Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Showing posts with label blog4ft. Show all posts
Showing posts with label blog4ft. Show all posts

Rukun Negara : Sejauh Mana Kita Mengamalkannya ?

Entri oleh sultanmuzaffar 26 January 2010 View Comments

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak :

  • mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ;
  • memelihara satu cara hidup demokratik ;
  • mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;
  • menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ; dan
  • membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :
  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Rukun Negara tidak seharusnya ditinggalkan usang dalam lipatan buku sekolah lama...

Bagi setiap rakyat Malaysia, pastinya pernah melafazkan Rukun Negara sewaktu berada di sekolah satu ketika dahulu dan bagi mereka yang masih bersekolah, pastinya rutin itu masih diteruskan sehingga sekarang. Doktrin itu telah pun disemai sejak alam persekolahan lagi, namun sejauh mana doktrin itu telah meresap dalam tubuh kita dan mengalir bersama darah dalam tubuh kita ?

Mungkin hanya sekadar lafaz tetapi tidak memahami isi yang selalu kita baca sejak dulu lagi. Di manakah silapnya ? Adakah kita mengetahui akan sejarah mengapa Rukun Negara diwujudkan ? Saya sendiri tidak tahu tetapi setelah melakukan beberapa kajian di internet, barulah saya faham. Persoalannya, adakah kita mahu belajar dari sejarah untuk melangkah ke hadapan ?

Prinsip Rukun Negara dihasilkan setelah melihat pepecahan yang berlaku angkara tragedi 13 Mei 1969. Tragedi hitam itu turut melanda beberapa lokasi di Kuala Lumpur. Kita harus melihat sejarah walau sepahit mana pun sejarah itu sebagai penawar untuk langkah-langkah kita yang akan datang.

Oleh itu dengan terhasilnya Rukun Negara yang lahir hasil pemikiran Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak selepas tragedi itu bertujuan untuk menyatukan semua kaum di bawah satu ideologi kenegaraan yang sama dan bersepadu. Rukun Negara harus menjadi panduan kepada setiap rakyat negara ini dan perlu diteruskan bagi melahirkan rakyat yang berkualiti dan bersatu dalam satu kesepaduan.

Kesedaran rakyat berbilang kaum tentang hidup dalam suasana harmoni perlu ditekankan agar setiap rakyat tidak bertindak mengikut prinsip tertentu atas dasar politik, agama mahu pun bangsa. Kehidupan tidak harmoni yang telah diterapkan kesan penjajahan British dan Jepun telah memberikan kesan yang cukup mendalam pada negara kecil ini. Dasar pecah dan perintah telah merosakkan usaha untuk mengharmonikan rakyat Malaysia. Justeru, rakyat perlu kembali disedarkan bahawa wujudnya nilai-nilai yang menyeluruh kea rah perpaduan dan persefahaman kaum.

Maka Rukun Negara digariskan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam melahirkan rakyat yang hidup aman dan damai walaupun berbeza bangsa dan agama. Masyarakat yang demokratik yang meletakkan kuasa di tangan rakyat dalam menentukan kerajaan menerusi pilihanraya yang bebas. Masyarakat yang adil dalam pengagihan kekayaan dan kemakmuran negara. Masyarakat yang progesif dalam mewujudkan warganegara yang berbudaya ilmu demi mewujudkan rakyat yang cukup pengetahuan untuk membangunkan negara. Masyarakat yang liberal yang diberikan kebebasan mengamalkan budaya kaum serta memelihara budaya kebangsaan.

Demi mengikat dan membina perasaan dan semangat cintakan negara di kalangan rakyat, Rukun Negara diisytiharkan secara rasminya oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970. Usaha itu diteruskan untuk kekal sebagai panduan kepada rakyat di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan kampung.

Saya cuba untuk melihat kembali 5 prinsip dalam Rukun Negara sebelum melihat situasi negara yang berlaku kini atau mungkin mengimbas kembali sejarah-sejarah yang pernah berlaku di negara ini apabila prinsip tersebut tidak dihayati.

Saya mengambil contoh blog adukataruna yang kini sedang hangat diperkatakan ramai. Perbuatan blogger tersebut yang menghina Almarhum Sultan Johor jelas melanggar lima prinsip Rukun Negara yang mana saya pasti blogger tersebut di zaman persekolahannya pernah melafazkan lima prinsip tersebut.

