Semalam Bersama Saiful Razman
Pertama kali kami bertemu sewaktu Wilayah KUTU Book Reading di Darling Muse Art Gallery Bangsar. Pertemuan singkat itu kami berbual tentang dunia seni yang boleh saya sifatkan terpinggir tetapi mula menunjukkan belangnya. Begitu juga halnya dengan seorang pelukis yang baru berumur 25 tahun bernama Saiful Razman. Dilahirkan di Teluk Intan, Perak dan beliau merupakan graduan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Halus).
Beliau pernah mengadakan pameran di Yogyakarta, Indonesia dan sekitar Malaysia serta pernah memenangi beberapa anugerah. Antara lain Honourable Mention dalam Phillip Morris Malaysia – Asean Arts Awards dan Incentive Award untuk Pameran Terbuka, Galeri Shah Alam, Selangor.
Peluang demi peluang diterima oleh beliau dan peluang paling berharga apabila pada tahun 2004 beliau terpilih untuk menjadi Artist-in-Residence di Rimbun Dahan, Kuang, Selangor. Program ini menawarkan residensi selama 12 bulan untuk artis Malaysia dan Australia telah dimulakan oleh Hijjas Kasturi pada tahun 1994.
Artis yang terpilih diberikan tempat tinggal di dalam kawasan Rimbun Dahan untuk menghasilkan kerja-kerja seni mereka.. Turut diberikan ialah sebuah studio, bahan-bahan dan elaun sara hidup selama setahun. Program ini merupakan satu penghargaan kepada artis generasi baru kedua-dua buah negara yang telah diberikan oleh Hijjas Kasturi dalam mengukuhkan hubungan peribadi dan artistic antara Malaysia dan Australia.
Petang itu, selesai bekerja saya terus bergerak ke Universiti Bangsar Utama. UBU tempat lepak para artis, reformis, pemuzik bawah tanah dan cendekiawan terpelajar Bangsar. Saya mengambil Saiful Razman dan kami sama-sama ke Rimbun Dahan untuk melihat hasil kerja beliau setelah setahun berada di Rimbun Dahan.
Tiba di Rimbun Dahan bukan merupakan idea yang baik kerana saya tidak berpeluang untuk melihat kerja-kerja arkitek pemilik taman itu. Kami terus menuju ke Galeri Bawah Tanah yang menjadi lokasi pameran hasil kerja anak muda itu.
Menjejakkan kaki ke galeri tersebut saya melihat aturan lukisan-lukisan yang bersifat provokatif, lantang dan berang. Itu persepsi pertama saya. Di bahagian yang satu lagi tersusun lukisan hasil karya Malcolm Utley yang lebih bersifat abstrak.
Tema hasil seninya lebih menjurus kepada kritikan sosial yang diperolehi melalui iklan, papan tanda, suratkhabar, buku manual, television, poster dan pelbagai material yang mampu menjentik idea untuk karya seninya. Antara idola Saiful Razman ialah Zulkifli Mohd Dahlan dan Davis.
Antara lukisan beliau yang menarik minat saya tentu sekali Projek Serakah Jaya yang telah disiapkan beberapa jam sebelum pameran bermula. Idea penghasilan Projek Serakah Jaya datang dari kenyataan oleh Menteri Besar Selangor tentang pembangunan di persekitaran Bukit Cherakah. Dari corong pembesar suara terjerit SEMUANYA kepada rantaian saluran yang bersambung-sambung sambil cacing-cacing masih meneruskan kerja mengorek kawasan tersebut. Jeritan SEMUANYA OK itu dilontar kepada siapa ? Adakah kepada kroni-kroninya atau kepada rakyat ?
"Jangan bimbang, semuanya OK", kepada kroni-kroninya.
atau
"Semuanya OK !" kepada rakyat yang mendengar sedang corong pembesar suara tersasar kepada kroni-kroninya.
Penggunaan latar belakang yang bewarna coklat menguatkan lagi mesej yang ingin disampaikan melalui lukisan tersebut. Dengan sekadar lukisan-lukisan outline, mesej terus berjaya disampaikan hanya dengan memberikan sedikit konotasi dan simbol kepada sesuatu elemen.
Lukisan lain yang turut menarik perhatian saya ialah satu lukisan yang saya lupa tajuknya. Menurut Razman, idea menghasilkannya datang sewaktu melihat upacara korban. Beliau melakarkan pengalaman tersebut di atas kanvas tentang bagaimana orang menyambut hari tersebut serta merayakan kehidupan. Keunikan sesuatu lukisan apabila diselitkan penyataan yang diambil dari lirik lagu untuk melengkapkan lagi mesej lukisan tersebut.
Kebanyakan karya-karya Razman banyak disertakan dengan beberapa teks yang diambil dari lirik lagu serta puisi. Semoga Lekas Sembuh contohnya, sebuah lukisan yang diselang-selikan dengan teks dan imej. Teks Semoga Lekas Sembuh kelihatan menonjol pada latarbelakang merah dan imej kereta kebal sudah cukup untuk menggambarkan peperangan yang berlatarbelakangkan darah. Di sini letaknya kehebatan pelukis ini. Beliau bijak menggunakan teks dan imej yang saling melengkapi untuk menguatkan lagi mesej karya tersebut.
