Tari : LALAK
Panggung Bandaraya Kuala Lumpur
2 hingga 4 Disember 2005
Jam 8.30 malam
LALAK adalah sebuah kolaborasi seni persembahan Teater Tari Kontemporari Malaysia yang tercetus antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan Svarnabhumi Studio. Kolaborasi ini akan menampilkan sepuluh buah rekaan tari hasil ciptaan lima perekatari terkenal : Syed Mustapha - pemenang anugerah Cameronian Award untuk Best Choreography 2003 yang banyak menggali semangat Melayu dalam karyanya, Jasni Ahmad - calon anugerah Cameronian Award yang mengadopsi konsep tari kontemporari Jepun dalam tarian etnik Orang Asli, Hamid Chan – antara graduan awal program tari dari Akademi Seni Kebangsaan yang menjadikan etnik Sabah sebagai jatidiri dan identitinya, Junainah Long – antara Koreografer Muda Asia Pasifik, Taipei 2003 yang mengenegahkan bahasa tubuh seorang wanita sebagai dialognya dan Zulkifli Mohamad – antara 10 koreografer terpilih Istana Budaya-Emas Sepuluh 2004 yang mengambil konsep Main Peteri untuk menganalisa penyakit bangsanya. Lima koreografer ini akan menarikan sendiri lima karya solo mereka dan menampilkan lima koreografi yang mengenegahkan para penari dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. LALAK adalah Arus Tradisi Tari Kontemporari Malaysia.
LALAK adalah sebuah nama yang diberikan untuk mewakili gabungan perasaan yang tersirat dalam diri kelima-lima seniman tari ini. LALAK memberi makna “Melaung Sekuat-kuat Hati”. LALAK adalah pantulan reaksi manusia terhadap dunia sekelilingnya, dunia yang mementingkan wang ringgit, harta dan pangkat, dunia hiburan di Malaysia yang hanya mementingkan hiburan semata-mata tanpa mengambilkira nilai-nilai seni, estetika, jati diri dan maruah bangsa, dan dunia yang mengagungkan nilai kebaratan. LALAK adalah sebuah gerakan melawan arus hiburan yang begitu deras dan bersifat sementara belaka. LALAK adalah sebuah pernyataan tentang pengaliran seni tradisi Malaysia baru yang bersifat kontemporari yang penuh makna serta pengajarannya. Seni tari kontemporari tak ubah seperti seni sastera yang bersifat visual dalam tiga dimensi. LALAK adalah suatu dialog yang menyoal jati diri Melayu dalam arus global serta mencabar seni tari teater serta seni visual, teks, bunyi dan gerak
Syed Mustapha Syed Yasin
Karya Solo: Keliru
Biar apa yang kau katakana
Terhadap diriku ini
Di sini ku masih berdiri
Menahan pahitnya
Sebelum kau kenal
Hati nuraniku
Awaslah katamu………..!!!
Karya Kumpulan: OM BAK
Ia datang dan pergi
Pergi tak kembali
Menjadi satu misteri
Tragedi menyayat hati
Peristiwa silam berlaku kini
Pun sampai berulang lagi
Ku panjatkan doa dari Illahi
Jasni A.Hamid
Karya Solo: Argo-Gede
Dalam perjalanan dari Jakarta ke Bandung,
Dari dalam ruang keretapi Argo-Gede
Mataku terpaku ke lereng-lereng bukit yang subur mengemas
Terkesan dengan keindahan,
Terkesan dengan pribumi Jawa berhuma
Karya Kumpulan: Episod Hanuman
Tubuh bagai kelonsong ditiup roh,
Di isi hati dengan dua rasa,
Yang kudus dan yang hodoh,
Keduanya saling mendominasi tiada toleransi,
Ada yang membunuh dan ada yang menumbuh,
Akal harus jadi tuan, biar hidup bersempadan
Hamid Chan
Karya Solo: BORNEO
Sebuah karya yang berlandaskan dasar-dasar kehidupan dan keakraban penghuninya dengan alam semulajadi. Ianya dijadikan suatu sumber kepada garapan tari dalam persembahan solo ini. Gaya tari dan elemen-elemen etnik masyarakat kepulauan Borneo ia dijadikan pengisian tari satu koreografi yang mencerminkan kehidupan masyarakat itu sendiri, dalam erti kehidupan yang sebenar. Seni menjadi imitasi kehidupan dan kehidupan menjadi imitasi seni, tiada yang betul dan tiada yang salah dalam penciptaan, semuanya membentuk suatu kehidupan kita. Apa yang terlahir dari diri kita akan menjadi jatidiri kita, ianya mungkin lahir dari apa yang kita kutip hasil tatapan, bacaan, renungan dan pengalamanang kita lalui.
Karya Kumpulan: KUKUDA
"Kukuda" adalah satu gabungan gerak tari dari kuda kepang dan tari jawa (Gagahan) namun hampir keseluruhan pengisian dalam koreografi ini, telah diolah mengikut corak tari masakini, walaubagaimanapun warna-warna tari Kuda Kepang dan tari Jawanya adalah menjadi landasan utama, begitu juga dengan iringan muzik ia adalah satu garapan baru dalam aliran yang berlainan. Tiada siapa menghalang tiada siapa merancang di sudut lalui penuh ruang, dilalui langkaan 8 Kukuda, bernafas di atas rentak muzik, berhenti di atas satu ruang.
Junainah M.Lojong
Karya Solo : Untitled I – Suara Tubuh
Karya ini merupakan penggalian didalam proses eksperimentasi gerak dan tari yang berpaksikan “space” (ruang) dan “time”(waktu). Maka dari pertembungan-pertembungan tersebutlah emosi-emosi yang menciptakan isu-isunya tersendiri. Dipasakkan kepada satu punca, eksplorasi gerak dan tari yang terhasil daripada kepelbagaian ruang yang dicipta dalam waktu yang berbeza-beza. Tanpa teks, isu yang diangkat melalui ruang yang dibina akan mengubah tubuh badan yang memberikan tenaga berbeza. Secara semulajadi anggota badan akan memberi tindak balas terhadap ruang yang akan menghasilkan emosi diri. Ruang, waktu dan isu menjadi idea dan konsep utama dalam kerja seni ini.
Karya Kumpulan: Untitled II - Wanita
Karya tari ini merupakan suatu kelangsungan dari permainan gerak dan gerak permainan atau “playing” berpandukan tema didalam isu feminisma dan wanita. Bertemakan wanita, tubuh badan akan mengekspresi dan menyampaikan mesej kepada khalayak. Eksplorasi kepada tema ini dikembangkan dan menghasilkan isu tentang wanita. Proses latihan akan mewujudkan satu focus kepada tema secara satu arah, mengambil seksualiti sebagai elemen penting di dalam pergerakkan. Walaupun tema wanita itu terlalu besar, proses penggalian terhadap tema itu akan menghasilkan satu persoalan utama di dalam konsep wanita.
Zulkifli Mohamad
Karya Solo: 1914/2004
Kedua-dua tarikh keramat ini adalah umpama menatap halaman ‘Hari Ini Dalam Sejarah’ – mengenang kembali tahun 1914 dimana Tok Janggut menentang penjajah British bermati-matian sehingga tubuhnya dikelar empat belas dan dibawa mengelilingi Kota Bharu untuk ditayangkan kepada seluruh rakyat jelata. 2004 pula menyaksikan bagaimana beratus-ratus orang Melayu Muslim sebangsa seugama dengan kita dikorbankan di seberang sungai di sempadan. Persembahan ini menggunakan gabungan pancaran video dan gerak geri dramatis yang bersifat moden sambil berinspirasikan silat, asyik, mak yong dan manora.
Karya Kumpulan: Jadi Jawa Jawi
Penceritaan yang berinspirasikan asal usul dan pengaruh kerajaan-kerajaan lama nusantara di Semenanjung Tanah Melayu serta pengaliran imigran tanah seberang yang menjadi isu masakini. Persembahan ini menggunakan konsep minimalis dengan cahaya lampu pelita serta suara dari penari sendiri dan di jakstaposisikan dengan lagu dangdut dari radio transistor.
Album Terbaik dari Bintang Realiti TV
Nikki : Maharani
Rating : 4/5
"Pinta (Vintage Remix) mengembalikan saya ke zaman mainan muzik piring hitam
dengan menggunakan gramaphone. Satu cubaan yang menarik !"
Setelah berakhirnya Malaysian Idol, ramai yang tertunggu-tunggu buah tangan dari Nikki kerana penyingkiran mengejutnya dari Malaysian Idol. Berbekalkan kehebatan vokal yang mantap, Nikki hadir menemui peminatnya dengan sebuah album bertajuk Maharani. Saya kurang mengikuti program Malaysian Idol kecuali menontonnya sekali-sekala jika ada kesempatan. Waktu bila Nikki tersingkir pun sudah saya lupa. Boleh saya katakan, album ini lebih hebat dari album Jaclyn Victor, juara Malaysian Idol. Saya belum berkesempatan untuk mendengar lagu-lagu dari album Saiful dan Dina.
Album yang baik pada saya apabila mempunyai susunan muzik yang mantap. Lagu-lagu yang tercipta mempunyai bunyi-bunyian hasil instrument yang pelbagai dan memberikan variasi pada lagu-lagu tersebut. Album yang baik bukan sekadar kehebatan vokal atau aura penyanyi tetapi juga produksi album yang mantap.
Satu keberanian yang saya lihat pada album ini apabila Nikki cuba untuk menghindarkan imej Mariah Carey pada persembahan vokalnya. Ada beberapa lagu masih menggunakan whistling tetapi tidak pada kesemua lagu. Walaupun dikenali dengan imej tersebut, produksi ini dengan berani mengenepikan imej tersebut dan meneroka percubaan-percubaan lain pada persembahan vokal Nikki. Beliau mempunyai kebolehan tersebut tetapi tidak terlalu menunjuk-nunjukkan kebolehannya. Jika dibenarkan untuk saya bandingkan dengan Idayu yang terlalu berusaha keras untuk menonjolkan kebolehannya.
Saya menyukai sebutan nyanyian Nikki yang tidak pekat dialek Sabahnya. Beberapa kali mendengar lagu ini, jelas kedengaran seperti dinyanyikan oleh seorang penyanyi berbangsa Melayu. Namun demikian sebuah lagu berbahasa Dusun turut dimuatkan dalam album tersebut untuk menghargai sokongan dari para peminat di negeri kelahirannya. Lagu tersebut juga dinyanyikan dengan baik oleh Nikki serta dalam sebutan bahasa yang betul.
Saya kurang berpuas hati dengan kulit album yang terhasil. Gambar di kulit hadapan tidak cukup untuk menarik pendengar untuk membeli album ini. Tidak dinafikan kualiti fotografi yang digunakan amat baik tetapi imej yang terhasil masih belum mampu menarik minat saya untuk membelinya sekiranya saya berpandukan kulit album hadapan.
Memandangkan Nikki seorang yang agak sukar untuk tersenyum, maka apa perlunya imej dengan wajah yang serius dipaparkan di kulit hadapan album tersebut. Saya lebih tertarik dengan imej-imej yang terhasil di bahagian dalam kulit album ini. Imej-imej tersebut lebih menyerlahkan keremajaan Nikki.
Imej-imej pada kulit album amat penting untuk menarik pendengar membeli album tersebut. Tajuk album ini iaitu Maharani sudah seakan menjarakkan sedikit hubungannya dengan pendengar. Maka, imej tersebut perlu dieksploitasi untuk merapatkan jurang tersebut agar Maharani yang dipersembahkan adalah Maharani yang dekat dengan pendengar.
