Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 24 March 2006 0 komen

Ulasan Anugerah Planet Muzik 2006 : Biarlah Rahsia Mencuri Perhatian Ramai
The Max Pavilion, Singapore Expo

Entah mengapa setiap kali majlis Anugerah Planet Muzik berlangsung, tumpuan mata saya akan tertumpu kepada pengacaranya. Kal ini ia menggandingkan Aznil Nawawi dari Malaysia, Ady Rahman dan Fiza O dari Singapura manakala Nirina dari Indonesia. Sudah bertahun ia diadakan sikap pengacaranya masih sama iaitu cuba menandingi antara satu sama lain. Sikap cuba untuk menunjuk pandai, kacak, cantik, bijak sering berlegar pada skrip pengacaraan APM kali ini. Setiap kali ia diadakan pasti Siti Nurhaliza menjadi sasaran gurauan-gurauan mereka. Jika dahulu keterbukaan Ady sebagai salah seorang pengacara secara terbuka menyatakan rasa sayangnya kepada Siti Nurhaliza, kali ini rata-rata dari mereka tanpa segan-silu turut mengaitkan nama Datuk K dalam kancah pengacaraan mereka. Namun demikian sikap terbuka Siti Nurhaliza harus dipuji. Walaupun sedikit tergamam sewaktu diusik oleh salah seorang bos, rakan penyampai anugerah ketika menyampaikan anugerah utama pada malam tersebut.

Rekaan pentas APM kali ini kalau sesiapa yang pergi menyaksikan Konsert Kemanusiaan Remaja Prihatin dan Konsert Kemuncak AFTour tentu dapat melihat skrin plasma yang menggunakan konsep yang sama pada kedua-dua konsert tersebut. Nampaknya skrin plasma merupakan trend rekaan pentas walaupun telah lama digunakan dalam persembahan-persembahan MTV di peringkat antarabangsa. Menonton dari peti televisyen agak menyilaukan apabila rekaan tata cahaya tidak begitu menyerlah pada kali ini. Pada awal persembahan berlaku sedikit masalah audio sehingga terpapar montaj Siaran Tergendala Sebentar walaupun tidak sempat. Mujur masalah dapat diselesaikan dengan kadar yang agak segera. Selain daripada itu, agak sukar juga untuk penonton di rumah mengetahui siapakah yang membuat persembahan tanpa memaparkan grafik tajuk persembahan di skrin televisyen. Itu antara sebab mengapa saya hanya menulis nama artis yang membuat persembahan dan bukan tajuk lagu mereka.

Persembahan Pembukaan : VE dan AhliFiqir
Saya suka dengan persembahan pembukaan yang dijayakan oleh VE dan AhliFiqir. Saya boleh katakan VE telah menampilkan persembahan vokal yang bagus serta dibantu dengan koreograf yang cemerlang. Barisan penari latar turut memberikan persembahan yang mantap dengan gerak-gerak pantas yang tajam dan memukau. Pemilihan lagu sahaja yang disifatkan kurang mesra di telinga penonton. Namun demikian ada strategi yang dirangka oleh VE untuk mempromosikan lagu tersebut di kalangan pendengar-pendengar luar. Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh AhliFiqir yang turut menampilkan lagu yang kurang mesra di telinga penonton. Menampilkan penari kanak-kanak pada setengah penonton akan melihatnya sebagai sesuatu yang comel tetapi idea ini sudah terlalu lapuk.

ARTIS LELAKI BARU TERBAIK
Pemenang : Ello - Ello
Pilihan SM : Ello - Ello

Satu kemenangan yang telah saya jangkakan. Ello memang kurang dikenali di rantau Malaysia dan Singapura terutamanya, tetapi beliau cukup hebat di Indonesia. Keseronokannya menerima trofi sehingga terjatuh globe dari arca tangan pada trofi tersebut. Sungguh melucukan kerana trofi tersebut nampak begitu tidak berprestij walaupun majlis tersebut dianggap berprestij kerana memartabatkan muzik rantau Malaysia, Indonesia dan Singapura.

DUO/KUMPULAN BARU TERBAIK
Pemenang : Maliq & D’Essentials - 1st
Pilihan SM : Tangga - Tangga

Dengar khabar kumpulan Maliq & D'Essentials akan bertandang ke Kuala Lumpur pada bulan September. Bolehlah peminat-peminat di Malaysia menikmati persembahan hebat mereka. Yang pasti duo/kumpulan dari Malaysia tertinggal dari sebarang pencalonan untuk kategori ini. AhliFiqir walaupun dicalonkan di AIM, bukan dari Malaysia tetapi dari Singapura.

LAGU TERBAIK SINGAPURA
Pemenang : Cinta Abadi - Untukmu Selamanya - Eka Mairina feat. Iskandar
Pilihan SM : Angguk-Angguk Geleng-Geleng - Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir feat. Mia

Sewaktu Eka Mairina dan Vince membawakan lagu Cinta Abadi, kedengaran istimewanya sangat lagu tersebut. Lagipun itulah sekadar hasil terbaik yang dipersembahkan oleh artis Singapura. Sebuah lagu yang sekali dengar sahaja dan mudah untuk dilupakan.

Tali Pinggang Aznil mampu membuatkan Ramlah Ram makan hati ! Di mana agaknya beliau membeli tali pinggang tersebut ? Di Pasar Mustaffa agaknya. Wujudkah Pasar Mustaffa ini di Singapura ? Ada sesiapa boleh pastikan ? Agaknya untuk membeli tali pinggang tersebut mesti turut disertakan dengan sebuah keyboard. Mungkin ! Jika tanpa keyboard bagaimana huruf-huruf tersebut dimasukkan ke atas panel skrin tali pinggang tersebut. Mungkin juga ada putaran huruf untuk dipilih pada tepi tali pinggang tersebut.

Persembahan 2 : Vince, Eka Mairina, Adam dan Nikki
Vince memulakan persembahan dengan lagu Janji. Sebuah persembahan yang biasa dan persembahan Vince menjadi luar biasa apabila berduet dengan Eka Mairina untuk lagu Cinta Abadi. Nampak seperti Eka Mairina pula yang menjadi penyanyi latar untuk Vince walaupun lagu tersebut adalah milik Eka Mairina. Persembahan vokal mereka sememangnya hebat dan sesuai digandingkan bersama. Lihat bagaimana Vince mengawal persembahan duet tersebut tanpa memberikan peluang kepada Eka Mairina untuk menonjolkan diri lebih darinya. EMI, album Vince seterusnya bolehlah menampilkan Eka Mairina untuk berduet dengan Vince. Kembalikan Vince seperti yang asal. Adam mempersembahkan lagu Jatuh dengan baik sampai jatuh-jatuhlah pembesar suara dia. Saya suka dengan persembahan Adam kali ini. Nampak beliau sudah pandai untuk mengawal vokalnya dengan baik. Vince, Eka Mairina dan Adam nampak begitu selesa di atas pentas. Kemunculan Nikki sememangnya saya tunggu-tunggu. Di dalam kepala saya, mengharapkan persembahan hebat seperti majlis Pelancaran Album Maharaninya tahun lepas. Malangnya hasrat tersebut tidak kesampaian. Nikki tersilap masuk dalam nyanyiannya. Persembahan vokal pada nada rendahnya agak tenggelam dalam muzik. Wajah beliau nampak agak pucat berbanding artis-artis yang lain. Adam turut membantu dalam bahagian rap yang penyanyi asalnya ialah Zahid. Rap yang didendangkan oleh Adam juga bukan rap yang asal. Adam cuba untuk menampilkan koreografi yang biasa dibawakan oleh beliau dan perlu menyerahkan mic kepada Vince. Tetapi tidak berjaya disambut oleh Vince. Melambung-lambung pembesar suara itu dibuatnya dan meneruskan dengan rap lagu KRU iaitu Mengerti. Boleh ? Sepatutnya Nikki harus menggunakan platform ini untuk memperkenalkan dirinya kepada para penonton. Beliau juga harus lebih belajar untuk bergerak di pentas dan nampak lebih selesa di atas pentas. Nampak beliau berkerut di atas pentas dan begitu keliru sekali wajahnya. Lebih baik dari menghabiskan masa bermain The Sims 2. (ketawa) Whistling yang ditunggu juga hanya muncul di bahagian akhir. Tiada yang hebat dalam persembahan Nikki dan saya terfikir bagaimana agaknya reaksi penonton apabila beliau menang selepas ini. Saya merasakan beliau lebih sesuai membawakan lagu-lagu balada yang khusus untuk mempamerkan kehebatan vokal beliau. Nikki juga harus berani untuk menonjolkan dirinya terutama dalam persembahan gabungan kerana itulah platform untuknya menonjolkan dirinya. Memberikan peluang kepada Eka Mairina untuk mencuri tumpuan adalah sesuatu yang harus dihindarkan dan tidak harus diulangi lagi. Persembahan berakhir dengan Nikki berada di hujung dan bukannya di tengah walaupun lagu tersebut adalah miliknya. Sayang sekali...

ARTIS SINGAPURA TERBAIK
Pemenang : AhliFiqir - Hari Ini Dalam Sejarah
Pilihan SM : AhliFiqir - Hari Ini Dalam Sejarah

Singapura telah pun berbangga dengan terhasilnya AhliFiqir sebagai Artis Singapura Terbaik. Pada penghujung bulan April kelak, Malaysia juga seharusnya berbangga kerana AhliFiqir tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik di AIM, anugerah industri muzik yang memartabatkan muzik Malaysia. Kemenangan AhliFiqir sememangnya sudah diduga kerana kehebatan mereka menjual muzik hip-hop mereka dengan baik sekali di rantau Malaysia khususnya.

ARTIS WANITA BARU TERBAIK
Pemenang : Nikki - Maharani
Pilihan SM : Adibah Noor - Terlalu Istimewa

Kegusaran saya menjadi kenyataan. Nikki menang kategori ini mengetepikan Adibah Noor, Sharifah Zarina, Eka Mairina dan Helena. Sekiranya dinilai berdasarkan album Maharani, Nikki merupakan calon terbaik untuk menang. Jika dinilai secara keseluruhan, pengalaman Adibah Noor masih mengatasi Nikki lebih jauh. Nikki harus menggunakan kemenangan ini untuk melihat lebih jauh lagi ke hadapan dan memperbaiki mana yang kurang agar kemenangannya tidak dipertikaikan. Walaupun gagal dicalonkan di AIM 13, kemenangan di peringkat rantau Singapura, Malaysia dan Indonesia sudah cukup memadai kerana skopnya lebih meluas. Oh ya ! Nikki merupakan satu-satunya calon Artis Wanita Baru Terbaik yang tidak mempunyai muzik video sewaktu pengumuman calon ditayangkan.

Persembahan 3 : M.Nasir
M.Nasir menampilkan sebuah lagu baru yang bertajuk Juita Citra Terindah. Sebagai seorang M.Nasir , saya sudah menjangkakan persembahannya akan menjadi sebegitu kerana beliau M.Nasir. Itu yang saya jangkakan. Sebuah persembahan yang penuh jiwa dan bertenaga dengan gerak-gerak penuh perasaan. Saya boleh katakan yang lagu tersebut agak cepat tertangkap di telinga. Menggunakan platform APM untuk mempromosikan lagu baru tersebut adalah strategi yang bagus.

LAGU PALING POPULAR
Pemenang : S1: Aduh Saliha : Mawi AF3
Pilihan SM : Aduh Saliha : Mawi AF3

Seperti yang sudah dijangkakan, Aduh Saliha pasti menggondol anugerah kategori Lagu Paling Popular. Namun demikian, M.Nasir sedikit terkeliru sewaktu memberikan ucapannya. Anda adalah pemenang untuk kategori Lagu Paling Popular ya, bukan Lagu Terbaik. Dunia dua kategori tersebut adalah berbeza. Tidak timbul soal siapa yang patut mengambil anugerah tersebut kerana tiada syarat khusus yang telah ditetapkan. Dan saya sudah dapat mengagak siapakah yang akan menang kategori Artis Lelaki Paling Popular.

KUMPULAN PALING POPULAR
Pemenang : G6: Peterpan
Pilihan SM : Peterpan

Nampaknya dominasi Malaysia untuk kategori popular dipecahkan oleh kumpulan dari Indonesia iaitu Peterpan. Peterpan bukan sekadar popular di Indonesia tetapi turut menempa nama di Malaysia dan Singapura. Bermula dengan lagu Mungkin Nanti, tiada mana-mana kumpulan dapat mengekang penguasaan Peterpan dalam pasaran muzik tempatan.

Persembahan 4 : Ello, Mawi dan Taufik Batisah
Ello telah menampilkan persembahan vokal yang lebih bercorak urban. Tidak ramai yang menyukainya. Khalayak Indonesia sememangnya meminati muzik sedemikian. Tidak mustahillah beliau popular di sana. Kekuatan utama Ello adalah persembahan vokalnya yang mantap. Taufik Batisah yang kini menjadi kegilaan rakyat Singapura dan sebahagian Johor terutamanya yang anti Mawi (ketawa) menampilkan kehebatan dalam aspek koreografi. Jeritan penonton Singapura sememangnya sudah dijangka. Seperti Mawi yang digilai di Malaysia, Taufik Batisah juga merupakan satu jenama kini di seberang Tambak Johor. Gerak pantas ala-ala Michael Jackson beliau tiada apa yang istimewa. Sama sahaja seperti Adam di Akademi Fantasia 2. Manakala kemunculan Mawi tidak begitu kuat jeritannya berbanding kemunculan Taufik Batisah. Mawi mendendangkan lagu Aduh Saliha dengan baik. Beliau nampak lebih selesa di atas pentas kerana lagu tersebut sudah beratus kali didendangkan. Kemuncak persembahan tersebut apabila Mawi dan Taufik Batisah digandingkan untuk lagu Gadis Melayu. Sebuah persembahan yang meledak ! Saya suka dengan gandingan mereka. Nampak macam adik dengan abang. Mereka nampak serasi berdua di atas pentas. Cara Mawi berinteraksi dengan Taufik Batisah juga memang cemerlang. Nampak Mawi selesa benar atas pentas tersebut. Nikki harus belajar dari Mawi tentang ini. Persembahan vokal Mawi dan Taufik Batisah boleh saya anggap sebagai saling melengkapkan antara satu sama lain. Kalau difikirkan dari aspek duit, vokal Mawi adalah untuk orang kampung dan kelas pertengahan manakala vokal Taufik lebih kepada kelompok urban. Kalau seorang peniaga yang mahu untung, mereka berdua harus digandingkan bersama untuk mengaut segala keuntungan dari orang kampung, kelas pertengahan dan kelompok urban. Vokal mereka mewakili dua kelompok pasaran yang berbeza dan seharusnya diberikan perhatian lebih-lebih lagi mereka memiliki fanatik yang sanggup menghabiskan duit kerana mereka semata-mata.

Persembahan 5 : Sharifah Zarina, Salma dan Gigi
Kalau persembahan ini perang vokal, Sharifah Zarina sudah menang kerana Salma gagal menampilkan persembahan vokal yang lebih baik berbanding Sharifah Zarina. Saya suka melihat bagaimana selesanya Sharifah Zarina di atas pentas. Beliau nampak begitu profesional menyiapkan persembahannya. Ternyata pengalamannya di dalam pertandingan di Malaysia membuahkan hasil. Salma membawakan lagu yang sama iaitu Langit Ke Tujuh tetapi tidak sampai dan Sharifah Zarina membawakan lagu tersebut lebih sedap. Persembahan bertenaga Gigi sememangnya sudah menjadi trend kumpulan tersebut. Dari satu hujung pentas ke satu hujung pentas Armand bergerak menguasai pentasnya. Lagi satu Thailand tiada dalam anugerah ini. Lagunya juga mungkin tentang perdamaian. Banyak kali juga perkataan tersebut disebut sambil tangannya menunjukkan isyarat PEACE ! Kalau sedap lain pula ceritanya, ini apa dia persembahkan pun saya tidak faham dan dengar dengan baik.

ARTIS LELAKI PALING POPULAR
Pemenang : M11: Taufik Batisah
Pilihan SM : Mawi AF3

Terkejut ? Saya juga terkejut. Saya sangkakan popularitinya sehingga seluruh rantau ini, tetapi sangkaan saya meleset. Kalau kalah di tangan Taufik Batisah apakah bilangan peminat Mawi kurang dari rakyat Singapura. SMS tersebut tidak lepas semalam di Karpet@15. Saya sendiri menjangkakan peminatnya akan berhabisan separuh mati untuk memastikan kemenangan Mawi. Selepas ini anugerah apa pula ? MTV Asia Awards ? Seharusnya kita tidak memandang rendah kepada peminat fanatik artis lain dan terus merasa selesa dengan kelompok sokongan yang kita ada. Jika dengan strategi yang betul dan perancangan yang teliti, pelbagai bentuk sokongan boleh dibentuk untuk memastikan kemenangan. Mungkin juga para peminat fanatik bukan Mawi telah bergabung dengan peminat fanatik Taufik Batisah di internet. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

ARTIS WANITA PALING POPULAR
Pemenang : F11: Siti Nurhaliza
Pilihan SM : Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza menang lagi ! Kisah percintaannya tidak sedikit pun menggugat popularitinya di rantau Asia Tenggara. Sewaktu mengambil anugerah itu, dua pasang mata bertemu kembali. Walaupun mereka saling cuba mengelak untuk bertentang mata. Siti Nurhaliza dan Fazley berpaling antara satu sama lain. Senyum pun tidak semacam menyembunyikan sesuatu. (ketawa) Datuk K pun Datuk K lah. Sudah itu pilihannya. Berbalik kepada kemenangan Siti Nurhaliza, ini merupakan kemenangannya yang ke enam untuk kategori paling popular dan sudah dua tahun tidak berjaya untuk kategori terbaik walaupun sebelum ini ia didominasi oleh Siti Nurhaliza. Mungkin rezeki Siti Nurhaliza untuk tahun hadapan kerana beliau ada album baru tahun hadapan.

Persembahan 6 : Ajai dan Nurul
Sudah banyak kali lagu ini dipersembahkan dan persembahan mereka semakin baik. Menyampaikan lagu ini juga strategi yang bagus untuk mempromosikan album baru mereka. Apa yang boleh saya katakan tentang lagu ini ialah ia sebuah lagu yang cepat tertangkap pada telinga saya. Semakin lama semakin saya menyukai lagu tersebut.

Persembahan 7 : Ratu
Tepuk kepala ! Saya lebih rela mendengar cd sahaja untuk lagu ini. Lagu Teman Tapi Mesra memang sedap di corong radio tetapi tidak apabila didendangkan secara langsung oleh Ratu. Dengan pakaian yang kurang sesuai atau lebih manis saya katakan menjolok mata, persembahan ini menjadi persembahan paling buruk di APM edisi kali ini.

DUO/KUMPULAN TERBAIK
Pemenang : Peterpan - Original Soundtrack Alexandria
Pilihan SM : Dewa - Laskar Cinta

Ada harapan album ini terpilih sebagai Album Indonesia Terbaik di AIM 13 kelak. Walaupun tekaan saya tersasar, ini membuktikan bahawa pengaruh populariti mampu juga menjadi yang terbaik sekiranya berada di landasan yang betul. (ketawa) Walaupun bukan Dewa yang menang, album Peterpan juga baik dari segi kualitinya dan saya harus memberikan peluang kepada album ini untuk bernafas.

ARTIS LELAKI TERBAIK
Pemenang : Marcell - Marcell Repackage
Pilihan SM : Marcell - Marcell Repackage

Tampil dengan fesyen rambut seperti Mawi, Marcell nampak lebih terurus kali ini. Imejnya nampak lebih profesional dan matang bersesuaian dengan konsep muziknya yang semakin meningkat dewasa. Walaupun Vince gagal dalam saingannya ia suatu perkembangan yang positif dalam industri muzik Malaysia walaupun album tersebut tidak tercalon dalam AIM 13. Ini membuktikan namanya sebaris dengan nama-nama besar seperti Marcell dan lain-lain lagi.

Persembahan 8 : Anuar Zain, Rossa, Marcell dan Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza tampil penuh eksklusif dengan sebuah lagu baru dari album yang khabarnya akan dipasarkan pada 1 April 2006 ini. Lagu bertajuk Biarlah Rahsia adalah sebuah ciptaan Melly dan liriknya adalah hasil nukilan Siti Nurhaliza sendiri. Persembahan vokal Siti Nurhaliza tidak boleh dipertikaikan kerana beliau dengan bersahaja telah berjaya membuat seluruh dewan senyap sunyi menyaksikan persembahannya. Saya tidak tahu, mungkin senyap sunyi kerana dari rumah saya dapat melihat senario tersebut. Setiap mata tertumpu untuk mendengar setiap patah lirik yang diluahkan oleh Siti Nurhaliza dengan penuh perasaan. Satu baris dari lirik lagu tersebut yang benar-benar menyentuh perasaan saya ialah “pernahkah kau bermimpi seketika berada di tempatku...” yang menjadi permulaan dan penamat lagu tersebut. Ia cukup simbolik. Marcell pula menampilkan persembahan vokal yang bagus tetapi sebuah lagu yang kurang popular pada penonton. Beliau selayaknya dinobatkat sebagai Artis Lelaki Terbaik. Rossa muncul dengan lagu yang popular di sini iaitu Pudar. Sebuah persembahan yang biasa dari Rossa. Kemunculan bekas penyanyi lelaki paling popular sememangnya dinanti-nantikan. Saya tertunggu juga apakah lagu yang akan beliau dendangkan. Kini, sudah sampai masanya untuk Anuar Zain mencari material terbaru untuk koleksi-koleksi lagunya. Membawakan lagu Permata adalah satu idea yang jauh terkebelakang dari kebanjiran artis-artis baru yang lahir dewasa ini. Lagu gabungan yang didendangkan oleh semua artis juga semacam tidak begitu popular pada penonton.

Persembahan 9 : Dayang Nurfaizah dan Tam Spider
Dayang Nurfaizah memulakan persembahan dengan lagu Layar Impian. Saya sudah mengharapkan persembahan ini akan menjadi persembahan terbaik di APM. Sayang sekali apabila tertera perkataan keramat ini di peti televisyen.

Signal Lost Detected !

Tam Spider kembali dengan sebahagian lagu Mantera Semerah Padi dendangan asal M.Nasir dan Nur Nilam Sari dendangan asal Awie. Sakit betul hati saya apabila ini terjadi. Lebih-lebih apabila sebuah pengiktirafan sedang diberikan untuk sebuah anugerah utama.

ANUGERAH KHAS APM
Pemenang : Loloq

Saya berbangga kerana seorang penulis diangkat untuk menerima Anugerah Khas APM kali ini. Loloq seorang yang cakap lepas, tetapi cakap lepasnya bernas. Beliau seorang yang emotional lebih-lebih lagi dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Sebelum menulis beliau mengkaji sesuatu untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Pengalamannya yang luas membolehkan beliau mempergunakannya untuk menyerlahkan daya kreativitinya melalui penulisan lirik. Dalam memberikan sesuatu yang indah pada bahasa, beliau tidak melupakan untuk menyuntik elemen kontemporari pada setiap lirik yang ditulis. Kata Loloq lagi, kalau nak hidup, ayat mesti power ! Kerjanya hanya menjual ayat.

ALBUM TERBAIK SINGAPURA
Pemenang :Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir
Pilihan SM : Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir

Mujur album ini menang di APM dalam kategori ini. Sememangnya album ini antara album yang terbaik pernah saya dengar dari aspek muzik dan produksinya. Saya sukakan muzik-muzik sebegini tetapi tidak kesemua lagu menjadi kesukaan saya. Saya lebih gemarkan muzik yang lebih ballad. Muzik dari AhliFiqir lebih moden dan elemen hip-hop yang terlampau. Yang lebih menarik apabila salah seorang ahli kumpulan AhliFiqir berkata "Semoga kepala kami tidak besar lepas menerima anugerah sebesar ini." Macam kata Loloq, ayat mesti power !

Persembahan 10 : Ferhad, Syed Azmir dan Jaclyn Victor
Ferhad memulakan persembahan dengan lagu Dealova. Tiada apa yang istimewa dalam persembahan tersebut. Persembahan vokal Ferhad pun tidak cukup mantap untuk menyanyikan lagu Dealova. Syed Azmir membawakan lagu keramat kegemaran saya Menanti Sebuah Jawapan. Siapa Syed Azmir ? Vokal beliau juga belum cukup kuat untuk membawakan lagu tersebut. Banyak yang sumbang. Gemilang versi Jaclyn Victor juga agak mendatar kerana tidak cukup memberikan impak kepada penonton. Lagi pun ia adalah versi pendek. Gabungan artis membawakan lagu Yang Terbaik Bagimu dan Cinta. Saya akui Cinta versi Jaclyn Victor amat mengagumkan !

LAGU TERBAIK
Pemenang : Dealova - Original Soundtrack Dealova - Once
Pilihan SM : Menanti Sebuah Jawaban - Padi

Dealova oleh Once muncul sebagai pemenang. Saya sedikit kecewa kerana saya suka dengan lagu Menanti Sebuah Jawaban oleh Padi. Saya boleh simpulkan bahawa lagu yang baik bertunjangkan nukilan yang baik juga. Dealova dan Menanti Sebuah Jawaban menepati syarat-syarat tersebut. Mungkin pula ada peluang untuk Biarlah Rahsia tahun hadapan ?

ARTIS WANITA TERBAIK
Pemenang : Jaclyn Victor - Gemilang
Pilihan SM : Rossa - Kembali

Kemenangan Jaclyn Victor menerusi album Gemilang benar-benar mengejutkan saya. Saya lebih merasakan album Rossa lebih baik produksinya dari album Gemilang. Tetapi kerana semangat patriotik yang unggul, saya harus memberikan sokongan kepada artis Malaysia. Semoga Jaclyn Victor akan terus mekar dalam industri muzik tempatan dan terusan menghasilkan album-album yang bermutu.

ALBUM TERBAIK
Pemenang : Senyawa - Chrisye
Pilihan SM : Senyawa - Chrisye

Senyawa bukan album yang popular tetapi yang terbaik. Anugerah Planet Muzik 2006 tamat begitu sahaja. Tiada apa yang istimewa kecuali Biarlah Rahsia. Sebuah album yang saya nanti-nantikan. Biarlah Rahsia boleh saya sifatkan sebuah lagu berhantu yang penuh dengan makna dari hati Siti Nurhaliza untuk peminatnya, wartawan, Datuk K, Dr. Fazley atau Datuk Sharifah Aini.

Biarlah Rahsia - Siti Nurhaliza
pernahkah kau bermimpi seketika
berada di tempat ku
membayangkan pahit manis berlaku
tak siapa yang tahu
mungkin nanti kau jua merasakan
berdepan dengan kata menyesatkan
tak kan ku melupakan
tiada pertimbangan
**
keheningan malam membalutkan
kepayahan jiwa meluahkan
andai kau jujur memahami
tiadaku menjauhi
***
dan kisahku yang masih panjang
menambahkan berat yang memandang
lantasku pendam ku putuskan
biarlah rahsia
semakin aku hitung dalam cinta
tiada kuasa mampu menghalangnya
hentikan kata-kata bertulangkan dusta
**
keheningan malam membalutkan
kepayahan jiwa meluahkan
andai kau jujur memahami
tiada ku menjauhi
***
dan kisahku yang masih panjang
menambahkan berat yang memandang
lantas ku pendam ku putuskan
biarlah rahsia
oooooo
***
dan kisah ku yang masih panjang
menambahkan berat yang memandang
lantas ku pendam ku putuskan
biarlah rahsia
pernahkah kau bermimpi seketika berada di tempatku...

Nota : Bait lirik "pernahkah kau bermimpi seketika berada di tempatku..." penuh simbolik dan penuh makna sekali. Sekurang-kurangnya aku sudah berada di sini. Engkau bermimpi pun belum pernah untuk sampai di sini seperti aku. Mimpi pun tidak pernah, apa tah merasa kebenarannya. Perrrghhhh...Ayat Power !

Pilihan sultanmuzaffar Special Mention !
1. Biarlah Rahsia - Siti Nurhaliza
2. Juita Citra Terindah - M.Nasir
3. Gadis Melayu - Mawi dan Taufik Batisah
4 Cinta - Jaclyn Victor
5. Cinta Abadi - Vince dan Eka Mairina
6. Langit Ke Tujuh - Sharifah Zarina
7. Layar Impian - Dayang Nurfaizah
8. Aduh Saliha - Mawi
9. Jatuh - Adam
10. Caramu - Nikki, Adam, Vince dan Eka Mairina

Ulasan Mulut Jahat :)
Seorang rakyat Singapura yang berpandangan terbuka : Pujangga Malam

Entri oleh sultanmuzaffar 21 March 2006 0 komen

Nostradamus Anugerah Planet Muzik 2006
The Max Pavilion, Singapore Expo

Jangan lupa saksikan siaran langsung yang akan dibawakan oleh ASTRO Ria pada hari Jumaat, 24 Mac ini pada jam 8.30 malam. Antara bintang yang akan membuat persembahan ialah Siti Nurhaliza, Nikki, Mawi, Adam AF2 dan lain-lain lagi.

