Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 16 January 2006 1 komen

Sidang Media Puteri Gunung Ledang The Musical : Saya Teruja !


Apa yang boleh anda harapkan apabila Puteri Gunung Ledang The Musical menemui khalayak teater Malaysia bermula 7 hingga 26 Februari ini ? Tentu ada sesuatu yang menarik yang akan dipersembahkan kepada penonton.

Dibarisi pelakon-pelakon ternama baik dari Malaysia mahupun antarabangsa, Puteri Gunung Ledang The Musical menjanjikan sebuah persembahan penuh spektakular kepada mereka yang ternanti-nantikan hasilnya.

Pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia untuk filem Ringgit Kasorgga dan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik untuk filem Puteri Gunung Ledang iaitu Tiara Jacquelina dan gandingannya Stephen Rahman-Hughes yang pernah berlakon dalam teater muzikal Bombay Dreams masing-masing memegang teraju utama teater muzikal ini.

Pelakon lain yang menerajui watak Sultan Mahmud Shah ialah Adlin Aman Ramlie yang turut memegang watak yang sama dalam filem tersebut. Nama baru dalam bidang teater iaitu AC Mizal sebagai Gusti Adipati Handaya Ningrat yang terpilih memegang watak tersebut untuk menggantikan Alex Komang yang mempunyai masalah penjadualan.

Nama besar dalam bidang teater iaitu Sukania Venugopal memegang peranan sebagai Bayan dan Yalal Chin yang muncul sebagai cameo dalam filem Puteri Gunung Ledang memegang watak sebagai Patih. Manakala pelakon cilik Mohd Afif Halim memegang peranan sebagai Raja Ahmad.

Antara tarikan utama teater muzikal ini adalah muzik ciptaan Dick Lee yang mendapat jolokan Andrew Lloyd Webber of The East. Satu karangan yang perlu saya dengar dan tidak sepatutnya saya lepaskan. Muzik yang terhasil telah diberikan sentuhan tempatan oleh Roslan Aziz, satu nama besar dalam industri muzik Malaysia.

Muzik yang terhasil telah menjalani pelbagai proses untuk mendapatkan hasil yang terbaik dengan melalui sebuah proses bengkel bersama Jabatan Muzik UITM. Sebanyak 14 komposisi melodi dan 35 musical sequences telah tercipta untuk persembahan yang memakan masa selama 2 jam 15 minit.

Mampukah Tiara Jacquelina dan Stephen Rahman-Hughes menyampaikan lagu-lagu mereka secara langsung di atas pentas Istana Budaya. Setelah menonton untuk kali kedua nyanyian mereka, saya benar-benar mengharapkan latihan intensif dapat dilakukan ke atas Tiara Jacquelina agar nyanyian semakin mantap dari sehari ke sehari. Ada perubahan positif sejak menonton persembahannya untuk pertama kali sewaktu Majlis Pelancaran Produksi Musim 2006 dengan Sidang Media ini.

Khabarnya, sebuah CD Original Soundtrack akan diterbitkan dan dijual kepada khalayak teater yang ingin menyimpan koleksi muzik dari teater muzikal tersebut. Jarang benar produksi teater ingin menerbitkan koleksi muzik dari teater dan ini satu yang tidak harus dilepaskan.

Saya turut bertanyakan sama ada kemudahan teknologi canggih yang terdapat di Istana Budaya akan dipergunakan sepenuhnya untuk teater tersebut. Seringkali teater yang dipentaskan tidak menggunakan pentas hidraulik yang terdapat di Istana Budaya kerana kurangnya kepakaran tenaga produksi untuk mengendalikan pentas tersebut. Adlin Aman Ramlie selaku pengarah bersama teater muzikal tersebut dengan selamba menjawab yang selain pelakon, pentas juga akan memberikan persembahannya yang tersendiri untuk teater tersebut.

Kecanggihan rekaan set memerlukan pentas hidraulik dipergunakan sepenuhnya untuk menjayakan teater muzikal ini. Segmen pertama akan berkisar kepada kisah di Majapahit dan segmen kedua akan melibatkan Melaka dan Gunung Ledang. Tentunya penonton boleh mengharapkan sesuatu dari rekaan set yang akan dipertontonkan kepada umum kelak. Sejak Muzika Siti Zubaidah, Tun Perak dan Rubiah, jarang benar dapat saya menonton rekaan set yang benar-benar mengkagumkan dari Istana Budaya.

Teater muzikal arahan bersama Zahim Al Bakri dan Adlin Aman Ramlie ini akan memperdengarkan dua buah lagu iaitu Keranamu Kekasih dan Di Puncak Tertinggi sebagai dua single mereka. Keranamu Kekasih adalah lagu asal nyanyian Vince dan Di Puncak Tertinggi adalah ciptaan khas untuk teater muzikal ini.

Setelah mendengar dua lagu tersebut dalam dua majlis yang berbeza saya mula menyukai lagu-lagu tersebut. Saya boleh sifatkan sebagai karangan yang indah dan mampu memberikan kesan kepada kisah percintaan tersebut.

Roslan Aziz selaku pengarah muzik dan pasukannya yang terdiri daripada koir seramai 20 orang dan orkestra juga seramai 20 pemuzik yang terdiri daripada bakat-bakat muda yang mampu memberikan sinar kepada generasi muzik tempatan akan memberikan persembahan yang terbaik mereka untuk melengkapkan teater muzikal tersebut.

Apa yang membuatkan saya teruja dengan teater muzikal ini adalah untuk melihat sebuah persembahan yang spetakular di pentas utama Istana Budaya. Saya mahu menyaksikan sebuah persembahan yang gah dari aspek produksinya serta lakonannya. Jika boleh, saya mahu teater muzikal ini menjadi besar seperti The Sound Of Music, Les Misérables, Miss Saigon dan Cats. Biar kita bawa Puteri Gunung Ledang The Musical menjelajah seluruh pelusuk dunia dan kita persembahkan kepada dunia apa yang kita ada.

Apakah anda sudah bersedia untuk Puteri Gunung Ledang The Musical ? Saya sudah bersedia. Ada yang ingin pergi beramai-ramai ?

Tiket adalah berharga antara RM30 hingga RM150. Untuk menempah tiket, anda boleh menghubungi Ticket Sales Hotline di 03-40265558 dan 03-77262002 atau di laman web http://www.ticket2u.biz/. Laman web rasmi teater muzikal ini ialah http://www.pglthemusical.com.my/.

Ulasan Akan Datang :
Filem Buli Balik Ada Kelainan
Pengalaman di lokasi Sutun 2
Wawancara bersama Para Pelakon Sutun 2

Entri oleh sultanmuzaffar 13 January 2006 0 komen

Selamat Ulang Tahun ke 27 Siti Nurhaliza
Itulah kejutannya. 11 Januari 2006 adalah hari ulang tahun Siti Nurhaliza yang ke 27 tahun. Semoga Siti Nurhaliza akan terus mengekalkan mahkotanya untuk beberapa tahun lagi. Jom undi Siti Nurhaliza untuk Penyanyi Wanita Popular untuk kali sembilan berturut-turut.

Bila agaknya Siti Nurhaliza akan membuat pengumuman mengenai hubungan kita berdua. Hari yang dinanti akan tiba. :)

Pembaca Berita 4 : Lagu "Sure Or Not" nyanyian Tan Sri Michaelsoft mengalahkan lagu Siti Nurhalimah bertajuk "Cintaku Bukan Di Atas Email", dari filem Buli Balik. (gelak guling-guling)

Kesibukan yang melanda pada minggu ini menyebabkan ucapan selamat ulang tahun untuk Siti Nurhaliza telah terlewat dua hari. Sempat juga menjengah ke Trade Launch HotFM, sebuah stesen radio terbaru produk Media Prima, Sidang Media Puteri Gunung Ledang The Musical dan Tayangan Media Filem Buli Balik. Malam ini bersantai di Bangsar dan esok perlu berembun di penggambaran Sutun 2 di UITM Shah Alam pula.

Kredit Foto Siti Nurhaliza : UrbanSiti

Entri oleh sultanmuzaffar 10 January 2006 0 komen

Ulasan Filem : Castello sebuah filem aksi yang main-main
Rating : 1/5 bintang
Banyak ulasan akhbar yang mengatakan filem ini bagus. Rata-rata menyatakan yang filem ini sesuai untuk tontonan keluarga. Sebuah kisah masyarakat yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah serta kesan-kesan persekitarannya memberikan satu pengajaran kepada masyarakat amnya. Sayangnya ia sekadar satu promosi dan bukan ulasan.

Filem ini sepatutnya menjadi menarik bukan kerana pesta badan para pelakon lelakinya tetapi kerana adegan aksi dan cerita yang bagus. Filem ini anda dapat melihat Rosyam Noor dan Zain Ruffedge tayang badan. Mujur Que Haidar tidak. Sayangnya pesta badan dalam filem ini menutup segala-galanya. Cerita yang bagus pada mulanya tidak berjaya dibawa ke layar dengan baik oleh pengarahnya. Saya katakan cerita filem ini bagus kerana ia memperkembangkan watak Castello yang wujud dalam filem Gerak Khas The Movie. Tetapi apabila di bawa ke layar, ia seperti tidak kesampaian. Bade Hj Azmi merupakan seorang pengarah sinematografi yang baik tetapi bukan seorang penulis skrip yang baik. Setelah beberapa filem dihasilkan oleh Bade, hasilnya masih sama. Filem aksi yang dibuat main-main. Saya boleh terpegun dengan KL Menjerit, Berlari Ke Langit dan Gangster tetapi tidak KL Menjerit 1 dan Castello. Apa sudah jadi ? Bade seakan sudah hilang taringnya dalam penghasilan filem-filem yang seimbang antara artistik dan komersial.

Kerja kamera yang dilakukan oleh Mohd Azla Kamaruddin juga jelas tidak menampakkan kecemerlangannya berbanding filem Gangster yang agak baik kerja kameranya. Saya melihat adegan aksi bukan sekadar aksi sahaja tetapi perlu disertakan dengan elemen logik dalam filem tersebut. Kelemahan utamanya adalah penceritaan yang meninggalkan banyak persoalan untuk diperdebatkan.

Bagaimana Sepet mampu untuk mengejar Castello dan anaknya sehingga ke Golok masih menjadi persoalan. Mengapa sekumpulan skuter secara tiba-tiba mengejar Castello dan Sepet juga masih bermain-main di dalam kepala. Mungkin kerana adegan aksinya yang terlalu pantas menyebabkan otak saya gagal untuk memproses maklumat dengan cepat. Terlalu banyak juga skuter-skuter yang dimusnahkan untuk memasukkan adegan jetski yang terbang dari langit datang entah dari mana untuk melompat ke Sungai Gombak dalam sekelip mata. Ya ! Sekelip mata.
Pemilihan pelakon contohnya gagal memberikan kesan emosi dan mewujudkan unsur-unsur dramatik dalam persembahan mereka. Gandingan Zain dari kumpulan Ruffedge yang pertama kali diperkenalkan di layar perak perlu berhadapan dengan Nasrizal Ngasri, pelakon muda penuh berkarektor yang tidak mampu meninggalkan kesan besar dalam filem ini. Mutu lakonan Nasrizal jauh lebih hebat dari Zain sendiri yang memegang peneraju utama untuk latar masa tersebut. Tonasi dialog dalaman Nasrizal jauh benar bezanya dengan lakonan tanpa kaedah iaitu sekadar melontar dialog dari Zain. Sayang sekali watak Nasrizal dimatikan terlalu cepat. Begitulah nasib pelakon-pelakon berbakat sepertinya di Malaysia ini.

