Konsert Force of Nature : Best Gila !!
Stadium Putra Bukit Jalil
7.45 malam – 2.45 pagi
Saya tidak mengharapkan peluang untuk menonton konsert ini. Konsert ini konsert besar. Ada ramai artis antarabangsa yang terlibat termasuk juga artis Malaysia. Apabila peluang tersebut diberikan oleh Chail, sudah tentu saya tidak melepaskannya. Kami pergi bersama Dream, Hakim, Sahri AF1dan Nuar.
Atas kesedaran untuk membantu mangsa bencana tsunami, maka sebuah konsert bertujuan untuk mengutip sumbangan telah diadakan. Hasilnya, sebanyak RM10 juta telah berjaya dikumpulkan. Banyak juga yang berjaya dikutip, mungkin juga diperas. Lagipun konsert ini mendapat liputan besar, maka tidak mustahil banyak syarikat yang telah dipaksa untuk membeli tiket oleh kerajaan. Selain dapat nama, dapat juga berhibur.
Saya paling suka salah satu gambar yang tersiar di akhbar harian, bila mana Pak Lah bersiap sedia untuk melekapkan tapak tangannya ke atas banner. Tapak tangan yang bewarna oren itu nampak macam bersiap sedia untuk menampar. Klasik sungguh gambar tersebut.
Khabarnya, ramai personaliti antarabangsa yang hadir. Antara lain Rupert Murdoch jutawan media, David Blaine ahli silapmata terkenal, Paula Abdul juri professional American Idol, Jackie Chan dan ramai lagi. Hanya sedar kehadiran David Blaine muncul apabila terbaca dalam akhbar. Bukankah seronok bila dapat jumpa dengan beliau. Beliau hebat kerana boleh men"jadi"kan duit dengan banyak. Batu tiba-tiba boleh jadi duit syiling. Lagi seronok kalau beliau dapat buat persembahan pada malam tersebut.
Konsert yang bermula pada jam 7.45 malam itu telah menghimpunkan seramai 13,000 orang penonton dari pelbagai latarbelakang. Rekaan pentas yang berlatarbelakangkan motif etnik kelihatan menarik apabila disinari limpahan cahaya yang pelbagai warna.
Saya cuma kurang berpuas hati apabila pertukaran antara artis yang mengambil masa yang lama. Pertukaran pentas dan peralatan muzik sedikit merencatkan momentum persembahan. Setiap artis membawa pemain muzik masing-masing dan pertukaran artis menyebabkan perubahan alat muzik juga perlu dilakukan.
Kemunculan pertama telah dilakukan oleh Paula Abdul sebelum memperkenalkan Lauryn Hill untuk mengambil tempat sebagai membuka persembahan pada malam tersebut. Juri professional American Idol itu terbang ke Kuala Lumpur secara mengejut.
Lauryn Hill memulakan persembahan dengan penuh emosi dan cemerlang sambil diiringi dengan petikan gitar klasiknya. Beliau membawakan beberapa lagu dari albumnya dan memukau penonton dengan lagu Doo Wop (That Thing).
I Am A Force Of Nature oleh Tan Sri Razali Ismail dan Duta Force of Nature, Datuk Michelle Yeoh memberikan ucapan penuh inspirasi kepada penonton. Menyeru penonton agar terus menyalurkan bantuan kepada mangsa tsunami.
Innuendo featuring Ruffedge & VE membuka persembahan mewakili Malaysia. Persembahan hambar Innuendo ditambah dengan masalah teknikal audio mencacatkan persembahan mereka. Lebih mengejutkan sebelum Innuendo meneruskan persembahan dengan lagu popular mereka Belaian Jiwa, ucapan Raymie lebih bersifat peribadi.
Berikut adalah ucapan Raymie yang terlalu mengarut dan amat silap tempat !This song is dedicated for someone whom I met a year ago...You know who you are...
