Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 13 September 2005 0 komen

Bagaimana Cara Kita Melihat Sesuatu

Suka untuk saya berkongsi dengan pembaca saya tentang dua jenis penulis ulasan ini. Bukan untuk dibuat perbandingan tetapi sekadar untuk melihat sejauh mana dan sedalam mana pemikiran manusia itu berbeza-beza.

Kedua-dua artikel menceritakan tentang perjalanan cerita dari filem Janji Joni.

Sisipan artikel yang pertama ini telah ditulis oleh Dah Depan Mata: Pertaruh JANJI JONI, UNGU VIOLET di FFAP50 yang tersiar di Harian Metro.

Tapi saya tidak melihat ada keistimewaan ceritanya. Tapi ada yang kata Janji Joni berjaya sebagai ‘adventure road movie’ yang menarik dan menguji kreatitivi pengarahnya.

Apa yang dipaparkan adalah renteten peristiwa yang berlaku kepada Joni sepanjang anda menonton satu filem. Sebabnya, Joni (Nicholas) menjadi penghantar filem dan dia begitu komited dengan kerjanya hingga tidak pernah gagal dengan tugasnya.

Bagaimanapun nasibnya agak malang hari itu untuk memastikan sambungan filem sampai ke panggung pada masa ditetapkan. Bermula dengan motosikalnya dicuri orang ketika dia membantu orang tua melintas jalan, Joni terperangkap dengan drama menyambut kelahiran anak pemandu teksi itu. Dia juga pengsan ketika dalam bilik bersalin.

Apabila sedar, dia terus berlari untuk memastikan barang yang dihantar tepat pada masanya. Kali ini dia terperangkap di tengah penggambaran filem dan dia diperlukan sebagai pelakon ekstra. Kemudian dia bertemu gadis yang meminta tolong dan dia cuba membantu.

Sekali lagi dia ditipu apabila gadis itu mengambil begnya. Dia mengejar gadis itu untuk mendapatkan begnya. Dia berjaya mencarinya dengan bantuan adik gadis itu. Sekali lagi dia terjebak. Kali ini dia diperlukan sebagai pemain dram untuk sesi uji bakat kumpulan gadis itu sebagai ganjaran mendapatkan begnya.

Kisahnya tidak habis di situ. Dalam perjalanan mendapatkan begnya (sudah dijual kepada seorang seniman), mereka dikejar oleh mereka yang pernah menjadi mangsa gadis itu.

Akhirnya, Joni mendapat begnya selepas diuji seniman itu. Untuk segera sampai, Joni naik ambulans. Sekali lagi terjebak dengan pertelagahan pesakit dan rakan-rakannya hingga Joni keluar dan terus berlari dan berlari. Tapi, dia terlewat. Menarik? Entahlah.

Agak mengejutkan juga apabila filem ini turut menjadi taruhan Indonesia ke Festival Filem Asia Pasifik ke-50 (FFAP50) yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 29 September hingga 1 Oktober ini bersama filem Ungu Violet.

Apakah dua filem ini mewakili filem terbaik di Indonesia atau kerana ia ditayangkan di sini, lalu dipertandingkan? Filem ini menjadi kebanggaan Indonesia apabila menang di Anugerah MTV Indonesia Movie (MIMA) pada 5 Ogos lalu.

Janji Joni menang Filem Terbaik manakala Ungu Violet (Filem Pilihan). Nicholas dan Dian dipilih peminat untuk Aktor/Aktres Pilihan manakala Aktor/Aktres Pembantu Pilihan untuk Fauzi Baadilla (Tentang Dia) dan Mariana Renata (Janji Joni).

Apakah FFAP50 setaraf MTV saja? Saya difahamkan, karyawan Indonesia ada menghasilkan filem berat seperti GIE, Novel Tanpa Huruf R, Mengejar Matahari, Brownies, Virgin, Rindu Kami Padamu atau Banyu Biru. Semuanya tidak ditayangkan di sini.
Sisipan artikel yang kedua telah ditulis oleh Tontonfilem : Janji Joni- Now This Is What I Call A Film! yang tersiar di blog beliau dengan nama yang sama.

Joko mainkan 'reference' ini lagi pada beberapa babak waktu Joni mengejar filemnya. Babak pertama adalah perjumpaan dengan pemandu teksi (ingat filem Taksi?) Jaka.S (nota: "Jack Ass, get it?"- Azwan) yang dilakonkan oleh Barry Prima. Di sini Joko mahu membawa penonton mengingati seniman hebat ini juga waktu filem aksi Indonesia hangat di pasaran, si Arnold Schwazenager Indonesia yang popular sebagai Jaka Sembung, juga sejarah filem Indonesia kerana filem-filem aksinya memang mendapat sambutan hangat waktu (Jaka.S) 80-an. Bila isteri Jaka.S mahu melahirkan anak, Jaka.S mahukan nama Joni. Babak ini menonjolkan 'kelahiran' filem (pra-produksi) serta ideanya dan juga bermulanya perjalanan Joni.

Kemudian Joni bertemu sutradara filem seks yang dilakonkan oleh Ria Irawan, membawa kita sekali lagi pada satu zaman 'filem-filem seks' yang melanda Indonesia dengan ampuh (yang paling banyak dibuat waktu filem indonesia mula menurun kehebatannya bermula zaman 90-an. Imuda dan Nia Zlkarnain pernah berganding dalam filem sebegitu). Babak ini juga punya 'reference' pada pelakon dan kru filem, rencah pertama dalam pembikinan filem, atau dipanggil 'produksi'.

Kemudian Joni bertemu dengan budak-budak jalanan, membawa kita pada sebuah lagi zaman filem Indonesia, zaman filem-filem penghayatan kelas bawah (lihat Kemelut Hidup, Bernafas Dalam Lumpur, Bibir Mer, Taksi, dan setentunya Daun Di Atas Bantal). Di sini, Joni bersama si pencuri bermain kugiran underground untuk seketika, 'reference' pembikinan filem dalam 'lagu latar' (filem ini, secara sengaja membawa kita latar lagu-lagu soundtrack underground pemuzik Indonesia).

Selepas itu, Joni bertemu dengan seorang ahli mistik (lakonan hebat Sujiwo Tejo dari Kafir), yang juga seorang yang menyoal Joni dalam pembagai mantik falsafah, sebelum pita filemnya perlu dibakar. Di sini, Joko membawa kita pada zaman filem-filem 'supernatural' Indonesia (kalau dilihat, filem Indonesia dan Malaysia tidak perlu konsep realisme magik, kerana secara zahirnya, perkara roh dan alam adalah satu dalam budaya kita, maka kita punyai filem 'supernatural' atau 'spiritual' yang tidak perlu didefinasikan sebagai 'tahyul' atau 'fantasi', dna kita kena bangga dengan itu), termasuklah bomoh-bomoh, hantu-hantu dan wali-wali (Dari Dukun Lintah hingga ke Jelangkung). Ia juga, seperti kata Azwan, secara falsafahnya menyindir
filem-filem seni (kerana lelaki ini menyimpan barang untuk pameran seni) yang
dibuat oleh pembikin filem Indonesia (kerana Joni terpaksa menjawab dengan betul jika tidak mahu filemnya dibakar- secara halusnya, filem yang kita lihat ini dibakar!). Ia juga memberi 'reference' pada waktu 'menyunting', di mana pengarahnya (di sini Joko dan si ahli mistik, juga simbolisme pada Tuhan filem ini, yang Menentukan apa yang perlu dan apa yang tidak perlu untuk 'anak-anak'nya) dan penyuntingnya akan lihat mana bahagian filem yang perlu dipotong dan mana yang perlu dibiarkan.

Dan akhirnya, Joni bertemu dengan seorang produser yang sedang sakit, nazak kerana salah membuat penilaian (reference pada rencah terakhir pembikinan filem, si pemberi wang untuk belanja membuat filem) tentang sebuah filem yang sedang di pawagam.
Berdasarkan pendapat saya, kedua-dua artikel penting dalam memberikan gambaran jelas tentang filem tersebut. Penerimaan pembaca terhadap kedua-dua artikel tersebut tentunya berbeza. Saya boleh menganggap tulisan dari akhbar Harian Metro sebagai bacaan ringan dan sekadar untuk suka-suka tetapi menganggap tulisan dari blog Tontonfilem sebagai bacaan berat dan memerlukan penelitian utama untuk mendapat gambaran jelas tentang filem tersebut.

Bukan bertujuan untuk merendah-rendahkan kredibiliti penulis artikel pertama tetapi apa yang beliau nampak hanyalah permukaan filem tersebut. Ini berbeza dengan penulis kedua yang melihat dengan lebih dalam dari pelbagai sudut filem tersebut.

Komedi di sebalik pekerja filem oleh A.Wahab Hamzah

Yang mana satu pilihan kita ?

Dalam perkembangan lain, industri perfileman tempatan boleh menarik nafas lega apabila filem Pontianak Harum Sundal Malam II telah memenangi Anugerah Pelakon Terbaik untuk Maya Karin dan Sinematografi Terbaik di Estepona Fantasy and Terror Film Festival di Sepanyol. Filem versi 'rough cut' yang telah dibawa secara tergesa-gesa oleh penerbitnya ke sana telah menambat hati panel juri. Bayangkan versi 'rough cut' telah mampu untuk membuka mata panel juri dan memberikan kemenangan kepada filem tersebut. Bagaimana pula nanti penerimaan penonton di Malaysia terhadap versi sepenuhnya di sini ?

Siap dengan suntingan yang lebih sempurna, adunan warna yang lebih baik, adunan bunyi yang lebih berkualiti, saya tidak terkejut jika hasilnya menjadi lebih hebat. Mampukah Pontianak Harum Sundal Malam II berjaya di bumi sendiri ? Panel juri Festival Filem Malaysia bukan boleh kira sangat. Macam-macam boleh berlaku.

Sudah lama saya cari website filem Melayu yang lebih berkualiti dan serius pembuatannya macam website filem Janji Joni, Ungu Violet, Sepet sekadar menyebut beberapa nama. Saya jumpa dalam Pontianak Harum Sundal Malam II. Check it out !

Entri oleh sultanmuzaffar 11 September 2005 0 komen

Reminiscence !

20 tahun yang lalu, 1985 (Saya berumur 11 tahun)
1. Sedang sibuk belajar untuk Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Exam penting yang pertama saya ambil. Masih hairan sehingga kini kenapa Sejarah dan Geografi mesti digabungkan.
2. Sibuk meronda kampung dengan basikal BMX dan lepak atas flat Kg. Kastam dengan Bacang dan Lobo. Siapa ada basikal BMX dulu kira macam hero kampung. Set-set anak Penghulu dalam filem Melayu lama.
3. Masuk Jawi (hahahahhaha, macam ler orang lain kisah pun !!)
4. Berjinak-jinak dengan komputer walaupun budak-budak lain sibuk main bola dan sepak takraw.
5. Mendapat keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (4A1B), setahun kemudian pihak Kementerian Pelajaran menghubungi menyatakan ada kesilapan pada keputusan peperiksaan tersebut (5A). YAY !! I got my first computer !!

15 tahun yang lalu, 1990 (Saya berumur 16 tahun)
1. Saya mendapat keputusan Sijil Rendah Pelajaran (8A)
2. Saya menjejakkan kaki ke MRSM Beseri, Perlis dengan nombor matrik 90020. Kitorang berangan dulu panggil Semadong High. Konon-konon macam high school kat US. Air kat sekolah tu macam air kapur yang boleh menyebabkan rambut kejung. Landmark sekolah ini ialah Bukit Gondol yang berhantu.
3. Berulang-alik ke Arau dengan kabin Ekspres Langkawi. Best woo tidur dalam kabin keretapi. Bergoyang-goyang. Paling frust bila ada banjir di hadapan. Kena tukar naik bas di Kampar dan sambung semula perjalanan dengan keretapi.
4. Menyertai Demonstrasi Aman menentang Perang Teluk di MRSM Beseri. Terima kasih kepada Cikgu Azli Rahman (kini Dr. Azli Rahman) yang mengajar tentang erti kebebasan bersuara dan demonstrasi aman kepada kami. Kini beliau berada di Columbia University, New York City. Artikel "Learn from Perlis school kids" tulisan beliau yang tersiar di Malaysiakini bercerita tentang demonstrasi tersebut.
5. Mendapat kawan baru bernama Hasmizol Hashim(kini berada di Intel LA, US), Ungku Rafizal Ungku Abdul Kadir(lost contact. siapa yang kenal dan tahu di mana Gobotz berada, sila hubungi saya), Feisal Musa(menyiapkan Doctorate di Brisbane). Kami menjadi kawan rapat.