Satu keunikan album ini apabila ia menampilkan 12 track remix serta 1 hidden track iaitu duet Nikki dan Ning Baizura untuk lagu Pinta. Saya tertarik dengan Pinta (Vintage Mix) yang seakan-akan mengembalikan mood muzik piring hitam yang dimainkan dengan peti gramophone. Saya ada beberapa koleksi lagu-lagu klasik Melayu yang sedemikian seperti Terang Bulan dan Fatwa Pujangga. Dalam dunia muzik menuju arus kemodenan, muzik klasik tetap menjadi pilihan.
Antara lagu yang menarik pada pendengaran saya ialah lagu Pinta. Lagu Pinta merupakan sebuah lagu balada yang mempunyai susunan muzik yang menarik. Pada saya lagu ini masih belum mampu menyaingi lagu Awan Yang Terpilu. Susunan muziknya cukup memadai tetapi masih belum begitu solid. Banyak ruang-ruang kosong untuk dipenuhi dengan bunyi-bunyi yang lebih mantap. Satu perkara yang saya perasan permulaan lagu ini ada iras-iras lagu Bertakhta Di Hati.
Permulaan lagu Janji mengingatkan saya kepada bunyi-bunyi etnik fusion dalam Senang Tari oleh Ning Baizura. Sebuah balada yang yang padat dengan mainan strings yang menusuk pendengaran. Kebanyakan lagu dalam album ini amat tebal bunyian stringsnya.
Penampilan Zahid dalam lagu Caramu melengkapkan lagu tersebut. Lebih menarik, lagu tersebut dirakamkan sewaktu saya dan beberapa sahabat lain berada di studio rakaman. Zahid turut meminta pandangan dari beberapa pihak untuk lirik rap lagu tersebut.
Sebuah lagu dalam hidden track menggandingkan Nikki dan Ning dalam lagu yang bertajuk Imaginasi secara unplugged. Gandingan vokal mereka kedengaran ada persamaan walaupun range Nikki lebih besar. Secara jujur saya lebih menyukai kemerduan vokal Ning dan kelantangan vokal Nikki. Vokal mereka saling melengkapi dalam lagu Imaginasi tersebut.
Banyak lagu-lagu yang berentak agak rancak dalam album ini bersesuaian dengan konsepnya yang agak keremajaan. Lagu Perang Atau Cinta, Cinta Baru, Aku Maharani dan Hey ! Hey ! merupakan antara lagu-lagu yang agak rancak temponya. Saya jarang menyukai lagu-lagu sedemikian. Penggemar lagu rancak yang mempunyai elemen hip-hop, rap dan bubble-gum pop tentunya meminati lagu-lagu tersebut. Jiwa saya lebih kepada lagu irama etnik fusion dan balada. Muzik orang tua seperti lagu Janji dan Pinta !
Sebuah album yang boleh saya sifatkan sebagai hasil yang terbaik dari bintang realiti TV kerana barisan sokongan tenaga produksi yang mantap. Kehebatan vokal Nikki disokong dengan sebuah produksi album yang saling melengkapi untuk sebuah hasil yang boleh dibanggakan.
Track :-
Imaginasi
Caramu (featuring Zahid)
Perang Atau Cinta
Cinta Baru
Julangan Permata
Bahagia Selamanya
Janji
Aku Maharani
Hey ! Hey !
Pinta
Sunudai Oku
Caramu
Pilihan sultanmuzaffar
Pinta 4.5/5
Janji 4.5/5
Imaginasi 4.5/5
Caramu 4/5
Cinta Baru 4/5
Julangan Permata 4/5
Aku Maharani 4/5
Sunudai Oku 3.5/5
Bahagia Selamanya 3.5/5
Hey ! Hey ! 3/5
Perang Atau Cinta 3/5
Laman Web Rasmi Nikki : www.nikkimusic.com.my
Beli Album Nikki Online : BadrulAfterSix
Metro Ahad : Maharani Cukup Selesa
Fiebie : PROMOSI TIME : PROJEK MAHARANI
SashiWeb : Nikki’s debut album ‘Maharani’
"kalau ingin menghalau langau, kita buang bangkainya dahulu..."
Apa Yang Best Tentang Jiwang United
Rumah Terbuka Akma di kediamannya
Pagi tersebut saya sempat menyelak akhbar Mingguan Malaysia, ruangan Cubit Manja oleh Siti Jarum. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tiada kata yang mampu saya luahkan kesan dari isu tersebut. Benar, isu tersebut telah menjadi semakin besar dan sedikit sebanyak ada pihak lain yang terkena tempiasnya. Sebagai seorang blogger sepenuh masa (ya, sepenuh masa) saya merasa agak tertekan membacanya. Saya sebolehnya tidak mahu masyarakat memandang serong tentang tugas dan fungsi seorang blogger.
Saya tertarik dengan satu kenyataan dari Siti Jarum yang berbunyi, “Bukan semua yang boleh menulis dan ada byline tu wartawan. Dan bukan orang yang tak ada byline itu pula bukan wartawan.” Renungkan dalam-dalam dua baris ayat tersebut dan tanamkan dalam-dalam ke dalam minda masing-masing.
Tengahari itu, saya tidak melepaskan peluang untuk menghadiri majlis rumah terbuka Jiwang United di Kenari Townhouse, Templer Park. Memandangkan ada yang sanggup terbang dari Brunei untuk ke majlis tersebut, amatlah tidak wajar sekiranya saya tidak mampu untuk menghadirinya. Kebanyakan para tetamu adalah mereka yang telah saya temui sewaktu Rumah Terbuka Akma di kediamannya di Jalan Klang Lama pada hari Sabtu. Tidak jemu-jemu kita bertemu. Ada juga kenalan baru yang saya kenal di majlis tersebut. Makin bertambah kenalan saya di sebalik kemelut kawan yang pergi. Boleh baca blog Houdini untuk ulasan lanjut.
Saya datang untuk makan dan berseronok-seronok. Tidaklah seronok sangat tapi cukup sekadar menyeronokkan hati insan lain. Dalam sibuk-sibuk ramai yang bertanyakan sama ada Badrul datang atau tidak. Saya jawab tidak sahaja. Ada hal mungkin. Walaupun saya sebenarnya menyimpan rahsia kehadirannya.
Banyak betul makanan yang terhidang di atas meja. Juga kerusi sehinggalah ke belakang dapur. Penuh dengan makanan. Di dinding tertampal menu-menu untuk tengahari itu. Ada macam-macam nama yang terpampang.
Menu Rumah Terbuka Jiwang United
Kuih Benderam Berjuta Batu, Sambal Bilis Cinta Seorang Teman, Rendang Camar Yang Pulang, Meehoon Goreng Nazam Berkasih, Keropok Lekor LOVE, Satay Susah Susah Aje, Laici Jelly Raikan Cinta, Mint Chocolate I Will Always Love You, Kuah Satay Hukum Karma, Sandwich Teratai, Nasi Himpit Adik Panjang, Mihun Goreng Memori Bahagia, Kek Coklat Konnichiwa, Nasi Dagang Whatever, Kuah Kacang Abang Panjang, Buah-Buahan Dusun, Kek Benjis Fantasia Bulan Madu, Spaghetti Semut Merah, Air berperisa Muhibbah dan macam-macam jenis lagi. Saya hanya bawa perut.
Bila tengok senarai menu dengan pelbagai nama teringat pula sewaktu nostalgia Akademi Fantasia 1 bila mana saya dan PFS menganjurkan Rumah Terbuka sultanmuzaffar. Kenangan-kenangan tersebut datang kembali ke dalam memori. Semua orang gembira melaksanakan satu majlis yang tidak begitu besar tetapi berlangsung dalam suasana yang meriah. Ia tetap sebuah majlis gathering, bezanya semua orang gembira dan tidak ada sidang media di pertengahan atau di penghujung majlis. Ia berlangsung dalam suasana yang amat meriah.
Felix dan Akma menonton video klip Jiwangs hasil ahli JU
Kemeriahan yang dirasai tidak terhenti setakat itu sahaja. Ketibaan Badrul yang telah saya ketahui sejak awal saya sambut di bawah tempat berlangsungnya majlis tersebut. Saya tergamam ! Baru sebentar tadi Lina menelefon Felix untuk memberi peluang kepada para tetamu mengucapkan sesuatu kepada Felix. Tapi kini Felix berada di depan mata mengekori Badrul. Bukan sahaja Felix, Akma juga turut serta. Tertipu rupanya saya dengan panggilan telefon sebentar tadi.
Kecoh satu rumah apabila melihat Felix dan Akma turut serta dalam majlis tersebut. Walaupun masa mereka tidak lama hanya dalam sejam sahaja tetapi ia merupakan satu kenangan paling bermakna bagi semua tetamu yang hadir.
Tetamu yang hadir tidak tahu menahu tentang kehadiran Felix dan Akma, tetapi masih sanggup melaksanakan majlis tersebut dengan gigih. Yang terbang dari Brunei tidak pernah mengharap yang Felix dan Akma akan hadir, cukuplah sekadar dapat bertemu dengan kawan-kawan Jiwang United. Melihatkan kehadiran Felix dan Akma, ia merupakan satu bonus buat mereka.
Upacara Membodek Jejaka Terhangat Di Pasaran oleh JU
Itu yang saya lihat ada dalam Jiwang United. Mereka tidak terlalu memberikan harapan yang tinggi tetapi sekdar melakukan apa yang mereka termampu. Sokongan yang diberikan kepada Felix dan Akma tidak pernah dibatasi dengan habuan-habuan yang tidak masuk akal. Apa yang mereka lakukan adalah untuk meraikan cinta sesama Jiwang United. Mereka tidak pernah meletakkan syarat kepada Felix agar jangan bergambar dengan artis wanita, begitu juga sebaliknya kepada Akma. Mereka sekadar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka berdua.
Foto Kenangan Jiwang United
Memandangkan kebesaran kuasa yang ditunjukkan oleh Badrul dengan membawa Felix dan Akma ke majlis tersebut, maka sahamnya naik melonjak sehingga tidak dapat ditahan-tahan lagi. Saham wink sebagai Jejaka Terhangat di Pasaran juga nampaknya semakin merudum menghadapi zaman kemelesetan. Saham saya ? Tidak perlu risau. Masih kukuh di pasaran. Setakat hari ini, baru dua orang yang mengaku. Ada lagi yang masih belum tampil untuk membuat pengakuan mereka. Mereka disarankan agar membuat pengakuan dengan kadar yang segera sebelum terlambat. Sila buat sidang media secepat yang mungkin. Tetapi ingat, tunggu sehingga majlis selesai.
Felix juga mewar-warkan agar jangan lupa dengan gatheringnya yang akan diadakan hujung minggu ini. Maklumat lanjut adalah seperti di bawah :
Gathering Bersama Felix Agus
Tarikh : 26 November 2005 (Sabtu)
Masa : 8.00 malam
Tempat : The Pool Side Suitestay Executive Residence, 161-D Jalan Ampang, Kuala Lumpur(dekat stesen LRT Ampang Park atau belakang Wisma MCA & Menara TR)
Harga tiket adalah : Dewasa - RM50, Kanak-kanak bawah 12 tahun - RM35(terhad kepada 15 orang kanak-kanak sahaja)
Fikir-fikirkanlah..."I never make any decision based on my fan base. If I were 2 do that, I wud be living a lie n not be true 2 myself. Music is what I do, not who I am; who I am is much more, not just what u c on stage." ni penyanyi yg dah berjaya selama 20 tahun n jual 100 juta album. Hehehe."
Apa Persamaan MawiFC dan AdamFC
Ucapan oleh Adam
Baru-baru ini saya berkesempatan untuk hadir ke Majlis Hari Raya yang dianjurkan oleh Adam Fan Club. Kemesraan yang ditunjukkan serta hubungan kekeluargaan sesama ahli boleh dilihat agak kukuh dalam kumpulan tersebut.
