Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 31 March 2005 0 komen

Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 05
2 April 2005
Stadium Putra Bukit Jalil

Bahasa Malaysia

Intro
Konsert Jelajah Akademi Fantasia atau Akademi Fantasia Tour 05 yang telah bermula pada 16 Februari 2005 di Kompleks Bukit Jambul, Penang akan sampai kemuncaknya pada 02 April ini di Stadium Putra Bukit Jalil. Konsert akhir ini dikenali sebagai "KONSERT KEMUNCAK AKADEMI FANTASIA 2005".

Konsert ini akan diadakan pada 2 April 2005 di Stadium Putra Bukit Jalil, jam 8.30 malam dan akan disiarkan secara langsung di Astro Ria. Ia juga akan dipancarkan secara langsung di stesyen UBCTV Thailand, dan akan di siarkan melalui stesyen Indosiar, Indonesia pada suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Maklumat Konsert
Konsert di Stadium Putra ini merupakan konsert akhir dalam siri Akademi Fantasia Tour.

Antara lokasi yang telah dijelajahi ialah:
16 Februari – Kompleks Bukit Jambul, Bayang Lepas, Penang
19 Februari – Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang
24 Februari – Dewan Masyarakat Sandakan, Sabah
26 Februari – Dewan Masyarakat Keningau, Sabah
05 Mac – Danga Bay, Johor Bahru
19 Mac – Stadium Indera Mulia, Ipoh
24 Mac – Boulevard Shopping Complex, Miri, Sarawak
26 Mac – Stadium Negeri Kuching Sarawak

Atas permintaan ramai dan sambutan baik yang diterima sepanjang siri konsert jelajah ini, pihak Maestro dan penaja sedang mengkaji untuk menambahkan dua lagi lokasi dalam Tour tersebut. Maklumat lanjut tentang dua lokasi ini akan dimaklumkan kemudian apabila semua pengesahan diperolehi daripada pihak-pihak yang terbabit.

Artis Terlibat
Seramai 20 artis Akademi Fantasia 1 & 2 , 4 dari AF Indonesia dan 3 artis dari AF Thailand akan terlibat dalam persembahan kemuncak ini. Butir butir mengenai artis luar yang akan membuat persembahan adalah seperti berikut:

AF Thailand
1. Mr. Pacharapon Jantieng - Juara AF
2. Ms. Tanyanan Mahpiroon - Tempat Kedua
3. Mr. Pongsak Rattanaphong - Tempat Ketiga

AF Indonesia
1. Mr. Veri Afandi(VERI)Juara AFI 1
2. Ms. Theodora Meilani Setyawati (TIA)Juara AFI 2
3. Mr. Puthu Sutha Natha Wijaya SUTHA)Juara AFI 3
4. Cindy Carolina (CINDY) Artis popular AFI

Penaja
Hotlink
Coca-cola (Vanilla Coke)
Astro
Era.FM – radio rasmi

Tiket
Tiket-tiket berharga RM10.00 boleh didapati di Stadium Putra Bukit Jalil bermula 28 Mac 2005. Tiket juga boleh didapati di Ticket Charge Mid Valley dengan menghubungi ticketing hotline 03-7726 2002 atau melayari laman web www.TicketCharge.com.my.

Peminat juga boleh menyaksikan Konsert Kemuncak AF Tour ini dengan membawa keratan kulit CD album EVO 01, EVO 02 & EVO 03 dan ditukar dengan pas masuk di pintu Stadium Putra Bukit Jalil.

Ahli Kelab Hotlink akan mendapat diskaun sebanyak 20% dan berpeluang menemui bintang pujaan mereka.

Bahasa Inggeris

Intro
The Akademi Fantasia Tour 2005 which kicked of on 16th February 2005 at Bukit Jambul Shopping Complex Pulau Pinang finally reaches its climax on 2nd April 2005 at the Putra Stadium Bukit Jalil. The final stadium concert date is titled “KONSERT KEMUNCAK AKADEMI FANTASIA 2005”.

The concert will be held on 2nd April 2005 at Putra Stadium Bukit Jalil, 8.30pm and will be broadcast live over Astro Ria as well as UBCTV in Thailand. Indosiar of Indonesia will broadcast it as a delayed telecast.

Info on the Concert
The Concert at Putra Stadium is the final stadium Concert in the AF Nationwide Tour 2005. The Hotlink tour had made stops at a different locality almost every week for the past 2 months.

Venues that have been visited are:
16 February – Kompleks Bukit Jambul, Bayang Lepas, Penang
19 February – Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang
24 February – Dewan Masyarakat Sandakan, Sabah
26 February – Dewan Masyarakat Keningau, Sabah
05 March – Danga Bay, Johor Bahru
19 March – Stadium Indera Mulia, Ipoh
24 March – Boulevard Shopping Complex, Miri, Sarawak
26 March – Stadium Negeri Kuching Sarawak

With excellent crowd turnout and overwhelming response from the fans throughout this Tour, Maestro Talent with the Sponsors are contemplating adding 2 new locations for the AF Tour 2005. Confirmed dates and locations will be announced shortly.

Artist Involved
In total 20 Artistes from Akademi Fantasia 1 & 2, together with 4 from Indonesia and 3 from Thailand will be involved for this two and a half hour final concert. · The artistes from Thailand and Indonesia are:

AF Thailand
1. Mr. Pacharapon Jantieng - AF Winner
2. Ms. Tanyanan Mahpiroon - AF 1st Runner-up
3. Mr. Pongsak Rattanaphong - AF 2nd Runner-up

AF Indonesia
1. Mr. Veri Afandi(VERI) Juara AFI 1
2. Ms. Theodora Meilani Setyawati (TIA) Juara AFI 2
3. Mr. Puthu Sutha Natha Wijaya (SUTHA) Juara AFI 3
4. Cindy Carolina (CINDY) Artis popular AFI 2

Sponsors
Hotlink
Coca-cola (Vanilla Coke
Astro
Era.FM – Official Radio Station

Tickets
Tickets are priced at RM10.00 and can be obtained at Putra Stadium from 28th March 2005. Tickets can also be obtained by contacting Ticket Charge Hotline 03-7726 2002 or go to their website www.ticketcharge.com.my.

Fans can bring along the EVO-04-01 or EVO-04-02 or EVO-04-03 CD sleeve/inlay to the ticket counter and exchange it for complimentary passes. (Ticket price excludes RM2 Ticket Charge fee)

Hotlink Members can enjoy a 20% discount off the RM10 tickets and get a chance to meet their stars in person.

Entri oleh sultanmuzaffar 28 March 2005 0 komen

Ramalan Anugerah Bintang Popular 2004

Minggu ini merupakan minggu dunia hiburan yang agak padat. Bermula dengan persembahan eksklusif Siti Nurhaliza in Concert di Royal Albert Hall di London, kemudiannya Konsert Kemuncak Akademi Fantasia Tour di Bukit Jalil keesokkannya. Di Genting Highland akan berlangsung pula Anugerah Bintang Popular 2004. Populariti anugerah ini dan persembahan Siti Nurhaliza di London secara tidak langsung menenggelamkan promosi Konsert Kemuncak Akademi Fantasia Tour. Sehingga hari ini seakan tiada promosi konsert tersebut.

Para artis akan berkampung di Genting Highland dengan ketiadaan Siti Nurhaliza. Apakah kemeriahannya masih sama walaupun dengan ketiadaannya ? Setahun yang lepas, tentu kita masih ingat persembahan tiga diva, Datuk Sharifah Aini, Siti Nurhaliza dan Misha Omar mempersembahkan finale yang telah mengecewakan banyak pihak.

Tentunya saya mengharapkan sebuah persembahan yang lebih hebat pada tahun ini.

A. PENGACARA TV LELAKI POPULAR
1. Aznil Nawawi
2. Azwan Ali
3. Hani Mohsin
4. Wahid
5. Zainal Ariffin Ismail
Ramalan SM: Aznil Nawawi

Tidak sukar rasanya untuk meramal siapakah yang bakal menggondol anugerah ini. Aznil Nawawi hampir pasti mengekalkan mahkota beliau sebagai pengacara nombor satu di Malaysia. Pencabar paling dekat beliau tentulah Zainal Ariffin Ismail yang mengacarakan Misteri Nusantara di TV3. Rancangan tersebut mendapat rating yang tinggi di Malaysia dan disiarkan di stesen televisyen percuma. Berbeza dengan Aznil yang hanya muncul di stesen televiyen berbayar. Namun demikian populariti Aznil masih sukar digugat.

B. PENGACARA TV WANITA POPULAR
1. Cheryl Samad
2. Norzie Pak Wan Chek
3. Maria Tunku Sabri
4. Raja Azura
5. Zakiah Anas
Ramalan SM: Raja Azura

Aura Melodi sebenarnya masih melekat pada Raja Azura. Cheryl Samad punya kelebihan untuk menggugat kerana menerajui rancangan Muzik Muzik dan Juara Lagu. Populariti Jalan Jalan Cari Makan juga tidak wajar diketepikan. Begitu juga dengan rancangan Majalah 3. Tetapi memandangkan pengundi rata-rata dari kalangan remaja, maka pengacara rancangan seperti Muzik Muzik besar kemungkinan mampu menggondol anugerah tersebut. Pilihan saya masih berpihak kepada Raja Azura kerana karisma beliau sebagai seorang pengacara wanita yang kelakar masih sukar digugat.

C. PENYAMPAI RADIO LELAKI POPULAR
1. Andy Hakim
2. Halim Othman
3. Ismahalil Hamzah
4. Khairil Rashid
5. Kiran
Ramalan SM: Halim Othman

Populariti ERA sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia nampaknya memang sukar digugat oleh mana-mana stesen. Nama seperti Halim Othman, Kiran dan Khairil Rashid merupakan antara penyampai yang menititi di bibir setiap pendengar. Tugas Halim Othman untuk Topik Pagi ERA telah pun digantikan dengan Kiran dan Khairil Rashid. Topik Pagi ERA merupakan antara program radio yang paling diikuti oleh pendengar. Namun demikian, kemunculan Halim di televisyen seperti Roda Impian sebenarnya masih dekat dengan penonton. Rancangan HO Live sedikit sebanyak menguatkan lagi populariti beliau. Kemenangan beliau sebagai DJ Radio terbaik di Anugerah Seri Angkasa membuatkan beliau sememangnya layak untuk anugerah tersebut.

D. PENYAMPAI RADIO WANITA POPULAR
1. Abby Fana
2. Farah Fauzana
3. Linda Onn
4. Nana AF1
5. Nila Kurnia
Ramalan SM: Linda Onn

Sama halnya dengan Halim Othman, Linda Onn juga selain penyampai radio berkebolehan besar mengacarakan rancangan di televisyen. Bukan sekadar kemunculannya di ASTRO tetapi juga beberapa kali muncul di stesen televisyen percuma. Kehebatan Linda Onn sebagai penyampai popular turut didokong dengan kemunculan penyampai-penyampai wanita ERA yang baru seperti Nana AF1, Farah Fauzana dan Nilai Kurnia. Linda Onn turut menjadi Duta untuk beberapa produk tempatan dan wajahnya sering terpampang di dada akhbar dan billboard.

E. ARTIS KOMEDI LELAKI POPULAR
1. Afdlin Shauki
2. Azlee
3. Lan Pet Pet
4. Saiful Apek
5. Yassin
Ramalan SM: Saiful Apek

Tiada alasan kukuh sekiranya Apek gagal untuk mengekalkan kemenangan ini dari tahun lepas. Populariti Apek sebagai pelawak pertama menerima anugerah Bintang Popular sekaligus menafikan penguasaan Siti Nurhaliza dan mengekang kemaraan Rosyam Noor merupakan sesuatu yang di luar dugaan. Penampilan bersahaja Apek ternyata mencuit hati walaupun sekadar menjadi penyeri majlis siaran langsung sewaktu siaran berhenti rehat untuk iklan.

F. ARTIS KOMEDI WANITA POPULAR
1. Adibah Noor
2. Kartina Aziz
3. Norlia Ghani
4. Rosnah Mat Aris
5. Sheila Rusly
Ramalan SM: Adibah Noor

Wan Maimunah nampaknya telah pun hilang dari pandangan pengundi. Sejak akhir-akhir nama Sheila Rusly semakin kerap muncul di dada akhbar dan juga majalah. Besar kemungkinan beliau memenangi kategori ini. Namun demikian, kemunculan Adibah Noor sebagai pelakon iklan yang bercorak komedi juga tidak harus dipandang ringan. Lakonan beliau dalam filem Sepet juga berjaya dibawakan oleh beliau dengan sedikit suntikan komedi tetapi bukan sebuah komedi yang bersifat komersial. Malah lakonan beliau dalam Sepet lebih bersifat komedi yang bermaruah. Dua nama yang akan bersaing secara sengit dalam kategori ini iaitu antara Sheila Rusly dan Adibah Noor. Saya meletakkan harapan yang besar untuk Adibah Noor.

G. ARTIS BARU LELAKI POPULAR
1. Adi Fashla
2. Ashraff Daniel Sinclair
3. Jehan Miskin
4. Khai
5. Vince
Ramalan SM: Vince

Ada dua gergasi baru dalam dua dunia hiburan yang berbeza. Vince dalam bidang muzik dan Jehan Miskin dan bidang lakonan. Sekiranya Fahrin Ahmad tercalon besar kemungkinan beliau berpeluang besar untuk memenanginya bersandarkan bakat lakonan beliau dalam program Samarinda yang tersiar di TV3. Sayangnya beliau tidak tercalon. Maka pilihan Cuma tinggal Vince dan Jehan Miskin. Vince mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan jika pengundi berpeluang untuk menonton Sembilu 2005 dan menilai kebolehan beliau maka peluang beliau lebih terbuka luas. Kemunculan beliau dalam Juara Lagu sebagai seorang pendatang baru dengan lagu ciptaan beliau sendiri setidak-tidaknya membuka mata masyarakat yang beliau sememangnya seorang yang berbakat besar. Kemenangan tempat ketiga di Voice of Asia di Kazhastan juga merupakan satu kelebihan kepada beliau.

H. ARTIS BARU WANITA POPULAR
1. Bienda
2. Dia Fadila
3. Fasha Sandha
4. Nana AF1
5. Jaclyn Victor
Ramalan SM: Jaclyn Victor

Tumpuan undian lebih kepada perang program realiti tv yang diketengahkan oleh ASTRO dan 8TV. Jacklyn Victor, Malaysian Idol yang pertama bakal meneruskan penguasaannya kali ini. Namun demikian, persaingan paling dekat dengan beliau ialah Nana AF1 yang bukan sahaja muncul dalam rancangan Akademi Fantasia tetapi juga merupakan salah seorang penyampai ERA yang popular. Kemenangan besar kemungkinan berpihak kepada Jaclyn Victor. Kes yang melibatkan Fasha Sandha ternyata mengecilkan lagi peluang beliau untuk menang kategori ini.

