Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 21 December 2006

MUZIKAL KANAK-KANAK ALI BABA

Image Hosted by ImageShack.us

Pada suatu hari, Ali Baba telah ke hutan memungut kayu untuk jualan di pasar. Beliau terserempak dengan sekumpulan penyamun yang membawa karung-karung curian untuk memasuki sebuah gua. Ketuanya mengeluarkan kata-kata hikmat untuk membolehkan pintu gua terbuka. Ali Baba menunggu sehingga penyamun-penyamun tersebut keluar meninggalkan gua. Beliau telah menghafal kata-kata hikmat tersebut dan berjaya masuk ke dalam gua. Kemudiannya membawa barangan curian ini ke rumahnya.

Norsiah, iaitu isteri Ali Baba pergi ke rumah Kassim Baba untuk meminjam sebuah cupak. Kemudian Aloyah, iaitu isteri kepada Kassim Baba telah menyapukan gam di bawah cupak tersebut. Setelah dipulangkan semula, didapati ada sekeping wang emas yang melekat di bawah cupak tersebut. Kassim Baba dan isterinya kemudian ke rumah Ali Baba bertanyakan hal ini. Ali Baba menceritakan kisah gua dan kata-kata hikmat.

Kassim Baba yang tamak seterusnya ke gua tersebut untuk mengambil harta-harta yang tersimpan. Sewaktu leka mengumpulkan harta, penyamun-penyamun telah kembali semula ke gua. Ali Baba yang kemudiannya pergi ke gua tersebut untuk mencari Kassim Baba, mendapati abangnya itu telah dibunuh dengan mayatnya dikerat-kerat.

Ali Baba kemudiannya membawa keluar mayat Kassim Baba dari gua dan memindahkan mayat tersebut ke rumah abangnya. Marjina, iaitu pembantu rumah kepada Kassim Baba telah mendapatkan bantuan daripada Baba Mustafa untuk menjahit dan mencantumkan semula mayat Kasim Baba.

Kumpulan penyamun menyedari yang rahsia mereka telah terbongkar serta diketahui orang lain apabila mendapati mayat Kassim Baba telah hilang dari gua. Siasatan mereka mendapati bahawa Kassim Baba telah meninggal secara mengejut, sementara Ali Baba pula telah menjadi kaya.

Mereka seterusnya bertindak dengan menandakan pintu rumah Ali Baba. Marjina yang menyedari tentang tanda di pintu rumah tuannya, telah membuat tanda yang sama di semua pintu rumah jiran-jiran mereka. Akibatnya, kumpulan penyamun yang datang semula tidak dapat mengenalpasti rumah Ali Baba yang sebenar kerana semua pintu rumah mempunyai tanda yang sama.

Akhirnya, Ketua Penyamun telah menyamar dirinya sebagai pedagang minyak dan menumpang untuk bermalam di rumah Ali Baba. Marjina yang menyedari tipu helah beliau telah menuangkan minyak panas ke dalam tong-tong yang berisikan ahli-ahli penyamun.

Bagaimanakah nasib Ketua Penyamun? Adakah beliau terselamat? Apakah perancangan yang dibuat oleh Marjina untuk menyelamatkan Ali Baba?

Jangan lupa untuk mengetahui kesudahan cerita ini di pentas Panggung Sari, Istana Budaya pada 19 – 28 Disember 2006.

WATAK-WATAK DAN NAMA PELAKON UTAMA
DALAM MUZIKAL KANAK-KANAK ALI BABA

WATAK UTAMA:
KETUA PENYAMUN
(Aznil Nawawi)

