Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 19 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 03
Ulasan selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Entah kenapa mengantuk sangat. Mungkin kesan terlalu tepu melihat golongan-golongan politikus UMNO di PWTC. Seharian saya tidak berada di pejabat semalam. Mujur ada sahabat yang memantau keharmonian ruangan Pendapat blog ini semalam.

Rupanya tatkala saya berada di PWTC, aura Akademi Fantasia rupanya turut berjangkit kepada Datuk Seri Rafidah Aziz. Lihat satira politik ini di AFundi vs APundi !

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 04
Menuju Puncak Persendirian
Sewaktu sesi latihan lagu Menuju Puncak, Amylea beberapa kali masih tidak menghafal step tariannya. Kerana kesilapan-kesilapan tersebut, Cikgu Ee nampaknya tidak berpuas hati dengan tarian Menuju Puncak para pelajar. Oleh yang demikian, setiap pelajar dikehendaki untuk melakukan tarian Menuju Puncak secara persendirian. Akma, Marsha dan Kefli telah melakukannya dengan baik. Mereka telah dikomen oleh rakan pelajar masing-masing. Menariknya Menuju Puncak kali ini apabila, perbezaan perwatakan pelajar yang boleh digabungkan dalam persembahan ini untuk menjadikannya lebih menarik.

Seri Langkat
Lagu bonus ini memaksa pelajar untuk belajar tarian Melayu Asli. Pelajar dipisahkan kepada dua mengikut lelaki dan perempuan. Mereka telah diajar tarian untuk bahagian masing-masing.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Siti Hajar
Felix telah diperbetulkan tentang sebutannya yang masih menekan pada beberapa bahagian. Pada bahagian yang betul, CIkgu Siti Hajar meminta beliau mengekalkannya. Menurut Cikgu Siti Hajar lagi, menyanyikan lagu rock tidak semestinya kena serak. Mereka yang serak itu adalah kerana vokal mereka tidak sampai. Sekiranya Felix berjaya dalam lontaran dan kedudukan vokalnya tentunya persembahan ini lebih menarik. Tidak perlu terjerit-jerit untuk menjadikan lagu ini seperti lagu rock. Sebutan perlu lebih jelas.

Yazer telah diperbetulkan tentang kedudukan tubuhnya. Teknik pernafasannya turut dibaiki. Yazer perlu lebih relax. Yazer perlu lebih fokus untuk menghasilkan bunyi yang betul tidak perlu jerit atau menguatkan suara. Jika Vince berjaya dengan falsettonya, Yazer perlu mengekalkan identitinya pada lagu tersebut. Relax sahaja dan lontarkan vokalnya pada kedudukan yang betul.

Nyanyian Mawi nampaknya cuba digayakan mengikut caranya yang tersendiri. Pada beberapa rangkap sebelum korus beliau telah menyerakkan vokalnya maka pada bahagian seterusnya beliau tidak sampai.

Saya suka dengan Amylea. Beliau tetap relax membawakan lagu ini. Amylea perlu mencari style-style pada penghujung lagu tersebut agar lebih banyak variasi boleh dilakukan olehnya.

Cakap KL Marsha
Melihatkan cara Marsha cuba menggunakan slang KL dalam percakapannya. Dibantu oleh Encik Hasrul, Marsha cuba juga bercakap dengan bahasa pasar KL. Penghujung yang baku, tidak dibakukannya, Penghujung yang tidak baku, dibakukannya. Boleh ke Sabah jadi Sabeh.

Awak Suka Saya Tak ? (ulasan extended oleh : scov)

Entri oleh sultanmuzaffar 18 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 01
Hari-hari di Akademi Fantasia tanpa Ekin. Rutin-rutin biasa di Akademi Fantasia bermula dengan pembacaan surat wasiat oleh Akma dan pelajar-pelajar lain.

Menarik sungguh lirik lagu yang dipadankan dengan lagu Besame Mucho. Sambil Amylea bermain gitar, Marsha dan Akma menyanyikan lagu tersebut bersama-sama. Lirik-lirik lagu tersebut kebanyakannya merupakan lawak-lawak jenaka dalaman yang jarang-jarang kita fahami.

Persepsi
Dr Azahari hari ini bercerita tentang persepsi. Beliau telah menanyakan beberapa soalan yang perlu dijawab oleh para pelajar. Apabila telah selesai semua jawapan disiapkan, pelajar dikehendaki untuk membacakan jawapannya satu-persatu setelah soalan ditanya oleh Dr. Azahari. Namun demikian, soalan dari Dr. Azahari bukan merupakan soalan yang asal tetapi jawapannya tetap memberikan signifikan kepada jawapan pelajar.

Di sini letaknya makna persepsi. Setiap apa yang dilakukan oleh pelajar, baik perbuatan atau pun perkataan akan ditafsirkan oleh penonton. Mawi tertampar Ekin, dikatakan ganas oleh setengah pihak dan ditafsirkan sebagai tidak sengaja oleh pihak yang lain. Itu namanya persepsi. Begitu juga dengan kenyataan Kudsia Kahar yang pernah juga diberikan persepsi yang berbeza oleh sesetengah pihak. Saya pernah memberikan persepsi positif tentang kenyataan Kudsia, tetapi ada juga yang memberikan persepsi negatif tentang kenyataan tersebut. Begitu juga dengan kenyataan Roslan Aziz yang telah diberikan pandangan baru oleh saya tentang kenyataan tersebut. Saya telah memberikan persepsi positif dan negatif kepada kenyataan tersebut tetapi ada juga yang melihatnya sebagai cubaan memberikan persepsi negatif ke atas kenyataan tersebut. Jika mereka bertanya apa hak saya untuk menilai maksud kenyataan Roslan Aziz, apa pula hak mereka untuk menilai maksud kenyataan Kudsia ? Persepsi dibenarkan, baik persepsi negatif atau persepsi positif kerana pandangan manusia adalah berbeza-beza. Pengalaman manusia juga membezakan taraf mentaliti seseorang.

Kreativiti Mr Bola Bola
Cukuplah dulu. Mari kita ringankan minda kita dari persoalan-persoalan berat yang sering melanda Akademi Fantasia sejak akhir-akhir ini. Setiap pelajar telah diberikan sebungkus tanah liat untuk dibentuk menjadi Mr. Bola Bola. Kesemua pelajar telah menghasilkan ciptaan yang menarik walaupun ada ciptaan yang tidak teguh.

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 02
Belaian Jiwa Versi Langit Dan Bumi
Bayangkan sekiranya mereka ini terpilih menjadi anggota kumpulan Innuendo. Beza nyanyian mereka sungguh ketara. Bagai langit dengan bumi. Saya lebih senang mendengar vokal Felix berbanding Kefli walaupun tidak pernah mengundi Felix. Bila agaknya Kefli ingin menghilangkan bunyi sengaunya itu. Minggu kelapan ? Minggu kesembilan ? Minggu kesepuluh ? atau pun mungkin di Konsert Reunion ? Sakit telinga lah !

Ketua Baru
Yazer telah dilantik menjadi ketua baru Akademi Fantasia. Saya menganggapnya sebagai satu peluang kepada pelajar lain untuk menunjukkan bakat kepimpinannya dan bukannya satu konspirasi untuk menjatuhkan Mawi atau apa-apa alasan yang sewaktu dengannya. Semakin hari semakin muak saya membaca komen-komen tidak berasas di blog saya ini. Hidup mereka penuh dengan pelbagai konspirasi yang melibatkan diri Mawi. Saya melihat peluang ini harus diambil oleh Yazer kerana kita telah melihat bagaimana cara Yazer memujuk Ekin dengan penuh diplomasi serta tegurannya ke atas Amylea. Minggu ini mungkin merupakan minggu penuh cabaran kepada Yazer kerana mendapat lagu yang nyata bukan permainannya dan telah dibebani dengan satu tanggungjawab baru. Tentunya begitu berat untuk ditanggung.

Pada dua minggu yang lepas, Mawi telah menjalankan tugasnya dengan baik terutamanya dalam menyatukan pelajar-pelajar yang tinggal. Jelas kelihatan kemesraan di antara mereka. Kehilangan yang timbul setelah penyingkiran Aidil dapat dirasakan. Bermula dengan teguran ke atas Amylea, berlaku sedikit pergolakan tetapi semangat perkumpulan berjaya disatukan semula oleh mereka. Tahniah Mawi !

Lagu Baru Minggu 08
Kefli - Hati Emas oleh Kembara
Marsha - Cobalah Untuk Setia oleh Kris Dayanti
Mawi - Pupus oleh Dewa
Akma - Selamat Jalan Romeo oleh Ramlah Ram
Felix - Hukum Karma oleh Wings
Amylea - Dua Insan Bercinta oleh Ella
Yazer - Mengapa Harus Cinta oleh Vince
Lagu Bonus - Seri Langkat (Jamal Abdillah & Amelina) dan Ladki Badi Anjani Hai (OST Kuch Kuch Hota Hai)

Sembang Tenaga Pengajar
Masalah lagu bahasa Inggeris pernah saya suarakan pada minggu lepas. Rata-rata pelajar lelaki amat gerunkan lagu Inggeris. Berbeza dengan pelajar perempuan. Lebih memeranjatkan Cikgu Fatimah, apabila Kefli juga salah seorang daripada mereka. Melihatkan latarbelakangnya yang berasal dari Kuala Lumpur tentunya bahasa Inggeris tidak menjadi masalah besar kepadanya. Ia benar-benar mengejutkan kepada para tenaga pengajar. Masalah bahasa Inggeris ini boleh dikatakan sebagai masalah besar dalam Akademi Fantasia kerana taraf pendidikan mereka yang berbeza antara satu sama lain. Tidak cukup dengan itu, situasi persekitaran mereka juga turut memainkan peranan yang penting. Dibesarkan dari kelompok yang bukan berbahasa Inggeris tentunya sukar untuk menguasai bahasa tersebut.

Latihan Pertama Pelajar
Kefli membawakan lagu Hati Emas. Tolonglah hilangkan sengau itu. Sengau satu hal. Menjerit pun satu hal juga.

Yazer bakal menghadapi cabaran paling besar pada minggu ini. Silap langkah, lagu ini bakal menjadi persembahan paling buruk. Seorang penyanyi rock membawakan lagu yang penuh dengan teknik falsetto. Mampukah Yazer memikul cabaran ini ? Vokalnya yang kasar dan serak merupakan satu-satunya asset yang akan beliau pergunakan untuk mencantikkan lagi lagu tersebut. Saya risau dengan persembahan beliau.

Akma bakal menampilkan gelekan untuk lagu ini. Persembahan vokal Akma nampaknya bersesuaian dengan lagu ini. Cuma pada bahagian tinggi beliau menghadapi sedikit masalah. Range Ramlah Ram memang satu-satunya range penyanyi perempuan yang hebat. Silap langkah, tidak mampu dicapai oleh Akma.

Tone vokal yang dipunyai oleh Marsha agak bersesuaian dengan lagu Cobalah Untuk Setia. Marsha perlu memberikan ketelitian dari aspek tempo lagu ini. Adakalanya nyanyi beliau seakan tidak masuk dengan melodi lagu tersebut.

Menurut Pengetua M.Nasir, Akma antara pelajar yang boleh menghafal lirik lagu dengan baik. Pelajar-pelajar lain tidak mampu menghafal dengan baik sehinggakan ¾ daripada lirik lagu tersebut tidak berjaya dihafal oleh mereka.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Siti Hajar
Setelah lapan minggu berada di Akademi Fantasia, pelajaran yang diperolehi adalah agak banyak juga. Malangnya penggunaannya masih belum kelihatan terutama dari segi placement dan breathing.

Pelajar diminta untuk berlari setempat dan sambil melontarkan vokal mereka. Ada waktunya, vokal dilontarkan sewaktu sedang melonjak dan sewaktu menjejak ke lantai. Namun demikian, lontarannya masih betul dari segi placementnya. Ada juga yang masih tidak betul. Mereka harus mencari placement tersebut.

Bagaimana Peluang Pelajar ?
Kefli akan membawakan lagu Hati Emas oleh Kembara. Saya melihat lagu ini sebagai sebuah lagu yang tidak banyak bezanya dengan lagu Keindahan Pantai dari segi rentaknya. Dari segi penghayatan lirik lebih kurang menyamai lagu Berhenti Berharap. Agak puitis dan bukan sejenis lagu yang mudah untuk disampaikan maknanya. Kefli berpeluang untuk mengajak penonton menyanyi bersamanya sekiranya beliau berkemampuan.

Marsha bakal membawakan lagu Cobalah Untuk Setia oleh Kris Dayanti. Saya tidak nampak kesukaran Marsha kecuali pada bahagian tinggi. Lagu ini hebatnya sama seperti lagu Tunggu Sekejap dari segi pembawaan emosinya. Penonton harus dapat merasai permintaan Marsha melalui lagunya.

Mawi pula akan membawakan lagu Pupus oleh Dewa. Dewa. Dewa. Dewa. Sebuah kumpulan yang menjadi kegilaan ramai dan secara khusus, kegilaan saya. Peluang ini boleh digunakan oleh Mawi untuk menebus kekecewaan penonton setelah beliau gagal membawakan lagu Dari Kekasih Untuk Kekasih. Lagu Pupus sememangnya berhantu. Bukan calang-calang penyanyi mampu membawakan lagu ini.

Akma bakal bergelek dengan lagu Selamat Jalan Romeo oleh Ramlah Ram. Lagu ini boleh dijadikan landasan oleh Akma untuk melupakan sifat malunya. Peluang ini harus tidak dilepaskan oleh Akma setelah beliau melepaskan peluang keemasan sewaktu membawakan lagu LOVE. Lagu ini sekiranya dapat dibawakan dengan baik serta persembahan pentas yang cemerlang tentunya membolehkan beliau mengenepikan Yazer untuk Pilihan Lima Terbaik saya.