10 tahun yang lalu, 1995 (Saya berumur 21 tahun)
1. Mula kenal apa itu Internet. Seluruh dunia di depan mata. No Google masa tu.
2. Sibuk chatting di mIRC. Heaven gila bila tahu how to chat. Dulu guna BBS kejap then baru guna mIRC. Sekarang, saya tidak tahu bagaimana nak start mIRC.
3. Sibuk download gambar. Please don't ask gambar apa.
4. Ambil subjek Data Structure (satu subjek paling killer dan mesti pass untuk ambil subjek seterusnya)
5. Gemar ponteng kelas pagi untuk masuk ke Lab Macintosh. Lab Apple merupakan lab paling canggih dan tak ramai orang berani sentuh komputer Mac. Maka lab akan kosong selalu.

5 tahun yang lalu, 2000 (Saya berumur 26 tahun)
1. Berjaga di ofis pada 1 Januari 2000 untuk Team Y2K. Bosan betul tunggu serangga yang tak muncul-muncul.
2. Menjadi Ketua Multimedia Developer untuk Projek MUET CD. CD MUET tersebut sudah lama siap tapi tidak dijual. Ada berkotak-kotak kat stor. Jom Blame the Marketing people !
3. Berpindah ke bangunan yang lebih hebat di Segitiga Emas Kuala Lumpur. Dapat partition berlatar-belakangkan Twin Tower KLCC.
4. No life ! Hanya programming dan coding. Kira otai lah dulu.
5. Zaman kemuncak dalam bidang programming dan coding. Selepas itu, sudah malas untuk buat programming lagi. Otak sudah berkarat.

3 tahun yang lalu, 2002 (Saya berumur 28 tahun)
1. Menggunakan blog untuk pertama kali pada 26 Februari 2002. Dah dekat 4 tahun saya blogging rupanya.
2. Semakin seronok dalam dunia blog.
3. Bebas untuk bercerita tentang apa sahaja di blog.
4. Terlibat dengan ProjectX untuk sistem pertahanan ketenteraan Malaysia. Separuh jalan. Dengar cerita projek tersebut sudah siap dan boleh digunakan. Boys ! Can I handle your mouse ? Please open Google !
5. Otak sudah tepu dengan programming. Makro Excel sampai sudah tak dapat-dapat.

Tahun lepas, 2004
1. Muncul kali pertama di ASTRO untuk Imbasan Akademi Fantasia 2
2. Semakin seronok dalam dunia blog. More and more kawan baru. More and more pengalaman baru. Saya sungguh bertuah kerana mendapat sahabat-sabahat, kawan-kawan, musuh-musuh baru kerana Akademi Fantasia. Yang jujur, yang oportunis, yang hipokrit, yang talam dua muka, yang happening, yang kecoh dan pelbagai macam jenis lagi.
3. Berpeluang untuk menonton rough cut Sepet atas jemputan Yasmin Ahmad dan ditemubual untuk rancangan Melodi. Sepet akhirnya dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM18.
4. Menerima Anugerah Weblog Terbaik dari Geng Jurnal
5. Terlibat dengan satu projek tanztheater bertajuk OPS Ophelia : Sabuah Fesyen Opera

Tahun ini, 2005 (Saya berumur 31 tahun)
1. Sekali lagi muncul di TV untuk Imbasan Akademi Fantasia.
2. Masih lagi fanatik Akademi Fantasia.
3. Bertukar tempat kerja buat pertama kali setelah 7 tahun berada di UNITAR.
4. Masih merahsiakan tempat kerja yang dipilih.
5. Dapat makin ramai kawan dari pelbagai latarbelakang. Apabila ada yang bertanya apa yang saya dapat dengan mengikuti AF selama tiga musim. Saya jawab, saya dapat ramai kawan baru dan berkongsi pengalaman yang berbeza. Wang ringgit akan datang kemudian.

Tahun depan, 2006 (Saya berumur 32 tahun)
1. Berharap kerjaya baru ini akan lebih menjanjikan perjalanan karier yang lebih cerah.
2. Mengumpul lebih banyak pengalaman...
3. Mengumpul lebih banyak kawan...
4. Mengumpul lebih banyak wang...
5. dan wang...

10 tahun dari sekarang (Saya berumur 41 tahun) – Insya Allah
...

diinspirasikan dari blog MakAndeh, dan saya merasakan setiap orang patut melakukannya kerana kita dapat mengimbau kembali kenangan-kenangan lama kita sambil kita melangkah ke hadapan.

Entri oleh sultanmuzaffar 09 September 2005 0 komen

Blog Sahabat Akademi Fantasia
Pada musim sulung Akademi Fantasia, saya merupakan blogger yang pertama menyediakan blog untuk peminat Akademi Fantasia mendapatkan persepsi yang berbeza tentang Akademi Fantasia.

Tetapi hari ini, telah berkembang blog-blog yang bercerita tentang Akademi Fantasia seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan. Mereka membawa pandangan yang berbeza tentang Akademi Fantasia untuk dikongsi bersama dengan jutaan peminat rancangan tersebut. Tidak semua blog bercerita tentang Akademi Fantasia secara seratus peratus. Blog Badrulaftersix contohnya, turut bercerita tentang hal-hal yang tidak berkaitan dengan Akademi Fantasia.

Badrulaftersix : http://badrulaftersix.blogspot.com/

Kali pertama saya bertemu Badrul adalah sewaktu Majlis Gathering bersama Adi, Sahri, Atie & Nija di Holiday Villa Subang. Ia berlaku setelah musim Akademi Fantasia 1 selesai. Mengikut senioriti, beliau antara personaliti berkaitan Akademi Fantasia yang terawal saya jumpa. Oleh itu, ulasan tentang blognya saya letak paling atas walaupun…Kami menjadi bertambah rapat sejak Akademi Fantasia 2 bila mana beliau sering memberikan komen-komennya sewaktu musim tersebut.

Selepas ini, blog beliau akan saya jadikan rujukan penting kepada saya untuk blog di masa akan datang.

Satu lagi perkara yang ingin saya kongsi dengan pembaca saya ialah satu kenyataan dari Badrul tentang saya waktu kali pertama kami bertemu di Subang. First impression terhadap saya menurutnya ialah beliau ingatkan saya bisu pada mulanya. Memang Gathering AF1 tersebut merupakan gathering pertama melibatkan bintang AF yang saya pergi. Memang agak culture shock ketika itu. Maka saya tidak banyak bercakap. Memang selalu pun tidak banyak bercakap. Saya selalu simpan quote tersebut sebagai perisai paling utama kepada mereka yang sering mengecap saya seorang yang sombong apabila pertama kali bertemu. Kiranya macam testimonial penting untuk saya.

Klubbkidd : http://klubbkidd.blogdrive.com/

Blog Klubbkidd ini memang agak daring gaya bahasanya. Cara beliau menyampaikan apa yang beliau rasa adalah secara tanpa berselindung. Kalau mahu dimaki atau dicerca, beliau akan melakukannya tanpa segan silu. Beliau menjadi dirinya tanpa perlu untuk bermuka-muka. Itulah Klubbkidd.

Pertama kali saya jumpa beliau adalah sewaktu Konsert Siti Fantasia Tour di belakang pentas. Dari tugas profesional beliau, kami banyak mendapat maklumat tentang Akademi Fantasia. Maka beliau merupakan antara salah seorang yang sering memberi maklumat tentang Akademi Fantasia. Sewaktu saya bercuti di Sydney dan Gold Coast, beliau sering berutus SMS dengan saya untuk menceritakan perkembangan terbaru Akademi Fantasia. Waktu tersebut merupakan hari pendaftaran pelajar di hotel serta majlis perkenalan dengan pihak media.

Membaca blog beliau semacam mendengar beliau bercakap secara berdepan. Sama saja tiada bezanya. Kali pertama dapat berbual dengannya apabila di Kenduri Roti Canai Zahid. Tidak banyak yang dapat dibualkan kerana beliau sedang sibuk dan saya pula sedang allergic crowd yang terlalu ramai. Saya dinner di Pizza Hut bersebelahan malam itu.

Juan Danza : http://juandanza.blogdrive.com/

Kali pertama saya bertemu Juan Danza adalah sewaktu Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2 di Stadium Putra Bukit Jalil. Kami banyak bercerita tentang Zahid dan dari situ saya mula mengenali Zahid. Oleh kerana banyak acara yang saya ikut saya telah bertemu dengannya, maka saya semakin mengenalinya dengan lebih rapat.

Untuk Akademi Fantasia 3, beliau merupakan penyokong kuat Mawi sejak dari awal sewaktu Majlis Perkenalan dengan Pihak Media lagi. Sehingga hari ini beliau masih setia menyokong Mawi dan usaha tersebut saya kagum. Menjadi Penasihat Mawi FC merupakan semacam satu dejavu yang datang kembali apabila pada musim lepas, Klubbkidd merupakan Penasihat untuk Za8 FC. Berbekalkan pengalaman yang dicurahkan oleh Klubbkidd, Juan Danza memikul amanah yang diberikan dengan berkesan walaupun adakalanya agak personal. Beliau seorang yang berpendirian teguh terutamanya terhadap komen-komen berkenaan Mawi. Ada juga kami bertikam lidah untuk mempertahankan pendapat masing-masing. Tetapi kami cukup matang untuk menerima komen-komen tersebut dan tidak menyimpan dalam hati.

Khabarnya beliau akan dijemput untuk menjadi salah seorang panel di Diablog 4. Saya menyokong cadangan tersebut kerana pandangan beliau akan dapat dikongsi para hadirin yang akan hadir kelak. Mesti penuh Diablog 4 nanti dengan penyokong Mawi dan juga penyokong Azhan Jusoh.

Elkapitan : http://fantasiaakademi.blogspot.com/ dan http://senikami.blogspot.com/
Saya bertemu kali pertama dengan beliau sewaktu Konsert 5 Akademi Fantasia di Dataran Putrajaya. Kami bergerak sekali ke sana. Maklumlah ada perkelahan terhebat yang diadakan sempena konsert tersebut. Ramai juga yang hadir dan rata-rata tidak ramai yang mengenalinya pada hari tersebut. Selepas beberapa kali pertemuan, nampaknya perhubungan Elkapitan dan juga kawan-kawan saya semakin rapat. Secara jujur, blog beliau merupakan rujukan saya apabila tidak berkesempatan menonton diari selain saya turut membuat pautan kepada blognya untuk entri-entri yang kosong. Pada peringkat permulaan kewujudan blog tersebut, Juan dan Klubbkidd menyangkakan ia merupakan blog samaran yang saya buat untuk lebih menyampaikan pendapat saya secara lebih terbuka tanpa dikenali pembaca. Motifnya kerana sultanmuzaffar sudah dikenali dan saya tidak begitu terbuka menyatakan pendapat saya, maka saya perlu membuka sebuah blog samaran. Dan blog tersebut merupakan jawapannya. Berkali-kali saya cuba meyakinkan Juan dan Klubbkidd yang Elkapitan dan sultanmuzaffar merupakan dua orang yang berbeza.

Selesai Akademi Fantasia, beliau bertukar ke blog Sekadar Media Picisan untuk bercerita tentang Post-Akademi Fantasia. Sebenarnya, beliau mempunyai sebuah blog berbahasa Inggeris yang bercerita tentang komen sosial yang meliputi pelbagai topik di Undergrounduate. Di blog Inggeris tidak banyak komen dari pembaca, tulis pasal Akademi Fantasia baru banyak komen, katanya.

Javard : http://javardkent.blog-city.com/
Kecil sungguh dunia ini. Bila kali pertama saya email beliau sewaktu musim Akademi Fantasia 2 selepas tertarik dengan ulasan-ulasan beliau, saya benar-benar terperanjat. Beliau membalas email saya dengan email pejabat beliau. Email pejabat beliau sama dengan email pejabat saya. xxxx@unitar.edu.my !!! Terus saya buka HRIS dan cari jabatan mana. Saya merasa sedikit selesa dan alang-alang sudah terlalu dekat, kami berjumpa. Banyak juga yang kami bualkan terutama tentang Akademi Fantasia. Apa lagi topik yang boleh membuatkan saya bercakap selain topik AF.

Ada sekali beliau menyiapkan soalan wawancara untuk saya jawab. Katanya mahu buat kajian tentang Akademi Fantasia. Topik meliputi tentang pengaruh blog dalam kehidupan sosial.

Salah seorang pelajar beliau ialah Tontonfilem ! Tak sangka UNITAR melahirkan banyak juga blogger yang terkenal dalam bidang masing-masing.

Maman : http://mamanview.blogspot.com/
Mula-mula membaca komen tentang Akademi Fantasia di blog Maman agak menyakitkan hati kerana apa yang diperkatakan oleh beliau ada benar belaka. Ada juga yang terasa. Komen-komen beliau agak berbau provokatif tetapi itulah kebenarannya. Sekurang-kurangnya membaca blog beliau dapat membuka satu lagi cabang pemikiran yang ada untuk lebih menerima pandangan orang lain seperti beliau. Ia secara tidak langsung dapat melatih pemikiran saya agar tidak terlalu terburu-buru mengatakan yang saya benar belaka. Di dalam bidang blog, komen sebegini amat penting untuk membuka pandangan seseorang agar tidak terlalu terkongkong dalam tempurung diri sendiri.

