Temuramah Email
Sekali lagi saya diberi peluang untuk menjanakan pendapat saya untuk melengkapkan lagi proses pendidikan dan penyelidikan yang dilakukan oleh seorang blogger kenalan saya iaitu Fadz. Beliau memiliki blog yang bergelar tontonfilem. Tentu ada di antara anda yang pernah melayari blog beliau. Saya gemar membaca blog beliau sejak dahulu sehingga kini. Walaupun adakalanya proses penyelidikan yang dibuat oleh beliau untuk sesebuah filem itu terlalu mendalam dan kita seakan didedahkan dengan sejarah perfileman akan menjadikannya sesuatu yang sukar untuk diterima. Saya akui blog beliau merupakan antara rujukan saya tentang filem.
Bahagian I
1. bagaimanakah SM kenal akan komuniti blog dan pada tahun apa?
Saya mula mengenali komuniti blog apabila saya dan sahabat baik saya iaitu Nizam Zakaria saling bertukar-tukar link satu blog iaitu bluehikari.com. Pandangan pertama saya hanya sekadar untuk melihat gambar-gambar pengalaman penulis (Rudy) yang sewaktu itu berada di Jepun. Dari situ, saya terdedah kepada beratus jenis blog yang ada di gengjurnal.net. Pelbagai macam jenis blog ada di situ. Dari situ timbul minat saya untuk memiliki blog saya sendiri. Entri pertama saya bertarikh 26 Februari 2002, itupun setelah saya sendiri tidak sabar untuk menulis. Sepatutnya saya telah berhasrat untuk memulakannya pada 1 April 2002. Tetapi kerana ketidaksabaran, saya telah mempercepatkannya.
2. Apabila mengenalinya, apakah yang membuat saudara ingin mencipta blog sendiri? dan waktu saudara mencipta blog saudara (yg kini tercipta) adakah saudara terfikir tentang misi/bentuk/strategi yang ingin saudara projektorkan terhadap khayalak?
Saya menulis untuk suka-suka. Apa yang saya tulis hanyalah pandangan saya, rasa saya dan rakaman saya tentang sesuatu isu. Sekiranya saudara mengikuti blog saya sejak awal, ia berkisar tentang kehidupan seharian saya yang agak membosankan untuk dibaca. Dulu saya pernah kutuk pengurusan di pejabat saya dalam blog saya. Masa dulu tidak ada siapa yang baca. Kutuklah sepuas hati. Sekarang, penulisan bercorak ulasan mula saya terapkan sejak Januari 2003. Saya kira ia lebih memberikan manafaat kepada pembaca. Lagipun artikel yang diulas adalah artikel yang dikongsi bersama.
Pada mula penulisan saya langsung tidak memikirkan tentang misi atau strategi penulisan saya. Tetapi lama kelamaan saya terfikir, apakah manafaat yang boleh pembaca saya dapat melalui blog saya sekiranya saya terus menulis tentang perjalanan hidup saya membosankan yang tiada kena mengena dengan mereka. Maka untuk itu saya mencuba untuk menulis tentang apa sahaja teater, konsert dan website yang saya tonton dan layari untuk manafaat mereka. Bermula dari Akademi Fantasia saya menulis tentang apa sahaja yang berlaku di dalam dan di luar Akademi Fantasia. Alhamdulillah, pembaca menerimanya. Kini saya melihat tanggungjawab saya semakin besar dalam penulisan terutamanya yang berkaitan Akademi Fantasia.
3. Siapakah 'target audience' saudara sebenarnya, atau memang, blog yg. saudara cipta dikhaskan untuk saudara sendiri menelitinya, seakan jurnal yg. mana orang ramai boleh 'take a peek'?