Kepercayaan kepada Tuhan : Harus kita percaya, kurangnya atau ketiadaan kepercayaan pada agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang, bangsa dan juga negara. Kerendahan peribadi tanpa asas kepercayaan agama yang kukuh antara menyebab berlakunya kes sedemikian. Tetapi malangnya, kes sedemikian masih lagi berlaku di negara ini.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara : Melihatkan kenyataan yang dilontarkan oleh blogger tersebut ternyata prinsip kedua ini tidak diendahkan. Bagi seorang rakyat, mereka harus menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada SPB Yang Di Pertuan Agong dan Sultan yang memerintah.

Keluhuran Perlembagaan : Nampaknya blogger tersebut sebagai seorang rakyat Malaysia gagal untuk menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran serta kemuliaan Perlembagaan Negara sebagai asas dan sumber perundangan yang tertinggi.

Kedaulatan Undang-Undang : Kita perlu sedar, tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat di negara ini tidak akan aman dan stabil. Undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat untuk berasa selamat di negaranya sendiri. Apa yang telah dilakukan oleh blogger tersebut jelas melanggar undang-undang.

Kesopanan dan Kesusilaan : Di mana letaknya personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat apabila sanggup menghina seorang Sultan ? Asas ini amat penting dalam membentuk seorang warganegara yang bersopan santun dan bersusila baik sesama manusia walau tanpa mengira pangkat, bangsa dan agama.

Menilai kembali lima asas Rukun Negara, apakah kita sebagai rakyat Malaysia telah dan masih mengamalkan apa yang telah digariskan?

Rujukan : http://ms.wikipedia.org/wiki/Rukun_Negara

RoomAtlas Wilayah Persekutuan

Entri oleh sultanmuzaffar View Comments

Untuk kemudahan pelancong asing yang ingin melancong ke Malaysia, saya menyarakan kepada mereka untuk melayari laman web RoomAtlas yang menyediakan senarai hotel yang terdapat di seluruh dunia termasuk di Malaysia.


Jika anda melayari www.roomatlas.com, di skrin anda akan terpapar ruang untuk carian bandar. Saya menaip Kuala Lumpur dan kini di hadapan saya terpapar senarai hotel berserta lokasi kedudukannya di dalam peta Kuala Lumpur. Saya mengecilkan skop entri blog saya kali ini hanya untuk Wilayah Persekutuan.

Ia amat memudahkan saya kerana saya boleh untuk memilih sama ada untuk tinggal di dalam bandaraya atau pun di pinggir bandaraya. Di atas skrin itu juga terpapar secara jelas pilihan harga hotel-hotel tersebut. Tanpa perlu melayari laman web hotel tersebut satu persatu, saya sudah mendapat hampir kesemua maklumat yang diingini di atas satu skrin.

Skala harga hotel ditandakan dengan empat warna berbeza iaitu harga istimewa/khas, kurang dari USD75, USD75-USD150 dan lebih USD150 semalam.


Melalui carian roomatlas, saya mendapat tahu yang harga hotel paling mahal ialah Mandarin Oriental Kuala Lumpur yang berharga USD191 semalam. Dari situ, pelancong yang berhajat untuk menginap di hotel tersebut boleh membuat tempahan secara online.

Dari maklumat yang tertera menunjukkan hotel tersebut merupakan hotel bertaraf lima bintang. Pelancong boleh memilih tarikh untuk mendaftar masuk dan pilihan tarikh untuk mendaftar keluar.


Aplikasi laman web ini amat memudahkan pelancong terutamanya pelancong asing untuk berurusan dengan pengusaha hotel di Wilayah Persekutuan. Bukan sekadar Kuala Lumpur, malah untuk Putrajaya juga terpapar beberapa hotel yang terdapat di sana. Walaupun pilihannya masih tidak banyak, ia cukup memadai.

Cadangan saya agar diperbanyakkan lagi pilihan hotel di dalam aplikasi laman web tersebut. Buat masa kini, masih lagi sedikit berbanding bilangan sebenar hotel yang terdapat di Kuala Lumpur. Ia bukan saja memudahkan malah menjimatkan masa. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bersama Kementerian Pelancongan harus memainkan langkah proaktif menyarankan cadangan tersebut kepada setiap hotel di Kuala Lumpur khususnya dan Malaysia amnya untuk menyenaraikan hotel mereka dalam aplikasi laman web tersebut.


Sebenarnya saya menggunakan aplikasi laman web ini untuk menempah hotel penginapan saya di Dubai bulan Februari depan. Ia amat menyenangkan saya kerana setiap urusan dilakukan secara online. Ada banyak pilihan untuk saya pilih di Dubai dan Abu Dhabi. Sewajarnya ia menjadi ikutan yang baik untuk Malaysia.