Tersebut adalah blog yang sering saya layari untuk ilmu-ilmu Akademi Fantasia sepanjang berlangsungnya Akademi Fantasia juga setelah selesainya musim Akademi Fantasia. Blog lain bukannya saya tidak baca tetapi tiada cerita yang boleh saya kaitkan dengan saya.

Sejak kebelakangan ini ada usaha-usaha cuba melaga-lagakan kami. Percayalah, usaha anda itu sia-sia kerana ia tidak akan merosakkan persahabatan kami walaupun kami mempunyai pandangan yang berbeza-beza antara satu sama lain.

Nota : Sewaktu bercuti, saya sempat menonton KL Menjerit 1 dan Gila Gila Pengantin Popular. Filem Malaysia. Saya menyukai kedua-duanya sebagai sokongan kepada industri perfileman Malaysia. KL Menjerit 1 terlalu perlahan dan lakonan yang kurang mantap. Gila GIla Pengantin Popular sebuah cerita yang menarik tetapi aspek suntingan menyebabkannya terlalu lama dan membosankan.

Entri oleh sultanmuzaffar 07 September 2005 0 komen

Pertemuan
Semuanya berjalan dengan lancar walaupun ada di antaranya yang tidak mengikut seperti apa yang saya rancangkan. Saya berani mengambil risiko ini dan perlu menanggung kesannya. Namun ini jalan yang saya pilih.

Segala perbincangan dasar telah pun berlangsung dengan baik. Segala cadangan yang saya kemukakan akan perlu saya catatkan untuk panduan di masa akan datang. Seperti yang telah dibincangkan, saya amat bersetuju dan selesa dengan deskripsi tugas yang telah diberikan.

Mengapa saya tidak memilih Programming adalah kerana saya akan hanya menggunakan skil kreativiti saya di sana. Mengapa pula saya tidak memilih Komunikasi Korporat adalah kerana saya masih sayangkan ilmu Teknologi Maklumat yang saya ada. Maka saya memilih…

Menjadi Nostradamus Anugerah ERA 05
Ini pilihan saya yang telah saya undi. Undian telah pun ditutup. Mungkin juga pilihan saya tidak menepati pilihan orang ramai. Tetapi itulah yang saya undikan. Saya letak yang saya telah undi dan yang saya rasa mungkin akan menang dan mungkin tak akan menang.

Artis Harapan Pilihan
# Adam
# Ahli Fiqir
# Farah
# Syarifah Zarina
# Zahid
Saya Undi : Farah
Yang Mungkin Menang : Adam
Yang Tak Mungkin Menang : Syarifah Zarina

Artis Inggeris Tempatan Pilihan
# Gerhana Ska Cinta & Too Phat
# Juwita Suwito
# Reshmonu
# Too Phat
# V.E.
Saya Undi : V.E.
Yang Mungkin Menang : Too Phat
Yang Tak Mungkin Menang : Juwita Suwito

Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan
# Ahli Fiqir
# Far East
# KRU/Adam
# Siti Nurhaliza/ M.Nasir
# Zahid/Adam/Farah
Saya Undi : Siti Nurhaliza / M.Nasir
Yang Mungkin Menang : KRU/Adam
Yang Tak Mungkin Menang : Far East

Vokal Wanita Pilihan
# Dayang Nurfaizah
# Farah
# Liza Hanim
# Siti Nurhaliza
# Ziana Zain
Saya Undi : Siti Nurhaliza
Yang Mungkin Menang : Siti Nurhaliza
Yang Tak Mungkin Menang : Liza Hanim

Vokal Lelaki Pilihan
# Adam
# Anuar Zain
# Vince
# Zahid
# Zainal Abidin
Saya Undi : Anuar Zain
Yang Mungkin Menang : Anuar Zain
Yang Tak Mungkin Menang : Zahid

Band Pilihan
# Dewa
# Exists
# Peterpan
# Spider
# Sheila On 7
Saya Undi : Dewa
Yang Mungkin Menang : Peterpan
Yang Tak Mungkin Menang : Exists

Lagu Nasyid Pilihan
# Aku Tanpa Cintamu – Mirwana & Jay Jay
# Bacalah – Raihan
# Cinta Pertama – Far East
# Dari Tuhan – Raihan & Awie
# Yalla Beena – Rabbani & Yasin
Saya Undi : Yalla Beena - Rabbani & Yasin
Yang Mungkin Menang : Mawi (hahahaha)
Yang Tak Mungkin Menang : Felix (hahahha)

Irama Global Pilihan
# Binafsha - Waheeda
# Dari Kejauhan - Nurulhidayah
# Erti Hidup - Dayang Nurfaizah
# Kembali Bersatu - Brothers/Yasin/Waheeda
# Lagu Rindu - Siti Nurhaliza
# Nazam Berkasih - Syura
# Panggilan - Waheeda
# Tombo Ati - Opick
Saya Undi : Lagu Rindu - Siti Nurhaliza
Yang Mungkin Menang : Binafsha - Waheeda
Yang Tak Mungkin Menang : Tombo Ati - Opick

Lagu Pop Pilihan
# Dayang Sayang Kamu – Dayang Nurfaizah
# Dekat Di Hati – Liza Hanim
# Elegi Sepi – Azharina
# Seindah Biasa – Siti Nurhaliza
# Tiada Lagi Tangisan – Aishah
Saya Undi : Seindah Biasa - Siti Nurhaliza
Yang Mungkin Menang : Seindah Biasa - Siti Nurhaliza
Yang Tak Mungkin Menang : Dekat Di Hati - Liza Hanim

Lagu Rock Pilihan
# Aku, Dia & Kamu – D-VA
# Buat Sang Puteri – Spider
# Cinta Dewa Dewi - Spider
# Mungkin Nanti – Peterpan
# Nazraku – Spider
Saya Undi : Mungkin Nanti - Peterpan
Yang Mungkin Menang : Mungkin Nanti - Peterpan
Yang Tak Mungkin Menang : Buat Sang Puteri - Spider

Video Muzik Pilihan
# Awan Yang Terpilu – Ning Baizura
# Erti Hidup - Dayang Nurfaizah
# Kini – Feminin
# Seindah Biasa – Siti Nurhaliza
# Terhangat di Pasaran – KRU /Adam
Saya Undi : Awan Yang Terpilu - Ning Baizura
Yang Tak Mungkin Menang : Kini - Feminin
Yang Mungkin Menang : Seindah Biasa - Siti Nurhaliza @ Terhangat di Pasaran – KRU /Adam

Pilihan Kaki Wayang
# Gangster - Tayangan Unggul
# Puteri Gunung Ledang – Enfiniti Productions
# Sembilu 2005 – Skop Productions
# Senario XX – Grand Brillance
# Sepet – MHZ Films
Saya Undi : Sepet - MHZ Films
Yang Mungkin Menang : Puteri Gunung Ledang - Enfiniti Productions
Yang Tak Mungkin Menang : Sembilu 2005 - Skop Productions

Artis Pilihan SMS DIGI
Mawi

Anugerah Carta ERA
Siapa pilihan anda ?

Anugerah Seni ERA
Siapakah tokoh seni yang wajar diiktiraf tahun ini ?

Masih belum puas dengan Mawi ? Di sini ada koleksi foto di Malam Seribu Kenangan Bersama Mawi di PWTC Kuala Lumpur.

Entri oleh sultanmuzaffar 06 September 2005 0 komen

Majlis Penyerahan Kereta Suzuki Swift Akademi Fantasia 3

No. Plat masih belum difikirkan

Kepenatan berada di PWTC untuk Malam Seribu Kenangan Bersama Mawi masih belum hilang. Tidur jam 2 pagi dan terjaga jam 3 pagi. Terus mata tidak boleh menikmati malam lagi. Sempat juga mengemaskinikan blog untuk acara tersebut.

Pagi Isnin, bangun seperti biasa. Sebuah lagi hari Isnin yang sama seperti hari Ahad. Kalau begini berterusan bukankah indah. Sementara ada waktu senggang ini, harus saya gunakan sebaik yang mungkin.

Semalam di PWTC sudah jumpa Mawi, hari ini jumpa lagi. Kalau Mawi penat, saya lagi penat. Sementara menunggu tetamu VIP tiba di Gazebo Subang, sempat juga saya mengalas perut di sana. (makan dalamlah hendaknya…) Acara hari ini merupakan Majlis Penyerahan Suzuki Swift untuk Juara Akademi Fantasia 3 iaitu Mawi bertempat di DRB Hicom. Majlis bermula sekitar jam 12 tengahari.

Setibanya di Ruang Legar DRB Hicom, majlis masih belum bermula. Makanya tidak ada salahnya jika terlewat menantikan tetamu VIP di Gazebo sebentar tadi. Tetamu VVIP dari Balai Berita NSTP juga masih tidak kelihatan. Hanya tiba setelah majlis bermula. Saya sudah biasa dengan keadaan tersebut.

Antara bintang Akademi Fantasia yang hadir pada tengahari itu ialah Mawi, Felix, Amylea, Marsha, Yazer dan Akma. Dengan pakaian serba putih yang menjadi konsep untuk bintang Akademi Fantasia, bintang lelaki nampak kurang menyerlah. Yazer dan Felix kelihatan seperti budak pejabat. Mawi pula kelihatan seperti hendak ke masjid. Berbanding bintang perempuan, yang nampak lebih menyerlah. Putih adalah konsep warna yang sukar untuk nampak menyerlah lebih-lebih lagi untuk lelaki. Jom pi shopping !!

Kereta Suzuki Swift 1.5 liter berwarna hitam telah pun bertukar tangan. Warna hitam menjadi pilihan Mawi kerana ia adalah warna kegemarannya. Apabila ditanya oleh salah seorang wartawan hiburan tentang signifikan warna hitam tersebut. Mawi tersenyum dan menjawab ia adalah warna pilihan saya. Wartawan-wartawan Malaysia semacam suka mengumpan Mawi dengan soalan-soalan berbentuk “leading question” yang jawapan pada fikiran mereka sudah tersedia. Paling tidak pun, mereka mengharapkan jawapan yang mereka ingin dengar untuk dikorek lagi dari dalam isi hati Mawi.

Tengahari tersebut turut diserikan dengan persembahan dari bintang Akademi Fantasia dengan lagu Hati Ini Telah Dilukai oleh Amylea, Akma, Marsha, Yazer dan Felix. Mawi perlu direhatkan walaupun ada permintaan. Saya faham dan mahu beliau berehat. Tidak dengar Mawi menyanyi pun tidak mengapa, asalkan dia dapat berehat.

Seterusnya bintang lelaki iaitu Felix, Yazer dan Mawi membawakan lagu Pupus. Lagu terakhir dari Mawi ialah lagu Nourel Ain walaupun permintaan mengharapkan beliau membawakan lagu Aduh Saliha. Cukup-cukuplah dengan lagu tersebut. Situasi diri Mawi tidak begitu mengizinkan untuk beliau membawakan lagu tersebut.

Sebelum Sidang Media : Senyum

Selesai persembahan, kami beredar ke sidiag akhbar bertempat di Laman Puteri. Susulan dari sidang akhbar di PWTC semalam, banyak soalan yang dikemukan menjurus kepada personaliti Mawi yang dikatakan semakin lupa diri. Banyak laporan akhbar yang menyebut tentang sifat tersebut. Walaupun tidak diperjelaskan secara lanjut, tetapi artikel-artikel tersebut adalah berkenaan Mawi. Apabila ditanya sama ada beliau sedar tentang perkara negatif tersebut, Mawi menjawab sebagai manusia kita tidak lari dari membuat kesilapan dan beliau memohon maaf sekiranya ada yang tersinggung.

Sidang akhbar ini memberikan satu kejutan buat saya. Bintang Akademi Fantasia tidak membaca laporan-laporan yang telah ditulis tentang mereka. Apakah mereka hanya membaca yang baik-baik sahaja. Apakah masa terlalu singkat sehingga tidak punya banyak masa untuk membaca. Apakah mereka hanya diberikan keratan akhbar yang sekadar memuji mereka tetapi bukan keratan yang memberikan komen negatif ?

Saya menganggap ini sebagai satu yang di luar jangkaan saya sendiri. Mereka tidak membaca. Situasi ini jika dibiarkan terus berlaku, akan membataskan usaha kita untuk melahirkan seniman yang berilmu. Dua artikel penting yang harus mereka baca yang telah disiarkan pada minggu lepas ialah artikel Jom Semuka bertajuk “Apabila masuk AF3, semua dah jadi lalai”, iaitu wawancara dengan Cikgu Siti Hajar dan juga penulis tamu Aspirasi Ramli MS tentang “Tidak ramai artis mampu sebut perkataan dengan jelas, tepat”. Masa untuk membaca sebenarnya boleh dicari. Sementara dalam perjalanan menuju ke lokasi acara, sementara menunggu giliran membuat persembahan. Semuanya terletak kepada kemahuan diri sendiri.