Mereka telah pun menjadi sebahagian daripada apa yang sering saya lalui selama hari ini. Dalam banyak-banyak kelab peminat, jemputan dari AdamFC memang agak sukar untuk saya ketepikan kerana faktor-faktor tersebut. Namun demikian, saya tetap mengehadkan hubungan tersebut tidak lebih sebagai seorang peminat Akademi Fantasia dengan Adam. Saya bukan Presiden, bukan Penasihat dan bukan Bendahari, saya hanya peminat.
Menganyam ketupat : terror sungguh !!
Saya senang berinteraksi dengan mereka dan bertukar-tukar pandangan. Mereka juga nampaknya sudah tahu apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan pelbagai masalah yang timbul. Sedikit demi sedikit mereka belajar dan mendapatkan nasihat dari mereka yang berkelayakan.
Saya mengikuti perkembangan kedua-dua buah kelab peminat ini yang lahir dari program realiti Akademi Fantasia. Baik Adam mahu pun Mawi mempunyai pengikut yang besar. Saya akui pengikut Mawi lebih besar dan amat besar.
Juara Lelong Frame Foto Adam
Populariti Adam setelah tamat pengajian dari Akademi Fantasia mengundang para oportunis untuk rapat dengannya. Ini sekaligus menjadikan hidup Adam seakan-akan terkongkong dibelenggu masalah yang dicipta oleh pengurusan kelab peminatnya. Seorang demi seorang datang oportunis bersilih ganti dan sanggup mengorbankan wang ringgit mereka demi Adam pada waktu tersebut. Para peminat yang ikhlas menyokong Adam nampaknya turut tersepit dalam kancah masalah tersebut.
Adam memberi duit raya kepada anak yatim
Masalah demi masalah yang diwarisi dari mereka sebenarnya tidaklah begitu merumitkan keadaan. Ahli Jawatankuasa Lama telah bertindak sewenang-wenangnya dan menutup laman web rasmi Adam ketika itu iaitu AdamFC.com. Tindakan tersebut menyebabkan para peminat hilang arah. Mujur yahoogroups Adam masih dikekalkan untuk para peminat terus berkomunikasi antara mereka.
Ahli Jawatankuasa Baru sebenarnya tidak perlu memulakannya dari bawah. Borang Pendaftaran Pertubuhan juga telah dihantar oleh AJK terdahulu. Namun demikian, AJK Baru hanya perlu menukar nama baru kepada pihak Pendaftaran Pertubuhan. Kelab Peminat Adam dan Mawi sebenarnya merupakan lubuk emas kepada para oportunis yang menantikan peluang untuk rapat dengan bintang ciptaan mereka. Kekosongan jawatan Presiden, Penasihat dan beberapa jawatan tidak akan dibiarkan lama kerana sudah ramai yang menantikan agar peluang itu datang.
Sidang Media Tergempar MawiFC
Dalam perkembangan lain, satu sidang media tergempar telah diadakan semalam untuk mengumumkan perletakan jawatan sebahagian besar daripada Ahli Jawatankuasa Penaja MawiFC. Sidang media tersebut telah diadakan sewaktu Mawi sedang membuat persembahan dalam satu majlis Pelancaran Album yang pertama beliau.
Pandangan saya jelas tentang isu ini. Ianya boleh diselesaikan dengan baik lebih-lebih lagi ia adalah masalah dalaman kelab. Tindakan tersebut dilakukan secara terburu-buru.
Dulu kita kutuk Melodi, sekarang kita join Melodi pulak :)
Mereka memberikan harapan yang terlalu tinggi kepada Mawi dan memikirkan mereka harus dihormati. Sikap meletakkan syarat kepada artis adalah satu sikap yang menyokong dan mengharapkan balasan.
Perletakan jawatan dua pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Penaja MawiFC sebenarnya tidak mencalarkan populariti Mawi. Anggap sahaja ianya sebagai satu publisiti kepada Mawi, selain daripada pengajaran kepada semua pihak untuk menilai orang-orang di sekeliling kita.
Dugaan kecil sahaja...ada rotan lagi besar menunggu
Cadangan saya kepada Ahli Jawatankuasa Baru MawiFC agar anda tidak terlalu mengongkong diri anda dalam kelompok anda sahaja. Buka pemikiran anda untuk bergaul dengan mereka yang telah terlebih dahulu mengharungi masalah-masalah tersebut. Pandangan-pandangan mereka contohnya dari AdamFC dan FarahFC sebenarnya boleh digunakan untuk memantapkan lagi perjuangan anda. Jangan terlalu merasa besar kepala apabila berpeluang memimpin sebuah kelab peminat yang besar seperti MawiFC. Sikap besar kepala itu lah yang sebenarnya telah merugikan banyak pihak.
Tabah dan kuatkan semangat...
Sempat saya bisikkan perkataan “tabah dan kuatkan semangat” kepada Mawi sebelum beredar dari majlis tersebut. Pandangan saya mungkin agak berbeza dengan rakan-rakan saya tetapi kami tetap berkawan.
Lain kali waktu PC jangan melukis atau sign autograf. Dengar setiap apa yang diperkatakan !
Mujur saya sekadar menjadi peminat fanatik Akademi Fantasia yang memerhatikan secara jauh dan tidak begitu terlibat dengan mereka. Bila sudah terlibat emosi, maka lain jadinya kelak.
Perspektif Berbeza :
Sekadar Media Picisan (bunga-bunga bakal lawyer)
Leen Ash Burn's Second Lair (kelakar tahap dewi-dewi)
Me, Myself and I (kelakar tahap dewa-dewa)
MawiFC.com (macam-macam ada)
Nostradamus Separuh Akhir Juara Lagu 2005
Esok bakal bermula episod terbaru dari tradisi Juara Lagu yang diteruskan pada tahun ini untuk kali ke 20. Umur Juara Lagu sudah begitu matang dan merupakan antara pertandingan penciptaan lagu paling berprestij di Malaysia selain Anugerah Industri Muzik.
Kejutan tambahan dua lagu di saat-saat akhir benar-benar mengejutkan. Apakah motif di sebalik penambahan tersebut masih menjadi misteri. Menurut pihak penerbitan, bilangan lagu ditambah adalah untuk memeriahkan lagi pertandingan Juara Lagu musim ini. Selain daripada memberikan peluang tambahan kepada pencipta lagu di Malaysia untuk mempertandingkan lagu-lagu mereka di peringkat Separuh Akhir.
Enam lagu yang ditambah ialah Joget Manis Musim Bercinta oleh Nas Adila, Taat oleh Rohana Jalil, Wajah oleh Jaclyn Victor, Cinta Seorang Teman oleh Bob AF2, Wo oleh Zahid AF2 dan Tak Tahu oleh Adam AF2.
Saya tertarik dengan ulasan oleh Javard yang memberikan pandangan yang bernas tentang kemungkinan penggunaan SMS digunakan untuk menarik penonton bersaling tindak dengan Juara Lagu 20 ini. Ini adalah satu yang tidak mustahil. DiGi telah mempergunakan aura Mawi untuk memenangkan beliau dalam Anugerah Artis Pilihan DiGi di Anugerah ERA 2005 dan tidak mustahil TV3 akan cuba menumpang populariti Mawi untuk mengaut sedikit keuntungan daripadanya.
Penggunaan SMS dalam menentukan pemenang semakin menjadi trend pada masa kini. Populariti SMS sukar untuk dinafikan. Hak pengguna menjadi semakin penting dalam menentukan kemenangan sesuatu pihak. Satu ketika dahulu, pertandingan ratu cantik hanya menggunakan juri profesional, tetapi kini pertandingan Miss World telah pun menggunakan kuasa SMS untuk menentukan pemenangnya. Mungkinkah Mawi juga yang akan menang pertandingan Miss World Malaysia sekiranya kuasa SMS menentukan pemenangnya ? Itulah kuasa SMS !
Dalam kes Juara Lagu edisi 20, mereka boleh menambah kategori Juara SMS untuk setiap kategori dan juga Juara SMS Persembahan Popular. Walaupun kategori-kategori ini bakal menjatuhkan sedikit kredibiliti yang sebelum ini menggunakan kuasa juri profesional sepenuhnya, ia merupakan tarikan populariti yang tidak boleh dinafikan kewujudannya. Mungkin juga di pihak TV3 mempunyai ego yang tidak mahu menaikkan populariti bintang ciptaan ASTRO. Mujur lagu Mimpi dendangan Daniel tidak sempat untuk pertandingan kali ini. Jelas sekali pertandingan dua penjuru antara Mawi dan Daniel untuk dinilai populariti mereka berdasarkan kuasa SMS.
Cadangan Kategori Juara Lagu 20
1. Juara Lagu
2. Juara Balada
3. Juara Pop Rock
4. Juara Etnik Kreatif
5. Juara Persembahan Terbaik
6. Juara Persembahan Vokal Terbaik
7. Juara SMS Balada
9. Juara SMS Pop Rock
9. Juara SMS Etnik Kreatif
10. Juara SMS Persembahan Popular
Sekadar cadangan, selain memberikan motivasi kepada para peserta untuk mempersembahkan lagu mereka dengan lebih cemerlang. Selain daripada itu, penonton juga dapat memilih lagu-lagu yang mereka rasakan popular untuk kategori tersebut. Susunan hiraki untuk keutamaan anugerah juga adalah seperti yang telah saya susunkan. Ini memberikan sedikit perspektif bahawa anugerah berkaitan SMS adalah kurang keutamaan berbanding keputusan yang dibuat oleh para juri. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan calar pada kredibiliti pertandingan Juara Lagu. Pertandingan SMS adalah sekadar memenuhi tuntutan populariti yang tidak boleh dinafikan.
Pilihan saya agak terhad kerana ada di antara lagu-lagu yang dipertandingkan tidak pernah saya dengar atau pun mungkin pernah dengar tetapi tidak tahu tajuk. Saya cuba meletakkan pilihan saya sebanyak lima lagu kerana mana tahu ada kejutan lain dari TV3 untuk Juara Lagu kali ini.
Irama Etnik
Binafsha – Waheeda / Trabye / Waheeda
Dendang Sahutan – To’Ki & Andy / To’ki
Benang Emas – Achik & Siti Nordiana / Eddie Hamid/Ku Seman
Gurindam Sang Puteri – Syazliana/ Pak Ngah / Siso
Semalakama – Zehra Zambri / Pak Ngah/ Ce Kem
Taat – Rohana Jalil / Rosli Md Kasa/ Tok Wan
Joget Manis Musim Bercinta – Nas Adila / S Atan/ Siso
Ayuh Juragan – Noraniza Idris / Fedtri Yahya
Nurul Ain – Rayna Hairina / Adnan Abu Hassan/ Faris
Senang Tari – Ning Baizura/ Farihin Abd Fatah/ Ain & Alia Elkine
Aduh Saliha – Mawi / M Nasir/ Loloq
Goyang Habibi – Ruffedge/ Cat
Pilihan sultanmuzaffar
Senang Tari – Ning Baizura/ Farihin Abd Fatah/ Ain & Alia Elkine
Aduh Saliha – Mawi / M Nasir/ Loloq
Ayuh Juragan – Noraniza Idris / Fedtri Yahya
Binafsha – Waheeda / Trabye / Waheeda
Goyang Habibi – Ruffedge/ Cat
Agak sukar juga untuk memilih lagu yang bakal terpilih untuk kategori ini kerana pilihan yang agak terhad. Dua lagu yang boleh saya katakan dengan yakin bakal meneruskan cabaran mereka ke Juara Lagu ialah lagu Senang Tari (Ning Baizura) dan Aduh Saliha (Mawi). Goyang Habibi (Ruffedge) saya sukakan keunikan lagu tersebut. Lagu-lagu lain peluangnya terbuka sama rata.
