Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 28 May 2004

Pontianak Harum Sundal Malam

Baca dahulu sinopsisnya
1947, Kampung Paku Laris

Kampung Paku Laris terkenal dengan Primadona Meriam, penari gamelan yang telah menawan hati ramai peminat di pasar dan di istana. Harum bunga sundal malam pembuka tarian Meriam serta kejelitaannya mengasyikkan. Sesekali apabila gerak Meriam bersatu dengan rentak, tubuh Meriam menjadi ringan dan terapung di atas canang. Saudagar Marsani dan sahabat baiknya Danial di antara mereka yang berebut-rebut mencuri hati Meriam. Tetapi Meriam memilih Danial sebagai suaminya. Marsani yang lebih tampan terguris dan menyimpan perasaan cemburu.

Teman Meriam, Laila dan pembantunya yang separuh pekak, terjumpa Meriam yang mengandung anak sulongnya berlumuran darah tertikam di perutnya. Meriam tidak dapat diselamatkan. Kapal Danial pula karam di laut dan membawa maut. Marsani amat kecewa dan patah hati di atas pembunuhan Meriam . Kejadian aneh mula berlaku di Kampung Paku Laris. Ramai yang terbunuh terutamanya kaum keluarga dan orang-orang Marsani.. Orang kampung menuduh Meriam mengamalkan ilmu hitam dan kembali menjadi pontianak.

2003
Di sebalik rahsia tersembunyi beban dosa menghantui Marsani yang “hidup dalam kematian”; hingga kini. Dalam ketakutan, Marsani menghadapi hari tuanya menunggu ketibaan Meriam kerana percaya Meriam akan menghapuskan keturunannya. Marsani melawan usia tuanya melalui rawatan ozon dan pembedahan plastik. Asmadi yang agak sewel sudah biasa dengan perangai bapa saudaranya.

Kemunculan Maria seiras Meriam dan bekerja di cafe; Ana menjadi obsesi pada Marsani. Marsani melihat Maria sebagai Meriam dan percaya cucunya Norman bersama
isterinya Ana akan menjadi mangsa dendam Meriam. Beberapa peristiwa mempengaruhi hidup Marsani, Maria, Norman dan Ana setelah terjumpanya kubur di tapak pembinaan tempat Norman bekerja. Lembaga yang menakutkan telah kelihatan
berkeliaran di Paku Laris. Maria semakin hari semakin merasakan dirinya berubah dan dia bukan lagi Maria. Dia menjadi takut kerana dituduh pontianak oleh Marsani setelah melihat tanda ditengkoknya.

Bau haruman bunga sundal malam dan barang lama peninggalan Marsani di rumah
Ana mengakibatkan perkahwinan Norman dan Ana terancam. Marsani dan Asmadi
cuba memberi amaran kepada Norman dan Ana bahawa Maria adalah Meriam yang
kembali menjadi pontianak untuk membalas dendam tetapi tidak diterima oleh mereka. Marsani akhirnya memaksa Maria berhadapan dengannya bertarung bagi kali terakhir.

Siapa Maria?

Pengarahan
Filem ini sebenarnya bertarung dengan “lembaga” Penapisan Filem sebelum dibenarkan ditayang di bumi tanah tumpah negaranya sendiri. Lembaga itu sebenarnya lebih dahsyat dari Pontianak Harum Sundal Malam. Lembaga itu mencantas segala kreativiti manusia dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal dengan andaian rakyat Malaysia tidak tahu membuat pilihan sendiri. Kaki dan tangan Pengarah tidak berkerja dengan kreatif kerana kekangan-kekangan yang ada. Beliau sebenarnya terpenjara di bidangnya sendiri. Sekurang-kurangnya Pontianak Harum Sundal Malam mempunyai alas an yang kukuh bertindak merasuk dan membunuh mereka yang didendami olehnya. Lembaga itu apa tujuannya ?

Walaupun dirasuk kekangan-kekangan yang merumitkan, saya masih berpuas hati dengan kerja Pengarah ini. Beliau cuba untuk meransang minda penonton dengan kreativitinya. Rumit dan sedikit berjaya. Harus saya puji. Beliau seboleh-bolehnya mengelak untuk menggunakan “Oh ! Aku bermimpi rupanya !” Lalu bermain dengan teknik imbas kembali yang adakalanya meracau fikiran penonton.

