Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Showing posts with label anwar ibrahim. Show all posts
Showing posts with label anwar ibrahim. Show all posts

Bermula Dengan Satu Persoalan Yang Mustahil

Apa yang akan jadi bila boss bergabung dalam satu misi digital dengan satu watak animasi untuk meraikan Hari Guru? 

Soalan itu berlegar-legar di fikiran saya pada suatu petang, seolah-olah ia satu idea gila yang mustahil menjadi kenyataan. Ketika persoalan tadi dilontarkan, kami di Pejabat Perdana Menteri saling berpandangan antara satu sama lain. Mustahil? Mungkin. Tetapi entah kenapa, hati saya kuat mengatakan: Kenapa tidak?

Persoalan itu menjadi titik mula kepada sebuah kolaborasi komunikasi paling unik dalam sejarah apabila menyatukan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dengan Ejen Ali dan rakan-rakannya dalam sebuah video ucapan sempena Hari Guru tahun ini. Bukan sekadar penghargaan biasa, malah ia menjadi contoh berani untuk satu rangka strategi komunikasi hibrid di era digital Malaysia MADANI. 

Projek ini adalah sinergi luar biasa di antara Pejabat Perdana Menteri (PMO), WAU Animation dan Primeworks Studios. Dan saya sendiri selaku Tok Dalang Digital & Media Sosial di Rangkaian Televisyen Media Prima yang saling berbahagi masa, berkongsi tugas di antara dua pejabat ini berada di tengah-tengah usaha mustahil ini, menyaksikan setiap detik transformasinya menjadi realiti.

November 2024, Detik Tercetusnya Misi

Segalanya bermula dalam satu perbincangan santai di Sri Pentas sekitar November 2024 bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Nini Yusof. Perbincangan kami berlegar mengenai strategi pemasaran digital untuk Ejen Ali The Movie 2 yang bakal ditayangkan pada bulan Mei tahun 2025. Fikiran kami masih hangat mengocak idea apabila soalan utama yang mencetuskan ilham gila tadi terbit secara spontan: 

“Bagaimana kita boleh menjadikan Ejen Ali lebih segar dan bermakna dalam dunia digital hari ini, selain mengangkat watak itu dekat dengan penonton pasaran massa?”

Terdiam seketika mendengar soalan itu namun dalam kepala, seakan ada mentol menyala. Lalu saya lontarkan idea itu kepada pasukan kecil kami. 

“Apa kata kalau kita gabungkan Perdana Menteri dengan animasi 3D Ejen Ali, dalam satu video ucapan Hari Guru.”

Sudah menjadi kebiasaan yang mana Hari Guru akan disambut pada 16 Mei setiap tahun manakala filem Ejen Ali pula bakal ditayangkan pada 22 Mei, jarak antara kedua-duanya tidak jauh. Terkaku seketika bilik mesyuarat. Bukan gurauan semata dan sejujurnya, saya sendiri pun rasa idea tersebut agak gerila dengan elemen hijack..

Ia bukan strategi promosi untuk sebuah filem animasi semata-mata, tetapi ia boleh menjadi satu public service announcement (PSA) yang berimpak tinggi apabila disiarkan secara meluas di semua platform media massa. Kami bayangkan sebuah ucapan rasmi dengan pendekatan transmedia di mana dunia sebenar dan dunia animasi bertemu dalam satu skrin. Watak Ejen Ali sudah lama dikenali sebagai simbol kepintaran generasi muda, menjunjung nilai kekeluargaan dengan mengekalkan semangat nasionalismenya. 

Menggabungkan Ejen Ali dengan pemimpin nombor satu negara dalam satu misi bersama meraikan guru-guru Malaysia dilihat sebagai satu peluang komunikasi strategik yang luar biasa. Idea penyatuan mula digarap dalam satu naratif patriotik, tidak lagi sebagai bahan promosi filem biasa, tetapi sebagai sebuah pesanan rasmi yang menggabungkan nilai MADANI berteraskan ihsan, modal insan, hormat, dan kehebatan berdaya cipta.

Disember 2024, Misi Mendapatkan Kata Putus Kepimpinan

Keterujaan kami terpancar di meja mesyuarat itu, apabila idea “misi mustahil” kami mula bertunas menjadi satu perancangan sulit yang akan diusahakan sampai jadi. Namun, membawa satu idea kreatif ke meja kepimpinan kerajaan bukan satu kerja mudah. Dalam dunia komunikasi strategik kerajaan, setiap cadangan perlu melalui penilaian berlapis pihak atasan: dari segi impak, sensitiviti, serta kesesuaiannya dengan agenda nasional.

“Apakah mereka akan menerima idea menggabungkan seorang figura rasmi negara dengan watak kartun?” Rasa gementar itu nyata.