Balada
Gemilang – Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Asmin Mudin
Awan Yang Terpilu – Lin Li Zen / Loloq
Dedebu Cinta – Misha/ Azlan Abu Hasan/Ucu
Elegi Sepi – Azharina / Azlan Abu Hassan/ Julfekar
Tiada Lagi Tangisan – Aishah/ Adnan Abu Hassan
Tangisan Dalam Kerinduan – Farah/Adnan Abu Hassan
Tangisan Marhaenis – Hattan & Dia Fadila / M Nasir / Loloq
Cinta Seorang Teman – Bob / Adnan Abu Hassan / Fareez
Memori Bahagia – Sahri/Adnan Abu Hassan / Faris
Langit Ke Tujuh – Sharifah Zarina/ Master G/ Marsha
Wajah – Jaclyn Victor / Othman Mohamed/ Habsah Hassan
Bila Rindu – Ruffedge/Azan
Pilihan sultanmuzaffar
Awan Yang Terpilu – Lin Li Zen / Loloq
Elegi Sepi – Azharina / Azlan Abu Hassan/ Julfekar
Langit Ke Tujuh – Sharifah Zarina/ Master G/ Marsha
Gemilang – Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Asmin Mudin
Cinta Seorang Teman – Bob / Adnan Abu Hassan / Fareez
Terus terang saya katakan sukar untuk membuat pilihan dalam kategori ini kerana banyak lagu yang sedap-sedap. Lagu-lagu yang boleh saya sifatkan sebagai wajib ke Juara Lagu ialah Awan Yang Terpilu (Ning Baizura) dan Gemilang (Jaclyn Victor). Elegi Sepi (Azharina) dan Langit Ke Tujuh (Sharifah Zarina) merupakan dua lagu yang hebat dari segi penciptaannya. Lagu Cinta Seorang Teman saya pilih berdasarkan keindahan lagu tersebut serta keupayaan vokal Bob AF2 yang mampu membawakan lagu tersebut dengan baik.
Pop Rock
Cinta Dewa Dewi – Spider / M.Nasir/Loloq
Senyuman Ragamu – Gerhana Ska Cinta / Eddie J. Herwan/ Edy and Radhi OAG
Kata – Hazami / Hazami, Tris & Arab
Kasihnya Laila – Jinbara / Mala/Pak One
Message Girl – VE / Damien VE
Tak Tahu – Adam / Edry
Wo – Zahid /Audi Mok / Shazee
Gaia – Zainal / Pacai & Zainal
Rahsia – Flop Poppy / Fathul
Milikku – Zahid / Cat
Pop Ye Ye – VE/ VE/ Zaf & Cham
Dayang Sayang Kamu – Dayang/ Cat / Edry
Pilihan sultanmuzaffar
Pop Ye Ye – VE/ VE/ Zaf & Cham
Gaia – Zainal / Pacai & Zainal
Senyuman Ragamu – Gerhana Ska Cinta / Eddie J. Herwan/ Edy and Radhi OAG
Milikku – Zahid / Cat
Cinta Dewa Dewi – Spider / M.Nasir/Loloq
Peluang terbuka luas sama rata kepada semua lagu dalam kategori ini. Setiap lagu mempunyai kekuatan masing-masing yang tersendiri. Saya cuba juga ingin meletakkan lagu Message Girl (VE) kerana sememangnya saya tertarik dengan lagu tersebut tetapi populariti lagu Cinta Dewa Dewi (Spider) agak kukuh. Saya mahu melihat Pop Ye Ye (VE), Gaia (Zainal Abidin) dan Milikku (Zahid) untuk meneruskan cabaran mereka ke Juara Lagu kali ini.
Siapa sahaja pilihan juri profesional, kita harus terima dengan terbuka. Apa pula pilihan anda ?
Undian Web : Muzik Muzik
Ulasan Lain : Javardkent
Finalis Juara Lagu 20
Semalakama – Zehra Zambri / Pak Ngah/ Ce Kem
Taat – Rohana Jalil / Rosli Md Kasa/ Tok Wan
Ayuh Juragan – Noraniza Idris / Fedtri Yahya
Aduh Saliha – Mawi / M Nasir/ Loloq
Gemilang – Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Asmin Mudin
Awan Yang Terpilu – Lin Li Zen / Loloq
Elegi Sepi – Azharina / Azlan Abu Hassan/ Julfekar
Wajah – Jaclyn Victor / Othman Mohamed/ Habsah Hassan
Kata – Hazami / Hazami, Tris & Arab
Tak Tahu – Adam / Edry
Gaia – Zainal / Pacai & Zainal
Pop Ye Ye – VE/ VE/ Zaf & Cham
Ulasan Filem : Pontianak Harum Sundal Malam 2
Rating : 3/5 bintang
Saya berkesempatan untuk menonton tayangan filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 yang ditayangkan untuk para media di TGV KLCC baru-baru ini. Pertemuan kembali dengan Encik Hishamuddin Mohamed setelah hampir 15 tahun tidak bertemu sejak meninggalkan MRSM Perlis merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Tidak banyak perubahan pada beliau dan sekali pandang saya sudah mengenalinya.
Kos pembikinan filem ini ditaja oleh DiGi sekali penaja utama selain FINAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Jugra Publication. Para penonton juga boleh menyertai peraduan DiGi Memburu Pontianak dan memuat-turun ringtone, wallpaper dan lain-lain keperluan telefon bimbit.
Apa yang ada dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 ini yang memenangi dua anugerah iaitu Pelakon Terbaik dan Sinematografi Terbaik di Estepona Horror & Fantasy Film Festival Spain 2005 ?
Sinopsis
Pontianak Harum Sundal Malam 2 membawa penonton untuk melihat apa yang terjadi setahun kemudian di Pekan Paku Laris.
Wasiat Marsani supaya dipulangkan harta Meriam kepada warisnya tidak kesampaian apabila Maria menghilangkan diri. Pontianak terus menghantui kehidupan waris keluarga Marsani, Asmadi, Norman, Ana dan Zai.
Norman yang sangat tertekan dan masih tidak dapat menerima kematian datuknya, Marsani telah menghilangkan diri. Pontianak bersumpah untuk membalas dendam sehingga anaknya dipulangkan dan telah merampas anak Asmadi dari tangan Ana, isteri Norman.
Penonton sempat diimbas kembali tentang apa yang berlaku sewaktu kematian Meriam. Bila mana Laila sempat melarikan anak Merian keluar dari Pekan Paku Laris. Bagi menyelamatkan Maria dan menyembunyikan rahsia keturunan mereka, Laila membuka sebuah penempatan terpencil dan selamat iaitu di Kampung Tepian Tersorok untuk membesarkan Maria. Laila yang uzur telah menyerahkan tanggungjawab menjaga Maria kepada Bayang.
Suatu hari, Bayang dan Joyo, guru kuda kepang kampung itu telah ternampak Maria menjelma menjadi Meriam melalui semangat Pontianak. Kejadian itu menyedarkan mereka bahawa telah tiba masanya untuk Maria menunaikan takdirnya dan menuntut semula haknya. Bayang telah menghantar Maria ke Paku Laris di bawah jagaan Joyo. Bayang percaya Maria lebih selamat dilindungi Joyo kerana Joyo memiliki kuasa yang digunakan oleh guru kuda kepang untuk mengawal semangat dalam tarian kuda kepang.
Tanpa diketahui Bayang, Joyo bukanlah seperti yang disangkakan. Joyo telah terpukau dengan rasukan Meriam, wajah jelita yang seperti pernah dilihatnya. Obsesinya terhadap Meriam semakin mendalam. Di fikirannya dia harus mengawal Maria. Selepas kematian Marsani, Joyo dan Maria menghilangkan diri dari Paku Laris.
Asmadi dengan bantuan Ana cuba mencari anaknya. Menyedari bahawa Maria dibayangi Pontianak, mereka menjejaki Maria sehingga membawa mereka hampir ke Kampung Tepian Tersorok. Keazaman untuk mencari anaknya tanpa menghiraukan bahaya yang menanti membawanya kepada satu konfrontasi dengan Pontianak, Joyo dan Bayang.
Pertembungan antara mereka telah membangkitkan semangat ‘kuda kepang’ lalu membawa mereka ke suatu alam lain. Bayang yang sedar Pontianak tidak boleh dihapuskan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Maria. Dalam kekecohan itu, tiba-tiba rumah Joyo terbolos apabila tanah di kawasan rumahnya merekah dan menenggelamkan Pontianak dan Joyo yang cuba menyelamatkannya. Di manakah Maria…?
Pendapat Peribadi
Membaca sinopsisnya sahaja sudah cukup untuk mengelirukan penonton, lebih-lebih lagi sekiranya mereka tidak menonton Pontianak Harum Sundal Malam. Lanjutan dari persoalan-persoalan yang masih belum terjawab dalam edisi pertama Pontianak tersebut, semuanya boleh didapati di dalam sekuel kali ini.
Pertembungan budaya pada kedua-dua lokasi sukar dibezakan dan boleh mengelirukan. Ia tidak diperincikan dengan jelas. Set yang melibatkan lokasi Kampung Tepian Tersorok berlaku di Kampung Wonosobo, Jogjakarta, Indonesia. Setelah membaca nota dari Pengarah Seni dalam laman web rasmi mereka barulah saya faham mengapa ianya dibuat tanpa banyak perbezaan untuk menggambarkan perbezaan dua lokasi tersebut.
Keindahan sinematografi yang menjadi kekuatan pada aspek visual filem ini agak jelas. Pengambilan shot-shot yang indah dan kena dengan jalan ceritanya amat bersesuaian dengan filem tersebut. Ini harus saya akui kerana jejak kecemerlangan yang tercipta hasil sinematografi filem-filem arahan Shuhaimi Baba sememangnya bagus. Contohnya adalah seperti filem Selubung, Ringgit Kasorrga, Mimpi Moon dan Layar Lara. Nampak kualiti pada hasil yang tercipta kesan dari penggunaan teknologi terkini yang ada di pasaran. Saya kagum dengan hasil kerja Mohd Filus Ghazali kali ini. Saya beri A untuk sinematografi.
Dari aspek penceritaan dan subjek, saya memang sejak dulu kagum dengan cara Shuhaimi Baba mengolah ceritanya. Ceritanya lain daripada yang lain dan diolah dengan cara yang tersendiri. Saya mengikuti perkembangan beliau secara serius dalam filem-filem beliau yang terdahulu. Ringgit Kasorrga dan Mimpi Moon merupakan antara filem beliau yang boleh saya sifatkan agak kompleks. Isunya terlalu besar untuk dimuatkan dalam jangkamasa dua jam tayangan. Maka kekeliruan jelas berlaku apabila menonton filem ini. Berbanding Pontianak Harum Sundal Malam banyak persoalan-persoalan yang tergantung dan diperjelaskan dalam edisi kedua ini. Siapa Maria, mengapa Maria tidak tua dan terlalu muda untuk menjadi anak Meriam dijawab dalam edisi ini.
Menurut Nizam Zakaria, filem ini agak bercelaru. Bercelaru itu tidak mengapa, jika ia dibuat dengan sengaja. Tetapi kecelaruan yang ada di dalam filem ini berlaku kerana pembikin filem itu sendiri keliru dengan naratif filemnya.
Sebagai contoh, terdapat satu adegan di mana Pontianak muncul pada waktu siang, tiba-tiba sahaja syot berubah kepada waktu malam. Di sini kita tidak nampak kesinambungan cerita sama sekali.