Calon Kategori Terbaik

1. ARTIS LELAKI BARU TERBAIK
Adam - Adam
Ady - Dari Hati Untuk Cinta
Ello - Ello
Mike - Mike
Shanon - Dilanda Cinta

Kehebatan dua artis Malaysia untuk tersenarai dalam kategori ini agak membanggakan. Shanon terpilih dengan album underdog yang agak sukar didapati di pasaran iaitu Dilanda Cinta, manakala Adam mempertaruhkan album solo pertamanya, Adam. Namun demikian, kedua-dua bintang tersebut gagal tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik AIM 13. Mike dari Indonesia adalah bintang ciptaan Indonesian Idol dan dilihat sebagai calon yang mampu memberikan saingan sengit untuk memenangi kategori ini. Ello pula berkemampuan untuk pulang dengan anugerah ini kerana memenangi kategori Album Terbaik dan Pendatang Baru Terbaik di Anugerah Muzik Indonesia 2005.

Pilihan 1 : Ello - Ello

2. ARTIS WANITA BARU TERBAIK
Adibah Noor - Terlalu Istimewa
Eka Mairina - Untukmu Selamanya
Helena - Keajaiban Cinta
Nikki - Maharani
Sharifah Zarina - Sharifah Zarina

Naluri hati saya mengatakan yang anugerah kategori ini bakal dibawa pulang oleh artis Malaysia. Saingan sengit bakal berlaku antara Nikki dengan album Maharani dan Adibah Noor melalui album Terlalu Istimewa. Di sini kita melihat bahawa tiada nama Jaclyn Victor dalam kategori ini kerana Gemilang merupakan albumnya yang kedua. Kalau dinilai berdasarkan pandangan juri AIM 13, nampaknya saingan bakal berlaku antara Adibah Noor dan Sharifah Zarina kerana mereka tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik AIM 13. Saya memilih Adibah Noor dengan album Terlalu Istimewa untuk menang kategori ini kerana saya sukakan muzik dalam album tersebut. Persembahan vokal Adibah Noor lebih pelbagai dan terserlah dalam album tersebut berbanding vokal dalam album Nikki.

Pilihan 1 : Adibah Noor - Terlalu Istimewa

3. DUO/KUMPULAN BARU TERBAIK
AhliFiqir - Hari Ini Dalam Sejarah
J-Rocks - Topeng Sahabat
Maliq & D’Essentials - 1st
Saykoji - Saykoji
Tangga - Tangga

Berdasarkan populariti, nama AhliFiqir dengan album Hari Ini Dalam Sejarah dilihat sebagai calon utama untuk menang kategori ini. Jangan dilupakan Tangga dengan album Tangga kerana mereka pernah tercalon dalam kategori Album Terbaik di AMI 2005. Saingan sengit datang daripada Saykoji dengan album tajuk yang sama. Mereka adalah pemenang untuk kategori Artis Hip-Hop/R&B /Duo/Berkumpulan Terbaik. Saya nampak Tangga ada kelebihan besar untuk menang kategori ini.

Pilihan 1 : Tangga - Tangga

4. ARTIS LELAKI TERBAIK
Awie - Santai
Jai - Atas Dasar Cinta
Marcell - Marcell Repackage
Vince - Janji Vince

Persoalan pertama timbul apabila melihat hanya ada empat calon sahaja dalam kategori ini berbanding kategori-kategori yang lain. Apakah tiada calon artis lelaki dari tiga negara yang layak untuk menduduki tempat kosong kelima dalam kategori ini ? Awie turut tercalon dalam AIM 13 menerusi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki). Walaupun nama Vince menerusi album Janji Vince tidak kelihatan dalam senarai AIM 13, beliau bertuah kerana tercalon di APM 2006. Saya melihat Marcell mampu membawa pulang anugerah ini dan menerima saingan sengit dari Awie dan Vince. Tidak mustahil sekiranya Awie mampu membuat kejutan.

Pilihan 1 : Marcell - Marcell Repackage

5. ARTIS WANITA TERBAIK
Audy - 2002 Repackage
Jaclyn Victor - Gemilang
Kris Dayanti - Cahaya Repackage
Rossa - Kembali
Titi DJ - Melayani Hatimu

Saya terfikir apakah album Repackage kini merupakan trend muzik rantau ini sekarang ? Banyak artis yang tercalon mempunyai album bertajuk Repackage. Pilihan saya untuk kategori ini ialah Rossa menerusi album Kembali walaupun bakal menerima saingan yang sengit dari Kris Dayanti dengan album Cahaya Repackage. Jangan pandang sebelah mata dengan kemampuan Jaclyn Victor kerana mampu untuk memboloskan dirinya dalam kelompok bintang Indonesia. Itu pun mungkin kerana Siti Nurhaliza tiada album baru.

Pilihan 1 : Rossa - Kembali

6. DUO/KUMPULAN TERBAIK
Dewa - Laskar Cinta
Project Pop - Pop Circus
Padi - Padi
Peterpan - Original Soundtrack Alexandria
Radja - Langkah Baru

Kita tengok di mana kumpulan-kumpulan terbaik mahu pun popular Malaysia ? Ini baru namanya persaingan yang betul-betul persaingan. Kita meletakkan persaingan turut dibuka kepada kumpulan Indonesia. Nescaya mereka akan mendominasi pencalonan. Kalau sekadar berani membuka peluang untuk artis Singapura, itu belum dinamakan persaingan yang positif. Saya memang menggemari kumpulan Dewa dan album Laskar Cinta merupakan taruhan terbaik Dewa untuk menang kategori ini. Saingan sengit datang dari kumpulan Padi.

Pilihan 1 : Dewa - Laskar Cinta

7. LAGU TERBAIK
Cinta - Intuisi - Melly feat Kris Dayanti
Dealova - Original Soundtrack Dealova - Once
Gemilang - Gemilang - Jaclyn Victor
Menanti Sebuah Jawaban - Padi
Yang Terbaik Bagimu - Heaven Of Love - Ada Band feat. Gita Gutawa

Sekali lagi syabas buat Aubrey Suwito kerana mampu memboloskan dirinya untuk kategori Lagu Terbaik. Namun demikian, saya meletakkan harapan agar Menanti Sebuah Jawaban oleh Padi menang kategori ini. Saya menyifatkan lagu tersebut lebih baik dari Gemilang. Saingan sengit bakal berlaku antara Menanti Sebuah Jawaban dan Dealova oleh Once.

Pilihan 1 : Menanti Sebuah Jawaban - Padi

8. ALBUM TERBAIK
Dayang Sayang Kamu - Dayang Nurfaizah
1st - Maliq & D’Essentials
Gemilang - Jaclyn Victor
Original Soundtrack Alexandria - Peterpan
Senyawa - Chrisye

Terkejut benar saya melihat Dayang Sayang Kamu tersenarai dalam kategori ini. Bukanlah kerana tiada langsung sifat patriotik yang produk Malaysia semuanya hancur. Kalau album ini bagus dan diiktiraf dalam APM oleh juri-juri dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, mengapa juri dari Malaysia langsung tidak memandang album tersebut di sini ? Saya katakan album Senyawa oleh Chrisye lebih berpeluang untuk membawa pulang anugerah tersebut. Kalau Gemilang yang menang, sudah pasti ada peluang untuk Gemilang menyerlah di AIM 13.

Pilihan 1 : Senyawa - Chrisye

9. ARTIS SINGAPURA TERBAIK
AhliFiqir - Hari Ini Dalam Sejarah
Eka Mairina - Untukmu Selamanya
Hetty Sarlene - The Best of Hetty Sarlene
Jai - Atas Dasar Cinta
Salma - Irama Rindu

Pilihan 1 : AhliFiqir - Hari Ini Dalam Sejarah

10. LAGU TERBAIK SINGAPURA
Angguk-Angguk Geleng-Geleng - Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir feat. Mia
Cinta Abadi - Untukmu Selamanya - Eka Mairina feat. Iskandar
Irama Rindu - Irama Rindu - Salma
Ladidadida - Untukmu Selamanya - Eka Mairina
Terbongkar Rahsia - Ikhlas - Azyza

Pilihan 1 : Angguk-Angguk Geleng-Geleng - Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir feat. Mia

11.ALBUM TERBAIK SINGAPURA
Atas Dasar Cinta - Jai
Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir
Irama Rindu - Salma
Untukmu Selamanya - Eka Mairina

Pilihan 1 : Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir

Calon Kategori Popular

1. ARTIS LELAKI PALING POPULAR
M1: Adam AF2
M2: Ari Lasso
M3: Delon
M4: Ello
M5: Fuad Rahmad
M6: Glenn
M7: Hazami
M8: Hattan
M9: Jamal Abdillah
M10: Mawi AF3
M11: Taufik Batisah
M12: Zainal Abidin

Setelah para peminatnya berhempas-pulas mengundi untuk Mawi, agak sukar untuk saya menidakkan peluang Mawi memenangi kategori ini. Kalau ada pun yang mampu menandingi Mawi ialah tiada siapa kerana nama Mawi begitu kukuh pada waktu sekarang. Lagi pun kategori ini adalah kategori populariti dan melibatkan undian peminat. Mawi pasti pulang dengan trofi tersebut.

Pilihan 1 : Mawi AF3

2. ARTIS WANITA PALING POPULAR
F1: Azharina
F2: Audy
F3: Dayang Nurfaizah
F4: Eka Mairina
F5: Hetty Sarlene
F6: Kris Dayanti
F7: Melly Goeslaw
F8: Misha Omar
F9: Ning Baizura
F10: Rossa
F11: Siti Nurhaliza
F12: Shanty

Ada yang mengatakan namanya semakin merudum. Saya melihat namanya semakin kukuh baik untuk kategori terbaik mahu pun yang melibatkan undian populariti. Siti Nurhaliza walaupun tanpa album baru dan hanya berbekalkan sebuah single bersama Too Phat masih mampu untuk mengekalkan anugerah tersebut di tangannya.

Pilihan 1 : Siti Nurhaliza

3. KUMPULAN PALING POPULAR
G1: AhliFiqir
G2: Gerhana Ska Cinta
G3: Gigi
G4: Lovehunters
G5: Padi
G6: Peterpan
G7: Radja
G8: Ruffedge
G9: Sheila On 7
G10: Spider
G11: Slank
G12: V.E.

Populariti semasa menunjukkan Radja bakal membawa pulang anugerah tersebut. Tetapi pengundian melibatkan tiga negara. Ada peluang untuk Peterpan untuk memintas kerana selain popular, mereka juga yang terbaik di Indonesia. Peterpan berjaya membawa pulang tujuh anugerah dari sebelah pencalonan di Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2005.

Pilihan 1 : Peterpan

4. LAGU PALING POPULAR
S1: Aduh Saliha : Mawi AF3
S2: Angguk-Angguk Geleng-Geleng : AhliFiqir feat Mia
S3: Ada Apa Denganmu : Peterpan
S4: Cinta : Melly & Kris Dayanti
S5: Di Celah Gigi : Zoul
S6: Dua Dunia : Too Phat feat. Siti Nurhaliza
S7: Elegi Sepi : Azharina
S8: Langit Ke-7: Sharifah Zarina
S9: Mungkin Nanti : Peterpan
S10: Menanti Sebuah Jawaban : Padi
S11: Pudar : Rossa
S12: Tentang Dia : Melly & Evan

Kalau Mawi menang kategori Artis Lelaki Paling Popular, tentunya peluang untuk Aduh Saliha dendangannya juga menang kategori Lagu Paling Popular. Kalau ada pun kejutan, mungkin dari lagu Dua Dunia (Too Phat feat Siti Nurhaliza) atau lagu Mungkin Nanti (Peterpan). Lagu Menanti Sebuah Jawapan oleh Padi walaupun memenangi kategori Lagu Alternatif Terbaik dan Susunan Muzik Alternatif Terbaik di AMI 2005 belum mampu menandingi lagu-lagu seperti Aduh Saliha dan Dua Dunia yang lebih popular di kalangan pendengar.

Pilihan 1 : Aduh Saliha : Mawi AF3

nota : mood hari ini : puas

Entri oleh sultanmuzaffar 20 March 2006 0 komen

Teater Muzikal Lantai T.Pinkie : Kasut-Kasut Bercerita Lagi...

Lantai T.Pinkie bercerita lagi. Kata T.Pinkie, “Lantai ini tempat kasut-kasut bercerita…” Lantai T.Pinkie menghidupkan nadinya di Singapura oleh Kumpulan Teater Kami pada Jun 1996. Kemudiannya berhijrah ke Malaysia pada Mac 1997 di Auditorium Utama Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. Oleh sebab sambutan yang di luar dugaan, pementasan tersebut di ulang tayang di tempat yang sama pada Mei 1997.

Sebelum Puteri Gunung Ledang The Musical dan teater noir Ronggeng Rokiah, teater nostalgia Lantai T.Pinkie sebenarnya telah mencipta sejarah lebih awal dalam pementasan teater Melayu kerana ia teater Melayu paling lama pementasannya iaitu tiga jam, tiket yang paling mahal ketika itu adalah RM40 dan Dewan Tuanku Abdul Rahman sentiasa penuh setiap malam dengan kebanjiran penonton. Pementasannya turut ditambah dua malam sebelum Kuala Lumpur dilanda banjir kilat yang menenggelamkan sebahagian daripada dewan tersebut.

Antara pelakon terawal yang telah menghidupkan Lantai T.Pinkie di MATIC ialah Tiada Jacquelina (T.Pinkie), Erma Fatima (Nyai Sunarti), Hani Mohsin Hanafi (Muhairi Muda), Mazlan Tahir (Muhairi Tua), Umie Aida (Musalmah Jiing), Juhara Ayob (Siti Udaya), Zaifri Husin (S.Diman), Ahmad Yatim (Jongkidin Jaroi), Marlia Musa (Puteh Su) dan Zuhairi Ibrahim (Loiran Sindu).

Bermula abad baru, sekali lagi Lantai T.Pinkie dihidupkan. Kali ini di pentas yang lebih besar iaitu di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2000. Walaupun T.Pinkie berubah wajah, nyawa yang diberikan tetap sama. Juhara Ayob membawakan watak T.Pinkie yang terkenal dengan tonggeknya. Shariza Mahmud (Nyai Sunarti), Vanidah Imran (Musalmah Jiing), Jasmin Hamid (Siti Udaya), Abu Bakar Omar (Jongkidin Jaroi), Zuhairi Ibrahim (Muhairi Muda), Mazlan Tahir (Muhairi Tua), Norzizi Zulkifli (Puteh Su), Azizi Mohd Said (Loiran Sindu) dan Yussak Kassan (S.Diman).

