Muqaddimah
Pemenang ISKANDAR ISMAIL

LAGU TERBAIK (SINGAPURA)
Cinta Tak Mungkin-Destinasiku (Iskandar Ismail-Baba-Baba)
Cinta Tragika-Cinta Tragika (Dinodi-Md Khair Md Yasin)
Oh Kasih-Suara Dunia (Bhumiband)
Silap-Muqaddimah (Project R4S-Project R4S-Project R4S)
Wau Bule-Cinnamon Cassia (Norazia-Norazia & Arjuna De Bromo)
Pemenang OH KASIH (BHUMIBAND)

ALBUM TERBAIK (SINGAPURA)
Cinnamon Cassia (Norazia-Norazia, Arjuna De Bromo & Olaf Hund)
Destinasi Ku (Iskandar Ismail-Baba)
Me Lodi (Jaliboy-Jaliboy)
Suara Dunia (Bhumiband-Hang Dimas)
Tajul 'Arifin (Zynal-Hasanyn)
Pemenang SUARA DUNIA (BHUMIBAND)

ARTIS LELAKI PALING POPULAR
Ajai
Anuar Zain
Ari Lasso
Glenn
Hazrulnizam
Iwan Fals
Marcell
M Nasir
Vince
Yassin
Yusry (KRU)
Zainal Abidin
Pemenang ANUAR ZAIN

ARTIS WANITA PALING POPULAR
Agnes Monica
Anita Sarawak
Audy
Azrina
Dayang Nurfaizah
Ezlynn
Kris Dayanti
Melly
Misha Omar
Siti Nurhaliza
Siti Sarah
Ziana Zain
Pemenang SITI NURHALIZA

KUMPULAN PALING POPULAR
Dewa
Flop Poppy
Gigi
Mambang
NewBoyz
Padi
Peter Pan
Ruffedge
Sheila On 7
Spider
Tofu
VE
Pemenang SPIDER

LAGU PALING POPULAR
Alhamdulillah II - Too Phat feat Yassin
Bagaikan Sakti - M Nasir & Siti Nurhaliza
Berhenti Berharap - Sheila On 7
Cobalah Untuk Setia - Kris Dayanti
Lagu Rindu - Siti Nurhaliza
Suziela - Flop Poppy
Pulangkan - Misha Omar
Relaku Pujuk - Spider
Sedih Tak Berujung - Glenn
Seksis - Anita Sarawak
Tak Tahan Lagi - Melly
Tipah Tertipu - Ruffedge
Pemenang LAGU RINDU (SITI NURHALIZA)

Anugerah Khas APM 05
Pemenang KUMPULAN DEWA

Anugerah Pencapaian APM 05
Pemenang RAMLI SARIP

Saya paling suka persembahan Saiful Apek membawakan Medley 12 Lagu Paling Popular. Walaupun liriknya menjadi kacau-bilau tetapi persembahan tersebut ada keunikannya yang tersendiri. Idea menampilkannya sedemikian juga sudah harus dipuji.

Persembahan lain yang menarik minat saya tentu sekali kemunculan Dewa membawakan lagu Pangeran Cinta dan Pupus. Sememangnya mereka genius muzik Indonesia.

Penghargaan dari orang baru kepada orang lama yang diraikan dalam lagu Bukan Kerana Nama dendangan oleh Taufik Batisha untuk menghargai seorang Papa Rock iaitu Ramli Sarip.

Pertarungan vokal antara Siti Nurhaliza, Kris Dayanti dan Melly Goeslaw juga merupakan antara persembahan yang gemilang. Membawakan lagu Cinta, Cobalah Untuk Setia, Dialah Di Hati dan Tak Tahan Lagi secara duet merupakan satu persembahan yang benar-benar mengiktiraf hasil-hasil seni Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Hayati lirik Rumah Kita, lagu penutup yang didendangkan sewaktu Anugerah Planet Muzik semalam.

Rumah Kita
hanya bilik bambu
tempat tinggal kita
tanpa hiasan
tanpa lukisan
beratap jerami
beralaskan tanah
namun semua ini punya kita
memang semua ini milik kita
sendiri ...
hanya alang-alang
pagar rumah kita
tanpa anyelir
tanpa melati
hanya bunga bakung
tumbuh di halaman
namun semua ini punya kita
memang semua ini milik kita
haruskah ..
kita beranjak ke kota
yang penuh dengan tanya ...
reff :
lebih baik disini
rumah kita sendiri
segala nikmat dan anugerah
yang kuasa
semuanya .. ada disini
rumah kita ...


Tahniah kepada semua pemenang !

Entri oleh sultanmuzaffar 04 February 2005 1 komen

Projek 238Temuramah Email

Sekali lagi saya diberi peluang untuk menjanakan pendapat saya untuk melengkapkan lagi proses pendidikan dan penyelidikan yang dilakukan oleh seorang blogger kenalan saya iaitu Fadz. Beliau memiliki blog yang bergelar tontonfilem. Tentu ada di antara anda yang pernah melayari blog beliau. Saya gemar membaca blog beliau sejak dahulu sehingga kini. Walaupun adakalanya proses penyelidikan yang dibuat oleh beliau untuk sesebuah filem itu terlalu mendalam dan kita seakan didedahkan dengan sejarah perfileman akan menjadikannya sesuatu yang sukar untuk diterima. Saya akui blog beliau merupakan antara rujukan saya tentang filem.

Bahagian I

1. bagaimanakah SM kenal akan komuniti blog dan pada tahun apa?
Saya mula mengenali komuniti blog apabila saya dan sahabat baik saya iaitu Nizam Zakaria saling bertukar-tukar link satu blog iaitu bluehikari.com. Pandangan pertama saya hanya sekadar untuk melihat gambar-gambar pengalaman penulis (Rudy) yang sewaktu itu berada di Jepun. Dari situ, saya terdedah kepada beratus jenis blog yang ada di gengjurnal.net. Pelbagai macam jenis blog ada di situ. Dari situ timbul minat saya untuk memiliki blog saya sendiri. Entri pertama saya bertarikh 26 Februari 2002, itupun setelah saya sendiri tidak sabar untuk menulis. Sepatutnya saya telah berhasrat untuk memulakannya pada 1 April 2002. Tetapi kerana ketidaksabaran, saya telah mempercepatkannya.

2. Apabila mengenalinya, apakah yang membuat saudara ingin mencipta blog sendiri? dan waktu saudara mencipta blog saudara (yg kini tercipta) adakah saudara terfikir tentang misi/bentuk/strategi yang ingin saudara projektorkan terhadap khayalak?
Saya menulis untuk suka-suka. Apa yang saya tulis hanyalah pandangan saya, rasa saya dan rakaman saya tentang sesuatu isu. Sekiranya saudara mengikuti blog saya sejak awal, ia berkisar tentang kehidupan seharian saya yang agak membosankan untuk dibaca. Dulu saya pernah kutuk pengurusan di pejabat saya dalam blog saya. Masa dulu tidak ada siapa yang baca. Kutuklah sepuas hati. Sekarang, penulisan bercorak ulasan mula saya terapkan sejak Januari 2003. Saya kira ia lebih memberikan manafaat kepada pembaca. Lagipun artikel yang diulas adalah artikel yang dikongsi bersama.

Pada mula penulisan saya langsung tidak memikirkan tentang misi atau strategi penulisan saya. Tetapi lama kelamaan saya terfikir, apakah manafaat yang boleh pembaca saya dapat melalui blog saya sekiranya saya terus menulis tentang perjalanan hidup saya membosankan yang tiada kena mengena dengan mereka. Maka untuk itu saya mencuba untuk menulis tentang apa sahaja teater, konsert dan website yang saya tonton dan layari untuk manafaat mereka. Bermula dari Akademi Fantasia saya menulis tentang apa sahaja yang berlaku di dalam dan di luar Akademi Fantasia. Alhamdulillah, pembaca menerimanya. Kini saya melihat tanggungjawab saya semakin besar dalam penulisan terutamanya yang berkaitan Akademi Fantasia.

3. Siapakah 'target audience' saudara sebenarnya, atau memang, blog yg. saudara cipta dikhaskan untuk saudara sendiri menelitinya, seakan jurnal yg. mana orang ramai boleh 'take a peek'?
Saya tidak pernah meletakkan target audience saya. Sesiapa sahaja boleh membacanya. Artikel tentang teater boleh dibaca oleh sesiapa sahaja, begitu juga dengan artikel tentang Akademi Fantasia. Kesan pelbagai jenis topik yang ada dalam blog saya, ia telah membolehkan enjin carian Google menyenaraikannya apabila pelayar internet mencari maklumat tentangnya. Seboleh-bolehnya saya mahu mereka kekal membaca setiap entri yang ada tanpa memilih topik-topik yang hanya mereka gemari. Kerana dari situ pembaca saya boleh nenanam minat untuk meminati apa yang diminati oleh orang lain.

4. sehingga kini, sudah berapa 'hits' yg saudara kecapi, kalau tak pun sebulan/seminggu?
Sehingga kini hitsnya sudah mencecah angka 929,232. Ini bukan bermakna saya sudah mengumpul pembaca sebanyak 929,232 orang. Angka tersebut sekadar bilangan lawatan yang telah dibuat sejak Februari 2002 hingga sekarang.

Bilangan hits yang saya terima agak berbeza tatkala musim Akademi Fantasia sedang berlangsung bilamana ia boleh mencecah 6,500 hits sehari, 36,000 hits seminggu dan 128,000 hits sebulan.

Pada hari-hari setelah musim Akademi Fantasia bilangan hits hanya sekadar 1,000 hits sehari, 6,000 hits seminggu dan 26,000 hits sebulan.

5. saudara kelihatan menjurus kepada ulasan budaya pop, tetapi ada juga menggambarkan dalam blog saudara, menyentuh isu2 sastera dan berkecimpung dgn. 'fine arts', adakah ada makna disebalik ini untuk perhatian pembaca saudara?
Saya menulis apa sahaja yang saya minat tanpa ada batasan yang mengekang minat saya. Saya tulis tentang hiburan mainstream seperti Akademi Fantasia yang lebih berkonsepkan budaya pop. Saya sedikit berbangga apabila saudara berjaya juga mencungkil idea-idea ulasan saya untuk isu-isu sastera dan “fine arts”. Ya, saya mengaku ada agenda saya yang tersendiri. Sebolehnya saya mahu juga pembaca saya pergi menonton teater atau filem yang bagus-bagus. Saya mahu menyogokkan pembaca saya bukan sekadar dengan bacaan yang berbentuk hiburan tetapi juga bacaan yang berbentuk ilmiah. Sampai bila pembaca saya harus dibuai fantasi Akademi Fantasia dan Malaysian Idol, sekali sekala mereka harus juga didedahkan dengan teater-teater bagus seperti Ronggeng Rokiah dan matderihkolaperelih atau filem-filem hebat seperti Puteri Gunung Ledang, Sepet dan Gangster.

Nota tambahan: Dalam diam sebenarnya saya cuba mempromosikan Kelab Akar Gita Estetika yang bergiat aktif dalam bidang teater, muzik dan tarian. Saya mahu mereka menghargai kerja-kerja seni kreatif ini seperti mereka terlalu mengagungkan Akademi Fantasia.