Menurut Nizam Zakaria lagi, rasa seram kepada Pontianak terus hilang kerana pontianak tidak lagi menjadi satu perkara yang ditakuti penonton. Pontianak selalu sahaja muncul. Ini agak berbeza pada Pontianak versi pertama yang muncul jarang-jarang dan kemunculannya memberikan sedikit elemen yang mendebarkan.
Satu kelainan yang dibawa dalam filem ini apabila Pontianak juga muncul pada waktu siang lalu cuba menukar persepsi masyarakat yang Pontianak hanya muncul pada waktu malam.
Lambakan adegan begitu meresahkan dalam filem ini. Memasukkan terlalu banyak adegan yang dirasakan perlu oleh Pengarah menyebabkan terlalu banyak plot yang boleh mengelirukan penonton. Saya merasakan Penyunting dan Pengarah harus benar-benar serius mengambil shot-shot yang difikirkan penting sahaja untuk mendapatkan rentak filem ini agar tidak terlalu meleret-leret.
Maya Karin telah memberikan mutu lakonan yang agak baik berbanding edisi pertama. Jelas kelihatan perbezaan emosi, perwatakannya dalam watak-watak yang beliau lakonkan. Maka tidak hairanlah sekiranya beliau berjaya memenangi Anugerah Pelakon Terbaik dalam Estepona Horror & Fantasy Film Festival di Sepanyol. Persembahan lakonan Maya Karin berada pada kelasnya yang tersendiri. Cara beliau bermain dengan emosinya yang penuh dengan dendam menimbulkan elemen seram dan mampu membangkitkan perasaan hiba pada penonton. Keinginannya untuk mendapatkan kembali haknya dan dalam perjalanannya mendapatkannya Maya telah berjaya menarik penonton untuk sama-sama terheret dalam melodrama yang telah beliau cipta. Saya beri A untuk lakonan Maya Karin kali ini.
Namun demikian saya sedikit kecewa dengan lakonan Rosyam Noor yang boleh saya katakan tidak meneruskan mannerism dari wataknya dalam edisi pertama. Watak sebagai Asmadi yang bodoh-bodoh alang tidak diteruskan dalam sekuel ini lalu sedikit mengelirukan saya. Apakah dengan berkahwin, seseorang yang berperwatakan seperti Asmadi mampu berubah. Mungkin ada cerita di sebalik perubahan pada wataknya yang tidak saya ketahui ataupun tidak ambil endah.
Sebaliknya saya menyukai lakonan Zahim Al Bakri sebagai Tok Guru. Beliau yang sering dikenali sebagai pemegang watak berbangsa Inggeris, telah dilarikan dari imej sedemikian dan begitu cemerlang membawakan wataknya. Nyata pengalamannya dalam bidang teater banyak membantu beliau merealisasikan watak tersebut dengan begitu terkawal.
Begitu juga dengan lakonan Rusdi Ramli sebagai Joyo dan Zali yang tidak begitu menonjol tetapi memainkan peranan yang kuat untuk menjadi tunjang konflik dalam filem ini. Sekiranya diberikan watak yang lebih berat dengan bimbingan dari mereka di kalangan yang pakar, saya merasakan Rusdi Ramli mampu menjadi barisan pelapis kepada muka-muka lama seperti Yusry dan Farid Kamil.
Pontianak Harum Sundal Malam 2 telah lulus tanpa sebarang potongan dan diklasifikasikan sebagai U. Filem ini sebenarnya membawa penonton untuk terus tidak tertipu dengan adegan seram mimpi yang dibawakan dalam versi pertama. Filem ini merupakan satu penanda aras kepada filem-filem seram di masa akan datang bahawa pembikin filem boleh menghasilkan filem-filem seram yang tidak dibayangi dengan hantu versi LPF.
Perubahan peraturan yang termaktub dalam LPF nampaknya sudah berubah. Adegan-adgean hantu yang menyeramkan, adegan darah yang mengerikan sudah boleh ditayangkan kepada umum. Khabarnya, kisah-kisah hantu dari cerita rakyat sahaja yang dibenarkan untuk dijadikan filem. Jika kena gayanya filem-filem seram sebegini boleh mendapat pasaran yang meluas kerana ia menjadi kesukaan penonton yang sememangnya meminati corak filem sebegini.
Sebagai pelayar internet yang tegar, kemudahan mencapai internet melalui laman web rasmi yang dibangunkan untuk filem ini merupakan sebagai pelengkap kepada filem ini. Maklumat-maklumat yang terdapat dalam laman web rasmi filem ini begitu berguna kepada penggemar filem Melayu untuk lebih mendalami selok-belok pembikinan filem teersebut. Maklumat berkenaan rekaan set, tatarias busana serta maklumat-maklumat teknikal berkenaan filem tersebut terkandung untuk para pelayar internet.
Filem ini akan mula ditayangkan pada 24 November 2005 di pawagam-pawagam yang berdekatan dengan tempat anda. Saya akan pasti menontonnya sekali lagi kerana tidak begitu puas menontonnya pada tayangan media yang baru lepas. Bagaimana sekiranya Gathering Wayang PHSM2 diadakan kali ini. Ada yang berani ? Boleh jerit ramai-ramai dalam panggung wayang.
Laman Web Rasmi : www.pontianakhsm2.com
DiGi Memburu Pontianak
PHSM2 di Filem Kita
Ulasan Blog : Tontonfilem
DUREX Global Sex Survey 2005
Pertamanya, jangan betulkan monitor anda kerana apa yang anda baca memang datang dari isi hati, pandangan mata dan rakaman lensa seorang sultanmuzaffar. Siapa kata seseorang hanya boleh terus kekal dalam arena blog dengan isu berkisar kepada kisah hidup Mawi sahaja. Walaupun tanpa isu tentang Mawi, saya berharap yang blog ini akan terus dibaca dan dilawati. Tidak pernah saya gusar atau gentar dengan amaran yang mengatakan saya takut tidak laku apabila memberikan komen tentang tepi kain Mawi. Oleh itu, saya lebih selesa bercerita tentang tepi kain penduduk dunia yang telah disingkap oleh DUREX Global Sex Survey 2005 dalam satu laporan yang cukup lengkap untuk dijadikan bahan blog.
Sebanyak 5,409 orang rakyat Malaysa telah terlibat dalam soalselidik tersebut yang rata-rata mereka berumur di antara 16 hingga 55 tahun. Dari seramai 5,409 responden tersebut, 70% adalah lelaki dan selebihnya wanita. Secara purata sebanyak 46% adalah mereka yang berumur 25-34 tahun, 26% adalah mereka yang berumur 21-24 dan 15% adalah mereka yang berumur bawah 20 tahun.
Menurut kajian lokasi yang paling digemari oleh para responden melakukan hubungan seks adalah di tandas pusat hiburan selain bilik tidur ibu bapa. Sebanyak 44% memilih tandas berbanding bilik tidur ibu bapa dan dalam kereta. Tetapi sayangnya rumah tunang tiada dalam pilihan soal selidik tersebut. Jika dilihat pada senarai-senarai pilihan responden melihatkan kemampuan rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri hebat untuk menonjolkan diri mereka di peringkat antarabangsa. Ada di antara mereka pernah melakukan hubungan seks di pejabat. Bayangkan tempat anda bekerja seharian pernah merupakan tempat rakan sekerja melakukan hubungan seks. Bagaimana penerimaan anda ? Tidak cukup dengan itu, ada di antaranya yang melakukannya di taman-taman, dalam konteks ini tentunya Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik KLCC, Taman Tasik Perdana, Taman Tasik Permaisuri, Taman Tasik Kelana Jaya dan sebagainya. Sebanyak 10% daripada responden memilih di hadapan kamera, maka tidak hairanlah wujudnya VCD Pramugara Terlampau dan Bohsia Bangsar. Dengan kecanggihan telefon bimbit yang ada, semuanya boleh menjadi kenyataan dan dipromosikan dengan kadar segera.
Secara purata penduduk dunia mengadakan hubungan seks sebanyak 103 kali setahun. Manakala responden rakyat Malaysia pula sebanyak 83 kali setahun. Secara purata orang Malaysia melakukan hubungan seks sebanyak 1.5 kali seminggu. Ini bermakna dalam seminggu ada satu hubungan seks yang separuh jalan sahaja dan “Abang penat !” merupakan alasan yang paling kerap digunakan untuk mengelak hubungan tersebut. Penduduk yang paling kerap melakukan hubungan seks setahun ialah rakyat negara Greece dan diikuti oleh Croatia dan Serbia and Montenegro. Serbia ? Memang sudah dijangkakan mereka dari kalangan yang bernafsu besar. Lihat apa yang telah mereka lakukan ke atas rakyat Bosnia satu ketika dulu.
Tidaklah begitu memeranjatkan apabila umur rakyat Malaysia melakukan hubungan seks untuk kali pertama telah turun dari 21 tahun pada tahun 2003 kepada 19 tahun pada tahun 2005. Semakin maju para remaja Malaysia. Purata untuk keseluruhan penduduk dunia juga menurun ke umur 17.3 tahun. Walaupun berada pada kedudukan keempat setelah India, Vietnam dan Indonesia, ia bukanlah satu yang boleh dibanggakan. Maka boleh diandaikan secara keseluruhan kali pertama seorang rakyat Malaysia melakukan hubungan seks adalah pada usia 19 tahun. Kalau saya menjawab soalan tersebut, mungkin angkanya menjadi lebih kecil.
Melihatkan angka 39% pada bilangan responden yang tidak mengambil tahu tentang sejarah seksual pasangan masing-masing, ia adalah satu angka yang menggerunkan. Pendidikan tentang mengetahui dan mengambil berat tentang seks amat perlu ditekankan oleh pihak berwajib melalui kempen-kempen atau menekankan kepada pendidikan agama. Berdasarkan jawapan yang telah diberikan responden, mereka inginkan kesedaran diberikan kepada beberapa topik seperti HIV/AIDS dan rata-rata mengharapkan agar kerajaan menyediakan peruntukan untuk pendidikan seks.
Dalam perkembangan lain, Amber Chia telah terpilih sebagai Selebriti Paling Seksi di Malaysia. Antara selebriti pilihan lain yang tersenarai ialah Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan Fasha Sandha.
Apa agaknya pilihan saya ? Saya cuba meluaskan skopnya kepada seluruh dunia. Paling tidak pun sekitar Malaysia dan Indonesia. Saya akan memilih Siti Nurhaliza, Camelia, Dian Sastrowidoyo, Ladya Cheryl (pemegang watak Alya dalam AADC), Tamara Bleszinsky (pemegang watak Ana dalam sinetron Hikmah) dan Jolyn (ada lah…). Jika ada di antara anda yang perasan, mereka ini seperti berada dalam satu set yang sama. Tidak banyak perbezaan antara mereka satu sama lain. Rambut panjang, berkulit cerah dan raut wajah juga agak sama antara satu sama lain. Manakala untuk selebriti lelaki saya akan memilih Zulhuzaimy (pelakon teater yang disegani ramai).
Ulasan : TV Smith's Dua Sen
Malaysia Boleh !
BlogsMalaysia : Sharp Bytes From Bolehland
Saya jumpa satu portal yang bertujuan meng'orgy'kan entri atau posting pada blog yang ada di Internet yang dirasakan wajar untuk disarankan kepada pembaca-pembaca yang lain. Di sana anda berpeluang untuk membaca komen dari mereka yang memberikan komen terhadap entri blog anda (sekiranya entri anda disarankanlah oleh mereka). Banyak sisipan perkataan atau pandangan yang anda adakalanya terleka atau terlepas pandang ada di situ. Semalam, salah satu entri blog ini disebut di sana dalam artikel bertajuk "A vicious circle of misery"
Bersamamu TV3 - Rumah Seri Kenangan Cheng MelakaDalam Malaysia menuju kemajuan, tidak dapat tidak beberapa aspek dalam kehidupan terpaksa diabaikan. Lebih menyedihkan apabila terdapat segolongan manusia yang terus mengabaikan ibu-bapa mereka. Semacam sudah menjadi kebiasaan, berita-berita di akhbar memaparkan juga kisah penderaan kanak-kanak. Ia semacam satu putaran roda kehidupan. Kanak-kanak didera sekarang dan ibu-bapa diabaikan sewaktu umur tuanya. Apakah itu satu kebetulan atau semacam satu pembalasan ?