Setelah sepuluh (10) tahun Bunga Joget Moden dibuka, kini pada 28 April hingga 7 Mei ini ia akan dibuka kembali kepada umum. Kasut-kasut akan bercerita lagi. Lagu Johor Sport Club akan terus berkumandang sehingga 40 kali. Lebih hangat apabila katil Nyai Sunarti akan menerima tamu baru iaitu Tuan Delarosa yang selama tiga pementasan sebelum ini hanyalah khayalan. Kehidupan zaman perang akan diiringi linangan air mata penuh derita kerana setiap dari mereka punya cerita untuk dikongsi bersama.

Konsep pementasan Lantai T.Pinkie pada kali ini tentunya lebih matang dari segi interpretasi skripnya. Sepuluh tahun bukan satu jangka masa yang singkat. Kematangan Lantai T.Pinkie seharusnya dapat diperlihatkan di atas pentas. Kualiti persembahan perlu ditingkatkan sejajar dengan perkembangan teknologi pementasan yang semakin canggih. Tiga pementasan yang terdahulu lebih menerapkan konsep realisme Lantai T.Pinkie perlu diberikan pendekatan sastera yang sebenar-benarnya pada awal pementasannya untuk mengembalikan nostalgia silam terhadap apa yang berlaku pada zaman tersebut. Pementasan kali ini menggunakan pendekatan muzikal bersesuaian dengan tempatnya iaitu di Istana Budaya.

Latar masa pementasan kali ini lebih tertumpu pada zaman sekitar tahun 1945 hingga 1965 iaitu tatkala T.Pinkie atau nama sebenarnya Tengku Seindahkuno atau T untuk tonggek menghadapi kegetiran hidup di Singapura membawanya ke Sarawak. Oleh yang demikian, beberapa watak yang ada sebelum ini seperti Loiran Sindu (cucu kepada T.Pinkie) dan Muhairi Tua tidak dihidupkan. Watak-watak mereka yang mengimbau nostalgia silam dimatikan pada kali ini.

Pementasan kali ini turut melibatkan aspek muzikal dan dari skrip asal Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said ia telah diolah menjadi muzikal. Tempoh pementasan juga agak pendek berbanding sebelum ini iaitu daripada 3 jam disingkatkan menjadi 2 jam sahaja.

Naskhah Lantai T.Pinkie merupakan naskhah unggul dalam sejarah teater Melayu dan tiada tandingannya dari segi sastera sehingga setakat ini. Ia menjadi rujukan kajian pelajar universiti, sekolah menengah, cendekiawan dalam perbincangan, forum dan wacana serta tesis intelektual dalam mengkaji kehidupan zaman tersebut.

Pada majlis tersebut, barisan pelakon Teater Muzikal Lantai T.Pinkie telah diperkenalkan. Antara nama yang bakal beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya ialah Nasha Aziz sebagai T.Pinkie, Zuhairi Ibrahim (Muhairi Tirus), Azizah Mahzan (Nyai Sunarti), Jalaluddin Hassan (Jongkidin Jaroi), Soong Ai Ling (Puteh Su), Vanidah Imran (Musalmah Jiing), Safura Yaacob (Siti Udaya), Zaifri Husin (S.Diman Lupti), Azhan Mohd Rani (Gunjoloh), Abu Bakar Sulaiman (Jumari Koesnadi), Zaefrul Nadzarine Nordin (Tuan Delarosa) dan dibantu oleh Artistana Istana Budaya sebagai Penari Kabaret serta Dua Space Dance Theater selaku Korus.

Saya boleh sifatkan sebuah barisan yang baik kredibiliti lakonannya. Nasha Aziz telah membuktikan jaguh di layar perak sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Trauma. Azizah Mahzan, Jalaluddin Hassan dan Safura Yaacob baru mengungguli beberapa kategori utama di Anugerah Seri Angkasa. Soong Ai Ling telah membuktikan bakat lakonannya dalam Teater Muzikal Hang Li Po. Vanidah Imran pula satu nama yang bukan asing dalam dunia teater Melayu.

Jika ada yang sangsi dengan Zuhairi Ibrahim sebagai Muhairi Tirus, beliau sebenarnya merupakan pelakon yang kekal sejak Lantai T.Pinkie dilahirkan di pentas teater. Bermula dengan watak Loiran Sindu, beliau kemudiannya dinaikkan pangkat untuk memegang watak Muhairi Tirus. Kebolehan beliau bermain muzik merupakan aset penting untuk memegang watak teraju utama kerana Muhairi Tirus merupakan seorang pemain akordion di Bunga Joget Moden. Kata-kata yang kononnya Malaysia ketandusan pelakon lelaki berbakat untuk mewarnai dunia teater Melayu adalah salah sama sekali.

Keputusan Nasha Aziz menerima watak sebagai T.Pinkie bermakna ada usaha dari beliau sendiri untuk meningkatkan mutu lakonan beliau. Teater bukan kerja yang main-main. Pelakon-pelakon Malaysia yang bagus-bagus kebanyakannya datang dari teater seperti contohnya Eman Manan, Khalid Salleh, Fauziah Nawi dan sebagainya. Melihat tarian Pinkie pada Majlis Pelancaran Kalendar 2006 Istana Budaya saya agak skeptikal dengan beliau. Apakah Nasha Aziz mampu menghidupkan watak T.Pinkie ? Apakah intonasi dialognya kena dengan emosi yang cuba disampaikan oleh skrip tersebut ? Apakah beliau mampu menyanyi dengan baik ? Skeptikal yang sama timbul apabila Tiara Jacquelina membawakan watak Gusti Puteri dalam Puteri Gunung Ledang The Musical. Inilah cabaran yang perlu beliau hadapi untuk menjadi seorang pelakon yang serba boleh apabila Nasha harus menghidupkan watak Pinkie yang keliru serta tidak tahu mengapa beliau duduk di pentas joget tersebut. Dari segi fizikal (tonggek), Nasha sudah lulus dengan cemerlang.

Kemasukan Soong Ai Ling diharapkan dapat menarik penonton-penonton teater yang baru untuk menonton teater Melayu khususnya. Menerusi Hang Li Po, Soong Ai Ling telah menyerlahkan bakatnya dengan baik. Watak Puteh Su seorang mualaf pada zaman perang yang berhadapan dengan masalah mencari perlindungan baik dari segi fizikal mahu pun rohani.

Kekuatan utama Puteri Gunung Ledang The Musical adalah aspek pemasaran dan publisiti teater tersebut kepada masyarakat. Kaedah pemasaran dan publisiti yang berkesan telah menyebabkan khalayak teater Malaysia ingin mendekati apakah keistimewaan yang ada di dalam PGLtM. Menggunakan pendekatan yang sama, Lantai T.Pinkie seharusnya mencorakkan strategi pemasaran dan publisiti yang lebih berkesan tanpa mengetepikan aspek kualiti persembahan. Ketiga-tiga aspek iaitu pemasaran, publisiti dan kualiti adalah penting untuk mengangkat martabat teater Melayu ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Setelah tiga pementasan berlangsung dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, masih ada di kalangan kita terutamanya wartawan-wartawan generasi baru yang tidak mengenali siapa Pinkie. Apa makna T. pada pangkal namanya. Selain Tengku, T bermaksud tonggek. Tonggek itu yang menjadi pujaan pengunjung kabaret Bunga Joget Moden. Siapakah Tuan Delarosa yang sentiasa menjadi pujaan Nyai Sunarti ? Apakah Nyai Sunarti edisi 2006 iaitu Azizah Mahzan lebih berani dari Erma Fatima yang hampir membuka butang bajunya ? Kalau dahulu Erma Fatima keseorangan, kali ini Azizah Mahzan berteman kerana Tuan Delarosanya dihidupkan untuk meratah tubuh Nyai Sunarti di atas katil Istana Budaya. S.Diman pemuzik nakal yang sentiasa mengusik khayalan Nyai Sunarti dengan “dongdingdongdingdong” nya. Puteh Su dengan pelatnya berbahasa Melayu melafazkan ungkapan salam sambil tersipu-sipu malu berhadapan dengan Jongkidin Jaroi.

Untuk lebih meningkatkan lagi mutu penulisan untuk Lantai T.Pinkie, sebaiknya wartawan-wartawan lama yang aktif sekitar tahun 90an dijemput untuk memberikan pendapat mereka tentang teater muzikal ini. Penulis-penulis lama seperti Datuk Johan Jaafar, Ku Seman Ku Husin dan beberapa lagi tentunya dapat memberikan pandangan positif mereka sewaktu menonton pementasan-pementasan sebelum ini. Itu pun sekiranya mereka menonton.

Teater ini diarahkan oleh Rosminah Tahir, Pengarah yang sama untuk tiga pementasan sebelum ini. Olahan skrip juga telah dilakukan oleh beliau. Pak Ngah Suhaimi Mohd Zain selaku Pengarah Muzik manakala Hamzah Tahir sebagai Pengarah Artistik. Anthony Meh Kim Chuan dari Dua Space Dance Theater bertindak selaku Koreografer dan Mazlan Tahir yang telah pencen sebagai Muhairi Tua dan Azizul Zahid Jamal atau lebih dikenali sebagai Toemoe bertindak sebagai Pereka Tata Cahaya.

Tujuan utama pementasan ini adalah sebagai mengingati dan memberi penghormatan terhadap sumbangan Allahyarham YABhg. Datin Paduka Seri Endon Mahmood yang telah menjadi Penaung Persatuan Penulis Wanita Malaysia sejak ia ditubuhkan.

Pementasan semula teater ini dalam bentuk muzikal adalah juga sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga di atas kerja-kerja seni yang telah dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said demi mempertingkatkan lagi martabat naskhah teater Melayu di negara ini. Ia secara tidak langsung menambahkan bilangan naskhah teater yang berkualiti di negara ini.

Karya sebesar Lantai T.Pinkie perlu disajikan kepada masyarakat terutamanya generasi muda agar mereka menyedari kegetiran hidup masyarakat yang terdahulu. Pementasan ini juga merupakan sumbangan dan komitmen Badan Bukan Kerajaan seperi Persatuan Penulis Wanita Malaysia dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Istana Budaya dan KeKKWA dalam merealitikan corak dan arah tuju kesenian dan kebudayaan negara ini.

Sinopsis Lantai T.Pinkie
Lantai T.Pinkie adalah hidup lara perempuan penari joget di Singapura pada zaman 50an, selepas Perang Dunia Kedua. Kehidupan mereka penuh lara dengan melayani lelaki yang berkunjung ke kelab tersebut.

T.Pinkie atau nama sebenarnya Tengku Seindahkuno ialah antara perempuan yang paling cantik dan terkenal di Bunga Joget Moden, menjadi buruan lelaki termasuklah pemain akordion, Muhairi Tirus.

T.Pinkie, Nyai Sunarti, Siti Udaya, Musalmah Jiing, Puteh Su Abdullah, Jongkidin Jaroi, Muhai dan S.Diman ialah watak-watak yang mewakili zaman tersebut. Mereka bercakap tentang cinta, kasih sayang dan kehidupan tetapi tiada yang dapat dilakukan pada zaman yang penuh dengan linangan air mata dan derita itu. Mereka mempunyai sejarah kehidupan sendiri yang bukan sedikit derita menyelimuti diri mereka. Namun, mereka juga perlu hidup seperti orang lain.

Muhairi dan T.Pinkie, masing-masing memiliki perasaan cinta yang mendalam tetapi tidak dilahirkan secara terus terang sehinggalah T.Pinkie didera oleh suaminya, Gunjoloh. Muhairi dan T.Pinkie lari dari kehidupan itu hingga ke Sarawak. Malangnya, kehidupan bahagia mereka sebagai suami isteri tidak kekal lama kerana selepas itu konfrontasi yang melanda antara Malaysia dan Indonesia telah meninggalkan catatan yang paling hitam dalam hidup Muhairi.

Sekalipun akhirnya keseorangan, Muhairi tetap hidup bersama cinta dan kenangannya bersama T.Pinkie. Dia juga kembali mengenang T.Pinkie, kejahatan Gunjoloh, tawa dan tangis rakan-rakan apabila menyanyikan lagu Johor Sport Club.

Kata Pinkie; “Lantai ini tempat kasut-kasut bercerita...

Berjayakah Nasha Aziz bercerita di atas Lantai Bunga Joget Moden ? Berjayakah Azizah Mahzan menzahirkan cintanya terhadap Tuan Delarosa ? Berjayakah Muhairi Tirus mengimbas nostalgia kenangannya terhadap T.Pinkie ? Semua ini akan terjawab apabila Teater Muzikal Lantai T.Pinkie menemui khalayak teater pada 28 April hingga 7 Mei di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur. Tiket berharga RM20, RM30, RM50, RM70 dan RM150 boleh didapati di Istana Budaya atau melalui http://www.ticket2u.biz. Maklumat lanjut produksi boleh dilayari di http://lantaitpinkie.blogspot.com.

Saya turut menyelitkan satu pungutan suara online baru untuk pembaca saya jawab. Topiknya adalah berkaitan musim Akademi Fantasia yang akan berlangsung tidak lama lagi. “Apakah yang anda mahu untuk musim ini ?”.

Sama ada saya mengekalkan Ulasan Diari Harian / Konsert / Imbasan atau hanya inginkan Ulasan Konsert sahaja atau tiada Ulasan Harian / Konsert / Imbasan langsung atau hanya Ruangan Santau Minda atau hanya Ruangan Komen Pembaca. Sekiranya ada cadangan-cadangan lain, sila nyatakan. Keputusan pengundian tidak akan mempengaruhi keputusan yang telah saya buat sebelum ini. Terima kasih.

Entri oleh sultanmuzaffar 15 March 2006 0 komen

Top 5 Anugerah Industri Muzik 13

AIM-less Nikki

Di bawah ini disertakan Penilaian Awal saya berserta dengan Pilihan Juri. Sama ada mengena atau tidak bergantung kepada pengumuman 5 Pilihan Akhir AIM 13 pada petang ini.