I. ARTIS BUKAN MELAYU POPULAR
1. Angeline Tan
2. Hans Isaac
3. Jaclyn Victor
4. Seelan Paul
5. Vince
Ramalan SM: Vince

Sekali lagi perang undian program realiti tv akan berlaku. Saya meletakkan peluang kemenangan lebih berpihak kepada Vince. Dengan bakat yang beliau ada serta pengembangan bakat yang bukan sekadar dalam bidang muzik, maka peluang lebih besar berpihak kepadanya. Salah satu kelebihan Vince berbanding Jaclyn Victor ialah beliau terdedah dalam bidang lakonan. Maka bilangan kelompok pengundi tentunya akan lebih besar. Saya meletakkan cabaran besar akan diberikan oleh Jaclyn Victor untuk Vince.

J. PELAKON FILEM LELAKI POPULAR
1. Farid Kamil
2. Hans Isaac
3. Rosyam Nor
4. Saiful Apek
5. Yusry KRU
Ramalan SM: Rosyam Noor

Dengan berbekalkan filem Gangster yang telah menaikkan lagi nama Rosyam Noor, maka peluang beliau untuk memenangi anugerah ini lebih besar. Muncul dengan tiga watak membawa satu senario baru dalam bidang lakonan di Malaysia. Kemunculan Farid Kamil selaku pencabar baru dalam kategori ini merupakan kemunculan bakat-bakat baru dalam bidang lakonan terutamanya pelakon lelaki. Pencabar utama kategori ini tentunya berpihak kepada Rosyam Noor dan Saiful Apek. Kedua-dua mereka merupakan antara pelakon yang pernah memenangi anugerah untuk kategori lakonan.

K. PELAKON FILEM WANITA POPULAR
1. Erra Fazira
2. Nasha Aziz
3. Nisdawati
4. Maya Karin
5. Tiara Jacquelina
Ramalan SM: Erra Fazira

Berbekalkan populariti dan kontroversi, nama Nasha Aziz tentunya berada di tempat teratas. Lebih-lebih lagi dengan pendedahan yang meluas diterima oleh beliau di dalam akhbar dan majalah. Namun demikian, filem lakonannya melalui filem Cinta Luar Biasa tidaklah begitu menonjol. Begitu juga dengan Erra Fazira melalui filem Kuliah Cinta. Populariti Tiara Jacquelina tidak wajar dipandang ringan. Walaupun memenangi anugerah di peringkat antarabangsa, Maya Karin agak sukar untuk meloloskan diri untuk memenangi kategori ini kerana kurang mendapat pendedahan media. Jika dinilai dari segi kualiti, saya meletakkan harapan kepada Maya Karin dan Tiara Jacquelina. Pengundi di Malaysia adalah golongan yang meminati filem-filem Datuk Yusof Haslam dan David Teoh. Maka tidak mustahil kemenangan akan berpihak kepada Erra Fazira.

L. PENYANYI NASYID POPULAR
1. Hijjaz
2. In-Team
3. Mirwana
4. Rabbani
5. Raihan
Ramalan SM: Rabbani

Keputusan mengejut diterima sewaktu Anugerah ERA 04. Tidak mustahil ia berlaku sekali lagi. Zaman kegemilangan Raihan rasanya sudah berlalu. Pengaruh semasa tentunya membolehkan In-Team memenangi kategori ini. Saya lebih menyukai sekiranya Rabbani memenangi kategori ini. Pengaruh muzik nasyidnya yang bercorak moden memberikan satu impak baru kepada dunia seni tempatan.

M. PENYANYI LELAKI POPULAR
1. Fazley
2. Nassier Wahab
3. Reshmonu
4. Vince
5. Yusry KRU
Ramalan SM: Yusry KRU

Ketiadaan Anuar Zain dalam kategori ini seolah-olah menjatuhkan kualiti kategori ini. Nama-nama yang terpilih sekadar mencukupkan kuota. Saingan akan berpihak antara Nassier Wahab, Vince dan Yusry KRU. Populariti semasa menunjukkan Yusry KRU mendahului saingannya yang lain. Vince sukar untuk menggugat kedudukan Yusry KRU dalam kategori ini. TIdak mustahil Nassier Wahab mampu membuat kejutan. Ia pernah berlaku dalam Anugerah ERA 04.

N. PENYANYI WANITA POPULAR
1. Ning Baizura
2. Misha Omar
3. Siti Nurhaliza
4. Waheeda
5. Ziana Zain
Ramalan SM: Siti Nurhaliza

Ini antara kategori hangat pada malam anugerah itu kelak. Kerusi panas Penyanyi Wanita Popular tentunya merupakan anugerah paling mendebarkan. Setiap finalis masing-masing punya kelompok peminat yang tersendiri. Seingat saya setiap seorang dari mereka punya fanclub mereka masing-masing. Setidak-tidaknya satu yahoogroup. Berdasarkan populariti, Siti Nurhaliza punya kekuatan peminat yang besar. Tidak mustahil berlaku sebarang kejutan. Apa sahaja mungkin berlaku. Lebih-lebih lagi dengan isu “Siti vs Sharifah” yang hangat diperkatakan. Kini semakin dilupakan. Antara yang mampu mencabar kehebatan Siti Nurhaliza ialah Misha Omar yang mana kelompok peminatnya lebih besar kerana genre muziknya yang lebih kurang dengan Siti sendiri. Beza Misha dengan Ning ialah genre muzik Ning lebih ke arah urban, maka bilangan undian secara tidak langsung berkurangan. Zaman Ziana Zain boleh saya sifatkan sudah berlalu. Beliau telah berada dalam kelasnya yang tersendiri, sama seperti Sheila Majid.

O. ARTIS BERKUMPULAN / DUO POPULAR
1. Exists
2. Flop Poppy
3. KRU
4. Ruffedge
5. Spider
Ramalan SM: Spider

Kemenangan di Juara Lagu memberikan peluang yang besar untuk Spider menggondol anugerah ini. Ruffedge hanya popular dalam kelompok urban, manakala KRU sudah pun berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Saya meletakkan harapan besar untuk Spider. Populariti lagu Rela Ku Pujuk amat hebat. Lagipun muzik yang dibawakan oleh Spider lebih moderate dan sesuai untuk semua golongan.

P. PELAKON TV/VCD LELAKI POPULAR
1. Ako Mustapha
2. Jalaluddin Hassan
3. Saiful Apek
4. Rosyam Nor
5. Zamarul Hisham
Ramalan SM: Rosyam Noor

Populariti Dalam Hati Ada Cinta memberikan kekuatan utama untuk Ako Mustapha. Bersandarkan drama tersebut, nama Ako meniti di bibir peminatnya. Sesuatu yang membanggakan apabila tiada pelakon drama Gerak Khas terpilih untuk kategori ini. Satu perubahan yang agak besar dan perlu diberi perhatian. Ini membuktikan yang selera penonton telah mula berubah. Datuk Yusof Haslam tidak seharusnya berdiam diri dan beliau perlu mencari formula baru. Mereka yang benar-benar popular dalam kategori ini tentunya Ako Mustapha, Rosyam Noor dan juga Saiful Apek. Nama Rosyam Noor antara nama yang disebut-sebut untuk memenangi kategori tersebut.

Q. PELAKON TV/VCD WANITA POPULAR
1. Abby Abadi
2. Eja
3. Hetty Sarlene
4. Nasha Aziz
5. Umie Aida
Ramalan SM: Abby Abadi

Populariti drama Gerak Khas merupakan antara penyebab Hetty Sarlene dan Abby Abadi masih kekal dalam kategori ini. Sememangnya Abby Abadi memang sukar digugat dalam kategori ini. Umie Aida yang popular menerusi drama Dalam Hati Ada Cinta agak sukar untuk mencelah kerana drama tersebut disiarkan di stesen televisyen berbayar. Nasha Aziz lebih popular dalam VCD yang diedarkan secara haram bukan melalui stesen televisyen. Tidak mustahil Eja mampu menyelitkan dirinya untuk memenangi kategori ini kerana populariti siri Samarinda yang dilakonkan oleh beliau. Jika kualiti dijadikan sandaran, saya meletakkan peluang yang besar untuk Umie Aida dan Eja. Jika populariti dijadikan ukuran, Abby Abadi masih sukar digugat.

BINTANG PALING POPULAR
Tahun ini saya melihat seperti tahun Siti Nurhaliza. Siti Nurhaliza telah memberikan persembahan yang menarik di MTV Asia Awards di Bangkok. Kes email laying yang membabitkan nama beliau tentunya antara kes di kalangan artis yang paling diingati dan jarang-jarang terjadi. Ini secara tidak langsung undi emosi akan diberikan kepada beliau. Pada 1 April nanti, Siti Nurhaliza menyambut ulangtahun ke 10 pembabitannya di dalam bidang seni di London dengan sebuah persembahan eksklusif di Royal Albert Hall, sebuah dewan yang paling berprestij di London. Undian populariti secara tidak langsung diberikan kepada beliau. Sukar untuk mencari saingan yang kuat untuk Siti Nurhaliza kecuali daripada Saiful Apek.

Ramalan SM: Siti Nurhaliza

Saya sekadar meramal.

Entri oleh sultanmuzaffar 26 March 2005 0 komen

RazmanSemalam Bersama Saiful Razman

Pertama kali kami bertemu sewaktu Wilayah KUTU Book Reading di Darling Muse Art Gallery Bangsar. Pertemuan singkat itu kami berbual tentang dunia seni yang boleh saya sifatkan terpinggir tetapi mula menunjukkan belangnya. Begitu juga halnya dengan seorang pelukis yang baru berumur 25 tahun bernama Saiful Razman. Dilahirkan di Teluk Intan, Perak dan beliau merupakan graduan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Halus).

Beliau pernah mengadakan pameran di Yogyakarta, Indonesia dan sekitar Malaysia serta pernah memenangi beberapa anugerah. Antara lain Honourable Mention dalam Phillip Morris Malaysia – Asean Arts Awards dan Incentive Award untuk Pameran Terbuka, Galeri Shah Alam, Selangor.

Peluang demi peluang diterima oleh beliau dan peluang paling berharga apabila pada tahun 2004 beliau terpilih untuk menjadi Artist-in-Residence di Rimbun Dahan, Kuang, Selangor. Program ini menawarkan residensi selama 12 bulan untuk artis Malaysia dan Australia telah dimulakan oleh Hijjas Kasturi pada tahun 1994.

Artis yang terpilih diberikan tempat tinggal di dalam kawasan Rimbun Dahan untuk menghasilkan kerja-kerja seni mereka.. Turut diberikan ialah sebuah studio, bahan-bahan dan elaun sara hidup selama setahun. Program ini merupakan satu penghargaan kepada artis generasi baru kedua-dua buah negara yang telah diberikan oleh Hijjas Kasturi dalam mengukuhkan hubungan peribadi dan artistic antara Malaysia dan Australia.

Petang itu, selesai bekerja saya terus bergerak ke Universiti Bangsar Utama. UBU tempat lepak para artis, reformis, pemuzik bawah tanah dan cendekiawan terpelajar Bangsar. Saya mengambil Saiful Razman dan kami sama-sama ke Rimbun Dahan untuk melihat hasil kerja beliau setelah setahun berada di Rimbun Dahan.

Tiba di Rimbun Dahan bukan merupakan idea yang baik kerana saya tidak berpeluang untuk melihat kerja-kerja arkitek pemilik taman itu. Kami terus menuju ke Galeri Bawah Tanah yang menjadi lokasi pameran hasil kerja anak muda itu.

Menjejakkan kaki ke galeri tersebut saya melihat aturan lukisan-lukisan yang bersifat provokatif, lantang dan berang. Itu persepsi pertama saya. Di bahagian yang satu lagi tersusun lukisan hasil karya Malcolm Utley yang lebih bersifat abstrak.

Tema hasil seninya lebih menjurus kepada kritikan sosial yang diperolehi melalui iklan, papan tanda, suratkhabar, buku manual, television, poster dan pelbagai material yang mampu menjentik idea untuk karya seninya. Antara idola Saiful Razman ialah Zulkifli Mohd Dahlan dan Davis.

Antara lukisan beliau yang menarik minat saya tentu sekali Projek Serakah Jaya yang telah disiapkan beberapa jam sebelum pameran bermula. Idea penghasilan Projek Serakah Jaya datang dari kenyataan oleh Menteri Besar Selangor tentang pembangunan di persekitaran Bukit Cherakah. Dari corong pembesar suara terjerit SEMUANYA kepada rantaian saluran yang bersambung-sambung sambil cacing-cacing masih meneruskan kerja mengorek kawasan tersebut. Jeritan SEMUANYA OK itu dilontar kepada siapa ? Adakah kepada kroni-kroninya atau kepada rakyat ?

"Jangan bimbang, semuanya OK", kepada kroni-kroninya.

atau

"Semuanya OK !" kepada rakyat yang mendengar sedang corong pembesar suara tersasar kepada kroni-kroninya.

Penggunaan latar belakang yang bewarna coklat menguatkan lagi mesej yang ingin disampaikan melalui lukisan tersebut. Dengan sekadar lukisan-lukisan outline, mesej terus berjaya disampaikan hanya dengan memberikan sedikit konotasi dan simbol kepada sesuatu elemen.

Lukisan lain yang turut menarik perhatian saya ialah satu lukisan yang saya lupa tajuknya. Menurut Razman, idea menghasilkannya datang sewaktu melihat upacara korban. Beliau melakarkan pengalaman tersebut di atas kanvas tentang bagaimana orang menyambut hari tersebut serta merayakan kehidupan. Keunikan sesuatu lukisan apabila diselitkan penyataan yang diambil dari lirik lagu untuk melengkapkan lagi mesej lukisan tersebut.

Kebanyakan karya-karya Razman banyak disertakan dengan beberapa teks yang diambil dari lirik lagu serta puisi. Semoga Lekas Sembuh contohnya, sebuah lukisan yang diselang-selikan dengan teks dan imej. Teks Semoga Lekas Sembuh kelihatan menonjol pada latarbelakang merah dan imej kereta kebal sudah cukup untuk menggambarkan peperangan yang berlatarbelakangkan darah. Di sini letaknya kehebatan pelukis ini. Beliau bijak menggunakan teks dan imej yang saling melengkapi untuk menguatkan lagi mesej karya tersebut.

Melintang Pukang hanya imej tanpa teks. Reka letak subjek dibuat dalam keadaan kelam-kabut dan tidak teratur. Naratifnya mudah tetapi memerlukan penelitian tentang apakah yang ingin disampaikan oleh pelukis secara mendalam.