ALI BABA
Ahmad Zaidyansjah Rudd Yansjah

NORSIAH (Isteri ALI BABA)
Nabila Muhd. Mohsin

KASSIM BABA (Abang ALI BABA)
Ahmad Najib Badarudin

ALOYAH (Isteri KASSIM BABA)
Sakdiyah Saleh

MARJINA (Pembantu Rumah)
Ati Affira Kholid

BABA MUSTAFA (Tukang Jahit Kasut)
Nur Imran Sharani Zakaria


WATAK-WATAK LAIN:
PENYAMUN (39 Orang)
ORANG-ORANG KAMPUNG
PENIAGA-PENIAGA DI PASAR
PEDAGANG INDIA
PEDAGANG CINA
KETUA PEMINTA SEDEKAH
POKOK-POKOK RENEK
ULAR
DHAB
BATU-BATA
BURUNG-BURUNG
PENYELUK SAKU
JURU LELONG
PEMBIDA

TENAGA KREATIF
MUZIKAL KANAK-KANAK ALI BABA

PENGARAH/PENULIS SKRIP
Zaifri Husin

PENOLONG PENGARAH
Norzizi Zullkifli (Zizi)

PENGARAH MUZIK
Mohd. Hafiz Askiak

PENOLONG PENGARAH MUZIK
Mohd. Shique Fazreekh Abdul Rahman Suan (Bob)

KOREOGRAFER
A. Aris A. Kadir

PEREKA SET
Razali Itam

AZNIL NAWAWI
PELAKON (KETUA PENYAMUN)

Kerjaya seni Aznil bermula sebagai Penyampai Berita TV dan Wartawan Penyiaran di TV3 pada tahun 1990. Pop Kuiz adalah rancangan hiburan TV yang pertama menampilkan beliau sebagai pengacara, di mana ia dianggap landasan dan titik mula untuk dirinya pergi jauh dalam dunia pengacaraan.

Selama hampir 17 tahun dalam industri penyiaran, pengalaman serta bakat Aznil yang mampu ‘memikat’ semua lapisan penonton menjadikan beliau antara pengacara yang sering menjadi pilihan oleh hampir semua stesen TV tempatan. Kepercayaan itu meletakkan namanya sering terpanggil untuk mengacara majlis-majlis anugerah hiburan berprestij. Antaranya Juara Lagu, Anugerah Skrin, Anugerah Era serta Anugerah Planet Muzik di Singapura.

Pengacara TV yang berusia 44 tahun pada 6 November lalu ini telah tersenarai sebagai salah seorang Pengacara TV Terbaik peringkat Asia semasa Asia TV Award di Singapura pada tahun 2004.

Akademi Fantasia dan Macam-Macam Aznil adalah rancangan TV yang cukup sinonim dengan dirinya yang begitu ‘rapat’ dengan penonton daripada budak-budak kecil sehinggalah kepada orang tua. Mereka cukup mengenali Aznil di kaca TV.

Sepanjang penglibatan Aznil dalam industri hiburan Malaysia, bekas pengacara Melodi TV3 ini mengungguli kategori Pengacara TV Paling Popular selama 3 tahun berturut–turut (2003-2005) bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Anugerah Media Hiburan (2004), Pengacara TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa untuk 2 tahun berturut-turut (2004/2005) dan Asia’s Best Talk Show Programme (2005) - Asia TV Awards.

ZAIFRI HUSIN
PENGARAH/PENULIS SKRIP
MUZIKAL KANAK-KANAK ALI BABA

Berpengalaman dalam pengarahan teater, Zaifri turut berlakon. Antara lakonan pentasnya seperti Assyura, Rubiah, Lantai T. Pinkie, Selendang Umi, Cucu, Malam Haram, Anugerah, Mencari Juita, Tiang Seri Tegak Berlima, Tun Mamat, Puteri Gunung Ledang, Megat Terawis, Tengku Puteri Salasiah, Beg Sakti, Jambatan dan Nanamun Mantanani. Teater Gadis Melayu dan Bawang Putih Bawang Merah arahan beliau telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Festival Kesenian Antara Kementerian bagi tahun 1995 dan 1996, selain Uda dan Dara dan monolog Angin Mengambang.

Antara teater kanak-kanak arahan beliau sebelum ini, Bawang Putih Bawang Merah, Taman Baginda dan Belalang Kenit. Beliau juga pernah muncul dalam beberapa siri sitkom TV popular seperti Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Nik & Nina, Cam Ni Cam Tu dan Tok Moh sebagai pelakon undangan.