Melintang Pukang hanya imej tanpa teks. Reka letak subjek dibuat dalam keadaan kelam-kabut dan tidak teratur. Naratifnya mudah tetapi memerlukan penelitian tentang apakah yang ingin disampaikan oleh pelukis secara mendalam.
Box, holy dan Obey bermain dengan imej-imej minimal yang boleh saya sifatkan seperti ilusi optik. Penggunaan warna yang terang menguatkan mesej positif dan negatif pada sesebuah hasil. Ini meletakkan hasil kerja Razman mampu untuk mencipta perdebatan di kalangan penonton. Imej dan bentuk tersebut seakan-akan bermain dengan mata dan membuatkan penonton membuat tafsiran mereka yang tersendiri.
In Dog We Trust pula bercerita tentang pengalamannya berada di Rimbun Dahan. Pengalaman diserbu anjing-anjing sewaktu tiba di Rimbun Dahan tentu memberikan satu pengertian yang berbeza. Teks In Dog We Trust diparodikan daripada teks In God We Trust dari wang kertas Amerika. Mungkin juga kerana kecelakaan Amerika Syarikat kini mereka sebenarnya berpaksikan anjing dan bukannya tuhan. Dalam waktu yang sama, sekitar Rimbun Dahan dikawal oleh anjing-anjing tersebut. Secara tidak langsung, teks dan imej sebenarnya bercerita tentang dua persekitaran yang berbeza tetapi amat dekat maknanya.
Thumbs Up! pada mulanya kelihatan seperti kulit pembungkus kacang Nyan Yin. Tangan kiri menunjukkan isyarat bagus. Menurut Razman, mengapa bukan tangan kanan ? Apakah kerana tangan kiri adalah betul dan tangan kanan adalah salah ?
Satu kenyataan ringkas dibuat oleh beliau, “Left is right, right is wrong !” Karya ini bermain dengan reka letak kerana antara dua karya yang digantungkan, ia digantungkan di bahagian kiri secara tidak langsung mengiakan kenyataan ringkas beliau. Bijak !
Tidak mustahil satu hari nanti, karya-karya Saiful Razman akan menjadi ikutan dalam reka letak t-shirt mahu pun poster-poster. Keberanian beliau menyampaikan kritikan-kritikan sosial beliau dalam bentuk kanvas merupakan satu luahan emosi dan idea yang kena pada tempatnya. Penguasaan generasi Bangsar dalam dunia seni baik filem, teater, muzik, penulisan dan senireka merupakan satu corak seni dan idea aliran baru yang mula mengambil alih tonggak kebudayaan dan kesenian yang ada di Malaysia ini.
Rimbun Dahan
Setelah hampir sejam berada di Galeri Bawah Tanah itu, saya menjadi begitu kagum dan semakin terpikat dengan Projek Serakah Jaya yang bernilai RM5000. Konsep Rimbun Dahan Residency Artist yang dicetuskan oleh Hijjas Kasturi merupakan satu usaha murni yang harus dipuji. Beliau telah menggunakan kelebihan tersebut untuk mempromosikan artis-artis generasi baru dan menyediakan segala kemudahan untuk mereka berkarya serta memberikan mereka peluang untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bidang seni. Usaha-usaha ini wajar dicontohi oleh warga korporat yang ada di Malaysia untuk sama-sama membantu usaha generasi baru untuk lebih mendekati seni serta menghargainya. Sokongan dari sector korporat merupakan satu nadi untuk kegiatan seni ini terus berkembang.
Menurut Angela Hijjas dalam wawancaranya bersama Veronica Shunmugam, beliau telah berusaha mendapatkan penajaan dari beberapa golongan ternama dan agak sukar untuk mendapatkan mereka untuk sama-sama memahami tanggungjawab untuk menyelenggarakan sebuah residensi. Tiada gunanya mempunyai ruang yang luas jika tidak digunakan dan sama-sama berkongsi akan keindahan tempat tersebut.
Sekali lagi saya kagum dengan usaha murni Rimbun Dahan dibawah kelolaan Hijjas Kasturi dan Angela Hijjas yang akhirnya akan memilih dua karya dari setiap artis yang berada di halaman mereka setelah selesai pameran tersebut untuk dipamerkan di Galeri Utama.
Hubungi:
Puan Angela Hijjas
ajh(at)pd(dot)jaring(dot)my
Rimbun Dahan
Kilometer 27 Jalan Kuang
Kuang
48050 Selangor
Malaysia
www.rimbundahan.org
Kredit Foto di Rimbun Dahan
digitalmalaya : video shoot
fotopages sm
fotopages yaabbna
Rujukan
Hijjas Kasturi Associates Sdn
Artists in her garden
0 komen