Artis Harapan
Penilaian Awal : Amylea, Marsha, Idayu, Akma, Felix
Pilihan Juri :
Amylea
Felix
Marsha
Premelodic
Ridzuan

Artis Baru Terbaik
Penilaian Awal : Jaclyn Victor, Dina, Nikki, Sharifah Zarina, Adibah Noor
Pilihan Juri :
Adibah Noor
Ahli Fiqir
Dina
Jaclyn Victor
Sharifah Zarina

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki
Penilaian Awal : Jamal Abdillah, Hazami, Vince, Awie, Tam Spider
Pilihan Juri :
Hazami - Kata
Jamal Abdillah - Aku Penghibur
Mus (May) - Live & Unplugged at Planet '05
Rithan (Deja Voodoo Spells) - I Am What I Am
Shanon - Di Landa Cinta

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Wanita
Penilaian Awal : Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Sarah Raisuddin, Siti Nurhaliza
Pilihan Juri :
Adibah Noor - Terlalu Istimewa
Anita Sarawak - Anita Sarawak/Another Dimension
Dina - Cinta Datang Lagi
Jaclyn Victor - Gemilang
Siti Nurhaliza - Siti Nurhaliza In Concert at Royal Albert Hall, London

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Duo/Kumpulan
Penilaian Awal : Raihan, VE, Ruffedge, Too Phat
Pilihan Juri :
Rabbani - Suara Takbir
Raihan - Ameen
RuffEdge - Ruffera
Too Phat - Rebirth Into Reality
VE - For You

Kulit Album Terbaik
Pilihan Juri :
Bert Ismesth Ulam Raja - Rebirth Into Reality - Too Phat
Cheah Wei Chun - Anita Sarawak/Another Dimension - Anita Sarawak
Nizam Rahmat - Lain - Fazley
William Liew - Lebih Baik - Amy Mastura
Zulkiflee Z'abidin & Nitrus - Rasa - Nitrus

Rakaman Album Terbaik
Penilaian Awal : Maharani (Nikki), Kasih (Dayang Nurfaizah)
Pilihan Juri :
Edry - Anita Sarawak/Another Dimension - Anita Sarawak
Jenny Chin, Greg Henderson, Zailan Razak, Rahmad Ayob, Rosli Selasih, Acis & Simon - Kasih - Dayang Nurfaizah
Peter Chong, Kalvin Tan, Azlan Abu Hassan, Rumie Booty, Jenny Chin, Riza Omar, Che Mat, Alfie Zainal, Mohariz Yaakup, Zairi & Sunil Kumar - Gemilang - Jaclyn Victor
Greg Henderson & Lo - The Fall - Lo
Illegal & Yasin - Rebirth Into Reality - Too Phat

Video Muzik Terbaik
Penilaian Awal : Tak Tahu (Adam AF2), Sleepy Head (Jason Lo)
Pilihan Juri :
Henry Ooi - Sleepy Head - Lo
Hue Team - Hollywood Holiday - Love Me Butch
Joey Khor - Angguk-Angguk, Geleng-Geleng - Ahli Fiqir
Nan Sulong & Hafiz Ibrahim - Terlalu Istimewa - Adibah Noor
Yusry - Tak Tahu - Adam

Album Nasyid Terbaik
Pilihan Juri :
Ameen - Raihan - Bakafro
Brothers Reunited - Brothers - Yasin, Syah & Farihin
Far East - Far East - Greg Henderson
Satu Dekad - UNIC - Faizal Osman, Munif Ahmad & Isman Isam
Suara Takbir - Rabbani - Archie

Album Pop Rock Terbaik
Pilihan Juri :
Cendera Jiwa - Flop Poppy - Andy & Mijie (Flop Poppy)
Rasa - Nitrus - Eddie & Syed (Nitrus)
Santai - Awie - Edrie Hashim
Spider Live at Planet Hollywood - Spider - Keon & Boon Tan
Zoul - Zoul - Zoul & M. Nasir

Album Hard Rock Terbaik
Pilihan Juri :
Cakap Terang - Barongan - Barongan & Jean Lau
Live & Unplugged at Planet '05 - May - Boon Tan & Rosmin Hashim
Radio Tanah Melayu - O2 - Boon Tan
Suatu Evolusi - Jinbara - Andi Rahman

Album Pop Terbaik
Penilaian Awal : Kasih (Dayang Nurfaizah), Kata (Hazami), Gemilang (Jaclyn Victor), Maharani (Nikki), Teristimewa (Adibah Noor), Siti Nurhaliza in Concert Royal Albert Hall, London (Siti Nurhaliza)
Pilihan Juri :
Aku Penghibur - Jamal Abdillah - Fauzi Marzuki & Arab
Gemilang - Jaclyn Victor - Aidit Alfian, Ajai, Azlan Abu Hassan, Edrie Hashim, Jenny Chin, Mohariz Yaakup, Ramli MS, Aubrey Suwito, Sunil Kumar, Michael Simon & Ahmad Izham
Kasih - Dayang Nurfaizah - Jenny Chin, Zailan Razak & Rosli Selasih
Kata - Hazami - Arab & Hazami
Terlalu Istimewa - Adibah Noor - Adibah Noor, Azlan Abu Hassan, Mohariz Yaakup, jock Chew, Badrul "The Muffins"

Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik
Pilihan Juri : Deja Voodoo Spells, Mass Raw, Saer Ze

Artis Inggeris Tempatan Terbaik
Pilihan Juri :
Anita Sarawak/Another Dimension - Anita Sarawak - Archie Nasution
For You - VE - Zaf, Lah, Cham, Shah & Damian Shortysoul
Here & Now - Pop Shuvit - JD & Greg Henderson
Rebirth Into Reality - Too Phat - Malique, Joe Flizzow, DJ T-Bone, Terry Lee, Illegal, Yasin, Jae Chong, Machi, Carlo Nanni & D'Navigator
The Fall - Lo - Lo

Album Indonesia Terbaik
Penilaian Awal : Laskar Cinta (Dewa)
Pilihan Juri :
Alexandria - Pertepan - Capling, Koni & Noey
Kembali - Rossa - Yonathan Nugroho
Langkah Baru - Radja - Isfan Fajar Satyo & Radja
Padi - Padi - Piyu, Jan Djuhana & Padi
Silver - Glenn Fredly - Jan Djuhana & Glenn Fredly

Susunan Lagu Terbaik Di Dalam Album
Penilaian Awal : Aduh Saliha, Gemilang
Pilihan Juri :
Azlan Abu Hassan - Ikan Di Laut, Asam Di Darat - Adibah Noor
Azlan Abu Hassan - Kata - Hazami
Alfa Booty - Di Bawah Pohon Asmara - Jaclyn Victor
Alfa Booty & Masrumie Booty - Tak Tercapai Akalmu - Elyana
Ramli MS - Gemilang - Jaclyn Victor

Lagu Terbaik
Penilaian Awal : Gemilang, Elegi Sepi, Langit Ke Tujuh, Pinta, Aduh Saliha
Pilihan Juri :
Ajai - Habsah Hassan & Shuhaimi Baba - Ku Seru - Misha Omar
Aubrey Suwito - Asmin Mudin - Gemilang - Jaclyn Victor
Ayub Ibrahim - Habsah Hassan - Warkah Buat Laila - Zahid
Azlan Abu Hassan - Adibah Noor - Terlalu Istimewa - Adibah Noor
M. Nasir - Loloq - Aduh Saliha - Mawi

Petang tadi saya sempat untuk melihat perkembangan terkini industri muzik tempatan apabila berlangsungnya Majlis Pengumuman Top 5 untuk Anugerah Industri Muzik 13. Angka 13 bukan merupakan angka yang paling bertuah dan badinya turut singgah ke AIM edisi ini.

Jaclyn Victor menerusi album Gemilang mendominasi pencalonan apabila terpilih dalam senarai akhir dalam 6 kategori untuk 7 pencalonan yang terdiri daripada Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), Rakaman Album Terbaik, Album Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu untuk lagu Di Bawah Pohon Asmara dan Gemilang serta Lagu Terbaik.

Manakala Adibah Noor mengekori rapat untuk enam pencalonan menerusi enam kategori iaitu Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), Video Muzik Terbaik, Album Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu Ikan Di Laut, Asam Di Darat dan Lagu Terbaik untuk lagu Terlalu Istimewa.

Anita Sarawak membuat kejutan apabila album Inggerisnya yang bertajuk Anita Sarawak Another Dimension mengungguli empat pencalonan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Album Inggeris Tempatan Terbaik. Bersaing dalam kategori yang sama adalah Too Phat menerusi album Rebirth Into Reality kecuali untuk kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album.

Artis-artis lain yang bernasib baik tercalon pada AIM kali ini antara lainnya ialah LO dan Hazami untuk tiga kategori, Jamal Abdillah, Mus (MAY), Ahli Fiqir, Rabbani, Raihan, VE, Dina, Dayang Nurfaizah, Nitrus dan Rithan (Deja Voodoo Spells)

Diva dan Bintang Paling Popular Malaysia, Siti Nurhaliza dan Mawi masing-masing memperoleh calon untuk satu kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) dan Lagu Terbaik untuk lagu Aduh Saliha.

Artis lain yang berjaya memboloskan diri mereka ke dalam kelompok elit calon AIM antara lainnya ialah Adam, Awie, Fazley, Flop Poppy, Amy Mastura, Zahid, Misha Omar, Elyana, Love Me Butch, Brothers, Far East, UNIC, Spider, Zoul, Barongan, Ruffedge, Sharifah Zarina, Pop Shuvit, Amylea, Felix, Marsha, Premelodic, Ridzuan, O2, Jinbara, Mass Raw, Saer Ze, Shanon, Peterpan, Rossa, Radja, Padi dan Glen Fredly.

Sidang akhbar AIM ke 13 turut terkena tempias celaka angka 13 apabila berlangsung dalam suasana yang agak hangat apabila beberapa wartawan mempersoalkan pemilihan Ahli Fiqir sebagai finalis untuk kategori Artis Baru Terbaik dan Video Muzik Terbaik. Ini adalah kerana Ahli Fiqir bukan warganegara Malaysia. Kewajaran mengangkat mereka dalam kategori yang sepatutnya lebih menghargai bakat tempatan adalah amat mengejutkan. Tidak sekadar Ahli Fiqir, Zoul juga merupakan warganegara Singapura yang turut dicalonkan di dalam kategori Album Pop Rock Terbaik. Rasional dari Akademi Industri Muzik Malaysia menyatakan kemasukan calon dari negara Singapura telah pun berlaku sejak dua atau tiga tahun yang lalu adalah untuk mewujudkan persaingan di kalangan penggiat industri muzik Malaysia. Ini bermakna, penyanyi dari Indonesia dan Singapura boleh bertanding dalam AIM dengan menggunakan tenaga pakar muzik dari Malaysia. Bayangkan apabila album Kris Dayanti diterbitkan oleh penerbit Malaysia, ada kemungkinan Kris Dayanti boleh tercalon untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita). Itu baru seorang. Bayangkan ada dua atau tiga penyanyi terbaik Indonesia yang turut menggunakan formula yang sama. Lama-kelamaan nama-nama finalis pilihan lima terbaik akan dimonopoli oleh penyanyi Indonesia sama seperti bagaimana buruh Indonesia menguasai tenaga kerja buruh tempatan. Ya, bangunan akan siap dengan baik dan cepat tetapi kemegahan itu akan hilang kerana ia bukan dibina oleh rakyat tempatan. Hal yang sama akan berlaku dan jati diri industri muzik akan lupus.

Penyenaraian kategori untuk AIM perlu dibuat dengan lebih teliti terutamanya apabila ingin membuang kategori atau memasukkan kategori baru. Kategori Album Pop Etnik Terbaik dibuang dari senarai kerana bilangan calon tidak mencukupi. Hanya terdapat dua calon sahaja yang layak untuk dinilai dalam kategori tersebut. Umum mengetahui bahawa kategori ini pernah unggul satu ketika dahulu. Antara artis yang telah berjaya mempopularkan kategori ini ialah Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan Tan Sri SM Salim. Sekadar menyebut beberapa nama. Sayangnya, kategori yang melibatkan jati diri bangsa Malaysia dibuang dari senarai kategori. Saya boleh sifatkan irama pop etnik sebagai jati diri bangsa Malaysia. Di situ letaknya kekuatan jati diri kita sebagai anak Melayu. Kesan kelembapan ekonomi dan pasaran muzik sedemikian, kurangnya album pop etnik dihasilkan dan kategori tersebut dilupuskan. Sewajarnya Akademi Industri Muzik Malaysia selaku pencetus hala tuju industri Malaysia mengekalkan kategori tersebut agar khazanah muzik tempatan lebih-lebih lagi untuk pop etnik dapat dikekalkan hayatnya.

Sebagai langkah mengikut perkembangan semasa industri muzik tempatan, kategori Album Mini Terbaik perlu diwujudkan. Bukan untuk memberi laluan mudah kepada Mawi untuk menang di AIM tetapi untuk memberi peluang kepada syarikat-syarikat rakaman yang mempunyai model perniagaan mereka sendiri untuk manfaat pembeli album tempatan. Album Nasyid Terbaik dan Album Hard Rock Terbaik tidak pernah ada dalam senarai kategori satu ketika dahulu. Kesan populariti muzik nasyid dan hard rock, kategori tersebut diwujudkan. Walaupun kategori hard rock kini semakin merosot bilangan pencalonannya, begitu juga dengan kategori Artis Inggeris Tempatan Terbaik. Satu ketika dahulu industri muzik Malaysia pernah dilanda demam urban apabila album seperti Too Phat dan Innuendo menguasai pasaran.

Penghasilan album mini telah pun berlaku sejak album Waheeda yang menyenaraikan lagu Wasinni popular di kalangan pendengar muzik tempatan iaitu tiga tahun yang lalu. Album tersebut pernah ditolak pencalonannya kerana tidak menepati syarat yang diguna pakai oleh AIM. Album Mawi Yang Tercinta bukan merupakan album yang pertama ditolak pencalonannya, Wassini oleh Waheeda lebih awal ditolak pencalonannya. Namun demikian, pembikinan album mini yang lebih rendah kosnya menjadi semakin popular tetapi masih belum ada pencalonan untuk kategori Album Mini Terbaik.

Kesan daripada itu, keputusan untuk menyenaraikan atau membuang kategori perlu dilakukan dengan teliti kerana ia sedikit sebanyak dapat menentukan hala tuju industri.

Kita redakan sedikit melihat setiap pencalonan yang telah tersenarai pada petang tadi. Sebelum memulakan huraian, saya harus memberitahu kepada semua bahawa album The Best of Mawi World dan Yang Tercinta turut dihantar untuk penilaian dalam enam kategori iaitu Kulit Album Terbaik, lapan lagu untuk Susunan Muzik Di Dalam Lagu, lapan lagu untuk Lagu Terbaik, Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) dan Album Pop Terbaik. Jika ada yang menyatakan album tersebut ditolak pencalonan keseluruhannya adalah salah kerana album Yang Tercinta hanya tidak layak untuk dinilai dalam beberapa kategori yang mewakili produksi secara keseluruhannya. Untuk lagu, susunan ia masih layak untuk dinilai. Contohnya, untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Mawi dinilai menerusi album The Best Of Mawi World dan bukannya Yang Tercinta. Untuk Lagu Terbaik dan Susunan Muzik, ia dinilai dari kesemua lapan lagu yang terkandung di dalam album Yang Tercinta. Keliru ? Itu normal ! Saya juga pada mulanya agak keliru. Sekurang-kurangnya sangkut satu kategori yang boleh disifatkan utama dalam AIM iaitu Lagu Terbaik. Lebih mudah kerana tumpuan peminat dapat dijanakan hanya untuk kategori tersebut. Eh ! Tiada undian SMS diperlukan. Harap maaf !