6. saya fahami bahawa saudara terus terkenal selepas mengulas AF (mungkin saya salah, maknanya saudara mmg sudah dikenali lebih awal dari itu)...Apa sebenarnya yg. saudara ingin projektorkan di sini..adakah pengemblengan ini untuk suka2, atau ada matlamatnya yg. tersendiri?
Saya sebolehnya mahu membudayakan minat membaca di kalangan penggemar siaran televisyen. Saya melihat mereka begitu aktif di dalam forum gosip seperti cari.com dan artismelayu.net. tetapi bahasanya di situ adalah bahasa yang rojak yang tunggang-langgang struktur nahu nya. Blog ini saya buat sebagai platform untuk mereka berinteraksi secara lebih positif dan mereka bebas untuk mengutarakan pendapat masing-masing dengan batasan-batasan yang ada. Visi yang pada mulanya suka-suka kini menjadi satu tanggungjawab yang berat. Bukan sahaja untuk para pembaca saya tetapi juga untuk saya. Saya perlu memberikan komen yang jujur dan saya menganggapnya sebagai satu beban yang cukup berat untuk saya tanggung. Pengiktirafan di peringkat mainstream bukan matlamat utama saya, cukup sekadar apa yang saya peroleh sekarang.

7. Kini, dalam kaji selidik saudara sendiri, apakah lingkungan umur pembaca yg melawati blog saudara?
Dalam satu soalselidik yang pernah saya buat dalam blog saya mendapati pembaca saya berada dalam lingkungan umur 16-25 tahun. Kebanyakannya ialah remaja dan pelajar manakala golongan kedua terdiri dari kalangan yang berumur 26-30 tahun. Mereka ini boleh saya sifatkan golongan yang telah bekerja dan profesional. Ini boleh saya buktikan melalui taburan hits berdasarkan jam yang mana masa puncak blog saya adalah pada waktu bekerja sekitar jam 8 pagi - 5 petang.

Anda berada di dalam lingkungan umur [1767 votes total]

Bawah 15 tahun (238) 13%
16 - 25 tahun (903) 51%
26 - 30 tahun (308) 17%
31 - 35 tahun (140) 8%
36 - 40 tahun (83) 5%
Lebih 40 tahun (95) 5%

8. Saudara mempunyai niat yg murni mencipta PFS, apakah sebenarnya tujuan ciptaan PFS (cth., meruntumkan silratul rahim antara penulis blog?)...? Adakah PFS ada misi tersendiri mengatasi Penulis Islam baru (ahlinya Lutfi Ishak, Faizal Tehrani, Dr. Zaki, Raja Ahmad, SM Zakir..mereka ini setidak2nya menuruti atau terpengaruh dengan 'sastera islam' pembawaan Shanon Ahmad)? Adakah PFS sendiri ada matlamat 'alternatif' dalam persoalan ini?
Saya sedar akan wujudnya Penulis Islam baru. Mereka ada aliran mereka sendiri dan saya pasti pembaca mereka sendiri. Tetapi kalau itu sahaja aliran penulisan yang kita ada di Malaysia, semacam kita membataskan kerja-kerja kreatif kritis yang lain. Kelak, tidak ada kepelbagaian sastera di dalam negara kita sendiri. Kalau tidak ada kepelbagaian, sastera kita tidak akan ke mana. Tapi sayangnya itu yang saya lihat. Seperti ada motif untuk mempromosikan sastera aliran ini dan menidakkan aliran yang lain yang mungkin wujud. Keadaan dunia penulisan di Malaysia, seperti mana saya pasti saudara sudah sedia maklum, berpuak-puak. Mereka yang mengikut satu-satu aliran akan menidakkan aliran yang lain. Mana-mana yang tidak mengikut visi mereka akan dikatakan bukan sastera malah dilabel ‘bukan mainstream’. Lihat sahaja diskusi ‘Weblog: Ruang Ekspresi Idea & Sastera’ yang akan diadakan di Rumah Pena pada 29 Januari 2004. Mengapa Nizam Zakaria (saya rasa, penulis pertama di Malaysia yang menerbitkan novel dalam bentuk e-book dan kemudian di dalam novel bersiri di dalam blognya) tidak dijemput. Mengapa ‘Bapa Blogger Malaysia’ Jeff Ooi tidak diminta untuk menjadi ahli panel? Malah, saya akui, jika mereka dijemput, mereka juga akan datang dengan menyediakan kertas kerja. Tetapi mengapa beberapa nama ini ditidakkan dan dianggap seolah-olah mereka tidak wujud di dalam dunia mereka ini? Boleh saya dapatkan jawapan yang ikhlas?

Misi PFS ialah untuk mencorakkan satu fahaman yang lebih liberal dalam seni dan sastera. PFS ada golongan yang tahu menilai seni kreatif dari program televisyen yang telah mereka tonton dan menghargai perbincangan secara ilmiah. Saya fikir, sastera dan seni tidak perlu kaku dan mempunyai satu corak sahaja. Ia perlukan kepelbagaian. Saya tidak ada masa seperti segelintir penulis yang mahu menutup kelemahan mereka dengan menutup pintu kepada penulis-penulis yang lebih berbakat yang ada menulis di Internet. Saudara sendiri, mempunyai kebolehan luar biasa mengulas mengenai filem tetapi bakat saudara langsung tidak diiktiraf secara “mainstream”. Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita meletakkan prejudis kita ke tepi dan kita perlu mengiktiraf penulis-penulis blog yang telah banyak mengubah cara kita berfikir (walaupun proses ini mengambil masa), dan melihat sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai contoh, dengan adanya blog, wartawan-wartawan kini tidak boleh menulis sesuka hati mereka kerana terdapat penulis-penulis blog yang jauh lebih cerdik dan arif dari mereka ketika menulis dan mengulas sesuatu perkara. Dengan adanya blog yang lebih tertumpu pada penulisan novel pula (ada beberapa blog seperti ini selain dari blog Nizam Zakaria jika saudara selidiki sendiri), pembaca-pembaca akan sedar betapa berbakatnya penulis-penulis yang kita ada jika dibandingkan dengan karya-karya yang telah diterbitkan tetapi sayangnya karya mereka hanya wujud di atas talian. Mengapa perkara ini boleh berlaku atau kita akan terus menerus begini, sedangkan beberapa karya blog barat telah dijadikan novel. Persoalan-persoalan sihat seperti inilah yang diharapkan membawa kepada perbincangan dan akhirnya perubahan yang baik di dalam dunia sastera dan seni di negara kita.

Sejarah PFS
PFS ? Petrol Free Setahun ? Peminat Fanatik sultanmuzaffar ? Saya nampak saudara terkeliru dengan konsep PFS. PFS sekadar suka-suka untuk mengembalikan apa yang telah diambil oleh ASTRO. Sewaktu Akademi Fantasia I, pembaca saya mengumpulkan email mereka sesama sendiri. Lalu saling bertukar-tukar forward email maka email yang paling panjang ialah tentang Petrol Free Setahun. Disingkatkan cerita, dari situ wujud nama PFS. Apa yang telah diambil oleh ASTRO, kita kembalikan semula dengan membuat encoding lagu-lagu konsert dalam bentuk mp3, video konsert dalam format vcd. Saya tidak fikir mereka dari PFS ingin mengatasi penulis-penulis tersohor yang sudah ada nama seperti Penulis Islam Baru. Mereka sekadar berseronok ingin juga berblog setelah melihat saya berblog. Saya melihat mereka lebih suka berfotoblog. Berkongsi pengalaman dan pandangan mereka bersama yang lain.

9. Saya lihat, bukan sahaja penggarapan bahan blog, dengan cara persembahannya, isinya dan temanya yg. saudara pentingkan, tetapi juga 'perjumpaan-perjumpaan' yg. saudara 'unformally' lakukan (or was it someone else idea?)..saya faham kenapa perjumpaan2 ini dilakukan, tetapi apakah agenda lain kenapa saudara lakukan ini atau saudara tidak sedar terhadap ini? (as ive heard a lot of ur style when speaking...thus in a way, when people has seen and talk with u, physically, they see ur personality, hence ur charisma..in a sense, i see in them that they respect u..and in a way, conjure u as a leader amongst them...its ok, tell me in ur own words, coz we are trying to realize and understand the form of leadership, whether it is decide upon or aptly made or unconsciously determined)..
Saya mengambil masa yang lama untuk menerima pelawaan mereka. Berkali-kali mereka meminta saya hadir tetapi berkali-kali juga saya menolak pelawaan mereka dengan baik. Mereka saya anggap seperti sahabat saya sendiri. Tidak salah sekiranya saya bertemu dengan mereka. Hubungan kami agak rapat. Sebolehnya sebagai seorang blogger saya ingin kekal tidak dikenali. Tetapi kemunculan saya dalam Imbasan Akademi Fantasia seakan-akan satu signal yang saya telah bersedia untuk menerima pelbagai kelompok pembaca sebagai kawan-kawan saya sendiri. Saya sering dijadikan bahan rujukan untuk Akademi Fantasia. Sehingga masalah-masalah fanclub juga harus saya tanggung dan selesaikan. Saya mencuba sebaik yang mungkin untuk memuaskan hati semua pihak. Jika boleh saya tidak mahu peminat Akademi Fantasia ini jenis yang mudah untuk ditipu lagi. Mereka memerlukan seseorang sebagai rujukan. Berinteraksi dengan mereka juga seakan meluaskan lagi pandangan saya dan pengalaman saya. Semuanya berlaku secara kebetulan dan saya tidak pernah mengharapkan mereka mendewa-dewakan saya kerana saya juga seperti mereka hanyalah salah seorang peminat Akademi Fantasia. Cuma saya mengharapkan mereka menerima saya seadanya.

Bahagian II

1. Apakah pendirian saudara terhadap media perdana kita dari segi penyampaiannya dan pengaruhnya?
Media arus perdana sememangnya mempunyai pengaruh yang besar, mungkin terlalu besar di Malaysia. Maka, sudah menjadi tanggungjawab kepada media arus perdana ini menyampaikan sesuatu dengan ikhlas dan tulus kepada rakyat Malaysia tanpa menjadi 'pak turut' dan bertuankan kepada mana-mana parti tertentu di negara ini. Akan tetapi inilah yang telah berlaku. Jika di barat, para jurno terdiri dari mereka yang benar-benar mempunyai kredibiliti menulis, hatta menulis warta hiburan sekalipun. Namun demikian, di Malaysia jarang kedapatan penulis yang betul-betul berbakat dan mempunyai kredibiliti. Ramai di antara mereka menulis sambil lewa tanpa “passion”. Penulis-penulis seperti Noor Azam Shaari, Ku Seman Ku Hussain dan Johan Jaafar sukar dicari. Bagi saya, penulis seperti merekalah yang perlu ada.

2. Apakah saudara fikir, dengan penguasaan 'skill' dalam mengetahui teknologi internet (dlm konteks penciptaan blog saudara), ia sedikit sebanyak (berkenaan ergonomics) membuat blog saudara jadi tumpuan? Apa pula kondisi ini dikaitkan dengan idea (bermakna dengan idea sahaja, sudah ada kekuatannya)?
Saya tidak rasa skill saya dalam teknologi internet mempengaruhi bilangan pembaca. Kini sesiapa sahaja boleh mempunyai blog dan mampu membina website sendiri. Adakalanya limpahan teknologi juga mampu membuatkan blog tersebut dibenci kerana terlalu berat dengan skrip-skrip yang tidak perlu. Saya rasa kandungan blog yang telah merangsang pembaca untuk melawatinya. Kandungannya terdiri dari bahan-bahan hiburan seperti muzik, teater, filem, drama dan tv realiti. Maka secara tidak langsung, ia membuatkan pembaca meminatinya. Bahan-bahan tersebut lebih ringan di mata pembaca tetapi seboleh-bolehnya saya mahu memberi satu nafas baru dalam artikel-artikel berkaitan industri hiburan. Saya mahu pembaca melihat dari perspektif yang berbeza dan jika boleh diberikan sedikit elemen yang berat agar dalam hiburan itu bukan sekadar gosip tetapi juga ilmu-ilmu dan mesej-mesej yang lebih bermanafaat untuk masa hadapan.