Felix bakal menjerit lagi dengan lagu Hukum Karma oleh Wings. Lirik lagu ini amat mudah. Terlalu pendek. Tidak sewajarnya dijadikan alasan. Felix telah melepaskan peluang untuk memukau pada Fantasia Bulan Madu. Lagu ini berpeluang untuk menyerlahkan lagi kredibiliti vokal beliau. Felix harus memberikan vokal yang terbaik untuk lagu ini seperti vokalnya untuk lagu Tiada Lagi Kidungmu.

Amylea gembira sekali kerana mendapat lagu Dua Insan Bercinta oleh Ella. Saya tabik kepada Amylea kerana menyahut apa sahaja cabaran tanpa mengeluh. Lagu jazz OK, lagu pop-rock OK, lagu balada OK, lagu irama Malaysia pun OK. Beliau selamba sahaja meragut peluang tersebut kerana beliau berfikiran positif mahu menyerlahkan lagi bakat beliau. Walaupun R&B merupakan permainan beliau, cabaran lagu rock ini tidak pun menggugat sedikit pun semangatnya malah terus memuncak untuk lagu ini.

Yazer menerima lagu Mengapa Harus Cinta oleh Vince dengan perasaan yang kurang ceria. Saya amat simpati kepada beliau. Lagu Mengapa Harus Cinta seakan-akan membunuh peluang beliau di Akademi Fantasia. Lagu membunuh ini sememangnya kaya dengan falsetto dan teknikal vokal. Apa yang telah diajar oleh Cikgu Adnan dan Cikgu Siti Hajar mesti dipraktikkan untuk lagu ini. Sekiranya tidak, lagu ini akan tebal bunyi kasarnya serta imej rock akan disuntik kepada lagu tersebut. Saya tidak begitu pasti dengan susunan muziknya yang terbaru sekiranya ditukar. Jika Yazer bijak, beliau boleh memberikan sentuhan rock kepada lagu ini bergantung kepada kreativitinya.

Entri oleh sultanmuzaffar 16 July 2005 0 komen

Konsert Akademi Fantasia 07 : Kenyataan Roslan Aziz
Tentu ada yang terkejut kerana saya memulakan ulasan Konsert Akademi Fantasia 07 dengan menyiarkan satu kenyataan dari juri Malaysian Idol iaitu Roslan Aziz berkenaan makna "star quality". Saya tidak mahu penonton terus dibuai fantasi dari membaca makna tersirat yang cuba dinyatakan oleh Roslan Aziz.

Blue Hyppo : What does ‘star quality’ mean to you?
Roslan : Star quality is a person who goes on stage and everybody likes already, no need to sing. He or she, people go wahh, that’s what we are also looking for. Last week for the first time I saw AF (Akademi Fantasia), that guy, Mawi, that’s a star. He doesn’t have to sing very well because that competition will develop him, that competition will work him to make him a better singer. But all he needs to do is go on stage and everyone goes wild. That’s a star, handsome, personality. I hope the MI contestants can have that type of charisma. It’s not a package; a package is where its ‘cantik’ (good looks), no we are just talking about nice personality and good talent, only two. There’s no such thing as package, it’s a TV word. I hate this word. No human is perfect. But if you want to be singer, you have to have the charisma, that look and the talent.

Star quality is a person who goes on stage and everybody likes already, no need to sing. He or she, people go wahh, that’s what we are also looking for.

Ya benar ! Mawi layak digelar bintang takrifan Roslan Aziz. Kita kena ingat. Ini takrifan bintang dari seorang pesaing rancangan Akademi Fantasia. Begitu juga dalam rancangan Malaysian Idol, mereka inginkan peserta yang mempunyai aura seperti Mawi. Saya kira mereka telah berjaya menemuinya iaitu Faizull Herman. Faizul dilihat sebagai seorang yang telah berjaya mencuri perhatian ramai dalam edisi Malaysian Idol kali ini.

Last week for the first time I saw AF (Akademi Fantasia), that guy, Mawi, that’s a star.

Entah kenapa, saya berasa terhina dengan kenyataan tersebut. Roslan Aziz menyatakan dengan bangga bahawa pada minggu lepas adalah kali pertama beliau menonton Akademi Fantasia. Mustahil ia merupakan kali pertama beliau menonton. Sewajarnya sebagai pesaing, kita harus melihat program saingan kita untuk menilai keberkesanan program kita sendiri. Saya tidak pasti konsert yang ke berapa telah Roslan Aziz saksikan. Apakah konsert ke lima sewaktu Mawi membawakan lagu Beautiful Maria atau konsert ke enam sewaktu Mawi membawakan lagu Memori Cinta Luka. Sekiranya lagu beautiful Maria dijadikan sandaran untuk Mawi layak dan mempunyai sifat sebagai bintang maka kenyataan tersebut merupakan satu penghinaan untuk rancangan Akademi Fantasia.

He doesn’t have to sing very well because that competition will develop him, that competition will work him to make him a better singer.

Ini merupakan kenyataan sokongan bahawa Mawi tidak boleh menyanyi. Roslan Aziz menyatakan bahawa Mawi tidak boleh menyanyi. Tidak cukup dengan itu, Roslan Aziz menyatakan bahawa tugas pertandingan iaitu Akademi Fantasia untuk meningkatkan prestasi Mawi. Akademi Fantasialah yang akan berfungsi sebagai sokongan untuk mencipta Mawi sebagai seorang penyanyi yang baik. Setelah minggu ketujuh, apakah matlamat tersebut tercapai ? Tentunya tidak berdasarkan pandangan Roslan Aziz kerana menurut beliau, Mawi masih tidak perlu boleh menyanyi dengan baik tetapi masih mendapat sokongan penonton dan menjerit kerana ada nilai bintang pada diri Mawi. Kenyataan ini secara tidak langsung telah merendah-rendahkan kredibiliti Akademi Fantasia secara tidak sedar.

But all he needs to do is go on stage and everyone goes wild. That’s a star, handsome, personality.

Roslan Aziz mengakui bahawa peminat Akademi Fantasia telah melakukan tugas mereka dengan baik. Mereka telah bersorak gembira setiap kali Mawi muncul di atas pentas.

I hope the MI contestants can have that type of charisma.

Benar, tentunya Malaysian Idol juga ingin mencari seseorang seperti Mawi. Siapa yang tidak mahu seorang peserta yang boleh menambahkan berat kantung pendapatan mereka ? Ini adalah perniagaan. Semua orang mahu untung. Ia tetap merupakan satu persaingan. Malaysian Idol telah melahirkan Jaclyn Victor pada edisi lepas. Beliau mempunyai karisma sama seperti Mawi. Apabila beliau muncul di atas pentas, penonton menjerit. Itulah “star quality” yang Roslan Aziz inginkan. Bezanya Jac dengan Mawi, apabila Jac menyanyi dengan baik sekali tetapi tidak Mawi. Kualiti bintang dari Malaysian Idol amat berbeza dengan kualiti bintang dari Akademi Fantasia. Itu maksudnya. Dari Malaysian Idol, penonton tetap menjerit dan penyanyinya menyanyi dengan baik. Dari Akademi Fantasia, penonton tetap menjerit dan penyanyinya boleh untuk tidak menyanyi dengan baik. Apakah itu satu pujian atau penghinaan ?

No human is perfect. But if you want to be singer, you have to have the charisma, that look and the talent.

Roslan Aziz mengakui bahawa Mawi tidak sempurna. Benar, tiada siapa pun yang sempurna di dunia ini. Tetapi untuk menjadi penyanyi, kita harus mempunyai karisma, rupa dan bakat. Jac telah lulus ketiga-tiganya, tetapi pada pandangan Roslan Aziz nyanyian Mawi masih tidak cukup baik. Ada beza antara bintang ciptaan beliau dengan bintang ciptaan penonton Akademi Fantasia.

Secara kasar, sekiranya anda bekerja di Colgate, sampai mati pun anda tidak akan memberikan kenyataan secara terang-terangan yang ubat gigi Darlie lebih baik dari Colgate. Sekiranya anda bekerja di Media Hiburan, sampai mati pun anda tidak akan memberikan kenyataan terbuka yang majalah Mangga lebih baik dari Media Hiburan. Sekiranya anda bekerja di Royal Brunei, sampai mati pun anda tidak akan memberikan kenyataan secara terang-terangan yang MAS lebih baik dari Royal Brunei. Jika anda juri profesional Malaysian Idol, sampai mati pun anda tidak akan memberikan kenyataan sebegini terbuka yang Akademi Fantasia telah menghasilkan bintang yang lebih baik dari bintang ciptaan Malaysian Idol. Fikirkan.

Konsert Akademi Fantasia 07 : Persembahan Pelajar Hambar, Ekin Kembali ke Labuan
Konsert pada minggu ini agak hambar. Saya hanya terpesona dengan persembahan Akma dan Yazer, dua orang yang masih bersaing untuk tempat kelima pilihan terbaik saya. Tiada persembahan yang benar-benar outstanding. Hanya sekadar cukup makan dan mengambil jalan selamat dari berani melakukan sesuatu kejutan dalam persembahan mereka.

Saya sebenarnya sudah bosan dengan aktiviti memasang-masangkan pelajar ini. Walaupun itulah yang ingin dilihat oleh penonton sejak zaman Vince - Liza, Rosma - Khai, Farah - Adam. Namun demikian, pada musim ini kurang menjadi. Ekin cuba dipasangkan dengan Yazer tetapi sekadar permukaannya sahaja tidak dalamannya. Saya pernah berbual dengan sahabat baik saya iaitu nizamzakaria tentang teori ini. Sesiapa yang tidak disukai untuk terus meneruskan perjuangan mereka di Akademi, kita harus pasang-pasangkan. Pasti mereka akan tersingkir.

Ekin telah menamatkan perjalanannya di Akademi Fantasia. Harapan penduduk Labuan agar dapat melihat Ekin di Konsert Final terhenti pada minggu ini. Ekin menamatkan riwayatnya di Akademi Fantasia dengan sebuah lagu berhantu bertajuk Maafkan Kepergianku dendangan asal Ruth Sahanaya.

Kedudukan Sebelum Persembahan Pelajar
Mawi 28%
Felix 21%
Marsha 10%
Amylea 10%
Akma 9%
Yazer 8%
Ekin 8%
Kefli 7%

Pengkritik profesional pada minggu ini juga semacam anti-climax. Pada minggu lepas, kita dihidangkan dengan pengkritik yang bagus-bagus dan popular di kalangan pemerhati muzik tempatan. Pada minggu ini kita turut dihambarkan dengan panel pengkritik yang terdiri dari Kudsia Kahar, Zainal Alam Kadir dan S.Atan. Kehadiran Zainal Alam Kadir tidak membawa banyak perubahan besar kepada emosi penonton walaupun beliau jelas lantang di dada akhbar. Kemunculan S.Atan pula sekadar mengisi kekosongan dan rata-rata komen beliau banyak mengambil jalan selamat dan memberikan kata-kata positif untuk para pelajar.

Persembahan Pelajar
Kefli - You To Me Are Everything 4/10
Kefli memang terselamat pada minggu ini. Selagi Kefli berada di tempat tercorot dalam kedudukan sebelum konsert, maka selagi itulah beliau akan terselamat. Kes yang sama berlaku pada Liza dan Farah. Mujur Farah sememangnya layak berada di Konsert Final. Malangnya nyanyian Kefli tiada apa yang bagusnya. Memang out-of-tune. Masalah pitching merupakan masalah utama. Yang penting, beliau tetap enjoy buat persembahan tersebut. Walaupun penonton pada mulanya cuba untuk merasa terhibur dengan lagu tersebut tetapi tidak menjadi. Kefli terlupa lirik pada dua bahagian. Saya tahu pasal saya pegang lirik lagu. Mawi dan Felix membawakan lagu Inggeris pun saya tidak pegang lirik lagu. Kefli menguasai pentas dengan baik tetapi masih kurang dapat menambat hati penonton. Yang bagusnya tentang persembahan Kefli ialah tahap keyakinan beliau lebih baik berbanding sewaktu sesi latihan.

Akma - Bertahta Di Hati 8.2/10
Sebenarnya saya sedikit terganggu apabila Akma memulakan persembahannya dalam keadaan Felix masih belum bersedia ke tempat beliau memulakan persembahannya. Nampak permulaan yang tidak bersedia. Saya suka dengan persembahan Akma pada minggu ini. Walaupun persembahannya bermula dengan agak gementar tetapi beliau berjaya mencapai tahap kemuncaknya dengan baik. Akma cuba melarikan imej Faradhiya dalam lagu tersebut. Saya sendiri tidak begitu arif dengan imej Faradhiya kerana saya tidak begitu mengenali siapa dan cara Faradhiya sebelum ini. Sama seperti sewaktu Liza membawakan lagu Bunga Bunga Cinta dendangan asal Misha Omar. Penyanyi asalnya tidak begitu popular pada waktu tersebut. Saya tabik dengan gaya persembahannya. Agak minima tetapi memadai. Cara beliau berdiri benar-benar mempunyai gaya bintang. Penghayatannya bagus lebih-lebih lagi dibantu oleh Felix yang sedar diri dan tahu menyesuaikan dirinya dalam persembahan Akma. Felix tidak cuba untuk mencuri tumpuan yang lebih sebaliknya tumpuan tersebut diberikan oleh penonton tetapi masih mengekalkan tumpuan mereka terhadap Akma. Akma perlu harus diuji dengan lagu-lagu balada yang sukar agar keberaniannya untuk mengambil risiko lebih terserlah. Kemantapan nyanyian beliau sudah teruji.

