Minggu ini merupakan satu minggu yang paling sibuk untuk saya. Pagi tadi saya ke lokasi penggambaran telefilem "Rebab Tidak Bertali". Jika ada dari anda yang menonton Gala TV pukul 10 malam tadi tentu mengetahui tentang telefilem itu. Ia merupakan lakonan pertama Diddy. Walaupun telefilem itu untuk siaran RTM, saya pergi juga.
Saya masih tidak faham apabila bekerja dengan satu stesen televisyen secara eksklusif, maka laporan berita harus tidak boleh memberikan publisiti kepada produk stesen lain. Contoh yang paling dekat ialah sewaktu Anugerah Skrin. Saya berkatakan berkali-kali bahawa yang ingin diberikan publisiti ialah pemenangnya dan bukan penganjurnya. Tanpa saya berikan publisiti pun apabila disebut Anugerah Skrin, ianya sudah diberikan gambaran jelas kepada Media Prima.Katakan apabila Aznil Nawawi menang lagi dengan Macam Macam Aznil atau Mamat Khalid menang dengan Kala Malam Bulan Mengambang dan saya tidak berada di situ. Maksud saya bukan saya secara peribadi tetapi Astro AWANI.
Berbalik kepada cerita Diddy dan Rebab Tidak Bertali. Yang perlu diberikan publisiti ialah Diddy dan telefilem itu sekadar menjadi latarbelakang. Kalau kena cara cerita diolah, saya pasti yang diberikan publisiti ialah personaliti itu dan bukannya stesen televisyen yang menyiarkan telefilem itu.
Saya tetap merasakan kita perlu bersikap terbuka kerana dunia seni kita bukannya besar mana pun.
Seperti yang saya katakan tadi minggu ini minggu yang amat sibuk. Setiap hari ada saja acara atau majlis yang perlu dihadiri. Hari ini ada Astro Mega Drama Screening yang bakal menayangkan beberapa drama baru untuk bulan Disember. Esok pula seperti minggu lepas saya perlu menghadiri pertemuan mingguan untuk kononnya Wedding Of The Year.
Sebelah petang ada sessi wawancara bersama penyanyi legenda Ramli Sarip dan penyanyi malar segar Khatijah Ibrahim. Kedua-duanya penyanyi kegemaran bapa saya. Mereka akan mengadakan Konsert di Dewan Filharmonik Petronas 17 & 18 November ini. Bukan selalu dapat peluang bertemu dengan penyanyi bertaraf legenda seperti mereka.
Hari Jumaat pula sekali lagi hari filem. Kali ini pula filem Afdlin Shauki iaitu Los & Faun bakal ditayangkan kepada media. Sudah lama saya tunggu filem ini dan akhirnya ia ditayangkan. Saya difahamkan Stephen Rahman Hughes akan turun ke majlis tersebut. Lagipun pada hari Sabtu sebuah lagi acara iaitu StarMaker Boot Camp akan berlangsung. Program anjuran Enfiniti Productions itu akan turut dikendalikan oleh Hang Tuah.
Bercakap tentang Puteri Gunung Ledang The Musical, nampaknya untuk musim terbaru ini saya akan terlibat. Sebagai apa ? Tungggguuu...

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tayangan Unggul Sdn. Bhd. kerana berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik Anugerah Skrin 08 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang. Filem arahan Mamat Khalid itu juga berjaya menggondol anugerah Pengarah Terbaik.
Pertama kali filem itu menang di Festival Filem Malaysia ke 21 ramai yang mempertikaikan kemenangannya. Tidak kurang juga cakap cakap belakang yang memandang sinis kemenangan pengarah filem Man Laksa, Zombie Kampung Pisang dan Rock itu. Pedulikan cakap-cakap belakang itu.Mamat Khalid menang lagi ! Tidak lama lagi Mamat Khalid menerusi syarikat produksinya akan menayangkan filem Estet. Wow ! Saya tidak sempat lagi menonton filem terbaru Mamat itu. Tetapi saya telah menonton filem Talentime arahan terbaru Yasmin Ahmad yang ceritanya masih berlatarbelakangkan komuniti India.
