Merdeka Anak Muda
Sebuah Apresiasi Puisi dan Eksperimental Muzik Merdeka
Anjuran : Akar Gita Estetika dengan kerjasama Pejabat Kebudayaan Wilayah Persekutuan
Hari : Sabtu
Tarikh : 13 September 2003
Jam : 8.30 malam
Tempat : Amphiteater MTC, Jalan Ampang
Konsep : Tayangan Filem Pendek, Baca Puisi dan Nyanyian Terbuka
Sekitar jam 9 malam saya harus membuat Executive Decision. Teruskan atau batalkan. Agak sukar untuk saya membatalkan acara tersebut kerana beberapa pendeklamator jemputan dan penonton telah pun tiba. Berpandukan nasihat Megat dan Akmal, saya telah membuat keputusan untuk meneruskan acara tersebut.
Video Merdeka Anak Muda :video yang anda dail sudah ditamatkan perkhidmatannya:
Midi bertindak sebagai pengerusi majlis pada malam tersebut. Bidan terjun juga ! Beliau telah memberikan sepenuh komitmen sebagai pengerusi majlis yang bijak mengawal perjalanan majlis agar tidak membosankan dan kucar-kacir. Saya harus memberi pujian setinggi langit kepada beliau.
Seorang demi seorang pendeklamator mengambil giliran. Deklamasi puisi dari rakan-rakan menaikkan semangat saya untuk terus mengetuai AGE menyudahkan acara tersebut.
Padilalang – Akmal
Padilalang bermula dengan sebuah lagu zaman kanak-kanak. Nyanyian Akmal akan menjadi lebih baik dan menjadi pemangkin malam tersebut sekiranya diiringi dengan kumpulan muzik. Malangnya, yang ada pada malam tersebut hanyalah tiga (3) tiang pembesar suara untuk pemuzik. Pemuziknya tidak kelihatan.
Padilalang
*Lagukan
Lihat jauh nun disana
Tekun petani kerja
Buah padi masak kuninng
Isteri kerja sama
Potong memotong
Membanting padinya
Bercerailah tangkai jerami
Dulu padi ditumbuk endang tampi
Kini mesin jadi pengganti
Resmi padi
semakin tunduk semakin berisi
lagaknya tidak mahu tinggi berdiri
ingin dihormati tidak boleh dicaci
Resmi padi
mestikah tunduk jika berisi??
keliling seteru menyamar diri
terus merobek tanpa peduli
dicucuk hidung ditunggang berlari
Resmi padi
Molek berisi tinggi berdiri
ibarat lilin bakar diri
jadi cermin untuk duniawi..
tak le hari-hari kena buli!!!
Resmi lalang
Meliuk lentok bersama dihembus bayu petang
kononnya pupus jati diri yang gemilang
ibarat ibu ayam cari anak yang hilang
DIHERDIK! DICANTAS!
serong mata memandang
Resmi lalang
Walaupun susuk tidak setegap Badang
emulasi diri dengan cabaran mendatang
giliran khalayak berduyun-duyun bertandang
ibarat berguru dengan pahlawan terbilang
Resmi lalang
yang dimiliki tidak melayang sebarang
kekal teguh dihiasi dengan segala yang dihidang
berjiwa teguh juang bersuara lantang
tumbuh melata menawan pelusuk gelanggang
Biar mati anak, jangan mati adat
Kalau anak mati, siapa nak bawa adat???
Telawi oh Telawi – Megat dari Grup Mekar
Megat sememangnya bersemangat ingin membantu pengurusan AGE yang sedang kerisauan ketika itu. Semangat beliau untuk mendeklamasikan sebuah sajak dipuji walaupun pada waktu tersebut beliau sedang sibuk berlatih untuk sebuah pementasan teater Zikir Ratna yang akan bermula esok di Dewan Tuanku Abdul Rahman, MTC.
Tayangan video tentang erti kemerdekaan
Asyik - Budi Hikayat
Beliau sememangnya seorang pendeklamator yang hebat. Saya mengenali beliau dari seorang sahabat. Beliau merupakan salah seorang pelopor Acara Puisi Keliling (ApuKe). AGE pernah menyertai APuKe yang telah dianjurkan. Pada 27 September ini bertempat di Auditorium Balai Seni Lukis Negara, mereka akan menganjurkan Mini Konsert APuKe.
Beliau menyampaikan dua buah sajak. Asyik menceritakan tentang pengalaman beliau mengintai seorang perempuan yang sedang mandi, setelah perempuan tersebut menyedari kehadiran beliau, lantas terbang ke langit. Beliau pergi ke langit untuk memulangkan baju perempuan tersebut. Saya gagal untuk mencatatkan ulasan sajak beliau yang kedua kerana sedang gemuruh menantikan giliran saya selepas itu.
Haiku - sultanmuzaffar
Saya memang kekok apabila berada di atas pentas. Saya menjadi terlalu gugup dan yang berdiri di hadapan anda itu bukannya saya apabila berada di atas pentas. Rasa cemas mungkin datang kerana perjalanan majlis yang tidak teratur. Walaupun pengerusi majlis cuba untuk mengurang kegugupan saya pada malam itu, saya kira beliau tidak berjaya. Walaupun pandangan saya dikaburkan di atas pentas sehingga tidak nampak kekosongan tempat duduk di hadapan pentas, namun rasa gugup itu benar-benar menguasai diri saya ketika itu. Mungkin kerana tidak cukup persediaan.
MERDEKA
Malam Dataran
Merdeka Anak Muda
Merdekahkah kau ?
Mobil kembara
Hilang aerodinamik
Kibar bendera
Bebas dari SARS
Pelancong lari jauh
SARS pergilah kau !
Kata merdeka
Merdeka dengan tongkat
Merdeka apa ?
AKADEMI FANTASIA
Menuju Puncak
Fantasia Mereka
Realitiku
Melayu undi
Sistem Pesanan Ringkas
Cina yang menang
India kaya
Undi Undi SMS
Makna muhibbah
Tangis ketawa
Penganggur berijazah
Makin bertambah
KUALA LUMPUR
Hujan terlampau
Ranap Actor Studio
Banjir terlampau
Oh ! Longkang pintar
Penyelamat terlampau
Secepat kilat
Lokasi : Broga
Kampung menjadi mangsa
Insenarator
First in Malaysia
No To Incinerator
Think of your loved ones
Tayangan video tentang erti kemerdekaan
Tanahair – Zaril
Zaril yang mendeklamasikan sebuah sajak bertajuk Tanahair dipaksa berbuat demikian oleh saya dan Midi, pengerusi majlis pada malam tersebut. Terima kasih kerana beliau sudi untuk mendeklamasikan sajak tersebut walaupun dalam keadaan tidak bersedia.
Menyusuri Sungai Merdeka – Fadil
Katanya ini kali pertama beliau mendeklamasikan sajak. Mendengar sahaja suaranya, beliau mempunyai bakat untuk menjadi seorang pendeklamator yang baik. Beliau merupakan pendeklamator bidan terjun. Keinginan beliau timbul setelah melihatkan rakan beliau Megat membaca puisi. Terima kasih !
Tayangan video tentang erti kemerdekaan
Kucing dan Perempuan – Jimadi
Jimadi merupakan seorang pelajar Universiti Malaya yang menganggotai ISUM. Beliau merupakan seorang regular dengan APuKe. Dua buah sajak yang beliau baca amat menarik. Bercerita tentang perempuan dan seorang perempuan bernama Katalina. Hati-hati dengan seorang perempuan bernama Katalina.
Acara tersebut telah pun berlangsung seperti yang dirancangkan. Pelbagai masalah menimpa. bermula dengan penundaan tarikh, perubahan lokasi dan seterusnya kepada hari acara tersebut dilangsungkan. Namun demikian, apa yang dirancangkan perlu diteruskan.
Urusan promosi telah dilakukan dengan giat sekali. Tetapi keberkesanannya harus dinilai semula. Tidak perlu melihat jauh untuk menuding jari kepada penonton yang tidak ramai hadir, ahli kelab sendiri tidak kelihatan. Di mana mereka ?
Saya telah cuba melakukan promosi sebaik yang mungkin melalui weblog ini serta menghantar email kepada rakan-rakan. Cara lain yang boleh digunakan untuk promosi ialah meminta bantuan Pejabat Kebudayaan Wilayah Persekutuan untuk menghebahkan program ini di sekitar MTC, tempat berlangsungnya acara tersebut.
Penonton yang hadir selain daripada ahli merupakan kenalan saya dari grup APuKe, Malaysiakini.com dan beberapa pembaca weblog saya. Mereka rata-rata mengenali AGE dari weblog saya, pengalaman bekerjasama, serta tulisan berkenaan AGE di majalah Siasah. Rata-rata mereka mempunyai pandangan yang berbeza setelah malam tersebut.
Unit promosi yang terlalu bercita-cita tinggi menghantar hebahan kepada akhbar harian, laman kakiseni.com, klue.com sepatutnya menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran yang paling utama akan kegagalan program ini.
AGE perlu memikirkan sesuatu, dengan promosi yang hebat jika tanpa karya yang baik, adalah tidak adil untuk AGE menipu penonton yang hadir pada malam tersebut.
Penglibatan semua pihak di dalam AGE amat perlu untuk menganjurkan sesuatu acara. Jika tidak, cukuplah AGE sebagai peserta di dalam setiap acara yang telah dirancangkan dan bukannya sebagai penganjur. Perubahan cara mengurus ini bukan sahaja memudahkan saya malah memberi kemudahan kepada semua pihak agar tidak wujud cakap-cakap belakang dan tidak puas hati bekerja seorang diri di masa hadapan.
Setiap manusia dijadikan mempunyai prioriti masing-masing. Jika mereka boleh mengutamakan komitmen kerja dan keluarga mereka, mengapa saya tidak ?
Fakta Menarik
5 tiang pembesar suara
8 tiang bendera
14 orang penonton, 5 darinya ahli AGE
3 orang technician
::gambar dan video akan disiarkan apabila Akmal selesai mengeditnya::
::ACARA AKAN DATANG::
Akar Gita Estetika (AGE) akan menganjurkan sebuah acara yang diberi nama 3+3 AGE BERMAHARAJALELA
Acara ini bertujuan untuk mengenengahkan bakat-bakat di dalam bidang teater dan filem serta memberi pendedahan kepada aspek-aspek kerja di belakang tabir. Acara ini akan diadakan pada awal tahun hadapan.
Konsep acara tersebut adalah pementasan 3 buah produksi teater pendek dan tayangan 3 buah produksi filem pendek !
Oleh itu, AGE sedang giat meneroka hutan batu kospomolitan Kuala Lumpur dan sekitarnya untuk mencari bakat-bakat baru yang berminat untuk menjadi pelakon teater dan filem tersebut serta mereka yang ingin terlibat di belakang tabir. Jika anda berminat, anda juga boleh menghantar karya anda untuk dipersembahkan.
Sila download brosur untuk maklumat lajut serta isikan butiran peribadi anda dan dihantar semula kepada saya di saya@sultanmuzaffar.com
Anugerah ERA 2003
Anugerah ERA adalah anugerah yang diberikan berdasarkan undian peminat. Oleh itu faktor populariti merupakan tunjang utama dalam pemilihan. Malam Anugerah ERA 03 bakal berlangsung pada 11 Oktober 2003 bertempat di Arena Of Stars, Genting Highlands. Sepanjang 2 tahun penganjurannya, anugerah ini dilihat sebagai pemangkin industri seni tempatan dan juga sebagai penghargaan kepada mereka yang telah memberikan hasil kerja kreatif yang menepati citarasa rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang bijak memilih, mereka diharapkan dapat membuat pilihan yang bijak.
1.Vokal Wanita Pilihan [VWP]:
1 - Ning Baizura
2 – Nora
3 – Sarah Raisuddin
4 - Siti Nurhaliza
5 – Ziana Zain
Menilai populariti, sekilas pandang boleh tahu siapa pemenangnya. Besar kemungkinan Siti Nurhaliza akan mengekalkan trofi Vokal Wanita Pilihan dipihaknya. Namun demikian saya memilih Ning Baizura berdasarkan kualiti album beliau yang saya sifatkan amat terbaik. Beliau telah berhibernasi selama hampir 5 tahun sebelum membuat come-back ke industri tempatan. Finalis seperti Sarah Raisuddin masih terlalu mentah untuk menyekat kemaraan Siti Nurhaliza begitu juga Nora yang sebenarnya sudah terlalu veteran untuk kategori ini.