Amylea - Penawar Rindu 7.5/10
Tidak banyak penyanyi yang mampu membawakan lagu ghazal dengan baik. Amylea salah seorang daripada penyanyi yang mampu membawakan lagu ghazal dengan baik walaupun lagu tersebut bukan mainannya. Amylea lebih selesa dengan lagu-lagu R&B dan pop-rock. Lenggok irama Melayunya agak kasar tetapi cukup merdu. Lenggok vokalnya sememangnya sukar untuk dinafikan. Penghayatannya bagus untuk lagu ini kerana telah berjaya membawa kenangan penonton kepada irama ghazal. Setiap minggu Amylea pasti menunjukkan sesuatu peningkatan yang menyebabkan penonton semakin menggemarinya. Walaupun minggu ini Amylea agak kurang menyerlahkan kehebatan vokal yang beliau ada tetapi beliau telah mencuba untuk memberikan satu kelainan kepada irama ghazal. Apabila dikatakan Amylea tidak berani untuk lebih adventurous dalam lagunya, kesalahan itu tidak seharusnya diletakkan kepada Amylea kerana susunan muzik lagu tersebut sememangnya telah disusun sebegitu rupa. Lagipun susunan muzik sedia ada lebih bersesuaian dengannya. Apakah lagu yang lebih sesuai untuk Amylea pada minggu hadapan ? Beri sahaja apa sahaja jenis lagu, Amylea akan mengunyahnya dengan cemerlang.

Yazer - Nazraku 8.1/10
Kejutan untuk Yazer pada malam itu apabila ditampilkan Mas serta bodyguardnya dengan motorsikal berkuasa besar masuk ke dalam stadium. Pertemuan Yazer dan Mas mengimbau kenangan kerana kedua-duanya berasal dari Tawau, Sabah. Saya menyukai persembahan Yazer kerana beliau telah menunjukkan daya usaha yang sebenar-benarnya untuk memberikan persembahan yang mantap. Yazer telah menyampaikan lagu ini dalam penghayatan yang amat bagus. Penguasaan pentasnya mantap dan beliau beraksi dengan penuh bertenaga. Cuma Yazer perlu meningkatkan lagi staminanya kerana beliau kelihatan termengah-mengah di penghujung lagu tersebut. Nampak benar beliau penat. Yazer berani mencipta gerakan-gerakan berani yang jarang-jarang berani dilakukan oleh pelajar lain. Kita tentu masih ingat beliau menghumban tiang pembesar suara sehingga patah pada minggu-minggu awal. Minggu ini beliau mengangkat dan melayangkan tiang pembesar suara. Gerakan-gerakan berani sebegini perlu lebih dirancang kerana agak membahayakan dan kita tidak dapat mengjangkakan apa yang akan berlaku. Tidak cukup dengan kejutan dari Mas, bodyguard yang mengiringi Ma situ sebenarnya adalah bapa Yazer. Terkejut benar Yazer kerana sama sekali tidak menyangka orang yang bersama-sama melompat dengannya adalah bapanya sendiri. Beliau turut menyampaikan sepucuk surat untuk Ekin.

Ekin - Maafkan Kepergianku 5/10
Surat dari bapa Yazer dibacakan untuk Ekin yang merestui perhubungan mereka. Ini adalah gimik sahaja untuk lebih menyedapkan telenovela mereka. Persembahan Ekin tidak banyak perubahan dari minggu lalu. Pada minggu ini Ekin boleh menyerlahkan lagi persembahannya kerana lagu Maafkan Kepergianku merupakan sebuah lagu yang besar rangenya. Dari nada rendah hinggalah ke nada paling tinggi. Persembahan vokal Ekin biasa sahaja kerana bermula dengan agak shaky. Nada rendah Ekin agak bagus dan kedengaran dengan jelas. Bahagian tinggi pula disampaikan dengan baik. Masalah utama Ekin sebenarnya beliau tidak memberikan sepenuhnya untuk membuatkan penonton lebih terpukau dengan persembahannya. Beliau tidak menggunakan peluang tersebut. Sayang sekali. Lagu Maafkan Kepergianku oleh Ruth Sahanaya ini merupakan lagu yang agak kurang biasa di telinga penonton. Maka penonton sukar untuk menghubungkan diri mereka dengan persembahan Ekin.

Mawi - Oh Fatimah 6.5/10
Sebuah lagu pop yeh yeh yang kurang aksi tarian yang menghiburkan. Mawi mengambil jalan selamat untuk tidak banyak menari kerana pergerakan-pergerakan tersebut mampu menganggunya. Saya harus memberikan pujian kepada para pelajar lain yang membantunya pada bahagian tarian kerana sekurang-kurangnya mereka berani dan telah mempelajari sesuatu iaitu tarian untuk lagu Oh Fatimah. Bukankah itu sebabnya diwujudkan Akademi Fantasia ? Tempat untuk belajar bukan tempat untuk mengambil jalan selamat. Tone vokal Mawi bagus untuk lagu ini. Kedengaran biasa dan tidak banyak bezanya dengan minggu-minggu sudah. Beliau menyanyikan lagu Memori Cinta Luka, bunyi itu. Beliau membawakan lagu Beautiful Maria, bunyi itu. Beliau membawakan lagu Oh Fatimah juga bunyi itu juga. Persembahannya agak mendatar kerana mood penonton tidak dapat ditambat untuk terus menonton persembahannya. Beliau mula mencipta kembali kemeriahan apabila mula mencipta gerakan tarian sewaktu bridge lagu tersebut. Peningkatan besar Mawi pada minggu ini apabila temponya bagus dan tidak lari. Saya tertarik dengan komen dari S.Atan yang meminta Mawi agar berlaku adil dengan penyokong-penyokongnya.

Felix - Fantasia Bulan Madu 6.7/10
Pertamanya saya suka dengan susunan muzik bercorak orkestra yang dibuat dengan baik oleh Sham Kamikaze. Ini secara tidak langsung mempelbagaikan lagi khazanah muzik tempatan. Malangnya, Felix menjadikan persembahannya sebagai sebuah persembahan yang mengambil jalan selamat apabila Felix tidak melakukannya seperti yang pernah saya tonton dalam Diari dan juga Diari Xtended. Penghayatan beliau bagus. Nampak Felix serius membuat persembahan. Penghayatannya bagus. Kawalan vokalnya dibuat dengan baik pada awalnya tetapi saya kecewa kerana tidak dapat mendengar kehebatan vokalnya pada bahagian korus lagu tersebut. Saya suka dengan penguasaan falsettonya yang amat baik. Kurangnya keberanian dari Felix seakan-akan mencabar kebolehannya sendiri pada bahagian kemuncak lagu tersebut. Beliau seharusnya lebih berani untuk menampilkan sesuatu yang berbeza pada minggu ini kerana kekuatan lagu tersebut. Sayangnya peluang tersebut tidak dipergunakan dengan baik oleh Felix. Biarkan pelajar lain jika mereka ingin mengambil jalan selamat, Felix tidak seharusnya mengikut mereka.

Marsha - Jambatan Tamparuli 6/10
Kejutan untuk Marsha apabila disiarkan rakaman Trek Selebriti yang menampilkan kumpulan VE sedang menjalani rakaman single terbaru mereka bertajuk “Pokok Kelapak”. Jika benar menjadi kenyataan, susunan vokal yang dibuat dalam lagu tersebut sememangnya baik. Boleh juga ditampilkan Marsha untuk lagu tersebut setelah semuanya selesai kelak. Berkenaan dengan persembahan Marsha, tidak banyak yang boleh dieksploitasi oleh Marsha dalam lagu ini. Tidak banyak variasi yang boleh dilakukan olehnya. Cubaan Marsha menterjemah separuh lagu tersebut ke dalam bahasa Melayu juga tidak menjadi. Lagu ini yang liriknya berulang-ulang menjadi begitu membosankan. Barisan penari latar Kadazan Dusun Cultural Association yang dibawakan khas untuk Marsha juga tidak memberikan apa-apa keistimewaan kepada persembahan Marsha. Kehebatan vokal Marsha juga boleh dilihat sebagai biasa sahaja dalam lagu tersebut. Benar kata S.Atan bahawa lagu ini kurang sesuai dimasukkan ke dalam pertandingan kerana tidak banyak yang boleh dipersembahkan oleh Marsha.

Lagu Bonus - Anekaragam 8/10
Saya seronok melihat kebahagiaan yang tertanam di Akademi Fantasia. Lagu ini jelas membuktikan keikhlasan mereka bersahabat di dalam Akademi Fantasia. Saya nampak mereka benar-benar enjoy membawakan lagu tersebut. Dalam kepelbagaian irama dan emosi yang ada dalam lagu tersebut, begitu jugalah terserlahnya perasaan mereka untuk lagu itu. Disampaikan dengan penuh bersahaja dan over-acting untuk menambat hati penonton. Masih banyak yang boleh dicuba pada minggu-minggu akan datang untuk dua lagu bonus yang telah dipilih oleh penonton melalui proses undian SMS. Lagu-lagu tersebut ialah Ladki Badi Anjani Hai dan Seri Langkat.

Menuju Puncak
Perjuangan Ekin tersingkir pada minggu ini apabila mendapat undian paling rendah. Harapan penduduk Labuan terhenti apabila Ekin tidak mendapat undian yang secukupnya untuk meneruskan penguasaannya pada minggu seterusnya. Sejurus sebelum Ekin pergi meninggalkan pelajar lain, Aznil menyatakan “Apabila jatuh, bangunlah dengan sendiri kerana itulah semangat kita di Akademi Fantasia”. Aznil memang bijak betul menggunakan ayat-ayat yang mampu menusuk hati penonton.

Bagaimana dengan penyokong Ekin, apakah sokongan mereka akan terhenti di sini sahaja. Saya terhibur membaca lawak-lawak jenaka di Saluran 15. Khabarnya penyokong Ekin akan beralih arah kepada Felix untuk memastikan kemenangan Felix. Saya tidak pernah menjangkakan ini akan berlaku kerana pada mulanya saya menjangkakan penyokong Ekin akan beralih untuk menyokong Yazer. Sekiranya ini berlaku, satu tamparan hebat kepada penyokong Mawi dan tentunya senario ini amat menggerunkan ramai pihak. Siapa pun pilihan penyokong Elliza, Fuad, Idayu, Amy, Reza, Aidil dan Idayu adalah hak mereka untuk menentukannya. Walaupun pernah sekali Adlin Aman Ramlie menyarankan agar bekas penyokong pelajar agar membantu Marsha dengan mengundinya.

Ranking sultanmuzaffar
Akma - Bertahta Di Hati 8.2/10
Yazer - Nazraku 8.1/10
Lagu Bonus - Anekaragam 8/10
Amylea - Penawar Rindu 7.5/10
Felix - Fantasia Bulan Madu 6.7/10
Mawi - Oh Fatimah 6.5/10
Marsha - Jambatan Tamparuli 6/10
Ekin - Maafkan Kepergianku 5/10
Kefli - You To Me Are Everything 4/10

Imbasan Akademi Fantasia 07
Tetamu pada minggu ini ialah Encik Hasrul, Pengurus Residen Akademi Fantasia dan Puan Fatimah Abu Bakar, Guru Bahasa Inggeris Akademi Fantasia. Turut bersama ialah Ekin yang menjadi pelajar ketujuh tersingkir dari Akademi Fantasia.

Apa sudah jadi dengan CD lagu Ekin ? Come on ! Imbasan walaupun merupakan program susulan selepas Konsert, ia tetap merupakan program yang amat penting dalam Akademi Fantasia untuk menghargai bakat pelajar yang tersingkir. Sewajarnya, Imbasan Akademi Fantasia tidak dibekalkan dengan CD Petaling Street yang amat murah harganya. Saya pernah juga mendengar percubaan hanya dibuat pada permulaan CD tersebut bukannya keseluruhan lagu tersebut. Saya simpati kepada Ekin yang tidak dapat meneruskan persembahan finalenya.

Jika isu Encik Hasrul sebagai tukang cucuk boleh dijawab di dalam Imbasan, minggu depan boleh pula dijemput Pegawai Teknikal yang menyelia audio iaitu CD minus one ke Imbasan. :) Sebenarnya saya memang merasa sedikit kecewa apabila menonton di televisyen kerana tiada peningkatan langsung. Baik dari segi mutu audio, mahu pun sudut-sudut menarik kamera. Jurukamera sering merakamkan aksi dari sudut jauh. Nasib baik saya menonton di stadium. Yang membezakan saya setiap minggu adalah kedudukan tempat duduk saya. Saya pernah duduk di kerusi Press, tempat duduk Aras 1 dan kerusi VIP Arena. Saya boleh melihat dari pelbagai sudut yang berbeza setiap minggu.

Kedudukan Selepas Konsert
Mawi 24%
Felix 20%
Amylea 11%
Marsha 10%
Kefli 9%
Yazer 9%
Akma 8%
Ekin 8%

Mengejutkan bukan ? Tetapi biasalah Akademi Fantasia. Kedudukan ini semuanya adalah asam garam biasa dalam Akademi Fantasia. Kefli melonjak dengan mendadak walaupun telah memberikan persembahan yang agak buruk. Yazer walaupun memberikan persembahan yang baik tetap berada goyah di bahagian bawah. Begitu juga dengan Akma yang nyaris-nyaris tersingkir walaupun telah memberikan persembahan yang mantap.

Ulasan lain yang akan saya baca setiap kali ada update baru setiap minggu boleh diperolehi di Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata, Juan Danza, Klubbkidd dan Dah Demam. Seronok membaca pelbagai pendapat dari pelbagai latarbelakang.

Entri oleh sultanmuzaffar 15 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 09
Barisan bala tentera memperkenalkan diri mereka satu persatu sebelum memulakan penilaian persembahan. Mereka telah diberikan hadiah kerana telah berjaya menjalankan tugas mereka dengan baik.

Kritikan Satu Seni
Mengkritik juga merupakan satu seni. Ia dapat melihat bagaimana kita memahami sesuatu situasi dan juga menggambarkan mentaliti dan pengetahuan pengkritik. Gaya bahasa yang digunakan juga mencerminkan mentaliti seseorang pengkritik itu. Apabila diadakan segmen kritikan dari para pelajar terhadap pelajar lain sememangnya satu tanggungjawab yang berat kerana mereka perlu menyampaikannya dengan jujur.

Persembahan Marsha masih mendatar. Saya sedikit risau melihatkan persembahannya. Lirik yang berulang-ulang dan juga menggunakan bahasa Dusun tentunya akan membosankan. Marsha perlu melakukan sesuatu untuk memeriahkan lagu Jambatan Tamparuli. Lagu rakyat agak mudah untuk menambat hati penonton tetapi tidak semua lagu rakyat berjaya menambat hati penonton.