Saya tidak pernah meletakkan target audience saya. Sesiapa sahaja boleh membacanya. Artikel tentang teater boleh dibaca oleh sesiapa sahaja, begitu juga dengan artikel tentang Akademi Fantasia. Kesan pelbagai jenis topik yang ada dalam blog saya, ia telah membolehkan enjin carian Google menyenaraikannya apabila pelayar internet mencari maklumat tentangnya. Seboleh-bolehnya saya mahu mereka kekal membaca setiap entri yang ada tanpa memilih topik-topik yang hanya mereka gemari. Kerana dari situ pembaca saya boleh nenanam minat untuk meminati apa yang diminati oleh orang lain.
4. sehingga kini, sudah berapa 'hits' yg saudara kecapi, kalau tak pun sebulan/seminggu?
Sehingga kini hitsnya sudah mencecah angka 929,232. Ini bukan bermakna saya sudah mengumpul pembaca sebanyak 929,232 orang. Angka tersebut sekadar bilangan lawatan yang telah dibuat sejak Februari 2002 hingga sekarang.
Bilangan hits yang saya terima agak berbeza tatkala musim Akademi Fantasia sedang berlangsung bilamana ia boleh mencecah 6,500 hits sehari, 36,000 hits seminggu dan 128,000 hits sebulan.
Pada hari-hari setelah musim Akademi Fantasia bilangan hits hanya sekadar 1,000 hits sehari, 6,000 hits seminggu dan 26,000 hits sebulan.
5. saudara kelihatan menjurus kepada ulasan budaya pop, tetapi ada juga menggambarkan dalam blog saudara, menyentuh isu2 sastera dan berkecimpung dgn. 'fine arts', adakah ada makna disebalik ini untuk perhatian pembaca saudara?
Saya menulis apa sahaja yang saya minat tanpa ada batasan yang mengekang minat saya. Saya tulis tentang hiburan mainstream seperti Akademi Fantasia yang lebih berkonsepkan budaya pop. Saya sedikit berbangga apabila saudara berjaya juga mencungkil idea-idea ulasan saya untuk isu-isu sastera dan “fine arts”. Ya, saya mengaku ada agenda saya yang tersendiri. Sebolehnya saya mahu juga pembaca saya pergi menonton teater atau filem yang bagus-bagus. Saya mahu menyogokkan pembaca saya bukan sekadar dengan bacaan yang berbentuk hiburan tetapi juga bacaan yang berbentuk ilmiah. Sampai bila pembaca saya harus dibuai fantasi Akademi Fantasia dan Malaysian Idol, sekali sekala mereka harus juga didedahkan dengan teater-teater bagus seperti Ronggeng Rokiah dan matderihkolaperelih atau filem-filem hebat seperti Puteri Gunung Ledang, Sepet dan Gangster.
Nota tambahan: Dalam diam sebenarnya saya cuba mempromosikan Kelab Akar Gita Estetika yang bergiat aktif dalam bidang teater, muzik dan tarian. Saya mahu mereka menghargai kerja-kerja seni kreatif ini seperti mereka terlalu mengagungkan Akademi Fantasia.
6. saya fahami bahawa saudara terus terkenal selepas mengulas AF (mungkin saya salah, maknanya saudara mmg sudah dikenali lebih awal dari itu)...Apa sebenarnya yg. saudara ingin projektorkan di sini..adakah pengemblengan ini untuk suka2, atau ada matlamatnya yg. tersendiri?
Saya sebolehnya mahu membudayakan minat membaca di kalangan penggemar siaran televisyen. Saya melihat mereka begitu aktif di dalam forum gosip seperti cari.com dan artismelayu.net. tetapi bahasanya di situ adalah bahasa yang rojak yang tunggang-langgang struktur nahu nya. Blog ini saya buat sebagai platform untuk mereka berinteraksi secara lebih positif dan mereka bebas untuk mengutarakan pendapat masing-masing dengan batasan-batasan yang ada. Visi yang pada mulanya suka-suka kini menjadi satu tanggungjawab yang berat. Bukan sahaja untuk para pembaca saya tetapi juga untuk saya. Saya perlu memberikan komen yang jujur dan saya menganggapnya sebagai satu beban yang cukup berat untuk saya tanggung. Pengiktirafan di peringkat mainstream bukan matlamat utama saya, cukup sekadar apa yang saya peroleh sekarang.