Yasmin Ahmad pula menang Anugerah Khas Juri kerana memartabatkan filem Malaysia ke pesada antarabangsa. Seperti yang kita tahu filem Yasmin telah mengembara ke seluruh dunia demi mengangkat nama baik perfileman Malaysia.Bukan satu, malah semua filemnya hebat di luar negara. Walaupun usahanya dipandang sinis oleh sesetengah pihak, baik di kalangan penggiat filem sendiri mahu pun sebilangan wartawan.
Satu lagi yang agak mengecewakan ialah apabila Analisis AWANI kalah kepada Macam-Macam Aznil dalam kategori Rancangan Bual Bicara Terbaik. Walaupun program cetusan Aznil Hj Nawawi itu menang tetapi saya kecewa juga kerana program kendalian Suhaimi Sulaiman tewas.
Anugerah Skrin ini saya sudah boleh cap sebagai Asian Television Awards versi Malaysia. Penganjuran lebih professional dan berkredibiliti berbanding sebuah lagi penganjuran majlis anugerah yang melibatkan penerbitan televisyen di Malaysia. Walaupun ia sepatutnya sebaliknya.
Oleh itu lebih sesuai sekiranya kategori dipelbagaikan. Kalau tidak seperti Emmy Awards pun dapat jadi seperti Asian Television Awards pun sudah cukup baik. Kalau susah sangat jadikan Anugerah Skrin ini setaraf Anugerah Seri Angkasa.
Apabila meletakkan Analisis AWANI dengan Macam-Macam Aznil amat tidak sesuai. Apa tah lagi diletakkan sebaris dengan program seperti Al-Kuliyyah, dan Bersama Dr.Fadilah Kamsah. Program Blog boleh dikatakan sama kategori.
Penambahan kategori memang amat diperlukan untuk merancakkan lagi persaingan antara stesen televisyen. Menang kalah itu lain cerita. Telus atau tidak pun lain cerita. Bak kata Mamat Khalid kita perlu memberikan sokongan kepada industri kita sendiri tanpa mengira peluang untuk menang atau pun kalah.
Ada banyak kategori boleh diperkenalkan seperti Rancangan Berita Terbaik, Rancangan Hiburan Istimewa Terbaik, Rancangan Hiburan Terbaik, Rancangan Infotainmen Terbaik, Penyampai Berita Terbaik, Pengacara Hiburan Terbaik dan banyak lagi. Tapi kasihan pula kat penyampai radio yang tidak berpeluang dan hanya perlu menunggu Anugerah Seri Angkasa. Tapi mana ada yang kekal kan di dunia ni, semuanya boleh diubah.
Bukan saja Anugerah akan lebih gah malah akan lebih diterima baik oleh stesen televisyen di Malaysia dan penggiat-penggiatnya. Kan lebih bagus !
Cukup cerita tentang itu. Saya sebenarnya lebih tertarik untuk bercakap mengenai skrip Anugerah Skrin yang baru saja berlangsung. Lupakan cerita yang buruk, kita bercerita tentang yang baik-baik saja.Dalam banyak-banyak segmen yang ada, saya tertarik dengan segmen pengacara serba boleh Aznil Hj Nawawi dan pelakon Zul Huzaimy menyampaikan anugerah. Skrip yang mereka lontarkan sesuatu yang segar dan melucukan.
Di situlah miliknya kredibiliti seorang pengacara terbaik dan pelakon terbaik apabila berada di atas pentas. Spontan idea mereka melucukan dan menjadi antara segmen yang diingati penonton.
Sebagai buktinya anda boleh melihat sendiri skrip asal yang sepatutnya dilontarkan oleh mereka berdua.Aznil bakal muncul dengan sebuah filem baru Cicakman 2 – Planet Hitam dan Zul Huzaimy pula menerusi filem Wayang yang bakal ditayangkan mulai 13 November ini.