Peminat di DRB Hicom

Berbalik kepada soal sidang akhbar, tumpuan utama pada tengahari itu ialah Mawi. Soalan banyak berkisar sekitar kereta, hadiah, orang tersayang, lesen memandu serta perubahan sifatnya. Itu isu hangat yang sering diperkatakan sekarang.

Saya turut berada di dalam sidang akhbar di PWTC yang jelas menaikkan sedikit kemarahan Mawi sehingga ditegur oleh CEO Maestro Talents iaitu Freddie Fernandez. Hari ini kejadian tersebur diulas di dalam Harian Metro.

Siti Nurhaliza, Bintang Akademi Fantasia dan Hotlink On Tour

Selesai sidang akhbar, kami bergegas pula ke Pan Pacific Glenmarie untuk Sidang Media Hotlink Tour - Fenomena Masa Kini. Lebih mengejutkan apabila majlis turut dihadiri oleh superstar Siti Nurhaliza. Bintang Akademi Fantasia sudah selalu bertemu. Sekali sekala dapat bertemu dengan Siti Nurhaliza apa salahnya.

Berjimatlah selagi boleh, sementara bintang masih berkelip...

Suasana untuk majlis ini agak lebih santai dan lebih eksklusif. Dalam sebuah bilik yang sederhana besar, majlis berlangsung dalam suasana penuh kemesraan. Tujuan utama majlis tersebut diadakan adalah untuk melancarkan Hotlink On Tour - Fenomena Masa Kini bersama Siti Nurhaliza, ZChen, Mawi dan Bintang Akademi Fantasia 3. Ia akan bermula di Lumut dan menampilkan kesemua bintang Akademi Fantasia 3. Konsert ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada penonton untuk melihat artis kesayangan mereka secara lebih dekat dan berinteraksi melalui program-program yang telah diatur.

Felix : Duit kemenangan bolehlah pergi shopping baju !

Selain daripada itu, majlis penyerahan cek kemenangan di Akademi Fantasia turut diadakan. Yazer telah menerima RM3,000, Marsha RM4,000, Amylea RM5,000, Felix RM10,000 dan Mawi merupakan penerima paling banyak dengan jumlah RM26,000. Penyerahan cek telah dilakukan oleh Miss Chee Loo Fun, selaku General Manager & Head of Prepaid Marketing. Sebelum bermulanya sidang media ini, Kefli, Yazer dan Felix telah menghiburkan para hadirin dengan lagu Pupus. Selesai majlis penyerahan cek, bintang Akademi Fantasia mendendangkan lagu Jangan Pisahkan di hadapan para hadirin. Pemilihan lagu yang tidak sesuai dengan majlis tersebut. Persembahan bintang juga tidak begitu memberangsangkan. Lebih-lebih lagi ia dipersembahkan di hadapan Siti Nurhaliza. At least, tunjukkan yang bintang Akademi Fantasia benar-benar serius dalam bidang ini. Bintang perempuan membawakan lagu Asmara.

Nantikan kemunculan Dua Dunia bersama Too Phat

Sidang Media kali ini tertumpu kepada Siti Nurhaliza. Sedap mata apabila dapat melihat Mawi berehat sebentar dari menjawab soalan-soalan dari pihak wartawan. Siti Nurhaliza diajukan pelbagai isu tentang hubungannya dengan pihak media yang kini semakin renggang dan ada unsur-unsur pilih kasih. Selain daripada itu, Siti Nurhaliza turut mengumumkan kerjasama beliau dengan Too Phat untuk single bertajuk Dua Dunia yang akan diedarkan dalam masa yang terdekat ini.

Marsha dan Akma

Masa yang tersedia banyak dihabiskan dengan berbual-bual dengan bintang Akademi Fantasia. Marsha seperti biasa telah di”conquer” oleh seorang blogger tersebut. Oleh itu, saya ambillah apa yang ada iaitu Akma. Bersama Akma, saya banyak memberikan update kepada beliau tentang Jiwang United yang semakin parah nampaknya. Saya sempat menasihatkan beliau agar menghargai usaha-usaha yang telah dibuat oleh mereka kerana mereka benar-benar sedang parah dipanah asmara. Mereka itulah yang begitu menyayangi Akma. Banyak juga yang dibualkan tetapi kebanyakannya “off record”. Tersipu-sipu Akma apabila mendengar usikan-usikan Klubbkidd. Kefli banyak melayan peminat-peminat perempuannya begitu juga dengan Yazer.

Oleh kerana Klubbkidd telah membawa kami ke majlis tersebut, maka saya melancarkan kempen untuk mengundi Klubbkidd kerana beliau mengharapkan undian tersebut.

Foto selebihnya boleh dilihat di sultanmuzaffar Fotopages. Buat masa ini, lawatlah Sekadar Media Picisan dahulu. Undilah untuk beliau juga.

Jom Bikin Filem bersama Afdlin Shauki
Pernah terbaca lanjutan projek hilang akal Afdlin Shauki ? Jika belum, anda boleh membaca tentangnya di sini. Saya turut membantu dalam projek ini. Buat masa ini, sudah ada dua hosting yang nampaknya sesuai untuk projek ini. Kebetulan, kedua-dua hosting hadir untuk menaja weblog saya. Memandangkan saya sudah ada hosting penaja, maka saya menggunakan peluang yang ada untuk Afdlin Shauki. Tawaran mereka hanya meletakkan banner sahaja. Itu tidak sukar untuk dilaksanakan.

Buat masa ini perbincangan melalui email telah dilakukan dengan Afdlin sendiri. Afdlin harus mendapatkan nama yang sesuai untuk projek tersebut. Cadangan yang saya berikan ialah www.jombikinfilem.com dan www.projekhilangakal.com. Tidak tahu sama ada cadangan saya itu diterima atau pun tidak. Anda ada cadangan lain yang lebih sesuai ? Sila kemukakan di ruangan Pendapat Anda. Mana tahu jika cadangan anda diterima, nama anda akan terpapar di dalam kredit filem tersebut. :)

Setelah nama hosting diperolehi, maka saya akan memulakan kerja saya untuk merangka portal yang ingin dibuat. Saya mahu membantu industri perfileman Malaysia. Inilah usaha saya untuk melihat industri perfileman Malaysia berkembang dan mendapat sokongan yang sewajarnya dari semua pihak.

Treatment Detektif oleh Hassan Muthalib
Saya memperolehi satu dokumen treatment sebuah filem bertajuk Detektif dari Hassan Muthalib. Saya diminta untuk memberikan komen kritis tentang treatment tersebut. Saya sudah baca separuh sambil membayangkannya di dalam kepala perjalanan cerita filem tersebut. Sebuah filem yang menarik dengan tema hitam berkonsepkan noir. Itu berdasarkan pemerhatian fikiran saya. Saya akan guna masa terluang yang ada untuk meneliti perjalanan cerita dalam filem ini yang bakal disiapkan. Dalam waktu yang sama harus merangka rekabentuk baru untuk blog sendiri yang sudah hampir dua tahun tidak ditukar wajahnya.

Esok Hari Penentuan
Doakan agar segalanya berjalan dengan lancar. Saya begitu mengharapkan ia berakhir dengan kegembiraan. Apakah cuti panjang ini akan berakhir kelak ?

Entri oleh sultanmuzaffar 05 September 2005 0 komen

Janji Joni Revisited
Ingin gathering Janji Joni ? Sementara masih cuti ini, ada sesiapa yang berani mengatur pertemuan ?

Web Redesign 2.0 Workflow That Works
Akhirnya, saya berjaya juga memiliki buku ini setelah menjelajah serata Kuala Lumpur untuk mendapatkannya. Nyaris saya membeli buku ini secara online di Amazon.com setelah kecewa kerana tiada stok di Kuala Lumpur. Saya memerlukan buku ini dengan segera kerana ingin melakukan sesuatu terhadap rekabentuk blog ini.

7pm - 2am : Uptown Revisited
Kali terakhir saya ke Uptown entah bila pun saya tidak ingat. Seingat saya, kali terakhir saya menjejakkan kaki ke situ pasar malamnya hanya dibuka di kaki lima Hawker’s Centre. Tetapi semalam, pasar malam semakin besar. Semakin panjang. Penat juga kaki berjalan bersama Klubbkidd dan Bad sambil-sambil melihat apa yang ingin dibeli. Saya akan kembali lagi untuk membeli beberapa pasang kasut di sana. Kali ini saya tidak akan parking lagi di basement Hawker’s Centre. Entah berapa caci dan maki yang saya terima kerana kereta saya perlu melewati di tengah-tengah perjalanan manusia yang sedang mencari-cari pilihan mereka. Minta ampun !

Shaznilam dan Famili
Bercerita tentang Konsert Reunion Akademi Fantasia, saya teringat satu nama. Shaznilam sekeluarga. Mereka ini tidak pernah ketinggalan untuk menyaksikan Konsert Reunion. Jam empat petang sudah terpacak di depan pentas. Rupanya pada tahun ini mereka tidak bersama-sama dalam kemeriahan Konsert Reunion kerana dua sebab. Pertama, Azizi terlibat dengan rehearsal rand Final Ribena C-Talent Children English Theatre Competition di NTV7. Kedua, keadaan Ainon yang kini sedang sarat. InsyaAllah, pertengahan Oktober Azizi akan mendapat seorang adik baru.

Tahniah !

Malam Seribu Kenangan Bersama Mawi jadi Majlis Apresiasi Blogger

Pertamanya saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Waiem yang mewakili pihak penganjur yang telah sudi menjemput saya untuk hadir ke majlis tersebut. Agak ralat juga kerana saya bukanlah orang yang sentiasa berada di belakang Mawi sepanjang beliau berada di Akademi Fantasia. Untuk tidak menghampakan saya hadir juga memenuhi undangan penganjur.
Apa yang boleh saya perkatakan, memang sukar untuk mengendalikan majlis yang dihadiri oleh seramai 1500 hadirin. Tentunya majlis akan menjadi sedikit tidak terkawal kerana masing-masing ingin mendapatkan peluang untuk bergambar bersama Mawi, merakamkan gambar Mawi, mendapatkan tandatangan Mawi, menyampaikan cenderamata untuk Mawi dan pelbagai treatment untuk menjadi penawar rindu mereka terhadap Mawi.

Namun demikian, majlis tetap meriah. Seawal ucapan dari Presiden Penaja Kelab Sahabat Mawi, majlis saya rasakan seperti Majlis Apresiasi Blogger. Nama-nama blogger disebut satu-persatu berbanding nama-nama media yang lain. Terima kasih kepada Juan Danza yang mempopularkan blogger pada malam tersebut.

Teguran-teguran peribadi akan disampaikan secara peribadi. Agak tidak sesuai diletakkan di blog.

Saya bukan datang untuk makan, saya bukan datang untuk mendengar Mawi menyanyi. Saya hanya datang untuk berhibur dengan para blogger dan melihat sendiri siapakah kelompok peminat Mawi. Keinginan peminat untuk mendekati Mawi memang sukar untuk dikekang atau ditahan. Ada sahaja peluang yang terbuka akan diragut oleh para peminat sehingga adakalanya mengganggu perjalanan majlis. Para Ahli Jawatankuasa juga kelihatan kelam-kabut mengatur semula kelancaran majlis.

Mawi membawakan beberapa buah lagu seperti Mimpi Laila. Turut ditampilkan kejutan kemunculan Yasin untuk mengiringi persembahan beliau. Waheeda membawakan lagu Binafsha dan Kumpulan UNIC turut mendendangkan sebuah lagu. Kumpulan nasyid dari Kulai Johor iaitu Wariqissalam turut bersama Mawi untuk beberapa buah lagu secara medley. Panjang benar medleynya.


Bertemu beberapa orang pembaca blog yang selama ini menjadi pembaca senyap. Ada seorang pembaca telah menyiapkan scrapbook hasil keratan akhbar berkenaan Mawi. Satu usaha yang bukan sedikit lelahnya. Kali terakhir saya buat scrapbook adalah sewaktu kemenangan Malaysia di Piala Thomas 1992. Ada lagi saya simpan sehingga sekarang.


Setelah tiga musim Akademi Fantasia berlalu, inilah merupakan majlis bersama peminat paling gah pernah saya hadiri. Terlalu banyak tangan yang membantu. Terlalu banyak kelibat yang mengambil peluang. Terlalu banyak penaja yang menghulur ihsan. Terlalu banyak pihak media yang hadir membuat liputan. Terlalu banyak flash kamera yang berkelip.