Arus perubahan teknologi internet memudahkan urusan percutian anda ke Malaysia.



Sebelum ini saya tidak pernah menjejakkan kaki saya ke Desa ParkCity, Kuala Lumpur. Saya hanya mendengar tentang projek tersebut dan melawat “showroom” projek komuniti itu sekitar tahun 2003. Hari ini, saya menjejakkan kaki saya ke sana. Projek komuniti Desa ParkCity bermula pada tahun 2002 dan bakal siap sepenuhnya 2011 meliputi kawasan seluas 473 ekar sekaligus Desa ParkCity boleh dianggap sebagai pembangunan sebuah komuniti paling terancang yang terletak di pinggir Kuala Lumpur. Desa PakCity dihubungkan melalui Lebuhraya Damansara Puchong dan terletak 35 minit perjalanan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, 15 minit ke Mont Kiara, 20 minit ke Pusat Bandar Bukit Damansara dan 25 minit perjalanan ke Petaling Jaya.

View Desa Parkcity, Kuala Lumpur, Malaysia in a larger map

Saya berpeluang untuk bertandang ke kawasan komuniti tersebut untuk satu penggambaran “online video commercial” yang dilaksanakan oleh Astro bersempena pelancaran ASTRO B.yond, perkhidmatan televisyen berdefinisi tinggi (HD).


ASTRO memilih untuk melakukan penggambaran tersebut di Waterfront, Desa ParkCity. Pertama kali saya menjejakkan kaki saya ke sana. Melangkah masuk ke sebuah komuniti yang aman dilengkapi suasana yang sungguh nyaman.

Ketika saya tiba di kawasan tersebut sekitar jam 9 pagi, bumi Desa ParkCity baru sahaja dilimpahi hujan. Susana sungguh menyegarkan dan lebih-lebih lagi hari itu merupakan hari Ahad, dengan tiadanya kesesakan lalulintas menjadikan suasana sungguh tenang.

Memilih blogger untuk menjadi jurucakap kepada sebuah produk baru sememangnya taruhan paling besar dilakukan ASTRO. Saya tidak perlu mewar-warkan kehebatan produk baru tersebut. Walaupun saya telah pun memilikinya dan merasakan ASTRO B.yond sangat hebat. Itu antara kelebihan menjadi kakitangan apabila dapat merasai pengalaman berdefinisi tinggi (HD) lebih awal dari pelanggan biasa.


Sebaliknya, sebagai blogger saya diminta untuk mengumumkan azam saya yang akan dirakamkan dalam format HD untuk versi online. Mujur juga bukan versi televisyen kerana wajah yang kusam, belum tentu sesuai untuk dirakamkan dalam format HD dan ditayangkan di televisyen HD. Apa elemen yang sebelum ini tidak kelihatan di televisyen biasa, akan kelihatan di televisyen HD. Amat bahaya sekali !

Giliran saya tiba. Berada di hadapan kamera memang suatu yang agak menggusarkan saya. Walaupun ada sedikit pengalaman bersama program Gala TV untuk ASTRO Awani, saya masih kekok untuk bercakap dengan kamera. Saya gemar bercakap dengan komputer, tetapi tidak kamera. Bayangkan kegusaran di minda saya apabila rakaman itu dibuat dalam format HD. Saya terbayang bagaimana agaknya rupa rambut, rupa wajah, gaya percakapan semuanya akan jelas kelihatan. Aduh ! Namun saya gagahkan juga.


Beberapa hari sebelum menjelang Tahun 2010, saya telah menghantar senarai azam tahun baru saya tahun ini. Jika ramai orang memilih untuk meletakkan azam tahun baru, saya meletakkan azam suku pertama tahun 2010. Tiga azam tersebut telah pun berada dalam diari saya untuk saya lunaskan satu persatu, bukan sekadar omong kosong, malah ia satu realiti yang harus saya tunaikan.