Kelemahan pemilihan pelakon yang lain adalah melibatkan watak Phim (anak kepada Castello) dan kekasihnya (saya lupa nama wataknya) yang gemar menggunakan skuter serta datang dari keluarga yang kaya raya. Sekiranya pengarah dan penerbit memilih pelakon yang jauh lebih berketerampilan untuk memegang peranan tersebut tentulah hasilnya lebih menimbulkan kesan kepada penonton. Sukar untuk saya menyelami perasaan mereka berdua walaupun pemasalahan yang mereka tanggung agak berat. Feel tidak kesampaian.
Satu yang menarik untuk ditonton apabila filem ini dengan berani menampilkan Erra Fazira untuk watak isteri kepada Castello dan ibu kepada Phim. Sudah sampai masanya Rosyam Noor pula diberikan watak bapa dan bukan lagi sebagai hero. Lakonan Erra sebagai ibu Phim agak baik tetapi wataknya tidak dikembangkan dengan baik. Bukti nyata yang Erra Fazira dan Rosyam Noor hanya layak untuk memegang watak-watak matang apabila watak-watak mereka sewaktu muda diberikan kepada pelakon lain iaitu Zain Ruffedge dan Nor Emy Nadia. Selepas ini, diharapkan penerbit-penerbit dapat mencari pelakon-pelakon yang lebih muda untuk watak-watak muda. Mereka kena berani mengambil risiko dan berusaha membentuk pelakon-pelakon baru untuk diperkenalkan kepada umum. Usaha besar terletak di bahu pengarah untuk membentuk mereka menjadi seorang pelakon yang berkemampuan untuk membawakan watak-watak berat.

Que Haidar pula sekadar memberikan sebuah lakonan yang jauh lebih over dari wataknya. Lakonannya tidak dikawal dengan baik sehingga menimbulkan aksi-aksi yang jelek yang tidak kena pada tempatnya pada pandangan saya. Saya melihat beliau gagal mewujudkan kebencian terhadap wataknya walaupun wataknya sebagai Sepet merupakan perosak utama dalam filem tersebut.

Satu lagi barah dalam filem Melayu ada eksploitasi jenama ke dalam adegan filem. Sudah menjadi trend kini dalam filem Melayu untuk memasukkan jenama penaja sebagai salah satu adegan dalam filem-filem Melayu. Seingat saya bermula dengan Sembilu 2005 dengan Celcom, Gol & Gincu dengan pelbagai jenama seperti Coke, Adidas dan Hotlink kini Castello mengikut jejak langkah mereka dengan mempromosikan Julie’s. Apakah agaknya perubahan yang perlu dilakukan oleh Shuhaimi Baba sekiranya Digi berkeras mahu dipromosikan di dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.
Saya melihat trend-trend ini begitu merimaskan seperti membawa satu kesan yang negatif kepada aspek penceritaan yang sememangnya sudah tenat dalam industri perfileman tempatan. Benar, tanpa penaja, filem Melayu akan mati. Tetapi sikap penaja yang turut campur tangan dalam apa yang mahu dipaparkan di atas layar oleh Pengarah benar-benar merupakan barah yang hanya merosakkan kerja-kerja Pengarah. Pada saya, ada cara lain untuk penaja dipaparkan iaitu bukan di dalam filem tetapi di luar filem. Kesannya tidak banyak berbeza. Saya masih tidak makan biskut Julie’s setelah menonton filem Castello.

Filem ini membawa kisah mengenai Solo, remaja yang dibesarkan di Sungai Golok. Solo berkahwin dengan seorang gadis Thai bernama Chalita. Di saat Chalita hamil, Solo mula menjalankan kegiatan sebagai pengedar dadah untuk menjadikan kehidupan keluarganya lebih mewah. Tapi Solo tertangkap dan dia dipenjara selama 20 tahun. Di dalam penjara, dia dikenali sebagai Castello. Keluar dari penjara, Castello cuba mengesan semula isteri dan anaknya. Tapi dia kecewa bila mengetahui anak gadisnya Phim telah menjadi penagih dadah. Castello berusaha untuk menyelamatkan Phim yang tidak menyedari bahawa Castello adalah bapanya. Satu hari Castello merampas duit Phim sewaktu gadis itu sedang berurusan untuk membeli dadah. Kerana terlalu ketagih, di luar kesedaran Castello, Phim telah bertemu dengan pengedar dadah dan menceritakan masalah kewangannya.

Si pengedar berlagak baik dan memberi Phim dadah yang diperlukannya. Tapi di saat Phim sedang khayal, dia dirogol oleh konco-konco pengedar itu sebagai bayaran hutangnya kepada pengedar tersebut. Castello 'naik gila' sebaik saja mengetahui kemusnahan hidup Phim. Dia berazam untuk membalas dendam. Tapi di saat sedang bergelut menuntut bela terhadap maruah anaknya yang telah tergadai, Chalita (isteri Castello) telah dibunuh oleh konco-konco pengedar itu. Tentu saja Castello menjadi bertambah marah dan dia bertindak lebih gila. Namun mampukah Castello berhadapan dengan pengedar profesional itu ?

Saya menonton filem ini atas undangan dengan tujuan amal1 untuk mengisi Tabung Kebajikan dan Pendidikan WHAM (Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia) yang telah diadakan di GSC One Utama beberapa minggu lalu. Castello kini sedang ditayangkan kepada umum di pawagam-pawagam berdekatan anda. Sekiranya anda bertanya saya, filem apa yang wajar ditonton. Saya akan menjawab lebih baik anda pergi menonton Baik Punya Cilok ataupun menyimpan wang anda untuk Buli Balik dari anda pergi menonton Castello.

http://www.castello.com.my

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua peminat filem Malaysia khasnya dan pembaca blog sultanmuzaffar amnya.

Nota :
1. Terpaksa disusun semula ayatnya kerana telah di"cut & paste" di DB MawiFC atas cubaan-cubaan yang tidak diketahui niatnya.

Entri oleh sultanmuzaffar 08 January 2006 0 komen

Majlis Pelancaran Produksi Musim 2006
Istana Budaya


Istana Budaya bakal menerima produksi-produksi tempatan untuk berkarya di Panggung Sari iaitu panggung paling berprestij di Malaysia untuk kalendar tahun 2006. Majlis Peng-War-War-an Achara Tahunan Istana Budaya telah berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran ramai penggiat teater tempatan yang sudi memberikan sokongan mereka.

Majlis diadakan dengan penuh ringkas tanpa ucapan-ucapan yang meleret-leret serta disusuli dengan penyampaian Permit Masuk Panggung kepada penerbit yang telah terpilih untuk beraksi di Istana Budaya pada tahun ini.

Persembahan ringkas dari produksi-produksi terpilih juga menarik dan telah memberikan sedikit gimik persembahan akan apa yang bakal kita tonton untuk tahun ini.
Mata tentunya tertumpu kepada persembahan finale dari produksi Puteri Gunung Ledang The Musical yang membawa Tiara Jacquelina turun dari puncak Gunung Ledang untuk bersama Stephen Rahman-Hughes untuk dua buah lagu iaitu Kepadamu Kekasih dan sebuah lagu single terbaru dari muzikal tersebut. Tergamam seketika penonton menyaksikan kekacakan Stephen Rahman-Hughes yang diperkenalkan untuk membawa watak Hang Tuah membawakan lagu-lagunya dalam Bahasa Melayu. Saya sendiri kagum melihat beliau membawakan lagu-lagu tersebut dalam Bahasa Melayu tetapi apabila beliau mula berdialog ada sesuatu yang kurang dan yang pasti watak Hang Tuah bakal menjadi kontroversi dalam sedikit waktu yang akan datang. Tiara Jacquelina sebagai Puteri Gunung Ledang berkemampuan untuk membawakan watak tersebut dengan baik. Apa yang dikhuatiri adalah nyanyiannya yang jika dibandingkan dengan nyanyian Stephen adalah seperti langit dengan bumi. Moga keserasian antara mereka dapat menyeimbangkan kekurangan masing-masing apabila ianya dipentaskan dalam waktu sebulan yang akan datang.

Hebat sekali produksi ini apabila mempunyai laman webnya iaitu http://www.pglthemusical.com.my. Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical bakal berlangsung pada 7-26 Februari ini.

Saya sudah boleh tersenyum pada hari ini apabila hajat saya untuk melihat Tengku Seindahkuno atau lebih dikenali dengan nama T.Pinkie bakal menari di lantai Panggung Sari. Kata Pinkie; “Lantai ini tempat kasut-kasut bercerita…” Saya rindukan watak T.Pinkie, Nyai Sunarti, Siti Udaya, Puteh Su, Musalmah Jiing, Jongkidin Jaroi, Muhairi, Loiran Sindu dan pelbagai watak yang bakal mewarnai Lantai T.Pinkie.

Jika dahulu saya terbaca tentang kemunculan Erra Fazira untuk salah satu watak dalam produksi ini, kini beberapa pelakon telah dikenal-pasti untuk sama-sama memberikan nyawa kepada watak-watak dalam skrip teater tulisan Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said. Antaranya ialah Nasha Aziz sebagai T.Pinkie, Safura Yaacob (mungkin Nyai Sunarti), Vanidah Imran (mungkin Musalmah Jiing), Juhara Ayob (mungkin Siti Udaya), Zuhairi Ibrahim (Muhairi), Mazlan Tahir (Muhari Tua), Soong Ai Ling (mungkin Puteh Su), Azizah Mahzan (mungkin Nyai Sunarti) dan Zaifri Husin (S.Diman) serta 20 pelakon pembantu.
Sempat saya berbual-bual di luar dewan dengan Siti Rohayah Atan selaku penerbit untuk produksi ini. Sama seperti Puteri Gunung Ledang The Musical, Lantai T.Pinkie juga merupakan sebuah teater muzikal. Saya melihat teater ini membesar dari Dewan Tuanku Abdul Rahman MTC Jalan Ampang dan kemudiannya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kini mula melangkah gagah ke Panggung sari Istana Budaya. Tentulah sesuatu yang amat membanggakan kerana saya sering kali terfikir bila agaknya karya Pak Samad akan mendapat peluangnya untuk bertamu di panggung tersebut. Zuhairi Ibrahim contohnya mula memegang watak Loiran Sindu dan kini bakal memegang watak Muhairi. Hanya Mazlan Tahir yang memegang watak yang sama sejak teater ini dipentaskan pada tahun 1997.

Saya sendiri telah menyuarakan hasrat saya untuk melihat proses pembikinan teater ini agar saya dapat mempelajari sesuatu dari sebuah produksi besar di Istana Budaya. Saya mahu meneliti dan mendapatkan sesuatu dari aspek pembikinan lebih-lebih lagi produksi besar sebegini. Saya akan cuba untuk menyampaikan maklumat-maklumat produksi tersebut di blog saya ini untuk tujuan promosi. Sebagai langkah awal untuk mendekatkan penonton dengan produksi ini, pihak penerbit telah mewujudkan sebuah blog iaitu http://lantaitpinkie.blogspot.com. Diharapkan dengan blog yang ada, pihak penerbitan dapat berkongsi dengan penonton pengalaman-pengalaman mereka berteater dan juga barisan pelakon juga boleh bercerita tentang pengalaman mereka sewaktu proses latihan dan sebagainya.

Muzikal Lantai T.Pinkie bakal menemui penonton pada 28 April - 7 Mei ini.