Reaksi penulis skrip Anugerah Skrin boleh dibaca di sini.
Sebelum ini saya telah memiliki sebuah sistem teater rumah dari jenama yang lain, maka saya perlu memikirkan sambungan wayar yang perlu dibuat tanpa perlu membuang sistem teater rumah yang lama. Lagi pun seluruh sistem bunyi berpunca dari jenama lama itu. Hendak tak hendak, saya perlu mengekalkannya.
Sambungan ke dekoder Astro juga perlu dijaga agar kesilapan pada sambungan tidak menyebabkan salah satu dari peralatan itu tidak berfungsi dengan baik. Mujur saya baca panduan yang diberikan dengan teliti dan setiap sambungan menjadi kenyataan.
Kini, setiap DVD yang saya beli saya gunakan dengan pemain DVD Samsung. Sistem bunyi dari sistem teater rumah banyak memberikan kelebihan kepada pemain DVD baru saya itu. Perbezaan ketara apabila pemain DVD itu boleh menghasilkan mode slow motion.
Selain itu, pemain DVD itu ada Progressive Scan yang membolehkan imej yang terhasil di televisyen lebih berkualiti dan jelas. Dengan televisyen yang saya ada sekarang, hasilnya tetap baik. Tetapi ia mungkin berbeza jika televisyennya dari jenama Samsung. Lebih-lebih lagi kalau televisyen yang ada sambungan kabel HDMI. Televisyen saya sekarang tidak punya sambungan kabel HDMI. Mungkin Samsung boleh taja televisyen yang baru. :)
Oleh kerana minat saya terhadap fotografi begitu menebal, maka satu lagi keunikan pemain DVD ini ialah terdapatnya USB port yang membolehkan saya menyambungnya dengan storan luar saya. Imej-imej yang saya rakamkan dengan kamera DSLR saya boleh ditonton di televisyen saya. Ia memudahkan saya untuk melihat versi yang lebih besar berbanding melihatnya di skrin komputer.
Bukan itu saja, segala drama bersiri dan filem yang saya muat turun di internet juga boleh saya tonton menggunakan pemain DVD itu. Pemain DVD itu boleh membaca format MPEG4. Selain itu, muzik dalam format MP3 dan WMA juga boleh dibaca oleh pemain DVD itu. Ia banyak memudahkan saya.
Pemain DVD itu juga boleh menghasilkan fail audio dalam format MP3 dari CD audio yang dimainkan oleh pemain DVD itu. Pemindahannya dibuat menerusi USB port yang ada. Senang sekali !
Fungsi HDMI atau High Definition Multimedia Interface membolehkan kualiti audio dan visual yang dihasilkan oleh DVD menjadi lebih berkualiti pada televisyen yang mempunyai kualiti HDMI. Itu pun jika ada televisyen HDMI. Tidak perlu berlapik-lapik, senang cakap seperti televisyen LCD jenama Samsung. :)
Bila dilayari laman web Samsung, nampak seperti mereka sudah mengeluarkan pemain Blu-ray. Perrghhh ! :)
http://www.samsung.com.my
Last-last Pierre Andre jugak. Dia hadir. Untuk wartawan media cetak memang peluang itu ditunggu-tunggu. Pasal dah lama Pierre menyepi. Aku pulak sebagai wartawan media elektronik yang tak ambik tau pasal isu tersebut hanya menjadi pendengar. Aku cuma minta cameraman ambik cutaways. Lagipun aku tak ikut isu tu dari awal.
Alih-alih niat awal untuk interview Pierre tentang filem lakonan dia terpaksa aku lupakan. Pierre dah blah dari majlis tu. Semuanya angkara kebencian dia terhadap seorang wartawan yang berada di situ. Aku lihat Pierre menjawab setiap soalan yang diajukan oleh wartawan kepadanya kecuali soalan dari seorang wartawan. Kalau ikutkan apa yang Pierre buat tu memangnya betul. Dah dia tak mahu jawab. Itu hak dia.