Azam Suku Pertama Tahun 2010
1. Saya berazam untuk menulis sebuah buku yang akan membawa pembaca menyusuri bagaimana bermulanya blog sultanmuzaffar sehingga apa yang telah saya perolehi menerusi blog hari ini.
2. Saya berazam untuk menterjemah entri blog yang akan datang ke dalam Bahasa Inggeris
3. Saya berazam untuk menikmati dasar laut dan menyelam scuba di negara Timur Tengah


Tiga azam yang saya senaraikan bakal direalisasikan antara bulan Januari hingga April tahun 2010. Bukan omong kosong. InsyaAllah. Pada bila-bila masa di bulan Januari ini saya akan menerima bantuan sebuah portal berita yang masih belum boleh saya umumkan untuk menterjemah entri blog saya ke dalam Bahasa Inggeris. Kerjasama ini saya anggap sebagai “win-win situation”. Saya memerlukan mereka, dan mereka memerlukan saya. Tunggu sahaja pengumumannya tidak lama lagi. Pada bulan Februari pula saya akan berlepas ke Abu Dhabi dan Dubai, UAE. Jika diizinkan, saya akan menyelam scuba di Semenanjung Musandam. Dalam tempoh tersebut, saya akan sibuk menyunting entri blog lama berkenaan filem dan teater untuk dibukukan. Buku tersebut atau “blook” bakal diterbitkan menjelang April depan. Buku itu tidak sekadar mengambil entri lama berkenaan filem dan teater yang asal sahaja sebaliknya akan turut disertakan komentar mengenai perkembangan dan diselitkan dengan isu-isu terkini. Sudah sampai  masanya saya memberi balik kepada golongan pembaca buku yang semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini. Kematangan lapan tahun menulis blog harus dizahirkan dengan sesuatu yang positif untuk pembaca buku mahu pun pelayar internet. Medium blog bukan untuk pembaca entri "sampah".

InsyaAllah. Saya tidak mahu azam hanya tinggal sekadar azam. Azam perlu direalisasikan bukan sekadar untuk diluahkan sahaja setiap tahun baru.


Saya turut disoal satu lagi soalan tentang azam sekiranya saya berpeluang untuk merakamkan pengalaman menyelam scuba dalam format HD. Jawapan saya mudah sahaja. Kita sedia maklum kualiti visual yang dirakam dalam format HD amat tinggi. Pastinya saya mahu berkongsi pengalaman tersebut dengan penonton ASTRO B.yond tentang bagaimana rasanya berada di dasar laut. Lokasi pilihan saya adalah Pulau Sipadan, Sabah. Semua orang tahu, Malaysia memiliki destinasi menyelam scuba yang terbaik di dunia iaitu Pulau Sipadan. Menerusi visual berformat HD, pengalaman berada di dasar laut boleh dirasai dengan hanya berada di ruang tamu rumah mereka. Keajaiban kehidupan dasar laut Pulau Sipadan harus dikongsi bersama dengan penonton ASTRO B.yond menerusi perkhidmatan televisyen berdefinisi tinggi.

Ingat ! Azam tahun baru bukan sekadar omong kosong yang menjadi perkara wajib setiap 25-31 Disember setiap tahun. Azam tahun baru perlu direalisasikan. Saya telah merakamkan azam suku pertama tahun 2010 dalam format HD dan dijadikan bukti sekiranya saya gagal. Perlukah saya tertekan dengan pengumuman ini ? Doakan semuanya akan berjaya. InsyaAllah.


Nota : Versi video HD akan saya sertakan apabila siap disunting oleh pihak produksi ASTRO dalam sedikit masa lagi.

Pusing Satu Kuala Lumpur

Entri oleh sultanmuzaffar 14 December 2009 View Comments

Salah satu cara paling mudah untuk pusing satu Kuala Lumpur ialah dengan menaiki KL Hop On Hop Off. Satu hari saya bosan di rumah dan memandangkan kamera DSLR saya perlu diuji kecemerlangannya, saya ambil keputusan untuk mencuba perkhidmatan KL Hop On Hop Off.

Saya pandu kereta ke MTC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang mana lapang pakir keretanya agak besar dan beli tiket saya di situ. Bas Hop On Hop Off bukan suatu yang baru di dunia kerana bandaraya-bandaraya utama dunia seperti London dan Paris telah lama memulakannya.

Tiket untuk perkhidmatan ini dibezakan dengan empat kategori iaitu :

1. Umum
2. Orang Kurang Upaya, Kanak-Kanak dan Pelajar
3. Umum Promosi MyKad (rakyat Malaysia)
4. Orang Kurang Upaya, Kanak-Kanak dan Pelajar Promosi MyKad (rakyat Malaysia)

Setiap satu kategori itu dibezakan lagi untuk mereka yang hanya mahu pusing Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam atau pun 48 jam. Kita boleh buat pilihan mengikut kemahuan kita. Oleh kerana saya cuma cuti satu hari, maka saya pilih 24 jam sahaja. Oleh kerana saya rakyat Malaysia, saya hanya perlu menunjukkan MyKad saya dan menerima diskaun Promosi MyKad. Saya hanya membayar RM19 sahaja.