Ramalan :- Siti Nurhaliza
Underdog :- Ning Baizura
2. Vokal Lelaki Pilihan [VLP]:
1 - Anuar Zain
2 – Hazami
3 – Puteh
4 – Yasin
5 – Zamani
Sewaktu Anugerah ERA 2002, kejutan berlaku bila mana Zamani sendiri tidak menyangka akan memenangi anugerah tersebut. Berdasarkan populariti, besar kemungkinan kemenangan akan memihak kepada Anuar Zain. Gossip percintaan Zamani dan Siti Nurhaliza nampaknya sudah reda untuk kemenangan memihak kepada Zamani. Hazami mempunyai suara yang baik tetapi pakej masih belum lengkap untuk menewaskan finalis seperti Anuar Zain dan Zamani. Puteh ? Siapa dia ? Untuk kategori ini saya menilai kehebatan vokal dan populariti bakal memberi laluan mudah untuk Anuar Zain.
Ramalan :- Anuar Zain
Underdog :- Hazami
3. Vokal Duo/Berkumpulan [VDBK]:
1 - BY'U
2 - Camelia & Anuar Zain
3 - Jamal Abdillah & Sarah
4 – KRU
5 - Too Phat
Agak sukar untuk menelah pemenang kategori ini. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Lagu Kini Bebas, Alhamdulillah, Segalanya dan Dekat Padamu masih tersenarai di dalam Carta ERA. Jika populariti melampau diambil kira, besar kemungkinan KRU bakal memenangi kategori ini. Populariti Yusry yang menjadi kekuatan utama KRU tidak wajar dipertikaikan. Saya memilih Too Phat untuk kategori ini berdasarkan keunikan lagu Alhamdulillah.
Ramalan :- Too Phat
Underdog :- Jamal Abdillah & Sarah
4. Band Pilihan [BP]:
1 – Exists
2 - Flop Poppy
3 – OAG
4 - Sheila on 7
5 - Spider
Ini merupakan kategori yang baru diperkenalkan tahun ini. Kehebatan Sheila on 7 di persada muzik antarabangsa memang tidak dipertikaikan. Populariti mereka di sini mengkagumkan. Namun demikian itu hasil kerja bukan rakyat tempatan. Saya memilih Exists untuk kategori ini.
Ramalan :- Exists
Underdog :- Sheila on 7
5. Lagu Etnik Pilihan [LEP]:
1 - Badasila - Siti Nurhaliza
2 - Hala Timur - Noraniza Idris
3 - Kerna Dia - Yasin
4 - Nyanyian Serambi - Ramli Sarip
5 - Salsabila – Yasin
Siapa lagi kalau bukan Badasila nyanyian Siti Nurhaliza. Populariti penyanyi lagu tersebut sukar digugat oleh mana-mana penyanyi. Namun demikian, Yasin bakal membuat kejutan sekiranya peminat Sahri masih terbawa-bawa demam Akademi Fantasia mereka. Lagu Salsabila pernah dibawakan dengan cemerlang oleh Sahri di Konsert 3 Akademi Fantasia.
Ramalan :- Badasila - Siti Nurhaliza
Underdog - Salsabila - Yasin
6. Lagu Nasyid Pilihan [LNP]:
1 - Gema Alam – Raihan
2 - Kasih Ibu - Far East
3 - Nur Kasih - In-Team
4 - Satu Qiblat Yang Sama – Rabbani
5 - Sumayyah – Hijjaz
Saya menyukai lagu Sumayyah nyanyian Hijjaz. Sebuah lagu yang bermesej universal. Finalis kategori ini hanya mencukupkan kuota. Saya memilih Hijjaz sebagai pemenang kategori ini.
Ramalan :- Sumayyah - Hijjaz
Underdog - Gema Alam - Raihan
7. Lagu Rock Pilihan [LRP]:
1 - Aku & Kamu - Flop Poppy
2 - Kau Saja – Spider
3 - Kubahagia - Melly Goeslow
4 - Percayakan Siti – Exists
5 - Seperti Dulu – Exists
Populariti filem Ada Apa Dengan Cinta dan nyanyian Nana sewaktu Konsert Akademi Fantasia bakal memberi kelebihan kepada lagu Ku Bahagia. Saya memilih lagu Percayakan Siti nyanyian Exists kerana populariti lagu tersebut serta nama Siti yang terselit pada lagu tersebut.
Ramalan :- Ku Bahagia
Underdog :- Percayakan Siti - Exists
8. Lagu Pop Pilihan [LPP]:
1 - Bukan Cinta Biasa - Siti Nurhaliza
2 - Keabadian Cinta - Anuar Zain
3 - Lembah Asmara - Ziana Zain
4 - Satu Wajah – Mamat
5 - Selalu Hadir Dirimu – Alam
Keabadian Cinta merupakan pemenang kategori Lagu Terbaik AIM 2002. Lagu tersebut agak sukar mengekang penguasaan lagu Bukan Cinta Biasa nyanyian Siti Nurhaliza. Lebih mengejutkan apabila lagu Kesetiaan nyanyian Siti Sarah tidak tersenarai untuk kategori ini. Saya memilih lagu Keabadian Cinta nyanyian Anuar Zain walaupun tahu lagu Bukan Cinta Biasa nyanyian Siti Nurhaliza bakal memenangi kategori ini.
Ramalan :- Bukan Cinta Biasa - Siti Nurhaliza
Underdog :- Keabadian Cinta - Anuar Zain
9. Artis Harapan Pilihan [AHP]:
1 - BYU
2 - Ezlynn
3 - Misha
4 - Sarah Raisuddin
5 - Waheeda
Populariti semasa memihak kepada Waheeda yang masih popular dengan lagu Wassini walaupun Sarah Raisuddin merupakan calon terbaik untuk memenangi kategori ini. Saya memilih Sarah Raisuddin untuk memenangi anugerah ini kerana kualiti vokal dan persembahan beliau.
Ramalan :- Sarah Raisuddin
Underdog :- Waheeda
10. Artis Inggeris Tempatan Pilihan [AITP]:
1 - Poetic Ammo
2 - Reshmonu
3 - Ruffedge
4 - Too Phat
5 - VE
Jikalau peminat Akademi Fantasia masih menggilai lagu Khayalan, maka pemenangnya bakal memihak kepada Ruffedge. Jika dinilai dari populariti berdasarkan Carta ERA, kumpulan Too Phat bakal memenangi kategori ini. Poetic Ammo pula telah pun menjadi semacam legenda atau veteran untuk kategori ini. Reshmonu masih terlalu mentah untuk mencuri perhatian pengundi. Saya memilih Ruffedge untuk kategori ini.
Ramalan :- Ruffedge
Underdog :- Too Phat
11. Muzik Video Pilihan [MVP]:
1 - Bukan Cinta Biasa - Siti Nurhaliza
2 - Hasrat - Phyne Ballerz
3 - Ku Milikmu - Siti Nurhaliza
4 - Selagi Ada… (Cinta) - Ning Baizura
5 - Seperti Dulu – Exists
Sekali lagi saya memilih Selagi Ada...(Cinta) nyanyian Ning Baizura. Muzik video ini amat baik kerja penghasilannya. Namun demikian populariti Siti Nurhaliza masih belum dapat menyekat kemaraan Ning Baizura walaupun pengarah muzik video Bukan Cinta Biasa bukan dihasilkan oleh rakyat tempatan. Saya lebih mementingkan hasil kreatif buah fikiran rakyat tempatan. Percayalah nyanyian Siti Nurhaliza, pemenang kategori ini pada tahun 2001 telah menimbulkan tandatanya di kalangan artis tempatan kerana ia dihasilkan oleh pengarah Indonesia Rizal Montovani sekaligus mengenepikan hasil kreatif KRU untuk muzik video Bidadari yang menggunakan teknologi animasi tiga dimensi.
Ramalan :- Selagi Ada... (Cinta) - Ning Baizura
Underdog :- Bukan Cinta Biasa - Siti Nurhaliza
Konsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Datuk Sharifah Aini
7 September 2003
Panggung Sari, Istana Budaya
8.30 malam
Konsert Simfoni Ghazal Johor bersama Datuk Sharifah Aini merupakan impian lama yang baru kini terlaksana. Beliau pernah seakan-akan merajuk kerana tidak diberi peluang untuk menyanyi di Istana Budaya. Seperti yang semua tahu Istana Budaya ibarat The Royal Albert Hall di London dan Sydney Opera House. Ia menjadi idaman setiap seniman, seniwati, biduan, biduanita, aktor, aktres untuk beraksi di pentas bertaraf dunia tersebut.
Siapa yang tidak mengenali Datuk Sharifah Aini. Baru-baru ini beliau dianugerahkan dengan gelaran Datuk. Tetapi orangnya masih sama. Tiada perbezaan.
Inilah buat pertama kali Istana Budaya mementaskan sebuah persembahan ghazal di tempat sendiri. Matlamat utama persembahan tersebut adalah untuk menyemarakkan seni muzik ghazal setanding dengan irama muzik lain serta menanam semangat jati diri melalui muzik tradisional.
Konsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Datuk Sharifah Aini ini dapat ditonton dan seterusnya dihargai dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat negara ini.
Tirai segmen 1 dibuka dengan paparan kemegahan dan keindahan seni ghazal serta kebesaran empayar Johor-Riau. Perkembangan ghazal diteruskan oleh artis remaja bagi melestari keaslian dan tradisinya. Segmen ini juga memaparkan pesisir pantai, laut dan bahtera, senario kampung nelayan, wakaf dan penambang.
Segmen dimulakan dengan Wahida menyampaikan lagu Sri Johor dan Asiah Bakar yang mendendangkan lagu Gunung Bentan.
Persembahan Mahidin Bedu yang membawakan lagu Payung Mahkota saya lihat agak baik persembahan tersebut. S.A.Aishah pula membawakan lagu Puteri Ledang yang menyaksikan beliau berjaipong di atas pentas. Penyanyi berusia 72 tahun ini masih segar di atas pentas dan semangatnya terhadap seni begitu menebal. Penyanyi ghazal Johor yang pernah memenangi gelaran Bintang RTM iaitu Ramlah Ram mendendangkan lagu Air Mata Hati. Beliau berjaya membawakan lagu tersebut dengan cemerlang.
Penerima Anugerah Sri Wirama Rosiah Chik yang dibawa masuk dengan beca juga tidak kurang hebatnya membawakan lagu Embun Di Hujung Rumput. Betul kata Tan Sri SM Salim dalam kulit album Sekarang Dah Jadi, lagu key (nada) tinggi adalah makanan beliau. Walaupun sudah berusia kehebatan beliau menyanyikan lagu ghazal secara live wajar dipuji. Kemunculan Datin Orchid Abdullah yang membawakan lagu popularnya Penawar Rindu mendapat tepukan gemuruh dari peminat-peminatnya.
Segmen ini kemudiannya diteruskan dengan kumpulan Ghazal Remaja yang menampilkan Hazlifha Diahana Rosli dan Sabihah Abd Wahid mendendangkan lagu-lagu Sri Mahligai dan Kuala Mersing. Kumpulan Ghazal Remaja diwakili oleh 21 remaja yang berumur 5 tahun sehingga 16 tahun. Pemain tabla muda Mohd Firdaus Musa baru sahaja berusia 5 tahun tetapi kelicikan dan kehebatan beliau bermain tabla memikat penonton.
Segmen seterusnya diserikan juga oleh Artis Popular Johor seperti Subari Palil yang membawakan lagu Nasib Pengail. Nyanyian beliau baik tetapi saya merasakan penggunaan prop dan kostum yang terlalu berlebihan adakalanya menampakkan unsur-unsur tidak profesional. Elemen tradisi boleh diwujudkan tanpa prop dan kostum yang berlebihan. Tatkala Sabihah Abd Wahid menyanyikan lagu Kuala Mersing, sebuah kapal besar masuk berlayar sehingga pentas pemuzik terpaksa diturunkan sedikit untuk memberi laluan kepada kapal tersebut. Penurunan pentas pemuzik utama nampak janggal.
Abdul Rahman Kamarudin dan Wahida menyanyikan lagu La Tri La Tri Lat. Persembahan mereka nampak meriah. Mahidin Bedu mengakhiri persembahan dengan lagunya Si Cantik Manis.
Persembahan utama Datuk Sharifah Aini
Persembahan Datuk Sharifah Aini dimulakan dengan syair. Hanya suara sahaja kedengaran. Kemunculan beliau berbaju kurung ungu diiringi dengan lagu Dia Datang.
Beliau memulakan persembahan dengan menyanyikan lagu Seri Mersing. Suara lemak merdu Datuk Sharifah Aini rupanya masih tiada tandingan. Beliau kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Di Pinggir Kayangan dan Seri Siantan.
Kata beliau, menyanyikan lagu asli umpama mengaji Quran dan berzanji. Sama seperti apabila menarikan tarian klasik India. Seorang penyanyi perlu teknik dan skil untuk menyanyikan lagu asli.