Sebuah lagi muzikal yang akan menemui penonton pada 28 Julai hingga 20 Ogos ialah P.Ramlee The Musical. Setelah beberapa kali tertangguh sejak 2002, akhirnya teater ini bakal dipentaskan setelah mendapat sokongan penaja dan lain-lain pihak yang telah memberikan komitmen mereka. Teater ini juga merupakan sebuah cerita yang bukan main-main. Ia melibatkan ikon besar industri muzik dan perfileman Malaysia iaitu Tan Sri P.Ramlee. Khabarnya watak Saloma telah diberikan kepada Ziana Zain dan beliau telah bersetuju untuk membawakan watak tersebut. Pementasan ini akan diarahkan oleh Adlin Aman Ramli iaitu anak kepada seniman AR Tompel.

Menyaksikan gimik ringkas persembahan tersebut masih belum cukup menguja saya untuk memberikan kebanggaan saya kepada produksi tersebut. Hari pementasan yang masih jauh lagi di hadapan mungkin antara faktor banyak persediaan belum dilaksanakan. Apa yang dipertontonkan hanya ringkasan dari sebuah persembahan panjang berlatar-belakangkan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti. Penonton akan dibawa bersama ke dalam satu perjalanan mengasyikkan yang akan menyingkap kisah suka duka P.Ramlee sepanjang hayatnya. Berdasarkan sinopsis ringkas ini tentu ada sesuatu yang menarik menanti penonton.

Selain daripada itu, Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Muzikal Kanak-Kanak Ali Baba akan turut beraksi di Istana Budaya pada 12-20 November dan 16-24 Disember 2006.

Selain daripada pementasan teater muzikal, persembahan konsert yang telah dirancang adalah ’60 merupakan persembahan yang menggabungkan muzik dan lakon menyingkap perjalanan dan pencarian sekelompok anak muda dalam menelusuri kehidupan dan juga memenuhi pengisian kemerdekaan tanahair. Persembahan ini adalah berkisar kepada latar tahun 60an serta penglibatan artis-artis dari zaman tersebut.

Irama Tanah Pusaka 2 bakal menyusul pada 13 dan 14 Mei dan diikuti dengan French Arts Festival pada 19 Mei. Tumpuan utama persembahan muzik pada tahun ini adalah kepada persembahan konsert Jamal Abdillah dengan tajuk Aku Penghibur pada 26-28 Mei 2006 sebagai mengenang sumbangan Jamal Abdullah kepada industri muzik selama lebih 30 tahun. Persembahan akan dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Siapalah Aku, Seniman Menangis dan Akulah Penghibur.

Melodi Emas 2 Ahmad Nawab adalah kesinambungan daripada Konsert Melodi Emas 1 yang akan menemui penonton pada 16-18 Jun. Selain daripada itu Konsert Nur - Suara Kerohanian terbitan PEYATIM akan menggabungkan muzik tradisional dan moden untuk mengangkat keagungan nilai-nilai Islam selaras dengan konsep Islam Hadhari. Gabungan pantomin dan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah disusun dalam beberapa segmen untuk menterjemahkan keindahan seni dalam sebuah konsert seperti ini.

Melihat kepada senarai produksi yang bakal menemui penonton untuk tahun 2006, memperlihatkan usaha Istana Budaya yang dengan berani mempertaruhkan rata-rata kesemuanya adalah produksi tempatan berbeza dengan tahun 2005 yang banyak menampilkan produksi antarabangsa. Adalah diharapkan pengalaman yang ditimba dari produksi antarabangsa pada tahun lepas dapat digunakan dan dipraktikkan oleh produksi tempatan pada tahun ini.

Senarai Produksi Istana Budaya 2006
7-26 Februari - Puteri Gunung Ledang The Musical (teater muzikal)
14-16 April - Gemilang ’60 (konsert muzik lakon)
21-22 April - Dramatari Artistana (dramatari)
28 April -7 Mei - Lantai T.Pinkie (teater muzikal)
13-14 Mei - Irama Tanah Pusaka 2 (konsert muzik)
19 Mei - French Arts Festival (dramatari moden)
26-28 Mei - Aku Penghibur (konsert muzik)
7-11 Jun - Lagenda Chini (bangsawan moden)
16-18 Jun - Melodi Emas 2 Ahmad Nawab (konsert muzik)
1-5 Julai - KL Muzik Fest (festival muzik)
10-11 Julai - Konsert Klasik OSK (muzik klasikal)
18 Julai - Malaysian Music - The Evolution (konsert muzik)
28 Julai - 20 Ogos - P.Ramlee The Musical (teater muzikal)
16-17 September - Konsert Nur - Suara Kerohanian (konsert muzik/pantomin)
6 November - An Evening With NSO (konsert muzik)
12-20 November - Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu (teater muzikal)
25-26 November - Konsert Irama Melayu Asli (konsert muzik)
8-10 Disember - Konsert Simfoni Rakyat (konsert muzik)
16-24 Disember - Muzikal Kanak-Kanak Ali Baba (teater muzikal)

Entri oleh sultanmuzaffar 05 January 2006 0 komen

Tetamu Senja di Radio MMU, Cyberjaya

Petang ini jam 3 petang saya akan bersiaran secara langsung di Radio MMU, Cyberjaya selama satu jam. Turut bersama saya ialah Pakcik MMA mewakili pelajar MMU. Topik perbincangan adalah berkenaan blog dan penggunaan blog kepada pelajar. Blog saya berguna ke kepada pelajar ? Menyesatkan lagi adalah. Hahaha. Poyo pulak tajuknya.

Pembaca sultanmuzaffar yang rindukan kegugupan saya di Imbasan Akademi Fantasia bolehlah klik di Radio MMU atau di http://cybermedia.mmu.edu.my/ext/rmmu.asx
Manakala para peminat penyanyi nombor satu negara bolehlah klik di Radio IKIM atau di http://cybermedia.mmu.edu.my/ext/ikimfm.asx

Anda boleh berinteraksi melalui YM id : radiommu. Entah betul entah tidak. Seperti yang tertera di laman web Radio MMU. Tunggu sahaja pengumuman dari penyampai bertugas.

dup dap dup dap dup dap...

Ulasan dari Pakcik MMA
Foto dari Pakcik MMA

Ulasan saya akan dikemaskinikan dalam sedikit waktu lagi. Another milestone for sultanmuzaffar in blogging community.

Entri oleh sultanmuzaffar 04 January 2006 0 komen

Gathering Geng Jurnal 05
1 Januari 2006
Dewan Serbaguna Presinct 8, Putrajaya

Kredit Foto : OP

Tahun ini merupakan tahun ketiga saya hadir ke Gathering Geng Jurnal. Saya jarang mengikuti aktiviti-aktiviti mereka yang lain, bukan kerana tidak sudi tetapi kerana kurang berkesempatan. Alasan tipikal seorang yang jadualnya padat. Saya tidak katakan hubungan saya dengan Geng Jurnal amat rapat tetapi kami berkongsi minat yang sama iaitu menulis blog. Maka kami boleh berkongsi secebis dari kenangan kami untuk manafaat bersama. Setelah tiga kali gathering yang saya sertai, kemeriahannya dan keakrabannya semakin terasa. Dari seorang asing di Restoran Nelayan Titiwangsa yang disambut oleh Toksik (ya Toksik...jangan buat-buat terkejut pula) buat pertama kalinya saya ke Presinct 8, Putrajaya pula untuk gathering kali ketiga. Kali ini disambut oleh AyAres yang sekali pandang mahu memandang kali kedua.

Tetapi setelah melihat kemeriahan melalui tayangan video Projek Basah 2.0 di Kem Lambaian Danau seperti ada satu tarikan yang memanggil-manggil saya ke sana satu hari kelak. Seronok juga bila mandi lumpur dan berenang di tasik sekali-sekala. Dengan berlatarbelakangkan lagu Teruja, kenangan-kenangan lama yang berlaku di KLD tentunya terimbau kembali dalam minda peserta-peserta yang pergi ke sana tempoh hari. Usaha mengedit footage-footage video yang diambil berpandukan lirik lagu Teruja cukup bagus. Satu kelebihan dalam komuniti Geng Jurnal apabila mempunyai mereka yang terlatih dalam aplikasi-aplikasi video seperti ini. Syabas Pak Bear !

Apa yang boleh saya katakan tentang gathering kali ini ialah kelakar gila tahap dewa kayangan kalau boleh lagi tinggi saya letak tahap dewa langit ketujuh. Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas kepada gandingan serasi pengacara majlis iaitu Elton Jan dan David Bean yang telah mengendalikan majlis dengan jenaka-jenaka bersahaja tetapi melucukan. Semacam mereka ditakdirkan bersama. Satu gandingan yang cocok sekali. Nama Mat Jan memang sesuai sangatlah dengan membawakan watak Elton Jan itu, manakala David Bean yang ada unsur-unsur metroseksual.

Tidak cukup dengan menjadi pengacara majlis, mereka turut juga membuat persembahan dengan sebuah lagu rap berkenaan dengan dunia blog. Liriknya mampu membuatkan saya tersenyum sepanjang lagu tersebut dipersembahkan. Ditambah dengan melodi minus-one yang entah ke mana, ke laut mungkin. Yang pasti persembahan tersebut merupakan highlight pada majlis tersebut. Geng Jurnal juga seharusnya berbangga kerana mempunyai dua orang pak lawak ini. Walaupun salah seorangnya terlatih dalam bidang undang-undang, bakat beliau lebih menyerlah sebagai pelawak. Kita pernah ada The Singing Lawyer iaitu Sudirman Hj Arshad, The Berangan Diva Lawyer iaitu Azwan Hj Ali, kini Geng Jurnal telah berjaya melahirkan seorang The Joker cum Lawyer iaitu Mat Jan.

Satu lagi tayangan multimedia yang membuatkan saya terpegun dengan naratif penceritaannya ialah tentang Kisah Seekor Ayam Kongsi Gelap oleh sinaganaga. Memang kreatif ahli-ahli Geng Jurnal. Saya kira kalau mahu mencari Melayu yang kreatif semuanya ada dalam Geng Jurnal. Ia boleh diperolehi dalam pelbagai bidang. Terlatih dalam bidang undang-undang ada, bidang teater pun ada, bidang muzik pun tidak kurang hebatnya, bidang grafik jangan cakap lah, bidang fotografi siapa yang boleh lawan kamera budak-budak Geng Jurnal, bidang ulas-mengulas pun jaguh juga, bidang menyamar pun ramai juga, bidang agama pun ramai yang boleh diketengahkan dan bidan terjun juga boleh jumpa. Pendek kata semua bidanglah ada dalam Geng Jurnal. Geng Jurnal lengkap sebagai sebuah komuniti yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

Bercakap tentang kamera budak-budak Geng Jurnal. Perghhh ! Takut saya tengok kamera masing-masing. Semuanya dari jenis high-end yang canggih-canggih. Lensanya panjang sungguh. Sambil saya terfikir, mereka ini blogger atau voyeur ? Pantang ada objek menarik, berlari mereka mendapatkan shot-shot yang cantik (ditujukan khas untuk Cik Easy). Mujur saya tidak bawa kamera cikai saya ke majlis tersebut. Malu ! Cukuplah saya sekadar mencuri gambar-gambar mereka dengan kredit untuk saya gunakan di blog saya sendiri.