Mood Pot yang mendedikasikan persembahannya untuk mangsa di Sekolah Banda Acheh terbantut dengan ucapan bersifat peribadi Raymie. Ini bukan konsert untuk mereka, ini konsert untuk mesej sejagat bantuan kemanusiaan Acheh. Raymie sepatutnya tahu membezakan platform untuk menyampaikan rasa hatinya, tidak secara melulu. Sila belajar dari artis antarabangsa yang lebih profesional aksi mereka.
Stadium Putra Bukit Jalil penuh dengan hampir 15,000 orang penonton dari pelbagai latarbelakang
Hebat sekali persembahan Sheila Majid pada malam itu. Beliau membawakan lagu Manusia, Warna, Sinaran dan mengakhiri persembahan beliau dengan lagu Ikhlas Tapi Jauh. Lagu tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Anuar Zain, Dayang Nurfaizah dan Innuendo.
Hanya persembahan Sheila Majid sahaja yang mampu membanggakan Malaysia dan persembahan artis lain hanya sekadar tempelan. Bukan sahaja tidak membawakan sekurang-kurangnya satu lagu penuh, tetapi sekadar menyanyikan serangkap lagu. Sheila Majid seperti biasa menggunakan modal Warna dan Sinaran. Saya mengharapkan beliau membawakan lagu Ku Mohon tetapi tidak menjadi kenyataan. Lagu dan lirik Ku Mohon lebih sesuai untuk konsert sedemikian.
Boyz II Men juga memberikan persembahan yang cemerlang. Mereka menyajikan persembahan vocal yang bertenaga. Kebanyakan lagu yang dipilih oleh mereka agak perlahan dan menyerlahkan kehebatan vocal mereka.
Antara lagu yang didendangkan oleh Boyz II Men ialah Motownphilly, I'll Make Love To You, Water Runs Dry, End Of The Road, On Bended Knees dan Songs for Mama.
Sekali lagi stadium bergema dengan sorakan penonton apabila mereka membawakan lagu End Of The Road.
Kemunculan sebentar Clay Aiken amat memberikan kesan dengan imej selambanya berseluar bermuda. Sempat juga beliau membacakan teks ucapannya dalam Bahasa Melayu dengan lancar. Tepukan dan sorakan penonton semakin bergemuruh.
Penampilan tunggal artis dari Indonesia iaitu Ruth Sahanaya hanya sekadar menampilkan kehebatan vokal beliau. Ini perbezaan yang nyata antara artis antarabangsa dan artis tempatan. Aura penghibur mereka nyata kurang berbanding artis Barat. Membawakan lagu Kaulah Segalanya dalam Bahasa Inggeris dan Keliru sebelum persembahannya diiringi oleh Eric Benet membawakan sebuah lagu duet bertajuk Everybody Doesn't Matter.
Penampilan Esai Moralis menyampaikan ucapannya tanpa melihat nota sewajarnya mendapat pujian. Kebanyakan artis tampil dengan nota di tangan. Berbeza dengan Esai Moralis yang menyampaikan ucapannya secara bersahaja dan penuh emosi.
Saya paling suka persembahan Wyclef Jean. Sebelum ini saya kurang mengenali beliau. Melihatkan persembahan beliau yang bertenaga dan berkarisma tinggi sebagai seorang penghibur hebat, tidak mustahil saya akan menyukai beliau selepas ini. Walaupun lagu-lagu yang beliau nyanyikan adalah lagu-lagu lama serta lagu yang bukan lagu beliau, ia tetap menghiburkan. Antara lagu yang dibawakan oleh mereka ialah Jump Around, No Woman No Cry dan Guantanamera. Gaya beliau menghiburkan penonton amat spontan dan bersahaja. Beliau mengawal penonton dengan hebat dan mampu membuatkan penonton mengikut segala arahannya.
Detik paling diingati penonton tentunya sewaktu kemunculan bersama Wyclef Jean dan Lauryn Hill yang terkenal sewaktu mereka ahli kepada kumpulan Fugees dengan membawakan lagu Oh La La La, Ready or Not dan Killing Me Softly.