Jika di Barat ruang tingkat atas mereka terbuka berbanding di Kuala Lumpur untuk menyesuaikan dengan keadaan cuaca di Malaysia. Kita bukannya boleh tahan dengan cuaca panas terik Malaysia lebih-lebih lagi di waktu tengahari. Tingkat bawah bas dilengkapi dengan penghawa dingin. Cuma di Tingkat atas terdapat ruang untuk berada di luar lebih-lebih lagi saya perlu mengambil gambar dan ruang itu amat penting buat saya. Sebenarnya, kalau saya bawa laptop saya, boleh saja upload terus gambar-gambar yang diambil secara langsung kerana setiap bas dilengkapi dengan WiFi. Kerja seorang blogger menjadi lebih mudah.

Bas tersebut tiba selang 15 hingga 30 minit di antara setiap stesen. Sebagai pelancong, ia memudahkan mereka untuk memilih lokasi menarik untuk dilawati. Terdapat lebih 40 lokasi menarik pelancongan yang boleh dilawati dalam satu pusingan bas tersebut. Paling utama untuk keperluan pelancong bas itu turut menyediakan pembantu pelancong yang dirakamkan dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Hindi, Arab, Jepun, Perancis dan Sepanyol.

OK, lah. Pengembaraan saya untuk pusing satu Kuala Lumpur pun bermula. Saya akan bercerita lebih lanjut mengenai lokasi menarik yang saya ambil keputusan untuk berhenti di bawah setiap gambar.


Pandangan pertama yang saya lihat dari Tingkat Atas bas. Dari MTC boleh kelihatan Menara KL



Dalam perjalanan menuju ke Menara KL. Oleh kerana saya sudah selalu ke Menara KL, saya tidak turun



Menara Berkembar Petronas, pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia dan kini masih kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia


Berada di Tingkat Atas bas di celah-celah pencakar langit Kuala Lumpur


Bagi seorang blogger, lokasi ini mungkin tidak menarik, tetapi bagi pelancong tentunya mereka tidak akan lepaskan peluang untuk berhenti di Kompleks Kraftangan Negara


Di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, segitiga emas KL. Syurga dunia untuk yang gemar membeli-belah


Saya sering melihat bangunan ini kerana lokasinya sepelaung saja dari Astro AWANI.



China Town Malaysia


Wajah-wajah Kuala Lumpur I


Wajah-wajah Kuala Lumpur I


Bus Stand Klang tetapi letaknya di Kuala Lumpur. Bisa mengelirukan pelancong


Wajah serius Pengawal Istana Negara


Dari pagar Istana Negara


Di sebalik pagar Istana Negara cuma masih dari luar


Sekitar KL Sentral, saya berhenti beli kasut kerana setiap kali saya beli kasut, saya akan beli di sini. Murah!



Muzium Negara


Parlimen Malaysia, di mana Ahli Parlimen sentiasa berdebat mempertahankan hujah masing-masing



Muzium Kesenian Islam


Masjid Negara


Bangunan Sultan Abdul Samad


Setiap kali musim perayaan Aidil Fitri, pasti lokasi ini menjadi tajuk utama akhbar untuk menggambarkan betapa lengangnya Kuala Lumpur.


Majlis Amanah Rakyat, terima kasih MARA kerana beri biasiswa untuk saya melanjutkan pelajaran


Eye on Malaysia kini sudah bertukar lokasi ke Melaka
Talian Bebas Tol : 1-800-88-5546

Kematangan Istana Budaya Setelah Berusia 10 Tahun

Entri oleh sultanmuzaffar 09 December 2009 View Comments


Sejak sepuluh tahun yang lalu, Istana Budaya menjadi titik temu bagi setiap penggiat dan khalayak seni pentas di Malaysia. Pelbagai produksi tempatan mahu pun antarabangsa dipentaskan di situ. Sempena Ulang Tahun ke 10 Istana Budaya, saya ingin menyorot perkembangan positif yang telah dijana oleh Istana Budaya selain melihat keperluannya kepada industri seni pentas tempatan mahu pun di peringkat antarabangsa.

Istana Budaya, gedung kesenian pentas di Malaysia meraikan ulangtahun ke 10 penubuhannya 15 September lalu. Saya masih ingat lagi teater besar yang pertama dipentaskan di pentas berprestij itu. Teater arahan Datuk Rahim Razali yang bertajuk Keris Sang Puteri menjadi teater buka panggung pentas tersebut. Beberapa hari selepas itu, majlis perasmiannya telah berlangsung dengan penuh adat istiadat Kesultanan Melayu dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed (sekarang Tun).