Kita pun kalau polis tahan kita di tengah jalan, kita ada hak untuk tidak jawab apa yang polis tanya. Kita ada hak untuk pastikan ada peguam bersama kita. Apakah kuasa wartawan lebih besar dari kuasa polis ? Tentu sekali tidak.
Wayang : Cinta Di Sebalik Kelir...Sekiranya filem Wayang ditonton oleh semua pelajar UITM dan juga bekas pelajar UITM pastinya filem ini akan memecahkan kutipan box-office filem di Malaysia. Kenapa Wayang perlu ditonton ? Sebabnya mudah. Filem Wayang diterbitkan oleh Universiti Teknologi Mara, Institut Pengurusan Penyelidikan dan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UITM.
Sepatutnya anda berbangga ianya dihasilkan oleh alma mater anda. Bukannya orang lain. Jika bukan anda yang menyokongnya, siapa lagi. Bilangan penonton ke pawagam Malaysia harus diperbesarkan kerana banyak lagi filem-filem yang menantikan tayangannya di pawagam.
Bilangan penonton yang sudi menonton filem Melayu akan bertambah dengan cukup banyak sekiranya anda menonton filem ini. Bayangkan jumlah pelajar UITM di seluruh Malaysia yang dianggarkan ratusan ribu dan itu tidak termasuk jumlah bekas pelajar universiti itu.
Anda patut menyokong filem ini kerana ini filem anda !
Wayang sebuah filem yang baik. Hebat jika boleh saya katakan. Lebih-lebih lagi dari aspek lakonan dan sinematografinya. Kekuatan utamanya terletak pada lakonan yang bersahaja para pelakonnya, baik yang lama mahu pun yang baru. Keindahan visualnya penuh bermakna memberikan lebih penelasan kepada watak yang terdapat di layar perak. Gabung jalin antara kisah cinta di luar kelir dan di sebalik kelir sungguh mengagumkan.
Cinta Awi lakonan Zul Huzaimy dan Melor lakonan Mas Muharni, seorang buta dan seorang sengau hanya bertunjangkan cinta pada sekadar bunyi dan gerak. Awi jatuh cinta hanya dengan menilai bunyi kerana tidak dapat melihat. Melor jatuh cinta hanya dengan menilai gerak di sebalik kekurangan yang ada padanya.
Jika dilihat kembali, cinta Ramayana dan Sita Dewi juga hanya berasaskan gerak dan bunyi yang berlaku di sebalik kelir wayang kulit. Begitu kukuhnya aspek penceritaan yang ditulis oleh Prof Dr. Hatta Azad Khan menjadi sebuah filem yang boleh saya sifatkan berjaya.
Tanpa mengenepikan elemen budaya, filem ini amat kukuh pegangan budaya Malaysianya. Filem ini menurut Dr. Hatta bukannya sebuah filem tentang wayang kulit tetapi sebuah filem cinta yang hanya berlatarbelakangkan sebuah perkampungan yang ada wayang kulit. Ia bercerita tentang kehidupan yang berlaku kepada seorang tok dalang iaitu permasalahan yang dihadapi dalam kehidupannya dan interaksinya dengan watak-watak lain.Jika beliau mahu membuat filem tentang wayang kulit, lebih baik buat dokumentari tentang wayang kulit yang memperhalusi setiap proses menghasilkan patung wayang kulit dan permainannya di sebalik kelir.
Antara visual menarik yang terdapat dalam filem ini ialah ketika Awang Lah berdepan dengan sepupunya Jusoh. Api kemarahan Awang Lah yang digambarkan melalui besarnya api di pemetik api ditiup padam oleh Jusoh yang sedang ketakutan. Awang Lah melepaskan Jusoh kemudiannya tanpa melakukan apa-apa.