Dalam pembangunan dunia seni teater, anak seni kelahiran Muar, Johor ini berpeluang mendalami teknik Mayerhold dan Biomekanik di Russian Federation Theatre Arts Academy of Moscow, Rusia.

Zaifri berkelulusan Ijazah pertama dalam bidang Komunikasi (Pengkhususan Filem, TV dan Seni Lakon), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Semasa berkhidmat di Bahagian Pembangunan Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Middlesex University, United Kingdom dengan memiliki Ijazah Sarjana Pengarahan Teater.

Kini, Penolong Pengarah (Teater) di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

NORZIZI ZULKIFLI
Penolong Pengarah

Dilahirkan pada tahun 1976, Norzizi Zulkifli dianggap sebagai artis muda yang serba boleh. Graduan Diploma Teater, Akademi Seni Kebangsaan (ASK) ini seterusnya melanjutkan pendidikan ke peringkat Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian) – Seni Layar di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Sebagai pelakon muda yang berbakat, selain banyak menimba pengalaman dalam bidang lakonan, Norzizi turut terlibat dalam kerja-kerja di belakang pentas.

Beliau sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa produksi seperti Itik Liar (1995) arahan Ahmad Tamimi Serigar, Bangsawan Raja Laksamana Bentan (1996) arahan Rahman B, Paduka Oedipus (1996) arahan Zahim Al-Bakri, Makyung Anak Raja Gondang (1997) arahan Khatijah Awang, Tiang Seri Tegak Berlima (1997) arahan Rohani Yousoff, Randai Anggun Nan Tungga (1998) arahan Dahmir Amir, Makyung Raja Bongsu Sakti (1998) arahan Khatijah Awang, Pelayaran Nur Atma (1999), Dejavu Seorang Perempuan (1999) dan Mencari Juita (1998) arahan Siti Rohayah Attan.

Dari aspek kepengarahan, beliau pernah mengarah teater Perhiasan Kaca (1998), Monolog Teater Keliling - Di Bawah Lindungan Kaabah (1998) dan Makyung Anak Raja Gondang (2001).

Di pentas Istana Budaya, Zizi pernah diberi tanggungjawab sebagai pengarah untuk Maykyung Raja Tangkai Hati pada 22-26 Ogos 2004, sebelum melanjutkan pengajian sarjananya dalam Master of Fine Arts (MFA) – Theatre Directing di Middlesex University, London.

Setelah 2 tahun di Kota London, Zizi kembali ke tanah air pada September 2006 dan kembali aktif dalam kerjaya seninya.

RAZALI ITAM
Pereka Set

Sebelum berkhidmat di Istana Budaya, Razali Itam pernah bertugas sebagai Pelukis Pelan ketika di Jabatan Kerja Raya (JKR). Antara projek yang pernah dilaksanakan oleh beliau ialah projek Putrajaya peringkat awalan, penyediaan rekaan bangunan kerajaan Putrajaya dan Universiti Komanwel.

Setelah berhijrah ke Istana Budaya, Razali ditempatkan di Cawangan Senireka, di mana keterlibatan beliau dalam perekaan set sering mendapat perhatian para pengarah dan tenaga produksi sesebuah pementasan. Antara sentuhan setnya boleh dilihat dalam pementasan Alang Rentak Seribu (2003), Bangsawan Tun Fatimah (2004), Makyung Raja Tangkai Hati (2004) dan suzana@60 (2006).

Selain terlibat dalam rekaan set untuk produksi terbitan Istana Budaya, pelukis karikatur ini turut diberi tanggungjawab oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dalam rekaan set untuk majlis-majlis jamuan makan malam meraikan delegasi-delegasi peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur seperti Persidangan NAM dan OIIC. Di peringkat kebangsaan, idea kreatif Razali boleh dilihat dalam perarakan Citrawarna, Citra Budaya dan Titian Budaya.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger