Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Pusing Satu Kuala Lumpur

Entri oleh sultanmuzaffar 14 December 2009 View Comments

Salah satu cara paling mudah untuk pusing satu Kuala Lumpur ialah dengan menaiki KL Hop On Hop Off. Satu hari saya bosan di rumah dan memandangkan kamera DSLR saya perlu diuji kecemerlangannya, saya ambil keputusan untuk mencuba perkhidmatan KL Hop On Hop Off.

Saya pandu kereta ke MTC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang mana lapang pakir keretanya agak besar dan beli tiket saya di situ. Bas Hop On Hop Off bukan suatu yang baru di dunia kerana bandaraya-bandaraya utama dunia seperti London dan Paris telah lama memulakannya.

Tiket untuk perkhidmatan ini dibezakan dengan empat kategori iaitu :

1. Umum
2. Orang Kurang Upaya, Kanak-Kanak dan Pelajar
3. Umum Promosi MyKad (rakyat Malaysia)
4. Orang Kurang Upaya, Kanak-Kanak dan Pelajar Promosi MyKad (rakyat Malaysia)

Setiap satu kategori itu dibezakan lagi untuk mereka yang hanya mahu pusing Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam atau pun 48 jam. Kita boleh buat pilihan mengikut kemahuan kita. Oleh kerana saya cuma cuti satu hari, maka saya pilih 24 jam sahaja. Oleh kerana saya rakyat Malaysia, saya hanya perlu menunjukkan MyKad saya dan menerima diskaun Promosi MyKad. Saya hanya membayar RM19 sahaja.

Jika di Barat ruang tingkat atas mereka terbuka berbanding di Kuala Lumpur untuk menyesuaikan dengan keadaan cuaca di Malaysia. Kita bukannya boleh tahan dengan cuaca panas terik Malaysia lebih-lebih lagi di waktu tengahari. Tingkat bawah bas dilengkapi dengan penghawa dingin. Cuma di Tingkat atas terdapat ruang untuk berada di luar lebih-lebih lagi saya perlu mengambil gambar dan ruang itu amat penting buat saya. Sebenarnya, kalau saya bawa laptop saya, boleh saja upload terus gambar-gambar yang diambil secara langsung kerana setiap bas dilengkapi dengan WiFi. Kerja seorang blogger menjadi lebih mudah.

Bas tersebut tiba selang 15 hingga 30 minit di antara setiap stesen. Sebagai pelancong, ia memudahkan mereka untuk memilih lokasi menarik untuk dilawati. Terdapat lebih 40 lokasi menarik pelancongan yang boleh dilawati dalam satu pusingan bas tersebut. Paling utama untuk keperluan pelancong bas itu turut menyediakan pembantu pelancong yang dirakamkan dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Hindi, Arab, Jepun, Perancis dan Sepanyol.

OK, lah. Pengembaraan saya untuk pusing satu Kuala Lumpur pun bermula. Saya akan bercerita lebih lanjut mengenai lokasi menarik yang saya ambil keputusan untuk berhenti di bawah setiap gambar.


Pandangan pertama yang saya lihat dari Tingkat Atas bas. Dari MTC boleh kelihatan Menara KL



Dalam perjalanan menuju ke Menara KL. Oleh kerana saya sudah selalu ke Menara KL, saya tidak turun



Menara Berkembar Petronas, pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia dan kini masih kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia


Berada di Tingkat Atas bas di celah-celah pencakar langit Kuala Lumpur


Bagi seorang blogger, lokasi ini mungkin tidak menarik, tetapi bagi pelancong tentunya mereka tidak akan lepaskan peluang untuk berhenti di Kompleks Kraftangan Negara


Di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, segitiga emas KL. Syurga dunia untuk yang gemar membeli-belah


Saya sering melihat bangunan ini kerana lokasinya sepelaung saja dari Astro AWANI.



China Town Malaysia


Wajah-wajah Kuala Lumpur I


Wajah-wajah Kuala Lumpur I


Bus Stand Klang tetapi letaknya di Kuala Lumpur. Bisa mengelirukan pelancong


Wajah serius Pengawal Istana Negara


Dari pagar Istana Negara


Di sebalik pagar Istana Negara cuma masih dari luar


Sekitar KL Sentral, saya berhenti beli kasut kerana setiap kali saya beli kasut, saya akan beli di sini. Murah!



Muzium Negara


Parlimen Malaysia, di mana Ahli Parlimen sentiasa berdebat mempertahankan hujah masing-masing



Muzium Kesenian Islam


Masjid Negara


Bangunan Sultan Abdul Samad


Setiap kali musim perayaan Aidil Fitri, pasti lokasi ini menjadi tajuk utama akhbar untuk menggambarkan betapa lengangnya Kuala Lumpur.


Majlis Amanah Rakyat, terima kasih MARA kerana beri biasiswa untuk saya melanjutkan pelajaran


Eye on Malaysia kini sudah bertukar lokasi ke Melaka
Talian Bebas Tol : 1-800-88-5546

Kematangan Istana Budaya Setelah Berusia 10 Tahun

Entri oleh sultanmuzaffar 09 December 2009 View Comments


Sejak sepuluh tahun yang lalu, Istana Budaya menjadi titik temu bagi setiap penggiat dan khalayak seni pentas di Malaysia. Pelbagai produksi tempatan mahu pun antarabangsa dipentaskan di situ. Sempena Ulang Tahun ke 10 Istana Budaya, saya ingin menyorot perkembangan positif yang telah dijana oleh Istana Budaya selain melihat keperluannya kepada industri seni pentas tempatan mahu pun di peringkat antarabangsa.

Istana Budaya, gedung kesenian pentas di Malaysia meraikan ulangtahun ke 10 penubuhannya 15 September lalu. Saya masih ingat lagi teater besar yang pertama dipentaskan di pentas berprestij itu. Teater arahan Datuk Rahim Razali yang bertajuk Keris Sang Puteri menjadi teater buka panggung pentas tersebut. Beberapa hari selepas itu, majlis perasmiannya telah berlangsung dengan penuh adat istiadat Kesultanan Melayu dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed (sekarang Tun).

Bermula dari pengalaman pertama menonton di Istana Budaya, saya dapat merasakan yang panggung itu suatu yang luar biasa. Pentas hidrauliknya suatu yang tidak pernah saya lihat. Set boleh dibawa masuk dari belakang mahu pun tepi pentas tanpa perlu menggunakan tenaga manusia lagi. Untuk seni pentas di Malaysia, ia sesuatu yang luar biasa.