Bermula dari pengalaman pertama menonton di Istana Budaya, saya dapat merasakan yang panggung itu suatu yang luar biasa. Pentas hidrauliknya suatu yang tidak pernah saya lihat. Set boleh dibawa masuk dari belakang mahu pun tepi pentas tanpa perlu menggunakan tenaga manusia lagi. Untuk seni pentas di Malaysia, ia sesuatu yang luar biasa.

Sejak hari itu, saya berpeluang untuk menyaksikan pelbagai jenis produksi yang dipentaskan di pentas yang terdapat di Istana Budaya. Sehingga kini, IB memiliki dua pentas iaitu Panggung Sari dan Lambang Sari.


Antara pementasan yang paling saya ingati adalah teater Ronggeng Rokiah arahan Dr. Anuar Nor Arai lakonan Safura dan Shahronizam. Teater bergenre noir itu juga dilimpahi penonton yang rata-ratanya mahu mengimbas kembali zaman remaja mereka di New World Cabaret. Juga yang terbaru, Mana Setangginya karya Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan. Naskhah yang terperap dalam almari Istana Budaya hampir 10 tahun akhirnya berjaya dipentaskan. Naskhah tersebut sepatutnya menjadi naskhah buka panggung IB, malangnya kerana beberapa sebab naskhah itu dipinggirkan.

Tetapi, bukan sahaja teater dewasa yang mendapat tempat, teater kanak-kanak juga sering menjadi tumpuan setiap kali tibanya musim cuti sekolah. Saya melihat keperluan menyediakan pementasan teater kanak-kanak amat penting untuk mendidik generasi muda menghayati teater sekaligus menghargai seni budaya kita sendiri. Teater Siti Di Alam Fantasi, Gamat, Sinbad berjaya menarik ribuan kanak-kanak menyaksikan pementasan tersebut.

Foto oleh MStar

Persembahan muzik di Istana Budaya tidak kurang hebatnya. Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tidak asing di pentas Istana Budaya. Beliau pernah beberapa kali mengadakan persembahan di situ. Antara yang paling diingati pastinya Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza yang dipentaskan Jun lalu. Masih kekal nombor satu, walaupun kini Siti Nurhaliza telah pun berdua, biduanita muda negara itu masih mengekalkan kualiti persembahan kelas pertama, sesuai dengan kelas satu pentas berprestij itu.

Paling menguja imaginasi saya adalah pementasan muzik Kembara Jiwa Mohram. Alunan seruling dan rebana dua maestro muzik instrumental muzik berjaya melembutkan hati yang keras, mencairkan jiwa yang kematu.

Jika sebelum ini aktiviti pentas di Malaysia lebih berskala kecil dan hanya tertumpu di Panggung Bandaraya, Auditorium MTC dan Auditorium DBKL, kini produksi pementasan lebih berskala besar.

Foto oleh Jeff Ooi

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Encik Mohamed Juhairi Shaarani, "Dengan adanya Panggung Sari yang merupakan salah satu panggung yang tercanggih di dunia, segala itu menjadi kenyataan dan kita dapat lihat dengan hasil-hasil yang memberangsangkan bermula dengan teater Keris Sang Puteri, Tun Perak dan mencetuskan fenomena kepada produksi terbitan Enfiniti Productions dengan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Dan kita juga dapat lihat dengan produksi-produksi Istana Budaya yang sangat mendapat sambutan persembahan teater kanak-kanak seperti Sinbad dan Aladdin yang diadakan setiap kali musim cuti sekolah."

Menjurus kepada seni teater, tari dan muzik, pada peringkat awal khalayak penggemar seni tempatan agak terkejut dengan budaya kepenontonan di Istana Budaya.

Namun, jumlah penonton bertambah setiap tahun.

"Dalam masa dua tahun yang pertama kita memberi kemudahan dengan menjemput seramai mungkin dan juga pada waktu itu ada sedikit kejutan pada masyarakat yang selama ini lebih terdedah dengan persembahan-persembahan secara percuma tetapi Istana Budaya pada peringkat awalnya cuma mengenakan harga tiket yang sangat minima iaitu RM20, RM30 dan RM50 dan berlakunya perubahan setelah 10 tahun kita dapat melihat apabila Enfiniti boleh menjual tiket berharga RM350, suatu yang tidak pernah dipercayai pada 10 tahun yang lalu apabila sebuah produksi tempatan boleh menyamai harga tiket sebuah produksi luar atau pun persembahan antarabangsa."