Sebuah lagu cinta dari Akma disampaikan dengan penuh emosi. Lagu ini sememangnya makanan Akma sayangnya lagunya tidak begitu popular dan penonton sukar untuk berhubung dengan lagu tersebut. Lagu ini memerlukan penghayatan yang besar untuk membuatkan penonton terpesona.

Kefli masih belum menghafal liriknya dengan baik. Tumpuannya masih belum tercapai dengan betul. Lagu ini sememangnya sedap dan mampu membuatkan penonton untuk sama menari dengan Kefli. Kefli telah mencipta gerak-gerak yang mempersonakan dan ia mampu untuk memikat penonton. Kefli perlu memperbaiki teknik nyanyiannya yang sengau itu. Sekiranya terlupa lirik beliau perlu belasah saja.

Lagu untuk Yazer merupakan sebuah lagu yang agak popular dan biasa didengar oleh penonton. Yazer perlu mengurangkan melompat-lompat sehingga menjejakan projection vokalnya. Yazer perlu lebih berkomunikasi dengan penonton. Gayanya sebagai penghibur dengan mengangkat tiang pembesar suara sememangnya menarik, tetapi perlu dilakukan dengan stail. Menurut M.Nasir ada pelbagai cara untuk menggayakannya dan bukan seperti mengangkat cangkul.

Untuk menjadikan persembahan Marsha lebih difahami, Cikgu Marlia, Pengetua M.Nasir dan Marsha telah menterjemah lirik-lirik lagu dalam bahasa Dusun kepada bahasa Melayu. Ini setidak-tidaknya dapat mengelakkan persembahan Marsha menjadi lebih mendatar dengan lirik berulang-ulang yang tidak difahami penonton.

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 10
Mawi menyatakan yang lagunya agak mudah tetapi elemen tarian yang sedikit menyukarkannya. Tetapi sebagai penonton, itu yang mereka ingin lihat. Bukan selalu dapat melihat Mawi menari. Felix menyatakan yang range lagunya agak tinggi sehingga beliau kurang berkeyakinan untuk membawakan lagu tersebut pada bahagian tersebut. Yazer perlu memperbaiki teknik pernafasannya untuk lagu tersebut. Kefli seperti yang kita lihat agak tertekan pada minggu ini kerana membawakan lagu Inggeris. Saya dapat merasakan yang Akademi Fantasia 3 ini bahawa setiap pelajar mengalami kesukaran untuk menyampaikan lagu Inggeris terutamanya pelajar lelaki. Amylea menganggap lagunya agak mencabar kerana pertama kali membawakan lagu berirama Malaysia.

Amylea telah membantu Mawi untuk menari lagu Oh Fatimah. Satu initiatif yang seharusnya dipuji.

Pertemuan Kefli dengan Pengetua
Kefli merupakan seorang pelajar yang terlalu berhati-hati. Beliau terlalu beauty-conscious. Macam Adam pada Akademi Fantasia 2. Setiap lima minit beliau akan memandang cermin. Pengetua telah mengingatkan Kefli agar tidak menyimpan kekuatannya. Beliau lebih berkomunikasi dengan penonton. Apabila ditanya apakah beliau menghadapi masalah dyslexia. Kefli menjawab tidak. Imaginasi Kefli terlalu rendah. Beliau tidak mampu melihat dengan lebih jauh persembahannya. Beliau kena menterjemahkan persembahannya di dalam kepalanya.

Menilai Peningkatan Pelajar Sehingga Minggu 6 (Bahagian 2)
Mawi
Ada sesuatu pada Mawi yang menyebabkan beliau disukai. Saya tetap menganggap peningkatannya masih kurang konsisten, lebih-lebih lagi dari aspek teknikal vokal. Mawi mempunyai tone yang baik tetapi kurang menggunakan teknik yang telah diajar. Mawi masih terikat dengan bunyi-bunyi masyid tersebut. Jika dibandingkan dengan pelajar lain seperti Marsha, Amylea ataupun Idayu, teknik vokal Mawi masih lemah.

Amylea
Beliau merupakan pelajar yang telah menunjukkan peningkatan yang besar di dalam Akademi Fantasia 3. Peningkatan yang ditunjukkan oleh beliau tetap terjadi walaupun menghadapi masalah. Ini membuktikan yang beliau berkemampuan untuk melupakan persekitaran luar yang mengganggu apabila membuat persembahan. Amylea mampu untuk menjadi sesuatu di masa akan datang sekiranya masih mengekalkan sikap sebegini.

Akma
Akma sememangnya hebat dari aspek vokal tetapi tidak menunjukkan peningkatan dari aspek personaliti. Akma senang membawakan lagu-lagu balada dan telah menggunakan kemantapan vokal beliau dengan sebaiknya.

Kefli
Kefli masih perlu meningkatkan mutu vokalnya. Teknik nyanyiannya perlu dibaiki. Kefli perlu membuang sikap panas baran dan tidak mahu mengubah sikap sekarangnya. Kefli harus perlu berubah. Kefli agak selesa dengan dengan lagu balada dan pop-rock maka beliau perlu menvariasikan lagi genre yang beliau boleh bawa.

Ramalan Penyingkiran
Saya letak taruhan saya kepada Ekin, Akma atau Kefli. Mereka ini antara pelajar yang lemah dan tidak menunjukkan peningkatan yang besar. Akma bernasib baik pada minggu lepas kerana sikapnya. Mungkin juga pada minggu ini penonton telah memaafkannya. Melihat kepada hubungan baiknya di dalam Akademi, mungkin juga penonton sudah memaafkannya. Akma menduduki tangga kedua terakhir selepas Aidil. Ekin dikritik hebat oleh para Tenaga Pengajar pada awal minggu. Personaliti Ekin juga terserlah apabila beliau secara terbuka menyatakan ketidak-puashatiannya terhadap Mawi. Satu strategi yang bagus dari Ekin. Para pengundi yang anti-Mawi akan memberikan undiannya kepada Ekin. Berdasarkan peningkatan, Ekin menunjukkan peningkatan yang tidak begitu konsisten. Kefli pula masih tercari-cari identitinya, beliau masih tidak membesarkan citarasanya. Peningkatannya amat kecil. Persembahannya adakalanya bagus adakalanya hancur. Aspek nyanyiannya masih tiada peningkatan. Sikapnya perlu dibaiki. Saya hanya mahu melihat personalitinya sahaja sekiranya beliau terus kekal.

Entri oleh sultanmuzaffar 14 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 07
Sudah agak lama baru ada kelapangan untuk mengemaskinikan foto-foto di Dataran Putrajaya, sila ke Potluck Akademi Fantasia di Dataran Putrajaya.

Akademi Fantasia Masa Depan
Bayangkan bagaimana keadaan Akademi Fantasia di masa depan. Ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Tiada isu menarik agaknya. Yazer perlu melakonkan watak Encik Hasrul sebagai Pengurus Residen. Manakala Mawi sebagai Pengetua dan Amylea dan Felix sebagai Tetamu Undangan ke Akademi Fantasia.

Menariknya lakonan Yazer apabila beliau turut membetul-betulkan pembesar suara pelajar, tetamu undangan dan sesekali berbisik kepada tetamu undangan untuk berhenti. Yazer berminat agaknya dengan kerja itu. Tidak payahlah. Ada banyak kerja lain yang lebih berfaedah. Kerja tersebut sememangnya memerlukan daya ketahanan yang tinggi lebih-lebih lagi apabila perlu berdepan dengan para peminat yang kecewa dengan tindakan Pengurus Residen.

Apabila ada peluang untuk mengacau Mawi yang sedang tertidur keletihan di sofa, Marsha dan Akma tidak melepaskan peluang tersebut. Sambil-sambil berlatih lagu Anekaragam sempat juga mereka mengganggu Mawi konon-konon bidadari di dalam mimpi Mawi.

Kelas Vokal Cikgu Adnan
Saya merasakan lagu-lagu dari penyanyi wanita Indonesia sememangnya sesuai dengan vokal Ekin. Nampak begitu serasi dengan tonenya yang sedikit husky dan kedengaran lebih merdu. Ekin perlu melatihkan dirinya untuk falsetto, vibrato dan penggunaan real voice dengan lebih baik lagi. Ekin ini mempunyai satu tarikan untuk hanya memberikan yang terbaik apabila lagu yang diperolehi olehnya adalah lagu yang disukai oleh beliau. Asalkan beliau tidak terikat dengan Ruth Sahanaya sudah memadai.

Kefli masih belum menghafal liriknya dengan baik. Masalah utama Kefli ialah kurang memahami lirik lagunya maka di dalam kepalanya masih belum tergambar imej-imej cerita yang terkandung di dalam lirik lagu tersebut. Ini membuatkan beliau lebih sukar untuk menyanyikan lagu tersebut. Sekiranya dapat disampaikan dengan baik sekalipun, penghayatannya kurang. Cabaran utama Kefli ialah beliau harus memahami lagu tersebut. Lagu ini tiada range yang perlu membuatkan beliau terjerit-jerit. Melodi lagu ini agak sederhana. Saya menyukai lagu tersebut yang melodi agak indah. Beliau harus melafazkan lirik-liriknya agar mengalir ke dalam melodi lagu tersebut. Selain daripada itu beliau juga perlu menjaga tempo lagu tersebut.

Yaser dan Felix berehat di Bilik Aktifkan sambil Kefli membawakan lagu Fantasia Bulan Madu. Sememangnya Kefli seorang yang menyukai lagu-lagu yang menjerit. Seakan-akan beliau melepaskan geram dengan lagu tersebut. Sabar !

Umie Aida Singgah Ke Akademi Fantasia
Tidak banyak aktiviti bermanafaat yang diperolehi oleh para pelajar melainkan diminta untuk melakon babak dari filem Embun. Mulanya Ekin dan Yazer melakonkan watak-watak tersebut dan kemudian diikuti oleh Kefli dan Amylea. Mereka masih malu-malu dan segan dan tidak begitu serius.

Kemudian Kefli diminta untuk berlakon dengan Umie Aida. Masih belum mendapat mood yang betul untuk babak tersebut.

Antara nasihat dari Umie Aida adalah yang pelajar Akademi Fantasia mendapat populariti yang cepat. Mereka harus tidak merasa diri mereka bagus dan sentiasa memperbaiki diri mereka. Seboleh-bolehnya agar orang lain tidak mendahului diri mereka. Umie contohnya menceritakan pengalamannya yang pada mulanya agak susah untuk mendapat populariti dan perlu membuktikan yang beliau mampu untuk berlakon. Mereka harus memasukkan elemen terbaik ke dalam populariti mereka agar menjadi lebih bagus.

Anekaragam
Kefli dan Akma banyak membantu rakan-rakannya dalam koreograf tarian tersebut. Mereka banyak memberikan idea-idea mereka untuk mencantikkan lagi persembahan tersebut. Ia merupakan satu inisiatif yang bagus di kalangan pelajar Akademi Fantasia.

Makan Malam Bersama Bintang AF
Berita baik untuk anda peminat AF! 30 peminat Amy dan Idayu yang terlebih dahulu menghubungi saya di e-mel hakimamir@gmail.com akan dijemput ke satu Majlis Khas Sesi Bertemu Peminat AF pada 15hb Julai 2005 (malam esok!!) jam 7.30 malam di Menara Kuala Lumpur (KL Tower).

Peluang anda untuk bertemu Amy & Idayu dan bintang bintang AF3 yang lain (yang dah terkeluar dari Akademi). Nikmati makan malam bersama bintang2 AF serta persembahan eksklusif mereka untuk anda. Tenaga – tenaga pengajar AF juga akan hadir!

Jangan lupa! Hanya 30 peminat Amy & Idayu pertama yang menghantar e-mel kepada saya
dengan Nama Penuh, Nombor Kad Pengenalan dan Nombor Telefon dan akan dijemput ke majlis ini !

Tunggu apa lagi??

bagi pihak ASTRO,
Hakim Amir
hakimamir@gmail.com

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 08
Kefli Kecil Hati
Kefli merasa kecil hati dengan Cikgu Ee kerana menuduh Kefli tidak menyanyi sewaktu lagu Menuju Puncak. Seingat saya apa yang diperkatakan oleh Cikgu Ee adalah sewaktu persembahan di Konsert minggu lepas dan bukannya sewaktu latihan yang baru sebentar berlangsung. Setelah diulang kembali rakaman, suara Kefli adalah yang paling jelas kedengaran berbanding pelajar lain. Amylea pula yang curi tulang kerana tidak menyanyi. Beliau banyak melihat cermin dari menyanyi. Yazer pula kelihatan termengah-mengah.

Memang hampa Kefli nampaknya kerana benar-benar terasa dengan teguran tersebut kerana berkali-kali beliau menyatakan kepada Cikgu Ee yang beliau menyanyikan lagu tersebut.

Marsha Bantu Kefli
Marsha mengambil kesempatan untuk membantu Kefli berlatih lagunya. Memandangkan Kefli membawakan lagu Inggeris maka bantuan sememangnya diperlukan. Apabila terpandang Marsha melihat kamera nampak seperti bantuannya tidak ikhlas pula. Saya dapat melihat keintiman dan kemesraan mereka. Memang sepadan. In real life pun, memangnya teman wanita Kefli merupakan seorang yang berambut panjang.

Ekin Berlatih, Amylea Main Piano
Saya melihat Ekin sedang sibuk berlatih lagunya, dalam waktu yang sama Amylea pula bermain piano. Sekurang-kurangnya hormatilah Ekin yang sedang berlatih lagunya. Jika ingin bermain piano, bolehlah bermain di waktu yang kosong dan bukannya sewaktu pelajar lain sedang berlatih. Ini bukan kali pertama saya melihat Amylea banyak kali enterframe sewaktu rakan-rakannya sedang berlatih. Ada kalanya beliau sibuk berlatih menari lagu-lagu kawan-kawannya sehinggakan menganggu tumpuan Cikgu Siti Hajar. Ini berlaku semalam. Sememangnya Amylea seorang yang gilakan perhatian.