Produksi ini disokong oleh mereka yang terdekat dengan beliau sejak Selubung, Ringgit Kasorga, Layar Lara dan Mimpi Moon. Kerjasama utuh mereka nyata membuahkan hasil.

Secara keseluruhan kerja Pengarahan banyak tertumpu kepada zaman 1947. Zaman ini memerlukan ketelitian sang Sutradara. Banyak masa ditumpukan untuk zaman tersebut dan hasilnya AMAT MENGKAGUMKAN. Filem ini sekiranya ditamatkan dengan berlatarkan zaman 1947 sudah tentu ia merupakan taruhan terbaik Malaysia untuk festival filem antarabangsa. Segala perkara diambil kira walaupun terlepas beberapa kelemahan yang masih boleh ditutup atau tidak disedari penonton.

Lakonan
Saya kurang menggemari lakonan Maya Karin. Masih kelihatan kaku terutamanya sewaktu beliau melakonkan watak Maria. Beliau nyata terserlah sewaktu melakonkan watak Mariam dan Pontianak. Saya suka dengan lakonan Rosyam Noor. Ada kelainan pada wataknya. Juga Ida Nerina.

Filem-filem Shuhaimi Baba nyata tidak pernah meminggirkan watak-watak kurang sihat sebegini. Mimpi Moon dengan Sok Vhan yang capek kakinya, Layar Lara dengan Malik yang panas baran, Selubung dengan Pintu yang gemar mengundang ketawa dan Ringgit Kasorrga dengan watak Sham seorang jurusolek dan penjaga busana yang bodoh-bodoh alang. Dalam Pontianak Harum Sundal Malam, Rosyam Noor membawa watak Asmadi yang macam tiga suku dan Ida Nerina membawa watak Sitam yang lidahnya pendek atau mungkin pekak.

Lakonan Azri Iskandar juga masih biasa dan Kavita Kaur hanya sekdar pelengkap cerita. Sebagai Pengarah, beliau harus pandai memilih pelakon yang sesuai untuk membawakan watak-watak penting dalam filemnya. Seperti contoh watak Norman, seorang jurutera pembinaan yang kerjanya saban hari di lokasi-lokasi terik dengan bahang matahari, mana mungkin pelakonnya seorang yang berkulit putih cerah Fair & Lovely seperti Eizlan Yusof. Lebih-lebih lagi beliau dipanggil dengan nama gelaran Norm. What a bad name !

Latihan para pelakon telah diberikan oleh guru seni lakon Akademi Fantasia, Fatimah Abu Bakar, guru seni lakon Audition, Normah Nordin dan aktivis teater terkenal, Zahim Al Bakri. Hasilnya ? Biasa sahaja kerana kelemahan kepada pelakon utama sebenarnya telah menjatuhkan rating pelakon yang telah memberikan lakonan yang mantap.

Suntingan
Teknik imbas kembali filem ini nyata meracaukan. Jika terleka, kita akan tertinggal banyak mesej penting dalam visual filem ini. Seperti pengarahan, teknik suntingan pada zaman 1947 juga baik dan kelemahan ketara adalah pada zaman sekarang. Pada zaman sekarang terlalu banyak imej-imej ulangan sang pontianak mengganggu hidup Marsani juga pelakon di sekeliling Marsani. Naratif penceritaan filem ini agak goyah pada sekitar zaman sekarang.

Fotografi
AMAT MENGKAGUMKAN ! Sesiapa sahaja boleh menjadi Pengarah Filem jika mempunyai seorang Pengarah Fotografi yang bagus. Shuhaimi Baba bernasib baik kerana beliau ada itu. Kesan seni pada fotografi filem ini amat halus kerjanya. Ketelitian Mohd Filus Ghazali mendapatkan shot yang terbaik dibantu dengan kreativiti Pengarah sudah mencukupi untuk mendapat pujian tinggi. Adegan yang paling menarik pada saya tentu sekali sewaktu Mariam menghantar Danial hendak keluar belayar. Adegan titi gantung di Sungai Lembing itu amat merbahaya tetapi hasilnya amat cemerlang.

