"sultan Pun Blog - Bukan sultan Biasa" selamat dilancarkan petang semalam. Terima kasih kepada yang membantu sama ada secara langsung atau pun tidak langsung. Bukan menunjuk handal jauh sekali menggugat kedudukan mana-mana pihak, sekadar mahu berkongsi pengalaman lapan tahun dalam medium buku setelah lapan tahun bertarung di medium internet.
Gurindam Amir Muhammad - http://amirmu.blogspot.com/2010/04/pop-gurindam-for-sm.html
"sultan Pun Blog - Bukan sultan Biasa" dilancarkan pelukis muda berbakat besar, Saiful Razman
sultanmuzaffar berkongsi pengalaman lapan tahun dalam tempoh 7 minit.
Terima kasih kepada semua sahabat yang sudi meluangkan masa berkongsi pengalaman baru saya ini.
Saya mula berkenalan dengan blog lewat tahun 2001 menerusi blogger bluehikari. Dari blog itu saya mengenali Gengjurnal, sekelompok blogger Melayu yang rupa-rupanya sudah agak ramai. Pada waktu itu, blog jadi satu perkataan yg cukup asing tetapi tidak bagi mereka. Walaupun tidak menggelarkan diri mereka sebagai pelopor blog peribadi di Malaysia, tapi pada saya merekalah pencetus minat saya untuk memiliki blog sendiri. Saya berterima kasih kerana diterima dalam kelompok mereka dan akhirnya terpilih sebagai pemenang Anugerah Weblog Terbaik pada tahun 2004.
Sejak menulis blog pada 26 Feb 2002, pelbagai pengalaman telah saya tempuh. Atas beberapa sebab, blog peribadi saya bertukar kepada blog hiburan. Kegilaan pembaca terhadap sebuah program realiti menjadikan blog yang hanya dibaca 30 orang sehari (ketika itu) bertukar menjadi 9000 orang sehari (zaman kegemilangan AF3). Dan atas sebab "if you can't beat them, join them", menerusi blog itu jugalah saya ditawarkan bersama mereka.
Sehinggalah saya kini bersama Astro Awani sebagai wartawan hiburan. Saya bertemu pelbagai ragam manusia dan pelbagai personaliti telah berkesempatan untuk saya kenali. Blog yang bermula secara lebih peribadi kini telah memunculkan dirinya bukan saja di kaca tv, pentas nyanyian, pentas teater, dan hanya di layar filem saja yang belum lagi.
Hari ini saya kumpulkan entri-entri blog yang saya anggap terbaik, sinis, kritis, manis, pedih, sedih, pahit dari pelbagai subjek antara teater, filem, seni halus, muzik, kembara dalam buku ini, "sultan Pun Blog - Bukan sultan Biasa". Idea mendapatkan tajuk buku ini datang dari Chedd dan Ajami.
Bukan untuk menggugat mana-mana penulis jauh sekali menunjuk handal. Niat saya hanya satu iaitu ingin berkongsi dengan kelompok yang lain selain internet. Walaupun zaman telah banyak berubah sekarang, buku saya sifatkan masih penting terutamanya di kawasan luar bandar. Setelah lebih 8 tahun bertarung di internet dengan keyboard, kini saya berkongsi pengalaman itu menerusi medium buku pula. Pelbagai medium telah saya cuba. Internet yg disukai ramai. TV yg menyeronokkan tetapi hasilnya mengecewakan. Mana tahu khalayak buku akan lebih menghargai kehadiran saya.
Juga jutaan terima kasih saya buat 3 personaliti yang sudi menitipkan kata-kata hikmat mereka dalam buku ini. Tiga personaliti terbaik dalam bidang masing-masing yang mana dalam tempoh sepanjang saya mengenali mereka, kita sudah mengenali dan menjadi seperti kawan. Mereka ialah Tiara Jacquelina, Siti Nurhaliza dan Mamat Khalid yang telah sudi menulis prakata utk buku ini.
Saya berharap bila saya tidak lagi menjadi blogger atau wartawan kelak, saya akan terus menjadi kawan-kawan mereka.
Juga terima kasih buat rakan penerbit di Oxygen Media dan terutamanya Saiful Razman yang sanggup jadi Yang Berhormat untuk melancarkan buku "sultan Pun Blog - Bukan sultan Biasa". Terima kasih.