Dari Studio Satu Sheila Majid
Saya berkesempatan untuk mengikuti rakaman Dari Studio Satu Sheila Majid petang tadi bersama beberapa orang kawan. Memang agak penuh ruang legar ASTRO petang itu. Ramai yang ingin menonton persembahan diva Sheila Majid. Saya memang mengikuti setiap perkembangan beliau sebagai seorang artis sekiranya tiada aral melintang.
Petang itu berkonsepkan hitam dan pink, rata-rata penonton mengikuti tema yang disediakan. Begitu juga dengan Sheila Majid sendiri yang tampil berpakaian warna hitam dan pink. Nampak elegan. Persembahan petang itu nampak begitu eksklusif dengan konsep unplugged. Rekaan set serta tatacahaya juga amat bersesuaian dengan konsep. Tidak terlebih, tidak terkurang.
Sheila Majid memulakan persembahannya dengan lagu Warna dan diikuti dengan lagu Sinaran. Satu perubahan besar yang dilakukan oleh beliau. Boleh dikatakan satu breakthrough yang berani. Seringkali dalam persembahan beliau, Warna dan Sinaran adalah antara lagu wajib yang akan dinyanyikan di akhir persembahan. Langkah berani itu dilakukan untuk beliau melakukan satu pembaharuan pada konsep persembahannya.
Setiap kali beliau bertemu dengan peminatnya, beliau sering diajukan soalan bila akan menghasilkan album baru. Tetapi setiap kali apabila membuat persembahan konsert, lagu lama juga yang ingin didengar oleh penonton.
Persembahan diteruskan dengan rangkaian medley lagu-lagu lama beliau era 80an hingga ke era 90an. Lagu yang melonjakkan populariti beliau seperti lagu Pengemis, Fikirkan Dahulu, Memori, Tua Sebelum Waktunya dan Hasrat Cinta dibawakan oleh beliau dengan baik. Penonton memberikan kerjasama yang baik untuk lagu-lagu lama tersebut.
Kerinduan menyusul selepas itu sekaligus membawa penonton untuk menghayati lagu baru dendangan beliau. Lagu Selamanya yang telah diberikan susunan yang baru agak menarik perhatian saya.
Medley II terkandung lagu-lagu seperti Legenda, Antara Anyer Dan Jakarta, Ku Mohon, dan Aku Cinta Padamu mampu membuatkan penonton menjerit kegembiraan. Siapa yang tidak suka apabila lagu-lagu siulan ini didendangkan oleh Sheila Majid sambil diiringi dengan penyanyi latar yang terdiri dari para penonton sendiri. Jika saya diberi pilihan untuk memberikan ranking pada empat lagu tersebut tentunya saya mengambil masa yang lama untuk memilih lagu yang paling saya sukai.
Satu yang kurang dalam persembahan Sheila Majid kebelakangan ini adalah beliau jarang benar membawakan lagu dari album Ratu. Lagu seperti Ratu, Mengapa Kasih, Patung, Embun, Gangguan dan Tandanya Tandatanya adalah lagu-lagu yang sedap di dalam album tersebut tetapi jarang saya dengar dipersembahkan oleh Sheila.
Satu yang saya suka tentang Sheila Majid ialah komunikasi beliau dengan penonton yang begitu bersahaja. Tersimpan dalam impian saya untuk punya kredibiliti sebegitu. Mampu berkomunikasi dengan baik di hadapan penonton tanpa sedikit rasa gementar. Jenaka-jenaka spontan yang dibawakan oleh Sheila juga adalah jenaka kelas tinggi. Dalam jenaka itu, Sheila Majid ingin berkongsi lagu Cinta Kita dengan penonton yang telah sama-sama berkongsi rasa cinta dengannya selama lebih 20 tahun. Dalam spontan sempat juga beliau memujuk suaminya, Acis setelah jenaka tersebut. Tunggu sahaja tayangannya di ASTRO Ria kelak untuk mengetahui jenaka yang saya maksudkan.
Persembahan kemudiannya diteruskan untuk Medley III dengan lagu-lagu balada seperti Gerimis Semalam, Gemilang dan Di Dalam Emosi Ini. Penonton seakan terpegun dengan persembahan beliau. Jelingan Manja kemudiannya menghangatkan studio tersebut, sebelum persembahan diakhiri dengan sebuah lagu rancak bertajuk Inikah Cinta.
Hasrat beliau sendiri, ingin membawakan lagu-lagu lama yang akan diberikan nafas baru untuk persembahannya akan datang. Sheila Majid juga perlu melakukan perubahan tersebut dan peminat harus menyokong hasrat tersebut. Sokongan itu perlu agar Sheila Majid yang kita puja boleh membuat perubahan pada persembahannya, baik dari segi mutu vokal dan muziknya. Ini secara tidak langsung dapat membuka lebih banyak peluang kepada beliau. Bukan sahaja Sheila Majid dapat berubah, para pemuziknya juga dapat meneroka ilmu-ilmu baru dalam bidang muzik dan menjadikan muzik sebagai landasan untuk memperbaiki diri.