Kami mula menyediakan deck pembentangan komprehensif kepada Setiausaha Akhbar Kanan YAB Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah. Setiap perincian strategi naratif, objektif komunikasi, dan analisis impak terhadap nilai-nilai MADANI kami teliti. Kami turut menjelaskan bagaimana kolaborasi bersama Ejen Ali ini dapat menyokong agenda memperkasa pendidikan, menjadikan mesej Perdana Menteri lebih mesra dan berkesan untuk generasi muda. Slide demi slide, hari-hari kami diwarnai data dan visual – mencuba sehabis baik untuk meyakinkan bahawa idea ini bukan suka-suka, tetapi berasas kukuh.

Pembentangan pertama diadakan di hadapan pasukan Media dan Komunikasi Strategik PMO pada Disember 2024. Satu persatu soalan diajukan; tentang risiko projek, tentang penerimaan rakyat, tentang nada dan imej Perdana Menteri nanti. Saya menjawab sehabis baik, bersandarkan kajian dan insight media yang kami ada. 

Beberapa sesi penilaian dan perbincangan berlangsung sepanjang Disember hingga awal Januari. Sedikit demi sedikit, tembok keraguan mula roboh. Dalam satu pertemuan di Putrajaya awal Januari 2025, YAB Perdana Menteri mendengar dengan teliti cadangan kami. Beliau meneliti setiap helaian kertas konsep di tangannya. Adakah beliau akan tersenyum sinis? Marah? Atau...?

“Jika ini boleh menyemai inspirasi dan kasih pada guru, kita teruskan.” 

Ayat ringkas beliau itu ibarat bahan bakar yang menghidupkan semangat kami terhadap potensi projek ini sebagai aset komunikasi nasional. Saya tidak sabar untuk mengkhabarkan kepada pasukan di WAU Animation dan Primeworks Studios.

Misi mustahil kita baru sahaja mendapat lampu hijau!”

Februari 2025, Mencari Titik Tengah Suara PM Dengan Ejen Ali

Cabaran terbesar menanti; iaitu menghasilkan skrip yang terbaik. Tugasan penulisan skrip dan pemetaan naratif diserahkan kepada pasukan kami sekitar bulan Februari 2025. Kalau diikutkan, inilah fasa paling kreatif tetapi paling mencabar. Di fasa inilah segala idea perlu disusun menjadi jalan cerita yang padu.

Cabaran utamanya adalah mencipta keseimbangan antara tone of voice seorang Perdana Menteri dengan karakter animasi Ejen Ali. Bagaimana memastikan kata-kata seorang Perdana Menteri kekal berwibawa dan penuh makna, namun tetap mesra di telinga kanak-kanak dan remaja? Skrip ini perlu menyampaikan amanat yang mendalam tentang jasa guru, tetapi dengan gaya bersahaja dan menghiburkan.

Bagi saya, skrip bukan sekadar deretan kata di atas kertas – ia adalah jantung kepada naratif video ini. Kami ingin menampilkan sisi PMX dalam dimensi yang segar, bukan hanya sebagai pemimpin negara, tetapi juga sebagai insan yang pernah diasuh oleh guru dan menyanjung tinggi peranan pendidik. Pendekatan naratif dwi-tone kami garapkan: suara PMX yang tegas, penuh iltizam dan hikmah, diselang-seli dengan suara Ejen Ali yang ceria, bersemangat, dan kadang-kadang nakal mengusik. Gabungan dua nada ini diharap dapat menyampaikan mesej yang mendalam sambil menyentuh emosi khalayak pelbagai usia – dari murid sekolah hinggalah datuk nenek mereka.

Proses penulisan skrip menjadi sesi brainstorming yang interaktif. Di meja bulat pejabat, kami bertukar cadangan dialog dan jalan cerita. Matlamatnya, rentak dialog PMX dan Ejen Ali mesti selari dan transisi naratifnya lancar. Setiap patah perkataan perlu kekal relevan dan berjiwa, tanpa kehilangan roh asal penghargaan kepada guru dan cinta akan negara.

“Kalau ada idea luar biasa, jangan takut suarakan.” Kenangan itu mengukuhkan lagi tekad saya untuk memastikan skrip ini berjaya menyampaikan sesuatu yang luar biasa. Malah, saya menyelitkan sedikit kenakalan dalam skrip – adegan Ejen Ali mengusik Puan Munah dengan jenaka ringan sebagai selingan humor, seolah-olah menggambarkan hubungan mesra guru dan murid. Apabila draf akhir skrip siap, ia bagaikan satu helaan nafas lega yang panjang. Kami yakin, kami sudah bersedia membawa kisah ini ke set penggambaran.

