Walaupun teater "Cuci The Muzikal" diramal untuk menang besar di Anugerah Kesenian BOH Cameronian ke 8 yang berlangsung malam tadi di Kuala Lumpur, namun teater muzikal terbitan Tall Order Productions Sdn. Bhd. itu tidak pulang tangan kosong. Pelakon yang memegang peranan sebagai Jojo iaitu Awie memenangi anugerah Pelakon Utama Terbaik dalam kategori Teater Muzikal.
Pelakon itu yang juga merupakan penyanyi rock kumpulan "Wings" dan pelakon filem terkenal menerusi filem "Sembilu" pertama kali berlakon di pentas teater dan menerima pengiktirafan terbaik dalam lakonan. Awie hanya pernah memenangi Anugerah Khas Juri "Penampilan Karismatik Dalam Filem" menerusi filem Merah pada tahun 1997.
Selain Awie, penyanyi dan pelakon filem "Sepet" Adibah Noor turut memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Teater Muzikal menerusi teater yang sama. Kemenangan Awie membuktikan keupayaan sebenar penyanyi itu yang pertama kali beraksi di pentas teater. Gementar pada mulanya untuk menerima tawaran Hans, akhirnya membuahkan hasil yang bukan sedikit. Yang paling utama adalah pengiktirafan panel juri profesional yang rata-ratanya bukan di kalangan penggiat seni filem yang sering mengadili festival filem.
Teater Cuci The Musical turut memenangi Anugerah Pilihan Penonton dalam kategori Teater Muzikal. Undian yang dilakukan secara online membuktikan yang teater muzikal itu diminati ramai. Teater Cuci The Musical bakal dipentaskan semula pada 27 Julai hingga 9 Ogos depan di Istana Budaya Kuala Lumpur.
Tanpa AC Mizal dan Adibah Noor, teater Cuci The Musical menjanjikan hampir 70 peratus perubahan yang kini melibatkan pelakon baru yang diambil-alih oleh Nabil Raja Lawak dan Jaclyn Victor.
Melihat kepada keputusan penuh dalam kategori Teater Muzikal menyaksikan dominasi teater Prince Siddhartha The Musical yang membolot 10 anugerah. Kekuatan teknikal teater muzikal bertaraf antarabangsa itu benar-benar menjadi pesaing sengit untuk Cuci The Musical. Kekurangan itu sepatutnya diperbaiki oleh Cuci The Musical untuk mencapai taraf yang dipersembahkan oleh teater Prince Siddhartha The Musical.
Saya menyaksikan kedua-dua pementasan dan tidak terkejut dengan penguasaan teater Prince Siddhartha The Musical. Aspek teknikal, rekaan set dan tatacahaya teater muzikal itu sungguh mengagumkan. Tidak hairanlah sekiranya ia dipentaskan oleh produksi Musical On Stage Productions yang sememangnya antara pelopor produksi teater muzikal di Malaysia.
Saya amat berharap agar produksi teater Cuci The Musical memperkemaskan lagi aspek teknikal teater tersebut sebelum pementasan musim kedua kelak.
Apa pun, saya ingin juga mengucapkan SYABAS buat Kakiseni yang telah berjaya menganjurkan majlis anugerah berprestij itu selama lapan tahun buat penggiat seni pentas tanah air. Apa yang dimulakan oleh Jenny dan Kathy sewajarnya diteruskan oleh mana-mana badan berkecuali agar seni pentas tempatan dapat ditingkatkan dan dikenali di masa depan.
Syabas!
Kredit Foto : Facebook Samantha Shubert