3. Siapakah idola saudara? atau apa yg mempengaruhi saudara dalam hidup, dalam penulis atau apa2 bidang yg saudara suka (tv, filem, muzik, sastera, teater, falsafah, idea)?
Dalam bidang penulisan blog, idola saya adalah Nizam Zakaria yang telah membuka jalan kepada penulisan ulasan blog kepada ramai penulis-penulis blog di Malaysia samada mereka sedar atau tidak. Minat saya untuk menulis secara serius juga mula dipupuk sejak mengenali beliau. Selain daripada itu beberapa penulis yang menulis menentang arus yang tidak saya sebutkan namanya di sini tetapi beliau tahu dialah yang dimaksudkan oleh saya. Saya juga menggemari idea Mat Jan dalam memberikan sebuah tulisan yang berunsur humor. Beliau bijak menggunakan satu-satu isu untuk diputar-belitkan menjadi satu bahan jenaka. Mereka bertiga adalah idola saya.

4. Apakah pekerjaan ibu dan bapa saudara?
Bapa saya pekerjaan terakhirnya adalah sebagai Pengurus Kanan di sebuah syarikat perladangan terbesar di Malaysia. Seharian menguruskan urusan keluar masuk kapal yang mengangkut minyak kelapa sawit dan getah ke Pelabuhan Klang. Manakala ibu saya pekerjaan terakhirnya adalah sebagai Pegawai Pembantu Tadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja. Tiap-tiap musim perayaan, rumah kami seakan menyambut perayaan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor. Kalau setakat meriam buluh yang menjadi kebanggaan anak-anak muda kampung tidaklah saya hairan sangat jika dibandingkan dengan mercun-mercun rampasan kastam. Sekarang mereka sudah bersara. Saya sungguh bosan kerana tiada lagi pas masuk “ACCESS ALL AREA” ke Pelabuhan Klang untuk melihat kapal pengangkut USS Enterprise.

5. Saudara dibesarkan dalam bentuk keluarga yg. bagaimana?
Melihat kepada pekerjaan kedua ibubapa saya sepatutnya anda sudah boleh menelah kehidupan yang bagaimana saya lalui. Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak senang. Apa sahaja yang saya inginkan saya akan perolehi. Tetapi bukanlah semua benda akan dapat. Yang berpatutan sahaja. Mereka banyak menentukan hidup saya. Sejak lahir hinggalah berumur 12 tahun. Sewaktu kecil saya seakan dipaksa untuk mengikuti kelas organ dan kelas tenis. Saya mengikutinya kerana terpaksa. Belajar dalam kelas organ hanya separuh jalan kerana takutkan peperiksaan untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Belajar di kelas tenis juga separuh jalan kerana saya tidak tahu apa yang saya patut pukul. Saya lebih selesa memukul dinding dari bermain secara berpasangan. Saya jenis yang pendiam dan tidak banyak bersuara apabila bersama keluarga.

Selepas pada itu saya banyak menghabiskan masa tinggal di asrama sehingga tamat pengajian. Saya dilatih untuk belajar membuat keputusan sendiri dan saya memilih jalan yang saya fikir betul untuk hidup saya.

6. Waktu kecil lagi, saudara sudah gemar membaca buku? Buku jenis apa yg saudara selalu baca?
Jangan terkejut jika saya katakan saya suka membaca buku kisah-kisah penyiasatan dan misteri. Saya gemar membaca karya-karya Enid Blyton dan Nancy Drew. Ada juga versi penyiasatan dan misteri ini yang digarap agar bersesuaian dengan iklim Malaysia. Selain daripada itu saya juga gemar membaca fiksyen alam persekolahan. Saya tidak ingat tajuk buku tersebut tetapi masih berkisar kepada kisah penyiasatan dan misteri. Salah satu buku penyiasatan yang masih saya simpan sehingga sekarang ialah buku Projek 238 karya BH Amir. Sampai sekarang saya tidak mengenali siapa itu BH Amir. Buku tersebut saya baca sehingga lunyai. Saya berangan-angan ingin membawa Projek 238 menjadi sebuah filem besar satu hari nanti dan Ridzuan Hashim menjadi TPP Razif iaitu heronya. Itu angan-angan saya ketika itu, sekarang tidak relevan lagi.

Karya-karya Rahmat Haroun juga menjadi kegilaan saya. Salah satunya ialah Di Ar Ti dan Oedipus. Maaf jika tersilap. Mungkin dari sinilah jiwa penulisan saya yang kemudiannya disulami dengan ilmu sains menjadi satu. Saya melihat ilmu sains juga mampu menjadi fiksyen yang berjaya.

7. Apakah ijazah terakhir yg saudara perolehi?
Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Multimedia)

8. Saudara dahulu belajar di mana waktu sekolah rendah? pada waktu itu sendiri, adakah saudara sedar yg saudara akan jadi apa yg saudara sudah jadi kini?
Sewaktu di peringkat rendah, saya belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist Pelabuhan Klang. Saya bukan pengawas sekolah kerana saya budak jahat. Zaman tersebut sedang heboh pasal siri kartun Thundercats. Semua budak-budak berangan hendak jadi binatang. Oleh kerana dalam kumpulan saya itu, saya yang paling laju berlumba lari (baca: sprinter), maka saya dipilih jadi Cheetara. Zaman tersebut zaman happy sahaja. Antara perubahan besar dalam hidup saya ketika itu adalah apabila berjaya mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Hadiah yang saya terima ialah sebuah komputer dan RM250 (1A=RM50). Bayangkan pada tahun 1986 saya sudah memiliki sebuah komputer sedangkan anak orang lain pada waktu tersebut sekadar memiliki basikal Chopper atau pun BMX. Dari situ semakin bercambah minat saya terhadap komputer. Zaman 1986 orang tidak sebut teknologi maklumat kerana zaman tersebut bukan zaman MSC. Komputer saya pada zaman tersebut boleh berbangga dengan Wordstar 4.0. Tetapi dari Wordstar 4.0 itulah saya menjadi apa yang saya inginkan sekarang. Tapi kini saya menggunakan Microsoft Office XP.

9. Adakah waktu di sekolah rendah/menengah, saudara pernah berkecimpung dalam AJK persatuan, menjadi pengawas/badan wakil pelajar, menjadi editor majalah?
Sewaktu di sekolah rendah, saya terpilih untuk menjadi Konduktor Angklung. Sejak dari darjah tiga lagi saya telah menjadi perintis kepada kelab ini. Oleh kerana saya boleh baca nota muzik, maka saya terpilih menjadi Konduktor untuk pasukan tersebut. Buat persembahan merata-rata daerah Selangor dan memasuki peringkat akhir Pesta Muzik Sekolah-Sekolah Selangor.

Saya berpeluang untuk menjadi Pengawas hanya sewaktu Tingkatan Empat di Maktab Rendah Sains Mara. Di sana, mereka panggil Jemaah Disiplin Pelajar(JDP). Itupun kerana di MRSM tiada siapa yang berminat menjadi JDP. Siapa yang suka buat kerja panjat loteng nak tangkap pelajar hisap rokok.

Saya tidak berpeluang untuk menjadi sidang redaksi majalah sekolah kerana mereka yang terpilih ketika itu adalah mereka yang “English-speaking” sahaja. Saya lebih gemar berbahasa Melayu. Akhirnya majalah tersebut diharamkan pengedarannya kerana meletakkan foto muka seorang Ustaz pada kepala seekor kambing yang sedang dikorbankan.

Saya juga berpeluang menjawat jawatan Setiausaha Agung untuk Majlis Perwakilan Pelajar hanya sewaktu di peringkat persediaan sebelum ke Universiti. Jawatan tersebut dipilih melalui satu proses pilihanraya dan memerlukan kempen dijalankan. Kenapa Setiausaha Agung ? Mereka kata saya sesuai untuk jawatan tersebut kerana saya suka menulis minit mesyuarat.

Boleh saya simpulkan di sini, susur sejarah yang saya lalui sejak zaman persekolahan akhirnya mampu membentuk apa yang saya ada seperti sekarang. Kini, saya meminati muzik dan memiliki blog yang komennya perlu saya awasi setiap hari dari komen-komen “personal attack”. Jika dulu saya suka tulis minit mesyuarat, sekarang saya suka tulis laporan Akademi Fantasia.

10. Sewaktu saudara kecil, adakah saudara pernah atau memang mempunyai ciri2 melawan proses/aktiviti sistem yg diselar dalam satu2 institusi (sekolah, keluarga,
persatuan, kawan2) atau mempunyai semangat untuk merubahnya?

Untuk pengetahuan semua, saya telah dilahirkan secara abnormal iaitu dalam bahasa Melayunya ialah songsang. Bahasa kasar sedikit, kaki keluar dulu. Itu sudah cukup menjadi satu tanda bahawa saya sememangnya seorang yang “rebel”.

Memang dari kecil saya mahu menjadi agen kepada perubahan. Setiap dari kita walaupun kecil mampu untuk merubah situasi di sekelilingnya jika kita mahu. Sejak kecil saya mahu melihat Malaysia maju dan setaraf dengan negara-negara lain. Komputer yang saya ada di rumah waktu itu menjadi bahan tayangan kepada pelajar-pelajar seusia dengan saya. Saya mahu mereka menikmati kemudahan yang saya perolehi agar pemikiran masing-masing boleh berubah.

Kini saya mahu mengubah pandangan pembaca terhadap dunia hiburan. Hiburan bukan sekadar bahan gosip. Hiburan ada teater yang mampu memanusiakan manusia, hiburan ada muzik yang liriknya bukan sekadar kisah cinta tiga segi tetapi juga lirik berunsurkan ketuhanan, hiburan ada filem yang bukan sekadar filem Sembilu tetapi ada filem seperti filem Sepet. Saya mahu mengubahnya.

Selain daripada temuramah tersebut, pada hari ini tersiar dalam blog Brand New Malaysian sebuah artikel bertajuk "Reinventing The New News Media", sebuah topik bertajuk Reinventing The Print Media telah menyebut;

It is from these sources of popular media that print news must derive their new generation of readers. They must learn to converge with popular trends, like blogging for instance.While it can be said that I am biased because I myself blog, but this blog is not where the print news media are to derive their new readers.

It is from blogs like this, titled Sultan Muzzafar, that is the vein of youth readership in blogs. These are the guys that dictate youth mentality and they do it by networking with other sites, and eventually forming a pocket of popular culture, a conversation piece.


Saya terkejut. Besar rupanya tanggungjawab yang tertanggung di bahu saya. Para remaja yang rata-ratanya mengenal apa itu internet dari mengenal apa itu Utusan Melayu tentunya menggunakan kemudahan ini untuk mendapatkan maklumat yang mereka inginkan. Alternatif yang saya berikan ialah ia dalam Bahasa Melayu. Yang minat hiburan pun rata-ratanya adalah remaja Melayu. Inilah yang saya termampu. Saya mahu menukar corak pemikiran orang Melayu. Ia merupakan jawapan kepada Soalan 10 Bahagian II.