Wayang merupakan filem percintaan bunyi dan gerak di sebalik kelir yang digabungkan dengan berkesan oleh Prof Dr. Hatta Azad Khan. Kali terakhir beliau mengarah filem ialah pada tahun 1990 menerusi filem Mat Som dan membawa pulang Anugerah Lakon Layar Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 9. Filem kedua garapan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UITM itu bakal menemui penonton pada 13 November depan.Sinopsis
Awang Lah, seorang dalang tersohor, tiba-tiba didepani masalah mengajar wayang kulit kepada seorang kanak-kanak lelaki buta dan seorang kanak-kanak perempuan bersuara sengau. Kekecewaannya terhadap anak sendiri yang tidak mahu mendekati panggung wayang kulitnya, membuatkan Awang Lah berusaha keras mengajar dan kanak-kanak istimewa itu. Awi sekalipun buta tetapi mampu menghafal cerita-cerita wayang kulit dengan baik, dan Melor pula pandai melukis patung dan menggerakkannya di kelir mengiringi cerita yang dituturkan Awi.
Setelah dewasa Awi mencuba berbagai gaya tersendiri menyelitkan unsur jenaka pada cerita-cerita dari hikayat Ramayana. Percubaan Awi tidak disenangi Awang Lah yang menganggap wayang kulit adalah seni yang tidak boleh dipinda atau diubah. Awang Lah menjadi bertambah serabut dengan gangguan Jusoh, sepupunya yang menganggap wayang kulit adalah bertentangan dengan agama.Cinta berputik antara Awi dan Melor. Jusoh yang menaruh hati pada Melor menjadi marah dan mula mengganggu Awi, sehinggakan Awi tertuduh membakar panggung wayang kulit Awang Lah. Awang Lah mendepani Jusoh setelah mengetahui dari Awi siapa sebenarnya yang membakar panggung wayang kulitnya. Awang Lah memberi amaran kepada Jusoh supaya tidak lagi menganggu Awi dan mengusik Melor. katanya kedua-dua remaja itu adalah tanggung-jawabnya seperti anaknya sendiri.
Awang Lah terjatuh sewaktu bermain wayang kulit. Persoalannya: mampukah Awi dan Melor meneruskan warisan kesenian wayang kulit? Adakah Awi yang buta dapat menghadapi Jusoh? Bolehkah anak lelaki Awang Lah yang kini remaja menerima wayang kulit? Adakah Awi dan Melor dapat hidup bahagia seperti Seri Rama dan Sita Dewi dalam cerita wayang kulit yang mereka mainkan?Wayang dicalonkan dalam 12 kategori di Festival Filem Malaysia ke 21 termasuk Filem Terbaik dan hanya pulang dengan Anugerah Khas Juri dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Zul Huzaimy Marzuki.
Oleh Elrafaei Sapi
PADA 6 September tahun lalu jam 6 pagi, buat kali pertama siaran Astro Awani (saluran 501) ditayangkan pada khalayak. Ketika itu, Pengarang Input Kanan merangkap penyampai berita, Zaiful Ariffin diberi tanggungjawab mengendalikan program Awani Global.
Berbeza dengan pencapaian awal Awani setahun lalu, kini sambutan penonton terhadap saluran itu makin positif. Tentunya kejayaan saluran ini tidak hanya diukur pada sambutan penonton menerusi rating, tetapi pengenalan program baru yang memenuhi citarasa ramai.
Program khas Undi 2008 yang diadakan sempena Pilihan Raya Umum pada Mac lalu dan siaran langsung Gala TV mengenai pengumuman berita perkahwinan Mawi bersama Ekin baru-baru ini, antara program terbaik yang mencatatkan kejayaan buat Awani.
Meraikan ulang tahun pertama Awani, Pengurus Besar Awani, Rozina Aziz berkata kejayaan Awani selama ini didukung kakitangan mereka yang banyak berkorban masa dan tenaga ketika bekerja.
Untuk mengisi slot siaran berita selama 24 jam tanpa henti, komitmen penuh kakitangan amat penting dan bersedia pada bila-bila masa apabila diperlukan.