Beliau meneruskan persembahan dengan menyanyikan lagu Sayang Musalmah iaitu lagu yang dirakamkan sekitar tahun 1986. Sehingga kini, beliau telah pun bergelumang dengan dunia seni hampir 35 tahun, telah merakamkan 78 album dan menyanyikan lebih 900 buah lagu. Beliau berhajat untuk kekal dalam dunia seni untuk 2/3 tahun lagi sebelum mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari dunia seni. Persembahan lagu Jalak Lenteng menutup perembahan segmen pertama dari beliau.
Sebagai selingan, Idris Mohamad menggesek biola alunan irama ghazal. Gesekan biola beliau mendapat tepukan gemuruh dari penonton. Kemunculan kedua Datuk Sharifah ini dengan berbaju kurung kuning untuk memulakan segmen kedua.
Lagu Disebut Jangan Dikenang Jangan dinyanyikan sebagai memperingati rakan baik beliau, Datin Rafeah Buang.
Sebuah lagu bertajuk Seroja telah dinyanyikan oleh beliau dengan cemerlang. Agak sukar untuk mencari cela dalam nyanyian beliau. Inilah persembahan terbaik beliau. Kali terakhir saya mendengar lagu Seroja adalah sewaktu pementasan teater kanak-kanak Taman Baginda.
Lagu Mustika Hati menutup persembahan untuk segmen kedua juga telah disampaikan dengan cemerlang. Persembahan selingan Zapin Ya Salam menarik perhatian penonton. Tarian zapin ditarikan oleh penari remaja dan penari kanak-kanak memikat hati penonton.
Kemunculan beliau untuk segmen terakhir menyanyikan lagu Lenggang Mak Limah yang berkonsepkan suasana hari raya. Rakaman konsert ini akan disiarkan sempena Hari Raya Aidil Fitri yang akan datang.
Seterusnya beliau mendendangkan lagu Semalu Rimba sebelum menutup persembahan dengan berzanji untuk memulakan lagu Zapin Budi. Persembahan Zapin Budi yang disokong dengan tarian zapin pelbagai golongan memenuhi ruang pentas benar-benar berjaya. Penglibatan generasi muda dalam menjayakan persembahan ini wajar dipuji agar seni ghazal tidak hilang ditelan zaman. Ghazal merupakan warisan yang perlu dikekalkan kerana muzik identiti sesuatu bangsa dapat dikenali.
Sebagai memenuhi permintaan penonton, Datuk Sharifah Aini kembali masuk ke pentas menyanyikan lagu encore Gunung Banang. Beliau memohon maaf kepada penonton kerana tidak dapat memenuhi permintaan penonton yang ingin mendengar lagu seperti Teratai yang nadanya amat tinggi kerana tidak sesuai dengan muzik ghazal yang mengiringi persembahan beliau. Banyak lagu yang saya tertinggal untuk dicatatkan di dalam buku nota yang dibawa kerana begitu terpesona dengan persembahan beliau agaknya.
Saya menyifatkan persembahan Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini sebagai sebuah persembahan yang cemerlang dari semua segi. Persembahan ini disokong oleh teknik cahaya yang cemerlang, teknik bunyi yang baik, kesan khas yang baik, rekaan pentas yang cemerlang dan pemilihan penyanyi yang amat kena dengan persembahan sebegini. Kesilapan-kesilapan kecil yang membabitkan lirik boleh dimaafkan setelah menonton persembahan terbaik ini.
Nama-nama seperti Ramlah Ram, Rosiah Chik dan Datin Orchid Abdullah merupakan nama yang cukup sinonim dengan irama ghazal. Cuma saya agak terkilan Malaysian King of Gambus iaitu Fadzil Ahmed tidak kelihatan membuat persembahan. Beliau juga dikenali dengan gelaran King of Malaysian Ghazal sewajarnya diberi tempat untuk bermain gambus di Istana Budaya.
Kali ini Istana Budaya telah menaik-tarafkan penggunaan teleprompter yang ada sebelum ini sewaktu persembahan Konsert Untukmu Sudir Siti Nurhaliza. Teleprompter yang ada walaupun menggunakan teknologi LCD tetapi saiznya agak kecil berbanding yang telah digunakan oleh Siti Nurhaliza dahulu. Agak sukar untuk melihat lirik yang tertera di skrin tersebut terutamanya untuk penyanyi yang telah berumur.
Harga tiket yang mahal sebenarnya tidak menghalang penonton untuk menyaksikan persembahan ini kerana kebanyakan peminat Datuk Sharifah Aini di kalangan mereka yang berkemampuan.
Secara keseluruhan persembahan ini amat cemerlang dan wajar ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Tahniah !
Tenaga Produksi
Pengarah Persembahan – On Jaafar
Pengarah Artistik – On Jaafar
Koreografer – On Jaafar
Pengarah Muzik – Omar Taib
Penolong Pengarah Muzik – Idris Mohamad
Pereka Tata Cahaya – Mie
Pereka Set – Mohamad Hanafi Abd Wahab
Rating: 5/5
Petang Sabtu di Dome KLCC
Sekali pandang, not RM1 ini memang murah nilainya pada sesetengah orang. Bank Negara Malaysia tidak pernah ada 2 Gabenor pada satu masa. Tandatangan yang lagi satu itu amat berharga. Terutamanya apabila ia ditandatangani oleh Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed maka ia menjadi amat bernilai. Petang itu sekitar jam 4 petang pengunjung KLCC tiba-tiba beredar ke tepi sebagai memberi laluan kepada seorang negarawan ulung menuju ke Dome KLCC. Negarawan ulung yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed dan rakannya, jutawan Tan Sri Ananda Krishnan. Ramai orang terpinga-pinga. Di dalam fikiran mereka "Nak dekat ke tak nak ?", "Berani ke tidak ?". Melihatkan 5 orang bodyguard PM yang mata mereka melilau memerhatikan keadaan sekeliling, serta 3 orang bodyguard Tan Sri Ananda Krishnan sudah cukup menggerunkan. Seorang demi seorang memberanikan diri. Seorang demi seorang datang menghampiri beliau. Bersalaman, menghadiahkan beliau sejambak bunga, meminta tanda-tangan beliau, bergambar dengan beliau. Inilah peluang terakhir untuk mendapat peluang sebegini. Tambahan pula, beliau akan bersara dari jawatan Perdana Menteri Oktober ini.
Yang datang menghampiri beliau kanak-kanak, kanak-kanak istimewa, orang buta, orang pekak, orang bisu, ibu muda, ibu tua, janda muda, janda tua, orang tua, Melayu, India, Cina, Arab, pelancong asing, perempuan bertudung, perempuan tidak bertudung, Lelaki berkopiah, lelaki yang pura-pura alim, lelaki yang memang alim, lelaki bersubang, mat rock rambut panjang, minah punk bersubang 4 kiri dan kanan dan lain-lain. Semuanya dilayan oleh PM tanpa ada sifat prejudis. Dalam kesibukan orang beratur mendapatkan tanda-tangan Perdana Menteri, seorang perempuan muda mengajak teman lelakinya bertemu dengan PM. Teman lelakinya enggan. "Aku bukannya suka dengan dia !" Teman wanitanya menjawab, "Ini bukan soal suka tidak suka, tetapi dia kan pemimpin kita ?".
Album: Sekarang Dah Jadi
Vokal: Tan Sri SM Salim
Lama benar saya mengambil masa untuk membeli album ini. Agak sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Sering sold-out. Pertama kali saya mendengar berkenaan album ini apabila terdengar lagu Entah Jadi Entahkan Tidak nyanyian SM Salim bersama Sheila Majid di ERA. Saya hampir pasti yang lagu tersebut dimuatkan di dalam album baru Tan Sri SM Salim. Tiada banyak sangat keistimewaan lagu tersebut. Tetapi setelah mendengar lagu Seloka Cak Kun Cak, saya bertekad mahu memiliki album tersebut.
Tajuk Sekarang Dah Jadi membawa dua pengetian yang berbeza kepada dunia hiburan tanahair. Pertamanya, kalau dulu anak seni sering tidak dihargai, kini seorang Seniman bernama SM Salim sudah pun bergelar Tan Sri. Sekarang dah jadi Tan Sri SM Salim. Keduanya, setelah sekian lama, hanya sekarang projek album duet yang bakal menjadi khazanah seni negara ini dijadikan realiti. Sekarang dah jadi.
Album duet
Album duet ini begitu unik kerana ia menggabungkan lagu dari pelbagai genre dan penyanyi dari pelbagai latarbelakang dan zaman. Sekarang Dah Jadi merupakan sebuah album unik yang menggabungkan elemen-elemen muzik tradisional, nasyid, rock dan jazz. Kali terakhir saya memiliki album yang menggabungkan pelbagai elemen muzik dalam satu album adalah Original Soundtrack Silat Legenda terbitan KRU Records pada sekitar tahun 1998.
Album Sekarang Dah Jadi mendapat sentuhan kreatif Fauzi Marzuki, S.Atan, M.Nasir, Aznan Alias, Pak Ngah, Ramli Sarip dan Salman Shariff
Keunikan album
Sekarang Dah Jadi adalah hadiah SM Salim buat peminatnya dan juga tanda penghargaan Warner Music terhadapnya.
Kekuatan album ini terletak pada mutu suara Tan Sri SM Salim yang lunak dan boleh dipelbagai mengikut pelbagai genre muzik. Vokal penyanyi-penyanyi yang bergabung tenanga untuk album ini hanya pakar di dalam genre masing-masing tetapi suara Tan Sri SM Salim boleh mengikut rentak genre penyanyi-penyanyi lain dengan acuannya sendiri.
Setiap lagu ada cerita tersendiri serta kenangan beliau bersama penyanyi tersebut. Warner Music sudah tentu mengeluarkan banyak belanja untuk menyiapkan album ini yang mendapat kerjasama yang baik dari syarikat-syarikat rakaman yang lain.
Sesuatu yang unik tentang kulit album ini menampilan beberapa pingat kebesaran yang pernah dianugerahkan kepada beliau.
Ulasan track lagu
Entah Jadi Entahkan Tidak bersama Sheila Majid
Saya amat menggemari lagu ini. Selain daripada melodinya yang mudah, liriknya juga sangat senang diikut. Sheila menyanyikan lagi ini dengan gayanya yang tersendiri. Lagu tradisional ini diberikan sentuhan jazz dengan baik.
Seloka Cak Kun Cak bersama M.Nasir
Kali pertama mendengar lagu ini saya sudah tertarik mendengar melodinya. Temponya agak pantas dan mendengar seorang yang sudah berumur seperti SM Salim menyanyikan lagu ini amat mengkagumkan. Liriknya juga memang bermakna yang mendalam. Itu cara M.Nasir.
Biarku Pergi bersama Datuk Sharifah Aini
Apabila Sharifah Aini dan SM Salim bergabung tenaga menyanyikan sebuah lagu asli hasilnya tentu baik. Jenis lagu asli yang mendayu-dayu memang sesuai dengan vokal Biduanita Negara tersebut.
Assalamualaikum bersama Raihan
Keharmonian vokal mereka nyata cemerlang. Tanpa alat muzik yang banyak, lagu nasyid ini berada di kelasnya yang tersendiri. Tidak sukar untuk menyanyikan sebuah lagu nasyid tambahan pula berduet dengan pakar lagu nasyid. Yang nyata vokal mereka amat harmoni.
Inang Si Anak Dagang bersama Rosiah Chik
Lagu inang ini bernada tinggi. Namun demikian faktor umur tidak menjadi penghalang untuk mereka menyanyikan lagu ini. Kedua-dua mereka memang pakar dalam menyanyikan lagu Asli.
Putih Tetap Putih bersama Zainalabidin
Saya mengharapkan gadingan ini menyanyikan sebuah lagu seperti lagu Satu yang pernah memenangi anugerah Lagu Terbaik AIM. Sentuhan world music tiada dalam lagu ini. Oleh itu originaliti Zainalabidin hilang dalam lagu ini. Seperti ulasan Abie dari Harian Metro, saya juga merasakan melodi lagu ini seperti pernah berada di dalam pasaran.
Selapis Kasih Sedulang Rindu bersama Ramli Sarip
Irama ghazal moden yang digabungkan dengan vokal Ramli Sarip memang terbaik. Suara mereka amat sesuai mendendangkan lagu sedemikian.
Bukit Kepong bersama Ghazal Remaja Johor
Paling menarik adalah lagu ini. Ia merupakan gabungan SM Salim bersama “cucu-cucu”nya. Kebolehan mereka berghazal amat baik. Sebagai generasi pelapis, kelebihan yang ada dipergunakan untuk generasi masa depan.
Sama Rasa bersama Amy
Tradisional dan rock ? Inilah hasilnya. Dulu-dulu kita pernah mendengar Ella menyanyikan lagu Jauh Di Mata. Lagu ini kena dengan vokal SM Salim mahu pun Amy. Suara nyaring Amy dipergunakan sepenuhnya untuk lagu ini tetapi beliau berjaya mengimbanginya dengan range vokal SM Salim. Elemen rock yang digabungkan di dalam lagu tradisional ini dibuat dengan baik dan tidak terlalu terserlah unsur rocknya.