Pada 1999, hanya sekitar 20,000 penonton menyaksikan persembahan di Istana Budaya, kini lebih 140,000 penonton berkemampuan untuk menyaksikan pementasan di panggung berprestij itu yang mencatatkan jumlah tertinggi pada tahun 2008.

Sering ke luar negara, Juhairi akan meluangkan masanya menonton pementasan West End mahu pun Broadway. Istana Budaya turut diiktiraf sebagai pentas terbaik di dunia dan diakui sendiri oleh produksi antarabangsa yang bertandang ke Istana Budaya.

"Pada peringkat pembinaan awal kita didatangi dengan produksi yang pada masa itu Tun Dr. Mahathir menjemput produksi Beauty And The Beast. Mereka memang terasa amat kagum dengan kecanggihan Panggung Sari Istana Budaya dan ini terbukti apabila kenyataan kita yang Istana Budaya sebuah panggung yang canggih itu sememangnya betul.


"Istana Budaya ini menggunakan teknologi campur tidak menjurus kepada dunia Barat tetapi bercampur dengan teknologi Jepun, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Tenaga yang dipilih pada peringkat awal juga berjaya direalisasikan dengan menggabungkan teknologi pelbagai negara untuk pembinaan sebuah panggung di Malaysia."

Perkara yang sama turut diakui Datin Seri Tiara Jacquelina, selaku Pengarah Urusan Enfitniti Productions, produksi yang menerbitkan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical.

"Saya sendiri bangga bahawa kita mempunyai sebuah pentas bertaraf dunia dan harus dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia. Pentas itu merupakan antara pentas yang terbaik di dunia. Setiap kali mengadakan persembahan di pentas itu ada satu rasa yang lain yang tidak boleh dimiliki di tempat lain. Ini termasuk kerjasama yang diberikan oleh kakitangan Istana Budaya sendiri. Terlalu banyak sejarah berlaku untuk kami di Istana Budaya dan ia menjadi seperti tempat jatuh lagi dikenang."

Jelas Juhairi lagi, sebagai sebuah institusi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Istana Budaya turut berperanan sebagai salah satu pusat tumpuan pelancong.

"Kita akan membawa dan ingin menjadikan Istana Budaya sebagai salah satu lokasi pementasan yang membolehkan negara-negara jiran yang selama ini dimonopoli sepenuhnya oleh Esplanade. Ini kita dapat lihat sewaktu pementasan produksi Mamma Mia apabila ramai penonton yang datang bukan sahaja dari Singapura tetapi juga dari Brunei, Indonesia dan Thailand. Persembahan itu merupakan pementasan yang paling berjaya dalam sejarah Istana Budaya terutama sekali dalam jumlah kedatangan penonton dan kutipan tiket."

Khalayak penggemar teater kini tidak perlu ke luar negara bagi menyaksikan pementasan berskala besar. Produksi tempatan seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan Cuci The Musical juga mampu menawarkan peluang tersebut di dalam negara.

"Di samping itu juga, Istana Budaya juga dalam usaha menggalakkan produksi-produksi besar yang mampu melaburkan seperti Enfiniti dan yang akan datang Tall Order yang berbelanja besar ini membolehkan karya-karya mereka ditonton kerana pementasan mereka sama tara dengan karya-karya yang dipentaskan di Broadway dan West End New York."

Pelbagai perancangan untuk Kalendar 2010 masih diteliti oleh pihak Istana Budaya. Antara yang menarik ialah produksi bersama Jabatan Perdana Menteri, sebuah lagi teater muzikal terbitan Enfiniti Productions dan berkemungkinan besar Cuci The Musical musim kedua.

"InsyaAllah pada tahun hadapan kita juga menyahut gagasan 1Malaysia yang mana banyak program yang menjurus kepada gagasan tersebut apabila melibatkan pelbagai kaum dipentaskan di Istana Budaya. Beberapa kertas cadangan yang dihantar menepati ciri-ciri gagasan 1Malaysia dan salah satu perkara baru apabila melibatkan kerjasama dengan produksi luar termasuk kerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri dalam usaha mengangkat gagasan yang diwar-warkan Perdana Menteti iaitu Gagasan 1Malaysia."

