Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Susuk : Cantik Di Luar Dan Di Dalam

Entri oleh sultanmuzaffar 12 August 2008

Saya baru tersedar, salah satu sebab kenapa blog saya jarang dikemaskinikan adalah kerana keinginan mahu menulis panjang. Apabila keghairahan itu datang, niat saya untuk terus menulis terhenti. Oleh itu mulai hari ini saya akan menulis catatan seringkas mungkin, asalkan maksudnya sampai kepada pembaca.

Baru-baru ini saya berpeluang untuk menonton filem Susuk. Filem yang telah memulakan penggambarannya sekitar tahun 2006 akhirnya siap untuk ditayangkan. Salah satu sebab mengapa ianya lambat disiapkan adalah kerana beberapa masalah teknikal terutamanya aspek penggunaan CGI.

Kepuasan terserlah tatkala lampu pawagam kembali terang. Saya tidak terus tersenyum sebaliknya fikiran saya kembali terbang ke beberapa adegan awal, pertengahan dan penamat cerita. Ia hanyalah untuk menyambung dan merungkai setiap persoalan yang berlegar-legar di fikiran saya.

Setelah setiap persoalan terjawab, barulah saya tersenyum. Puas.

Pengarahan
Saya tertarik dengan teknik penceritaan non-linear yang dibawakan oleh Amir Muhammad dan Naiem Ghalili. Memang sukar untuk mencipta sebuah filem yang mana teknik penceritaannya sebegitu. Anda seharusnya menjadi seorang yang observant terhadap setiap adegan yang dipaparkan kerana ada kaitan antara satu sama lain. Jika terlalai, nescaya anda akan ketinggalan cerita yang ingin disampaikan.

Beberapa adegan yang cantik terutamanya di penghujung cerita yang mana adegan tersebut dibuat di Putrajaya, sekaligus merungkai apa makna Susuk yang sebenarnya. Siapa yang ingin dipaparkan oleh Amir melalui setiap wataknya melalui rencah subteks yang terkandung dalam setiap perwatakan oleh setiap pelakon.

File mini mempunyai dua pengarah yang mana Amir lebih banyak menjurus kepada penceritaan dan lakonan dan Naiem lebih kepada aspek teknikal. Saya kagumi elemen CGI yang terdapat dalam filem ini.

Lakonan
Saya benar-benar terkejut dengan mutu lakonan yang dipersembahkan oleh Diana Rafar. Dua tahun lalu sewaktu berbual-bual dengan Nizam Zakaria yang juga merupakan penulis buku Susuk, saya agak skeptikal apabila mendapat tahu Diana Rafar akan berlakon di dalam filem Amir Muhammad. Setelah melihat hasilnya tadi, saya kagum. Diana Rafar menampilkan satu mutu lakonan yang lain dari yang pernah beliau bawakan sebelum ini.

Tidak memandang rendah keupayaan Ida Nerina dan Sofea Jane yang sememangnya ratu dalam bidang mereka. Ida Nerina seperti biasa menampilkan sebuah lakonan yang penuh berkarektor. Saya puas menonton lakonan beliau walaupun sedikit kecewa apabila nama beliau tidak dicalonkan sebagai salah seorang finalis untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik di FFM yang berlangsung Sabtu lepas.

Kembalinya Sofea Jane ke layar perak juga tidak boleh dipandang ringan. Elemen kekecewaan dan sensualiti Sofea amat jelas terpancar dalam lakonannya.

Benar Susuk membongkar dunia belakang tabir kehidupan seorang artis, baik yang baru, mahu pun yang lama. Juga kepada mereka yang baru-baru berjinak mendekati dunia artis. Dunia tersebut amat plastik lagaknya. Di mana di mana letaknya cerita utama yang mahu disampaikan ? Pastinya Amir tidak mahu terperangkap sekali lagi dengan LPF dan menjadikan artis sebagai sasarannya. Dunia politik juga punya susuk yang digambarkan sebagai kuasa. Jika artis mahu mendapatkan susuk untuk terus kekal berada di atas, golongan politik juga mahu mendapatkan susuk untuk terus kekal berada di atas. Dunia mereka berbeza tetapi matlamat mereka sama.

Siapa Dewangga ? Siapa Efendi ?

Sinopsis
Bakat dan keanggunan Soraya adalah anugerah. Namun dia tidak puas. Soraya, seorang pelatih jururawat mendambakan kehidupan lebih dari ala kadar. Lantas di kala tawaran menjadi bintang tiba mengundang, dia mahu gapai setinggi langit. Memulakan langkahnya penuh ranjau. Sehinggalah Soraya dipujuk dengan amalan SUSUK yang sukar untuk dia ketepikan untuk bergelar diva ternama. Kini dia mesti memilih samada terus di laluan yang benar atau jalan onar yang perlukan pengorbanan..

Sementara itu, Suzana pula seorang diva terkenal sedang mendaki puncak populariti teratas. Namun terselindung di balik tabir keagungannya, Suzana adalah pengamal ilmu hitam tegar kerana dia pewaris SUSUK keramat. Tapi ia ada musibahnya. Suzana perlukan korban nyawa manusia setiap kali dia melanggar pantang..

SUSUK menyusuri kisah Soraya dan Suzana dalam lajur cerita yang berbeda namun akan bertembung di akhir cerita. Suatu kesudahan yang akan membongkar rahsia dan misteri ilmu hitam yang tidak tergambar oleh sesiapa!

Susuk menang kategori Poster Terbaik dan Penataan Audio Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 21 yang berlangsung Sabtu lepas. Tahniah !

Jangan ketinggalan menyaksikan filem Susuk lakonan Ida Nerina, Diana Rafar, Adlin Aman Ramlie, Aleeza Kassim, Sofea Jane di pawagam sekitar anda !