Artis Harapan pada tahun lepas didominasi oleh bintang realiti Akademi Fantasia. Pada tahun ini menyenaraikan Amylea, Felix dan Marsha. Premelodic yang popular dengan lagu Suratan Atau Kebetulan, manakala Ridzuan yang baru sahaja berumur 16 tahun tetapi mempunyai vokal yang lantang seperti Josh Groban.

Untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) tersenarai nama-nama baru seperti Rithan (Deja Voodoo Spells), Shanon dan Hazami. Bagi saya, kejutan datang dari Mus (MAY) menerusi album Live & Unplugged at Planet ’05. Antara Mus dan Mawi, saya lebih rela Mawi tersenarai.

Komen saya untuk kategori Artis Baru Terbaik. Saya terkejut dan terkilan. Saya menganggap ini sebagai satu pengalaman yang sukar diperoleh oleh mana-mana pihak. Pengalaman ini mendekatkan saya dengan penggiat industri muzik tempatan dan pengalaman mendekati kerja-kerja mereka adalah sesuatu yang berharga dan amat bernilai dalam diri saya. Nikki tidak tersenarai dalam kategori tersebut. Kalau saya kecewa, peminat Mawi lagi kecewa kerana Mawi juga tidak tersenarai. Adalah sesuatu yang pelik apabila juri peringkat regional iaitu di Anugerah Planet Muzik telah mencalonkan Nikki untuk kategori Artis Baru Wanita Terbaik, tetapi tidak oleh juri di Malaysia. Lebih pelik sekiranya Ahli Fiqir yang menang kategori tersebut dan dalam waktu yang sama mereka menang Artis Singapura Terbaik di APM. Bak kata pepatah (sambil angkat dan hayun tangan kiri ala-ala Karam Singh Walia) “gajah depan mata tak nampak, kuman seberang laut nampak” atau “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Kalau benar Shanon layak untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), apakah kurangnya beliau untuk tersenarai dalam kategori Artis Baru Terbaik ? Sudah bukan rezeki...

Apakah makna Baru ? Dalam konteks ini, Artis Baru Terbaik bermakna artis yang pertama kali menghasilkan album penuh. Tetapi Gemilang merupakan album kedua Jaclyn Victor, bukan album pertamanya. Album pertamanya berjudul Dream. Apakah ada kesilapan teknikal di sini sama seperti tahun sudah apabila Jaclyn Victor dinilai dalam kategori Artis Harapan walaupun telah mempunyai album penuh ? Bukan cemburu sekadar inginkan penjelasan. Man Bai pernah memenangi kategori ini walaupun pernah menghasilkan album bersama kumpulan Gersang. Namun, penyenaraiannya adalah kerana album solo. Tetapi kedua-dua album iaitu Gemilang dan Dream merupakan album solo Jac.

Dalam sedikit rasa kecewa, saya gembira kerana Siti Nurhaliza masih tersenarai dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) dengan album Siti Nurhaliza in Concert Royal Albert Hall, London. Kalau ikut rasa pilih kasih, sudah tentu saya mahu melihat Siti Nurhaliza menang lagi buat kali yang ke entah berapa kali dalam kategori ini. Saingannya hebat-hebat belaka tentunya datang dari Anita Sarawak dan Adibah Noor. Kemusykilan timbul juga apabila album keramat di Royal Albert Hall, London tidak tersenarai dalam kategori Album Pop Terbaik kerana saya menyifatkan album tersebut lebih baik dari album Gemilang. Usaha yang dilakukan untuk album tersebut lebih nampak tersusun berbanding Gemilang. Saya memang dari dulu lagi kurang menyukai album Gemilang.

Lagu-lagu yang tersenarai dalam kategori Lagu Terbaik adalah lagu-lagu yang sememangnya berkualiti tinggi dan pernah memenangi beberapa pertandingan baik di peringkat negara atau pun antarabangsa. Ku Seru dan Terlalu Istimewa belum lagi dipertandingkan dalam mana-mana pertandingan sebelum ini dan ini sedikit menyukarkan penilaian saya. Sekali lagi lagu Gemilang dan Aduh Saliha beradu kekuatan di peringkat yang lebih berprestij. Warkah Buat Laila pernah memenangi kategori Lagu Tema Terbaik di Festival Filem Malaysia. Semua lagu yang kuat-kuat belaka. Jangan terkejut kalau saya katakan saya lebih suka kepada lagu Ku Seru oleh Misha Omar.

Tunggu sahaja AIM 13 yang akan berlangsung pada 29 April 2006 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), Kuala Lumpur. Tunggu sahaja Mulut Laser ERA yang akan mengulas cerita-cerita hangat yang berlaku sewaktu sidang media tersebut.

Antara album yang sempat saya ulas ialah :-
Ulasan Album Terlalu Istimewa Adibah Noor
Ulasan Album Gemilang Jaclyn Victor
Ulasan Album Wo !! Zahid
Ulasan Album Siti Nurhaliza In Concert, RAH, London
Ulasan Album EVO 05
Ulasan Album Maharani Nikki
Laman Web AIM13
Komen Lain : Klubbkidd
Kredit GIF Animated : Ningclix

Nota : Semakin saya dekat dengan industri, semakin terdedah rahsia mereka. Saya rindukan zaman ketika saya jauh dengan industri dan hanya sekadar memerhati dari jauh.

Entri oleh sultanmuzaffar 14 March 2006 0 komen

WRIT SAMAN

DI DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA (BAHAGIAN SIVIL)

GUAMAN SIVIL NO:

ANTARA

KAMI @ MANUSIA-MANUSIA YANG MENDERITA (PLAINTIF)

DAN

ENGKAU @ RAKYAT MALAYSIA YANG BIJAKSANA (DEFENDAN)

WRIT SAMAN

“YANG AMAT ARIF TAN SRI DATO’ SITI NORHALIJAH BINTI TAJUDDIN, P.S.M., D.S.N.S., J.S.M., HAKIM BESAR MALAYA ATAS NAMA DAN BAGI PIHAK SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG”


Kepada :
ENGKAU @ RAKYAT MALAYSIA YANG BIJAKSANA
NO. 12, JALAN 24, SECTION 5
67890, MANA-MANA DI MALAYSIA
MALAYSIA

KAMI PERINTAHKAN KAMU bahawa dalam tempoh lapan (8) hari selepas penyampaian Writ ini ke atas kamu, termasuklah hari penyampaian itu, kamu hendaklah menyebabkan kehadiran dimasukkan untuk diri kamu dalam klausa atau guaman dan ambil perhatian bahawa jika kamu ingkar berbuat demikian, Plaintif boleh meneruskan untuk mendapatkan penghakiman dan pelaksanaan.

DISAKSIKAN OLEH ASMAWI BIN ANI., Timbalan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Malaya pada 27 haribulan Januari 2006


FIEBIE DANIELLE DE LA ROSSA
..................................................................
Peguamcara Plaintif
Timbalan Pendaftar
Mahkamah Tinggi Malaya
Kuala Lumpur


************************************

Mak nak saman semua pembaca blog mak semua RM 2 ke RM10 seorang. Saman ini adalah perlu dilakukan sebab tadi masa mak tengok Rancangan Bersama Mu TV3, mak meraung-raung macam orang hilang akal kat rumah. Meleleh air mata mak nengok recap rancangan ini.

Mak sedih sangat sampai tak tertanggung jiwa melihat penderitaan yang dialami oleh orang-orang yang serba kekurangan, dihimpit kesusahan dan menderita kesakitan.

Mak makin sedih bila mak bandingkan diri mak yang serba kekurangan dengan orang-orang yang dipaparkan di dalam rancangan tu, sebenarnya mak jauh lebih mewah, jauh lebih senang, dan lebih bertuah dari mak sangkakan. Rancangan-rancangan macam ini membuka mata mak untuk melihat sesuatu perkara itu dalam bentuk yang lebih indah. Mak cuba melihat kekurangan mak sebenarnya bukanlah seteruk yang disangka. Cuba menyedarkan mak yang mak ini sebenarnya manusia bertuah, mungkin tidak bertuah mana, tapi nasib mak lebih baik dari orang-orang yang menderita itu.

Yang paling mak tak tahan bila mak tengok ada seorang tu yang dilanggar lari dan nampak macam mayat hidup (maafkan pengunaan perkataan mak) tapi bila di tanya sapa nama ayah, sapa nama ibu, dia masih boleh menjawab. Maksudnya walaupun dia kelihatan sebegitu, dia masih boleh berfikir, dan di mindanya kita semua tak tahu apa yang sedang difikirkan. Lepas tu mak tengok ada adik dari Sarawak yang menderita sakit JE. Misi kat hospital tu jolok-jolok kerongkong dia yang dilubangkan, lepas tu dirodok-rodok paip kecil dalam lubang hidung dia sampai nampak dia macam nak muntah terbelahak, menangis menahan kesakitan. Mak seolah-olah dapat merasakan kesakitan itu. Cuba jolok kerongkong kita dengan jari, rasakan kesakitannya, dan cuba lakukan ia hari-hari, tetapi dengan paip getah sepanjang semeter.

As i am writing this menitis air mata mak cuba memahami penderitaan yang ditanggung oleh orang-orang yang menderita ini. Tapi mak memang pondan pun, dan pondan memang suka nangis nak buat camna. Walaupun ada halkum dan takde tetek.

Mak makin sedih bila mak terfikir dan terdengar pengacara itu meminta merintih-rintih pendengar rancangan itu untuk menderma. Mak semakin sedih bila mak tengok Dana yang ada setelah siri itu ditayangkan hampir setahun tak sampai beberapa ratus ribu, tapi rancangan-rancangan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol boleh memeras wang sms sebanyak itu dalam masa satu hari saja.

Mak terfikir perlu ke kita jadikan rancangan bersama ini sebagai satu rancangan realiti baru orang nak bantu. Kita amik orang-orang yang miskin, yang menderita kita masukkan di dalam satu banglow kemudian kita suruh mereka bertanding antara satu sama lain. Sapa paling kurus, sapa paling daif makanannya, sapa paling banyak airmatanya menanggung kesakitan, akan diundi. Kemudian ada kamera tersorok yang akan mengambil gambar orang-orang ini menderita, menahan kesakitan, melihat ibu-ibu kanak-kanak itu menangis meminta kepada tuhan pada waktu malam supaya anak-anak mereka tidak melihat airmata mereka dan sebagainya.

Jadi mak nak saman semua pembaca-pembaca blog, kawan-kawan mak dan orang yang suka mengeji mak dalam blog ini sebanyak RM2 hingga RM10.


*******************************
DI ATAS ARAHAN

MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA (BAHAGIAN SIVIL)

ANTARA

KAMI @ MANUSIA-MANUSIA YANG MENDERITA (PLAINTIF)

DAN

ENGKAU @ RAKYAT MALAYSIA YANG BIJAKSANA (DEFENDAN)

DEFENDEN ADALAH DIKEHENDAKI UNTUK

Dalam kes ini, defenden tidak dikehendaki untuk membela diri mereka atau mengambil peguambela. Defenden dikehendaki untuk mengaku bersalah dan membayar kos dan saman yang dikeluarkan. Defenden dikehendaki untuk sukarela membayar kos mahkamah dan jumlah saman sebanyak RM 1 sehingga RM10, atau mana-mana nilai tertinggi yang dirasa oleh defenden.

Defenden dengan ini dikehendaki untuk mengambil telefon bimbit mereka (pastikan berkredit hanjeng) dan mengikut arahan dan SMSkan perkara-perkara berikut:

Sila type TABUNG dan masukkan jumlah saman yang ingin di bayar. Sebagai contoh, jika saman yang ingin dibayar adalah RM2, taip Tabung2 dan hantarkan kepada 33533. Saman melalui SMS boleh dilakukan dalam nilai RM2, RM5 dan RM10 dan dilakukan berkali-kali macam mana korang berkali-kali sms Mawi sampai dia dapat 3-4 biji kereta. (Standard telecommunication rates are applicable per SMS)

*eh check dulu betul ke no aku kasi tu ek sebelum membayar sama- thank you

ATAU

Tuliskan cek kepada Tabung Bersamamu TV3 dan hantarkan ke SeriPentas.

ATAU

Bersimpati sedikit dan cuba membuka minda untuk memahami kesedihan itu.

Sekian terima kasih.

DISAKSIKAN OLEH ASMAWI BIN ANI., Timbalan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Malaya pada 27 haribulan Januari 2006

DIHAKIMI OLEH “YANG AMAT ARIF TAN SRI DATO’ SITI NORHALIJAH BINTI TAJUDDIN, P.S.M., D.S.N.S., J.S.M., HAKIM BESAR MALAYA ATAS NAMA DAN BAGI PIHAK SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG”


FIEBIE DANIELLE DE LA ROSSA
..................................................................
Peguamcara Plaintif
Timbalan Pendaftar
Mahkamah Tinggi Malaya
Kuala Lumpur

Nota : Saya jarang benar potong dan tampal artikel atau entri blog penulis lain ke dalam blog saya sendiri melainkan ia benar-benar menyentuh perasaan dan mencuit hati saya. Saya pernah menyiarkan entri Bluehikari bertajuk "Peritnya Mencari Sesuap Nasi" yang disangkakan tulisan saya. Kali ini saya menyiarkan "Writ Saman" tulisan Fiebie untuk anda semua menilai dan mendapat sedikit pengajaran daripadanya. Maafkan setiap bahasa atau perkataan-perkataannya yang melampaui batas, tetapi anggaplah ia sebagai satu medium dari beliau untuk menyampaikan apa yang terbuku di dalam hatinya. Apa yang layak kita panggil untuk tulisan sebegini ? Sejuta bintang di langit, tidak akan sama dengan bintang penulisan ini !! Tahniah untuk Fiebie !

Entri oleh sultanmuzaffar 13 March 2006 0 komen

Anugerah Seri Angkasa
Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre

Kata orang anugerah ini menghimpunkan ke semua stesen televisyen dan stesen radio untuk bertanding merebut anugerah yang dikatakan berprestij di Malaysia. Kalau di Barat, mereka mempunyai Emmy Awards, di sini kita mempunyai Anugerah Seri Angkasa. Seperti Anugerah Seri Angkasa, Emmy Awards turut menghimpunkan hampir kesemua stesen penyiaran yang ada. Sebut sahaja semuanya ada yang terdiri daripada FOX, CBS, NBC, HBO, ABC dan USA adalah antara yang popular. Untuk Anugerah Seri Angkasa kita ada RTM, TV3, NTV7, Astro, 8TV, Best104, StarFM, AMP, Cats, IKIM dan ManisFM.