Beliau kena faham bahawa masa yang diperuntukkan untuk seseorang pelajar tidak banyak. Maka peluang tersebut perlu dipergunakan oleh setiap pelajar untuk memberikan fokus mereka kepada ajaran Tenaga Pengajar. Apabila ada pelajar lain yang menyibuk di dalam kelas tersebut, maka tumpuan mereka banyak terganggu.

Fantasia Bulan Madu
Dua rocker terkenal Malaysia iaitu Amy dan Awie telah dibawa untuk masuk ke dalam Akademi Fantasia untuk bertemu pelajar. Sesi nyanyian Fantasia Bulan madu oleh semua pelajar sedang diadakan sewaktu Awie masuk ke Akademi.

Awie bertanyakan kepada semua pelajar siapakah yang paling rock antara Amy dan Awie. Yazer mengatakan gerakan badan Amy lebih lembut walaupun menyanyikan lagu rock. Begitu juga dengan Ekin. Awie telah meminta agar Felix menyanyikan lagu tersebut untuk melihat gaya beliau dan melihat perubahan yang boleh dilakukan olehnya.

Amy pula muncul dari belakang sewaktu Felix sedang menyanyikan lagu tersebut.

Setiap kali Tetamu singgah ke Akademi, perkara pokok yang akan menjadi topik perbualan mereka tentunya tentang stage fright, stamina, hidup susah. Menurut Amy setiap pelajar terlalu beruntung kerana kini mereka dapat mengikuti kelas vokal. Pada zaman dahulu tiada kelas vokal. Setiap kali mesti para tetamu akan menceritakan bagaimana susahnya zaman dahulu. Vince dan Khai juga bercerita bagaimana susahnya mereka di dalam Akademi Fantasia walaupun peristiwa tersebut baru sahaja 3 tahun berlangsung. Esok-esok apabila Mawi dan lain-lain telah lulus dari Akademi Fantasia juga boleh bercerita tentang susahnya mereka hidup di dalam Akademi ataupun hidup secara peribadi di luar Akademi.

Stage fright itulah yang menjadi thrill kepada setiap persembahan. Memang sukar untuk menghilangkan stage fright. Ia perlu ada untuk setiap persembahan. Jika tidak, penyanyi akan menjadi seorang yang over confident. Sebagai seorang penyanyi, kita perlu mempunyai impian yang besar. Perkataan suka-suka, sambil lewa dan isi masa lapang tidak boleh digunakan jika ingin berjaya.

Setiap dari mereka mempunyai peluang untuk menjadi pop-icon kepada industri muzik Malaysia sekiranya berusaha dengan gigih. Mereka satu hari kelak akan menjadi trendsetter, dengan syarat kena berani. Yang bercakap itu, cukupkah atau layakkah untuk menjadi trendsetter ? Dengan subangnya, rambut tidak payah cakap lah. Ini secara tidak langsung bakal mengelirukan pelajar. Apakah ini trendsetter yang perlu mereka ikut ? Apakah keberanian berpakaian sedemikian atau berfesyen begitu yang menjadi ajaran mereka. Kita lupakan soal pakaian atau penampilan kerana mereka sudah memberikan tips-tips yang bagus untuk para pelajar tersebut.

Menurut mereka, untuk menjadi penghibur kita perlu mempunyai semangat juang yang tinggi. Akademi Fantasia merupakan tempat untuk mencari senjata sulit yang kita tidak tahu selama ini. Mereka perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkannya.

Menurut Awie pula, beliau melihat tiada pelajar perempuan yang mempunyai ciri-ciri untuk menjadi penghibur yang sebenar-benarnya. What ! Bagaimana dengan Marsha dan Amylea ? Apakah itu belum cukup untuk menjadi seorang penghibur yang mantap ? Kebolehan vokal mereka sukar untuk dinafikan. Bagaimana pula dengan pelajar lelaki ? Apakah mereka cukup sifat untuk menjadi penghibur ?

Entri oleh sultanmuzaffar 13 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 05
Ulasan selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 06
Prebet Lapuk Melapor Diri
Setiap orang dari pelbagai pangkat telah melapor diri di Akademi Fantasia pada hari ini.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Marsha bakal membawakan lagu Jambatan Tamparuli. Oleh yang demikian lagu tersebut perlu dibantu dengan tarian Sumazau. Setiap pelajar perlu membantu untuk lagu tersebut. Cikgu Ee telah mengajar langkah asas untuk lagu tersebut. Langkah-langkah asas tersebut tidaklah sesusah mana. Agak mudah sahaja. Ada kecenderungan dari kefli untuk semakin mengecilkan pergerakan tangannya. Beliau telah diminta agar tidak mengurangkan kepakan tangannya sehingga nampak lebih cute dari Amylea. Untuk lebih mencantikkan lagi lagu tersebut, pelajar boleh menjerit-jerit untuk memeriahkan lagu tersebut. Bersemangat pelajar apabila berpeluang untuk menjerit. Tetapi bukan menjerit yang suka-suka kerana jeritan tersebut adalah untuk cue.

Saya merasakan lagu Jambatan Tamparuli perlu mengekalkan bunyi-bunyi iringan secara asli. Menggunakan minus one semacam hilang keasliannya. Tetapi semacam tidak adil pula kepada pelajar lain kerana pada minggu lepas Marsha telah berpeluang membawakan lagunya dengan iringan piano.

Pengenalan Diri
Sekiranya cara ini digunakan untuk pengenalan diri pada minggu ini, bakal memberikan satu kelainan kepada Akademi Fantasia. Pertama kali diperkenalkan di dalam Akademi. Boleh juga melihat pelajar berkawad di atas pentas dan Mawi memberikan arahan. Semakin seronok melihat kemesraan mereka di dalam Akademi.

Akma menggunakan slang askar Jepun. Agak unik daripada beliau dan idea tersebut datang dari konnichiwanya. Amylea pula menggunakan stail yang berbeza dan tidak menjerit. Marsha pula mengarahkan penonton top-up.

Kelas Seni Persembahan Cikgu Marlia
Amylea nampaknya tidak begitu sukar untuk membawakan lagu tersebut. Beliau perlu melebihkan lenggok asli pada lagu tersebut dan juga lebih selesa dengan lagu tersebut. Ekspresi wajahnya perlu nampak relaks dan tidak berkerut untuk lagu tersebut. Lagu ini tidak dapat menyerlahkan attitude Amylea dalam lagu tersebut. Amylea harus lebih matang dalam lagu ini kerana tidak banyak yang boleh dilakukan olehnya dari aspek persembahan melainkan memberikan penekanan kepada aspek vokal. Lenggok-lenggok Melayu itulah yang ingin penonton dengar.

Lagu Bonus - Anekaragam
Saya mengharapkan persembahan lagu ini sehebat lagu Khayalan atau Memories. Kelebihan pelajar dalam lagu ini apabila mereka dapat menyerlahkan attitude mereka ke dalam lagu tersebut. Dari rangkaian beberapa buah lagu, ia digabungkan dalam satu persembahan yang disulami pelbagai genre tentunya menarik minat saya. Perasaan gembira mereka perlu menguasai lagu tersebut. Suara lelaki saya hanya kedengaran suara Kefli. Di mana pelajar lelaki yang lain ? Berbanding pelajar perempuan yang vokal mereka lebih harmoni antara satu sama lain.

Akma - Bertahta Di Hati
Beliau memulakan persembahan dengan duduk. Satu yang lain telah dilakukan oleh Akma berbeza dengan Faradhiya. Akma harus lebih menyerlahkan fleksibiliti tubuhnya dalam menyampaikan lagu tersebut. Akma pula harus bangun dengan stail dan bukan sekadar bangun sahaja. Perlu mempunyai stail penghibur itu yang masih kurang diberikan oleh Akma.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Siti Hajar
Kefli masih tercari-cari teknik melontarkan vokal. Melakukan bubbling juga masih tersekat-sekat dan masih belum fasih tentang placement. Tentu perlu dibaiki oleh Cikgu Siti Hajar. Bayangkan masalah seperti ini masih berlaku di minggu ketujuh. Tentunya ada satu yang kurang di pihak pelajar. Kefli membawkan cabaran sebuah lagu Inggeris pada minggu ini. Saya tidak nampak beliau bakal menghadapi masalah yang berat pada minggu ini berbanding Felix pada minggu sudah. Apa yang perlu ditingkatkan ialah tahap keyakinan beliau dalam menyampaikan lagu Inggeris. Nampak beliau masih was-was dalam penyebutan.

Saya akui lagu Jambatan Tamparuli merupakan lagu yang agak monotonous. Ulangan pada lirik lagu bakal membosankan. Marsha perlu melakukan sesuatu untuk mencantikkan lagi lagu tersebut.

Sebelum berhenti, pelajar telah beratur untuk mengucapkan terima kasih kepada Tenaga Pengajar. Sempat juga Cikgu Siti Hajar mengajar mereka teknik melontarkan vokal mereka terutamanya Mawi. Cara beliau menyampaikan arahan tidak menggunakan teknik yang betul.

Gentleman
Apalah Felix ni. Tak gentleman langsung. Dah elok-elok suruh tunggu perempuan makan dulu. Dia dah siap hidang makanan dia di atas meja. Tunggu saja perempuan makan, dia pun makan sekali. Muka pun macam lapar sangat-sangat. Mawi juga sudah siap hidang makanan dalam pinggangnya dan terus ke meja makan. Baru diajaknya Kefli dan Yazer makan. Felix sudah makan dah masa tu.

Ekin - Maafkan Kepergianku
Sebelum mengakhiri Diari, latihan untuk Ekin dipaparkan. Cikgu Marlia telah mengikat jari-jari Ekin yang suka bergerak-gerak mengikut tempo lagu tersebut. Ia merupakan satu habit yang perlu dihindarkan pada seorang penghibur.

Menilai Peningkatan Pelajar Sehingga Minggu 6 (Bahagian 1)
Yazer
Saya nampak ada perubahan pada Yazer. Beliau telah banyak dicabar dengan pelbagai genre lagu. Ada lagu rock, pop-rock, irama Malaysia, lagu lama dan balada. Peningkatan yang ditunjukkan oleh beliau dari minggu ke minggu tidak besar dan tidak begitu konsisten. Sekiranya genre persembahan yang ditampilkan oleh Yazer menjadi taruha, saya akan memilihnya. Beliau berkemampuan membawakan genre rock dengan baik.

Marsha
Marsha meletup sejak akhir-akhir ini. Beliau menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak minggu kedua beliau masuk ke dalam Akademi hinggalah sekarang. Beliau juga merupakan pelajar yang telah dicabar dengan pelbagai genre lagu sehingga turut bermain piano untuk persembahannya. Satu yang menarik tentang Marsha apabila beliau begitu fokus kepada persembahannya dan berbeza sewaktu beliau menjadi dirinya. Beliau tahu menyesuaikan diri dan bila untuk bertukar watak.

Felix
Apa yang disukai oleh penonton ialah ketrampilan beliau di atas pentas. Beliau bijak menghibur penonton. Persembahan vokal beliau tidak begitu konsisten tetapi masih dapat menghibur dengan baik. Itu yang unik tentang beliau. Masih banyak yang perlu dipelajari oleh Felix untuk menjadi penghibur yang hebat.

Ekin
Pada peringkat awal saya menyukai beliau tetapi persembahannya semakin menurun sejak akhir-akhir ini. Tiada peningkatan yang ditunjukkan oleh beliau. Jika ada pun tidak begitu konsisten. Sekejap beliau bagus, sekejap beliau hilang fokus. Saya tidak melihat beliau sebagai bahan yang boleh dipersembahkan untuk Konsert Final.

Apa pendapat anda ?

Misi Suara Hati
Pesakit leukimia yang ingin dibantu oleh program Misi Suara Hati 1 iaitu adik Sim Yee Lim telah meninggal dunia pada jam 3 pagi hari ini. Salam takziah.

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Jarang benar saya menyiarkan surat pembaca-pembaca saya di sini. Hari ini saya siarkan satu untuk bacaan anda semua. Saya suka dengan komen-komen sebegini. Lebih jujur dan disampaikan dengan penuh perasaan dan bukan emosi yang keterlaluan.

Satu Detik Yang Merubah Segalanya
oleh Asrul Muzaffar Mohammed
Pentadbir - Bandar Utopia

Ada sesuatu yang sedang saya usahakan buat masa ini... untuk keluarga dan juga untuk AKRAB kelak... yang memerlukan persiapan beberapa dokumen. Namun pagi tadi hati saya meresah lagi kerana dokumen yang sepatutnya disiapkan oleh seorang warga kerja syarikat saya belum siap lagi... kakitangan berkenaan MC pula hari ini! Mungkin inilah masalahnya jika kita hanya memegang share kecil dalam sesuatu syarikat dan kakitangan berkenaan merupakan saudara kepada salah seorang Director yang lain --- hak untuk bersuara kurang!

Dalam dunia hari ini, TIME IS MONEY. Ada ketikanya kelewatan itu menguntungkan namun ada pula ketikanya ia mungkin merugikan. Saya sentiasa percaya bahawa 'it only takes a day for things to change'. Apa yang kita lakukan (atau ditimpakan ke atas kita) dalam masa 24 jam mungkin mempengaruhi susur galur kita bermula dari saat itu. Bencana tsunami hanya berlaku dalam beberapa minit dan efeknya akan mengambil masa bertahun untuk sembuh. Atau dentuman 2 kapalterbang terhadap NY World Trade Centre. Atau letupan bom di stesen kereta api bawah tanah/bas di United Kingdom. Sepetik jari sahaja bermacam boleh berubah.

Apapun, saya berharap agar dokumen-dokumen tersebut disiapkan secepat mungkin, sebolehnya esok, kerana saya berharap agar usaha kecil ini menjadi kenyataan menjelang hari Khamis/Jumaat minggu ini.

MAWI OH MAWI

Terlanjur saya menulis, mungkin saya boleh mengupas sedikit mengenai fenomena tahunan Akademi Fantasia 3 (AF3) yang sedang melanda sekarang ini... sebab buat masa ini saya malas nak menulis sesuatu yang terlalu serius.