Sejak hari itu, saya berpeluang untuk menyaksikan pelbagai jenis produksi yang dipentaskan di pentas yang terdapat di Istana Budaya. Sehingga kini, IB memiliki dua pentas iaitu Panggung Sari dan Lambang Sari.


Antara pementasan yang paling saya ingati adalah teater Ronggeng Rokiah arahan Dr. Anuar Nor Arai lakonan Safura dan Shahronizam. Teater bergenre noir itu juga dilimpahi penonton yang rata-ratanya mahu mengimbas kembali zaman remaja mereka di New World Cabaret. Juga yang terbaru, Mana Setangginya karya Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan. Naskhah yang terperap dalam almari Istana Budaya hampir 10 tahun akhirnya berjaya dipentaskan. Naskhah tersebut sepatutnya menjadi naskhah buka panggung IB, malangnya kerana beberapa sebab naskhah itu dipinggirkan.

Tetapi, bukan sahaja teater dewasa yang mendapat tempat, teater kanak-kanak juga sering menjadi tumpuan setiap kali tibanya musim cuti sekolah. Saya melihat keperluan menyediakan pementasan teater kanak-kanak amat penting untuk mendidik generasi muda menghayati teater sekaligus menghargai seni budaya kita sendiri. Teater Siti Di Alam Fantasi, Gamat, Sinbad berjaya menarik ribuan kanak-kanak menyaksikan pementasan tersebut.

Foto oleh MStar

Persembahan muzik di Istana Budaya tidak kurang hebatnya. Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tidak asing di pentas Istana Budaya. Beliau pernah beberapa kali mengadakan persembahan di situ. Antara yang paling diingati pastinya Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza yang dipentaskan Jun lalu. Masih kekal nombor satu, walaupun kini Siti Nurhaliza telah pun berdua, biduanita muda negara itu masih mengekalkan kualiti persembahan kelas pertama, sesuai dengan kelas satu pentas berprestij itu.

Paling menguja imaginasi saya adalah pementasan muzik Kembara Jiwa Mohram. Alunan seruling dan rebana dua maestro muzik instrumental muzik berjaya melembutkan hati yang keras, mencairkan jiwa yang kematu.

Jika sebelum ini aktiviti pentas di Malaysia lebih berskala kecil dan hanya tertumpu di Panggung Bandaraya, Auditorium MTC dan Auditorium DBKL, kini produksi pementasan lebih berskala besar.

Foto oleh Jeff Ooi

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Encik Mohamed Juhairi Shaarani, "Dengan adanya Panggung Sari yang merupakan salah satu panggung yang tercanggih di dunia, segala itu menjadi kenyataan dan kita dapat lihat dengan hasil-hasil yang memberangsangkan bermula dengan teater Keris Sang Puteri, Tun Perak dan mencetuskan fenomena kepada produksi terbitan Enfiniti Productions dengan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Dan kita juga dapat lihat dengan produksi-produksi Istana Budaya yang sangat mendapat sambutan persembahan teater kanak-kanak seperti Sinbad dan Aladdin yang diadakan setiap kali musim cuti sekolah."

Menjurus kepada seni teater, tari dan muzik, pada peringkat awal khalayak penggemar seni tempatan agak terkejut dengan budaya kepenontonan di Istana Budaya.

Namun, jumlah penonton bertambah setiap tahun.

"Dalam masa dua tahun yang pertama kita memberi kemudahan dengan menjemput seramai mungkin dan juga pada waktu itu ada sedikit kejutan pada masyarakat yang selama ini lebih terdedah dengan persembahan-persembahan secara percuma tetapi Istana Budaya pada peringkat awalnya cuma mengenakan harga tiket yang sangat minima iaitu RM20, RM30 dan RM50 dan berlakunya perubahan setelah 10 tahun kita dapat melihat apabila Enfiniti boleh menjual tiket berharga RM350, suatu yang tidak pernah dipercayai pada 10 tahun yang lalu apabila sebuah produksi tempatan boleh menyamai harga tiket sebuah produksi luar atau pun persembahan antarabangsa."

Pada 1999, hanya sekitar 20,000 penonton menyaksikan persembahan di Istana Budaya, kini lebih 140,000 penonton berkemampuan untuk menyaksikan pementasan di panggung berprestij itu yang mencatatkan jumlah tertinggi pada tahun 2008.

Sering ke luar negara, Juhairi akan meluangkan masanya menonton pementasan West End mahu pun Broadway. Istana Budaya turut diiktiraf sebagai pentas terbaik di dunia dan diakui sendiri oleh produksi antarabangsa yang bertandang ke Istana Budaya.

"Pada peringkat pembinaan awal kita didatangi dengan produksi yang pada masa itu Tun Dr. Mahathir menjemput produksi Beauty And The Beast. Mereka memang terasa amat kagum dengan kecanggihan Panggung Sari Istana Budaya dan ini terbukti apabila kenyataan kita yang Istana Budaya sebuah panggung yang canggih itu sememangnya betul.


"Istana Budaya ini menggunakan teknologi campur tidak menjurus kepada dunia Barat tetapi bercampur dengan teknologi Jepun, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Tenaga yang dipilih pada peringkat awal juga berjaya direalisasikan dengan menggabungkan teknologi pelbagai negara untuk pembinaan sebuah panggung di Malaysia."

Perkara yang sama turut diakui Datin Seri Tiara Jacquelina, selaku Pengarah Urusan Enfitniti Productions, produksi yang menerbitkan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical.

"Saya sendiri bangga bahawa kita mempunyai sebuah pentas bertaraf dunia dan harus dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia. Pentas itu merupakan antara pentas yang terbaik di dunia. Setiap kali mengadakan persembahan di pentas itu ada satu rasa yang lain yang tidak boleh dimiliki di tempat lain. Ini termasuk kerjasama yang diberikan oleh kakitangan Istana Budaya sendiri. Terlalu banyak sejarah berlaku untuk kami di Istana Budaya dan ia menjadi seperti tempat jatuh lagi dikenang."

Jelas Juhairi lagi, sebagai sebuah institusi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Istana Budaya turut berperanan sebagai salah satu pusat tumpuan pelancong.