Persaingan ini telah mewujudkan sebuah persaingan yang sihat antara stesen tv yang ada dalam menghasilkan program-program yang kreatif, berkesan dan bermutu untuk memenuhi cita rasa dan keperluan penonton dan pendengar.

Apabila keputusan anugerah ini dimonopoli oleh RTM yang membolot 33 anugerah, saya terfikir apakah ini bermakna terbaik tidak semestinya popular.

Astro mengekori di tempat kedua walaupun jauh ketinggalan dengan hanya 9 anugerah. Namun demikian, kebanyakan anugerah yang dibolot Astro adalah anugerah utama iaitu Drama TV Terbaik (Hari Hari Terakhir Seorang Perempuan), Pengarah Drama TV Terbaik (Hari Hari Terakhir Seorang Perempuan), Pelakon Wanita TV Terbaik (Safura), Pengacara TV Terbaik (Aznil Nawawi), Hiburan Bersiri TV Terbaik (Macam Macam Aznil), Dokumentari TV Terbaik (Profil Seni), Talk Show TV Terbaik (Halim Othman Live), Game Show TV Terbaik (Kunci Khazanah) dan Montaj/Teaser TV Terbaik (Konsert AF3). Program realiti paling popular di Malaysia iaitu Akademi Fantasia gagal untuk merebut anugerah Program Realiti TV Terbaik sebaliknya ia dimenangi oleh Explorace (TV3). Senario ini juga membuatkan saya terfikir sejenak, apabila yang popular belum tentu yang terbaik.

Kejutan pada malam pertama apabila salah satu rancangan terbitan Astro iaitu Konsert Akustik Siti Nurhaliza, Siti Nurhaliza in Concert at Royal Albert Hall, London 2005 dan Anugerah ERA 2005 gagal menyekat Raya nite Live (NTV7) untuk kategori Muzikal Khas TV Terbaik. Lebih mengejutkan apabila set Anugerah ERA 2005 gagal menyaingi set tajaan IKEA untuk DJ@2 Episod 18 (Hos Gary) terbitan RTM.

Drama Sutun terbitan RTM yang menguasai 7 pencalonan untuk kategori drama juga pulang tangan kosong pada malam tersebut.

Pengacara pada malam kedua iaitu Aznil Nawawi dan Raja Azura sedikit sebanyak telah menyelamatkan kebosanan pada malam tersebut. Aznil Nawawi sememangnya seorang yang versatil untuk mengacarakan majlis-majlis sebegitu.

Persembahan pada malam tersebut adalah biasa sahaja. Antara yang diingati adalah persembahan duet Jaclyn Victor dan Ning Baizura. Ramai juga yang mengatakan mereka miming kerana mereka mampu untuk mengekalkan tahap stamina mereka dalam koreografi yang hebat untuk lagu-lagu tersebut. Saya yang berada di dewan merasakan mereka telah mempersembahkan lagu mereka secara langsung, tanpa miming. Pada malam pertama Jamal Abdillah sekali lagi tidak dapat melupakan tabiatnya iaitu lalok dan lupa lirik. Sewajarnya stesen penyiaran lebih berwaspada di masa akan datang kerana menerima Jamal Abdillah dalah senarai penyanyi yang akan membuat persembahan adalah satu risiko besar yang harus ditanggung oleh stesen penyiaran. Dalam keadaan separuh sedar, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Persembahan Datuk Sharifah Aini tiada nyawa apabila beliau hanya miming untuk kedua-dua buah lagunya iaitu Nourel Ain dan Bunga Tanjung. Lagu Bunga Tanjung adalah lagu yang paling susah untuk dinyanyikan dan oleh sebab itu beliau harus miming. Saya suka dengan persembahan Too Phat dan Camelia untuk lagu pertama iaitu Seiring dan Sejalan. Lagu tersebut semacam segar apabila diberikan nafas baru. Persembahan Mohram terlalu lama dengan lagu-lagu instrumental yang tidak begitu mesra di telinga penonton. Lebih menarik sekiranya Mohram digabungkan menjadi pemuzik iringan pada malam tersebut agar muzik iringan menjadi lebih segar dengan nafas baru. Walaupun tidak banyak muzik iringan digunakan kerana penyanyi lebih selesa miming dan menggunakan minus-one. Persembahan penutup dari Awie dan Amy sepatutnya menjadi lebih hangat, sayang sekali masalah audio merosakkan persembahan Amy. Amy lebih banyak menjauhkan diri daripada Awie kerana gangguan pembesar suara. Sebelum itu, M.Nasir dan Mawi mempersembahkan rangkaian lagu Kian, Lagu Cinta Lagu Jiwa dan sebuah lagu baru dari M.Nasir. Sebuah persembahan yang Perfect ! :) Perfect dalam senyum maknanya lain tau !!! Eh ! Gandingan duet tersebut bukan buat persembahan paling akhir lah ! Baru perasan. Nampaknya ada lagi yang lebih star dari duo perfect tersebut walaupun yang lebih star itu pernah dipotong rambutnya oleh Tok Mat.

Aznil Nawawi telah membuktikan yang beliau Pengacara TV Popular dan Pengacara TV Terbaik. Sutun masih sekadar popular di hati penonton, tetapi belum mampu mencapai yang terbaik. Rosyam Noor mampu membolot anugerah popular dan di Anugerah Seri Angkasa membolot anugerah Personaliti TV Versatil.

Persoalan untuk dibincangkan : apakah yang terbaik itu, belum cukup popular ? Atau yang popular belum cukup terbaik ?

Malam Pertama : Bosan
Malam Kedua : Boleh Tahan

RTM - 33 anugerah
Astro - 9 anugerah
TV3 - 4 anugerah
NTV7 - 3 anugerah
Best 104 - 3 anugerah
8TV - 2 anugerah
StarFM - 1 anugerah
AMP - 1 anugerah

Entri oleh sultanmuzaffar 11 March 2006 0 komen

Siri Wawancara bersama Sutun II - 3
Adek dan Lukman

S : Ceritakan sedikit tentang latar belakang diri anda ? Ceritakan sedikit tentang watak anda ? Siapa reference anda untuk watak ini ?

A : Nama Adek ialah Ku Mohd Yusri Ku Abdul Rahman dan kini berumur 22 tahun. Saya merupakan graduan Akademi Seni Kebangsaan dan bidang teater dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di Universiti Malaya dan bidang Performing Arts. Adek menggunakan pengarah sebagai reference Adek kerana Adek tidak dapat mencari reference sendiri. Melalui watak Adek terdapat positif dan negatif bergantung pada pemahaman penonton. Adek hanya perlu mengekalkan perwatakan yang sama seperti dalam drama Sutun yang pertama. Jika dahulu dalam Sutun 1, ia mengisahkan kehidupan Adek di kampung dan berhadapan dengan keluarga, kini dalam Sutun 2 mengisahkan tentang kehidupan Adek di Universiti berhadapan dengan kawan-kawan.

L : Nama saya Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz dan masih belajar dalam bidang kejuruteraan di Twin Tech. Sudah dekat nak habis dah pun. Saya merupakan anak sulung dari 3 orang adik-beradik. Selainnya dua orang adik. Lukman merupakan seorang yang agak gugup dan gementar apabila berhadapan dengan perempuan. Beliau tidak mempunyai sifat kelakian lebih-lebih lagi terhadap perempuan, lalu menggunakan Adek untuk mendekati Zeta. Saya tidak mempunyai reference terhadap watak tersebut sebaliknya sering berbincang dengan Ezad berkenaan watak tersebut. Ezad meminta saya agar mencipta watak tersebut dengan sendiri.

S: Apakah persepsi penonton setelah melihat lakonan anda dalam Sutun 1 ?

A : Adek menerima banyak komen setelah mereka menonton drama Sutun 1. Rata-rata mengatakan Adek nampak matang di dalam televisyen dan lebih bersifat kebudak-budakan di luar.

S : Bagaimana pengalaman kali pertama berlakon dalam drama Sutun 2 ini ? Bagaimana anda berhadapan dengan Ezad selaku pengarah drama ini ? Apakah pengalaman paling berharga dalam Sutun 2 ?

A : Pengalaman paling berharga dalam Sutun 2 apabila mendapat ramai kenalan baru dan dapat belajar seni silat. Adek perlu bertarung dengan seorang kawan dalam Sutun 2. Abang Ezad agak senang bekerja dengan beliau. Adek banyak belajar perkara baru tentang lakonan dan drama dari beliau. Adek sangat berterima kasih atas ilmu yang telah diberikan. Ia boleh Adek sifatkan sebagai satu permulaan untuk drama-drama yang akan datang. Lebih-lebih lagi apabila Adek dapat mempelajari ilmu-ilmu penting dalam pembikinan drama seperti tatacahaya, jenis-jenis lampu dan untuk merancang shot.

L : Adegan yang pertama saya lakonkan adalah adegan bersama Adek pada jam 6 petang. Pada mulanya merasa cukup gementar namun semuanya berjalan dengan baik. Ezad merupakan seorang pengarah yang baik kerana memberikan kebebasan kepada saya untuk lebih fleksibel terhadap watak tersebut.

S : Siapakah yang menemui anda untuk watak ini ? Apa yang membuatkan anda menerima watak ini ? Tentu ada sesuatu tarikan yang membuatkan anda menerima watak ini ?

L : Ezad yang menemui saya untuk watak ini. Saya menerimanya tanpa sebarang sebab. Saya cuma menerimanya sahaja.

S : Apa persepsi anda terhadap watak-watak lain seperti Adek, Lukman, Zeta, Sabri dan 3 sekawan yang membenci Adek iaitu Nuar, Leman dan Tajul ? Apa yang anda mahu masyarakat pelajari dari watak-watak tersebut ?

L : Adek seorang yang agak kuat dan banyak membantu. Zeta pula seorang kawan yang kuat dan banyak melindungi Adek. Nuar seorang yang homophobic dan melancarkan dendam terhadap mereka yang seperti Adek. Tajul dan Leman hanyalah pengikut Nuar dan mereka kuat main-main.

S : Apakah pengajaran yang ingin anda sampaikan kepada penonton melalui watak anda ?

A : Adek tidak memaksa penonton untuk menerima kita. Ia bergantung pada penonton untuk menerima buruk atau baiknya watak tersebut. Apa yang termampu Adek sampaikan adalah jujur dari hati Adek. Sampai atau tidak bergantung pada penonton.

L : Ia dapat membuka ruang pandangan yang lebih berbeza terhadap sekelompok manusia dan harus berfikiran terbuka agar tidak mendiskriminasikan mereka. Apa yang mereka lakukan adalah kehendak mereka.

S : Sudah bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat dalam mengecap populariti kesan drama Sutun 2 ini ?

A : Adek berharap agar melalui Sutun 2 bakat Adek dapat dikembangkan lagi melalui lakonan-lakonan Adek. Semoga ia akan menjadi titik tolak penentu kerjaya Adek dalam bidang ini.

L : Sudah bersedia. Drama ini akan dikenali kerana cerita yang berbeza yang cuba diceritakan kepada penonton.

Siri Wawancara bersama Sutun II - 4
Pengarah, Ezad

Menurut Ezad, Sutun 2 mahu dijadikan sebagai education tool kepada masyarakat untuk mendekati kehidupan masyarakat yang lain. Ia adalah kisah tentang adik-adik. Pada sesetengah pandangan, kehidupan mereka penuh dengan warna-warni, keindahan, masalah sosial. Tetapi apa yang sebenarnya berlaku tidak didedahkan kepada umum kerana masyarakat menganggap ia sebagai sesuatu yang tabo untuk diketengahkan kepada pandangan masyarakat.

Kejayaan drama Sutun 1 tidak hanya berlaku di dalam negara tetapi juga turut diminta oleh kerajaan Thailand yang ingin mengalih-bahasa drama tersebut. Mereka ingin menjadikan Sutun sebagai education tool mereka di sekolah-sekolah dan di universiti-universiti.

Drama ini ditayangkan di RTM adalah sesuatu yang sukar untuk dijangkakan kerana RTM disangka akan menolak cerita drama seperti ini. Sebaliknya drama ini telah ditolak penyiarannya oleh TV3 yang lebih terbuka pemikiran mereka pada pandangan umum.

Sutun 1 turut menerima 7 pencalonan di Anugerah Seri Angkasa yang akan berlangsung 10 dan 11 Mac ini. Ini termasuklah untuk kategori Drama TV Terbaik, Pengarah Drama Terbaik, Skrip Drama TV Terbaik, Suntingan Drama TV Terbaik, Pelakon Lelaki TV Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki TV Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik.

Soal menang atau kalah bukanlah menjadi impiannya kerana apa yang lebih utama apabila drama tersebut dapat ditonton oleh semua orang dan mereka mendapat sesuatu daripada drama tersebut.

Drama ini akan disiarkan pada hari Sabtu, 11 Mac 2006 di Saluran RTM1 pada jam 2 petang.

Entri oleh sultanmuzaffar 09 March 2006 0 komen

Salam Takziah dari sultanmuzaffar

Nota : Sebagai tanda menghormati, tiada posting terkini akan disiarkan pada hari Jumaat. Siri Wawancara bersama Sutun II - Bahagian 3 (Lukman dan Adek) dan 4 (Ezad, Pengarah Sutun 2) hanya akan disiarkan serentak pada hari Sabtu.

xsmurf

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Siri Wawancara bersama Sutun II - 2
Zeta dan Sabri
Kawan rapat Adek. Seorang dari kampung, dan seorang lagi dikenali di kampus. Mereka berkongsi masalah dan sama-sama mengharungi setiap masalah, suka dan duka bersama. Apakah Zeta bakal menjadi racun kepada Adek ? Atau apakah Sabri bakal menjadi racun kepada Adek. Sama-sama kita saksikan Drama Sutun 2 pada hari Sabtu ini, jam 2 petang di RTM 1, Saluran Infotainmen Anda.

S : Ceritakan sedikit tentang latar belakang diri anda ? Ceritakan sedikit tentang watak anda ? Siapa reference anda untuk watak ini ?

Z : Nama Zeta ialah Wan Sharmila bt Wan Mohamad dan berumur 25 tahun. Kini bekerja di sebuah firma guaman di Johor Baru dalam bahagian akaun. Zeta merupakan rakan sekampung dengan Adek. Hubungan rapatnya dengan Adek sudah lama terjalin sejak bersekolah lagi. Tidak begitu sukar membawakan watak ini kerana sememangnya latar belakang saya sudah dibiasakan dengan kawan-kawan sebegini. Saya sudah menjadi biasa dengan situasi tersebut. Saya menjadikan diri saya sebagai reference untuk watak tersebut.