7. Kini, dalam kaji selidik saudara sendiri, apakah lingkungan umur pembaca yg melawati blog saudara?
Dalam satu soalselidik yang pernah saya buat dalam blog saya mendapati pembaca saya berada dalam lingkungan umur 16-25 tahun. Kebanyakannya ialah remaja dan pelajar manakala golongan kedua terdiri dari kalangan yang berumur 26-30 tahun. Mereka ini boleh saya sifatkan golongan yang telah bekerja dan profesional. Ini boleh saya buktikan melalui taburan hits berdasarkan jam yang mana masa puncak blog saya adalah pada waktu bekerja sekitar jam 8 pagi - 5 petang.
Anda berada di dalam lingkungan umur [1767 votes total]
Bawah 15 tahun (238) 13%
16 - 25 tahun (903) 51%
26 - 30 tahun (308) 17%
31 - 35 tahun (140) 8%
36 - 40 tahun (83) 5%
Lebih 40 tahun (95) 5%
8. Saudara mempunyai niat yg murni mencipta PFS, apakah sebenarnya tujuan ciptaan PFS (cth., meruntumkan silratul rahim antara penulis blog?)...? Adakah PFS ada misi tersendiri mengatasi Penulis Islam baru (ahlinya Lutfi Ishak, Faizal Tehrani, Dr. Zaki, Raja Ahmad, SM Zakir..mereka ini setidak2nya menuruti atau terpengaruh dengan 'sastera islam' pembawaan Shanon Ahmad)? Adakah PFS sendiri ada matlamat 'alternatif' dalam persoalan ini?
Saya sedar akan wujudnya Penulis Islam baru. Mereka ada aliran mereka sendiri dan saya pasti pembaca mereka sendiri. Tetapi kalau itu sahaja aliran penulisan yang kita ada di Malaysia, semacam kita membataskan kerja-kerja kreatif kritis yang lain. Kelak, tidak ada kepelbagaian sastera di dalam negara kita sendiri. Kalau tidak ada kepelbagaian, sastera kita tidak akan ke mana. Tapi sayangnya itu yang saya lihat. Seperti ada motif untuk mempromosikan sastera aliran ini dan menidakkan aliran yang lain yang mungkin wujud. Keadaan dunia penulisan di Malaysia, seperti mana saya pasti saudara sudah sedia maklum, berpuak-puak. Mereka yang mengikut satu-satu aliran akan menidakkan aliran yang lain. Mana-mana yang tidak mengikut visi mereka akan dikatakan bukan sastera malah dilabel ‘bukan mainstream’. Lihat sahaja diskusi ‘Weblog: Ruang Ekspresi Idea & Sastera’ yang akan diadakan di Rumah Pena pada 29 Januari 2004. Mengapa Nizam Zakaria (saya rasa, penulis pertama di Malaysia yang menerbitkan novel dalam bentuk e-book dan kemudian di dalam novel bersiri di dalam blognya) tidak dijemput. Mengapa ‘Bapa Blogger Malaysia’ Jeff Ooi tidak diminta untuk menjadi ahli panel? Malah, saya akui, jika mereka dijemput, mereka juga akan datang dengan menyediakan kertas kerja. Tetapi mengapa beberapa nama ini ditidakkan dan dianggap seolah-olah mereka tidak wujud di dalam dunia mereka ini? Boleh saya dapatkan jawapan yang ikhlas?