Pementasan yang kembali untuk musim kedua bukan suatu yang asing sekarang di Istana Budaya. Sejak teater muzikal menjadi satu fenomena, pementasan yang diulang sudah menjadi satu trend. Antara pementasan yang diulang tayang adalah Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Lebih menarik apabila ada di antaranya yang dibawa ke seberang Tambak Johor iaitu The Esplanade, Singapura. Pasti itu sesuatu yang membanggakan untuk seni pentas tempatan.

Paling terkini apabila buat julung kalinya, sebuah Orkestra Tradisional Malaysia ditubuhkan di Istana Budaya yang merupakan pasukan orkestra gabungan pelbagai instrumen tradisional Malaysia.

OTM kini dikemudi oleh Mohd Yazid Zakaria yang dilantik Konduktor pertama Orkestra itu.

"Merupakan satu-satunya kumpulan orkestra yang tidak ada di dunia. Di negara-negara lain, kumpulan orkestra hanya memiliki pemuzik pribumi tetapi di Malaysia kita memiliki Orkestra Tradisional Malaysia yang menggabung pemuzik pelbagai bangsa termasuk penggunaan alat muzik ektik yang sama sifatnya dengan simfoni di negara Barat."


Selain itu, Kompleks Istana Budaya bakal berkembang. Kompleks pengurusan akan siap sepenuhnya yang berlatarbelakangkan Tasik Titiwangsa pada tahun hadapan.

"Dan bila berlakunya perpindahan itu, ruang di Istana Budaya akan lebih banyak untuk dilengkapkan dengan fasiliti latihan dan memberikan peluang kepada aktivis seni di Malaysia untuk mengadakan latihan. Selain itu kita akan turut melengkapkan bangunan itu dengan sebuah Galeri yang menceritakan sejarah penubuhan Istana Budaya hinggalah menjadi Istana Budaya hari ini."

Saya melihat perkembangan positif Istana Budaya menjadi elemen penting untuk menjayakan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab seni pentas Asia. Seluruh dunia mengenali budaya India mahu pun Jepun atau pun China. Oleh itu menjadi tugas Istana Budaya juga untuk memperkenalkan budaya Melayu ke peringkat antarabangsa. Namun yang lebih penting adalah budaya kerja kakitangan Istana Budaya perlu mencapai standard antarabangsa untuk berjaya di mata dunia.

Hasrat itu hanya akan tercapai sekiranya Istana Budaya menjadi sebuah syarikat korporat. IB harus berfungsi bukan sekadar untuk menyemarakkan budaya seni pentas tempatan malah menjadi satu badan bukan kerajaan yang turut berfungsi mendapatkan keuntungan. Ia harus bergerak seperti sebuah syarikat korporat yang mana setiap kaki dan tangannya bergandingan untuk mencipta keuntungan lebih luar biasa. Saya tidak melihat ia sebagai satu cadangan yang harus ditolak mentah-mentah sebaliknya perlu difikirkan untuk mengangkat seni pentas Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Zahirnya, pentas Istana Budaya akan terus disemarakkan dengan pelbagai produksi terbaik dan kembali dipenuhi penonton apabila teater Gamat dan Cuci The Musical dipentaskan Oktober lalu. Lebih mengejutkan apabila teater Natrah yang diarahkan oleh Eirma Fatima menerima sambutan yang sangat hebat. Pementasan yang sepatutnya berakhir pada 9 Disember dilanjutkan sehingga 13 Disember atas permintaan ramai.

Saya kagum dengan keterbukaan IB yang berjaya membuka sejarah rusuhan Natrah di Singapura ke depan mata khalayak teater tanahair. Keterbukaan yang dimaksudkan apabila memberikan keadilan dalam naskhah tersebut yang menyeimbangkan pengaruh setiap watak seperti Natrah, Cik Aminah dan Adeline Hertogh dalam teater tersebut. Sekaligus membuka intepretasi baru kepada pengkaji sejarah mahu pun penonton tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Sehingga kini, Istana Budaya dipayungi lima Ketua Pengarah bermula Tuan Hj Sufiat Mukri, Norliza Rofli, Dr. Hatta Azad Khan, Datuk Azhar Abu Bakar dan yang terkini, Mohamed Juhairi Shaarani. Melalui gaya kepimpinan yang berbeza oleh setiap seorang dari mereka telah berjaya membuka membuka lembaran baru untuk Istana Budaya.

Saya menepis andaian masyarakat yang Istana Budaya hanya merupakan "gajah putih", sebaliknya Istana Budaya telah berjaya merancakkan lagi aktiviti seni pentas di Malaysia sepanjang 10 tahun yang lalu. Syabas, Istana Budaya.