For the record, yess... I AM a fan of MAWI.

Saya percaya bahawa diri kita ada terdapat dalam setiap seorang pelajar AF. Dengan personaliti yang berbeza-beza, ada antara perangai dan atitut diri yang boleh kita relate dengan seseorang pelajar. Ambil Mawi sebagai contoh. Pertama kali saya mendengar suaranya dalam Tirai AF saya dah buat remark pada keluarga; "Budak nih suara sedap nih". Malah pada saya alunan suaranya dalam Konsert Prelude AF mendendangkan "Intifada" cukup membuatkan saya konfiden... hingga merasa agak frust bila Mawi tak terpilih di penghujung konsert tersebut. Kemudian beliau diserap masuk dan kemudiannya mengecewakan di Konsert 2 dengan lagu "Dari Kekasih Kepada Kekasih". Beliau bangkit pada minggu-minggu berikutnya hinggalah ke persembahannya yang terbaik setakat ini dalam Konsert 6 dengan "Memori Cinta Luka" (malah penyampaiannya lebih 'jantan' dari penyanyi asal).

Ramai dari kita yang boleh 'identify' dan 'relate' dengan Mawi. Seorang yang berasal dari kampung, juara qari, pandai bersilat dan sentiasa berusaha membantu keluarganya. Mungkin 2-3 bulan lepas Mawi hanyalah seorang pemuda kampung biasa yang bekerja, memiliki awek/tunang dan menjalani kehidupan 'biasa'. Namun mungkin beliau sendiri tidak menyangka betapa hidupnya akan berubah. Mungkin ujibakat AF yang dihadiri secara suka-suka pada satu hari itulah sebenarnya yang bakal merubah terus kehidupannya.

Saya pernah menulis tentang ini dalam artikel 'Satu Minit Seberkas Kaul'. Setiap seorang dari kita sentiasa mengharapkan suatu detik atau sekadar satu minit yang mampu merubah hidup ke tahap yang lebih baik. Secara peribadi, Mawi adalah seakan refleksi dan inspirasi terhadap saya yang mungkin masih lagi mencari. Ya, saya telahpun melalui beberapa 'detik' sebelum ini, yang merupakan 'target' pada sesuatu masa. Ada antara yang berjaya, ada yang gagal. Namun detik 'ultimate' yang saya harapkan mungkin belum terlaksana, wallahualam.

Soal silap melodi, silap lirik, lari tempo tu tak perlulah saya ulas kerana pada saya untuk menjadi seorang penghibur, suara dan paras rupa sahaja bukan penentu segala. Bob Dylan memiliki suara yang paling 'teruk' tapi di'off-set' dengan lagu dan liriknya ciptaannya yang thought provoking. Allahyarham Sudirman juga memiliki suara yang flat tapi di'off-set' dengan kreativitinya yang menghiburkan.

Mungkin Mawi nih, berdasarkan perkembangan beliau dalam AF, telah di'over-rated' dan memandangkan peminatnya ramai, expectation orang juga amat tinggi terhadap beliau. Ini saya kira normal. Namun saya tidak begitu bersetuju bila orang menempelak bahawa beliau mendapat 'undi simpati' walaupun persembahan 'teruk'. Dibanding dengan sesetengah pelajar AF1 dan 2 dahulu, Mawi takler sampai 'lari ke laut, ke sungai, ke jeram' dan sebagainya. Dan dari persembahannya jelas bahawa beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan diri.

Ketika saya mula-mula pulang dari UK dahulu, saya selalu berkunjung ke Salem Power Station untuk mendengar CD lagu-lagu Melayu terbaru ketika itu. Seingat saya masa tuh zaman 'rock cendawan' dan 'dangdut' berleluasa. Saya tukar 5-6 CD lagu Melayu balik-balik iramanya sama jer, dengan nama-nama kumpulan yang tah-pa-pa... 'Ekamatra', 'Kris', 'Mega', 'Spring' dan berbaris lagi (yang mana sekarang kebanyakannya dah hilang pun).

Saya kemudiannya mencuba CD Tan Sri SM Salim bertajuk 'Satu' dan dengan tak semena-mena saya merasakan hembusan angin yang begitu menyegarkan sebagai halwa telinga... Terus saya membawa CD tersebut ke kaunter dan membelinya tanpa berfikir panjang. Dan beberapa minggu selepas itu, CD berkenaan merupakan CD yang 'wajib' didengar setiap hari. Begitu juga dengan album 'Puji Pujian' dari Raihan... setelah sekian lama telinga dibelenggu dengan irama Hip-Hop KRU, Feminin, Res2 dan seumpamanya, it felt great to hear such different kind of music.

Begitu jugalah rasanya dengan Mawi. Pada saya dalam industri muzik Malaysia dibanjiri terlalu ramai klon hip-hop, pop dan R&B --- suara dan penampilan Mawi merupakan sesuatu yang memberangsangkan. A breath of fresh air. Mungkin telah ada Yassin atau Waheeda, namun pada saya belum ada lagi penyanyi dalam genre berkenaan yang telah mencapai populariti tahap Mawi.

AMYLEA OH AMYLEA

Dalam minggu lepas juga, setiap hari di Diari AF/Diari Xtended hangat diperkatakan tentang krisis Amylea dan pelajar-pelajar AF yang lain. Terdetik juga hati kecil saya ini melihat Amylea menangis teresak-esak selepas dihentam teruk oleh kesemua pelajar lain.

Sekali lagi, saya sebenarnya boleh 'relate' dengan Amylea, terutamanya ketika sekolah dahulu. Bukanlah nak kata saya ni pandai dalam kelas namun pada hakikatnya memang saya suka bertanya itu ini. Dalam kelumpuk masyarakat kita yang lebih gemar 'mendiamkan diri' dalam keramaian, selalunya juga orang yang 'rajin bertanya' ini dianggap sebagai 'nak tunjuk pandai' atau 'suka menyibuk'. Saya cuma musykil... salahkah kita bertanya andai kita tidak faham atau pasti dengan sesuatu itu yang mungkin jawapannya juga mampu menolong pelajar yang lain?

Masalah ini juga kengkadang masih berlarutan hingga sekarang. Satu ketika dahulu saya pernah dicemuh oleh barisan kakitangan seorang klien kerana 'cakap omputeh manjang' ketika meeting hingga yang lain 'takut nak cakap sebab BI mereka tak berapa bagus'. Well... I am just being myself dan saya akan menggunakan apa juga bahasa yang mudah bagi saya dalam memperkatakan sesuatu perkara.

Saya juga menganggap diri saya sebagai 'loner'. Kes Amylea yang 'tak mahu tidur bersama pelajar lain' kerana mahukan privacy juga dapat saya relate. Pada waktu bujang dahulu, saya rela membayar kos sewa keseluruhan apartmen kerana tidak mahu mengikut rakan serumah pindah ke rumah lain yang sedang didiami hampir 10 orang dalam 3 bilik! Dan oleh kerana itu saya dianggap sebagai 'anti-sosial'. Bukannya apa, pada saya setelah penat bekerja seharian, antara perkara yang akhir sekali ingin anda tempuh ialah rumah yang bersepah, hingar bingar dan segala yang berkaitan. Sebab itulah juga saya kini terfikir nak pindah dari kediaman saya sekarang yang makin hari makin teruk jam padahal satu ketika dahulu begitu aman tenteram...

Dan... he..he... saya juga pernah 'dihentam' ramai orang secara berkumpulan yang kononnya tidak menyukai atitut saya ketika sekolah. Ada antara konfrantasi tersebut yang merupakan hentaman literal (yakni dengan penumbuk dan penendang) dan ada juga yang sekadar cakap mulut.

Pertamanya, konfrantasi sebegini memang meluluhkan konfiden andai kita tidak kuat berpegang pada prinsip diri (tak termasuk badan lebam dan sakit-sakit). Keduanya dari pengalaman sebenarnya yang tak puas hati tu seorang dua saja... yang lain tu sekadar 'mengikut ramai' untuk tidak merasa 'left out'. Masyarakat memang gemar bersama menghentam seseorang yang mungkin berlainan atau 'deviant' dari mereka. Sejarah telah membuktikan ini --- Copernicus, Einstein, Orville/Wilbur Wright, Mahathir... the list is endless.

Namun selalunya juga si'deviant' inilah yang sering akan merubah tamadun atau pemikiran orang lain ke satu tahap yang mana orang tidak pernah menyangka!

Berbalik pada Amylea, setakat ini beliau merupakan satu-satunya pelajar yang paling konsisten dan nampak peningkatan berbanding pelajar lain. Persembahan terbaik beliau setakat ini pada saya ialah 'tie' antara "Asmara", "Don't Know Why" (duduk a'la Fantasia Barrino) dan "Hati Ini Telah Dilukai". Untuk persembahan yang akhir tu, my hats off to her kerana berjaya nail it down walaupun telah melalui satu minggu yang amat memeritkan.

Walaupun beliau berasal dengan negeri yang sama, namun saya memilih untuk mengundi Amylea kerana saya sebenarnya boleh relate dengan beliau... malah lebih banyak dari Mawi. Mungkin agak sukar untuk 'menolak' Mawi dan Felix dari dua tangga teratas namun pada saya dalam AF3 ini rebutan sebenarnya ialah untuk tempat ketiga. Dan ingatlah bahawa 'it only takes a day for things to change'. Sebelum ini agak ramai yang meminati Akma namun setelah mengikuti Diari Xtended mengenai cara pembawaannya (dan 'ugutannya') dalam kes Amylea, saya merasakan beliau tidak layak untuk menerima undian saya.

Mungkin bukan salah Akma sangat, namun she reminds me too much of my past dalam kes Amylea... betapa seorang yang 'memulakan', 'mengungkit' dan 'tikam belakang' telah memberikan saya 'hard time' selama ini... ahaksss... Jika Akma ingin 'bangun', beliau harus mengikis imej 'kakak tiri' beliau dalam minggu ini kerana dari peratusan undi, she'll be the next to go.

OH PELAJAR LAIN! OH ASTRO!

Yang lelain tu pada saya tidak begitu menyerlah atau mempunyai personaliti kuat berbanding mereka seperti Khai, Rosma, Nana, Zarina, Kaer atau Nija (malah Mas come to think of it!) sebelum ini. Yang pada saya agak sedikit menyerlah ialah Felix, Marsha dan Yazer. Felix dengan jenaka spontannya yang menghiburkan, Marsha dengan keunikan (dan keseksian?) bermain piano dan Yazer dengan imej rock a'la Bo Bice. Idayu, Akma, Amy dan Ekin walaupun memiliki suara bagus namun macam yang saya katakan di atas, suara saja tidak cukup. Manakala Aidil, Kefli dan Reza pula hanya sekadar 'nak cukup kuota'. Malah pada saya Isa dan Haider yang kecundang sewaktu konsert prelude dahulu adalah jauh lebih baik!

Apapun, dalam semua segi yang benar-benar untung ialah Astro dan Maxis. Pelanggan bertambah, untung meningkat. Kalau dahulu cuma setakat Afundi, chat di @15 dan merchandise AF, kini sudah ada perkhidmatan berbayar Diari Xtended dan Majalah mingguan. Itu belum termasuk jualan CD/VCD Diari dan Konsert Mingguan. Malah tak salah jika saya nyatakan bahawa sebagai Marketing/Communications practitioner, strategi Astro/Maxis untuk AF kini saya gunakan sebagai model dan case study dalam merangka strategi pemasaran baik untuk my personal undertakings mahupun untuk klien.

Ketika awal AF1 dahulu saya masih ingat betapa seorang pegawai Astro mengadu pada saya kerana kurangnya syarikat korporat yang sanggup sponsor program berkenaan. Mungkin ketika itu syarikat korporat masih berbekas dengan kegagalan atau 'low quality' program seperti 'Topstar', 'Who Will Win', 'Bintang RTM' dan 'Sinaran Paspot Kegemilangan'. Malah kemasukan Maxis pun saya kira banyak bergantung pada hakikat bahawa syarikat tersebut bernaung di bawah payung serupa dengan Astro. Pembabitan Country Heights yang meminjamkan banglo pula... well, mungkin kerana ia adalah kawasan elit paling hampir dengan HQ Astro dan hubungan dua syarikat tersebut amat baik.

Tapi sekarang syarikat lain berlumba-lumba join sekaki. Telekom Malaysia gah sponsor 'Malaysian Idol' manakala Time pula dengan 'Mentor'. Bagaimanapun, belum ada lagi siri realiti TV seumpamanya di Malaysia yang mampu menandingi AF. nTV7 telah cuba melakukan yang serupa dengan 'Audition' namun kini segala pemenangnya dah lenyap sunyi sepi tanpa berita. Mungkin Ramona atau Juliza selaku tulang belakang 'Topstar' dan 'Audition' dahulu patut ketepikan ego dan benar-benar meneliti success factor AF daripada menghentam dalam media massa akhir-akhir ini.

Satu-satunya komplen teknikal saya untuk AF3 ini ialah mutu bunyi dan 'cameraworks' ketika konsert. Saya menggunakan TV stereo beserta alatan Hi-Fi ketika menonton Konsert AF. Saya dapati mutu suara AF3 ni amat teruk (terbaik setakat ini ialah Konsert di Putrajaya). Manakala cameraworks pula hancus... kamera fokus pada perkara-perkara atau angle yang tak sepatutnya ketika sesuatu yang menarik berlaku di pentas. Penggunaan kamera 'tersekat-sekat' ketika lagu 'Menuju Puncak' juga tak kena pada tempatnya dan menganggu tumpuan penonton. Semoga ada wakil Astro yang membaca ini boleh membawa perkara ini ke tengah. Fire the producer... he..he...

AFUNDI AMYLEA dan AFUNDI MAWI!!!

Wassalam.

Asrul Muzaffar Mohammed
Pentadbir - Bandar Utopia

Entri oleh sultanmuzaffar 12 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 03
Ulasan selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Seperti yang anda ketahui, saya sememangnya tidak menyukai untuk memberikan komen kepada lawak-lawak bodoh yang membosankan.