Mac 2025, Pra-Produksi & Penyelarasan Teknikal

Masuk bulan Mac 2025, tibalah fasa pra-produksi dan penyelarasan teknikal. Fasa ini barangkali kurang glamor di mata umum, tetapi di sinilah tulang belakang projek dibina. Bayangkan, segala persiapan perlu disempurnakan sebelum penggambaran dimulakan.

Senarai tugas pra-produksi kami amat terperinci. Dari pembangunan storyboard teknikal melukiskan adegan demi adegan, mendapatkan jadual penggambaran yang mengikut slot masa terhad YAB PM, perancangan wardrobe (baju apa yang sesuai untuk PMX pakai agar tampak santai tetapi tetap berwibawa), hinggalah perincian teknikal, dan protokol keselamatan di Pejabat Perdana Menteri semuanya perlu disusun rapi. Saya sedar, komunikasi adalah kunci utama agar semua pihak berada pada frekuensi yang sama.

Tiga pasukan utama — PMO, Primeworks Studios dan WAU Animation — bergabung tenaga bak satu keluarga besar. Mesyuarat penyelarasan antara ketiga-tiga pihak ini diadakan dan saya masih ingat satu mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri: saya bersama Sadiq Asyraf pengurus visual PMO duduk berhadapan dengan tim kreatif WAU, dan pasukan dari Rangkaian Televisyen Media Prima menjadi orang tengah yang menjembatani kedua-dua pihak. Suasana mesyuarat sangat konstruktif dan terbuka. Pelbagai idea dan persoalan dilontarkan, dan semuanya dilayan dengan serius oleh PMO. Mereka sendiri banyak bertanya, tanda benar-benar mahu memahami visi kreatif kami. Inilah kolaborasi sebenar – saling mempercayai dan menghargai kepakaran masing-masing.

Kami tahu, untuk meyakinkan semua (termasuk PMX sendiri), lebih baik kami tunjukkan secara visual bagaimana konsep ini bakal terhasil. Pasukan WAU menyediakan pre-visualization visual kasar gabungan gambar PM dan karakter Ejen Ali untuk memberi gambaran awal. Video mock-up ini kemudiannya ditunjukkan kepada YAB PM supaya beliau boleh membayangkan proses dan hasil akhir rakamannya nanti.

Menjelang hujung Mac, segala persiapan fizikal untuk hari penggambaran dimuktamadkan. Sehari sebelum tarikh rakaman, pasukan teknikal kami sudah pun berada di Pejabat Perdana Menteri. Bayangkan ruang rasmi di Aras 6 bertukar rupa menjadi set studio mini: green screen besar dipasang di sudut bilik, lampu-lampu berdiri tegak memancarkan cahaya, kamera dan kabel disusun kemas supaya tidak mengganggu laluan kakitangan PMO. Pasukan rakaman dari pasukan Digital dan Media Sosial Rangkaian Televisyen Media Prima mengetuai persiapan peralatan, dibantu kru WAU Animation yang memastikan aspek berkaitan teknikal animasi (seperti penanda atau rujukan posisi karakter animasi) disediakan secukupnya. Malam itu kami pulang lewat, penat tetapi semakin teruja; esok adalah hari penentuan.

28 Mac 2025, 15 Minit Untuk Mengubah Segalanya

Hari yang dinanti akhirnya tiba. 28 Mac 2025, pagi Jumaat yang tenang di Putrajaya. Namun bagi kami, debaran terasa kencang. Inilah hari penggambaran, fasa paling kritikal dalam keseluruhan misi ini. Kami cuma ada satu peluang untuk melakukannya dengan betul – tiada ruang untuk melakukan kesilapan.

Mengikut perancangan awal, kami sepatutnya diberi masa satu jam bersama YAB PM untuk sesi rakaman ini. Namun takdir menguji: pada saat-saat akhir, atas kekangan jadual Perdana Menteri yang sangat padat, slot rakaman kami dipendekkan menjadi hanya 15 minit. Ya, 15 minit sahaja! Kami tergamam seketika mendengar berita itu. 

Ini barulah benar-benar misi mustahil,” bisik hati kecil saya.

Namun tiada pilihan, kami perlu beraksi. Pasukan teknikal dari Media Prima dan WAU Animation harus menelan hakikat tersebut, namun kekal bersemangat untuk melaksanakannya dalam satu take sahaja. Dalam waktu-waktu yang sebegini, hanya kerjasama erat antara pasukan komunikasi PMO, juruvideo Media Prima dan pasukan produksi WAU yang akan memastikan rakaman berjalan lancar, tepat waktu dan mematuhi semua protokol.

