Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Suara Alam Maya

Entri oleh sultanmuzaffar 02 March 2008

Jangan ketinggalan mendapatkan Kosmo Ahad hari ini. Ada wawancara bersama saya dan Budiey.

SERING bertemu tetapi tidak pernah bertegur sapa, dua penulis blog hiburan terkenal, SM dan Budiey hadir dengan menyarung corak baju belang - barangkali secara kebetulan.

Menanti seorang lagi teman yang tidak kunjung tiba, diskusi kami bermula tentang kepuasan dan kelebihan menulis gosip dan berita hiburan di alam maya.

Bagaimanapun saya hanya menemu bual 'teman' dari forum Cari.com menerusi telefon.

Apa ada pada penulisan mereka yang menyaksikan Budiey menerima sehingga 15,000 hit sehari dan SM, 4,000 hit sehari sejak berkecimpung dengan dunia penulisan blog ini.

Sementara www.cari.com.my yang berada dalam tangga lima laman web paling popular di Malaysia ini menerima hit sebanyak 35 juta sebulan dengan 350,000 ahli berdaftar.

Bagaimana boleh bermula menulis blog?

B: Sebab minat. Saya gemar menulis terutama isu yang berkaitan dengan dunia hiburan. Asalnya saya kerap memberi komen dalam blog orang lain. Lama-kelamaan saya fikir kenapa tidak memiliki blog sendiri dan melahirkan semua pendapat saya.

Dari situ, saya mula menulis blog dan saya memilih medium ini sebab ia mampu membentuk satu komuniti yang boleh berinteraksi secara dua hala dengan lebih cepat dan telus.

SM: Idea datang pada tahun 2002 selepas tengok banyak blog Melayu lain. Namun pencetus utamanya datang daripada Bluehikari.com. Saya suka membaca catatan penulis blog ini terutama tentang pengalaman hariannya.

Jadi saya pun mula menulis dan catatan pertama saya adalah tentang agenda harian saya. Selepas itu baru saya menulis tentang isu lain termasuk hiburan.

C: Forum Cari.com wujud sejak tahun 1996. Namun ia menjadi popular selepas tahun 2000 dengan dikendalikan oleh individu yang berbeza untuk setiap topik.

Kami bukan sekadar mempunyai ruangan gosip tetapi ada juga ruangan politik, hobi, isu semasa dan banyak lagi. Namun saya tak nafikan gosip merupakan ruangan paling popular dalam forum ini.

Berapa pengunjung yang masuk pada awal pembabitan kalian?

B: Minggu pertama iaitu dari 7 Januari 2005, saya hanya menerima kunjungan sebanyak 50 hit sebelum mencapai sehingga 15,000 setiap hari kini.

SM: 100 pengunjung pada minggu pertama saya menulis. Lagipun pada tahun 2002 blog tidak begitu terkenal lagi. Dan saya hanya menulis tentang agenda diri, bukannya mengenai hiburan atau gosip.

Sesetengah media cetak tidak menyenangi kehadiran individu seperti kalian dalam kebanyakan majlis kerana bahan maya boleh disiarkan lebih pantas?

SM: Saya melihat hal ini dari sudut menyampaikan maklumat dengan lebih cepat. Kami penulis blog mempunyai kelebihan kerana medium Internet lebih cepat daripada medium cetak yang hanya mengeluarkan berita tersebut sehari selepas kejadian. Berbeza dengan kami, habis sahaja majlis, berita akan pantas tersebar.

B: Saya fikir tak perlu rasa tercabar sebab peranan kita sama iaitu menyampaikan maklumat. Semua orang pun boleh menyalurkan maklumat itu dengan pelbagai cara.

SM: Ya, lihatlah persaingan ini secara sihat. Lagipun kita tak boleh halang perkembangan teknologi yang semakin canggih. Jika kami tidak menulis mengikut medium ini, orang lain mungkin mempunyai cara lain untuk menyalurkan maklumat itu.

Dan suatu hari nanti siapa tahu akan wujud medium yang lebih canggih daripada Internet? Pokoknya tetap berbalik kepada maklumat yang kita ada.

B: Saya nak tambah. Mungkin ada yang kurang senang kami boleh berada di sesebuah majlis. Sebenarnya kami datang atas undangan. Jika tiada jemputan kami tak datang.

Dan selalunya kami tidak akan masuk campur dalam sesi temu bual atau sidang media artis, sebaliknya kami datang sebagai pemerhati, kemudian pulang dan kemas kini maklumat yang kami dapat hari itu.

Persaingan di antara penulis blog hiburan sendiri bagaimana?

SM: Memang ada persaingan, tetapi saya melihat ia sebagai sihat. Malah kami sendiri bersahabat dan selalu bertukar-tukar maklumat. Di Malaysia, ada sekitar 10 orang penulis blog hiburan yang aktif selain kami.

Mereka juga sebenarnya terdiri daripada orang yang terlibat dalam industri seperti pengurus artis dan wartawan.

B: Ya, ini persaingan positif. Macam media cetak juga. Semua teman lain juga menulis perkara yang sama, tetapi masih berkawan.