Tahniah kepada pihak penganjur dan juga kepada para peminat Mawi atau lebih dikenali sebagai sahabat Mawi. Semoga persahabatan ini akan berkekalan.

Bukan Blogger Terlampau

Nota : Gangguan mimpi buruk menyebabkan mata tidak boleh lena kembali untuk menikmati malam. Saya harus membuat penilaian semula agar tidak terus terleka lalu menjadi lalai dan akhirnya tersiksa.

Entri oleh sultanmuzaffar 03 September 2005 0 komen

Konsert Reunion Akademi Fantasia 3 - Penawar Rindu
Stadium Malawati Shah Alam

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Konsert Reunion Akademi Fantasia sememangnya sebuah konsert yang dinanti-nantikan oleh sebilangan besar peminat Akademi Fantasia. Seperti sudah menjadi rutin apabila menjelangnya Hari Kemerdekaan Malaysia, pastinya malam 1 September ditunggu-tunggu untuk melepaskan rindu masing-masing terhadap bintang Akademi Fantasia. Tahun-tahun sebelumnya, ia dibuat di Taman KLCC, tetapi tidak pada musim ini. Di sebuah tempat yang lebih kecil yang tidak dapat memuatkan puluhan ribu penonton, Stadium Malawati menjadi medan pertarungan bintang Akademi Fantasia untuk mengekalkan populariti mereka.

Dengan rekaan pentas yang lebih cantik serta agak minima, serta tatacahaya yang bersesuaian, Konsert Reunion kali ini berlangsung dalam suasana yang agak meriah. Pentas kelihatan agak luas mungkin kerana tiada lagi tangga-tangga yang tidak digunakan.

Amy memulakan persembahan dengan lagu Akhirnya Kini Pasti oleh Anita Sarawak. Persembahannya nampak begitu menarik dan menyerlahkan lagi vokal yang ada pada beliau. Ini turut dibantu oleh sikap sporting penonton yang sama-sama menyanyikan lagu tersebut. Lagu-lagu sebegini memangnya sesuai dengannya cuma Amy harus menyerlahkan lagi stail showmanship agar nampak lebih bertenaga pergerakannya. Adakalanya pergerakannya nampak lesu. Sebagai sebuah lagu permulaan, ia telah memberikan impak positif kepada konsert tersebut.

Siapa menyangka Kefli mampu memberikan sebuah persembahan yang saya mahu untuk bangun memberikan standing ovation. Lagu Ratuku oleh Awie menjadi begitu baik. Saya kira pemilihan lagu juga memainkan peranan yang penting. Selain daripada itu, melodi lagu tersebut sememangnya telah lama meresap dalam jiwa penonton dan penonton nampaknya begitu terhibur dengan persembahannya. Cara Kefli menyampaikan lagu tersebut juga dapat menghubungkan dirinya dengan penonton dan ianya sampai kepada penonton. Aspek busana nampaknya tidak banyak pembaharuan yang dibawa oleh Kefli. Kefli masih ditampilkan dengan imej smart berkemeja serta blazer bercorak dengan seluar slack.

Bintang seterusnya yang ditampilkan ialah Akma dengan lagu Since You Been Gone dendangan asal Kelly Clarkson. Amat bertenaga persembahan Akma, cuma jika Akma diberikan sebuah lagu yang mesejnya lebih bersesuaian tentu memberikan lebih banyak impak kepada penonton. Sketsa pendek yang menampilkan Felix ditampar oleh Akma sememangnya ditunggu-tunggu oleh penonton. Siapa yang tidak mahu melihat mereka digandingkan lagi ? Jelas nampak aura bintang serta penghibur dalam diri Akma. Jika sebelum ini ramai yang berbincang tentang x-faktor Akma, kini jelas tanpa tekanan, Akma mampu melakukannya. Vokal Akma, tidak perlu dipertikaikan. Dengan selamba sahaja beliau membawakan lagu tersebut.

Meneruskan aura-aura penghibur yang dicanangkan oleh Pengetua M.Nasir pada awal kemunculannya sebagai Pengetua Akademi Fantasia ialah Reza dengan lagu Terbang oleh Gigi. Pada saya, inilah yang ingin dilihat oleh penonton. Sebuah persembahan yang berbeza dari persembahan konsert di Akademi Fantasia. Saya mahu melihat pembaharuan dan perkembangan yang mampu dibawakan oleh mereka. Itu saya. Dengan stail yang bersahaja dan penyampaian vokal yang bersesuaian, saya melihat persembahan Reza sebagai sebuah persembahan yang cemerlang. Kenapa saya kata cemerlang adalah kerana corak persembahannya pada malam itu tidak pernah saya tonton sebelum ini. Ini membuktikan ada perkembangan yang dibawa oleh beliau setelah meninggalkan Akademi Fantasia.

Empat bintang Akademi Fantasia telah selesai melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang. Inilah stail penghibur yang kita inginkan. Persembahannya ada stail. Geraknya persis diva. Nyanyiannya bertenaga. Interaksinya profesional.

Kejutan Konsert Reunion musim ini ialah penyampaian beberapa anugerah yang telah dirancang. Anugerah pertama ialah Anugerah Muzikal Terbaik yang disampaikan oleh Abang Asrul dan Kak Sheena. Calon-calonnya terdiri daripada :

Yazer - Blues Depan Sliding Door
Amylea - Tribute To Ekin
Marsha - Pokok Kelapak

Pemenangnya ialah Marsha dengan lagu Pokok Kelapak. Siapa boleh menafikan populariti lagu ini. Secara tiba-tiba lagu Pokok Kelapak menjadi siulan para peminat Akademi Fantasia.

Persembahan diteruskan oleh Ekin dengan lagu Hatinya Tak Tahan dendangan asal Noraniza Idris. Jika membawakan lagu Noraniza Idris, saya boleh meletakkan dua kategori penilaian untuk perbandingan. Satu adalah teknik vokal dan yang kedua adalah teknik persembahan. Jika dinilai dari aspek vokal, persembahan vokal Ekin jauh lebih baik daripada penyanyi asalnya iaitu Noraniza Idris. Sekiranya dinilai dari aspek teknik persembahan, gaya persembahan Ekin masih agak lemah berbanding Noraniza Idris. Nampak Ekin tenggelam di sebalik kipas-kipas penari latarnya. Ekin nampaknya cuba dipopularkan dengan genre sedemikian sama seperti Rosma dan Zarina. Namun demikian, saya tetap terhibur dengan persembahannya.

Saya pernah kempunan untuk mendengar lagu Colors Of The Wind (Vanessa Williams) dibawakan oleh Marsha sewaktu Konsert Prelude Akademi Fantasia. Lagu yang sepatutnya disampaikan oleh Marsha pada malam tersebut tidak menjadi kerana masalah kesihatan yang dihadapi oleh beliau. Akhirnya impian untuk mendengar Marsha membawakan lagu tersebut terlaksana apabila beliau menyampaikan lagu tersebut dengan baik. Saya perhatikan masalah utama Marsha ialah gemuruh sehingga tertukar lirik. Mujur ianya adalah sebuah lagu Inggeris dan tidak ramai yang menyedarinya. Marsha perlu memperbaiki dan mengatasi masalah tersebut.

Selalu kita lihat Aidil ditampilkan dengan imej smart tetapi tidak pada malam tadi. Penampilan Aidil terlalu simple dan tidak menyerlahkan lagi imej bintang yang sepatutnya ditampilkan. Muncul dengan baju checkers serta blazer, Aidil membawakan lagu Terpesona dendangan asal Gerhana Ska Cinta. Sayangnya lagu tersebut merupakan lagu yang agak asing pada telinga penonton. Maka persembahannya tidak dapat connect dengan penonton. Aidil menggunakan segala kelebihan yang ada untuk menyerlahkan persembahannya tetapi tidak berjaya sampai kepada penonton.

Anugerah seterusnya ialah Anugerah Bintang Airmata Terbaik yang disampaikan oleh Cikgu Fatimah dan Dr. Love. Antara calon-calon yang terpilih ialah :

Marsha - Minggu Pertama di Akademi
Amylea - Tragedi Air Mata
Mawi - Saat Kemenangan

Agak terkejut juga Fuad tidak terpilih dalam senarai calon. Siapa yang boleh menyangkal kemenangan Amylea walaupun jeritan penonton sudah memenangkan Mawi. Anugerah suka-suka ini diberikan kepada Amylea kerana tragedi yang menimpakan sewaktu di Akademi yang lalu.

Pada saat ini, impak penghibur yang ditampilkan pada Konsert Reunion semakin malap sedikit demi sedikit. Kemeriahan semakin hilang dan tidak berpanjangan. Mungkin juga kerana pemilihan lagu yang semakin jauh dengan penonton. Untuk persembahan seterusnya, Aznil menyarankan agar dinyalakan lampu skrin handphone yang ada untuk menyerikan lagi persembahan Fuad dengan lagu I’ll Be Missing You oleh Puff Daddy. Semacam hilang taring, saranan tersebut tidak mendapat sambutan penonton. Apa ya tidak kena dengan persembahan Fuad ialah beliau semacam trying too hard untuk menjadi bintang Barat. Fuad masih jauh ketinggalan jika saya meletakkan Zahid dan Fuad bersebelahan antara satu sama lain. Stail interaksi dengan penonton juga tiada. Saat kemunculan Idayu yang membantu persembahan tersebut, Fuad terus tenggelam dalam angan-angannya. I should say, Fuad is living in his own world. Tidak semestinya yang datang dari Barat itu maju.

Perlu saya tegaskan di sini, saya bukan Anti-Felix. Saya kira, moderator yang terlibat dengan Felix Fan Club tahu saya bukan anti-Felix. Membawakan lagu recycle bukan merupakan jalan selamat untuk Felix yang telah membawakan lagu Teratai dendangan asal Ramli Sarip ataupun Zahid (jika sempadan Akademi Fantasia menjadi jawapannya). Sekali lagi pemilihan lagu menjadi penyebab. Sukar untuk saya connect dengan persembahan Felix berbanding persembahan Zahid di Akademi Fantasia 2. Emosi kurang.

Kemunculan Yazer dengan lagu Rock Steady menjadi penyelamat pada malam itu. Jika ada Anugerah Persembahan Terbaik bukan berdasarkan SMS, sudah pasti saya meletakkan Yazer sebagai pemenangnya. Yazer menghangatkan persembahan malam itu dengan sebuah persembahan yang maha bertenaga. Tidak ada seorang pun dari bintang Akademi Fantasia yang mampu melakukan apa yang telah Yazer lakukan. Yazer telah pukul habis setiap persembahan pada malam itu, satu persatu harus tunduk hormat kepada Yazer. Yazer telah menyelamatkan nama Akademi Fantasia 3. Saya melihat Yazer apabila menyanyi beliau membawakannya dengan penuh perasaan. Beliau bawa lagu tersebut dari hatinya terus kepada penonton. Setiap mata akan terpaku melihat setiap pergerakannya dan tertunggu-tunggu apakah gimik yang akan dilakukan oleh Yazer selepas itu. Itu ciri-ciri penghibur. Kita mahu melihat sesuatu yang lain dari satu hari ke satu hari yang lain. Sebuah persembahan yang cemerlang dan berlainan sekali.

Anugerah seterusnya ialah Anugerah Pasangan Paling Romantis yang telah disampaikan oleh Cikgu Ee dan Cikgu Linda Jasmine. Antara calon-calon yang hangat bercinta di Akademi Fantasia ialah :

Aidil dan Amy
Felix dan Akma
Yazer dan Ekin

Tentunya mengundang senyum hingga ke telinga kepada para peminat Felix dan Akma. Siapa boleh menafikan, sejak lagu Bertakhta Di Hati sehingga lagu Warkah Berlagu Pilu, nama mereka sering meniti di bibir para peminat yang ingin melihat perhubungan mereka berpanjangan.

Meneruskan mood romantis pada malam tersebut ialah Elliza dengan lagu Dedebu Cinta dendangan asal Misha Omar. Saya akui persembahan Elliza bermula dengan baik. Kawalan vokal beliau dibuat dengan begitu baik sehingga penonton memberikan tepukan sewaktu beliau membawakan lagu tersebut. Cara beliau menyampaikan lagu tersebut juga penuh perasaan cuma sedikit terganggu dengan penampilan pakaiannya yang tidak begitu sesuai. Aspek vokal beliau sudah bagus cuma beliau perlu memaku penonton dengan aura penghibur yang perlu lebih dicari dalam dirinya.