Seawal 8 pagi, kami sudah bersiap sedia di lokasi. Set green screen telah siap dipasang, dengan pencahayaan diposisikan sempurna. Beberapa kru terakhir mundar-mandir memastikan sudut pencahayaan tepat, kamera fokus, dan mikrofon berfungsi sempurna. Saya sendiri memeriksa teleprompter berulang kali, memastikan teks ucapan yang tertera tidak terlalu padat dan mudah diikuti oleh PMX dalam sekali baca. Kami menyusun skrip di teleprompter dengan jeda yang sesuai supaya intonasi beliau nanti kedengaran tulus dan bersahaja, tidak kaku seperti membaca. Di sisi kamera, sebuah monitor menayangkan wajah Ejen Ali dan Ejen Alicia sebagai panduan arah pandangan mata untuk YAB PM.

Tepat pada jam yang dijanjikan, YAB PM tiba di ruang penggambaran yang kami atur di pejabat beliau. Beliau melangkah masuk dengan tenang, mengenakan baju Melayu lengkap bersamping bersesuaian dengan hari Jumaat. Turut hadir menyambut beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Nini Yusof serta Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia Dato’ Effendi Omar.

“Siapa punya idea ni?” ujar PMX dalam nada jenaka santai.

Mereka bersalaman mesra dan memperkenalkan diri. Walaupun suasana masih sedikit formal, terselit keterujaan pada raut wajah pihak pengurusan kami dan bahagian media — maklumlah, bukan selalu pemimpin nombor satu negara perlu beraksi dalam lakon untuk sebuah projek video kreatif yang sebegini.

Sebelum penggambaran bermula, kami memberikan taklimat ringkas kepada PMX tentang apa yang bakal berlangsung. Pengarah penggambaran dari WAU Animation melangkah ke hadapan, menjelaskan secara ringkas apa yang perlu beliau lakukan: 

“Dato’ Seri, nanti sampaikan ucapan seperti biasa, sesekali perlu pandang skrin di sebelah kiri dan kanan sebagai rujukan posisi Ejen Ali (mengikut ketinggian asal). Bab animasi, kami akan gabungkan kemudian dalam video.” Beliau mendengar sambil mengangguk faham. Suasana penerangan berlaku sangat santai sambil beliau dipertontonkan dengan trailer rasmi Ejen Ali The Movie 2 di monitor sebagai selingan. Menonton adegan animasi aksi Ejen Ali, beliau tersenyum kagum melihat kemajuan animasi tempatan.

Masa terus berdetik. 15 minit yang diperuntukkan itu amat berharga, jadi kami harus mula segera. “Roll camera… action!” Pengarah memberi isyarat mula. PMX pun memulakan ucapan beliau dengan lantang; suaranya jelas dan berkarisma seperti biasa. Kata-kata beliau tersusun indah, mengucapkan terima kasih kepada para guru, mengiktiraf jasa mereka dalam membentuk masa depan negara.

Kemudian beliau berhenti sejenak, berpura-pura seakan mendengar respon daripada Ejen Ali yang sebenarnya “berdiri” di sebelahnya. (Sudah tentu, watak animasi itu belum wujud secara fizikal di situ, namun kami semua seolah dapat membayangkan kehadirannya di ruang kosong itu.) PMX mengangguk kecil sambil tersenyum, seolah-olah mengiyakan celoteh Ejen Ali yang hanya beliau sendiri “dengar”, sebelum meneruskan ucapannya kembali.

Adegan itu terasa agak magis. Melihat seorang Perdana Menteri beraksi seolah-olah berbual dengan sahabat animasi halimunan di sisinya – sungguh di luar kebiasaan. Saya menahan rasa cemas bercampur teruja. Kru di belakang kamera pula berdiri tegak tidak berganjak, menahan nafas agar tidak mengganggu rakaman.

Dalam sekelip mata, ucapan selesai disampaikan. “Cut! Good take,” ujar pengarah rakaman. Saya melihat jam — lebih kurang 5 minit sahaja diambil. PMX telah melakukannya dalam satu take yang boleh dikatakan agak sempurna! Walaupun ada cubaan berani produksi yang inginkan satu lagi take, namun cepat dipintas PMX, “Cukuplah satu!”. Akhirnya jurukamera di belakang mengangkat ibu jari tanda kerja kami selesai. Saya sendiri mengukir senyum tidak percaya. Selama ini saya tahu Dato’ Seri Anwar memang orator ulung, tetapi melihat beliau cuba menyesuaikan diri berlakon dengan “rakan” halimunan di set tadi benar-benar mengejutkan. Beliau memberikan komitmen luar biasa meskipun bukan mudah untuk berbicara tanpa dapat melihat individu di sebelah beliau.


Sebaik selesai, sebelum beredar PMX sempat menepuk bahu beberapa orang daripada pasukan kami sambil mengucapkan terima kasih. Kata beliau ringkas, 

Kerja yang bagus. Nanti saya nak tengok hasilnya.” 

Kami mengangguk hormat mendengar penghargaan itu. Usai PMX berlalu keluar, suasana di set bertukar ceria. Dalam hati saya panjatkan syukur – fasa paling mendebarkan telah berjaya dilalui dengan cemerlang.

