Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 28 May 2006

Konsert Prelude Akademi Fantasia
Studio 1, ASTRO

Malam ini jutaan rakyat Malaysia dan lima juri bertauliah akan menjadi saksi pemillihan dua belas pelajar untuk meneruskan pengajian mereka di akademi paling popular di Malaysia, Akademi Fantasia.

Siapakah pilihan saya ? Dua minggu saya bersama mereka. Berpeluang untuk mengenali personaliti mereka juga kebolehan vokal dan bakat yang mereka ada saya selidiki satu persatu. Saya sengaja tidak mahu menonton rehearsal Konsert Prelude kerana sebab yang tersendiri.

Taruhan saya untuk dua belas pelajar yang bakal menduduki kediaman mewah Akademi Fantasia ialah : Untuk perempuan saya merasakan Farhan, Karen, Salima, Velvet, Zila dan Liya. Manakala untuk lelaki saya merasakan Amirul, Diddy, Faizal, Haziq, Lotter dan Rich bakal meneruskan pengajian mereka di Akademi Fantasia. Siapa pilihan anda ?

Debaran semakin kencang kerana Bahana Akademi Fantasia semakin hampir...

Hazama tampil penuh berkeyakinan dengan lagu Zakia. Berbekalkan vokal serak-serak basahnya ada tone yang sedap untuk didengar. Saya melihat beliau lebih berkeyakinan di atas pentas berbanding di konti ERA. (hahaha). Dengan selamba beliau bergelek untuk menyesuaikan gayanya dengan lagu tersebut. Namun demikian, persembahannya belum cukup memikat saya.

Tasha membawakan lagu Sangkar Emas dengan biasa sahaja. Saya melihat beliau tidak memberikan sepenuh penghayatannya untuk lagu tersebut. Kehebatan vokal beliau tidak diserlahkan. Persembahannya nampak biasa sahaja. Penguasaan pentasnya juga tidak berjaya menarik perhatian saya.

Amirul tampil dengan penuh berkeyakinan pada awalnya untuk lagu Biru. Saya suka dengan cara beliau mengawal vokal falsettonya. Malangnya pada bahagian tengah lagu tersebut, nampak benar kurang stamina. Persembahan vokalnya tidak konsisten.

Kau Pergi Tanpa Pesan nyanyian Lynn disampaikan dengan baik. Beliau ada lenggok vokal yang bagus terutamanya untuk lagu-lagu lama. Percubaan geleknya juga berjaya menjadi tarikan tetapi sayangnya persembahan vokalnya masih tiada tarikan yang kuat untuk menarik perhatian penonton. Sebuah persembahan yang mendatar.

Setelah selesai segmen pertama, saya meletakkan Hazama mendahului rakan-rakannya yang lain. Lynn mengikuti dan kemudiannya Amirul dan Tasha.

Liya tampil membawakan lagu One Thousand Million Smile. Saya suka dengan nada suaranya yang agak berbeza dengan peserta-peserta yang sebelumnya. Vokal beliau ada kekuatan yang berbeza. Lagu yang dinyanyikannya juga dibawakan mengikut gayanya yang tersendiri tanpa terikut-ikut dengan Sudirman atau pun Siti Nurhaliza. Walaupun sedikit sumbang pada satu bahagian yang tinggi, ia tetap merupakan sebuah persembahan yang menarik.

Shaz tampil dengan lagu yang kini popular iaitu Mungkir Bahagia. Beliau terlalu mengawal vokalnya dan tidak begitu dilepaskan. Kesilapan tersebut menjadikan persembahannya tiada jiwa dan penghayatannya tidak sampai kepada penonton.

Kasih dibawakan dalam rentak jazz oleh Leez. Tiada apa yang menarik untuk diperkatakan kerana persembahan Leez biasa sahaja. Melodi lagu tersebut sudah diberikan nafas baru tetapi tidak berjaya dibawakan dengan penuh jiwa oleh Leez.