"Kita akan membawa dan ingin menjadikan Istana Budaya sebagai salah satu lokasi pementasan yang membolehkan negara-negara jiran yang selama ini dimonopoli sepenuhnya oleh Esplanade. Ini kita dapat lihat sewaktu pementasan produksi Mamma Mia apabila ramai penonton yang datang bukan sahaja dari Singapura tetapi juga dari Brunei, Indonesia dan Thailand. Persembahan itu merupakan pementasan yang paling berjaya dalam sejarah Istana Budaya terutama sekali dalam jumlah kedatangan penonton dan kutipan tiket."

Khalayak penggemar teater kini tidak perlu ke luar negara bagi menyaksikan pementasan berskala besar. Produksi tempatan seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan Cuci The Musical juga mampu menawarkan peluang tersebut di dalam negara.

"Di samping itu juga, Istana Budaya juga dalam usaha menggalakkan produksi-produksi besar yang mampu melaburkan seperti Enfiniti dan yang akan datang Tall Order yang berbelanja besar ini membolehkan karya-karya mereka ditonton kerana pementasan mereka sama tara dengan karya-karya yang dipentaskan di Broadway dan West End New York."

Pelbagai perancangan untuk Kalendar 2010 masih diteliti oleh pihak Istana Budaya. Antara yang menarik ialah produksi bersama Jabatan Perdana Menteri, sebuah lagi teater muzikal terbitan Enfiniti Productions dan berkemungkinan besar Cuci The Musical musim kedua.

"InsyaAllah pada tahun hadapan kita juga menyahut gagasan 1Malaysia yang mana banyak program yang menjurus kepada gagasan tersebut apabila melibatkan pelbagai kaum dipentaskan di Istana Budaya. Beberapa kertas cadangan yang dihantar menepati ciri-ciri gagasan 1Malaysia dan salah satu perkara baru apabila melibatkan kerjasama dengan produksi luar termasuk kerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri dalam usaha mengangkat gagasan yang diwar-warkan Perdana Menteti iaitu Gagasan 1Malaysia."

Pementasan yang kembali untuk musim kedua bukan suatu yang asing sekarang di Istana Budaya. Sejak teater muzikal menjadi satu fenomena, pementasan yang diulang sudah menjadi satu trend. Antara pementasan yang diulang tayang adalah Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Lebih menarik apabila ada di antaranya yang dibawa ke seberang Tambak Johor iaitu The Esplanade, Singapura. Pasti itu sesuatu yang membanggakan untuk seni pentas tempatan.

Paling terkini apabila buat julung kalinya, sebuah Orkestra Tradisional Malaysia ditubuhkan di Istana Budaya yang merupakan pasukan orkestra gabungan pelbagai instrumen tradisional Malaysia.

OTM kini dikemudi oleh Mohd Yazid Zakaria yang dilantik Konduktor pertama Orkestra itu.

"Merupakan satu-satunya kumpulan orkestra yang tidak ada di dunia. Di negara-negara lain, kumpulan orkestra hanya memiliki pemuzik pribumi tetapi di Malaysia kita memiliki Orkestra Tradisional Malaysia yang menggabung pemuzik pelbagai bangsa termasuk penggunaan alat muzik ektik yang sama sifatnya dengan simfoni di negara Barat."


Selain itu, Kompleks Istana Budaya bakal berkembang. Kompleks pengurusan akan siap sepenuhnya yang berlatarbelakangkan Tasik Titiwangsa pada tahun hadapan.

"Dan bila berlakunya perpindahan itu, ruang di Istana Budaya akan lebih banyak untuk dilengkapkan dengan fasiliti latihan dan memberikan peluang kepada aktivis seni di Malaysia untuk mengadakan latihan. Selain itu kita akan turut melengkapkan bangunan itu dengan sebuah Galeri yang menceritakan sejarah penubuhan Istana Budaya hinggalah menjadi Istana Budaya hari ini."

Saya melihat perkembangan positif Istana Budaya menjadi elemen penting untuk menjayakan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab seni pentas Asia. Seluruh dunia mengenali budaya India mahu pun Jepun atau pun China. Oleh itu menjadi tugas Istana Budaya juga untuk memperkenalkan budaya Melayu ke peringkat antarabangsa. Namun yang lebih penting adalah budaya kerja kakitangan Istana Budaya perlu mencapai standard antarabangsa untuk berjaya di mata dunia.

Hasrat itu hanya akan tercapai sekiranya Istana Budaya menjadi sebuah syarikat korporat. IB harus berfungsi bukan sekadar untuk menyemarakkan budaya seni pentas tempatan malah menjadi satu badan bukan kerajaan yang turut berfungsi mendapatkan keuntungan. Ia harus bergerak seperti sebuah syarikat korporat yang mana setiap kaki dan tangannya bergandingan untuk mencipta keuntungan lebih luar biasa. Saya tidak melihat ia sebagai satu cadangan yang harus ditolak mentah-mentah sebaliknya perlu difikirkan untuk mengangkat seni pentas Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Zahirnya, pentas Istana Budaya akan terus disemarakkan dengan pelbagai produksi terbaik dan kembali dipenuhi penonton apabila teater Gamat dan Cuci The Musical dipentaskan Oktober lalu. Lebih mengejutkan apabila teater Natrah yang diarahkan oleh Eirma Fatima menerima sambutan yang sangat hebat. Pementasan yang sepatutnya berakhir pada 9 Disember dilanjutkan sehingga 13 Disember atas permintaan ramai.

Saya kagum dengan keterbukaan IB yang berjaya membuka sejarah rusuhan Natrah di Singapura ke depan mata khalayak teater tanahair. Keterbukaan yang dimaksudkan apabila memberikan keadilan dalam naskhah tersebut yang menyeimbangkan pengaruh setiap watak seperti Natrah, Cik Aminah dan Adeline Hertogh dalam teater tersebut. Sekaligus membuka intepretasi baru kepada pengkaji sejarah mahu pun penonton tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Sehingga kini, Istana Budaya dipayungi lima Ketua Pengarah bermula Tuan Hj Sufiat Mukri, Norliza Rofli, Dr. Hatta Azad Khan, Datuk Azhar Abu Bakar dan yang terkini, Mohamed Juhairi Shaarani. Melalui gaya kepimpinan yang berbeza oleh setiap seorang dari mereka telah berjaya membuka membuka lembaran baru untuk Istana Budaya.

Saya menepis andaian masyarakat yang Istana Budaya hanya merupakan "gajah putih", sebaliknya Istana Budaya telah berjaya merancakkan lagi aktiviti seni pentas di Malaysia sepanjang 10 tahun yang lalu. Syabas, Istana Budaya.