April 2025, Pos-Produksi Video & Integrasi Animasi

Kini tibalah giliran pasukan WAU Animation pula melakukan sihir mereka. Sepanjang April 2025, fasa pos-produksi video dan integrasi animasi mungkin merupakan ujian terbesar bagi pasukan tersebut. Menggabungkan dunia realiti dari rakaman PMX dengan dunia animasi Ejen Ali ke dalam sebuah video komunikasi rasmi kerajaan – setahu kami belum pernah dibuat sebelum ini di Malaysia. Beban untuk memastikan hasil akhirnya kelihatan meyakinkan terpikul di bahu pasukan WAU, manakala kami di Media Prima dan PMO terus memantau dan memberikan sokongan dari belakang.

Sejurus menerima rakaman mentah video PMX, pasukan WAU terus memulakan kerja-kerja integrasi. Di studio animasi WAU di Cyberjaya, para animator tekun di hadapan skrin komputer, menjalankan perisian canggih seperti Autodesk Maya dan Adobe After Effects. Komputer GPU GeForce RTX 40-50-series kedengaran berdesing, proses rendering dijalankan berulang-ulang kali. Pada skrin, kelihatan figura PMX berdiri di latar key-out, menanti untuk 'dimasyhurkan' ke dalam dunia Ejen Ali.

Kerja-kerja ini menuntut ketelitian tertinggi. Setiap perincian visual perlu digabungkan dengan sempurna – daripada gerak mata PMX yang mesti kelihatan benar-benar menatap Ejen Ali, kepada bayang-bayang dan pencahayaan pada tubuh PMX yang perlu diselaraskan dengan persekitaran animasi, hinggalah gestur tangan dan mimik wajah yang mesti selari dengan interaksi maya yang bakal terhasil. Pendek kata, setiap detik babak ini dianalisa frame by frame. Dari sudut teknikal, bayangan dan pencahayaan adalah aspek paling rumit; semuanya mesti nampak semula jadi dan seimbang. Dari segi sinematik pula, peralihan adegan dan timing dialog di antara PMX dan watak animasi perlu mengikut ritma emosi skrip. Dari aspek audio, rentak keseluruhan video mesti diselaraskan momentumnya agar video tidak kedengaan monotonous sekaligus mampu membangkitkan semangat.

Kami menonton draf video berulang kali. Pasukan WAU amat terbuka menerima input, malah mereka sebagai pakar turut menerangkan kepada saya mengapa sesuatu elemen digarap sedemikian rupa. Jujurnya, saya sendiri banyak belajar tentang seni animasi sepanjang proses ini – satu ilmu di luar bidang kebiasaan saya.

Pasukan Media & Komunikasi Strategik PMO turut teliti memeriksa kandungan dan memberi maklum balas. Mereka memastikan nada ucapan PMX tidak lari makna apabila dicantum dengan elemen animasi, dan mesej nasional yang ingin disampaikan kekal jelas. Fokus kami bukan sekadar menghasilkan video yang cantik, tetapi juga memastikan impaknya kuat dari segi emosi. Interaksi PM bersama Ejen Ali perlu mampu membuat penonton tersenyum, terharu, dan bersemangat patriotik – merasai penghargaan kepada guru dan cinta kepada negara serentak.

Terus terang, fasa ini memang memenatkan. Namun, fasa inilah yang paling memberikan kepuasan. Sedikit demi sedikit, melihat dua dunia itu bersatu di skrin ibarat menyaksikan impian menjadi nyata. Saya masih ingat kali pertama kami menayangkan versi hampir siap kepada beberapa rakan sekerja di Media Prima: mereka kagum melihat PMX seolah-olah berbicara santai dengan watak Ejen Ali yang berdiri tegak di sebelahnya. “Nampak real!” ujar mereka.

16 Mei Hari Guru, Misi Pelancaran



Akhirnya, selepas berbulan-bulan menanggung rahsia projek istimewa ini, tibalah tarikh 16 Mei 2025 hari pelancaran video yang dinanti-nantikan. Pagi itu, kami di Pejabat Perdana Menteri dan di Media Prima, masing-masing terasa berdebar menunggu detik tayangan. Video ucapan Hari Guru kolaborasi Ejen Anwar dan Ejen Ali ini dilancarkan serentak di platform rasmi media sosial YAB Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Media Prima Berhad dan TV3, platform penstriman tonton, serta akaun rasmi Ejen Ali. Boleh dikatakan, kolaborasi rentas platform yang menyeluruh – tepat dengan semangat transmedia yang kami perjuangkan sejak awal.

