Pada mulanya saya menghantar artikel ini untuk disiarkan di Murai, tetapi malangnya Murai nampaknya melengah-lengahkan artikel ini. Oleh itu saya buat keputusan untuk menyiarkannya di blog ini. Artikel ini yang saya hantar dua minggu yang lalu telah pun saya buat penambahan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Selepas pengumuman AFMASUK dan beberapa isu yang berkaitan dengan perjalanan program realiti tersebut.
Mungkin juga artikel ini dapat mengimbau kembali zaman-zaman sewaktu ianya bermula. Kepada peminat setia program ini sejak AF1 yang sewaktu itu mungkin juga terkejut dengan program sebegini disiarkan di skrin televisyen anda. Namun ada di antaranya sudah seperti keluarga saya sendiri. Hubungan rapat saya dengan beberapa peminat masih berkekalan hingga kini. Jika boleh saya sebutkan beberapa nama seperti bad, dream, chail, ka, leen, iz, waiem dan banyak lagi.
Bagaimana Ia BermulaEnam tahun lalu, sekitar bulan Jun tahun 2003 saya tertengok sebuah program siaran saluran Astro RIA yang tajuknya Akademi Fantasia. Itulah kali pertama saya didedahkan dengan sebuah program realiti. Itulah program realiti pertama bercorak pertandingan. Saya tidak faham pada mulanya kerana pelajar tinggal bersama di sebuah Akademi. Program Diari yang disiarkan setiap hari itu saya ikuti dengan tekun. Pada waktu itu saya masih tidak tahu yang pada hujung minggu mereka akan mengadakan konsert. Oleh itu saya tidak menonton televisyen dengan tekun pada hari Sabtu, sebaliknya hanya menggunakan komputer dan menonton televisyen secara sambil-sambil.
Bukannya apa kerana lagu yang mereka nyanyikan pada malam tersebut tidak begitu menambat perhatian saya. Yang paling menambat perhatian saya apabila pengumuman dilakukan oleh Aznil. Seorang pelajar iaitu Liza tersingkir di konsert tersebut. Mereka menangis ! Kenapa mereka menangis ? Saya jadi lebih keliru. Antara adegan yang paling saya ingat malam itu hanya pakaian yang dikenakan oleh Sahri persis pegawai bank dan Vince mengenakan bajunya sendiri berjenama Body Glove.
Saya menjadi lebih hairan apabila Liza yang telah pun mengusung begnya ditahan dari keluar. Pengumuman penyerapan semula tidak dibacakan oleh Aznil, sebaliknya dibacakan oleh Rosma. Itulah saat saya mula tertarik dengan program pelik itu. Waktu itu saya masih tidak sedar yang punca penyingkiran Liza adalah SMS. Jangka hayat mereka di dalam Akademi waktu itu ditentukan oleh SMS. Telefon bimbit anda ! Itu yang saya tidak sedar. Waktu itu saya masih tidak sedar yang pelajar boleh diserap kembali. Waktu itu saya masih tidak sedar harga air mata yang dicurahkan melalui program realiti itu.
Bermula minggu kedua, saya jadi peminat setia program realiti itu kerana saya sudah mengetahui yang SMS memainkan peranan yang penting dalam program ini. Apakah faktor yang menyebabkan seseorang pengguna telefon menghantar SMS kepada pelajar kegemaran mereka. Saya mula menulis apa yang berlaku di dalam Diari. Saya sebagai penonton menjadi perintis di ruang blog untuk Akademi Fantasia. Tulisan di blog saya ketika itu menjadi medium kedua buat peminat program tersebut. Waktu itu laman web di platform Astro agak lambat dikemaskinikan. Mungkin juga mereka ketika itu tidak pernah menyangka akan wujud teknologi blog yang boleh mengatasi medium mereka. Saya terus hidup tanpa saingan.