Foto RED104.9 Konsert Amal Tsunami Atas Nama Cinta

Entri oleh sultanmuzaffar 02 February 2005 0 komen

Sting Sacred Love TourSting Sacred Love Tour
Stadium Putra Bukit Jalil

Saya bukan peminat Sting. Tetapi setelah berpeluang untuk menonton persembahan hebatnya malam itu, saya menjadi suka dengan corak persembahan beliau. Terima kasih kepada pemberi tiket dan juga dua orang peminat fanatik Sting yang turut sama memperkenalkan saya kepada satu dunia yang baru.

Sebelum memasuki stadium, saya hanya berbekalkan dua lagu Sting yang saya tahu iaitu Desert Rose dan Every Breath You Take. Itu sahaja dua lagu yang saya tahu. Every Breath You Take tentunya akan menjadi salah satu lagu encore tetapi ini berbeza untuk lagu Desert Rose yang jarang sekali beliau nyanyikan dalam mana-mana tour. Impian saya untuk melihat beliau membawakan lagu Desert Rose akhirnya membuahkan hasil apabila beliau membawakan lagu tersebut dengan berjaya.

Senarai Lagu
Send Your Love dipilih sebagai lagu pembukaan merupakan lagu yang punya elemen Timur Tengah serta gabungan house music. Penonton seakan-akan diberikan gambaran akan konsep persembahan pada malam tersebut. Terus terang saya katakan saya menyukai teknik tatacahaya yang digunakan pada malam itu.

Message In The Bottle diteruskan untuk cuba membuka minda saya tentang Sting. Masih belum boleh menerima lagu-lagu baru ini. Saya masih tercari-cari mengapa saya berada di sini. Sekadar untuk menikmati muzik mungkin. Saya memang suka muzik dan tidak salah sekiranya saya berada di sini untuk mendengar muzik tetapi bukan menghayatinya.

If You Love Somebody Set Them Free merupakan antara lagu-lagu klasik Sting. Mood persembahan kembali bertenaga dengan irama-irama segar rock dan showmanship beliau. Saya masih terpinga-pinga. Komunikasi Sting dengan penonton sungguh bersahaja. Menggunakan sedikit bahasa Melayu untuk menarik perhatian penonton.

Dead Man’s Rope susunan muziknya agak perlahan. Boleh saya katakan inilah muzik pilihan saya. Ia bermula dengan petikan gitar secara solo oleh Sting. Di pertengahan lagu tersebut, bunyi perkusi, bass dan drum bersatu untuk mencipta satu mood pada lagu tersebut yang benar-benar memukau. Saya sudah dapat menyerapkan diri saya ke dalam konsert tersebut. Sudah mula merasaikan keseronokannya.

Brand New Day membuatkan saya teruja ! Dengan tatacahaya merah kuning dan biru bertukar-tukar arah, persembahan Sting menjadi begitu ekslusif. Elemen-elemen country pada lagu tersebut diselitkan elemen rock begitu segar.

Shape of My Heart sebuah ciptaan yang indah. Petikan gitar secara solo oleh Sting disusuli lontaran vokal yang mantap membuatkan lagu berirama rock ballad ini menjadi begitu menarik.

Englishman In New York membuatkan penonton berbangsa asing menjerit keriangan. Rata-rata penonton mula berdiri untuk menikmati muzik yang hebat itu. Saya akui persembahan vokal Sting begitu bertenaga. Saya harus akui Sting bijak memilih lagu untuk disesuaikan dengan persembahannya.

Fragile dinyanyikan dalam latar cahaya warna biru dan dihalakan cahaya merah ke arah Sting. Menurut salah seorang sahabat saya, lagu ini menjadi tema untuk tragedi 9/11 kerana liriknya amat sesuai dengan kejadian tersebut. Saya tidak menjangkakan yang lagu ini dinyanyikan pada pertengahan konsert tetapi aspek pemilihan lagu dibuat dengan baik untuk mengekang mood penonton.

If blood will flow when flesh and steel are one
Drying in the colour of the evening sun
Tomorrow's rain will wash the stains away
But something in our minds will always stay
Perhaps this final act was meant
To clinch a lifetime's argument
That nothing comes from violence and nothing ever could
For all those born beneath an angry star
Lest we forget how fragile we are
On and on the rain will fall
Like tears from a star, like tears from a star
On and on the rain will say
How fragile we are, how fragile we are
On and on the rain will fall
Like tears from a star, like tears from a star
On and on the rain will say
How fragile we are, how fragile we are
How fragile we are, how fragile we are


Sting Sacred Love TourFields of Gold adalah antara lagu yang pernah saya dengar sebelum ini. Pada saat ini adrenalin penonton telah pun memuncak dan mereka turut sama bertepuk tangan mengiringi persembahan Sting. Saya benar-benar terhibur tatkala Sting membawakan lagu ini tetapi masih kekal duduk di kerusi penonton.

Sacred Love sebuah lagu yang ada elemen etnik fusion. Saya menyukai susunan muziknya yang segar dan sedikit moden. Pengaruh rocknya juga kuat pada lagu ini dan vokal Sting seperti biasa hebat untuk lagu ini.

Whenever I Say Your Name boleh saya sifatkan sebagai pertarungan vokal antara Sting dan rakan duetnya malam itu iaitu Joy Rose. Lagu yang asalnya dinyanyikan bersama Mary J. Blige merupakan sebuah lagu romantic ballad yang mempunyai elemen-elemen seksual antara satu sama lain. Saya suka dengan showmanship yang dipersembahkan oleh mereka dan amat kena dengan lagu tersebut.

Every Little Thing She Does Is Magic begitu juga dengan Sting. Showmanshipnya satu magik. Kehebatan beliau mengawal penonton begitu terserlah. Sedikit pun persembahannya tidak membosankan. Walaupun susunan muzik lagu tersebut diubah mengikut kesesuaian, tetapi ia masih bersesuaian dengan corak persembahannya.

The Book of My Life berentak agak perlahan. Menariknya persembahan ini apabila bahagian-bahagian panjang lagu ini dibuat seperti jamming session antara pemuzik. Para pemuzik tentu seronok melihat setiap seorang daripada pemuzik iringan seakan berperang untuk menghasilkan yang terbaik antara mereka.

Roxanne merupakan sebuah lagu yang agak perlahan. Sebuah permulaan yang baik Lagu ini menceritakan tentang pelacur-pelacur jalanan telah diberikan nafas baru dengan menyelitkan elemen jazz dan fusion. Lagu ini agak panjang dan sedikit membosankan dengan jamming yang panjang. Kehebatan pemuzik-pemuzik iringan Sting diserlahkan lagi menerusi lagu ini.

Desert Rose adalah lagu yang saya tunggu-tunggu. Beliau kembali semula ke pentas atas permintaan penonton. Saya sendiri tahu yang beliau akan kembali kerana lagu-lagu evergreen beliau belum dinyanyikan lagi. Tentu itu satu gimik sahaja. Walaupun tanpa Cheb Mami beliau tetap membawakan lagu tersebut dengan hebat. Melodi lagu tersebut telah menyebabkan hampir semua penonton bangun untuk menari bersama-samanya. Saya harus puji Sting yang turut menyanyikan beberapa rangkap dalam bahasa Arab untuk penonton-penonton di Malaysia.

If I Ever Lose My Faith In You membawa mood penonton kembali tenang tetapi masih bertenaga. Rata-rata penonton girang dengan persembahan bertenaga Sting. Penguasaan pentasnya hebat dan permainan alat muzik sedikit pun tidak membataskan pergerakannya. Lagu ini tamat dan mendapat tepukan bergemuruh dari penonton dan terus bersambung untuk lagu seterusnya.

Every Breath You Take menyebabkan satu stadium bergema. Setiap seorang dari penonton akan cuba menyanyikan lagu evergreen itu yang dirakamkan bersama The Police. Saat ini saya sudah gilakan Sting. Saya rasa semua orang gilakan Sting.

Every breath you take
And every move you make
Every bond you break, every step you take
I'll be watching you

Every single day
And every word you say
Every game you play, every night you stay
I'll be watching you

Oh, can't you see
You belong to me?
How my poor heart aches
With every step you take
Every move you make
Every vow you break
Every smile you fake, every claim you stake
I'll be watching you

Since you've gone I've been lost without a trace
I dream at night, I can only see your face
I look around, but it's you I can't replace
I feel so cold, and I long for your embrace
I keep crying baby, baby please,
Oh, can't you see
You belong to me?
How my poor heart aches
With every step you take
Every move you make
Every vow you break
Every smile you fake, every claim you stake
I'll be watching you
Every move you make, every step you take
I'll be watching you
I'll be watching you


Penonton menjangkakan persembahan telah tamat. Jeritan penonton yang masih belum puas dengan persembahannya memecah kesunyian stadium. Penonton masih bersorak mengharapkan beliau kembali ke pentas. Lagu Thousand Years menjadi lagu penamat setelah beliau dipanggil semula. Elemen etnik dalam rentak yang perlahan serta diselitkan sedikit elemen muzik Timur Tengah merupakan lagu yang sesuai sebagai penamat.

Sting tetap menjadi man of the show pada malam itu. Usia bukan penghalang. Tidak salah sekiranya beliau menjadi idola kepada setiap lelaki yang ada di dunia ini. Beliau menjadi ikutan. Sekurang-kurangnya pada zaman sekitar 80an.

Para peminat Sting sanggup berhabis untuk menyaksikan persembahan eksklusif beliau. Konsert tersebut diiringi oleh lima pemuzik dan dua penyanyi latar. Mereka terdiri daripada Dominic Miller (gitar), Jason Rebello (piano & keyboard), Keith Carlock (drum), Kipper (keyboard) dan Rhani Krija bermain perkusi. Penyanyi latar terdiri daripada Joy Rose dan Donna Gardier.

Malam tersebut menjadi malam yang meninggalkan seribu kenangan kepada hampir 8000 penonton.

Ranking Lagu
Desert Rose
Every Breath You Take
Fragile
Brand New Day
Thousand Years
Shape of My Heart
Englishman In New York
Fields of Gold
Whenever I Say Your Name
Send Your Love
Dead Man’s Rope
If I Ever Lose My Faith In You
Sacred Love
The Book of My Life
Roxanne
Every Little Thing She Does Is Magic
If You Love Somebody Set Them Free
Message In The Bottle

Vokal : 9/10 bintang
Sistem Audio : 9/10 bintang
Muzik : 8/10 bintang
Tatacahaya : 8/10 bintang
Rating Keseluruhan : 9/10 bintang !


TQ Chail ! Worth It Gila ! TQ Hakim & Dream ! Kerana beri peluang duduk sebelah korang. Kalau tak sure aku boring gila tak tau nak sembang apa dengan non-fanatic Sting tu !

Kredit Foto Poster
Kredit Foto Blur

Entri oleh sultanmuzaffar 31 January 2005 0 komen

Ujibakat Teater

Berminat untuk berlakon ? Berminat untuk menjadi pereka kostum ? Berminat untuk menjadi pereka set ? Berminat untuk menjadi pemuzik ? Punya impian untuk menjadi pengurus promosi ? Kami ada cara...