Box, holy dan Obey bermain dengan imej-imej minimal yang boleh saya sifatkan seperti ilusi optik. Penggunaan warna yang terang menguatkan mesej positif dan negatif pada sesebuah hasil. Ini meletakkan hasil kerja Razman mampu untuk mencipta perdebatan di kalangan penonton. Imej dan bentuk tersebut seakan-akan bermain dengan mata dan membuatkan penonton membuat tafsiran mereka yang tersendiri.

In Dog We Trust pula bercerita tentang pengalamannya berada di Rimbun Dahan. Pengalaman diserbu anjing-anjing sewaktu tiba di Rimbun Dahan tentu memberikan satu pengertian yang berbeza. Teks In Dog We Trust diparodikan daripada teks In God We Trust dari wang kertas Amerika. Mungkin juga kerana kecelakaan Amerika Syarikat kini mereka sebenarnya berpaksikan anjing dan bukannya tuhan. Dalam waktu yang sama, sekitar Rimbun Dahan dikawal oleh anjing-anjing tersebut. Secara tidak langsung, teks dan imej sebenarnya bercerita tentang dua persekitaran yang berbeza tetapi amat dekat maknanya.

Thumbs Up! pada mulanya kelihatan seperti kulit pembungkus kacang Nyan Yin. Tangan kiri menunjukkan isyarat bagus. Menurut Razman, mengapa bukan tangan kanan ? Apakah kerana tangan kiri adalah betul dan tangan kanan adalah salah ?

Satu kenyataan ringkas dibuat oleh beliau, “Left is right, right is wrong !” Karya ini bermain dengan reka letak kerana antara dua karya yang digantungkan, ia digantungkan di bahagian kiri secara tidak langsung mengiakan kenyataan ringkas beliau. Bijak !

Tidak mustahil satu hari nanti, karya-karya Saiful Razman akan menjadi ikutan dalam reka letak t-shirt mahu pun poster-poster. Keberanian beliau menyampaikan kritikan-kritikan sosial beliau dalam bentuk kanvas merupakan satu luahan emosi dan idea yang kena pada tempatnya. Penguasaan generasi Bangsar dalam dunia seni baik filem, teater, muzik, penulisan dan senireka merupakan satu corak seni dan idea aliran baru yang mula mengambil alih tonggak kebudayaan dan kesenian yang ada di Malaysia ini.

Rimbun Dahan
Setelah hampir sejam berada di Galeri Bawah Tanah itu, saya menjadi begitu kagum dan semakin terpikat dengan Projek Serakah Jaya yang bernilai RM5000. Konsep Rimbun Dahan Residency Artist yang dicetuskan oleh Hijjas Kasturi merupakan satu usaha murni yang harus dipuji. Beliau telah menggunakan kelebihan tersebut untuk mempromosikan artis-artis generasi baru dan menyediakan segala kemudahan untuk mereka berkarya serta memberikan mereka peluang untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bidang seni. Usaha-usaha ini wajar dicontohi oleh warga korporat yang ada di Malaysia untuk sama-sama membantu usaha generasi baru untuk lebih mendekati seni serta menghargainya. Sokongan dari sector korporat merupakan satu nadi untuk kegiatan seni ini terus berkembang.

Menurut Angela Hijjas dalam wawancaranya bersama Veronica Shunmugam, beliau telah berusaha mendapatkan penajaan dari beberapa golongan ternama dan agak sukar untuk mendapatkan mereka untuk sama-sama memahami tanggungjawab untuk menyelenggarakan sebuah residensi. Tiada gunanya mempunyai ruang yang luas jika tidak digunakan dan sama-sama berkongsi akan keindahan tempat tersebut.

Sekali lagi saya kagum dengan usaha murni Rimbun Dahan dibawah kelolaan Hijjas Kasturi dan Angela Hijjas yang akhirnya akan memilih dua karya dari setiap artis yang berada di halaman mereka setelah selesai pameran tersebut untuk dipamerkan di Galeri Utama.

Hubungi:
Puan Angela Hijjas
ajh(at)pd(dot)jaring(dot)my
Rimbun Dahan
Kilometer 27 Jalan Kuang
Kuang
48050 Selangor
Malaysia
www.rimbundahan.org

Kredit Foto di Rimbun Dahan
digitalmalaya : video shoot
fotopages sm
fotopages yaabbna

Rujukan
Hijjas Kasturi Associates Sdn
Artists in her garden

Entri oleh sultanmuzaffar 20 March 2005 0 komen

Dialog Blog (Diablog)

Diablog

Anjuran: Geng Jurnal

Tajuk: Menjadi Blogger Super
Tempat: Rumah Pena
Tarikh: 27 Mac 2005
Hari: Ahad
Masa: 10 pagi hingga 12 tengah hari
Ahli panel:-
1. Mat Jan
2. Rudy Bluehikari
3. sultanmuzaffar

Moderator: Tipah Vogue
Forum Perbincangan

Semua dijemput hadir.

Antara soalan spot yang mungkin akan disoal pada pagi tersebut, antara lain ialah:-

oleh Tok Rimau
1. Pentingkah menjadi super?
2. Apakah kelebihan menjadi super?
3. Bagaimana kita nak kenal blog yang super?
4. Superman kalah dengan kriptonite dan Batman tidak boleh terbang. Adakah blog yang super juga ada kelemahan?
5. Bilakah tuan menyedari blog tuan ini blog super?
6. Bagaimanakah tuan menggunakan kesuperan tuan ini untuk kebaikan?
7. Apa definisi Super?
8. Apa beza antara Blog Malaysia ditulis dlm Bahasa Melayu dan Bahasa Bahasa Inggeris? Mana yang lebih super?
9. Apakah nasib blog yang tidak super? Adakah ianya akan tersisih?
10. Adakah kemungkinan satu blog super tiba2 hilang kesuperannya?

oleh EP
Soalan 1:
Sesuatu blog itu menjadi masyhur atau 'super' pada kontek tema pada hari ini bergantung kepada kritera penulisan samada:

1. Provokatif - politik, agama & perkauman
2. Menyentuh emosi
3. Bersifat pengajaran & kongsi pengalaman
4. Stail atau gaya penulisan

Hang tanya kat ahli panel, blog depa dikategorikan sebagai 'super' berdasarkan kritera apa?

Soalan 2:

"kalau kail panjang sejengkal jangan mengail di lautan dalam"

Bentuk penulisan yang provokatif biasanya akan mengundang 'jerung' atau 'piranha'. Apabila tiba pada suatu tahap perlukah pengendali blog super tu 'cabut lari secara terhormat' atau bertahan hingga ke titisan darah yang terakhir?

Breaking news!

Yasmin Ahmad's SEPET just won the main Grand Prize of the Jury at the 27th
International Women's Film Festival at Créteil, France.

The prize comes with a cash prize of Euro 3, 811 as well as French subtitling
by LVT.

The full list of winners (in French) can be read here.

My review on Sepet can be read here.

Entri oleh sultanmuzaffar 19 March 2005 0 komen

Force of Nature
Konsert Force of Nature : Best Gila !!
Stadium Putra Bukit Jalil
7.45 malam – 2.45 pagi

Saya tidak mengharapkan peluang untuk menonton konsert ini. Konsert ini konsert besar. Ada ramai artis antarabangsa yang terlibat termasuk juga artis Malaysia. Apabila peluang tersebut diberikan oleh Chail, sudah tentu saya tidak melepaskannya. Kami pergi bersama Dream, Hakim, Sahri AF1dan Nuar.

Atas kesedaran untuk membantu mangsa bencana tsunami, maka sebuah konsert bertujuan untuk mengutip sumbangan telah diadakan. Hasilnya, sebanyak RM10 juta telah berjaya dikumpulkan. Banyak juga yang berjaya dikutip, mungkin juga diperas. Lagipun konsert ini mendapat liputan besar, maka tidak mustahil banyak syarikat yang telah dipaksa untuk membeli tiket oleh kerajaan. Selain dapat nama, dapat juga berhibur.

Force of NatureSaya paling suka salah satu gambar yang tersiar di akhbar harian, bila mana Pak Lah bersiap sedia untuk melekapkan tapak tangannya ke atas banner. Tapak tangan yang bewarna oren itu nampak macam bersiap sedia untuk menampar. Klasik sungguh gambar tersebut.

Khabarnya, ramai personaliti antarabangsa yang hadir. Antara lain Rupert Murdoch jutawan media, David Blaine ahli silapmata terkenal, Paula Abdul juri professional American Idol, Jackie Chan dan ramai lagi. Hanya sedar kehadiran David Blaine muncul apabila terbaca dalam akhbar. Bukankah seronok bila dapat jumpa dengan beliau. Beliau hebat kerana boleh men"jadi"kan duit dengan banyak. Batu tiba-tiba boleh jadi duit syiling. Lagi seronok kalau beliau dapat buat persembahan pada malam tersebut.

Konsert yang bermula pada jam 7.45 malam itu telah menghimpunkan seramai 13,000 orang penonton dari pelbagai latarbelakang. Rekaan pentas yang berlatarbelakangkan motif etnik kelihatan menarik apabila disinari limpahan cahaya yang pelbagai warna.

Saya cuma kurang berpuas hati apabila pertukaran antara artis yang mengambil masa yang lama. Pertukaran pentas dan peralatan muzik sedikit merencatkan momentum persembahan. Setiap artis membawa pemain muzik masing-masing dan pertukaran artis menyebabkan perubahan alat muzik juga perlu dilakukan.

Kemunculan pertama telah dilakukan oleh Paula Abdul sebelum memperkenalkan Lauryn Hill untuk mengambil tempat sebagai membuka persembahan pada malam tersebut. Juri professional American Idol itu terbang ke Kuala Lumpur secara mengejut.

Lauryn Hill memulakan persembahan dengan penuh emosi dan cemerlang sambil diiringi dengan petikan gitar klasiknya. Beliau membawakan beberapa lagu dari albumnya dan memukau penonton dengan lagu Doo Wop (That Thing).

I Am A Force Of Nature oleh Tan Sri Razali Ismail dan Duta Force of Nature, Datuk Michelle Yeoh memberikan ucapan penuh inspirasi kepada penonton. Menyeru penonton agar terus menyalurkan bantuan kepada mangsa tsunami.

Innuendo featuring Ruffedge & VE membuka persembahan mewakili Malaysia. Persembahan hambar Innuendo ditambah dengan masalah teknikal audio mencacatkan persembahan mereka. Lebih mengejutkan sebelum Innuendo meneruskan persembahan dengan lagu popular mereka Belaian Jiwa, ucapan Raymie lebih bersifat peribadi.

Berikut adalah ucapan Raymie yang terlalu mengarut dan amat silap tempat !

This song is dedicated for someone whom I met a year ago...You know who you are...


Mood Pot yang mendedikasikan persembahannya untuk mangsa di Sekolah Banda Acheh terbantut dengan ucapan bersifat peribadi Raymie. Ini bukan konsert untuk mereka, ini konsert untuk mesej sejagat bantuan kemanusiaan Acheh. Raymie sepatutnya tahu membezakan platform untuk menyampaikan rasa hatinya, tidak secara melulu. Sila belajar dari artis antarabangsa yang lebih profesional aksi mereka.

Force of Nature
Stadium Putra Bukit Jalil penuh dengan hampir 15,000 orang penonton dari pelbagai latarbelakang

Hebat sekali persembahan Sheila Majid pada malam itu. Beliau membawakan lagu Manusia, Warna, Sinaran dan mengakhiri persembahan beliau dengan lagu Ikhlas Tapi Jauh. Lagu tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Anuar Zain, Dayang Nurfaizah dan Innuendo.

Hanya persembahan Sheila Majid sahaja yang mampu membanggakan Malaysia dan persembahan artis lain hanya sekadar tempelan. Bukan sahaja tidak membawakan sekurang-kurangnya satu lagu penuh, tetapi sekadar menyanyikan serangkap lagu. Sheila Majid seperti biasa menggunakan modal Warna dan Sinaran. Saya mengharapkan beliau membawakan lagu Ku Mohon tetapi tidak menjadi kenyataan. Lagu dan lirik Ku Mohon lebih sesuai untuk konsert sedemikian.

Boyz II Men juga memberikan persembahan yang cemerlang. Mereka menyajikan persembahan vocal yang bertenaga. Kebanyakan lagu yang dipilih oleh mereka agak perlahan dan menyerlahkan kehebatan vocal mereka.

Antara lagu yang didendangkan oleh Boyz II Men ialah Motownphilly, I'll Make Love To You, Water Runs Dry, End Of The Road, On Bended Knees dan Songs for Mama.

Sekali lagi stadium bergema dengan sorakan penonton apabila mereka membawakan lagu End Of The Road.

Kemunculan sebentar Clay Aiken amat memberikan kesan dengan imej selambanya berseluar bermuda. Sempat juga beliau membacakan teks ucapannya dalam Bahasa Melayu dengan lancar. Tepukan dan sorakan penonton semakin bergemuruh.

Penampilan tunggal artis dari Indonesia iaitu Ruth Sahanaya hanya sekadar menampilkan kehebatan vokal beliau. Ini perbezaan yang nyata antara artis antarabangsa dan artis tempatan. Aura penghibur mereka nyata kurang berbanding artis Barat. Membawakan lagu Kaulah Segalanya dalam Bahasa Inggeris dan Keliru sebelum persembahannya diiringi oleh Eric Benet membawakan sebuah lagu duet bertajuk Everybody Doesn't Matter.

Penampilan Esai Moralis menyampaikan ucapannya tanpa melihat nota sewajarnya mendapat pujian. Kebanyakan artis tampil dengan nota di tangan. Berbeza dengan Esai Moralis yang menyampaikan ucapannya secara bersahaja dan penuh emosi.

Saya paling suka persembahan Wyclef Jean. Sebelum ini saya kurang mengenali beliau. Melihatkan persembahan beliau yang bertenaga dan berkarisma tinggi sebagai seorang penghibur hebat, tidak mustahil saya akan menyukai beliau selepas ini. Walaupun lagu-lagu yang beliau nyanyikan adalah lagu-lagu lama serta lagu yang bukan lagu beliau, ia tetap menghiburkan. Antara lagu yang dibawakan oleh mereka ialah Jump Around, No Woman No Cry dan Guantanamera. Gaya beliau menghiburkan penonton amat spontan dan bersahaja. Beliau mengawal penonton dengan hebat dan mampu membuatkan penonton mengikut segala arahannya.

Detik paling diingati penonton tentunya sewaktu kemunculan bersama Wyclef Jean dan Lauryn Hill yang terkenal sewaktu mereka ahli kepada kumpulan Fugees dengan membawakan lagu Oh La La La, Ready or Not dan Killing Me Softly.

Stadium bergema dengan sorakan penonton serta mendapat reaksi spontan apabila turut menyalakan lampu handphone. Stadium digelapkan dan cahaya dari handphone memberikan efek yang berbeza.