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 04
Ulasan selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Keluar menonton Preview The Fantastic 4 di GSC One Utama (New Wing) bersama beberapa orang sahabat. Maka hanya sempat menonton Diari dan tidak berupaya untuk menulis ulasan.

Untuk Pengetahuan Semua
Mawi FC's 2nd Gathering - Ikatan Silaturahim
Satu gathering akan diadakan bagi mengukuhkan lagi ikatan silaturrahim antara ahli MawiFC sambil bersantai. Gathering yang bertemakan “Suara Kami Untukmu - Mawi” akan diadakan pada :

Tarikh : 22 Julai 2005
Hari : Jumaat
Masa : 8.00 malam
Tempat : Kawasan Kolam Renang, Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam Selangor Darul Ehsan
Tema : Putih

Menu Makan Malam pada majlis tersebut ialah “steamboat buffet”. Antara aktiviti pada malam tersebut ialah sesi beramah mesra, berkenalan dengan ahli jawatankuasa, pertandingan karaoke dan perbincangan secara santai bagi memajukan MawiFC.

Kadar bayaran yang dikenakan untuk menyertai gathering tersebut ialah :

RM35 (nett) seorang dewasa (13 tahun ke atas)
RM20 (nett) seorang kanak-kanak (7 tahun - 12 tahun)
Percuma untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah

Ulasan maklumat lanjut tentang menu, sila ke blog Juan Danza.

Saya akan meluangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan gathering tersebut.

Entri oleh sultanmuzaffar 11 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 01
Komen saya hanya berkaitan dengan ucapan M.Nasir sebelum jamuan makan. Saya agak terkilan kerana beliau menyamakan cabaran meniti titian siratul mustaqim dengan cabaran meniti perjalanan menjadi seorang artis. Memang jauh beza cabaran titian siratul mustaqim dengan cabaran menjadi artis. Lebih mengeruhkan keadaan apabila beliau menyebutnya sebagai titian siraturrahim.

Majlis kenduri yang diadakan ini memang bagus, tetapi biarlah sekadar konsepnya sahaja. Apabila melibatkan sedikit aktiviti keagaaman seperti yang dipertontonkan seakan menafikan sensitiviti terhadap Felix dan Marsha. Bagaimana pandangan penonton sekiranya majlis tersebut dibuat seperti Majlis Thanksgiving, tentunya akan menimbulkan kemarahan penonton kerana tidak mengambil kira sensitiviti pelajar beragama Islam.

Bagaimana pula dengan meraikan sambutan Hari Lahir ? Saya ok aja. Apa-apa pun tidak mengapa.

Sememangnya menarik apabila dapat melihat pelajar dan Tenaga Pengajar makan bersama makanan kampong serta berkain pelikat dan berkain batik.

Ulasan selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 02
Kerja Encik Hasrul, selain mengambil berat badan adalah menjalankan jarumnya untuk pelajar. Bila masalah sudah menjadi terlalu berat seperti yang berlaku kepada Amylea minggu sudah, beliau akan mengugut untuk memberitahu Pengetua. Jijiknya perangai. Apa ingat budak-budak ke nak main ugut-ugut panggil Pengetua macam takutkan budak-budak kecil pula.

Encik Hasrul telah terlibat lama dalam Akademi Fantasia di sebalik tabir pada musim-musim lepas. Secara tidak langsung beliau berpengalaman untuk melihat perkembangan cerita dalam Akademi Fantasia. Berbekalkan earpiece yang pernah dipanggil wahyu oleh Atie, beliau berhubung dengan Bilik Kawalan untuk mendapatkan arahan tentang apa yang seharusnya dilakukan.

Lagu Baru Minggu 07
Akma - Bertahta Di Hati oleh Faradhiya
Felix - Fantasia Bulan Madu oleh Search
Ekin - Maafkan Kepergianku oleh Ruth Sahanaya
Yazer - Nazraku oleh Spider
Amylea - Penawar Rindu oleh Datin Orkid Abdullah
Mawi - Oh Fatimah oleh A Ramlie
Marsha - Jambatan Tamparuli
Kefli - You To Me Are Everything
Anekaragam - Black Dog Bone

Mesyuarat Tenaga Pengajar
Antara isu yang dibangkitkan adalah tentang sikap pelajar yang tidak memberikan seratus peratus sewaktu sesi latihan. Ada di antara mereka yang seakan-akan merahsiakan corak persembahan mereka pada hari Khamis dan juga hari Jumaat. Ini amat berkait rapat dengan disiplin sebagai seorang penghibur. Saya melihat taktik mereka itu sebagai disiplin sebagai seorang yang bertanding. Tentunya mereka mahu merahsiakan kekuatan yang mereka ada dan hanya dipertontonkan pada malam konsert.

Cikgu Ee turut membangkitkan isu tentang sesuatu yang masih belum mereka mampu gali dari dalam diri Akma dan kemudiannya mereka berbincang tentang Ekin. Secara tiba-tiba melompat.

Masalah utama Ekin adalah tidak serius dan pasif di dalam kelas. Ekin tidak mahu melibatkan diri dalam kegiatan kelas dan tidak mahu mencuba. Saya melihat tiada peningkatan yang ditunjukkan oleh Ekin. Persembahannya masih belum ada yang membanggakan. Sebuah persembahan yang senang dilupakan. Ini membuktikan yang beliau merupakan seorang yang tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasnya. Amat sayang sekali sekiranya ini berlaku kerana beliau mempunyai mutu vokal yang bagus tetapi telah tidak menggunakannya semaksima yang mungkin.

Mawi Dipanggil
Mawi telah dipanggil oleh Pengetua untuk melaporkan tentang apa yang berlaku semalam. Secara keseluruhan beliau memberitahu tiada masalah dengan pelajar lelaki tetapi pelajar perempuan agak senang terasa. Apabila diketawakan akan cepat merajuk. Sebagai ketua saya tidak nampak kekurangan yang ada pada diri beliau. Beliau merupakan seorang Ketua yang agak disenangi oleh pelajar lelaki dan perempuan. Cara beliau mungkin agak kasar kerana persekitaran beliau yang sememangnya begitu.

Sewaktu bermain galah panjang, Mawi telah tertampar muka Ekin dan beliau menangis. Sekarang semuanya telah diselesaikan dengan baik. Pengetua telah menasihatkan beliau agar lebih menggunakan diplomasi daripada mengarah.

Perkara sekecil ini turut dibawa ke pengetahuan Pengetua ? Apa gunanya Penasihat Residen sekiranya perkara sekecil ini tidak mampu diselesaikan oleh mereka ? Sewajarnya Pengetua tidak terlibat dengan perkara sekecil ini dan hanya merugikan masa beliau. Sebagai Pengetua beliau harus memberikan perhatian kepada isu-isu yang lebih besar dan mencabar. Ada lapan bakat yang perlu digilap untuk menjadi penghibur seperti yang pernah kita dengar pada awal-awal kemunculan beliau di televisyen beliau menyatakan “What it takes to be a performer !” Hal-hal picisan ini boleh diselesaikan oleh Encik Hasrul. Mungkin agaknya Encik Hasrul terlalu sibuk mencipta gossip dan juga menjalankan jarumnya untuk memasangkan pelajar.

Penilaian Lagu
Akma mendapat lagu yang sesuai dengan vokalnya. Beliau perlu memberikan seratus peratus kepada lagu tersebut dan cuba melarikan diri daripada menjadi klon kepada Faradhiya. Pertama kali saya mendengar latihan beliau, ia kedengaran seperti Faradhiya termasuk stail nyanyiannya. Felix mendapat lagu rock lagi setelah Tiada Lagi Kidungmu. Rasanya lagu ini boleh dibawakan oleh Felix dengan baik beserta showmanship yang jauh lebih memberangsangkan. Ekin harus memberikan perhatian dari aspek penghayatan untuk lagu ini. Lagu ini besar jiwanya dan Ekin harus menyampaikannya dengan penuh perasaan. Saya tidak begitu risaukan akan mutu vokalnya kerana sudah bagus. Beliau perlu meningkatkan ekspresi dan penghayatannya.

Yazer mendapat lagu makanannya. Lagu pop rock versi Spider tentunya dapat dibawakan oleh Yazer dengan baik. Beliau kembali ke dunia asalnya setelah diuji dengan pelbagai rentak beberapa minggu yang sudah. Amylea mendapat lagu irama Malaysia. Memang sedap lagu ini. Amylea bertuah kerana mendapat lagu-lagu lama yang berhantu. Lagu Penawar Rindu nyanyian Datin Orkid Abdullah sememangnya evergreen. Cabaran besar untuk Mawi pada minggu ini ialah menari. Vokal tidak menjadi masalah. Apabila ada menari, maka lagunya rancak. Untuk yang merisaukan kerana apabila Mawi menari, liriknya hilang. Marsha mendapat lagu rakyat kampuungnya. Tentunya lagu tersebut merupakan lagu kegemarannya. Marsha akan lebih dapat memperkenalkan kampong halamannya kepada penonton. Minggu ini Kefli dicabar dengan sebuah lagu Inggeris. Lagu tersebut memang sedap. Saya menantikan stail pembawakan Kefli untuk lagu tersebut.

Entri oleh sultanmuzaffar 09 July 2005 0 komen

Konsert Akademi Fantasia 06 : Marsha Memukau Seluruh Malaysia, Aidil Heart Attack !

Konsert 06 AF3

Saya akan ingat Konsert ini bukan kerana persembahan cemerlang Marsha, Mawi atau Amylea. Juga bukan kerana persembahan buruk Felix. Saya ingat Konsert 06 ini kerana jenaka Aidil. Satu kejutan yang paling cemerlang dalam sejarah Akademi Fantasia. Saya dapat melihat bagaimana tertipunya rakan-rakannya yang lain. Kesedihan yang sepatutnya timbul di atas pentas kerana penyingkiran tersebut bertukar menjadi kemesraan yang tidak dapat kita saksikan lagi antara Aidil dan pelajar lain selepas ini. Saya tidak akan melupakan kemesraan tersebut yang jarang-jarang berlaku di Akademi Fantasia 3 sejak akhir-akhir ini.

Sekiranya dibaca secara keseluruhan, saya telah menyenaraikan pilihan saya untuk Lima Finalis Akademi Fantasia. Mereka terdiri daripada Marsha, Amylea, Felix dan Mawi. Satu lagi tempat kosong masih terbuka untuk rebutan antara Yazer dan Akma.

Kedudukan Sebelum Konsert
Mawi 24%
Felix 18%
Amylea 9%
Aidil 9%
Marsha 9%
Akma 9%
Yazer 8%
Ekin 8%
Kefli 7%

Pengkritik Profesional
Konsert 06 AF3

Iman Wan muncul sebagai pengkritik malam ini. Beliau merupakan antara panel yang terpilih untuk mencari ke serata Malaysia bakal bintang Akademi Fantasia. Komen-komen beliau saya suka kerana sedikit mengimbangi komen-komen dari Adlin Aman Ramlie. Adlin Aman Ramli muncul menggantikan Kudsia Kahar lagi pada minggu ini. Saya memang menantikan komen-komen beliau. Apakah beliau akan tone down pada minggu ini atau sebaliknya. Komen-komennya lebih bersesuaian dan agak bernas pada minggu ini. Siapa sangka Datuk Sharifah Aini akan keluar dari persembunyiannya. Beliau menggunakan Akademi Fantasia sebagai platform untuk kembali ke dalam senario industri hiburan Malaysia. Satu langkah yang bijak kerana setidak-tidaknya beliau boleh mengumpulkan semula kekuatan dan dengan bantuan dari kelompok peminat Akademi Fantasia untuk bangkit semula di masa akan datang. Lebih-lebih lagi menggunakan Mawi yang kini tarafnya hampir menyamai populariti Siti Nurhaliza. Populariti ini semasa beliau di Akademi Fantasia, selepas Akademi Fantasia kita belum tahu lagi. Saya ingin juga mendengar apa komen mereka tentang tindakan Datuk Sharifah Aini yang memakai tudung semata-mata ingin memberikan komen untuk Mawi.

Persembahan Pelajar
Konsert 06 AF3

Yazer - Cinta Kilat 7/10
Saya menyukai dengan tone vokal yang ada pada Yazer yang pada saya agak solid. Persembahannya bermula dengan agak bertenaga dan penuh dengan attitude untuk menyampaikan cerita di sebalik lagu tersebut. Satu kekurangan pada persembahan ini beliau hanyalah berinteraksi dengan kawan-kawannya sahaja dan tidak kepada penonton yang menonton. Saya suka dengan gerak-gerak spontan dan penampilan showmanship yang bagus. Beliau membawakan cabaran untuk lagu lama dan bukan sekadar lagu rock sahaja. Beliau telah berjaya melaksanakan dengan baik walaupun tidak begitu outstanding. Satu kaki beliau telah saya pilih untuk melangkah ke Konsert 10, beliau harus membuktikan kepada saya untuk tempoh tiga minggu akan datang.

Konsert 06 AF3

Marsha - Destiny 9.8/10
Marsha tampil dengan gaun serba merah yang benar-benar memukau hadirin. Marsha juga tampil untuk persembahan khas kepada Adlin dengan lagu “Pokok Kelapa”. Semua mata tertumpu ke arahnya. Personaliti beliau menjadikan beliau disayangi. Marsha mempunyai satu aura yang membolehkan penonton menyukainya. Persembahan vokal beliau amat cemerlang dan merupakan antara pelajar yang amat konsisten sekiranya dinilai dari aspek tersebut. Saya nampak beliau begitu berkeyakinan menyanyi sambil bermain piano. Marsha telah berjaya membawa saya terbuai dalan alunan permainan pianonya. Satu kekurangan Marsha beliau nampak agak keterlaluan untuk menumpukan terhadap permainannya sehingga perasaan lagu tersebut tidak disusuli dengan pergerakan badan yang lebih menarik. Saya mahu melihat beliau di Konsert 10.