Natrah Masih Wujud Di Sekeliling Kita

Entri oleh sultanmuzaffar 06 December 2009 View Comments


Natrah atau nama sebenarnya Huberdina Maria Hertogh pergi meninggalkan kita pada 8 Julai 2009, namun perawan kecil yang mencetuskan rusuhan di Singapura dan Karachi, Pakistan itu masih lagi wujud di sekeliling kita. Airmata dan pengorbanannya masih segar dalam minda kita semua.


Saya mula mengenali Natrah sewaktu terbaca Dewan Masyarakat keluaran Februari 1989 ketika saya berusia 15 tahun. Saya ikuti setiap keluaran majalah tersebut untuk mengenali lebih dekat kenapa dia begitu penting dalam sejarah kita.

Buku Natrah nukilan Fatini Yaacob, penulis yang sama mengkaji Natrah untuk Dewan Masyarakat 20 tahun lalu masih belum habis saya baca. Melalui buku tersebut, saya mendapat tahu yang sewaktu Fatini pertama kali mewawancara Natrah berlangsung di Lake Tahoe sekitar Mac 1989. Waktu itu Natrah bekerja dengan mencuci bilik motel dan chalet yang terdapat di pusat peranginan di Nevada. Pada waktu yang hanya berselang beberapa bulan, saya dan keluarga singgah di Lake Tahoe pada Oktober/November 1989. Mungkin juga motel yang kami menginap dicuci oleh Natrah cuma tidak mengenalinya sahaja. Ia sekadar kemungkinan sahaja.

Natrah di Pentas

Bukan mudah untuk membawa satu kisah sejarah menjadi satu naskhah pentas. Dalam ruangan Siti Jarum, penulis itu memberikan komen yang cerita sejarah itu diangkat ke pentas teater menggunakan teknik kronologi. Yang mana setiap peristiwa sejarah dimasukkan dalam teater tersebut. Ada benarnya komen tersebut kerana Natrah menceritakan segala-galanya iaitu dari A hingga Z.

Sekiranya Natrah hanya mengambil intipati sejarah itu pada elemen rusuhan atau pun mengaitkan dengan apa yang berlaku sekarang, tentunya lebih menarik.

Tatkala saya menulis ulasan ini saya telah menonton teater Natrah sebanyak empat kali. Setiap malam pementasan selama lebih dua jam itu ditokok dengan penambahan set dan beberapa perubahan pada aspek visualnya. Sekaligus ia menguatkan lagi naskhah tersebut jika tidak mengubah sedikit fakta sejarah. Namun saya faham situasi pengarah yang tersepit dalam desakan penonton yang masih tidak mahu menerima hakikatnya.

Keberanian Erma Fatima selaku pengarah teater itu wajar saya puji. Keberanian yang saya maksudkan adalah menyeimbangkan kemelut antara tiga watak, Natrah, Cik Aminah (ibu angkat) dan Adeline (ibu kandung Natrah). Semuanya dipaparkan dalam monolog yang mana masing-masing cuba untuk menegakkan apa yang ingin mereka pertahankan. Sayangnya, kita tidak pernah memikirkan kemelut yang melanda Natrah ketika itu.

Simpati saya berbagi-bagi sama ada untuk Natrah, Cik Aminah atau pun Adeline. Jika sebelum ini saya sering dimomokkan dalam propaganda berteras akidah agama yang dipertahankan Cik Aminah, kita saya cuba untuk memahami hak Adeline sebagai ibu kandung Natrah. Dalam waktu yang sama, saya turut bersimpati terhadap Natrah yang ketika itu dibiarkan tidak diberikan haknya sebagai anak untuk memilih.

Saya anggap itu satu keberanian yang cukup besar untuk memecahkan propaganda yang selama ini ditanam dalam diri saya setelah mendapat pengetahuan tentang sejarah ini hanya melalui pembacaan Dewan Masyarakat.

Pada dua malam pertama pementasan ini, saya dapat melihat di penghujung pementasan tersebut watak Natrah 70 tahun berjalan menuju ke gereja. Terdapat perubahan kecil tetapi memberi makna besar dalam sejarah apabila kita masih tidak dapat menerima hakikat itu. Watak Natrah 70 tahun tidak lagi berjalan menuju ke gereja sebaliknya belok ke kanan menjauhi gereja. Lalu meninggalkan persoalan sama ada apakah masih ada Islam di hatinya kepada kita semua. Persoalan itu tidak mungkin akan terjawab.

Kita telah kehilangan satu Natrah, tetapi apakah kita mahu terus kehilangan banyak lagi “Natrah” yang wujud di sekitar kita sekarang ? Yang berjalan menuju ke gereja itu bukan Natrah sebaliknya “Natrah” yang wujud sekarang. Sayang sekali adegan itu diubah kerana kita takut untuk menerima hakikat itu.

Berbicara dari aspek lakonan, saya kagum melihat percubaan kali pertama Maya Karin di pentas teater Melayu. Lakonannya sebagai Natrah amat berkesan dan berjaya menimbulkan kepercayaan kepada penonton seperti saya untuk merasai penderitaan yang ditanggungnya.

Maya terpilih sebagai Natrah setelah seorang pelakon majalah menolak tawaran tersebut kerana bimbang bayaran untuk teater tersebut tidak mampu menampung keperluan hariannya. Ada juga hikmah penarikan diri pelakon remaja itu dan menjadi keuntungan luar biasa untuk Maya menonjolkan bakatnya. Selama hari ini saya jarang tertarik dengan lakonan Maya termasuk di layar perak kerana saya masih melihat kekakuannya sebagai pelakon. Menerusi teater itu, Maya berjaya dilenturkan untuk menjadi seorang pelakon yang benar-benar berbakat dan layak menerima anugerah yang pernah dimilikinya.

Untuk memiliki kereta mewah, teater bukan tempatnya. Hanya di filem, seorang pelakon mampu memiliki kereta mewah. Tetapi teater adalah tempat untuk mengilatkan kereta mewah itu. Kalau sekadar memiliki kereta mewah tetapi kotor, apalah gunanya untuk industri hiburan kita yang semakin karat dengan pelakon majalah. Gunakan teater sebagai tempat untuk mengilatkan lagi bakat milik seorang pelakon dan pasti perjalanan karier mereka akan menjadi lebih bersinar.