Menulis tentang apa yang berlaku di Diari sememangnya menyeronokkan kerana sebagai penonton saya hanya melihat apa yang ditawarkan kepada saya menerusi skrin televisyen. Itu sahaja. Pada waktu itu kita dihidangkan dengan adegan percintaan Burn dan Nana, pertelingkahan di Meja Makan dan paling diingati sampai sekarang adegan Nana dimarahi Cikgu Siti Hajar. Apa yang saya tuliskan di blog hanyalah pandangan saya sebagai penonton. Saya bukan orang dalam, saya tiada orang dalam untuk menyalurkan maklumat kepada saya dan yang menjadi perantara saya hanyalah skrin televisyen.
Antara tetamu awal yang datang ke Akademi Fantasia seingat saya ialah pelakon Rosyam Nor. Waktu itu kelas Cikgu Fatimah. Bagaimana Atie menjerit gembira masih kekal dalam ingatan. Berlari Atie menjauhi Rosyam Nor yang sedang berlakon dengannya. Di malam konsert, Ruffedge merupakan artis pertama yang tampil mengejutkan Burn dengan lagu Sabar Menanti.
Itulah yang saya rakamkan di dalam blog ini sejak minggu kedua. Amat mengejutkan apabila Adi tersingkir di minggu kedua. Seorang yang takut belon itu tersingkir bila membawakan lagu Biru oleh penyanyi Jai. Penyanyi asal lagu itu pun saya tidak tahu ke mana dia sekarang tetapi Adi kini merupakan penyampai radio ERA. Itulah magik Akademi Fantasia yang sampai sekarang masih saya ingat.
Dunia maya ketika itu tanpa saingan, hanya saya seorang yang menulis di blog. Apa yang disuapkan kepada penonton dan pembaca itulah yang mereka terima. Objektif saya untuk pembaca berkongsi pendapat mereka semakin cerah dengan adanya medium tersebut. Bukannya mahu menunjuk pandai sebalik medium ini saya yakin dapat menyalurkan maklumat berdasarkan pandangan kedua yang sepatutnya diterima dengan baik oleh pembaca. Saya akui, tidak kurang juga yang membenci saya ketika itu.
Peliknya saya hanya mengingati mereka yang kini telah pun menjadi sahabat-sahabat saya dan melupakan kutukan, keji, nesta yang dilemparkan oleh pembenci saya dahulu. Lebih baik mengingati sesuatu yang positif dan membiarkan sesuatu yang negatif terus bersarang di dalam kepala bukan ?
Pengaruh Dunia Maya Ketika AF1 – AF3Blogger mula diiktiraf apabila tenaga produksi sedar yang maklumat dalam bentuk maya ini lebih pantas tersebar dan dikemaskinikan. Kesan daripada itu mereka mula menjalinkan hubungan rapat dengan blogger dan saya dijemput untuk menonton Konsert Akademi Fantasia 1, minggu keenam.
Sedang waktu itu negara masih samar-samar apakah itu blog, tetapi usaha yang dimulakan oleh Astro untuk menjemput blogger datang menonton suatu yang harus dipuji. Diakui juga blog lebih pantas mengemaskinikan maklumat penting untuk peminat program tersebut. Perkataan blog di tahun 2003 adalah suatu yang sangat asing. Siapa blogger yang menulis tentang dunia hiburan Malaysia boleh dibilang dengan jari, iaitu SATU. Dari situlah bermulanya fenomena blogger hiburan yang cuba untuk menjadi sebahagian daripada program tersebut. Benar kata Ramli MS, oleh kerana program ini terlalu popular, semua orang mahu menjadi sebahagian daripada program ini. Baik penaja, penonton, peminat dan sebagainya.