Penampilan seterusnya ialah Idayu dengan lagu Seindah Biasa oleh Siti Nurhaliza. Saya suka lagu ini. Saya suka penyanyinya. Maka tidak dapat tidak saya tertunggu-tunggu Siti Nurhaliza muncul sebagai kejutan. Tahun lepas boleh bawa Hattan, tahun ini mesti boleh bawa Siti Nurhaliza pula. Barulah kejutan. Idayu menyampaikan lagu ini dengan gayanya yang tersendiri berbekalkan asset vokal yang ada pada diri beliau. Aspek vokal sahaja belum mencukupi untuk menjadi penghibur, seseorang penyanyi mesti tahu untuk mendekatkan dirinya serta lagunya kepada penonton. Itulah yang menghidupkan sesebuah persembahan.

Anugerah seterusnya ialah Aksi Terbaik yang disampaikan oleh Cikgu Adnan dan Cikgu Shahrol. Antara aksi-aksi stunt yang mendapat perhatian sebagai calon akhir ialah :

Abang Api untuk Lagu Rindu (Akma)
Mawi Bersilat untuk Ala Emak Kahwinkan Aku (Reza)
Stunt Kefli untuk Keindahan Pantai (Kefli)

Saya agak kecewa kerana aksi Aidil pengsan tidak dimasukkan ke dalam kategori ini. Jika dimasukkan kemungkinan untuk menang adalah lebih besar. Penampilan Abang Api tidak banyak memberikan kesan kepada persembahan Akma, juga aksi-aksi yang lain. Kemenangan berpihak kepada Abang Api.

Amylea dengan fesyen rambut ala Mel B kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Naughty Girl oleh Beyonce. Jenis-jenis lagu sebegini sememangnya tidak bersesuaian dengan konsep Akademi Fantasia. Lebih-lebih lagi ditampilkan penari latar yang pakaiannya memang agak seksi. Agak sukar untuk Amylea melaksanakan tugasnya untuk menghubungkan penonton dengan lagunya. Persembahan vokal serta showmanshipnya sudah cukup baik tetapi pemilihan lagu yang lebih sesuai akan lebih menyerlahkan namanya lagi di masa akan datang. Sebuah persembahan yang masih bercorak living in her own world. Open up ! Lakukan untuk penonton.
Persembahan ditutup dengan lagu Menuju Puncak. Sebuah gimik yang agak klise. Lebih-lebih lagi dengan genre Menuju Puncak yang tidak diubah sejak musim pertama. Kalau rasa mahu melihat stadium tersebut roboh, bolehlah ditutup persembahan pada malam itu tanpa Mawi membawakan apa-apa lagu. Kononnya kerana masalah kesihatan, Mawi tidak dapat memenuhi permintaan. Tapi penonton peduli apa, Mawi mesti juga menyanyi kerana permintaan sudah ada.

Mawi (featuring Reza & Fuad) meneruskan persembahan dengan lagu Mimpi Laila dendangan asal Yasin. Juga hasrat untuk melihat kemunculan Yasin tidak kesampaian. Gandingan trio ini agak menarik kerana dari genre yang pelbagai. Sayangnya persembahan tidak begitu menarik. Mawi bukan tidak boleh menyanyi, tetapi beliau sudah terlalu penat. Sesetengah peminat cuba mencari kesalahan antara satu sama lain. Peminat Mawi menantikan Reza atau Fuad membuat kesalahan. Peminat Reza atau Fuad, menantikan Mawi membuat kesalahan. Ironik bukan ? But it was a good show kecuali penampilan Fuad dalam lagu tersebut yang agak tidak kena. Apakah ini bermaksud saya peminat Mawi ? Lagu ini kalau saya produsernya, saya akan minta diulang lagi sekali kerana Reza ada tersilap lirik sedikit.

Di pertengahan persembahan, Mawi mengambil tugas sebagai hos dengan menjemput Cikgu Marlia dan Pengetua M.Nasir untuk menyampaikan Anugerah Aksi Terlampau Terbaik. Antara calon-calon yang terpilih ialah :

Aidil - Pengsan di Konsert 6
Marsha - Tidur di Tepi Kerusi
Aznil - Selamat Jalan Romeo bersama Ramlah Ram

Pemenangnya ialah Aznil dengan aksi Selamat Jalan Romeo bersama Ramlah Ram. Saya mahu Aidil menang kerana pengsan Aidil di Konsert 6 bukan sahaja menjadi kejutan terbaik sepanjang zaman Akademi Fantasia, tetapi juga para penonton dapat melihat bagaimana paniknya Aznil di atas pentas. Mereka boleh berkongsi anugerah tersebut kerana masing-masing telah memberikan aksi terlampau yang mengejutkan penonton. Oh ya ! Anugerah tersebut boleh juga dikongsi dengan ibu Aidil.

Mawi meneruskan persembahan untuk lagu Aduh Saliha. Empat Tiga kali lagu tersebut diulang. Kali pertama kerana kesilapan Mawi mengikut melodi lagu tersebut. Sudah nama pun persembahan konsert secara langsung, sebagai penyanyi kenalah mendengar melodi lagu tersebut dan mengikut band iringan. Kesilapan kedua adalah kerana kesilapan pemuzik. Kesilapan ketiga adalah kerana masalah tempo dan counting dan kesilapan keempat adalah kerana sumbang. Harap-harap sewaktu siarannya kelak tidak kedengaran suara Sham Kamikaze jerit 1,2,3,4. Letih juga menantikan persembahan Aduh Saliha ini selesai. Mawi juga letih. Tapi kerana ada permintaan, kena juga penuhi walaupun letih. Secara kesluruhan, saya kurang berpuas hati dengan persembahan Mawi kerana persembahan vokalnya tidak menepati tahap yang saya inginkan. Jika anda sudah puas, go ahead. Saya belum puas. Saya mahu dengar lebih lagi.

Selesai konsert, Mawi dibawa turun pula untuk menemui peminatnya yang berada di tepi pagar yang memisahkan antara penonton dengan tetamu khas. Memang macam nak runtuh saja pagar tersebut dirempuh oleh para peminat Akademi Fantasia. Mujur tidak lama Mawi dibawa ke situ, hanya sebentar sahaja.

Konsert Reunion bermula dengan cemerlang dan berakhir dengan baik. Konsert ini akan disiarkan pada musim Hari Raya Aidilfitri pada penghujung tahun ini.

Foto Konsert Reunion boleh dilayari di Klubbkidd Fotopages. Jangan lupa undilah beliau yang mengharapkan undian. Hahaha !

Perkembangan Terkini : Sempat chat sebentar dengan Afdlin Shauki tentang Plan F From Cyberspace. Beliau ingin membuat satu lagi kerja yang tidak pernah difikirkan orang Malaysia. Cara mudah untuk mendapatkan kewangan untuk menghasilkan sebuah filem. Ingin menjadi produser ? Ingin menjadi penulis skrip ? Ingin jadi pelakon ? Inilah filemnya. Saya akan cuba membantu dalam mewujudkan portal untuk projek ini agar semua maklumat dapat diselaraskan dengan lebih cekap. Jom Bikin Filem !

Entri oleh sultanmuzaffar 02 September 2005 0 komen


Melihat Sinema Indonesia Berkarya Melalui Janji Joni

Sinema Indonesia pernah menghampiri zaman kejatuhannya. Seketika dahulu, sinema Indonesia dipenuhi dengan sinema XXX yang memualkan. Saya melihat sinema Indonesia yang kini dibarisi oleh golongan muda mula menyerlahkan kreativiti mereka lalu hasilnya sungguh di luar jangkaan. Bermula dengan Ada Apa Dengan Cinta, Arisan, Biola Tidak Berdawai, Pantai Berbisik, Mengejar Matahari, Eifel I’m In Love, Tentang Dia, Ungu Violet dan kini Janji Joni saya mula tertarik untuk melihat apa yang boleh penggiat-penggiat sinema Indonesia tawarkan kepada saya.

Filem ini tentang filem. Filem pada pandangan kita sekadar apa yang terpancar di layar putih tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Di sebalik tayangan filem, sebenarnya ada seorang bernama Joni yang tugasnya adalah sebagai penghantar reel filem. Ini bermakna di belakang layar putih itu sedang ada seorang yang sedang bertungkus lumus untuk memastikan tayangan tidak terputus lalu mengecewakan orang ramai.

Wayang pertama yang saya tonton seingat saya ialah Dayang Suhana. Dulu-dulu saya ingatkan di belakang setiap layar putih itu, setiap pelakon akan beraksi di belakangnya. Cuba bayangkan jika ada 20 panggung wayang yang menayangkan Dayang Suhana secara serentak, ini bermakna ada 20 orang Rubiah Suparman. Atau paling tidak, Rubiah Suparman akan bertukar-tukar panggung wayang untuk melakonkan wataknya sama seperti yang berlaku dalam Janji Joni. No wonder nama bapa beliau Suparman. Imaginasi kanak-kanak saya adakalanya di luar batas imaginasi.

Tagline yang terpapar di poster Janji Joni tertera "An urban adventure" menyajikan sesuatu yang berbeza. Jika anda pernah menonton Senario Lagi, corak penceritaannya lebih kurang sama. Begitu juga dengan telefilem bertajuk Neon. Kesan satu perkara membawa kepada pelbagai masalah yang datang satu persatu.

Joni perlu menghantar reel filem dari satu panggung ke satu panggung. Beliau bertemu dengan seorang wanita cantik dan sebagai perjanjian untuk mendapatkan nama perempuan tersebut, Joni harus siap menghantar reel terakhir filem yang sedang perempuan itu tonton. Sewaktu dalam perjalanan tersebut beliau bertemu dengan seorang buta yang ingin melintas jalan. Motorsikalnya dicuri, maka bermulalah penjelajahannya ke dalam dunia bangsa Indonesia yang sebenarnya. Menaiki teksi dan bertemu pemandu teksi yang amat peramah juga membantu seorang pemandu teksi menghantar isterinya ke hospital dan melihat sendiri proses kelahiran. Sempat juga Joni pengsan sebentar dan kemudian meneruskan pencariannya. Tujuannya tersasar. Sebalik menghantar reel filem, Joni telah berusaha untuk mendapatkan motosikalnya. Seketika, beliau terserempak dengan sebuah produksi sedang menyiapkan penggambaran filem mereka. Mendengar rintihan Sang Sutradara tentang matlamat keuntungannya, mendengar rintihan pelakon baru yang jarang-jarang dapat memberikan lakonan yang terbaik juga rintihan Penolong Pengarah yang cuba meyakinkan Joni untuk terus berlakon agar konti tidak lari. Semuanya senario biasa yang berlaku dalam industri perfileman Indonesia mahu pun di Malaysia. Kerana mahu menjadi hero, Joni ditipu dan begnya yang berisi reel filem dicuri. Maka bermula pula sebuah pencarian beg reel filem tersebut. Sempat juga bermain band kerana dalam usaha pencarian beliau perlu menyelesaikan masalah yang berlaku di persekitarannya dahulu sehingga beliau bertemu dengan seorang seniman gila. Apakah Joni mampu melunaskan janjinya ?

Janji Joni bukan sekadar perjalanan dan siksa seorang penghantar reel filem, tetapi lebih daripada itu. Filem ini melihat dunia sebenar Indonesia yang semakin meruncing. Mereka golongan muda Indonesia bias bangun dan tidak mahu dibantu. Itulah mereka. Matlamat dan tujuan mereka jelas. Menurut mereka tanpa orang-orang terdahulu, mereka mampu maju.

Babak Menarik
Saya paling menyukai babak diperkenalkan jenis-jenis penonton di dalam sinema. Ada penonton spoiler yang suka membebel memberitahu adegan selanjutnya. Ada penonton yang blur, yang banyak bertanya di dalam panggung. Ada penonton yang membuat wayang di dalam panggung wayang dan wayang mereka turut ditonton oleh penonton yang mengendap. Ada penonton yang rajin mengkritik serta mencatatkan nota-nota untuk bahan tulisan seperti yang saya sering lakukan. Ada penonton yang terlalu serius menonton dan ada juga penonton yang kaki menjawab panggilan telefon. Ini jenis penonton yang tidak tahu adab di dalam sinema. Ada juga penonton yang perfectionist. Anda tergolong dalam jenis penonton yang bagaimana ?

Adegan paling akhir setelah ditayangkan credit title juga merupakan adegan paling menarik di dalam filem ini. Oleh itu kepada sesiapa yang menonton filem ini, tunggu sehingga habis credit title ditayangkan. Adegan tersebut merupakan adegan penting yang menggambarkan keseluruhan inti filem ini. Di mana letaknya jatidiri filem ini, apakah di bawa ke arah positif ataupun ke arah negatif dalam aspek pemaparan imej bangsa Indonesia itu sendiri.

Selalunya saya akan tunggu sehingga credit title selesai untuk melihat nama-nama mereka di belakang tabir sesebuah filem tetapi itulah yang jarang benar ditunggu oleh rakyat Malaysia. Mereka keluar sejurus selepas panggung diterangkan. Tanpa nama-nama yang terpapar di credit title, tiada filem tersebut. Sewajarnya kita menghargai mereka dan Janji Joni menyuruh anda menunggu sehingga credit title selesai untuk menyiapkan puzzle pada filem tersebut. Pak Hassan Muthalib juga ketinggalan untuk menyaksikan kesudahan filem tersebut kerana keluar awal semalam.