Rich menyampaikan lagu I’ll Be dengan bertenaga dan bersahaja. Beliau kelihatan seperti seorang profesional di atas pentas. Beliau mengawal vokalnya dengan baik serta memberikan penghayatan yang bagus untuk lagu tersebut. Kekuatan utama persembahan Rich ialah penguasaan pentasnya yang baik. Beliau nampak begitu selesa di pentas.

Selepas segmen kedua, Rich mendahului rakan-rakannya yang lain diikuti oleh Liya, Leez dan Shaz.

Faizal tampil bersahaja dengan lagu Pelangi Petang. Saya boleh katakan beliau mempunyai kekuatan vokal yang baik untuk diserlahkan. Beliau telah memberikan persembahan vokal yang seimbang. Vokalnya agak merdu. Saya melihat masalah utama Faizal ialah bahasa serta telo bahasanya. Beliau lebih berhati-hati dalam nyanyiannya kerana terlalu memikirkan sebutannya. Saya tertarik dengan showmanshipnya. Ada gaya yang tersendiri.

Farhan benar-benar memukul keseluruhan penonton dengan lagu Route 66nya. Tampil unik dengan irama jazz memberikan satu kelainan kepada Akademi Fantasia. Beliau begi berkeyakinan di atas pentas. Nampak bersahaja sahaja persembahannya. Saya tertarik dengan persembahan scatnya yang boleh saya sifatkan sebagai cemerlang. Beliau merupakan taruhan saya untuk menjadi juara bersandarkan mutu persembahan vokal dan persembahan pentas. Malangnya Akademi Fantasia bersandarkan faktor personaliti dan bukannya vokal.

Haider sekali lagi mencuba nasibnya dengan lagu Untukmu Ibu. Beliau terlalu bermuka-muka dalam persembahannya. Persembahan vokalnya masih kurang jelas dan masih terlalu dikawal. Satu kesilapan yang besar apabila beliau menukar gaya rock kepada balada tanpa ilmu yang cukup. Kawalan vokalnya tidak begitu konsisten.

Saya suka dengan keyakinan Karen dengan lagu Di Muara Sepi. Tampil dengan sebuah lagu yang agak rancak, Karen menguasai pentas dengan baik. Nyanyiannya masih konsisten walaupun terpaksa melakukan beberapa gerak tarian. Sebutannya juga agak baik dan beliau tidak terlalu mengawal penghasilan vokalnya.

Setelah segmen ketiga, Farhan mendahului jauh rakan-rakannya yang lain dan diikuti oleh Faizal, Karen dan Haider.

Velvet membawakan lagu Naluri dan telah memberikan persembahan vokal yang bagus. Beliau membawakan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri. Nada suaranya juga tampil berbeza dan unik. Saya suka dengan penyampaiannya serta penghayatannya yang bagus.

Picture Of My Life di tangan Jeff masih biasa sahaja. Nyanyiannya tidak banyak berbeza dengan yang lain. Lagu yang terpilih juga kurang mesra di telinga penonton dan ini menyebabkan beliau tidak dapat menarik perhatian penonton.

Saya suka dengan persembahan Nora dengan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajah Mu. Saya merasakan belliau mempunyai vokal yang bagus serta telah memberikan persembahan yang baik. Beliau menyanyikan lagu tersebut mengikut gayanya yang tersendiri.

Persembahan Haziq benar-benar memikat. Lagu Umpan Jinak di Air Tenang menyerlah kredibiliti anak muda tersebut. Beliau mempunyai vokal yang bagus terutamanya untuk lagu-lagu tradisional. Walaupun lenggok tariannya masih kaku, namun persembahannya ternyata menyerlahkan kecemerlangan dirinya.
Setelah segmen keempat, Haziq mendahului rakan-rakannya yang lain dan diikuti oleh Velvet, Nora dan Jeff.

Diddy tampil dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah. Beliau mempunyai vokal yang besar dan matang. Sayang sekali kawalan vokalnya kurang kemas. Tetapi tone vokal beliau ada kelainan dan lebih asli. Penghayatannya juga bagus untuk lagu tersebut.