Persembahan lain yang tidak kurang hebatnya adalah persembahan akustik dari ND dan rakannya Ap dengan rangkaian lagu-lagu seperti Bunyi Gitar, medley Mungkin Nanti, Aku Cinta Kau Dan Dia dan Takkan Melupakanmu. Dik, medley ialah rangkaian lagu-lagu panjang yang dipendekkan dan dijadikan sebuah lagu panjang. Itulah medley. Yang semalam adalah tiga lagu panjang yang disambungkan menjadi tiga lagu semakin bertambah panjang. Salah konsep tu ! Apa-apa pun persembahan mereka memang best kerana lagu yang didendangkan best ! Ini termasuklah persembahan Ungku Nor dengan lagu Dia sebuah lagu yang sudah biasa di telinga para hadirin. Cuma sedikit kekurangan yang nyata ialah sistem audio yang ada dalam dewan tersebut. Kalau dewan itu kecil sedikit tentunya lebih bagus sistem audio yang terhasil. Lagipun audio terhasil dengan menggunakan komputer tentulah tidak sama dengan direct audio. Itulah sebabnya gandingan duo rap terhebat gengjurnal sendiri tidak dapat mendengar tempo lagu dari minus-one mereka sendiri, maka ke laut lah perginya. Kekurangan lain ialah tidak ramai yang hadir pada gathering kali ini berbanding tahun lepas. Mungkin kerana pemenang AWET tahun lepas glamour. (ketawa). Sebabnya mungkin kerana lokasi gathering kali ini serta dengan masanya yang hampir dengan hari pembukaan sekolah. Ahli-ahli Geng Jurnal yang suka melakukan shopping di saat-saat terakhir (sifat semulajadi rakyat Malaysia) tentunya tidak dapat melapangkan masa untuk hadir ke gathering kali ini.

Kepada yang baru-baru, jangan segan untuk bertegur-sapa dengan yang lama. Saya yang lama pun masih lagi pendiam, kalau tidak takkan lah singgah komen sebegini di ruangan komen. (Muahahahahh ko masih pendiam..aku rasa macam nak bom je ko..sebab diam sangat.....grrrrr, oleh P-nut) Yang penting kena yakin. Redah saja. Paling tidak pun mereka akan tersilap blog pada tersilap blogger. Jangan serik kerana saya tidak pernah serik untuk mendekati mereka. Tapi sudah begitu alter-ego saya bersama Geng Jurnal. Tips dari saya, sebelum pergi ke gathering sebegini, gunakan YM/MSN dan chat dengan mana-mana ahli Geng Jurnal yang ada. Kenali mereka dengan mendalam melalui chat, setidak-tidaknya anda sudah ada kawan yang agak rapat yang bersama-sama di gathering tersebut. Saya buat macam ini dahulu.

Ini ada separuh dari lirik lagu rap B.L.O.G dendangan Elton Jan dan David Bean. Mahu yang penuh, singgah-singgahlah ke Forum Geng Jurnal. Ini pun diletakkan tanpa kebenaran, tidak pasal-pasal sampai surat saman dari Mat Jan nanti. Lagu ini disadur dari lagu PIMP.

B.L.O.G.
(Mat Jan aka Lima Kupang)

Kita tulis sesuka hati
Kita bukan dibayar gaji
Kita tulis sekadar hobi
Kita penulis B.L.O.G.
(2x)

Minah ni, di pejabat, dia bukan buat kerja
Asyik membaca si Rimau, si Dubuk, si Naga
Si Bukunota, Basri, dan Sultanmuzaffa
Mengadap monitor PC sampai berpinar mata
Dan tinggal sikit komen untuk entry mereka
Lepas empat jam, pergi kantin makan pula
Selepas makan katanya main internet juga
Aku dengar boss dia pernah nak buang dia kerja
Dia suka surf, dia suka chat, dia suka baca blog
Semenjak pagi surfing sambil dengar lagu rock
Kat rumah tak pasang internet nak jimat duit
Kat ofis dia lenjan sampai kepala boss sakit

Keputusan Anugerah

1) Weblog Baru Terbaik
1) "Definitely Maybe" oleh Liyanna
2) "I am Tri Service Officer" oleh Amir Azmi
3) "Terselit & Berbelit" oleh Ayob Kelubi
Pemenang : "I am Tri Service Officer" oleh Amir Azmi

2) Catatan Terbaik (Kategori Merangsang Intelek)
1) "Bahasa Komunikasi" oleh ND
2) "Book-smart or Street-smart?" oleh El-maaniq
3) "Bukti Kewanitaanmu" oleh El-maaniq
Pemenang : "Book-smart or Street-smart?" oleh El-maaniq
p/s: Kalau lagi satu pencalonan pun nama ko, setaraf Mac Chan lah ko.

3) Catatan Terbaik (Kategori Menyentuh Emosi)
1) "Selamat Hari Guru" oleh Basri
2) "Wagiman bin Kardi, dan Dia, Wanita Mithali, Yang Aku Tunggu di Pintu Syurga Nanti" oleh Sera
3) "Wira di Hati Bonda" oleh Pnut
Pemenang : "Selamat Hari Guru" oleh Basri

4) Catatan Terbaik (Kategori Mencuit Hati)
1) "Berkemut-kemut" oleh Naga
2) "Seluar Dalam Dari Langit" oleh Tok Rimau
3) "Standard" oleh Lan
Pemenang : "Berkemut-kemut" oleh Sinaganaga

5) Weblog Bahasa Inggeris Terbaik
1) "Crimsonskye" oleh Crimsonskye
2) "Figurasi" oleh Adipujangga
3) "Karlbum's Memoir" oleh Karlbum
Pemenang : "Figurasi" oleh Adipujangga
p/s: Dari dua pencalonan, menang satu. OK what !

6) Fotoblog Terbaik
1) Op
2) Saiful Nang
3) Salina
Pemenang : Saiful Nang
p/s: Jangan risau, fotoblog bas tak masuk bertanding !

7) Rekabentuk Terbaik
1) "Figurasi" oleh Adipujangga
2) "Honeybiru" oleh Sera
3) "Solidmind" oleh Mukeh
Pemenang : "Solidmind" oleh Mukeh

8) Projek Terbaik (Kategori Dalam Forum)
1) "Juring" (cetusan idea: Tok Rimau)
2) "Lumba Foto" (cetusan idea: Tok Rimau+Nettbiru)
3) "Lumba Kata" (cetusan idea: Op)
Pemenang : "Juring" (cetusan idea: Tok Rimau)
p/s: Jangan lah buat Juring sewaktu demam Akademi Fantasia. Sukar untuk saya beri konsentrasi.

9) Projek Terbaik (Kategori Luar Forum)
1) "Diablog" (ketua projek: Nazmi)
2) "Hari Weblog di Putrajaya" (ketua projek: Attokz)
3) "Jiwa Kacau" (ketua projek: Basri)
Pemenang : "Jiwa Kacau" (ketua projek: Basri)
p/s: Jika masih ada ruang, saya mahu menyumbang untuk Jiwa Kacau 2. InsyaAllah.

10) Anugerah Khas Juri
Bukunota
atas sumbangan beliau menganjurkan diskusi tersebut, membuka ruang untuk Geng Jurnal mendapat pendedahan di akhbar, menganjurkan projek bersiri DIABLOG, dan memberi ruang kepada Geng Jurnal menggunakan Rumah PENA untuk beraktiviti, maka beliau berhak menerima anugerah ini.

11) Penghargaan GJ
Wakdin
merupakan Pengarah Projek Basah, Pengarah Gathering GJ 2004, Timbalan Presiden GJ 2004, dan Presiden GJ 2005. Anugerah ini adalah untuk menghargai sumbangan Wakdin memegang jawatan-jawatan tersebut.

12) AWET '05
Bukunota
Sinaganaga
Tok Rimau
Sera
Pemenang : Tok Rimau
p/s: Apakah ini pertama kali dalam sejarah GJ apabila blog pemenang AWET "down" sewaktu hari kemahkotaannya ?

Ulasan Power :
Cik Easy
Figurasi

Foto Kenangan :
http://www.flickr.com/photos/easy

Tahniah kepada semua pemenang. Bukan mudah untuk menjadi pemenang. Letih juga saya memikirkan sewaktu membuat penjurian. Tahniah juga kepada pihak penganjur yang telah bertungkus-lumus menyiapkan persiapan untuk majlis ini. Syabas !

Entri oleh sultanmuzaffar 02 January 2006 0 komen

Temubual dengan pemenang AWET 2004

Selepas kemenangan Rudy Bluehikari (2001), Fajar (2002) dan Mat Jan (2003) mengungguli Anugerah Weblog Terbaik (AWET) Geng Jurnal, Sultanmuzaffar pula berjaya menempatkan diri dalam Anugerah berprestij ini pada tahun 2004. Berikut adalah temubual Rudy Bluehikari pemenang AWET 2001 dengan sultanmuzaffar.

1. Apa perasaan saudara bila diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Weblog Terbaik 2004?
Saya bangga kerana telah berada di dalam kelompok elit (jika boleh saya katakan sebagai elit) bersama dengan Rudy Bluehikari, Fajar dan Mat Jan. Saya terkejut kerana tidak pernah menyangka blog yang satu ketika dahulu bercerita tentang apa yang pembaca tidak mahu baca terpilih memenangi anugerah tersebut. Saya agak kecewa kerana ada banyak lagi blog yang lebih bagus dan lebih layak untuk memenangi anugerah ini tetapi terhalang kerana kemenangan saya.

2. Dimanakah letaknya kepuasan menulis weblog?
Saya belum puas dan tidak pernah puas. Dalam ertikata lain, saya memang rakus dalam menulis blog, tetapi jangan risau kerana saya tidak ganas. Saya puas bila dapat menyalurkan maklumat yang tepat kepada pembaca saya. Saya puas bila dapat membuatkan pembaca saya terpengaruh dengan penulisan tersebut. Saya paling puas bila mendapat ramai kenalan, kawan, sahabat dan mungkin teman dengan menulis blog. Biarlah kepuasan itu kepuasan yang positif dan bukan kepuasan yang negatif.

3. Apakah yang membezakan penulisan saudara dengan pemenang-pemenang sebelum ini?
Ketiga-tiga pemenang sebelum ini begitu unik antara satu sama lain. Mereka mempunyai identiti mereka yang tersendiri. Adakalanya saya cemburu kerana tidak mampu menulis dalam cara berjenaka sinis seperti Mat Jan, tidak mampu memberikan penulisan yang mampu meruntun jiwa pembaca seperti Bluehikari dan tidak mampu menulis dalam gaya bahasa seindah tulisan Fajar. Kalau Mat Jan seorang menteri saya letakkan Mat Jan setaraf dengan Datuk Seri Samy Vellu kerana mereka berdua suka buat lawak. Itulah antara kepintaran yang dimiliki oleh mereka bertiga. Jika boleh, saya mahu ketiga-tiga kepintaran tersebut dan digabungkan dengan kepintaran saya (jika ada) melalui penulisan di dalam blog saya pula. Saya tidak punya semua itu, yang saya ada hanyalah minat dan komentar seni (popular atau tidak popular) untuk saya kongsi bersama dengan pembaca-pembaca saya.

4. Siapa tidak kenal Sultanmuzaffar. Tema penulisannya lebih kepada seni. Mengapa tema seni diketengahkan dalam kebanyakan penulisan weblog saudara?
Saya mula mengulas tentang kegiatan seni yang tidak begitu popular di Malaysia iaitu teater. Lama-kelamaan saya tertarik untuk mengikuti perkembangan dunia filem dan muzik di Malaysia. Apa yang saya tulis hanyalah secebis ilmu yang saya perolehi melalui pengalaman hidup. Hasilnya bukan berdasarkan ilmu yang dituntut secara formal.

Saya melihat kegiatan seni kurang popular ini perlu dipopularkan kepada rakyat Malaysia. Teater contohnya memberikan keupayaan senilakon yang mantap oleh pelakonnya dan kepayahan menguruskan sebuah produksi, ini perlu dipopularkan agar mereka kenal siapa pelakon teater tanahair dan bagaimana proses membikin sebuah produksi.