Menurut Joni, pekerjaan yang baik adalah pekerjaan yang menjanjikan kepuasan pada dirinya sendiri dan bukannya terletak pada pulangan wang ringgit. Saya masih terbayang antara kata-kata bekas bos saya iaitu Shukri Mohamed yang saya mampu melakukan kerja di tempat baru saya kerana content yang akan saya laksanakan adalah content yang bakal memberikan kepuasan sebenar kepada saya berbanding content yang saya kerjakan sekarang. Content yang akan saya usahakan adalah content yang membolehkan kedua bahagian otak saya berfungsi.

Teknikal
Saya melihat ada kelainan pada watak Joni yang dibawakan dengan berkesan oleh Nicholas Saputra walaupun imej Rangga masih begitu tebal dalam dirinya. Memang agak sukar untuk beliau membuang imej tersebut walaupun setelah beberapa tahun filem Ada Apa Dengan Cinta ditayangkan. Membawakan watak komedi sememangnya sukar, tetapi pelajar jurusan arkitek ini telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Kekurangan jelas pada watak Angelique yang dibawakan oleh Mariana Renata yang tampak tidak serasi dengan Nicholas Saputra. Ini berbeza apabila Joni tampil bersama Voni yang dibawakan oleh Rachel Maryam. Keserasian mereka amat terserlah.

Saya tidak pasti apakah peralatan penggambaran filem di Malaysia dan Indonesia menggunakan teknologi peralatan yang berbeza. Apabila saya menonton filem Janji Joni, mahu pun Tentang Dia atau pun Ungu Violet, saya melihat hasilnya bagus sekali. Imej yang terpancar di layar kelihatan amat cantik. Benar, sinematografi bukan sekadar cantik tetapi turut mampu memberikan makna kepada keseluruhan cerita yang dipaparkan. Beberapa adegan dipaparkan dan digabungj-alinkan dengan lakon layar lalu menghasilkan sebuah adegan yang penuh bermakna.

Ceritanya mudah sahaja. Tetapi aspek lakonan, arahan, sinematografi serta suntingan telah menceriakan filem ini. Lupakan aspek ketidak-logikan dalam filem ini, ia tetap sebuah filem yang menghiburkan.

Sinema Malaysia vs Sinema Indonesia
Kenapa komedi versi Indonesia tidak mampu memperbodohkan penonton ? Mana pergi sentuhan komedi ala P.Ramlee yang nampaknya belum ada pengganti ? Saya seorang rakyat Malaysia dan sebolehnya saya mahu menyokong industri perfileman tempatan. Masalahnya di sini, sesetengah filem Malaysia belum cukup masak untuk saya sokong. Saya tidak kata semua, hanya sebilangannya sahaja lebih-lebih lagi yang dihasilkan oleh mereka yang bertaraf Profesor Madya. Terus terang saya kecewa dengan Qaisy & Laila. Setakat tahun ini, hanya Gol & Gincu yang berjaya menambat hati saya.

Saya menaruh harapan yang besar kepada Yasmin Ahmad, Bernard Chauly, Afdlin Shauki, Bade Hj Azmi dan beberapa pengarah filem indie yang semakin meningkat naik dalam menghasilkan filem-filem yang bermutu. Saya mahu sebuah filem yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Perkembangan filem Indonesia sudah jauh ke hadapan dan menjanjikan sesuatu yang berharga di masa depan. Lihat sahaja kepada keupayaan para sutradara muda mereka yang memiliki corak pemikiran, iltizam sinematografi dan peka kepada penonton dengan menghidangkan tontonan filem yang diingini oleh masyarakat.

Kejayaan Janji Joni
Dalam 2005 Indonesia MTV Movie Award, Janji Joni memenangi anugerah Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Paling Popular (Nicholas Saputra) dan Pelakon Pembantu Wanita Popular (Mariana Renata). Filem ini juga turut terpilih untuk Sydney Film Festival dan Pusan International Film Festival.

Janji Joni akan bertarung di Malaysia untuk Festival Filem Asia Pasifik 50 pada September ini. Apakah Janji Joni mampu menewaskan Puteri Gunung Ledang, Gangster dan Qaisy & Laila ? Jika ini terjadi, ia merupakan satu tamparan yang hebat untuk penggiat filem tempatan.

Rating : 3.5/5 bintang

Produser : http://www.kalyanashira.com/
Arisan ! : http://arisan.kalyanashira.com/

Ulasan Lain :
Sekadar Media Picisan : Ulasan Filem : Janji Joni

Entri oleh sultanmuzaffar 01 September 2005 0 komen

Ringan Kepala

Setiap kali bila terbangun dari tidur, kepala terasa berat. Kaki terasa lemah. Perjalanan ke bilik air terasa begitu jauh. Ia amat berbeza pagi ini. Bangun pagi seperti begitu mudah. Bangun dengan semangat baru dan kepala yang ringan. Turun sarapan, baca suratkhabar. Online sebentar dan menempah tiket wayang secara online untuk tayangan Janji Joni jam 11.40 pagi di TGV KLCC.

This is totally back to square one. I used to blog about personal things before and today, I did it again. Saya sempat membaca komen-komen dari entri yang terdahulu. Izham rupanya kenal dengan Dr. Tengu Shahrom. AkuKot masih berada di UNITAR and surviving. Saya berada di rumah sedang membaca komen. Ada juga komen dari adipujangga. Beliau ialah bos saya di Corporate Communication Department UNITAR.

Kalau ditanya, sama ada saya berpuas hati dengan hasil kerja saya di UNITAR. Tentu saya akan menjawab, saya kurang berpuas hati. Saya tahu saya mampu melakukan lebih baik daripada apa yang ada sekarang. Seperti yang telah saya jelaskan, persekitaran sekeliling kurang meyakinkan serta inisiatif yang kurang dari pihak saya sendiri untuk mencipta cabaran baru. Mungkin kerana sudah berasa terlalu selesa. Itu alasannya.

Tujuh tahun yang lalu saya dapat merasakan UNITAR adalah tempat saya. Lima tahun kemudian, saya masih merasakan UNITAR adalah tempat saya lagi. Mungkin Akademi Fantasia yang telah banyak meracun pemikiran saya. Kecenderungan saya mula berubah ke arah itu.

Enuff about UNITAR. Kita kena ingat, jalan mesti ke hadapan, bukan ke belakang !

Melewati KLCC pagi hari. Singgah sebentar di Tower Records untuk beli album Best of Mawi World, Ruffera oleh Ruffedge, Padi dan Janji Vince. Tidak mahu ketinggalan kata orang. Satu Malaysia dilanda demam Mawi tentunya saya tidak mahu ketinggalan untuk menyokong kerjaya beliau. Penjualan album Mawi yang sudah mencecah 150,000 unit, satu jumlah yang tidak pernah kita sangkakan akan dicapai oleh seorang artis baru sepertinya. Saya sendiri pernah menyatakan, kewujudan Mawi akan hanya terus relevan berdasarkan penjualan albumnya kelak dan kini ia terbukti. Entah apa magik yang dibawa oleh jejaka Kulai ini, sampai hari ini saya masih tidak mendapat jawapannya. Saya pernah diajukan soalan yang sama oleh seorang penulis sebuah majalah dan saya mengambil masa dua minggu untuk menjawab soalan tersebut. Baru semalam saya menghantar jawapan saya kepada penulis majalah tersebut.

Tiga musim saya melihat perkembangan bintang Akademi Fantasia. Dua musim juga saya melihat peminat mereka lari setelah berakhirnya musim Akademi Fantasia tetapi tidak musim ini. Peminat Akademi Fantasia musim ini telah membuktikan sesuatu.

Saya tetap membeli satu unit CD Mawi walaupun koleksi mp3 saya sudah lengkap untuk musim Akademi Fantasia 3. Satu CD sahaja yang saya tidak peroleh iaitu CD Soundtrack Gol & Gincu.


Tidak lengkap rasanya ke KLCC jika tidak ke Kinokuniya. Sudah menjadi tabiat saya, apabila ke KLCC hanya Kinokuniya, Tower Records, TopMan dan deretan kedai peralatan elektronik di aras 3 yang akan menjadi tumpuan saya.


Selesai semua urusan, saya bergerak ke TGV KLCC untuk menonton Janji Joni. Saya akan mengulas lebih lanjut tentang filem tersebut. Saya amat kagum dengan sinema Indonesia yang sedang dibawa corak baru ke dalam paparan imej Indonesia yang sebenar-benarnya. Filem ini ringkas tetapi ideologi yang dibawa oleh golongan muda peneraju filem ini agak besar.

Di luar panggung setelah selesai tayangan, saya sempat menemui Hassan Muthalib, salah seorang juri untuk Festival Filem Malaysia. Menurut Presiden UNITAR pada hari sebelum saya meninggalkan UNITAR, Pak Hassan Muthalib akan menjadi Penasihat untuk Ko-Kurikulum Apresiasi Filem. Mereka beruntung kerana mendapat seorang yang arif tentang filem untuk membantu pelajar dalam menghayati filem. Tidak banyak yang dibualkan bersama beliau. Seboleh-bolehnya saya mengelak topik UNITAR kerana tidak mahu memberitahu beliau yang saya tiada lagi di UNITAR.

Selesai wayang, saya bergegas ke ASTRO untuk mengambil beberapa keping tiket masuk ke Konsert Reunion yang akan berlangsung esok malam. Ironik bukan ?

Imej adalah ihsan Klubbkidd

Jika anda peminat Felix, pastikan anda dapatkan album Best of Felix Susah Susah Aje yang akan diedarkan pada 8 Sepetember (kawasan lain) dan 9 September di Kuala Lumpur. Setakat hari ini sebanyak 16,000 unit telah siap dicetak dan dianggarkan akan mencecah jualan sebanyak 50,000 unit. Persoalannya sekarang, sejauh mana kehebatan Felix mampu untuk mengatasi aura Mawi ? Jawapannya terletak pada para peminat Felix. Sudahkah anda bersedia untuk mendengar ulang tayang Smooth, Hukum Karma dan Kudaku Lari ? *tepuk dahi*

Entri oleh sultanmuzaffar 31 August 2005 1 komen

Tujuh Tahun Tiga Bulan Berlalu
Tujuh tahun bukan satu jangkamasa yang singkat. Berada di satu tempat kerja tentunya menjanjikan terlalu banyak pengalaman untuk diceritakan dalam satu tempoh berucap yang sekejap. Ini tidak termasuk dengan ahhh, hmmm, gagap sana, gagap sini, tahan sebak dan lain-lain. Maka saya terpaksa menggunakan saluran ini untuk menyampaikan apa yang tidak terlintas semalam pada hari ini.

Saya masih ingat tujuh tahun lalu sewaktu hari saya melaporkan diri di UNITAR. Pada 2 Mei 1998 kerana tiada siapa yang bekerja pada 1 Mei. Masih lagi segar dalam ingatan saya dibawa dari Astana ke untuk bertemu dengan Dr. Tengku Shahrom. Hanya ada dua tempat pilihan saya ketika itu. Sama ada Multimedia Department Cosmopoint ataupun UNITAR. Saya akhirnya memilih UNITAR kerana pada waktu tersebut UNITAR masih merupakan sebuah padang yang kosong. Masih rata. Tiada besi cerucuk yang menegakkan UNITAR. Itulah cabaran yang sebenarnya. Menjadikan UNITAR dari kosong menjadi seperti sekarang. Tegak berdiri.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bos-bos yang terdahulu seperti Dr. Tengku Shahrom, Roslan Ramli, Fatimah Ahmad (saya tersebut Fatimah Abu Bakar), Shukri Mohamed, Hassan Mohamed (Al-Rad), Noor Maizatul Akmam Mohamed dan Hasnan Hakim. Mereka inilah yang sebenarnya telah membentuk saya menjadi apa yang ada sekarang. Melalui proses melaksanakan tugas ia telah sedikit sebanyak mematangkan saya juga menjadikan saya seorang yang kreatif dalam membuat keputusan.

Jika tidak kerana pertukaran saya dari Courseware Department ke Corporate Communication Department, tentunya keyakinan saya untuk berinteraksi dengan orang ramai tidak saya perolehi. Baru hari ini saya sedar bahawa pertukaran tersebut merupakan sebuah anjakan paradigma untuk membolehkan saya melihat dunia yang lebih luas lagi. Saya berterima kasih untuk itu.