Pandangan yang sama juga untuk Remy Ishak yang saya lihat memiliki kredibiliti untuk menjadi seorang pelakon teater. Harus diingat, pelakon sehebat Rosyam Nor pun belum ada keberanian atau mungkin masa untuk mencuba pentas teater. Pelakon lain seperti Umie Aida, Samantha Shubert dan Sofea Jane tidak perlu dipertikaikan kerana pentas teater bukan asing bagi mereka.

Namun, saya tidak menganggap Natrah sebagai sebuah pementasan yang sempurna. Kecacatan pada aspek muzik sedikit mengganggu saya. Muzik memainkan peranan yang penting untuk menggerakkan kefahaman penonton tentang sejarah tersebut. Saya akui muzik yang digunakan dalam teater itu agak melankolik dan berbunyi Hindustan. Erma sebagai pengarah ada sebab yang tersendiri. Malah menurutnya, dia mahu penonton tidak dibeban dengan tekanan sewaktu menonton teater itu. Bagi saya, muzik yang lebih menjurus kepada tragedi perlu diberikan penekanan dalam teater ini kerana sedikit sebanyak merosakkan mood menonton teater itu.

Paling utama adalah babak selepas perkahwinan Natrah dan Mansor Adabi kerana babak selepas itu merupakan babak tragedi yang membawa kepada bencana. Muzik dan lagu yang bersesuaian perlu digunakan untuk babak tersebut.

Saya merasakan teater Natrah antara teater yang layak untuk dipentaskan di The Esplanade, Singapura selain diterjemah ke skrin televisyen mahu pun layar perak. Hanya sekadar cadangan.

Natrah Kini

Kita harus menerima kepahitan sejarah yang telah berlaku. Namun sampai bila kita tidak mahu menjadikan kepahitan itu satu ubat untuk menyembuhkan luka lama yang masih berdarah lebih 50 tahun yang lalu.

Saya terpanggil untuk menyorot monolog Natrah 70 tahun yang dilakonkan oleh Sofea Jane. Dalam monolognya dia ada menyebut apakah keagungan yang kalian pertahankan masih bersinar sekarang. Jika sejarah telah membuktikan yang kita boleh bersatu menentang hak kita menjaga akidah Natrah, apakah kini kita melakukan yang sama ? Itu persoalan besar yang harus kita fikirkan. Pahit sejarah tidak pernah mengubah kita.

Teater Natrah, lakonan Maya Karin, Umie Aida, Sofea Jane, Samantha Shubert dan Remy Ishak dilanjutkan sehingga 13 Disember ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Nota : Entri blog akan datang untuk Blog4FT.



Lima lagu selesai dirakam oleh dua penyanyi hebat Nusantara ini dalam tempoh tiga hari. Malam tadi merupakan hari terakhir KD berada di Kuala Lumpur untuk merakamkan lagu terakhir ciptaan Audi Mok, Dalam Diamku. Ia hanya mengambil masa dua jam sahaja. Begitulah hebatnya dua penyanyi ini apabila bekerja sebagai sepasang sahabat. Namun saya dan beberapa teman wartawan hanya pulang melewati pukul 1 pagi. Selesai wawancara Bikin saya, kami semua pulang dengan puas kerana sempat diberikan peluang mendengar tiga lagu ciptaan Audi yang telah selesai dirakamkan. Saya tertarik dengan jawapan mereka tentang bagaimana optimisnya mereka terhadap album itu baik di Malaysia atau pun Indonesia. Kata mereka selain mengukuhkan lagi persahabatan mereka, setidak-tidaknya album itu dapat menguatkan lagi sokongan moral mereka terhadap dua negara yang kini semakin dipanaskan dengan cerita-cerita hubungan rakyat dua negara. InsyaAllah, Ahad ini akan dapat anda tonton menerusi Gala TV Plus di Astro AWANI. Album yang masih belum bertajuk itu akan dipasarkan pada bulan Disember ini di Malaysia dan Indonesia.














Pelakon, Pengacara dan Penulis Juga Menyanyi Di KARAOKE

Entri oleh sultanmuzaffar 24 November 2009 View Comments





Siti Nurhaliza Pergi KARAOKE Nyanyi Lagu Inggeris

Entri oleh sultanmuzaffar 23 November 2009 View Comments



Bintang Akademi Fantasia Dominasi Anugerah Juara Lagu 24

Entri oleh sultanmuzaffar 20 November 2009 View Comments

Hujan - Aku Skandal
Aliyah – Tak Mungkin Kerna Sayang
Estranged – Aurora
Akim – Bengang
Black – Aku Rindu Sayang Kamu
Yuna – Dan Sebenarnya
Tomok - Rindu Terhenti
Stacy – Pakai Buang
Aizat – Kau Aku
Aizat – Pergi
Bunkface – Situasi
Faizal Tahir – Bencinta
Misha Omar – Cinta Adam Dan Hawa
Hafiz – Masih Jelas

Jom Sebarkan Video Viral KARAOKE

Entri oleh sultanmuzaffar 19 November 2009 View Comments


Mulai hari ini, kempen viral filem KARAOKE akan bermula. Video pengalaman pelakon, penyanyi, pengacara, blogger, pengarah filem, aktivis teater, kurator, penulis, ratu cantik, personaliti tv dan macam-macam lagi akan disebarkan. Filem KARAOKE akan ditayangkan mulai 26 November ini di GSC Mid Valley. Anda juga boleh menyebarkan video viral Youtube ini ke seluruh semesta.


Zahiril Adzim


Nadiya Nisaa

Nantikan video terkini esok : Aktivis teater dan kurator gelanggang seni.

Dimensi Baru Dimensions

Entri oleh sultanmuzaffar 13 November 2009 View Comments


Maxis Berhad mengumumkan pakatannya dengan Measat Broadcat Network System Sdn Bhd. (MBNS), anak syarikat Astro All Asia Networks untuk memperkenalkan inovasi hiburan yang bakal mempelopori pengalaman hiburan mudah alih di Malaysia.

Pakatan ini menyaksikan penghasilan dan penyampaian kandungan TV mudah alih serbaneka, termasuk video terbitan khas, dan juga saluran TV Mudah Alih Astro, menerusi saluran pengedaran kandungan Maxis.


Produk sulung mereka “DIMENSIONS” merupakan siri hiburan pertama di Malaysia yang diterbitkan khas untuk peranti mudah alih.