Menyaksikan kehidupan sekumpulan warga emas yang menetap di Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka benar-benar membuka minda tentang bagaimana pentingnya ibu-bapa dalam kehidupan kita. Benar kata pepatah, ibu mampu untuk menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum mampu untuk menjaga seorang ibu.
Kisah yang dipaparkan minggu ini tidaklah begitu menyedihkan berbanding kisah sebuah rumah anak yatim pada minggu lepas. Mungkin kerana saya sudah terbiasa membaca kes-kes pengabaian ibu-bapa sebelum ini dan tidaklah begitu menghairankan saya. Sebelum ini, program ini pernah menyiarkan kisah sebuah keluarga yang makan nasi dengan siput babi.
"Di mana sistem kenegaraan, JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), penghulu, komuniti bestari, persatuan penduduk, jabatan kebajikan, Baitulmal dan badan zakat kita?.” pernah diutarakan oleh Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) dalam sidang parlimen. Saya tersenyum. Apakah benar penyaluran wang zakat dibuat dengan penuh sistematik ? Apakah benar tiadanya penyelewengan terhadap wang zakat tersebut ? Tidak salah sekiranya berasa sangsi dengan sistem yang ada.
Rata-rata apabila ditanya kepada penghuni rumah tersebut, mereka menyatakan tidak mahu menyusahkan anak-anak mereka dan pilihan mereka untuk tinggal di rumah tersebut. Kesibukan anak-anak mencari rezeki tentunya menambahkan lagi beban terhadap anak-anak mereka sekiranya mereka menumpang di rumah anak-anak mereka. Mempunyai adik-beradik yang ramai juga belum tentu menjamin kebahagiaan berkeluarga.
Melihat program ini saya berpendapat Rumah Seri Kenangan Cheng lebih memerlukan bantuan kasih sayang dan bukannya bantuan wang ringgit. Kehidupan mereka di sana boleh saya sifatkan agak mewah cuma bezanya dalam usia yang meniti penghujung mereka kurang kasih sayang yang amat mereka perlukan.
Ada banyak cara untuk membantu, sekiranya anda ingin membantu. Boleh melalui SMS tetapi saya nasihatkan tidak perlulah menderma dengan SMS. Lebih mudah sekiranya dimasukkan ke dalam akaun bank Maybank 564324129973 atau pun secara terus kepada mereka di alamat :
Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka
KM12, Jln Cheng, 75250 Melaka
Tel : 06-3121179
Fax : 06-3121402
Email:jkm077[delete]@tm.net.my
Kredit Foto : Department of Social Welfare, Melaka
Dalam perkembangan lain, saya dalam proses menyiapkan ulasan berkenaan filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 yang telah saya tonton baru-baru ini. Saya perlu menyiapkannya secepat mungkin sebelum filem tersebut ditayangkan kepada umum pada 24 November ini. Pengalaman beraya di bandar, jika ada kelapangan boleh juga saya kongsi bersama dengan anda semua. Malam Raya Pertama saya melepak di Planet Hollywood bersama beberapa sahabat. Selain Tengok ASTRO, Online, Tengok ASTRO, Online, Tidur, Makan Ketupat, Online, Tengok ASTRO, Tidur. Hahahaha !
Reunion Buka Puasa
Sebelum pulang ke kampung, sempat saya bertemu rakan-rakan satu sekolah menengah sewaktu di Tingkatan Satu – Tiga. Bukan selalu dapat jumpa mereka, tetapi sejak initiatif yang dilakukan oleh Nizam, saya sering dapat bertemu mereka sejak akhir-akhir ini. Kali terakhir saya bertemu mereka adalah sewaktu Majlis Perkahwinan Mohd Sirajuddean iaitu dua bulan yang lalu. Ada di antara mereka yang tidak dapat hadir.
Dalam ramai-ramai, kebanyakan dari kami tinggal di asrama sekolah. Tentunya banyak cerita untuk diimbas kembali. Dalam ramai-ramai, tiga orang daripada kami telah mengenali antara satu sama lain sejak berada di sekolah rendah lagi. Berada di dalam kelas yang sama sejak sekolah rendah. Saya, Dean dan Aminurrashid merupakan rakan satu sekolah rendah sehinggalah ke Tingkatan Tiga.
Manakala Hakim, Ardi, Nasir, Saiful, Sam dan Nizam merupakan rakan sejak Tingkatan Satu. Saiful, Aminurrashid dan Shamsul tidak pernah saya temui sejak meninggalkan sekolah itu pada tahun 1989. Nasir pula saya berkesempatan untuk hadir ke majlis perkahwinannya pada tahun 1998.
Semuanya telah berjaya dalam hidup masing-masing. Kalau dulu sewaktu bersekolah, kita semacam tiada arah tujuan. Masing-masing tidak tahu apa yang akan dihadapi di masa hadapan. Masing-masing blur.
Kalau sudah bertemu, macam-macam cerita yang keluar. Dari kes terjun bangunan kerana dapat 4A1B sehinggalah kepada kes main mercun. Zaman sekolah memang satu zaman yang paling menyeronokan. Zaman untuk mencuba segala macam jenis cabaran. Zaman itu boleh saya sifatkan sebagai zaman untuk bereksperimen tentang kehidupan.
Pendek kata, apa yang ingin dirasai sewaktu zaman persekolahan sudah dirasai. Ada yang kekal sehingga sekarang.
Sepet – Best Asian Film Award di Tokyo International Film Festival
Kejayaan Sepet merangkul Anugerah Filem Terbaik Asia di Tokyo International Film Festival benar-benar suatu kejayaan yang sepatutnya dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.
Tanpa promosi yang berdegar-degar, filem tersebut telah dihantar untuk menyertai festival filem tersebut.
Kejayaan yang dicipta oleh Yasmin Ahmad adalah kejayaan yang dilaksanakan mengikut caranya yang tersendiri. Kejayaan demi kejayaan yang dicipta tidaklah perlu digembar-gemburkan, cukup dengan sekadar hebahan kecil sahaja.
Saya yang baru mendapat tahu bahawa pada malam penganugerahan tersebut, Yasmin Ahmad tidak dapat hadir untuk menerima anugerah tersebut kerana sedang bercuti di Bali. Sebaliknya beliau telah diwakilkan oleh Eldeen Husaini salah seorang pegawai di Kedutaan Malaysia di Tokyo. Lebih manis, beliau merupakan kenalan saya sejak 1998 yang saya kenal melalui ICQ. Menurutnya lagi, Datuk Bandar Shibuya turut memuji filem tersebut yang disifatkan oleh beliau amat teliti hasilnya. Para juri festival tersebut juga begitu kagum dengan hasil filem tersebut.
Bersamamu TV3
Program Bersamamu TV3 ini jarang benar dapat saya tonton. Sama ada mengambil sikap sambil lewa atau pun tidak mengendahkan kewujudannya. Musim yang pertama saya tonton sekali sekala. Episod pada hari Isnin lepas saya tonton secara keseluruhannya.
Paparan tentang sebuah rumah anak yatim benar-benar menyentuh hati. Setiap dari mereka ada cerita mereka yang tersendiri mengapa mereka terpaksa tinggal di rumah tersebut. Jika kita menyangkakan hidup kita sudah cukup susah, kita harus menyedari bahawa ada insan lain yang lebih sukar hidupnya dalam menghadapi kenyataan hidup.
Lantas saya terfikir, apakah pula sumbangan saya untuk program sedemikian. Saya boleh menyediakan kad top-up RM30 setiap minggu untuk Akademi Fantasia, mengapa pula saya tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk Bersamamu TV3.
Saya sempat melayari laman web mereka, nampaknya tidak dikemaskinikan. Pihak TV3 seakan-akan mengabaikan golongan penonton dari kelas pertengahan yang berkemampuan untuk melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang bagaimana untuk menyumbang kepada rancangan tersebut.
Saya sempat berbincang dengan salah seorang sahabat saya tentang bagaimana untuk mendapatkan maklumat tentang rancangan tersebut. Seboleh-bolehnya saya hanya mahukan sinopsis mingguan serta foto-foto mingguan yang berkaitan dengan episod minggu tersebut untuk saya letakkan di dalam blog saya.
Maklumat-maklumat serta bahan-bahan tersebut akan saya gabungkan dengan penulisan saya sendiri yang merangkumi ulasan-ulasan peribadi tentang episod tersebut untuk menyedarkan masyarakat dalam konteks ini pembaca blog saya sendiri tentang rancangan tersebut. Saya berharap agar pihak Jabatan Komunikasi Korporat TV3 sedia membantu usaha yang tidak seberapa ini untuk mempromosikan rancangan tersebut.
Kepincangan masyarakat yang terpapar dalam rancangan tersebut bukanlah untuk dibangga-banggakan tetapi untuk golongan yang lebih bernasib baik untuk lebih mengerti tentang kehidupan secara keseluruhannya.
Hijrah Remaja : Sebuah Program Yang Dekat Dengan Remaja
Ini kali kedua saya menonton rancangan baru yang disiarkan di ASTRO Ria. Saya tertarik dengan konsep rancangan tersebut. Rancangan tersebut telah dikendalikan oleh Farihin Abdul Fatah dan Wardina Safiyah. Masih ingat sebelum Akademi Fantasia 3 dikeudarakan, saya ada menyarankan agar Farihin dilantik sebagai Pengetua Akademi Fantasia ? Nampaknya beliau lebih sesuai untuk mengacarakan rancangan bercorak agama seperti Hijrah Remaja ini. Wardina Safiyah merupakan satu nama yang cukup sinonim dengan kecantikan dan kesopanannya. Satu ketika dahulu beliau membawakan imej seorang remaja urban, kini setelah berumah tangga, beliau membawakan imej seorang wanita muslim yang amat ideal pada pandangan mata saya.
Konsep rancangan ini amat segar walaupun membawakan persoalan yang berkaitan dengan agama. Kita lihat sahaja rancangan agama yang pernah saya tonton sejak kecil-kecil lagi seperti Hal Ehwal Islam, Al-Kuliyyah, Forum Perdana dan juga Pedoman. Rata-rata membawakan konsep syarahan yang sukar untuk mendekati remaja. Berbeza dengan rancangan ini yang boleh saya katakan dekat dengan remaja.
Lihat sahaja pada rekaan setnya yang agak menyerlah dengan warna-warna terang. Sekali pandang kita boleh tersilap ingatkan ia sebuah program hiburan. Menampilkan panel-panel yang terdiri dari ilmuan Islam dari pelbagai latar-belakang dan peringkat umur. Antara lain ia turut menampilkan panel dari kalangan remaja lelaki dan perempuan. Mereka berbincang tentang sesuatu isu yang diperdebatkan dengan lenggok bahasa mereka sendiri. Sekiranya mereka ingin berbicara dalam bahasa Inggeris, mereka akan berbicara dalam bahasa tersebut tanpa canggung. Hijrah Remaja turut menjemput seorang panel remaja perempuan yang tidak menutup aurat. Ini sekaligus menepis pandangan masyarakat bahawa untuk membincangkan persoalan agama, seseorang itu harus menutup aurat. Pandangan yang diberikan oleh mereka juga bernas dan perlu diambil kira secara kolektif.