Tapi ada orang kata penulis blog bukan penulis hiburan yang bertauliah?

SM: Memang betul. Kami bukan orang yang bertauliah untuk menulis. Tetapi ia signifikan apabila ada interaksi daripada orang ramai dan kita boleh berdiskusi dengan bahan yang kita tulis.

Misalnya saya boleh berinteraksi dengan baik bersama Afdlin Shauki, Yasmin Ahmad dan Tiara Jacquelina kerana karya-karya mereka yang saya ulas.

Dan saya berasa diiktiraf kerana dijemput oleh pihak Astro sendiri untuk hadir menyaksikan konsert Akademi Fantasia (AF) sebagai pemerhati selepas saya menulis mengenai konsert itu pada awal ia diterbitkan.

B: Soal bertauliah ini sebenarnya kembali kepada individu itu sendiri. Apabila menulis menggunakan bahasa yang betul dan disertai etika, gosip itu tidak akan menyusahkan kita kelak. Dan macam SM cakap, kita jadi 'bertauliah' sebab ada komunikasi dua hala dengan komuniti. Ada respons.

Soal etika pula macam mana? Dah kritik kemudian buat tak kisah sebab orang bukannya kenal siapa kalian?

SM: Tak boleh macam itu. Etika saya adalah bertanggungjawab terhadap setiap penulisan saya. Saya tak akan larikan diri atau baling batu sembunyi tangan.

B: Selain menjaga bahasa, saya sangat menjaga etika saya dengan tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.

Macam mana pula dengan Cari.com yang pengendali atau penulisnya takut dikenali kononnya sebab 'sudah buat salah'?

C: Ia hak peribadi. Sebenarnya penulis-penulis di Cari.com juga tidak mengenal antara satu sama lain kerana masing-masing berselindung di sebalik nama samaran.

Malah pernah terjadi, saya pergi ke satu majlis, ambil gambar dengan seorang artis, tiba-tiba gambar itu diletak di ruangan ini.

Orang yang mengambil gambar itu tidak tahu saya ialah salah seorang daripada empat pengendali ruangan ini dan saya pula tak tahu dia ialah pemberi maklumat gosip saya.

Tapi selalunya gosip yang diletakkan dalam forum ini agak keterlaluan sehingga menjatuhkan maruah seseorang artis?

C: Benar, saya akui. Dalam hal ini, kami memang agak keterlaluan kerana orang tidak kenal kami, jadi kami boleh buat dan tulis apa sahaja.

Namun saya melihat hal ini dari dua sudut. Pertama ia bergantung kepada pemberi maklumat itu sendiri. Dan kedua kepada pengendali yang mengawal gosip-gosip yang dihantar.

Secara peribadi, saya berpendapat kawalan gosip di ruangan ini memang agak longgar sehingga mampu menjatuhkan maruah seseorang artis.

Kalau boleh pada masa akan datang kami mahu memantau gosip yang agak keterlaluan ini. Tapi sekarang, sudah banyak artis yang masuk dan menjawab gosip-gosip yang disebarkan. Ini bagus kerana ia menunjukkan sikap keterbukaan artis terhadap kami.

Pernah kena serang dengan artis sebab mengkritik mereka?

B: Belum pernah. Tapi selalunya kami menjadi kawan sebab komunikasi dua hala di blog masing-masing. Misalnya seperti hubungan saya dengan Natasha Hudson.

SM: Tak pernah. Tapi baru-baru ini saya menemu ramah Fauziah Ahmad Daud (Ogy). Dia mula perasan saya adalah SM dan dia kata banyak kali you dont like me, sebab saya pernah kritik dia dulu. Namun kalau ada kesempatan berborak dengan dia, saya nak jelaskan, saya bukan tak suka dia dan kenapa saya kritik dia.

Apa topik yang selalunya digemari?

B: Datin Seri Siti Nurhaliza dan Akademi Fantasia. Dan tentunya gosip.

SM: Sama. Malah saya sendiri jadi terkenal sebab saya menulis mengenai AF sejak dari musim pertama dulu. Kalau tidak kerana AF, saya mungkin masih menulis tentang agenda harian.

Sehingga tahap mana ketaksuban kalian terhadap penulisan blog ini?

B: Sehingga tahap saya berhenti kerja. Bermula pertengahan Mac ini, saya akan menjadi penulis blog sepenuh masa kerana saya mahu memberi fokus pada penulisan blog hiburan di samping mengawal beberapa blog saya yang lain.

SM: Suatu ketika dahulu, pada tahun 2005 saya juga pernah berhenti kerja selama setahun sebab nak beri fokus dan jadi penulis tetap.

Berbaloi ke?

SM: Berbaloi sebab saya mendapat sumber kewangan daripada iklan yang masuk ke dalam blog saya. Tambah berbaloi kalau musim AF.

B: Ya, berbaloi dan kalau nak tahu, seseorang penulis blog yang sudah terkenal mampu mengumpul sebanyak RM3,000 hingga RM6,000 sebulan dengan hanya duduk selama 30 minit sehari mengemas kini data blog mereka. Semuanya hasil daripada iklan yang masuk ke blog kami.