Apabila pentas diambil-alih oleh penyanyi dari Hong Kong, persembahan menjadi sedikit hambar. Antara penyanyi dan pelakon yang terlibat ialah Jackie Chan, Nicholas Tse dan Yumiko Chan serta seorang Puan Sri yang berpakaian kebaya batik dalam warna yang menyakitkan mata. Malam untuk menderma RM50,000 secara terbuka.

Seterusnya, dua model popular Malaysia iaitu Camelia dan Soong Ai Ling mengambil tempat untuk memperkenalkan Backstreet Boys. Penampilan Camelia yang agak seksi pada malam itu.

Force of NatureAntara lagu yang didendangkan oleh Backstreet Boys ialah Backstreet's Back, I Want It That Way, All I Have To Give, The Call, The One, As Long As You Love Me, More Than That, Shape of My Heart, Beautiful Woman dan Incomplete. Penonton turut dihiburkan dengan sebuah single terbaru yang akan dipasarkan pada bulan Jun akan datang. Persembahan ini mengimbau zaman kegemilangan mereka sebelum diambil alih oleh N’Sync. Ternyata mereka masih mampu menyengat. Nuar hanya mampu melihat rakan-rakannya yang lain menyanyi bersama penonton yang lain. Backstreet Boys bukan zaman Nuar. Ia zaman saya.

Untuk pengetahuan semua, senarai lagu diberikan oleh salah seorang fanatik BSB dan bukannya kerana saya salah seorang peminat mereka. Saya suka persembahan mereka dan pernah juga membeli VCD konsert-konsert tour mereka. Yang paling saya suka adalah persembahan tarian mereka. Sungguh menarik dan sama antara mereka. Walaupun koreograf tarian mereka itu merupakan koreograf yang sama sejak sebelas tahun yang dulu, ia tetap menarik. Itu antara keunikan mereka.

Bai Ling paling saya ingati pada lakonan beliau dalam filem Anna And The King. Kepalanya dipancung. Malam itu beliau tampil akhir sekali untuk memperkenalkan Black Eyed Peas. Antara personaliti antarabangsa yang membuatkan kemunculan di Konsert Force of Nature ialah Joey Fatone dari kumpulan N’Sync, Ken Watanabe salah seorang pelakon filem The Last Samurai, Datuk Michelle Yeoh pelakon kelahiran Ipoh dan beberapa lagi.

Persembahan Black Eyed Peas hanya berkesan pada dua lagu yang terakhir. Beberapa lagu awalnya merupakan lagu yang kurang popular di Malaysia. Stadium mula kosong kerana pagi semakin menjelang.

Lagu Let’s Get It Started dan Where Is the Love? berjaya membuatkan penonton bangun dari lena untuk sama-sama mengakhiri konsert hebat pada malam itu. Saya mengambil peluang untuk lena sebentar sewaktu lagu-lagu yang kurang popular di awal persembahan mereka.

Kekurangan paling nyata konsert tersebut ialah perubahan pentas yang melibatkan pemuzik apabila setiap artis membawa pemuzik mereka sendiri. Maka pentas dan peralatan muzik perlu diubah agar bersesuaian dengan artis tersebut. Perubahan tersebut mengambil masa yang agak panjang sehingga menimbulkan kebosanan penonton.

Kesilapan teknikal pada peralatan muzik persembahan dari Malaysia amat memalukan lebih-lebih lagi ia dilangsungkan di gelanggang sendiri. Ini nyata berbeza dengan peralatan muzik dan pemuzik artis antarabangsa yang agak sempurna.

Sebuah konsert antarabangsa yang hebat dan penuh bermakna. Mesej kemanusiaan yang disampaikan melalui ucapan dan lagu mampu menjadikan konsert Force of Nature sebagai antara yang terbaik tahun ini.

Rating : B+

Foto adalah ihsan:
The Star
Berita Harian
Malay Mail
Life Thru My Lens

Entri oleh sultanmuzaffar 14 March 2005 0 komen

Ulasan Tertangguh
Minggu lepas merupakan minggu Sepet. Ya, berkali-kali lagi. 3 kali secara tepatnya. Dua kali di TGV KLCC dan kemudian singgah ke GSC Mid Valley. Sekadar untuk bertukar selera layar. Maka tidak dapat tidak beberapa ulasan menjadi tertangguh. Saya telah mendapatkan VCD Sepet. Ada beberapa kejutan yang akan saya tuliskan dalam ulasan saya nanti. Saya masih memikirkan sama ada perlu untuk mengulas Anugerah Seri Angkasa atau pun tidak. Sejak akhir-akhir ini pengulas dan pengkritik sering mendapat perhatian pembikin filem atau pun penerbit rancangan. Maka perang media, selain perang siber dan perang psikologi pun bermula.

Sempat juga meluangkan masa menonton teater Salina. Hebat tetapi anti-klimaks ! sayang sekali.

Si Sepet Yang Tidak Potong
Antara dua tontonan Sepet di TGV KLCC, saya sempat membeli VCD Sepet di situ. Saya pulang dan tonton walaupun baru sahaja selesai menonton wayang. Saya mainkan VCD tersebut. Sampai ke adegan Jason membawa Orked menonton wayang gambar, saya amat terkejut apabila melihat aksi Orked menunggang motosikal dengan dua kakinya di atas riba Jason ada dalam VCD tersebut. Tanpa lengah, saya melajukan perjalanan VCD tersebut ke bahagian gurau senda ibu dan bapa Orked. Adegan tersebut juga ada sepenuhnya tanpa potongan.

Saya mengulangnya beberapa kali semata-mata untuk membuktikan apa yang saya sedang lihat bukan sekadar harapan.

Anugerah Seri Angkasa : Anugerah Taraf RTM
Rumah siap, pahat berbunyi. Penat. Bosan. Walau segah mana pun anugerah ini sekiranya masih diselenggarakan bersama RTM, maka aura-aura RTM itu akan tetap kelihatan. Walaupun ia dilangsungkan di Dewan Merdeka, tetapi tetap kelihatan seperti di Auditorium Besar RTM. Sistem bunyi kedengaran kasar di Saluran Perdana, baik sedikit di Saluran 4, Astro Ria.

Placard masih diusung untuk memperkenalkan stesen radio dan tv, persis konsert sekolah rendah. Pengacara rancangannya terjerit-jerit memperkenalkan penyampai anugerah seperti mereka berada di dalam konti radio.

Persembahan yang hebat hanya dari Azlina Aziz dan Liza Aziz serta lawak jenaka dari Saiful Apek dan Raja Azura. Persembahan Ruffedge masih hambar (walaupun Ruffedge menjemput Opie menyertai persembahan mereka).

Keputusan malam itu adalah hak juri. Saya sendiri tidak menonton kesemua rancangan yang dipertandingkan. Anda mengharapkan saya menonton Salam Pantai Timur ? Jauh sekali. Drama yang mendapat pencalonan akhir untuk Drama Terbaik hanya Ustaz Sufi dan Sekeras Kerikil sahaja yang saya tonton.

Akademi Fantasia menang dua anugerah iaitu Rekaan Set TV Terbaik dan Aznil Nawawi menggondol Pengacara TV Terbaik. Selain itu, Akademi Fantasia dicalonkan untuk Kostum Terbaik TV dan Penataan Cahaya Penerbitan TV Terbaik.

Salina : Deja Vu Lantai T. Pinkie dan Mencari Juita album foto
Pada mulanya saya menyangkakan yang Salina sekadar drama kisah silam yang bercerita tentang latar zaman setelah perang. Pada masa itu hidup amat susah.

Bertindak di luar kebiasaan, teater ini meneroka kisah hidup orang-orang di sekeliling Salina. Maka sewajarnya watak Salina nampak tidak begitu menonjol.

"Aneh sekali, waktu itu, yang dikagumi hanya gerak-geri seorang watak; masyarakat sekitar watak Salina itu sendiri seperti dilupakan." Ujar harapan Pak Samad dalam buku cenderamata.

Maka melihat senario tersebut, kumpulan ini telah keluar dari kepompong minda zaman dahulu untuk melihat watak-watak di sekitar Salina. Maka watak seperti Nahidah, Zarina, Hilmy dan Khadijah diberi kekuatan watak serta dapat menonjolkan diri mereka selain watak Salina dan Fakar.

Masing-masing punya sebab untuk bertindak di luar batasan normal kehidupan. Kisah hitam dalam hidup masing-masing berpunca dari keinginan untuk meneruskan kehidupan. Zaman itu, manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk terus hidup.

Fikiran saya terimbau kepada Rumah Kedai Jalan Seladang, Mencari Juita, Ronggeng Rokiah dan Lantai T.Pinkie. Empat drama pentas ini punya tema yang sama dalam latar zaman yang sama. Pengaruh-pengaruh drama tersebut turut diselitkan dalam Salina.

Saya harus puji rekaan set yang dibuat dengan cukup baik serta mampu membawa mood persekitaran Kampung Kambing.

Kekuatan rekaan set yang ada mungkin akan dapat menguatkan lagi nashkah tersebut sekiranya dibantu dengan rekaan tatacahaya yang lebih mantap. Mood pencahayaan tidak banyak membezakaan perbezaan waktu serta menimbulkan suasana persekitaran pada waktu tersebut.

Teknik arahan serta olahan skrip telah dibuat dengan baik. Saya paling menyukai teknik awal dan teknik akhir drama tersebut. Sambil Hilmy membaca surat dalam perjalanan di dalam sebuah gerabak keretapi. Hayunan gerabak serta kesan bunyi memberikan kesan yang begitu mendalam.

Namun demikian, para pekerja pentas harus tahu disiplin teater. Kerja harus dilakukan dengan cermat dan teliti agar tidak mengganggu persembahan. Pekerja pentas melintas di hadapan pelakon adalah sesuatu yang sukar dimaafkan.

Babak akhir sedikit merencatkan perjalanan cerita. Menyanyikan lagu tema seakan-akan menjadi anti-klimaks kepada persembahan tersebut. Mujur ia bukan pertandingan dan hanya sekadar persembahan. Perjalanan akhir Salina membawa begnya berjalan keluar dari pentas mengingatkan saya tentang perjalanan T.Pinkie keluar dari pentas Lantai T.Pinkie. Tidak banyak perbezaan.

Saya senang untuk menonton drama masyarakat pada zaman setelah perang untuk kita sama-sama menjelajah permasalahan mereka satu persatu. Salina berbuat baik kepada lelaki bernama Fakar tetapi tidak mendapat balasan yang sewajarnya. Fakar yang tidak mengenal untung tidak mahu berterima kasih atas pengorbanan Salina. Fakar mengambil kesempatan untuk menodai Nahidah. (baca: makan luar). Akhirnya Salina yang keluar dari rumahnya sendiri meninggalkan Fakar.

Entri oleh sultanmuzaffar 08 March 2005 0 komen

AF
Akademi Fantasia I Reunion Gathering

Dalam debaran menantikan demam Akademi Fantasia III, saya tidak pernah melupakan pelajar perintis Akademi Fantasia I. Kelucuan mereka, kejujuran mereka, tawa riang mereka, tangis mereka, penampilan mereka yang kita lihat saban malam pada bulan Mei hingga Ogos 2003 sehingga kini masih kekal dalam ingatan saya. Masing-masing kini punya haluan sendiri dalam menempuh cabaran menjadi bintang.

Pertemuan pertama kali saya dengan Adi, Burn, Atie dan Azza pada malam Konsert 6 merupakan detik perkenalan saya dengan bintang Akademi Fantasia. Konsert 6 juga merupakan konsert keramat yang membuatkan rancangan bakat tv realiti tersebut menjadi fenomena dan terus kekal popular sehingga hari ini.

Menjelang demam Akademi Fantasia III, pihak kami amat berbesar hati untuk menganjurkan sebuah acara yang menghimpunkan kembali bintang-bintang yang telah kita cipta pada musim pertama buat julung-julung kalinya.

AF

Akademi Fantasia I Reunion Gathering


12 Bintang Akademi Fantasia I termasuk Nemo

Tarikh 20 Mac 2005 (Ahad)
Masa 10.00 pagi - 6.00 petang
Tempat Pandan Safari Lagoon, Pandan Indah, Cheras
Harga
Dewasa - RM60 (termasuk Entrance Fee, T-shirt, Buffet Luncheon, Games)
Kanak-Kanak (12 tahun dan ke bawah) - RM35 (Entrance Fee & Buffet Luncheon)
Kanak-Kanak (5 tahun dan ke bawah) – Percuma

Etika Pakaian Pakaian “Wet Park” yang bersesuaian


Pembayaran harus dibuat kepada akaun-akaun berikut. Salinan Deposit Bayaran hendaklah disertakan untuk semakan. Bayaran yang telah dibuat tidak akan dikembalikan.

Pembayaran
RHB - 15102100100400 (Sariyah Mohd Sarip)
Public Bank - 4415552117 (Shareen Emelia Ramli)
Maybank - 162085423707 (Zulkaini Kamarudin)


Sebarang pertanyaan atau kemusykilan bolehlah menghubungi
AwekGemuk (019-3036000 / 012-9344200)

Terima kasih di atas sokongan anda !

Untuk mengembalikan ingatan anda kepada bintang Akademi Fantasia I, layari:

Retrospective i : Pelancaran EVO 01 02 03
Retrospective II : Imbasan Akademi Fantasia NTV7

AF

Entri oleh sultanmuzaffar 06 March 2005 0 komen

SepetGathering Sepet Photo Album

Hari : Jumaat
Masa : 9.20 malam
Tempat : Dewan 8, TGV KLCC

Peserta :
sultanmuzaffar
badrul
shonny
nart
waiem
ijinkiut
kak aidid
abg is
sahri
wink
cikanosweet
orgkampung
rose
nhk
nana
sempoii
adifashla
linb
rudi bluehikari
hemo hemo
iffa
abg salim
meesua
shaznilam
kak ainon
jolyn
ean
scov
aizad
faiz
dan nuarkiut

Sejak akhir-akhir ini, kita didedahkan kepada debat forum oleh Ku Seman Ku Husin dam kolumnya dan kemudian dijawab oleh Aziz M. Osman, pengarah filem Melayu yang mula mencipta nama melalui filem Fenomena. Dalam Pancaindera tersiar wawancara beliau bertajuk Itu Agenda Jahat.

Filem komersial, filem serius
Aziz M. Osman jawab tulisan Ku Seman
Itu agenda jahat - Aziz M. Osman

Malaysia dan Filem, Ke Mana Arah Tujunya ?
oleh Azmi (mot) 3F Club

Kenapa saya meletakkan tajuk sedemikian? Kenapa tidak saya letakkan `Ke mana arah tuju filem Melayu' atau `Ke mana arah tuju filem Malaysia'? Ini kerana Malaysia tidak harus ada filem Melayu sahaja dan saya tidak namapk filem Malaysia yang sebenar sehinggalah munculnya SEPET yang memberikan harapan baru untuk melihat Filem Malaysia di mana mungkin satu bentuk yang filem yang dapat kita banggakan. Ini juga bukanlah promosi percuma untuk filem SEPET kerana setiap orang berhak mempunyai pendapat, luahan dan flem kesukaan masing-masing.

