Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Peningkatan Ketara Ditunjukkan Pelajar

Entri oleh sultanmuzaffar 19 April 2008

Raptai penuh minggu ini sekali lagi berjalan dengan lancar. Setakat ini, peningkatan yang besar ditunjukkan oleh para pelajar. Tidak sabar menunggu Konsert Kelima Akademi Fantasia, 9 malam ini di Astro Ria (Saluran 104)

(Secara Langsung)
Nampaknya apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan !

Berikut adalah perkembangan pelajar berdasarkan persembahan raptai:
ALIF
Raptai
Persembahan yang baik daripada Alif. Lirik juga dihafal dengan baik. Tanggung jawab yang besar buat Alif kepada lagu ini untuk memastikan penonton terus menonton terus menonton konsert minggu ini.
Perkembangan : SUDAH BERSEDIA

Secara Langsung (Live)
Pada mulanya Alif nampak begitu yakin dengan lagu ini. Dia telah memberikan satu persembahan yang kurang meyakinkan apabila dia terlupa lirik pertama lagu Hai. Lalu keyakinannya hilang. Mujur persembahannya dibantu oleh Adam dan Alif banyak kali mengikut gerak bibir Adam menyanyikan lagu tersebut. Apa agaknya ketakutan yang sering membelenggu pelajar AF6 kali ini ? Saya suka dengan showmanship Alif walaupun kalau mahu dibandingkan dengan Adam memang masih jauh ketinggalan, tetapi Alif nampak boleh menari dan saya mahu melihat showmanship yang lebih menarik untuk konsert akan datang.

NADIA
Raptai
Pada Linda Jasmin, Nadia telah melakukan persembahan sempurna. Dia cuma perlu lebih berinteraksi lebih sedikit melalui matanya. Jika momentum ini dapat dikekalkan pada malam konsert, pasti akan menjadi antara persembahan terbaik.
Perkembangan : SUDAH BERSEDIA

Secara Langsung (Live)
Nadia bermula dengan baik dan telah memberikan sebuah persembahan yang bertenaga. Saya agak menyukai vokal yang beliau ada selain kekuatan diri yang ada pada beliau. Beliau sedikit pun tidak berasa gentar dengan saingannya yang rata-rata mereka yang lebih berusia berbandingnya. Nadia harus lebih bijak merancang pergerakannya di masa akan datang. Nampak kelam-kabut pergerakannya di atas pentas.

NUBHAN
Raptai
Dia nampak begitu tertekan dengan persembahannya. Lagu ini menuntut Nubhan untuk lebih tersenyum. Daripada aspek vokal, dia nampak sudah mula melontarkan suaranya.
Perkembangan : HAMPIR BERSEDIA

Secara Langsung (Live)
Nubhan telah memberikan saya harapan sayangnya harapan tersebut dimusnahkan dengan sebuah lagu yang mudah. Saya sifatkan lagu tersebut agak mudah tetapi Nubhan menggagalkannya. Saya harus akui kata-kata Adlin yang meminta agar Nubhan tidak bergerak kerana apabila dia bergerak habis semua mutu vokalnya. Tekniknya juga merata-rata.

RINA
Raptai
Karektor yang diharapkan pada lagu ini masih belum mampu diberikan oleh Rina. Pada banyak bahagian sewaktu persembahan, dia masih tidak dapat berinteraksi bersama penonton dengan baik.
Perkembangan : HAMPIR BERSEDIA

Secara Langsung (Live)
Rina boleh menyanyi dengan baik. Sayangnya karisma beliau di atas pentas masih belum berjaya dicungkil. Vokal yang sedap saja tidak memadai. Benar apa yang diperkatakan oleh Pengetua yang pelajar tidak menggunakan pendidikan yang diberikan untuk mereka memperbaiki dan menambah pengalaman sedia ada mereka.