Penerbitan Pontianak Harum Sundal Malam telah menggunakan filem 35mm Kodak dan HD, High Definition Technology. Penggambaran menggunakan 24 frame dan format widescreen. Ia telah dilakukan dengan teknik direct sound.

Muzik Latar dan Bunyi
Penggunaan Dolby Digital Surround file mini benar-benar memberi kesan besar kepada penonton. Bunyi dating dari kiri, kanan, depan dan belakang. Terasa seperti diserang Pontianak yang sebenar-benarnya. Kosnya memang tinggi lebih-lebih lagi perlu dihantar ke luar negeri untuk proses adunan.

Lagu Pulangkanlah nyanyian Misha Omar amat meremang bulu roma. Lagu ini telah pun menjuarai Carta ERA dan telah diterima pendengar. Saya suka dengan lagu ini walaupun ada kedengaran seperti salah satu lagu dalam filem Ada Apa Dengan Cinta. Vokal Misha Omar amat kena dengan melodi lagu ini dan penonton merasai kesedihan tersebut.

CGI 3 Dimensi dan Kesan Khas
Sebagai penggemar teknologi inilah aspek yang paling saya suka dalam filem Melayu. Buli gagal memanafaatkan kesan CGI 3 Dimensi dengan baik, tetapi tidak kepada Pontianak Harum Sundal Malam. Sewaktu adegan di Istana Jugra tentunya saya akan meneliti segala detail untuk mencari kesilapannya. Kereta-kereta yang dibina dengan teknologi ini amat kena dengan saiz Istana tersebut. Pencawang-pencawang dan tiang-tiang eletrik berjaya dipadamkan.

Sedikit kelemahan pada bahagian ini adalah sewaktu adegan Mariam menghantar Danial berlayar, khabarnya kelihatan wayar-wayar pencawang yang tidak terpadam. Saya tidak perasan, tetapi salah seorang kawan yang menonton perasan katanya.

Adegan Mariam menari di atas gamelan juga nampak begitu artistik tetapi tidak terlalu palsu.

Penataan Seni
Kerja-kerja Penataan Seni banyak dibantu oleh kesan shot oleh Fotografi yang menarik. Bukan mudah untuk mengembalikan zaman 1947 secara terperinci tanpa sebarang kesilapan.

Solekan dan Busana
Bahagian ini juga telah bekerja keras untuk memastikan setiap perkara kena dengan zamannya. Solekan Pontianak saya kira sudah mampu untuk mengalahkan kerja-kerja solekan Erra Fazira dalam Cinta Kolesterol. Solekan Pontianak jauh lebih natural dari solekan perempuan gemuk yang nampak janggal.

Siapa Maria ?
Jika kita tidak teliti menonton, kita pasti tertanya-tanya siapakah Maria sebenarnya. Maria umurnya lebih muda dari Norman dan Ana, cucu kepada Marsani. Sewaktu adegan Laila mengajar seorang anak kepada Mariam menari gamelan ada seorang anak kecil di tepid an itulah Maria.

Pontianak atau Mariam mula merasuk setelah kuburnya diganggu dengan kerja pembinaan dan mulalah cerita Pontianak Harum Sundal Malam yang mahu menuntut haknya. Haknya yang telah dirampas oleh Marsani secara paksa. Tanah dan rumah pusakanya yang telah diberikan kepada Norman dan Ana serta barang-barang peninggalan Danial kepadanya. Pontianak juga mengamuk kerana memperjuangkan nasib rakan-rakan dan suaminya yang telah dibunuh dengan kejam angkara Marsani.

Secara keseluruhan, filem ini merupakan sebuah filem yang wajib ditonton untuk dinilai nilai-nilai artistic filem tersebut. Kekacauan pada suntingan dan penceritaan pada latar zaman sekarang wajar tidak diambil kira sebelum menonton filem ini. Ia tetap sebuah filem yang bagus. Sekurang-kurangnya lebih hebat dari Cinta Kolesterol dan Mr Cinderella 2.

Rating: 3/5 bintang