Dalam soal filem ini nampaknya samada penggiat, pengusaha atau pun penonton masing belum begitu terbuka dalam menangani atau melihat filem itu secara total. Walaupun ada yang bersifat terbuka namun bukanlah kesemuanya. Mungkin semua sudah bosan dengan topik ini, namun hal yang sama, kalau tidak di ingatkan selalu, kita akan terus lupa dan lalai dengan apa tujuan filem itu sebenarnya.

Kenapa saya bahagikan kepada 3 bahagian utama? Penggiat filem adalah yang kita panggil sebagai karyawan atau orang-orang filem yang kerjanya untuk menghasilkan filem yang terbaik – bagi fikiran mereka. Mereka tidak kisah kalau filem mereka tidak laku atau mendapat pengiktirafan kerana mereka melakukannya tasa dasar seni dan ia adalah yang terbaik bagi mereka walaupun tidak bagi orang lain. Mereka tidak payah memikirkan sangat soal pulangan kerana itu adalah kerja pengusaha-pengusaha filem. Siapa mereka?

Pengusaha filem, adalah golongan-golongan penerbit atau orang yang cuba mengeluarkan filem secara berterusan atas landasan survival, komersil, pulangan dan pengiktirafan. Bagi mereka, filem adalah perniagaan yang perlu dipasarkan dan mendapat pulangan daripadanya. Mereka tidak akan mengeluarkan filem yang tidak laku atau rugi di pasaran kerana mereka bukan melakukan atas dasar tanggungjawab sosial. Bagi mereka, kalau rugi di pasaran, lebih baik tak payah buat filem. Itu dalah realiti yang harus difahami semua. Dan mereka selalunya akan melihat pasaran di mana peminat filem akan menentukan apakah genre yang mereka minati untuk menarik mereka ke pawagam.

Peminat filem pula terdiri daripada pelbagai golongan dan meraka termasuklah dua jenis yang di atas kerana untuk menjadi penggiat dan pengusaha filem, meraka haruslah menjadi peminat filem itu sendiri. Selera peminat-peminat filem ini susah untuk di fahami dan susah untuk di puaskan kerana setiap orang mempunyai selera dan citarasa masing-masing. Jadi kedua jenis manusia di atas akan memilih genre atau jenis filem yang paling banyak disukai ramai dan mendatangkan keuntungan. Maka timbullah filem-filem seperti Sembilu, Maria-Mariana, Gerak Khas, Kuliah Cinta, Mami Jarum, Cinta Kolesterol, KL Menjerit dan pelbagai lagi (sekadar menyebut beberapa filem yang tinggi rating).

Kalau dilihat, kebanyakan filem di atas mempunyai landasan Cinta atau berkisar tentang kisah cinta. Kenapa semuanya berkisar perihal cinta? Adakah peminat filem Malaysia ini suka bercinta ataupun asyik dengan cinta atau sudah tiada pilihan genre yang lain di Malaysia ini kerana pengusaha dan penggiat filem masih berpegang dengan formula lama di mana kisah cinta tidak pernah gagal di pasaran?

Jawapannya – YA! Kebanyakan filem cinta memang laris di pasaran ditambah dengan tambah nilai pelakon-pelakon komersil yang berjaya melariskan filem walaupun ia hanyalah filem biasa yang kadangkala hanya layak di tayangkan di televisyen. Malaysia sepatutnya mempunyai saluran seperti HBO di mana filem-filem sebegini boleh dibuat hanya untuk siaran TV tanpa perlu ke pawagam. Dengan itu tiadalah soal lambakan VCD murahan dek kerana keghairahan pengusaha filem VCD melayan nafsu peminat-peminat genre ini. Dan ada setenagahnya memang layak dicetak rompak kerana adalah merugikan untuk membeli sebuah VCD berharga RM19.90 padahal initpatinya hanya
layak dengan harga RM7.90.

Peminat filem tidak harus disalahkan seratus peratus kerana filem dibuat untuk di tonton dan hanya peminat yang wajib menilai filem mana yang baik, bagus dan sesuai untuk mereka. Jadi ketiga-tiga golongan ini haruslah bekerjasama untuk menghasilkan filem yang bermutu tinggi, bukan hanya untuk tontonan tempatan malahan boleh menerjah ke pasaran luar negara tidak kiralah luar negara itu bermaksud Thailand dan Indonesia sahaja (bagi sesetengah pihak).

Dalam pada era globalisasi ini, filem Malaysia haruslah bersifat global tanpa meninggalkan nilai-nilai tempatan agar oran boleh tahu ini adalah filem dari Malaysia. Kita masih tidak mempunyai identity yang solid sebagai filem Malaysia. Apakah acuannya? Apakah coraknya? Apakah intipatinya? Itu adalah soalan yang harus kita jawab bersama. Dialog-dialog dan bengkel-bengkel filem boleh dilakukan selalu agar peminat dapat memahami filem dan penggiat filem dapat memahami kehendak peminat dalam masa yang sama meningkatkan kualiti filem kita.

Tidak guna kita bergaduh, bertengkar, saling tuduh-menuduh sesama sendiri walhal ia tka akan ke mana. Tidak guna kita mengatakan filem ini tidak bagus, filem itu sampah tetapi tidak ada usaha yang kita lakukan bersama untuk mengatasinya. Saya sendiri sudah agak bosan melihat komen-komen yang menjatuhkan (bukan membina) walaupun saya
sedar komen-komen itu harus untuk meningkatkan kualiti filem. Namun ia haruslah di susuli dengan cadangan, usulan untuk kita memperbaiki ketidakpuasan (kerana tidak ada kesilapan dalam kerja seni, kata guru saya).

Filem adalah kerja seni. Sebagaimana lagu, lukisan, sajak, novel dan lain-lain, filem termasuk dalam golongan seni dan seni itu indah. Indah itu cantik dan kecantikan itu adalah amat subjektif bagi setiap orang. "beauty lies on the eye of the beholder", kata bijak pandai. Setaip orang mempunyai penilaian terhadap kecantikan dan keindahan. Kalau Prof Razak mengatakan Kuliah Cinta itu cantik, maka cantiklah baginya. Kalau Mansor Putih mengatakan filem pendek itu tidak sesuai baginya, maka buruklah sesuatu seni itu baginya. Semuanya amat subjektif dan ini haruslah difahami oleh semua orang.

Saya respek dengan tindakan Aziz M.Osman yang mengatakan kalau beliau tidak suka sesuatu filem itu, beliau akan keluar terus dari panggung tanpa menungu penamatnya. Itu pendirian beliau dan kita semua harus respek denga pendirian beliau. Lagipun buat apa kita menyiksakan diri menunggu penamat filem yang kita rasakan buruk dan sampah sifatnya. Dan kalau anda rasa rugi, maka anda haruslah menahan sabar sehingga akhir cerita kerana bukan semua orang mempunyai sifat setegas itu. Saya juga respek dengan Datuk Yusuf Haslam (sekali lagi dengan pendirian beliau, bukan filem) kerana
beliau tetap tegas dengan prinsip yang filem2 beliau bagus di pasaran walaupun orang lain sebaliknya.

Jadi setiap filem punya aliran tersendiri dan pengikut-pengikutnya. Kalau seseorang itu telah jatuh cinta denga filem Razak Mohaideen, maka setiap filemnya akan ditonton dan dengan sendirinya khalayak itu telah terbina. Jadi tidak payahlah kita bercakap-cakap kosong sedangkan `cakap tak serupa bikin'. Ia semua adalah berkenaan dengan pilihan. Kalau suka tengok, buat, tak suka jangan tengok, jangan buat. Pilihlah filem anda sendiri, genre yang anda sukai, pengarah yang anda gemari, pelakon yang anda cintai, dan tontonlah filem kerana filem Malaysia harus terus hidup dan kembali ke zaman kegemilangannya.

p/s: "don't stereotype people la", kata Keong dalam SEPET

Jom tengok Sepet lagi dan lagi dan lagi.
Next Gathering : Gathering Adifashla, Sahri & Burn (20 Mac 2005)
Maklumat lanjut sila dapatkan di YG Adi dan YG Sahri

Entri oleh sultanmuzaffar 26 February 2005 0 komen

SepetSepet lahir atas lafaz kejujuran

Sudah agak lama saya tidak memberikan ulasan filem sehingga mendapat teguran dari seorang guru filem mengenainya. Mungkin kerana dibuai fantasi Akademi Fantasia lalu saya melupakannya.

Saya berpeluang sekali lagi untuk menonton sebuah filem Malaysia bertajuk Sepet. Ini kali keempat saya menontonnya dan reaksi spontan saya masih sama sewaktu kali pertama saya menontonnya dalam versi rough-cut. Cuma tontonan kali ini lebih berbeza kerana skrin yang lebih besar dan tidak dilupakan potongan lapan adegan oleh Lembaga Penapisan Filem. Sekurang-kurangnya saya “acknowledge” kerja mereka. Sepatutnya saya mengeji tindakan mereka yang melepaskan Constantine untuk tayangan umum.

Walaupun berpeluang menonton versi tanpa suntingan, saya masih seperti sekarang. Tiada perubahan besar yang berlaku kesan dari adegan-adegan tersebut. Masih rajin memberi ulasan tentang Akademi Fantasia walaupun dalam salah satu dialog digambarkan Melayu itu sememangnya malas.

Sepet berkisar tentang Jason (Ah Loong) seorang penjual vcd haram yang lahir dalam sebuah keluarga Cina, meminati puisi dan telah jatuh cinta pandang pertama dengan Orked gadis dari keluarga kelas pertengahan yang terdidik dengan sempurna, fasih berbahasa Inggeris, gemar pelakon Takeshi Kaneshiro dan meminati filem Wong Kar-Wai dan John Woo. Secara tidak langung meraikan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia tanpa rasa prejudis terhadap bangsa lain.

Kisah cinta, hubungan mesra dan kasih saying yang dipaparkan dalam filem ini jauh melangkaui dari hubungan sepasang kekasih. Ia turut memaparkan kemesraan sebuah keluarga, layanan seorang majikan terhadap pembantu rumahnya yang tidak dilayan seperti seorang pembantu rumah, hubungan suami isteri dan hubungan persahabatan. Perhatikan sahaja, opening title filem ini yang mana berakhir dengan separuh dari nama Yasmin Ahmad iaitu Ahmad. Jelas sekali filem ini didedikasikan untuk keluarga beliau.

Sepet menggunakan empat bahasa (Melayu, Inggeris, Hokkien dan Kantonis yang dicampur adukkan menjelaskan realiti cara rakyat Malaysia berbicara) dan mampu memikat minat orang Melayu untuk menonton malah kaum Cina dan India juga sudah pasti terpikat untuk mengikuti kisah filem ini.

Uniknya Sepet apabila saya seakan-akan melihat sebuah realiti hidup di hadapan mata saya sendiri. Tanpa dialog yang meleret-leret, Sepet terus mencipta momentum sehingga ke penamat filem tersebut.

Anda tidak akan menemui dialog seperti;

Orked : Jason, u can call me at home, tapi…(long pause)

Jason : (sambil merapatkan tubuhnya ke arah Orked) Tapi apa Orked ?


Lupakan, anda tidak akan menjumpai dialog atau adegan sedemikian di dalam Sepet. Dialognya padat dan informatif. Setiap patah dialog yang dilafazkan ada kaitannya dengan cerita keseluruhan.

Dialog-dialog bijaksana banyak dalam filem ini, bercerita tentang sejarah Perancis dan Algeria, bagaimana filem Melayu yang hebat satu ketika dahulu, sifat Cina yang penipu dan Melayu yang pemalas (dipotong sedikit), Melayu yang celup Mat Salleh, kepentingan keluarga pada seseorang dan senarai akan berterusan tanpa henti…

SepetLakonan
Tanpa perlu mengurangkan umur Rosyam Noor, Yusry atau Erra Fazira, pelakon yang membawakan watak Jason dan Orked merupakan taruhan terbaik pengarah.

Pelakon remaja yang pertama kali tampil di layar perak merupakan seorang yang masih segar, masih suci dan senang untuk dibentuk selain seorang Pengarah Seni yang takutkan bossnya. Ng Choo Seong mampu membawakan watak seorang jejaka yang pemalu, masih tercari-cari identitinya, keliru, resah dan sengsara jelas terpapar pada wajahnya.

Sharifah Amani umpamanya lahir dari darah seni seorang pelakon ternama dan pelukis telah memberikan lakonan yang cukup sifatnya. Penampilan bersahaja beliau serta ekspresi wajahnya yang mampu menimbulkan elemen ceria, sedih, gembira, resah, menangis bertukar satu-persatu dalam setiap adegan.

Keluarga Pak Atan dan Yam, orang gajinya lengkap sebagai sebuah keluarga Melayu yang penuh dengan nilai keMelayuannya serta digabung-jalin dengan rasa kasih sayang dan kemesraan. Keluarga Jason yang bising tatkala sedang menjamu selera serta kebengkengan bapanya menceritakan yang bukan sahaja Melayu punya masalah, kaum Cina juga punya masalah yang sama.

SepetKebijaksaan Yasmin
Yasmin Ahmad, Pengarah filem ini tahu bercerita secara tersurat dan tersirat melalui medium seluloid. Walaupun menurutnya, beliau tidak belajar apa itu bahasa filem tetapi saya dapat melihat ia ditampilkan secara penuh bijaksana oleh beliau.

Filem ini disingkap pembukaannya dengan hubungan ibu dan anak dan diakhiri juga dengan hubungan ibu dan anak. Sudah cukup jelas yang filem ini keseluruhannya bercerita tentang itu.

Penonjolan watak salah seorang kawan kepada Jason dan Keong yang handphonenya sering berbunyi sudah cukup merimaskan saya. Tanpa satu dialog pun, saya sudah membencinya. Kehebatan beliau mencipta watak yang mampu mempengaruhi emosi penonton sudah cukup kuat. Begitulah juga sekiranya dalam kita sibuk menghayati filem yang sedang kita tonton, berbunyi handphone atau pun penonton di sebelah sibuk mengulas filem tersebut seperti krew ERA yang membuat bising di dalam panggung.

Begitu juga adegan yang membabitkan isu-isu sensitif seperti biasiswa. Kerana kebijaksanaan pengarah, adegan tersebut terlepas pandang oleh Lembaga Penapisan Filem. Isunya jelas, Jason yang memperoleh 7A hanya menjadi penjual vcd haram manakala Orked yang mendapat 5A berjaya mendapatkan biasiswa. Kita harus menilai kemampuan penonton Melayu untuk sedar dan nampak perkara tersebut. Perkara seremeh budi bahasa pun harus diingatkan saban hari melalui lagu budi bahasa oleh Siti Nurhaliza.