DIMENSIONS” ialah media video pertama sepertinya di Malaysia, yang disesuaikan untuk hiburan mudah alih peribadi dan disediakan percuma kepada pelanggan Maxis dan Hotlink tanpa caj data atau muat turun. Kisah cereka sains 11 episod ini akan disalurkan setiap minggu kepada pelanggan yang melanggan perkhidmatan ini dengan menghantar teks ON (jarak) DS melalui SMS ke 22900. Siri ini memaparkan kisah epic dalam format baru. Jalan ceritanya pantas dengan gaya serba baru, sesuai untuk peranti mudah alih, bagi menyampaikan kisah kontemporari Malaysia berlatarkan legenda dan budaya rakyat tempatan.


Saya telah melanggan dan menonton sendiri produk tersebut di peranti mudah alih saya. Apa yang boleh saya katakan, hasilnya agak bagus. Oleh kerana setiap episod hanya berdurasi 5-6 minit maka servis itu tidak terlalu lama untuk proses muat turun. Saya sukakan kamera gerak pantas dan teknik penceritaan yang segar dalam drama bersiri itu. Kalau untuk remaja, memang mereka sukakan sesuatu yang lebih bergenre aksi sebegitu.


Kalau terlepas peluang untuk melanggan, masih boleh ditonton di laman web cuma akan lewat beberapa hari. Bergantung kepada jenis orang, mungkin ada yang suka versi peranti mudah alih dan mungkin ada yang suka versi web.

Kekurangan drama ini adalah nama komersial yang boleh dijual. Namun demikian kerana proses pemilihan pelakon yang teliti setiap watak diberikan keadilan oleh pelakon yang terpilih. Ekspresi wajah dan mutu lakonan mereka kena dengan watak mereka.


Antara pelakon yang terlibat ialah Dhanya Nambiar, Nurinmawati, Lingam, Nur Hazwani, Oliver Johanan, Pak Muda, Ammar Alfian Aziz, Alias, Ben Tan, Jehan Miskin, Anne James dan Justin Chan. Secara jujurnya saya hanya kenal Anne James, Jehan Miskin, Ammar Alfian Aziz dan Ben Tan sahaja.

Membaca profil watak yang ada dalam DIMENSIONS seakan memberi petanda yang drama bersiri ini seakan HEROES versi Malaysia. Itulah dimensi baru yang ditawarkan oleh DIMENSIONS.


English quote : Malaysian's HEROES on mobile bringing new DIMENSIONS to Malaysian's mobile experience!
Malay quote : HEROES versi Malaysia cipta DIMENSI baru pengalaman teknologi mudah alih rakyat Malaysia!



DIMENSIONS” boleh dilanggan bermula 11 November oleh hanya pelanggan Maxis dan Hotlink dan untuk seluruh rakyat Malaysia boleh mengikuti siri tersebut menerusi laman web DIMENSIONS di www.dimensions.com.my dan laman web Facebook DIMENSIONS. Untuk berita terkini, boleh mengekori DIMENSIONS di laman sosial Twitter atau pun menonton video online di laman web Youtube.

Peraduan Filem KARAOKE

Entri oleh sultanmuzaffar 12 November 2009 View Comments



Menangi dua (2) pas bagi menyaksikan filem KARAOKE yang akan ditayangkan mulai 26 November ini di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur. Pemenang yang menghantar jawapan paling tepat dan slogan paling kreatif berpeluang untuk memenangi dua (2) pas menyaksikan filem tersebut.

Sila hantar jawapan dan slogan anda ke alamat email peraduan.karaoke@gmail.com. Pemenang akan dinilai berdasarkan jawapan paling tepat, slogan paling kreatif dan tarikh dan masa email dihantar (siapa cepat dia dapat).

Sila sertakan :
1. Nama penuh
2. Alamat
3. Nombor telefon

4. Satu gambar filem KARAOKE yang terdapat dalam Fan Page http://www.facebook.com/pages/Karaoke/109602511338

Selamat mencuba ! Dan terus email ke peraduan.karaoke@gmail.com !

1. Namakan dua pelakon utama filem Karaoke ?
2. Bilakah filem KARAOKE akan mula ditayangkan dan di manakah filem itu akan ditayangkan ?
3. Anda akan menonton filem KARAOKE kerana ………(tidak lebih 20 perkataan)

Syarat penyertaan :

1. Pastikan anda menyertai Fan Page filem KARAOKE di http://www.facebook.com/pages/Karaoke/109602511338

Tarikh tutup peraduan adalah pada 19 November 2009! Hantar penyertaan anda sekarang !

Gempak Selebriti Astro di Kuantan, Makin Gempak

Entri oleh sultanmuzaffar 09 November 2009 View Comments

Sekali lagi saya berjalan ke Kuantan untuk program Gempak Selebriti Astro. Bersama beberapa orang kawan, saya memandu ke sana. Dua hari saya bersama kawan menghabiskan masa kami di sana.


Kami menginap di Impiana Cherating dan bertolak pagi Sabtu dan tiba di Kuantan menjelang tengahari menyebabkan kami terlepas acara-acara yang berlangsung pada waktu pagi. Kebanyakan acara yang berlangsung pada waktu pagi banyak melibatkan kanak-kanak. Oleh itu kami tidak begitu terasa sangat.

Selepas makan tengahari di hotel, kami ke lokasi acara itu untuk menyaksikan persembahan artis yang berlangsung sekitar jam 1.30 petang. Banyak juga artis yang terlibat. Banyak juga yang top. Ning Baizura masih setia dengan pasukan Gempak. Ning merupakan antara tarikan utama Gempak.


Banyak juga lagu yang dibawakan oleh Ning antaranya ‘Kau dan Aku’, ‘Curiga’, dan retro medley ‘Flashdance’ dan ‘Aku Penghiburmu’. Tidak ketinggalan bintang Akademi Fantasia seperti Akim, Farah, Akma, Edlin, Hafiz, Stacy dan ramai lagi. Seperti kebiasaan Akim membawakan lagu Bengangnya. Sudah banyak versi lagu Bengang yang Akim nyanyikan, kali ini nampak semakin bertenaga.