Untuk kempen “Jualan Awal Tiket Ejen Ali”, kami selitkan CTA interaktif bagi menggandakan keterujaan khalayak. Dalam kapsyen pelancaran kami titipkan mesej:

“Misi Jualan Awal Tiket Ejen Ali The Movie 2 kini bermula! Tugas anda: serbu pawagam terdekat dan jadi perisik terawal yang menonton. Kongsikan video ucapan ini dengan tanda pagar #EATM2 dan #SetiapPendidikSeorangSatria – siapa tahu, anda antara yang terawal menonton filem aksi animasi terhebat pada 20 Mei depan!”

Kutipan tayangan awal ini bakal menjadi penanda aras gelombang sambutan yang akan memuncak menjelang tayangan rasmi pada 22 Mei. Strategi “serbu awal” bukan sahaja mencetus rasa FOMO dan mendesak penonton ke pawagam secepat mungkin, malah memacu momentum promosi mulut ke mulut yang berterusan.

Petang 16 Mei itu, saya melangkah keluar dari pejabat Putrajaya dengan perasaan lega, bangga, terharu – semuanya bercampur aduk di dada. Yang penting, “misi mustahil” kami telah berjaya dilaksanakan. Esok lusa mungkin banyak lagi berita tentang reaksi para guru dan masyarakat akan menyusul. Paparan terkini di Meltwater sebentar tadi menunjukkan video ucapan Hari Guru melonjak ke hampir 200 juta capaian digital, sentimen positif mendominasi, dan kadar perkongsian turut mencatat peningkatan. Reaksi guru-guru serta warganet sudah mula bergema di semua platform; esok pasti lebih meriah. Malam ini, cukuplah saya pulang dengan hati tenang—angka-angka itu sudah membuktikan segalanya.

Refleksi Peribadi & Visi Masa Depan

Menguruskan projek ini adalah satu pengalaman berlapis bagi saya — di antara harapan, cabaran dan semangat kolektif. Dari detik idea tercetus kepada proses meyakinkan pucuk pimpinan di Putrajaya, hinggalah saat mendebarkan menunggu reaksi khalayak di seluruh negara, ia benar-benar sebuah perjalanan roller-coaster. Projek ini ternyata bukan hanya tentang menghasilkan satu video ucapan Hari Guru. Ia adalah pelajaran besar tentang kuasa kolaborasi dan keberanian mencuba pendekatan baharu, serta betapa pentingnya komunikasi yang menyentuh hati dalam dunia kepimpinan hari ini.

Saya sedar, apa yang kami hasilkan ini mungkin tampak kecil dalam skala nasional yang luas. Namun bagi kami yang mengharunginya, projek ini bukan sekadar produk komunikasi, tetapi manifestasi keberanian dan kepercayaan. Berani merobohkan zon selesa komunikasi kerajaan yang sering dilihat formal dan kaku. Percaya bahawa di sebalik protokol rasmi, para pemimpin juga mampu berkomunikasi secara kreatif dan lebih manusiawi tanpa menjejaskan rasa hormat atau integriti.

Saya percaya inilah bentuk komunikasi masa depan yang patut kita terokai – komunikasi transmedia yang melibatkan pelbagai medium dan dimensi, menggabungkan animasi, pemimpin dan rakyat dalam satu ruang naratif yang saling memperkasa. Teknologi sentiasa berubah, generasi muda mahukan sesuatu yang asli dan dekat di hati mereka. Maka, kita yang bertanggungjawab menyampaikan mesej juga perlu berani mengubah cara.

Sebagai penutup, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di Malaysia. Projek video ini terbit daripada rasa penghargaan yang tidak terhingga atas jasa anda semua. Benarlah kata orang, “Setiap pendidik adalah seorang satria” – wira yang tidak didendang. Dalam dunia digital masa kini sekalipun, guru adalah ejen perubahan paling berkuasa kerana merekalah yang membentuk generasi pencorak masa depan. Terima kasih, cikgu!

—----------------------------------------------------

Muzaffar Mustapa ialah Ketua Pemasaran Digital dan Media Sosial di Rangkaian Televisyen Media Prima sejak 2021 dan sesekali akan bertandang ke Putrajaya bagi melaksanakan tanggungjawab sampingannya membantu di belakang tabir merangka naratif digital dan media sosial pemimpin negara, bersama Pejabat Perdana Menteri dan Malaysia MADANI.


Shabery Cheek Bukan Lawan Anwar Ibrahim

Entri oleh sultanmuzaffar 16 July 2008 0 komen

Image Hosted by ImageShack.us

Sebuah kemunculan penuh berketrampilan, kaya dengan kredibiliti dan amat meyakinkan. Ia merupakan kemunculan semula Anwar Ibrahim di kaca televisyen secara langsung sejak sedekad setelah beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Keterbukaan Kementerian Penerangan wajar diberikan pujian sekaligus melihatkan keterbukaan dan keberanian pihak Kerajaan untuk berdepan menangkis hujah Anwar yang sememangnya dikenali sebagai pendebat agung di era beliau sebagai mahasiswa.