Bergending Dang Gong bersama Siti Nurhaliza
Mereka khabarnya merakamkan lagu ini pada waktu yang berbeza. Oleh itu kedengaran lagu ini seperti tidak masuk dengan range vokal masing-masing. Tiada keserarian di dalam lagu ini. Namun begitu, secara keseluruhan melodi lagu ini amat menarik dan agak catchy.
Album ini adalah hadiah Tan Sri SM Salim buat semua generasi agar mereka dapat mendekati irama Melayu Asli supaya tidak terus hilang di telan zaman. Album ini sebagai bukti yang irama melayu Asli tidak pernah pupus malah boleh digayakan untuk disesuaikan dengan zaman sekarang. Saya amat berpuas hati dengan album ini yang saya sifatkan pembikinannya kena pada masanya.
Mesti Tonton Hari Kemerdekaan
Multimedia Super Cintun
31 Augusts :: 9 malam
Mendengar sahaja tajuk drama ini, hati saya sudah berkata. Ini bakal menjadi satu propaganda kerajaan tentang Multimedia Super Corridor. Itu prejudis saya tentang drama ini. Setelah menonton 10 minit drama ini, hati saya berkata lain pula. Sebuah drama yang memaparkan realiti sebenar yang berlaku di Malaysia ketika ini.
Sinopsis
Tiga tahun yang lepas, Maya seorang pelajar di UK telah bertemu dengan Norman seorang eksekutif di sebuah firma IT di internet. Kedua-duanya telah mengenali hati budi masing-masing menerusi IRC. Norman menganggap Maya sebagai seorang yang outspoken dan berpelajaran tinggi manakala Maya menganggap Norman sebagai seorang yang penyayang dan mengambil-berat.
Mereka merancang untuk bertemu di Kuala Lumpur dan kemudian berkahwin. Empat tahun selepas perkahwinan itu dan pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata. Walaupun kedua-duanya berjaya di dalam karier masing-masing namun demikian mereka menghadapi masalah untuk berkomunikasi. Tanpa mereka sedari, mereka telah merancang untuk mencari kekasih baru di internet.
Pandangan Peribadi
Kata Mahathir “Internet umpama pisau tajam, boleh digunakan untuk mengukir dan juga untuk membunuh.” Drama ini menonjolkan Internet sebagai kedua-duanya. Tapi itulah Internet. Hendak tak hendak kita harus menerimanya.Drama ini juga menepis prejudis bahawa seorang ibu hanya layak menjadi suri-rumah. Golongan wanita adalah golongan yang kemahiran IT mereka lemah.
Drama ini memberi gambaran sebenar tentang cinta siber. Kebanyakan mereka bertemu, bercinta dan kemudian berpisah. Itu realiti. Gelagat yang dipertontonkan juga amat dekat dengan situasi cinta siber. Masalah yang dihadapi juga merupakan masalah-masalah sama yang sering dihadapi oleh pasangan tersebut. Mereka gemar berkomunikasi secara online tetapi apabila berhadapan mereka hilang kata-kata. Sebenarnya sewaktu perkenalan di internet, mereka hanya dapat mengetahui luaran seseorang tersebut. Mereka belumnya mengenal hati budi.
Arahan
Pergerakan naratif drama ini bergerak dengan lancar. Teknik penceritaan yang digunakan juga sampai kepada penonton. Ceritanya mudah. Jatuh cinta di internet kemudian bertemu di Kuala Lumpur dan kemudian berkahwin. Setelah 4 tahun berkahwin, masalah komunikasi mula timbul. Masuk kembali di alam siber dan tidak mustahil bertemu semula dan kemudian bercinta kembali. Yang lebih pasti, alam realiti lebih sempurna. Pengarah drama ini saya kira berjaya membawa melihat keindahan Malaysia dalam era post-modern. Kualiti seni layar drama ini amat cemerlang.
Lakonan
Pelakon seperti Azhar Sulaiman yang membawakan watak Norman dan Norzizi Zulkifli (Maya) agak baik. Walaupun kekuatan drama ini bukan pada pelakonnya namun, setiap pelakon telah memberikan yang terbaik. Begitu juga dengan pelakon yang membawakan watak ibu kepada Norman. Beliau telah berjaya membawakan watak seorang ibu yang gilakan internet.
Fotografi
Teknik fotografi yang digunakan untuk drama ini amat cemerlang. Pengarah bijak mengambil shot yang jarang atau tidak pernah digunakan oleh Pengarah lain. Siapa menyangka, kereta bergerak di tempat letak kereta bawah tanah KLCC juga boleh menjadi satu shot yang cantik. Shot Kubah Masjid As-Syakirin KLCC juga mampu menjadi shot yang menarik. Ini sekaligus membuang klise drama Melayu yang sering menggunakan shot-shot yang sama sepanjang masa. Penggunaan warnanya amat kena dengan cerita post-modern sebegini. Teknik penggambarannya mengingatkan saya akan sebuah filem bertajuk Hanya Kawan arahan Harith Iskandar dan sebuah drama Melayu yang bertajuk Hanya Dikau arahan Rashid Sibir.
Secara keseluruhan saya amat berpuas hati menonton drama ini. Ia sekaligus mengingatkan saya bahawa dunia realiti adakalanya membosankan.
Acara Akan Datang :
Merdeka Anak Muda
Sebuah Apresiasi Puisi dan Eksperimental Muzik Merdeka
Anjuran : Akar Gita Estetika dengan kerjasama Pejabat Kebudayaan Wilayah Persekutuan
Hari : Sabtu
Tarikh : 13 September 2003
Jam : 8.30 malam
Tempat : Amphiteater MTC, Jalan Ampang
Konsep : Tayangan Filem Pendek, Baca Puisi dan Nyanyian Terbuka
Konsep persembahan pada malam itu ialah berkonsepkan open-mic dan ini bermakna sesiapa sahaja boleh mendeklamasikan puisi dan menyanyikan lagu-lagu yang berunsurkan patriotik, kemerdekaan, tanah air dan lain-lain.
Pada malam tersebut akan turut diselang-selikan dengan tayangan sebuah filem pendek dengan nyanyian puisi dan deklamasi sajak oleh anda. Penyertaan terbuka kepada yang berminat untuk menjayakan acara ini.
Mari kita meraikan Malaysia Merdeka bersama-sama. Apa alasan anda untuk tidak turut serta menyaksikan acara yang hebat ini ?
Penyertaan ramai adalah dialu-alukan agar dapat menaikkan semangat kecintaan kepada negara.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi
Black 0133552055
Mus 0196955796
Mari kita meraikan Malaysia Merdeka bersama-sama. Apa alasan anda untuk tidak turut serta menyaksikan acara hebat ini ?
Gambar adalah ihsan dari www.syokmedia.com. Terima kasih !
AGE – NGO Seni
Artikel ini tersiar di dalam majalah Siasah
AGE Terangkan Kenapa Didaftarkan
Kumpulan Akar Gita Estetika atau dengan ringkasnya, AGE ialah satu kumpulan seni yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Persatuan. Persoalannya, perlukah sebuah kumpulan seni bergerak sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO).
Menurut Yang di Pertua, Azli Mohamed, pergerakan seni yang dilakukan secara formal ini untuk mendapatkan dana bagi memperjuangkan seni sekumpulan belia yang mempunyai matlamat serumpun. Dengan mempunyai perhubungan rapat dengan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan dengan seni terutama sekali Kementerian kebudayaan dan Rakan Muda, AGE layak untuk memohon alokasi dana untuk menggerakkan aktiviti mereka.
Orang awam mungkin tidak tahu bahawa pihak kerajaan ada memperuntukkan dana bagi tujuan memperkembangkan seni di negara ini. “Tapi, kita mesti mengikuti syarat yang ditetapkan”, jelas Azli lagi.
Menurut AGE, penghalang besar yang dihadapi oleh aktiviti mereka ialah dana. Mereka berpendapat sekiranya tertubuhnya secara formal kumpulan seni ini, maka pelabur-pelabur akan lebih yakin dengan pergerakan kumpulan ini.
Selain daripada itu, memandangkan ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang dari pelbagai latarbelakang pendidikan, maka kemahiran pengurusan dan pentadbiran akan diterapkan dalam organisasi baru ini sungguh pun ianya tidak berkaitan dengan keuntungan.
Oleh yang demikian, dengan mempunyai sebuah jawatankuasa mantap, urusan kewangan, pentadbiran artis, perjalanan program, corak persembahan dapat diuruskan dengan lebih teratur. Walau pun demikian, penerimaan ide masih lagi diamalkan secara demokratik yakni dengan mengambilkira ide-ide ahli terlibat. Hanya pentadbirannya sahaja lebih bersifat formal.
Apabila Siasah membuat perbandingan dengan kumpulan-kumpulan seni terutama sekali kumpulan seni teater yang tidak didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan, Azli tidak menafikannya dan mengaku ada sesetengah kumpulan itu berjaya mendapat tempat di kalangan pencinta seni. Tetapi, menurut Azli, kumpulan-kumpulan tersebut sudah mempunyai “followers” (pengikut) yang tersendiri.
Lain dengan persekitaran yang berlaku dalam AGE, kumpulan ini bermula dengan sekumpulan rakan-rakan rapat yang mempunyai bakat dan cara berfikiran yang serupa. Mungkin terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti dari kehidupan kampus dahulu. Untuk menyambung dan megekalkan pertalian antara mereka, maka mereka bersetuju untuk mewujudkan satu persatuan yang formal dan memanggil rakan-rakan lain untuk menyertai mereka.
Bermulanya AGE sebagai sebuah organisasi berdaftar
Bercakap tentang sejarah penubuhannya, Naib Yang diPertua, sultanmuzaffar menceritakan ianya bermula apabila dia bersama rakan-rakan rapat yang lain yang mempunyai minat yang mendalam dalam seni teater berniat untuk bertanding dalam Pekan Teater yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan tahun ini.
Selepas memanggil rakan-rakan lain yang sudah bekerja dalam pelbagai organisasi, mereka bercadang untuk bertemu kembali dan bergiat aktif dalam seni teater. Justeru, tertubuhlah sebuah kumpulan teater. Beberapa siri perbincangan telah dijalankan sehinggalah mereka bersetuju untuk mendaftarkannya dengan Pendaftar Pertubuhan.
Menurut sultanmuzaffar, dengan pelbagai latar belakang dan tidak mensisihkan rakan-rakan yang minat dalam seni yang tidak berkait dengan teater menjerumuskan beliau dan rakan-rakan lain menubuhkan sebuah persatuan.
Kata sultanmuzaffar lagi, dengan mempunyai pelbagai latar belakang seni, akan memantapkan lagi sesebuah pertubuhan itu dengan berkongsi ide dan pengalaman serta bakat yang ada. Keputusan sesebuah persembahan akan menjadi lebih berkesan.
Menurut Setiausahanya, Faizah Zakaria, keahlian meningkat dari masa ke semasa hanya melalui ajakan rakan. “Mungkin mereka bersetuju dengan matlamat persatuan ini untuk mengiktiraf setiap ide kapada program yang kami sertai.
Dalam perlembagaan AGE yang telah diluluskan, umur penyertaan sebagai ahli ialah 16 tahun. Sungguh pun demikian, umur purata ahli yang seramai 80 itu ialah sekitar 24 tahun.
Mereka yang menyertai AGE tidak mempunyai latar belakang seni secara formal. Hanya berbekalkan bakat dan pengalaman dari persembahan-persembahan yang mereka pernah sertai.
“Ini yang menariknya mengenai AGE. Kami tidak mempunyai sekatan dan menerima pelbagai cadangan dari setiap ahli. Setiap program yang disertai akan dibawa berbincang sebelum ianya dilakukan.
Cuma apa yang dilihat terkilan dalam pertubuhan ini ialah kurangnya penglibatan daripada golongan bukan Melayu. Kemungkinan pertubuhan ini perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dapat menarik minat dari kalangan bukan Melayu.
Unit dalam AGE
Terdapat 3 unit yang bergerak di bawah AGE, teater, tarian dan musik. Setiap unit mempunyai ketua masing-masing bagi menguruskan kegiatan mereka. Namun, setiap ahli tidak tertakluk untuk mendaftarkan diri dalam unit yang mereka minati.
“Ini akan menyekat bakat seseorang itu”, terang Noor Akmal selaku ketua unit teater.
Seseorang ahli mungkin mahir dalam sesuatu bidang, misalnya teater tetapi kurang dalam bidang yang lain seperti tarian.
Hani yang merupakan ketua unit tarian. Hani berpendapat tarian penting dalam sesuatu persembahan kerana tarian memberi satu bahasa universal kepada para penonton. Justeru itu, jawatankuasa peringkat tertinggi bersetuju untuk mewujudkan satu unit khas dalam persatuan iaitu unit tarian.