Konsert 06 AF3

Kefli - Kenang Daku Dalam Doamu 4/10
Sekali lagi Kefli dikejutkan dengan kehadiran suara Siti Nurhaliza. Mujur bukan Siti Nurhaliza. Pandai sungguh kejutan ini. Balas dendam agaknya, bukan untuk Kefli. Memang agak mirip-mirip suara Siti Nurhaliza penyanyi tersebut. Bagaimana agaknya sekiranya Siti Nurhaliza yang muncul malam itu. Satu perkara yang dapat saya simpulkan, Kefli masih tidak menggunakan teknik mengawal lontaran vokalnya. Bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh Kefli agak membingitkan. Sebuah lagu yang sedap seperti lagu tersebut menjadi begitu nyaring di telinga. Ekspresi wajahnya bagus dan agak konsisten sehingga lagu tersebut. Tetapi perasaan lagu tersebut tidak sampai kepada penonton. Beliau perlu melebihkan warna-warna pada teknik vokalnya. Banyak hujung-hujung note lagu tersebut sekadar mendatar tanpa warna-warna yang menarik. Membawakan lagu asli sememangnya bukan sesuatu yang mudah.

Konsert 06 AF3

Amylea - Hati Ini Telah Dilukai 9.7/10
Amylea membawakan lagu ini dengan baik sekali. Ada masalah tempo sedikit di bahagian awal tetapi beliau dapat catch up. Tidak besar cuma sedikit sahaja. Pergerakan-pergerakan Amylea penuh dengan stail yang menarik dan amat profesional. Beliau dapat menghayati lagu ini dengan baik mungkin kerana masalah-masalah yang melanda beliau minggu sudah. Kemunculan Felix sebagai penyanyi lelaki yang mengiringi persembahan Amylea telah sedikit mencuri tumpuan penonton terhadap Amylea walaupun Felix menyanyi di dalam gelap. Ia boleh saya anggap kekurangan Amylea. Tidak besar, tetapi tetap ada impaknya terhadap penilaian saya. Saya suka dengan persembahan vokal beliau yang amat mantap dan amat konsisten berbanding pelajar lain. Saya mahu melihat beliau di Konsert 10.

Konsert 06 AF3

Ekin - Warna 2/10
Persembahan Ekin penuh dengan kekurangan pada malam ini. Showmanshipnya tidak seiring dengan keistimewaan susunan muzik lagu tersebut. Lagu tersebut yang agak rancak tetapi pergerakan-pergerakan lemah Ekin merosakkan persembahannya. Ein tidak menghayati lagunya dengan baik dan tidak masuk ke dalam lagu tersebut untuk menampilkan keceriaan lagu tersebut. Ekin mampu menghasilkan gerakan seperti Lets Get Loud tetapi terlalu hambar dalam Warna. Satu lagi kekurangan Ekin adalah masalah wardrobe yang nyata tidak memihak kepadanya. Saya menyalahkan penyedia wardrobe. Sememangnya tiada siapa pun yang layak untuk membawakan lagu Sheila Majid kerana beliau hanya satu di dunia ini.

Konsert 06 AF3

Felix - Smooth 4.3/10
Sebelum persembahan, klip Mawi dan Felix sedang melihat koleksi gambar-gambar mereka dipaparkan. Sungguh terharu melihat kemesraan mereka yang seperti adik-beradik. Adakalanya mereka bergurau sesama sendiri. Ayat “cute kepala otak” itu saya anggap sebagai gurauan adik-beradik.

Sebuah persembahan yang lebih teruk berbanding Beautiful Maria. Saya tidak faham apa yang disampaikan. Bukan sahaja saya, Felix juga tidak faham apa yang beliau sampaikan. Temponya juga hancur. Kelebihan Felix di sini ialah showmanship beliau yang bersahaja. Pergerakan-pergerakan itulah yang telah memikat penonton. Beliau seakan-akan mengacah penonton dengan pergerakan-pergerakan seksi. Semua ini tidak dapat kita tonton sewaktu latihan. Keyakinan yang tinggi ini timbul secara spontan dan itulah yang telah menyelamatkan persembahannya. Selain daripada itu personalitinya yang bersahaja serta lawak-lawak spontannya turut menyelamatkannya. Saya mahu melihat beliau di Konsert 10.

Konsert 06 AF3

Aidil - Matahari 4.5/10
Saya suka dengan persembahan Aidil apabila beliau membawakan lagu ini jauh berbeza dengan gaya Bandi Amuk membawakan lagu ini. Aidil mencorakkan lagu ini mengikut stailnya yang tersendiri. Sebutan-sebutannya jelas. Namun begitu nyanyiannya nampak kosong. Kelemahan beliau yang paling ketara apabila tidak dapat sustain note pada hujung-hujung lirik lagu tersebut. Sayang sekali Aidil tidak menggunakan susunan muzik lagu tersebut dengan lebih menyerlahkan persembahannya. Persembahannya agak mendatar. Kemunculan Bandi Amuk menyebabkan Aidil menjadi penyanyi latar kepada Bandi. Aidil tidak menggunakan kejutannya dengan sebaik mungkin. Nampak benar beliau tidak tahu untuk buat apa di atas pentas melihatkan kemunculan Bandi.

Konsert 06 AF3

Mawi - Memori Cinta Luka 8/10
Saya kagum dengan kebolehan beliau untuk membuatkan saya terbuai dengan lagu Nassier Wahab. Penghayatan Mawi cukup untuk lagu ini. Amat sukar untuk mencari kesilapan beliau kali ini. Satu kekurangan yang beliau perlu baiki segera ialah masalah tempo. Saya tidak mahu masalah ini berlaku di Konsert 10 kelak. Apa gunanya sekiranya amanah dan peluang yang telah diberikan oleh penonton tidak berjaya dilaksanakan di Konsert 10. Saya sendiri terleka dalam lagu ini. Saya mahu melihat beliau di Konsert 10.

Komen dari Datuk Sharifah Aini dibuat dengan bertudung. Sekiranya komen yang diberikan oleh beliau bersifatkan negatif tentunya beliau akan dijadikan sasaran email layang dan dikatakan mempermainkan agama. Oleh kerana Datuk Sharifah Aini telah memuji Mawi, maka tindakannya semata-mata memakai tudung hanyalah gurauan sahaja sahaja. Asalkan idola mereka dipuji, mereka tentunya akan melupakan tentang isu ini. Saya menganggap tindakan Datuk Sharifah Aini bertudung hanyalah gurauan. Ini merupakan kes yang sama untuk Tanda-Tanda Anda Peminat Fanatik Mawi. Tepuk dada tanya selera.

Konsert 06 AF3

Akma - Hati Keliru 6/10
Saya akui Akma telah menampilkan persembahan vokal yang mantap dalam persembahannya. Tetapi saya mahu melihat beliau menyerlahkan lagi sesuatu yang masih tidak dapat kita lihat setelah enam minggu di dalam Akademi Fantasia. Iman Wan sendiri tidak tahu apa yang kurang dalam persembahannya tetapi jelas ada kekurangan. Saya suka dengan persembahan vokal beliau tetapi beliau masih belum dapat membuatkan telinga saya tertumpu kepada persembahan vokalnya berbeza dengan Amylea dan Marsha. Sebuah lagu rancak dari Akma tetapi pergerakannya jelas hilang tumpuan. Rap dari Aidil juga tidak mampu menyerlahkan lagi persembahannya. Saya mempunyai tiga minggu lagi untuk membuktikan kepada saya mengapa saya harus memilih beliau di Konsert 10.

Menuju Puncak : Aidil Heart Attack, Aznil Pun Heart Attack 10/10
Wow ! Bersusah payah Aznil Hj Nawawi cuba mencipta suasana sedih untuk Konsert minggu ini tetapi dirosakkan oleh Aidil dengan jenakanya yang spontan. Saya suka dengan lakonan Aidil. Saya bagi 10/10 ! Siapa yang tidak panik, di dalam stadium atau pun di rumah. Yang menyukainya, atau yang membencinya. Semuanya panik. Saya panik melihat beliau rebah di atas pentas. Ibu dan abangnya juga panik. Tenaga produksi juga panik walaupun patah balik separuh jalan. Kejutan yang paling baik di dalam Akademi Fantasia 3 yang turut mendebarkan Aznil Haji Nawawi. Bukan sesuatu yang selalu dapat kita lihat. Kita pernah melihat aksi Anding di Konsert 03 Akademi Fantasia 2 tetapi saya melihat ia begitu dibuat-buat dan keterlaluan sehingga penonton mengejeknya. Tetapi tidak pada minggu ini apabila Aidil bijak mencuri lebih tumpuan yang sememangnya kepada beliau dan disulami dengan jenaka yang memadai. Walaupun beliau baru mahu menyerlahkan personalitinya di dalam Akademi, tetapi beliau tersingkir dengan bermaruah pada minggu ini. Penonton sendiri tersenyap seketika dan tidak bertepuk tangan dengan kuat.

Ranking sultanmuzaffar
Kejutan - Adil Heart Attack 10/10
Marsha - Destiny 9.8/10
Amylea - Hati Ini Telah Dilukai 9.7/10
Mawi - Memori Cinta Luka 8/10
Yazer - Cinta Kilat 7/10
Akma - Hati Keliru 6/10
Aidil - Matahari 4.5/10
Felix - Smooth 4.3/10
Kefli - Kenang Daku Dalam Doamu 4/10
Ekin - Warna 2/10

Imbasan 06 Akademi Fantasia
Satu artikel yang menarik untuk dibaca, bertajuk Mawi diancam populariti yang tersiar di dalam Mingguan Malaysia.

Adalah lebih baik jika istilah fanatik ini tidak dilihat dalam sudut yang sempit dan buruk semata-mata. Apa yang penting kita memikirkan bagaimana untuk memastikan sikap fanatik ini berterusan supaya apabila Mawi keluar dari AF sama ada beliau juara atau tidak, beliau tetap menjadi pujaan ramai berikutan karisma dan bakatnya.

Apa yang dibimbangi ialah sikap meminati yang ditafsirkan fanatik ini hanya bersifat sementara maknanya bermusim, ketika musim AF riuh-rendahlah menyokong Mawi, tetapi apabila musim itu berakhir maka sunyi sepilah sokongan kepada beliau.


Saya sudah menerangkan dengan jelas isu ini. Apakah peminat Akademi Fantasia fanatiknya bermusim ? Jika alang-alang mahu fanatik, biarlah sefanatik peminat Siti Nurhaliza. Mereka fanatik sampai bila-bila. Bukan sekadar ingatan untuk peminat Mawi sahaja, malah untuk para peminat Azza, Adi, Atie, Burn, Rosma, Nana, Sahri, Liza, Nija, Azizi, Khai, Vince, Edlin, Fitri, Anding, Zarina, Nurul, Linda, Mas, Kaer, Bob, Farah, Adam, Zahid, dan bintang Akademi Fantasia 3.

Adlin Aman Ramlie pula mempertahankan haknya sebagai seorang pengkritik. Hak pengundi perlu diperjelaskan dengan betul. Hak pengundi adalah untuk mengundi siapa yang mereka inginkan tanpa mempertikaikan komen-komen dari pengkritik. Hak pembaca blog juga harus diperincikan dengan jelas. Hak mereka ada untuk memberikan komen yang tidak berasaskan emosi dan tidak berkait langsung dengan tulisan sebaliknya menyerang penulis blog. Hak pensyarah dan juga hak pelajar. Semua ada hak mereka masing-masing.

Peminat harus memberikan ruang kepada pengkritik untuk melihat kesilapan Mawi dan memperbetulkan kesilapan tersebut. Tanpa niat serong, hanyalah untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut.

Lebih Serius Minggu Akan Datang
Saya mengambil langkah lebih serius pada minggu-minggu akan datang terhadap komen-komen yang tersiar di blog ini. Ia dengan niat semata-mata ingin menjaga keharmonian rumah saya sendiri. Tidak salah saya memasang pagar di rumah sendiri dan menghalang anasir-anasir jahat untuk memporak-perandakan suasana di sini.

Sebarang komen kutukan dan sindiran peribadi akan saya ban. Ini adalah peringatan untuk semua untuk sahabat yang saya kenal, kawan yang baru kenali atau sesiapa yang tidak saya kenali. Saya tidak merasa rugi sekiranya pembaca berkurangan di blog ini, asalkan pembaca yang tinggal adalah pembaca yang berkualiti.

AFLAGU BONUS
Pada minggu ketujuh, penonton berpeluang untuk mengundi dua lagu bonus pilihan mereka untuk dinyanyikan oleh pelajar secara berkumpulan. Sebuah lagi kejutan yang menguntungkan ASTRO.

1. Boogie Wonderland – Earth, Wind & Fire (AFLAGU Boogie)
2. Circle of life – Elton John (AFLAGU Circle)
3. Seri Langkat – Jamal Abdillah & Amelina (AFLAGU Seri)
4. Persamaan – Freedom (AFLAGU Persamaan)
5. Ladki Badi Anjani Hai – Kumar Sanu/Alka Yagnik (AFLAGU Ladki)

Saya memilih lagu Seri Langkat oleh Jamal Abdillah & Amelina serta lagu Boogie Wonderland oleh Earth, Wind & Fire. Lagu-lagu ini akan lebih menyerlah kredibiliti dan personaliti pelajar. Lagu Seri Langkat mengangkat lagu Melayu Asli ke satu tahap yang lebih tinggi dan amat bersesuaian untuk diketengahkan oleh pelajar Akademi Fantasia. Mereka harus didedahkan dengan lagu Melayu Asli dengan lebih banyak lagi dan setidak-tidaknya semua pelajar dapat merasa membawakan lagu tersebut. Lagu Boogie Wonderland merupakan sebuah lagu disko era 70an. Tentunya saya mahu melihat kredibiliti mereka mewarnakan lagu disko lama ini di atas pentas Akademi Fantasia.

Kedudukan Selepas Konsert
Mawi 23%
Felix 17%
Amylea 12%
Marsha 10%
Yazer 8%
Kefli 8%
Ekin 8%
Akma 7%
Aidil 6%