Misi PFS ialah untuk mencorakkan satu fahaman yang lebih liberal dalam seni dan sastera. PFS ada golongan yang tahu menilai seni kreatif dari program televisyen yang telah mereka tonton dan menghargai perbincangan secara ilmiah. Saya fikir, sastera dan seni tidak perlu kaku dan mempunyai satu corak sahaja. Ia perlukan kepelbagaian. Saya tidak ada masa seperti segelintir penulis yang mahu menutup kelemahan mereka dengan menutup pintu kepada penulis-penulis yang lebih berbakat yang ada menulis di Internet. Saudara sendiri, mempunyai kebolehan luar biasa mengulas mengenai filem tetapi bakat saudara langsung tidak diiktiraf secara “mainstream”. Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita meletakkan prejudis kita ke tepi dan kita perlu mengiktiraf penulis-penulis blog yang telah banyak mengubah cara kita berfikir (walaupun proses ini mengambil masa), dan melihat sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai contoh, dengan adanya blog, wartawan-wartawan kini tidak boleh menulis sesuka hati mereka kerana terdapat penulis-penulis blog yang jauh lebih cerdik dan arif dari mereka ketika menulis dan mengulas sesuatu perkara. Dengan adanya blog yang lebih tertumpu pada penulisan novel pula (ada beberapa blog seperti ini selain dari blog Nizam Zakaria jika saudara selidiki sendiri), pembaca-pembaca akan sedar betapa berbakatnya penulis-penulis yang kita ada jika dibandingkan dengan karya-karya yang telah diterbitkan tetapi sayangnya karya mereka hanya wujud di atas talian. Mengapa perkara ini boleh berlaku atau kita akan terus menerus begini, sedangkan beberapa karya blog barat telah dijadikan novel. Persoalan-persoalan sihat seperti inilah yang diharapkan membawa kepada perbincangan dan akhirnya perubahan yang baik di dalam dunia sastera dan seni di negara kita.
Sejarah PFS
PFS ? Petrol Free Setahun ? Peminat Fanatik sultanmuzaffar ? Saya nampak saudara terkeliru dengan konsep PFS. PFS sekadar suka-suka untuk mengembalikan apa yang telah diambil oleh ASTRO. Sewaktu Akademi Fantasia I, pembaca saya mengumpulkan email mereka sesama sendiri. Lalu saling bertukar-tukar forward email maka email yang paling panjang ialah tentang Petrol Free Setahun. Disingkatkan cerita, dari situ wujud nama PFS. Apa yang telah diambil oleh ASTRO, kita kembalikan semula dengan membuat encoding lagu-lagu konsert dalam bentuk mp3, video konsert dalam format vcd. Saya tidak fikir mereka dari PFS ingin mengatasi penulis-penulis tersohor yang sudah ada nama seperti Penulis Islam Baru. Mereka sekadar berseronok ingin juga berblog setelah melihat saya berblog. Saya melihat mereka lebih suka berfotoblog. Berkongsi pengalaman dan pandangan mereka bersama yang lain.
9. Saya lihat, bukan sahaja penggarapan bahan blog, dengan cara persembahannya, isinya dan temanya yg. saudara pentingkan, tetapi juga 'perjumpaan-perjumpaan' yg. saudara 'unformally' lakukan (or was it someone else idea?)..saya faham kenapa perjumpaan2 ini dilakukan, tetapi apakah agenda lain kenapa saudara lakukan ini atau saudara tidak sedar terhadap ini? (as ive heard a lot of ur style when speaking...thus in a way, when people has seen and talk with u, physically, they see ur personality, hence ur charisma..in a sense, i see in them that they respect u..and in a way, conjure u as a leader amongst them...its ok, tell me in ur own words, coz we are trying to realize and understand the form of leadership, whether it is decide upon or aptly made or unconsciously determined)..