Kelab Akar Gita Estetika Kuala Lumpur (AGE) mempelawa mereka yang berminat dalam bidang teater untuk menghadiri satu sesi ujibakat pelakon teater untuk Festival Teater Malaysia.

Tarikh : 5hb Februari 2005
Jam : 8 malam-11 malam
Tempat : Pejabat Kebudayaan Wilayah Persekutuan (laluan masuk ke Saloma Bistro)

Turut dicari ialah mereka yang berminat sebagai editor skrip, pemuzik dan tenaga belakang pentas.

Sila hubungi: ZP (0195481446), SM (0376277248) & Bozo (0126662254)

Entri oleh sultanmuzaffar 26 January 2005 0 komen

Damailah AchehDamailah Acheh

Salah satu daripada filem terkenal yang pernah ditayangkan oleh Indonesia, Tjoet Nja' Dhien menceritakan mengenai kisah epik serikandi bangsa, Tjoet Nja' Dhien, yang mengetuai kumpulan gerilla melawan Belanda di pergunungan Acheh di Sumatera pada awal abad ke 20.

Mengikut sejarah Belanda, peperangan di Acheh ialah terlama jika dibandingkan dengan beberapa cubaan untuk menakluki sesebuah jajahan.

Sungguhpun terdapat kumpulan-kumpulan yang telah menjadi tali barut Belanda, sehingga beliau diburu oleh tentera Belanda, namun semangat nasionalisme yang dipunyai oleh Tjoet Nja' Dhien tetap menebal dan menjadi pemangkin kepada rakyat Acheh membela negara mereka.

Tjoet Nja' Dhien arahan Eros Djarot merupakan filem pertama yang dipilih ke Cannes dan juga telah memenangi 9 anugerah di Festival Filem Indonesia 1998. Filem ini diterajui oleh Christine Hakim, yang kini menjadi duta kepada UNICEF. Christine Hakim dilaporkan oleh Metro TV melawat Acheh 28 Disember selepas kejadian tsunami dan menangis kerana mengenang tempat-tempat yang pernah dilawati semasa membuat penggambaran filem ini.

Tjoet Nja Dhien isteri kepada mentor politik dan ketua strategis, Teuku Umar. Selepas kamangkatan suaminya kerana diserang hendap oleh askar Belanda pada Februari 1899, Tjoet Nja' Dhien mengambilalih kepimpinan suaminya.

Perjuangan Tjoet Nja' Dhien lalu diwarisi anaknya lalu menjadi sebuah model perjuangan luhur di dunia.

Perjuangan menentang penjajah tidak sahaja didominasi oleh kaum lelaki bahkan kaum perempuan juga memain peranan utama dalam memerdekakan Acheh ketika itu.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun telah menghampiri Tjoet Nja' Dhien seraya bertanya "Tjoet Nja¹, kapan saya boleh ikut berperang?" tanya si gadis dengan logat Aceh.

"Subhanallah (Maha Suci Allah)," jawab Tjoet Nja¹ Dhien. "Jika kau dewasa kelak, tak akan ada lagi perang di Aceh," sambungnya.

Ketika itu sudah memasuki tahun-tahun pertama kemasukan Belanda ke Acheh. Pada ketika itu Acheh telah diamuk perang dahsyat selama hampir 30 tahun. Perang yang tidak hanya mengharu biru penduduk dan bumi Aceh saja, tetapi juga sangat melelahkan para jenderal Kerajaan Belanda.

Tjoet Nja' Dhien telah berjuang sehingga saat-saat akhirnya; dia buta, lumpuh kerana berada di pedalaman hutan Acheh beberapa tahun.

Perang Aceh yang berlangsung 40 tahun pada penghujung abad ke-19 dan ke-20 telah membunuh lebih daripada 10,000 rakyat pejuang Aceh, 100,000 rakyat kebanyakan, dan 8.000 tentera Kerajaan Belanda, termasuk pasukan elite marsose (marechaussee).

Selain akibat perang, kematian itu juga disebabkan serangan kuman kolera dan malaria. Seabad kemudian, seolah-olah masih tidak cukup penderitaan Acheh, perang terus berkecamuk di Aceh.

Presiden pemerintah ketika itu, Megawati Soekarnoputri dikatakan telah menyulitkan keadaan dengan menghantar pasukan TNI ke Aceh, sehingga dikatakan mencemari mahkamah pengadilan dan kemanusiaan di medan konflik
bersenjata.

Hakim perundangan antarabangsa Indonesia, Hikmahanto Juwono telah mengeluarkan pendapatnya mengenai isu Acheh. Beliau telah mengesyorkan agar aktivis-aktivis kemerdekaan Acheh dibawa kepada pengadilan PBB dan dilabelkan sebagai pengganas antarabangsa.

Katanya, "pemerintah bisa meningkatkan tekanan kepada GAM dan warga Swedia dengan memasukkannya (Hasan Tiro, seorang aktivis kemerdekaan Acheh) ke dalam UN Terrorist List (senarai pengganas PBB). Daftar ini bisa dibuat karena adanya Resolusi PBB Nomor 1373 (2001) yang memberi peluang kepada negara-negara terancam teroris internasional untuk saling bekerja sama menemukan tersangka teroris. Ini daftar yang menurut hukum kebiasaan internasional boleh begitu saja dibuat tanpa harus memerlukan putusan hukum lembaga pengadilan dulu."

Sweden sebuah negara yang sungguh bersimpati dengan isu Acheh yang sering menghulurkan dana bantuan ke negeri itu.

Hikmahanto lalu telah mencadangkan agar Sweden tidak lagi menjadikan negara mereka sebagai tempat perlindungan pejuang-pejuang Acheh .

"Jika tidak, Indonesia memiliki alasan yang cukup untuk memperkarakan Swedia ke Mahkamah Internasional di Den Haag, Belanda," tuturnya.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pula telah sempat mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan yang sama sebelum membuat keputusan menghantar tentera ke Acheh. Tetapi, beliau amat berhati-hati kerana mengikut pengalaman pahit berurusan dengan Mahkamah Antarabangsa, tindakan yang salah telah membawa Indonesia kehilangan wilayahnya, Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, setelah hakim Mahkamah Antarabangsa menyebelahi Malaysia.

Lantas, saya telah menjumpai sepotong sajak dan ingin mengongsikan dengan para pembaca:

Berkatalah Tjoet Nyak Dien
Selma W. Hayati

Berkatalah Tjoet Nyak Dien
Mestilah kita berteriak
Ketika bendera tak lagi berkibar
Layutertunduk, ragu

Bulan sabit enggan muncul
Digantikan kilatan desing peluru
Yang angkuh berbicara, menutup lubang jiwa

Kemana langkah hendak dituju?
Ketika hijau daun, birunya laut
Digantikan merah darah,
Kemana harapan hendak ditanam?
Ketika pekik ayam jago
Digantikan oleh pekik kesakitan
Perempuan malang korban perkosaan

Kabut cerobong asap minyak
Menghitamkan bendera dan bulan sabitku
Dimana tawa riang si buyung,
Dimana gelegar semangat perempuanku,
Dimana anak-anak angkatan mudaku,
Dimana keadilan,
Ketika tebasan senjata membabat habis pasukanku?
Dimana keadilan,
Ketika bom tanpa mata menghujam habis rumah papanku?
Dimana? Ke mana mereka semua?

Kapan kutersenyum,
Mendengarkan obrolan kopi pagi hari,
Wajah-wajah damai Acehku
Lunglai kuberkata:''teruskan langkah, kibarkan bendera sepenuhnya!''

London 120503

Entri oleh sultanmuzaffar 23 January 2005 0 komen

Malam Elit di Dewan Filhamonik Petronas
Malam Elit di Dewan Filhamonik Petronas

Malam itu teringin juga berada dalam satu kelompok elit yang hanya suka mendengar muzik klasik dari Barat. Pelawaan seorang kawan saya terima untuk sama-sama menyertai mereka dalam kelompok elit tersebut. Saya mengenakan sepasang kemeja biru lengkap bertali leher biru bintik kecil putih. Untuk lebih kelihatan elit, saya perlu melengkapkannya dengan suit warna biru tua stail “double breasted”. Memang zaman kini hanya golongan tua sahaja yang masih mengenakan suit “double breasted”. Suit tersebut saya tempah sempena konvokesyen pada tahun 1998. Masih muat untuk dipakai sehingga sekarang. Malam itu saya ke Dewan Filharmonik Petronas dengan Hakim, Marisa dan Nisa. Untuk lebih melengkapkan elit malam itu, kami diraikan di Corporate Suite ASTRO. Sebuah suite yang santai dan begitu eksklusif.

Kali terakhir saya ke Dewan Filharmonik Petronas adalah sewaktu menyaksikan persembahan Perjalanan Seni Dato’ SM Salim sekitar tahun 2001 iaitu pada 31 Mac 2004 sehari sebelum hari lahir saya. Ada sejarah utama yang berlaku pada malam itu.

Pada malam tersebut, Malaysian Philharmonic Orchestra diketuai oleh Tamás Vásáry yang bertindak sebagai konduktor dan pemain solo piano.

Set I
ROSSINI Overture To The Silken Ladder (6 mins)
MOZART Piano Concerto No. 21 in C, K.467 (27 mins)
Saya menyukai persembahan pada Set I ini. Ia lebih segar dan menghiburkan. Enam minit pertama, kita dihidangkan dengan tiupan oboe dan flute yang saling bertingkah sebelum gesekan biola memberikan satu alunan muzik yang lebih memukau. Persembahan solo piano oleh Tamás Vásáry memang menakjubkan. Beliau mendapat tepukan gemuruh serta standing ovation untuk persembahannya. Sambil bermain piano beliau mengemudi orkestranya. Terpegun saya dibuatnya. Saya terfikir, apa akan jadi sekiranya sesebuah orkestra tanpa seorang konduktor. Apakah satu persembahan orkestra akan menjadi sama atau sebaliknya. Soalan ini akan saya tanya dalam pertemuan saya dengan Ramli MS yang akan datang.

Set II
MOZART Adagio and Fugue in C minor, K.546 (8 mins)
SCHUBERT Symphony No. 6 in C Major, D.589 (32 mins)
Persembahan pada Set II agak panjang. Lapan minit pertama kita dihidangkan dengan cello dan bass saling melengkapi bunyi yang dihasilkan. Alunan tersebut kemudiannya diiringi dengan gesekan biola, pertama dan kedua dan saling bertukar ganti. Alunan tersebut menghasilkan satu gabungan yang unik dari kepelbagaian instrumen yang menjadi trend pada zaman tersebut. Pada persembahan yang seterusnya, saya lebih tertarik dengan stamina peniup flute yang banyak memonopoli persembahan pada set kedua. Pemain flute merupakan tunjang utama persembahan ini bila mana beliau berjaya mengekalkan staminanya untuk memberi jiwa kepada Symphony no. 6, D.589 “Little C Major” sebanyak empat movement yang berbeza. Ada yang tertidur ya, siapakah dia ?

Persembahan encore telah memilih salah satu movement yang paling pendek iaitu Scherzo untuk memenuhi permintaan penonton sebelum beliau menamatkan persembahannya.

Berada di kedudukan paling strategik, membolehkan saya menyaksikan persembahan tersebut secara lebih dekat. Saya berpeluang untuk melihat gaya tubuh seorang konduktor dan terpesona melihat perubahan pada alunan muzik apabila berlaku pergerakan pada anggota tubuh seseorang konduktor tersebut. Setiap pergerakan anggota tubuhnya ada makna yang perlu difahami oleh setiap anggota orkestra.