Saya tidak pulang ke rumah awal walaupun segmen Gala TV diganti dengan program-program khas yang melibatkan Debat Khas tersebut, semata-mata ingin menyaksikan sejarah tersebut di pejabat Astro AWANI yang “mungkin” akan saya tinggalkan tidak lama lagi sekiranya semua berjalan lancar. :)

Satu kemenangan mutlak buat Anwar yang hanya berbekalkan hujah, fakta dan angka sekaligus melihatkan profesionalisme beliau yang pernah menjawat jawatan orang kedua paling penting dalam Kerajaan. Sebaliknya, Menteri Penerangan, Shabery Cheek yang tebal irinya sekaligus menjadikan medan terbuka tersebut sebagai medan serangan peribadi sekaligus menidakkan kebijaksanaan seorang bergelar Menteri.

Medan yang sepatutnya digunakan sebagai ruang untuk menjelaskan isu harga minyak dan kaedah yang boleh digunakan untuk menurunkan harga minyak sebaliknya menjadi medan sorak serangan peribadi terhadap Anwar Ibrahim oleh Shabery Cheek. Malangnya itulah jenis Menteri yang telah diberikan mandat oleh rakyat Malaysia untuk menjadi pemimpinnya.

Anwar hanya meminta diberikan ruang untuk menjelaskan berdasarkan fakta dan angka kepada rakyat. Ruang tersebut telah dipergunakan oleh Anwar sebaik mungkin tanpa sedikit pun membalas serangan peribadi dari Shabery Cheek. Jika ada pun, Anwar memberikan “one-liner” yang amat menikam, dalam senyum, ungkapannya tertusuk. Di situlah kebijaksanaan seorang pendebat. Meningkah hujah dalam sepicing saat, tanpa memberi ruang kepada pihak lawan untuk bertindak balas.

Shabery Cheek bukan lawan Anwar. Najib Razak bukan lawan Anwar. Abdullah Badawi juga bukan lawan Anwar. Lawan Anwar yang sebenar-benarnya ialah Mahathir Mohamed. Itu sahaja individu yang boleh diharapkan untuk bersilat dengan Anwar di pentas terbuka.

”Kalau Petronas dan UMNO pun mereka tidak boleh bezakan, problem tu!”. Jentik Anwar dalam salah satu hujahnya. Masalah harga minyak naik, bukan masalah untuk memburukkan Petronas, sebaliknya memperbetulkan ketamakan yang telah dilakukan oleh UMNO.

Penderitaan "batin" yang ditanggung oleh Shabery Cheek yang telah ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia (saya yakin jutaan kerana jam 11 malam jalanraya di KL agak lengang) merupakan pendedahan terburuk seorang Menteri Kabinet di kaca televisyen. Pastinya ia akan terpahat dalam sejarah dan menjadi bahan jenaka sehingga ke tahun 2020 dan mungkin melangkaui tahun 2020.

Apakah selepas ini menyokong atas pagar Kerajaan akan melompat dan menyokong usaha Anwar Ibrahim ? Sesuatu perkembangan yang menarik untuk disusul. Sifat “gentleman” beliau yang tidak termakan umpan “cacing kerawit” itu dibalas dengan jawapan-jawapan bersandarkan fakta dan angka.

Apakah selepas ini Shabery Cheek akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Penerangan setelah dilihat gagal untuk menangkis hujah-hujah Anwar seperti yang beliau janjikan ? Ah ! Mungkin alasan “saya tidak akan meletakkan jawatan kerana Anwar” akan digunakan.

Apakah media arus perdana akan memberikan ulasan yang adil tentang “tragedi” yang berlaku terhadap ketua mereka esok ? Ah ! Mungkin saja tajuk utama akhbar esok berbunyi nada Kerajaan. Jika tidak pun berita Anwar harus menyerah diri sebelum pukul 2 petang menjadi tajuk utama.

“Harga minyak di Venezuela rendah, inflasi tinggi, harga minyak di Malaysia tinggi, inflasi lagi tinggi.”

Pembohongan yang selama ini diselindungkan terbongkar walaupun didedahkan oleh Anwar tanpa rasa terburu-buru untuk menghabiskan hujahnya. Jelas itu bukan niatnya, sebaliknya lebih menumpukan kepada kaedah-kaedah dan usaha-usaha untuk menurunkan harga minyak serta mengurangkan kebocoran yang terlalu banyak masuk ke poket-poket yang tidak berkenaan.

Kata Shahrir Samad, “Jika benar niat Anwar untuk menjaga kebajikan rakyat-rakyat yang susah, kenapa hanya turunkan harga minyak petrol dan bukannya diesel. Rakyat-rakyat dan peniaga menggunakan diesel dan petrol digunakan oleh individu.” Pulak dah, sang putar alam sudah mari...

