Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 14 April 2004


Prasasti Seni Siti Nurhaliza
Penerbit : Aidit Alfian, Zuriani, Iman Wan, Andy Flop Poppy, Ajai, Yasin, Mohar, Along Exist, Helen Yap, Pongky Jikustik dan Aubrey Suwito
Rating : 3/5 bintang

Saya tidak tunggu kehadiran album ini kerana setiap tahun pasti beliau akan muncul dengan album baru. Satu percubaan yang baik dari Siti untuk lari dari imej-imej biasa yang biasa kita dengar beberapa tahun ke belakang ini. Album ini menampilkan ramai muka baru serta pencipta-pencipta muda. Terus terang saya katakan, banyak lagu dalam album ini yang telah berjaya merubah imej Siti tetapi tentu mengambil masa yang agak lama untuk pendengar menghargai stail baru dari Siti ini. Antara perubahan berani yang diambil oleh Siti kali ini ialah dengan menampilkan irama world-music yang biasanya disampaikan oleh Yasin dan yang terkini oleh Waheeda.

Secara keseluruhan saya hanya meletakkan so-so untuk album ini. Hasilnya baik tetapi belum mampu untuk menawan hati saya. Beberapa kali saya mengulang siaran lagu-lagu dari album ini untuk cuba mendekatkan diri dengan lagu ini tetapi malangnya saya masih belum dapat merasai kehebatan album ini. Mungkin orang seperti saya agak sukar untuk dipuaskan hatinya. Atau mungkin terlalu cerewet memilih.

Saya bukan anti-Siti Nurhaliza atau pun penyokong fanatiknya tetapi apabila ada Konsert Mega Siti Nurhaliza saya akan pergi menonton untuk menikmati persembahan live beliau yang saya akui maha hebat.

Jika saya bandingkan album-album terdahulu beliau dengan album yang baru ini tentulah amat ketara perbezaannya. Baik dari segi lagu, lirik mahu pun imej Siti itu sendiri. Beliau telah menjadi lebih dewasa dalam industri muzik Malaysia khasnya. Secara peribadi saya lebih menggemari album Safa yang memuatkan lagu seperti Percayalah, Kudus Sinarmu, Kau Ku Sayang dan Lakaran Kehidupan mungkin kerana tajuk album tersebut merupakan gabungan nama kami berdua. hahahhahaha

Sempena kemunculan album terbaru ini juga, Siti Nurhaliza dijangka akan muncul menemui peminat-peminatnya dengan 20 siri konsert ke seluruh negara bermula 13 Jun hingga Ogos.

Kulit Album
Saya kagum dengan hasil kerja kreatif Rauna Jud dari UrbanAd dan kerja fotografi oleh Bustamam Mokhtar. Prasasti membawa maksud kewujudan dan menggunakan konsep alam sekitar yang hijau sebagai latar amat kena dengan hasil kulit album ini. Album sebelum ini pereka kulit album Siti banyak bermain dengan warna emas sesuai dengan tajuknya E.M.A.S. Jika anda ingin melihat satu hasil foto Siti Nurhaliza yang boleh saya sifatkan agak cute, bolehlah anda beli yang original dan lihat kulit albumnya. Ada satu foto yang agak cute umpama pari-pari dari kayangan.

CD Bonus
Satu usaha yang baik dengan menampilkan sebuah CD bonus yang berbentuk hati kepada pembeli original album ini. Adakalanya agak sukar untuk memainkan sebuah cakera padat berbentuk hati pada pemain DVD/VCD yang tiada CD tray.

Track
Introduksi Siti

Dialah Di Hati
Aidit Alfian/Habsah Hassan
Ini merupakan lagu yang sering kita dengar ia disiarkan di radio. Selalunya lagu yang terpilih untuk disiarkan di radio merupakan lagu yang bakal popular. Apa istimewa lagu ini. Lagu ini sebuah lagu biasa sahaja. Permulaannya agak baik tetapi apabila di bahagian korus saya agak sesak nafas dengan nada tinggi Siti. Tetapi saya suka susunan lagu ini yang agak menarik. Melodinya agak pelbagai dan ada dinamik pada tempo lagu ini.

Pendirianku
Zuriani/M.Zulkifli
Sebuah lagu yang berentak agak rancak. Modern pop ala Zuraini. Setiap album baru Siti, nama Zuriani tidak pernah ketinggalan. Elemen moden pada lagu ini amat terasa tetapi masih mengekalkan imej vokal Siti. Tidak banyak perubahan yang berlaku antara lagu ini dengan lagu Ku Milikmu. Sesuai dengan tajuk lagu ini, ia menampilkan mesej yang agak tegas. Seperti persembahan Siti Nurhaliza di Juara Lagu, ada rap pada lagu ini.