Lihat sahaja pada apa yang terpapar pada skrin televisyen anda. Saya terpesona dengan design-design yang muncul pada skrin tv saya. Nampak ada kelainan dan tidak sekadar statik sambil mendengar panel berceramah tentang agama. Program Hijrah Remaja menampilkan satu kelainan yang sukar digambarkan. Saya akui saya bukanlah seorang yang gemar menonton rancangan bercorak agama persis Al-Kuliyyah, Forum Perdana atau Hal Ehwal Islam, tetapi saya tertarik dengan rancangan Hijrah Remaja ini. Ada semacam satu tarikan yang menarik saya untuk menonton rancangan ini. Farihin selaku hos rancangan mengemudi rancangan ini dengan imej santai tetapi masih berlandaskan nilai-nilai agama yang kuat. Wardina Safiyyah pula pada saya membawa rancangan ini untuk mendekati golongan remaja urban. Dua hos rancangan ini sudah cukup kuat untuk menarik saya mendekati rancangan sebegini.
Beberapa minggu lalu, rancangan ini berbicara tentang Hukum Merokok. Ada yang kata haram, ada yang kata makruh dan ada yang kata halal. Siapa kata rancangan sebegini tidak boleh mengundang airmata seperti rancangan Akademi Fantasia ? Di akhir rancangan Farihin berbicara di hadapan kamera sambil meminta agar anaknya menasihatkan beliau agar berhenti merokok. Dalam sebak dan linangan airmata Farihin begitu jujur sekali menyampaikan hasrat beliau kepada anaknya. Airmata Hijrah Remaja menurut pandangan saya lebih jelas keikhlasannya berbanding airmata Akademi Fantasia.
Kita tinggalkan isu minggu sudah. Minggu ini mereka berbicara tentang umur yang sesuai untuk menunaikan haji. Tentunya berdasarkan kemampuan, ramai di kalangan kita yang mampu untuk menunaikan haji pada peringkat umur yang masih muda. Ada juga yang belum cukup kemampuan, akan melaksanakan Rukun Islam kelima itu pada peringkat yang sudah tua. Ia semuanya bergantung kepada kemampuan wang ringgit dan kemampuan kesihatan.
Menurut salah seorang panel iaitu Syed Adam Alhabshi, sekiranya kita mempunyai kekuatan, adalah lebih sesuai menunaikan haji sewaktu usia masih muda. Kekuatan fizikal pada waktu tersebut berada di tahap maksima dan memudahkan kita untuk mengerjakan amalan-amalan yang diwajidkan sewaktu di sana. Saya sendiri pernah melihat, ada di kalangan jemaah yang terpaksa diusung dan ini tentunya menyulitkan mereka dan yang rapat dengan mereka. Pada waktu mudalah kita perlu all-out kerana fizikal kita kuat pada waktu tersebut. Sekiranya mempunyai kemampuan, perkara yang baik harus dipercepatkan.
Jika punya kelapangan saya akan mengikuti episod-episod yang seterusnya. Saya percaya rancangan ini mampu menarik golongan remaja untuk mendekati program-program bercorak agama dengan menggunakan konsep yang lebih santai serta persembahan yang nampak ceria. Kekuatan utama rancangan ini bergantung kepada chemistry hos rancangan ini yang boleh saya sifatkan dekat dengan para remaja. Sebuah produksi yang bagus untuk para remaja.
Rancangan ini ke udara pada hari Khamis jam 8.00 malam dan siaran ulangannya adalah pada hari Jumaat jam 6.00 petang.
Ada Raya, Ada Astro
Raya semakin hampir menjelang. Malangnya saya masih belum menerima bayaran untuk kerja-kerja saya dengan AFXtra. Nampaknya, tiada rayalah tahun ini. Tidak bolehlah raya sakan. :(
Namun demikian, Hari Raya Aidil Fitri akan tetap menjelma.
Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pembaca blog sultanmuzaffar yang tanpa jemu terus memberikan sokongan, panduan dan tunjuk ajar dalam kita sama-sama menempuh kehidupan seharian. Dalam kematangan kita berinteraksi adakalanya tersulam jenaka-jenaka kasar yang sedikit sebanyak telah mencalarkan keping-keping hati antara kita. Oleh itu, dengan kerendahan hati saya memohon maaf kepada semua.
Kepada peminat filem Melayu, bolehlah menonton filem Salon atau Anak Mami Kembali yang akan ditayangkan di pawagam. Peminat filem Sepet, Pontianak Harum Sundal Malam dan Gol & Gincu bolehlah menonton tayangannya di ASTRO Ria. Peminat Akademi Fantasia, Rumah Terbuka Akademi Fantasia, AF Xtra dan Konsert Reunion Akademi Fantasia akan disiarkan. Peminat Anuar Zain dan Siti Nurhaliza, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Anuar Zain..Aidilfitri Di Perantauan serta Konsert Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London. Saya tidak balik kampung tahun ini, maka tahun ini saya beraya dengan program ASTRO.
Sabtu ini saya akan bertemu dengan beberapa kawan lama dari sekolah rendah dan menengah yang sama-sama bersekolah dahulu. Kebanyakan dari mereka merupakan rakan-rakan yang saya jumpa sewaktu majlis perkahwinan Mohamed Sirajuddean. Saya bakal jumpa kembali dengan pemain gitar utama penyapu lagu Rozana.
Buka Puasa Drop-Out dan Bakal Drop-Out UNITAR
Semalam saya telah keluar berbuka puasa bersama rakan-rakan UNITAR tempat kerja saya dahulu. Antara yang hadir pada petang itu ialah Hasnan, Ayu, Uda, Suhana, Javard, Rosaini, Fieziah dan keluarga, Wan dan saya sendiri.
Makanan Baru Tentu Lebih Mengenyangkan
Boss lama saya iaitu Hasnan akan memulakan tugas barunya bersama Intel pada 14 November ini. Setelah lebih tujuh tahun bersama UNITAR, beliau akhirnya mendapat peluang yang lebih besar bersama syarikat yang lebih besar dan tanggungjawab yang lebih besar tentunya. Ada semacam domino effect pula di UNITAR sejak akhir-akhir ini. Seorang demi seorang pergi meninggalkan UNITAR untuk mencari peluang lain di luar sana. Antara tugas baru beliau yang menarik perhatian saya ialah Science Fair. Saya memang jenis geek yang minat dengan teknologi-teknologi sains tersebut. Tentunya acara-acara sedemikian menarik minat saya. Mana tahu boleh dijadikan bahan blog di masa akan datang untuk mempelbagaikan lagi kandungan yang ada di dalam blog ini. Lagipun pelajar yang terlibat terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah. :)
Ayu, Uda, Rosnani dan Wan masih berada di UNITAR dan masing-masing bercerita tentang apa yang telah saya tinggalkan setelah dua bulan tidak menjejakkan kaki ke UNITAR. Kami gelak dengan jenaka-jenaka yang melucukan. Bagaimana agaknya persiapan Ayu untuk menerima boss barunya ? Wan pula nampaknya selesa di Center for Student Development.
Suhana telah pun bertukar ke sebuah firma guaman dan saya pula bekerja dari rumah menerima masalah yang sama. Menerima pesanan bantuan dari rakan-rakan yang masih tinggal di pejabat untuk menjalankan tugas mereka. Dalam usaha kami melaksanakan tugas kami di tempat baru, kami juga perlu memberikan bantuan teknikal/pengetahuan kepada kakitangan yang mengambilalih tugas-tugas kami. Tentunya lebih menyulitkan.
Jelingan Tajam Seorang Blogger
Pandangan Seorang Blogger
Saya lebih selesa berbual dengan Javard yang kini seorang pensyarah di sebuah universiti awam dalam bidang komunikasi. Kami juga merupakan seorang blogger. Maka, bahasa pertuturan kami amat selari. Petang itu kami berbual tentang sikap blogger yang menulis berlandaskan emosi yang keterlaluan. Tidak cukup dengan itu, penulisan sesetengah mereka lebih kepada persoalan peribadi dan mengenepikan norma-norma professionalisme yang dicanangkan. Saya turut mencadangkan kepada beliau agar dimasukkan topik “Blog Ethics” dalam forum-forum kelolaannya di masa akan datang. Saya merasakan etika blog perlu diajar kepada semua blogger agar mereka tahu lunas-lunas etika yang perlu diikuti sebelum berani menggelarkan diri mereka seorang blogger. Dalam waktu yang sama, beliau memohon kerjasama saya mendapatkan sekelompok blogger untuk sama-sama terlibat dalam focus group untuk tujuan kajian pihak universiti. Beberapa nama sudah tertera dalam kotak fikiran saya. Sekiranya tidak keberatan saya ingin mendapatkan juga bantuan dari pihak gengjurnal.net, petalingstreet.org dan blogger persendirian khasnya. Saya mahu mendapatkan bantuan dari blogger yang telah menggunakan blog sekurang-kurangnya setahun atau lebih. Dengan kepelbagaian kelompok blogger dari pelbagai golongan tentunya akan memberikan maklumbalas yang lebih menyeluruh kepada kajian tersebut. Antara nama-nama yang saya ingin cadangkan ialah Rudy Bluehikari, Mat Jan, Tok Rimau, Undergrounduate, Jeff Ooi, Mack Zulkifli, TV Smith, Klubbkidd, Buku Nota, Najah dan Mak Andeh. Ini sekadar cadangan awal sahaja.
Pendapat saya tentang isu Belia Benci Disko adalah jelas. Bukan hak saya untuk menghukum apa yang telah dilakukan oleh Mawi. Hak saya hanyalah sekadar untuk menyokong kerjaya beliau sebagai seorang penghibur di Malaysia. Tanggungjawab Mawi sebagai seorang Islam adalah antara beliau dan Tuhan. Siapa pun Mawi, saya tidak kisah. Yang penting, saya mahu melihat hasilnya pada album barunya kelak. Tegur atau tidak tegur, saya tahu dia ada tanggungjawab yang lebih besar lagi untuk dilaksanakan.
Wan turut beraksi dalam persembahan tarian Melayu
Buka Puasa di Restoran Seri Melayu agak menyelerakan. Hidangan makanannya agak pelbagai dan agak sedap. Persembahan tarian kebudayaan yang dipersembahkan tidak lebih sebagai hidangan tambahan terutamanya kepada penonton Melayu seperti saya. Apa yang saya lihat tentunya berbeza sekiranya ia ditonton oleh penonton dari kalangan pelawat antarabangsa.
Saya ucapkan tahniah kepada penganjur perjumpaan kecil pada kali ini iaitu Wan dan berharap akan lebih banyak perjumpaan sebegini diteruskan di masa akan datang.
Berhenti Berharap
Saya mengambil keputusan nekad dan drastik pada jam 2.45 pagi tadi untuk memadamkan segala pautan yang berkaitan dengan ranking di Malaysia Top Blog dan Blog Ranker. Keputusan tersebut adalah muktamad dan tidak ada satu kuasa pembaca pun yang akan dapat mengubahnya. Saya harus bersikap profesional tentang perkara tersebut dan melahirkan perasaan kecewa saya tentang apa yang telah berlaku.
Dengan rendah hati saya memohon kepada pembaca-pembaca saya agar terus mengingatkan saya sekiranya ada tulisan-tulisan saya yang melampaui batasan kemanusiaan atau norma-norma seorang manusia kerana saya seboleh-bolehnya tidak mahu tulisan-tulisan yang tersiar di sini tidak mencerminkan budaya di Malaysia yang sememangnya tinggi dan kaya dengan nilai-nilai peradaban dan tatasusila murni. Saya sedar dan akur dengan pengaruh yang saya bawa melalui blog ini dan mahu kesan dari pengaruh tersebut tidak diselewengkan oleh saya sewenang-wenangnya.