Saya bernasib baik kerana mempunyai pengaruh pembaca yang agak besar dan lantaran itu saya menggunakan populariti kesan dari Akademi Fantasia untuk membawa golongan tersebut mendekati seni yang kurang popular. Ini secara tidak langsung kegiatan seni lain dapat dipopularkan sama. Ia semamcam projek serampang dua mata secara bidan terjun yang saya lakukan untuk mempopularkan kegiatan seni di Malaysia dengan menggunakan populariti Akademi Fantasia. Sampai satu ketika, saya sudah tidak memerlukan lagi Akademi Fantasia untuk terus hidup dan waktu itu saya mahu melihat kegiatan seni di Malaysia sudah sama popular dengan Akademi Fantasia. (Macam saya tidak memerlukan Mawi untuk blog ini terus hidup sekarang)

Sejak akhir-akhir ini saya cuba menulis tentang isu-isu kemasyarakatan dan sosial agar kelompok pembaca saya mula mendekati topik-topik sedemikian. Kebaikannya bukan sekadar untuk saya tetapi juga untuk mereka manafaatkan.

5. Apakah peristiwa paling besar yang memberi kesan mendalam kepada hidup saudara sepanjang tahun 2005 disebabkan oleh penulisan di blog Saudara?
Saya bertukar tempat kerja. Setelah tujuh tahun lebih bertugas di UNITAR, saya beralih angin ke sebuah bidang yang lebih sesuai dengan saya. Saya kini terlibat secara langsung dalam bidang hiburan dan mengaplikasikan ilmu teknologi maklumat saya ke dalam bidang tersebut. Lebih menarik apabila IT dan hiburan digabungkan, ia telah menjadi satu kerjaya baru untuk saya. Saya benar-benar puas dapat melakukannya.

6. Bagaimanakah Komuniti Weblog amnya dan Geng Jurnal khususnya memberi impak kepada hidup saudara?
Terus terang saya katakan saya takut sebenarnya dengan impak yang datang dari komuniti weblog itu sendiri. Saya kurang mengenali mereka secara rapat dan mereka mahu mengenali saya secara rapat. Ini benar-benar menakutkan saya. Komuniti ini datang dalam pelbagai versi, baik dalam bentuk kenalan, kawan, sahabat dan teman. Ada sempadan yang membataskan pada makna-makna perkataan tersebut yang rata-rata kurang difahami oleh semua orang. Ya benar, saya mendapat ramai kenalan dari blog saya yang mengenali saya secara luaran sahaja, begitu juga dengan kawan yang mengenali saya secara luaran tetapi lebih sedikit rasa selesa saya untuk mengenali mereka juga dan sahabat yang mengenali saya secara luaran dan dalaman serta boleh berkongsi cerita masalah bersama. Teman ? setahu saya belum lagi dan mungkin juga jawapannya ada pada mereka. Mereka ini memberikan impak yang cukup besar dalam hidup saya sendiri.

7. Apakah masa depan dan halatuju penulisan weblog saudara?
Kini tulisan saya dibaca oleh para penggiat seni, baik seni teater, filem dan muzik juga tenaga produksi Akademi Fantasia. Ada beberapa di antara mereka yang saya kenal dan mengenali saya secara peribadi. Apakah saya sudah cukup puas apabila mendapat tahu yang tulisan saya sudah dibaca oleh mereka ? Saya katakan saya belum puas. Apa yang saya inginkan adalah cadangan-cadangan saya itu diterima dan diperdebatkan oleh mereka. Seboleh-boleh saya mahu menyertai mereka untuk membuat perubahan tersebut.

Saya mahu membikin filem saya sendiri, saya mahu menulis lirik lagu sendiri (lirik untuk penyanyi lain bukan saya penyanyinya), saya mahu berlakon teater sendiri (ini sudah saya lakukan dan malang sekali bagi pembaca saya kerana ia dipentaskan pada tahun 2003 sebelum saya dikenali) dan juga saya mahu menerbitkan program Akademi Fantasia seperti yang saya mahukan. Kalau selama hari ini saya memberikan komen tentang sesuatu isu, maka saya mahu berusaha agar komen-komen tersebut diterima-pakai oleh penggiat seni dan penjana industri hiburan tempatan. Sebelum ini saya memberikan komen berdasarkan pandangan dari orang luar yang tidak terlibat secara langsung dalam bidang tersebut, maka selepas ini saya mahu memberikan komen sebagai mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang itu.

Saya tidak mahu menjadi pengkritik sampai bila-bila, sebaliknya saya mahu menjadi enjin perubahan tersebut satu hari kelak. Dengan kata lain, kritik dan buat. Bukan kritik dan duduk diam.

8. Kalau dahulu Sultanmuzaffar hanya dikenali melalui penulisannya. Tetapi kini Saudara bukan sahaja dikenali sebagai penulis blog, tetapi juga melebarkan sayap ke kaca tv dan radio. Sudah ada peminat sendiri dan saya percaya kalau keluar di khalayak ramai, saudara mudah dikenali. Bagaimana dengan privasi Saudara? Komen Sedikit?
Bila saya keluar rumah saya tidak pernah anggap akan ada orang yang kenal saya. Bila saya berjalan di tempat-tempat awam, saya tidak pernah menganggap mereka sedang memandang saya kerana mengenali saya. Bila ada yang kenal dan tegur, saya akan menerima teguran dan melayan mereka sebaik mungkin. Saya jenis yang berjalan laju tidak pandang sekeliling. Kalau ada yang berbisik-bisik (kalau ada) pun saya tidak akan sedar dan perasan. Berdasarkan komen-komen yang saya terima dari kalangan pembaca, agak sukar juga untuk mereka mendekati saya kerana raut wajah saya yang agak serius (kata mereka). Badrul sendiri pernah mengatakan yang saya seperti orang bisu apabila kali pertama bertemu dengan saya. Saya lebih suka dan selesa untuk tidak dikenali. Selain daripada itu ada beberapa aktiviti yang sering saya lakukan dahulu, kini tidak dapat saya lakukan kesan daripada pendedahan tersebut. Tetapi saya selesa dengan perubahan ini.

9. Apakah harapan saudara dengan majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2005?
Saya mengharapkan agar majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2005 akan berjalan dengan lancar dan setiap pihak mendapat manafaat daripadanya. Jika ditanya satu impian saya terhadap Geng Jurnal, saya ingin sekali melihat gabungan ini tidak hanya sekadar menjadi tempat bertemu dan berkenalan tetapi lebih daripada itu. Gabungan ini mampu untuk membawa perubahan kepada pandangan masyarakat yang blogger bukan sekadar untuk berseronok-seronok tetapi juga melihat persekitaran kita dengan pandangan yang lebih bernas dan pelbagai pihak (yang bernasib baik atau pun yang kurang bernasib baik) mendapat sebahagian daripada manafaatnya..

10. Harapan Saudara kepada kelompok penulis blog yang baharu?
Mereka boleh bebas menulis apa sahaja yang ingin mereka tulis tetapi mereka perlu tahu kesan dari penulisan mereka itu. Jika ada yang terus-terusan menggunakan hak asasi sebagai asas untuk terus menulis apa sahaja tanpa memikirkan kesannya maka tentu sekali akan berlaku beberapa kesan yang tidak begitu positif dan jika kesannya lebih besar daripada itu, bencana mungkin boleh berlaku.

Saya pernah terlanjur satu ketika dahulu apabila merasakan diri begitu besar dan perlu diberikan lebih perhatian. Saya pernah menyiarkan email jawapan seorang kakitangan ASTRO tentang pass untuk Konsert Akhir Akademi Fantasia 1. Kesan daripada penyiaran email tersebut tidak membawa sebarang kebaikan, sebaliknya keburukan. Apabila emosi saya menguasai diri dan sifat besar kepala itu membuak-buak menyerlah dari dalam diri, serta disokong oleh sekumpulan pembaca yang turut memberikan reaksi berlandaskan emosi (walaupun niat mereka adalah untuk membantu saya) lalu tiada hasil yang dapat diperolehi di penghujung masalah tersebut. Sejak kejadian itu, saya merasakan perlunya mempunyai sifat rendah diri dan tidak mengharapkan balasan besar atas apa yang telah saya lakukan secara tidak sengaja pada awalnya. Kesan daripada itu, hasilnya datang satu-persatu tanpa saya minta hari ini. Kalau saya perlu menunggu tiga tahun untuk hasil tersebut, saya akan tunggu.

Apabila penulisan kita mula menjadi bacaan dan tumpuan umum, kelompok pembaca juga akan menjadi semakin besar. Maka, tanggungjawab kita terhadap pembaca juga secara magisnya akan menjadi lebih besar. Oleh itu, ketepikan sifat besar kepala kita dan didiklah mereka dengan tulisan-tulisan yang bernas dan positif.

11. Dengan siapa Saudara berskandal sekarang?
No comment ! Hahaha !

p/s: Soalan 11 pada mulanya hanya sebagai gurauan dan telah difahamkan tidak akan diletakkan di dalam buku cenderamata. Saya telah tertipu. Ada ubi ada batas !

Ulasan Gathering Geng Jurnal 05 akan dikemaskinikan secepat mungkin pada hari Selasa atau Rabu. Perkataan pertama : kelakar gila tahap dewa kayangan !!

Entri oleh sultanmuzaffar 31 December 2005 0 komen

Selamat Tahun Baru 2006

Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2006 kepada semua khalayak pembaca saya yang sentiasa setia mengikuti perkembangan blog ini baik dari aspek positif mahu pun yang negatif. Dalam senyap anda menyokong, dalam diam anda mengeji, uniknya blog sultanmuzaffar akan terus kukuh berdiri dengan adanya pembaca seperti anda semua. Saya amat menghargainya.

Semoga tahun 2006 akan menjanjikan lebih kebahagiaan dan kesejahteraan untuk negara Malaysia amnya dan rakyat Malaysia khasnya terutamanya kepada khalayak pembaca saya seadanya. Azam saya cuma satu iaitu untuk melangsaikan hutang-hutang azam yang tidak terlaksana pada tahun 2005 untuk terus dibawa ke tahun hadapan. Mudah azam saya. Banyak lagi azam-azam yang masih terhutang dan tahun 2006 bakal menyaksikan satu mungkir janji dan pulangan ringgit melalui blog ini. Sudah terlalu lama ia bergerak tanpa menjana pulangan wang ringgit, maka tahun 2006 bakal memberikan kelainan dari aspek penyampaian. Mungkin. Apakah dia, kita sama-sama nantikan. Semoga ia tidak begitu mengejutkan anda. Pengumuman hanya akan dibuat pada 11 Januari ini. (ketawa).

Sorotan Seni sultanmuzaffar

Terlalu banyak aktiviti-aktiviti seni yang saya hadiri lewat tahun 2005. Rata-rata acara yang saya hadiri menjanjikan seribu satu kelainan dan pengalaman yang dilalui tentunya berbeza-beza di antaranya. Saya perlu berhadapan dengan pelbagai ragam manusia yang melintasi kehidupan saya setiap hari.

Pelbagai acara Akademi Fantasia yang tidak berhenti, mujur aktiviti kelab peminat mereka tidak mati seperti singkatnya hayat mereka dalam industri muzik tempatan. Pelbagai acara tontonan media filem-filem baru yang akan ditayangkan di pawagam serta sesi pra-dengar album-album baru yang akan berada di pasaran. Tentulah tidak menang tangan. Mujur kesenggangan waktu yang ada memberikan saya sedikit peluang untuk sama-sama merasai kemanisan hidup sebagai seorang penulis bebas sepenuh masa. Indah sungguh dunia tanpa orang yang bernama Boss !