Katanya, bekerja di Awani memberi cabaran berbeza kerana penyampai berita dituntut melakukan pelbagai tugas. Jika sebelum ini seorang penyampai hanya dipertanggungjawabkan mengendalikan satu program saja, tetapi di Awani, mereka perlu menyesuaikan diri untuk mengacara dua hingga tiga program sehari.
"Ada penyampai yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan penyiaran sebelum ini. Itu memberi kelebihan pada mereka faham dengan tugasan mencari berita.
"Dalam menggilap personaliti mereka menjadi penyampai TV, kami melihat bagaimana mereka melakukan stand upper di depan kamera. Dari situ, kami dapat tahu sama ada mereka mempunyai gaya seorang penyampai atau tidak.
"Sebelum penyampai beraksi di depan kamera, kami turut menyediakan latihan untuk mereka. Masa latihan berbeza mengikut pengalaman penyampai masing-masing.
"Ada latihan singkat selama tiga minggu dan paling lama menjangkau hingga enam bulan. Dulu ketika mula Awani beroperasi, kami juga mempunyai latihan menyeluruh untuk semua penyampai.
"Buat masa ini, Zaiful bersama Penerbit Eksekutif, Suhaimi Sulaiman bertanggungjawab dalam melatih penyampai di Awani. Suhaimi terbabit dalam aspek temu bual dan program wawancara manakala Zaiful tertumpu pada teknik menyampai berita.
"Selepas setahun, Awani mempunyai program yang lebih fokus pada laporan berita yang ingin disampaikan. Menariknya, kami menyampaikan berita tempatan dan antarabangsa mengikut perspektif kami sendiri," katanya.
Berbeza dengan saluran Astro sedia ada, Rozina percaya unit berita di Awani mempunyai kekuatan dan keunikan pada penonton.
Malah, program berkonsep liputan khas sering kali menarik perhatian penonton di Awani.
Penekanan isu semasa tidak hanya meliputi berita tempatan, tetapi antarabangsa.
Sebagai contoh, menerusi program Debat Presiden Amerika Syarikat, penonton tempatan berpeluang mengikuti perkembangan politik di sana dan Atma Asia Khas: Umno - Transformasi, Awani menyediakan platform secara terbuka pada semua calon yang bertanding jawatan dalam Umno untuk memberi pandangan mereka sendiri terhadap perjuangan parti.
Selain isu politik, Awani juga memberi fokus pada isu wanita menerusi WW yang dihoskan Dangsuria Zainurdin dan program Sudut Pandang yang memberi analisa mendalam terhadap sesuatu isu.
Di samping menyampaikan berita, Awani berpendirian mahu menyalur maklumat menyeluruh pada penonton.
Bermula 6 September lalu, Awani juga memperkenalkan dua program baru iaitu Bisnes Awani dan Sukan Awani.
Bisnes Awani memberi fokus pada perkembangan pasaran kewangan dan pelaburan dunia yang memberi kesan secara langsung pada pasaran tempatan dan ia disiarkan selama 15 minit pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 1.30 petang, 6.30 petang, 9.30 malam dan 11.30 malam.
Sukan Awani pula disiarkan selama 15 minit sejurus Bisnes Awani. Berdasarkan respons penonton terhadap program di Awani, Rozina berkata kejayaan yang dicapai membanggakan. Biarpun tidak menyiarkan jumlah rating, tetapi kredibiliti penyampai dan program yang dikendalikan memberi keyakinan Awani mampu mencipta banyak kejayaan selepas ini.
"Setiap penyampai mempunyai kecenderungan pada bidang yang mereka minat. Kami melihat sesuatu kerja itu lebih mudah dilaksanakan jika penyampai itu pakar dalam bidang berkenaan.
"Di Awani, kami menampilkan gabungan penyampai untuk menjadikan suasana program bertambah menarik dan hangat dalam membincangkan topik yang dibawa. Sebagai saluran berita baru, kami bukan mahu bersaing dengan stesen atau saluran berita lain, tetapi mahu memberi penghargaan pada penonton yang memilih saluran kami," katanya.