Gelek Zila berjaya menarik perhatian penonton. Nyanyiannya juga lebih berkeyakinan dan beliau nampak selesa di pentas. Saya suka dengan tone vokal Zila yang boleh saya sifatkan ada kelainan dengan yang lain-lain.

Lotter merupakan underdog yang sebelum ini persembahannya tidak diberikan perhatian. Dengan lau Sunday Morning, saya menyukai persembahan vokalnya yang bagus serta gerak tari yang lincah. Saya melihat beliau amat berkeyakinan di atas pentas. Penguasaan pentasnya juga berjaya.

Salima dengan lagu Syurga Di Telapak Kaki Ibu benar-benar mengecewakan. Nyanyiannya tidak begitu membanggakan bersesuaian dengan publisiti yang diperolehinya. Persembahannya masih biasa dan belum diberikan keadilan yang cukup untuk diserlahkan.

Setelah segmen kelima, Lotter menyerlah berbanding rakan-rakannya yang lain dan diikuti oleh Diddy, Zila dan Salima.

Debaran Semakin Kencang
Kumpulan pertama dipanggil: Diddy, Leez dan Shaz. Diddy melepasi halangan pertama dan melangkah ke Akademi Fantasia. Leez dan Shaz diketepikan untuk calon piliha penonton. Kumpulan kedua dipanggil: Amirul, Lotter, Farhan, Nora dan karen. Lotter, Farhan dan Karen melangkah ke Akademi Fantasia. Amirul dan Nora diketepikan untuk pilihan penonton. Kumpulan ketiga dipanggil: Rich, Jeff dan Velvet. Rich dan Velvet melangkah ke Akademi Fantasia dan meninggalkan Jeff untuk menanti peluang kedua calon pilihan penonton. Kumpulan keempat dipanggil: Tasha, Salima, Haziq, Liya dan Haider. Hanya Salima dan Haziq melepasi halangan untuk melangkah ke Akademi Fantasia meninggalkan Tasha, Liya dan Haider mengintai peluang kedua. Kumpulan kelima dipanggil: Lynn, Faizal, Zila dan Hazama. Antara Lynn dan Zila, Zila terpilih ke Akademi Fantasia. Sementara antara Faizal dan Hazama, Faizal melangkahkan kakinya ke Akademi Fantasia.

Berdasarkan undian penonton, Amirul terpilih setelah meninggalkan jauh dari segi undian antara Hazama, Shaz, Haider dan Jeff. Manakala Nora terpilih setelah meninggalkan Lynn, Tasha, Leez dan Liya.

Saya berpuas hati dengan keputusan ? Segalanya menepati ramalan saya. Hanya tersasar dalam pemilihan antara Liya dan Nora. Saya terkilan kerana Salima terpilih walaupun memberikan persembahan yang tawar. Begitu juga dengan Amirul yang saya yakin akan terpilih ke Akademi Fantasia berdasarkan undian penonton setelah memberikan persembahan yang buruk semalam. Adakah ini bermakna persembahan Amirul tiada kredibiliti untuk dicalonkan ? Tidak sama sekali. Amirul menyerlah dalam lagu-lagu yang pernah saya dengar dan cuma ada kesilapan pada malam tersebut sehingga beliau tampak gagal di pentas.

Pilihan sultanmuzaffar
Farhan – Route 66
Haziq – Umpan Jinak di Air Tenang
Faizal – Pelangi Petang
Rich – I’ll Be
Karen – Di Muaa Sepi
Velvet - Naluri
Lotter – Sunday Morning
Diddy – Mimpi Yang Tak Sudah
Hazama - Zakia
Liya – One Thousand Million Smile
Zila - Rindu
Nora – Kali Terakhir Ku Lihat Wajah Mu
Lynn – Kau Pergi Tanpa Pesan
Salima – Syurga Di Telapak kaki Ibu
Leez - Kasih
Shaz – Mungkir Bahagia
Jeff – Picture Of My Life
Tasha – Sangkar Emas
Haider – Untukmu Ibu
Amirul – Biru

Nota : Al-Fatihah buat mangsa gempa bumi di Yogjakarta, Indonesia.