Penulisan di blog ini semakin menjadi milik masyarakat yang mana dahulunya lebih kepada pengguna tegar internet tetapi tahun 2005 menyaksikan nama blog ini mula singgah di diskusi forum, dada akhbar dan juga lembaran majalah, sesekali dibawa ke arena antarabangsa oleh Jeff Ooi. Pengaruh yang dibawa oleh blog ini membawa saya kepada satu lagi dunia yang lebih besar iaitu pengurusan acara yang melibatkan artis. Projek Rumah Kaca Nikki meninggalkan satu kenangan paling manis buat saya sepanjang tahun 2005. Jejak-jejak yang dibawa dari projek tersebut menyebabkan saya semakin selesa untuk bergerak sendirian tanpa sebarang kongkongan.

Matlamat saya pada tahun ini adalah untuk membawa kandungan blog saya ke satu peringkat yang lebih tinggi iaitu dalam bentuk mobile. Tidak sukar sekiranya ada usaha ke arah tersebut. Beberapa sesi perbincangan sedang berlangsung. Doakan semoga ia menjadi kenyataan. Awal pagi tadi (sebelum subuh) ada beberapa editor akhbar yang bertanya sama ada saya tiada keinginan untuk bertugas dengan pihak akhbar. Ada banyak faktor yang bakal dijadikan alasan untuk membuat keputusan seperti kreativiti saya mungkin akan terbatas apabila mendapat tugasan yang bukan menjadi minat saya. Ahh…kita fikir lain kali sahaja.

Sedar tidak sedar, tahun 2005 merupakan tahun yang cukup gemilang buat artis Malaysia khasnya. Tanggal 1 April 2005, Siti Nurhaliza mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila telah berjaya melaksanakan janjinya kepada rakyat Malaysia dengan menjadi Artis Malaysia Pertama membuat persembahan solo di Royal Albert Hall, London. Dengan rangkaian lagu-lagu popular beliau, saya agak terkilan kerana hanya sekadar menonton konsert tersebut melalui VCD dan bukannya secara langsung di London.

Kontroversi yang melanda filem Sepet setelah kemenangan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia sedikit pun tidak menggugat peluangnya untuk terus memenangi anugerah yang lebih besar di peringkat antarabangsa. Sepet memenangi Anugerah Tertinggi Juri di Festival Filem Wanita 2005 di Creteil, Perancis dan Filem Asia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke 18. Namun demikian saya agak terkilan kerana Syarifah Amani dan Ng Choo Seong hanya sekadar memenangi Anugerah Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia. Mereka lebih layak untuk menggantikan tempat Tiara Jacquelina dan Zamarul Hisham berdasarkan mutu lakonan mereka yang amat membanggakan.

Tiara Jacquelina nampaknya tidak pulang hampa pada tahun ini apabila memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 50 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur. Sebagai seorang produser yang gigih membelanjakan wang untuk industri filem tempatan, beliau telah dinobatkan sebagai Produser Terbaik di Asian Festival of 1st Films 2005 di Singapura. Saya tentunya menantikan hasil Puteri Gunung Ledang The Musical yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2006 dengan hero baru Stephen Rahman-Hughes sebagai Hang Tuah. Bagaimana agaknya lelaki berdarah campuran Inggeris ini merealisasikan watak Hang Tuah ke Lambang Sari, Istana Budaya kelak.

Dua Bintang Malaysian Idol iaitu Jaclyn Victor dan Dina berjaya mencipta nama di arena antarabangsa apabila masing-masing telah meraih perhatian juri di Festival Muzik Asia di Shanghai China dan World Championship Arts, Performances 2005 di Amerika Syarikat. Setelah kemenangan Vince di festival yang sama, bintang Akademi Fantasia masih lagi kekal sebagai jaguh kampung. Hanya pengacaranya sahaja iaitu Aznil Hj Nawawi yang berjaya menyinar di peringkat antarabangsa apabila rancangan Macam Macam Aznil terpilih sebagai Rancangan Bual Bicara Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2005 di Singapura. Setelah kegagalan beliau membawa pulang Anugerah Pengacara Terbaik (Hiburan) pada tahun lepas, sedikit sebanyak anugerah tersebut merupakan pembakar semangat kepadanya untuk menerbitkan lebih banyak program-program hiburan yang lebih santai dan berkualiti untuk seisi keluarga. Kumpulan muzik yang kurang dikenali di Malaysia iaitu Mohram turut membawa pulang pingat perak dari pertandingan yang sama disertai oleh Dina. Nama Mohram terus tenggelam di arena muzik tempatan berbanding terus mekar di negara Jepun. Rakyat Jepun nampaknya lebih menghargai bakat dua anak muda Melayu yang berusaha memperkenalkan muzik tradisional Malaysia di arena antarabangsa.

Tidak lengkap sekiranya saya tidak menyenaraikan fenomena Mawi sebagai salah satu sejarah utama pada tahun 2005. Muncul sebagai Juara Akademi Fantasia 3 benar-benar mengubah hidup anak muda yang berasal dari Felda Taib Andak iaitu Mawi. Akhbar Harian Metro menyenaraikan kekayaan Mawi sejak lima bulan dahulu apabila bergelar juara hingga sekarang. Memang banyak harta yang berjaya dikumpulkan oleh Mawi dan banyak juga harta yang digadai oleh peminat-peminatnya demi menaikkan nama Mawi sepanjang tempoh tersebut. Itulah yang dinamakan pengorbanan suci tulus ikhlas dengan konsep lautan api sanggup kurenangi dan lautan bara sanggup kutempuhi.

Senario paling kontroversi yang melibatkan Mawi sepanjang tempoh tersebut tentulah pengunduran AJK MawiFC yang telah dibina dengan ikhlas untuk menyokong kerjaya seni Mawi sebelum beliau keluar dari Akademi Fantasia lagi. Kontroversi tersebut telah mencalarkan sedikit kredibiliti Mawi dan juga peminatnya. Umum mengetahui secara terperinci kontroversi tersebut dan tidak perlu saya buka kembali lukanya.

Album The Best of Mawi World telah terjual hampir 160,000 unit dan album Mawi Yang Tercinta khabarnya telah mencecah 100,000 unit. Fenomena tersebut benar-benar di luar dugaan kerana ini adalah produk Akademi Fantasia. Setelah tiga tahun saya mengikuti perkembangan Akademi Fantasia, ini merupakan satu perkembangan positif yang begitu di luar dugaan dan sedikit sebanyak telah berjaya meneruskan hayat industri muzik tempatan yang semakin menuju kiamat angkara lanun cetak rompak.

Semoga sejarah atau badi Akademi Fantasia tidak turut terpalit kepada Mawi. Segala jentera pengurusan Mawi perlu digerakkan untuk terus mengekalkan nama Mawi sebagai salah seorang bintang paling popular di Malaysia. Setelah 10 tahun Siti Nurhaliza mengungguli takhta populariti, kini wajarnya mahkota tersebut diserahkan kepada bintang lain yang dirasakan lebih layak untuk menerajuinya iaitu Mawi.

Yang paling best dapat review, yang best tak dapat review...

Muzik Pilihan
Maharani - Nikki
OST Janji Joni
OST Gie
Laskar Cinta - Dewa
Siti Nurhaliza Live in Concert Royal Albert Hall, London

Filem Pilihan
Sepet
Janji Joni
Gol & Gincu
Rock
Mengejar Matahari

Teater
Life Sdn Bhd 3
Julius Caesar

Malaysian Of The Year 2005

Umum mengetahui bahawa akhbar New Straits Times telah menganjurkan satu pungutan suara melalui SMS untuk menentukan siapakah yang layak untuk memegang gelaran Malaysian Of The Year untuk tahun 2005. Saingan sengit yang berlaku antara Nicol David dan Mawi bukan merupakan satu kejutan dengan meninggalkan jauh saingan-saingan mereka termasuklah Perdana Menteri Malaysia Abdullah Badawi.

Gelaran tersebut akhirnya diraih oleh Nicol Ann David yang kini merupakan Pemain Skuasy Nombor 1 Dunia berdasarkan kedudukan terbaru ranking dunia. Kejuaraan beliau di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas di Sukan Dunia di Jerman, kejuaraan di Terbuka Malaysia, Terbuka New York, Terbuka British dan Terbuka Dunia di Hong Kong merupakan antara faktor utama beliau dilihat sebagai individu yang layak untuk gelaran tersebut.

Seperti Mawi, Nicol juga dilimpahi dengan kekayaan sekelip mata yang datang setelah kejuaraannya. Mereka masih tidak mempelajari dari sejarah akan apa yang telah berlaku kepada pasukan badminton Malaysia yang telah dianugerahi pelbagai kekayaan setelah berjaya memenangi Piala Thomas pada tahun 1992. Semoga badi kejuaraan badminton Piala Thomas tidak terpalit pada Nicol Ann David.

Jom Parti !

Hari ini merupakan hari terakhir gelaran pemenang Anugerah Weblog Terbaik (AWET) 2004 anjuran Geng Jurnal tersemat di dada blog ini. Mulai esok, seorang lagi blogger akan dinobatkan sebagai penerima AWET 2005 mengiringi blogger-blogger terdahulu seperti Rudy Bluehikari, Fajar Online, Mat Jan dan saya sendiri yang pernah merasai nikmat berada di kemuncak selama setahun.

Malam ini jika tiada aral melintang saya akan berparti di avant-garde New Year Eve Party ! di sekitar Kuala Lumpur bersama beberapa aktivis teater, penggiat seni, penulis, dan ramai lagi. Mahu sahaja berada di rumah menghabiskan masa santai bersama peti televisyen. Itu lebih afdal untuk saya yang semakin meningkat usia.

Untuk Rudy Imran, penulis lirik lagu Pinta, semoga cepat sembuh dan hari ini anda akan menerima lagi tetamu-tetamu gila yang akan memeriahkan suasana di hospital tersebut. Bersabar sahajalah kerana kesakitan akan menghapuskan dosa-dosa kecil kita. Sebagai tanda simpati, mari kita pilih lagu Pinta di Pilihanmu Di Era sehingga naik Top 5 Carta ERA. (ketawa)

Kepada semua pembaca blog saya yang merupakan teman, sahabat, kawan, rakan dan seteru saya, baik yang jujur mahu pun yang oportunis, saya menghargai sokongan anda untuk tahun 2005. Jika boleh saya senaraikan di sini, saya akan senaraikan. Tetapi saya tahu yang senarai tersebut akan menjadi terlalu panjang. You know who you are !! Semoga sokongan anda akan berterusan di tahun 2006.

Entri oleh sultanmuzaffar 27 December 2005 0 komen

Dunia Blog Yang Padat

Apakah tandanya bila anda diberikan peluang untuk melibatkan diri atau menyertai aktiviti-aktiviti blog sebegini. Mungkin itu adalah tandanya anda semakin tua. Saya cuba untuk memberikan sepenuh kerjasama sebaik mungkin kepada pihak-pihak yang ingin mendapatkan pandangan dan bantuan mereka tentang dunia blog. InsyaAllah.

Blogger Focus Group

Sudah agak terlewat untuk bercerita tentang Blogger Focus Group yang diadakan sewaktu proses persiapan untuk Projek Rumah Kaca Nikki. Antara yang hadir pada malam itu ialah Rudy Bluehikari, Nizam Zakaria, Joe Klubbkidd, BadrulAfterSix, Sekadar Media Picisan dan saya sendiri.

Majlis tersebut telah dirancangkan oleh Javard untuk salah satu kajiannya tentang komunikasi menjurus kepada dunia blog secara amnya. Perbincangan lebih terbuka kepada sudut ilmiah dan jawapan-jawapan yang diterima agak memadai.

Antara bahagian-bahagian menarik yang berlaku sewaktu perbincangan tersebut ialah kata Nizam Zakaria, blog saya dan beliau dimulakan sebagai terapi setelah berhadapan dengan hubungan cinta yang gagal. Poyo ! Rudy menyatakan yang beliau akan kembali menulis blog pada tahun hadapan. Tentu ramai yang tertunggu-tunggu ianya menjadi kenyataan.