Kalau yang menjadi lawan Anwar Ibrahim malam tadi ialah Mahathir Mohamed, saya pastinya akan menyokong bekas Perdana Menteri itu.

Saya merasakan amat perlu sekiranya program Debat secara langsung ini diteruskan dari masa ke semasa. Satu jam pun cukup. Ada banyak isu negara yang boleh dibincangkan secara terbuka. Jadi tidaklah rakyat sentiasa ditipu dek media perdana yang sering memanipulasi fakta dan memutar-belitkan cerita.

Nota : Mujur saya menolak secara baik dari muncul dalam program secara langsung bertajuk “Blog” yang disiarkan setiap hari Ahad jam 9 malam di RTM 1.

Kredit Foto : MStar
Poll Online : MStar

Debat !

Entri oleh sultanmuzaffar 14 July 2008 0 komen

Image Hosted by ImageShack.us

Kalau ianya berlaku, pasti terpahat dalam sejarah Malaysia. Kalau ianya tidak berlaku pun, pasti juga terpahat dalam sejarah Malaysia. Apakah ianya akan mengubah apa-apa ? Belum tentu. Ketelusannya wajar diberikan pujian. Sekiranya dibatalkan, kebaculannya wajar dihina sampai bila-bila. Datuk Ahmad Shabery Cheek mempertaruhkan jawatannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertaruhkan kredibilitinya. Debat ini akan dimoderatorkan oleh Datuk Johan Jaafar.

Terlalu banyak perkara pelik yang berlaku dalam politik Malaysia sejak akhir-akhir ini. Saya akan menjadi penunggu setia tarikh 16 September 2008.

Hari ini berlaku kesesakan jalan raya yang luar biasa. Mujur saya hanya ke pejabat pukul 11 pagi dan saya tidak terkena tempiasnya. Itulah akibatnya apabila terlalu tebal sifat paranoia dan segala yang tertulis hari ini ternyata tebal pembohongannya.

Hanya kerana seorang lelaki bernama Anwar Ibrahim. Apakah rejim polis melakukan yang sama sewaktu Malaysia dihebohkan dengan kehilangan Nini sejak 9 Januari lepas ?

Penganjur : AgendaDaily


Bak Kata Nabil...Lu Fikirlah Sendiri

Entri oleh sultanmuzaffar 29 June 2008 0 komen

Saiful Bahari @ Mohd Saiful Bukhari bin Azlan (kiri)
Bersama Dato Sri Azalina Othman
Bersama Dato' Mustapha Mohamed
Bersama Datuk Shahrir Samad


Saya baru sahaja menonton sebuah program baru Astro PRIMA yang dikemudikan oleh Juara Raja Lawak Astro musim 2 iaitu Nabil. Program tersebut bernama Nabil, Lu Fikirlah Sendiri. Nabil membawakan imej seorang stand-up comedian dalam program tersebut. Jenaka bukan sahaja boleh ditonton melalui program tersebut, jenaka juga boleh ditonton melalui apa sahaja medium komunikasi yang disiarkan hari ini.

Saya boleh sifatkannya sebagai satu jenaka terancang yang gagal. Jenaka yang tidak kena waktunya dalam cubaan menutup beberapa kelemahan realiti yang berlaku. Saya petik kata Tan Sri SM Salim..."Apa Nak Jadi ?"

Saya sempat berbual kosong penuh isi dengan beberapa orang kawan tentang apa yang berlaku sekarang. Sesuatu yang menarik untuk dilihat ialah penerimaan rakyat terhadap tuduhan tersebut. Jika pada tahun 1998, penggunaan internet belum begitu meluas di ceruk-ceruk kampung, sebaliknya pada tahun 2008 generasi reformasi yang 10 tahun lalu sudah semakin matang dan ada di antara mereka kini sudah pun menjadi wakil rakyat.

Generasi 2008 adalah generasi internet yang terdedah kepada penyebaran maklumat tanpa sempadan. Apakah mereka masih tidak sedar bahawa internet dan media baru lah yang telah meranapkan penguasaan 2/3 mereka ?

Ada beberapa gambar lagi di blog RockyBru dan MrManager. Sebelum terlupa, malam ini RockyBru akan bersiaran dalam Temujanji di Astro AWANI (Saluran 501), pukul 9 malam. Jangan ketinggalan. Jangan lupa baca cita-cita tinggi Saiful Bahari di ruangan komen blog riwayathayat.blogspot.com.

Entri Sebelum Ini:
Pulau Sipadan Hari Pertama
Pulau Sipadan Hari Kedua : Gambar Dasar Laut
Ada Dunia Lebih Tenang 2
Ada Dunia Lebih Tenang 1

Escapism