Hani berkata tarian tidak hanya tertakuluk kepada persembahan sekumpulan penari yang mengiringi nyanyian bahkan unit ini bertanggungjawab untuk memantapkan lenggok persembahan muzik sekiranya diperlukan. Dengan kata lain, unit ini bertindak sebagai koreografer kepada unit-unit lain dalam AGE.
Aktiviti sulung AGE
AGE pada mulanya ditubuhkan apabila sekumpulan rakan peminat seni ingin mengambil bahagian dalam pertandingan Pekan Teater anjuran Kementerian Kesenian dan Pelancongan pada 26 hingga 30 April 2003 di Matic, Jalan Ampang.
AGE telah diberi skrip tulisan Tan Sri A. Samad Ismail yang diadaptasikan oleh Johan Jaaffar. AGE menganggap skrip tersebut amat mencabar kerana mesej yang perlu disampaikan amat berat untuk terapan penonton.
Rumah Kedai Jalan Seladang mengisahkan tentang Leman seorang wartawan yang naive tentang keadaan sewaktu zaman perang Jepun. Leman dipandang tinggi oleh penduduk tempatan dan diharap dapat membantu memerdekakan Malaya serta memperjuangkan nasib penduduk kampung. Leman dikelilingi dengan manusia pelbagai ragam sewaktu zaman itu. Leman menjadi pendengar yang setia dah cuba memahami setiap permasalahan yang melanda ketika itu. Untuk hidup, orang tempatan menjadi pelacur, penari kabaret dan sebagainya untuk sesuap nasi.
Sebagai sebuah kumpulan baru yang bertapak secara serius dalam seni teater, banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki terutama sekali dalam segi penyampaian yang belum begitu mantap. Babak kabaret yang dipertontonkan masih lagi tidak menunjukkan keadaan kelab malam. Malah, peranan penari-penari kabaret juga tidak cukup “sundal”.
Tetapi, menurut Penerbit teater Rumah Kedai di Jalan Seladang, Musruhaizi Ayu bt Mustapar Kamal, memang terdapat banyak kekurangan dalam aspek persembahan. Namun, sebagai kumpulan amatur dan kali pertama bertanding dalam pekan Teater, piala Kumpulan Harapan ialah sebuah kejayaan.
“Ini bermakna industri teater tanahair telah meletakkan harapan kepada kumpulan kami”, jelas Mus.
Trofi tersebut menjadi pemangkin kepada ahli-ahli persatuan lain supaya melibatkan diri dalam banyak lagi aktiviti persembahan.
“Pengalaman pertama 2003 Pekan Teater akan menjadi pengalaman kami”, kata Akmal selaku Penolong Pengarah.
“Kepuasan kami ialah dengan melibatkan diri dalam apa jua persembahan”, kata Yang diPertuanya sebagai mengakhiri temuramah.
Teater
Mimpi Tuanku
Tarikh : 3 - 5 September 2003
Tempat : Auditorium Jabatan Muzium & Antikuiti
Jalan Bangsar, Kuala Lumpur
Jam : 8.30 malam
Masuk percuma
Telefon 03-22826255 sambungan 313/325.
Mimpi Tuanku imbas nolstalgia Hang Tuah
oleh Berita Harian, 3 September 2003
PERSEMBAHAN teater Mimpi Tuanku selama tiga hari, bermula malam ini mampu membuka satu lagi tafsiran baru berkaitan legenda sejarah peminangan Puteri Gunung Ledang, sejauh mana kekuatan Hang Tuah dan apa kelebihan Sultan Mahmud.
Malah, ia juga memberi satu lagi pemahaman bahawa insiden antara Hang Tuah dengan Tun Mamat ketika dalam perjalanan ke Gunung Ledang mungkin berpunca daripada perebutan jawatan Laksamana Melaka atau mungkin sekadar gimik memperdaya Sultan Melaka.
Meskipun disampaikan secara komedi dan ringan olahannya tetapi ia begitu menarik berdasarkan pratontonnya minggu lalu. Teater berdasarkan skrip dan arahan Lokman Abdul Ghani ini mengajak penonton berfikir sejenak mengapa idea peminangan Puteri Gunung Ledang ketika zaman Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka boleh menjadi satu isu besar dalam Sejarah Melayu dan terus diperkatakan hingga generasi sekarang.
Sesuai dengan suasana sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, teater ini juga mampu mengangkat kisah sejarah silam yang harus direnung kembali dan dinilai semula betapa Melayu yang dulunya teguh dan bersatu kenapa tiba-tiba boleh musnah hingga tanah air sendiri ditawan penjajah selama hampir 450 tahun.
Penampilan Jalaludin Hassan sebagai Sultan Mahmud begitu mencuit hati kerana inilah kali pertama pelakon berkarakter itu tampil dengan imej lelaki lembut tetapi tegas. Gaya lembutnya ada mirip seperti pondan tetapi dia masih kelihatan sebagai lelaki sejati yang terpikat pada isteri Tun Mamat dan digantikan pula menerusi hasratnya untuk memperisterikan Puteri Gunung Ledang.
Tun Mamat bijak membuat helah supaya isterinya tidak diambil oleh Sultan Melaka yang terpesona dengan kecantikan gadis dalam mimpinya kerana dikatakan mirip wajah isteri Tun Mamat.
Selain Jalaludin, turut beraksi dalam Mimpi Tuanku ialah Abon, Khairil Anwar, Mohd Saufi, Megat Samsul Kamal, Mokhtar Harun, Amir Mohd, Aishah Atan, Suriati Baharom, Rena Tan dan Wan Sofi Megat Ahmad. Ia dianjurkan Pujangga Kreatif Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Muzium & Antikuiti Malaysia.
Kisah Mimpi Tuanku bermula dengan mimpi seorang pengawal keselamatan yang bekerja di pusat simpanan barangan purba. Pak Saad bermimpi kisah sejarah yang berkait dengan Hang Tuah, Sultan Melaka, Bendahara dan Tun Mamat.
Persoalan timbul apabila Tun Mamat yang seangkatan dengan anak Laksamana Hang Tuah boleh ‘mempermainkan’ tokoh itu. Teater ini bernada sinis dan penuh unsur sindiran dengan lawak jenaka yang ada kaitan dengan suasana semasa.
Sesuai dengan bentuk komedi, teater itu mampu membuatkan penonton terhibur sepanjang pementasannya terutama menerusi dialog melucukan.
Pementasan teater itu bersempena ulang tahun ke-40 penubuhan Muzium Negara. Selain teater Mimpi Tuanku, acara lain yang turut diisi sejak 31 Ogos lalu ialah majlis tahlil, pelancaran rasmi pameran, tarian Ulik Mayang, klasik Cina, sewang, bhangra, wayang kulit, forum, barongan, kuda kepang, Malaysia Truly Asia dan makyung.
Merdekakah Kita ?
Saya jarang membeli majalah berunsur hiburan seperti URTV, Media Hiburan, lebih-lebih lagi Mangga. Hati saya tergerak untuk membeli Media Hiburan keluaran 23-29 Ogos 2003 kerana di muka hadapan terpampang gambar Burn, Nana, Vince, Liza, Rosma dan Khai, bekas pelajar Akademi Fantasia. Begitu hebat kesan penangan Akademi Fantasia terhadap saya.
Membaca cerita muka hadapan agak memualkan kerana yang disiarkan adalah tentang gossip percintaan mereka. Saya lebih tertarik untuk membaca artikel tulisan Aniff Ghani bertajuk Air Mata Selubungi Kemuncak Konsert Akademi Fantasia di muka surat 66-69.
Dari satu perenggan ke satu perenggan saya baca dengan tekun. Membaca perenggan kedua, terus saya tergamam kerana kenal benar dengan isi tulisan tersebut. Perenggan kedua, ketiga, keempat dan kelima jelas memplagiat tulisan saya yang telah tersiar di weblog sultanmuzaffar. Berikut saya siarkan perenggan yang telah diplagiat oleh mereka.
Komen Keseluruhan Kemuncak Konsert
Sebagai sebuah rancangan yang baru setahun jagung umurnya, penggunaan muzik live dengan diiringi oleh band pimpinan Aubrey Suwito merupakan idea yang amat baik dan satu langkah berani yang diambil oleh ASTRO Ria. Penggunaan muzik iringan live memerlukan latihan yang banyak dan secara keseluruhan persembahan malam tersebut amat berjaya tanpa apa-apa kesilapan di bahagian muzik. Namun demikian, oleh kerana dewan yang agak besar, penggunaan kamera yang banyak menyebabkan suntingan online kamera menjadi kelam-kabut. Shot yang diambil terlalu pantas berubah menyebabkan interaksi pelajar dengan kamera tidak menjadi. Belum sempat pun hendak memandang kamera, shot telah berubah. Berbeza dengan suntingan online kamera pada Konsert 1 hingga 8 yang mana shot kamera lebih baik dan teratur. Lebih mengecewakan lebih banyak angle jauh yang diambil dan mengetepikan angle close-up. Penaja pakaian yang terbaik sejak sepanjang Konsert Akademi Fantasia diadakan. Pelajar diberikan pakaian yang amat bersesuaian dengan imej masing-masing. Termasuklah Nana yang berpeluang untuk memakai pakaian yang benar-benar menyerlahkan ciri-ciri elegan beliau. Sewaktu keputusan diumumkan, Aznil selaku pengacara nampak sengaja melewat-lewatkan keputusan adalah sesuatu yang saya sifatkan sebaga tidak wajar. Unsur debaran beliau nampak dibuat-buat. Lebih menyedihkan apabila 2 Finalis iaitu Nija dan Liza yang tidak berjaya memenangi apa-apa tempat seakan-akan dipinggirkan. Sepatutnya pihak ASTRO mendahulukan cenderamata saguhati kepada semua pelajar dan kemudian baru diumumkan tiga tempat teratas. Sejambak bunga untuk mereka sudah cukup memadai jika mahu dibandingkan berjuta-juta SMS yang diterima setiap minggu. Idea untuk mendermakan sebahagian daripada keuntungan SMS kepada badan kebajikan adalah satu usaha murni yang wajar dicontohi oleh semua pihak swasta. Sekurang-kurangnya pihak ASTRO Ria masih mengingati mereka yang memerlukan bantuan dan rancangan ini tidak hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan. Tahniah !
Perenggan yang diplagiat:-
1. Penggunaan muzik iringan live memerlukan latihan yang banyak dan secara keseluruhan persembahan malam tersebut amat berjaya tanpa apa-apa kesilapan di bahagian muzik.
2. Namun demikian, oleh kerana dewan yang agak besar, penggunaan kamera yang banyak menyebabkan suntingan online kamera menjadi kelam-kabut. Shot yang diambil terlalu pantas berubah menyebabkan interaksi pelajar dengan kamera tidak menjadi. Belum sempat pun hendak memandang kamera, shot telah berubah.
3. Berbeza dengan suntingan online kamera pada Konsert 1 hingga 8 yang mana shot kamera lebih baik dan teratur. Lebih mengecewakan lebih banyak angle jauh yang diambil dan mengetepikan angle clse-up.
4. Penaja pakaian yang terbaik sejak sepanjang Konsert Akademi Fantasia diadakan. Pelajar diberikan pakaian yang amat bersesuaian dengan imej masing-masing.
5. Lebih menyedihkan apabila 2 Finalis iaitu Nija dan Liza yang tidak berjaya memenangi apa-apa tempat seakan-akan dipinggirkan.
6. Idea untuk mendermakan sebahagian daripada keuntungan SMS kepada badan kebajikan adalah satu usaha murni yang wajar dicontohi oleh semua pihak swasta.
Lebih memalukan, tulisan saya lebih merupakan pandangan peribadi saya sebagai penonton Kemuncak Konsert Akademi Fantasia melalui skrin televisyen. Jadi adalah satu yang melucukan, wartawan yang berada di dalam dewan mampu untuk membuat ulasan tentang apa yang tertera di monitor televisyen. Kecuali jika beliau membuat ulasan berdasarkan pemerhatian beliau sambil menonton monitor kecil yang disediakan di hadapan pengkritik profesional atau pun setelah menonton siaran ulangan di saluran 17.