Cinta Tak Berganti
Iman Wan/Siti Nurhaliza
Sebuah lagu balada. Silap-silap dengar permulaan lagu ini ada mirip-mirip lagu Mengapa Harus Cinta nyanyian Vince. Melodi lagu ini agak berunsur balada. Untuk sebuah persembahan lagu balada, lagu ini sesuai dicalonkan untuk Juara Lagu. Tetapi sayangnya Siti tidak berhasrat meneruskan penguasaannya dalam Juara Lagu yang akan datang. Sebuah lagu balada biasa yang selalu kita dengar Siti nyanyikan dahulu.

Cahaya Seribu Liku
Andy Flop Poppy/Siti Nurhaliza/Tanty
Sebuah lagu yang unik. Permulaannya agak menarik. Seperti dimainkan pada radio lama, macam rekod rosak filem-filem lama. Kemudian bersambung dengan bunyi futuristik. Seperti analogi dari zaman dahulu ke zaman akan datang. Keunikan itulah yang mungkin menyebabkan lagu ini terpilih untuk album Siti kali ini. Drum n bass agak ketara pada lagu ini yang mana bunyi drum menjadi asas kepada tempo lagu ini. Lagu ini diambil kerana Siti inginkan sentuhan boy-band pada albumnya kali ini.

Hanya Dirimu
Ajai/Hani MJ
Lagu ini merupakan lagu yang bercerita tentang wanita, tentang keayuan wanita, imej wanita serta pengorbanan wanita. Entah mengapa saya kurang menggemari lagu ini. Mungkin kerana terlalu mendayu dan bersifat balada.

Lagu Rindu
Yasin
Pertama kali Siti Nurhaliza mencuba untuk menyanyikan lagu yang lebih berirama world-music. Setelah Yasin dan Waheeda berjaya dengan lagu Salsabila dan Wassini, kini giliran Siti untuk mengenengahkan kebolehannya menyanyikan lagu sebegini. Lagu ini pada pendapat saya masih belum kuat untuk menyaingi populariti lagu Wassini. Vokal Siti saya kira telah dikerah sehabis-habisnya untuk lagu ini.

Sakti
Mohar/Loloq
Dalam banyak-banyak lagu, lagu Sakti merupakan lagu yang paling saya suka. Lagu ini pada asalnya sebuah lagu instrumental yang pernah dimainkan oleh Mohram di Konsert Kembara Jiwa di Istana Budaya. Ya, lagu ini merupakan lagu yang paling panjang dan merupakan lagu yang paling perlahan. Senang cakap. Lembab. Tapi saya suka kerana keunikan lagu ini. Tiupan seruling bambu Mohar benar-benar memukau serta iringan gitar klasik.

Pejam Matamu
G Nola/Siti Nurhaliza
Lagu ini menenangkan fikiran sesuai dengan tajuknya. Pejamkan mata anda dan hayati liriknya. Buat malam-malam jangan masa pejabat, nanti rakan sepejabat anda ingat anda tidak betul pula. Ini merupakan antara lirik terbaik tulisan Siti. Lebih mudah difahami. Melodi lagu ini ada sedikit sentuhan rock pada second verse. Saya suka lagu ini.

Kembalilah Indah
Helen Yap/Siti Nurhaliza/Slen
Jarang kita mendengar lagu Helen Yap yang berentak lebih pop seperti lagu ini. Sebuah lagu yang lebih rhythm and blues. Tidak terlalu rancak tetapi masih sesuai. Melodi lagu ini agak terkebelakang. Ia membawa kita mengimbas tentang zaman-zaman awal kemunculan Siti.

Ku Menunggu
Aidit Alfian/Habsah Hassan
Sebuah lagu yang indah. Entah mengapa saya lebih gemarkan lagu yang minimalis tanpa penggunaan banyak instrumen. Lebih banyak masa dapat diluang untuk menghayati vokal Siti Nurhaliza. Vokal Siti hanya diiringi dengan petikan gitar. Hebat !

Seindah Biasa
Pongky Jikustik
Orang kata lagu ini sehebat Bukan Cinta Biasa. Siti sendiri menyukai lagu ini secara peribadi. Lagu ciptaan pencipta Indonesia ini masih belum dapat mengatasi kehebatan lagu Bukan Cinta Biasa.

Prasasti Seni : Siti
Cara saya menghargai kerja kreatif Siti Nurhaliza adalah dengan membeli yang original. Sama seperti album Khai. Saya beli yang original. Saya tak main lah download-download. Adakalanya ulasan saya mungkin tidak memuaskan hati anda tetapi tanggungjawab saya untuk membeli yang original telah selesai. Anda bagaimana pula ? Takkan dok nganga dan komen sahaja ? :)

Pilihan SM
Sakti
Ku Menunggu
Lagu Rindu
Cahaya Seribu Liku
Pejam Matamu
Kembalilah Indah
Dialah Di Hati
Seindah Biasa
Cinta Tak Berganti
Pendirianku
Hanya Dirimu


Pelancaran Prasasti Seni Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza Voice Of Asia
Ulasan Lain Prasasti Seni Siti Nurhaliza
Forum Peminat Siti Nurhaliza tentang Prasasti Seni
Ulasan Lain Prasasti Seni Siti Nurhaliza
Ulasan Fiqarash Prasasti Seni Siti Nurhaliza