Saya mengambil masa yang lama untuk menerima pelawaan mereka. Berkali-kali mereka meminta saya hadir tetapi berkali-kali juga saya menolak pelawaan mereka dengan baik. Mereka saya anggap seperti sahabat saya sendiri. Tidak salah sekiranya saya bertemu dengan mereka. Hubungan kami agak rapat. Sebolehnya sebagai seorang blogger saya ingin kekal tidak dikenali. Tetapi kemunculan saya dalam Imbasan Akademi Fantasia seakan-akan satu signal yang saya telah bersedia untuk menerima pelbagai kelompok pembaca sebagai kawan-kawan saya sendiri. Saya sering dijadikan bahan rujukan untuk Akademi Fantasia. Sehingga masalah-masalah fanclub juga harus saya tanggung dan selesaikan. Saya mencuba sebaik yang mungkin untuk memuaskan hati semua pihak. Jika boleh saya tidak mahu peminat Akademi Fantasia ini jenis yang mudah untuk ditipu lagi. Mereka memerlukan seseorang sebagai rujukan. Berinteraksi dengan mereka juga seakan meluaskan lagi pandangan saya dan pengalaman saya. Semuanya berlaku secara kebetulan dan saya tidak pernah mengharapkan mereka mendewa-dewakan saya kerana saya juga seperti mereka hanyalah salah seorang peminat Akademi Fantasia. Cuma saya mengharapkan mereka menerima saya seadanya.
Bahagian II
1. Apakah pendirian saudara terhadap media perdana kita dari segi penyampaiannya dan pengaruhnya?
Media arus perdana sememangnya mempunyai pengaruh yang besar, mungkin terlalu besar di Malaysia. Maka, sudah menjadi tanggungjawab kepada media arus perdana ini menyampaikan sesuatu dengan ikhlas dan tulus kepada rakyat Malaysia tanpa menjadi 'pak turut' dan bertuankan kepada mana-mana parti tertentu di negara ini. Akan tetapi inilah yang telah berlaku. Jika di barat, para jurno terdiri dari mereka yang benar-benar mempunyai kredibiliti menulis, hatta menulis warta hiburan sekalipun. Namun demikian, di Malaysia jarang kedapatan penulis yang betul-betul berbakat dan mempunyai kredibiliti. Ramai di antara mereka menulis sambil lewa tanpa “passion”. Penulis-penulis seperti Noor Azam Shaari, Ku Seman Ku Hussain dan Johan Jaafar sukar dicari. Bagi saya, penulis seperti merekalah yang perlu ada.
2. Apakah saudara fikir, dengan penguasaan 'skill' dalam mengetahui teknologi internet (dlm konteks penciptaan blog saudara), ia sedikit sebanyak (berkenaan ergonomics) membuat blog saudara jadi tumpuan? Apa pula kondisi ini dikaitkan dengan idea (bermakna dengan idea sahaja, sudah ada kekuatannya)?
Saya tidak rasa skill saya dalam teknologi internet mempengaruhi bilangan pembaca. Kini sesiapa sahaja boleh mempunyai blog dan mampu membina website sendiri. Adakalanya limpahan teknologi juga mampu membuatkan blog tersebut dibenci kerana terlalu berat dengan skrip-skrip yang tidak perlu. Saya rasa kandungan blog yang telah merangsang pembaca untuk melawatinya. Kandungannya terdiri dari bahan-bahan hiburan seperti muzik, teater, filem, drama dan tv realiti. Maka secara tidak langsung, ia membuatkan pembaca meminatinya. Bahan-bahan tersebut lebih ringan di mata pembaca tetapi seboleh-bolehnya saya mahu memberi satu nafas baru dalam artikel-artikel berkaitan industri hiburan. Saya mahu pembaca melihat dari perspektif yang berbeza dan jika boleh diberikan sedikit elemen yang berat agar dalam hiburan itu bukan sekadar gosip tetapi juga ilmu-ilmu dan mesej-mesej yang lebih bermanafaat untuk masa hadapan.
3. Siapakah idola saudara? atau apa yg mempengaruhi saudara dalam hidup, dalam penulis atau apa2 bidang yg saudara suka (tv, filem, muzik, sastera, teater, falsafah, idea)?