RIZ
Raptai
Banyak yang tidak kena dengan persembahannya. Baju, mekap, vokal dan tarian. Rata-rata pelajar mempunyai masalah serupa apabila mendapat lagu Inggeris dan Riz perlu pantas melakukan sesuatu pada persembahnnya.
Perkembangan : SUDAH BERSEDIA

Secara Langsung (Live)
Saya berpuas hati dengan persembahan Riz. Penyampaiannya sampai dan cerita di sebalik lagu tersebut kena dengan setiap showmanshipnya. Riz merupakan penyelamat untuk maruah pelajar lelaki. Jika Pengetua sudah memberikan lesen kepada Riz untuk meneruskan pengajiannya tanpa perlu melihat ke belakang lagi, itu merupakan satu tanda yang Pengetua berpuas-hati dengan persembahannya.

SAIDA
Raptai
Ada peningkatan daripada aspek vokal dan penghayatan. Cuma dia kelihatan terlalu masam sedangkan karektor yang perlu ditunjukkan adalah kesedihan. Paling menarik menunggu komen daripada tuan punya lagu ini, Kak Ogy.
Perkembangan : SUDAH BERSEDIA

Secara Langsung (Live)
Saya hampa dengan persembahan Saida. Saya mahu mendengar vokal yang ada padanya tetapi setiap kali itulah saya akan kecewa. Nyanyiannya seperti seorang penyanyi yang malas dan saya melihat Saida seperti seorang yang jiwanya tiada untuk AF.

STACY
Raptai
Sebuah persembahan yang sangat menghiburkan. Interaksi dengan penonton sangat baik. Stacy hanya perlu melakukan yang sama pada konsert, dan persembahan ini akan menjadi antara persembahan pilihan pada konsert nanti.
Perkembangan : SUDAH BERSEDIA

Secara Langsung (Live)
Stacy sangat hebat di atas pentas. Lagu yang sukar dengan aspek koreograf yang juga perlu dititik-beratkan telah diberikan warna yang tersendiri oleh Stacy. Mutu vokal dan showmanshipnya seiring dan wajar diberikan pujian.

STANLY
Raptai
Persembahan yang baik dibandingkan dengan dua konsert terdahulu. Walaupun belum memberikan penuh penghayatan, pasti dia dapat melakukan dengan baik pada konsert nanti berdasarkan subjek lagu ini.
Perkembangan : HAMPIR BERSEDIA

Secara Langsung (Live)
Sekali lagi Stanly mengecewakan saya. Beliau tahu teknik tetapi salah aplikasi seperti tahu silat tetapi masuk gelanggang taekwondo. Banyak yang tidak kena dengan persembahan Stanly. Saya lupakan aspek simpati yang cuba dibawakan melalui klip video kerana nyanyiannya tidak kesampaian.

TOI
Raptai
Sebutannya masih kemelayuan. Dia perlu lebih tenang menyanyikan lagu ini. Interaksi dengan penonton juga perlu diambil kira. Dia nampak begitu risau sepanjang persembahannya.
Perkembangan : BELUM BERSEDIA

Secara Langsung (Live)
Saya lihat Toi telah berusaha sebaik mungkin untuk membawakan lagu Inggeris ini. Memang sukar nampaknya untuk beliau. Sekurang-kurangnya beliau berani untuk menerima cabaran tersebut dan menari.

Apakah mereka dapat menebus kehambaran konsert-konsert terdahulu? Semuanya akan terjawab dalam Konsert Kelima Akademi Fantasia 6 jam 9 malam ini hanya di Astro Ria (Saluran 104).

Jangan biarkan mereka tersingkir. Teruskan AFUNDI pelajar kegemaran anda!

Persembahan Pilihan SM
1. Stacy - 10/10
2. Riz - 8/10
3. Nadia - 7/10
4. Rina - 6.3/10
5. Alif - 6/10
6. Saida - 5/10
7. Nubhan - 4.5/10
8. Toi - 4/10
9. Stanly - 3/10

Pilihan SM Ke FINAL
1. Stacy
2. Riz
3. Nadia
4. (masih kosong)
5. (masih kosong)

Buat masa ini persaingan ke dua tempat kosong itu masih terbuka. Saya melihat persaingan itu antara Nubhan, Alif dan Rina sahaja.

Ulasan Lain :
badrulaftersix
mrmanager
Miss Qistina @ AF6
20seveneleven