Malam itu juga merupakan birthday Ashwad. Hadiah paling bermakna untuk Ashwad bila diberikan peluang mewawancara Tun Dr. Mahathir bersama Suhaimi Sulaiman. Oleh itu ramai juga lah rakan-rakan wartawan dari akhbar lain yang turut hadir. Bukan kerana Tun. Dr. Mahathir, tetapi kerana Ashwad. Kiranya birthday Ashwad ada tetamu kehormat lah. Kau ada ?Malam itu juga tumpuan datang dari Tingkat Empat. Go figure.
Nota Terkini Template : Entri-entri terpilih setiap tahun kecuali tahun 2002 telah pun dikemaskinikan, cuma belum disusun dengan baik. Begitu juga dengan entri terpilih Seni. Anda boleh mendapatkan arkib entri blog ini yang terdahulu di situ. Selamat bernostalgia !
Kecenderungan golongan muda yang rakus berkarya begitu meluas ketika ini. Selain merebaknya populariti band indie, golongan muda kreatif terus mempamerkan kreativiti mereka di layar perak. Menerusi filem pendek, minda golongan muda cuba diterokai dan dizahirkan di skrin putih.Projek terbaru Sindiket Sol-jah iaitu MASKARA Shorties akan menemui peminat filem pendek pada 1 November ini. Tayangan tersebut akan diadakan di Rumah PENA pada pukul 8.30 malam.
Sebanyak 20 penyertaan filem pendek telah diterima oleh penganjur dan antara nama besar yang sudi turun padang ialah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia 21, Mamat Khalid.
Karya yang bakal ditayangkan ialah :
1. Sebuah Karangan Bertajuk Kuala Lumpur, arahan Geng Sifoo
2. SMS, arahan Ajami Hashim
3. 8 Jam, arahan CW Mohd Faiz dan Mohd Nazri Zainuddin
4. My Alien Girlfriend, arahan Nazri M.Anuar
5. Melayu 106, arahan Mamat Khalid
6. Grip Phone, arahan Tok Rimau
7. Surat Seorang Ibu, arahan Saiful Nang
dan ada banyak lagi sinopsis karya di Maskara Shorties ! Jumpa di sana !





25/10/2008 6:14pmKOTA BHARU 25 Okt. – Penyanyi popular, Mawi mengumumkan wang hantaran perkahwinannya dengan Ekin sebanyak RM30,000 serba satu.
Beliau berkata, keluarganya juga akan menghantar 11 dulang hantaran dan dibalas Ekin tujuh dulang. Pasangan itu dijadual melangsungkan perkahwinan pada 20 Disember.
- Utusan
Malam ini, jam 10 malam Gala TV akan menyiarkan wawancara eksklusif mengenai wang hantaran yang disimpan selama lima hari di dalam peti besi. Malam ini juga Gala TV akan mewawancara Datuk Sheila Majid secara langsung di Astro AWANI (Saluran 501).
Ning Baizura yang merupakan antara pemenang pertama di Anugerah Industri Muzik hilang dari pandangan selepas memenangi anugerah berprestij itu. Pengurusnya silih berganti. Semuanya tidak menjadi. Ada orang kata kalau mahu berjaya kita kena kuat berangan. Maka Ning dipertemukan dengan seorang pengurus yang sememangnya kuat berangan iaitu Vernon.
Ada orang kata lagi, jangan terlalu kuat berangan nanti jadi macam Mat Jenin yang akhirnya mati jatuh pokok kelapa. Ning berjaya mencipta nama. Anugerah demi anugerah di AIM dimenanginya antaranya Video Muzik Terbaik, Lagu Terbaik, Album Pop Terbaik, Artis Baru Terbaik dan Album Terbaik. Bukan itu sahaja, Anugerah ERA, Anugerah Bintang Popular juga pernah dimenangi oleh beliau.