Dalam bidang penulisan blog, idola saya adalah Nizam Zakaria yang telah membuka jalan kepada penulisan ulasan blog kepada ramai penulis-penulis blog di Malaysia samada mereka sedar atau tidak. Minat saya untuk menulis secara serius juga mula dipupuk sejak mengenali beliau. Selain daripada itu beberapa penulis yang menulis menentang arus yang tidak saya sebutkan namanya di sini tetapi beliau tahu dialah yang dimaksudkan oleh saya. Saya juga menggemari idea Mat Jan dalam memberikan sebuah tulisan yang berunsur humor. Beliau bijak menggunakan satu-satu isu untuk diputar-belitkan menjadi satu bahan jenaka. Mereka bertiga adalah idola saya.
4. Apakah pekerjaan ibu dan bapa saudara?
Bapa saya pekerjaan terakhirnya adalah sebagai Pengurus Kanan di sebuah syarikat perladangan terbesar di Malaysia. Seharian menguruskan urusan keluar masuk kapal yang mengangkut minyak kelapa sawit dan getah ke Pelabuhan Klang. Manakala ibu saya pekerjaan terakhirnya adalah sebagai Pegawai Pembantu Tadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja. Tiap-tiap musim perayaan, rumah kami seakan menyambut perayaan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor. Kalau setakat meriam buluh yang menjadi kebanggaan anak-anak muda kampung tidaklah saya hairan sangat jika dibandingkan dengan mercun-mercun rampasan kastam. Sekarang mereka sudah bersara. Saya sungguh bosan kerana tiada lagi pas masuk “ACCESS ALL AREA” ke Pelabuhan Klang untuk melihat kapal pengangkut USS Enterprise.
5. Saudara dibesarkan dalam bentuk keluarga yg. bagaimana?
Melihat kepada pekerjaan kedua ibubapa saya sepatutnya anda sudah boleh menelah kehidupan yang bagaimana saya lalui. Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak senang. Apa sahaja yang saya inginkan saya akan perolehi. Tetapi bukanlah semua benda akan dapat. Yang berpatutan sahaja. Mereka banyak menentukan hidup saya. Sejak lahir hinggalah berumur 12 tahun. Sewaktu kecil saya seakan dipaksa untuk mengikuti kelas organ dan kelas tenis. Saya mengikutinya kerana terpaksa. Belajar dalam kelas organ hanya separuh jalan kerana takutkan peperiksaan untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Belajar di kelas tenis juga separuh jalan kerana saya tidak tahu apa yang saya patut pukul. Saya lebih selesa memukul dinding dari bermain secara berpasangan. Saya jenis yang pendiam dan tidak banyak bersuara apabila bersama keluarga.
Selepas pada itu saya banyak menghabiskan masa tinggal di asrama sehingga tamat pengajian. Saya dilatih untuk belajar membuat keputusan sendiri dan saya memilih jalan yang saya fikir betul untuk hidup saya.
6. Waktu kecil lagi, saudara sudah gemar membaca buku? Buku jenis apa yg saudara selalu baca?
Jangan terkejut jika saya katakan saya suka membaca buku kisah-kisah penyiasatan dan misteri. Saya gemar membaca karya-karya Enid Blyton dan Nancy Drew. Ada juga versi penyiasatan dan misteri ini yang digarap agar bersesuaian dengan iklim Malaysia. Selain daripada itu saya juga gemar membaca fiksyen alam persekolahan. Saya tidak ingat tajuk buku tersebut tetapi masih berkisar kepada kisah penyiasatan dan misteri. Salah satu buku penyiasatan yang masih saya simpan sehingga sekarang ialah buku Projek 238 karya BH Amir. Sampai sekarang saya tidak mengenali siapa itu BH Amir. Buku tersebut saya baca sehingga lunyai. Saya berangan-angan ingin membawa Projek 238 menjadi sebuah filem besar satu hari nanti dan Ridzuan Hashim menjadi TPP Razif iaitu heronya. Itu angan-angan saya ketika itu, sekarang tidak relevan lagi.