Ironinya apabila pada konsert minggu keenam, satu Malaysia digemparkan dengan penyingkiran Rosma. Lagu Sinaran yang sepatutnya menjadikan jalan Rosma lebih bersinar menjadi penamat perjalanannya. Sejak itu, lagu Sheila Majid sering dikaitkan dengan badi Akademi Fantasia. Mas juga tersingkir sewaktu mendendangkan lagu Aku Cinta Padamu. Saya mula mengenali tenaga di belakang tabir program realiti ketika itu, Adi Shamsul dan juga Pengetua musim itu.
Hubungan itu tidak terhenti di situ kerana tulisan-tulisan saya mula diberikan perhatian, baik oleh tenaga belakang tabir mahu pun peminat program itu. Waktu itu saya masih berselindung di sebalik nama sultanmuzaffar dan tidak ada yang mengetahui siapakah penulisnya. Berbeza kini. Saya mula memberanikan diri untuk keluar dari skrin komputer ini ke skrin televisyen apabila dijemput sebagai tetamu dalam program Imbasan Akademi Fantasia musim 2 pada minggu keempat.
Ironinya apabila pelajar yang tersingkir pada konsert minggu keempat ialah Fitri, pelajar yang sering menjadi bahan gosip oleh penonton, pembaca dan saya sendiri. Hubungan saya bersama pembaca semakin erat. Program realiti itu selain mengeratkan hubungan kekeluargaan berjaya mewujudkan satu lagi keluarga maya untuk saya. Kami berbincang dan berbual tentang siapa yang kita minat, tanpa perlu menerapkan unsur-unsur negatif yang menghalang daripada kita terus minat siapa yang kita minat.
Ketika itu tiada sebarang agenda malah lebih kepada mewujudkan hubungan kekeluargaan antara satu sama lain. Agenda mengeluarkan pelajar yang tidak menampilkan persembahan terbaik mereka wajar dilakukan agar menjamin mutu program tersebut. Sampai ke Akademi Fantasia musim ketiga, persaingan di dunia maya semakin sengit. Namun elemen persahabatan itu masih utuh di antara blogger.
Di musim ketiga, sewaktu nama Mawi menjadi fenomena sekali lagi saya dijemput untuk program Imbasan Akademi Fantasia 3, minggu ketujuh. Akma tersingkir pada minggu tersebut dan pada konsert itulah pengarah filem, Yasmin Ahmad menjadi pengkritik jemputan. Masih ingat lagi apa komen yang dilontarkan oleh Yasmin kepada Akma selepas persembahannya ? Saya masih ingat lagi.
Impak program realiti itu di dunia maya sangat hebat. Mawi sudah punya portal sendiri sebelum muncul sebagai Juara. Persaingan Semenanjung Malaysia dan Sabah semakin sengit. Pelbagai strategi mula diatur oleh laman-laman web untuk menjadikan pelajar kegemaran mereka sebagai juara.
Kata Cikgu Fatimah kepada saya beberapa hari lalu, beliau agak sedih kerana peminat program realiti itu seakan hilang sifat kekeluargaan sebaliknya lebih memberikan tumpuan untuk menjadikan pelajar kegemaran sebagai juara lalu elemen paling penting dalam program itu seakan hilang.
Itulah yang mula berlaku di musim seterusnya iaitu di AF4, AF5, AF6 dan kini AF7.

Situasi Kini Ketika AF4 – AF7
Di AF4, saya bukan lagi blogger sepenuh masa, sebaliknya ditawarkan untuk menjawat jawatan New Media Planning untuk Akademi Fantasia. Satu pengiktirafan untuk seorang blogger yang menjadi perintis kepada dunia maya Akademi Fantasia. Semua maklumat berada di tangan saya. Tulisan saya sebagai penonton bertukar kepada tulisan sebagai salah seorang yang terlibat dengan program tersebut.
Apabila seorang blogger diberikan keistimewaan itu, tidak hairan lah sekiranya ada hati yang terguris. Persaingan menjadi semakin sengit dan ada yang menjadi mangsa. Saya pernah merasai kehangatan isu tersebut. Mungkin juga ada di antara anda yang masih mengingati cerita itu. Saya mengingatinya sampai sekarang untuk terus menjadi peringatan kepada saya agar jangan tersilap langkah lagi atau pun jangan cepat termakan umpan.