SepetAdegan yang ditampilkan dari babak ke babak merupakan satu untaian jiwa jujur yang bercerita dan semakin mendekatkan kita dengan realiti. Kekuatan setiap babak dan skrip yang ringkas menjadi tunjang utama kehebatan filem ini. Babak seperti anak patung dalam keadaan statik dan kemudian menari, shot pil tongkat ali, orang buta bermain keyboard di tepi jalan merupakan babak-babak ringkas yang memberikan kesan yang besar kepada filem ini. Adakalanya tanpa dialog dan hanya kesan visual telah memberikan seribu makna untuk ditelah oleh penonton.

Penggunaan shot kamera oleh Keong Low yang cantik serta penggunaan muzik latar yang bersesuaian memberikan mood yang indah pada filem ini. Ketenangan air di latar pertemuan Jason dan Orked di tepi tasik begitu indah. Penggunaan shot perspektif mengundang bencana di penghujung filem ini (menurut perujuk filem saya, Pak Hassan Mutalib).

Lagu temanya saya kira merupakan sebuah lagu Cina dan saya menyukai lagu tersebut. Yam yang gemarkan lagu Siam menjadi lagu tema sewaktu adegan mesra Pak Atan dan Mak Inom.

SepetHarapan
Penamat filem ini meluahkan harapan bukan sahaja harapan Orked tetapi juga harapan pengarahnya. Orked mengharapkan agar dapat mendengar suara Jason. Sesiapa sahaja yang berharap, tentu berharap harapan itu berpihak kepada kita.

Sebagai manusia, kita hanya ingin mendengar apa yang ingin kita dengar. Itu harapan kita. Harapan Orked, mahu mendengar ungkapan cinta yang lahir dari rasa Jason. Harapan saya mahu melihat perubahan yang besar pada dunia perfileman Melayu, dan Malaysia amnya.

Penamat filem ini kini menjadi milik anda. Itulah bukti filem ini merupakan sebuah filem yang baik.

Sepet lahir atas nama kejujuran. Rasailah Sepet sebagaimana anda merasai cinta. Sepet sebuah filem yang berlapis-lapis. Tonton lapisan pertama untuk merasai cinta, hayati lapisan kedua untuk menjelajah pemasalahan bangsa Malaysia dan selam ke lapisan ketiga untuk menzahirkan harapan dan rasa cinta dunia perfileman Malaysia.


Filem ini boleh berbangga dengan ceritanya yang bersesuaian dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang gemilang, dialog yang unik yang lahir dari kejujuran dan pemaparan realiti yang berkesan, lakonan yang mantap dan meyakinkan terutama watak utama dan reka sinematografi yang mengkagumkan serta cantik.

Rating : A
Arahan : A
Lakonan : A
Skrip : A
Sinematografi : A
Arahan Seni : A
Muzik Latar : A

Lulus dengan CEMERLANG !!


Foto ihsan Pang Kee Teik and Sepet Official Site
Poster ihsan Sepet

Ulasan Sepet
Blog
Yasmin Ahmad : http://yasminthestoryteller.blogspot.com/
Yasmin : Love on Trial
TVSmith Dua Sen : SEPET (A Review)
Ted : 'Sepet' by Yasmin Ahmad – Jujur sejujur-jujurnya
Pick Yin : "You are My Poetry"
Najah : An Afternoon with Sepet (and Yasmin Ahmad)
Judd : Sepet vs. Constantine
Pete Teo : Dementia & Chatterboxes
Tontonfilem : Yasmin & Aku serta Bundarnya Sepet
Leen : Go Watch Sepet. Twice. Thrice Even.
Mat Jan : Sepet: Semua orang boleh suka
Badrul : the one about badrul and ten things that he hates about sepet...
Jimi : SEPET: FILEM TERBAIK MALAYSIA SETAKAT INI
Awan Putih : Tidak Sepet
teekay : I Hate Sepet

Akhbar
Sinema Baru : SEPET sarat makna tersembunyi
Kakiseni Paparazzi : A Night in the Life of Sepet
Utusan : Sepet buat anda ketawa dan menangis
The Star : Making The Grade by Rizal Johan
Utusan : Jom, tengok Sepet
The Sun : On behalf of the Rakyat
Malay Mail : At last, a true Malaysian gem

Entri oleh sultanmuzaffar 19 February 2005 0 komen

KEBUN BOWLING TOURNEY

Saya membatalkan niat saya untuk menyaksikan Anugerah Planet Muzik kerana mahu sama-sama merasakan keseronokan bersama sahabat-sahabat saya yang kesemuanya saya kenali melalui blog ini. Lagipun Anugerah Planet Muzik akan ada ulangan. Begitu juga Blast Off. Tetapi tidak keseronokan bersama kawan-kawan anda sendiri. Dalam keadaan yang tidak berapa sihat, saya gagahkan juga meredah jalan ke Mines Shopping Centre. Bukan selalu main bowling. Baling sahaja bukan susah. Kemenangan akhirnya berpihak kepada pasukan EASTWEST yang seragam berpakaian warna hitam. Naib Johan berpihak kepada team merah dari REDBULLS. Manakala tempat ketiga dibolot oleh team kuning dari KINGPINS. Tanpa perlu dipersoalkan, pasukan STRIKE yang menggunakan warna pink sebagai warna tema merupakan pasukan yang tercorot. Seperti malam penyingkiran Nurul yang membawakan lagu Lucky, malam itu tidak memberikan apa-apa tuah untuk beliau. Begitu juga pasukan STRIKE yang hanya sekadar namanya STRIKE.

STRIKE
1. wink
2. meesua
3. iz
4. cikanos
5. lin banana
6. SM (Import Game 3) *Punca kekalahan

Kemasukan SM menggantikan meesua, iz, cikanos & linbanana yang pancit sekaligus memberikan gambaran mereka hanya mampu dua round dengan Datuk wink.

EASTWEST
1. Bad
2. Batrisya 88
3. Nart
4. Leen
5. SM (Import Game 2) *Punca kemenangan

Kemasukan SM setelah melihatkan persembahan hambar dari Leen sekaligus menyebabkan SM menyarungkan kasut bowling untuk mengambil-alih tugas tersebut.

KINGPINS
1. sumbing
2. org kampung
3. NHK
4. scov
5. rose

Scov datang dari Pulau Pinang semata-mata kerana keseronokan ini. Mana mungkin saya melepaskan peluang tersebut.

REDBULLS
1. Iskandar
2. aidid5
3. waiem
4. LV
5. yasz

Pasukan yang kekwat apabila tidak berkongsi hadiah dengan pasukan lain. Over sangat !

Johan EASTWEST
Naib Johan REDBULLS
Tempat Ketiga KINGPINS
Tempat Tercorot STRIKE
Individu Terbaik Keseluruhan BADRUL
Individu Terbaik Permainan BADRUL

Untuk mengikuti secara langsung sessi melaser tentang prestasi masing-masing sila ke blogpisang dan badrulaftersix. Khabarnya Badrul akan membuat posting tiga hari berturut-turut untuk meraikan kemenangannya.

Album Foto Kebun Bowling Tourney
Next Outing : Jom Menonton Sepet !
SPOILER ALERT ! Ulasan Sepet oleh Fadz

PEMENANG ANUGERAH PLANET MUZIK 2005

ARTIS BARU LELAKI TERBAIK
AC-Tassamaqu
Ressa Herlambang-Diary of Life
Iskandar Ismail-Destinasiku
Paundra-Sebuah Awal
Vince-Vince
Pemenang VINCE

ARTIS BARU WANITA TERBAIK
Ajeng-Pertama
Dia Fadila-Dia
Norazia-Cinnamon Cassia
Saidatul Erma-Saidatul Erma
Shahira-Shahira
Pemenang DIA FADILA

DUO / KUMPULAN BARU TERBAIK
Bamboo-Adaptasi
Bhumiband-Suara Dunia
Rocket Rockers-Ras Bebas
Seurieus-Rocker Juga Manusia
Ten 2 Five-I Will Fly
Pemenang BHUMIBAND

ARTIS LELAKI TERBAIK
Ari Lasso-KuLihat KuDengar KuRasa
Chrisye-Senyawa
Iwan Fals-Manusia 1/2 Dewa
Rem-Satu Suara
Zainal Abidin-Puteri
Pemenang ARI LASSO

ARTIS WANITA TERBAIK
Audy-2002
Dayang Nurfaizah-Dayang Sayang Kamu
Dewi Sandra-Ku Akui
Kris Dayanti-Cahaya
Misha Omar-Aksara
Siti Nurhaliza-Prasasti Seni
Pemenang KRIS DAYANTI

DUO / KUMPULAN TERBAIK
Bhumiband-Suara Dunia
Flop Poppy-Say La V
Peter Pan-Bintang Di Syurga
Sheila On 7-OST 30 Hari Mencari Cinta
Spider-Nazraku
Pemenang SHEILA ON 7

LAGU TERBAIK
Arti Cinta-KuLihat KuDengar KuRasa
Berhenti Berharap-OST 30 Hari Mencari Cinta
Cobalah Untuk Setia-Cahaya
Dialah Dihati-Prasasti Seni
Pulangkan-Aksara
Pemenang BERHENTI BERHARAP

ALBUM TERBAIK
Cahaya-Kris Dayanti (Erwin Gutawa)
KuLihat KuDengar KuRasa-Ari Lasso (Ari Lasso)
Nazraku-Spider (Spider)
OST 30 Hari Mencari Cinta-Sheila On 7 (Jan Djuhana & Sheila On 7)
Sawo Matang-Noraniza Idris (Noraniza Idris)
Pemenang KULIHAT KUDENGAR KURASA (ARI LASSO)

ARTIS TERBAIK (SINGAPURA)
Bhumiband-Suara Dunia
Dinodi-Cinta Tragika
Iskandar Ismail-Destinasiku
Norazia-Cinnamon Cassia
Project R4S-Muqaddimah
Pemenang ISKANDAR ISMAIL

LAGU TERBAIK (SINGAPURA)
Cinta Tak Mungkin-Destinasiku (Iskandar Ismail-Baba-Baba)
Cinta Tragika-Cinta Tragika (Dinodi-Md Khair Md Yasin)
Oh Kasih-Suara Dunia (Bhumiband)
Silap-Muqaddimah (Project R4S-Project R4S-Project R4S)
Wau Bule-Cinnamon Cassia (Norazia-Norazia & Arjuna De Bromo)
Pemenang OH KASIH (BHUMIBAND)

ALBUM TERBAIK (SINGAPURA)
Cinnamon Cassia (Norazia-Norazia, Arjuna De Bromo & Olaf Hund)
Destinasi Ku (Iskandar Ismail-Baba)
Me Lodi (Jaliboy-Jaliboy)
Suara Dunia (Bhumiband-Hang Dimas)
Tajul 'Arifin (Zynal-Hasanyn)
Pemenang SUARA DUNIA (BHUMIBAND)

ARTIS LELAKI PALING POPULAR
Ajai
Anuar Zain
Ari Lasso
Glenn
Hazrulnizam
Iwan Fals
Marcell
M Nasir
Vince
Yassin
Yusry (KRU)
Zainal Abidin
Pemenang ANUAR ZAIN

ARTIS WANITA PALING POPULAR
Agnes Monica
Anita Sarawak
Audy
Azrina
Dayang Nurfaizah
Ezlynn
Kris Dayanti
Melly
Misha Omar
Siti Nurhaliza
Siti Sarah
Ziana Zain
Pemenang SITI NURHALIZA

KUMPULAN PALING POPULAR
Dewa
Flop Poppy
Gigi
Mambang
NewBoyz
Padi
Peter Pan
Ruffedge
Sheila On 7
Spider
Tofu
VE
Pemenang SPIDER

LAGU PALING POPULAR
Alhamdulillah II - Too Phat feat Yassin
Bagaikan Sakti - M Nasir & Siti Nurhaliza
Berhenti Berharap - Sheila On 7
Cobalah Untuk Setia - Kris Dayanti
Lagu Rindu - Siti Nurhaliza
Suziela - Flop Poppy
Pulangkan - Misha Omar
Relaku Pujuk - Spider
Sedih Tak Berujung - Glenn
Seksis - Anita Sarawak
Tak Tahan Lagi - Melly
Tipah Tertipu - Ruffedge
Pemenang LAGU RINDU (SITI NURHALIZA)

Anugerah Khas APM 05
Pemenang KUMPULAN DEWA

Anugerah Pencapaian APM 05
Pemenang RAMLI SARIP

Saya paling suka persembahan Saiful Apek membawakan Medley 12 Lagu Paling Popular. Walaupun liriknya menjadi kacau-bilau tetapi persembahan tersebut ada keunikannya yang tersendiri. Idea menampilkannya sedemikian juga sudah harus dipuji.

Persembahan lain yang menarik minat saya tentu sekali kemunculan Dewa membawakan lagu Pangeran Cinta dan Pupus. Sememangnya mereka genius muzik Indonesia.

Penghargaan dari orang baru kepada orang lama yang diraikan dalam lagu Bukan Kerana Nama dendangan oleh Taufik Batisha untuk menghargai seorang Papa Rock iaitu Ramli Sarip.

Pertarungan vokal antara Siti Nurhaliza, Kris Dayanti dan Melly Goeslaw juga merupakan antara persembahan yang gemilang. Membawakan lagu Cinta, Cobalah Untuk Setia, Dialah Di Hati dan Tak Tahan Lagi secara duet merupakan satu persembahan yang benar-benar mengiktiraf hasil-hasil seni Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Hayati lirik Rumah Kita, lagu penutup yang didendangkan sewaktu Anugerah Planet Muzik semalam.

Rumah Kita
hanya bilik bambu
tempat tinggal kita
tanpa hiasan
tanpa lukisan
beratap jerami
beralaskan tanah
namun semua ini punya kita
memang semua ini milik kita
sendiri ...
hanya alang-alang
pagar rumah kita
tanpa anyelir
tanpa melati
hanya bunga bakung
tumbuh di halaman
namun semua ini punya kita
memang semua ini milik kita
haruskah ..
kita beranjak ke kota
yang penuh dengan tanya ...
reff :
lebih baik disini
rumah kita sendiri
segala nikmat dan anugerah
yang kuasa
semuanya .. ada disini
rumah kita ...


Tahniah kepada semua pemenang !