KM : K’Ma Abdullah merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Malaya dalam bidang seni persembahan. Saya juga merupakan tutor di Akademi Seni Kebangsaan. Kini berumur 27 tahun. Saya banyak melibatkan diri dalam persembahan pentas dan ini merupakan drama saya yang pertama. Watak saya merupakan kawan baik kepada Adek yang mula dikenalinya sewaktu di kampus. Kami baru saling-mengenali. Berbeza dengan Zeta yang sudah mengenali Adek sejak di kampung. Sabri suka menyanyi dan Ning Baizura merupakan idolanya. Saya menjadikan kawan-kawan saya di ASK sebagai reference kepada watak ini. Imej-imej tersebut saya gabungkan hasil daripada pemerhatian saya terhadap mereka. Tidak hanya sifat serta gaya fizikal tetapi gaya percakapan juga turut saya tiru.
S : Bagaimana pengalaman kali pertama berlakon dalam drama Sutun 2 ini ? Bagaimana anda berhadapan dengan Ezad selaku pengarah drama ini ? Apakah pengalaman paling berharga dalam Sutun 2 ?

Z : Pengalaman kali pertama ini lebih menyeronokkan. Lebih-lebih lagi saya seorang perempuan manakala yang lainnya ialah lelaki. Walaupun tidak banyak beza sebenarnya. Pada mulanya merasa sedikit canggung, lama-kelamaan kami sudah menjadi seperti keluarga kerana hubungan rapat di lokasi. Abang Ezad banyak mengajar saya tentang apa itu lakonan. Agak senang bekerja dengannya.

KM : Pada mulanya saya berasa agak gementar dan takut kerana jargon-jargon yang jarang saya dengar seperti close-up, master shot, tight shot dan sebagainya. Saya tidak tahu dengan jargon-jargon pembikinan drama. Kalau teater saya faham. Adek banyak membantu kerana Adek sudah biasa dengan jargon-jargon tersebut kerana Adek telah terlibat dalam drama Sutun. Saya mudah faham apa yang Ezad mahu. Beliau seorang yang telus dan mahu melibat para pelakonnya menggunakan kreativiti sendiri untuk menghidupkan watak tersebut. Senang bekerja dengannya, lebih fun dan lama-kelamaan perasaan gementar itu hilang.

S : Siapakah yang menemui anda untuk watak ini ? Apa yang membuatkan anda menerima watak ini ? Tentu ada sesuatu tarikan yang membuatkan anda menerima watak ini ?

Z : Abang Ezad yang menemui saya untuk watak ini. Saya menerima watak ini kerana minat dan ingin mencuba.

KM : Seperti Zeta, Ezad jugalah yang menemui saya untuk watak ini. Asalnya watak ini telah diberikan kepada pelakon lain yang mampu meniru suara Siti Nurhaliza. Kalau masih ingat yang menyanyikan lagu Nirmala sebagai kejutan kepada Kefli. Malangnya beliau tidak dapat bersama kerana komitmennya yang lain. Maka skrip perlu dirombak kerana saya tidak boleh meniru suara Siti Nurhaliza kepada Ning Baizura. Sudah menjadi rezeki saya. Saya pun minat gila dengan Ning Baizura sama seperti watak Sabri yang menjadikan Ning Baizura idolanya. Saya mempunyai bakat dan kini mahu ia dikongsi dengan penonton. Tarikan kuat dari Ning Baizura dan saya akhirnya bersetuju.

S : Apa persepsi anda terhadap watak-watak lain seperti Adek, Lukman, Zeta, Sabri dan 3 sekawan yang membenci Adek iaitu Nuar, Leman dan Tajul ? Apa yang anda mahu masyarakat pelajari dari watak-watak tersebut ?

Z : Adek dan Sabri mewakili realiti zaman sekarang. Sememangnya wujud sekelompok manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti mereka. Begitu juga dengan watak Nuar, Leman dan Tajul yang mewakili golongan pembenci watak Adek dan Sabri. Saya berharap agar penonton dapat melihat dengan jujur ke dalam dunia mereka dengan pandangan tanpa prejudis. Mereka harus faham situasi yang dilalui oleh setiap watak. Nuar contohnya mempunyai sebab untuk bertindak demikian. Begitu juga dengan Fitri.
S : Apakah pengajaran yang ingin anda sampaikan kepada penonton melalui watak anda ?

Z : Zeta merupakan kawan baik kepada Adek. Watak Zeta begitu mengambil berat tentang Adek dan persekitarannya. Watak Zeta juga seperti selesa dan berasa selamat apabila berada di sekeliling mereka.

KM : Watak Sabri membuatkan saya harus percaya kepada diri kita sendiri. Kita harus berbangga dengan kelebihan yang kita miliki dan berusaha memperbaiki kelemahan yang kita ada. Jangan merasa rendah diri apabila kelemahan kita dikutuk kerana ia tidak akan mengubah apa-apa. Jangan takut kepada malu dan tidak perlu takut terhadap apa yang akan orang perkatakan. Sekiranya perkara yang kita lakukan itu baik, kita tidak perlu takut. Sabri seorang yang berani mempertahankan Adek, Zeta dan Fitri. Sabri akan mengambil-berat terhadap masalah yang dilalui oleh rakan-rakannya dan akan cuba untuk sama-sama menyelesaikannya. Kita sama-sama mengharungi setiap masalah agar mampu untuk berdiri dengan sendirinya dan akhirnya kita maju dengan jayanya. Itulah antara inti pati watak Sabri.

S : Sudah bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat dalam mengecap populariti kesan drama Sutun 2 ini ?

Z : Orang mungkin kenal, tetapi ini hanyalah drama. Dalam tempoh jangka panjang sekiranya drama ini popular tentunya menjanjikan sesuatu yang berlainan untuk diri saya juga.

KM : Saya sudah bersedia sewaktu pertama kali menerima tawaran ini. Pertama saya harus bersedia untuk berhadapan dengan keluarga. Ibu tidak mengongkong apa minat saya lebih-lebih lagi sekiranya mesej yang ingin disampaikan adalah positif. Saya berharap agar masyarakat menjadi lebih terbuka untuk mendekati watak-watak dalam drama Sutun2 ini. Watak-watak dalam drama ini ada masalah masing-masing yang ingin mereka kongsi dengan penonton. Ada banyak pengajaran yang boleh didapati seperti tidak memencilkan diri, menerima takdir Tuhan dan berusaha dengan positif untuk mengubahnya.

S: Anda berkemampuan untuk mengajuk suara-suara personaliti. Dari mana anda dapat kemahiran tersebut ?

KM : Saya gemar menonton apa sahaja yang boleh saya tonton. Dan saya akan berulang kali menonton klip tersebut. Saya tidak meniru secara main-main sebaliknya saya menerapkan ke dalam perwatakan saya. Buat masa ini saya gemar untuk meniru gaya Ning Baizura, Fatima Al Zahra dari siri Ar-Rayyan, Anita Sarawak, Sharifah Aini, Fauziah Ahmad Daud dan beberapa lagi.

Nota : Drama Sutun tercalon untuk kategori Drama TV Terbaik bersama Anak Penarik Beca dan Bila Tsunami Melanda terbitan RTM. Dua drama lain ialah Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan (Astro) dan Neraka Cinta (TV3).

Untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki TV Terbaik, Sutun diwakili oleh Kazaruddin Saisi yang memegang watak bapa Adek. Pelakon lain yang tersenarai ialah Rusdi Ramli (Daun Ketupat Kering), Faizal Yusof (Surat Dari Bulan), Mohd Hanis Kamal (Anak Penarik Beca) dan Shahronizam (Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman).

Manakala untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik pula, Sutun mencalonkan Rosnah Johari sebagai ibu Adek. Manakala calon-calon lain ialah Azean Irdawaty (Kesetiaan ) Azizah Mahzan (Darling...Aku Benci Tapi Rindu), Fauziah Nawi (Titik Titik Noda 2) dan Linda Hashim (Bila Tsunami Melanda).

Esok saya akan siarkan pula wawancara bersama Adek dan Lukman dan pada hari Sabtu menjelang Anugerah Seri Angkasa, saya akan siarkan wawancara saya bersama Ezad, Pengarah Drama Sutun 2 ini.

Kredit Foto : http://gambar.blogspot.com

Entri oleh sultanmuzaffar 08 March 2006 0 komen

Siri Wawancara bersama Sutun II - 1
Bermula pada hari ini, saya akan menyiarkan Siri Wawancara saya bersama pengarah dan pelakon drama Sutun 2. Antara yang sempat saya temuramah ialah Saudara Ezad (Pengarah Drama Sutun & Sutun 2), Ku Yusri, Ungku Ismail Aziz, Wan Sharma, K'ma Abdullah dan Isma Yusoof.

Drama Sutun 2 akan menemui anda pada hari Sabtu ini, 11 Mac jam 2 petang di RTM1, Saluran Infotainmen Anda. Nama SureHeboh sudah dalam proses menukar penjenamaan, Infotainmen bila lagi ?

Drama Sutun telah dicalonkan dalam 7 kategori penting di dalam Anugerah Seri Angkasa tahun ini. Sutun 2 merupakan sambungan kepada filem Sutun. Antara kategori yang dicalonkan adalah Telefilem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Lakon Layar TV Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Untuk sinopsis Sutun 2, sila layari : http://edfx.t35.com/sutun2/

Sebagai pembuka bicara, saya memperkenalkan Isma Yusoof yang memegang watak Fitri. Ikuti wawancara ringkas saya bersama beliau.

S : Ceritakan sedikit tentang latarbelakang diri anda ? Ceritakan sedikit tentang watak Fitri ? Siapa reference anda untuk watak ini ?

J : Ini merupakan telemovie lakonan saya yang pertama, kerana selama ini saya banyak berlakon di atas pentas dan juga beberapa filem pendek. Selain berlakon saya merupakan seorang ‘Creative Director’ di salah sebuah design company di KL. Berlakon merupakan perkara yang saya seronok lakukan dan akan terus lakukan tak kira di atas pentas, telemovie, filem ataupun di depan kamu sekarang ni. (Isma tergelak kecil) Fitri merupakan satu watak yang sangat menarik, bunyi nya agak klise tapi itulah apa yang saya rasa. Fitri merupakan seorang pelajar yang alim dan tidak suka bergaul dengan masyarakat sekeliling. Semua yang dilakukannya mestilah berlandaskan agama. Secara ikhlasnya ingin saya katakan bahawa membawa watak Fitri ini bukanlah satu perkara yang mudah. Kerana saya as a person tidak begitu. Namun saya tahu memang wujud orang-orang seperti ini, contohnya semasa saya di universiti dulu. Jadi saya recall balik dan dari situ saya banyak belajar tentang watak Fitri ini.

S : Bagaimana pengalaman kali pertama berlakon dalam drama Sutun 2 ini? Bagaimana anda berhadapan dengan Ezad selaku pengarah drama ini ?Apakah pengalaman paling berharga dalam Sutun 2 ?

J : Saya sangat nak berterima kasih kepada Nizam Zakaria, kerana dia yang memperkenalkan saya kepada Ezad (pengarah Sutun2). Pengalaman berlakon di dalam production ini adalah sesuatu yang saya akan ingat sampai bila-bila. Buat pertama kali dalam hidup saya saya mengenali nama setiap orang yang terlibat dalam production ini. Dari pelakon utama hinggalah kepada abang yang menghidangkan makanan. We were like a big family. Lots of brothers but only one sister (Wan yang membawa watak Zeta). I must say that Ezad is a very good director. Saya seronok bekerja di bawah arahan nya. Dia tahu apa yang dia nak, dan setiap apa yang kami lakukan dia akan beri tahu ‘why’ and consequences’ nya. He knows how to capture benda-benda yang penting dalam telemovie nih. Dan the best thing about him is, he loves to talk about anything. Dan kadang-kadang saya tak rasa pula Ezad ini director saya, rasa seperti seorang kawan yang suka berangan bersama-sama saya untuk buat satu satu cerita yang menarik dan kasi all Malaysian tengok dan enjoy. Saya suka semua pelakon-pelakon di dalam production ini, pendek kata kalau kamu menonton drama ini nanti, dan kamu rasa drama ini sangat fun dan kelakar, I actually experienced more than that..hehehe (Isma gelak lagi)

S : Siapakah yang menemui anda untuk watak ini ? Apa yang membuatkan anda menerima watak ini ? Tentu ada sesuatu tarikan yang membuatkan anda menerima watak ini ?

J : Seperti apa yang saya cakap tadi, Nizam Zakaria was the one yang told me everything about this telemovie. He said I will look good as Nuar (the villain) tapi bila I pergi reading, Ezad said I‘d be more interesting as Fitri, kalau nak tahu kenapa, kenalah tengok Sutun 2. Saya tertarik kepada concept cerita ni, isu yang cuba di utarakan dan juga setiap watak dalam cerita ini sangat strong and of course the script was well written. Secara ikhlasnya saya sebenarnya tidak kisah kalau Ezad nak cast saya untuk mana-mana watak sekali pun, sebab bagi saya semua watak mempunyai kelebihan masing-masing. But obviously saya akan hesitate untuk bawa watak Zeta, sebab I had to do a lot of researches plak nanti..hahhaha (kali nih Isma gelak lebih besar )

S : Apa persepsi anda terhadap watak Adek, Lukman, Zeta dan 3 sekawan yang membenci Adek (Nuar, Leman & Tajul). Apa yang anda mahu masyarakat pelajari dari watak-watak tersebut ?

J : Adek merupakan watak utama dalam cerita ini, cerita ini lebih mengisahkan pasal dia. He had to handle different peoples. So satu watak yang sangat berat, Tapi Ku Yusri berjaya membawa watak ini dengan baik sekali. I’m proud of him. Lukman pula satu watak yang hanya a good looking guy jer boleh bawak. Hehhehehe. And the other 3 villians are the characters we wish they died at the end of the story. Saya suka apabila saya selesai menonton sesuatu saya akan pilih which character yang paling sama dengan saya. so saya harap penonton-penonton pun akan buat benda yang sama, dan kalau watak tuh baik, teruskan lah. Tapi kalau watak tuh watak yang jahat silalah kurangkan kejahatan tuh ok .

S : Apakah pengajaran yang ingin anda sampaikan kepada penonton melalui watak Fitri ?

J : Saya tak mahu bercakap terlalu banyak pasal watak Fitri ini kerana watak dia nih full of suprises. Tapi apa yang saya boleh kata di sini, just be yourself jangan takut dengan masyarakat sekeliling, You are what you love, not what loves u ;)

S : Sudah bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat dalam mengecap populariti kesan drama Sutun 2 ini ?

J : Hahhaha, saya kena berhadapan dengan nenek saya kat kampung dulu, lepas tuh baru saya boleh fikir macam mana nak berhadapan dengan masyarakat ;)