Sesuatu yang menarik tentang kumpulan yang terpilih ini adalah mereka terdiri daripada dua kumpulan yang boleh saya bahagikan kepada pertama adalah mereka yang menjadi pencetus minat saya untuk blog dan kedua adalah mereka yang timbul minat untuk blog setelah berkongsi keseronokan melalui blog saya. Kedua-dua kumpulan ini semacam ada kaitan yang amat rapat dengan diri saya sendiri. Kami berkongsi minat yang sama dan dai minat tersebut kami meneroka atau menjelajah ke satu bidang yang lebih besar.

Seperti kebiasaan, saya kurang gemar memberikan jawapan secara langsung kerana otak saya sudah perlu sampai masanya untuk menjalani proses overhaul kerana sudah terlalu berkarat. Malam Tahun Baru nanti saya overhaul. Tiga tahun sekali, apa salahnya.

Salah satu persoalan yang menarik perhatian saya adalah tentang pengaruh blog yang boleh menyebabkan berlakunya perubahan aliran sesuatu pendirian. Pengaruh menyebabkan ramai pembaca takut kepada seseorang blogger. Menurut mereka, pengaruh yang dibawa oleh seorang blogger bisa untuk mengubah pendirian pembaca yang lain. Maka, mereka perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan sokonga blogger untuk berpihak kepada mereka. Apabila ini berlaku, pandangan yang diberikan sudah menjadi tidak telus. Ini yang menakutkan saya. Pandangan blogger sudah menjadi tidak penting kerana menurut mereka sokongan dari blogger adalah lebih penting lebih-lebih lagi yang memihak kepada mereka.

Nasihat saya cuma satu, jangan cepat terpengaruh dengan tulisan blogger. Tonton, dengar atau saksikan sendiri dan buat keputusan sendiri ikut kata hati anda. Itu lebih sesuai.

Wawancara Untuk Portal WAP Maxis

Saya telah pun menyiapkan setiap jawapan untuk wawancara yang disiapkan oleh Malique. Banyak juga soalan-soalan yang panas daripada 31 soalan yang perlu saya jawab. Keseluruhan wawancara tersebut boleh dibaca di Portal WAP Maxis apabila ia telah dinaikkan kelak. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk saya menyiarkannya di blog ini sebelum ia disiarkan oleh penulis portal tersebut.

Sebagai teaser kepada keseluruhan wawancara tersebut, saya menyiarkan satu soalan untuk tatapan pembaca saya. Selebihnya, anda perlu melayari Portal WAP Maxis untuk keseluruhan wawancara tersebut.

26.Adakah anda pernah digoda oleh pembaca yang telah jatuh cinta dengan anda? Kalau ada, adakah anda menerimanya atau mengambil kesempatan?
(ketawa)

Soal-Selidik “Bloggers writing strategy survey” oleh Zany

Saya turut menerima satu email berkenaan soal-selidik “Bloggers writing strategy survey” yang saya kira adalah berkaitan dengan blog Bahasa Inggeris. Maka secara tidak langsung, soal-selidik tersebut adalah tidak relevan dengan blog saya.

Saya menyiapkan soal-selidik tersebut dalam bentuk pautan ini untuk dimuat-turunkan oleh pembaca saya yang mempunyai blog Bahasa Inggeris dan kemudiannya dihantarkan kepada pengirim email tersebut.

Muat-Turun Soal Selidik

Questionnaire About Akademi Fantasia, Malaysian Idol and Mentor oleh Nor Rosmawati

Soal-selidik yang kedua adalah berkaitan dengan Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan Mentor yang telah dikirimkan oleh Nor Rosmawati melalui email.

Saya menyiapkan soal-selidik tersebut dalam bentuk pautan ini untuk dimuat-turunkan oleh pembaca saya yang meminati program-program tersebut. Mudah sahaja ! Jika anda ingin menjawab soalan tersebut, anda hanya perlu boldkan jawapan anda dan hantar semula jawapan tersebut kepada pengirim email tersebut.

Muat Turun Soal-Selidik

Wawancara bersama Radio MMU

Tahun 2006 bakal bermula tidak berapa lama lagi. Tahun tersebut saya bakal mulakan dengan sebuah wawancara yang telah dirancang bersama Radio MMU pada 5 Januari 2006. Wawancara tersebut boleh didengar melalui internet di Radio MMU. Khabarnya ia akan berkisar tentang blog dan pengaruhnya kepada masyarakat. Pengaruh lagi.

Saya tidak pasti sama ada siarannya adalah secara langsung atau dirakamkan terlebih dahulu seperti ERA. Yang pasti ia menggerunkan saya kerana saya memang fobia siaran secara langsung walaupun melalui medium radio.

Entri oleh sultanmuzaffar 24 December 2005 0 komen

Ulasan Filem : Baik Punya Cilok
Ramai yang suka dengan filem ini, tetapi saya sebaliknya. Entah. Bila terbaca sinopsis filem ini sewaktu menonton previu filem ini beberapa minggu yang lalu, saya tertarik dengan ceritanya. Ringkas. Empat orang sahabat baik. Seorang Tauke Wong yang tamak haloba. Sepasang kerongsang. Apabila direalisasikan di layar ia semacam ada yang kurang. Mungkin kerana jenaka versi Afdlin dan rakan-rakan teaternya saya sudah biasa tonton. Maka filem ini semacam stand-up comedy versi lebih panjang.

Ada beberapa aspek yang saya suka dalam filem ini iaitu lakonan Awie sebagai Bob yang kental jiwa-jiwanya. Kalau sebelum ini Awie sering diberikan watak-watak mat rock juga hero filem bercorak romantis. Selain daripada itu watak Naa Murad yang tebal slang Kelantannya berbahasa Inggeris. Ia mampu membuatkan saya terjaga menonton lakonannya. Ada sesuatu yang penonton boleh dapat setelah keluar dari panggung wayang selain hiburan, mereka boleh mendapat sedikit pengajaran tentang makna “cilok”. Hidup kita sentiasa perlu awas dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Sekurang-kurangnya moral dari filem tersebut mengajar saya tentang keseluruhan hidup. Penggunaan tok dalang yang bercerita untuk adegan flashback sangat lawak dan ada kelainan. Begitu juga dengan suara ikan yang digunakan sebagai narration. Ia semacam filem ini dilihat dari pandangan seekor ikan. Mungkin.

Ada beberapa aspek yang saya kurang suka dalam filem ini iaitu suntingannya yang agak kelam-kabut. Saya jadi pening. Beberapa watak tidak dikembangkan dengan baik dan ada diantaranya seperti trying too hard macam watak Harith Iskandar dan Ida Nerina. Kedua-dua watak ini tidak berjaya menarik minat saya. Adegan pertarungan di penamat filem ini terlalu lama. Nyaris saya tertidur. Selain daripada itu kejutan-kejutan selamba yang ingin dicipta dalam filem ini semacam sudah boleh dijangkakan oleh saya. Tidak wajar untuk saya ceritakan di sini, nanti menjadi spoiler pula.

Kepada sesiapa yang masih belum menonton Baik Punya Cilok, anda tentu menyukainya kerana buat masa ini rata-rata kawan-kawan yang saya temui menyukai filem ini kecuali saya. Saya pun tidak faham mengapa kali ini selera saya jauh berbeza dari mereka, mungkin juga harapan yang tinggi saya berikan kepada Afdlin Shauki setelah menonton Buli. Anda tentu mahu mencari kelainan dalam filem ini yang tidak saya temui. Jom ke panggung ramai-ramai, jangan pedulikan ulasan saya !

Saya suka : lakonan AC Mizal (Jim Carrey Malaysia) dan Naa Murad (scene-stealer)
Saya tidak suka : Adegan pertarungan akhir yang terlalu lama

Ulasan Lain :
Sekadar Media Picisan
Mukeh
TontonFilem
Zeo
AriffSamani
Dari Kacamata Ku
Mat Jan

King Kong Pun Nak Join JU

Seawal satu jam filem ini saya tidur. Apabila terkejut dengan raungan King Kong baru saya terjaga. Entah. Mungkin kerana saya sudah lama tidak menonton filem Inggeris.

Menonton filem ini seperti menonton ulangan pelayaran dengan kapal dalam filem Titanic, kemunculan T-Rex dan velociraptor dalam Jurassic Park, memanjat bangunan tinggi dalam Spider Man, makhluk-makhluk pelik seperti dalam Alien, pengembaraan dalam Indiana Jones The Last Crusade dan juga adegan pemusnahan King Kong seperti adegan perperangan dalam Pearl Habour. Macam kapal terbang mainan kapal terbang tu. Dalam masa tiga jam, banyak filem dapat ditonton dengan hanya RM11.00. Bayangkan sekiranya ada remake filem King Kong oleh pengarah Malaysia. Tentulah King Kong akan panjat bangunan paling tinggi di dunia iaitu Menara Berkembar Petronas sampai ke Sky Bridge dan duduk bertenggek kat tengah-tengah jambatan itu. Jangan ada sesiapa yang bising saya kata bangunan itu masih paling tinggi di dunia. Kita sebagai Melayu kena bangga dengan bangunan itu. Itu kan identiti kita, towering Malay katanya.

Kalau bukan kerana Jiwang United, saya tidak akan pergi menonton filem ini. Lebih melonkolik, King Kong juga sudah ada aura-ura ingin memohon sebagai Ahi Kehormat Jiwang United.

Jika diberi pilihan lain, saya lebih rela menonton Baik Punya Cilok sekali lagi dari menonton King Kong. Cintailah filem Melayu. Tengok, jiwa Melayu saya masih kuat lagi.

Ulasan Lain :
Ruhayat X

Teater Lembah Semantan & B’Badi
Stor Teater DBP


Sesudah 50 tahun Wan Shamsiah sengaja dedahkan nama Wan Hakim kerana tidak mahu sejarah dibawa ke mati. Dia ada kerinduan terhadap masa silamnya. Dia dan arwah suaminya juga bertugas di Post Home Guard untuk mengawal ketenteraman kampung. Dialah yang menjahit bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dihadiahkan kepada Wan Hakim. Dialah yang menyaksikan bagaimana pencalonan wakil rakyat bertukar daripada nama Wan Hakim kepada Tengku Long. Dialah yang menyaksikan pertarungan dua sahabat, Wan Hakim dan Mahadi, demi kebenaran. Dia amat tahu Wan Hakim hanya berjuang demi Kemerdekaan tanah air dan tidak berdendam dengan Tengku Long yang menikahi kekasihnya, Asmah.

Kesempatan yang ada pada Wan Shamsiah apabila cucunya ingin membuat tugasan pelajar Tingkatan 2 : Kajian Tokoh Tempatan, Tugasan Lapangan Luar telah mendedahkan siapa Wan Hakim. Malah, telah membabitkan nama Tengku Gafar. Tengku Gafar, usahawan yang berjaya, tetapi melupakan sejarah, jasa pejuang dan ayahnya, Tengku Long.

Saya sering mengikuti lakonan Sarina Aziz dalam beberapa teater terdahulu. Nampak ada kelainan dalam lakonannya kali ini. Kepelbagaian watak yang dibawa oleh beliau sebelum ini telah berjaya mematangkan beliau. Saya suka dengan variasi dan tidak stereotype.

Teater ini dibantu dengan latar bunyi yang baik. Para pemuzik telah mewujudkan ambience kepada teater ini serta menyampaikan sedikit rasa kepada penonton untuk menghayati teater ini.