Menurut beliau setelah tamat persembahan, beliau kagum dengan anggota Malaysian Philharmonic Orchestra kerana apa yang telah dilatih sewaktu rehearsal telah diubah sedikit tanpa pengetahuan anggota orkestra tetapi mereka telah berjaya mengimbangi perubahan tersebut tanpa melakukan kesilapan. Tepukan semakin bergemuruh untuk mereka walaupun rata-rata mereka bukannya rakyat Malaysia.

Singgah sebentar di Dome KLCC untuk makan malam sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

Malaysian Philharmonic Orchestra

Entri oleh sultanmuzaffar 17 January 2005 0 komen

Anugerah Juara Lagu 19
Relaku Pujuk muncul Juara di Anugerah Juara Lagu 19
Stadium Putra, Bukit Jalil

Introduksi
Kemenangan Spider dengan lagu Relaku Pujuk menafikan ramalan banyak pihak yang Pulangkan bakal menggondol gelaran Juara di Anugerah Juara Lagu edisi ke 19 yang telah berlangsung semalam di Stadium Putra Bukit Jalil. Kemeriahan Juara Lagu kurang dirasakan kesan bencana tsunami yang berlaku penghujung tahun 2004. Berbekalkan umpan bahawa sebahagian dari jualan tiket akan didermakan kepada mangsa tsunami sedikit pun tidak berjaya memancing penonton untuk turut sama memenuhkan stadium. Harga tiket yang boleh dikatakan agak mahal berbanding edisi Juara Lagu yang terdahulu sedikit sebanyak memberikan kesan. Dalam ada insan lain ditimpa bencana dan mengalami kesusahan, ada juga insan-insan lain yang mengambil kesempatan. Tanpa disedari oleh pihak berkuasa, di luar terdapat beberapa insan yang mengutip derma untuk tabung tsunami. Sama ada mereka dari pihak yang benar masih diragui.

Saya tiba sekitar jam enam petang. Dibenarkan masuk untuk meninjau persiapan. Masih terdapat beberapa model sedang berlatih untuk satu segmen tajaan. Segmen tersebut tidak disiarkan di televisyen, hanya untuk penonton di stadium sewaktu berhenti untuk siaran iklan.

Rekaan Pentas
Saya suka dengan rekaan pentas kali ini tetapi lebih menyukai rekaan pentas untuk tahun lepas. Pentasnya kali ini agak besar berbanding tahun lepas. Warna putih menjadi asas yang terbaik untuk pencahayaan. Berkonsepkan api, angin dan tanah maka warna hijau, biru dan merah merupakan asa penting dalam rekaan pentas kali ini. Penggunaan warna-warna tersebut sahaja sudah cukup untuk menggambarkan konsep yang ingin dibawa pada malam tersebut. Kedudukan barisan orkestra juga tidak dipinggirkan sebaliknya diberikan tempat yang sewajarkan pada bahagian pentas. Penggunaan dua aras pada pentas membuatkan pentas kelihatan begitu besar untuk sebuah persembahan yang tanpa diiringi oleh penari latar. Saiz pentas seakan-akan membenarkan artis membawa segerombolan penari ke pentas. Ini kerana setiap artis perlu memanafaatkan pentas aras atas dengan baik.

Sistem Audio dan Orkestra
Orkestra pimpinan Ramli MS telah berjaya memberikan dendangan yang cemerlang pada malam tersebut. Setiap lagu telah diberikan susunan muzik yang sedikit berbeza bersesuaian dengan konsep lagu. Sayang sekali persembahan Spider tidak dibantu oleh iringan orkestra yang bagus ini. Juara Lagu telah dinilai melalui cakera padat dan sebarang perubahan pada susunan muzik pada malam persembahan hanya akan dinilai untuk persembahan terbaik.

Sistem audio pada malam itu agak tidak seimbang terutamanya pada pembesar suara artis. Ketidakseimbangan tersebut agak membingitkan terutamanya pada lagu-lagu kategori Pop Rock.

Pengacara
Ketiadaan Aznil Nawawi pada edisi Juara Lagu kali ini agak membosankan. Penggantinya Najip Ali yang diterbangkan dari Singapura untuk mengacarakan siaran langsung ini bersama Sarimah Ibrahim dan Cheryl Samad. Adakah Malaysia ketandusan pengacara-pengacara muda yang berbakat untuk mengisi kekosongan Aznil Nawawi ? Cheryl Samad, pengacara tetap siaran Muzik Muzik mingguan juga diletakkan di belakang pentas untuk menemuramah artis sebelum persembahan mereka. Gandingan Sarimah dan Najip seakan tidak menjadi kerana Najip agak kurang mesra dengan persekitaran sesebuah negara tersebut. Maka lawak-lawak kasar yang membabitkan sensitiviti kenegaraan wajar dikurangkan. Penggunaan simbolisme alam pada skrip pengacara juga tidak dibuat dengan kemas sehingga adakalanya meleret-leret tanpa tujuan. Pengacara di belakang pentas agak menarik kerana Cheryl berpeluang untuk menemuramah artis sebelum persembahan mereka dan berbicara tentang pelbagai aspek. Sayangnya temuramah tersebut semacam mengurangkan elemen kejutan pada persembahan artis tersebut terutamanya pada pakaian yang dipakai oleh artis tersebut.

Anugerah Juara Lagu 19Segmen Prelude
Bersesuaian dengan konsep Simfoni Alam Sejuta Ilham, maka tanah api dan angin merupakan elemen utama yang ditonjolkan pada segmen tersebut. Sebuah persembahan yang menarik ala Citrawarna Malaysia tetapi sekadar ada sahaja. Persembahan diberatkan dengan mesej-mesej tersirat yang perlu dicernakan oleh penonton yang datang untuk berhibur dan bukannya berfikir.

Sebelum memulakan malam anugerah, penonton telah diminta untuk berdiri bertafakur selama satu minit untuk mengingati mangsa-mangsa bencana tsunami. Satu usaha yang murni kerana dalam kita bersuka-ria tetapi tetap mengingati mereka yang ditimpa kesusahan.

Anugerah Juara Lagu 19Nazam Berkasih - Syura
Menggunakan konsep tarian Jikey dengan diiringi oleh penari Badan Kesenian Kedah, Syura telah berjaya membawakan lagunya dengan baik. Konsep persembahannya lebih kepada stail Pak Ngah yang bercorak Citrawarna. Beliau muncul dari dalam gendang merupakan elemen kejutan yang ditampilkan oleh Syura. Satu permulaan yang baik untuk menyelitkan elemen spektakular. Persembahan Syura kali ini juga ada unsur-unsur persembahan Nirmala oleh Siti Nurhaliza pada Juara Lagu yang terdahulu. Saya tertarik dengan synchronization beliau dengan para penari. Nampak kemas. Lontaran vokal beliau juga baik. Susunan muzik orkestra untuk lagu ini juga menarik.

Anugerah Juara Lagu 19Tipah Tertipu - Ruffedge
Persembahan Ruffedge bakal mengundang bencana apabila salah satu props yang dibuat untuk persembahannya patah sewaktu siaran iklan. Penggunaan elemen-elemen kartun semacam menunjukkan ketidakseriusan mereka dalam bekerja dan menampilkan wajah persembahan yang cemerlang. Persembahan Ruffedge bermula dengan klip audio dari filem Ali Setan yang dipopularkan oleh Sheila Majid. Lagu-lagu seperti Tipah Tertipu sekiranya tidak disampaikan dengan sebutan yang jelas hanya sekadar cakap-cakap tanpa tujuan. Itu yang berlaku kepada lagu tersebut. Pada bahagian nyanyian, mereka membawakan lagu tersebut dengan baik tetapi pada bahagian yang memerlukan mereka “rapping” agak tidak kemas dan tidak jelas sebutan mereka. Mungkin juga disebabkan oleh sistem audio yang tidak baik pada malam tersebut. Bagaimanapun saya terhibur dengan alunan muzik orkestra yang dipersembahkan. Secara keseluruhan persembahan Ruffedge seperti kehilangan idea dan tidak menonjolkan kreativiti mereka untuk mempelbagaikan corak lagu tersebut.

Anugerah Juara Lagu 19Semua Untukmu – Anuar Zain
Sebuah persembahan yang biasa dari Anuar Zain. Kehebatan vokalnya tidak diserlahkan dengan cemerlang melalui lagu ini. Lagu ini juga tidak sekuat lagu Keabadian Cinta. Persembahan Anuar Zain juga hanya diiringi oleh penyanyi latar yang tidak berjaya menampilkan elemen kekaguman yang besar. Pentas yang luas tidak dimanafaatkan dengan sebaiknya untuk memantapkan persembahan beliau. Beliau sewajarkan menampilkan segerombolan penyanyi koir ala gospel untuk memantapkan lagi bahagian permulaan lagu tersebut. Jika ini berlaku mungkin persembahan vokalnya lebih memukau. Kedengaran di telinga saya sedikit perubahan pada susunan muziknya kerana ia tidak sama dengan apa yang saya sering dengar melalui albumnya. Bagaimanapun Anuar Zain bijak untuk mengekang perhatian penonton untuk menonton persembahannya dari note pertama sehingga note akhir. Sokongan penonton terhadapnya begitu besar.

Anugerah Juara Lagu 19Syair Pesona - Sharifah Zarina
Selain Ruffedge, Sharifah Zarina merupakan artis kedua yang keluar dari balik layar. Bersesuaian dengan konsep lagunya iaitu syair, maka ia dimulakan dengan syair. Diarak dan dijulang seperti seorang puteri. Menariknya persembahan beliau adalah kerana susunan muzik yang dibuat dengan cemerlang untuk memikat pendengar. Elemen keroncong, Timur Tengah, qasidah dan muzik moden seakan menyegarkan lagi ciptaan lagu tersebut.

Anugerah Juara Lagu 19Hanya Di Mata – Erra Fazira
Sebuah persembahan yang ada konsep. Berkonsepkan ala gipsi, Erra telah berjaya memukau perhatian penonton dengan persembahannya. Sebuah persembahan yang menarik dari segi koreografinya. Persembahan vokal Erra masih seperti biasa dan tidak mampu menyengat dan menggugat mahkota Misha Omar dan Anuar Zain. Sebuah persembahan yang tidak cukup menyengat untuk meraih anugerah persembahan terbaik mahupun kategori pop rock.

Anugerah Juara Lagu 19Kala Hujan – Zamani
Sebuah persembahan berbajet rendah yang tiada usaha dan kesungguhan untuk menang. Tanpa diiringi dengan penari latar, pentas nampak kosong. Berbekalkan vokal yang tidak kemas, persembahan Zamani sememangnya hambar. Beliau seakan-akan sengaja melewatkan ½ not pada nyanyiannya. Beliau gagal pada bahagian korus tetapi saya harus memberikan pujian kepada not rendah beliau yang sememangnya mantap. Namun demikian lagu Kala Hujan bukan sandaran terbaik kepada Zamani untuk bergelar Juara. Cakap-cakap orang di sekeliling, lagu Kala Hujan tidak sewajarnya berjaya ke peringkat akhir Juara Lagu kerana telah mengenepikan lagu Lembah Asmara oleh Ziana Zain yang kekal selama 14 minggu dalam carta Muzik Muzik.