Stadium bergema dengan sorakan penonton serta mendapat reaksi spontan apabila turut menyalakan lampu handphone. Stadium digelapkan dan cahaya dari handphone memberikan efek yang berbeza.
Apabila pentas diambil-alih oleh penyanyi dari Hong Kong, persembahan menjadi sedikit hambar. Antara penyanyi dan pelakon yang terlibat ialah Jackie Chan, Nicholas Tse dan Yumiko Chan serta seorang Puan Sri yang berpakaian kebaya batik dalam warna yang menyakitkan mata. Malam untuk menderma RM50,000 secara terbuka.
Seterusnya, dua model popular Malaysia iaitu Camelia dan Soong Ai Ling mengambil tempat untuk memperkenalkan Backstreet Boys. Penampilan Camelia yang agak seksi pada malam itu.
Antara lagu yang didendangkan oleh Backstreet Boys ialah Backstreet's Back, I Want It That Way, All I Have To Give, The Call, The One, As Long As You Love Me, More Than That, Shape of My Heart, Beautiful Woman dan Incomplete. Penonton turut dihiburkan dengan sebuah single terbaru yang akan dipasarkan pada bulan Jun akan datang. Persembahan ini mengimbau zaman kegemilangan mereka sebelum diambil alih oleh N’Sync. Ternyata mereka masih mampu menyengat. Nuar hanya mampu melihat rakan-rakannya yang lain menyanyi bersama penonton yang lain. Backstreet Boys bukan zaman Nuar. Ia zaman saya.
Untuk pengetahuan semua, senarai lagu diberikan oleh salah seorang fanatik BSB dan bukannya kerana saya salah seorang peminat mereka. Saya suka persembahan mereka dan pernah juga membeli VCD konsert-konsert tour mereka. Yang paling saya suka adalah persembahan tarian mereka. Sungguh menarik dan sama antara mereka. Walaupun koreograf tarian mereka itu merupakan koreograf yang sama sejak sebelas tahun yang dulu, ia tetap menarik. Itu antara keunikan mereka.
Bai Ling paling saya ingati pada lakonan beliau dalam filem Anna And The King. Kepalanya dipancung. Malam itu beliau tampil akhir sekali untuk memperkenalkan Black Eyed Peas. Antara personaliti antarabangsa yang membuatkan kemunculan di Konsert Force of Nature ialah Joey Fatone dari kumpulan N’Sync, Ken Watanabe salah seorang pelakon filem The Last Samurai, Datuk Michelle Yeoh pelakon kelahiran Ipoh dan beberapa lagi.
Persembahan Black Eyed Peas hanya berkesan pada dua lagu yang terakhir. Beberapa lagu awalnya merupakan lagu yang kurang popular di Malaysia. Stadium mula kosong kerana pagi semakin menjelang.
Lagu Let’s Get It Started dan Where Is the Love? berjaya membuatkan penonton bangun dari lena untuk sama-sama mengakhiri konsert hebat pada malam itu. Saya mengambil peluang untuk lena sebentar sewaktu lagu-lagu yang kurang popular di awal persembahan mereka.
Kekurangan paling nyata konsert tersebut ialah perubahan pentas yang melibatkan pemuzik apabila setiap artis membawa pemuzik mereka sendiri. Maka pentas dan peralatan muzik perlu diubah agar bersesuaian dengan artis tersebut. Perubahan tersebut mengambil masa yang agak panjang sehingga menimbulkan kebosanan penonton.
Kesilapan teknikal pada peralatan muzik persembahan dari Malaysia amat memalukan lebih-lebih lagi ia dilangsungkan di gelanggang sendiri. Ini nyata berbeza dengan peralatan muzik dan pemuzik artis antarabangsa yang agak sempurna.
Sebuah konsert antarabangsa yang hebat dan penuh bermakna. Mesej kemanusiaan yang disampaikan melalui ucapan dan lagu mampu menjadikan konsert Force of Nature sebagai antara yang terbaik tahun ini.
Rating : B+
Foto adalah ihsan:
The Star
Berita Harian
Malay Mail
Life Thru My Lens
0 komen