Karya-karya Rahmat Haroun juga menjadi kegilaan saya. Salah satunya ialah Di Ar Ti dan Oedipus. Maaf jika tersilap. Mungkin dari sinilah jiwa penulisan saya yang kemudiannya disulami dengan ilmu sains menjadi satu. Saya melihat ilmu sains juga mampu menjadi fiksyen yang berjaya.
7. Apakah ijazah terakhir yg saudara perolehi?
Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Multimedia)
8. Saudara dahulu belajar di mana waktu sekolah rendah? pada waktu itu sendiri, adakah saudara sedar yg saudara akan jadi apa yg saudara sudah jadi kini?
Sewaktu di peringkat rendah, saya belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist Pelabuhan Klang. Saya bukan pengawas sekolah kerana saya budak jahat. Zaman tersebut sedang heboh pasal siri kartun Thundercats. Semua budak-budak berangan hendak jadi binatang. Oleh kerana dalam kumpulan saya itu, saya yang paling laju berlumba lari (baca: sprinter), maka saya dipilih jadi Cheetara. Zaman tersebut zaman happy sahaja. Antara perubahan besar dalam hidup saya ketika itu adalah apabila berjaya mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Hadiah yang saya terima ialah sebuah komputer dan RM250 (1A=RM50). Bayangkan pada tahun 1986 saya sudah memiliki sebuah komputer sedangkan anak orang lain pada waktu tersebut sekadar memiliki basikal Chopper atau pun BMX. Dari situ semakin bercambah minat saya terhadap komputer. Zaman 1986 orang tidak sebut teknologi maklumat kerana zaman tersebut bukan zaman MSC. Komputer saya pada zaman tersebut boleh berbangga dengan Wordstar 4.0. Tetapi dari Wordstar 4.0 itulah saya menjadi apa yang saya inginkan sekarang. Tapi kini saya menggunakan Microsoft Office XP.
9. Adakah waktu di sekolah rendah/menengah, saudara pernah berkecimpung dalam AJK persatuan, menjadi pengawas/badan wakil pelajar, menjadi editor majalah?
Sewaktu di sekolah rendah, saya terpilih untuk menjadi Konduktor Angklung. Sejak dari darjah tiga lagi saya telah menjadi perintis kepada kelab ini. Oleh kerana saya boleh baca nota muzik, maka saya terpilih menjadi Konduktor untuk pasukan tersebut. Buat persembahan merata-rata daerah Selangor dan memasuki peringkat akhir Pesta Muzik Sekolah-Sekolah Selangor.
Saya berpeluang untuk menjadi Pengawas hanya sewaktu Tingkatan Empat di Maktab Rendah Sains Mara. Di sana, mereka panggil Jemaah Disiplin Pelajar(JDP). Itupun kerana di MRSM tiada siapa yang berminat menjadi JDP. Siapa yang suka buat kerja panjat loteng nak tangkap pelajar hisap rokok.
Saya tidak berpeluang untuk menjadi sidang redaksi majalah sekolah kerana mereka yang terpilih ketika itu adalah mereka yang “English-speaking” sahaja. Saya lebih gemar berbahasa Melayu. Akhirnya majalah tersebut diharamkan pengedarannya kerana meletakkan foto muka seorang Ustaz pada kepala seekor kambing yang sedang dikorbankan.
Saya juga berpeluang menjawat jawatan Setiausaha Agung untuk Majlis Perwakilan Pelajar hanya sewaktu di peringkat persediaan sebelum ke Universiti. Jawatan tersebut dipilih melalui satu proses pilihanraya dan memerlukan kempen dijalankan. Kenapa Setiausaha Agung ? Mereka kata saya sesuai untuk jawatan tersebut kerana saya suka menulis minit mesyuarat.
Boleh saya simpulkan di sini, susur sejarah yang saya lalui sejak zaman persekolahan akhirnya mampu membentuk apa yang saya ada seperti sekarang. Kini, saya meminati muzik dan memiliki blog yang komennya perlu saya awasi setiap hari dari komen-komen “personal attack”. Jika dulu saya suka tulis minit mesyuarat, sekarang saya suka tulis laporan Akademi Fantasia.