Hari ini mencatat satu lagi sejarah dalam hidup Ning Baizura apabila beliau membubarkan Ning & Associates. Sekaligus membuat keputusan untuk menguruskan dirinya sendiri tanpa Vernon. Artis di bawah naungan Artistes United Record (AUR) iaitu Nikki, Yanie & Nubhan kini akan terus berada di bawah naungan AUR. Ning menarik diri dari syarikat tersebut.
Spekulasi bertiup kencang mengaitkan punca "perpisahan" itu disebabkan oleh sikap pengurusnya yang dilihat lebih memihak kepada Nubhan. Turut dikaitkan juga dengan campurtangan suaminya. Yang mana satu betul, sukar untuk diluahkan oleh mereka. Peribadi katanya.
Harapan saya Ning Baizura akan terus berjaya menempuh haluan masing-masing. Ini bukan kes "mak buang anak", juga bukan kes "cerai talak tiga", juga bukan kes "cemburu buta". Hanya mereka yang tahu.
Teks Ucapan Ning
Salam..
Terlebih dahulu, saya minta maaf kalau saya kena refer pada nota saya, kerana ini bukan pekara yang mudah untuk saya lakukan.. Jadi dalam situasi ini saya nak pastikan yang saya tak merepek dan membuang masa semua orang hari ini.
Selama 16 tahun dalam bidang seni, saya telah lalui berbagai pengalaman, pahit manis, positive and negative. Alhamdullillah saya sentiasa bersyukur kerana dikurniai oleh Allah dengan bakat yang seadanya, kematangan, keyakinan, kekuatan dan keinginan untuk sentiasa menambahkan ilmu untuk terus berjaya dalam bidang yang sangat saya sayangi ini.
Saya amat berterima kasih kerana dapat melakukan semua itu dengan adanya seorang sahabat, abang, business partner dan pengurus seperti Vernon Kedit. Hasil dari segala tunjuk ajar, kasih sayang, semangat yang beliau berikan dan segala pengalaman yang kami timba bersama selama lapan tahun telah memberi saya kekuatan dan keyakinan untuk berdikari.
Dengan ini, saya dan Vernon telah bersepakat untuk membubarkan Ning & Assoc. yang kami sayangi demi memulakan episod baru dalam kerjaya kami masing-masing. Ning & Assoc. yang kami bina bersama akan sentiasa menjadi tanda kejayaan Vernon Kedit dan Ning Baizura.
Artiste United Records juga telah saya serahkan bulat-bulat kepada Vernon, dan sesungguhnya saya yakin artiste-artiste di bawah naungan label ini akan terus berjaya dengan segala bimbingan dan tunjuk ajar seorang yang berkaliber seperti Vernon. Tetunya mereka akan mendapat yang terbaik yang pernah saya sendiri peroleh bersama beliau dulu.
Saya percaya, di lubuk hati Vernon, beliau pasti berbangga dengan kekuatan, keberanian dan azam saya untuk menguruskan kerjaya saya sendiri mulai dari sekarang. Namun ini tidak bermakna kami tidak akan bekerjasama lagi kerana industri kita ini kecil and we will always support each other.
Dari itu, dengan secara rasmi, saya ingin mengumumkan bahawa mulai hari ini, saya mulakan tanggungjawab utama saya iaitu menguruskan dan mengendalikan show-show saya sendiri. Ini bererti, sesiapa yang ingin menjemput saya membuat persembahan, sila hubungi nombor; 012-**** *** atau email kepada ningbaizura@rocketmail.com.
Saya akhiri dengan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada pihak media, teman-teman rapat, dan tentunya Vernon yang selama ini sentiasa memberi saya semangat dan sokongan yang tidak putus-putus. Saya harap anda semua akan terus menyokong dan berdoa untuk kejayaan kami masing-masing.
Ikhlas
NING BAIZURA HAMZAH DALTON
