Dunia maya penuh kepura-puraan, penuh dengan strategi, penuh dengan taktik oleh peminat program tersebut. Laman web rasmi menjadi hangat kerana dikatakan pilih kasih walaupun saya cuba untuk menjadi seadil yang mungkin.
Cukuplah dua tahun saya melayani dunia laman web rasmi, saya mahu mencari sesuatu yang lebih mencabar dan hasilnya saya mendaki cabaran baru bersama saluran berita yang baru diwujudkan iaitu Astro AWANI.
Namun program itu terus hangat dengan pelbagai cerita baik dari media arus perdana, mahu pun media baru. Portal Murai diwujudkan menjadi sokongan kepada laman web rasmi. Jika media arus perdana mencari kesalahan program tersebut, media baru perlu memperbetulkan persepsi masyarakat dengan mewujudkan istilah “damage control” sebagai bahan utama portal tersebut.
Sekali lagi pada musim AF7 saya sebagai orang luar. Lebih tenang saya ingatkan. Rupanya tidak kerana saya sering disogok dengan pelbagai cerita belakang tabir di forum dan blog yang cuba merosakkan nama sesetengah pelajar. Saya cuba sedaya upaya untuk meneruskan minat terhadap hanya kepada pelajar yang saya minat dan melupakan cerita-cerita negatif tentang pelajar lain. Kalau pun saya mahu mendengar cerita belakang tabir, saya akan menemui mereka yang boleh saya percayai dan bukannya dari mereka yang memiliki agenda tersendiri.
Terbaru saya tertarik dengan adegan yang berlaku di dalam Diari malam tadi. Bicara Prinsipal Tiara dan Cikgu Fati tentang bagaimana seboleh-bolehnya dia cuba untuk menjarakkan dirinya dengan pelajar. Tetapi sayangnya dia sendiri tidak mampu untuk berbuat demikian kerana sepanjang 10 minggu itulah mereka menjalin ikatan sebagai keluarga. Pelajar membesar di depan mata mereka.

Kesan Pengaruh Dunia Maya Ketika AF4 – AF7Pelbagai blog, forum dan portal hiburan mula bercambah. Maklumat sudah tidak dapat dikawal lagi dengan bercambahnya blog, forum dan portal hiburan. Maklumat datang dari kiri dan kanan tanpa mengira sensitiviti dan semakin sukar dikawal.
Semua pihak mahu menjadi sebahagian daripada program realiti popular itu. Ia sudah semacam satu lumrah. Semut akan mencari gula. Jangan terkejut jika ada di antara mereka yang cuba untuk mencungkil maklumat daripada saya. Mereka cuba untuk mengumpan saya agar terjerat dalam perangkap mereka. Namun, saya tidak bodoh untuk terumpan dalam jerat yang tidak mendatangkan hasil. Saya lebih berjaga-jaga kini. Saya bukan proxy sesiapa.
Objektif utama saya dahulu agar pembaca dalam berkongsi pandangan mereka untuk kebaikan program itu semakin tersasar walaupun masih wujud lagi elemen sebegitu untuk program ini. Pengaruhnya tidak besar kerana tidak semua penonton setia program ini melayari internet kerana hits untuk pelayar internet tidaklah begitu tinggi berbanding jumlah penonton program realiti itu.
PenutupNamun pengaruh dunia maya tidak harus diketepikan kerana suara-suara mereka menghangatkan lagi program realiti paling popular itu. Dunia maya boleh dianggap sebagai sokongan kepada meningkatnya populariti program realiti paling popular di Malaysia itu. Itulah Akademi Fantasia, sebuah program realiti yang berjaya menyerap dalam setiap darah peminatnya dan menjadi sebahagian daripada mereka.