Anugerah Juara Lagu ke-17
Inilah kali pertama aku menonton persembahan secara langsung Juara Lagu. Aku dapat tiket persembahan dan cocktail party malam itu. Persembahan pembukaan menonjolkan kekuatan vokal di tambah dengan adanya anugerah baru yang diperkenalkan iaitu Anugerah Persembahan Vokal Terbaik. Satu usaha yang patut diberi pujian. Kerana tanpa vokal yang mantap, satu lagu nampak tidak bermaya. Itu yang terjadi pada Hala Timur nyanyian Noraniza Idris.
Aku puji persembahan Siti Nurhaliza. Begitu bertenaga dan beliau semakin matang dan berkebolehan untuk menarikan tarian tersebut dengan bersemangat dan begitu harmoni. Tampak serasi gabungan Siti Nurhaliza dan penari-penarinya. Siti banyak belajar dengan menonton persembahan-persembahan Noraniza yang terdahulu. Aku akui agak sukar untuk mencari keserasian dalam mempersembahkan tarian dari bangsa Indonesia itu. Di Malaysia ia dikenali sebagai Tarian Endang. Semasa menonton persembahan tarian tersebut di Medan oleh sekumpulan pelajar Universitas Sumatera Utara, Medan aku kagum dan tergamam dengan seia sekata dan berharmoninya persembahan mereka. Rentak, irama, gerak kena serentak, kena serasi. Koreografi tarian tersebut dibuat dengan begitu teliti dan menarik. Tidak salah jika aku bangun memberi standing ovation untuk beliau malam itu. Tepukan penonton jugak tidak berhenti sehingga kesemua penari masuk ke dalam.
Bagai ada yang tidak kena dengan calon pilihan Persembahan Terbaik iaitu Noraniza Idris. Persembahan beliau semacam tidak seriring dengan maksud lagu yang disampaikan. Aku amat mengharapkan beliau tampil dengan kelainan. Angkat, julang, api, penari yang ramai sudah seakan sinonim dengan beliau. Jika tidak terkawal, persembahannya akan jadi persembahan sarkis yang kabut riuhnya. Aku masih memikirkan apakah alasan beliau dijulang ibarat Superman dan api memercik keluar ibarat menonton filem James Bond pada akhir persembahan anti-climax itu ? Hala Timur kaya dengan unsur bunyi-bunyian etniknya. Lagu ini boleh berbangga dengan kualiti dalam kelas yang tersendiri. Tetapi mutu vokal yang kurang mantap sekaligus menghancurkan lagu tersebut di persembahan malam tadi.
Persembahan Ziana Zain juga biasa saja. Aku lebih suka menonton aksi beliau semasa peringkat Separuh Akhir. Kekuatan lagu ini terletak pada melodi dan liriknya. Jika kekuatan vokal seimbang, sudah pasti lagu ini mampu menggondol Anugerah Juara Lagu kali ini. Berbeza dengan lagu Gelisah Mimpi nyanyian Liza Hanim. Kekuatan lagu ini terletak pada vokal yang mantap oleh beliau. Sebutan satu persatu dan lontaran vokal yang terkawal oleh beliau membuahkan hasil apabila beliau menggondol Anugerah Persembahan Vokal Terbaik. (Walaupun markah tahun lepas mungkin dicampurkan semula untuk membolehkan beliau menang tahun ini)
Menonton persembahan kekasih awal dan akhir Siti Nurhaliza iaitu Zamani dengan lagu Syair Si Pari-Pari aku teringat persembahan Amy Mastura dengan lagu Bintang Hati beberapa tahun terdahulu. Tiada banyak bezanya. Kanak-kanak sering dieksploitasi untuk meraih perhatian juri. Begitu juga dengan persembahan klon Siti Nurhaliza iaitu Syazliana. Persembahannya adalah gabungan idea-idea lapuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris dalam Juara Lagu yang terdahulu. Tiada originaliti.
Menonton persembahan Exist dengan lagu Julia aku teringat persembahan pancaragam bagpipe Victoria Institution. Aku lebih yakin dengan Exist jika lagu Jesnita yang berjaya ke Juara Lagu. Ajai dan Nurul dengan lagu Keliru tampak serasi dengan keharmonian vokal mereka. Lagu tersebut mantap dengan irama yang catchy dan cukup friendly serta senang diingati. Lagu ini merupakan trend irama sekarang. Yang mana iramanya lebih terserap keIndonesiaannya, hasil import idea dari Sheila on 7, Padi dan Gigi. Begitu juga lagu Flop Poppy, Cinta. Tiada originaliti keMelayuannya.Lagu-lagu lain sekadar melengkapkan kuota Juara Lagu kali ini.
Sementara menantikan keputusan aku menjadi keliru mencari maksud Inspirasi. Persembahan sedemikian hanya akan dimanafaatkan oleh golongan yang mengiktiraf seni tari kontemporari. Khalayaknya bukan di Juara Lagu. Juara Lagu perlu satu persembahan yang mengihiburkan seperti yang pernah dikoreografkan oleh Tiara Jacquelina, mengisahkan evolusi muzik di Malaysia atau pun persembahan oleh Panca Sitara beberapa tahun terdahulu sementara menanti keputusan dan bukan satu persembahan yang menyendatkan otak.
Aku lebih mengharapkan Siti Nurhaliza menjadi Juara kali ini kerana tidak puas menonton persembahan Nirmala beliau. Aku kempunan. Yang dapat aku saksikan hanyalah persembahan sepasang badut bermain tongkat akhirnya.
Selepas tamat siaran langsung, kami beredar ke Majlis Cocktail. Bagai anti-climax kerana aku harus menerima berita kekalahan Siti Nurhaliza. Aku hadir memenuhi undangan. Bosan dengan gelagat para artis yang memualkan. Ditambah dengan aksi berlagak Ajai dan Nurul yang baru dinobatkan sebagai pemenang Juara Lagu sebentar tadi. Noraniza Idris tidak kelihatan atau aku yang tidak nampak kelibat beliau. Kecewa mungkin aksi Superman beliau tidak mendapat pengiktirafan juri. Para wartawan banyak mengerumuni pemenang sulung Anugerah Vokal Terbaik, Liza Hanim. Aku menghampiri Siti Nurhaliza, sambil-sambil mata melilau mencari Zamani. Kang jealous pulak dia. Aku ucapkan "Tahniah kerana tarian tersebut memang sukar dibawa jika tiada latihan yang cukup. Anda juara sebenarnya." Siti Nurhaliza senyum. Aku beredar apabila abangnya datang menghampiri. Jangan risau Ayie ! Matlamat aku sudah tercapai malam itu. Aku bosan dan aku pulang.
Itulah semalam bersama Juara Lagu. Semalam bersama......
0 komen