MM: komen keseluruhan kan?
sultanmuzaffar: baca para Komen Keseluruhan
sultanmuzaffar: YES
sultanmuzaffar: aniff hanya mencantik struktur bahasa, english dimelayukan...
sultanmuzaffar: dari segi turutan idea, jelas sama dgn apa yg ada di MH
sultanmuzaffar: Lebih mengecewakan lebih banyak angle jauh yang diambil dan mengetepikan angle clse-up
sultanmuzaffar: tukar jadi perspektif jauh, close-up jadi jarak dekat
sultanmuzaffar: dia tak ler tiru bulat2
sultanmuzaffar: yg silap saya, dia betulkan kat media hiburan
sultanmuzaffar: sama2 tolong-menolong
MM: kalau tak tiru bulat-bulat tu ok la
MM: ingatkan dia ambik setiap patah ayat
sultanmuzaffar: tapi dia ubah
MM: cuma mungkin diajadikan artikel anda sebagai panduan kot
sultanmuzaffar: idea dtg dari weblog saya
sultanmuzaffar: itu yg silap
sultanmuzaffar: dia kena quote source
sultanmuzaffar: macam buat thesis jugak
sultanmuzaffar: apa2 mesti quote
sultanmuzaffar: bahan dari mana
sultanmuzaffar: nanti org2 kg ingat itu idea dia seorang
sultanmuzaffar: orang2 kg yg tak tahu akan pandang dia sbg seorang yg hebat kerana mampu mempunyai idea sedemikian
sultanmuzaffar: padahal idea tersebut dicuri dari idea orang lain di weblog yang lain
sultanmuzaffar: itu sebab kita sbg penulis kena quote bahan tuh dari mana
sultanmuzaffar: mungkin kerana tidak pernah buat thesis, itu sebab dia tak tahu
sultanmuzaffar: saya menerima 50 email yg bagitau sekali baca, dah boleh tahu itu tulisan & idea saya
sultanmuzaffar: kalau nak rujuk sebagai bahan pun, takkan ler turutan keluar di majalah pun boleh sama dgn turutan di weblog
sultanmuzaffar: itu yg ajaib
sultanmuzaffar: kalau di Barat, editor perlu bertanggungjawab
sultanmuzaffar: tapi tak tahu lah kat malaysia
sultanmuzaffar: malaysia kan Malaysia Boleh
sultanmuzaffar: saya akan pastikan seluruh malaysian bloggers tahu akan hal ini
sultanmuzaffar: terutama di www.petalingstreet.org
sultanmuzaffar: kerana sesiapa saja boleh jadi mangsa
sultanmuzaffar: itu komuniti bloggers malaysia
sultanmuzaffar: dah ler suratkhabar pun ciplak
sultanmuzaffar: itu yg perasan
sultanmuzaffar: yg tak perasan...tak tahu
Isu plagiat merupakan satu isu besar yang sekaligus menidakkan etika kewartawanan Malaysia. Tanpa memberi kredit kepada penulis asal, saya merasakan tindakan tersebut lebih saya sifatkan sebagai seorang perompak. Lebih menyedihkan mereka inilah yang giat memperjuangkan isu lanun cetak rompak tetapi tanpa mereka sedari mereka turut berkelakuan seperti seorang lanun. Di Barat, isu plagiat merupakan satu isu besar yang turut mempertikaikan kredibiliti seorang editor. Editor New York Times turut diambil tindakan kerana perilaku anak didik mereka sendiri. Seorang Editor seharusnya bertanggungjawab terhadap apa yang disiarkan sebagaimana seorang penulis di weblog bertanggungjawab terhadap tulisannya.
Artikel "Changes at the New York Times"
Changes at the New York Times
New York Times reporter Jayson Blair shocked many with his admission of plagiarism and faked reports. Further investigation has raised questions about the culture of the New York Times and lead to the resignation of editor Howell Raines and managing editor Gerald Boyd on June 5. Here is collection of articles and commentaries on the story.
Saya amat berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan pemikiran yang rasional. Tiada gunanya kemerdekaan yang kita kecapi jika pemikiran kita masih dijajah dan kita masih berada di takuk yang lama. Merdekakah Kita ?
Konsert Reunion Akademi Fantasia
31 Ogos 2003
Taman KLCC
Akan disiarkan di ASTRO Ria pada 18 Oktober 2003
Saya tidak berkesempatan untuk penonton persembahan tersebut secara langsung. Namun demikian, untuk tidak menghampakan anda saya mengumpul maklumat dari mereka yang telah menonton persembahan tersebut dan dirangkumkan menjadi satu catatan di sini. Masa tersebut saya gunakan untuk menonton sebuah drama bertajuk Multimedia Super Cintun lakonan Azhar Sulaiman dan Norzizi Zulkifli. Sebuah drama yang saya kira amat cemerlang mutu fotografinya di tangan Imri Nasution. Drama arahan Bernard Chauly ini lari dari klise drama Melayu yang terdahulu. Penggunaan shot fotografi yang luarbiasa menjadi kekuatan drama ini selain daripada kekuatan naratif ceritanya.
Antara lagu-lagu yang telah dinyanyikan oleh mereka ialah :-
Semua - Khayalan
Azza & Sahri - I Want To Spend My Lifetime Loving You yang dipetik dari filem Zorro
Azizi - Habis Sudah Umpanku
Nana - Objection dendangan asal Shakira dan Kiss Kiss
Adi - Aku Cinta Kau Dan Dia dan Rahsia Perempuan
Rosma - Nirmala
Khai - Dambaan Pilu
Atie - Wajah Rahsia Hati yang dipetik dari filem Ali Setan
Sahri - Penghujung Rindu
Liza - Jangan Berpura-pura
Burn - Higher dan Deeper
Nija - Kenangan Pahit dengan penampilan khas Man Kidal
Vince - A Better Man, sebuah lagu Cina bertajuk I Believe dan Sonata Musim Salju
Nana dan Burn - Fire
Vince dan Liza - Sandarkan Pada Kenangan
Rosma dan Khai - Seiring Sejalan
Semua - Menuju Puncak
Selepas mendendangkan lagu Menuju Puncak terdapat satu babak bonus untuk peminat Adifashla.
Aznil berkata selepas lagu Menuju Puncak, akan ada seorang pelajar yang akan disingkirkan. Siapa yang akan terkeluar kali ini ?
Sewaktu ini Adifashla tiba-tiba mengambil alih tugas sebagai pengacara. Adi melakonkan semula cara Aznil yang meleret-leret untuk mengumumkan siapakah yang akan terkeluar dan dibantu oleh mereka yang lain. Antara segmen yang Adi lakonkan ialah semasa berkata, "Ini adalah keputusan yang anda sendi lakukan", "Mungkin anda terlupa untuk mengundi pelajar ini", "Keputusan yang tidak disangka", "Biar saya pastikan" sambil duduk di tepi beg pelajar.
Adi melakonkan babak menangis seperti yang dilakukan oleh Aznil. Adi mendekati Nana dan berkata, "Nana..... ucapkan selamat tinggal kepada...Aznil Nawawi". Semua meluru ke arah Aznil dan memeluk beliau, kelihatan ada yang memeluk kaki Aznil. Adi meminta Aznil untuk membuat ucapan selamat tinggal dan apabila tiba masanya untuk Aznil pergi, Adi memanggil Rosma dan memintanya membaca satu pengumuman. Aznil akan terus kekal dalam Akademi Fantasia untuk musim kedua.
Ini sekaligus menafikan berita-berita yang Aznil Nawawi mungkin tidak lagi menjadi pengacara untuk Akademi Fantasia 2 dan juga tidak menafikan yang Adifashla bakal terpilih untuk menjadi pengacara baru Akademi Fantasia 2. Kita sama-sama nantikan !
Tunggu tayangannya di ASTRO Ria pada 18 Oktober 2003.
::diedit berdasarkan email kiriman shaznilam@yahoo.com di yahoogroup adifashla, Terima Kasih::
Mak Yong Raja Tangkai Hati
Panggung Sari, Istana Budaya
29 Ogos 2003
8.30 malam
Mak Yong Raja Tangkai Hati merupakan persembahan makyong yang pertama saya tonton. Saya tidak pernah menonton persembahan makyong sebelum ini kerana merasakan makyong merupakan sebuah persembahan yang membosankan. Undangan dari Istana Budaya saya terima dengan tangan terbuka. Semasa menanti persembahan, saya bertemu dengan salah seorang penyelidik untuk rancangan Bersama Anita terbitan Astro Ria. Kami berbual tentang Akademi Fantasia dan juga rancangan terbaru mereka iaitu Bersama Anita. Beliau turut mencadangkan kepada saya agar menulis tentang rancangan tersebut. InsyaAllah jika tiada aral saya pasti akan menulis tentang rancangan tersebut kerana merasakan dua episod yang terdahulu berkisar tentang ibu tunggal dan anak angkat amat releven dengan masyarakat.
Sinopsis
Mak Yong Raja Tangkai Hati mengisahkan pelayaran pelayaran menziarahi ayahandanya di negeri Sekota Batu bersama-sama permaisurinya, Puteri Cempaka Emas serta dua orang anaknya iaitu Malim Bisnun dan Malim Bongsu. Pelayaran dimulakan oleh Tok Wak Nakhoda dengan bantuan angin yang dititahkan Raja. Namun, setiba di Pulau Mati Anak, kapal terhenti belayar atas kuasa Puteri Bota mematikan angin.
Puteri Bota yang berdendam dengan Raja Tangkai Hati kerana tidak memperisterikannya, bertukar menjadi kumbang dan terbang ke atas kapal lalu memukau semua penumpang dan anak-anak kapal, tidak sedarkan diri kecuali Puteri Cempaka Emas dan anak-anaknya. Beliau kemudian bertukar menjadi sekuntum bunga. Di atas pujuk rayu Malim Bongsu, Puteri Cempaka Emas memetik bunga jelmaan dan dengan serta merta kembali ke bentuk asalnya. Puteri Bota dengan rakusnya menangkap dan melarikan Puteri Cempaka Emas ke suatu tempat yang tersembunyi. Permaisuri disumpah menjadi badan separuh mawas dan separuh manusia. Puteri Bota meneruskan niat jahatnya dengan berubah wajah menjadi Puteri Cempaka Emas. Naluri kedua-dua putera Raja Tangkai Hati dapat merasakan yang tubuh bonda mereka adalah jelmaan Puteri Bota dan bonda mereka sebenar sedang dalam bahaya. Mereka gagal meyakinkan ayahanda mereka dan telah dianggap derhaka lalu dicampak ke dalam laut seperti saranan Puteri Bota (yang menyerupai Puteri Cempaka Emas).
Dewa Betara Raja ternampak Malim Bisnun dan Malim Bongsu terapung di laut dan menyelamatkan mereka. Mereka dijelmakan sebagai dua butir teritik (siput) dan diletakkan di bawah kapal, menyebabkan kapal terhenti. Dewa Betara Raja pula bertukar rupa menjadi seorang tua dan menyarankan beliau boleh menggerakkan kapal dengan satu syarat. Syaratnya, kapal hendaklah dikosongkan. Kehendak orang tua ini diterima oleh Raja Tangkai Hati dan juga Tok Wak Nakhoda maka mereka meninggalkan kapal seketika. Tanpa melengahkan masa, orang tua kembali berbentuk Dewa Betara Raja dan menerbangkan dua putera raja ke Pulai Kematian. Sewaktu rombongan Raja tiba di negeri Sekota Batu, kedua putera pun bertemu bonda mereka yang terikat di pohon di Pulau Kematian. Namun, mereka tidak berupaya menyelamatkan bonda mereka tanpa darah Puteri Bota. Hanya satu jalan sahaja untuk mereka ke negeri Sekota Batu iaitu dengan meminta pertolongan Mak Ikan Jerung. Setiba di Sekota Batu, kedua putera raja berusaha untuk meyakinkan Raja Besar Sekota Batu siapa mereka sebenarnya. Keadaan semakin tegang di mana pertaruhan berlaku di antara putera-putera dan Puteri Bota. Kebenaran akhirnya terbukti apabila Puteri Bota tewas di tangan Malim Bongsu. Darah tumpahan Puteri Bota menjadi penawar sumpahan Puteri Cempaka Emas. Keluarga diraja ini berjaya bersatu kembali dan pulang bersemayam di Istana negara mereka.
Pelakon
Zuliana Zainal Abidin – Raja Tangkai Hati
Juhara Ayob – Puteri Cempaka Emas
Norsiah Mohd Yatim – Puteri Bota
Yuni Nor Letty Bachok – Malim Bisnun
Mardiana Ismail – Malim Bongsu
Roszilawati Ab Rahim – Raja Besar
Abd. Wahab Othman – Peran I
Wan Kanari Ibrahim – Peran II
Nik Sayyidah Fatihan Yazib – Raja Besar Sekota Batu
Hushairi Husain – Peran Tua Sekota Batu / Tok Wan Nakhoda
Kumaresh a/l Anggamuthu – Peran Muda Sekota Batu
Mohd Kamarulzaman Taib – Dewa Betara Raja
Shariful Akma Abdullah – Mak Ikan Jerung
Tenaga Kreatif Produksi
Prof. Dr. Ghulam Sarwar Yousof – Penilis Skrip Asal
Norzizi Zulkifli – Pengarah / Olahan Skrip
Fatimah Abdullah – Pembimbing Mak Yong & Tari
Sabzali Khan Gulihandan – Pengarah Artistik
Abdul Jalil Ngah – Pereka Tata Cahaya
Irwan Ismadi Sharim – Pereka Set / Props
Nur Afifi Mohamed Taib – Pereka Kostum
Pandangan Peribadi
Pementasan ini telah berjaya menarik minat saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang makyong. Ia secara tidak langsung memberi perspektif baru tentang makyong. Pementasan yang cemerlang ini disokong oleh mutu lakonan dan elemen teknikal yang mantap. Rekaan pentas, kostum, muzik dan tatacahaya menjadikan persembahan ini berbeza dengan makyong yang berwajah baru tanpa meminggirkan elemen tradisionalnya. Persembahan makyong di tangan Norzizi dibawa keluar dari kepompong yang mengongkongnya satu ketika dahulu. Dahulu, makyong dianggap seni yang membosankan, lesu dan kekal dengan dialek Kelantan yang kuat.