Tembok yang besar sewaktu di Courseware Department terlalu tebal sehingga menyebabkan saya kurang berinteraksi dengan kakitangan yang lain. Apabila mendapat peluang untuk bertukar ke Corporate Communication Department, ia merupakan satu peluang yang saya terima agak was-was pada mulanya. Mahu atau tidak mahu, saya harus berinteraksi dengan setiap unit yang ada di UNITAR. Tembok yang tebal yang mengelilingi saya mula pecah sedikit demi sedikit. Saya tidak pernah berangan-angan untuk berinteraksi dengan setiap fakulti di UNITAR, Corporate General Administration, Marketing, Legal, Corporate Planning & Business Development, Finance, Human Resourse Development, President’s Office dan berbagai-bagai unit yang ada di UNITAR. Tetapi di Corporate Communication peluang itu datang dan horizon pandangan saya menjadi semakin luas. Dari seorang yang tidak tahu apa itu Purchase Order, Delivery Order, Pro-Forma Invoice, Quotation, Press Release, Event Management, kini tahu apakah semua itu.

Kekuatan dari ilmu-ilmu yang saya perolehi dari Courseware Department, Application Research Development dan Corporate Communication Department itulah yang saya gunakan untuk mula berinteraksi di dalam dunia siber dan menjadi seperti sekarang. Ilmu-ilmu itu saya gunakan untuk berhadapan dengan golongan pembaca blog, personaliti-personaliti, bintang-bintang Akademi Fantasia, tenaga belakang tabir Akademi Fantasia dan sebagainya. Ilmu IT dan ilmu interpersonal tersebut saya gabungkan untuk di bawa ke tempat baru kelak.

Perintis Multimedia Developer di Courseware Department,
Zulkifli, Noor Azah, Wan Shafiuddin, Zulhairi, Roseta, Azila, Aniza, Wan Suhaimi dan Suffi Syafinaz yang telah bersama-sama saya selama beberapa tahun menjadi perintis perisian kursus UNITAR dan menerima kehadiran saya sebagai ketua anda. Tentu kita masih ingat bagaimana sukarnya menjadi perintis. Bermula dari kosong tanpa apa-apa ilmu di dada dan kemudian menapak selangkah demi selangkah dan akhirnya CD pertama siap sepenuhnya. Kita telah melalui saat-saat itu yang tidak dapat diperolehi oleh orang lain. Hanya kita.

Multimedia Developer yang kemudiannya bersama-sama kita untuk meneruskan penguasaan Courseware muncul satu-persatu. Ada di antara nama mereka yang telah saya lupa. Mereka terdiri daripada Shahrulnizam, Roslyna, Suzilah, Wan Mazawati, Azrul Helmi, Mohamed Zahili dan beberapa lagi.

Juga tidak ketinggalan, Hasnan Hakim (juga seorang blogger), bos saya di Corporate Communication dan Rahayu Aziz yang tahan dengan karenah saya selama ini. Walaupun jangkamasa saya di Corporate Communication tidak lama tetapi hasilnya sedikit sebanyak boleh dilihat baik di dalam kerja-kerja saya untuk UNITAR, untuk blog, dan sebagainya.

Inilah orang-orang di sekeliling saya yang telah memberikan kesan mereka ke atas pembentukan peribadi saya sendiri mengharungi setiap cabaran yang ada di UNITAR. Mereka inilah orang yang kreatif yang mewarnai dunia saya selama 7 tahun di UNITAR.

Bercerita tentang cabaran, setelah tujuh tahun berada di UNITAR, cabaran yang saya perolehi semakin kurang mencabar. Entah di mana silapnya. Mungkin kerana laman web sesiapa sahaja boleh melakukannya. Mungkin juga kerana saya merasakan sudah terlalu selesa di UNITAR dan menyebabkan saya kurang initiatif untuk mencari cabaran baru. Ia juga mungkin kerana sifat persekitaran sekeliling yang tidak banyak berubah dan agak statik. Oleh yang demikian, saya harus mencari cabaran baru.

Saya merasa cukup terharu kerana tujuh tahun yang lalu saya diterima masuk ke UNITAR untuk bersama-sama dengan pasukan Courseware Department untuk membangunkan perisian kursus yang menjadi matlamat utama UNITAR, dan pada hari terakhir saya di UNITAR, Courseware Department ditutup dan kakitangan sedia adanya telah pun dipindahkan ke jabatan-jabatan yang lain. Ia cukup membuatkan saya begitu terharu. Ia semacam, saya turut membawa nama Courseware keluar dari UNITAR.

Terima kasih UNITAR kerana peluang yang diberikan tujuh tahun dahulu dan pengalaman-pengalaman berharga yang saya kutip sewaktu berada di UNITAR akan saya gunakan dalam proses melaksanakan tugas saya sebagai kakitangan di tempat yang baru juga saya sebagai manusia.

Entri oleh sultanmuzaffar 30 August 2005 0 komen

SoccaStars Malaysia !

Bakal Bintang SoccaStars Malaysia ?

Apakah dia SoccaStars Malaysia ? Bakal muncul seorang bintang baru dalam bidang bola sepak di Malaysia hasil program realiti tv terbaru dari Astro. Kehadiran saya di majlis tersebut adalah secara mengejut. Mulanya hanya bertujuan untuk menonton permainan futsal beberapa bintang AF yang telah menyerikan lagi majlis pelancaran tersebut.

Kalau dua tahun lepas, setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke Zoo Negara tetapi kerana Akademi Fantasia, saya ke sana. Pada tahun ini, saya menjejakkan kaki ke SportsPlanet juga kerana Akademi Fantasia. Alang-alang kebosanan di rumah tidak bekerja, apa salahnya saya menghabiskan masa di SportsPlanet.

Bintang Hati SoccaStars Malaysia ?

Melihatkan perancangan yang telah dibuat, saya melihat program ini sebagai sebuah program yang turut membantu kerajaan mencapai hasratnya untuk melihat golongan belia menghabiskan masa ke arah yang positif. Dalam proses melahirkan bintang bola sepak bukan boleh dilakukan hanya dengan sekelip mata. Perancangan perlu diatur dengan teliti. Proses yang sama juga dilalui oleh Akademi Fantasia.

Sebagai sebuah acara sukan yang agak popular di Malaysia, bola sepak juga mampu menyatupadukan kaum yang ada di Malaysia. Melalui sukan, perbezaan bangsa bukan halangan. Populariti sukan bola sepak tempatan semakin menurun sejak akhir-akhir ini. Dengan adanya program sebegini diharapkan dapat menaikkan kembali nama Malaysia di peta bola sepak dunia. Menjadikan Akademi Fantasia sebagai model, SoccaStars Malaysia diharapkan mampu menarik golongan remaja untuk mendekati sukan tersebut. Sebelum wujudnya Akademi Fantasia, industri muzik hampir menemui penghujungnya. Penjualan album semakin naik dan industri muzik kembali hidup walaupun masih dibelenggu masalah cetak rompak dan sebagainya.

Beat TV & Bintang SoccaStars Malaysia !

Saya agak optimis, rancangan ini dapat mencipta satu kelainan kepada rancangan yang sedia ada. Walaupun konsep rancangan masih rahsia dan samara-samar tetapi bayangannya agak jelas. Antara yang menjadi perhatian tentulah Diari Kehidupan para pelatih yang akan dipaparkan. Konsepnya mungkin sama dengan Diari Akademi. Jika sebelumnya dipaparkan aktiviti latihan vokal, tarian dan seni persembahan, kini dengan SoccaStars Malaysia para penonton bakal dihidangkan dengan taktik permainan, latihan intensif serta strategi perlawanan.

Sekiranya rancangan mampu melahirkan seorang lagi Mawi dalam arena bola sepak yang mana kemunculannya sentiasa dinanti-nantikan serta mampu menarik golongan muda untuk mendekati sukan tersebut, tentunya hasrat kerajaan untuk menjadikan acara sukan ini lebih popular dan mendatangkan hasil akan menjadi kenyataan.

Sukan juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya selain daripada hiburan. Saya menantikan bintang baru yang bakal tercipta melalui program realiti tv ini.

Siaran Akhbar : Astro Mencari Bakat Baru Bola Sepak dengan SoccaStars Malaysia

Kuala Lumpur, 29 Ogos 2005:

Sidang Akhbar SoccaStars Malaysia

Stesen televisyen satelit Astro, mengorak langkah permulaan, merintis usaha memupuk minat belia dalam bidang sukan bola sepak dengan menerbitkan SoccaStars Malaysia. Program ini memberi tumpuan kepada sukan bola sepak dengan objektif utama untuk mencari dan melahirkan pemain bola sepak yang berkebolehan. Bakat-bakat yang terpilih akan menerima latihan di sebuah Akademi yang bakal ditubuhkan dan salah seorang daripada mereka akan terus mara untuk mengikuti latihan di salah sebuah akademi kelab bola sepak berprestij di Eropah.

Majlis pelancaran SoccaStars Malaysia telah disempurnakan oleh YB Datuk Azalina Dato’ Othman Said, Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Turut hadir di majlis tersebut adalah Azran Osman-Rani, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Perniagaan, Astro dan Rozina Aziz, Ketua Program Melayu, Astro.

Sepak Mula oleh Datuk Azalina, Menteri Belia dan Sukan Malaysia

Azran berkata seramai 26 calon akan dipilih sebagai kumpulan aperantis pertama SoccaStars Malaysia yang akan disaring menerusi empat sesi ujian kelayakan yang akan diadakan pada tarikh dan di lokasi berikut:

  • Sabtu, 10 September di Padang Sri Gelam, Johor Bahru, Johor
  • Jumaat, 16 Sepetember Padang Kompleks Belia dan Sukan Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu
  • Jumaat, 23 Sepetember, Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah
  • Sabtu, 1 Oktober Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, Selangor

Mereka yang berminat perlu menghadiri sesi pendaftaran bermula pada pukul 9 pagi sehingga jam 12 tengahari. Ujian kelayakan SoccaStars Malaysia terbuka kepada semua lelaki warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

SoccaStars Malaysia akan membantu aperantis terpilih ini mencapai impian untuk menjadi bintang bola sepak negara. Mereka akan ditempatkan di sebuah akademi yang bakal ditubuhkan di ibu negara dan akan menerima latihan, di antaranya taktik menguasai sukan bola sepak dari jurulatih-jurulatih berpengalaman. Sepanjang berada di Akademi, mereka harus menjalani ujian-ujian kelayakan serta program latihan yang intensif.

"Sebagai ganjaran, SoccaStars Malaysia akan menghantar dua orang pemain terbaik ke Eropah di mana hanya seorang daripada mereka akan dipilih untuk menerima latihan eksklusif dari sebuah akademi latihan di salah sebuah kelab bola sepak Eropah yang berprestij" terang Azran.

SoccaStars Malaysia diterbit berdasarkan konsep SoccaStars dari Ireland. Ianya adalah sebahagian daripada usaha Astro untuk membantu kerajaan melahirkan pemain-pemian bola sepak yang berbakat dan berpotensi untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa.

Impian rakyat Malaysia menjadi SoccaStars Malaysia !

"Rakyat Malaysia memang dari dahulu lagi menggemari sukan bola sepak," kata Azran. "Program ini bukan sahaja bakal menepati citarasa mereka, malahan juga dapat memberi peluang kepada peminat-peminat bola untuk memahami teknik latihan yang dapat membantu mereka memahirkan diri menerusi pendedahan kepada kursus latihan yang bakal kami paparkan di kaca TV."

"Di samping itu, pengenalan program tersebut juga akan memperkukuhkan barisan rancangan yang kami sediakan di platform Astro, khasnya Astro RIA. Gabungan elemen latihan skil bola sepak serta paparan kehidupan harian peserta yang terpilih menggabungkan elemen sukan dan gaya kehidupan. Ianya memperluaskan pilihan genre rancangan dan sesuai pula untuk ditonton oleh seluruh keluarga. Kami menaruh harapan agar program tersebut akan turut diminati oleh para pelanggan kami. Mungkin di antara mereka akan lahir seorang bintang bola sepak terkemuka yang mendapat pendedahan skil bola sepak melalui program kami." Jelas Azran lagi.

Sebagai sebuah badan korporat yang prihatin, Astro terus memainkan peranan menggalakkan perkembangan sukan nasional. Tahun lalu, Astro telah terpilih sebagai "Penaja Utama Pasukan Malaysia ke Sukan Olimpik 2004 dan 2008" oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Di bawah perjanjian itu, Astro juga terpilih menjadi "Penaja Utama Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2005 dan 2007" serta "Penaja Utama Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2006".

Menjanjikan kepuasan kepada peminat sukan, Astro akan menyiarkan lebih banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Piala Dunia 2006 dari Jerman (9 Jun - 9 Julai 2006) dan Sukan Komanwel 2006 dari Melbourne (15 - 26 Mac 2006). Dengan operasi satelit terbaru MEASAT 3, Astro akan menambah 4 saluran sukan eksklusif seperti liputan sukan yang terbaik dan komprehensif.