Fakta yang betul adalah tunjang utama dalam penghasilan cerita yang bercorak sejarah dalam mana-mana skrip teater. Sedikit kesilapan tentunya mencacatkan naratif teater tersebut. Kewujudan bendera Malaysia dalam teater ini boleh dipertikaikan.

Saya paling suka dengan salah satu dialog dalam teater ini yang berbunyi, “Sejarah boleh ditutup dengan baju tetapi parut dari kesan sejarah akan dibawa sehingga ke mati.” Banyak kesan sejarah yang terpaksa kita tanggung sehingga ke mati. Tidak perlu saya senaraikan di sini, biarlah kita fikir sendiri dan mengenangnya satu-persatu sebagai salah satu kesilapan kita yang tidak dapat dibaiki lagi.



B’Badi menceritakan tentang Qori Cabang Empat Beris yang memang sudah lama berhajat untuk berdepan dengan Pok Nik Tok Che Leh. Selagi nama Pok Nik Man tidak jatuh selagi itulah nama Qori tidak akan berada di atas. Dia sedar bahawa Pok Nik Man adalah nama yang cukup besar. Daripada dia kecil lagi nama Pok Nik Man sudah disebut orang. Kehebatannya bukan sahaja diakui dalam negeri Kelantan, malah juga di Terengganu, Pahang dan selatan Siam. Ramai juga kaki-kaki samseng di Kuala Lumpur anak buah Pok Nik. Tapi Qori tidak kurang hebatnya berbanding Pok Nik. Walaupun jarak usia mereka ternyata jauh, tapi pengalaman Qori tidak boleh diperkecilkan.

Akhirnya mereka bertemu dalam satu peristiwa di mana tenaga dan pengaruh mereka diperlukan dalam menyelesaikan satu kes penculikan yang melibatkan seorang yang berpengaruh di Kelantan. Haji Rashid Tukang Emas dan telah diculik dan dibawa ke Siam. Pok Nik Man dan Qori dianggap orang yang layak untuk menjejaki Haji Rashid berdasarkan hubungan mereka dengan orang-orang di selatan Siam.

Cerita B’Badi bermula ketika mereka bertemu di sebuah pangkalan haram di tebing Sungai Golok. B’Badi (Berbadi) bermaksud suka berlumba-lumba (mengatasi satu sama lain)

Kekuatan utama teater ini adalah lakonan penuh berpengalaman dari Sabri Yunus dan Wan Hanafi Su. Kedua-dua mereka boleh saya sifatkan sebagai jagoh dalam bidang lakonan teater. Mereka bermula dari teater dan membawa mereka ke dunia drama serta filem. Pelakon yang baik akan bermula dari teater dan inilah yang telah dibuktikan oleh mereka.
Lakonan mereka bersahaja dan penuh dengan karektor. Dibantu oleh cerita yang baik, teater ini telah berjaya mengangkat satu nashkah yang ringkas tetapi penuh bermakna. Dengan menggunakan slanga Kelantan, setiap butir cerita yang ingin disampaikan telah berjaya hampir kepada penonton. Saya terhibur dengan sebuah cerita yang ringkas dan lakonan mantap dalam teater ini.

Perkembangan Terkini Teater
Masih ingat saya pernah bercerita tentang senario teater Malaysia yang agak lesu sejak akhir-akhir ini. Khabarnya, teater Lantai T.Pinkie The Musical akan menyusul pula setelah Puteri Gunung Ledang The Musical di Istana Budaya. Antara pelakon yang telah disunting untuk teater muzikal karya Datuk A.Samad Said itu ialah Erra Fazira, Nasha Aziz, Umie Aida dan Fauziah Ahmad Daud. Saya tidak sabar. Kalau ada kelapangan masa, saya mahu ke Istana Budaya untuk meninjau peluang-peluang ujibakat untuk diwar-warkan kepada pembaca blog saya.

Selamat Hari Natal
Saya mengucapkan Selamat Hari Natal kepada pembaca blog saya yang menganut agama Kristian di Malaysia. Semoga hari tersebut menjanjikan seribu satu kebahagian buat semua. Merry XMas !!

Entri oleh sultanmuzaffar 22 December 2005 0 komen

Projek Rumah Kaca Nikki : Bahagian Keempat

Apabila saya tergerak memberikan sokongan padu saya kepada Nikki, ada pihak yang mula bersuara menyuarakan ketidakpuashatian mereka. Kata mereka saya mula pilih kasih. Tidak salah untuk saya membuat pilihan kerana hidup adalah proses membuat pilihan. Kita yang menentukan pilihan kita bukan orang di sekeliling kita. Pilihan yang terbaik adalah di tangan kita.

Nyaris
Saya nyaris tidak terlibat dengan projek ini kerana di awal perancangannya berlaku sedikit salah faham dengan Joe Klubbkidd kerana isu Mawi vs MawiFC. Nama saya hampir dipadamkan dari senarai jemputan untuk Pre-Listening Album Maharani walaupun saya di antara yang mula-mula mengetahui tentang idea Rumah Kaca tersebut. Kalau sudah peluang saya di situ, tentulah tidak ke mana. Akhirnya segala kekusutan kembali usai kerana tiada gunanya meneruskan perselisihan faham hanya kerana bintang realiti yang pasang surut popularitinya tidak menentu. Persahabatan yang bersifat jangka panjang adalah yang perlu lebih dijaga daripada yang lain.

Kali Pertama
Kali pertama saya, Badrul dan Juan mendengar lagu Caramu di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke Bangsar, saya menyatakan pandangan pertama saya tentang lagu tersebut. “Ini ke produk yang ko nak aku promote ?” ujar saya kepada Joe Klubbkidd. Kami ketawa. Muka Joe memang merah padam menahan marah. Lagu Caramu yang saya dengar itu adalah sebelum melalui proses mixing. Bunyi drumnya macam bunyi ketuk baldi. Lagu itulah yang berkali-kali diulang oleh Joe untuk kami dengar sampai tidak sanggup lagi saya dengar. Jangan salah faham kerana lagu Caramu waktu itu adalah nyanyian solo Nikki dan belum lagi dimasukkan vokal Zahid. Ada juga yang bersuara nanti mengatakan saya tidak sukakan lagu tersebut kerana Zahid.

Album tersebut perlu dilancarkan kepada umum dan Projek Rumah Kaca Nikki adalah satu idea yang gila dan perlu dilaksanakan. Saya tertarik dengan konsepnya kerana saya memang gilakan sesuatu yang realiti sama seperti realiti TV. Walaupun ada beberapa idea yang tidak dapat dilaksanakan kerana kesuntukan masa tetapi ia merupakan satu projek yang boleh saya sifatkan berjaya. Walaupun bukannya berjaya untuk semua, cukup sekadar merupakan satu kejayaan untuk diri saya sendiri.

Rata-rata mereka yang menyokong projek ini adalah mereka yang berada di dalam kelompok Akademi Fantasia. Malaysian Idol dan Akademi Fantasia adalah seperti minyak dan air yang terlalu mustahil untuk dicampur-adukkan bagi sesetengah pihak. Bintang-bintang realiti TV yang sudi menyatakan sokongan mereka kepada Nikki juga ialah mereka yang lahir dari program Akademi Fantasia seperti Zahid, Mawi, Marsha, Kaer, Farah dan Nana. Ke mana perginya bintang Malaysian Idol seperti Daniel, Nita dan Dina ? Yang hadir cuma Jaclyn Victor, itu pun atas jemputan peribadi dan bukannya melalui pihak pengurusan mereka. Sayang sekali, projek yang boleh saya sifatkan agak unik ini turut tidak mendapat sokongan dari krew Melodi.

Projek ini turut mendapat sokongan seratus peratus dari ERA. Buat pertama kalinya ERA terlibat dalam pelancaran sesebuah album artis baru. Tentunya ada sesuatu yang kita sendiri tidak nampak, tetapi mereka yang berada di ERA telah lama nampak.

Open Your Mind
Melibatkan diri untuk bekerja dengan pelbagai perangai manusia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Ada di antaranya memberikan saya peluang untuk mengenali sifat-sifat mereka dengan lebih dekat dan memahami karektor masing-masing dengan lebih mendalam.

Cepat bertindak juga merupakan satu ciri penting apabila terlibat dalam projek yang pasukannya tidak besar. Hanya sekitar 20 orang sahaja dan tentunya kami perlu melakukan hampir semua kerja dan mendapat kerja-kerja sampingan tanpa diduga. Satu hari saya boleh diserahkan untuk menyiapkan siaran akhbar, esok saya boleh diarahkan untuk menjadi photoblogger dan kemudiannya menjadi pembawa cenderamata. Semua orang adalah multi-tasking. It was fun !

We were very lucky to have Ted as a stand-up comedian yang menghiburkan kami dengan jenaka-jenakanya. Boleh dilihat pada gambar klasik di tengah-tengah hujan beliau berpayung menjaga muka pintu Rumah Kaca tersebut. Banyak cerita-cerita sebalik tabir yang ingin diceritakan tetapi itulah kemanisan yang lebih baik dirasai sesama sendiri tetapi bukan dengan orang lain.

Cara saya melihat sesuatu projek-projek besar juga pastinya berubah selepas ini tetapi terus mengekalkan pandangan kritis yang diharapkan dapat memantapkan lagi setiap projek yang saya sertai.

Lagi satu yang saya belajar dalam projek ini ialah jangan under-estimate mereka yang muda-muda. Kadang-kadang idea mereka lebih bagus dari mereka yang senior dan adakalanya pandangan mereka terhadap sesuatu isu lebih matang. Apa yang kita tidak nampak, mereka boleh nampak. Apabila dibincangkan, kami mencapai satu kata putus yang lebih seimbang. Maka keputusan tersebut adalah keputusan terbaik yang diperolehi.

Sekiranya sebelum ini saya ada rasa prejudis terhadap bangsa lain, saya bersyukur kerana senilah yang telah berjaya membuatkan saya membuang sikap tersebut. Mungkin tidak seluruhnya, tetapi cukup sekadar sebagai satu permulaan yang positif. Bekerja dengan pelbagai bangsa membolehkan sifat toleransi lebih diperolehi. Saya sedar tidak ramai yang berkemampuan untuk keluar dari kelompok Melayu mereka untuk sama-sama menerima bangsa atau kaum lain untuk sama-sama berkerjasama dalam satu-satu projek. Wujudnya sikap prejudis tersebut sebenarnya adalah racun kepada proses pembinaan sebuah bangsa Malaysia yang lebih berjaya.

Sikap “kita hanya perlu menyokong kerja Melayu/Islam, kerja bangsa lain tidak perlu disokong” perlu dihindarkan. Kalau menyokong kerja Melayu pun boleh sampai mana, kecuali menyokong kerja Melayu kroni kerajaan.

Semalam Majlis Makan Malam Terima Kasih dibuat di Madam Kwan’s Bangsar. Ramai juga yang hadir antaranya ialah Nikki, Vernon, Syed, Ted, Joe Klubbkidd, Audi Mok, Rudy Imran, Aylwin, Najmie dan Terry. Dapat lagi satu CD Maharani. Buat susah-susah aje. Sudah ada sebuah cukuplah, buat apa beri lagi satu. Lebih baik jual saja CD tersebut. Saya belajar lebih lanjut tentang Media Manipulation 101. Welcome to the real world, SM !

Saya telah menghabiskan masa-masa yang berkualiti dengan pasukan ini selama tiga hari bersemayam di Istana Kaca, Bukit Bintang. Terima kasih Nikki, Ning Baizura, Vernon, Jinggo, Shah Security, Terry, Aylwin Santiago, Audi Mok, Syed Sobrie, Rudy Imran, Ted Ridzuan Michael, Joe Klubbkidd, Badrul dan Najmie

Ulasan :