Mengadap Rebab
Sebagaimana persembahan biasa sebuah makyong ia akan bermula dengan persembahan Mengadap Rebab. Lagu terpenting ini dimainkan semasa permulaan setiap persembahan sebagai simbol penghormatan kepada rebab dan semangat makyong. Persembahan pembukaan ini mengambil masa yang agak panjang iaitu hampir 15 minit. Secara tidak langsung persembahan ini menjadi agak membosankan walaupun ia merupakan elemen persembahan yang terpenting di dalam makyong. Apabila menonton segmen Mengadap Rebab, persepsi saya terhadap makyong mula menjadi negatif. Saya hampir tidak senang duduk memikirkan perlu duduk di bangku tersebut untuk 2 jam lagi. Namun demikian, Pengarah Teknikal dan Pereka Tatacahaya bijak mencuri tumpuan penonton dengan memberi sentuhan cahaya yang saya kira terbaik. Selain menikmati persembahan, penonton dihidangkan dengan resepi cahaya yang amat mengkagumkan. Penggunaan pentas hidraulik dan siaran multimedia sedikit sebanyak mengurangkan kebosanan segmen Mengadap Rebab.
Arahan dan Lakonan
Pujian harus saya lontarkan buat Pengarah persembahan ini. Beliau bijak menangani persembahan ini. Kalau dahulunya, persembahan makyong dianggap satu persembahan yang membosankan, lesu dan tidak bermaya, kini beliau telah mengangkat persembahan makyong menjadi satu persembahan yang telah hilang lapuknya.
Memetik tulisan Luqman Hakim di akhbar Utusan Malaysia keluaran 25 Ogos 2003, “Sebagai persembahan yang dibawa ke ruang pementasan secanggih Dewan Sari, makyung Raja Tangkai Hati perlu memperlihatkan satu revolusi dalam pementasan agar ia benar-benar diyakini.”.
Pujian wajar diberikan kepada Juhara Ayob yang beraksi cemerlang sebagai Puteri Cempaka Emas dan jelmaan Puteri Bota. Beliau beraksi begitu cemerlang. Lakonan beliau dikawal dengan baik. Pengalaman beliau bermain teater sejak 1991 telah dipergunakan sepenuhnya untuk pementasan ini. Begitu juga dengan Norsiah Mohd Yatim yang telah menggunakan pengalaman 20 tahun beliau dalam bidang seni di pentas Istana Budaya.
Suntikan humor yang digunakan di dalam persembahan ini menjadi lalu menjadikan satu persembahan makyong ini tidak membosankan. Namun begitu, adakalanya beberapa pelakon pembantu kelihatan cuba menonjolkan diri melebihi pelakon utama. Agak melucukan dengan penggunaan dialog yang menyelitkan perkataan “SMS”, “shut up”, “prepaid” dan “afundi” sebagai suntikan humor.
Aspek Teknikal
Saya terlalu kagum melihat tatacahaya yang dicipta oleh Abdul Jalil Ngah. Kesan dramatik yang diwujudkan berjaya sampai kepada penonton. Pencahayaan di satu babak terlalu spektakular saya kira. Unsur kekaguman begitu terserlah di dalam pementasan ini. Lebih mengkagumkan, ia hanyalah sebuah persembahan makyong. Saya begitu kagum.
Melihatkan penggunaan sidang video menonjolkan unsur-unsur multimedia di dalam persembahan ini. Secara tidak langsung, pementasan ini mendidik penonton tentang apa itu teknologi maklumat serta teknologi terkini yang ada di Malaysia.
Rekaan pentas yang minimal tetapi penggunaannya dimanafaatkan sepenuhnya. Pentas hidraulik yang seringkali menimbulkan masalah memberikan kerjasama yang baik untuk persembahan kali ini. Kostum juga turut memainkan peranan yang penting untuk memantapkan persembahan tersebut.
Secara keseluruhannya, kekuatan teknikal berjaya memberi satu nafas baru kepada sebuah pementasan makyong. Kekaguman teknikal berjaya dirangkumkan untuk menjadikan pementasan ini begitu cemerlang. Tahniah saya ucapkan buat Tenaga Produksi Makyong Raja Tangkai Hati !
Keputusan Web-Poll Akademi Fantasia
Siapakah pelajar perempuan yang anda rasa paling cantik ? [1340 votes total]
Atie (333) 25%
Azza (199) 15%
Liza (359) 27%
Nana (208) 16%
Nija (64) 5%
Rosma (177) 13%
Siapakah pelajar lelaki yang anda rasa paling kacak ? [1248 votes total]
Adifashla (327) 26%
Azizi (22) 2%
Burn (38) 3%
Khai (379) 30%
Sahri (54) 4%
Vince (428) 34%
Drama Merdeka ERA 6
Setelah memberi mereka peluang selama 5 episod, saya tidak dapat menunggu lebih lama lagi untuk memberi komen tentang lakonan mereka. Saya merasakan lakonan mereka tidak menepati mutu lakonan yang sebenarnya. Lakonan mereka tidak menjadi dan intonasi dialog mereka tidak menepati maksud dialog. Saya tidak perlu menilai ekspresi wajah kerana hanya berdasarkan intonasi sudah cukup untuk saya membuat penilaian tentang ekspresi wajah mereka. Lagipun yang dinilai adalah lakonan drama radio mereka.
Saya mencadangkan agar mereka perlu diberi sedikit masa untuk melatih skill lakonan mereka. Saya merasakan lakonan Atie sebagai Siti tidak dikawal dengan baik. Intonasi Adifashla sebagai Samad juga jauh tersasar. Yang wajar dipuji hanyalah lakonan Sahri dan Nija sebagai Pencerita. Namun demikian, perjalanan mereka masih panjang dan terlalu banyak yang harus dipelajari.
Jangkamasa drama yang pendek menyebabkan konsentrasi penonton adakalanya terganggu dan mesej yang ingin disampaikan oleh penulis skrip tidak sampai kepada penonton. Saya akan terus memberi komen yang membina untuk mereka dari masa ke semasa.
Episod kali ini menceritakan tentang Siti yang bingung memikirkan Ah Boon yang akan berpindah. Turut diselitkan adegan bila mana Siti terperanjat apabila melihatkan Ah Boon berpakaian seperti seorang Komunis dan sedang menyiksa salah seorang penduduk tempatan. Samad menasihatkan Siti agar lebih berhati-hati dan mungkin ada muslihat di sebalik kelakuan Ah Boon. Pada satu hari, Ah Boon datang ke rumah Siti.
Live Music Concert - Poems For The World
Konsert Live Music “Poems For The World” dengan tema Love & Peace for All berlangsung pada 22 Ogos 2003 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur dengan menjanjikan sesuatu yang baru kepada penonton.
Konsert tersebut dibarisi nama-nama besar di dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia selain daripada pelakon terkenal filem “Ada Apa Dengan Cinta”. Nama seperti Zainal Abidin, VE, Prof Dr. Wan Zawawi, Mahadzir Lokman, Fazley, Ruth Sahanaya, Reza Artamefia, Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra merupakan nama-nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka terlalu hebat di dalam bidang masing-masing.
Komen keseluruhan
Pertama kali memasuki dewan persembahan, melihatkan rekaan set yang hambar menyebabkan hati terdetik, “apakah ini satu persembahan yang bertaraf antarabangsa ?”. Namun demikian, apabila persembahan bermula, rekaan tatacahaya yang terbaik menyebabkan dewan serta latar belakang pentas yang kosong menjadi hidup. Teknik letupan serta cahaya yang menghidupkan suasana malam tersebut. Penggunaan muzik iringan live ternyata benar-benar memukau tetapi sayangnya tirai menjadi penghalang pamdangan penonton. Kehebtan mereka tidak dapat ditonton walaupun telah memberikan persembahan yang cemerlang. Lebih menyedihkan nama pemain muzik tidak tertera di dalam buku cenderamata. Kekuatan persembahan ini merupakan permainan muzik live oleh mereka dan sumbangan mereka sewajarnya diiktiraf.
Gabungan lima unsur seni iaitu seni tari, seni teater, seni muzik, seni tampak dan seni layar dijalin menjadi satu persembahan untuk membawa makna kesedaran dan keinsafan kepada penonton.
Konsert tersebut dibahagikan kepada empat segmen yang membawa makna kemanusiaan (humanism), suara keamanan (voice of peace), cinta dan keamanan (love and peace) dan satu dunia (one world).
Persembahan dimulakan dengan sebuah pentomin oleh kanak-kanak dari Yayasan Pendidikan Cheras. Gerak tari yang amat meyakinkan menerapkan unsur moral serta kesedaran akan peri pentingnya kanak-kanak sebagai generasi masa depan.
Persembahan puisi oleh Prof Dr Wan Zawawi benar-benar memukau. Beliau menyanyikan lagu yang membawa lirik yang benar-benar membawa mesej kemanusiaan. Kami berjalan ke arah yang tenang, Kami melangkah dari malam gersang, Kami yang bebas dari dataran kering. Kehebatan beliau memetik gitar amat baik.
Persembahan Zainal Abidin seorang yang layak digelar penghibur membawakan lagu Dua Dunia yang diadaptasi dari lagu tema filem Tarzan. Iringan muzik sewaktu persembahan konsert ini amat cemerlang. Kumpulan muzik berjaya membawakan lagu dengan baik sekali, tetapi sayangnya terdapat tirai yang melindung pandangan penonton dari melihat mereka beraksi cemerlang.
Segmen suara keamanan menampilkan Mahadzir Lokman yang melagukan puisi keramat Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang iaitu Kekasih. Dalam banyak-banyak versi lagu Kekasih, inilah lagu puisi Kekasih yang terbaik pernah saya dengar.
Reza Artamevia menyanyikan 3 buah lagu termasuk sebuah lagu bertajuk Dia dendangan asal oleh Sheila Majid. Kehebatan vokal beliau tidak wajar dipertikaikan. Lebih menarik ialah penataan cahaya yang menyerlah penampilan beliau di atas pentas. Penari iringan juga tidak kurang hebatnya yang telah dikoreografkan oleh Jecko Simpo, Siti Ajeng Soelaiman, Norjayadi Jasan dan Suhaimi Magi.
Penantian penonton akhirnya terbalas apabila muncul Nicholas Saputra di pentas persembahan mendeklamasikan puisi bertajuk Gunung dan Sungai karya Pablo Neroba. Populariti aktor kacak ini menjadi tunjang kekuatan persembahan konsert ini.
Seketika kemudian, muncul Dian Sastrowardoyo mendeklamasikan sajak yang bertajuk Ini Bukan Dongeng hasil karya Aspar Panturusi dengan penuh berkesan. Kekuatan persembahan Dian adalah elemen spektakular yang disuntik dalam persembahan beliau. Persembahan beliau nampak begitu cemerlang serta koreografi yang menarik. Kemunculan beliau yang diusung masuk dari luar pentas amat menarik.
Kemunculan VE mendendangkan beberapa buah lagu saya kira merupakan satu pendedahan buat mereka. Namun demikian, mereka saya kira telah berjaya menarik segolongan peminat untuk terus menonton persembahan mereka dari awal sehingga akhir. Elemen anak muda perlu disuntik untuk persembahan sedemikian untuk menarik golongan anak muda menghargai karya seni sebegini. Tanpa mereka, agak sukar untuk melihat dewan penuh dengan penonton yang kebanyakannya dari golongan kelas atasan yang rata-rata hanya meminati Ruth Sahanaya, Zainal Abidin yang mewakili golongan penyanyi yang sudah berumur dan mempunyai nama besar dalam industri.
VE kemudian berganding dengan Reza Artamevia mendendangkan lagu Biarkan Menjadi Kenangan sebagai mengakhiri segmen suara keamanan. Gandingan vokal mereka amat cemerlang.