Selesai persembahan pentas, acara kembali untuk kanak-kanak. Ramai juga kanak-kanak yang terlibat dalam pertandingan mewarna. Kami ambil keputusan untuk pulang ke hotel untuk makan malam lebih awal. Mana tahu malam ini akan tamat lebih panjang…


Kami kembali ke lokasi acara untuk aktiviti sebelah malam. Oleh kerana kami terlepas peluang untuk permainan PS3 pada waktu pagi, maka kami tidak mahu melepaskan peluang itu pada sebelah malam. Saya memang seorang “gamers”, begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain. Mereka PS3 maniac, saya Wii maniac. Saya ambil peluang itu.

Walaupun hanya ada permainan bola PS3 untuk rakan-rakan saya dan permainan tarian Wii, saya berpuas hati. Lagipun peralatan permainan Wii milik saya memang saya bawa ke Kuantan. Ada di bilik hotel. Malam ini memang akan tamat lebih lewat…


Pada hari Ahad, kami ambil peluang untuk membeli-belah pada waktu pagi. Setelah makan tengahari di hotel, kami checkout dari hotel itu. Selepas kekenyangan dan shopping pun sudah selesai, kami kembali ke lokasi acara.

Selesai melihat persembahan dari Ning Baizura dan Stacy, kami pulang ke Kuala Lumpur. Tidak boleh menunggu terlalu lama kerana kami memandu dan tidak mahu tersekat dalam kesesakan lebuhraya. Saya tidak gemar memandu pada waktu malam.

Untuk maklumat lanjut tentang event-event Gempak yang akan datang, sila lah layari web http://www.astro.com.my/gempak09/ atau search ‘Gempak Astro’ di Facebook!

Bilik Ahmad Berdaki di KLPAC hingga 8 November ini

Entri oleh sultanmuzaffar 05 November 2009 View Comments



Naskhah trilogi Bilik Ahmad Berdaki sangat gelap menggabungkan satu dunia yang bersifat gila, ganas dan gelap. Berdaki bermain dengan pemikiran penonton sehabis mungkin selain menguji kecerdikan penonton untuk merungkai setiap misteri yang berlaku dalam tiga buah rumah di sebuah kampung. Misteri watak yang pelik saling menyanggah kebiasaan di luar batas pemikiran manusia. Namun ada sebab mengapa mereka menjadi begitu. Saksikan Bilik Ahmad Berdaki di Pentas 2, KLPAC hingga 8 November ini.

My NO COMPROMISE Experience

Entri oleh sultanmuzaffar 02 November 2009 View Comments

Kepada para blogger ada peraduan menarik menanti anda yang akan diumumkan pada 2 November ini. Banyak hadiah menarik dan lumayan menunggu antaranya wang tunai, jemputan ke Nuffnang Misteri Potato Party pada bulan Disember depan. Jangan lupa melayari laman web www.misterpotato.com.my.

Saya ingin berkongsi pengalaman bermain “No Compromise Game” yang ditawarkan oleh Mister Potato di laman webnya. Sebenarnya ada 8 peringkat dalam permainan itu. Saya pilih Peringkat 3. Seronok potong kentang. Kadang-kadang boleh lupa diri.

Saya sudah selesai menyiapkan Peringkat 1 dan 2. Kini tiba ke Peringkat 3 yang dinamakan Potato Chop. Kalau dalam Bahasa Melayunya ialah Potong Kentang. Memang kegemaran saya kentang goreng Mister Potato dan perisa yang paling saya gemari ialah Original dan Hot & Spicy yang mana kedua-duanya boleh diperolehi dalam pak bersaiz 160g.



Caranya tidak sukar, gunakan pisau dan potong kentang mengikut garisan yang telah disediakan. Bagi mendapatkan kualiti kentang yang terbaik, saya perlu memotongnya mengikut saiz piawaian yang telah ditetapkan. Kalau tersilap potong, maka keraslah kentang itu nanti. Kentang terpilih merupakan kentang yang berkualiti tinggi yang mana 100% merupakan kentang import dan tersihat jenis Atlantic, Dakota Pearland Hermes.

Masih ingat lagi kenapa saya harus memotong mengikut saiz piawaian ? Sebabnya setiap chip kentang harus sedap dan rangup. Untuk mendapatkan kerangupan yang terbaik, saiz potongannya harus betul. NO COMPROMISE !


Selesai memotong sebiji kentang, saya asingkan ke dalam pinggan yang lain. Teruskan untuk kentang yang seterusnya sampai habis masa atau pun sampai kentang habis. Selalunya bila masa habis, kentang yang ada pun tidak akan sempat saya habiskan.




Kalau saya terlewat, maka saya perlu mengadap wajah Mamat tidak berapa betul ini yang kebetulan merupakan kawan saya, Ameerul Affendi. Kelakar gila animasi-animasi yang dia buat.



Sekiranya anda berjaya melepasi kesemua 8 Peringkat, anda perlu memuat-naik satu gambar anda yang menyerupai Mister Potato.




Saya pilih konsep ini.


Kepada para bloggers, daftar segera di www.misterpotato.com.my dan di laman web Nuffnang untuk menyertai peraduan blogging!

Entri blog paling kreatif berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai RM10,000 ! Memang lumayan.

Hadiah untuk direbut :
Tempat 1 : RM5000
Tempat Kedua : RM3000
Tempat Ketiga : RM2000

Pentingnya Meletakkan Harapan Yang Tinggi

Entri oleh sultanmuzaffar 01 November 2009 View Comments

Dalam minggu ini saya berpeluang untuk menonton dua karya penting dalam industri hiburan tempatan dan dunia iaitu teater muzikal “Cuci The Musical” dan filem dokumentari “This Is It”. Saya akan bercerita lebih lanjut pandangan saya setelah menonton dua karya tersebut. Paling menarik apabila saya pergi menonton kedua-dua karya tersebut dengan meletakkan harapan yang tinggi pada kedua-duanya. Mengapa penting meletakkan harapan yang tinggi apabila melakukan sesuatu atau pun menonton sesuatu. Dan itulah yang saya lakukan.


Teater "Cuci The Musical"

Saya berkesempatan menonton teater muzikal terbaru arahan Datuk Zahim Albakri iaitu Cuci The Musical. Saya pergi dengan expectation yang tinggi dan itulah yang saya perolehi. Saya tertarik dengan jenaka yang dipersembahkan dalam teater muzikal itu. Lakonan Afdlin Shauki, Hans Issac, Awie, AC Mizal, Vanida Imran dan Adibah Nor sangat melucukan. Mereka telah memberikan lakonan terbaik mereka. Menggabungkan stand-up comedy dan muzikal bukan satu kerja yang mudah dan ianya berjaya dilakukan oleh Zahim dan pasukannya.