Anugerah Juara Lagu 19Hatinya Tak Tahan – Noraniza Idris
Noraniza Idris menggunakan konsep penari Jawa untuk lagu Hatinya Tak Tahan yang bersesuaian dengan elemen lagu tersebut. Menggunakan pendekatan yang lebih selamat apabila tidak membawa ramai penari di atas pentas. Kali ini, beliau bijak untuk menyesuaikan bilangan penari dengan persembahannya. Setiap seorang penari punya sebab untuk berada di atas pentas. Saya merasakan ia merupakan sebuah koreografi yang kemas dan dibuat dengan cemerlang. Elemen-elemen Jawanya jelas dan teliti. Persembahannya bermula dengan baik dan diakhiri dengan sedikit anti klimaks. Tiada kejutan penamat yang memukau penonton. Iringan rebana dan seruling oleh Mohram banyak membantu melodi lagu tersebut serta susunan muzik yang lebih segar dengan iringan orkestra.

Panel Juri Profesional
Panel Juri Profesional untuk Anugerah Juara Lagu 19 dibarisi dengan nama-nama agung dalam industri muzik dan bahasa di Malaysia. Mereka terdiri daripada Lukhman S iaitu penulis lirik terkenal, Ooi Eow Jin, pencipta lagu serta koordinator muzik TV3, Amran Omar, penulis lirik terkenal, Aubrey Suwito, pencipta lagu Menuju Puncak dan pemimpin orkestra terkenal, Sheila Majid, diva irama pop dan R&B terkenal, Suhaimi Jais, Lim Swee Tin, pendeklamator pusi serta penulis puisi terkenal, Dato Yusni Hamid penyanyi evergreen dan Ketua Panel Juri iaitu Farihin Abd Fatah.

Anugerah Juara Lagu 19Simbiosis – Ella
Saya suka dengan persembahan Ella. Ia merupakan sebuah persembahan yang bersahaja. Saya nampak ada kesungguhan dalam diri Ella untuk memberikan persembahan yang bersahaja tetapi memukau. Penampilan Ella begitu santai sekali dan beliau bijak memikat perhatian penonton. Kekuatan utama persembahan Ella ialah karisma beliau sebagai seorang penghibur yang berbakat. Cara beliau mengawal vokalnya juga baik. Lagu Simbiosis merupakan sebuah lagu yang mudah dan tidak memerlukan Ella memberikan sepenuh perhatian kepada teknik vokal. Persembahan santai Ella sudah cukup memberikan impak yang baik untuk lagu tersebut. Kemunculan Man Kidal sebagai pemain gitar undangan seakan-akan merangsangkan untuk memberikan sorakan yang padu untuk Ella. Sekali lagi saya terpukau dengan iringan muzik orkestra yang disusun dengan baik untuk menyedapkan lagu tersebut.

Baru teringat, sememangnya ada sedikit kesilapan masuk pada bahagian kedua lagu tersebut setelah selesai bridge dari Man Kidal. Terima kasih atas peringatan tersebut.

Anugerah Juara Lagu 19Mengapa Harus Cinta – Vince
Bersandarkan penghayatan vokal yang mantap dari Vince, sebuah lagu dari pencipta muda ini benar-benar berjaya memukau saya dengan sebuah persembahannya yang ringkas tetapi penuh bermakna. Imej-imej multimedia yang muncul sekejap-sekejap tidak banyak menggangu tumpuan saya terhadap nyanyian Vince. Saya mengharapkan beliau memenangi Vokal Terbaik tetapi sayangnya beliau gagal di tangan Misha Omar. Saya suka dengan penghayatannya membawakan lagu tersebut. Kawalan vokal beliau sejak di Akademi Fantasia sehingga ke Anugerah Juara Lagu semakin mantap. Tidak hairan beliau menggondol pelbagai anugerah sepanjang penglibatannya selepas Akademi Fantasia. Alunan muzik orkestra seakan melengkapkan lagi nyanyian Vince. Kekuatan lagu ini terletak pada susunan muzik serta kemantapkan vokalnya. Setiap satu not yang dibawakan oleh Vince merupakan muzik yang indah. Kawalan falsettonya mantap. Ekspresinya tidak keterlaluan. Penghayatannya sederhana dan memadai.

Anugerah Juara Lagu 19Erti Hidup – Dayang Nurfaizah
Sememangnya vokal Dayang begitu memukau. Inilah yang dikatakan kawalan vokal yang hebat. Beliau tahu jarak antara pembesar suara dengan vokalnya. Vokalnya amat mantap dan menjadi kekuatan lagu tersebut. Membawakan konsep penyanyi hindustan nampak seperti ketandusan idea dan tidak mampu menyerlahkan kreativiti berpakaian. Setelah memenangi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, tidak syak lagi lagu Erti Hidup merupakan sebuah lagu yang baik dari segi penciptaannya. Konsep persembahannya bertemakan alam dan segmen sayap menarik untuk ditonton tetapi agak pendek dan tidak puas. Saya berharap agar selepas ini lagu Erti Hidup menjadi lebih popular dan album “Dayang Sayang Kamu” semakin meledak di pasaran.

Anugerah Juara Lagu 19Relaku Pujuk – Spider
Sayang sekali lagu Relaku Pujuk hanya dapat didendangkan oleh Spider tanpa diiringi oleh orkestra. Sekiranya diiringi oleh orkestra tentunya susunan muziknya menjadi lebih baik dan kemas. Namun demikian, dengan berbekalkan nama Spider, kumpulan ini berjaya meraih gelaran Juara Lagu 19. Vokal Tam juga agak baik dalam sebuah persembahan secara langsung ini. Nampak ada kesungguhan beliau membawakan lagu ini dengan stailnya yang tersendiri. Keterbatasan ruang Tam dalam lingkungan lilin menyebabkan tiada kepelbagaian dalam showmanship beliau. Lebih-lebih lagi beliau bermain gitar sambil menyanyi. Lingkungan api lilin menampilkan elemen api dalam persembahannya. Sebuah persembahan yang biasa tetapi memadai untuk sebuah kumpulan yang bermain secara langsung tanpa iringan orkestra.

Anugerah Juara Lagu 19Pulangkan – Misha Omar
Persembahannya bermula dengan baik. Elemen seram ditampilkan untuk disesuaikan dengan konsep lagu yang diambil dari filem Pontianak Harum Sundal Malam. Sememangnya tidak dinafikan bahawa vokal Misha Omar sememangnya bagus. Konsep persembahannya biasa tetapi penghayatannya keterlaluan. Saya agak rimas melihatnya ke sana ke sini berlari-lari di atas pentas seperti orang meracau membawakan lagu tersebut. Namun demikian dalam keadaannya yang terkejar-kejar beliau masih mampu untuk menjaga lontaran vokalnya dengan baik. Nyanyiannya bagus tetapi persembahannya terlalu keterlaluan. Sayang sekali ia bermula dengan baik tetapi ditamatkan dalam kerimasan penonton melihat siksanya beliau membawakan lagu tersebut. Memperkenalkan Izzat Izzudin selaku penyanyi undangan buat pertama kali merupakan usaha yang bagus dalam menghargai insan-insan yang terlibat dalam menjayakan lagu tersebut. Sayangnya kemunculan Izzat Izzudin hanya di sebalik tabir. Ia seakan-akan tidak menghargai usaha Izzat Izzudin yang turut mempopularkan lagu tersebut. Setelah melihat persembahan Misha agak sukar untuk menjangkakan yang beliau bakal menggondol anugerah persembahan terbaik. Belajar dari kesilapan dahulu, penghayatan jangan over sangat. Sempat juga saya berdoa, manalah tahu sekiranya betul-betul Misha Omar dirasuk pontianak pada malam itu.

Anugerah Juara Lagu 19Segmen Interlude
Persembahan Interlude pada malam tersebut dijayakan oleh Ning Baizura yang pakaiannya amat sedih untuk dinilai. Kemunculan Amy Mastura mengejutkan ramai penonton dengan imej berambut pendek dalam keadaan sedang berbadan dua. Ejad Exist dan Rem melengkapkan lagi konsep pada malam tersebut. Manakala kemunculan Zainal Abidin membawakan lagu Gaia sememangnya dinanti-nantikan oleh penonton.

Saya kurang berpuas hati dengan persembahan segmen ini kerana impaknya tidak kuat untuk disimpan oleh penonton. Lebih-lebih lagi diakhir klip ditayangkan segmen Karam Singh Walia yang meloyakan dengan trademark tangan serta pantun dua keratnya.

Pemenang Malaysian Idol hanya datang sebagai penonton. Itu pun berapa kerat sahaja. Mungkin kerana mereka sedang sibuk dan banyak show yang perlu dihadiri oleh mereka. Khidmat mereka sepatutnya boleh digunakan untuk menarik penonton walaupun persembahan mereka sekadar pada segmen interlude. Mungkin juga pemilihan artis untuk segmen ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Sayang sekali pemenang Malaysian Idol tidak diundang untuk menyanyi di bahagian segmen ini.

Anugerah Juara Lagu 19
Keputusan
Vokal Terbaik – Pulangkan - Misha Omar
Persembahan Terbaik – Hatinya Tak Tahan - Noraniza Idris
Irama Malaysia Etnik Kreatif – Erti Hidup – Dayang Nurfaizah
Balada – Pulangkan – Misha Omar
Pop Rock – Relaku Pujuk – Spider
Anugerah Juara Lagu 19 – Relaku Pujuk - Spider

Sidang Akhbar
Rata-rata para wartawan berbicara tentang kejutan keputusan pada malam tersebut. Kemenangan Relaku Pujuk seakan sukar diterima. Saya juga sukar untuk menerimanya.
Berkait kepada satu soalan yang ditanya kepada Ajai tentang ramalan banyak pihak yang meramalkan Pulangkan bakal menang besar tetapi ia tidak menjadi, Ajai berkata memenangi Kategori Balada sahaja sudah cukup bagus. Adakalanya industri memerlukan kelainan dan ini mengingatkan saya kepada kemenangan lagu Keliru pada Juara Lagu yang terdahulu. Seperti lagu balada, tidak banyak yang boleh dipelbagaikan. Ini berbeza dengan sebuah lagu pop rock yang boleh dipelbagaikan dengan bermacam-macam cara. Lagu pop rock lebih bersifat expandable.

Menurut Ajai lagi, lagu Relaku Pujuk lebih catchy dari sudut vokal dan melodi. Sekiranya lagu tersebut boleh menjadi siulan ramai, maka ia sudah menjadi yang terbaik. Arrangement lagu tersebut juga bagus.

Menurut Misha Omar, memenangi sebanyak dua kali anugerah Vokal Terbaik merupakan pembakar semangat untuk menjadi yang lebih baik pada tahun ini. Ini secara tidak langsung sebagai pembukaan yang baik untuk tahun 2005.

Kemenangan Afdlin Shauki untuk lagu Erti Hidup membuktikan beliau serius dalam bekerja. Lagu yang pada mulanya hanya untuk Program Khidmat Masyarakat akhirnya telah membuahkan hasil yang besar. Menghasilkan lagu etnik secara tidak langsung dapat mengimbas kembali erti hidup kita.

Turut ditanya ialah tentang kriteria penilaian panel juri dalam memilih pemenang. Trend muzik sering berubah-ubah. Tentu adanya keistimewaan dalam lagu Relaku Pujuk sehingga berjaya meraih gelaran Juara Lagu 19.