Entri oleh sultanmuzaffar 04 February 2005 1 komen

Projek 238Temuramah Email

Sekali lagi saya diberi peluang untuk menjanakan pendapat saya untuk melengkapkan lagi proses pendidikan dan penyelidikan yang dilakukan oleh seorang blogger kenalan saya iaitu Fadz. Beliau memiliki blog yang bergelar tontonfilem. Tentu ada di antara anda yang pernah melayari blog beliau. Saya gemar membaca blog beliau sejak dahulu sehingga kini. Walaupun adakalanya proses penyelidikan yang dibuat oleh beliau untuk sesebuah filem itu terlalu mendalam dan kita seakan didedahkan dengan sejarah perfileman akan menjadikannya sesuatu yang sukar untuk diterima. Saya akui blog beliau merupakan antara rujukan saya tentang filem.

Bahagian I

1. bagaimanakah SM kenal akan komuniti blog dan pada tahun apa?
Saya mula mengenali komuniti blog apabila saya dan sahabat baik saya iaitu Nizam Zakaria saling bertukar-tukar link satu blog iaitu bluehikari.com. Pandangan pertama saya hanya sekadar untuk melihat gambar-gambar pengalaman penulis (Rudy) yang sewaktu itu berada di Jepun. Dari situ, saya terdedah kepada beratus jenis blog yang ada di gengjurnal.net. Pelbagai macam jenis blog ada di situ. Dari situ timbul minat saya untuk memiliki blog saya sendiri. Entri pertama saya bertarikh 26 Februari 2002, itupun setelah saya sendiri tidak sabar untuk menulis. Sepatutnya saya telah berhasrat untuk memulakannya pada 1 April 2002. Tetapi kerana ketidaksabaran, saya telah mempercepatkannya.

2. Apabila mengenalinya, apakah yang membuat saudara ingin mencipta blog sendiri? dan waktu saudara mencipta blog saudara (yg kini tercipta) adakah saudara terfikir tentang misi/bentuk/strategi yang ingin saudara projektorkan terhadap khayalak?
Saya menulis untuk suka-suka. Apa yang saya tulis hanyalah pandangan saya, rasa saya dan rakaman saya tentang sesuatu isu. Sekiranya saudara mengikuti blog saya sejak awal, ia berkisar tentang kehidupan seharian saya yang agak membosankan untuk dibaca. Dulu saya pernah kutuk pengurusan di pejabat saya dalam blog saya. Masa dulu tidak ada siapa yang baca. Kutuklah sepuas hati. Sekarang, penulisan bercorak ulasan mula saya terapkan sejak Januari 2003. Saya kira ia lebih memberikan manafaat kepada pembaca. Lagipun artikel yang diulas adalah artikel yang dikongsi bersama.

Pada mula penulisan saya langsung tidak memikirkan tentang misi atau strategi penulisan saya. Tetapi lama kelamaan saya terfikir, apakah manafaat yang boleh pembaca saya dapat melalui blog saya sekiranya saya terus menulis tentang perjalanan hidup saya membosankan yang tiada kena mengena dengan mereka. Maka untuk itu saya mencuba untuk menulis tentang apa sahaja teater, konsert dan website yang saya tonton dan layari untuk manafaat mereka. Bermula dari Akademi Fantasia saya menulis tentang apa sahaja yang berlaku di dalam dan di luar Akademi Fantasia. Alhamdulillah, pembaca menerimanya. Kini saya melihat tanggungjawab saya semakin besar dalam penulisan terutamanya yang berkaitan Akademi Fantasia.

3. Siapakah 'target audience' saudara sebenarnya, atau memang, blog yg. saudara cipta dikhaskan untuk saudara sendiri menelitinya, seakan jurnal yg. mana orang ramai boleh 'take a peek'?
Saya tidak pernah meletakkan target audience saya. Sesiapa sahaja boleh membacanya. Artikel tentang teater boleh dibaca oleh sesiapa sahaja, begitu juga dengan artikel tentang Akademi Fantasia. Kesan pelbagai jenis topik yang ada dalam blog saya, ia telah membolehkan enjin carian Google menyenaraikannya apabila pelayar internet mencari maklumat tentangnya. Seboleh-bolehnya saya mahu mereka kekal membaca setiap entri yang ada tanpa memilih topik-topik yang hanya mereka gemari. Kerana dari situ pembaca saya boleh nenanam minat untuk meminati apa yang diminati oleh orang lain.

4. sehingga kini, sudah berapa 'hits' yg saudara kecapi, kalau tak pun sebulan/seminggu?
Sehingga kini hitsnya sudah mencecah angka 929,232. Ini bukan bermakna saya sudah mengumpul pembaca sebanyak 929,232 orang. Angka tersebut sekadar bilangan lawatan yang telah dibuat sejak Februari 2002 hingga sekarang.

Bilangan hits yang saya terima agak berbeza tatkala musim Akademi Fantasia sedang berlangsung bilamana ia boleh mencecah 6,500 hits sehari, 36,000 hits seminggu dan 128,000 hits sebulan.

Pada hari-hari setelah musim Akademi Fantasia bilangan hits hanya sekadar 1,000 hits sehari, 6,000 hits seminggu dan 26,000 hits sebulan.

5. saudara kelihatan menjurus kepada ulasan budaya pop, tetapi ada juga menggambarkan dalam blog saudara, menyentuh isu2 sastera dan berkecimpung dgn. 'fine arts', adakah ada makna disebalik ini untuk perhatian pembaca saudara?
Saya menulis apa sahaja yang saya minat tanpa ada batasan yang mengekang minat saya. Saya tulis tentang hiburan mainstream seperti Akademi Fantasia yang lebih berkonsepkan budaya pop. Saya sedikit berbangga apabila saudara berjaya juga mencungkil idea-idea ulasan saya untuk isu-isu sastera dan “fine arts”. Ya, saya mengaku ada agenda saya yang tersendiri. Sebolehnya saya mahu juga pembaca saya pergi menonton teater atau filem yang bagus-bagus. Saya mahu menyogokkan pembaca saya bukan sekadar dengan bacaan yang berbentuk hiburan tetapi juga bacaan yang berbentuk ilmiah. Sampai bila pembaca saya harus dibuai fantasi Akademi Fantasia dan Malaysian Idol, sekali sekala mereka harus juga didedahkan dengan teater-teater bagus seperti Ronggeng Rokiah dan matderihkolaperelih atau filem-filem hebat seperti Puteri Gunung Ledang, Sepet dan Gangster.

Nota tambahan: Dalam diam sebenarnya saya cuba mempromosikan Kelab Akar Gita Estetika yang bergiat aktif dalam bidang teater, muzik dan tarian. Saya mahu mereka menghargai kerja-kerja seni kreatif ini seperti mereka terlalu mengagungkan Akademi Fantasia.

6. saya fahami bahawa saudara terus terkenal selepas mengulas AF (mungkin saya salah, maknanya saudara mmg sudah dikenali lebih awal dari itu)...Apa sebenarnya yg. saudara ingin projektorkan di sini..adakah pengemblengan ini untuk suka2, atau ada matlamatnya yg. tersendiri?
Saya sebolehnya mahu membudayakan minat membaca di kalangan penggemar siaran televisyen. Saya melihat mereka begitu aktif di dalam forum gosip seperti cari.com dan artismelayu.net. tetapi bahasanya di situ adalah bahasa yang rojak yang tunggang-langgang struktur nahu nya. Blog ini saya buat sebagai platform untuk mereka berinteraksi secara lebih positif dan mereka bebas untuk mengutarakan pendapat masing-masing dengan batasan-batasan yang ada. Visi yang pada mulanya suka-suka kini menjadi satu tanggungjawab yang berat. Bukan sahaja untuk para pembaca saya tetapi juga untuk saya. Saya perlu memberikan komen yang jujur dan saya menganggapnya sebagai satu beban yang cukup berat untuk saya tanggung. Pengiktirafan di peringkat mainstream bukan matlamat utama saya, cukup sekadar apa yang saya peroleh sekarang.

7. Kini, dalam kaji selidik saudara sendiri, apakah lingkungan umur pembaca yg melawati blog saudara?
Dalam satu soalselidik yang pernah saya buat dalam blog saya mendapati pembaca saya berada dalam lingkungan umur 16-25 tahun. Kebanyakannya ialah remaja dan pelajar manakala golongan kedua terdiri dari kalangan yang berumur 26-30 tahun. Mereka ini boleh saya sifatkan golongan yang telah bekerja dan profesional. Ini boleh saya buktikan melalui taburan hits berdasarkan jam yang mana masa puncak blog saya adalah pada waktu bekerja sekitar jam 8 pagi - 5 petang.

Anda berada di dalam lingkungan umur [1767 votes total]

Bawah 15 tahun (238) 13%
16 - 25 tahun (903) 51%
26 - 30 tahun (308) 17%
31 - 35 tahun (140) 8%
36 - 40 tahun (83) 5%
Lebih 40 tahun (95) 5%

8. Saudara mempunyai niat yg murni mencipta PFS, apakah sebenarnya tujuan ciptaan PFS (cth., meruntumkan silratul rahim antara penulis blog?)...? Adakah PFS ada misi tersendiri mengatasi Penulis Islam baru (ahlinya Lutfi Ishak, Faizal Tehrani, Dr. Zaki, Raja Ahmad, SM Zakir..mereka ini setidak2nya menuruti atau terpengaruh dengan 'sastera islam' pembawaan Shanon Ahmad)? Adakah PFS sendiri ada matlamat 'alternatif' dalam persoalan ini?
Saya sedar akan wujudnya Penulis Islam baru. Mereka ada aliran mereka sendiri dan saya pasti pembaca mereka sendiri. Tetapi kalau itu sahaja aliran penulisan yang kita ada di Malaysia, semacam kita membataskan kerja-kerja kreatif kritis yang lain. Kelak, tidak ada kepelbagaian sastera di dalam negara kita sendiri. Kalau tidak ada kepelbagaian, sastera kita tidak akan ke mana. Tapi sayangnya itu yang saya lihat. Seperti ada motif untuk mempromosikan sastera aliran ini dan menidakkan aliran yang lain yang mungkin wujud. Keadaan dunia penulisan di Malaysia, seperti mana saya pasti saudara sudah sedia maklum, berpuak-puak. Mereka yang mengikut satu-satu aliran akan menidakkan aliran yang lain. Mana-mana yang tidak mengikut visi mereka akan dikatakan bukan sastera malah dilabel ‘bukan mainstream’. Lihat sahaja diskusi ‘Weblog: Ruang Ekspresi Idea & Sastera’ yang akan diadakan di Rumah Pena pada 29 Januari 2004. Mengapa Nizam Zakaria (saya rasa, penulis pertama di Malaysia yang menerbitkan novel dalam bentuk e-book dan kemudian di dalam novel bersiri di dalam blognya) tidak dijemput. Mengapa ‘Bapa Blogger Malaysia’ Jeff Ooi tidak diminta untuk menjadi ahli panel? Malah, saya akui, jika mereka dijemput, mereka juga akan datang dengan menyediakan kertas kerja. Tetapi mengapa beberapa nama ini ditidakkan dan dianggap seolah-olah mereka tidak wujud di dalam dunia mereka ini? Boleh saya dapatkan jawapan yang ikhlas?

Misi PFS ialah untuk mencorakkan satu fahaman yang lebih liberal dalam seni dan sastera. PFS ada golongan yang tahu menilai seni kreatif dari program televisyen yang telah mereka tonton dan menghargai perbincangan secara ilmiah. Saya fikir, sastera dan seni tidak perlu kaku dan mempunyai satu corak sahaja. Ia perlukan kepelbagaian. Saya tidak ada masa seperti segelintir penulis yang mahu menutup kelemahan mereka dengan menutup pintu kepada penulis-penulis yang lebih berbakat yang ada menulis di Internet. Saudara sendiri, mempunyai kebolehan luar biasa mengulas mengenai filem tetapi bakat saudara langsung tidak diiktiraf secara “mainstream”. Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita meletakkan prejudis kita ke tepi dan kita perlu mengiktiraf penulis-penulis blog yang telah banyak mengubah cara kita berfikir (walaupun proses ini mengambil masa), dan melihat sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai contoh, dengan adanya blog, wartawan-wartawan kini tidak boleh menulis sesuka hati mereka kerana terdapat penulis-penulis blog yang jauh lebih cerdik dan arif dari mereka ketika menulis dan mengulas sesuatu perkara. Dengan adanya blog yang lebih tertumpu pada penulisan novel pula (ada beberapa blog seperti ini selain dari blog Nizam Zakaria jika saudara selidiki sendiri), pembaca-pembaca akan sedar betapa berbakatnya penulis-penulis yang kita ada jika dibandingkan dengan karya-karya yang telah diterbitkan tetapi sayangnya karya mereka hanya wujud di atas talian. Mengapa perkara ini boleh berlaku atau kita akan terus menerus begini, sedangkan beberapa karya blog barat telah dijadikan novel. Persoalan-persoalan sihat seperti inilah yang diharapkan membawa kepada perbincangan dan akhirnya perubahan yang baik di dalam dunia sastera dan seni di negara kita.

Sejarah PFS
PFS ? Petrol Free Setahun ? Peminat Fanatik sultanmuzaffar ? Saya nampak saudara terkeliru dengan konsep PFS. PFS sekadar suka-suka untuk mengembalikan apa yang telah diambil oleh ASTRO. Sewaktu Akademi Fantasia I, pembaca saya mengumpulkan email mereka sesama sendiri. Lalu saling bertukar-tukar forward email maka email yang paling panjang ialah tentang Petrol Free Setahun. Disingkatkan cerita, dari situ wujud nama PFS. Apa yang telah diambil oleh ASTRO, kita kembalikan semula dengan membuat encoding lagu-lagu konsert dalam bentuk mp3, video konsert dalam format vcd. Saya tidak fikir mereka dari PFS ingin mengatasi penulis-penulis tersohor yang sudah ada nama seperti Penulis Islam Baru. Mereka sekadar berseronok ingin juga berblog setelah melihat saya berblog. Saya melihat mereka lebih suka berfotoblog. Berkongsi pengalaman dan pandangan mereka bersama yang lain.