Sememangnya hebat, Sheila Majid telah menghiburkan saya petang itu. Semoga muzik dapat menyatukan kita semua.
Sekali Menjentik !
Saya menerima beberapa kiriman SMS meminta saya membaca akhbar Mingguan Malaysia. Kata mereka ada komen dalam Pancaindera tentang artikel Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004. Pagi itu saya beli akhbar Ahad seperti Berita Minggu dan Mingguan Malaysia untuk membaca kandungannya lagipun tentu ada berita persembahan Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall London. (Saya perlu baca tulisan wartawan Malaysia tentang persembahan Siti Nurhaliza, kerana saya baca di blog pelajar-pelajar Malaysia nyata berbeza pandangan mereka)
Dalam artikel bertajuk Uji Rashid bangga dengan Misha ada menulis,
Bila ada yang tulis kononnya Uji Rashid sampai tutup muka sebab tak suka persembahan Misha adalah dusta semata-mata. Penulis itu sekadar "membaca" reaksi Uji dari jauh, lepas tu tulis. Salah tu dik.
"Saya sedih bukan sebab tak suka dengan persembahan Misha. Saya tutup muka, tutup telinga sebab masa itu saya tidak dapat menahan sebak.
"Sebagai penyanyi yang tidak pernah mendapat perhatian syarikat rakaman dan syarikat filem, sudah tentu saya terharu bila dihargai macam itu.
"Tidak benar kalau kata saya menangis sebab tak sanggup melihat Misha 'menghancurkan' lagu-lagu saya, tolong betulkan kenyataan itu ya," kata Uji yang menerima anugerah khas di majlis berkenaan.
Kalaupun bukan artikel tersebut, banyak juga komen yang saya terima dalam komen artikel tentang Anugerah tersebut. Ingin saya ingatkan bahawasanya, pemerhatian yang saya buat adalah melalui tontonan saya di peti televisyen. Sememangnya pemerhatian dari jauh dan tidak salah untuk saya menafsirkan apa yang saya tonton di kaca tv. Apa yang saya lihat, itulah yang saya komen. Lebih-lebih lagi, persembahannya terhenti kerana siaran iklan secara tiba-tiba. Bermacam-macam andaian boleh saya buat melaluinya. Mungkin juga siaran langsung terhenti kerana ancaman bom palsu oleh peminat Uji Rashid yang tidak menggemari cara Misha membawakan lagu tersebut. Mungkin juga Uji menerpa ke pentas dan mengarahkan Misha agar berhenti menyanyikan lagu-lagunya. Uji sendiri mengakui mempunyai hasrat sedemikian, tetapi tidak melakukannya. Mungkin juga Misha Omar meluru masuk ke belakang pentas kerana malu setelah gagal memberikan persembahan yang memukau. Pelbagai andai mampu saya buat menerusi apa yang saya lihat di kaca tv. Banyak lagi isu yang boleh dikupas dalam anugerah tersebut selain isu lagu medley Uji Rashid. Mungkin juga untuk menutup isu teknikal, maka isu lain sengaja digembar-gemburkan.
Saya tidak akan membetulkan apa-apa kenyataan saya kerana kenyataan tersebut adalah benar melalui pandangan saya serta menerusi apa yang saya lihat dan dengar dari kaca tv. Sememangnya saya kurang berpuas hati dengan persembahan Misha pada malam itu. Kenapa pula dikatakan salah kerana saya mengikutinya dari jauh dan menulis pendapat berdasarkan apa yang saya lihat. Saya tidak seperti mereka yang lain yang berpeluang untuk ke Genting Highlang untuk menonton persembahan tersebut secara langsung. Saya hanya menontonnya dari jauh. Kalau salah menulis pendapat berdasarkan pemerhatian dari jauh, maka semua penulis blog yang lain juga salah. Mereka seakan dinafikan hak untuk menulis pendapat mereka sendiri. Adil ? Pendapat di ruangan ini mewakili pandangan saya dan tidak mewakili pandangan berjuta lagi rakyat Malaysia yang menonton rancangan tersebut. Jangan takut dengan bayang-bayang sendiri. Apalah sangat pandangan negatif seorang seperti saya jika dibandingkan dengan pandangan positif berjuta rakyat Malaysia yang lain ?
Hitz1 : Misha Omar menyekat penguasaan Siti Nurhaliza
Malam hari Ahad saya menonton rancangan Hitz1 di RTM Satu. Juga saya tonton di rumah. Saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Auditorium Besar RTM. Maka apa yang saya ulas adalah melalui pemerhatian saya di kaca tv.
Saya akan ulas beberapa persembahan sahaja kerana menonton di rumah saya mempunyai kebebasan untuk bergerak. Sambil menggunakan komputer dan melayari internet sambil menonton rancangan dan sambil juga berbalas-balas SMS memberikan komen tentang rancangan tersebut.
Nampaknya warna-warna terang seperti merah, kuning dan jingga masih merupakan warna kegemaran RTM dalam rekaan pentasnya. Menyakitkan mata !