Dalam tempoh tiga jam lebih duduk di kerusi empuk Istana Budaya, saya tidak terasa langsung kerana masa berlalu begitu pantas disulami gelak ketawa kesan terhibur dengan jenaka yang dipersembahkan. Lakonan Awie paling menghiburkan. Keletah Awie bersama Adibah Nor sungguh comel. Kagum saya melihat bakat yang dimilikinya.

Kelebihan utama empat tunggak utama teater itu ialah kebolehan mereka menyanyi dengan baik. Paling baik saya letakkan pada Afdlin Shauki. Sudah lama saya tidak mendengar dia menyanyi secara langsung dan itulah yang membuatkan saya lebih terpegun. Hans Issac dan Vanida Imran juga telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang dan boleh dibanggakan.

Saya melihat bidang teater muzikal menjadi semacam medan persaingan untuk penggiat mempamerkan kehebatan mereka sendiri, jika tidak untuk produksi mereka. Bermula dengan terbinanya Gunung Ledang dan Istana Melaka di pentas Istana Budaya, persaingan itu diteruskan demi memajukan cabang seni itu. Kepala keretapi pula diangkut ke panggung berprestij itu dan kemudiannya kereta lumba dalam Impak Maksima The Musical. Cuci The Musical tidak mahu kalah dan mereka membawa set yang lebih gah seperti bangunan tinggi, gondola dengan aksi yang lebih mendebarkan.

Alunan muzik dalam Cuci The Musical juga boleh dibanggakan kerana beberapa melodi yang boleh melekat dalam kepala. Diperkuatkan lagi dengan nyanyian pelakonnya yang sedap. Saya terhibur dalam jenaka dan nyanyian yang dipersembahkan. Saya mahu melihat lebih lagi dan jika diperkemaskan susun letak set dan prosedur keluar masuknya, pasti persembahan ini lebih sempurna.

Saya berharap untuk mendapat peluang untuk menontonnya lagi sekali sebelum pementasan tamat 8 November ini. Dan jika anda berfikir, Cuci The Musical boleh dilepaskan, anda tersilap. Anda perlu menontonnya.

Saya bagi 4 bintang untuk teater muzikal ini. Saksikan Cuci The Musical di Istana Budaya sekarang hingga 8 November ini. Anda pasti puas hati bergelak sakan di Panggung Sari, Istana Budaya.





Filem Dokumentasi "This Is It"


Jika anda tertunggu-tunggu filem dokumentari ini, saya juga begitu. Saya berpeluang untuk menonton filem This Is It sewaktu tayangan medianya yang berlangsung hujung minggu lalu. Sebanyak 10 panggung ditutup semata-mata untuk tayangan tersebut. Saya pilih kerusi terbaik untuk saya nikmati persembahan Michael Jackson yang terakhir.

Filem This Is It ada keunikannya. Tatkala saya menonton, saya melihat latarnya dengan teliti. Bukan untuk mencari kesilapan tetapi melihat dunia di sekeliling Seniman Agung Dunia itu. Sewaktu latihan saya kagum melihat bagaimana telitinya Michael melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penghibur. Saya agak kecewa kerana tidak berpeluang lagi untuk menonton produk akhir Konsert This Is It yang sepatutnya dipersembahkan oleh Michael. Lebih-lebih lagi setelah melihat rekaan produksi gergasi itu. Setnya amat WOW ! Teknik pyronya juga amat WOW ! Klip video Thriller yang dihasilkan juga mengagumkan. Puas.

Filem ini membuka satu interpretasi baru tentang Michael sendiri apabila dalam tempoh 111 minit kita dihidangkan dengan perkara yang enak-enak tentang Michael. Kekuatan tenaganya hebat sewaktu latihan dan tidak nampak unsur-unsur berada dalam pengaruh ubat pelali atau pun apa saja dadah yang merosakkan. Semuanya yang baik-baik saja

Saya menonton dengan harapan yang tinggi dan antara aspek kekurangan yang berlaku dalam filem ini apabila saya tidak dapat berkongsi kesedihan dengan crew yang terlibat dalam pembikinan filem ini. Saya hanya dapat tonton sedikit sahaja elemen sedih dalam filem ini iaitu pada awalnya. Sebagai peminat saya ingin berkongsi kesedihan dengan tenaga yang terlibat dengan filem ini. Saya hanya dihidangkan dengan sesi latihan sahaja. Saya sebolehnya mahu menonton reaksi crew sewaktu pertama kali diberitahu tentang berita kematian mereka. Jika itu dapat dikongsi bersama saya, saya akan puas menonton filem ini dan harapan saya tertunai.

Paling menarik saya menyarankan filem ini ditonton semua artis Malaysia agar mereka faham apa makna profesionalisme yang sebenarnya. Dalam filem ini saya melihat Michael amat professional dalam tugasnya. Sebagai penghibur dia tahu setiap note lagu-lagu yang akan dipersembahkannya. Dia tahu setiap langkah tarian dan tahu setiap pergerakannya di atas pentas. Dia choreograph setiap pergerakannya bermula dari sesi latihan dan sedar ruang untuk setiap cue yang perlu dilakukan. Itu uniknya Michael Jackson. Bagaimana merendah dirinya insan bernama Michael Jackson dan perkataan “God Bless You” tidak pernah lekang dari bibirnya mengucapkan terima kasih kepada tenaga produksi yang gigih membantunya merealisasikan persembahannya. Insan bernama Michael Jackson jika dia seorang diva sekali pun dia memang layak kerana dia Michael Jackson. Tetapi dia tidak begitu. Ia perlu ditonton oleh setiap artis dan belajar sifat itu daripadanya.

Saya terbuai dalam alunan lagu-lagu Michael Jackson walaupun ianya sekadar latihan tetapi kesungguhannya untuk merealisasikan konsert itu terserlah di wajahnya. Ketelitiannya semata-mata untuk peminatnya. Melodi lagu dan muzik lagu yang berubah pun ditegurnya hanya kerana dia mahu peminat yang datang ke konsertnya mendengar versi asal lagu-lagunya. Demi peminat katanya. Michael Jackson juga menyeru slogan Peminat Didahulukan, Kualiti Diutamakan. Wah ! Macam 1Malaysia juga.

Saya bagi 3.5 bintang untuk filem This Is It.