9. Saya lihat, bukan sahaja penggarapan bahan blog, dengan cara persembahannya, isinya dan temanya yg. saudara pentingkan, tetapi juga 'perjumpaan-perjumpaan' yg. saudara 'unformally' lakukan (or was it someone else idea?)..saya faham kenapa perjumpaan2 ini dilakukan, tetapi apakah agenda lain kenapa saudara lakukan ini atau saudara tidak sedar terhadap ini? (as ive heard a lot of ur style when speaking...thus in a way, when people has seen and talk with u, physically, they see ur personality, hence ur charisma..in a sense, i see in them that they respect u..and in a way, conjure u as a leader amongst them...its ok, tell me in ur own words, coz we are trying to realize and understand the form of leadership, whether it is decide upon or aptly made or unconsciously determined)..
Saya mengambil masa yang lama untuk menerima pelawaan mereka. Berkali-kali mereka meminta saya hadir tetapi berkali-kali juga saya menolak pelawaan mereka dengan baik. Mereka saya anggap seperti sahabat saya sendiri. Tidak salah sekiranya saya bertemu dengan mereka. Hubungan kami agak rapat. Sebolehnya sebagai seorang blogger saya ingin kekal tidak dikenali. Tetapi kemunculan saya dalam Imbasan Akademi Fantasia seakan-akan satu signal yang saya telah bersedia untuk menerima pelbagai kelompok pembaca sebagai kawan-kawan saya sendiri. Saya sering dijadikan bahan rujukan untuk Akademi Fantasia. Sehingga masalah-masalah fanclub juga harus saya tanggung dan selesaikan. Saya mencuba sebaik yang mungkin untuk memuaskan hati semua pihak. Jika boleh saya tidak mahu peminat Akademi Fantasia ini jenis yang mudah untuk ditipu lagi. Mereka memerlukan seseorang sebagai rujukan. Berinteraksi dengan mereka juga seakan meluaskan lagi pandangan saya dan pengalaman saya. Semuanya berlaku secara kebetulan dan saya tidak pernah mengharapkan mereka mendewa-dewakan saya kerana saya juga seperti mereka hanyalah salah seorang peminat Akademi Fantasia. Cuma saya mengharapkan mereka menerima saya seadanya.

Bahagian II

1. Apakah pendirian saudara terhadap media perdana kita dari segi penyampaiannya dan pengaruhnya?
Media arus perdana sememangnya mempunyai pengaruh yang besar, mungkin terlalu besar di Malaysia. Maka, sudah menjadi tanggungjawab kepada media arus perdana ini menyampaikan sesuatu dengan ikhlas dan tulus kepada rakyat Malaysia tanpa menjadi 'pak turut' dan bertuankan kepada mana-mana parti tertentu di negara ini. Akan tetapi inilah yang telah berlaku. Jika di barat, para jurno terdiri dari mereka yang benar-benar mempunyai kredibiliti menulis, hatta menulis warta hiburan sekalipun. Namun demikian, di Malaysia jarang kedapatan penulis yang betul-betul berbakat dan mempunyai kredibiliti. Ramai di antara mereka menulis sambil lewa tanpa “passion”. Penulis-penulis seperti Noor Azam Shaari, Ku Seman Ku Hussain dan Johan Jaafar sukar dicari. Bagi saya, penulis seperti merekalah yang perlu ada.

2. Apakah saudara fikir, dengan penguasaan 'skill' dalam mengetahui teknologi internet (dlm konteks penciptaan blog saudara), ia sedikit sebanyak (berkenaan ergonomics) membuat blog saudara jadi tumpuan? Apa pula kondisi ini dikaitkan dengan idea (bermakna dengan idea sahaja, sudah ada kekuatannya)?
Saya tidak rasa skill saya dalam teknologi internet mempengaruhi bilangan pembaca. Kini sesiapa sahaja boleh mempunyai blog dan mampu membina website sendiri. Adakalanya limpahan teknologi juga mampu membuatkan blog tersebut dibenci kerana terlalu berat dengan skrip-skrip yang tidak perlu. Saya rasa kandungan blog yang telah merangsang pembaca untuk melawatinya. Kandungannya terdiri dari bahan-bahan hiburan seperti muzik, teater, filem, drama dan tv realiti. Maka secara tidak langsung, ia membuatkan pembaca meminatinya. Bahan-bahan tersebut lebih ringan di mata pembaca tetapi seboleh-bolehnya saya mahu memberi satu nafas baru dalam artikel-artikel berkaitan industri hiburan. Saya mahu pembaca melihat dari perspektif yang berbeza dan jika boleh diberikan sedikit elemen yang berat agar dalam hiburan itu bukan sekadar gosip tetapi juga ilmu-ilmu dan mesej-mesej yang lebih bermanafaat untuk masa hadapan.

3. Siapakah idola saudara? atau apa yg mempengaruhi saudara dalam hidup, dalam penulis atau apa2 bidang yg saudara suka (tv, filem, muzik, sastera, teater, falsafah, idea)?
Dalam bidang penulisan blog, idola saya adalah Nizam Zakaria yang telah membuka jalan kepada penulisan ulasan blog kepada ramai penulis-penulis blog di Malaysia samada mereka sedar atau tidak. Minat saya untuk menulis secara serius juga mula dipupuk sejak mengenali beliau. Selain daripada itu beberapa penulis yang menulis menentang arus yang tidak saya sebutkan namanya di sini tetapi beliau tahu dialah yang dimaksudkan oleh saya. Saya juga menggemari idea Mat Jan dalam memberikan sebuah tulisan yang berunsur humor. Beliau bijak menggunakan satu-satu isu untuk diputar-belitkan menjadi satu bahan jenaka. Mereka bertiga adalah idola saya.

4. Apakah pekerjaan ibu dan bapa saudara?
Bapa saya pekerjaan terakhirnya adalah sebagai Pengurus Kanan di sebuah syarikat perladangan terbesar di Malaysia. Seharian menguruskan urusan keluar masuk kapal yang mengangkut minyak kelapa sawit dan getah ke Pelabuhan Klang. Manakala ibu saya pekerjaan terakhirnya adalah sebagai Pegawai Pembantu Tadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja. Tiap-tiap musim perayaan, rumah kami seakan menyambut perayaan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor. Kalau setakat meriam buluh yang menjadi kebanggaan anak-anak muda kampung tidaklah saya hairan sangat jika dibandingkan dengan mercun-mercun rampasan kastam. Sekarang mereka sudah bersara. Saya sungguh bosan kerana tiada lagi pas masuk “ACCESS ALL AREA” ke Pelabuhan Klang untuk melihat kapal pengangkut USS Enterprise.

5. Saudara dibesarkan dalam bentuk keluarga yg. bagaimana?
Melihat kepada pekerjaan kedua ibubapa saya sepatutnya anda sudah boleh menelah kehidupan yang bagaimana saya lalui. Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak senang. Apa sahaja yang saya inginkan saya akan perolehi. Tetapi bukanlah semua benda akan dapat. Yang berpatutan sahaja. Mereka banyak menentukan hidup saya. Sejak lahir hinggalah berumur 12 tahun. Sewaktu kecil saya seakan dipaksa untuk mengikuti kelas organ dan kelas tenis. Saya mengikutinya kerana terpaksa. Belajar dalam kelas organ hanya separuh jalan kerana takutkan peperiksaan untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Belajar di kelas tenis juga separuh jalan kerana saya tidak tahu apa yang saya patut pukul. Saya lebih selesa memukul dinding dari bermain secara berpasangan. Saya jenis yang pendiam dan tidak banyak bersuara apabila bersama keluarga.

Selepas pada itu saya banyak menghabiskan masa tinggal di asrama sehingga tamat pengajian. Saya dilatih untuk belajar membuat keputusan sendiri dan saya memilih jalan yang saya fikir betul untuk hidup saya.

6. Waktu kecil lagi, saudara sudah gemar membaca buku? Buku jenis apa yg saudara selalu baca?
Jangan terkejut jika saya katakan saya suka membaca buku kisah-kisah penyiasatan dan misteri. Saya gemar membaca karya-karya Enid Blyton dan Nancy Drew. Ada juga versi penyiasatan dan misteri ini yang digarap agar bersesuaian dengan iklim Malaysia. Selain daripada itu saya juga gemar membaca fiksyen alam persekolahan. Saya tidak ingat tajuk buku tersebut tetapi masih berkisar kepada kisah penyiasatan dan misteri. Salah satu buku penyiasatan yang masih saya simpan sehingga sekarang ialah buku Projek 238 karya BH Amir. Sampai sekarang saya tidak mengenali siapa itu BH Amir. Buku tersebut saya baca sehingga lunyai. Saya berangan-angan ingin membawa Projek 238 menjadi sebuah filem besar satu hari nanti dan Ridzuan Hashim menjadi TPP Razif iaitu heronya. Itu angan-angan saya ketika itu, sekarang tidak relevan lagi.

Karya-karya Rahmat Haroun juga menjadi kegilaan saya. Salah satunya ialah Di Ar Ti dan Oedipus. Maaf jika tersilap. Mungkin dari sinilah jiwa penulisan saya yang kemudiannya disulami dengan ilmu sains menjadi satu. Saya melihat ilmu sains juga mampu menjadi fiksyen yang berjaya.

7. Apakah ijazah terakhir yg saudara perolehi?
Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Multimedia)

8. Saudara dahulu belajar di mana waktu sekolah rendah? pada waktu itu sendiri, adakah saudara sedar yg saudara akan jadi apa yg saudara sudah jadi kini?
Sewaktu di peringkat rendah, saya belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist Pelabuhan Klang. Saya bukan pengawas sekolah kerana saya budak jahat. Zaman tersebut sedang heboh pasal siri kartun Thundercats. Semua budak-budak berangan hendak jadi binatang. Oleh kerana dalam kumpulan saya itu, saya yang paling laju berlumba lari (baca: sprinter), maka saya dipilih jadi Cheetara. Zaman tersebut zaman happy sahaja. Antara perubahan besar dalam hidup saya ketika itu adalah apabila berjaya mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Hadiah yang saya terima ialah sebuah komputer dan RM250 (1A=RM50). Bayangkan pada tahun 1986 saya sudah memiliki sebuah komputer sedangkan anak orang lain pada waktu tersebut sekadar memiliki basikal Chopper atau pun BMX. Dari situ semakin bercambah minat saya terhadap komputer. Zaman 1986 orang tidak sebut teknologi maklumat kerana zaman tersebut bukan zaman MSC. Komputer saya pada zaman tersebut boleh berbangga dengan Wordstar 4.0. Tetapi dari Wordstar 4.0 itulah saya menjadi apa yang saya inginkan sekarang. Tapi kini saya menggunakan Microsoft Office XP.

9. Adakah waktu di sekolah rendah/menengah, saudara pernah berkecimpung dalam AJK persatuan, menjadi pengawas/badan wakil pelajar, menjadi editor majalah?
Sewaktu di sekolah rendah, saya terpilih untuk menjadi Konduktor Angklung. Sejak dari darjah tiga lagi saya telah menjadi perintis kepada kelab ini. Oleh kerana saya boleh baca nota muzik, maka saya terpilih menjadi Konduktor untuk pasukan tersebut. Buat persembahan merata-rata daerah Selangor dan memasuki peringkat akhir Pesta Muzik Sekolah-Sekolah Selangor.

Saya berpeluang untuk menjadi Pengawas hanya sewaktu Tingkatan Empat di Maktab Rendah Sains Mara. Di sana, mereka panggil Jemaah Disiplin Pelajar(JDP). Itupun kerana di MRSM tiada siapa yang berminat menjadi JDP. Siapa yang suka buat kerja panjat loteng nak tangkap pelajar hisap rokok.

Saya tidak berpeluang untuk menjadi sidang redaksi majalah sekolah kerana mereka yang terpilih ketika itu adalah mereka yang “English-speaking” sahaja. Saya lebih gemar berbahasa Melayu. Akhirnya majalah tersebut diharamkan pengedarannya kerana meletakkan foto muka seorang Ustaz pada kepala seekor kambing yang sedang dikorbankan.

Saya juga berpeluang menjawat jawatan Setiausaha Agung untuk Majlis Perwakilan Pelajar hanya sewaktu di peringkat persediaan sebelum ke Universiti. Jawatan tersebut dipilih melalui satu proses pilihanraya dan memerlukan kempen dijalankan. Kenapa Setiausaha Agung ? Mereka kata saya sesuai untuk jawatan tersebut kerana saya suka menulis minit mesyuarat.

Boleh saya simpulkan di sini, susur sejarah yang saya lalui sejak zaman persekolahan akhirnya mampu membentuk apa yang saya ada seperti sekarang. Kini, saya meminati muzik dan memiliki blog yang komennya perlu saya awasi setiap hari dari komen-komen “personal attack”. Jika dulu saya suka tulis minit mesyuarat, sekarang saya suka tulis laporan Akademi Fantasia.

10. Sewaktu saudara kecil, adakah saudara pernah atau memang mempunyai ciri2 melawan proses/aktiviti sistem yg diselar dalam satu2 institusi (sekolah, keluarga,
persatuan, kawan2) atau mempunyai semangat untuk merubahnya?

Untuk pengetahuan semua, saya telah dilahirkan secara abnormal iaitu dalam bahasa Melayunya ialah songsang. Bahasa kasar sedikit, kaki keluar dulu. Itu sudah cukup menjadi satu tanda bahawa saya sememangnya seorang yang “rebel”.

Memang dari kecil saya mahu menjadi agen kepada perubahan. Setiap dari kita walaupun kecil mampu untuk merubah situasi di sekelilingnya jika kita mahu. Sejak kecil saya mahu melihat Malaysia maju dan setaraf dengan negara-negara lain. Komputer yang saya ada di rumah waktu itu menjadi bahan tayangan kepada pelajar-pelajar seusia dengan saya. Saya mahu mereka menikmati kemudahan yang saya perolehi agar pemikiran masing-masing boleh berubah.

Kini saya mahu mengubah pandangan pembaca terhadap dunia hiburan. Hiburan bukan sekadar bahan gosip. Hiburan ada teater yang mampu memanusiakan manusia, hiburan ada muzik yang liriknya bukan sekadar kisah cinta tiga segi tetapi juga lirik berunsurkan ketuhanan, hiburan ada filem yang bukan sekadar filem Sembilu tetapi ada filem seperti filem Sepet. Saya mahu mengubahnya.

Selain daripada temuramah tersebut, pada hari ini tersiar dalam blog Brand New Malaysian sebuah artikel bertajuk "Reinventing The New News Media", sebuah topik bertajuk Reinventing The Print Media telah menyebut;

It is from these sources of popular media that print news must derive their new generation of readers. They must learn to converge with popular trends, like blogging for instance.While it can be said that I am biased because I myself blog, but this blog is not where the print news media are to derive their new readers.

It is from blogs like this, titled Sultan Muzzafar, that is the vein of youth readership in blogs. These are the guys that dictate youth mentality and they do it by networking with other sites, and eventually forming a pocket of popular culture, a conversation piece.


Saya terkejut. Besar rupanya tanggungjawab yang tertanggung di bahu saya. Para remaja yang rata-ratanya mengenal apa itu internet dari mengenal apa itu Utusan Melayu tentunya menggunakan kemudahan ini untuk mendapatkan maklumat yang mereka inginkan. Alternatif yang saya berikan ialah ia dalam Bahasa Melayu. Yang minat hiburan pun rata-ratanya adalah remaja Melayu. Inilah yang saya termampu. Saya mahu menukar corak pemikiran orang Melayu. Ia merupakan jawapan kepada Soalan 10 Bahagian II.

Foto RED104.9 Konsert Amal Tsunami Atas Nama Cinta