Marilah Bergoyang – Ruffedge
Sebuah persembahan yang biasa. Kemantapan vokal mereka tidak diserlahkan dengan baik oleh Ruffedge. Namun demikian, corak persembahan mereka nampak sedikit matang dari corak persembahan mereka sewaktu Juara Lagu yang lalu. Penguasaan pentas mereka agak kelam-kabut dengan bilangan penyanyi yang ramai di pentas. Susunan vokal mereka tidak begitu kemas sekaligus menghilangkan keharmonian vokal mereka dalam lagu tersebut.
Dambaan Pilu – Khai
Sebuah persembahan ulangan untuk final Konsert Akademi Fantasia tanpa aksi tangan yang sama. Sebuah persembahan yang biasa dari Khai. Satu perubahan besar yang nyata ialah aksi tangan Khai telah banyak berubah. Tiada lagi aksi tangan tarik brek yang pernah saya lihat dalam Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2003. Perubahan yang baik. Dengan aksi yang tidak banyak bergerak, Khai membawakan lagu tersebut dengan bersahaja.
Memori Cinta Luka – Nassier Wahab
Saya menyukai susunan muzik yang turut sama dijayakan oleh Adnan Abu Hassan. Kedengaran agak segar dan vokal Nassier Wahab boleh saya katakan agak baik. Sebuah persembahan vokal yang mantap dari Nassier Wahab.
Lagu Rindu – Siti Nurhaliza
Lagu Rindu merupakan taruhan Siti Nurhaliza yang tidak kuat untuk perrtandingan ini. Itu sebabnya lagu tersebut gagal membolot kejuaraan pada malam itu. Namun demikian Siti Nurhaliza berjaya memenangi Persembahan Terbaik. Saingannya ialah Misha Omar dengan lagu Pulangkan. Kelebihan Siti Nurhaliza ialah gerak tarinya yang unik dan lain dari yang lain. Saya kira gerak tarinya adalah gerak tari yang sama sewaktu persembahan di London. Benar kata orang, Siti Nurhaliza kini sudah berani menggoyangkan tubuhnya dalam persembahannya. Satu perubahan berani yang dilakukan oleh beliau untuk lebih berjaya dan dikenali. Vokal beliau nyata bukan saingan peserta yang lain. Secara bersahaja beliau membawakan lagu tersebut dengan baik sekali.
Relaku Pujuk – Spider
Relaku Pujuk merupakan lagu yang agak kuat. Sayangnya persembahan Spider semacam tidak bermaya. Spider tidak bersungguh-sungguh mempersembahkan lagu tersebut. Saya kata tidak bersungguh-sungguh adalah berdasarkan pemerhatian saya di kaca tv. Persembahan vokalnya juga tidak menarik seperti persembahan mereka di Juara Lagu.
Pulangkan – Misha Omar
Sebuah persembahan yang terkawal dari Misha Omar. Saya harus puji penampilan Syed sebagai Izad dalam lagu tersebut. Beliau membawakan bahagiannya dengan baik dan mampu melengkapkan lagi persembahan Misha. Kemunculannya saling melengkapi. Interaksi Misha dan Syed juga bersesuaian dengan mesej lagu. Persembahan ini merupakan saingat kuat untuk persembahan Siti Nurhaliza. Penghayatan Misha untuk lagu ini juga agak terkawal dan dikawal dengan baik olehnya. Mutu vokal beliau juga agak menyerlah dalam lagu itu serta penguasaan pentasnya yang cemerlang. Yang nyata saya lebih menggemari Misha membawakan lagu Pulangkan dari persembahannya untuk Medley Uji Rashid. Opps I did it again !
Terhangat Di Pasaran – KRU dan Adam
Saya suka dengan kejutan persembahan ini. Mereka beraksi seperti bukan dalam pertandingan tetapi beraksi seperti dalam sebuah konsert. Menampilkan Abon yang selama ini hanya muncul dalam klip video merupakan idea yang bagus. Mereka membawakan unsur-unsur jenaka dalam persembahan mereka. Saya menerima satu kiriman SMS, katanya Adam menyanyi lebih baik dari KRU. Maknanya bukan saya yang cakap, tetapi orang lain yang cakap. Saya tidak perasan tentang perkara itu. Yang pasti ia sebuah persembahan yang menghiburkan.
Persembahan selingan dari Ning Baizura dan Jay Jay dengan lagu Erti Pertemuan memang menarik. Cuma gaya Jay Jay yang agak santai tidak bersesuaian untuk dipadankan dengan gaya diva yang dibawakan oleh Ning Baizura. Lagu Bersama oleh Ning Baizura juga merupakan sebuah persembahan yang menarik. Persembahan-persembahan lain saya sibuk mengadap komputer termasuklah persembahan UNIC dan Puteh.
Kemenangan pada malam itu berpihak kepada lagu Pulangkan oleh Misha Omar yang telah dicipta oleh Ajai. Ajai tidak hadir pada malam tersebut. Manakala tempat kedua dimenangi oleh Siti Nurhaliza melalui lagu bertajuk Lagu Rindu. Lagu tersebut dicipta oleh Yassin. Siti Nurhaliza menguasai anugerah Persembahan Terbaik dan Lagu Popular menerusi Lagu Rindu. Tahniah kepada semua pemenang !
0 komen