Lepas selesai Sidang Akhbar, bersantai sebentar di Ruang Jamuan. Sempat bertemu dengan Ramli MS dan mengucapkan tahniah buat beliau atas orkestra pada malam tersebut yang menjadi penyelamat kemeriahan malam itu. Pulang sekitar jam 1.30 pagi sebelum singgah untuk mengemaskinikan gossip tentang Datuk Sharifah Aini yang berhajat untuk hadir ke Anugerah Juara Lagu malam tadi. Cukuplah saya sekadar berdoa dari jauh sahaja. :)

Ranking sultanmuzaffar
Mengapa Harus Cinta – Vince
Pulangkan – Misha Omar
Erti Hidup – Dayang Nurfaizah
Semua Untukmu – Anuar Zain
Relaku Pujuk – Spider
Simbiosis – Ella
Hatinya Tak Tahan – Noraniza Idris
Tipah Tertipu - Ruffedge
Nazam Berkasih - Syura
Hanya Di Mata – Erra Fazira
Kala Hujan – Zamani
Syair Pesona - Sharifah Zarina

http://ajl.tv3.com.my/
Foto Album Anugerah Juara Lagu 19
Ulasan Satira Anugerah Juara Lagu 19 oleh Buku Nota

Entri oleh sultanmuzaffar 14 January 2005 0 komen

Anugerah Juara Lagu 19Ramalan Anugerah Juara Lagu 19 : Pulangkah Anugerah Juara Lagu kepada Misha Omar ?

Setiap hujung tahun pasti kemeriahan Juara Lagu 19 yang akan dinanti-nantikan oleh para penggemar muzik tempatan. Namun demikian, bencana tsunami yang melanda pada 26 Disember 2005 telah sedikit sebanyak merosakkan kemeriahan tersebut. Hujung tahun 2004 ditutup dengan suasana yang amat suram dan muram. Tiada Juara yang dinobatkan pada penghujung tahun lepas dan pertandingan tersebut ditunda ke tahun 2005. Walaupun tsunami bukanlah penyebab kepada penundaan tersebut, ia tetap memberikan kesan kepada Juara Lagu. Saya secara jujur ingin sangat melihat bilangan penonton yang akan hadir di Stadium Putra Bukit Jalil untuk menyaksikan siaran langsung Anugerah Juara Lagu edisi 19.

Dengan tema Simfoni Alam Sejuta Ilham, tanah, angin dan api digambarkan sebagai sumber ilham kepada para komposer dan penulis lirik ciptaan-ciptaan tanahair. Ombak dan laut juga merupakan sumber ilham kepada para komposer dan penulis lirik tetapi tidak digambarkan sedemikian. Tanah mewakili kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif, angin mewakili kategori Balada dan api mewakili irama Pop Rock. Satu persimbolan yang menepati ciri-ciri tersebut.

Kategori Balada
Pulangkan (Misha Omar / Ajai / Shuhaimi Baba & Habsah Hassan)
Mengapa Harus Cinta (Vince / Vince / M. Zulkifli)
Kala Hujan (Zamani / Aidit Alfian / Loloq)
Semua Untukmu (Anuar Zain / Shahrizan Mohd Salmi / Shahrizan Mohd Salmi)

Kategori Balada dibarisi nama-nama besar yang pernah meraih gelaran dan menjejakkan kaki di Anugerah Juara Lagu edisi yang terdahulu. Misha Omar pernah menang, Zamani juga pernah menang dan Anuar Zain juga pernah masuk ke peringkat akhir. Terselit satu nama iaitu Vince, seorang Juara Akademi Fantasia telah berjaya memboloskan dirinya untuk sebuah pertandingan yang paling berprestij di Malaysia.

Kategori ini agak menyengat juga. Sukar untuk saya membuat pilihan saya. Setiap lagu punya kekuatan masing-masing. Pulangkan misalnya merupakan sebuah lagu tema dari filem Pontianak Harum Sundal Malam. Lagu berhantu itu telah berjaya meremangkan bulu roma saya. Sebuah dendangan yang menakjubkan dari Misha Omar serta sebuah karangan yang hebat dari Ajai. Mungkin juga Misha memohon agar dipulangkan semua gelaran Juara yang telah beliau menangi tahun lepas.

Mengapa Harus Cinta tidak harus dipandang sepi oleh para finalis yang lain. Walaupun ia dicipta oleh budak mentah yang baru berjinak-jinak dengan Juara Lagu, tidak mustahil lagu ini mampu menempatkan diri untuk gelaran Juara. Kekuatan lagu ini ialah susunan muzik serta vokalnya yang baik. Saya suka cara Vince menyanyikan lagu tersebut. Sekiranya mampu membuat kejutan, saya pilih lagu ini untuk mengambil tempat Pulangkan.

Kala Hujan sekadar sebuah lagu yang bernasib baik telah berjaya memboloskan dirinya ke peringkat Juara Lagu. Tidak lebih daripada itu. Sekiranya menang, memang ia bernasib amat baik. Lagu Semua Untukmu mengambil masa terlalu lama untuk memenangi hati para pendengar muzik di Malaysia. Tempoh dua tahun adalah tempoh yang terlalu lama. Namun demikian, saya tetap menantikan persembahan vokal yang hebat dari Anuar Zain untuk lagu ini. Siapa tahu, dengan lagu ini Anuar Zain berjaya membawa pulang Anugerah Vokal Terbaik di malam tersebut.

Pilihan SM : Pulangkan (Misha Omar)
Underdog : Mengapa Harus Cinta (Vince)

Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif
Nazam Berkasih (Syura / Pak Ngah/ Siso)
Syair Pesona (Sharifah Zarina / Azmeer /Azira)
Erti Hidup (Dayang Nurfaizah / Afdlin Shauki & Aji / Afdlin Shauki)
Hatinya Tak Tahan (Noraniza Idris / Noraniza Idris / Siso)

Saya harus mengakuinya bahawa tanpa Siti Nurhaliza, kategori ini suram. Mujur ada Noraniza Idris satu-satunya yang mampu untuk menyelamatkan kategori ini dari terus terkubur. Kemunculan mengejut Dayang Nurfaizah dengan lagu Erti Hidup membawa satu perubahan baru dalam Irama Malaysia & Etnik Kreatif. Lagu Syair Pesona dan Nazam berkasih sekadar menjadi pelengkap kategori pada malam itu.

Hatinya Tak Tahan merupakan sebuah ciptaan yang baik. Noraniza Idris bereksperimentasi dengan genre dan elemen muzik Nusantara yang kaya dengan pelbagai rentak dan ritma. Sekiranya usaha ini dinilai, pasti lagu Hatinya Tak Tahan bakal menghadapi laluan yang mudah untuk bergelar Juara.

Erti Hidup sebuah lagi lagu yang bereksperimentasi dengan vokal penyanyinya. Ia merupakan sebuah ciptaan etnik kreatif yang moden dan menepati zaman. Keaslian Melayu pada lagu tersebut masih ada. Itu keunikan lagu tersebut.

Pilihan SM : Hatinya Tak Tahan (Noraniza Idris)
Underdog : Erti Hidup (Dayang Nurfaizah)

Kategori Pop Rock
Hanya Di Mata (Erra Fazira / Azlan Abu Hassan / Ucu)
Tipah Tertipu (Ruffedge / Cat, Mode & Zain/ Cat, Mode & Zain)
Simbiosis (Ella / Ajai / Ad Samad)
Relaku Pujuk (Spider / Tam / Keon)

Kategori Pop Rock yang digambarkan sebagai api, kurang marak apinya. Yang paling api pun hanya lagu Relaku Pujuk dan Tipah Tertipu. Itu pun sekadar suam-suam kuku. Lagu-lagu lain terlalu moderate untuk dikategorikan sebagai Pop Rock. Tetapi kategori inilah yang paling sukar ditelah siapa Juaranya.

Relaku Pujuk terlalu Melayu rocknya. Sebuah lagu rock yang biasa tetapi telah berjaya memikat hati pendengar. Begitu juga dengan lagu Hanya Di Mata yang merupakan sebuah lagu pop yang agak menarik tetapi masih belum dapat memikat hati saya.

Irama hip-hop untuk lagu Tipah Tertipu juga berjaya mencuri tumpuan. Kelebihan lagu ini ialah iramanya yang agak bersesuaian dengan genre kategori tersebut. Cuma saya kurang menyukai permainan bahasa atau dengan lebih jujur pencemaran bahasa yang dibawa oleh lagu ini. Sebagai hiburan, saya tetap menyukai lagu ini.

Simbiosis juga merupakan sebuah lagu pop yang subtle. Saya menyukai liriknya yang mudah tetapi membawa maksud yang mendalam. Susunan muziknya juga menarik dan catchy. Cuma kesilapan sedikit dari vokal Ella bakal mengurangkan peluangnya untuk bergelar Juara.

Pilihan SM : Simbiosis (Ella)
Underdog : Relaku Pujuk (Spider)

Anugerah Persembahan Terbaik
Jika dinilai daripada usaha-usaha yang telah dilangsungkan oleh penyanyi ini, tidak mustahil beliau bakal meraih semula Anugerah Persembahan Terbaik pada malam itu. Usaha beliau membawa taraf baru kepada Irama Malaysia & Etnik Kreatif memang sukar untuk dinafikan. Cuma biarlah konsep persembahannya kena dengan lagu tersebut tanpa perlu penggunaan pyrotechnic yang keterlaluan kerana lagu Hatinya Tak Tahan bukan dalam Kategori Pop Rock. Satu nama lain yang tidak seharusnya dipandang sepi ialah Misha Omar. Lebih-lebih lagi sekiranya beliau menyampaikan lagu Pulangkan sehingga berjaya menimbulkan kesan-kesan seram kepada penonton. Ekspresi muka memainkan peranan yang penting untuk lagu ini serta lontaran vokal berbisik sambil menyampaikan mesej lagu tersebut.

Anugerah Vokal Terbaik
Saingan pastinya sengit antara Misha Omar, Anuar Zain, Vince dan Dayang Nurfaizah. Sekiranya mereka mampu menyampaikan lagu-lagu mereka dengan baik dengan menggunakan segala kehebatan vokal mereka pasti gelaran juara kategori boleh mereka menangi. Pembahagian markah untuk vokal bakal menentukan siapa juara keseluruhan. Keempat-empat penyanyi yang disebutkan telah dinilai mutu vokal mereka secara langsung. Semuanya berpeluang untuk menang.

Satu kecacatan yang paling tidak dapat saya maafkan ialah ketiadaannya website Anugerah Juara Lagu 19 yang rasmi untuk dilayari oleh penggemar muzik tempatan. Mana mungkin muzik Malaysia ingin dibawa keluar sekiranya laman internet yang rasmi tidak mampu diwujudkan untuk tujuan promosi. Laman internet bukan sekadar untuk promosi tetapi sebagai arkib untuk tujuan rujukan di masa akan datang oleh peminat internet seperti saya. Saya benar-benar kecewa.

Masih belum terlewat untuk kita sama-sama merasakan kemeriahan Anugerah Juara Lagu edisi 19 di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 16 Januari ini. Tiket beharga RM52 dan RM32 boleh didapati di http://www.axcess.com.my ataupun di kaunter Stadium Putra pada hari Ahad.

Nota:
Laman Internet Anugerah Juara Lagu 19 telah pun dikemaskinikan di http://ajl.tv3.com.my/. Terima kasih wizard !