Seharian saya berbual tentang perkara yang sedikit mengecewakan saya itu. Di rumah, saya bercerita tentang itu. Di Majlis Berbuka Puasa bersama Rakan-Rakan UNITAR juga saya bercerita tentang itu. Kembali ke rumah, saya bersembang internet dengan seorang teman juga tentang itu. Saya bertuah mempunyai sahabat-sahabat sekeliling yang bersependapat dengan saya tentang itu. Saya sudah berhenti berharap.


Saya berkongsi pandangan saya tentang isu Belia Benci Disko yang kecoh diperkatakan sejak akhir-akhir ini bersama MamanView dalam artikel beliau bertajuk Kesilapan Mawi, kesalahan kita dan Artis Masuk Disko?. Saya telah pun mengutus satu email kepada penulis tersebut dan menyatakan perasaan dan pendapat saya terhadap tulisan beliau. Biarlah apa isi email tersebut menjadi milik kami berdua sahaja.
Jalan-Jalan Studio
Pada hari Jumaat, saya bersama Dream dan Chail berbuka puasa sekali di Cozy Corner Great Eastern Mall. Saya memang suka pergi Cozy Corner pasal makanannya memang sedap. Mula-mulanya memang tidak jadi, tetapi pasal sudah terliur dengan menu di situ, kami pergi juga. Topik perbualan rata-rata berkisar kepada kisah yang berlaku di Seri Perdana.
Dalam perjalanan pulang menghampiri rumah, ada orang telefon ajak ke Sri Hartamas. Ada Marsha di sana bersama Juan Danza dan team URSnya. Selesai lepak di Sri Hartamas, Klubbkidd ajak pula ke Studio Audi Mok untuk melihat sesi rakaman album Nikki. Zahid ada bersama untuk merakamkan bahagiannya. Zahid tampil dalam album tersebut untuk rap dalam salah satu lagu dalam album Nikki. Tunggu sahaja pelancaran album Nikki pada bulan Disember ini. Ada sesuatu yang menarik menanti anda.
Ini kali pertama saya melihat proses merakamkan lagu dijalankan. Saya pernah mendengar lagu yang dirakamkan sebelum dilakukan proses adunan muzik. Memang kedengaran agak berbeza. Saya turut berbual dengan salah seorang Editor URS tentang masa depan blog. Apa yang boleh saya lakukan dengan blog tersebut dan bagaimana saya boleh meluaskan pengaruh blog kepada masyarakat umum amnya. Satu perbincangan yang berguna dan InsyaAllah akan dipraktikkan di masa akan datang jika ada kelapangan.
Banyak juga cerita-cerita dalaman tetapi entahlah biarlah di simpan di dalam hati. Hahahahaha. Untuk melihat foto, sila ke blog Najmie.
Havoc di Chatterz Club Buka Puasa
Felix dikerumi peminat
Mula-mula saya memang tidak berhasrat untuk pergi ke majlis tersebut. Pertama, ia adalah majlis yang terbuka kepada semua peminat Akademi Fantasia. Kedua, saya malas pergi seorang. Ketiga, makanan di Saloma Bistro memang terkenal dengan tidak sedapnya. Menjelang petang, Badrul hantar SMS ajak sekali ke sana. Badrul kena pergi atas tujuan politik. Saya kalau tidak pergi pun tidak siapa kisah. Sempat juga tanya Hakim kalau-kalau ada lagi tempat kosong. Memang ada tetapi kerana pergi seorang, saya ikut Badrul sahaja. Kena pula berbaju Melayu petang itu.
Petang itu sarung baju Melayu warna kuning lengkap dengan sampin ke Saloma Bistro. Berdasarkan penanda nama, kena duduk bersama Mawi, Felix, Akma dan Aznil. Mujur Mawi ditarik untuk duduk dengan meja VVIP. Kalau tidak, entah apalah malang yang bakal menimpa meja tersebut. Mahu roboh agaknya.
Mawi Azan
Mawi melaungkan azan untuk berbuka. Memang sedap laungan azan Mawi. (jangan susah-susah vote, saya bukan Juan). Sempat lah mereka berbuka selama lima minit sebelum diserbu oleh para peminat untuk bergambar dan tandatangan autograf.
Mahu disalahkan para peminat juga tidak boleh kerana itulah cuma peluang yang ada untuk mereka bertemu dengan bintang-bintang Akademi Fantasia. Mereka sudah habis beribu-ribu untuk mengundi bintang-bintang kesayangan mereka. Jadi apa salahnya. Saya sendiri faham peluang untuk mereka jarang sangat mereka perolehi. Tetapi jika kepentingan diri sendiri diutamakan sehingga sifat kemanusiaan diabaikan sememangnya tidak patut dilakukan. Berilah mereka peluang untuk berbuka dahulu.
Khas untuk JU (tapi tak perlu vote saya, sila vote Badrul sahaja)
Apabila bintang Akademi Fantasia telah dibawa ke belakang pentas, barulah suasana kembali aman dan tenteram. Barulah saya tenang untuk mengambil makanan dan makan walaupun makanannya tidaklah sesedap mana.
Tiada Lagi Tangisan
Persembahan bermula, maka serabut pun bermula. Elliza memulakan persembahan dengan lagu Tiada Lagi Tangisan. Oleh kerana Badrul cabar saya untuk beri bunga kat Elliza, saya sahut cabaran tersebut. Saya pasti Badrul tidak akan mengaku punya. Oleh itu, baik buat disclaimer awal-awal. Lagi pun saja seronok-seronok.
Mawi mempersembahkan lagi Nourel Ain bersama bintang-bintang yang lain. Seperti biasa keadaan di hadapan pentas akan dikerumi dengan para peminat untuk mengambil gambar. Lebih baik tidak komen apa-apa lah kan. Karang blog kena boikot. Hahahaha
Akma, SM, Marsha & Felix
Selebihnya lebih tenang berada di luar. Lagipun kebanyakan persembahan adalah persembahan mereka yang sama sahaja dengan yang sebelum ini. Akma dan Felix membawakan lagu Hari Raya Hari Bahagia, Aidil membawakan lagu Balik Kampung, Ekin dan Amy membawakan lagu Suasana Riang Di Hari Raya, Kefli membawakan lagu Berhenti Berharap, Amylea membawakan lagu Ku Berserah dan Marsha membawakan lagu Untuk Terakhir Kali. Sebelum menutup persembahan, kesemua bintang Akademi Fantasia membawakan lagu Syawal Telah Menjelma. Pada waktu itu, Mawi telah pulang kerana perlu menghadiri sesi fotografi dan rakaman album beliau pada jam 12 tengah malam. Ada orang cakap dia star pasal balik awal. Peduli lah, itu sudah kerja dia. Biar dia laksanakan tanggungjawab dia. Malam tersebut Idayu dan Fuad tiada di majlis tersebut.
Perbualan di luar Saloma Bistro lebih menumpukan soal sikap seorang bintang Akademi Fantasia. Sebenarnya saya sudah muak untuk memberikan komen saya tentangnya kerana ia merupakan ritual harian yang sering diperkatakan. Saya cuma mengambil sikap cuba untuk bertolak ansur dan tidak mudah berkecil hati sekiranya ia melibatkan sikap mereka. Ada banyak perkara yang lebih penting untuk dibincangkan selain daripada sikap pentingkan diri sendiri kita. Entahlah, biar peminat sendiri menilai mana yang baik, mana yang buruk.
Selesai majlis, saya dan beberapa orang lagi melepak sebentar di belakang pentas sebelum pulang ke rumah. Saya tiba di rumah sekitar jam 11.30 malam dan menonton televisyen sebentar. Tidak perlu risau ya ! Hahahaha.
Gambar-gambar lain boleh dilihat di Fotopages SM.
Buka Puasa bersama Marsha
Chatters Kafe
Bertempat di Chatters Kafe & Restoren, satu majlis berbuka puasa bersama Marsha telah diadakan pada hari Ahad. Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Shawn dan Michelle serta ahli keluarga dan sahabat handai Marsha sendiri. Ramai juga yang hadir pada petang itu. Seperti biasa fanatik Marsha tentunya ada bersama. Saya hadir bersama Badrul sementara menantikan Klubbkidd dan Ted yang sudah semestinya akan tiba lewat. Mereka kan superstar !
Majalah di Chatters Kafe : Tengok Sahaja !
Makanan di Chatters Kafe lebih sedap berbanding di Saloma Bistro. Puas jugalah makan berbanding semalam. Sempat juga berkenalan dengan kawan-kawan baru di sana. Kita bertukar-tukar pendapat tentang banyak perkara. Bertemu dengan pembaca-pembaca blog banyak meluaskan horizon pemikiran saya. Saya tenang untuk bertukar-tukar pendapat dengan mereka, walaupun ada yang malu-malu. Kefli tiba di pertengahan majlis bersama kawan beliau.
Marsha Pose untuk Peminat Fanatiknya
Sempat juga berkongsi cerita-cerita penting dengan Badrul. Memang saya banyak berkongsi terlalu banyak rahsia dengan beliau. Saya memang agak terbuka dengan beliau. Segala-galanya kebanyakannya Badrul akan tahu dahulu berbanding orang lain. Kalau Badrul kongsi dengan anda cerita-cerita penting dan rahsia itu, maknanya anda sudah termasuk dalam orang-orang penting di sisi saya. You are lucky !!
Marsha bersama Peminatnya
Saya sebenarnya suka dengan majlis sebegini yang boleh saya sifatkan lebih tenang. Sudah saya terangkan, saya kurang selesa dengan majlis yang agak kelam-kabut. Walaupun bilangan peminat yang hadir hanya sekitar 40 orang, tetapi majlis dapat dikawal dengan baik. Setiap orang dapat makan dengan selesa dan berbual-bual dengan perasaan yang seronok.
Untuk cerita yang berbeza horizonnya iaitu pandangan dari seorang fanatik Marsha, silalah melawat ke blog Sekadar Media Picisan. Gambar-gambar lain boleh dilihat di Fotopages SM.
Bloggers Kongsi Cerita
Selesai majlis berbuka bersama Marsha, Klubbkidd, Najmie, Badrul, Ted dan saya menghabiskan masa sehingga jam 11 malam melepak di kafe tersebut sambil minum-minum teh. Banyak juga yang dibualkan dan diumpatkan. Ada perkara yang basi ada perkara yang malas nak komen.
Bloggers bersama Marsha & Kefli
Seperti biasa kalau sudah duduk semeja tentu sahaja ada lawak-lawak kasar yang adakalanya makan dalam. Saya mengambil sikap tidak kisah cuma takut ada yang tidak selesa sahaja.
Walaupun banyak menghadiri majlis pada hujung-hujung minggu, saya nampak macam seronok. Tetapi tidaklah seronok mana pun. Saya merasa sungguh bertuah kerana punya ramai sahabat-sahabat rapat yang sering bersama-sama untuk sama-sama berkongsi pengalaman bersama saya. Mungkin tidak bersama secara fizikal, tetapi cukup bermakna dengan sekadar berkongsi SMS. :)
Gambar-gambar lain boleh dilihat di Fotopages SM.
Saya berkongsi pandangan saya tentang isu Belia Benci Disko yang kecoh diperkatakan sejak akhir-akhir ini bersama MamanView dalam artikel beliau bertajuk Kesilapan Mawi, kesalahan kita dan Artis Masuk Disko?. Saya telah pun mengutus satu email kepada penulis tersebut dan menyatakan perasaan dan pendapat saya terhadap tulisan beliau. Biarlah apa isi email tersebut menjadi milik kami berdua sahaja.

