10. Sewaktu saudara kecil, adakah saudara pernah atau memang mempunyai ciri2 melawan proses/aktiviti sistem yg diselar dalam satu2 institusi (sekolah, keluarga,
persatuan, kawan2) atau mempunyai semangat untuk merubahnya?
Untuk pengetahuan semua, saya telah dilahirkan secara abnormal iaitu dalam bahasa Melayunya ialah songsang. Bahasa kasar sedikit, kaki keluar dulu. Itu sudah cukup menjadi satu tanda bahawa saya sememangnya seorang yang “rebel”.
Memang dari kecil saya mahu menjadi agen kepada perubahan. Setiap dari kita walaupun kecil mampu untuk merubah situasi di sekelilingnya jika kita mahu. Sejak kecil saya mahu melihat Malaysia maju dan setaraf dengan negara-negara lain. Komputer yang saya ada di rumah waktu itu menjadi bahan tayangan kepada pelajar-pelajar seusia dengan saya. Saya mahu mereka menikmati kemudahan yang saya perolehi agar pemikiran masing-masing boleh berubah.
Kini saya mahu mengubah pandangan pembaca terhadap dunia hiburan. Hiburan bukan sekadar bahan gosip. Hiburan ada teater yang mampu memanusiakan manusia, hiburan ada muzik yang liriknya bukan sekadar kisah cinta tiga segi tetapi juga lirik berunsurkan ketuhanan, hiburan ada filem yang bukan sekadar filem Sembilu tetapi ada filem seperti filem Sepet. Saya mahu mengubahnya.
Selain daripada temuramah tersebut, pada hari ini tersiar dalam blog Brand New Malaysian sebuah artikel bertajuk "Reinventing The New News Media", sebuah topik bertajuk Reinventing The Print Media telah menyebut;
It is from these sources of popular media that print news must derive their new generation of readers. They must learn to converge with popular trends, like blogging for instance.While it can be said that I am biased because I myself blog, but this blog is not where the print news media are to derive their new readers.
It is from blogs like this, titled Sultan Muzzafar, that is the vein of youth readership in blogs. These are the guys that dictate youth mentality and they do it by networking with other sites, and eventually forming a pocket of popular culture, a conversation piece.
Saya terkejut. Besar rupanya tanggungjawab yang tertanggung di bahu saya. Para remaja yang rata-ratanya mengenal apa itu internet dari mengenal apa itu Utusan Melayu tentunya menggunakan kemudahan ini untuk mendapatkan maklumat yang mereka inginkan. Alternatif yang saya berikan ialah ia dalam Bahasa Melayu. Yang minat hiburan pun rata-ratanya adalah remaja Melayu. Inilah yang saya termampu. Saya mahu menukar corak pemikiran orang Melayu. Ia merupakan jawapan kepada Soalan 10 Bahagian II.
Foto RED104.9 Konsert Amal Tsunami Atas Nama Cinta
Oh my god!!!!!!!!!!!!! u know about project 238!!! By BH Amir... buku yg paling best pernah sy baca dlm genre tue. n mmg dah lunyai pun baca. Baca lebih 10x pun x pernah jemu. Sy jumpa buku tue masa tgktan 1... bila renung balik mcm apa yg ada dlm buku tue terjadi pulak dkt Malaysia skrng...yeah about pembinaan jambatan yg x berkualiti, bnyk sgt pengaruh asing dlm project negara, harga komuditi yg tak tentu hala...cerita tue sgt suspense..pegawai polis yg hebat tp akhir dia sedih skit lah..rachel terbunuh.... Wow so interesting...at last i met somebody yg tahu ttg project 238...very old book...sgt detail...sgt bagus!If u really want to adapt that book into visual performance...please let me know.All the best.