Segemen cinta dan keamanan dimulakan dengan persembahan bertenaga dari Zainal Abidin. Penyanyi yang sinonim dengan lagu Hijau ini mendendangkan lagu Garam, Gaia dan Pantun. Gaia merupakan sebuah lagu terbaru dari beliau. Kebolehan beliau berkomunikasi dengan penonton membuktikan beliau seorang penghibur yang berjaya. Bukan sekadar topik hiburan, malah beliau mampu untuk membincangkan senario ekonomi Malaysia. Kepetahan beliau berkomunikasi merupakan satu yang harus saya puji.
Kemunculan Ruth Sahanaya memang ditunggu-tunggu. Beliau mendendangkan beberapa lagu popularnya seperti Keliru, Tak Ku Duga dan sebuah lagu siulan ramai iaitu Kaulah Segalanya. Beliau turut mendendangkan dua buah lagu terbarunya iaitu Maafkan Kepergianku dan Ku Tergoda dengan baik.
Sebagai mengakhiri segmen cinta dan keamanan, muncul pasangan popular Nicholas Saputra dan heroinnya Dian Sastrowardoyo mendeklamasikan sajak bertajuk Tanah Airku karya penyair terkenal Indonesia Jose Rizal Manua. Mereka muncul berpakaian tradisional Jawa.
Segmen satu dunia bermula dengan kesilapan teknikal. Masalah gangguan pembesar suara menyebabkan konsentrasi penonton terganggu. Ruth Sahanaya dan Reza Artamevia berpadu suara dengan VE menyampaikan lagu Imagine. Tanpa persediaan yang cukup, sorotan lampu spot kelihatan kelam-kabut mengikut pergerakan penyanyinya menjadikan penglihatan penonton terganggu.
Sebelum mengakhiri persembahan segmen satu dunia, Fazley mengambil giliran untuk muncul di pentas. Saya terpinga-pinga. Di manakah hebatnya penyanyi ini yang layak untuk mengambil giliran terakhir muncul untuk membuat persembahan ? Saya tertanya-tanya. Persembahan beliau jelas tidak kena dengan konsep konsert tersebut. Itu belum diambil kira kehebatan beliau menyanyi secara live. Saya sendiri tidak dapat mengaitkan signifikan lagu Hari Minggu dan Beautiful Maria dengan segmen satu dunia. Penampilan beliau kelihatan dibuat-buat ditambah dengan persembahan di skrin yang menampilkan imej beliau sejak kecil hingga dewasa. Saya masih belum dapat mencari kesesuaiannya lagi akan kewujudan videoclip tersebut. Pakaian ala-ala The Matrix nampak memualkan dan imej di skrin lebih mendukacitakan. Namun demikian, jika beliau terpilih kerana role-model penyanyi muda yang berpendidikan tinggi, memang sewajarnya beliau layak untuk mengisi kekosongan tersebut.
Persembahan terakhir merupakan bacaan puisi oleh YB Senator Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Amir Rifaat mewakili Yayasan Pendidikan Cheras dan Fazley.
Konsert Poems For The World merupakan sebuah konsert amal anjuran Mahligai Satu Entertainment yang bertujuan untuk mengutip dana bagi mengisi Tabung Yayasan Pendidikan Cheras. Kehadiran Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menjadikan konsert tersebut lebih bermakna.
Lagu We Are The World menutup persembahan konsert tersebut. Seperti kekurangan lagu yang sesuai untuk didendangkan sebagai mengakhiri persembahan tersebut.
Konsert ini akan disiarkan di saluran NTV7 pada 1 September 2003.
Drama Merdeka ERA 5
Siti mengucapkan terima kasih kepada Ah Boon kerana telah menyelamatkan beliau dan adiknya Samad. Namun begitu, Ah Boon masih berasa terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan Nek Jenab. Siti redha dengan takdir yang berlaku dan mengucapkan syukur kerana Samad terselamat.
Ah Boon bertemu Siti untuk memberitahu beliau tentang hasrat keluarganya untuk berpindah dari kampung tersebut kerana tidak tahan dengan ugutan komunis yang berterusan memintanya menyertai mereka.
Siti tidak dapat berbuat apa-apa. Beliau mengucapkan terima kasih kerana Ah Boon telah melakukan yang terbaik buatnya. Walaupun berat hati, beliau terpaksa melepaskan Ah Boon pergi kerana tidak mahu Ah Boon menderhaka terhadap keluarganya.
Ah Boon menceritakan tentang serang hendap yang telah berlaku di sebuah Balai Polis. Ah Boon turut memberitahu yang Atan besar kemungkinan berada di dalam keadaan yang tidak selamat. Dalam kesedihan, Siti memberitahu mengapa ini harus terjadi sedangkan hatinya sudah mula dapat menerima kehadiran Atan di dalam hidupnya.
Dalam tidak sedar, Ah Boon juga sebenarnya menaruh perasaan terhadap Siti.
p/s:- Ulasan Konsert Poems For The World di PWTC sedang dalam pembikinan.
Drama Merdeka ERA 3
Atan dan Siti masing-masing memendam perasaan walaupun jauh di sudut hati mereka saling suka-menyukai. Atan perlu berkorban demi untuk keselamatan negara. Atan meminta Ah Boon agar dapat menjaga Siti Salmah. Namun demikian Siti tidak dapat menghantar pemergian Atan. Atan memberi satu pemberian kepada Siti yang perlu disimpan oleh Ah Boon
Flashback
Sewaktu Siti dan Nenek baru pulang dari sawah, pergelutan berlaku dengan seorang Komunis. Komunis tersebut berkehendakkan beras. Siti dan Samad bergelut kerana beras tersebut. Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan. Kini tinggal Siti sahaja yang perlu untuk menjaga adiknya Samad.
Drama Merdeka ERA 4
Apabila Ah Boon terdengar bunyi tembakan dan beliau cuba untuk menyelamatkan Siti. Menyedari Atan telah mengamanahkan beliau untuk menjaga Siti. Namun demikian, ibu bapa Ah Boon membantah. Ah Boon terus berdegil dan bergegas ke rumah Siti.
Nenek Jenab tidak dapat diselamatkan. Namun demikian, Samad berjaya diselamatkan. Ah Boon menyalahkan dirinya kerana tidak dapat menyelamatkan Nenek Jenab.
p/s:- Tahukah anda bahawa pada 1 April 1999 berkuatkuasalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Akta ini sebenarnya digubal dan dikuatkuasakan bagi menggantikan Akta Komunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1988. Akta Penyiaran yang disebut dalam Pancaindera keluaran semalam telah pun dihapuskan sebenarnya. Saya memaafkan penulisnya jika beliau tersasul lagi.
sultanmuzaffar: Di dalam proses menyiapkan artikel berkenaan isu plagiat di Media Hiburan. Saya sedang sibuk mengumpul bahan untuk dimuatkan di dalam weblog ini.
Mak Yong Raja Tangkai Hati
Panggung Sari Istana Budaya
22 – 26 Ogos 2003
8.30 malam
Tiket : RM21, RM31, RM51, RM76, RM101
Istana Budaya
Sinopsis
Mak Yong Raja Tangkai Hati mengisahkan pelayaran Raja Tangkai hati dan permaisurinya, Puteri Cempaka Emas serta dua orang anaknya iaitu Malim bisnun dan Malim Bongsu yang pergi belayar ke negeri Sekota Batu.
Semasa pelayaran tersebut, mereka telah diganggu oleh Puteri Bota yang jahat. Puteri Bota yang berhasrat ingin menjadi permaisuri Raja Tangkai Hati amat berdendam dengan Puteri Cempaka Emas telah berkahwin dengan Raja Tangkai Hati.
Puteri Bota telah menggunakan ilmu pukau kepada semua anak-anak kapal Raja Tangkai Hati kecuali Puteri Cempaka Emas dan anak-anaknya. Dengan kuasa hikmat yang dimilikinya, Puteri Bota menukarkan dirinya menjadi sekuntum bunga.
Puteri Cempaka Emas kemudiannya memetik bunga tersebut setelah dirayu oleh anaknya. Akibatnya, beliau pengsan apabila terkena racun bunga jelmaan tersebut. Puteri Bota bertindak melarikan beliau dan menyembunyikannya ke suatu tempat yang jauh dan disumpah menjadi separuh manusia. Seterusnya Puteri Bota menyamarkan dirinya menjadi Puteri Cempaka Emas. Raja Tangkai Hati tergamak membuang kedua-dua puteranya ke dalam laut setelah puteranya tidak mengaku puteri jelmaan itu sebagai bonda mereka.
Malim Bisnun dan Malim Bongsu akhirnya telah diselamatkan oleh seorang tua. Hasil pertolongan Mak Ikan Jerung, kedua-dua putera ini berjaya di bawa ke negeri Sekota Batu untuk berjumpa nendanya berdua, Raja Besar Sekota Batu. Mereka menceritakan bencana yang menimpa bonda mereka iaitu Puteri Cempaka Emas.
Dapatkah kedua-dua putera ini menyelamatkan bonda mereka ? Berjayakah Puteri Bota menawan hati Raja Tangkai Hati ?
Pelakon
Zuliana Zainal Abidin – Raja Tangkai Hati
Juhara Ayob – Puteri Cempaka Emas
Norsiah Mohd Yatim – Puteri Bota
Yuni Nor Letty Bachok – Malim Bisnun
Mardiana Ismail – Malim Bongsu
Roszilawati Ab Rahim – Raja Besar
Abd. Wahab Othman – Peran I
Wan Kanari Ibrahim – Peran II
Nik Sayyidah Fatihan Yazib – Raja Besar Sekota Batu
Hushairi Husain – Peran Tua Sekota Batu / Tok Wan Nakhoda
Kumaresh a/l Anggamuthu – Peran Muda Sekota Batu
Mohd Kamarulzaman Taib – Dewa Betara Raja
Shariful Akma Abdullah – Mak Ikan Jerung
Tenaga Kreatif Produksi
Prof. Dr. Ghulam Sarwar Yousof – Penilis Skrip Asal
Norzizi Zulkifli – Pengarag / Olahan Skrip
Sabzali Khan Gulihandan – Pengarah Artistik
Abdul Jalil Ngah – Pereka Tata Cahaya
Fatimah Abdullah – Pembimbing Mak Yong & Tari
Irwan Ismadi Sharim – Pereka Set / Props
Nur Afifi Mohamed Taib – Pereka Kostum
Selamat Menonton !
Drama Merdeka ERA I
Pengenalan : Drama ini akan di keudarakan setiap hari pada jam 8.30 pagi dan ulangannnya pada jam 8.45 malam. Drama Merdeka ERA ini akan dilakonkan oleh 12 pelajar Akademi Fantasia.
Sinopsis :
ERTI SEBUAH PENGORBANAN
Drama ini mengisahkan tentang seorang gadis remaja, Iera yang terjerat dalam dilemma percintaan tiga segi antara dirinya dan dua orang jejaka. Lantas dia mengadu pada opahnya tentang masalah yang dihadapinya. Opah yang mendengar kesulitan cucunya cuba membantu Iera dengan menceritakan kisah silam yang pernah dilaluinya di zaman keganasan komunis.
Drama ini cuba memaparkan penderitaan pada zaman keganasan komunis di Kampung Sungai Siput yang telah membawa pengisytiharan darurat ke seluruh negara. Watak utama dalam drama ini ialah Siti Salmah yang merupakan seorang wanita, yang mempunyai semangat juang yang cukup kental dalam memperjuangkan martabat bangsa. Dalam masa yang sama juga, Siti Salmah dicintai oleh dua orang sahabat baiknya, iaitu Atan dan Ah Boon. Pengorbanan yang cuba ditonjolkan dalam drama ini bukan sahaja dalam percintaan dan persahabatan malah amat penting dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Keseluruhannya drama ini diselitkan dengan semua elemen, iaitu unsur tragis, semangat juang, persahabatan, percintaan dan perpaduan kaum antara penduduk Sungai Siput.
Barisan pelakon :
Vince - Ah Boon
Nana - Opah
Rosma - Iera
Atie - Siti
Khai - Atan (Hassan)
Nija - Nek Jenab/Pencerita
Adi - Samad
Shari - Bapa Ah Boon/Pencerita
Aza - Mak Ah Boon
Azizi - Komunis
Liza - Mak Milah
Burn - Muthu
Drama ini dibuka apabila Ira berada di rumah neneknya dan beliau menceritakan mengenai dilemanya untuk memilih pasangan yang sesuai dengannya. Lalu neneknya teringat akan kisah yang
berlaku pada tahun 1948 di sebuah kampung di Sungai Siput. Ketika itu Siti dan Atan sedang bermadu kasih di tepi sebuah sungai di mana Siti, menyuarakan kebimbangannya akan suasana darurat ketika itu. Manakala Atan pula mencurahkan perasaan hatinya kepada Siti.
Apa yang akan berlaku seterusnya ?
Terima Kasih VAD yang mendengar ERA pada hari ini.
Laman Rasmi : Drama Merdeka ERA

